Archive | Justin Timberlake RSS feed for this section

Timberlake Kahwin Musim Panas

10 Mar


JUSTIN TIMBERLAKE


JESSICA BIEL

LOS ANGELES – Penyanyi pop Justin Timberlake akan menamatkan zaman bujang pada musim panas ini dengan teman wanitanya, aktres Jessica Biel, lapor sebuah akhbar semalam.

Beberapa rakan rapat pasangan itu berkata, penyanyi berumur 27 tahun itu merancang untuk membawa Jessica berkahwin di Itali sekali gus mengikuti jejak langkah pasangan popular Hollywood, Tom Cruise dan Katie Holmes.

“Kedua-duanya sukakan idea mengadakan majlis perkahwinan mereka di Itali pada musim panas ini,” kata satu sumber.

Desas-desus mengenai perkara itu bertiup kencang apabila Timberlake dilihat mengunjungi rangkaian kedai barangan kemas di New York untuk mencari cincin perkahwinan mereka.

“Timberlake banyak meluangkan masa untuk mencari cincin sesuai. Dia meminta pekerja kedai emas supaya membawa keluar banyak cincin-cincin itu supaya dapat memilihnya,” kata seorang saksi. – Agensi

Kosmo

Advertisements

Penguasaan Pemuzik Britain

9 Feb

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
DEMAM anugerah sudah bermula dan hari ini majlis yang mengiktiraf hasil kerja terbaik dilakukan penggiat industri muzik dunia, Grammy kali ke-51 (Grammy 51) sedang berlangsung di Staples Center, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Membanggakan apabila tahun ini penggiat industri muzik dari Britain, menguasai pencalonan terutama dalam kategori utama.

Paling membanggakan apabila penyanyi muda berasal dari London, Leona Lewis turut dicalonkan dalam kategori utama untuk Rakaman Terbaik, Album Terbaik dan Persembahan Vokal Wanita Terbaik Pop.

Begitupun, timbul kesangsian apabila penyanyi yang cukup popular dengan lagu Bleeding Love tidak dicalonkan dalam kategori Artis Baru Terbaik.

Sebaliknya kumpulan remaja popular, Jonas Brothers yang hanya bergantung kepada wajah dan tidak bakat dicalonkan dalam kategori sama dan ia menimbulkan rasa tidak puas hati mereka yang turut dicalonkan pada tahun ini.

Turut dicalonkan kategori ini ialah Adele, Duffy, Lady Antebellum dan Jazmine Sullivan.

Ramai pihak meramalkan tahun ini Coldplay akan mengulangi sejarah lalu dengan mengungguli beberapa kategori utama termasuk Rakaman Terbaik dan Album Terbaik menerusi album terbaru Viva La Vida.

Walaupun Lil’ Wayne menerima jumlah pencalonan paling tinggi iaitu lapan, biasanya album berkonsepkan Rap payah memenangi hati juri.

Perkara sama turut berlaku kepada pemenang anugerah Album Rap Terbaik, Kanye West apabila tewas dalam semua kategori utama tahun lalu sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati kepada penyanyi itu yang turut dicalonkan bersama Estelle untuk Lagu Terbaik dan Vokal Kumpulan/Duo R&B Terbaik.

Selain Lil’ Wyane dan Coldplay, turut memberi saingan dengan lima pencalonan ialah Radiohead, Alison Krauss, John Mayer, Robert Plant dan Jazmine Sullivan manakala Jennifer Hudson, Adele, Danger Mouse, The Eagles, Lupe Fiasco, George Strait, Metallica dan T.I. masing-masing menerima empat pencalonan.

Bagi mereka yang menantikan acara anugerah dianjurkan National Academy of Recording Arts and Sciences of the United States berprestij ini, 8TV menyiarkan majlis gilang-gemilang melalui siaran tertunda satu jam pada 10 pagi ini.

Selain menyaksikan karyawan muzik Amerika berkumpul, majlis ini juga dinantikan kerana mahu menyaksikan persembahan artis-artis popular dan terkenal.

Anugerah Grammy tahun ini diacarakan LL Cool J dan Taylor Swift. Melengkapkan majlis berprestij ini ialah persembahan hebat dari Coldplay, Kenny Chesney, Jennifer Hudson, Jonas Brothers, Lil Wayne, Katy Perry, T.I, Bruce Springsteen, Carrie Underwood, Foo Fighters, Kanye West, Jay-Z, Radiohead dan ramai lagi.

Pengurus Besar Penjenamaan, Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Lam Swee Kim mengakui penganjuran Grammy cukup unik kerana berjaya menghimpunkan ramai penyanyi, komposer, penulis lirik serta mereka yang terbabit dalam industri seni suara di bawah satu bumbung.

