Archive | Loloq RSS feed for this section

Mila Dapat Tawaran Ke Itali, Macedonia

27 May

Oleh Zul Husni Abdul Hamid


KIBAR JALUR GEMILANG: Mila membawa bendera kebanggaan negara apabila diumumkan memenangi Lagu Terbaik.

Peluang pupuk keyakinan bina reputasi di peringkat antarabangsa

DARIPADA gadis biasa yang hanya mampu memasang angan-angan, Akademi Fantasia musim kelima (AF5) mengubah nasib gadis bertubuh kecil molek, Noorsyarmila Jirin atau Mila apabila diangkat sebagai juara wanita pertama program realiti popular itu.

Menempuh perjalanan penuh berliku, malah namanya pernah hampir tersungkur pada awal pertandingan AF5, Mila membina kekuatan.

Dengan bakat besar yang dimilikinya, perlahan-lahan dia membina kepercayaan peminat, Mila akhirnya dinobat sebagai juara apabila undian penonton berpihak kepadanya.

Mac lalu, jejak gemilang perjalanan karier nyanyian Mila bermula apabila dia sekali lagi diiktiraf peminat hiburan tempatan apabila namanya dijulang sebagai Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007.

Kejayaan yang membulatkan tekad anak kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang untuk mengukir lebih banyak pencapaian saat karier nyanyian sedang memutik. Kelangsungan detik manis dalam diari seni penyanyi berusia 20 tahun apabila dia menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa, 18 Mei lalu.


Mila

Dipilih menyertai Discovery 2008 – 17th International Pop Music Festival di Varna, Bulgaria pada 17 dan 18 Mei lalu, Mila membanggakan negara apabila lagu nyanyiannya, Ilham di Matamu ciptaan Ajai dan lirik Allahyarham Loloq diangkat sebagai Lagu Terbaik pertandingan itu.

Melihat kelebihan yang ada pada diri Mila, penganjur dari Itali menyarankan supaya dia menyertai lebih banyak pertandingan di Eropah.

Mila juga mendapat tawaran untuk menyertai dua lagi pertandingan di peringkat antarabangsa iaitu International Pop Festival di Itali pada September 2008 dan International Pop Festival di Macedonia pada Jun 2009.

“Ini membuktikan bakat yang ada pada Mila mampu diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi sekiranya diberi peluang.


DETIK MANIS: Mila ketika menerima hadiah kemenangan.

“Pulang dari Bulgaria, Mila dan pengurusan akan berusaha untuk memastikan karier seni Mila mengembara ke peringkat lebih besar. Semua ini tidak mustahil jika mendapat kepercayaan serta sokongan penaja yang mahu melihat lagu tempatan berkembang meluas,” katanya.

Menceritakan detik di Bulgaria, Mila berkata, awalnya dia diburu kebimbangan kerana pemergian ke sana tanpa sebarang maklumat mengenai tahap kemampuan peserta lain.

Sekadar melihat profil pesaingnya di internet, itu saja sudah cukup meresahkan kerana kebanyakan mereka berpengalaman menyertai pelbagai pertandingan nyanyian sedangkan Mila hanya sekali memburu kejuaraan di AF5.

“Hari pertama selesai pertandingan, mereka menghampiri Mila dan memberitahu suka dengan lagu serta irama Melayu. Ketika itu, hanya Tuhan yang tahu betapa Mila berbangga kerana lagu Melayu mendapat perhatian masyarakat luar.

“Alhamdulillah, tuah akhirnya berpihak kepada Mila apabila Ilham Di Matamu diumumkan sebagai Lagu Terbaik,” katanya.

Turut membawakan sebuah lagi ciptaan Ajai, Aku Lebih Tahu, Mila berkata, pengalaman pertama mengembara jauh dari negara sendiri membuatkan dia bertekad untuk tidak memalukan Malaysia.

Sekali pun akur bakal berdepan dengan cabaran besar, kekalahan juga berkemungkinan memberikan kesan kepada perjalanan kariernya tetapi Mila cuba untuk tidak terlalu memikirkannya.

“Sebaik saja lagu Ilham Di Matamu diumumkan sebagai juara, Mila penuh bangga membawa bendera Malaysia ke pentas kerana kejayaan ini terlalu bermakna buat Mila. Alhamdulillah, masyarakat di luar melihat kelebihan yang ada pada lagu kita yang mempunyai keindahan serta keistimewaannya tersendiri,” katanya.

Mungkin ada yang memandang kejayaan Mila dari sudut negatif, apatah lagi pertandingan itu agak asing di pendengaran umum, dia positif menerima kritikan.

Bagi Mila, jalan mencapai kejayaan tidak merentang dengan mudah dan dia sendiri menempuh liku yang panjang dalam pertandingan itu.

Mila terpaksa berdepan dengan 13 peserta daripada 11 negara antaranya Itali, Sepanyol, Lithunia, Bulgaria (dua peserta), Maldova, Romania (2 peserta), Poland, Uzbekistan, Russia, Cyprus dan Malta.

