Archive | Linda Rafar RSS feed for this section

Diana Pinta Pengertian

22 May

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN fadzilah.bahar@utusan.com.my

PERANCANGAN perkahwinan antara Diana dan Zamarul masih belum difikirkan.

KISAH percintaan mereka berdua sudah lama diketahui umum. Malah hubungan percintaan mereka pernah juga dilanda badai namun sama seperti pasangan bercinta yang lain, setiap dugaan itu dihadapi dengan penuh tabah.

Lautan mana yang tidak dilambung ombak, hanya kekuatan dan kesabaran mampu mengekalkan sesebuah hubungan.

Namun orang tua pernah berkata setiap perhubungan itu lebih indah jika dimeterai dengan sebuah ikatan yang sah.

Daripada mengambil masa yang lama bercinta dan akhirnya putus di tengah jalan akan lebih membuatkan hati yang menanggung lebih perit dan sakit.

Tetapi bagi aktres Diana Rafar, meskipun kisah percintaannya bersama pelakon kacak Zamarul Hisyam sudah melebih lima tahun dan ramai pihak sudah mula mempersoalkan ke mana arah tuju hubungan percintaan mereka, tetapi ia sedikit pun tidak memberi kudis di hatinya.

Meskipun ramai yang mula mendesak agar percintaan mereka itu diakhiri dengan ikatan perkahwinan namun bagi Diana mahupun Zamarul, kedua-duanya tidak mahu tergesa-gesa.

“Hubungan kami ini bukan untuk orang lain. Bukan untuk memuaskan hati semua pihak atau takut pada kata-kata orang. Buat apa nak fikir pasal perasaan orang lain, lebih baik kami berdua fikirkan masa depan kami,” jelasnya tenang membuka bicara hubungan percintaannya itu.

Menyambung perbualan pelakon ini mengharapkan pengertian semua pihak agar memahami situasi dirinya.

“Kahwin itu hak saya, jadi saya harap semua pihak supaya mengerti diri saya. Tak perlu tergesa-gesa sampai masanya pasti perkara yang baik itu akan terlaksana,” kata Diana tegas penuh makna.

Diana, 26, pada masa yang sama menyedari ada dakwaan yang tersebar luas buah hatinya mempunyai gadis lain dalam hidupnya.

Bagaimanapun, semua itu dianggap Diana sebagai gosip semata-mata.

“Sudah tentu ada yang menyampaikan berita Zamarul keluar dengan perempuan lain ke telinga saya, tapi bagi saya semua itu hal yang remeh.

“Selagi saya tidak nampak dengan mata saya sendiri jadi saya tak akan percaya. Malah saya tidak berkecil hati pun dengan gosip-gosip itu dan kalau boleh saya tak mahu tahu pun tentang gosip tersebut,” luahnya penuh jujur.

Jarang berjumpa

Lafaz pemilik nama sebenar Adiana Abdul Rafar ini lagi, kepercayaan antara satu sama lain merupakan tunjang utama hubungan dia dengan Zamarul berkekalan sehingga ke hari ini.

“Sebetulnya, kami sudah semakin jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan tugas sendiri.

“Tapi kita ini dah dewasa jadi tak ada masalah untuk berdepan dengan situasi sedemikian. Kita bukan lagi budak-budak,” jawab Diana menggambarkan kematangannya.

Menurutnya juga, setiap kali ada kelapangan masa, mereka akan memanfaatkannya sebaik mungkin.

“Selalunya kalau berjumpa kami akan keluar makan bersama atau Zamarul menghabiskan masa di spa yang saya usahakan.

“Bukanlah satu masalah jika jarang berjumpa kerana kita dah tahu apa yang dilakukan oleh satu sama lain. Kami sibuk dengan kerjaya dan bukannya memisahkan diri atau melupakan antara satu sama lain,” katanya lagi.

Diusik tentang perkahwinan pantas adik kepada Linda Rafar ini memberitahu perkara tersebut masih belum ada dalam perancangan mereka berdua.

Alasan Diana sangat mudah iaitu: “Kami mahu beri tumpuan pada kerjaya dan perniagaan masing-masing.”

D Lugano permata hati Diana

Dalam pada itu, Diana juga galak bercerita tentang spa miliknya yang baru sahaja dibuka lima bulan lalu.

Memberi nama D Lugano, spa tersebut memberikan pelbagai perkhidmatan dan menjual pelbagai produk kecantikan seperti Jamu Dara Semula dan produk kecantikan Cenderawasih.

Memilih lokasi di no. 58, Jalan Renang 13/26, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, Diana mengharapkan spa berkenaan akan mendapat sambutan hebat daripada mereka yang gemar memanjakan diri.

Harapan itu sangat besar buat Diana lantaran spa berkenaan diasaskannya hasil jerit perihnya dalam dunia hiburan.

Terang anak bongsu daripada enam beradik ini lagi, ada sebab mengapa dia memilih untuk mengendalikan perniagaan tersebut secara sendirian.

“Kakak-kakak saya semuanya ada perniagaan sendiri. Jadi tak salah saya usaha sendiri spa ini.

Saya sanggup berehat dari berlakon selama sembilan bulan semata-mata mahu memberi tumpuan pada perniagaan ini.

