Archive | Kris Dayanti RSS feed for this section

Zon Abie: Selebriti Kita 'Tak Berkira'

25 Apr

Oleh Abie Abdullah

Rap
SIAPA kata artis kita ‘demand’? Tak baik tuduh artis kita bukan-bukan soal bayaran. Bukan saja tidak letak harga, malah bagi khidmat percuma lagi. Semua demi peminat walaupun yang membayar untuk ‘bersama’ mereka itu bukan seringgit dua.

Ini berlaku di Minggu Setiausaha anjuran Hotel Istana dan Lord’s Tailor, Rabu lalu. Pelik bin hairan juga, sebab biasanya, keraian yang diadakan sepanjang April ini adalah bulan untuk artis menambah isi dalam akaun bank masing-masing selain bertemu peminat.

Malah bayaran untuk persembahan makan tengah hari atau malam, bukan sedikit yang dibayar kepada penghibur negara. Tidak cukup artis Malaysia, Kris Dayanti saban tahun tidak terkecuali daripada acara ini. Bukan seribu dua ringgit bayaran artis.

Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Anita Sarawak dan Ning Baizura, bukan kecil anak pengalaman mereka dalam dunia nyanyian, jadi bukan kecil juga jumlah yang harus dibayar buat mereka. Ini bukan soal ‘demand’ tak bertempat tetapi ‘demand’ kerana hak mereka.

Lain pula yang berlaku depan mata saya. Bukan nak mempertikaikan keluhuran hati lebih 20 lelaki yang didatangkan khas untuk menyedapkan mata setiausaha apabila dikatakan mereka berkhidmat percuma selama hampir sehari suntuk di majlis itu.

Situasi itu membuatkan hati saya terdetik, baik sungguh mereka! Tidak hanya mereka, penyanyi yang diundang seperti Jaclyn Victor, Sarah Raisuddin, Azharina Azhar dan Shila ND Lala turut sama membuat ‘amal’.

Walaupun ada antara mereka yang terpaksa mengosongkan jadual daripada rutin kebiasaan di lokasi serta ada yang bergegas dari majlis lain atau ke majlis lain selepas itu, artis ini sangat komited. Mereka menyanyi percuma!

Semua artis wanita mengenakan gaun merah, sesuai dengan tema barangkali. Baju pula rekaan pereka muda, kecuali Jaclyn yang terpaksa membuka almari sendiri. Bagaimana dengan bayaran mekap? Opps, mungkin ada yang taja, baguslah!

Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Aqasha, Awal Ashaari, Fizow Omar, Iqram Dinzly, Ashraf Muslim, Adi Putra dan Nazril Idrus antara yang menjadi tatapan hadirin. Malah artis Indonesia turut dijemput seperti Irwansyah, Ariffin Putra, Samuel Rizal, Ello, Rio Febrian, Delon dan Didi Riyadi.

Puaslah peminat yang rata-ratanya wanita mengabadikan gambar mereka bersama bintang kacak ini. Sebelum majlis bermula, mereka berlegar sekitar muka pintu ‘ballroom’ untuk memberi layanan kepada peminat. Kemudian dipanggil ke dewan, tamat sesi perkenalan di pentas, mereka perlu keluar.

 

 

Keluar ke mana? Sebenarnya kembali ke ruang legar depan pintu masuk dewan tadi. Dah mati kutu, tidak tahu apa nak buat sebab hadirin semuanya sedang menikmati celoteh Adflin Shauki dan AC Mizal selalu pengacara majlis serta ayam goreng garing keras yang menjadi antara menu hidangan Padang untuk makan tengah hari itu.

Sebelum saya dan rakan-rakan masuk ke dewan itu, mula terdengar daripada teman yang membawa artis kerana mereka tidak disediakan kerusi atau meja, jauh sekali untuk sama-sama makan. Detik hati, mungkin penganjur sudah sediakan tempat khas.

Bagaimanapun, pertanyaan hati itu semakin bertambah apabila beberapa artis jantan pemanis majlis mundar-mandir dalam dewan, bagaikan pelayan yang tidak membawa dulang. Senyum tetap di bibir, jauh sekali untuk dibuang daripada tatapan peminat.

Dalam gelak dek lawak si pengacara, Afdlin sempat menyuruh orang menghantar makanan ke belakang pentas sebab masing-masing kelaparan. Biasalah Afdlin, bijak sungguh gurauannya!

Kasihan melihat artis pemanis majlis itu yang ‘dikoreografikan’ seperti kehilangan arah, saya bersama teman seperti bendul mengajak mereka turut sama menjamu selera yang kebetulan ada tempat kosong di meja kami. Ada yang menolak, tidak kurang juga yang tidak mempedulikan protokol kerana perut makin rancak berkeroncong.

Sememangnya telahan saya meleset mengenai meja, kerusi, makanan dan minuman. Semua itu tidak disediakan kerana tugas mereka hanya memaniskan muka sepanjang majlis berkenaan. Bayaran? Seperti yang saya katakan tadi, mereka pemurah beramal.

Setahu saya, sesetengah majlis amal pun, artis dibayar secara token kalau tidak sepenuhnya. Namun, dalam kes tadi, mereka sudah berpuas hati dengan sepasang persalinan yang diberikan Lord’s Tailor.

Cuma malangnya, ada juga yang terkebil-kebil tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan. Tidak tahu pun mereka perlu hadir untuk Minggu Setiausaha. Lawak sungguh artis kita, nampak sangat mudah dipergunakan mereka yang sememangnya kaki pengguna!

Bukan saja yang datang berseorangan, malah artis yang memasang pengurus juga ‘buta huruf’ pasal majlis ini sehingga mereka tersentak apabila melihat gambar dan nama mereka di dalam akhbar dan kain rentang di hotel berkenaan.

