Archive | Jehan Miskin RSS feed for this section

Tersentuh Keadaan M Rajoli

22 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

RAKAN artis melawat M Rajoli di kediamannya di AU3, Keramat.

Rakan artis ziarahi pelakon yang kini derita barah kelenjar otak

GAMBARNYA yang dilihat melalui sistem pesanan multimedia (MMS) dalam keadaan uzur menyentuh hati 20 rakan artis, lalu membuka hati mereka untuk menziarahi pelakon M Rajoli, baru-baru ini.

Pelakon yang nama sebenar Mohd Rajoli Mohd Zain, 63, kini hanya terlantar di kediaman isteri pertamanya Hassimah Mat Din selepas keluar hospital akibat menghidap kanser di kelenjar otak atau lymphoma sejak setahun yang lalu.

Namun keadaannya kini kian beransur pulih selepas menjalani fisioterapi di sebuah klinik di Taman Melawati yang dilakukan tiga kali seminggu.

Kunjungan artis muda itu diketuai Penerbit Eksekutif Excellent Pictures, Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Pengarah Urusan Global Network Entertainment, Den Wahab. Mereka mengambil inisiatif mengumpul seberapa ramai artis untuk membatu pelakon yang sering membawakan watak lelaki warak dalam drama yang pernah dilakonnya.

Menurut Den, sejak mengetahui keadaan sebenar M Rajoli, dia dan Idham segera menghubungi waris M Rajoli untuk menziarahi dan meminta keizinan isterinya bagi membawa seberapa ramai artis bagi membantu suaminya.


AZIZ turut bertanya khabar M Rajoli.

“Selepas menonton program Melodi beberapa minggu lalu, saya cukup tersentuh dengan keadaan M Rajoli lalu saya berpakat dengan Idham untuk membantu setakat mana yang kami termampu.

“Lalu saya terus mendapatkan nombor telefon dan alamat penerbit Melodi, Nas Ahmad dan terus ke rumah M Rajoli di kediamannya di Menara Rajawali, AU2 Keramat, Kuala Lumpur.

“Saya dan Idham cukup tersentuh melihat keadaannya sekarang kerana sebelum ini saya mengenalinya sebagai seorang yang cukup periang dan sering menghiburkan teman di lokasi penggambaran drama,” katanya.

Lalu menurut Den, keizinan yang diperoleh daripada isteri M Rajoli disambut baik demi melihat suaminya kembali ceria seperti sebelum ini.

“Saya sempat mengambil beberapa keping gambar M Rajoli semasa melawatnya dan menghantar MMS kepada rakan artis dan menjemput sesiapa yang sudi mengunjunginya.

“Alhamdulillah hari ini saya melihat ramai artis yang hadir membantu menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung isterinya. Antara artis yang hadir dan membantu seperti Datuk Aziz Sattar, Baharuddin Omar, Rebecca Al Islam, Anne Abdullah dan Noniswara.

“Turut menziarahinya, Sharifah Shahira, Aida Aris, Sulaiman Yassin, Imuda, Nabil (Raja Lawak), Rosyam Nor, Jehan Miskin, Mawi, Pak Ngah dan ramai lagi,” kata Den yang turut bermurah hati menaja khidmat tukang urut berpengalaman, Wak Hassan yang didatangkan khas dari Pulau Jawa, Indonesia.

M Rajoli kini hanya terlantar di katilnya sejak dimasukkan ke hospital pada 10 Oktober tahun lalu dan dibenarkan keluar sebulan selepas itu.

Hassimah berkata, kesihatan suaminya kini dilihat menunjukkan sedikit perubahan berbanding sebelumnya.

“Alhamdulillah saya dapat melihat perubahannya hari ini mungkin dengan kehadiran ramai rakan artis yang memberikan semangat kepadanya. Sebelum ini hidupnya muram saja sejak terlantar di rumah mungkin bersedih kerana tidak ramai yang mengunjunginya.

“Hari ini dia lebih berselera untuk makan dan ingatannya semakin pulih apabila dia mampu mengenali ramai orang.

“Namun dia masih tidak mampu untuk berjalan dan melakukan pergerakan yang banyak sehingga terpaksa membuang air besar dengan menggunakan lampin saja,” katanya.

