Archive | Jeslina Hashim RSS feed for this section

Spa Bertaraf Lima Bintang

3 Jun

Oleh Nur Azimah Zulkafli

SEIRING dengan arus kemajuan dan modenisasi, wanita juga tidak ketinggalan untuk bersaing dalam pelbagai bidang, baik dari segi pendidikan mahupun kerjaya. Namun, kesibukan harian dan tuntutan hidup sering kali membuat kita terlupa akan keperluan terhadap penjagaan diri dan kesihatan.

Memenuhi keperluan dan tuntutan berkenaan, banyak pusat kecantikan dan penjagaan diri muncul sejak akhir-akhir ini. Kepelbagaian servis yang ditawarkan seperti penjagaan kulit, pelangsingan badan, urutan dan spa membolehkan para wanita memanjakan diri selepas melalui minggu yang sibuk.

Cres, satu nama yang tidak asing lagi dalam bidang penjagaan diri dan kecantikan, mempunyai 13 cawangan spa di sekitar Lembah Kelang yang menyediakan rawatan yang komprehensif dan berteknologi tinggi untuk wanita yang peka terhadap kecantikan dan kesihatan.

Keistimewaan salon kecantikan ini berbanding salon lain ialah servis penjagaan kecantikan dan kesihatan secara keseluruhan yang meliputi aspek fizikal dan kerohanian. Para pelanggan Cres akan dapat menikmati semua manfaat penjagaan diri di bawah satu bumbung.

Konsep satu hentian diamalkan oleh Cres Wellness yang menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada ahli kecantikan profesional, pakar antipenuaan, pakar nutrisi, pakar terapi kesihatan badan dan pakar urutan. Menjanjikan pengalaman spa bertaraf lima bintang, semua staf Cres Wellness mempunyai kepakaran untuk menentukan jenis rawatan yang bersesuaian dengan keperluan dan gaya hidup individu.

Bagi wanita yang ingin melangsingkan badan atau mahu mengekalkan bentuk badan sedia ada, pakar terapi di Cres Slimming boleh merangka satu program pelangsingan yang khusus untuk anda. Tambahan pula, pendekatan dua cabang dari Cres yang turut mengambil berat akan soal nutrisi selain daripada program pelangsingan, membolehkan anda mendapat khidmat nasihat pakar tentang diet, nutrisi penting dan cara menjaga kesihatan.

Turut menitik beratkan aspek kerohanian melalui Cres Moment yang akan memberikan anda pengalaman mengasyikkan dengan rawatan tekanan titik tertentu badan yang menggunakan teknik istimewa untuk mengaktifkan mekanisme pemulihan semula jadi.

Pengasas dan Pengerusi Cres Wellness, Chew Wai Ming berkata gaya hidup wanita moden sentiasa berubah dan terdapat satu keperluan untuk mereka mengimbangi kerjaya dan kehidupan sosial, di samping tampak cantik setiap masa.

“Cres Wellness membolehkan mereka mendapat servis kecantikan, belaian dan pelangsingan di bawah satu bumbung.

“Adalah satu kepentingan bagi seorang wanita untuk mendapatkan pedekatan holistik dalam penjagaan diri. Badan dan minda perlu dibelai untuk mendapatkan manfaat sebenar daripada rawatan yang diterima.” katanya.

Untuk memberi gambaran tentang betapa popular rawatan spa kini, Cres Wellness telah berkembang sehingga sepuluh cawangan dalam masa empat tahun sahaja. Baru-baru ini, satu majlis telah diadakan untuk meraikan pembukaan salon kecantikan Cres Wellness yang ke-13 di The Gardens Midvalley.

Majlis yang dipengerusikan oleh Low Ngai Yuen itu turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Camelia, serta dihadiri oleh selebriti Jeslina Hashim, Atilia, Syafinaz, Ida Nerina, Corrine Adrienne dan Ratu Astro 2007 Joanne Lim.

Powered by Berita Harian

Sunday Nite Live With Wings

15 May

Awie (right) and Wings perform at Planet Hollywood on Sunday and March 25. They will be joined by Mel (left) and Mus.
Awie (right) and Wings perform at Planet Hollywood on Sunday and March 25. They will be joined by Mel (left) and Mus.

THE Sunday Nite Live 2008 series will present Wings at Planet Hollywood on Sunday and March 25.

