Archive | Low Sook Yee RSS feed for this section

Projek NS Bulan Depan

3 Apr


ABDUL HADI (baju putih, tengah) bersama para pelatih menunjukkan akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia di Kem PLKN Princess Haliza, Sepang semalam.

SEPANG – Stesen 8TV akan menyiarkan lapan episod dokumentari Project NS yang menyingkap diari kehidupan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Mei ini.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berharap ia membantu masyarakat terutama ibu bapa melihat bentuk latihan dan keadaan sebenar kehidupan pelatih PLKN.

Menurut Abdul Hadi, 8TV akan menyiarkan program itu pada 8 Mei nanti pada pukul 9.30 malam setiap Jumaat dan akan turut disiarkan di NTV7, TV3 dan TV9.

Dalam siri itu nanti, pengalaman menarik pelakon, Diana Danielle, 18, juara One In A Million (OIAM), Suki atau Low Sook Yee, 20, dan finalis OIAM, Aliff atau Muhammad Aliff Mohd. Satar, 19, turut akan dipertontonkan.

Siri penggambaran itu telah bermula pada 19 Mac lalu.

“Semua empat modul iaitu Modul Kenegaraan, Modul Fizikal, Modul Khidmat Komuniti dan Model Pembinaan Karakter akan diketengahkan dalam memantapkan dokumentari itu,” katanya.

Abdul Hadi menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pembukaan PLKN Kumpulan 2 Siri 6/2009 dan Penyerahan Naskhah Percuma Utusan Malaysia dan Kosmo! di Kem PLKN Princess Haliza, Sepang semalam.

Turut hadir Penolong Ketua Pengarang 2 Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid, Pengarang Utusan Malaysia, Hassan Mohd. Noor dan Penolong Pengarang Kosmo!, Mohd. Nor Ab. Samad.

Program itu juga menyaksikan 400 naskhah Utusan Malaysia dan Kosmo! akan diedarkan kepada pelatih di kem itu pada setiap hari.

Kosmo

'Saya Bukan Lagi Bintang'

3 Apr

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina@kosmo.com.my


JIKA dulu dia tidak pernah terfikir kerja menggilap kasut, kini ia sudah menjadi rutin Diana (tengah) bersama para pelatih lain di Kem PLKN Princess Haliza, Sepang.

SEPANG – “Saya tetap kena denda, malah dimarahi oleh jurulatih sama macam pelatih lain kalau buat salah. Saya bukan bintang di sini (Kem Princess Haliza).”

Demikian pengakuan pelakon cantik, Diana Danielle, 18, yang menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa status selebriti yang dimilikinya mendorong pengurusan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) memberi keistimewaan kepadanya selama latihan tiga bulan itu.

Diana mengakui dia sama seperti remaja lain, tiada layanan istimewa sejak dua minggu mengikuti latihan.

Pada satu ketika, dia terpaksa menerima hakikat dimarahi jurulatih kerana datang lambat ke sesi latihan.

Namun Diana yang terpilih sebagai Timbalan Penghulu Wirawati di kem itu, bersyukur kerana dapat mengadaptasikan suasana baru yang cukup menguji ketahanan mental dan fizikal dengan cepat.

Malah dia juga berjaya menangkis tanggapan mereka yang pada mulanya ragu-ragu untuk mendekatinya atas kepercayaan dia mungkin sombong.

Tetapi di sebalik latihan itu, badannya pula bertambah berisi.

“Dulu berat badan saya hanya 55 kilogram tapi setelah dua minggu di sini dah 60 kilogram, mana tidaknya, dalam sehari enam kali makan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau merindui bidang lakonannya, Diana menjawab: “Tak rindu langsung, saya sudah mula sesuaikan diri di sini dan setiap hari saya tak sabar nak lakukan aktiviti PLKN dan sanggup bangun 5 pagi.”

Juara One In A Million (OIAM), Suki atau Low Sook Yee, 20, dan finalis OIAM, Aliff atau Muhammad Aliff Mohd. Satar, 19, turut bangga menjadi pelatih PLKN.

“Bagi seorang artis, bangun seawal pagi bukanlah sesuatu yang biasa tetapi di PLKN, semuanya harus ditempuhi dan saya sememangnya sudah sedia mendisiplinkan diri,” kata Suki.

Bagi Aliff, dia juga sangat teruja dengan semua modul yang disediakan dan tidak sabar-sabar untuk menjalani latihan menembak.

Kesemuanya dijangka menamatkan siri latihan pada 8 Jun ini.

