Archive | Juliana Banos RSS feed for this section

Juliana Banos Dapat Bayi Perempuan

25 Nov

NIEZAM nak mengucapkan tahniah kepada dua orang yang penting dalam dunia hiburan. Pertama buat teman depan meja, Tengku Khalidah kerana selamat melahirkan bayi perempuan pada 19 November lalu.

Keduanya pula buat penyanyi Juliana Banos. Dia pun selamat melahirkan cahaya mata perempuan pada 10 November lalu.

Wartawan Utusan di Johor Bahru, Haszrul Mohamed beberapa kali menghubungi June tetapi panggilan dan juga khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak dijawab.

Sehinggalah pada malam Selasa lalu barulah June bersedia untuk menjawab panggilan Haszrul. Cuma kata June dia belum bersedia untuk memaparkan gambar dia dengan anaknya.

June bersalin di sebuah hospital mewah iaitu Hospital Mont Elizabeth, Singapura.

Khabarnya bayi itu pun sihat dan comel macam ibunya juga.

Hospital Mont Elizabeth bukan sahaja menyediakan kemudahan untuk bersalin sebaliknya ada kelas untuk para ibu sebelum dan selepas bersalin.

Maklumlah, bayi pertama June, pengalaman menjaga bayi tentulah kurang. Kalau ada kemampuan tak salah dia mengikuti kelas macam tu. Khabarnya June berkecil hati dengan wartawan yang tak mempedulikan dia selepas berumahtangga.

Bukan tak mempedulikan tetapi June kena ingat, dia tinggal di Johor Bahru. Nak panggil untuk sesi fotografi pun bukannya mudah. Dalam masa yang sama June tengah sarat mengandung. Kita faham semua masalah itu. Tahun lalu media tak melupakannya dan masih mengajak dia untuk sesi fotografi keluaran Hari Raya.

Lagipun sesetengah artis, kalau tak ada apa-apa perkembangan terbaru ataupun album baru, ajaklah seribu kali untuk fotografi, mesti mereka tolak.

Apa-apa pun tahniah kepada June dan Mokhtar Ahmad kerana mendapat bayi pertama dalam hidup. Dah lepas pantang nanti jangan lupa telefon Abang Niezam ye. Kita buat fotografi. Takut nanti kata tak ingat pula.

NIEZAM: Hormat pada semua artis apatah lagi yang baik dan ikhlas berkawan tanpa ada maksud tersembunyi.

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements

Juliana Banos Menunggu Hari

11 Nov

TAHNIAH buat penyanyi Juliana Banos, 28, yang sekarang ni tengah sarat mengandung dan hanya menunggu hari untuk melahirkan anak pertama. Syukurlah, hasil perkahwinan Juliana yang dipanggil June dengan usahawan Mokhtar Ahmad, 34, kira- kira dua tahun lalu membawa erti yang cukup bahagia.

June khabarnya nak merahsiakan daripada pengetahuan orang ramai dan peminat yang dia sebenarnya nak bersalin. Pada Niezam, buat apalah nak rahsiakan. Lagipun anak merupakan pembawa rezeki kepada mereka yang hidup berumah tangga.

“Dia memang dah nak bersalin dah. Malah June pun amat gembira selepas dua tahun akhirnya dia mengandung juga,” cerita seseorang.

Sejak berkahwin June semakin senyap dari dunia seni. Mungkin jarak di antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru tu jauh, sebab itulah dia tak dapat menghadiri banyak acara hiburan di Kuala Lumpur.

Semasa mengadakan sesi fotografi dengan June pada tahun lalu, kata June, dia bersedia menimang cahaya mata pada bila-bila masa tetapi tak sangka pula jaraknya mengambil masa selama dua tahun.

Apa-apa pun tahniah buat June dan tentu sekali suaminya gembira untuk menimang cahaya mata dalam masa beberapa hari saja lagi.

NIEZAM: Penyanyi Dag Dig Duk – Haiza yang baru kahwin macam mana pula? Dah mengandung ke? Katanya dah tak sabar nak dapat anak.

Powered by Utusan Malaysia

Perkahwinan Juliana – Mokhtar Tutup Tirai 2005

28 Dec

Oleh: KHADIJAH IBRAHIM

PERNIKAHAN aktres Juliana Azman Banos, 26, dengan usahawan Mokhtar Ahmad, 33, dianggap perkahwinan paling gemilang di kalangan artis Malaysia pada tahun ini.

Juliana atau Jun adalah artis yang pandai menyimpan rahsia percintaan. Malah artis yang tidak banyak digosip itu kini mampu tersenyum riang kerana percintaan yang dipupuk selama dua tahun berakhir ke jinjang pelamin.

Selain kenduri di Johor Bahru dan Kuantan, Pahang, Jun turut meraikan rakan-rakan artis dan sahabat handai pada majlis resepsinya di Hotel Palace of the Golden Horses di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara artis yang hadir pada hari bersejarahnya ialah Faizal Hussein dan isteri, Suhaila Sulaiman, Norman Hakim, Abby Abadi, Tomok, Ako Mustapha, Ruhani Rahman dan tetamu kehormat Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bersama Sultanah Kalsom serta Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Kehadiran rakan-rakan artis itu bukan sahaja menyerikan majlis perkahwinannya malah ia juga bagai memenuhi impian Jun yang ingin semua rakan artis yang pernah bekerjasama dengannya hadir menyaksikan hari perkahwinannya.

Jun yang ditemui selepas majlis resepsi itu berkata, biarpun sudah bergelar isteri, namun dia tetap meneruskan kegiatan seni sebagai penyanyi. Tambahan pula Jun akan muncul dengan album baru berjudul Mutiara Jun menerusi syarikat miliknya, Juliana Banos Sdn. Bhd.. Album yang menampilkan konsep 1980-an itu dijangka berada di pasaran Januari ini.