The 10.30pm showcase is in conjunction with the band’s 21st anniversary.

It will feature Awie on vocals, Joe (guitar), Eddie (bass) and Black (drums).

The band will perform hits such as Sejati, Bernafas Dalam Lumpur, Misteri Mimpi Shakila, Taman Rashidah Utama, Di Ambang Wati, Bazooka Penaka, Inspirasi Taming Sari, Jerangkung Dalam Almari and Intan Ku Kesepian.

It will be accompanied by other rock legends including Sham, Jojet, Mel, Mus, Hattan, Ito, Hillary and Kit.

The band members have collaborated with various established solo artistes and bands, such as M. Nasir and Search.

Awie and Joe have also acted in Malay movies.

Awie has appeared in Sembilu (alongside Erra Fazira and Ziana Zain), Iskandar (with Datuk Jalaluddin Hassan and Jeslina Hashim), Baik Punya Cilok (with Afdlin Shauki, Hans Isaac and A.C. Mizal), Sumolah (with Afdlin and Patrick Teoh), Diva Popular (with Anita Sarawak, Ezlynn and Umie Aida), and most recently, Cinta U-Turn (with Fasha Sandha and Abu Bakar Omar).

Joe’s movie credentials include Putera, a Malaysian version of Eddie Murphy’s comedy Coming To America.

Planet Hollywood showcases Malaysia’s most prominent artistes in various events, most notably the Sunday Night Live series.

Artistes who have performed at the bistro include Dayang Nurfaizah, Siti Sarah Raisuddin, M. Nasir, Ning Baizura, VE, Search, Sheila Majid, Jaclyn Victor, Lefthanded and Misha Omar.

Entry is RM50, inclusive of one drink. For details, call 03-2144-6602.

 

Powered by New Straits Times

Aroma Feminin Terbaru Cartier

29 Oct

SEMUA pasti setuju jika haruman yang penuh feminin dikatakan paling ideal untuk wanita.

Ia bakal menyerlahkan keperibadian anda yang sedia menawan.

Kewanitaan itu juga sebenarnya yang menjadi daya penarik seorang wanita. Simbol kelembutan yang menguak setiap pandangan.

Haruman yang penuh feminin sememangnya sering diinspirasi oleh pembuat minyak wangi.

Cartier tidak ketinggalan dan mempersembahkan Delices de Cartier.

Tentu saja terdapat pelbagai aroma feminin. Delices de Cartier adalah minyak wangi pelbagai aroma yang segar, mewah dan penuh feminin.

Majlis pelancaran produk wangian terbaru itu diadakan baru-baru oleh pengedar eksekutifnya Valiram Group.

Pada majlis yang sama, Valiram Group membuat pengumuman tentang hak pengedaran minyak wangi label mewah itu ke pusat membeli-belah dan butik bebas cukai.

Usaha sama bersama Cartier itu adalah satu lagi usaha Valiram Group mengukuhkan komitmen mereka dalam memasarkan produk mewah bermutu tinggi kepada pengguna.

Valiram Group turut memasarkan eau de Cartier, Must De Cartier, Must d Cartier Pour Homme, Declaration, So Pretty de Cartier, Pasha de Cartier dan Le Baiser du Dragon.

Majlis ala koktel itu turut diserikan dengan kehadiran banyak selebriti dan artis terkenal tempatan seperti Syafinaz Selamat, Jeslina Hashim, Zizan Nin dan Chelsea Cheng yang masing-masing tertawan dengan aroma penuh feminin itu.

Turut hadir adalah orang kuat Valiram dan Cartier, Ashvin Valiram dan Olivier Romang yang memperkenalkan usaha sama dan melancarkan wangian tersebut.

* Nuansa mewah

Label Cartier memang terkenal sebagai jenama barang kemas mewah.

Tradisi itu berterusan dalam haruman terbaru tersebut.

Delices de Cartier sesuai untuk wanita moden hari ini yang ingin ceria tetapi tetap ingin kelihatan feminin dan mewah.

Aromanya berbaur antara haruman manis buah-buahan dan feminin flora.

Haruman floral dan fruity menjadi perpaduan yang cukup mesra bagi sesiapa saja yang terhidu.

Ia juga paduan yang mengukuhkan daya feminin anda dengan sentuhan lebih mewah.

