Archive | Khairul Nizam Mohamad RSS feed for this section

Penyatuan Cinta 2008

31 Dec

BERMULA Januari 2008, kalendar dunia hiburan sudah mula diserikan dengan berita gembira perkahwinan artis tempatan. Sehingga bulan Disember, perkahwinan penyanyi popular Mawi dengan kekasih hati, Ekin menutup tirai tahun 2008 dengan penuh indah.

Mawi atau Asmawi Ani, 27, telah memilih tarikh 20 Disember untuk bernikah dengan Ekin atau Nor’Ashikin Rahmat, 29, di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Mereka dinikahkan oleh imam masjid tersebut, Datuk Mahat Mohd. Said dengan disaksikan oleh Kadi Daerah Johor Bahru, Syeikh Husni Tamrin Md. Sharif dan Imam Mahadi Yahya.

Tepat pada pukul 11.40 pagi, dengan hanya sekali lafaz dan mas kahwin sebanyak RM22.50, Ekin sah menjadi isteri penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasi 3 (AF), Mawi.

Dilabelkan sebagai perkahwinan tahunan, bukan sahaja Mawi dan Ekin menamatkan zaman bujang mereka tahun ini. Selain perkahwinan gemilang Mawi-Ekin, berikut kronologi perkahwinan artis Malaysia sepanjang 2008.

Zila Bakarin dan Azri Izhar (11 Januari)
Ingin merahsiakan perkahwinan mereka pada mulanya, Zila Bakarin, 33, selamat diijabkabulkan kepada jurukamera syarikat produksi, Azri Izhar, 34, pada 11 Januari lalu di Masjid Azzubair Ibnul Awwam, Cheras.

Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah masjid berkenaan, Bashri Abd. Majid dengan mas kahwin RM1,000. Mereka berkenalan sejak tujuh tahun lalu di lokasi penggambaran.

Ning Baizura dan Omar Sharif (31 Januari)
Mengenakan persalinan putih dan bertudung rekaan Jovian Mandagie, Ning Baizura berkahwin dengan Omar Sharif Christopher Layton Dalton, 34, yang juga duda beranak dua kelahiran England.

Omar telah memeluk Islam pada Julai 2007 setelah lebih setahun berkenalan dengan Ning. Majlis akad nikah mereka berlangsung di Masjid

Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar dan Ning menerima mas kahwin sebanyak RM80 selain tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran perkahwinan berjumlah RM66,666.66.

Khai dan Rosma (26 April)
Berkenalan dalam program realiti televisyen AF1, Rosmayati Sidik (Rosma), 23, dan Khairul Nizam Mohamad (Khai), 29, selamat dinikahkan di Masjid Putra pada 26 April lalu.

Dengan mas kahwin RM100 dan hantaran RM16,161.61, Khai sah menjadi suami Rosma selepas satu lafaz akad nikah. Terbaru Rosma juga dilaporkan sedang mengandungkan anak pertama mereka.

Maya Karin dan Muhammad Ali (14 Ogos)
Mereka telah melangsungkan majlis pernikahan di daerah kaki pergunungan di Lake Como, Itali pada 14 Ogos lalu. Dan bagi berkongsi memori indah ini bersama keluarga dan rakan rapat di Malaysia, Maya Karin dan suami, Steven Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali telah mengadakan majlis persandingan di padang bola sepak Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) di Kepong.

Maya berpakaian pengantin moden rekaan Radzuan Radziwill berwarna putih di samping suami tercintanya mengenakan baju Melayu berwarna hitam telah memilih lokasi ini kerana merupakan duta Taman Laut Malaysia dan seorang pencinta alam.

Lan Pet Pet dan Ruby (20 Ogos)
Pelawak yang popular menerusi Senario, Lan Pet Pet telah bercinta selama 14 tahun bersama Rubytah Abu Bakar @ Che Wan yang juga adik kepada pelakon popular Rozita Che Wan.

Dan pada 20 Ogos lalu, mereka telah memilih tarikh istimewa 20.08.2008 sebagai tarikh perkahwinan mereka. Pasangan ini bernikah di Masjid Al-Bukhary, Alor Setar, Kedah dengan mas kahwin RM888 serta wang hantaran RM8,000.