Syabas buat artis ini kerana sanggup beramal sehingga begitu rupa! Cuma kami di Harian Metro tidak sanggup berbuat begitu kerana memikirkan keringat dan periuk nasi masing-masing. Walaupun akhbar sering memberi publisiti untuk golongan ini, bayaran tetap bayaran!

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Agenda Kris Dayanti, Siti

24 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

KRIS DAYANTI bersyukur kerana mampu mempertahankan popularitinya di Malaysia sejak sedekad lalu.

Mahu terus perkukuh nama di persada seni dengan sebuah album duet

POPULARITINYA mula menular di negara ini saat lagu nyanyiannya, Menghitung Hari meledak di corong radio. Sebelum itu si pemilik nama Krisdayanti ini hanya dikenali di kalangan penggemar program pertandingan nyanyian serantau, Asia Bagus yang menobatkan dirinya sebagai juara musim pertama.

Namun sedikit demi sedikit, penyanyi jelita bertaraf diva ini mula mencipta nama sekali gus menjadi antara penyanyi dari Indonesia yang cukup dikenali di sini sekali gus berjaya menghimpun ramai penggemar. Lagu nyanyiannya seperti Mencintaimu, Cobalah Untuk Setia, Pilihlah Aku, Cahaya semakin mendapat tempat di sini.

Siapa sangka tahun ini, genap sedekad ibu kepada dua cahaya mata ini membina populariti di Malaysia. Malah si empunya diri sendiri begitu terkejut dan teruja apabila mengenangkan perkara itu.

“Syukur alhamdulillah kerana peminat saya di Malaysia masih menyokong saya sehingga kini. Saya sendiri tak menyangka bahawa masih mendapat sokongan memandangkan sekarang ini begitu banyak muka-muka baru sama ada dari Malaysia atau Indonesia sendiri yang berkunjung ke sini.

“Ini adalah satu penghargaan buat saya kerana ini membuktikan muzik saya masih diterima. Dan lebih menyeronokkan saya apabila saya mempunyai ramai sahabat di kalangan rakan artis dan juga jurusolek dan kami sering berhubung dan bertanyakan khabar antara satu sama lain,” cerita Kris ketika ditemui selepas mengadakan persembahan sempena Secretaries Week Luncheon Special Exclusively With Kris Dayanti di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade, Jalan Duta, kelmarin.

Begitupun, walaupun menyedari dia mempunyai ramai peminat di negara ini namun itu bukanlah tiket untuk dia bersenang lenang tanpa perlu berusaha.

“Lebih-lebih lagi apabila persaingan semakin sengit sejak kebelakangan ini. Saya kena berusaha keras kerana saya bukannya muda lagi. Justeru, saya harus mencari peluang dengan supaya lebih berjaya pada masa akan datang,” katanya optimis.

Terlanjur bercerita mengenai soal persahabatan, tidak dinafikan ramai yang sedia maklum bahawa Kris memang rapat dengan diva tersohor Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza. Dan sebagai tanda akrabnya jalinan persahabatan itu maka tercetuslah idea untuk mereka berdua bergabung menghasilkan sebuah album duet.

“Memang kami ada perancangan ke arah itu sebelum ini iaitu sekitar November lalu tetapi sering tertangguh kerana kami berlainan syarikat rakaman. Namun memandangkan masing-masing sudah bebas dan bernaung di bawah label sendiri jadi hasrat itu akan diteruskan.

“Kami juga sudah berbincang dengan Siti dan untuk album itu nanti, saya dan Siti akan berduet untuk empat buah lagu baru manakala dua lagu lagi adalah lagu lama kami berdua. Material dalam album ini nanti akan dihasilkan oleh komposer dari Malaysia dan Indonesia,” cerita Kris dalam nada teruja.

Bercerita mengenai kerjaya lakonan, Kris yang wajahnya sering dilihat di layar kaca berkata dia terpaksa menghentikan seketika aktiviti seni itu kerana ia tidak berbaloi buatnya.

“Ketika ini, semua penerbit sinetron memotong sebanyak 60 peratus bayaran kepada berlakon dan saya melihat perkara ini sebagai satu hinaan dalam kerjaya seorang pelakon dan satu tindakan seperti orang hilang akal.

“Terus terang, saya tidak akan berlakon jika perkara itu terus berlanjutan,” tegas si pelantun Mencintaimu ini.

Selepas hampir dua tahun tidak mengadakan sebarang konsert di luar negara, Kris berkata tanggal 9 Mei ini dia akan mengadakan persembahan di Esplanade, Singapura sempena meraikan Hari Ibu.

“Kali terakhir saya mengadakan konsert di luar adalah sekitar tahun 2007 di Malaysia untuk Konsert 3 Diva. Diharapkan moga konsert ini mampu memberi lembaran baru untuk kerjaya seni saya untuk tahun 2009 ini,” kata Kris yang akan muncul dalam album runut bunyi filem Tika Cinta Bertasbih berjudul Menanti Cinta hasil ciptaan Melly Goeslaw.

Kali kelima jayakan Minggu Setiausaha

SEDAR atau tidak, ini adalah tahun kelima Kris diundang ke ibu negara untuk menjayakan persembahan sempena Minggu Setiausaha. Seperkara menarik mengenai persembahan penyanyi bermata galak ini adalah kebijaksanaannya menghiburkan tetamu dengan pelbagai rentak lagu.

Bukan itu saja, setiap kali wanita ini berdiri di atas pentas, perkara utama yang akan diberikan perhatian adalah seraut wajahnya yang cukup jelita serta busana yang membaluti tubuhnya.

Sewaktu mengadakan persembahan tempoh hari, Kris kelihatan cukup anggun dengan gaun bertingkat-tingkat roma hitam benang emas. Biarpun kelihatan sarat namun tetap kelihatan cantik di atas pentas sambil disimbah lampu neon berwarna-warni.

