Archive | Jins Shamsuddin RSS feed for this section

Syed Kechik Dalam Kenangan

25 Apr

Oleh Kadir Dikoh
bminggu@bharian.com.my

SYED KECHIK meninggal dunia pada usia 81 tahun di rumah menantunya, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary di Jalan Sultanah, Alor Setar.

Pakar strategi politik, peguam yang bijak, tokoh usahawan Melayu ulung
BAGI mereka yang pernah membaca buku berjudul The politics of federalism: Syed Kechik in East Malaysia tulisan Bruce Clifford Ross-Larson yang diterbitkan pada 1976, sudah pasti mengetahui betapa berperanan dan berpengaruhnya Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed dalam politik Sabah dan Sarawak pada era akhir 1960-an dan awal 1970-an.

Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 1928, Syed Kechik disifatkan sebagai pakar strategi politik, peguam yang bijak, tokoh usahawan Melayu ulung dan pengeluar filem, yang dihantar Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke Sabah untuk membantu kawan baiknya, Tun Datu Mustapha Harun.

Mustapha yang menjadi Ketua Menteri Sabah antara 11 Mei 1967 hingga 31 Oktober 1975 ialah pemimpin Sabah yang sangat berpengaruh. Ketika Perdana Menteri sewaktu itu menaiki pesawat komersial untuk pergi ke mana saja, Mustapha sudah memiliki jet peribadi.

Syed Kechik yang ditugaskan sebagai penasihat undang-undang peribadi beliau, dikatakan orang yang paling dipercayai oleh Mustapha hingga ada yang menggelarnya sebagai ‘Ketua Menteri Sabah yang sebenar’.

Menurut buku itu lagi, Syed Kechik juga memainkan peranan belakang tabir atas arahan Tunku bagi membantu menyelesaikan krisis perlembagaan di Sarawak pada 1966 apabila Ketua Menteri Sarawak yang pertama, Stephen Kalong Ningkan enggan meletak jawatan setelah menerima undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri.

Membaca buku itu seolah-olah kita menonton filem James Bond, ‘melihat’ (membaca) bagaimana liciknya Syed Kechik menemui tokoh di belakang tabir dan berhubung dengan Tunku, menelaah undang-undang bagi mencari jalan penyelesaian tanpa pengetahuan masyarakat umum tetapi didedahkan dalam buku terbabit.

Namun, peranan sebenar Syed Kechik lebih tertumpu di Sabah. Pada mulanya, Syed Kechik bertugas sebagai Penolong Setiausaha Parti Perikatan Kedah pada 1964 dan kemudian dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Penerangan dan Penyiaran, Datuk Senu Abdul Rahman (1964-1967) sebelum ditugaskan selaku Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Sabah dan Menteri Pertahanan Awam, Tun Mustapha (1966-1967).

Sejak itu, Syed Kechik begitu rapat dengan Mustapha yang bukan saja sebagai pembantu khas, malah diberi pelbagai jawatan seperti Ahli Majlis Eksekutif Negeri bagi parti Usno (1968-1972); Setiausaha Agung Persatuan Islam Bersatu Sabah (Usia) 1969-71; Pengerusi Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (1970-71) dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah (1975-76).

Lapan tahun, Syek Kechik membantu Mustapha selaku Ketua Menteri bukan saja berpengaruh dalam politik bagi memperkukuhkan kedudukan pemimpin ulung Sabah itu, malah membantu mengukuhkan ekonomi negeri.

Beliau membina Yayasan Sabah, yang digunakan oleh Mustapha sebagai instrumen utamanya untuk memperkukuhkan kedudukan ekonomi dan kuasa politik. Yayasan itu antara lain berperanan meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat Bumiputera Sabah. Ia juga turut menyediakan tajaan dan biasiswa pendidikan kepada anak-anak Sabah.

Bagaimanapun kemelut dalaman yang berlaku dalam parti Usno pimpinan Mustapha menyebabkan parti itu tewas kepada Parti Berjaya pimpinan Datuk Harris Salleh pada pilihan raya negeri 1976. Pergolakan dalaman dan kekalahan itu membawa Syed Kechik kembali ke Kuala Lumpur.

Dengan pengalaman dan pengaruh dalam dunia politik, Syed Kechik kemudian membabitkan diri secara serius sebagai ahli perniagaan, dengan pembabitannya dalam pembangunan hartanah, perhotelan, projek perumahan dan pelaburan asing.

Antara pelaburan terbesar Allahyarham ialah dalam projek pembinaan Wisma On Tai sekitar 1970-an. Syed Kechik juga adalah pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah Sri Hartamas Corporation Bhd. Kejayaan yang dilihat sebagai mercu tanda kepada orang Melayu ialah apabila Syed Kechik berjaya memiliki bangunan sendiri iaitu Yayasan Syed Kechik di Bangsar.

Bagaimanapun, Syed Kechik memulakan kerjayanya dalam perniagaan dan politik agak lambat. Sebagai remaja, beliau membantu ayahnya di kedai dobi dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat untuk belajar dalam bidang sains politik dan hubungan antarabangsa di University of California.