“Modalnya saya kumpul sedikit demi sedikit dari hasil lakonan saya. Memang pada mulanya saya khuatir juga sama ada akan berjaya atau tak perniagaan ini. Tapi saya mengambil cabaran untuk mengusahakannya juga. Sama ada berjaya atau tak itu lain cerita,” katanya penuh optimis.

Berkonsepkan dalam rumah ada rumah, rekaan dalaman spa tersebut merupakan hasil sentuhan Zamarul sendiri.

Kata Diana: “Dia ada kepakaran dalam mencipta rekaan, jadi tak salah saya meminta dia menolong saya menghasilkan rekaan untuk spa saya ini.”

Powered by Utusan Malaysia

Soseh Soseh: Eizlan Dapat Anak Perempuan

5 May


Rap

TAHNIAH SS ucapkan buat pelakon Eizlan Yusof kerana isterinya, Vie Shanti selamat melahirkan anak perempuan, kelmarin.

Difahamkan, Eizlan bergegas pulang dari lokasi peng gambaran drama Dari KL Ke Queenstown di New Zealand pagi itu kerana tidak mahu melepaskan peluang berada di sisi isteri ketika kelahiran anak sulung mereka.

Malah SS juga difahamkan, Eizlan memilih nama Vie Zaraa untuk bayi comel yang dilahirkan di Pusat Perubatan Kota Kinabalu, jam 11 pagi, Sabtu lalu.

SS yakin Eizlan dan Vie begitu gembira saat ini. Se memangnya pengalaman pertama kali bergelar bapa dan ibu suatu yang cukup indah biarpun tanggungjawab baru ter hadap keluarga bertambah.

Ketika rakan SS menghubungi Eizlan semalam, pelakon Impak Maksima itu mengakui sempat melihat kepayahan isterinya ketika melahirkan Vie Zaraa. Kata Eizlan, ketika isterinya kesakitan, fikirannya terbayangkan wajah ibunya, Ramlah Latif.

Katanya, dia membayangkan pengalaman dan kepayahan ibunya ketika melahirkan dia dulu dan turut mengakui tanggungjawab serta pengorbanan ibu dalam melahirkan anak cukup besar. Jadi setiap bapa, suami dan anak perlu lebih menghargai jasa dan pengorbanan ibu melahirkan anak.

SS difahamkan, sebagai menghargai pengorbanan isteri yang berjuang melahirkan anak mereka, Eizlan memberi peng hormatan kepada isterinya untuk meletakkan nama anak pertama mereka itu. Memang sedap nama itu tapi SS tidak tahu pula mengapa nama sempena filem Hindi itu diabadikan pasangan ini.

Dalam pada itu, SS juga ingin mengucapkan tahniah buat pasangan Linda Rafar dan Syed Kamaruzaman Syed Mahmud atau Syed Aiman yang khabarnya menerima kehadiran cahaya mata dalam hidup mereka, Jumaat lalu. Begitu juga pasangan Faizal Hussein dan Suhaila yang menyambut kelahiran anak kedua lebih seminggu lalu.

Harap-harap dengan kehadiran orang baru ini, setiap pa sangan lebih bersedia melaksanakan tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai ibu bapa dan bijak dalam menangani masalah rumah tangga tanpa perlu merosakkan imej artis yang sering dilanda perceraian.

Semoga Eizlan, Linda dan Faizal kekal bahagia hingga anak cucu bersama pasangan mereka.

Powered by Harian Metro

Naluri Seorang Insan

23 Nov

SABTU ini melalui slot Panggung Seri, pada pukul 8.30 malam di RTM1, anda berpeluang menonton Naluri Seorang Insan yang memaparkan hubungan akrab antara dua sahabat, Rohaizad dan Termizi yang berkawan baik sejak di bangku sekolah lagi.

Hubungan akrab itu bagaimanapun menjadi renggang tanpa diketahui puncanya. Rohaizad yang berpindah ke suatu tempat kerana mendapat pekerjaan, akhirnya jatuh cinta dengan seorang gadis bernama Sharmila.

Namun, percintaan mereka tidak kesampaian kerana bapa Sharmila berjanji untuk menjodohkan Sharmila dengan anak kawannya iaitu Termizi.

Setelah berkahwin dengan Sharmila, Termizi sering bertemu dengan Rohaizad. Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk berbaik semula.

Bagaimanapun, Termizi tidak menghargainya dan tetap menjauhkan diri daripada Rohaizad. Sikap dingin Termizi mengundang syak wasangka kepada Sharmila.

Akhirnya, rahsia yang selama ini disimpan oleh Termizi terbongkar. Rupa-rupanya Termizi mengalami masalah kelelakian. Tambah malang lagi apabila Sharmila yang tidak mendapat nafkah batin sejak mula mereka berkahwin meminta cerai daripada Termizi.

Tindakan Sharmila menuntut cerai mengundang pelbagai fitnah. Ada yang menuduh dia sebagai wanita jahat kerana tidak tahu menghargai kebaikan suaminya. Malah, ada yang menuduhnya menuntut cerai kerana ingin bersama kekasih lamanya, Rohaizad.

Suatu hari Sharmila dan Rohaizad difitnah sehingga hampir-hampir ditangkap khalwat. Mujurlah Termizi bertindak cepat menyelamatkan mereka atas dasar sayangkan bekas isteri dan kawan karibnya itu.

Kerana ingin mengelakkan sesuatu yang tidak diingini, bapa Sharmila meminta Rohaizad mengahwini Sharmila. Walaupun sedih, Termizi berasa lega kerana sudah ada orang yang lebih sesuai menjaga Sharmila.

