Archive | Kareena Kapoor RSS feed for this section

Kareena Janji Ibu Berpakaian Sopan

17 Apr

MUMBAI: Pelakon popular Bollywood, Kareena Kapoor, mengecewakan ramai peminat lelaki apabila memutuskan untuk berpakaian lebih konservatif dalam filemnya, selepas mempamerkan susuk tubuhnya dengan memakai bikini dalam filem Taashan dan Kambhakt Ishq.

Keputusan itu dibuat selepas aktres berkenaan berjanji dengan ibunya, Babita, tidak akan melakonkan watak yang memerlukannya memakai bikini dan menampilkan diri dengan pakaian lebih sopan, terutama dengan statusnya sebagai bakal menantu keluarga Saif Ali Khan yang dihormati ramai.

Berikutan itu, cucu Raj Kapoor itu kebelakangan ini dilihat sering memakai sari pada banyak majlis berbanding pakaian Barat yang selalu menjadi pilihan sebelum ini.

Ditanya mengenai perubahan itu, dia cuma menjawab: “Cukuplah dengan semua gaun itu. Mengapa tidak boleh saya memakai pakaian India saja?”

“Kareena begitu selesa dengan ibu bapa Saif. Dia tidak berasa begitu dengan orang lain selain keluarganya. Walaupun ibu Saif, Sharmila Tagore, pernah memakai bikini ketika zaman kegemilangannya sebagai pelakon, dia menukar almari pakaiannya sepenuhnya sebaik bapa Saif, Pataudi Khan, muncul dalam hidupnya.

“Kini Kareena akan menjadi sebahagian daripada legasi keluarga Khan. Dia tidak akan membuat sesuatu yang menjejaskan kedudukannya dalam kehidupan Saif,” kata rakan pelakon itu.

Sementara itu, Saif mengejutkan kekasihnya itu dengan membawanya bercuti selama sebulan sebaik filem arahan Rensil D’Silva tamat ke destinasi yang dirahsiakan.

“Ada sebab Saif tidak mahu mendedahkan lokasi percutian kami kepada saya. Dia berasa saya tidak boleh menyimpan rahsia dan akan mendedahkannya ke seluruh dunia. Ini akan menimbulkan masalah keselamatan kepada kami.

“Saya tidak tahu apa pakaian yang hendak dibawa. Saya tidak tahu cuaca di lokasi percutian kami,” katanya.

Berikutan itu, kata Kareena, dia akan meminta Saif membeli pakaian yang sesuai dengan destinasi percutian mereka. – Agensi

Berita Harian

Kareena Tayang Badan Lagi

7 Apr


KAREENA muncul sebagai supermodel menerusi filem Kambakkht Ishq.

SELEPAS muncul dengan badan yang kurus mirip supermodel menerusi filem Tashan, bagaimana agaknya bentuk badan Kareena Kapoor dalam merealisasikan watak seorang supermodel menerusi filem Kambakkht Ishq?

Filem yang telah siap menjalani penggambaran itu menggandingkan Kareena dan Akshay Kumar yang menghidupkan watak seorang pelakon lagak ngeri yang bekerja dalam industri filem di Hollywood.


KAREENA, Akshay Kumar dan Saif Ali Khan dalam satu babak filem, Tashan.

Menurut satu sumber: “Kareena pasti akan muncul seksi dalam Kambakkht Ishq sebagaimana penampilannya menerusi Tashan yang menyaksikan dia memakai bikini. Khabarnya kali ini dia muncul dengan memakai bikini berwarna hitam.”

Kambakkhat Ishq yang turut menampilkan kemunculan khas beberapa bintang Hollywood tersohor seperti Sylvester Stallone, Arnold Schwarzenegger dan Denise Richards itu dijadualkan mula ditayangkan menjelang 29 Mei ini.

Kosmo

Saif Minta Saya Bersabar: Kareena

19 Mar

MUMBAI: Di sebalik sangkaan ramai Kareena Kapoor lebih mementingkan kerjaya kerana enggan mengahwini kekasihnya, Saif Ali Khan, pelakon itu mendedahkan dia sebenarnya yang tidak sabar untuk berumah tangga.