Menurut Jun, album yang menampilkan Audi Mok, Azlan Abu Hassan dan Azman Abu Hassan sebagai penerbit itu amat bermakna pada dirinya.

“Lagu-lagu dalam album ini mencerminkan isi hati Jun yang terpendam selama ini. Biarpun lagu-lagunya pilihan Jun namun ia tetap memenuhi kehendak pendengar masa kini,’’ katanya.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album Mutiara Jun ialah Obsesi, Tak Perlu, Cinta Selamanya, My Own Person dan Baby.

Powered by Utusan Malaysia

Syanie Jadi Penyanyi Lagu Pop

6 Dec

Oleh: WANDA IDRIS

SIAPA sangka Syanie juga berbakat dalam bidang nyanyian. Album solonya, Kerana-Nya, akan dilancarkan Januari ini.

BEGITU ramah penerbit filem Ruhani Abdul Rahman dan anaknya, Syanie menyambut tetamu yang hadir ke rumah terbuka syarikat mereka baru-baru ini.

Diadakan di kediaman mereka di Damansara Indah Resort Homes, Petaling Jaya, antara yang hadir termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Siti Azizah Abod.

Turut kelihatan ialah para pengarah, pelakon dan penyanyi tanah air seperti Erra Fazira, Hans Isaac, Umie Aida, Rosyam Nor, Juliana Banos, Aziz M. Osman dan isterinya Nor Aliah (Vee), Ziela Jalil dan Eizlan Yusof.

Namun dalam kesibukan melayan tetamu, Syanie yang juga Pengurus Operasi syarikat penerbitan filem milik ibunya itu sempat bercerita tentang perancangan Nizarman Sdn. Bhd. yang telah 21 tahun bertapak dalam dunia perfileman.

Terkini tentunya mempromosikan filem terbaru syarikat itu, Persona Non Grata, yang dibintangi Erra Fazira dan Hans Isaac.

Kata Syanie, pihaknya baru sahaja selesai menyiapkan rakaman lagu-lagu filem tersebut yang diterbitkan oleh Megat Azuar termasuk lagu temanya berjudul Hanya Untukmu yang dinyanyikan oleh juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi.

Malah Syanie sendiri menyampaikan sebuah lagu solo berjudul Keliru bagi dimuatkan dalam filem tersebut.

“Selain Mawi dan saya, turut terlibat ialah Mel untuk lagu Kemarau Yang Panjang dan Shamsul Cairel bagi lagu Mungkin Ku Bermimpi.

“Kita sebenarnya merancang untuk bekerjasama dengan Erra dalam satu lagu. Malangnya apabila lagu siap, keynya didapati tidak kena dengan Erra, jadi kami terpaksa gantikan dengan lagu Shamsul Cairel.

“Berkenaan pemilihan Mawi untuk menyanyikan lagu tema Persona Non Grata pula, bukan saja popularitinya membuatkan kami berminat untuk mendapatkan khidmat Mawi tetapi juga kerana kami memerlukan suara lantangnya untuk lagu Hanya Untukmu,” jelas Syanie sambil memberitahu pihaknya akan menghantar filem itu untuk proses adunan dan cetakan di Bangkok dalam masa terdekat ini.

“Jika tiada aral melintang, insya-Allah pada Mac depan Persona Non Grata akan menemui penonton,” tambahnya.

Syanie memberitahu, Nizarman masih belum mempunyai rancangan untuk menghasilkan album runut bunyi filem tersebut.

Buat album solo

“Bagaimanapun, saya akan menjadikan lagu dendangan saya dalam filem itu iaitu Keliru sebagai lagu bonus bagi album saya yang dijadualkan dipasarkan Januari depan,” kata Syanie.

Album solo itu sudah lama selesai pembikinan dan hanya menanti masa untuk dipasarkan.

Album yang diberi judul Kerana-Nya itu diterbitkan oleh Stone daripada kumpulan Barongan.

“Saya bukan tidak mahu memasarkannya awal tapi tahu sahajalah, sekarang ini demam Mawi, jadi lebih baiklah ditangguhkan dulu pelancarannya.

“Selain itu, saya juga mempunyai sedikit masalah mencari pengedar bagi album tersebut,” ujarnya.

Syanie percaya ramai peminat akan tertanya-tanya mengapa dia menghasilkan album, apalagi album berkonsepkan pop, sedangkan dia lebih popular sebagai pelakon komedi.

“Ia adalah satu sisi lain saya yang tidak dikenali orang sebelum ini. Saya harap peminat boleh menerimanya,” kata Syanie yang memang meminati bidang nyanyian sejak kecil.

Jalan filem Persona Non Grata

* Persona Non Grata adalah istilah bahasa latin yang bermaksud mereka yang tidak dikehendaki.

* Filem tersebut mengisahkan tentang seorang pelarian. Pelarian Hu ialah seorang lelaki yang tidak lagi dikehendaki di negaranya. Dia bertemu dengan seorang pelukis yang mengalami kemalangan dan akhirnya jatuh cinta.

* Selain Erra Fazira dan Hans Isaac, turut membintangi Persona Non Grata ialah beberapa pelakon dari Singapura dan Thailand.

* 70 peratus penggambarannya dilakukan di Bangkok, Thailand manakala selebihnya di Malaysia.

* Filem itu turut dijangka ditayangkan di Thailand dan akan dijual untuk pasaran antarabangsa.

* Untuk merealisasikan watak pelukis, Erra Fazira diajar oleh seorang pelukis Thailand bernama Vinit Ttana.

Powered by Utusan Malaysia