Termizi akhirnya berhijrah ke suatu tempat dan berjumpa dengan seorang ustaz untuk mendalami ilmu agama. Dia menceritakan kepada ustaz tersebut tentang penderitaan yang ditanggungnya.

Naluri seorang insan sememangnya sukar diramal. Walaupun secara luaran Termizi kelihatan gagah, tetapi nun jauh di sudut hatinya tersimpan suatu perasaan yang terlalu lembut.

Menyedari hakikat itu, dia akhirnya membuat keputusan memutuskan hubungannya dengan Rohaizad kerana khuatir hubungan baiknya bertukar kepada cinta.

Apakah yang terjadi seterusnya? Mampukah Termizi memerdekakan dirinya melawan godaan syaitan?

Pelakon: Ijoy, Syed Aiman dan Linda Rafar.

Powered by Utusan Malaysia

Azza Dah Tak Macam Tengkorak

21 Jan

SEMASA menghadiri majlis perkahwinan pelakon Linda Rafar dan Syed Aiman di Shah Alam, pada 2 Disember lalu, terjumpalah dengan Azza yang menjadi pengacara majlis itu. Niezam tengok Azza, kurus kering. Mukanya pula pucat lesi macam orang tak cukup makan.

Masa kami berbual, Azza ada bercerita mengenai masalah yang melanda dirinya selain kisah rumah tangganya dengan Mohd. Ehsan yang masih belum selesai.

Kata Azza dia tak nafikan dirinya sakit tapi Azza minta supaya penyakitnya itu tidak ditulis. Cuma katanya sejak kebelakangan ini dia penat bekerja mencari duit.

Minggu lepas pula Niezam terima SMS daripada Azza. Katanya dia sudah kembali sihat. Dia tak macam tengkorak lagi malah dah boleh menyanyi semula.

Sambil bergurau kata Azza, berat badannya pun dah bertambah daripada 43 kilogram kepada 47 kilogram.

‘‘Azza dah macam anak dara semula. Dulu kurus kering tapi sekarang ni dah okey. Masa Abang Niezam jumpa dulu, Azza macam tengkorak tapi sekarang penyakit Azza dah sembuh sikit,’’ katanya. Cuma kata Azza dia bersyukur selepas berubat, penyakit yang dialaminya semakin pulih.

Sekarang ni pun Azza tengah sibuk untuk menghasilkan album baru dan dia nak aktif menyanyi macam dia bersama kumpulan Elite dulu.

Berborak dengan Azza, katanya dia kecewa kerana tak habis-habis ada orang yang dengki dan cuba buat kacau terhadapnya. Biasalah Azza, apabila menjadi artis dan ada nama sikit, macam-macamlah tohmahan yang melanda. Apa yang perlu sekarang ni bersabar dan bertawakal kepada Allah sahaja.

NIEZAM: Siapa yang akan julang Juara Lagu malam ini? M.Nasir ataupun Adibah Noor?

Powered by Utusan Malaysia

Redup Suram Dan Tawa Ria 2006

31 Dec

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

Tahun 2006 menoktahkan lebarannya hari ini dan esok kita semua akan menyambut tahun baru 2007 dengan keazaman baru. 2006 yang berlalu meninggalkan seribu satu macam kenangan indah, pahit dan manis. Dunia hiburan tentunya tidak pernah sunyi dengan segala macam kisah sensasi yang terjadi.

Tahun ini dunia artis dibuka dan ditutup dengan penuh meriah dan warna-warni. Daripada soal perkahwinan sehinggalah kisah-kisah sedih melibatkan perceraian dan kematian.

Kita imbas kembali peristiwa-peristiwa utama yang menarik sepanjang tahun 2006.

Perkahwinan

* 29 Mac

* Syura

Penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 20, mendirikan rumah tangga dengan sepupunya, Mohd. Fadhly Md. Yassin pada 29 Mac di Johor Bahru, Johor. Syura bagaimanapun mengalami keguguran selepas beberapa bulan perkahwinan itu.

* 28 April

* Siti Nordiana dan Mohd. Faizal Yusop

Penyanyi Siti Nordiana Alias, 22, dan pelakon Mohd. Faizal Yusop, 28, berkahwin pada 28 April di Felda Sendayan, Negeri Sembilan. Mereka kemudian mendirikan persandingan untuk penduduk kampung dan peminat di Dewan Felda Sendayan pada 29 April berkonsepkan persandingan dalam taman.

* 29 April

* Nurfarahin Jamsari

Personaliti TV3 – Nurfarahin Jamsari selamat mendirikan rumah tangga keduanya dengan Noor Eddie Putera Noordin, 36, di Keramat, Kuala Lumpur.

Sebelum itu pada 16 Januari, Nurfarahin berpisah dengan suaminya Sheikh Omar Sheikh Anuar dengan talak satu. Hasil perkahwinan pertamanya, Nurfarahin dikurniakan empat orang anak.

* 26 Mei

* Anne Ngasri

Anak kepada pelakon Ngasri Sain – Anne Ngasri, 22, berkahwin dengan Abdul Wafi Hassan di Taman Permai Batu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

* 24 Jun

* Fendi (X-Factor)

Bekas penyanyi kumpulan X-Factor, Fendi mendirikan rumah tangga dengan Wan Intan Nadia Noraman di Keramat, Kuala Lumpur. Sebelum itu Fendi pernah bertunang dengan seorang peguam tetapi hubungan mereka tidak kekal lama.