“Semua pencinta muzik pasti menantikan anugerah yang cukup berprestij ini dan kami berbangga dapat memberi peluang kepada semua menyaksikannya secara langsung.

“Kepada mereka yang ketinggalan, berpeluang menyaksikan siaran ulangan pada hari sama, jam 9.30 malam. Selain majlis kemuncak, 8TV juga menyediakan program istimewa, My Night At The Grammys yang sudah pun disiarkan sehari sebelum acara utama untuk menyemarakkan lagi Anugerah Grammy,” katanya.

Berikut senarai pencalonan penting Anugerah Grammy Ke-51:

RAKAMAN TERBAIK
1. Adele (Chasing Pavements)
2. Coldplay (Viva La Vida)
3. Leona Lewis (Bleeding Love)
4. M.I.A.(Paper Planes)
5. Robert Plant and Alison Krauss (Please Read the Letter)

ALBUM TERBAIK
1. Coldplay (Viva La Vida)
2. Lil Wayne (Tha Carter III)
3. Ne-Yo (Year of the Gentleman)
4. Robert Plant and Alison Krauss (Raising Sand)
5. Radiohead (In Rainbows)

ALBUM POP TERBAIK
1. Sheryl Crow (Detours)
2. Duffy (Rockferry)
3. Eagles (Long Road Out Of Eden)
4. Leona Lewis (Spirit)
5. James Taylor (Covers)

ALBUM ROCK TERBAIK (SOLO)
1. Gravity (John Mayer)
2. I Saw Her Standing There (Paul McCartney)
3. Girls In Their Summer Clothes (Bruce Springsteen)
4. Rise (Eddie Vedder)
5 No Hidden Path (Neil Young)

ALBUM ROCK TERBAIK
1. Viva La Vida Or Death And All His Friends (Coldplay)
2. Rock N Roll Jesus (Kid Rock)
3. Only By The Night (Kings of Leon)
4. Death Magnetic (Metallica)
5. Consolers of the Lonely (The Raconteurs)

LAGU TERBAIK
1. Estelle (American Boy bersama penamlipan Kanye West)
2. Adele (Chasing Pavements)
3. Jason Mraz (I’m Yours)
4. Sara Bareilles (Love Song)
5. Coldplay (Viva La Vida)

LAGU ROCK TERBAIK
1. Girls In Their Summer Clothes (Bruce Springsteen)
2. House of Cards (Radiohead)
3. I Will Possess Your Heart (Death Cab For Cutie)
4. Sex On Fire (Kings of Leon)
5. Violet Hill (Coldplay)

VOKAL WANITA TERBAIK (POP)
1. Adele (Chasing Pavement)
2. Sara Bareilles (Love Song)
3. Duffy (Mercy)
4. Leona Lewis (Bleeding Love)
5 Katy Perry (I Kissed A Girl)
6 Pink (So What)

VOKAL LELAKI TERBAIK (POP)
1. Kid Rock (All Summer Long)
2. John Mayer (Say)
3. Paul McCartney (That Was Me)
4. Jason Mraz (I’m Yours)
5. Ne-Yo (Closer)
6. James Taylor (Wichita Lineman)

VOKAL DUO/KUMPULAN TERBAIK (POP)
1. Coldplay (Viva La Vida)
2. Eagles (Waiting In The Weeds)
3. Gnarls Barkley (Going On)
4. Maroon 5 (Won’t Go Home Without You)
5. OneRepublic (Apologize)

VOKAL KOLABORASI TERBAIK (POP)
1. Alicia Keys/John Mayer (Lesson Learned)
2. Madonna/Justin Timberlake/Timbaland (4 Minutes)
3. Robert Plant/Alison Krauss (Rich Woman)
4. Rihanna/Maroon 5 (If I Never See Your Face Again)
5. Jordin Sparks/Chris Brown (No Air)

VOKAL TERBAIK WANITA R&B
1. Me, Myself and I (Beyonce)
2. Heaven Sent (Keyshia Cole)
3. Spotlight (Jennifer Hudson)
4. Superwoman (Alicia Keys)
5. Need U Bad (Jazmine Sullivan)

VOKAL TERBAIK LELAKI R&B
1. You’re the Only One (Eric Benet)
2. Take You Down (Chris Brown)
3. Miss Independent (Ne-Yo)
4. Can’t Help But Wait (Trey Songz)
5. Here I Stand (Usher)

ARTIS BARU TERBAIK
1. Adele
2. Duffy
3. Jonas Brothers
4. Lady Antebellum
5. Jazmine Sullivan

Harian Metro

Debaran Anugerah Grammy Bermula

7 Feb

Susunan Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Coldplay dan Radiohead dua pencabar hebat yang turut menerima pencalonan terbanyak

LAPAN pencalonan pasti memberikan ruang selesa kepada penyanyi kelahiran New Orleans, Lil Wayne namun pada masa sama turut membangkitkan persoalan, mampukah dia mencipta keajaiban pada malam Anugerah Grammy, esok (Ahad)?