Deja Moss dan Azfendy Azzudin (30 Ogos)
Selepas dua tahun membuatkan orang ramai berteka-teki mengenai hubungan mereka, Deja Moss atau nama sebenarnya Sharifah Khadijah Wan Moss, 35, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Azfendy Azzudin, 29, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada 30 Ogos lalu.

Dinikahkan dengan mas kahwin RM1,111 oleh Penolong Pendaftar Nikah masjid tersebut, Mohd. Nazarudi Mohd. Nadzir, pasangan ini berbulan madu di Chile.

Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari (8 November)
Pasangan Ashraf Sinclair dan Bunga Cinta Lestari bernikah di Masjid Al Bina, Jakarta pada 8 November. Majlis resepsi bahagian pengantin perempuan berlangsung di Hotel Sultan, Jakarta pada keesokannya.

Sementara itu, majlis resepsi pengantin lelaki diadakan di The Saujana Kuala Lumpur, khas untuk rakan-rakan di Malaysia. Dan majlis untuk keluarga dan sanak saudara pula berlangsung di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara (KGPA).

Rusdi Ramli dan Sharon Paul (16 November)
Setelah menduda selama 15 tahun, Rusdi Ramli, 38, yang bertemu dengan Sharon Anne Paul Abdullah, 32, tahun lalu semasa terlibat dalam pembikinan runut bunyi filem Waris Jari Hantu sah menjadi suami isteri pada 16 November lalu.

Majlis akad nikah mereka berlangsung di banglo galeri Creative Element, Shah Alam dengan dihadiri hampir 300 orang yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat dan rakan. Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM800, senaskhah al-Quran, sirih junjung berserta sebentuk cincin.

Corrie Lee dan Fazima Mohamed Fuad (21 November)
Walaupun hanya mengenali dalam jangkamasa pendek, Corrie Lee atau nama Islamnya, Adam Corrie Lee, 40, telah memilih gadis pilihannya Fazima Mohamed Fuad, 30, sebagai isterinya.

Bernikah di Masjid Zahir, Kedah, isterinya yang berasal dari Lorong Terang menerima mas kahwin RM80 daripada Corrie dan wang hantaran sebanyak RM7,000.

Nabila Huda dan Zaidy Zailani (2 Disember)
Setelah tujuh tahun bercinta, Nabila Huda Suhaimi, 24, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Zaidy Zailani, 27, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta dengan dihadiri hampir 300 tetamu.

Mereka dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan sendiri, Amy Search atau nama sebenarnya, Suhaimi A. Rahman. Zaidy menyampaikan mas kahwin RM80 berserta wang hantaran berjumlah RM22,222.22.

Dapatkan artikel Imbasan 2008 sepenuhnya di Kosmo! hari ini.

Kosmo

Advertisements

Rosma Bukan Kaki Cemburu

28 May

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my

SELAMAT diijabkabulkan April lalu, Khai dan Rosma mengharapkan rumah tangga mereka kekal selamanya.

MENJADI teman rapat selama lima tahun dan kemudiannya ke jinjang pelamin, pasangan artis yang lahir menerusi rancangan realiti televisyen ini sememangnya sudah saling faham-memahami antara satu sama lain.

Selamat diijabkabulkan pada 26 April lalu, dua insan bernama Khairul Nizam Mohamad, 29, atau Khai dan Rosmayati Sidik, 23, (Rosma), kini meniti tangga-tangga kebahagiaan.

Dilabelkan sebagai pasangan belangkas kerana sering dilihat berdua ke mana-mana, Khai serta Rosma mendoakan hubungan mereka sebagai suami isteri berkekalan selamanya.

Tidak menolak andai dianugerahkan rezeki menimang cahaya mata dalam masa terdekat, ia merupakan saat yang ditunggu-tunggu mereka sebagai penyeri rumah tangga.

Sungguhpun begitu, bak lagu Sedangkan Lidah Lagi Tergigit nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma, kehidupan suami isteri pasti tidak lari daripada berlaku sedikit pergeseran.