Sepanjang tempoh sejam, Kris menyanyikan pelbagai lagu popularnya seperti I’m Sorry Goodbye, Mencintaimu, Menghitung Hari, Rembulan dan I’m. Malah dia turut menyanyikan kembali lagu Nora berjudul Di Persimpangan Dilema yang diberi nafas baru.

“Acara ini memang saya tunggu setiap tahun kerana inilah masanya saya bertemu dengan peminat saya di sini. Justeru, saya perlu mencipta kelainan kerana mungkin ada di antara penonton pernah menyaksikan saya beraksi untuk acara sama sebelum ini,” katanya sambil melahirkan rasa bangga kerana masih menjadi pilihan penganjur iaitu Quality Hotel Kuala Lumpur.

Katanya lagi, walaupun dia mempunyai niat untuk menyanyikan pelbagai jenis lagu namun atas nasihat suaminya, Anang, dia lebih selesa menyanyikan lagu yang penonton atau peminatnya tahu dan boleh menyanyi bersamanya.

Majlis yang dikendalikan Dee sebagai pengacara itu turut menampilkan anak kepada bekas vokalis kumpulan Alleycats, mendiang Loga iaitu Dasha Logan sebagai pembuka tirai persembahan. Turut hadir menyaksikan acara itu adalah penyanyi bervokal mantap, Anuar Zain.

Berita Harian

Aura Siti

24 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

SEPANJANG tempoh 14 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian, penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mengakui pelbagai pahit getir sudah ditempuhinya.

Selepas memegang status isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K dan tampil dengan imej bertudung, nama Siti tetap tidak terlepas dikaitkan dengan kontroversi dan gosip tak berasas yang cuba mencalit nama baiknya.

Apapun gosip dan kontroversi dikaitkan dengannya, ternyata ia tidak sedikit pun menjejaskan sokongan padu peminat setianya.

Malah, nama Siti terus gah di persada seni tanah air dengan terus mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) selama 12 tahun berturut-turut.

Tidak cukup dengan itu, bingkisan album barunya, Lentera Timur yang baru menjengah pasaran mendapat sambutan menggalakkan dalam kemelut ekonomi global ketika ini.

Bagi Siti pula, rezeki dalam bidang seni yang dikecapinya dari dulu sampai sekarang adalah anugerah Tuhan.

“Saya tetap reda dengan apa saja yang berlaku dalam hidup. Apa pun yang dilakukan, orang tidak pernah berhenti bercerita mengenai saya sejak dulu.

“Saya juga bersyukur, undangan persembahan tidak pernah putus diterima sampai sekarang. Apa yang penting, saya hanya kekalkan prestasi persembahan yang baik dan meningkatkan prestasi sedia ada dalam aspek nyanyian dari semasa ke semasa.

“Tapi, kalau saya sudah tidak ada rezeki lagi dalam bidang seni, mungkin saya akan fikirkan untuk buat kerja lain pula selepas ini,” katanya.

Ditanya sama ada dia selesa ditemani suami ketika menjayakan persembahan, Siti mengakui dia tidak ada masalah dalam soal itu.

 

 

“Sebenarnya, suami pernah bertanya sebanyak 10 kali sama ada dia boleh menemani pada persembahan yang dijayakan kerana bimbang dengan cakap-cakap orang nanti.

“Bagi saya, ia terpulang kepada suami untuk menemani saya atau tidak kerana saya juga faham dengan situasinya sebagai ahli perniagaan.

“Sebagai penyanyi, saya juga tiada batasan di pentas dengan peminat. Suami juga faham dengan kerjaya saya sebagai penyanyi.

“Setiap kali menonton persembahan saya, dia akan beri komen membina untuk saya memperbaiki kelemahan,” katanya.

Pada masa sama, Siti juga mengakui dia sebenarnya bukan sengaja tertinggal nama suaminya ketika berucap di pentas selepas menerima trofi Penyanyi Wanita Popular ABPBH2008, baru-baru ini.

“Saya terkenang Allahyarham bapa, Tarudin Ismail ketika itu. Justeru, apabila turun dari pentas, saya cepat-cepat meminta maaf kepada suami dan nampaknya dia memahami keadaan saya ketika itu,” katanya.

Siti berkata, sejak bapanya meninggal dia kerap pulang ke kampung untuk menziarahi ibunya.

“Emak memang lebih selesa tinggal di kampung kerana saudara-mara kami masih ramai di sana. Emak juga lebih tenang dengan menziarahi kubur arwah bapa setiap pagi dan petang.

“Bagaimanapun, saya bercadang membawa emak bercuti bersama-sama kami nanti, sekali gus melupakan kesedihannya seketika,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti sibuk merencanakan konsert solonya di Istana Budaya Jun ini.

“Setakat ini, kami sudah ada dua penaja yang berminat ingin membantu menjayakan konsert ini nanti. Saya juga akan teruskan konsert ini dengan bajet yang ada.

“Konsepnya sudah ada cuma pengisian dari A hingga Z itu belum ada lagi. Saya juga belum dapat judul konsert ini lagi. Saya juga akan buat sidang akhbar mengenai konsert dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Siti juga bakal muncul dengan projek albumnya bersama penyanyi popular dari Indonesia, Kris Dayanti.

“Album ini adalah projek album gabungan dua negara yang juga projek syarikat saya. Album ini mengandungi lagu duet kami berdua.

“Perkara ini masih dalam perbincangan, tapi Siti sudah mempunyai material untuk album ini dan hanya menunggu bahan dari pihak Kris saja,” katanya.

Siti yang anggun dengan busana rekaan pereka muda, Amir Luqman ditemui ketika menjayakan persembahan Minggu Setiausaha anjuran Hotel Quality City Centre di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade, Jalan Duta, kelmarin.

Mengenai persembahannya petang itu, Siti berkata, sebenarnya sudah dua tahun dia tidak buat persembahan sempena sambutan Minggu Setiausaha yang diraikan setiap April.

