Archive | Lost RSS feed for this section

Pukulan & Pukauan Adam

23 Mar

Penyanyi berpegang pada falsafah
ingin jujur pada diri sendiri

Oleh
Siti Hairani Aznor

BAYANGKAN percikan bunga api yang menghiasi kelam malam dengan ledakan berwarna-warni yang berdansa mengikut rentak nadi, menyelubungi pancaindera dengan rasa taksub lantas membuat anda terpaku dek keindahan detik itu.

Begitulah dahsyatnya penangan suara Adam Lambert ketika ia bergema mengisi ruang teater Pantages Hollywood, Universal Studios Singapore, di acara untuk peminat yang pertama diadakan di Asia Tenggara, baru-baru ini.

Kebolehan beliau menghibur secara langsung memang tidak diragukan lagi setelah jutaan penonton di serata Amerika membuat undian secara SMS sehingga beliau berjaya ke peringat akhir American Idol tahun lalu.

Pertunjukan khas untuk tetamu istimewa itu telah memuatkan sekitar 1,500 anggota media dan peminat yang telah memenangi cabutan nombor bertuah melalui pembelian album Adam Lambert edisi khas dan juga penyertaan peraduan di stesen-stesen radio di serata Singapura dan Malaysia.

Maka itu, bayangkan betapa sukarnya mendapatkan tiket untuk menyaksikan persembahan eksklusif ini.

Sesi tandatangan bersama peminat Adam Lambert yang pertama di seluruh Asia Tenggara pula telah diadakan di Bugis Junction pada 13 Mac lalu.

Adam berjaya memukau para penonton dengan persembahan akustik lagu-lagu daripada album sulungnya, For Your Entertainment, seperti Music Again, Broken Open, Whataya Want From Me, Sleepwalker dan Down The Rabbit Hole.

Dengan tenaga suara lantang yang dapat menembusi lapisan cakerawala, beliau mencetuskan ledakan histeria di kalangan peminat setia yang menggelarkan diri mereka Glamberts, setiap kali beliau tarik suara.

Dengan jaket hitam sarat labuci dan seluar jeans gaya tirus, Adam yang telah membuat pengakuan terbuka pada pertengahan tahun lalu mengenai status gaynya menerima sambutan hangat daripada peminat berbilang bangsa dan peringkat umur.

Sewaktu wawancara khas bersama beliau diadakan di Hotel Ritz-Carlton, jejaka berusia 28 tahun yang dibesarkan di San Diego, California, itu kelihatan begitu selesa dengan gayanya yang tersendiri.

Lengkap dengan pembayang mata hitam dan celak tebal yang menghidupkan lagi kebiruan warna matanya, Adam cukup relaks dan bersahaja ketika berinteraksi.

Apabila ditanya mengenai gaya penampilan beliau, Adam menyenangi segalanya yang unik dan lain daripada lain.

‘Lebih menonjol, lebih baik!’ katanya diikuti derai tawa.

Adam yang baru pertama kali menjejakkan kaki di kota Singa juga sangat menyukai makanan yang pedas dan telah sempat menikmati hidangan ketam berlada. Hmmm… mungkinkah itu rahsia di sebalik suara lantang beliau?

Beralih kepada yang lebih serius ketika membincangkan soal muzik, Adam yang turut menulis empat lagu dalam album sulungnya itu mengakui lebih mudah meluahkan isi hatinya dan pengalaman hidup dengan mengarang lagu seperti Aftermath, yang sedikit sebanyak mencerminkan cogan kata hidupnya.

Falsafah hidup beliau ialah tidak membohongi diri sendiri.

‘Jujurlah pada identiti anda dan jangan gentar mencuba sesuatu yang tidak pernah diterokai,’ ujar jejaka berketinggian 1.85 meter itu dengan penuh ketekunan.

Menyingkap persembahannya di Anugerah Muzik Amerika, beberapa bulan lalu, yang telah mencetuskan gelombang kontroversi hangat, Adam tampak tenang sahaja mengingatinya.

Apabila diajukan soalan sama ada beliau rasa dirinya adalah contoh baik kepada para peminat, Adam berkata:

‘Saya adalah seorang penyanyi dan saya cuba menjadi diri sendiri. Saya bukan cuba menjadi contoh ikutan atau mengajar sesiapa.

‘Saya sekadar menjalankan tugas. Mungkin suatu contoh yang peminat dapat ikuti adalah menjadi diri anda yang sebenar walaupun anda rasa diri anda berbeza daripada orang lain.’

Buat masa ini, Adam menunjukkan sokongannya kepada peserta American Idol (musim kesembilan), Todrick Hall yang mempunyai bakat menari selain menyanyi.

Namun sayangnya, Todrick baru sahaja tersingkir di pusingan yang lalu. Adam turut memuji mutu bakat peserta American Idol yang semakin baik dan menganggap Crystal Bowersox dan Andrew Garcia sebagai earthy atau asli dan mempunyai gaya tersendiri yang menyebabkan tahap persaingan semakin sengit.