Oleh kerana kesempitan hidup, beliau sanggup bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk di restoran dan sebagai pelayan (waiter) untuk mencari rezeki menampung perbelanjaan. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln Inn, London sebelum kembali ke Malaysia dan terus membabitkan diri dalam politik Umno di Kedah.

Di situlah beliau mula mengenali Tunku Abdul Rahman dan kemudian diminta oleh Bapa Kemerdekaan itu untuk ke Sabah, Negeri Bawah Bayu yang berjaya menukar corak kehidupannya. Beliau tidak berfikir dua kali untuk menerima tawaran membantu Mustapa.

Apabila kembali ke Semenanjung setelah berakhirnya penguasaan Usno pimpinan Mustapha di tangan parti Berjaya pimpinan Harris, Syed Kechik menumpukan penuh perhatian kepada bidang perniagaan hingga muncul antara Bumiputera pertama menjadi ‘multi-millionaires’.

Syed Kechik adalah juga Presiden pertama Persatuan Pengeluar-pengeluar Filem Malaysia (PFM) setelah terpilih dengan menewaskan Tan Sri Jins Shamsuddin menerusi pengundian pada 1980. Beliau juga mempunyai sebuah syarikat perfileman sendiri iaitu Syed Kechik Film Productions dan filem pertama keluaran syarikatnya ialah Bintang Pujaan yang diterbitkan pada 1979.

Antara filem lain yang diterbitkan oleh Syed Kechik Film Productions yang mendapat sambutan baik penonton ketika itu ialah Sumber Ilhamku lakonan Mahmood Jun dan Datuk Sharifah Aini.

Pada 1990-an, beliau ‘bersara’ daripada bergiat aktif dalam perniagaan dan perfileman dan kembali ke Alor Setar pada usia lanjut, tempat kelahirannya. Syed Kechik meninggal dunia pada usia 81 tahun di rumah menantunya merangkap anak saudara iaitu Pengerusi Eksekutif Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary di Jalan Sultanah, Alor Setar pada 10 April lalu. Amin.

Berita Harian

Bohsia Sarat Aksi

20 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

SYAMSUL paparkan pelbagai isu remaja dalam filem terbaru yang akan ditayangkan mulai 23 April.

Filem kedua anak Datuk Yusof Haslam diadun mengikut cita rasa remaja zaman sekarang

WALAUPUN isu yang dipaparkan dalam filem ke-24 terbitan Skop Productions Sdn Bhd berjudul Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam adalah isu lapuk namun ia masih relevan untuk dibahaskan memandangkan masalah sosial itu masih menjadi duri dalam daging.

Filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam adalah buah tangan kedua Syamsul Yusof selepas Evolusi KL Drift yang berjaya mengutip RM4.5 juta. Filem genre drama/aksi ini sarat dengan aksi yang sentiasa membuatkan penonton ingin mengetahui apakah yang akan berlaku seterusnya.

Melalui pemikiran Syamsul sendiri sebagai pengarah, pelbagai isu semasa yang dibangkit dalam filem ini hanya berlaku kepada remaja di bawah lingkungan 20 tahun ke bawah.

Dalam usia sebegini, ratanya remaja yang sedang dalam delima mencari identiti diri sering dibelenggu dua pilihan hitam atau putih. Lalu penyelesaiannya adalah hukum karma yang pastinya tidak akan terlepas.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam berkata, filem kedua arahan Syamsul adalah filem yang menepati cita rasanya sebagai remaja.


YUSOF bangga dengan hasil kerja Syamsul.

“Bagi saya ini adalah filem dia yang ingin menunjukkan ekspresi anak muda sendiri dalam membuat filem mewakili generasinya.

“Saya sebenarnya cukup berbangga dengan hasil kerjanya selama ini kerana berani untuk membuat filem yang sememangnya dekat dengan dirinya sendiri. Saya sendiri mengakui dan menghargai karya anak muda ini agar tidak dipandang sepi.

“Kadang kala kita terlupa masa sudah berubah, ada kalanya pemikiran anak muda ini tidak boleh diramal. Ini adalah zaman mereka dan idea yang dikeluarkan menepati cita rasa masa kini.

“Saya juga memuji pengarah muda hari ini seperti Syamsul sendiri, Pierre Andre, Norliana, Farid Kamil yang cukup kreatif dalam berkarya,” katanya mengenai filem itu yang akan menemui penonton di 60 pawagam seluruh tanah air pada 23 April ini.


NABILA sebagai pelakon wanita utama dalam filem Bohsia.

Turut hadir menyaksikan pratonton filem itu ialah Tan Sri Jins Shamsuddin, Ahmad Puad Onah, Mawi, Ekin dan semua pelakon Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.

Syamsul yang mengambil masa selama 40 hari sebagai tempoh pembikinan filem ini bagaimanapun tidak banyak menghadapi masalah sepanjang penggambaran.

“Alhamdulillah semasa tempoh penggambaran semuanya berjalan dengan lancar. Dengan bantuan Polis Diraja Malaysia saya dapat melakukan kerja dengan sempurna.

“Selain itu, juga saya cukup berbangga dengan pelakon filem ini kerana dapat memberi komitmen yang tinggi sepanjang penggambaran terutama Nabila, Salina, Shaheizy, Aaron dan semua yang memberi lebih daripada apa yang saya inginkan.