“Bayangkan mereka semua penyanyi yang terlatih, malah sejak kecil lagi sudah didedahkan dengan lagu klasikal pastinya mereka mempunyai kelebihan daripada pelbagai sudut. Menerusi pemerhatian Mila, peserta dari Itali mempunyai peluang besar kerana sentiasa menang dalam pertandingan itu.

“Mila cuba kuatkan semangat, tanamkan dalam diri apa yang dibuat ini untuk negara. Syukur walaupun tidak memenangi sebarang kategori Penyanyi Terbaik, masih ada sesuatu yang manis untuk dikenang sebagai anak Malaysia,” katanya.

INFO: Discovery 2008

  • Pertandingan Discovery 2008 berlangsung selama dua hari di Opera House Stoyan Bachavarov, Varna, Bulgaria. Malam pertama iaitu 17 Mei, peserta bertanding untuk kategori Penyanyi Terbaik dan malam berikutnya pula menyaksikan peserta berentap untuk Anugerah utama iaitu Lagu Terbaik. Dewan antik teater opera ini memuatkan 1,500 penonton.
  • Ilam Di Matamu berjaya memukau hati juri yang didatangkan dari beberapa buah negara Eropah seperti Sepanyol, Itali, Macadomia dan Russia. Pihak krew dan Maestro sempat berbual dengan Ketua Juri yang juga Ketua Unit Orkestra di Varna yang juga Presiden Discovery 2008, Donor Tsvetkov.
  • Tsvetkov menyifatkan Ilham Di Matamu mempunyai unsur muzik antarabangsa. Ia didengar menerusi melodi, susunan muzik dan instrumen yang digunakan. Dia juga memuji persembahan Mila yang menyampaikan lagu itu dengan begitu baik.
  • Tsvetkov juga berjanji akan pastikan Ilham Di Matamu berkumandang di radio Varna dan Bulgraria. Malah, dia juga bersedia membantu Mila untuk melebarkan sayap seninya di Eropah.
  • Pada malam sama, selain dapat mengibarkan Jalur Gemilang apabila diminta mengalunkan sekali lagi lagu kemenangan, Mila juga membawa pulang Anugerah Khas Juri. Anugerah yang sama diberikan kepada peserta daripada Lithunia dan Itali.
  • MILA menerima saingan sengit peserta dari Itali, Malta, Bulgaria dan Romania. Masing-masing mempunyai kredibiliti dan pengalaman yang luas dalam bidang nyanyian. Peserta dari Romania umpamanya, mula mempelajari nyanyian klasik sejak berusia lima tahun selain mempunyai dua album solo dan sebuah album Krismas di negaranya.
  • Untuk Anugerah Utama Lagu Terbaik, Mila membawa pulang piala, sebuah lukisan khas lambang Discovery 2008 (Kuda Unicorn) yang dilukis pelukis terkenal di Varna, dan wang tunai Euro1,500 (RM7,500).

    Keputusan penuh Discovery 2008:

    Lagu Terbaik:

    Tempat pertama: Mila, Malaysia – Ilham di Matamu ciptaan Ajai & lirik Loloq

    Tempat kedua: Fiona Cauchi dari Malta

    Tempat ketiga: Guerino Papa dari Itali

    Penyanyi Terbaik:

    Tempat pertama: Guerino Papa dari Itali

    Tempat kedua: Petya Nikolova dari Bulgaria

    Tempat ketiga: Simone Nae dari Romania

    Anugerah Khas Juri:

    Mila dari Malaysia

    Agne Petraviance dari Lithunia

    <Alberto Caccia dari Itali

    Anugerah Artis Harapan

    Magda Kosinska dan Paulina Bilinska dari Poland

    Powered by Berita Harian

  • Pasti Bukan Mi Segera

    24 May

    Oleh Zaidi Mohamad


    JUARA TUNGGAL: Mila (kanan) satu-satunya pelajar perempuan yang berjaya menjadi juara Akademi Fantasia setakat ini.

    Akademi Fantasia mampu merubah kehidupan bekas juara

    AKADEMI Fantasia sudah menyaksikan ledakan dan pacuan kerjaya lima juara dimulakan dengan Vince dari AF musim pertama, Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4) dan Mila sebagai juara pertama AF musim kelima yang buat pertama kali diungguli seorang Hawa.

    Masing-masing telah mencipta kejayaan ‘seketika’, hanya bermusim dan ada yang masih meninggalkan ingatan, fenomena dan histeria di kalangan peminat program realiti popular yang satu ini.

    Hari ini segala-gala bakal terjawab sama ada sejarah tahun lalu yang menobatkan juara dari kalangan wanita bakal berulang kembali atau mungkin kuasa wanita bakal melihatkan dominasi Stacy dan Nadia di AF6 terbenam dek ‘kejutan’ tiga jejaka lain Riz, Nubhan dan Toi. Tunggu dan lihat sajalah malam kemuncak itu nanti.

    Apa jua tanggapan sinikal atau skeptikal terhadap program realiti ini, ironinya ada sinar kebanggaan yang mekar diperoleh oleh setiap deretan juara bintang jelmaan itu. Hakikatnya, AF telah menjadi landasan terbaik bagi bintang baru untuk memacu dan memasarkan diri ke pasaran terbuka.