Album keenamnya, The Carter III yang dilancarkan Jun tahun lalu membentangkan ruang besar kepada pemilik nama asal, Dwayne Michael Carter Jr ini apabila mencatat angka jualan satu juta salinan pada minggu pertama dipasarkan.

Mencipta kejayaan gemilang bersama A Milli dan Lollipop yang melakar sebagai single pertama dalam carta Billboard Hot 100, kemunculan The Carter III pantas mendapat sokongan stesen radio.

Lagu seperti Got Money, Comfortable, Mrs Officer, You Ain’t Got Nuthin, Mr Carter dan La La sering mendapat permintaan tinggi untuk diputarkan, maka bukan sesuatu yang mengejutkan apabila penyanyi berusia 26 tahun ini diangkat MTV sebagai Lelaki Terbaik 2008.

Namun semua itu tidak menjanjikan sesuatu yang pasti menanti detik menghayunkan langkahnya ke Staples Centre, Los Angeles untuk acara tahunan yang buat kali ke-51 dilangsungkan.

“Apakah saya terfikir untuk menang? Tidak,” katanya, memberitahu terlalu banyak politik hingga membuatkan dia langsung tidak mahu menaruh harapan.

“Barangkali mereka cuma mampu terfikir cukuplah jika sekadar nama saya tercalon,” ulasnya lagi.

Sukar untuk memisahkan politik dalam Anugerah Grammy yang penganjurannya kebelakangan ini menerima pelbagai kritikan, malah makin diragui kredibilitinya.

Lil Wayne mendahului dengan lapan pencalonan, diekori rapat Coldplay yang menerima tujuh manakala Jay-Z, Ne-Yo dan Kanye West memperoleh enam pencalonan. Radiohead juga antara artis berkumpulan yang mempunyai pengaruh besar dengan lima pencalonan.

“Senarai pilihan untuk Anugerah Grammy tahun ini lebih baik,” ungkap Rollie Pemberton yang akan membuat persembahan bersama Cadence Weapon.

“Ini kerana saya selalu merasakan Anugerah Grammy tidak sehangat yang disangkakan,” katanya.

Pendapat itu barangkali dijelaskan oleh kemerosotan jumlah tontonan yang menurun sehingga 12 peratus berbanding tahun sebelumnya di mana ia cuma mencatat 17.5 juta penonton.

Sekali pun sering dikaitkan sebagai acara yang mengiktiraf bakat cemerlang, fokus Anugerah Grammy lebih terarah kepada produksi berbajet besar yang dikuasai label utama yang mendominasi pasaran sejak pertengahan alaf 20.

Tahun lalu, Anugerah Grammy ke-50 berakhir dengan kejutan apabila album River: The Joni Letters oleh Herbie Hancock diumumkan sebagai Album Terbaik, mengenepikan peluang besar Kanye West dan Amy Winehouse.

“Anugerah Grammy seolah cenderung kepada orang lama,” kata juri Canadian Idol, Jake Gold mengulas kemenangan Hancock tahun lalu.

Kemaraan Coldplay menerusi album, Viva La Vida or Death and All His Friends yang meraih jualan kedua tertinggi di Amerika Syarikat juga bukan mengejutkan, terutama apabila menerima pencalonan untuk tiga kategori utama iaitu Album Terbaik, Rakaman Terbaik dan Lagu Terbaik.

Penyanyi soul, Ne-Yo turut menyertai kumpulan dari Britain itu untuk kategori Album Terbaik menerusi Year Of The Gentleman, manakala Robert Plant dan Alison Krauss menyandarkan harapan kepada kolaborasi mereka menerusi Raising Sand.

“Saya menaruh kepercayaan industri mahukan muzik yang mempunyai kredibiliti untuk memenangi anugerah. Semua orang mahu mendengar muzik berkualiti,” kata Gold lagi.

Bagaimanapun, kebanyakan pihak meramalkan peluang cerah akan berpihak kepada Wayne dan Radiohead yang mendaki laluan berbeza untuk ke Anugerah Grammy.

Sekali pun Wayne menandatangani kontrak rakaman pada usia 11 tahun, mencapai jualan platinum bersama Hot Boys selain mencipta kejayaan bersama beberapa rakaman solo sejak sedekad lalu, namun itu belum memadai untuk membawanya pada kedudukan selesa.

Kolaborasinya bersama ramai penyanyi terkenal membuatkan namanya pantas mendaki puncak, justeru bukan sesuatu mengejutkan apabila The Carter III mencatat jualan besar.