“Mengenai sasaran hala tuju filem ini, pertamanya saya hanya mensasarkan penonton dapat menyelami dan mengambil iktibar dari apa yang ingin saya sampaikan dan kedua adalah dari segi kutipan agar dapat menampung kos pembikinan kerana jika tidak tentu saya akan dimarahi ayah,” katanya.

Bagi Nabila yang memegang watak utama sebagai Tasya dia juga menganggap Bohsia memiliki cabarannya yang tersendiri.

“Saya cukup seronok sepanjang menjalani penggambaran filem ini kerana kebebasan yang diberikan pengarah dalam membentuk watak tidak dihalang. Semuanya selepas bergaul dan mengenali geng mat rempit dan gadis bohsia untuk mendapatkan karakter sebagai Tasya.

“Memang ada pengalaman yang sukar untuk saya lupakan apabila diminta untuk membonceng di belakang mat rempit dan motor itu dibiarkan berjalan dengan menggunakan tayar belakang saja.

“Waktu itu Tuhan saja yang tahu perasaan saya, apa yang saya fikirkan adakah saya akan jatuh selepas ini,” katanya.

INFO

Filem: Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam

Terbitan: Skop Productions Sdn Bhd & Grand Brilliance Sdn Bhd

Penerbit: Datuk Yusof Haslam dan Ahmad Puad Onah

Arahan: Syamsul Yusof

Genre: Aksi/Drama

Mula Tayangan: 23 April 2009

Pelakon: Nabila Huda, Syamsul Yusof, Salina Saibi, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Diana Danielle, Lando Zawawi, Yazid Lim, Nasir Bilal Khan dan Adam Corrie.

Berita Harian

Anugerah Seniman Timbul Pertikaian

7 Apr

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

BANYAK perkara yang tidak kena dengan penganjuran Anugerah Perdana Seniman 2009 (APS09) yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 April hingga semalam di Kuching, Sarawak .

Ini kali keempat majlis anugerah anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) diadakan, selepas di Alor Setar, Kedah, Perlis dan Jakarta, Indonesia.

Perkara ini turut menjadi bualan dalam kalangan 180 delegasi membabitkan beberapa artis veteran yang didatangkan khas dari Singapura. Antara rungutan dan rasa tidak puas hati ahli rombongan membabitkan pengurusan dan penyeliaan yang menimbulkan banyak masalah kepada mereka.

Tidak kurang ada beberapa anugerah diberikan pada malam itu menjadi pertikaian dengan beberapa pihak berkata ia majlis untuk seronok sendiri.

Ia bermula apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) diberikan Anugerah Khas Perdana Bintang Seniman Sokongan dan Bantuan Dalam Memartabatkan Industri Filem Tempatan.

Menurut mereka, anugerah itu tidak seharusnya diberikan kepada Finas kerana ia sudah menjadi tanggungjawab badan kerajaan itu membantu penggiat filem sekali gus memastikan industri itu terus hidup dan subur.

Begitupun paling hangat diperkatakan apabila Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof sendiri diberikan anugerah tertinggi iaitu Anugerah Perdana Seniman Pencapaian Abadi.

Menurut kenyataan yang dicatatkan Bendahari Seniman, Abu Bakar Omar, Mustapha pada peringkat awalnya enggan menerima anugerah itu atas tiga sebab. Pertamanya pembabitan dan sumbangannya dalam bidang seni tidak seberapa jika dibandingkan dengan penerima anugerah sama sebelumnya.

Kedua, Mustapha beranggapan dia sebagai presiden dan sudah tentu ia akan menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak apabila menerima anugerah tertinggi pada majlis anjuran sendiri.

Mustapha tidak mahu dianggap seperti masuk bakul angkat sendiri memandangkan Anugerah Perdana Seniman adalah cetusan ideanya sendiri. Seharusnya jawatankuasa pemilihan penerima anugerah memikirkan semula pendapat yang diberikan Mustapha terhadap anugerah tertinggi yang mahu diberikan kepadanya kerana apa dinyatakan adalah benar.

 

 

Begitu pun majlis yang berlangsung di Stadium Perpaduan itu berjalan lancar dengan penerima anugerah lain menghargai usaha dilakukan Seniman.

Berlaku kejutan pada malam itu apabila tetamu kehormat, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ketika menerima penghargaan Anugerah Perdana Seniman Agung P Ramlee, APS09 mengumumkan kerajaan negeri Sarawak menganugerah Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak membawa gelaran Datuk Amar Bintang Kenyalang kepada Seniman Agung itu.

Menerima anugerah itu bagi pihak Tan Sri P Ramlee adalah warisnya yang juga dramatis, Dian P Ramlee.

Ditemui selepas majlis itu, Dian berkata dia terharu dan tidak menyangka apabila dipanggil untuk tampil ke pentas dan menerima anugerah diumumkan Ketua Menteri Sarawak untuk arwah bapanya.

“Secara jujurnya saya tidak mengetahui apa-apa sebaliknya disuruh datang kerana ada pengumuman hendak dibuat. Mereka tidak memberitahu langsung mengenai anugerah kedua tertinggi daripada Kerajaan Negeri Sarawak kepada arwah bapa.