    Biarpun sebelum ini ada pihak yang mengecop program ini sebagai ruang melahirkan bintang yang dikenali sebagai mi segera, setidak-tidaknya ia menambah rencah suasana industri muzik tanah air yang dikatakan suram.


    KUASA LELAKI: Pemenang Akademi Fantasia, Faizal, Vince, Zahid dan Mawi.

    Sabtu menyingkap ramalan bekas juara mengenai siapakah calon juara AF6 dan bagaimanakah program realiti ini telah merubah hidup mereka.

    Landasan terbaik iktiraf bakat

    JUARA AF musim pertama, Vince kini sedang melanjutkan pengajian bahasa Mandarinnya di Taiwan sejak Mac lalu hingga Ogos ini. Melalui bantuan kakaknya, Vanessa, Vince berjaya dijejaki. Namun secara jujur, Vince mengakui tidak mengikuti perkembangan AF6 pada tahun ini kerana komitmen belajar harus diutamakan. Vince memberitahu, dia sangat bertuah menjadi juara dan peneraju program realiti ulung itu.

    “Terus-terang saya harus bersyukur menjadi nadi pertama kegemilangan program realiti ini. AF menjadi landasan terbaik untuk mengiktiraf bakat sejati dan personaliti diri. Tapi bukan mudah untuk meneruskan kesinambungan kejayaan itu. Usaha yang gigih, originaliti dan penjenamaan semula diri sendiri untuk bersaing dengan industri sebenar perlu disertakan.

    “Maafkan saya kerana tidak dapat mengagak mahupun meramalkan siapa yang bakal bergelar juara AF6 kerana saya tidak menonton program itu sedari awal. Tapi saya yakin, juara yang bakal dinobatkan nanti pasti pilihan mutlak idaman ramai,” kata Vince melalui kiriman khidmat pesanan ringkas telefon bimbit milik Vanessa.

    * Siapa juara? – Maaf tiada pilihan sebab tidak mengikuti AF.

    Program bina kelompok peminat

    ZAHID, juara AF2 dan jejaka yang sedang intim bersama Nita Malaysian Idol 2 juga mengakui AF telah merubah hidupnya. Tambahnya lagi, menerusi AF telah melahirkan kelompok peminat yang akan setia menyokong apa jua rencana aktiviti seni yang dilakukan.

    Sebagaimana ramai yang meramalkan kemenangan AF6 nanti bakal berpihak kepada peserta wanita, tanpa ragu juga Zahid memilih Nadia sebagai pilihan peribadi yang layak dinobatkan sebagai juara.

    “Bermula dengan AFlah peminat dan pelbagai pihak mula sedar kehadiran kita sebagai artis baru. Ramai yang sudah memerhati dan menilai bakat kita dan secara tak langsung kita sudah mengumpul kelompok peminat yang tersendiri. Pelbagai perubahan yang berlaku dalam hidup saya rentetan menjuarai AF2, antaranya dari segi gaya hidup.

    “Kalau boleh saya nak Nadia jadi juara AF6 dan sekali gus membuktikan kalendar penganjuran AF dengan sejarah berulang kembali menobatkan juara daripada kalangan Hawa. Saya berpendapat latar belakang Nadia sebelum ini yang memberi keyakinan kepada dirinya dan penyokong sudah mampu menterjemahkan segala-galanya dalam bentuk sokongan melalui undian SMS.

    “Dia ada bakat dan boleh menonjolkan bakatnya demi memeriahkan industri muzik kita. Negara kita memang ketandusan penyanyi wanita sepertinya yang boleh menyanyikan pelbagai genre muzik. Stacy pun tidak kurang hebatnya. Pilihan saya sama ada Nadia atau Stacy mengungguli takhta juara AF6,” kata Zahid yang baru muncul dengan album keduanya, Baru. Selepas single lagu Baru, lagu Hadir Dirimu pula dijadikan sebagai single kedua.

    * Siapa juara? – Nadia

    AF ajar erti sebuah kehidupan

    MEMPUNYAI pendapat yang sama seperti Zahid ialah Faizal juara AF4. Sebagaimana Zahid, Faizal juga meramalkan potensi dan aura Nadia untuk bergelar juara. Bagi Faizal, AF telah banyak mengajarnya erti sebuah kehidupan dan awalnya kejutan budaya dialaminya. Namun, lama-kelamaan, Faizal mula sedar dan berhati-hati dengan segala tingkah dan tutur bicaranya.

    “Saya merasakan tahap keyakinan yang dimiliki Nadia antara senjata utama yang mungkin boleh melayakkannya unggul dianugerahkan gelaran juara AF6. Stacy pun perlu diberi perhatian kerana dia dan Nadia mempunyai bakat yang besar. Naluri saya juga mengatakan juara AF6 milik wanita. Tapi bukan bermaksud pelajar lelaki (Riz, Nubhan dan Toi) tidak bagus, cuma kelebihan lebih berpihak kepada pelajar perempuan. Bagaimanapun, rezeki masing-masing adalah ketentuan-Nya.

    “Saya tidak boleh menidakkan yang AF telah banyak merubah perjalanan hidup saya daripada seorang lelaki kampung menjadi golongan selebriti yang dikenali. Saya berubah dari kurang matang menjadi kian matang daripada pelbagai aspek, pergaulan, pendapatan (wang ringgit) dan taraf kehidupan.