Kosmo

'Kami Sudah Sedia Sertai PLKN'

26 Feb

Oleh HAIRULAZIM MAHMUD dan JESSABELL SOO
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Tiga artis remaja yang sebelum ini pernah membuat rayuan untuk menangguhkan penyertaan mereka dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kini memberi jaminan mereka akan mengikuti program tersebut apabila dipanggil.

Malah, ketiga-tiga artis berkenaan, Diana Danielle, 18, Aliff Satar, 19 dan Suki, 20, menyatakan kesediaan untuk mengikuti program itu pada Mac ini dengan menangguhkan semua aktiviti seni masing-masing.

Menurut ibu Diana, Norsiah Ramli, anaknya sudah cukup bersedia untuk menjalani program tersebut yang dijadualkan bermula Mac ini dengan memastikan semua kerja seninya hanya bermula pada Julai ini.

“Bagaimanapun, buat masa ini kami belum menerima sebarang surat pengesahan daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN),” katanya kepada Kosmo! semalam.

Diana Danielle sebelum ini tersenarai sebagai peserta PLKN dalam Kumpulan Satu Siri 6/2009 yang perlu mendaftar pada 27 Disember 2008 tetapi dia memohon penangguhan atas alasan masih terikat dengan kontrak seni.

Turut berbuat demikian ialah Aliff dan Suki sehingga menimbulkan polemik bahawa JLKN mengamalkan pilih kasih dengan memberi kelonggaran kepada pihak tertentu walaupun telah diarahkan menyertai PLKN.

Menurut Norsiah, sebenarnya Diana memang ingin menyertai sesi pertama PLKN dulu tetapi disebabkan dua kontrak lakonan pada bulan Disember hingga Februari 2009, dia terpaksa menangguhkan penyertaan dalam PLKN.

Juara program realiti One In A Million (OIAM), Suki atau nama sebenarnya Low Sook Yee pula memberitahu, dia juga sudah bersedia untuk menyertai PLKN kali ini.

“Sejak bulan Januari lagi saya sudah beritahu bahawa saya bersedia menolak semua aktiviti seni. Cuma sekarang saya belum menerima sebarang surat untuk mengikuti PLKN,” kata Suki yang sepatutnya menyertai sesi berkenaan pada tahun 2006.

Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.

Kosmo

'Jadilah Diri Sendiri'

11 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

BAKAT seni yang dimiliki Faizal turut menyemarakkan industri hiburan tempatan.

Pesanan Faizal Tahir, Suki, Ayu dan Shila kepada peserta One In A Million

BARANGKALI ramai pernah meragui kemampuan sebenar bintang yang dicungkil menerusi program realiti terutama apabila melihat populariti pantas yang dicipta namun akhirnya tenggelam lantaran tidak mampu membawa gelombang baru dalam industri hiburan.

Bagaimanapun, pandangan sempit itu kian terhakis apabila satu demi satu bintang yang dicungkil menerusi pertandingan itu bangun membuktikan kemampuan mereka.

Kemaraan mereka juga menyemarakkan industri muzik yang lesu apabila menebarkan pelbagai idea segar, sekali gus menyuntik harapan dengan membina platform baru yang mengesankan.

Antara contoh paling jelas ialah kebangkitan Faizal Tahir. Mengakhiri perjuangan dalam One In A Million (OIAM) musim pertama dengan meraih tempat kedua, namun hari ini namanya mara ke puncak dengan pelbagai pengiktirafan.

Merentas pelbagai cabaran, malah saat namanya mula mendaki populariti dia diuji dengan dugaan hebat namun semua pengalaman itu dibayar dengan pengiktirafan yang membanggakan.


Suki

Berkongsi pengalaman dengan tiga lagi bintang yang juga dicungkil menerusi OIAM iaitu Ayu, Suki dan Shila, sesi fotografi yang diatur khas oleh 8TV mengajak khalayak mendekati semula laluan awal mereka.

Kata Faizal, perkara asas yang akan membuat khalayak tertarik adalah keupayaan seseorang peserta menjadi penghibur apabila beraksi di pentas, bukan hanya penyanyi semata-mata.

Baginya ramai penyanyi di luar, namun untuk mencari mereka yang mempunyai karisma atau aura yang boleh memancing perhatian peminat adalah sesuatu yang sukar terutama dalam bidang seni suara.

“Peminat sentiasa dahagakan sesuatu yang berbeza dan itu yang perlu kita berikan. Di luar lebih ramai penyanyi yang mempunyai mutu suara jauh lebih baik berbanding saya, namun apa yang ingin peminat saksikan ialah keberanian.


SHILA (kiri) dan Ayu.