Dalam temu bual disiarkan akhbar Times of India, Kareena berkata, Saif tidak pernah menekannya untuk cepat berkahwin seperti yang difikirkan peminat.

“Sebaliknya saya yang selalu mahu segera berkahwin dan Saif pula selalu berkata kepada saya, ‘dengar sini, beri masa kepada hubungan kita, tunggu, awak berada di kemuncak kerjaya yang diimpikan ramai orang. Bertenang dan nikmati pahit manis kerjaya ini untuk seketika lagi.’

“Itu yang menjadikan saya lebih mencintainya. Saya tidak berasa ada lelaki lain dalam industri ini memberitahu perkara sama kepada seseorang aktres. Dia begitu menyokong dan menghormati kerjaya saya,” katanya.

Kareena juga mendedahkan dia tidak pernah terfikir untuk menjadi pelakon kerana bercita-cita menjadi pramugari, tetapi ditentang keras oleh bapanya, pelakon Randhir Kapoor.

Pernah menghadiri Kolej Undang-Undang kerajaan selama enam bulan, Kareena akhirnya terpaksa mengalah hakikat dia perlu mengadap buku untuk menjadi peguam.

“Saya tinggalkan kolej kerana tidak tahan dengan buku. Ia menakutkan saya,” kata bintang Jab We Met itu.

Dia juga tidak pernah menyesal menarik diri daripada menjayakan filem Kaho Na Pyar Hai yang mendapat sambutan hangat sebaliknya memilih filem Refugee untuk memperkenalkan sebagai pelakon. – Agensi

Berita Harian

Freida Pinto Bakal Aktres India Termahal

26 Feb

MUMBAI – Heroin filem Slumdog Millionaire, Freida Pinto bakal menjadi aktres termahal Bollywood selepas dia mendapat tawaran berlakon dalam filem terbaru arahan Woody Allen, lapor sebuah akhbar semalam.

Pinto akan menyertai bintang Hollywood iaitu Anthony Hopkins, Naomi Watts dan Josh Brolin dalam filem yang masih belum diberikan judul itu dan akan memulakan penggambarannya tahun ini.

Dia dikatakan akan menerima bayaran hingga AS$3 juta (RM11 juta) untuk filem tersebut iaitu satu jumlah yang kecil jika dinilai berdasarkan standard Hollywood.

Bagaimanapun, jumlah itu sudah memadai untuk menobatkan Pinto sebagai aktres termahal Bollywood.

Ketika ini, aktres-aktres utama Bollywood seperti Kareena Kapoor dan Katrina Kaif menerima bayaran mencecah AS$1.5 juta (RM5.6 juta) untuk sesebuah filem.

Sementara itu, berita tentang Pinto yang akan mengembangkan sayap di Hollywood bakal meningkatkan bayaran untuk penglibatannya dalam sektor sampingan seperti iklan.

“Kami sedang berunding dengan syarikat pembuat jam antarabangsa dan firma kosmetik antarabangsa yang memiliki perniagaan di India,” kata pengurus pengiklanan Pinto, Anirban Das Blah.

“Kami mahu menjadikan Pinto sebagai bintang Hollywood sebenar dari India. Beberapa aktres Bollywood sebelum ini cuba bertapak di Hollywood tetapi kurang berjaya,” tambahnya. – Agensi

Kosmo

Pinto Mengejutkan Bollywood

14 Feb

Susunan Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com

Kemunculannya dalam filem Slumdog Millionaire membuka mata banyak pihak daripada penerbit, pengarah dan pelakon ternama di Mumbai

SETAHUN yang lalu, mungkin namanya begitu asing pada dunia perfileman antarabangsa.

Siapalah yang mengenali wanita bernama Freida Pinto, kecuali bagi peminat yang peka pada dunia peragaan. Maklum saja, ketika itu namanya sungguh kecil jika hendak dibandingkan dengan Aishwarya Rai, Kareena Kapoor, Rani Mukherjee atau Preity Zinta.

Namun hari ini, rata-rata pemerhati filem memperkatakan mengenai kemunculan si cantik dari Mumbai, India itu. Sejak beberapa bulan lalu, wajahnya sering kali terpampang di dada akhbar dan majalah, ketika melintasi pelbagai majlis anugerah.