Berita Harian

Aqasha 'Diracuni' Jehan

20 Apr

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my

“Mula-mulanya Jehan Miskinlah yang asyik ‘racun’ saya, lama-lama saya yang ketagih dibuatnya. Bila tengok hasilnya, saya mula puas hati. Tambah lagi badan rasa semakin sihat

SemuanyA gara-gara termakan ‘racun’ yang disuakan oleh teman seperjuangannya, aktor Jehan Miskin. Akibat sudah diracuni, kini, pelakon tampan Aqasha sudah ketagihan.

Ironinya, racun dan ketagihan yang merasuk Aqasha bukanlah ke arah merosakkan diri sebaliknya, mendatangkan perasaan puas hati dan serta penampilan yang semakin seksi.

Bukan itu sahaja bahkan setiap kali melihat diri di cermin ketika bangkit dari tidur, di fikirannya sudah ada disiplin yang harus diikuti.

Sekal imbas, kenyataan di atas kedengaran sedikit mengelirukan namun tatkala menemu bual Aqasha baru-baru ini, ada perubahan ketara yang dapat disaksikan menerusi penampilan terbaru Aqasha.

Sedikit lebih matang seiring dengan usia yang kini menginjak 27 tahun, bukan usia sahaja yang bertambah kerana Aqasha kini sedang sibuk menambahkan otot-otot pada tubuh sasanya itu.

“Ya, sebenar saya selalu ke gim. Dah masuk bulan keempat sebenar. Mula-mulanya Jehan Miskinlah yang asyik ‘racun’ saya, lama-lama saya yang ketagih dibuatnya.

“Bila tengok hasilnya, saya mula puas hati. Tambah lagi badan rasa semakin sihat, tinggal lagi kena disiplin sahaja. Saya bukannya nak bikin sampai badan jadi six pack cuma nak dapatkan bentuk, dan penampilan yang saya suka dan saya sendiri semakin berdisiplin dalam bab masa dan pemakanan,” luah Aqasha yang tersenyum kala diusik tentang penampilan terbarunya dikatakan semakin ‘seksi’.

Ditanya lagi, adakah penampilan barunya itu sebagai meniru gaya mana-mana selebriti lain atau satu pelaburan untuk memancing tarikan mana-mana pihak, sementelah pula, trend untuk diangkat sebagai hero ketika ini bukan sahaja dinilai pada paras rupa tetapi haruslah tampan serta bertubuh sasa.

“Tak, bukan begitu. Saya cuma rasa semakin puas hati dengan perubahan ini, lagipun ia langsung tidak memudaratkan.

“Cuma saya risau, kalau-kalau berhenti ke gim nanti, berat badan akan naik mendadak. Sekarang saya kena pastikan, paling kurang dua atau tiga kali seminggu saya kena pergi ke gim,” katanya yang menyimpan harapan untuk terus membina nama dalam industri seni, filem dan drama khususnya.

Kata Aqasha, dia bukannya melupakan terus bidang nyanyian, tetapi permintaan yang datang untuknya lebih memihak kepada lakonan.

Kelibat Aqasha juga sebenarnya agak jarang dilihat di layar lebar, yang kerap hanyalah drama. Untuk filem, selepas Embun, Aqasha tidak banyak diberikan peranan utama, kebanyakannya watak-watak pembantu serta karakter jahat.

“Sebenarnya saya serius dengan setiap apa yang saya ceburi. Sampai ke tahap ini, saya sudah lakukan yang terbaik. Tapi saya sedar, industri lakonan di Malaysia juga agak terbatas. Filem atau drama tidak penting yang penting besar mana impak yang datang. Setakat ini saya perasan, drama bersiri ada potensi yang sangat kuat untuk melekat di hati penonton.

“Tentang nyanyian pula, saya tidak mahu ambil perkara itu sambil lewa. Nyanyian masih jadi minat saya tapi saya tak nak menyanyi kalau setakat main-main sahaja, kalau tidak serius dan betul-betul ada material yang betul-betul bersedia, baik tak payah, nanti kena gelak,” beritahunya yang pernah tampil menerusi dua buah album.

Tambah pelakon yang popular menerusi drama Mertua VS Menantu itu juga, untuk bidang seni yang diceburinya seawal usianya 19 tahun, dia tidak mahu digelar ‘gajah putih’.

“Saya tak mahu sekadar ada nama tapi tidak ada impak. Saya masih dan sedang berusaha mencapai matlamat itu,” katanya yang bakal muncul menerusi filem Rempit V3, arahan Farid Kamil.


AQASHA kini bergelar jurutera bunyi.