“Saya berasa puas apabila dapat bersama penonton dalam kelompok berbeza kerana kali ini persembahan saya untuk golongan yang berbeza sedikit iaitu berbilang usia dan karier. Fokus persembahan juga menghiburkan bos dan setiausaha mereka.

“Saya juga dapat menyanyi lagu daripada album baru, lama dan malar hijau dalam persembahan selama dua jam ini,” katanya.

Secara peribadi, Siti berkata, dia memang rindu untuk menjayakan persembahan sempena Minggu Setiausaha tahun ini.

“Persembahan pada sebelah siang ini berbeza berbanding malam, tetapi saya tiada masalah untuk menyanyi pada kedua-dua waktu itu.

“Saya juga gembira kerana dapat bermesra dengan peminat walaupun hanya sekejap kerana inilah masanya mereka dapat bertemu dengan artis pujaan dengan lebih dekat. Mereka yang datang juga membesar dengan lagu saya,” katanya.

Siti berkata, dia akan terus bekerjasama dengan Hotel Quality pada sambutan Minggu Setiausaha yang akan datang.

“Ini tahun keenam saya bekerjasama dengan Hotel Quality. Saya setia bersama hotel ini kerana senang bekerjasama dengan mereka.

“Saya juga tidak ada masalah untuk menjayakan persembahan Minggu Setiausaha bersama hotel ini tahun depan. “Namun, ia terpulang kepada keadaan. Jika saya tidak terbabit dengan sebarang projek dan perut tidak memboyot (mengandung) ketika itu, pasti saya kembali membuat persembahan nanti,” katanya.

Siti berkata, dia juga tampilkan vokalis Koda, Fahimi untuk berduet dengannya menerusi lagu Inggeris, Lucky dendangan Jason Mraz kerana vokalnya sesuai.

“Saya tampilkan Fahimi kerana ingin memperkenalkan kumpulan Koda kepada peminat dan pada masa sama, Koda adalah kumpulan yang bernaung di bawah syarikat Siti Nurhaliza Productions (SNP).

“Saya tidak kisah jika orang kata nak promosi artis sendiri kerana bagi saya tiada salahnya beri peluang kepada mereka,” katanya.

Pada petang yang cukup bermakna dan dihadiri lebih 1,000 penonton itu, Siti menyampaikan rangkaian lagu popularnya seperti Pada Cintanya, Ku Mahu, Bukan Cinta Biasa, Aku Cinta Padamu, Wanita, Cinta Ini, Biarlah Rahsia dan Di Taman Teman.

Selain itu, lagu Ketahuan (Matta) dan lagu malar hijau seperti Asmara, Jikalau Abang Merindu dan Kan Ku Jelang.

Barisan pemuzik yang mengiringi persembahannya petang itu ialah Jenny Chin (pengarah muzik, Amir (perkusion), Norman (bass), Fendi (dram ) dan Aji (gitaris).

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Kris Terharu

23 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

MULA dikenali menerusi lagu Menghitung Hari, diam tak diam penyanyi Indonesia, Kris Dayanti sudah memahatkan namanya di persada seni suara tempatan sejak sedekad lalu.

Ketika kunjungan pertamanya di negara ini, wanita berusia 34 tahun yang mesra disapa Kris, KD atau Yanti ini sedang berbadan dua mengandungkan anak sulungnya, Titania Aurelie Nurhermansyah, 11. Sejak itu acap kali Kris bertandang ke Malaysia menjalankan promosi album dan memenuhi undangan persembahan.

Selasa lalu, Pusat Persidangan dan Pameran Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur sekali lagi menjadi saksi betapa utuhnya jenama KD di jiwa peminat sehinggakan terus mendapat kepercayaan Hotel Quality bagi menjayakan Sambutan Istimewa Minggu Setiausaha buat kali kelima.

“Sebentar tadi ketika di pentas, saya jadi terharu. Bagai tidak percaya sudah 10 tahun saya membina nama di sini (Malaysia). Sebagai penyanyi luar dari seberang, harus saya akui sokongan yang diberikan masyarakat Malaysia dengan harapan tinggi yang diberikan mereka memacu serta memudahkan percaturan karier saya di sini.

“Meskipun kemunculan ramai bintang muda menawarkan sesuatu yang baru dan menyeronokkan, saya bersyukur sekali kerana masih mampu bertahan selain karakter muzik masih diterima.

“Tanpa disedari sejak 1998, sudah lebih 10 tahun saya mencipta nama di sini. Kenalan artis, jurusolek dan teman media di sini sudah dianggap sebagai sahabat. Meskipun menetap dan berada jauh di Jakarta, kita tidak pernah lupa kirim SMS untuk bertanya khabar,” katanya.

Muncul di pentas sekitar jam 2.05 petang dengan gaun kembang hitam, boleh dikatakan kebanyakan rangkaian lagu disampaikan Kris adalah lagu konti daripada persembahan tahun lalu. Bezanya, gubahan muzik diberi nafas baru oleh Andi Rianto dan disempurnakan Jenny Chin selaku pengarah muzik untuk persembahan petang itu.

Antara lagu disampaikan dalam persembahan satu jam 15 minit itu ialah Rembulan, Menghitung Hari, Di Persimpangan Dilema (lagu Nora yang dirakam kembali), Joget, Cinta, Cobalah Untuk Setia, I’m Sorry Goodbye serta medley Pilihlah Aku dan Mahadaya Cinta.

Selain sibuk membuat persiapan untuk menjayakan konsert dinamakan Krisdayanti Live At Esplanade di Esplanade Concert Hall, Singapura pada 9 Mei ini, Kris juga akan bergabung dengan Datuk Siti Nurhaliza menghasilkan album duet.

Sebelum ini Kris dan Siti disebut-sebut membintangi filem Tiga Dara terbitan aktres Christine Hakim yang turut menampilkan Dian Sastrowardoyo sebagai pelakon utama. Bagaimanapun, disebabkan beberapa kesulitan ia senyap begitu saja.