Nota: Siri American Idol disiarkan di Star World (Saluran 18) setiap Rabu dan Khamis, 8 malam. Ulangannya ialah pada 12 tengah malam.

Cyberita

Advertisements

Undi Jangan Tak Undi! Isma & Bunkface

3 Mar

Isma

Isma atau nama sebenarnya Ismaliza Ismail adalah isteri kepada vokalis kumpulan 2 By 2, Zul.

Menyertai Akademi Fantasia musim ketujuh, ibu kepada lima cahaya mata yang dilahirkan pada 21 Mei 1979 hanya mampu berpuas hati di kedudukan tempat kelima. Ketika berentap di AF, adiknya Tomok pula menyertai sebuah lagi pertandingan realiti iaitu One In A Million dan berjaya bergelar juara..

Dia kemudian menyertai sebuah lagi program realiti iaitu Sehati Berdansa. Bagaimanapun Isma hanya mampu berada di peringkat separuh akhir saja.

Sebelum menyertai AF dan Sehati Berdansa, Isma kerap memenuhi undangan persembahan membabitkan Kombo Seni Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia dan band Dcity Tops IPK Kuala Lumpur.

Dia mula menyanyi ketika usia 18 tahun dan pernah menimba pengalaman menyanyi selama tiga tahun di Restoran Cerana.

Bunkface

Bunkface dianggotai Paan, 22, Sam, 22, dan Youk, 20. Mereka adalah tiga sahabat yang mengenali satu sama lain sejak di bangku sekolah lagi. Mereka juga tinggal di kawasan yang sama iaitu Taman Sri Andalas, Klang. Kerjaya mereka bermula selepas menyertai Battle of The Band dan Time Blast Off.

Walaupun tewas mereka bertuah apabila pihak Astro menerbitkan klip video lagu Silly Lilly sebaik tersingkir dari Time Blast Off. Sejak itu, nama Bunkface secara perlahan-lahan mencipta populariti dan berjaya menembusi arus perdana muzik.

Antara lagu popular kumpulan ini ialah Situasi, Revolusi, Extravaganza. Malah lagu Situasi ciptaan serta dendangan kumpulan itu berjaya melangkah ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke 24.

Menang besar ketika Anugerah Shout! yang dianjurkan oleh 8TV. Kumpulan ini memenangi anugerah utama iaitu The Ultimate Shout! Awards malah mencipta dua lagi kejayaan apabila menggondol anugerah Rockstar dan Break Out.

Berita Harian

Jehan & Scha Tak Patah Semangat

27 Dec

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Berkongsi perasaan: Scha, Jehan cekal hadapi cabaran dunia artis

BANYAK khabar kurang enak sedang bertebaran di ruang udara dunia hiburan mengenai aktres muda yang hangat mencipta nama, Scha Al-Yahya.

Khabar bernada cemburu, seolah-olah ingin menjatuhkan karier seni Scha yang semakin memuncak kebelakangan ini. Ia membangkitkan kebingungan kepada gadis berusia 26 tahun itu.

Scha yang hadir ke sesi fotografi khas bersama B’Pop ditemani gandingannya dalam siri Awan Dania 2 siaran Astro Ria, Jehan Miskin, cuma mampu mengeluh.

Desah hati pemilik nama lengkap, Sharifah Norazean Syed Mahadzir Al Yahya ini, dia sendiri aneh bagaimana semua khabar itu timbul.

Hakikatnya, dia masih lagi Scha yang dulu. Scha yang kental menjunjung prinsip profesional, tanpa sedikit pun gelap mata dengan limpahan tawaran yang datang.

“Scha masih di lokasi Awan Dania untuk menyudahkan blok kedua penggambaran, jadi agak pelik bagaimana timbul cerita Scha digugurkan daripada siri itu?,” soal Scha bingung.

Saat diasak bertubi-tubi dengan satu demi satu kontroversi, kesabaran Scha terus diuji apabila perpisahannya dengan Fahrin Ahmad kembali dibangkitkan media.

Apa daya Scha untuk menolak semua itu? Sekadar termampu, dia hanya menutup mulut daripada terus mengulas dan akhirnya menyumbang kemusnahan kepada kariernya.

Kata Scha, cukup sudah dia menerima tekanan gara-gara perpisahan mereka dulu. Dia tidak mampu lagi menanggung lara apabila masyarakat pantas menuding jari, meletak seluruh kesalahan pada bahunya.

“Orang mungkin nampak Scha kuat tetapi Scha juga pernah rapuh menongkah dugaan. Scha tidak kesal melalui pengalaman itu. Lumrah kehidupan pasti akan ada pasang surut serta kecacatan.

“Orang tidak menilai kekuatan itu daripada mana kita jatuh. Scha perlu bangun untuk terus mengejar impian dan mencari kepuasan kerana kerjaya seni itu masih terlalu luas untuk Scha terokai,” katanya memohon pengertian.

Simpati dengan apa yang dilalui Scha, Jehan, 29, yang sudah enam tahun berpengalaman menjadi anak seni mengakui, ada kalanya sukar untuk menelan kepahitan sebuah perpisahan.