Dalam filem berkenaan, Aqasha melakonkan watak bernama Garing, masih lagi karakter antagonis seperti yang pernah dilakonkannya menerusi filem Gengster dan Rempit, beberapa tahun dahulu.

Jarang muncul untuk sesi fotografi dan lebih banyak memberikan ruang untuk bersukan dan beristirehat jika tiada jadual penggambaran, dalam diam Aqasha kini berjinak-jinak dengan dunia penerbitan audio di belakang tabir.

Tanpa diuar-uarkan juga, jejaka tampan kelahiran Kuala Lumpur ini sebenarnya sedang sibuk memburu kepuasan diri sebagai jurutera bunyi. Maklumlah, tahun lepas, dia baru sahaja menerima segulung ijazah jurusan Kejuruteraan Audio dari International College of Mucic atau lebih dikenali sebagai ICOM yang terletak di Jalan Pahang, di ibu negara.

Memulakan pengajiannya secara sepenuh masa sejak tahun 2005, Aqasha kini bergelar pelakon berijazah.

“Saya ambil jurusan kejuruteraan bunyi kerana saya minat dengan nyanyian. Bila ada idea saya cuba buat lagu sendiri. Jadi saya perlukan medium untuk luahkan apa yang ada dalam jiwa saya. Saya perlukan sesuatu yang konkrit untuk kepuasan diri.

“Dalam erti kata lain, saya mencari diri saya. Sekarang saya dekatkan diri dengan kerja-kerja belakang tabir, buat audio, buat susunan muzik dan lagu sikit-sikit,” katanya merendah diri.

Sebagai pengenalan kerja belakang tabir pertamanya, Aqasha pernah bertindak sebagai jurutera bunyi untuk penghasilan lagu tema drama bersiri berjudul Joe & Faridah. Sebuah daripada lagu yang dimasukkan ke dalam drama berkenaan ditulis oleh Aqasha sendiri bertajuk Obsesiku.


BAKAL muncul menerusi filem arahan Farid Kamil, Rempit V3.Dalam bulatan, Aqasha bersama Jehan.

Kata Aqasha, itu semua untuk kepuasan peribadi bukannya sebagai alternatif untuk menjual satu lagi bakat yang ada sebagai sumber pencarian.

“Ruang lingkup untuk berjaya dalam bidang berkenaan ada tapi tak boleh buat duit. Sekarang, ada laptop sahaja semua orang boleh buat rakaman sendiri tambah lagi dengan zaman digital yang semakin canggih. Jadi, saya buat sebab saya minat dan kepuasan sendiri,” katanya tidak berasa ralat memilih jurusan pengajian kejuruteraan bunyi kerana meminati muzik sejak kecil.

Kosmo

TV2 Siarkan Program Realiti Worldstars – Road To Hollywood

18 Apr


MOHD Shafie (enam dari kiri) berbual sesuatu dengan Jehan Miskin, pengacara Worldstars – Road to Hollywood bersama Vanessa Chong.

PROGRAM realiti TV sememangnya menjadi pilihan penonton terutama di kalangan remaja apatah lagi bagi mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan industri seni tanah air.

Saban hari khalayak penonton kita dihidangkan dengan bermacam-macam program realiti TV terutama membabitkan bidang nyanyian yang berminat mencungkil bakat sebagai penyanyi.

Begitu pun kini penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) berpeluang menyaksikan satu-satunya program realiti TV terbaru yang menampilkan konsep berbeza berbanding program sama yang sedia ada iaitu Worldstars – Road To Hollywood.

Realitinya Worldstars – Road To Hollywood adalah program yang cuba mencungkil bakat tempatan yang terpendam membabitkan lima kategori sekali gus dalam bidang seni persembahan merangkumi vokal, tarian, lakonan, peragaan dan permainan alat muzik.

Worldstars – Road To Hollywood sudah disiarkan setiap Selasa, sejak 17 Mac lalu, jam 10 malam menerusi TV2 sebanyak 13 episod.

Siarannya menampilkan kemunculan gandingan pengacara pelakon terkenal Jehan Miskin dan Vanessa Chong.

Program Worldstars – Road To Hollywood bermula dengan mengikuti perkembangan dan persiapan pasukan Team Malaysia 2008 dalam pertandingan antarabangsa di Hollywood pada tahun lepas di pertandingan World Championship Of Performing Arts 2008 (WCOPA)

Terdapat empat segmen iaitu segmen pertama mengenai kategori Vokal dan diwakili Noryn Aziz dan Iqwal. Manakala menerusi segmen kedua iaitu peragaan yang diserikan dengan kemunculan dua model terkenal iaitu Tengku Azura dan Zeia.