Aroma yang manis dan sofistikated itu disumbangkan oleh Morello cherry, bergamot dan pink pepper.

Tidak ketinggalan, haruman pelbagai jenis bunga melur, pink jasmine, white jasmine dan yellow jasmine.

Aroma mewah timbul lewat bahan amber, Tonka Bean dan sandalwood.

Ia adalah aroma untuk memanjakan diri lantaran harumannya yang terbau cukup mewah.

Dalam bekas kristal merah seperti sebiji buah yang masak ranum dan elegan, Delices de Cartier tampil menawan.

Teruja untuk merasakan kemewahan gaya feminin Delices de Cartier kunjungi Flying Emporium, Colours Fragrances, Dimensi Eksklusif di KLIA dan Golden Boutique. Ia juga terjual dalam MAS In-Flight Shopping.

Rangkaian minyak wangi tersebut terdiri daripada Parfum Delices de Cartier (30ml) dan EDT Delices de Cartier (100ml, 50ml, 30ml.) dari harga RM255.

Powered by Utusan Malaysia

Guru Vokal – Hazami, Syafinaz & Juliza Adlizan

28 Feb

Oleh ABD. AZIZ ITAR

Siapakah guru vokal yang paling hebat antara Juliza Adlizan, Hazami dan Syafinaz?.

TIGA guru vokal yang paling popular masa kini ialah Hazami, Syafinaz dan Juliza Adlizan. Dengan latar belakang mereka sebagai penyanyi di samping kelulusan dalam bidang vokal, nyatalah mereka bukan sahaja dikagumi sebagai penyanyi malah kemampuan mereka sebagai guru vokal tidak perlu dipertikaikan lagi.

Walaupun kehebatan mereka sebagai guru vokal jarang diperkatakan tetapi dalam diam, sebenarnya ramai di kalangan penyanyi di Malaysia berguru dengan mereka.

Siapa sangka Ning Baizura, Fazley, Camelia, Jeslina Hashim, Ezlynn dan Noreen adalah di antara penyanyi yang pernah mengikuti kelas vokal yang dikendalikan oleh tiga penyanyi ini di samping anak-anak remaja yang meminati bidang seni.

Dengan bayaran perkhidmatan yang ditentukan, guru-guru vokal glamor ini menaburkan bakti bagi membantu para pelajar mereka memantapkan suara untuk menjadi penyanyi yang dikagumi.

MEGA sempat bersua muka dengan tiga penyanyi itu untuk berkongsi kesibukan, pengalaman dan perancangan masa depan mereka dalam dua bidang tersebut iaitu sebagai guru vokal dan penyanyi popular.

Hazami jadi guru vokal pada umur 18 tahun

SEPULUH tahun lalu, Hazami mungkin tidak menyangka dia akan menjadikan bidang nyanyian sebagai kariernya, apatah lagi menjadi guru vokal.

Sejak dari kecil penyanyi berusia 31 tahun ini amat meminati dunia matematik dan fizik selain mempunyai ijazah dalam bidang Kejuruteraan Kreatif dari Brunel University, West London, United Kingdom (UK).

Bagaimanapun, minat dan kecenderungan kepada dunia seni suara menyebabkan Hazami melupakan ijazah yang dimilikinya itu.

“Semasa bersekolah dulu, saya cemerlang dalam mata pelajaran matematik dan fizik. Saya memang minat dengan dua subjek tersebut.

“Hinggakan sebelum tidur pada waktu malam saya akan belajar dan buat latihan matematik, kalau tidak saya susah hendak tidur.

“Pada masa yang sama, saya juga meminati muzik. Ketika itu abah saya sarankan supaya saya sambung belajar tetapi bukan dalam bidang muzik. Tetapi hari ini saya tidak sangka menjadi penyanyi,” kata Hazami mengimbas kenangan lamanya.

Menurut Hazami, dia sukar melupakan minatnya yang mendalam dalam bidang nyanyian meskipun mempunyai peluang kerja yang cerah dengan ijazah yang dimilikinya itu.

Bagi penyanyi bertubuh kecil ini, menyanyi banyak memberi kepuasan kepada dirinya selain mampu menjanjikan pulangan yang lumayan.