Apatah lagi, apabila memilih hidup sebagai artis, mereka sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan. Sama ada terima atau tidak, isu peribadi akan terus menjadi rencah yang membantu memperkenalkan lagi nama seseorang artis itu.

Itu hakikat yang tidak mampu ditepis Jehan. Namun kata anak kelahiran Pulau Pinang itu, seseorang artis perlu bijak mengimbangi permainan publisiti supaya diri dihormati dan kerjaya mereka dipandang tinggi masyarakat.

“Saya pernah merasai apa yang Scha lalui. Biarkan saja apa orang cakap kerana akhirnya kita yang sebenarnya lebih mengenali diri sendiri.

“Insya-Allah, lama kelamaan ia akan pergi sendiri. Ia berlaku kepada saya apabila kini fokus publisiti lebih terarah kepada karier, bukan lagi cerita peribadi,” kata pelakon utama Merong Mahawangsa itu menitipkan pesanan.

Belum selesa

DUA tahun bertapak dalam industri hiburan, perjalanan karier Scha dilihat meluncur laju. Selain berlakon, Scha turut diberi peluang meneroka cabang seni lain iaitu pengacaraan.

Semua peluang itu meletakkan Scha dalam ruang selesa. Betapa tidak kerana nama Scha sentiasa tersenarai dalam barisan finalis anugerah berprestij.

Bagaimanapun, gadis ini tidak mahu segera mendabik dada. Scha sebaliknya melihat 2009 sebagai tahun permulaan untuk memperkenalkan dirinya kepada khalayak pencinta hiburan.

“Memang apa yang dicapai ini di luar jangkaan. Tetapi semua itu tidak datang sekelip mata. Pada permulaan Scha juga berhempas pulas untuk mendapat kepercayaan. Alhamdulillah, kerja keras Scha diberi perhatian. Jangan cepat andaikan Scha berada dalam zon selesa kerana hakikatnya perjalanan Scha baru bermula.

“Jujurnya Scha masih lagi mencari momentum untuk terus menapak dalam bidang ini. Scha perlu pantas mencari momentum itu supaya tidak tenggelam. Scha belum selesa lagi,” katanya merendah diri.

Sampuk Jehan yang mula mencipta nama menerusi filem Qaisy & Laila, dalam perjalanan menuju ke sesuatu destinasi setiap manusia pasti akan melalui ujian yang memperlahankan langkah.

Baginya, tiada yang lebih penting selain membulatkan tekad dan berusaha menuju destinasi tanpa perlu berputus asa.

Kata Jehan, dia sentiasa ingat pesanan pelakon berkarektor, Shaharuddin Thamby supaya mengutamakan kualiti kerja kerana dari situ duit dan populariti akan hadir.

“Rezeki juga memainkan peranan tetapi saya tidak sesekali duduk berpeluk tubuh dan menanti saja peluang yang datang.

“Berlakon adalah karier profesional saya. Tetapi pada masa sama, saya turut menilai beberapa sudut lain termasuk kekuatan skrip, kreativiti pengarah dan prestasi produksi.

“Saya tidak terlalu memilih. Saya terima watak kecil jika ia mampu memberi impak kepada jalan cerita. Untuk apa saya duduk menanti watak utama tetapi peranan yang diberikan tidak mampu mengangkat jalan cerita.

“Itu kerja sia-sia,” kata Jehan yang mengharapkan industri hiburan diwarnai lebih ramai penggiat muda kreatif yang akan membanggakan produksi tempatan.

Teruja menanti 2010

TATKALA diajak mengimbas perjalanan sepanjang 2009, Jehan menyimpulkan, dia meniti tahun yang cukup menggembirakan terutama untuk kariernya.

Pembawa watak Benjy dalam siri Awan Dania 2 itu berkata, 2009 membuka ruang besar kepadanya untuk meneroka pelbagai karektor yang menguji kemantapan persembahannya sebagai pelakon.

Bagaimanapun, Jehan yang mengukir laluan sebagai pelakon menerusi drama arahan Osman Ali, Dengan Nama Cinta masih tercari karya yang mampu mengulangi pencapaian yang diraih Qaisy & Laila.

Karya bermutu sebegitu kata Jehan, hanya sesekali hadir tetapi dia percaya apabila tiba waktunya kesempatan itu akan terarah kepadanya.

“Saya percaya kepada rezeki,” katanya yang kembali bersatu dengan Osman Ali menerusi filem Cun yang membariskan pelakon seperti Maya Karin, Remy Ishak dan Scha sendiri.

Scha pula melihat 2009 sebagai tahun percubaan yang menguji, namun berharap 2010 akan membentangkan warna lebih ceria untuk kehidupan dan kerjayanya.

Pinta Scha kepada Ilahi, 2010 akan membawa ketenangan dalam dirinya serta kelancaran untuk terus menyusuri hidup dalam kerjaya yang dicintainya.