“Suaranya berada dalam setiap album yang dibeli. Malah kehadirannya sering membayangi penyanyi yang berkolaborasi dengannya. Sudah pasti saya akan membeli albumnya,” kata Pemberton.

Radiohead pula turut menerima perhatian luar biasa daripada media ketika melancarkan album ketujuh mereka, In Rainbows.

Layanan berbeza diterima kumpulan yang pernah menjulang dua trofi Anugerah Grammy itu ketika melahirkan album keenam mereka pada 2007.

Album itu dilancarkan tanpa bantuan syarikat rakaman, sebaliknya menyerahkan kepada peminat untuk mendapatkan lagu nyanyian mereka menerusi muat turun internet.

“Cara album terbaru mereka dipasarkan banyak membantu menjulang Radiohead,” kata penyampai radio, Alan Cross.

Justeru, bukan sesuatu yang mustahil jika pada Grammy tahun ini kumpulan itu diramalkan akan menjulang trofi Album Terbaik selepas tiga percubaan.

Seperti kata Pemberton, kategori Album Terbaik acap kali membangkitkan persoalan seperti kemenangan besar Dixie Chicks pada 2007 dan Hancock, tahun lalu disebabkan juri enggan memberi pengiktirafan kepada Kanye West.

“Andai tahun ini kemenangan berpihak kepada Radiohead, ia seperti memberitahu: “Kami moden, berfikiran ke depan dan kami menerima idea baru”.

“Mereka boleh berkata apa saja walaupun pada hakikatnya mereka tidak seperti yang dikatakan,” katanya.

Menyentuh persembahan tahun ini, ia memperlihatkan gandingan dinamik apabila menyatukan nama komersial dan hebat termasuk U2 dan Justin Timberlake, selain senarai calon.

“Saya bersetuju anugerah ini menyenaraikan ramai artis yang membuat persembahan. Acaranya sesuatu yang besar, produksinya juga besar malah membabitkan ramai artis serta memberi penghargaan kepada penyanyi lama.

“Tetapi Anugerah Grammy lebih terarah kepada acara persembahan, bukan lagi penganugerahan. Sajiannya terlalu sarat dengan muzik tanpa henti,” katanya.

Info:SIARAN langsung Anugerah Grammy dapat disaksikan menerusi Star World, Astro pada 9 Februari ini, bermula jam 9 pagi.

Berita Harian

Stailo: 2009 Era Rambut Klasik

24 Jan

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

ANTARA gaya rambut lelaki masakini.

Potongan rambut konvensional serlah kematangan lelaki

KAITAN gaya rambut dan karektor diri usah sesekali dipandang ringan. Seperti cita rasa bergaya, potongan rambut mencermin pembawaan diri. Apa yang nyata, rambut membawa pengaruh besar terutama bagi individu yang sering menjadi tumpuan ramai.

Tidak hairanlah individu berpengaruh seperti selebriti, model dan golongan kenamaan amat menitik berat gaya rambut. Golongan ini akan memastikan rambut senada dengan imej dan penampilan diri.

Menyentuh potongan rambut lelaki, ada pihak masih berfikiran sempit. Bagi mereka, rambut lelaki hanya sesuai pendek dan tidak boleh diragamkan seperti rambut wanita. Padahal, jika diberi sedikit pembaharuan serta disesuaikan pula dengan gaya tertentu, rambut lelaki boleh dipelbagaikan gayanya.

Misalnya, potongan rambut pendek boleh dipelbagaikan melalui belahan alur rambut. Dengan bantuan teknologi terkini yang menyaksikan produk berasaskan gel, wax, clay dan rubber dicipta, semua produk ini boleh digunakan untuk membentuk karisma dan kesan dramatik pada gaya rambut.

Bagi lelaki yang cenderung berimej metroseksual, variasi gaya rambut disesuaikan pula dengan pilihan warna berbeza. Jika selama ini, warna rambut kekal hitam, mungkin 2009 memberi isyarat untuk membuat perubahan drastik dengan memilih warna coklat dan kemerahan demi mencipta kelainan.

Apa yang penting, tidak perlu malu untuk berubah andai mampu meningkatkan ‘saham’, sekali gus mengundang perhatian gadis!

XY – Stailo minggu ini berkongsi idea buat jejaka yang bercadang memilih gaya rambut terbaru serta tip potongan rambut sesuai mengikut bentuk wajah. Sepanjang tahun ini, gaya rambut lelaki banyak dipengaruhi elemen klasik di mana potongan konvensional menyerlahkan kematangan lelaki.

Biarpun potongan rambut klasik tidak menyuntik banyak perubahan dalam penampilan individu, kreativitinya lebih melakar pada teknik belahan alur rambut.