Kemudiannya program yang disiarkan sepanjang satu jam ini diisi dengan segmen ketiga membabitkan permainan alat muzik yang diwakili oleh pemuzik dari Istana Budaya sebelum menyusul segmen terakhir membabitkan kategori tarian dan diwakili oleh penari hebat dari Istana Budaya.

Program Worldstar-Road to Hollywood dilancarkan secara rasmi pada 10 Februari lalu oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada waktu itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Untuk mengetahui siapakah peserta yang berjaya melayakkan diri ke peringkat yang seterusnya hingga menuju ke peringkat akhir yang bakal disiarkan pada 12 Mei 2009 kelak, jangan ketinggalan menyaksikan pencarian bakat baru bidang seni ini dengan menonton Worldstars – Road To Hollywood.

Berita Harian

Beralih Watak Komedi Ringan

8 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

MENDAPAT nasihat dan pandangan Kenny Loh untuk tampil bergaya pada kemuncak ABPBH 2008.

Tersenarai sebagai finalis ABPBH 2008 menyedarkan Aqasha pentingnya publisiti

HAMPIR sembilan tahun mengalihkan karier kepada dunia lakonan, Aqasha akur akan kekangan kreativiti kebanyakan penulis skrip drama membuatkan sebahagian aktor tersekat dalam kepompong stereotaip.

Disebabkan itu kata Aqasha, 26, kebelakangan ini dia mengalih karektor lakonannya kepada watak komedi ringan supaya kepelbagaian persembahannya dapat dikesan khalayak.

Katanya, penonton tempatan terlalu banyak disuap dengan drama yang menekan membuatkan dia mencari ruang untuk bernafas dan membebaskan diri daripada tekanan itu.

“Untuk melakukan perubahan memerlukan kerjasama semua termasuk penulis skrip dan pengarah. Naskhah yang baik perlukan waktu untuk disempurnakan. Saya belum berani untuk mencuba biarpun sudah ada idea untuk memberikan sesuatu kepada industri,” katanya.

Jujur kata Aqasha atau nama sebenarnya, Firdee Akassya Rosli, dia belum bersedia untuk menulis skrip biarpun dalam hatinya melonjak mahu mencurahkan apa yang bersarang di kepalanya di atas kertas.


AQASHA mahu melihat evolusi berlaku dalam gaya penulisan skrip drama tempatan.

“Saya sudah ada sinopsis cuma untuk melihatnya menjadi sebuah skrip yang baik, saya tidak tahu bila ia akan menjadi kenyataan.

“Mungkin ketika ini tumpuan saya lebih kepada lakonan namun saya banyak bertanya dengan mereka yang berpengalaman seperti Bront Palarae, Afdlin Shauki dan Jehan Miskin bagaimana penulisan skrip dilakukan,” katanya.

Pernah popular dengan lagu Cahaya Hati, Aqasha yang dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 mengakui terkejut apabila menatap namanya buat pertama kali membolosi senarai Top 5.

Berbanding finalis lain yang kerap mendapat tempat di dada akhbar dan majalah, nama Aqasha agak terpinggir malah kelibatnya hanya dapat ditonton di layar kaca menerusi drama yang dilakonkan.

“Mungkin peminat menyayangi dan menghargai membuatkan saya terharu kerana sokongan mereka meletakkan saya dalam senarai Top 5.

“Penghargaan juga wajar diberikan kepada Berita Harian kerana menganjurkan acara gemilang sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan kesungguhan insan seni,” katanya yang ditemui ketika sesi suai padan di Lord’s Tailor, Bangsar Shopping Complex, baru-baru ini.

Menurutnya, selama berlakon dia tidak terlalu memikirkan soal publisiti kerana tanggungjawab di lokasi menuntut sebahagian besar masanya.

Cuma kebelakangan ini, matanya seakan-akan terbuka akan penting peranan media untuk membawa kariernya ke depan.

“Dulu saya lebih selesa menyepi kerana tiada apa yang mahu dikongsi bersama peminat. Tapi saya kini sedar, publisiti perlu sebagai sumber interaksi antara saya dengan peminat. Saya menjadi semakin peka mengenai hal itu sekarang,” katanya.