* 20 Jun

* Nora Danish

Pelakon siri Puteri, Nora Danish, 24, berkahwin dengan Rizal Ashram iaitu anak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Majlis pernikahan mereka diadakan secara eksklusif.

* 15 Julai

* Aleeza Kasim

Pelakon dan model Aleeza Kassim, 35, mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan terkenal Mohd. Fauzi Che Ros, 42. Pernikahan mereka dilakukan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

* 1 Julai

* Ezany

Mohd. Ezany Nizariff, 33, yang popular menerusi drama bersiri Natasha berkahwin dengan gadis dari tawau Sabah – Lidza Nuryanti Abidin, 23. Majlis persandingan mereka diadakan serba sederhana.

* 21 Ogos

* Siti Nurhaliza

Akhirnya desas-desus perkahwinan Siti Nurhaliza Taruddin, 27, terjawab apabila gadis itu berkahwin dengan Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Perkahwinan itu merupakan satu sejarah di dalam dunia hiburan tanah air kerana ia disiarkan secara langsung oleh TV3.

Wang Hantaran yang diterima Siti ialah RM30,000 dan mas kahwin pula RM22,222.22. Persandingan mereka diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 Ogos dan seminggu selepas itu di Dataran Lipis, Pahang. Pada bulan Oktober lalu Siti dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang membawa gelaran Datuk.

* 8 September

* Fiza

Bekas anggota kumpulan Elite yang juga seorang pelakon – Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza, 25, berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin, 26, di Masjid Al-Syarif, Gombak, Selangor. Mereka berkawan selama lima tahun sebelum memilih untuk menjadi suami isteri.

* 4 November

* Ieda (Moin)

Penyanyi Ieda Moin, atau Siti Haidah Abdul Moin, 27, memilih Pengurus Produksi, Mohd. Naquib Idris, 27, sebagai suaminya. Mereka berkahwin di Masjid Al-Rahimah, Kampung Pandan pada 4 November dengan hantaran RM10,000.

* 12 November

* Noorkhairiah

Pelakon Noorkhairiah Ahmad Shapie, 30, mendirikan mahligai bahagia dengan seorang jurutera Azfaizul Ahtan, 29. Mereka selamat bernikah di taman Muhibah, Raub Pahang. Selepas berumahtangga, Noorkhairiah tetap mahu aktif berlakon.

* 18 November

*Bob Azrai

Pelakon Bob Azrai, 38, bernikah dengan Siti Khalifah Alihan, 18, di Masjid Bukit Indah, Ampang. Perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan kedua Bob selepas keruntuhan rumah tangganya dengan pelakon Aida Aris.

* 2 Disember

* Linda Rafar dan Syed Aiman

Pasangan duda dan janda Linda Rafar, 28, dan Syed Aiman, 31, selamat diijabkabulkan di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. Kedua-dua pelakon itu turut mengadakan majlis resepsi di rumah keluarga Linda di Shah Alam dan di hotel Concorde seminggu kemudian.

* 16 Disember

* Aziz Sattar

Pelakon veteran, Aziz Sattar mendirikan rumah tangga ketika berusia 81 tahun dengan peminatnya, Hashimah Delan, 48. Pernikahan mereka dilakukan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

* 19 Disember

* Erema dan Seri Bayu

Tahun 2006 ditutup dengan perkahwinan penulis lirik Seri Bayu dengan penyanyi Erema Awang Mohdad, 23, di Masjid danau Desa, Taman Desa Kuala Lumpur. Biarpun Seri bayu menghidap penyakit saraf namun Erema sanggup menerimanya sebagai suami.

Pertunangan

* 11 Mac

* Haiza

Penyanyi dangdut – Haiza melangsungkan pertunangan dengan pemain hoki sebuah bank – Hanafi Omar di rumah kakak penyanyi itu di Kuala Lumpur.

Kedua mereka berusia 26 tahun dan masih memikirkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan majlis pernikahan. Mereka cuba menyembunyikan pertunangan itu atas atasan ia tidak perlu diheboh-hebohkan. “Takut apa-apa jadi nanti malu…’’ kata Haiza.

* 4 Jun

* Nasha Aziz

Pelakon popular Nasha Aziz atau Noraishah Abdul Aziz, mengikat tali pertunangan dengan pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof di Keramat, Kuala Lumpur. Nasha juga mahu merahsiakan pertunangannya tetapi dapat dihidu juga oleh wartawan.

Pada majlis itu Nasha menerima sebentuk cincin Chopard yang disarungkan oleh bakal ibu mentuanya, Hasnah Hassan.

* 28 Oktober

* Lisdawati dan Fauzi Nawawi

Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2005, Lisdawati mengikat tali pertunangan dengan pelakon Fauzi Nawawi di rumah keluarga Lisdawati di Kualam Lumpur. Mereka merancang mengadakan majlis perkahwinan pada tahun hadapan. Hantaran perkahwinan ditetapkan sebanyak RM21,111.11 dan mas kahwin RM999. Fauzi merupakan seorang duda

Perpisahan

* 7 April

* Noraniza Idris dan Fareez

Pasangan penyanyi dan pelakon ini berpisah selepas 20 tahun berkahwin. Lafaz cerai dilakukan oleh Fareez atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Tajuddin terhadap Noraniza di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur pada 7 April.