Jika suatu ketika dulu, imej rambut terpacak mencetus evolusi gaya jejaka, imej potongan rambut klasik meletakkan pula gaya sederhana tetapi menyerlahkan ciri-ciri maskulin lelaki. Tidak percaya, imej rambut klasik menjadi teras gaya selebriti terkenal dunia dalam acara berprestij termasuk di Anugerah Golden Globe, baru-baru ini.

Pada majlis gilang-gemilang itu, aktor hebat, Brad Pitt tampil penuh karisma dengan gaya rambut klasik. Aktor lain yang mencuri perhatian ialah Pierce Brosnan, Tom Cruise dan Leonardo Dicaprio. Nyata potongan rambut klasik mereka memukau hadirin sebaik menjejak kaki di karpet merah.

Potongan rambut klasik bagaimanapun lebih sesuai digayakan mereka yang berambut lurus. Bagi yang berhasrat tampil dengan gaya rambut klasik, apa kata dapatkan pandangan pakar dandanan rambut supaya jenis rambut dan bentuk wajah sesuai dapat ditentukan.

Nyata pengaruh gaya rambut abad ke-20 menyaksikan dua cara berbeza dalam gaya rambut klasik sama ada belahan tepi dan di tengah kepala.

Bukan saja memberi pengaruh besar dalam dunia hiburan dan fesyen, potongan rambut klasik menjadi pilihan jejaka yang menduduki jawatan eksekutif, ahli perniagaan dan golongan profesional.

Ciri-ciri konvensional pada gaya rambut klasik bukan saja menyerlah kematangan lelaki, malah menonjolkan kebersihan diri dan lebih sopan.

Menjurus gaya sebegini, ramai bintang Hollywood era awal sudah pun mencorak identiti mereka dengan gaya potongan rambut klasik seperti yang ditampilkan aktor James Dean, Rochard Burton, Sean Connery dan Elvis Presley.

Mungkin, idea dan paparan contoh gaya rambut klasik mampu memberi pilihan kepada jejaka untuk mencubanya! Tunggu apa lagi, serlahkan kreativiti anda!

INFO: Tip potongan rambut mengikut bentuk wajah

Wajah bujur.Seseorang yang memiliki wajah bujur mampu mempelbagaikan jenis potongan rambut daripada pendek hinggalah panjang mengurai. Mereka yang berwajah begini bebas menggunakan kreativiti untuk bergaya.

Wajah bersegi.Tidak ramai jejaka memiliki bentuk wajah begini mampu memberi gaya rambut sesuai. Biar apapun gaya yang ditampilkan, biarlah sederhana dan usah ketepikan faktor wajah bersegi menonjolkan ciri kelakian sebenar.

Wajah empat segi panjang.Ramai berpendapat, pemilik bentuk wajah seperti ini membiarkan rambut lebih panjang dan dipotong berlapis. Malah, jika dibiarkan mengurai, pesona seksi mampu tercetus selain menyerlahkan ciri-ciri metroseksual dalam diri lelaki.

Wajah tiga segi.
Penyanyi terkenal, Justin Timberlake sebagai contoh memiliki bentuk wajah tiga segi. Bentuk wajah sebegini sesuai berambut pendek pendek dan tidak terpacak. Imej

kemas dan tidak berserabut menampakkan diri anda cukup comel dan kebudak-budakan.

Wajah bulat.Mereka yang berwajah bulat disarankan tidak menyimpan rambut panjang. Sebaiknya, rambut harus kemas dan pendek. Kedudukan sisi rambut haruslah sama rata di

bawah paras mata. Ini bagi memastikan keseimbangan bentuk wajah. Disebabkan itulah, ramai yang berwajah bulat memilih membotakkan kepala atau crew cut.

Ramalan rambut hangat 2009!

Inspirasi potongan rambut 1950-an hingga 1960-an.

Rambut sedikit panjang, berombak mahupun lurus.

Rambut sihat yang mampu menyerlahkan kilauan.

Pergerakan rambut beralun secarasemula jadi.

Rambut yang diwarnakan dengan rona sesuai tampak lebih semula jadi apabila terkena pancaran matahari.

Berita Harian

Histeria Gara-Gara Modread

23 Jan

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

MODREAD menerima replika cek daripada Dieter (kiri) dan Seelan.

Band yang dianggotai empat orang itu menjuarai Hot FM Twisties Bingit

BERBEKALKAN prinsip sentiasa memberikan persembahan terbaik sepanjang pertandingan nyata memberikan habuan besar buat kumpulan Modread apabila mereka diumumkan juara pertandingan yang julung kali diadakan, Hot FM Twisties Bingit, berakhir pada 17 Januari lalu.