“Sebagai warisnya sudah tentu saya terharu dan bangga dengan anugerah yang diberikan dan saya tahu ia diberikan kerana sumbangan besar Allahyarham terhadap perkembangan seni negara mahupun dalam kalangan masyarakat di Bumi Kenyalang ini. Malah umum tahu Tan Sri Abdul Taib sendiri adalah peminat setia karya Allahyarham.

“Anugerah ini akan saya serahkan kepada Arkib Negara dan diharapkan dapat dipamerkan di Muzium Peringatan P Ramlee untuk tatapan peminat setianya,” katanya.

Anita Sarawak yang pernah mengharumkan rantau Nusantara dengan bakatnya apabila berjaya mencipta nama sebagai penghibur terkemuka di Ceaser Palace, Las Vegas, Amerika Syarikat dan mengadakan konsert jelajah bersama penghibur Asia lain tahun lalu turut terharu dengan penghargaan diberikan Seniman kepadanya.

Ditemui sebaik menerima anugerah yang disampaikan Senator Tan Sri Jins Shamsuddin, Anita yang menerima anugerah bagi kategori Pencapaian Cemerlang Penyanyi Bertaraf Antarabangsa berkata, dia gembira dan tersentuh dengan penghargaan diberikan.

“Sepanjang pembabitan sebagai penyanyi, saya tidak pernah mengharapkan sebarang imbuhan. Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai yang terbaik. Selagi bergelar penyanyi, saya terus belajar untuk memperbaiki kelemahan diri. Begitupun, saya berterima kasih kepada Seniman atas anugerah ini,” katanya

Yasmin pula yang menerima anugerah Pencapaian Cemerlang Filem Globalisasi, tidak dapat menahan rasa terharu apabila menerima anugerah dalam kalangan artis yang selama ini amat diminati dan dihormati.

“Bayangkan bersama saya menerima anugerah ini, Datuk Aziz Satar, yang memang saya minati dan saya panggil Pak Guru. Saya banyak belajar daripada filem yang pernah dia lakonkan. Ini satu penghargaan cukup manis,” katanya yang filem terbaru arahannya Talentime baru ditayangkan.

Turut sama diiktiraf Allahyarham Sudirman bagi kategori Penghargaan Khas Bidang Nyanyian dan Lakonan. Menerima bagi pihak Allahyarham, anak saudaranya, Fazren Adri.

Aziz pula menerima anugerah Pencapaian Cemerlang Komedi Sepanjang Zaman.

Bagi Aziz atau lebih senang dengan panggilan Pak Aziz , walaupun sebelum ini pernah menerima beberapa anugerah, baginya pengiktirafan yang baru diterimanya itu adalah pengalaman sangat manis.

“Saya gembira kerana anugerah ini diberikan rakan saya yang berada dalam Seniman. Sepanjang 60 tahun pembabitan dalam industri perfileman rasanya ini antara kenangan paling manis apabila bakat yang selama ini saya curahkan diiktiraf orang filem sendiri. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka atas penghargaan ini,” katanya.

Tidak ketinggalan penggiat filem muda turut diiktiraf Seniman terutama apabila membabitkan bidang teknologi dan kepakaran. Untuk itu anugerah Pencapaian Cemerlang Pengarah Filem Visual Effect diberikan kepada pengarah Cicak-man, Yusry Abdul Halim.

“Pada saya anugerah ini lebih bermakna kerana ia datang daripada orang filem sendiri. Bukan saya tidak hargai anugerah yang datang atas sokongan peminat, tetapi apabila orang filem sendiri yang mengiktiraf karya yang dihasilkan sudah tentu ia lebih bermakna kepada saya secara peribadi.

“Bermakna usaha dilakukan KRU Movies untuk mempertingkatkan industri filem menggunakan kecanggihan teknologi terkini tidak dipandang sepi. Anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk saya buktikan dengan kepakaran teknologi yang ada, kita mampu menghasilkan filem dengan lebih baik,” katanya yang baru selesai menghabiskan kerja produksi filem terbaru, Magica.

Penerima anugerah lain, Seniwati Mariani Ismail yang mendapat anugerah Penghargaan Khas Bidang Nyanyian dan Lakonan, David Teo (Pencapaian Cemerlang Bidang Penerbitan Filem Malaysia Yang Konsisten dan Box Office), James Lee (Pencapaian Cemerlang Pengarahan Filem Generasi Baru) dan Habsah Hassan (Pencapaian Cemerlang Penulis Lirik Terunggul) .

Majlis diserikan dengan persembahan nyanyian lagu P Ramlee gabungan artis veteran dan 80-an seperti Hashimah Yon, Salwa Abdul Rahman, Azlina Aziz, Liza Aziz, Musley Ramlee, Ahmad Fauzee, Nassier Wahab dan Hail Amir.

Menggegarkan pentas, persembahan Impak Maksima menampilkan beberapa pelakon asal drama muzikal itu seperti Zarina, Dina dan kumpulan Fabulous Cat.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Dinsman Pentas Drama Agama 45 Minit

30 Mar

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap

KISAH junjungan nabi besar kita, Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat baginda boleh dijadikan iktibar kepada masyarakat generasi hari ini.
Begitupun tidak ramai di kalangan penggiat seni tempatan yang berani mementaskannya dalam bentuk teater keagamaan.