    “Di awal permulaan kerjaya, saya akui mengalami kejutan budaya dan dalam keadaan tanpa sedar saya sudah menjejaki ke dunia yang penuh cabaran dan pancaroba. Namun, sekarang saya sudah mula sedar dan pandai berdepan dengan pelbagai kemungkinan situasi. Yang pasti semuanya mengajar saya supaya tidak mudah mempercayai orang lain,” kata Faizal yang kini lebih selesa bergerak sendiri merencanakan kerjayanya. Faizal juga sedang sibuk membuat persiapan Ikon 2008.

    * Siapa juara? – Nadia

    Tempa nama dalam masa singkat

    KEKASIH hati Ikin, Mawi ini pula menganggap AF sebagai tapak mengembangkan bakat untuk mencipta nama pada jangka waktu yang singkat. Laungan tagline ‘World’ yang acap kali disebutnya bagaikan satu doa yang dimakbul sehingga jejaka yang tampil imej berkumis nipis itu kerap ke luar negara menjelajahi peta dunia.

    Mawi juga berpendapat Stacy mempunyai kaliber dan persona yang mampu mengangkatnya menjadi juara AF6. Semua sudah maklum, hampir menjelang setiap konsert mingguan AF6, gadis berusia 18 tahun dari Kota Kinabalu itu mempamerkan persembahan yang hebat.

    “Memang saya akui alam kehidupan saya berubah serta-merta setelah menjuarai AF3. Bayangkan daripada insan yang tak dikenali, saya dikenali ramai. Sudah terbukti bahawa AF ialah satu landasan atau jalan untuk menempa nama diiringi bakat dalam ruang lingkup yang singkat.

    “Laungan ‘World’ bagaikan satu doa yang diaminkan peminat sehingga saya mampu menjejaki negara luar yang tak pernah saya mimpi langsung sebelum ini. Peluang mengendalikan program seperti Langkah Mawi dan terbaru Mawi Di Bumi Anbia memberi saya peluang keemasan untuk merasai suasana baru berada di tempat dan negara orang.

    “Berdasarkan persembahan yang sentiasa konsisten dan pilihan majoriti, saya pilih Stacy. Saya yakin ramai juga pihak yang mengagumi kemampuan Stacy melantunkan lagu dan ligat di pentas dengan tarian. Stacy ada pakej dan saya akui dia terpilih masuk AF6 kerana bakatnya,” kata Mawi yang nampak semakin berisi kebelakangan ini. Bahagialah katakan.

    * Siapa juara? – Stacy

    Batu loncatan teruskan bakat

    BAGI Mila, AF dianggap sebagai batu loncatan buat dirinya untuk meneruskan kesinambungan bakatnya, ia adalah detik permulaan bagi segala-gala.

    Mila juga sependapat dengan Mawi dengan menjangkakan Stacy bakal merampas gelaran juara AF6. Selain Stacy, Mila juga melihat potensi Riz untuk membuat ‘kejutan’. Sebagai gadis pertama dinobatkan sebagai juara AF5, Mila juga mengharapkan peserta wanita bakal cemerlang.

    “AF antara ruang terbaik bagi Mila untuk meneruskan apa yang Mila minati selama ini. Selepas berada di AF, banyak peluang dan rezeki datang singgah ke dalam hidup Mila. Segala impian Mila diserlahkan dengan AF.

    “Dengan AF dan kini bergelar artis, Mila mampu merubah taraf hidup keluarga Mila ke satu tahap yang lebih baik. Mila dapat kembangkan bakat dan menelusuri apa jua perkara yang tak pernah Mila jangkakan selama ini.

    “Mila juga mengharapkan AF6 tahun ini akan dimonopoli oleh wanita. Jujur kata Mila mengharapkan sejarah tahun lalu bakal berulang, insya-Allah. Peserta kegemaran Mila ialah Stacy dan Riz. Stacy diyakini dengan bakat dan persembahannya yang sentiasa konsisten. Riz pula mempunyai keupayaan vokal yang baik. Peratusan mereka berdua juga sentiasa di kelompok teratas,” ungkap Mila yang mengakui tidak dapat mengikuti AF6 sepenuhnya kerana faktor kesibukan.

    Sewaktu dihubungi Mila sedang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah selamat tiba dari Bulgaria menghadiri Festival Muzik Pop Antarabangsa ke-17 dari 16 hingga 19 Mei lalu.

    Tahniah diucapkan kepada gadis genit itu kerana berjaya memikat hati juri menerusi lagu Ilham Di Matamu (ciptaan Ajai, lirik Allahyarham Loloq) dipilih menjuarai kategori Lagu Terbaik. Selain itu, Mila juga diiktiraf dalam anugerah khas juri, Penyanyi Muda Berbakat.

    * Siapa juara? – Stacy

    Powered by Berita Harian

    Mila Kecut Perut!

    23 May

    Oleh Rudy Imran Shamsudin
    imran@hmetro.com.my

    Rap

    TUBUHNYA kecil dengan ketinggian tidak sampai lima kaki, tetapi bakat dimiliki Nursyarmilla Jirin (Mila), 20, cukup besar sehingga ia diiktiraf penggiat industri muzik luar negara.