INFO: Jehan Miskin Nama Penuh : Mohd Jehan Bin Miskin Tempat Lahir : Pulau Pinang Kerjaya : Pelakon, Model Filem: Qaisy & Laila (2005); Gong (2006); Nana Tanjung (2006); Nana Tanjung 2 (2007); Anak Halal (20070; Skrip 7707 (2007) dan Merong Mahawangsa (2009) Antara Drama: 5 Jingga; Manjalara; Incredible Tales (Singapura); Senja Di Ufuk Timur; Ejen 016; Kasih Di Bawah Bayu; Frontpage; Inspirion; Life Line (Singapura); Di Pinggiran Hati; Seiras; Dan Jendela Pun Terbuka; Gila-Gila Pengantin; Bunga Senja; Traffic Light dan Miftahul Jamilah.

INFO: Scha Nama Penuh: Sharifah Norazean Syed Mahadzir Tarikh Lahir: 30 Mei 1983 Asal: Sungai Petani, Kedah Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik Pendidikan: Diploma Teknologi Maklumat dari Kolej Pusat Teknologi dan Pendidikan Lanjutan (PTPL), Shah Alam Pencapaian: Dewi Remaja 2006/2007 Filem: Antoo Fighter: Amukan Drakulat, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2, Dimensi Cinta, Libas dan Adik Manja Returns Drama: Bella, Honeyz, Awan Dania, Naik Hantu dan Awan Dania 2 Pengacaraan: Sehati Sejiwa dan Astro On Demand Komersial: Rexona, Hotlink, Watson, Oral-B, Nokia, Celcom, My EG dan Bio Essence

Bintang Pop

24 Dec

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

PERNAH menimba pengalaman sebagai pelakon dan pengacara, selebriti Khairulizam Abdul Rahman atau nama komersial, Khir Rahman masih bersemangat mengembang karier seninya.

Mungkin ada yang tidak perasan, minatnya pada bidang seni diwarisi daripada ibu bapanya, Datuk A Rahman Hassan dan Datin Azizah Mohamad yang popular menerusi kugiran Orkes Nirwana pada pertengahan 60-an. Bagaimanapun, Khir lebih cenderung pada bidang lakonan terutama teater berbanding nyanyian.

Merujuk pada lakonan, Khir lebih banyak menerima tawaran sebagai pelakon pembantu. Sebelum ini, dia pernah terbabit menjayakan beberapa filem antaranya Puteri Gunung Ledang (2004), Potret Mistik, Pontianak Harum Sundal Malam 2 dan Rock (2005), Gubra (2006), Cuci serta Los Dan Faun (2008).

Namun, dalam filem Rock arahan Mamat Khalid, Khir mula diberi kepercayaan membawakan watak utama sebagai penyanyi rock iaitu Jijo Alfonso Pareira Abdullah di samping pelakon berpengalaman lain seperti Que Haidar, Hasnul Rahmat dan Shoffi Jikan.

Katanya, dia tidak kisah mencipta nama menerusi watak sampingan sebaliknya sentiasa berusaha memberikan lakonan terbaik yang meninggalkan kesan pada penonton.

Perkembangan terbaru, Khir, 36, kini sibuk di lokasi penggambaran filem … Dalam Botol yang diterbitkan Raja Azmi Raja Sulaiman. Berbeza dengan penampilan sebelum ini, Khir mendapat peluang besar apabila ditawarkan mengarah filem ini.

Kata Khir, dia tidak terlalu berfikir lama untuk menyatakan persetujuan pada tawaran yang diberikan kerana merasakan mengarah filem adalah impiannya.

“Pada saya, filem adalah suatu karya yang bernilai tinggi, susah untuk dibuat tetapi menyeronokkan. Ketika mula membaca skrip filem ini, saya terus tertarik dan bersetuju menggalas tanggungjawab besar ini.

“Saya melihat filem ini mempunyai ‘bahan’ yang bagus cuma bagaimana mahu dipersembahkan dengan menarik, ia perlu difikirkan. Malah saya sendiri berpandangan niat Raja Azmi untuk menerbitkan filem ini tidak salah dan dia juga cuba sampaikan filem yang positif pada penonton,” katanya.

Khir yang pernah mengarah beberapa filem pendek seperti Selekoh dua tahun lalu mengakui faktor pengetahuan dan pengalaman dalam lakonan sebelum ini banyak membantu dirinya agar menjadi pengarah berjaya.

 

 

Dalam pada itu, dia menyatakan ada sikap produser dan pengarah yang lebih berminat hasilkan filem untuk mengaut keuntungan semata-mata tanpa mementingkan aspek kualiti.

Baginya, filem ini yang mengisahkan cinta antara lelaki sejenis adalah kisah benar yang wujud dalam kehidupan realiti. Katanya, dia bukan mahu jual seks dalam filem ini tetapi mahu sampaikan mesej kemanusiaan yang dapat dikongsi pada watak dipaparkan.