Penampilannya yang pertama dalam filem hangat menjadi topik perbualan masa kini, Slumdog Millionaire, bukan hanya menjadikan dirinya aktres paling hebat diperkatakan di Bollywood, malah dia tentunya antara insan paling gembira apabila anugerah demi anugerah diterima filem berkenaan sejak tahun lalu.

Sehingga artikel ini ditulis, sudah 18 trofi Filem Terbaik sudah pun menjadi milik Slumdog Millionaire, termasuk pada Anugerah Akademi Filem British (Bafta) 2009 yang baru saja berlangsung 8 Februari lalu.


GAYA menarik pelakon wanita kelahiran Mumbai ini ketika menghadiri Anugerah Gaya Elle 2009.

Pada 23 Februari nanti, tentunya dunia tertunggu-tunggu, apakah filem drama ini sekali lagi dinobat Filem Terbaik pada Anugerah Academy.

Pinto sendiri yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita pada anugerah Bafta ke-62 terkena tempias kehebatan filem berkenaan.

Malahan pada Isnin lalu, dia dipilih sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Gaya Elle 2009 di London.

Apabila nama mula dikenali, tentulah gandingannya dalam filem berikutnya pun pasti terdiri daripada pelakon ternama juga. Freida turut mempunyai senarai impiannya sendiri apabila berbicara mengenai pelakon lelaki yang ingin didampingi dalam filem.

Pada majlis Elle berkenaan, Pinto mendedahkan betapa dia mengimpikan untuk berlakon di samping bintang terkenal Leonardo DiCaprio dan Johnny Depp.

Katanya juga, peluang beraksi di sisi aktor hebat Jack Nicholson pula tidak mungkin dilepaskan begitu saja seandainya rezeki seperti itu tiba ke riba suatu hari nanti.

“Jack Nicholson ialah seorang pelakon yang sentiasa saya idamkan untuk berlakon bersama. Dia seorang aktor yang mempunyai karakter cukup menarik,” ujar artis berusia 24 tahun ini.

Pinto juga tidak mahu mendabik dada walaupun filem arahan Danny Boyle (yang kini sudah mengumpul 19 trofi termasuk Pengarah Terbaik) yang dibintanginya itu dikatakan pencabar terkuat untuk merebut Oscar nanti.

Pada anugerah itu, antara lain filem Slumdog Millionaire akan bersaing dengan dua filem lakonan Pelakon Wanita Terbaik Bafta 2009, Kate Winslet, iaitu The Reader dan Revolutionary Road bagi kategori Filem Terbaik.

Katanya, Winslet ialah pelakon yang dipuja olehnya kerana bakat besar milik aktres terbabit.

“Pastinya saya akan dapat belajar banyak benda apabila dapat berlakon di sampingnya. Dia bintang yang begitu hebat. Kita sendiri pun sudah banyak bergelak ketawa dan berduka tatkala mengikuti menonton lakonannya selama ini.

“Jadi, peluang beraksi di sampingnya tentulah satu peluang yang cukup memberi makna,” katanya.

Menurut Pinto, dia banyak menerima tawaran berlakon selepas kejayaan filem terbabit, namun dia masih lagi terkejut dengan sambutan luar biasa yang diberikan penonton di tanah air sendiri.

Katanya, semua orang bagaikan gila terhadap filem itu kerana ia mendapat pungutan yang cukup tinggi di seluruh dunia, pencapaian yang jarang sekali berlaku di India.

Info:

SLUMDOG MILLIONAIRE menyaksikan Pinto berlakon sebagai gadis yatim berusia 18 tahun, Latika, yang menemui dua saudara lelaki baru, Jamal dan Salim. Bersama-sama, mereka memulakan perjalanan hidup yang penuh suka dan duka. Malangnya, langkah hidupnya tersasar ke arah onak penuh bahaya dan matlamatnya kini adalah untuk menyatukan dirinya dengan seseorang paling dicintai.

Pinto dipanggil oleh pengarah lakonan yang juga pengarah bersama Slumdog Millionaire, Loveleen Tandon, untuk hadir uji bakat filem berkenaan. Proses itu diikuti oleh sesi uji bakat berbulan-bulan bersama pengarah Danny Boyle. Hanya selepas proses yang dianggapnya menyeronokkan tetapi memeritkan itu, dia akhirnya ditawarkan watak Latika.