Ia adalah asam garam hidup berumah tangga dan kadangkalanya, pergeseran itu berpunca daripada sikap cemburu sang isteri atau suami terhadap pasangan masing-masing.

Justeru, bagi Rosma, dia akan berusaha untuk menjadi seorang isteri yang baik serta menolak perasaan cemburu buta.

Andai Khai digandingkan bersama artis wanita baik dalam sesi fotografi mahupun karier seninya, Rosma juga tidak mempunyai masalah akan perkara tersebut.

“Saya bukanlah seorang yang kuat cemburu. Cemburu pada saya haruslah bertempat.

“Tidak kira dengan wanita mana Khai bakal digandingkan, saya tidak akan masuk campur atau menetapkan Khai boleh buat itu, buat ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Aura Fantasia Bulan Madu @ Bali di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Rosma, dia amat memahami sikap Khai dan suaminya itu turut faham akan perjalanan seni serta perlakuan dirinya.

“Apa yang penting antara kami ialah saling percaya mempercayai.

“Khai bagi saya adalah orang yang cukup berterus-terang. Apa sahaja yang dilakukan seperti sesi fotografi dengan artis wanita, dia akan maklumkan pada saya.

“Oleh itu, kita perlu saling memahami kerjaya masing-masing,” ujarnya yang bakal tampil dengan album duet bersama suaminya hujung tahun ini.

Perubahan selepas kahwin

Sementara itu, Khai yang sibuk dengan promosi album kedua berjudul Terbang Tinggi serta latihan untuk IKON Malaysia musim kedua mengakui, hidupnya kini semakin terurus setelah menikahi Rosma.

Lega apabila tidak perlu lagi berteka-teki mengenai tarikh perkahwinannya kepada media, Khai bersyukur kerana Rosma seorang artis yang amat memahami.

“Alhamdulillah, kehidupan kami ketika ini bertambah gembira dan menyenangkan.

“Kalau dahulu, masing-masing dengan urusan tersendiri, tetapi kini segalanya perlu dikongsi bersama.

“Bagi saya, memanglah menyeronokkan. Makan minum semua terjaga,” katanya.

Berbulan madu ke Bali

Setiap pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan, melalui detik berbulan madu merupakan saat yang diidamkan.

Tidak kira sama ada berbulan madu di dalam atau luar negara, ia bagaikan sudah menjadi satu kemestian.

Dari situlah, pasangan terbabit mengenepikan pelbagai hal berkaitan kerja untuk sama-sama merasai kenikmatan berumahtangga.

Justeru, bagi Khai dan Rosma, saat berbulan madu mereka pasti meninggalkan seribu satu kenangan manis apabila mereka terlibat dengan program Aura Fantasia Bulan Madu @ Bali.

Bakal diadakan pada 17 hingga 20 Jun ini, ia dianjurkan oleh Aura Seri dengan kerjasama Utusan Travel & Tours.

Dengan tujuan untuk mengeratkan hubungan suami isteri, Aura Fantasia Bulan Madu @ Bali akan diselitkan dengan pengisian ilmu rumah tangga oleh pakar motivasi terkenal, Prof. Dr. Ibrahim Ahmad serta isterinya yang juga pengasas Aura Seri, Ira Ghani.

Aura Fantasia Bulan Madu @ Bali merupakan program yang julung kali diadakan dan ia dibuka kepada orang ramai ini terhad kepada 50 pasangan sahaja.

Selain pakej lawatan ke Bali, dengan bayaran sebanyak RM1,888, peserta dapat mendapatkan pelbagai input mengenai rahsia perhubungan sebagai suami isteri.

Menariknya, di samping bakal disiarkan di TV9, suami isteri yang dipilih sebagai pasangan romantis akan meneriam hadiah bernilai RM10,000 berupa barang kemas tajaan Rafflesia, jam tangan dari Blan Sacar, pakej spa, produk Aura Seri dan pakej pelancongan.

Mereka yang berminat, boleh menghubungi Utusan Travel & Tours di talian 03-8926 8226 atau 03-8925 3292.

Dalam pada itu, Aura Fantasia Bulan Madu @ Bali akan diserikan dengan penyertaan Khai serta Rosma.