Tampilkan sut Lord’s Tailor

KEMUNCAK ABPBH 2008 pada 12 April nanti di Arena Of Stars, Genting Highlands menyaksikan Aqasha bersama sembilan personaliti lain iaitu Mawi, AC Mizal, Aaron Aziz, Fizo Omar, Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Ashraf Muslim, Afdlin Shauki dan Rosyam Nor menggayakan sut sentuhan Lord’s Tailor.

Kerjasama untuk kali ketiga menyemarakkan kemuncak ABPBH 2008 yang dilimpahi kerdipan bintang yang menghiasi persada seni.

Pengarah Pasaran dan Jualan Lord’s Tailor, Loh Lee Lee berkata, mereka teruja menyumbang kepakaran untuk menjadikan ABPBH 2008 sebagai acara gemilang yang dilimpahi aura glamour dan elegan.

Andai tahun lalu, sentuhan mereka banyak bermain dengan warna namun pada ABPBH 2008, rekaan yang diilhamkan pereka tetapnya, Kenny Loh lebih serasi dengan gaya klasik.

“Kali ini kami membawa pembaharuan dengan menampilkan sut dalam rona gelap namun diberi potongan moden untuk membangkitkan perbezaan daripada rekaan yang pernah dihasilkan,” katanya.

Menyesuaikan dengan songket, penggunaan fabrik baldu untuk sut kata Lee Lee, memberikan gaya kelas dan tersendiri bertepatan dengan acara yang menjulang nama popular di negara ini.

“Dalam hal ini potongan memainkan peranan penting untuk mengimbangi gaya Aqasha, namun keselesaan tetap diberi keutamaan. Jika tidak Aqsaha akan nampak kaku kerana potongan badannya yang lebar di bahagian atas,” katanya.

Berita Harian

Aida Tubuhkan CintaKasih

6 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Masih tetap berlakon walaupun sudah bergelar penerbit

SELEPAS 17 tahun bergelumang dalam dunia seni, akhirnya Aida Aris dengan berbekalkan minat yang mendalam, berjaya menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri diberi nama CintaKasih Sdn Bhd.

Ditubuhkan pada tahun 2006 menggunakan duit simpanannya, CintaKasih kini sudah menerbitkan dua telefilem iaitu Suram Pengantin arahan Fairuz Loy dan Tercipta Untukku diarahkan oleh Ahmad Idham.

“Syarikat penerbitan ini ditubuhkan atas inisiatif saya sendiri dan turut mendapat kerjasama daripada rakan kongsi, Zana. Zul juga turut berminat dan sama-sama berkongsi pengalaman dan keuntungan dalam syarikat ini,” kata Aida ketika ditemui di majlis pelancaran drama Matahari di Restoran Kunang-Kunang di Gombak, baru-baru ini.

Aida dan Zul dari kumpulan Handy Black memang sering dilihat bersama. Malahan sejak berpisah dengan Bob Azrai, Zul dianggap sebagai teman lelaki Aida dan hubungan mereka sehingga kini sudah berlarutan selama tiga tahun.

Begitupun, Aida enggan mengulas mengenai penghujung hubungan mereka dengan alasan kedua-duanya terlalu sibuk terhadap kerjaya seni masing-masing.

Dalam pada itu, mengulas lanjut penubuhan CintaKasih Sdn Bhd, Aida berkata, keinginannya itu hadir tanpa diduga walaupun sudah lebih satu dekad menceburi bidang lakonan.

“Ketika ini, saya yakin lagi untuk menerbitkan filem. Biarlah saya kumpul pengalaman dulu dan menimba ilmu. Semuanya datang secara kebetulan. Saya pun belum bersedia nak pikul tanggungjawab sebagai pengarah. Jauh lagi perjalanan saya.

“Dunia lakonan tetap menjadi keutamaan saya. Tiada sebab untuk saya tinggalkan bidang ini,” katanya

Sementara itu, dalam drama Matahari arahan Feroz Kadir dan diterbitkan Pena Creative Sdn Bhd milik Ziela Jalil, Aida memegang peranan sebagai Arisa iaitu kakak kepada Ariana lakonan Lisdawati.

“Dalam drama ini, saya berdepan dengan konflik apabila dirogol bapa tiri. Arisa mempunyai kekasih yang bakal dinikahinya. Malam pertama selepas berkahwin, Arisa tak sanggup hidup dalam penipuan dan berterus terang kepada suaminya hingga dia diceraikan,” katanya.