Dengan kemenangan berkenaan, empat pemuzik dianggotai Shahfiq Shahrudin (pemain gitar), Sukri Salleh (bass), Muhammad Fahmi Ikhwan (vokal) dan Adzeem Hairani Ali Omar (dram) membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000 serta kontrak bersama syarikat rakaman Monkey Bone.

Modread yang mempertaruhkan lagu sendiri, Revolusi, serta lagu dendangan asal Wings, Ameringo, pada saingan akhir mengetepikan cabaran lima kumpulan finalis lain iaitu Pardon Me, Rockstar, Hunterz, Sodo dan Mystery Call. Selaku naib juara, kumpulan dari Pulau Pinang, Pardon Me, menerima hadiah wang tunai bernilai RM8,000.

Empat finalis lain menerima sagu hati bernilai RM2,000 setiap kumpulan, manakala kumpulan yang tersingkir lebih awal, Canaries, Fury, Nada Band dan The Rhymes pula menerima RM1,000.

Pada pertandingan akhir yang berlangsung di CapSquare, Modread nyata dilihat mempunyai kelebihan apabila persembahan hangat mereka ketika menyampaikan kedua-dua lagu berjaya membuatkan penonton yang hadir dilanda ‘histeria’. Sebaik saja menamatkan persembahan, kedudukan pada dua tempat teratas bagai sudah pasti untuk kumpulan ini.


PARDON ME gembira dengan kejayaan merangkul tempat kedua.

“Saingan yang kami rasakan cukup kuat ialah daripada kumpulan Mystery Call dan Pardon Me. Bagaimana pun, rezeki nampaknya menyebelahi kami. Ia pencapaian yang tidak disangka-sangka. Sedikit pun kami tidak menjangka, begini sudahnya pengakhiran perjuangan kami selama lebih kurang sebulan bersama,”ῠkata Adzeem.

Menurut Shahfiq, sikap bertolak ansur antara setiap anggota kumpulan berjaya membuahkan hasil yang baik buat mereka.

“Maklum saja, masing-masing sebenarnya menggemari muzik yang berbeza. Ada yang menyukai reggae, ada pula yang menyukai hip hop mahupun rock. Tetapi, kami satukan idea dan menghasilkan single yang nampaknya memberikan pulang baik untuk kumpulan ini,” katanya.

Sukri pula memberitahu, dengan hadiah kejuaraan berupa kontrak rakaman bersama Monkey Bone, mereka pastinya mempertimbangkan kemungkinan berpindah ke ibu kota bagi melicinkan lagi karier seni yang baru hendak bermula.

Kumpulan itu menjalani bakat di Johor, dengan dua anggotanya, Sukri dan Shahfiq masih menjadikan negeri itu sebagai pangkalan.

Ditanya mengenai wang kemenangan, Fahmi berkata, pastinya mereka akan menyimpan sebahagian besar habuan berkenaan, manakala sebahagian lagi akan digunakan untuk tabung kumpulan.

Kumpulan yang menjadikan pelbagai nama dalam industri hiburan seperti Estranged, Chick Corea, Red Hot Chili Peppers dan Justin Timberlake sebagai idola ini turut berasakan, seandainya mereka diberikan ruang untuk membuat pilihan ketika menghasilkan album nanti, pastinya muzik rock moden akan jadi pertaruhan.

Sementara itu, juri pertandingan yang juga Pengurus Label Monkey Bone, Edris Adrian berkata, kumpulan terbabit sememangnya layak bergelar juara, seterusnya bernaung di bawah jenama yang turut memayungi karier Faizal Tahir, Ayu Damit dan Shila.

“Keistimewaan Modread bukan hanya terletak pada keupayaan mereka dalam permainan muzik dan persembahan vokal, malah anggotanya menunjukkan keserasian yang baik bagaikan sudah 10 tahun saling mengenali. Sedangkan, mereka tidak mengenali antara satu sama lain sebelum digabungkan penganjur sebagai satu kumpulan untuk pertandingan berkenaan,” ujar Edris.

Sebagai kumpulan muzik pertama di bawah label terbabit, Edris berkata, mereka akan mengasuh Modread sebaik-baiknya sebelum diberikan peluang untuk muncul bersama album sendiri. Dia juga berkata, kemungkinan besar corak muzik rock tegar sebagaimana yang dipersembahkan kumpulan itu akan dikurangkan sedikit bagi menyesuaikannya dengan selera pasaran semasa.

“Namun, sudah tentu kami akan kekalkan elemen rock tegar mereka itu dalam beberapa lagu, kerana corak muzik sebegitu kekuatan mereka. Ketika ini, mungkin semuanya terlalu awal untuk diperkatakan. Kami perlu duduk berbincang terlebih dulu sebelum sesuatu keputusan berhubung arah tuju karier dan bentuk album mereka dapat diperjelaskan,” kata Edris yang menganggap keenam-enam kumpulan menunjukkan kemampuan terpuji pada final pertandingan terbabit.