“Saya berharap penonton tidak terlalu awal menghukum filem ini gagal kerana kisah kontroversi yang ingin ditampilkan. Namun, saya terbuka untuk terima kritikan penonton apabila filem ini ditayangkan nanti,” katanya.

Filem ini dibintangi Diana Danielle bersama dua bakat baru, Azharudin Ramli (Arja Lee) dan Saiful Redzuan Abu Bakar (Wan Raja) yang tampil melakonkan watak utama. Ini adalah filem sulung Khir dan peluang ini juga diterima selepas pengarah asal, tarik diri.

Harian Metro

15 Dec

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap

KONTROVERSI perkahwinan juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Mohammad Faizal Ramly, 25, semakin heboh diperkatakan. Paling ketara apabila majlis perkahwinan pemuda berasal dari Terengganu yang berlangsung awal tahun ini tidak mengundang media selain tanpa pengetahuan keluarga pasangan masing-masing.

Begitupun, Faizal menolak keras dakwaan itu malah mengakui majlis perkahwinan berlangsung lancar dan mendapat restu ibu bapa mereka berdua. Cuma dia tidak mahu soal peribadi termasuk majlis perkahwinan dihebohkan begitu juga mengenai tidak mengundang media.

Terus merahsiakan apa sebenarnya yang berlaku, dia berkata hidupnya kini bahagia. Bagaimanapun, dia belum bersedia memperkenalkan isteri kepada media demi menghormati permintaan keluarga. Bagi Faizal kerjaya seni tumpuan utamanya dan cerita peribadi biarlah menjadi hak miliknya sendiri.

“Sebenarnya apa yang saya lakukan adalah ke arah kebaikan. Tidak timbul soal membelakangi sesiapa dalam hal ini. Sudah tentu saya mahu berkongsi hari bahagia bersama keluarga, saudara dan kenalan.

“Apa yang boleh saya maklumkan setakat ini, kehidupan peribadi dan kerjaya seni saya berjalan dengan baik. Apapun kita tunggu majlis sidang akhbar yang akan diadakan pada 21 Disember ini untuk menjelaskan segala kekusutan yang berlaku,” katanya.

Ketika dihubungi Faizal dalam perjalanan ke Alor Setar, Kedah untuk menghadiri sesi promosi filem terbaru lakonannya, Pulau Asmara. Sesi promosi untuk filem terbitan syarikat Alakazam Production Sdn Bhd (Alakazam Production) itu akan diteruskan ke Pulau Langkawi dan Kuantan, Pahang.

Faizal yang bernaung di bawah syarikat rakaman Alakazam Production berkata dia tidak berniat untuk merahsiakan mengenai kehidupan peribadinya. Walaupun ada yang membuat andaian negatif terhadap perkahwinannya itu termasuk kononnya dia dan pasangannya ditangkap khalwat.

“Apa yang saya buat ini tidak mahu mengganggu kehidupan dan ketenteraman keluarga kedua-dua belah pihak. Fokus utama sekarang pada bidang seni. Apatah lagi ketika ini perjalanan seni saya semakin lancar. Saya tidak mahu orang salah anggap dengan apa yang berlaku. Tambah pula tidak perlu ada pihak yang cuba menghuru-harakan keadaan,” katanya.

Teraju filem Pulau Asmara itu dijangka tampil bersama album solo tidak lama lagi juga menerusi syarikat Alakazam Production. Kepercayaan yang diberikan rumah produksi itu, memberi nafas baru kepada Faizal yang sebelum ini dilabel antara artis yang sukar dihubungi dan berdepan masalah disiplin.

 

 

Harian Metro

Label

6 Dec

Oleh IZWAN MOHAMAD DAN
metahad@hmetro.com.my

Rap
WALAUPUN pelbagai isu membabitkan artis luar mencari peluang di Malaysia pernah mencalarkan hubungan baik industri muzik negara ini dan Indonesia, keseimbangan jumlah putaran lagu yang ditunjukkan stesen radio tempatan akhirnya menjernihkan kembali kemelut itu.

WALAUPUN pelbagai isu membabitkan artis luar mencari peluang di Malaysia pernah mencalarkan hubungan baik industri muzik negara ini dan Indonesia, keseimbangan jumlah putaran lagu yang ditunjukkan stesen radio tempatan akhirnya menjernihkan kembali kemelut itu.

Malah, kehadiran kumpulan baru dari seberang diterima dengan hati terbuka oleh masyarakat tempatan khususnya mereka yang sukakan kelainan irama yang dibawakan kumpulan seperti ST12 dan Kangen Band sebelum ini yang lebih bersifat keMelayuan.

Sebuah lagi kumpulan yang dicop ‘serumpun’ oleh pendengar muzik di Indonesia, Wali Band, tidak melepaskan peluang untuk sama-sama mempertaruhkan karya mereka dengan kerjasama Tropic Jaya Entertainment dan PMP Entertainment berjudul Cari Jodoh.