 

 

“Mahu berlakon sama tidak bisa kerana beberapa kesulitan. Makanya, kita bikin saja album duet. Kebetulan semuanya menjadi lebih mudah sekarang kerana masing-masing tidak lagi terikat dengan syarikat rakaman. Album ini harus dijalankan tahun ini dan kami merancang merakamkannya sekitar Oktober.

“Terdapat empat lagu baru, dua daripada komposer Malaysia manakala dua lagu Indonesia. Dua adalah lagu lama yang dinyanyikan semula,” katanya.

Pada temu bual sama, bakat kelahiran Malang, Jawa Timur, yang lahir daripada program Asia Bagus itu turut menjelaskan kepada media statusnya dengan syarikat rakaman Warner Music.

“10 tahun bersama ‘major label’, tempoh terlalu lama. Saya sedar bernaung di bawah syarikat rakaman lebih selamat dan untung kerana mampu menyediakan promosi lebih besar. Namun, pesan suami, sudah sampai masanya untuk saya belajar dan berdiri di atas kaki sendiri serta mengambil tahu selok-belok industri.

“Apatah lagi zaman sekarang pendengar tidak lagi berminat membeli cakera padat (CD) sebaliknya lebih suka muat turun nada dering. Suka atau tidak, kita harus terima kenyataan atau hakikat kerana inilah masalah sedang dihadapi semua artis.

“Justeru, dalam keadaan begini, setiap artis perlu persiapan. Lalu saya bersama suami putuskan untuk menubuhkan sebuah produksi dan label KD Records yang bukan saja bertujuan menghasilkan album, tetapi menerbitkan program hiburan, drama TV dan filem,” katanya.

Dua puluh tahun melayari dunia seni, jelas sekali kedudukan adik kepada penyanyi Yuni Shara ini sukar digugat popularitinya meskipun dengan kemunculan ramai artis baru berbakat besar mutakhir ini.

Barangkali, apa yang diperoleh adalah berkat kesabaran dan usaha kerasnya selama ini. Namun, sejarah membuktikan semakin menginjak usia seseorang artis itu, bakti dan perjuangan mereka turut dilupakan. Apakah Kris bersedia menghadapi keadaan itu?

“Jelas sekali sebagai manusia, saya harus sedar tidak selamanya muda tambahan pula dunia artis akan silih berganti dengan wajah baru. Suami saya sering bilang kalau tidak mampu, otak dan wajah tidak lagi ‘cun’ bersara saja daripada menyanyi.

“Namun, sebaliknya selagi diberi peluang saya mahu terus berjuang. Tidak apa-apa kalau tidak depan mungkin belakang, kanan dan kiri, selagi ada ruang untuk berbakti pada dunia seni saya akan terus lakukan meskipun di belakang tabir kerana seni sudah sebati dengan saya,” katanya.

Menjadi diva nombor satu Indonesia seperti Kris Dayanti, bermakna hidup yang dilaluinya amat sukar dan penuh tekanan lebih-lebih lagi apabila kehidupan peribadinya menjadi tatapan umum.

Beberapa kali rumah tangganya sengaja diduga apabila Kris dituduh menjalin hubungan sulit dengan aktor Dicky Wahyudi, kemudian pemuzik Tohpati dan Ari Sigit.

Semua gosip liar itu disangkal Kris malah dia memaklumkan hubungannya dengan Anang baik-baik belaka. Pada 11 Ogos 2006, Kris dan Anang yang mendirikan rumah tangga pada 15 Ogos 1996 menyambut ulang tahun pernikahan mereka yang ke-10.

Sebagai hadiah ulang tahun pernikahan mereka, pasangan yang dikurniakan dua cahaya mata, Titania Aurelie Nurhermansyah, 11, dan Azriel Akbar Hermansyah, 9, melancarkan album duet berjudul Aku Milikmu.

Penghujung tahun lalu, Kris dan Anang sekali lagi melancarkan album duet mereka sekali gus menyaksikan perkahwinan mereka bertahan selama 12 tahun.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami aman sampai sekarang. Pergaduhan kecil yang berlaku dalam rumah tangga itu adalah perkara biasa yang sebenarnya mengeratkan lagi hubungan suami isteri jika kita mahu belajar untuk mengerti perasaan dan apa yang diinginkan pasangan.

“Saya juga bertuah, selain mempunyai suami penyayang, anak juga memahami tugas ibu bapanya. Saya harap suami akan terus mencintai saya dan dapat menjadi ibu yang baik serta memberi lebih perhatian kepada anak yang makin membesar,” katanya.

>Profil

Nama: Krisdayanti

Panggilan: Kris, Yanti dan KD.

Tarikh lahir: 24 Mac 1975

Bintang: Aries

Umur: 34 tahun

Asal: Batu, Malang, Jawa Timur, Indonesia.

Suami: Anang Hermansyah

Anak: Titania Aurelie Nurhermansyah, 11 dan Azriel Akbar Hermansyah, 9.

Pendidikan: Perhubungan Awam

Hobi: Melancong dan membeli belah

Penyanyi pujaan: Whitney Houston, Mariah Carey dan Madonna

Pereka fesyen kegemaran: Sally Koeswanto, Gucci

Antara Album: Cahaya, Jatuh Cinta Lagi, Cobalah Untuk Setia dan Aku Milikmu.

Antara Drama: Abad 21 dan Doaku Harapanku 1 dan 2.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Azharina Dan 20 Lelaki Kacak

21 Apr

Rap
MINGGU Setiausaha yang berlangsung sepanjang April ini bukan saja menghargai setiausaha yang menjadi tulang belakang kejayaan bos mereka, malah memberi ruang kepada peminat berhibur dan bertemu lebih dekat dengan penyanyi pujaan mereka.