SEJAK zaman persekolahan, Pinto aktif membabitkan diri dalam semua kegiatan drama. Dia juga menjadi peragawati selama dua tahun lebih bersama ejen model Elite Model Management India. Selepas mendapat peranan dalam filem terbabit, dia belajar hampir kesemua perkara yang dimahukan daripada pengarah filem itu sendiri. Selepas penggambaran dilakukan, dia tertarik untuk menyertai sekolah lakonan untuk mendapatkan pengalaman. Lalu, dia menghadiri bengkel lakonan dikendalikan guru lakon, Barry John.

MENGINGATI rakaman pertama membabitkannya, Pinto berkata, ia dilakukan pada November 2007 dan kerana terlalu risau, dia tidak dapat melelapkan mata pada malam sebelum penggambaran bermula.

SEPANJANG pembabitannya dalam filem itu, Pinto mula menyedari, industri perfileman adalah untuk mereka yang tidak putus asa berjuang serta mereka yang kuat semangat. paling utama, katanya, seseorang itu mesti percaya pada diri sendiri. Walaupun beratus orang lain menolaknya, dia tidak putus asa dan akhirnya, seorang daripada pengarah terbaik dunia mempercayai bakat dimilikinya.

DI Bollywood, pelakon yang disukainya ialah Tabu. Dia turut menggemari karya Konkona Sen Sharma. Madhuri Dixit pula baginya lambang kepelbagaian bakat, manakala Smita Patil dan Shabana Azmi pula pelakon yang menakjubkan. Dia juga mengagumi Aamir Khan. Pelakon barat yang paling dihormatinya pula ialah Meryl Streep.

Info Freida Pinto:

Tarikh Lahir: 18 Oktober 1984

Bintang: Libra

Asal: Mumbai, India

Filem: Slumdog Millionaire

Program TV: Full Circle

Iklan: India Today, Wrigleys Chewing Gum, Skoda, Hutch, Airtel, De Beers

Berita Harian

Kareena Puji Aishwarya

8 Jan


Kareena Kapoor

Aktres kagum bekas Ratu Dunia berjaya urus kerjaya selepas kahwin

MUMBAI: Aktres Kareena Kapoor yang tidak mempunyai hubungan baik dengan bekas Ratu Dunia, Aishwarya Rai, dan keluarga Bachchan, kini dilaporkan berusaha memulihkan keadaan dan menegaskan beliau tidak mahu lagi mengingati perkara yang sudah berlalu.

Malah pelakon itu menjadikan Aishwarya sebagai contoh dan mengakui tertarik dengan keupayaan Aishwarya menguruskan dirinya selepas berkahwin.

“Aishwarya nampaknya menjadi begitu teliti selepas berkahwin dengan Abhishek Bachchan. Beliau menguruskan kehidupan peribadi dan profesionalnya dengan baik. Beliau juga amat teliti mengenai filem dan pengarah,” katanya.

Dalam laman web OneIndia, Kareena dilaporkan mengikuti perkembangan karier jejak langkah menantu Amitabh dan Jaya Bachchan itu dan berkata ia adalah jalan yang akan diikutinya selepas berkahwin.

Sumber berkata, ia menunjukkan Kareena begitu serius untuk berkahwin dengan kekasihnya, Saif Ali Khan tetapi menegaskan ia cuma tidak akan berlangsung dalam masa terdekat kerana jadualnya ketat sehingga 2010.

“Saif pula sedang dalam menyiapkan sebuah pangsapuri istimewa dan cuma akan lengkap menjelang tahun 2010,” katanya.

Hubungan Kareena dan keluarga Bachchan mula keruh berikutan perpisahan Abhishek dan kakaknya, Karisma, empat bulan selepas mengumumkan pertunangan mereka. Walaupun Kareena menafikan perkara itu, media terus menyiarkan laporan keengganan Abhishek berlakon bersamanya. – Agensi

Berita Harian

Serangan Bollywood 2009

3 Jan


SEKUEL yang dinanti sejak 2002, Raaz – The Mystery.

SEBAIK sahaja tahun 2008 menghilang, sesuatu yang segar menjelang 2009 ini berlaku dalam industri perfileman kedua terbesar dunia, Bollywood.