“Itu yang saya cuba berikan dan hari ini, saya melihat semangat itu turut dibawa oleh kumpulan seperti Hujan, Meet Uncle Hussain dan Bunkface selain Aizat. Keberanian membawa mereka melangkah jauh dalam industri.

“Pesan saya, peserta cuma perlu menjadi diri sendiri dan usaha mencuba terlalu keras untuk menarik perhatian khalayak. Itu penting untuk mendapat tempat di hati peminat,” katanya menitip pesanan kepada peserta OIAM yang bakal berentap bermula pertengahan Februari ini.

Dua tahun dalam industri, Faizal dilihat meniti laluan yang cukup selesa namun baginya, situasi itu tidak sesekali membuatkan dia pantas berasa sudah mencapai segala yang diimpikan.

Ruang selesa yang dinikmati tidak sesekali melekakannya bahkan kata Faizal, kejayaan dikecapi mendorong dirinya untuk terus berusaha melakukan pembaharuan dan tampil dengan idea mantap.

“Penghargaan diterima adalah dorongan dan bukan meletakkan diri seseorang itu pada kedudukan stabil atau selesa. Saya sebenarnya membawa tanggungjawab lebih besar dalam industri, membuatkan saya ingin mencuba dan terus mencuba kerana pada dasarnya saya belum berjaya sepenuhnya.

“Dalam nyanyian mungkin khalayak sudah mengenali siapa Faizal Tahir namun saya harus berani untuk lebih meneroka.

“Atas sebab itu, saya mahu terus mendalami aspek penciptaan lagu kerana dalam produksi album kedua nanti saya mahu lebih terbabit dan fokus,” katanya.

PROFIL: Faizal Tahir
Nama Penuh: Ahmad Faizal Mohammad Tahir
Tarikh Lahir: 26 Oktober 1978
Profesion: Penyanyi, penulis lagu dan pengacara
Album: Aku.Muzik.Kamu
Pencapaian: Anugerah Planet Muzik 2008: Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular; Anugerah Industri Muzik 15: Persembahan Vokal Terbaik dalam Album (Lelaki), Artis Baru Terbaik, Album Rock Terbaik dan Album Terbaik dan Anugerah Juara Lagu 23: Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik dan Juara Kategori Balada untuk lagu Sampai Syurga.

Suki kejar masa

MASIH di bangku sekolah ketika menyertai OIAM, meletakkan Suki dalam kekalutan dan itu memberikan cabaran yang sangat besar kepadanya.

Setiap hari, masa seakan mengejar membuatkan gadis kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini perlu bijak mengatur jadual.

“Tekanannya cukup hebat namun semua itu akan dapat diatasi jika kita fokus dan mempunyai disiplin yang tinggi. Sehingga sekarang saya terus diburu masa, terutama selepas kembali belajar secara online di Kolej Muzik Berklee,” kata Suki yang tidak berhenti mengejar cita-citanya selepas muncul juara pertama OIAM.

Paling penting kata Suki atau nama sebenarnya, Low Sook Yee, adalah jangan membiarkan diri terganggu dengan apa yang berlaku di persekitaran.

“Saban minggu melihat rakan kita tersingkir membuatkan kita berada dalam tekanan. Namun, peserta perlu kuatkan semangat dan bertanya diri, untuk apa berdiri di pentas OIAM?

“Saya dulu pernah terbawa dengan apa yang saya baca di internet membuatkan saya tidak dapat memberikan persembahan terbaik. Ketika itu saya cukup tertekan namun apabila difikirkan semula, saya sebenarnya tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.

“Daripada situ, saya berusaha mengatasi kelemahan dan belajar menerima segala kritikan,” katanya.

PROFIL: Suki
Nama Penuh: Low Sook Yee
Nama Komersial: Suki
Tarikh Lahir: 11 Disember 1989
Asal: Seremban, Negeri Sembilan
Album: Finally/Akhirnya
Pencapaian: Juara musim pertama OIAM dan Artis Harapan, Anugerah Industri Muzik Ke-15.

OIAM bina keyakinan diri Ayu

PANDANGAN yang sama juga diluahkan Norayu Damit atau Ayu yang melihat perjalanan sepanjang OIAM membina keyakinan dirinya, malah mematangkan dirinya menempuh kehidupan.

Gadis berusia 19 tahun dari Putatan, Sabah ini mengakui, ketika pertandingan dia tidak meletak harapan tinggi untuk menang sebaliknya cuma berusaha memberikan yang terbaik untuk dinilai penonton.

“OIAM banyak mengubah pemikiran Ayu yang dulu langsung tidak mempunyai keyakinan akan mampu menempuh hidup sebagai anak seni.