Bukan calang-calang penyanyi menjadi pilihan penganjur kerana harga tiket yang mahal dan menjaga nilai eksklusif acara itu. Antaranya Anuar Zain dan Anita Sarawak bersama Faizal Tahir mengadakan persembahan di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara pada 7 dan 8 April lalu.

Sementara itu, Datuk Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti menjadi pilihan Hotel Quality untuk menjayakan persembahan di Matrade Exhibition & Convention Centre, Jalan Duta pada 21 dan 22 April.

Hotel Istana pula memberi kelainan dengan menampilkan Azharina bersama 20 artis lelaki popular Malaysia dan Indonesia di Ballroom Grand Mahkota, Hotel Istana, esok, jam 11 pagi hingga 4 petang.

Dua penyanyi lelaki, Faizal Tahir dan Imran Ajmain juga diundang menghiburkan tetamu dan bakal digamatkan lagi dengan kehadiran tiga pengacara, AC Mizal, Afdlin Shauki dan Ally Iskandar.

Ternyata Azharina juga tidak keseorangan dikelilingi kumbang kerana bakal diserikan Jaclyn Victor. Apa yang menarik, Azharina bakal berduet dengan penyanyi Indonesia, Rio Febrian. Turut membuat persembahan, Delon (Indonesian Idol) dan Irwansyah.

Persembahan itu akan disiarkan secara langsung dalam program Wanita Hari Ini di TV3. Harga untuk seorang, RM350++ dan RM290++. Sajian hari itu, makanan Padang dari Sumatera Barat. Untuk tempahan hubungi 03-21419988 sambungan 3667.

Bill Bora selaku wakil publisiti untuk persembahan itu menerbangkan Rio Febrian, Delon, Irwansyah, Ariffin Putra, Samuel Rizal dan Didi Riyadi dari Seberang.

Aktor popular tanah air pula diwakili Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Awal Ashaari, Aaaron Aziz, Ashraf Muslim, Iqram Dinzly, Aqasha, Kamal Adli dan Fizo. Mereka semua akan menggayakan kostum rekaan Lord’s Tailor.

Bill Bora berkata, artis Indonesia itu akan menyanyikan lagu ciptaan komposer tanah air kerana dalam pemilihan lagu, pihaknya berkeras untuk menyanyikan lagu gubahan komposer tempatan.

 

 

“Mereka datang membuat persembahan di sini, jadi mereka kenalah ikut cara kita. Negara kita juga mempunyai ramai komposer ternama,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Mula Sibuk Cari Dana

21 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

SITI Nurhaliza

Datuk Siti Nurhaliza makin teruja untuk realisasikan impian mengadakan konsert amal di Istana Budaya

TANPA disedari, perjalanan seni figura terkenal bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sudah pun mencecah usia 14 tahun, 1 April lalu. Bagi seorang anak seni seperti Siti, berkemampuan untuk bertahan dalam bidang ini sepanjang tempoh itu adalah satu kejayaan manis buat dirinya.

Bukan mudah untuk berada di tempat di mana Siti berada ketika ini. Pelbagai pengalaman pahit manis, suka duka, asam garam terpaksa ditempuhi penyanyi berdagu lekuk ini sebelum mengecap kejayaan dan populariti yang sehingga kini masih belum pudar.

Justeru, sempena ulang tahun ke-14 pembabitannya dalam bidang seni, Siti ada cara tersendiri untuk meraikan dan berkongsi kegembiraannya itu. Sekian lama menyimpan hasrat, Siti berkata dia begitu teringin untuk mengadakan konsert amal.

Dan jelas si pelantun Di Taman Teman ini, konsert yang akan dijayakan di Istana Budaya pada Jun depan ini, adalah hadiah daripada hatinya, khusus untuk mereka yang sebelum ini tidak pernah jemu menyokong kerjaya seninya.

“Sebelum ini bukan Siti tak pernah ada konsert sendiri di Istana Budaya tetapi selalunya konsert itu Siti nyanyi lagu orang lain dan tidak sepenuhnya lagu Siti. Jadi untuk konsert yang akan datang ini, Siti akan nyanyikan lagi Siti sendiri sepenuhnya.

“Mengenai konsep, Siti masih belum memikirkannya lagi tapi apa yang boleh Siti ceritakan adalah Siti mahu konsert itu nanti mempunyai elemen seperti konsert Celine Dion di Las Vegas dan juga sewaktu saya mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London, empat tahun lalu. Siti amat tertarik dengan konsert itu kerana ia bukanlah sekadar nyanyian semata-mata. Ia adalah persembahan gabungan antara bunyi dan visual.

“Pun begitu, bukanlah bermakna saya meniru keseluruhan konsep persembahan Celine Dion. Konsert ini masih lagi mengikut acuan yang saya mahukan. Lagipun saya sedar untuk membuat konsert seperti itu pastinya memerlukan kos yang agak tinggi.

“Apapun masih terlalu awal untuk Siti menjelaskan lanjut mengenai konsert itu. Semuanya masih dalam peringkat perbincangan. Siti sudah pun menghantar kertas kerja kepada pihak Istana Budaya. Kita tunggu saja nanti bagaimana perkembangannya,” ujar Siti ketika ditemui pada sidang media Secretaries’ Week Luncheon Special Exclusively With Kris Dayanti and Siti Nurhaliza di Hotel Quality City Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tegas Siti apa yang lebih penting ketika ini adalah dia perlu mencari seberapa banyak penaja supaya konsert itu dapat direalisasikan.

“Sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa. Jadi saya harap selepas ini adalah pihak korporat dan swasta yang sudi untuk menaja konsert ini,” tutur Siti sambil mengharapkan konsert itu nanti akan menjadi kenangan paling manis buat semua peminatnya.

Sempena menyambut ulang tahun kerjaya seninya yang ke-15 tahun depan, penyanyi ini juga akan muncul dengan sebuah buku biografi bergambar yang akan menyiarkan foto menarik dan eksklusif sepanjang Siti bergelar anak seni.