* 26 April

* Erra Fazira dan Yusri

Erra Fazira dan Yusry Abd. Halim yang cuba mengelak memperkatakan mengenai rumah tangga mereka akhirnya mengambil keputusan berpisah selepas tiga tahun berkahwin.

Lafaz cerai dilakukan pada 26 April di kediaman Erra di Damansara dan pengesahan cerai tersebut dilakukan pada 16 Jun di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya, Selangor.

* 5 Mei

* Norman Hakim dan Abby

Sesuatu yang mengejutkan apabila pasangan pelakon Norman hakim, 30, dan Abby Abadi, 28, berpisah. Norman melafazkan cerai terhadap Abby pada 5 Mei dan mereka rujuk semula beberapa hari selepas itu. Penyanyi Farahdiaya dikatakan menjadi punca penceraian itu. Abby dan Norman mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan mereka.

* 16 Oktober

* Awie dan Arni Nazira

Penyanyi kumpulan Wings, Awie atau Ahmad Azhar Othman, 38, melafazkan cerai talak satu terhadap penyanyi Arni Nazira, 28, di Mahkamah Rendah Syariah, Kuantan, Pahang. Penceraian itu dikatakan berpunca daripada penyebaran gambar perkahwinan Awie dengan Rozana Misbun di Internet.

Akibat penceraian itu, Awie mendapat hak penjagaan terhadap dua anaknya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 6, dan Puteri Aleefa Antasha, 4.

* 20 Oktober

* Ajai dan Nurul

Pasangan yang popular dengan lagu Serasi Bersama rupa-rupanya tidak serasi apabila Nurul atau namanya Noorul Huda Abdul Wahab, 29, memfailkan permohonan pengesahan cerai dengan Mohd. Faizal Maas, 31, atau Ajai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor.

Nurul mendakwa Ajai melafazkan cerai terhadapnya sebanyak tiga kali pada 2001 dan dua kali pada 2006.

Kembali ke rahmatullah

* 20 Jan

* Rosiah Chik

Penyanyi veteran, Rosiah Chik meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada usia 74 tahun akibat serangan penyakit jantung.

Allahyarham menjadi penyanyi ketika berusia 16 tahun dan merakamkan lebih 200 buah lagu ketika hayatnya. Hasrat beliau untuk mendengar lagu duetnya iaitu Hantaran Hati bersama Bob (Akademi Fantasia 2) tidak kesampaian.

* 7 Februari

* S. Jibeng

Penyanyi popular tahun 60-an S. Jibeng meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kerana sakit jantung dan kencing manis.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas zuhur di Tanah Perkuburan Islam, Kebun Teh.

* 25 Julai

* Hani Mohsin

Pelakon filem dan drama terkenal Hani Mohsin Hanafi, 41, meninggal dunia akibat serangan jantung. Allahyarham pengsan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, ketika sedang menunggu penerbangan ke Alor Star bersama anaknya Hani Karmila, 9.

Beliau juga adalah bekas suami Datin Seri Tiara Jacquelina. Pelakon itu merancang untuk bercuti ke Langkawi semasa kejadian.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Al-Ridzuan, Hulu Klang selepas solat isya sebelum dikebumikan di sebelah pusara ibunya, Hasni Bakar di Tanah Perkuburan Islam Al-Ridzuan, Hulu Klang.

* 10 Oktober

* Seha

Bekas penyanyi kumpulan Freedom, Norsehah Abu Bakar atau Seha (44 tahun) meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur kerana penyakit barah paru-paru.

Beliau meninggal dunia kira-kria pukul 8 pagi di sisi suaminya Azmi Thambi Chik. Hajatnya untuk menemui anak sulungnya Misha Kyrie Lind, 15, yang tinggal bersama bekas suaminya di London tidak kesampaian. Sebaliknya mereka sempat berhubung menerusi e-mel selepas penderitaan Seha disiarkan di akhbar. Seha juga mempunyai seorang anak perempuan berusia 11 tahun iaitu Karissa Iris Lund.

Kejayaan

* 5 Ogos

* Mohd. Faizal Ramly

Jejaka dari Marang, Terengganu – Mohd. Faizal Ramly, 22, menjadi Juara Akademi Fantasia Keempat (AF4) dan sekali gus membolehkan beliau membawa pulang hadiah bernilai RM370,000 termasuk sebuah kereta Toyota Vios serta wang tunai RM20,000.

* 22 September

* Suki

Low Sook Yee atau lebih dikenali dengan nama Suki menjadi juara pertandingan One In A Million anjuran 8TV dan sekali gus melayakkan gadis berusia 17 tahun itu menerima wang tunai RM1 juta.

* 19 November

* Datuk Ahmad Nawab

Komposer terkenal Datuk Ahmad Nawab menerima Anugerah Seniman Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalulail. Beliau turut mendapat hadiah wang tunai RM60,000.

* 3 Disember

* Fiq

Pertandingan Mentor anjuran TV3 memperlihatkan jejaka dari Sabah, Fiq atau nama sebenarnya Mohd. Firdauz Abdul Halim, 24, menjadi juara pertandingan itu dan menggondol hadiah wang tunai sebanyak RM50,000, tawaran menjadi artis rakaman EMI Music Sdn. Bhd., dan trofi. Fiq juga berjaya mengalahkan Ima dari Indonesia dalam pertandingan Juara Antara Juara pada 24 Disember lalu. Dalam pertandingan itu Fiq berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM18,500.