Sebaliknya pengarah dan penulis skrip, Shamsudin Othman atau lebih dikenali sebagai Dinsman mengambil langkah berani untuk mementaskan teater, Menunggu Kata Dari Tuhan.

Bagi penggiat teater, Dinsman cukup berbakat dalam pengarahan dan penulisan skrip.

Sewaktu ditemui pada sesi latihan akhir di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini, Dinsman berkata teater berkenaan diadaptasi daripada hadis menampilkan pelakon, Sabri Yunus dan dibantu Sani Sudin sebagai penggesek biola.

“Teater yang diangkat daripada hadis, riwayat Bukhari dan Muslim mengisahkan Ka’ab Malik (Sabri Yunus) seorang sahabat Nabi Muhammad. Ka’ab ketika itu berdepan dilema kerana tidak dapat memberi alasan yang kukuh apabila tidak turut serta dalam peperangan.

“Rasulullah ketika itu mengetuai peperangan Tabuk menentang Rom.

“Ketika zaman Rasulullah semua orang kena ikut berperang. Kira-kira 80 orang termasuk Ka’ab tidak menyertai peperangan itu.

“Kebanyakan mereka bertemu Rasulullah memohon maaf dan memberi alasan masing-masing untuk dapat turut serta dalam peperangan.

“Ka’ab pula berdepan dilema apabila tidak mempunyai alasan yang kukuh terbabit dalam perang itu.

“Ka’ab kemudian meminta petunjuk daripada Allah supaya memberinya jalan untuk mengatasi dilema yang menghantuinya itu. Pelbagai dugaan dan ujian ditempuhi Ka’ab sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

 

 

Mengulas pemilihan pelakon dan penampilan pemuzik dalam teater itu, Dinsman berkata Sabri sememangnya layak membawa watak itu, malah penampilan Sani di atas pentas juga secara tidak langsung membantu persembahan itu.

“Memang dialog yang perlu dihafal oleh pelakon cukup panjang. Persembahan selama 45 minit turut menampilkan gesekan biola di samping ekspresi pelakon ketika menjayakan pementasan.

“Kemunculan pemain muzik di pentas menunjukkan seolah-olah ada dua pelakon yang menceritakan kisah yang padat dengan pengajaran itu,” katanya.

Dinsman yang kali terakhir mengarahkan teater, Tamu Dari Medan Perang sekitar dua tahun lalu menjelaskan persembahan itu akan dipentaskan pada Majlis Santapan Diraja di Kota Bharu pada 30 Mac seterusnya Dewan Pementasan DBP, Kota Bharu pada esoknya.

Selain beberapa pementasan yang dijadualkan seperti Shah Alam (April), Kedah (Mei) dan di DBP Kuala Lumpur sendiri.

Dia juga cukup aktif mementaskan teater sejak 1970-an menerusi kumpulan Teater Elite yang ditubuhkan bersama teman pada 1978. Begitupun di kalangan ahli mempunyai beberapa komitmen lain, justeru pergerakan kumpulan berkenaan seperti air pasang surut.

Beberapa karya yang dipentaskan termasuk Esok Untuk Siapa yang diadaptasi daripada filem Senator Tan Sri Jins Shamsuddin.

Menariknya filem berkenaan turut menampilkan baris pelakon sama namun dipentaskan semula di bawah arahan Dinsman.

Sementara itu pelakon, Sabri Yunus mengakui berdepan cabaran besar menghafal nama dan tempat Arab namun perkara itu dapat diatasi apabila kerap melakukan latihan persediaan.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana dapat menghafal karya yang panjang. Apatah lagi karya ini diambil daripada hadis. “Justeru, saya tidak boleh melencong jauh daripada skrip asal. Saya harap apa yang cuba saya sampaikan menerusi pementasan ini dapat diterima masyarakat,” katanya.

Bagi Sani pula sebagai pemain muzik dia turut berperanan membangkitkan emosi dan suasana penceritaan menerusi persembahan itu.

“Apabila mendapat tawaran daripada Dinsman untuk tampil sebagai pemuzik yang turut berada di atas pentas itu saya berasakan perlunya menampilkan reaksi dengan cara tersendiri. Penceritaan yang disampaikan Sabri seolah-olah begitu dekat dengan muzik yang saya sampaikan,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Analisis: Timbalan Presiden Pilihan Perwakilan

28 Mar

Oleh Kadir Dikoh

TAN Sri Muhyiddin Yassin, 61, kelihatan letih apabila melangkah masuk ke Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi semalam, kerana kurang tidur selepas diumumkan menang bagi jawatan Timbalan Presiden Umno, malam kelmarin.

Apabila keputusan diumumkan pada jam 10.30 malam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu terpaksa melayan salam ramai perwakilan. Perjalanannya dari dalam Dewan Merdeka untuk menemui ‘bosnya’ Datuk Seri Najib Razak di tingkat 38 Menara Dato Onn di bangunan bersebelahan, tersekat-sekat selain berhenti menjawab pelbagai pertanyaan wartawan.

Akhirnya, beliau meloloskan diri dari PWTC menjelang tengah malam untuk ke rumahnya di Damansara. Di situ ada lagi ahli Umno menunggu untuk mengucapkan tahniah dan rumah dibanjiri manusia sehingga jam 2 pagi.