Kembali jayakan Minggu Setiausaha

SELAMA dua tahun suaranya tidak berkumandang di mana-mana lokasi persembahan Minggu Setiausaha. Kali terakhir Siti muncul dalam acara itu adalah sewaktu dirinya masih bergelar anak dara dan pada masa itu Siti menjadi buruan media yang mahu mencungkil rahsia hatinya dan dengan lelaki manakah dia bakal menamatkan zaman solonya.

Kini, selepas dua tahun bergelar isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, Siti kembali memeriahkan acara itu dan lebih manis, penyanyi kelahiran Pahang Darul Makmur ini tetap setia dengan Hotel Quality City Centre untuk kali keenam.

“Terus terang, Siti memang merindui untuk kembali menghiburkan peminat Siti untuk minggu setiausaha. Bukannya apa, suasana acara itu sendiri memang menyeronokkan kerana Siti akan menyanyi pada waktu tengah hari berbanding persembahan yang selalu berlangsung pada waktu malam.

“Lagipun tawaran pihak Hotel Quality memang sukar untuk saya tolak kerana kami mudah untuk bekerjasama dan saling bersikap toleransi. Apa yang pasti, setelah dua tahun berehat, saya akan memberikan persembahan yang berbeza kali ini,” kata Siti yang akan mengadakan persembahan esok dan persembahan di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade (MECC).

Hadir sama pada sidang media itu Ketua Pegawai Operasi Cash Band (M) Sdn Bhd, Johan Thomas Low dan Penolong Pengurus Eksekutif tre, Hidzir Abdul Hamid.

Selain Siti, hotel berkenaan menampilkan diva dari Indonesia, Kris Dayanti yang akan membuat persembahan di tempat yang sama sehari sebelum persembahan Siti. Untuk kedua-dua acara itu, pelakon dan pelawak Dee akan bertindak sebagai pengacara manakala anak kepada mendiang Loga dari kumpulan Alleycats, Dsha Logan akan membuat persembahan pembukaan.

Bercerita mengenai corak persembahannya nanti, Siti berkata seperti biasa setiap nyanyiannya pasti akan diselitkan kelainan untuk kepuasan peminat.

“Siti akan menghiburkan penonton untuk tempoh 45 minit hingga sejam. Dan dalam tempoh itu juga Siti akan menyanyikan lebih kurang 10 buah lagu. Untuk persembahan ini nanti Siti juga akan menyelitkan lagu nostalgia sebagai hiburan semua peminat,” katanya yang akan menyanyi sambil diiringi enam pemuzik di bawah pimpinan Jenny Chin.

Berita Harian

Kelincahan Jemari Steve Thornton

12 Mar

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

Artis-artis tersohor negara seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Kumpulan Nasyid Raihan antara yang pernah mendapatkan khidmat anak kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) itu.

APABILA menyebut tentang perkusi, nama Steve Thornton pasti akan disebut sebagai salah seorang pemain terhebat bertaraf antarabangsa.

Kelincahan beliau memainkan pelbagai jenis alat muzik membuatkan setiap penonton yang menyaksikan persembahannya terpegun dengan irama yang terhasil daripada sentuhan jejari lelaki berbakat itu.

Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Kumpulan Nasyid Raihan merupakan antara nama-nama besar yang pernah mendapatkan khidmat dan sentuhan daripada anak kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) itu.

Itu di Malaysia. Untuk peringkat antarabangsa, Steve juga pernah dijemput mengiringi siri persembahan atau jelajah artis terkemuka seperti Kris Dayanti, Harry Belafonte, Jackie Cheung, Mongo Santamaria, Sadao Watanabe dan ramai lagi.

Apa yang pasti, kebolehan Steve bermain apa sahaja alat perkusi menjadikan dirinya dikenali dan mempunyai ‘jenama’ tersendiri.

Ibarat irama dan lagu tidak boleh dipisahkan. Begitu jugalah Steve atau nama sebenarnya Hanson Lee Steve Thornton dengan alat perkusi. Pantang memegang atau menyentuh sebarang alat, tangannya pasti ligat memainkan aneka bunyi-bunyian yang menceriakan suasana.

Alat muzik perkusi bermaksud sesuatu alat yang boleh menghasilkan bunyi atau suara apabila dipukul, ditepuk, ditabuh, digoyang, digosok atau apa saja tindakan lain yang boleh membuatkan objek bergetar.

Ia boleh dilakukan sama ada dengan suatu alat, tongkat mahupun sekadar tangan kosong.

Perkusi berasal daripada istilah Latin iaitu percussio yang bermaksud memukul dan percussus (pukulan). Antara alat muzik yang termasuk dalam kategori perkusi ialah gamelan, drum marimba, tamborin dan lain-lain.

“Saya memang begini. Pantang memegang sebarang peralatan tanpa memainkannya. Ia seolah-olah sudah sebati dengan jiwa saya,” kata Steve kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


KELUARGA bahagia yang menjadikan muzik untuk menyatukan mereka.

Steve atau nama Islamnya, Hassan Ali menceritakan bahawa dia mula meminati alatan dram ketika berusia tujuh tahun. Waktu itu, dia amat teruja mendengar paluan kongga Mongo Santamaria menerusi lagu Watermelon Man nyanyian Herbie Hancock yang sering dipasang abangnya.

Pada tahun 1968, Steve menubuhkan grup pertamanya, The Young Explosives, sebuah kumpulan berkonsepkan Latin-Jazz yang terdiri daripada empat orang. Mereka mengadakan persembahan di stesen televisyen tempatan di Channel 5 Inside Bedford-Stuvyesant dan di Apollo Theatre.