Dicetuskan kejayaan box-office dua buah filem, Rab Ne Bana Di Jodi dan Ghajini, Bollywood kini melihat ke depan untuk menghasilkan produk-produk berkualiti yang bakal menarik penonton menyerbu ke pawagam.

Daripada filem bajet rendah dan sekuel filem seram sehinggalah filem drama period serta beberapa filem mega bajet, industri filem Hindustan pada tahun ini bakal menawarkan kepelbagaian.

‘Serangan’ bermula dari Disember lalu dengan penayangan dua filem Khan – Shah Rukh Khan dalam filem Rab Be Baba De Jodi dan Amir Khan menerusi Ghajini. Kedua-dua karya ini telah membantu membangkitkan industri perfileman Bollywood.

Para pembikin filem berharap untuk mengatasi trauma global terutamanya selepas reputasi India terjejas akibat serangan pengganas Mumbai dengan pakej 30 filem pada suku pertama 2009.

Walaupun tiada filem dijadual ditayangkan pada minggu pertama, minggu kedua 2009 akan digemparkan dengan enam filem bajet rendah iaitu Bad Luck Govind, Horn Ok Pleassss, Kaashh… Mere Hote, Khallballi – Fun Unlimited, 42 Kms… dan The President Is Coming.

Pakar dalam industri telah meramalkan bahawa pasaran filem Hindustan akan mampu mengejar momentum dengan penayangan filem komedi aksi arahan Nikhil Advani, Chandni Chowk to China, pada 16 Januari ini.

“Memang diakui industri filem Bollywood sedang melalui masa yang sukar tetapi Rab Ne Bana Di Jodi dan Ghajini telah berjaya menjana nafas baru. Filem-filem ini telah meningkatkan harapan untuk menghasilkan karya berkualiti berlainan setiap minggu sepanjang tahun 2009,” kata salah seorang pengedar filem di Delhi, Joginder Mahajan.

Ini juga merupakan kali pertama beberapa pengarah dan pelakon India-Amerika membikin filem di India seperti Varun Khanna (Bad Luck…), Kunal Roy
CHANDI CHOWK TO CHINA antara filem bulan Januari Bollywood yang dijangka bakal pecah panggung.

Kapur (The President Is Coming), Nandita Das (Firaaq) dan Zoya Akhtar (Luck By Chance).

Tahun ini, penonton juga berpeluang menyaksikan sekuel yang dinanti-nantikan sejak tahun 2002, Raaz – The Mystery Continues. Filem yang memenangi pelbagai anugerah Slumdog Millionaire yang diadaptasi daripada buku tulisan diplomat India, Vikas Swarup juga akan menemui penonton tahun ini.

Filem karya Anurag Kashyap, Dev.D pula bakal ditayangkan pada 6 Februari dengan kandungan cerita Devdas versi moden. Sementara itu, pada 13 Februari, audiens akan menyaksikan Shah Rukh Khan berganding dengan Irfan Khan dalam filem arahan Priyadarshan, Billu Barber.

Senarai filem tahun 2009 akan diikuti dengan naskhah yang dinanti-nantikan mengenai autobiografi Rakeysh Omprakash Mehra, Delhi-6, yang dibintangi oleh Amitabh Bachchan, Abhishek Bachchan dan Sonam Kapoor. Turut menyinari pasaran perfileman India adalah filem lakonan Salman Khan dan Kareena Kapoor, Main Aur Mrs Khanna.

Filem period arahan Ketan Mehta, Rang Rasiya (Colours of Passion) yang mengisahkan kehidupan tukang cat, Raja Ravi Varma akan menemui penonton pada 27 Februari depan.

Bulan Mac pula akan menyaksikan seleksi filem daripada Shortcut – The Con Is On, Dhoondte Reh Jaaoge, Kaminey, Karma Aur Holi, Gullal, Kissan dan New York.

Tahun lalu hanya enam buah filem Bollywood meraih kejayaan box-office daripada 127 filem yang diterbitkan. Angka ini telah menyebabkan industri perfileman Bollywood kerugian besar. Namun, menurut ramalan, berdasarkan senarai filem untuk tahun ini, kutipan domestik dan antarabangsa dijangka meningkat.

Kosmo