“Ini merupakan program bulan madu kami berdua. Seronok juga dapat pergi ke Bali dengan pasangan-pasangan lain.

“Saya rasa, ini merupakan program yang unik kerana pasangan seperti kami memerlukan motivasi dan input-input berguna dalam melayari hidup sebagai suami isteri,” jelas Khai yang merancang untuk pergi berbulan madu sekali lagi selepas menyertai program berkenaan.

Powered by Utusan Malaysia

Khai, Rosma Selamat Diijab Kabul

27 Apr

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

PUTRAJAYA 26 April – Hubungan cinta yang terjalin sejak lima tahun lalu antara Khai atau nama sebenarnya Khairul Nizam Mohamad, 29, dan Rosmayati Sidik, 23, atau Rosma akhirnya termeterai di gerbang perkahwinan apabila kedua-dua penyanyi itu selamat diijabkabulkan di Masjid Putra, Putrajaya di sini hari ini.

Pasangan tersebut dinikahkan dengan mas kahwin RM100 oleh jurunikah Masjid Putra, Putrajaya, Abd. Manaf Mat, 49, setelah diwakilkan oleh bapa Rosma, Sidik Abu Bakar, 71, tepat pukul 11.55 pagi selepas dua jam ditunangkan pada majlis yang sama.

Dengan sekali lafaz, Khai sah menjadi suami kepada Rosma dan kedua-dua mempelai kelihatan berseri mengenakan busana berwarna putih susu daripada Butik D’risik.

Pada majlis itu juga, pasangan tersebut bertukar-tukar dulang hantaran iaitu sembilan dulang daripada Khai termasuk wang hantaran RM16,161.61 beserta sirih junjung, tas tangan jenama Guess, kasut, sejadah, telekung dan senaskhah al-Quran.

Rosma pula membalas 11 dulang hantaran berupa kek, sirih junjung, minyak wangi, kasut dan tali pinggang, puding, sejadah, coklat dan senaskhah al-Quran.

Bibit-bibit percintaan pasangan itu mula terbit ketika mereka sama-sama menyertai rancangan realiti televisyen popular, Akademi Fantasia musim pertama pada tahun 2003.

Ketika ditemui selepas majlis akad nikah, pasangan tersebut memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana majlis pernikahan mereka berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah semuanya selamat, mula-mula memang rasa berdebar tetapi bila sudah selesai akad nikah mula rasa lapang dan lega sangat. Walaupun boleh tarik nafas lega, tetapi ini merupakan permulaan untuk saya memikul tanggungjawab,” kata Khai yang pernah popular dengan lagu Dambaan Pilu itu.

Tambah Khai, selepas ini mereka akan menetap di kediaman Rosma di Seri Kembangan, Selangor untuk memudahkan perjalanan aktiviti seni di sekitar Kuala Lumpur.

Powered by Utusan Malaysia

Debaran Dua Wanita

21 Apr

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my

SAMA cantik, kedua-dua mereka sedang berdebar menanti detik kebahagiaan.

TIKA dan saat ini, pemilik nama Rosmayati Sidek, 23, atau Rosma dan Nora’asikin Rahmat, 29, (Ekin), barangkali sedang berdebar-debar menanti saat yang paling membahagiakan dalam hidup masing-masing.

Bakal melayari bahtera perkahwinan bersama insan yang dicintai, kedua-dua mereka mempunyai persamaan tersendiri iaitu mencintai insan yang sama-sama berkecimpung dalam dunia seni.

Rosma, bintang yang lahir menerusi Akademi Fantasia musim pertama (AF1) akan menamatkan zaman bujangnya bersama Khai atau Khairul Nizam Mohamad, 29.

Bibit-bibit cinta mereka mula terbit ketika bersama-sama berentap dalam program realiti televisyen itu.

Bagi Ekin pula, selepas sekian lama menyembunyikan cintanya dengan penyanyi popular, Asmawi Ani (Mawi), 27, mereka akhirnya membuat pengakuan yang kedua-duanya saling berkasih.

Rosma dan Khai sudah pun mengumumkan akan bersatu dalam ikatan perkahwinan tidak lama lagi namun Ekin serta Mawi masih belum menentukan tarikh mereka disatukan pula.