    Buktinya, Mila membuat seluruh rakyat Malaysia bangga apabila meraih kejayaan berganda di Festival Muzik Pop Antarabangsa Ke-17 di Varna, Bulgaria pada 16 hingga 18 Mei lalu.

    Mila menjadi peserta tunggal Asia menjuarai anugerah kategori Lagu Terbaik menerusi Ilham Di Mata Mu ciptaan Ajai dan lirik ditulis Allahyarham Rosli Khamis (Loloq). Dia turut dipilih juri pertandingan memenangi anugerah khas Penyanyi Muda Berbakat.

    Ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) ini, dia bersyukur dengan kemenangan diraih dan mengharapkan ia menjadi titik permulaan untuk melangkah lebih jauh dalam industri muzik.

    “Banyak pendedahan saya terima. Benar kata orang, sekiranya kita jauh berjalan pasti luas pandangan.

    “Kemenangan ini saya anggap bonus tetapi pengalaman diperoleh itu yang lebih saya hargai,” katanya sambil tersenyum bangga apabila melihat ahli keluarga bersama kelab peminat, Voices Of Mila (VOM) turut menyambut kepulangannya di KLIA, kelmarin.

    Sambil menunjukkan piala dimenangi, kata Mila, sebaik melihat bakat ditonjolkan setiap peserta ketika sesi raptai penuh pada 17 Mei di Teater Stoyan Bachavarov, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk meraih sebarang kejayaan.

    “Boleh dikatakan hampir semua peserta mempunyai pendidikan tinggi dalam bidang muzik. Ada antara mereka mempelajari muzik klasikal dan vokal sejak usia lima tahun dan selalu menyertai festival muzik di seluruh Eropah.

    “Berbanding dengan saya yang kali pertama bertanding di negara luar sudah tentu terasa ‘kecut perut’ selepas mendengar suara yang dikeluarkan peserta lain. Vokal mereka seperti mengadakan persembahan opera.

    “Tidak dinafikan perasaan rendah diri yang masih menebal membuatkan saya rasa tidak keruan. Mujur ia tidak mengganggu tumpuan sewaktu menyanyi. Pengalaman mengadakan persembahan ketika konsert akhir AF5 sangat membantu,” katanya.

    Menarik, kata Mila, apabila kebanyakan penonton yang menyaksikan pertandingan berlangsung amat menghargai muzik walaupun bahasa ditampilkan tidak difahami.

    “Pada malam pertama saya memilih mendendangkan lagu rancak Aku Lebih Tahu. Ketika menyanyi kelihatan penonton turut bertepuk tangan. Ia secara tidak langsung memberikan semangat kepada saya untuk memberikan persembahan terbaik.

    “Hari kedua pertandingan, saya menyanyikan lagu balada, Ilham Di Mata Mu. Sepanjang saya menyanyikan lagu ini, semua penonton diam. Mereka seakan-akan memahami apa yang saya cuba sampaikan menerusi liriknya yang cukup puitis,” katanya.

    Mila turut menegaskan kemenangan diraih di Varna, bukan kejayaan miliknya seorang tetapi seluruh pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung.

    “Pertamanya sudah tentu kejayaan ini saya mahu kongsi bersama pencipta lagu Ilham Di Mata Mu, Ajai dan Allahyarham Loloq kerana menghasilkan lagu serta lirik bermutu.

    “Memang persembahan dan vokal saya memainkan peranan tetapi ia tidak akan lengkap jika lagu yang dibawakan tidak menyentuh perasaan dengan lirik amat bermakna.

    “Selain itu saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan, Maestro Talent and Management dan Astro sendiri yang berusaha membiayai pemergian saya,” katanya.

    Kata Mila, sepanjang pembabitannya dalam Festival Muzik Pop Antarabangsa Ke-17,

    dia turut dipelawa menyertai beberapa festival di Itali dan Russia oleh penganjur di sana.

    “Bagaimanapun, sukar untuk saya menerima pelawaan itu kerana kos untuk menyertai festival itu agak tinggi,” katanya.

    Menyentuh mengenai peluang untuk melebarkan sayap di negara luar, jelas Mila peserta dari Romania, Simona Nae ada meluahkan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengannya menghasilkan lagu duet.

    “Panjang juga kami bercerita mengenai perkara itu sepanjang tiga hari berada di sana. Dia nampak bersungguh-sungguh dan saya tidak keberatan untuk memberikan kerjasama.

    “Dia turut menunjukkan jalan bagaimana duet boleh dilakukan walaupun kami berada di benua berbeza.

    “Bukan itu saja dia turut bersedia untuk merakamkan lagu duet dalam bahasa Melayu dan datang ke sini bagi mempromosikan lagu dihasilkan. Bagaimanapun ia sekadar ‘cakap mulut’, kita lihat saja nanti perkembangannya,” katanya.