Tampil dengan empat anggota iaitu Faank sebagai vokalis, Apoy (gitar), Ovie (keyboard/synth) dan Tomi (dram), band yang ditubuhkan sejak 1999 ini pada asalnya tampil dengan sebuah saja lagu iaitu Cari Jodoh yang dimuatkan dalam album kompilasi SCTV By Request sehingga menjadi sebutan ramai di negara mereka.

Berbekalkan sambutan itulah mereka akhirnya mengambil keputusan merakamkan album penuh yang turut memuatkan lagu Baik Baik Sayang, Yank, Kekasih Halal, Puaskah dan Jodi (Jomblo Ditinggal Mati).

‘Sebenarnya kami bukan sekadar bermain muzik, tapi berdakwah melalui lirik yang banyak berunsur nasihat dan keagamaan.

‘Untuk menyampaikan sesuatu perkara, selalunya muziklah medium paling mudah digunakan,’ kata Apoy yang juga bekas pelajar Universiti Islam Negeri Jakarta seperti ahli kumpulan lain.

Walaupun ada sesetengah pihak yang melabelkan band ini sebagai ‘kelas kedua’ memandangkan irama yang dibawakan berbeza dengan band lain, mereka tidak kisah jika ada yang merendah-rendahkan kemampuan mereka sebaliknya bangga kerana diterima golongan luar bandar.

Malah, jualan album Wali Band di Malaysia turut tertumpu di kawasan sub-bandar dan luar bandar kerana kebanyakan penduduknya terpesona dengan rentak dan cara nyanyian lagu mereka.

 

 

‘Orang kampung juga inginkan hiburan, jadi kami tidak kisah jika digelar pembela orang kampung memandangkan menghiburkan orang juga satu ibadah.

‘Kini, semua golongan turut menerima kami termasuk masyarakat bandar yang rata-rata turut ‘bergoyang’ ketika kami membuat persembahan,’ ujar Apoy yang banyak mencipta lagu dan lirik untuk kumpulan ini.

Apabila ditanya mengenai konsep lagu dan lirik yang bersifat humor, mereka yang ditemui ketika sesi fotografi di Balai Berita, Jalan Riong mengakui sengaja berkarya dengan cara itu agar pendengar mudah menerima mesej yang ingin disampaikan.

Malah, mereka mengambil contoh band Malaysia terdahulu seperti Search, Slam dan Exists yang terlebih dahulu menembusi pasaran Indonesia sedikit masa dulu lantaran muzik seperti kumpulan itu mudah diterima semua golongan.

‘Kami mengakui band di Malaysia kini kurang menyengat, namun tidak semua apabila ada sedikit peningkatan seperti Hujan yang mula diterima di negara kami.

‘Sekarang adalah kesempatan terbaik bagi band Malaysia untuk ke Indonesia memandangkan kumpulan seperti kami turut dianggap band Melayu Malaysia, jadi tidak hairanlah jika band Malaysia juga mampu mengorak langkah di sana,’ kata Apoy.

Harian Metro

Adam & Stacy Sekepala Tapi Tak Serasi

22 Nov

Oleh Zubir Mohd Yunus

Adam dan Stacy.

Bintang AF dari Sabah akui sudah kenal keperibadian masing-masing tapi tiada lahir bibit cinta

KALI pertama menonton klip video lagu Menggegar Dunia, duet bintang Akademi Fantasia (AF) – Adam dan Stacy yang disiarkan kali pertama pada 31 Oktober lalu menerusi Astro Ria, penulis teruja melihat gandingan mantap mereka ketika mendendangkan lagu ciptaan Edry KRU itu.

Mengamati liriknya pula, memang benar menggambarkan Adam dan Stacy, mereka pasangan yang tak kena, namun sebaik bergabung di pentas seni – menari dan menyanyi, kedua-duanya meletup apabila bersatu!

Sebelum ini memang tidak pernah timbul sebarang gosip yang mengaitkan Adam bercinta dengan Stacy. Peminat sedia maklum, Adam ketika ini dikatakan ‘berteman tapi mesra’ dengan Naib Johan Pertandingan Akhir Bintang RTM2009, Jo-Anna Sue Henley-Rampas atau Joan, 20, manakala Stacy yang dikhabarkan baru putus kasih dengan bintang AF6, Nubhan, kini dikatakan sedang menyemai benih cinta dengan Akim dari AF7.

Justeru, gandingan Adam dan Stacy, memang tidak kena apabila mereka dikatakan pasangan kekasih, namun apabila melihat keserasian dan kelincahan mereka ketika menyanyi serta menari lagu rancak, Menggegar Dunia yang juga lagu tema filem terbaru terbitan KRU Studios, My Spy, tidak keterlaluan apabila melabel gandingan itu bakal menggegar industri hiburan, buktinya lagu berkenaan kini menduduki carta selesa di beberapa stesen radio popular!

Klip video Menggegar Dunia yang diarahkan Abdulazeez W.R dilatari filem My Spy apabila filem ke-5 terbitan KRU Studios ini dijangka menjengah pawagam pada 3 Disember depan. Pun begitu, KRU Studios bijak mencuri peluang apabila populariti yang sedang diraih Adam dan Stacy di mata peminat, mereka gabungkan untuk menyuntik kelainan dalam filem terbaru mereka, sekali gus bakal menggamit peminat kedua-dua bintang realiti kelahiran Astro ini memenuhi pawagam.