Setahun kemudian, Steve bertemu Mongo Santamaria di Kelab Beacon, 111 Street dan Lennox Avenue. Apabila dia memberitahu Mongo betapa dirinya begitu meminati pemuzik tersebut, Mongo kemudian meminta Steve bermain kongga bersama kumpulannya.

“Mendengarkan paluan tiga kongga yang saya mainkan, Mongo amat seronok lantas duduk bermain di sebelah saya. Kami bermain untuk beberapa ketika sebelum akhirnya Mongo memuji kehebatan saya bermain.

“Itulah pengalaman paling manis yang saya lalui sepanjang hidup ini. Ia boleh diibaratkan seperti mimpi yang menjadi kenyataan,” kata Steve yang kemudian sering mengadakan persembahan bersama kumpulannya dan merakamkan irama salsa dengan kumpulan tempatan lain.

Ketika bermain di kelab, Steve akan memanggil gurunya datang menonton persembahannya.

“Tujuannya supaya mereka tahu saya ponteng kelas kerana bermain muzik. Namun, apa yang menggembirakan saya ialah guru-guru banyak memberi dorongan agar saya meneruskan minat dalam bidang ini,” jelas Steve yang menjadikan Mongo Santamaria sebagai idolanya meskipun pemuzik unggul itu sudah meninggal dunia pada tahun 2003.


AKSI Steve bersama Datuk Ahmad Nawab (kanan) dan Man Kidal.

Steve, anak ke-13 daripada 14 beradik itu kemudiannya mula bermain secara profesional pada tahun 1972 sewaktu mengiringi persembahan Jon Lucien dalam jelajah di negaranya, AS.

Sejak itu dia sering diundang mengiringi penyanyi-penyanyi terkemuka termasuk Harry Belafonte. Malah Steve juga menjadi pemuzik undangan untuk album rakaman Dizzy Gillespie, Grover Washington Jr., Herbie Hancock dan Sadao Watanabe.

Pada tahun 1989, buat kali pertamanya Steve berkunjung ke Malaysia kerana mengiringi persembahan Sadao Watanabe, pemuzik Jazz terkemuka dari Jepun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Di situlah, dia mula mengenali Faridah Sanusi yang kemudian disunting menjadi suri hatinya. Hasil perkongsian hidup mereka, pasangan suami isteri itu dikurniakan empat orang cahaya mata, tiga perempuan seorang lelaki.

Anak-anak mereka iaitu Suraya; 15, Hakeem; 13, Sabrina; 9 dan Sadia; 7 masing-masing mewarisi bakat yang dimiliki Steve dalam bermain alat muzik.


ANTARA koleksi hadiah yang diberi oleh anak-anak Steve.

Menurut Faridah, kesemua anaknya menunjukkan minat dalam bidang muzik. Malah, mereka juga pandai bermain beberapa jenis alat muzik seperti piano, gitar selain puluhan alat perkusi milik bapanya.

“Sebagai ibu bapa, kami tidak pernah menghalang mereka menceburi bidang yang digemari sebaliknya terus memberi sokongan kepada mereka. Tetapi, kami juga tidak pernah memaksa mereka mengikut jejak langkah ayahnya. Itu semua datang daripada minat mereka sendiri.

“Sabrina contohnya, mempunyai suara yang sedap dan boleh menyanyi dengan baik. Malah, dia bercita-cita untuk menjadi seorang superstar satu hari nanti,” ujar Faridah sambil mengakui dirinya meminati muzik tetapi tidak pandai bermain peralatan perkusi.

Bagi Suraya, dia bangga dilahirkan sebagai anak kepada Steve Thornton. Pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah antarabangsa itu mengagumi bakat ayahnya.

“Ayah seorang pemuzik yang hebat. Sukar untuk dinafikan kehebatannya bermain alat perkusi. Dia juga banyak mendorong kami adik-beradik untuk sentiasa yakin dalam setiap bidang yang mahu diceburi.

“Kalau boleh, saya juga mahu menjadi seorang yang hebat seperti ayah tetapi mungkin sukar. Namun, saya tidak akan berputus asa. Jika ada kemahuan, pasti ada jalan untuk kita memperoleh impian yang telah dibina,” ungkap Suraya.


SABRINA (kanan) dan Sadia juga pandai bermain piano.

Steve peluk Islam kerana azan

PADA tahun 1992, Steve Thornton sering berulang-alik dari AS ke Malaysia sebagai pemuzik undangan untuk persembahan artis-artis tempatan.

Satu hari, sewaktu menjalani rakaman sebuah klip video, laungan azan pada waktu tersebut turut terakam.

Apabila mendengar semula rakaman tersebut, hatinya menjadi sayu kerana pada pendengarannya azan tersebut begitu merdu.

“Pada saya laungan azan adalah satu irama yang merdu berbanding irama lain. Sewaktu sering berulang alik ke Malaysia, saya selalu menyewa bilik di Hotel Micasa, Jalan Ampang.

“Setiap pagi apabila bangun tidur, saya buka tingkap. Saya dapat dengar empat laungan azan yang berbeza dari masjid berhampiran. Laungan itulah yang telah membuka hati saya untuk memeluk Islam,” katanya yang memilih nama Hassan Ali kerana ia seolah-olah hampir dengan nama asalnya Hanson Lee.


STEVE sentiasa memberi kebebasan pada anak-anaknya dalam bidang yang diminati.

Sementara itu, Steve memberitahu, sepanjang lebih empat dekad terlibat dalam bidang ini, dia telah memainkan ratusan atau mungkin ribuan peralatan perkusi.

Ini kerana, menurut Steve peralatan perkusi tidak terhad pada sesuatu barang sahaja. Sebaliknya, apa sahaja benda yang boleh mendatangkan bunyi adalah alat perkusi.

Antara peralatan perkusi yang ada dalam simpanannya ialah bonggo, kongga, cowbell, rattler, pandero, wood blocks, guiro, tamborine, shaker dan banyak lagi.

Kosmo