    Profil

    NAMA PENUH: Norsyarmilla Jirin

    PANGGILAN: Mila

    TARIKH LAHIR: 23 Disember 1987

    UMUR: 20 tahun

    ASAL: Teluk Kumbar, Pulau Pinang

    TINGGI : 148 sm

    BERAT: 40kg

    HOBI: Menyanyi, menari dan membaca novel

    PENYANYI IDOLA: Anita Sarawak

    BINATANG PELIHARAAN: Kucing

    KERJAYA: Penyanyi

    PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia Musim Kelima, Memenangi Anugerah Era 2007 bagi kategori Lagu Pop Pilihan (Persis Mutiara) dan Artis Harapan Pilihan, Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 dan Anugerah Lagu Terbaik dan Penyanyi Muda Berbakat di 17th International Pop Music Festival 2008.

    Powered by Harian Metro

    Festival Hebat Meski Kurang Popular

    22 May

    Oleh HARYATI KARIM

    PERGINYA jauh sehingga ke Bulgaria. Bukan untuk bergembira, tetapi dia berjuang di pentas Discovery Pop Festival ke-17 yang turut disertai oleh 14 buah negara hanya untuk mengutip secebis pengalaman dan juga dengan harapan membawa pulang kemenangan.

    Kemenangan yang bukan hak mutlaknya seorang akan tetapi untuk dikongsi kegembiraannya dengan seluruh yang bergelar warga Malaysia.

    Ternyata, bakat serta kepercayaan yang diletakkan ke atas bahu Noorsyarmilla Jirin atau Mila bukan sekadar tinggal harapan akan tetapi sesuatu yang menjadi kenyataan.

    Memenangi tempat pertama dalam kategori utama iaitu lagu terbaik menerusi lagu Ilham Di Mata ciptaan oleh Ajai dan lirik oleh Loloq serta penerima Anugerah Khas Juri, meletakkan nama Mila di satu aras yang berbeza kini.

    SENYUMAN penuh kebanggaan, Mila di pentas selepas diumumkan sebagai pemenang.

    Namun, dalam tawa riang Mila meraikan kejayaannya, hatinya turut tersentak apabila ada pihak yang mengatakan pemergiannya itu tidak lebih daripada menyertai pertandingan yang biasa-biasa saja.

    Iyalah, untuk rakyat negara ini, festival yang disertai gadis berusia 21 tahun ini merupakan yang pertama kali didengar, langsung terus dikatakan festival itu tidak layak diiktiraf dalam kamus hiburan negara.

    Mila yang hanya tersenyum ketika di ajukan soalan itu, bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana menganggap festival itu adalah festival murahan.

    “Lantaklah saya tidak peduli orang nak cakap festival itu tidak bagus atau tidak punyai kualiti ke apa ke. Apa yang saya tahu peserta tahun lalu yang menang sekarang ini antara penyanyi terkenal di Eropah.” kata Mila bertegas.

    Saya faham kenapa Mila perlu meluahkan apa yang berbuku di hatinya. Kepada gadis genit ini, dia juga punya hak dan maruah diri yang perlu dipertahankan.

    “Saya sertai festival ini adalah untuk mendapatkan pengalaman yang tidak akan saya perolehi di sini (Malaysia).

    MILA disambut keluarga dan teman sekembalinya ke tanah air.

    “Kedua saya mahu lontarkan apa yang saya pelajari selama ini. Saya tidak ambil pusing semua hal yang negatif itu, saya tahu sebelum ini tidak pernah ada penyertaan dari Malaysia dan mungkin sebab itu orang Malaysia juga tidak tahu tentang festival ini. Mungkin itu salah satu sebab orang mengatakan festival ini bertaraf rendah ,”jelasnya.

    Bagi Mila segala perit jerihnya selama ini terbayar apabila dia diberi penghargaan oleh pihak penganjur dengan memberikannya dua kemenangan yang tidak pernah di jangkakan.

    “Kecil atau besar festival itu saya tidak kisah, saya tahu jumlah wang yang dimenangi pun tidak seberapa (RM7,500), tetapi apabila nama Malaysia diumumkan saya rasa terharu sangat,” katanya.

    Mengatakan tugas yang dipikulnya bukan satu tugas yang mudah kerana selain membawa namanya, dia turut membawa nama Malaysia bersama.

    Tanpa berselindung dia memberitahu saat kemenangan dia membawa bendera Malaysia dan timbul perasaan bangga dalam dirinya kerana menjadi salah seorang rakyat Malaysia.

    “Menang itu satu bonus buat saya, sebab anugerah yang dimiliki bukanlah tujuan utama saya ketika mula-mula tiba di Bulgaria,” katanya jujur.

    Tawaran bertaraf antarabangsa

    Sungguhpun bertanding di pentas antarabangsa yang mana orang di sana tidak memahami sepatah pun Bahasa Malaysia, Mila tetap mendapat layanan bertaraf lima bintang.

    Mana tidaknya, kata Mila, orang di sana sangat menghormati dirinya, malah ada juga yang berkenan dengan bahasa ibundanya yang dikatakan sungguh lembut.

    KELUARGA turut berkongsi rasa bangga bersama Mila.

    “Orang sana suka lagu-lagu saya sebab kata mereka bahasa kita lembut, malah lepas habis pertandingan itu ramai yang minta tandatangan, rasa seperti di negara sendiri pula (ketawa).