Matahari disiarkan menerusi slot Akasia setiap Isnin hingga Khamis, 6.30 petang menggantikan siri Spa Q sejak 30 Mac lalu. Drama ini mengisahkan kisah seorang wanita yang memburu cinta sejati angkara kecundang dalam cinta pertama.

Melihat kepada penceritaan jalan cerita drama ini ia mirip kisah drama Thailand berjudul E’Pring yang pernah disiarkan di Astro.

Penulis skripnya, Jumal Yunus melihat persamaan yang terjadi adalah secara kebetulan. Katanya, sewaktu sinopsis cerita ini ditunjukkan, Ziela Jalil sendiri menyangkakan ia hampir menyamai E’Pring.

“Kali pertama saya nak buat skrip ini, saya gambarkan mengenai konsep seorang perempuan yang bertemu dengan ramai lelaki dalam hidupnya. Hakikatnya kecenderungan saya menulis skrip ini tidak langsung ada kaitan dengan E’Pring,” jelasnya. Bagi pengarahnya, Feroz Khan, dia melihat Matahari sebagai naskhah yang unik dan mempunyai plot cerita menarik. Disiarkan dalam 44 episod, baru 12 episod saja disiapkan dan selebihnya masih dalam pembikinan. Selain Lisdawati dan Aida Aris, Matahari turut dibintangi Fauzi Nawawi, Fahrin Ahmad, Hamidah Wahab, Shukery Hashim, Arash Mohd, Iqram Dinzly, Jehan Miskin, Erry Putra, Ako Mustapha, Fizo Omar, Sabrina Ali dan Noorkhiriah.

Berita Harian

Info TV: Drama Bersiri Terbaik Daripada TV3 Bulan Ini

5 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

NORKHIRIAH antara pelakon utama drama bersiri Matahari yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3.

PENGGEMAR drama bersiri tempatan pastinya tidak sabar untuk mengikuti cerita terbaru yang bakal mengisi tiga slot utama di TV3 iaitu Lagenda, Akasia dan Sinetron.

Ketiga-tiganya menyediakan drama menarik dengan pelakon hebat serta jalan cerita yang pastinya mengasyikkan khusus untuk tontonan penonton TV3. Ketiga-tiga drama tersebut adalah Julia Juli untuk slot Lagenda, Matahari dalam slot Akasia dan drama bersiri Indonesia, Upik Abu & Laura yang bakal disiarkan dalam slot Sinetron.

Julia Juli yang diterbitkan oleh Tenview Sdn Bhd. ini diarahkan oleh pengarah yang tidak asing lagi iaitu Adam Hamid dan sudah menemui penonton mulai 3 Mac lalu. Siri 20 episod ini disiarkan setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang. Drama komedi romantik ini membariskan pelakon handalan tanah air seperti Dynas, Nik Safiyah, Zed Zaidi, Danny, Abby Abadi, Rahim Jelani, Syawal AF, Aqasha dan Imuda. Apa yang menarik drama ini turut mengetengahkan penyanyi popular Misha Omar.

Julia Juli adalah adaptasi dari sebuah cerita mitos bertajuk Jula Juli Bintang Tiga. Ia diolah semula menjadi drama bersiri sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Drama ini memberi tumpuan kepada tiga beradik yang berasal dari dunia kayangan iaitu Jula, Juli dan Julu. Juli, kakak sulung taksub terhadap fesyen. Satu hari, setelah mengetahui dirinya akan dikahwinkan dengan Putera Adika yang tidak disukai, dia lari turun ke bumi dan terjumpa dengan Arif, seorang lelaki kaya. Arif yang terpikat dengan kecantikan Juli telah mencuri kalung identitinya dari dunia kayangan yang menyebabkan Juli lupa akan asal usulnya.

Slot Akasia pula menyiarkan drama bersiri Matahari bagi menggantikan Spa Q 2. Siri 44 episod ini bakal menemui penonton mulai 30 Mac. Drama ini diterbitkan oleh Pena Kreatif Sdn. Bhd dan hasil kerja dari pengarah berpengalaman Mohd Feroz Abdul Kadir Saheb. Ia membariskan pelakon seperti Nisdawati, Fahrin Ahmad, Aida Aris, Fauzi Nawawi, Hamidah Wahab, Syukery Hashim, Arash Mohd, Iqram Dinzly, Jehan Miskin, Erry Putra, Ako Mustapha, Fizo Omar, Sabrina Ali dan Noorkhiriah.