“Saya memang suka menyanyi. Dengan menyanyi saya dapat kurangkan tekanan. Setiap hari saya akan berlatih menyanyi di rumah selama enam jam.

“Selain sebagai hobi, cara itu juga dapat mempertingkatkan lagi mutu vokal saya. Sebagai penyanyi, saya kena berlatih menyanyi setiap hari,” ujar Hazami.

Di samping menyanyi, Hazami yang popular dengan lagu Kata percaya kebolehannya sebagai guru vokal juga mendapat perhatian seiring dengan kejayaannya sebagai penyanyi.

Katanya, kelas vokal yang diikutinya sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Penang Free, Pulau Pinang banyak membantunya sebagai penyanyi dan guru vokal.

“Saya memang tidak ada pendidikan formal dalam bidang vokal tetapi saya pernah mengikuti kelas vokal di sekolah itu selama lima tahun sejak umur saya 13 tahun. Daripada situlah saya mendapat pendidikan awal dalam bidang vokal,” katanya.

Apa yang membanggakan, sebelum bergelar penyanyi lagi, Hazami sudah mencurahkan kemahirannya sebagai guru vokal.

Artis Warner Music ini mula bergelar guru vokal ketika berusia 18 tahun dengan menjadikan bidang itu sebagai kerja sambilannya.

“Cuma baru sekarang saya jadikan guru vokal sebagai salah karier saya. Bagaimanapun, buat masa ini saya kendalikan kelas vokal di rumah saya.

“Dalam tempoh enam bulan dari sekarang, saya merancang untuk membuka sebuah kelas vokal. Saya akan berkongsi dengan penyanyi Dia Fadila yang mungkin turut menjadi tenaga pengajarnya termasuk lima pekerja lain,’’ ujarnya.

Kesibukan menyanyi menyebabkan Hazami terpaksa membahagi-bahagikan masanya untuk dua bidang yang diceburinya itu iaitu sebagai penyanyi dan guru vokal.

Lantaran itu, buat masa ini anak kelima daripada tujuh beradik ini hanya mampu mengambil jumlah pelajar yang terhad bagi mendapatkan bimbingannya.

“Saya bukan sahaja mengambil dua tiga pelajar pada satu masa tetapi saya juga tidak mengenakan bayaran yang tinggi untuk yuran pelajar saya.

Kesedaran

“Biasanya saya mengehadkan dua tiga pelajar untuk satu sesi kelas vokal selama dua jam. Saya rasa bayaran yang saya kenakan berpatutan dengan jumlah waktu pembelajaran yang saya sediakan.

“Saya takut kalau letak yuran yang tinggi pelajar saya tidak mampu hendak bayar. Lagipun kesedaran orang ramai untuk mengikuti kelas vokal belum tinggi.

“Ramai orang terutama penyanyi yang menganggap mengikuti kelas vokal tidak penting dan mereka berpuas hati dengan mutu vokal yang ada,” kata Hazami.

Selama menjadi guru vokal sepenuh masa sejak lima tahun kebelakangan ini Hazami telah memberi bimbingan vokal kepada ramai pelajar termasuklah beberapa penyanyi yang sudah menempa nama.

Antara penyanyi yang pernah mendapat bimbingan kelas vokal Hazami ialah Ning Baizura, Fazley, Bienda, Farahdhiya, Elly Mazlein, Fazli Malaysian Idol, Nikki dan Yani.

“Walaupun saya mudah ketawa dan ramai pelajar itu adalah kawan saya tetapi saya amat serius semasa mengajar. Sebab itulah ramai pelajar kata saya seorang cikgu yang garang,” ujarnya lagi sambil ketawa.

Penyanyi yang telah menghasilkan dua album berjudul Tekad, Redha, Tabah (2003) dan Kata (2005) ini mempelawa individu yang berminat untuk menyertai kelas vokalnya supaya melayari laman web http://www.hazami.com.my.

Pelbagai maklumat untuk menyertai kelas vokal itu disertakan menerusi laman web itu termasuklah bayaran dan jadual kelas vokal penyanyi tersebut.

Juliza contohi Michael Jackson

SEBAGAI penyanyi dan guru vokal profesional, Juliza Adlizan banyak mengambil contoh kejayaan penyanyi bertaraf antarabangsa untuk memantapkan kariernya.