“Saya bagaikan tidak tidur langsung,” katanya ketika ditemui sebelum bergegas keluar dari PWTC untuk solat Jumaat tengah hari semalam.

Inilah kali pertama dalam sejarah Umno, perwakilan menentukan sendiri siapa yang mereka mahu untuk menyandang jawatan nombor dua dalam parti, bukan lagi secara tradisi dalam sejarah 63 tahun kewujudannya, apabila Presiden memilih timbalannya di kalangan tiga Naib Presiden tanpa mengira sama ada Naib Presiden paling kanan, kedua atau yang ketiga.

Pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, dua Naib Presiden yang paling kanan dan dua Naib Presiden nombor dua menjadi pilihannya untuk menyandang jawatan nombor dua, meskipun sejarah sebelum itu membuktikan Naib Presiden nombor tiga termasuk Dr Mahathir sendiri adalah mereka yang sentiasa bernasib baik.

Naib Presiden paling kanan yang dipilih Dr Mahathir sebagai orang nombor dua ialah Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi kedua-duanya tersadai di situ. Apabila Tun Ghafar Baba dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau adalah Naib Presiden nombor dua selepas Tengku Razaleigh Hamzah dan nombor tiga ketika itu ialah Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, bekas Menteri Besar Terengganu.

Pada 8 Januari 1999 pula, Dr Mahathir memilih Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, juga nombor dua selepas Najib, sebagai Timbalan Perdana Menteri. Apabila tiba giliran Abdullah pula, beliau memilih Najib, Naib Presiden paling kanan sebagai timbalannya.

Apabila Tun Razak Hussein mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tunku Abdul Rahman, beliau memilih Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang ketika itu berada dalam kedudukan nombor tiga di barisan Naib Presiden, sebagai timbalannya. Apabila Dr Ismail meninggal dunia, Tun Razak memilih Tun Hussein, juga Naib Presiden ketiga.

Dr Mahathir, juga Naib Presiden nombor tiga apabila dilantik oleh Tun Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 5 Mac 1976 berikutan kematian mengejut Razak. Pada hal ketika itu, Naib Presiden Umno paling kanan ialah Ghafar, diikuti Tengku Razaleigh Hamzah.

Kini, Muhyiddin adalah orang nombor dua dalam parti dan jika tiada aral melintang, akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Jawatan Timbalan Perdana Menteri mempunyai sejarah tersendiri dan sepanjang kewujudan jawatan itu, ia sudah disandang oleh sembilan pemimpin iaitu Tun Razak, Dr Ismail, Tun Hussein, Dr Mahathir, Musa, Ghafar, Anwar, Abdullah dan Najib.

Dalam hirarki ketiga pula, sudah ada Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Naib Presiden yang baru bagi penggal 2008-2011 itu. Siapakah di antara mereka nanti berupaya melonjak ke dua puncak teratas dan persoalan ini mungkin terlalu awal untuk dibicarakan.

Namun, untuk rekod, antara Naib Presiden yang pernah menjadi Timbalan Presiden ialah Dr Ismail, Tun Hussein, Dr Mahathir, Musa Hitam, Ghafar, Anwar, Abdullah, Najib dan kini Muhyiddin. Antara mereka, cuma Tun Hussein, Dr Mahathir, Abdullah dan insya-Allah Najib selepas ini, berjaya ke puncak dalam parti dan seterusnya menyandang jawatan Perdana Menteri.

Dr Ismail yang dipilih Tun Razak sebagai timbalannya apabila dilantik sebagai Perdana Menteri kedua pada September 1970, bagaimanapun tidak sempat naik ke puncak kerana meninggal dunia disebabkan sakit jantung.

Tun Razak tidak pernah menduduki jawatan Naib Presiden dan begitu juga Almarhum Tunku Abdul Rahman yang terus menjadi Presiden Umno kedua, menggantikan Datuk Onn Jaafar pada 1951 dengan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pendakwa Raya ketika itu. Tun Razak pula terus ke jawatan Timbalan Presiden (1951-1971) selepas memenanginya dengan menewaskan dua calon lain.

Pada pemilihan kali ini, sejarah hampir tercatat andainya tiga calon berebut jawatan Timbalan Presiden, namun seorang lagi calon, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilarang bertanding oleh Lembaga Disiplin Umno.

Pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden parti pada 1981 dan 1984, juga antara dua calon iaitu Musa dan Tengku Razaleigh Hamzah. Begitu juga pada 1987, sekali lagi berlaku saingan apabila penyandang jawatan Timbalan Presiden Umno, Ghafar menewaskan Musa yang sudah menjadi bekas Timbalan Perdana Menteri.

Ketika itu, Tengku Razaleigh yang menjadi regu Musa, menentang Dr Mahathir bagi jawatan Presiden. Untuk rekod, Musa yang tidak lagi boleh bekerjasama dengan Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1985.

Selepas 1987, jawatan Timbalan Presiden Umno tidak lagi ditandingi sehinggalah kali ini. Sejak itu juga jawatan Presiden dimenangi tanpa dicabar.