“Memang pada awal Ayu terasa hati dengan teguran dan kritikan namun Ayu cekalkan diri kerana kejayaan tidak akan datang bergolek. Alhamdulillah, keberanian Ayu menerjah segala halangan itu memberikan ruang yang semakin selesa dalam bidang nyanyian,” katanya.

Nasihat Ayu, apa juga kritikan diberikan perlu diterima dengan terbuka dan paling penting, sentiasa berusaha mengatasi kelemahan dan tidak mengulangi kesilapan.

“Kritikan diberi kerana mereka mahu kita menjadi lebih baik, jadi untuk apa perlu berkecil hati? Andai dalam pertandingan jiwa tidak kuat, bagaimana mahu menempuh gelombang di luar yang lebih besar dan kejam?

“Prinsip itu yang sentiasa Ayu sematkan dalam diri dan ia membuat Ayu semakin kuat,” katanya.

Lebih penting kata penyanyi yang sinonim dengan lagu Hanya Di Mercu, adalah disiplin kerana ia memainkan peranan besar dalam menentukan kejayaan seseorang.

Transformasi Shila

MEMULAKAN langkah sebagai penyanyi pada usia sembilan tahun membuatkan Nur Shahila Amir Hamzah atau Shila agak pasif dan kurang berkeyakinan untuk bergaul kerana semuanya ditentukan mereka yang lebih berpengalaman.

Namun segala keistimewaan itu seakan dibawa pergi apabila Shila menyertai OIAM, membuatkan dia terpaksa berdikari mengatur laluan yang ingin dituju.

“Untuk menggali ilmu, kita perlu berani membuatkan Shila tidak gentar untuk melakukan kesilapan kerana dari situ, Shila memperbaiki kelemahan dan berusaha mengatasinya.

“Apa saja kritikan yang dilemparkan, Shila letakkan di tepi kerana jika terlalu memikirkan ia hanya akan merosakkan langkah. Shila cuba fokus sepanjang pertandingan, membuang segala perasaan negatif dan alhamdulillah, kepuasan akan terserlah apabila kita mampu memberikan sesuatu yang di luar jangkauan,” katanya.

OIAM kata Shila, sebenarnya membuka ruang kepadanya untuk meluahkan ekpresi diri dengan cara tersendiri tanpa perlu takut kritikan.

Keberanian itu juga kata gadis berusia 18 tahun, membuatkan otaknya sentiasa ligat berfikir kerana tidak mahu terus berada pada liga selesa.

“Mungkin dulu Shila lebih teragak-agak untuk melakukan sesuatu, sentiasa berfikir apakah apa yang dibuat akan diterima tetapi sekarang Shila semakin berani mengambil risiko.

“Satu yang Shila pegang, buang sifat cemburu kerana rezeki setiap kita sudah tertulis. Apa yang penting adalah berusaha dan jangan hanya berserah kepada takdir kerana itu tidak akan membawa kita ke mana-mana,” katanya.

PROFIL ShilaNama Penuh: Nur Shahila Amir Hamzah
Tarikh Lahir: 13 Ogos 1990
Asal: Kuala Lumpur
Album: Sha-hila dan runut bunyi 5 Jingga
Anugerah: Tempat kedua Anugerah Bintang Kecil

Tempat Kedua, tempat kedua One In A Million Musim ke- 2 dan Anugerah Emas dan Lagu Terbaik pada Penang Shanghai World Star Quest 2008.

PROFIL: Ayu
Nama Penuh: Norayu Damit
Nama Komersial: Ayu
Tarikh Lahir: 12 Julai 1989
Asal: Putatan, Sabah
Pencapaian: Juara musim kedua OIAM
Lagu: Hanya Di Mercu.

Berita Harian

Saya Tidak Elak Sertai PLKN – Aliff

29 Dec

Oleh DEWI ABDUL RAHMAN
berita@kosmo.com.my


ALIFF


SUKI

KUALA LUMPUR – “Bukannya untuk mengelak, tapi cuma minta diberi penangguhan. Cepat atau lambat, pasti saya akan tunaikan juga tanggungjawab itu.”

Begitulah tegas finalis program realiti TV One In A Million (OIAM), Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Aliff Mohd. Satar yang sebelum ini diberi penangguhan daripada menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun lepas kerana terikat dengan beberapa kontrak rakaman.

Menurut Aliff, sebenarnya tidak ada layanan istimewa dalam PLKN termasuk kepada golongan artis tetapi tarikh latihan yang diberi mungkin tidak sesuai dan ia perlu diubah kepada satu tarikh lain.