Menurut ibu kepada Amzar Mustazly, 18, Nur Addin Arif, 10, dan Julia Afrina Batrisyia, 6, dia amat menekankan betapa pentingnya penyanyi mempelajari teknik menyanyi dengan betul.

Menurut Juliza, setiap penyanyi perlu mempunyai guru vokalnya sendiri bagi memastikan mutu vokal mereka sentiasa disenangi oleh para peminat.

“Bagi saya, setiap penyanyi kena ada guru vokal sepanjang karier mereka menjadi penyanyi. Saya dapat tahu penyanyi berpengalaman seperti Michael Jackson juga ada guru vokalnya sendiri.

“Sampai sekarang Michael Jackson belajar vokal. Guru vokal penting kerana mereka ini boleh dianggap sebagai reminder yang akan menegur dan memperbetulkan kesilapan nyanyian kita,” ujarnya.

Menurut Juliza, dia amat menekankan soal fokus terutama sewaktu mengendalikan kelas vokal.

Justeru, pemegang ijazah sarjana muda Muzik dan Persembahan Vocal dari Utah State University, Amerika Syarikat ini tidak mengambil ramai pelajar dalam sesebuah kelas vokal yang dikendalikannya.

“Biasanya ada dua pelajar sahaja dalam kelas vokal untuk dua jam dalam satu-satu sesi yang saya kendalikan.

“Saya tidak mengambil ramai pelajar dalam sesuatu sesi kerana mahu memberikan tumpuan kepada pelajar tersebut.

“Ini kerana proses pembelajaran teknik vokal secara tidak langsung memerlukan saya mengenali perangai dan kecenderungan serta bakat pelajar saya.

“Jadi, dengan adanya pelajar yang terhad saya dapat memberi lebih banyak tumpuan. Saya rasa cara ini lebih berkesan.

“Apatah lagi pelajar saya terdiri daripada kanak-kanak hinggalah kepada orang dewasa yang mempunyai perangai berbeza,” katanya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kuda Hitam ini menetapkan harga bayaran yang berbeza mengikut kategori usia para pelajarnya.

Juliza mengenakan bayaran RM200 untuk pelajar berusia 15 tahun bagi sesi kelas dua jam dan RM240 selama dua jam untuk pelajar berusia 15 tahun ke atas.

Pelajar Juliza bukan sahaja terdiri daripada kanak-kanak, orang dewasa tetapi meliputi juga golongan artis.

Selain itu, Juliza tidak menggunakan khidmat pembantu sebaliknya dia mengajar sendiri semua pelajar yang mengikuti kelas vokal sejak tahun 1995.

Antara artis yang pernah mendapatkan khidmat kelas vokal Juliza ialah Datin Seri Tiara Jacquelina, Camelia, Deana Yusof, Anis Suraya, Amir (Ruffedge), Adam (BY’U), Jeslina Hashim, Azura Zainal dan ramai lagi.

Juliza yang mengendalikan kelas vokal menerusi syarikatnya, Tasmeen Entertainment Network, mengadakan dua sesi kelasnya dua kali sehari iaitu dari pukul 11 pagi hingga 1 petang dan dari pukul 4 petang hingga 6 petang.

Katanya, kelas vokal amat penting untuk diikuti oleh penyanyi bagi membolehkan mereka tampil dengan gaya suara yang tersendiri.

“Dengan mengikuti kelas vokal, seseorang penyanyi itu dapat mengetahui kelemahan dan kelebihan mutu vokal mereka.

“Sebagai tenaga pengajar pula saya dapat mengetahui potensi mutu suara mereka. Apabila semua faktor itu dapat dikenal pasti ia akan memudahkan kita melahirkan penyanyi yang mempunyai keunikan suara masing-masing.

“Saya kata begitu berdasarkan pengalaman saya sebagai penyanyi selama 22 tahun,” ujarnya dengan penuh yakin.

Syafinaz belajar vokal dengan Siti Chairani

WALAUPUN mempunyai mutu suara yang baik dan bergelar guru vokal, tetapi Syafinaz masih belum puas dengan kebolehan yang dimilikinya itu.

Sebaliknya, penyanyi berusia 33 tahun ini tidak jemu untuk terus mempelajari teknik-teknik vokal daripada guru vokal yang lebih berpengalaman daripadanya.