Dalam ramai-ramai bintang kelahiran AF2, Adam boleh dianggap bertuah dan bernasib baik apabila dia masih ‘bernafas’ sehingga hari ini sejak lima tahun lalu menempa nama pada musim kedua program realiti paling berpengaruh itu.

Namun, sekitar 2007, Adam pernah dilatari titik hitam apabila hubungannya dengan pihak media massa terputus seketika gara-gara kerap menghilangkan diri setiap kali cuba dihubungi.

“Sekarang saya sudah berubah apabila menyedari kesilapan dan kecuaian yang pernah saya lakukan. Saya amat menyayangi bidang yang saya ceburi ini, justeru saya tidak mahu lagi mengulangi kegagalan masa lampau. Hubungan artis dan media massa ibarat isi dengan kuku, antara kami saling memerlukan satu sama lain. Selagi termampu, saya akan memberikan komitmen sebaik mungkin.

“Pun begitu, mimpi tidak akan menjadi kenyataan tanpa kerja keras yang berterusan. Ia diperkuatkan lagi dengan lagu-lagu ciptaan Edry KRU yang saya dendangkan diterima baik oleh peminat. Setiap kali saya muncul dengan album baru, saya akan menukar imej, tapi konsep dance music tetap dikekalkan dengan harapan peminat tidak mudah bosan, lebih-lebih lagi dengan kemunculan ramai artis baru kebelakangan ini,” kata Adam.

Selain popular sebagai penyanyi yang mampu membawakan pelbagai genre muzik terutama hip hop dan pop tradisional dance, Adam juga laris di kaca TV dan layar perak. Terbaru, dia baru selesai membintangi filem Dimensi Cinta. Ketika filem berkenaan masih menunggu giliran menjengah pawagam, difahamkan ramai pelakonnya termasuk Adam belum menerima bayaran akhir mereka.

Khabarnya ramai artis kecewa dengan pihak produksi gara-gara bayaran yang belum dilunaskan itu dan apabila diajukan kepada pihak produser, masing-masing cuba lepas tangan.

Kecewa belum terima bayaran

“Ramai artis baru yang berlakon di dalam filem berkenaan adalah muka baru yang bekerja di bawah produksi saya, Aico Entertainment Zone, justeru apabila saya sendiri belum menerima bayaran akhir, macam mana saya nak bayar gaji pekerja? Saya harap produksi berkenaan tidak terus menangguhkan perkara ini, beri penjelasan segera dan dalam masa sama, baki yang tertunggak itu, jangan terus dilengahkan,” rayu Adam.

Tidak lengkap perbualan dengan Adam jika tidak bertanyakan perihal ‘teman tapi mesranya’, Joan yang juga Ratu Tadau Kaamatan Sabah 2007/2008. Sehingga kini kedua-duanya lebih selesa mengakui mereka sekadar berkawan baik, sebaliknya istilah bercinta tidak pernah terbit dalam perasaan masing-masing, walhal gosip bertiup kencang, mencanang kedua-duanya dalam diam-diam menjalin cinta rahsia!

Apabila Adam terus diasak dengan pertanyaan adakah dia sudah bersedia memperkenalkan Joan sebagai kekasihnya, sekali lagi dia terus mengunci mulutnya seolah-olah ada rahsia di antara mereka. Terbaru, KRU Studios terus menyambar peluang keemasan apabila Joan sudah pun menyanyikan beberapa single ciptaan Edry, sekali gus situasi berkenaan bakal merapatkan lagi perhubungan Adam-Joan. Komen Adam?

“Antara saya dan Joan, kami masih berkawan baik. Namun, macam mana nak bercinta, bertemu pun jarang. Saya dapat tahu Joan sudah merakamkan beberapa single ciptaan Edry. Justeru, apabila sudah bekerja satu bumbung, sekiranya diberi peluang bekerjasama, persahabatan yang sedia terjalin mampu dirapatkan lagi. Tapi, apabila bercakap soal cinta, saya serahkan pada jodoh,” jelas Adam enggan mengulas panjang lebar.

Tak selesa digelar Agnes Monica Malaysia

Sementara itu, populariti Stacy semakin melonjak sehingga dia diberi jolokan Agnes Monica versi Malaysia gara-gara kelincahan tariannya sambil menyanyi secara langsung, itu kelebihan dirinya. Namun, adakah Stacy berasa selesa dengan kedudukannya hari ini?

“Saya rasa bersyukur kerana peminat sudah mengiktiraf kebolehan dan bakat seni saya, tapi kadang-kadang tak selesa juga apabila dilabel Agnes Monica Malaysia, terasa diri ini tiada identiti. Saya lebih berasa bangga apabila orang melihat kelincahan saya di pentas, orang berteriak itu adalah Stacy, Stacy AF6!,” katanya bersungguh-sungguh.