Pada pemilihan kali ini, tahniah kepada semua pemenang jawatan tertinggi dalam parti dan kepada yang kalah, ingatlah pesanan filem Tan Sri Jins Shamsuddin…. Esok Masih Ada, meskipun seniman itu sendiri mengalami kekalahan dalam percubaan pertamanya bagi jawatan Majlis Tertinggi.

Berita Harian

Tiada Usaha Pulihara Studio Jalan Ampas

6 Mar

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

Rap
MESKIPUN bagi kebanyakan pengunjung Jalan Ampas, Singapura, kewujudan sebuah bangunan terbiar usang tercatat No 8, dianggap mencacatkan pemandangan. Sedangkan di tapak itulah suatu ketika dahulu gah sebagai studio penggambaran filem Melayu yang menyimpan pelbagai kenangan dan menjadi gelanggang melahirkan seniman tersohor tanah air.

Studio Malay Filem Productions (MFP) di Jalan Ampas, Singapura milik Shaw Brothers beroperasi selama 19 tahun sebelum ditutup pada 1967.

Mengikut sejarah, ia dibangunkan dua beradik, Runme dan Run Run Shaw di kawasan seluas 40,000 meter persegi. Studio itulah yang melahirkan bintang ternama seperti Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee dan rakan seangkatannya termasuk Datuk Aziz Satar, S Shamsuddin, AR Tompel, Datuk Sarimah, Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Ahmad Mahmud, Datuk Jamil Sulong serta ramai lagi.

Malah, di situ juga banyak filem lama yang kekal popular dan menjadi bahan bualan masyarakat sehingga kini, terutama koleksi filem lakonan dan arahan P Ramlee menjalani penggambaran.

Bagaimanapun, pemandangan serba kekurangan bangunan berkenaan mengguris perasaan terutama peminat filem Melayu klasik dan artis veteran yang mengunjungi kawasan itu.

Hanya terdapat sebuah batu memorial didirikan di depan studio berkenaan tetapi tiada sebarang usaha dijalankan di kawasan berkenaan termasuk mengekalkan identiti dan warisan studio berkenaan.

Lokasi bersebelahan bangunan studio berkenaan sudah dibangunkan termasuk kelihatan sebuah pusat penjagaan orang tua dan barisan bangunan rumah kedai yang belum beroperasi.

Persatuan Seniman Malaysia, Datuk Mustapha Maarof, berkata sumbangan studio berkenaan tidak seharusnya dilupakan kerana studio berkenaan yang pernah dilabelkan sebagai ‘Hollywood Filem Melayu’ ketika zaman kegemilangannya pada era 1950-an dan awal 1960-an.

Menurutnya, studio berkenaan terpaksa ditutup pada 1967 atas alasan tidak ada lagi sambutan terhadap filem Melayu di Singapura, selain kekurangan bakat baru.

Ini disebabkan ramai seniman dan seniwati filem Melayu ‘lari’ ke Kuala Lumpur berikutan isu politik apabila Singapura terpisah dari Malaysia.

“Apabila menjejak kaki ke studio berkenaan, perasaan yang kami (artis veteran) alami sukar diungkapkan kerana ia tempat mencari makan, menunjukkan bakat dan pelbagai kenangan manis dilalui bersama ketika penggambaran sesuatu filem.

“Antara pengalaman saya di studio berkenaan ialah ketika menjalani penggambaran filem Hang Tuah pada 1956 bersama Tan Sri P Ramlee.

“Kami mendapati keadaannya sudah banyak berubah termasuk barangan lama seperti peralatan penggambaran yang mempunyai nilai sejarah dibiarkan berlapuk. Ia sepatutnya dipulihara sebagai warisan sejarah kerana peranan pentingnya dalam industri perfileman serantau,” katanya.

Sementara itu, artis veteran, Ahmad C, 78, berkata, beliau memulakan kerjanya sebagai pembantu pejabat di studio berkenaan termasuk menghantar mesej kepada artis mengenai jadual penggambaran dari lokasi berkenaan ke sesuatu tempat dengan hanya menaiki basikal.

Menurutnya, biarpun sudah lama tidak mengunjungi studio berkenaan akibat menghidap lelah, pelbagai peristiwa dan kenangan di studio Jalan Ampas terpahat di fikirannya selama-lamanya.

“Ramai yang tertanya bagaimana terdapat perkataan C di belakang nama saya. Ceritanya bermula apabila pengarah sukar memberi arahan kerja di studio apabila terdapat tiga pekerja bernama Ahmad. Oleh itu pengarah berkenaan meletakkan huruf di penghujung nama setiap kami termasuk Ahmad A, Ahmad B dan diikuti nama saya Ahmad C.

“Saya juga mempunyai pengalaman berlakon dalam filem Seniman Bujang Lapok apabila pengarah Ahmad Nesfu menghalau ‘budak tiga ekor’ Bujang Lapok, saya mencelah dengan secebis kertas, “Tuan Director, ini tiga orang tak tahu pasal shooting!”.

“Lebih sayu mengenangkan pahit getir dilalui untuk menyara hidup sesudah Studio Jalan Ampas di Singapura ditutup. Sejak itu saya melakukan apa saja untuk mencari rezeki sehingga kini ‘tersadai’ di Tanjung Buai, Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor,” katanya ketika ditemui di kediamannya di rumah pangsa berhampiran Tampines, Singapura, baru-baru ini.