Pensyarah Fakulti Seni Persembahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, sehingga kini dia masih mempelajari teknik vokal dengan guru vokal terkenal dari Indonesia, Siti Chairani Proehoeman.

“Biasanya setiap kali Siti Chairani berkunjung ke Kuala Lumpur saya akan berjumpanya untuk mempelajari teknik-teknik vokal dengannya.

“Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari. Bagi saya, perlu ada orang (guru vokal) yang sentiasa mendengar dan membantu mempertingkatkan lagi mutu vokal saya.

“Dengan adanya guru vokal dia akan menegur apabila saya menyanyi dan memperbetulkan cara nyanyian saya supaya menjadi lebih baik,” katanya.

Antarabangsa

Selain Siti Chairani, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Ingin Bersamamu ini juga tidak pernah melepaskan peluang mengikuti kelas vokal yang diadakan oleh penyanyi ataupun guru vokal antarabangsa setiap kali ia diadakan di Malaysia.

“Saya biasa mengikuti program Master Class yang diadakan oleh guru vokal dari luar negara. Selain itu, saya juga pernah mengikuti kelas vokal yang diadakan di Istana Budaya,” ujarnya.

Berbekalkan ijazah Sarjana Muda Muzik dari UiTM, Syafinaz mendapat kepercayaan untuk mengendalikan kelas vokal di beberapa institusi pengajian tinggi di negara ini.

Selain mengajar kelas vokal di UiTM, penyanyi bergelar pensyarah vokal ini juga mencurahkan ilmunya di Jabatan Muzik, Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dan kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia.

“Saya mula menjadi guru vokal sejak 10 tahun lalu iaitu selepas menerima ijazah dalam bidang muzik dari UiTM, Shah Alam.

“Setakat ini saya mempunyai ratusan pelajar yang berusia dari tujuh tahun hinggalah orang dewasa. Malah beberapa penyanyi juga pernah belajar teknik vokal dengan saya, antaranya Ezlynn, Tiara Jacquelina, Noreen, Rozita Ezlynn dan ramai lagi,” katanya yang setiap hari berkejar ke sana ke mari untuk memenuhi kelas vokal yang dikendalikannya itu.

Setiap Isnin Syafinaz akan mengajar di UiTM manakala pada Khamis dan Jumaat di ASK. Sementara pada hari Selasa, Jumaat serta Ahad masanya diperuntukkan untuk kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia.

Kesibukan itu tidak membebankan Syafinaz. Sebaliknya dia gembira kerana dapat menyumbang bakti demi kemajuan bidang seni suara tempatan.

“Kalau hendak diikutkan memanglah penat terkejar ke sana ke mari tetapi saya rasa puas dengan kerjaya saya ini.

“Banyak cabaran mendidik orang untuk menjadi penyanyi kerana kebanyakan pelajar saya tidak faham dengan konsep pembelajaran teknik vokal.

“Ini kerana subjek ini kita tidak nampak instrumennya dan ia hanya berbekalkan kepada suara, sistem pernafasan dan anatomi badan,” jelasnya.

Kesibukannya sebagai penyanyi dan pensyarah vokal menyebabkan Syafinaz tidak mempunyai banyak masa untuk memikirkan soal jodoh.

“Kalau hendak diikutkan, jangankan hendak fikir fasal orang lain (teman hidup), hendak fikir fasal diri sendiri pun tidak ada masa,” katanya sambil ketawa.

Dalam kesibukan mengajar, Syafinaz tidak pernah melupakan bidang nyanyian yang amat diminatinya.

Justeru, setiap kali menerima undangan mengadakan persembahan Syafinaz jarang menghampakan permintaan pihak penganjur.

“Saya sudah mula menyanyi sejak umur sembilan tahun dan diberi peluang merakamkan album pertama ketika berusia 16 tahun menerusi album berjudul Syafinaz dan album kedua berjudul Ingin Bersamamu.

“Selepas 24 tahun menyanyi, bukan mudah untuk saya melupakan bidang yang amat saya minati. Saya merancang untuk merakamkan album terbaru selepas lima tahun tidak buat album baru,” katanya yang muncul menerusi album ketiga Syyy!… pada tahun 2000.