Selain Edris, juri pertandingan akhir terdiri daripada Ketua Bahagian Radio, Rangkaian Radio Media Prima, Ahmad Izham Omar; anggota Meet Uncle Hussain, Taja; komposer, Edrie Hashim; dan anggota kumpulan Spider, Tony. Penilaian mereka mewakili 50 peratus daripada markah keseluruhan, dengan sebahagian lagi diwakili undian peminat.

Hadiah kepada peserta disampaikan Pengarah Urusan Kraft Food Malaysia, Dieter Shulz dan Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul.

Berita Harian

10 Tahun Penuh Cemerlang

20 Dec

Susunan Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

CHRISTINA Aguilera sedang bahagia melalui fasa perkahwinan dan kerjaya yang semakin stabil.

Christina Aguilera tampil dengan album kompilasi khas buat peminat

TANGGAL 18 Disember ini genaplah 28 tahun usia penyanyi dan penulis lagu kelahiran kota New York, Christina Aguilera. Pertambahan usianya seiring dengan kejayaan yang dikecapinya dari setahun ke setahun.

Sejak awal pembabitannya menyertai pertandingan dan persembahan nyanyian serta bakat, Aguilera pernah mendapat jolokan ‘gadis kecil dengan suara yang besar’. Bayangkan ketika berusia 10 tahun, vokal Aguilera seakan gadis berusia 20 tahun.

Kemuncak kehadiran dan terserlah bakatnya ketika 1993 apabila mendapat peranan besar dalam saluran Disney menerusi rancangan The New Mickey Mouse Club di sisi nama besar yang kini juga sedang meledak seperti Britney Spears, Justin Timberlake, Ryan Gosling dan ramai lagi.

Penyanyi yang turut mendedikasikan hidupnya dengan kerja amal, hak asasi manusia dan isu dunia ini mula menempa nama dengan kehadiran album sulung menggunakan namanya sendiri pada 24 Ogos 1999. Album itu memanjat carta Billboard dan terjual dengan begitu sukses di seluruh dunia.

Lagu Genie In A Bottle, What A Girl Wants dan Come On Over Baby (All I Want Is You) memperkenalkan nama Aguilera dengan pantas.

Selepas muncul dengan beberapa siri album seperti Christina Aguilera (199), Stripped (2002) dan Back To Basics (2006), kini peminat Aguilera boleh mengabadikan kompilasi bersempena dengan sedekad pembabitannya di dalam bidang seni.

Dilancarkan RCA Records dan diedarkan Sony BMG Music, album kompilasi, Keeps Gettin Better – A Decade Of Hits bakal mengubat rindunya sebelum muncul dengan album seterusnya yang ditafsirkan Aguilera sebagai ringkas, manis dan ternyata berbeza daripada album Back To Basics.

“Tak sangka sudah 10 tahun saya berada di dalam industri dan sangat teruja dengan kehadiran satu album kompilasi yang mempunyai koleksi lagu kegemaran saya sebagai hadiah buat peminat setia saya. Ia satu fasa peralihan saya daripada satu peringkat ke peringkat yang lebih baik.

“Apa yang boleh saya cakapkan rakaman album terbaru menjelang 2009 nanti sangat menyeronokkan kerana saya lebih terarah merujuk kepada seni pop, seni Andy Warhol. Album ini secara visual mempunyai pelbagai warna dan akan ada sebuah lagu yang menerapkan elemen moden simbolik terhadap cinta saya kepada Tokyo,” katanya.

Rasa indah bergelar ibu

MENGINTAI kisah peribadi, bahagia sedang erat mendakap rumah tangganya bersama eksekutif pemasaran muzik, Jordan Bratman. Mula berpacaran pada 2002, pertunangan mereka diumumkan Februari 2005 dan berkahwin pada tahun yang sama pada 19 November di estet Napa Valley.

Hakikatnya, sebelum bahagia berkunjung, Aguilera sering gagal di dalam percintaan dengan beberapa orang lelaki yang digosipkan dengannya seperti VJ MTV, Carson Daly dan penari Jorge Santos.

Awal tahun ini pada 12 Januari 2008, rona bahagia Aguilera dan suaminya bertambah seri dengan kehadiran anak sulung mereka bernama Max Liron Bratman. Anaknya dilahirkan di Pusat Perubatan Cedars-Sinai, Los Angeles, California.

Kelahiran anaknya ini juga menarik minat majalah People untuk mendapat hak eksklusif menyiarkan gambarnya di dalam majalah itu. Difahamkan juga menurut laporan Forbes, hak penyiaran gambar anak Aguilera berada di tempat kelima yang termahal diberikan kepada sesebuah penerbitan di kalangan selebriti Hollywood.