    “Ada juga pihak juri daripada negara Itali dan Macedonia menawarkan supaya Mila menyertai festival muzik yang diadakan di negara mereka.

    “Hati memang teringin sangat tetapi kos hendak ke sana bukannya murah. Jadi kalau ada pihak penaja barulah saya boleh merealisasikan hasrat tersebut sebab bukan semua peserta yang mereka tawarkan untuk sertai festival di sana,” ujarnya.

    Bukan itu saja, peserta dari Romania yang rapat dengan Mila sewaktu festival itu dikatakan berminat untuk berduet dengannya.

    Tambah Mila lagi, itu semua dilepaskan kepada pihak pengurusan kerana buat masa ini masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang perancangan duetnya itu.

    “Kalau jadi mereka akan hantar lagu melalui internet, tetapi itu semua bergantung pada pihak Maestro, harapan saya memang besar kalau ada rezeki Insya Allah,” bicaranya lagi.

    Seperti ayam dan itik?

    Berkunjung selama tiga hari di sana memberi pengertian yang berbeza buat Mila, kerana kini dia menyedari berapa pentingnya bahasa Inggeris sewaktu berada di negara orang.

    Menjelaskan dengan lebih lanjut, Mila memberitahu kebanyakan peserta di sana berkomunikasi menggunakan isyarat tangan jika penterjemah tidak ada di sisi mereka.

    “Kelakar juga sebab rasa macam ayam dan itik yang sedang bercakap. Ada yang langsung tidak tahu bahasa Inggeris, lepas itu bahasa mereka pun saya tidak faham, kalau jumpa hanya senyum dan angkat tangan saja,” katanya.

    Mula naik harga?Sudah adat jika anugerah berada di dalam genggaman tangan seorang penyanyi, namanya pasti melonjak, begitu juga dengan harga bayarannya. Mungkinkah Mila akan demand selepas ini?

    “Saya serahkan semua itu di atas pihak pengurusan, saya tidak tahu sama ada mereka mahu menaikkan harga atau tidak, yang saya tahu saya bekerja dan dapat duit setiap hujung bulan.

    “Lagipun itu bukan hal yang boleh saya tentukan. Saya tidak mahu menyerabutkan kepala dengan hal-hal sebegini,” balasnya lagi yang ditemui selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kelmarin.


    BERSEMANGAT persembahan Mila sambil mengenggam jalur gemilang.

    Malah, ketibaannya itu turut disambut oleh kelab peminatnya serta ahli keluarganya yang sabar menanti kepulangan penyanyi pujaan ramai ini.

    Dia yang tiba di tanah air pukul 7 malam turut menarik perhatian orang di sekeliling balai ketibaan itu termasuk pelancong asing yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengannya.

    Powered by Kosmo

    Mila Bukti Bakat Diiktiraf

    21 May

    Oleh Rudy Imran Shamsudin
    imran@hmetro.com.my

    SEPANG: Juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Nursyarmilla Jirin, 20, atau Mila membuktikan bakatnya setaraf bintang muda antarabangsa lain apabila mengharumkan nama negara di pertandingan 17th International Pop Music Festival yang berlangsung di Varna, Bulgaria.

    Mila menjadi peserta tunggal Asia, mempersembahkan lagu dicipta komposer Ajai dan lirik ditulis Allahyarham Rosli Khamis (Loloq), Ilham Di Matamu dengan penuh perasaan sehingga ia dipilih juri menjuarai kategori Lagu Terbaik di pertandingan yang berlangsung 16 hingga 18 Mei lalu.

    Ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi, Mila yang turut disambut keluarga dan kelab peminatnya Voices Of Mila (VOM) bersyukur kerana turut memenangi tempat pertama anugerah khas juri Penyanyi Muda Berbakat.

    “Pada persembahan malam pertama bagi menilai vokal peserta, saya mendendangkan lagu rancak Aku Lebih Tahu dan hari kedua untuk kategori Lagu Terbaik baru saya menyanyikan Ilham Di Matamu.

    “Saya tidak sangka akan meraih kejayaan berganda memandangkan pertandingan sengit.

    “Bayangkan kebanyakan daripada 12 peserta menyertai pertandingan ini, ada yang mempunyai latar belakang muzik klasikal dan mempelajari vokal sejak usia lima tahun.

    “Walaupun tidak memenangi satu lagi anugerah utama iaitu Vokal Terbaik, saya cukup puas hati memandangkan peserta negara lain tidak kurang hebatnya,” katanya.

    Mila turut menafikan kemenangannya untuk anugerah Lagu Terbaik hanya bersandarkan komposisi lagu dan lirik dihasilkan, sebaliknya mutu vokal dan persembahan turut diambil kira.

    Bagi kategori Vokal Terbaik tempat pertama dimenangi Alberto Caccia dari Itali, tempat kedua milik Petya Nikolova (Bulgaria) dan tempat ketiga dikongsi dua peserta iaitu Ionel Istrati (Maldova) dan Simone Nae dari Romania.

    Tempat kedua kategori Lagu Terbaik dimenangi Fiona dari Malta dan tempat ketiga milik Alberto.