Powered by Utusan Malaysia

Perkahwinan Campur Orang Melayu Wajar Dipantau

22 Jun

Saudara Pengarang,
SATU fenomena yang semakin menular ialah bertambahnya anak-anak gadis Melayu memilih suami bukan Melayu.

Dengan adanya Internet, pergi belajar di luar negara serta kemasukan warga asing ke negara ini, sama ada sebagai pekerja sah atau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan penuntut kolej dan universiti, maka semakin ramailah wanita Melayu berkenalan dan akhirnya berkahwin dengan orang asing.

Ada pelbagai sebab gadis Melayu memilih suami bukan Melayu. Ada yang tidak sukakan bangsa sendiri kerana satu pengalaman pahit; atau jejaka Melayu tidak tampan dan lawa, tidak punya wang atau tidak secanggih seperti jejaka asing.

Atau ini dilakukan kerana mengikuti kecenderungan masa kini. Bagi mereka, Islam atau budaya Melayu adalah soal picisan sahaja. Pakai baju Melayu semasa naik pelamin sudah cukup.

Mungkin ada yang berbuat demikian kerana ia merupakan satu trend apatah lagi kalau gadis-gadis ini sendiri merupakan anak pasangan campuran. Pakar-pakar sosiologi Melayu patut membuat satu kajian mengenai hal ini demi demografi dan sosio-politik Melayu pada masa akan datang.

Soalnya berapa peratuskah pasangan kahwin campur melibatkan gadis-gadis Melayu ini boleh menghayati Melayu dan Islam seperti yang dituntut oleh agama suci kita.

Di ruangan Agama Utusan Malaysia (21 Jun 2005), kita amat bangga membaca kisah bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kadir Talib dan isterinya Sohair Abdel Moneim, wanita Mesir keturunan Turki.

Abdul Kadir berjaya membentuk isterinya hidup seperti orang Melayu iaitu bertutur bahasa Melayu, memakai baju kurung dan memasak makanan Melayu. Mereka dikurniakan enam orang anak yang diberikan nama-nama Islam yang baik-baik.

Di akhbar kita sering terbaca cerita wanita Melayu yang kahwin bangsa asing memberikan nama yang langsung tidak berciri keIslaman. Malah ada orang Melayu sendiri yang memberikan nama yang bukan-bukan untuk anak-anak mereka.

Kebetulan pula di ruangan Hiburan Utusan Malaysia hari yang sama ada cerita mengenai ahli-ahli kumpulan Elite: Azza, Watie, Sasha dan Hana. Hana dan Sasha memilih jejaka Inggeris, tetapi perkahwinan Sasha tidak kekal.

Hana dan suaminya Adam Abdullah dikurniakan dua anak, Aaron Danial, 4, dan Alayna Daniella, 3 tahun.

Sebelum ini pelakon Jeslina Hashim memilih jejaka New Zealand sebagai suami.

Demi penghayatan Islam sampai akhir zaman di negara kita, saya berpendapat pihak berkuasa patut memantau semua perkahwinan campur, tidak kira lelaki Melayu atau gadis Melayu.

Pasangan-pasangan sedemikian perlu menjalani kursus yang lebih intensif sebab kita mahu setiap orang yang masuk Islam bukan sahaja mencintai Islam dan umat Islam, malah menjadi pejuang Islam dan akan akan mempertahankan Islam apabila Islam dicabar atau dihina.

Walaupun negara kita mengamalkan dasar keterbukaan namun negara ini adalah negara Islam. Ini bukan soal hak asasi manusia. Ini soal fardu kifayah. Kita mesti ambil tahu apa yang dilakukan oleh sebangsa seagama kita.

Kita tidak mahu trend ini akhir nya memperlekehkan Islam atau melahirkan zuriat Islam yang amat sekular seperti di Indonesia di mana di dalam sesuatu keluarga terdapat agama Islam, Kristian, Kebatinan dan sebagainya.

Di Amerika Syarikat pihak imigresen sentiasa memantau rakyat asing yang mengahwini wanita Amerika kerana ramai di antaranya kahwin semata-mata untuk mendapatkan hak penduduk tetap seperti dalam filem Green Card.

Kita perlu melaksanakan dasar yang serupa, demi kemuliaan agama Islam dan juga kedudukan sosio-ekonomi dan demografi orang Melayu. – BAKI MINUDDIN, Ampang, Selangor.

Powered by Utusan Malaysia