Sensasi

* 1 Julai

* Mawi

Penyanyi Asmawi Ani atau Mawi memutuskan pertunangannya dengan Nordiana Md. Naim. Mawi mendakwa hubungan itu terputus akibat masalah peribadi yang berlaku. Akibat kejadian itu, Nordiana mengambil kesempatan meluahkan rasa hatinya dengan menghasilkan sebuah buku Catatan Duka Diana Naim yang menceritakan kisahnya bersama Mawi sebelum penyanyi itu menyertai Akademi Fantasia.

Mawi turut mencipta kontroversi apabila membuat kenyataan tidak mahu berpegangan tangan sekiranya ditawarkan berlakon sehingga mencetuskan kemarahan beberapa orang pelakon termasuk Rosyam Nor.

* 13 Ogos

* Sharifah Amani

Pelakon Sharifah Amani yang dinobatkan sebagai

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 (FFM19), mencetus kontroversi apabila berucap di dalam bahasa Inggeris dengan berkata, ‘‘I sound like stupid if I speak in Malay.’’ (Saya rasa seperti orang bodoh kalau saya bercakap dalam bahasa Melayu).

Ucapannya itu menimbulkan rasa tidak senang sebilangan besar penonton termasuk tetamu kehormat majlis itu iaitu Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Pelakon itu bagaimanapun tidak bermaksud untuk menghina bahasa Melayu sebaliknya menganggap ucapannya telah disalah tafsir.

* 15 Ogos

* Rita Rudaini dan Lisdawati

Pelakon Rita Rudaini dan Lisdawati dikatakan bercakaran di dalam sebuah kolam renang ketika penggambaran drama Kau Yang Ku Sayang di Pulau Pinang.

Lisdawati mendakwa Rita cuba mencederakannya di dalam penggambaran itu sehingga memaksa Lisda membuat laporan polis. Bagaimanapun pihak polis telah menutup kes tersebut dan menganggap ia selesai.

Powered by Utusan Malaysia

Inikah Buah Hati Zizie?

24 Dec
.

Wah, sama sedondon lagi nih. Kelas adik-adik kalau bercinta. Sehati sejiwa gitu. Inilah wajah ‘Mr. A’ kekasih hati si pelakon putih gebu, Zizie Ezzette tu.

Pasangan ini buat pertama kalinya muncul di majlis persandingan pelakon Linda Rafar dan suaminya di Shah Alam baru-baru ini. Sebelum ini Zizie selalu mengelak kalau diajak bercakap soal kekasih hatinya itu, tetapi sekarang nampaknya dah semakin terbuka. Tak lama lagilah tu agaknya majlisnya.

Mr. A adalah seorang ahli perniagaan dan khabarnya mereka bercinta sudah hampir lima tahun dah. Zizie juga mesra dengan anak Mr. A hasil dari perkahwinan sebelum ini.

Jadi, bila lagi hendak makan nasi minyak? Asyik datang majlis orang saja, empunya diri bila lagi? Demikian yang diusik oleh banyak rakan-rakan artis dan media kepada pasangan ini.

Yang penting kata Zizie bila sampai masanya, dia tidak akan menyorokkan cerita berkenaan dari pengetahuan pihak media. Ialah, zaman artis kahwin sorok sudah berlalu dan hal yang baik kenalah dikongsi bersama.

Bagi tahu awal-awal ya dik, senang Kak Joyah dan pasangan hendak tempah baju. Sedondon lagi, biar meletup.

Powered by Utusan Malaysia

Kejutan Linda Dan Syed Aiman

10 Dec

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Sesuatu yang tak disangka… Keifli Othman hadir merenjiskan air mawar di tangan bekas isterinya – Linda pada majlis persandingan pelakon itu dengan Syed Aiman minggu lalu.

“KAHWIN… kahwin… kahwin… nikah dan kahwin… bukanlah hai mudah perkara mudah.’’ Ingat lagi dengan bait-bait lagu itu? Lagu yang pernah dipopularkan penyanyi Ahmadi Hassan suatu ketika dahulu yang menceritakan susah senang sebuah rumah tangga.

Memang benar perkahwinan itu indah. Menyebutnya juga mudah tetapi untuk melayarinya tidaklah semudah yang dibayangkan.

Mengemudi sebuah rumah tangga sama seperti menaiki kapal di tengah lautan yang kadangkalanya berhadapan dengan laut tenang dan ada masanya bergelora.

Pertemuan mereka yang pernah berkahwin dan berpisah dan bertemu lagi jodoh merupakan sesuatu yang istimewa.

Kenapa begitu? Kerana kedua-duanya pernah merasai pengalaman berumah tangga dan membina semula rumah tangga baru dengan harapan yang baru.

Pelakon Syed Kamaruzaman Syed Mahmud atau Syed Aiman, 31, dan Linda Rafar, 28, bertemu jodoh buat kali kedua selepas kedua-duanya pernah kecewa dalam rumah tangga yang dibina.

Bertempat di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam, 2 Disember lalu, dua hati yang pernah kecewa dalam rumah tangga kembali bersatu apabila mereka selamat diijabkabulkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Khairuddin Hassan.