Drama Matahari mengisahkan seorang wanita yang terus memburu cinta sejati angkara kecundang dalam cinta pertama. Kisah tragis Matahari, seorang wanita kampung naif yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan musibah hidup dan ini telah menukarkannya menjadi wanita penuh keterampilan. Dengan kekuatan dan kepandaian yang ada pada dirinya, pelbagai tipu muslihat dirancang bagi memenuhi keinginan diri. Apakah kesudahan kisah sendu Matahari ini?

Slot Sinetron pula mengetengahkan siri Indonesia Upik Abu & Laura menggantikan Jelita dan bakal disiarkan pada 30 Mac ini. Siri ini mempunyai 103 episod dan mengetengahkan pelakon popular Indonesia seperti Alyssa Soebandono, Cinta Laura dan penyanyi dan pelakon terkenal, Irwansyah.

Siri ini mengisahkan permusuhan antara Opie dan Laura, dua orang gadis yang datang dari dua dunia dan latar belakang yang berbeza tetapi kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk hidup. Opie seorang gadis miskin tetapi mempunyai hati yang baik. Dia berusaha untuk mencari tempat berlindung untuk dirinya dan adik-beradik angkatnya selepas diusir dari rumah mereka yang bakal dibangunkan sebagai pusat membeli-belah. Manakala, Laura pula seorang anak manja dari keluarga kaya yang telah ditarik keistimewaannya oleh ayahnya untuk mengajar dia tentang erti kehidupan dengan memaksa dia menjalinkan persahabatan dengan Opie.

Berita Harian

Tuah Mentua VS Menantu

2 Mar

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

BERSAMA mereka yang membantu melonjakkan rating drama bersiri, Mertua vs Menantu.

Drama bersiri kekalkan populariti Erra selepas mendapat rating tinggi

KERAGUAN yang bersarang di hatinya barangkali sudah berlalu, sebaliknya bakal ibu jelita ini semakin yakin percaturan untuk memulakan langkah sebagai pelakon drama membuahkan hasil.

Mula mengecap populariti sejak membintangi Sembilu, 16 tahun lalu, nama Erra lebih sinonim di layar perak. Dengan lebih 30 filem dibintangi sepanjang tempoh itu, pelakon kelahiran Sungai Choh, Rawang ini menghuni selesa kerusi yang tidak pernah goyah.

Keampuhan Erra di layar perak melonjakkan dirinya hingga dilabel sebagai primadona filem Melayu baru. Di sebalik ruang selesa itu, Erra memberanikan diri menempuh cabaran baru apabila menandatangani kontrak sebagai Wajah Eksklusif Astro Megadrama bersama Aaron Aziz, lebih setahun lalu.

Percaturan berani itu membuahkan hasil positif apabila drama bersiri pertama dibintanginya, Mertua Vs Menantu mencatat rating tertinggi sejak disiarkan Astro Prima, 22 Oktober lalu.

“Memang dulu Erra ingin berlakon drama, cuma tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Erra bimbang kerana jika tersalah pilih akan memberikan impak kepada karier lakonan Erra.


KEKAL jelita biarpun sedang sarat hamil.

“Tawaran daripada Astro adalah permulaan yang baik kerana Erra tidak terus menerjah pasaran massa apabila membintangi drama. Alhamdulillah kerana keberanian Erra mencatat kejayaan,” katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran meraikan kejayaan Mertua Vs Menantu di Seri Kembangan, baru-baru ini.

Tambah pelakon yang baru meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-35 pada 9 Februari lalu, dia mula terfikir untuk mencari cabaran baru selepas berbelas tahun menumpahkan keringat di layar lebar.

Melihat pelakon lain mampu meraih kejayaan apabila mencuba dua medium lakonan berbeza, Erra turut terfikir untuk mempertaruhkan nasib di layar kaca.

“Erra melihat tawaran diberikan sebagai ruang yang baik untuk memperluaskan pengalaman Erra sebagai pelakon. Jadi ia tidak pernah menimbulkan masalah besar kepada Erra biarpun percubaan ini memberikan pengalaman berbeza,” katanya yang pernah membintangi telefilem, Faridah & Joe sebelum ke lokasi Mertua Vs Menantu.