Dalam pertemuan Hits bersama Rosma dan Ekin di Minggu Setiausaha anjuran Rafflesia di Hotel Istana, Kuala Lumpur, kedua-dua mereka berkongsi rasa mengenai debaran masing-masing.

Pada majlis berkenaan juga, Rosma dan Ekin kedua-duanya mengenakan pakaian rekaan Michael Shu.

Selain mereka berdua, Minggu Setiausaha Rafflesia turut dihadiri barisan bintang seperti Ziana Zain, Noryn Aziz, Fauziah Latiff dan Erra Fazira.

Rosma & Khai sudah bersedia

Dalam pendedahan dengan Pancaindera baru-bari, Rosma dan Khai akhirnya mengaku mereka akan berkahwin tidak lama lagi.

Acara penting dalam kehidupan mereka itu akan berlangsung pada 26 April ini dengan dimulakan majlis akad nikah di Masjid Putrajaya manakala persandingan pula diadakan keesokan harinya di sebuah dewan di Kuala Lumpur.

Memilih konsep moden kontemporari, Rosma memberitahu, persiapan untuk perkahwinan mereka berdua kini berjalan

dengan lancar.

“Sewaktu bersanding, kami telah pun memilih adunan warna turquoise blue dan krim. Kami suka warna tersebut,”‘ katanya.

Jelas Rosma, buat masa ini, perkahwinan mereka sudah pun mendapat beberapa tajaan termasuk Aura Seri yang sudi menaja mandi lulur.

Ditanya mengenai apakah keistimewaan Khai sehingga dirinya sanggup menunggu selama lima tahun sebelum disunting menjadi suri, Rosma memberitahu, Khai merupakan seorang lelaki yang penyayang.

“Dia amat mengambil berat dan seorang yang humor. Apa yang penting juga, Khai telah banyak mengubah sikap saya iaitu panas baran,” ujar Rosma sambil memberitahu dia banyak mengamalkan jogging pada setiap hari untuk mendapatkan bentuk badan ideal.

Berbulan madu

Kata Rosma, dia dan Khai juga merancang untuk menikmati saat-saat manis berbulan madu sebaik dinikahkan namun pasangan itu masih belum memilih lokasi percutian mereka.

”Sebaik habis bulan madu, kami akan memulakan perancangan untuk menghasilkan album duet pula. Konsepnya masih belum ditetapkan tetapi ia bakal dilaksanakan akhir tahun ini,” tambah Rosma lagi.

Ekin fobia bertunang

Pengesahan cintanya bersama Mawi dilakukan di puncak Genting Highlands sempena Anugerah Bintang Popular, baru-baru ini.

Mawi yang membuka bicara mengenai hubungan tersebut secara jelas menguatkan lagi gosip cinta antara mereka sebelum ini adalah benar.

Meski belum membuat pengakuan mengenai tarikh untuk melangsungkan perkahwinan, Ekin yang tampil bertudung ketika ini mengakui dirinya fobia.

Fobia Ekin berkait rapat dengan cadangan beberapa pihak agar dia dan Mawi melangsungkan majlis pertunangan terlebih dahulu sebelum bernikah.

”Ekin takut bertunang. Kalau boleh, Ekin tidak mahu bertunang dan terus sahaja bernikah dan bersanding. Ramai kawan Ekin yang bertunang namun bukannya berakhir dengan tali perkahwinan sebaliknya perpisahan.

“Itu yang membuatkan Ekin cukup fobia. Hal ini akan Ekin bincangkan bersama Mawi nanti apakah dia bersetuju untuk diadakan majlis pertunangan atau teruskan pernikahan sahaja,” jelas Ekin.

Menurutnya, sebelum ini pun, kakaknya juga berkahwin tanpa melalui proses pertunangan.

Materialistik

Ekin bagaimanapun tidak menjelaskan bilakah dia dan Mawi akan menetapkan tarikh pernikahan sama ada tahun ini atau tahun depan.

Ketika diajukan soalan mengenai tanggapan orang ramai yang melabelkan Ekin sebagai seorang materialistik apabila memilih Mawi sebagai teman hidup lantaran penyanyi popular itu memiliki banyak aset, Ekin menafikan sekeras-kerasnya.