Namun, sebelum bergelar penghibur popular seperti hari ini, Stacy pernah melalui hari gelapnya apabila dia bersama keluarga pernah merasai keperitan hidup apabila kemiskinan mereka menjadi hinaan masyarakat, tapi hari ini semuanya berubah dek populariti yang diraih, Stacy dijulang peminat.

“Dulu kita hidup susah, orang menghina, sekarang dah senang sikit, orang memuja, namun itu adalah lumrah dan fitrah manusia. Bagi saya, jika bukan kerana hinaan dan cacian orang, saya tak akan jadi kuat dan berjaya seperti hari ini. Justeru, saya menjadikan kritikan mereka sebagai pembakar semangat. Saya bekerja keras dalam usaha memberi persaingan yang sengit kepada ramai lagi bakat yang bagus-bagus di luar sana,” katanya lagi.

‘Tak mungkin kami jatuh cinta’

Stacy juga mengakui serasi dan selesa bekerja dengan Adam menghasilkan pembikinan Menggegar Dunia. Sekalipun mereka dikatakan pasangan tak sepadan, tak mustahil dia mungkin jatuh cinta dengan Adam yang sama-sama berasal dari Sabah apabila berkongsi budaya dan loghat bahasa yang sama.

“Saya dan Adam tak mungkin jatuh cinta, kami dah kenal lama, dah tahu keperibadian masing-masing, memang susah nak jadi pasangan kekasih! Lagipun saya perlu menghormati perasaan Adam dan Joan yang berkawan baik, tambahan pula saya dan Joan satu sekolah di Sabah dulu, dia juga saya dah kenal lama.

“Justeru, cukup sekadar saya dan Adam bergabung di pentas seni, kami boleh meletup apabila digandingkan, sama-sama suka menyanyi dan menari lincah,” katanya.

Apa pula cerita putus cinta Stacy dengan Nubhan dan sejauh mana kebenaran percintaan yang terjalin antara dirinya dan Akim sejak akhir-akhir ini?

“Saya hairan macam mana orang kata saya putus cinta dengan Nubhan, bercinta pun tak pernah. Begitu juga dengan Akim, kami tak pernah keluar dating, tiba-tiba saja boleh keluar gosip saya dan Akim bercinta! Bagi saya, apa yang berlaku antara saya, Nubhan dan Akim adalah salah faham semata-mata. Apabila kami sering bekerjasama menjayakan persembahan nyanyian, mulalah orang bergosip, antara kami pasangan kekasih,” jelasnya lagi.

Kebenaran gosip Stacy pernah mengundang Akim bertandang ke rumahnya?

“Mengarut! Tak pernah ke situ perhubungan kami,” katanya yang mengakui teringin juga bercinta seperti remaja lain, namun ketika ini masanya belum sesuai.

Katanya lagi, dirinya belum cukup kuat memberi komitmen dalam percintaan. “Kalau bercinta, sekejap saja, nak buat apa? Akhirnya jadi macam lagu saya, Pakai Buang, tak mahulah!,” katanya berseloroh.

INFO: StacyNAMA PENUH: Stracie Angie AnamTARIKH LAHIR: 18 Ogos 1990ASAL: Penampang, Kota Kinabalu, SabahKELUARGA: Anak kelima daripada enam beradikALBUM: Aku Stacy mengandungi lagu seperti Aku Stacy, Gagap, Cerah, Cinta Yang Ku Duga dan Pakai BuangSINGLE: Menggegar Dunia (duet bersama Adam AF2) dan Primadona (solo), kedua-duanya adalah lagu runut bunyi filem My Spy DUTA: Power Root dan Intimate Sanitary NapkinsPENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia 6 (AF6), Artis Baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Penyanyi Pop Popular Malaysia 2009 pada Shout Awards terbitan 8TV dan Ikon Belia Remaja Sabahan oleh Ketua Menteri Sabah

INFO: Adam NAMA SEBENAR: Mohd Aizam Mat SamanTARIKH LAHIR: 19 September 1983ASAL: Inanam Laut, SabahKELUARGA: Sulung daripada empat beradikALBUM: Adam, Adam 2 dan Adam 3 (kesemuanya terbitan KRU Studios)SINGLE: Menggegar Dunia (duet bersama Stacy AF6) juga lagu runut bunyi filem My Spy FILEM: Cinta Fotokopi, Main-Main Cinta, Diva dan Dimensi Cinta (belum ditayangkan) DRAMA / TELEFILEM: Pria, Akademi dan Hotel (working titles – belum ditayangkan) TELEFILEM ARAHAN PERTAMA: Wira Malam: Bisikan NagaPENCAPAIAN: Tempat ketiga, Akademi Fantasia 2 (AF2) (2004); Lagu Paling Popular Hits 1 (Joget Lambak, 2007); Pelakon Lelaki Popular pada Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19) berdasarkan undian SMS dan Vokal Duo Terbaik bersama KRU (Terhangat Di Pasaran) pada Anugerah Era 2004/2005

Bintang Pop