Bersama mas kahwin RM111 dan wang hantaran RM11,111.11 mereka akhirnya menjadi suami isteri kira-kira pukul 9.45 pagi.

Lebih bererti, kedua-dua anak Linda bersama bekas suaminya – pelumba kereta Keifli Othman iaitu Rezaril, 7, dan Rezaimen, 4, turut merestui perkahwinan baru ibu mereka.

Majlis persandingan Syed Aiman dan Linda pula diadakan secara meriah di rumah keluarga pengantin perempuan di Shah Alam, bertemakan warna hijau muda menggambarkan harmoninya sebuah perkahwinan.

Pelakon Azza (Elite) dan Zamarul Hisham yang menjadi pengacara majlis tersebut menyusun acara dengan baik bagi menggembirakan tetamu.

Selain rakan-rakan artis antaranya Watie (Elite), Suhaina Yahya, Syazliana dan Kasmadiana yang turut hadir, kejutan bagi Linda dengan kehadiran bekas suaminya Keifli berpakaian baju Melayu serba hijau memenuhi tema persandingan itu.

Ia satu kejutan buat Linda. Tergamam dan terperanjat pengantin itu apabila Zamarul menjemput Keifli untuk merenjiskan air mawar di atas pelamin.

“Memang Linda tidak menyangka Keifli datang merenjis air mawar. Linda memang terkejut dengan kehadirannya,’’ katanya.

Walaupun di antara Linda dan Keifli sudah tiada apa-apa lagi namun di sudut hatinya Linda tidak dapat menyembunyikan perasaan sayu mengenangkan peristiwa itu.

“Dia merestui Linda dan Syed Aiman bersatu dan tentunya Linda juga tidak sabar untuk melihat dia bertemu jodoh barunya,’’ jelas Linda lagi.

Semasa rencana ini ditulis pada malam Rabu lalu, Linda bersama Syed Aiman berada di Bandung, Indonesia untuk menyediakan kelengkapan majlis resepsi mereka yang akan diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam, malam ini.

Kata Linda, dia ingin menjadikan perkahwinannya itu sesuatu yang istimewa untuknya dan Syed Aiman memahat sejarah terindah di dalam kamus hidup mereka.

Pada malam ini hanya jemputan istimewa termasuk VIP, rakan-rakan artis, sanak saudara, penaja dan media dijemput untuk meraikannya.

Linda merasakan majlis persandingan minggu lalu masih belum sempurna kerana dia tidak dapat melayan mereka yang hadir sepuas-puasnya.

“Jemputan Linda tempoh hari hanya 1,000 orang tetapi yang datang lebih dari jumlah itu iaitu hampir 2,000 orang.

“Bagi menghargai rakan-rakan rapat dan pihak yang banyak membantu Linda dan Aiman, majlis resepsi ini diharap dapat menggembirakan mereka,’’ katanya.

Apa-apa pun selamat pengantin baru buat Linda dan Syed Aiman. Semoga ia berkekalan buat selama-lamanya.

Powered by Utusan Malaysia

Persembahan Batik Di The Weld

25 Sep

BERMULA dari 19 hingga 29 September ini, pengunjung pusat membeli-belah The Weld, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur berpeluang melihat Persembahan Batik 2006 (Batik Showcase 2006) rekaan beberapa pereka fesyen terkenal tanah air.

Objektif utama Persembahan Batik 2006 yang dianjurkan oleh The Weld itu adalah untuk memberi ruang kepada pereka fesyen tempatan mempamerkan hasil kerja seni mereka.

Sepanjang tempoh Persembahan Batik 2006 berlangsung, orang ramai berpeluang melihat keindahan gaun, kebaya, baju kurung bermotif batik yang dihasilkan oleh 11 pereka fesyen terpilih.

Antara pereka fesyen yang menyertai Persembahan Batik 2006 ialah Amir Luqman, Barakaff, Bill Keith, Calvin Thoo, Ikarrtini, Innai, Khadani, Khalid, Khoon Hooi, Margaret McCallum, Masrina, Michael Shu, Nazleen Noor, Ridzuan Bohari, Von Jolly dan Zizi Design.

Sementara itu lebih 50 selebriti memeriahkan majlis pelancaran Persembahan Batik 2006 yang berlangsung baru-baru ini.

Antara selebriti yang mengambil bahagian ialah Ziana Zain, Ning Baizura, Fauziah Latiff, Diana Rafar, Linda Rafar, Sazzy Falak, Fahrin, Fazura, Nurul, Eja serta pemain-pemain bola sepak tempatan seperti Akmal Rizal (Kedah), Chan Wing Hong (MPPJ), Nazrul Erwan (Selangor) dan Zaquan Adha (pemain pasukan Malaysia bawah 20 tahun).

Powered by Utusan Malaysia

2 Hati Duga Kesetiaan Persahabatan

22 Jul

Oleh: WANDA IDRIS

PENDUKUNG utama drama 2 Hati, Linda Rafar (kanan) dan Jue.

’PERBEZAAN personaliti menyatukan mereka namun ujian duniawi menduga kesetiaan persahabatan mereka.’

Itulah ungkapan untuk menggambarkan situasi drama 2 Hati yang menghiasi slot Lestary di TV3 pada setiap Selasa, pukul 9 malam, bermula 18 Julai lalu.

Kisah persahabatan yang diselubungi cemburu, hasad dengki dan pengkhianatan itu menggandingkan Linda Rafar dan peserta Malaysia Most Beautiful, Zuliana Abdul Aziz atau Jue.