Drama bersiri terbitan MIG arahan Feroz Kader itu turut dibintangi Aqasha, Rozie Othman, Jehan Miskin, Raja Farah, Almy Nadia dan Sheila Mambo.

Berada di bawah naungan Astro, Erra berkata, dia tetap diberi kebebasan untuk memilih produksi yang ingin disertainya.

“Biasanya mereka memberikan Erra beberapa skrip untuk dipilih. Terpulang kepada Erra untuk memilih watak yang ditawarkan kerana mereka mahukan keselesaan apabila Erra berada di lokasi.

“Ketika membuat keputusan untuk berlakon dalam drama bersiri ini, Erra turut menerima tawaran lain. Bagaimanapun, Erra memilih Mertua Vs Menantu kerana watak serta jalan ceritanya menarik.

“Lebih menyeronokkan Erra tidak perlu bersolek tebal. Sudah berbelas tahun asyik berlakon cantik, penampilan sebagai Nurul Ain lebih ringkas dan santai. Lagipun sejak berbadan dua, Erra sudah malas berdandan dan alhamdulillah perhitungan Erra menjadi,” katanya yang akan kembali untuk musim kedua drama bersiri itu Mei depan.

Mula berehat

PERNAH enam kali merangkul gelaran Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), Erra turut menyatakan rasa bangga kerana masih mendapat tempat di hati khalayak.

Erra kembali dicalonkan untuk kategori itu, menerima saingan daripada nama popular lain seperti Vanidah Imran, Maya Karin, Sharifah Amani dan Liyana Jasmay. Biarpun gagal membolosi senarai Top 5 untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular, Erra tidak pernah melihat perkara itu sebagai satu masalah besar.

Apa yang penting katanya, membina kepercayaan peminat dan ia berhasil apabila siri Mertua Vs Menantu diterima baik khalayak.

Kehangatan siri itu membuatkan Erra tidak dapat berehat lama selepas melahirkan bayi sulung hasil perkahwinannya dengan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, Mac ini.

“Selesai berpantang, Erra akan segera kembali ke lokasi kerana sudah ada beberapa tawaran menanti. Mungkin kerana sudah terbiasa sibuk, Erra sendiri mula terasa kehilangan apabila doktor menasihatkan supaya berehat di rumah sementara menanti detik kelahiran.

“Erra tiada masalah untuk kembali bekerja. Mungkin sudah terbiasa dengan jadual yang sibuk membuatkan Erra tidak betah jika tidak melakukan sesuatu.

“Cuma yang merisaukan Erra, dapatkah badan kembali ke bentuk asal dalam tempoh singkat itu? Itu yang mendebarkan Erra,” katanya.

Ditanya kemungkinan turut membawa bayinya ke layar kaca, apatah lagi untuk musim terbaru watak Nurul Ain dikembangkan sebagai ibu, Erra berkata, perkara itu masih belum dibincangkan.

“Semuanya mesti dilakukan atas persetujuan suami. Tetapi rasanya tidak kerana ketika itu bayi masih terlalu kecil. Erra sendiri tidak sampai hati untuk membenarkan bayi berlakon sama kerana faham suasana di lokasi yang sibuk dan kalut,” katanya.

Rakam album Mei

TETAP jelita meskipun beratnya kini meningkat sehingga 21 kilogram, Erra berkata, Mei ini juga menambahkan kekalutan apabila kembali meneruskan rakaman album yang terpaksa dibekukan dulu selepas dia disahkan mengandung.

Hampir setahun tertunda, Erra berkata, dia bersama syarikat rakamannya, Suria Records (SRC) baru berbincang untuk menentukan hala tuju apabila kembali muncul nanti. Apa yang pasti, katanya yang pernah merakamkan enam album sebelum ini, produksi terbaru itu akan menjelmakan Erra Fazira yang baru sebagai seorang penyanyi.

“Awalnya, produksi album ini lebih terarah kepada irama rock namun selepas perbincangan semula kami bersetuju melakukan sedikit rombakan. Itu yang membuatkan Erra teruja kerana nampaknya ketika berpantang, Erra sudah mempunyai beberapa misi yang perlu dilunaskan,” kata Erra cuba merahsiakan haluan baru cuba dibawa dalam album yang ditangani penerbit berpengalaman seperti Sharon Paul, Mohariz Yaakop, Along Exists dan Helen Yap.

Album sulung bersama SRC itu dijangka berada di pasaran menjelang Ramadan nanti.

Berita Harian