    Peserta lain yang turut sama bersaing Agne Petraviance (Lithania), Vladimir Juriev (Bulgaria), Guerino Papa (Itali), Christina Bondoc (Romania), Madga Kosinka & Pualina Blinska (Poland), Magnolia (Sepanyol) dan Neytan dari Uzbekistan.

    Powered by Harian Metro

    Mila Julang Nama Malaysia

    20 May

    KUALA LUMPUR – Juara Akademi Fantasia musim ke-5, Norsyarmila Jirin atau Mila (gambar), 21, berjaya mengharumkan nama negara apabila menerima dua anugerah termasuk lagu terbaik pada majlis Discovery Pop Festival ke-17 yang berlangsung di Opera House Varna di sini, kelmarin.

    Mila menjulang tempat pertama dalam kategori lagu terbaik menerusi lagu Ilham Di Mata, menewaskan Fiona dari Malta yang mendapat tempat kedua dan Alberto dari Itali yang mendapat tempat ke-3.

    Lirik lagu Ilham Di Mata itu ditulis oleh Ajai manakala lagunya hasil sentuhan Loloq.

    Selain itu, anak kelahiran Pulau Pinang itu turut mendapat pengiktirafan apabila diumumkan sebagai penerima anugerah khas juri.

    Ini kemenangan pertama Mila di peringkat antarabangsa dan dengan kemenangan ini beliau menerima hadiah wang tunai RM7,500, piala serta sebuah lukisan yang dilukis khas oleh pelukis terkenal Bulgaria.

    Selain Mila dari Malaysia, Discovery Pop Festival ini disertai penyanyi dari 14 buah negara lain antaranya, Itali, Romania, Bulgaria, Cyprus dan Malta.

    Powered by Kosmo

    Mila Menang Dua Anugerah Di Bulgaria

    19 May

    Oleh Zul Husni Abdul Hamid


    Mila

    Lagu terbaik, pengiktirafan khas juri jadi milik juara AF5

    KUALA LUMPUR: Juara Akademi Fantasia (AF) musim kelima, Norsyarmila Jirin atau Mila meraih dua pengiktirafan antarabangsa termasuk Lagu Terbaik pada Festival Muzik Pop Antarabangsa Discovery ke-17 di Bulgaria yang berakhir, Ahad lalu.

    Lagu Ilham Di Matamu ciptaan Ajai dan liriknya oleh Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq diumumkan sebagai Lagu Terbaik pada pertandingan yang berlangsung di Opera House, Varna, Bulgaria.

    Lagu itu dimuatkan dalam album pertamanya, Persis Mutiara.

    Biarpun gagal meraih sebarang kemenangan untuk kategori Penyanyi Terbaik, Mila, 20, tidak menghampakan apabila menerima pengiktirafan Anugerah Khas Juri.

    Hasil kemenangannya, penyanyi yang berasal dari Teluk Kumbar, Pulau Pinang itu mendapat piala, wang tunai dan lukisan yang diilhamkan pelukis terkenal negara berkenaan.

    Menyifatkan pertandingan itu sebagai pengalaman paling berharga, Mila dalam kenyataannya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bersyukur kerana berjaya mengharumkan nama negara di mata dunia.

    “Seperti yang pernah dikatakan sebelum ini, Mila tidak menaruh harapan terlalu tinggi untuk menang. Mila berusaha memberikan yang terbaik untuk memikat hati juri menerusi lagu bahasa Melayu kita.

    “Alhamdulillah, usaha Mila ini membuahkan kejayaan dan lebih membanggakan apabila lagu kita diiktiraf juri antarabangsa.

    “Terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus memberikan kata semangat serta dorongan untuk Mila,” katanya.

    Mila berada di Bulgaria selama lima hari ditemani Ketua Pengurusan Artis dan Bakat, Maestro Talent & Management, Liza Illias untuk berentap dalam dua sesi pertandingan iaitu Penilaian Vokal dan Lagu Terbaik.

    Mila memilih lagu Aku Lebih Tahu juga ciptaan Ajai pada sesi penilaian vokal yang diadakan Sabtu lalu, manakala Ilham Di Matamu dibawakan ketika pertandingan Lagu Terbaik.

    Bagi kategori Lagu Terbaik, tempat kedua dimenangi pencipta lagu dari Malta iaitu Fiona, manakala tempat ketiga diraih pencipta dari Itali, Alberto.

    Kategori Penyanyi Terbaik pula dimenangi peserta Itali, Roberto, manakala tempat kedua milik penyanyi kelahiran Bulgaria, Petya Nikolova.

    Tempat ketiga kategori itu dikongsi penyanyi dari Moldova, Ionel Istrati dan Simone dari Romania.

    Pertandingan yang memasuki edisi ke-17 itu disertai lebih 40 negara termasuk Sepanyol, Poland, Romania, Itali, Lithuania, Moldova, Uzbekistan, Russia, Cyprus, Malta dan tuan rumah Bulgaria.

    Rakaman pertandingan itu dapat disaksikan penonton menerusi rancangan khas, Wazzup Mila Special yang akan disiarkan Astro Ria, tidak lama lagi.

    Powered by Berita Harian