Diterbitkan oleh Asia Media Content Sdn. Bhd., 2 Hati diarahkan oleh Faisal Ishak yang sebelum ini pernah menangani drama bersiri popular seperti Natasha.

Kalau kita menyaksikan sedutan drama 26 episod itu, tidak dinafikan seakan-akan ada persamaan garapan antara 2 Hati dengan Natasha.

Ia diakui sendiri oleh Faisal. “Tapi ada kelainan antara kedua-dua drama itu,” tegasnya pada sidang akhbar pelancaran 2 Hati baru-baru ini.

Menurut Faisal, aspek situasi menguatkan drama Natasha tetapi bagi drama 2 Hati, karakter yang menjadi tonggaknya.

“Karakter Nadia dan Kyra yang membawa perjalanan cerita ini. Watak-watak itu mempunyai kekuatan masing-masing dan mereka juga ada bahagian putih dan hitam dalam hidup

“Kedua-duanya bersahabat tetapi ia satu persahabatan yang amat berbeza,” kata Faisal yang mengakui gemar menonjolkan isu kekeluargaan, masalah sosial remaja dan pengorbanan cinta.

“Ia juga genre yang diminati audiens,” tambah Faisal yang mengharapkan drama itu mendapat sambutan menggalakkan seperti mana yang diterima drama Natasha yang berjaya memikat hati 3.96 juta penonton pada setiap kali ia ditayangkan.

Faisal sebelum ini pernah mengarah drama-drama seperti Rafflesia, Balkis, Selumbar Di Hati Mama dan Impian Ilyana.

Masih menjalani penggambaran di beberapa lokasi termasuk Pulau Pinang dan Cameron Highlands, 2 Hati turut dibintangi Jalaluddin Hassan dan Mustapha Kamal selain beberapa bakat-bakat baru seperti Iqram Dinzly, Fezrul Khan, Fizz Fairuz dan Marisa Yasmin.

Turut membuat penampilan istimewa ialah Fasha Sandha, Nabila Huda Suhaimi dan Maizurah Hamzah.

2 Hati berkisar tentang kehidupan dua gadis iaitu Nadia dan Kyra yang menjadi sahabat baik setelah bertemu di kolej.

Kyra, lakonan Jue, tampil sebagai seorang gadis yang pemalu dan pendiam serta amat dikongkong oleh bapanya setelah satu peristiwa menimpa keluarganya.

Watak Nadia yang didukung oleh Linda pula ialah seorang gadis yang ceria dan diberi kebebasan penuh oleh bapanya.

Walaupun mempunyai latar belakang berbeza, mereka kemudian menjadi sahabat baik sehingga sikap cemburu dan dengki Nadia terhadap Kyra menimbulkan konflik dan mengugat persahabatan mereka.

Namun, kata Linda, bukan mudah menyempurnakan watak gadis bernama Nadia.

“Pengembangan watak Nadia mencabar saya. Daripada seorang gadis yang ceria, manja dan disukai oleh semua lelaki, dia akhirnya hilang arah selepas kematian bapanya. Kemudian dia dirogol dan menjadi perempuan yang tidak elok,” jelas Linda mengenai wataknya.

Linda gerun melakonkan watak itu. Katanya: “Saya ni jenis kalau berlakon, saya akan berlakon betul-betul. Jadi saya takut penerimaan orang terhadap watak itu.”

Mengakui bahawa bayaran yang diterimanya lumayan, Linda menganggap drama itu juga sebagai satu come back dalam dunia lakonan.

Jue pula mengakui dia pernah tawar hati untuk melibatkan diri dalam bidang showbiz kerana pernah dilanda gosip yang kurang enak.

Malah dia menyepikan diri selama hampir setahun setelah menyertai program Malaysia Most Beautiful kerana tidak mahu dikatakan menumpang populariti orang.

“Tapi saya merasakan buat apa mensia-siakan peluang yang ada, apatah lagi setelah menyertai program realiti terbitan TV3 itu semakin ramai orang mengenali saya,” jelasnya.

Akhirnya dia menerima tawaran melakonkan watak Kyra. Kata Jue, drama itu merupakan drama TV pertama lakonannya.

Sebelum ini Jue pernah terlibat dalam bangsawan Naga Chini bergandingan dengan Ako Mustapha dan Jehan Miskin.

“Saya menyukai skrip drama 2 Hati. Kisahnya menyedihkan,” kata Jue sambil memberitahu wataknya berkembang daripada seorang gadis yang fragile (lemah) kepada seorang yang matang.

Tambah Jue: “Tidak sukar membawakan watak Kyra. Sifat kelembutan Kyra itu ada dalam diri saya yang mudah mengalirkan air mata.”

Ditanya apakah yang mendorongnya untuk kembali aktif dalam bidang seni, kata Jue: “Tawaran daripada TV3 serta sokongan dan galakan daripada Jehan (Miskin).”

Diusik apakah dia kini menjalinkan hubungan dengan aktor muda itu, kata Jue, “Buat masa ini, apa yang boleh Jue katakan ialah kami memang rapat.

“Jue menyukai Jehan kerana dia seorang yang sangat profesional. Dia banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar pada Jue,” katanya yang mengakui mengenali Jehan pada November lalu dan rapat sejak Februari lepas.

Powered by Utusan Malaysia

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.