“Ekin tidak memilih itu semua. Ekin ikhlas berkawan dengan Mawi kerana hati budinya. Andai ada yang beranggapan Ekin materialistik, itu silap. Cinta bukan boleh dipermainkan,” Ekin menegaskan pendiriannya.

Ikrar Ekin, dia mahu menjadi seorang isteri yang baik selepas mendengar pengakuan ikhlas Mawi yang mahu menyuntingnya sebagai suri di hatinya.

Powered by Utusan Malaysia

Tunggu Hari

6 Apr

ADA satu perasaan sahaja yang sedang menggebu-gebu tersangkut pada tangkai hati mereka – bahagia. Tanpa bicara pun, dengan hanya lirikan mata dan bahasa tubuh sudah dapat merasai kebahagiaan mereka berdua.

Mohd. Khairul Nizam Mohamad Wahi atau lebih dikenali sebagai Khai dan Rosma, kini hanya menghitung detik untuk bersatu sebagai pasangan suami isteri. Penantian mereka sudah hampir berpenghujung.

Cinta yang dikait sejak lima tahun lalu bakal dicantum dengan ikatan sah hujung bulan ini. Sebuah majlis pertunangan dan pernikahan yang akan berjalan serentak sebelum sehari selepas itu, sebuah majlis persandingan bakal diadakan.

Cinta mereka berdua ini akan diraikan kaum keluarga serta sahabat handai di Putrajaya – adil bagi keluarga Khai dari Johor Bahru manakala Rosma dari Pahang.

“Namun saya minta maaf, tarikhnya masih dirahsiakan demi menghormati semua pihak. Insya-Allah kad jemputan kami akan diedarkan minggu hadapan,” ujar jejaka berusia 29 tahun sambil dipersetujui kekasihnya yang berusia 23 tahun.

Berdebar-debar, teruja dan gembira bersatu saat memikirkan hanya tinggal dua minggu sebelum melalui fasa baru dalam kehidupan mereka.

Bagi pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 1 (AF1), Khai, pernikahan hujung bulan ini memakbulkan hasratnya untuk menamatkan zaman bujang sebelum usia 30 tahun.

Sementara Rosma yang juga berkongsi pentas dengan pujaan hati dalam program realiti tersebut cukup bersedia bergelar isteri dalam usia muda.

“Seperti Khai, saya sudah bersedia untuk berkahwin,” katanya yang jatuh cinta pada Khai kerana kerap membimbing dan bertolak ansur selain mempunyai nilai humor yang tinggi sebagai pasangan hidup.

Pun sebelum merai cinta, Khai dan Rosma memohon maaf kepada khalayak kerana sering menyembunyikan kisah cinta mereka. Semuanya kerana menghormati permintaan keluarga.

“Keluarga meminta kami supaya tidak menjaja hubungan cinta tanpa sebarang ikatan sah.

“Justeru selepas saya melahirkan hasrat untuk berkahwin hujung tahun lalu, baru keluarga membenarkan kami mengesahkan kisah cinta kepada semua,” jelas Khai yang baru muncul dengan album keduanya, Terbang Tinggi.

Tambah Rosma, tanpa desakan keluarga, mereka memutuskan untuk berkahwin selepas lima tahun berpacaran. “Sudah sampai masanya,” katanya sebelum sambung Khai: “Alhamdulillah, akhirnya jodoh kami tetap bersama.”

Tidak membebankan minda dengan tabu perkahwinan yang rumit, pasangan ini merancang membina sebuah keluarga yang sederhana seperti orang lain.

Sejurus bernikah kelak, masing-masing bebas meneruskan karier, malah seminggu selepas bernikah, baik Rosma juga Khai sudah mempunyai agenda yang padat.

“Mungkin tak sempat nak berbulan madu dalam masa terdekat sebab masing-masing sibuk,” jelas Khai yang terikat dengan promosi album dan pertandingan Ikon sementara Rosma bersama Fulus Mania dan Gempak Selebriti Astro. – MALIAH SURIP

Powered by Kosmo