“Dalam satu temu bual yang dijalankan oleh Ellen DeGeneres, Aguilera dan suaminya sentiasa mencari sesuatu atau perkara yang boleh menghangatkan lagi rumah tangga.

“Kekalkan dan hidupkan alam perkahwinan dan rumah tangga dengan apa cara yang kita rasa mampu membuatkan suasana terus intim dan panas.

“Mengenai anak, saya bahagia melihat dia membesar setiap hari kerana ada saja perkara baru yang dipelajarinya. Saya dan suami gembira melihat dia bersungguh-sungguh memulakan langkah pertama sebelum boleh berjalan. Saya tidak mahu terlepas peluang menyaksikan semua itu. Sekarang baru saya sedar perasaan bergelar ibu sangat indah,” katanya lagi.

Profil Christina Aguilera

Nama sebenar: Christina Maria Aguilera

Tarikh lahir: 18 Disember 1980

Tempat lahir: Staten Island, New York, Amerika Syarikat

Suami: Jordan Bratman

Anak: Max Liron Bratman

Laman web: http://www.christinaaguilera.com.

Lagu popular: Hurt, Beautiful, Ain’t No Other Man, Candyman, Genie In A Bottle, Fighter, Can’t Hold Us Down

Info

Pernah menyanyikan lagu runut bunyi berjudul Reflection untuk filem Mula pada tahun 1998

Sebelum muncul dengan album kedua berjudul Stripped pada 2002, Christina Aguilera terlebih dulu merakamkan album Sepanyol diberi judul Mi Refleja dan dilancarkan pada 12 September 2000. Album ini melayakkan Aguilera memenangi Vokal Wanita Terbaik di Anugerah Grammy Latin pada 2001. Album yang sama juga turut menang di dalam anugerah World Music Awards.

Pada 2000 juga, Aguilera melancarkan album Christmas berjudul My Kind Of Christmas.

Penyanyi kacak, Ricky Martin pernah mengajak Aguilera berduet menerusi lagu Nobody Wants To Be Lonely yang dimuatkan di dalam album Ricky, Sound Loaded dipasarkan 2001.

Berkolaborasi dengan Lil’Kim, Mya dan Pink untuk lagu runut bunyi berjudul Lady Marmalade untuk filem Moulin Rouge pada 2001. Lagu itu diterbitkan Missy Elliot dan mencatat sejarah menjadi lagu single yang paling kerap dimainkan sepanjang tahun.

Album Back To Basics menampilkan transformasi imej Aguilera yang cukup ketara berbanding album terdahulu yang lebih bersikap provokatif dan seksi. Menggayakan potongan rambut perang dan pendek persis gaya Marilyn Monroe, Aguilera mengembalikan gaya glamor Hollywood sekitar tahun 1920 hingga 1940. Selain Aguilera, selebriti popular Hollywood seperti Dita Von Teese, Gwen Stefani dan Ashley Judd pernah melakukan perkara yang sama.

Pernah mengadakan konsert jelajah dengan Justin Timberlake dipanggil Justified & Stripped Tour.

Mei 2006, Aguilera memberanikan diri pos berbogel berinspirasikan Marilyn Monroe untuk majalah GQ.

Berita Harian

Mengelak Jumpa Jessica

3 Dec


CAMERON DIAZ

ENTAH mengapa, aktres Cameron Diaz cuba mengelakkan diri daripada bertemu Jessica Biel ketika kedua-dua bintang terkenal ini menghadiri majlis CNN Heroes: An All-Star Tribute baru-baru ini.

Mungkinkah kerana Jessica kini menjadi teman wanita baru kepada Justin Timberlake? Semua orang tahu sebelum ini Cameron dan Justin pernah berkasih.

Cameron dilaporkan bergegas keluar melalui pintu belakang lokasi majlis yang berlangsung di Kodak Theatre itu untuk mengelak dari bersua muka dengan Jessica.

Satu sumber memberitahu Contactmusic, Cameron mungkin mengelakkan diri untuk bertemu Jessica agar mereka tidak bercakaran. Pada majlis itu, Jessica ditemani bapanya, Jonathan untuk menjadi penyampai anugerah majlis itu.

Cameron pula telah menyampaikan anugerah kepada Marie Da Silva, yang menerima sumbangan untuk membangunkan sekolah kelolaannya di Malawi.

Antara selebriti lain yang turut menyerikan majlis tersebut termasuklah Christina Aguilera, Salma Hayek, Forrest Whitaker, Meg Ryan, Terrence Howard, Lucy Liu dan Kate Beckinsale.

Kosmo