Harian Metro

Godam: 'Gendang Perang Sasterawan Negara, PPSMI Dan Bahasa Melayu'

26 Feb

Oleh Salbiah Ani

MINGGU lalu menjadi detik yang dinanti-nantikan karyawan seni tempatan kerana sumbangan dan pengorbanan mereka mendapat pengiktirafan lumayan daripada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) melalui acara gilang-gemilang, Anugerah Seni Negara yang melayakkan penerimanya memakai gelar Seniman Negara.

Pengiktirafan tertinggi untuk orang seni itu, tahun ini menjadi milik penggiat filem, Senator Jins Shamsuddin dan melayakkannya menerima imbuhan wang tunai RM60,000, disertai hadiah iringan berupa Warkah Penghormatan Negara dan trofi, sepasang persalinan lengkap baju Melayu di samping kemudahan perubatan kelas satu di hospital kerajaan.

Tidak ketinggalan, penerima turut diberi peluang untuk dilantik sebagai pencipta tamu kehormat, mewakili KPKKW pada seminar atau forum peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa dan sejak diperkenalkan 13 Januari 1993, sudah tujuh penggiat seni menerima pengiktirafan tertinggi itu.

Dalam kelompok sasterawan, pengiktirafan sebegitu sudah lama dinanti-nantikan selepas kali terakhir, Anugerah Sastera Negara menjadi milik Allahyarham Dr Syed Othman Syed Omar atau lebih dikenali sebagai S Othman Kelantan, pada 2003.

Selepas itu, anugerah berkenaan terus menyepi sehingga ramai tertanya-tanya, apakah Malaysia sudah ketandusan sasterawan sehingga tiada seorang pun daripada sedemikian ramai pengarang kreatif baik di kalangan veteran mahupun ‘separuh matang’, tetapi berupaya melahirkan karya berbobot, layak diberi penghormatan itu?

Atau apakah kerana imbuhannya dinaikkan kepada RM60,000 daripada RM30,000 seperti diumumkan mantan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, pada 18 Februari 2004, lalu sepi begitu saja atau Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat, terlalu sibuk dengan kemelut bahasa Melayu negara ini sehingga terlepas pandang perkara terbabit?

Anugerah Seni Negara yang diperkenalkan 10 tahun lalu menyaksikan tujuh tokoh dinobatkan sebagai penerimanya, tetapi Anugerah Sastera Negara yang berusia 28 tahun selepas diperkenalkan pada 1981, hanya sembilan penerima; suatu yang menyedihkan dan seolah-olah menafikan sumbangan dunia sastera, setidak-tidaknya dalam hal kesusasteraan dan kebahasaan!

Apakah Kementerian Pelajaran sebagai penaung anugerah itu berasa ia sudah tidak lagi relevan, lalu dibiarkan tanpa penerima dengan harapan kalangan sasterawan dapat memahami maksud tersirat di sebalik ketidakpedulian terbabit!

Berkemungkinan bagi sekretariat, apalah yang boleh disumbang sastera pada zaman yang mementingkan sains dan teknologi, seolah-olah lupa bahawa manuskrip Melayu lama antara bahan yang dirampok penjajah sehingga dibawa belayar balik ke negara mereka.

Bahan ini menjadi kajian sarjana pelbagai bangsa dari seluruh dunia, dalam usaha mengenali bangsa Melayu dan terbukti pendekatan ini juga yang diguna pakai sebagai sebahagian daripada pendekatan bagi meluaskan jajahan takluk mereka.

Jika ini gambaran yang berlegar dalam hati dan akal budi kepimpinan di Kementerian Pelajaran dan DBP, bererti Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) yang dibentuk pada 25 Ogos 1995 serta Institut Terjemahan Negara Malaysia (14 September 1993), wajar dibubarkan.

Begitu juga dengan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (Mabbim) yang dibentuk pada 29 Disember 1972 dalam usaha menseragamkan bahasa Melayu yang diguna pakai di ketiga-tiga negara dan DBP sendiri, perlu dikuburkan.

Malah, Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang diluluskan pembentukannya pada Mesyuarat Kabinet 2 Julai 1997, bagi melebarkan sayap bahasa Melayu yang sudah pun diperjuangkan sebagai bahasa rasmi kedua Asean, perlu dinoktahkan.

Apakah ini yang ingin dilihat menjadi realiti, memandangkan bahasa rasmi yang dinobatkan sebagai bahasa rasmi negara sejak 52 tahun lalu, tidak lagi menerima layanan selayaknya bukan saja di kalangan pengguna bahasa, tetapi juga pemimpin negara ini.

Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sudah pun dikuatkuasakan pelaksanaannya sejak 2003, tidak menunjukkan kemungkinan dimansuhkan, meskipun suara protes khusus di kalangan pejuang bahasa sudah semakin terasa denyutannya kini!

Jutaan ringgit sudah dileburkan bagi merealisasikan semua organisasi itu dalam usaha memartabat, mendaulat dan memasyarakatkan bahasa Melayu serta memperkenalkan sastera tempatan ke negara luar, tetapi segala macam perkara negatif terpaksa ditepis serta diratapi bahasa dan sastera Melayu!

Berita Harian