“Saya cuma minta untuk diberi penangguhan dan bukan pengecualian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Aliff, 18, berkata, tindakannya bukan mahu mengelakkan diri daripada menyertai PLKN tetapi beliau terikat dengan komitmen awal dan terpaksa mendahulukannya.

Beliau bimbang kariernya sebagai penghibur akan terjejas sekiranya melanggar kontrak dengan beberapa syarikat rakaman yang dibuat sebelum ini.

“Kontrak yang ada juga ditandatangani sebelum mendapat surat daripada pihak kerajaan untuk menyertai PLKN.

“Jadi, untuk mengelak lebih banyak masalah timbul, saya terpaksa buat rayuan di pejabat Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) supaya meluluskan penangguhan saya,” jelas beliau.

Aliff menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan golongan artis diberi layanan istimewa oleh JLKN sambil menegaskan golongan itu juga terpaksa mengharungi proses yang sama seperti remaja lain.

Sementara itu, seorang lagi artis remaja yang merupakan juara OIAM, Suki atau nama sebenarnya Low Sook Yee pula memberitahu, PLKN merupakan satu program yang baik dan perlu disertai oleh semua remaja.

Kosmo

Harmoni Raya

1 Oct

Oleh Zul Husni Abdul Hamid, Nurulhisham Abdul Latiff dan Zaidi Mohamad

Berbeza agama dan bidang tetapi Aidilfitri satukan lapan selebriti

SEBULAN berpuasa menahan lapar dan dahaga, Syawal kembali bertandang. Membawa seribu keberkatan dan rahmat, sebagai lambang kemenangan umat Islam selepas sebulan menahan godaan dan cabaran.

Sepuluh jari disusun, memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan. Terlanjur bicara, terkhilaf perbuatan Aidilfitri membentangkan ruang untuk menyuci dosa, mengerat semula jalinan kemesraan serta ukhuwah sesama insan.

Aidilfitri juga menyatukan lapan selebriti yang menghiasi laman Hip kali ini. Berbeza agama dan bidang, namun mereka bernyawa di bawah satu nafas seni. Aidilfitri mengerat persahabatan antara mereka, menyuburkan silaturahim kerana pada hari biasa, mereka jarang bertemu.

Tuntutan karier yang berbeza menjarakkan mereka, namun Syawal menemukan lapan selebriti ini untuk meraikan hari kemenangan bersama.

Lahir daripada keluarga berbeza latar, Aidilfitri bagi mereka membawa maksud yang satu – bermaafan dan saling mengunjungi. Mengerat semula hubungan yang selama ini terpisah dek tuntutan kerjaya.


QUE HAIDAR dan Mark merebus ketupat sambil diperhatikan Mahesh.

Terlalu banyak yang dikongsi Misha Omar, Que Haidar, Nabila Huda, Winnie K, Suki, Mark, Ainul Aishah dan Mahesh Jugal Kishor ketika sesi fotografi yang diadakan di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur ini.

Gurau senda melatari pertemuan ini, menterjemahkan betapa Syawal menghadiahkan suasana harmoni sekali gus membangkitkan penyatuan bangsa Malaysia di bawah langit seni.

Bagaikan tidak percaya, juara One In A Million (OIAM) musim pertama, Low Sook Yee atau mesra disapa Suki begitu mahir menganyam ketupat. Helaian daun kelapa yang awalnya tadi tidak berusik, berubah wajah apabila penyanyi yang sedang popular dengan lagu Usah itu mempamerkan kemahiran.

“Sejak 10 tahun saya sudah biasa membantu ibu membuat dekorasi termasuk hiasan ketupat kerana ibu membuka kedai bunga di Seremban,” kata Suki yang pulang ke kampungnya di Seremban untuk berhari raya bersama temannya yang beragama Islam.


WINNIE K, Misha Omar, Ainul Aishah, Nabila dan Suki begitu teruja menjayakan sesi fotografi sempena raya.

Misha yang hanya tersipu melihat kebolehan Suki, awal-awal lagi sudah mengangkat tangan menyerah kalah. Akui gadis yang menyambut 1 Syawal di kediaman keluarganya di Kota Bharu, Kelantan, dia memang tidak cekap mengendalikan kerja dapur.

Memilih warna ungu sedondon satu keluarga, Misha berkata, Aidilfitri kali ini cukup bermakna apatah lagi diraikan bersama anak kesayangan, Muhammad Adam Emir yang kini menjangkau usia dua tahun.

“Saya selesa bersederhana, cukuplah pakai apa yang ada kerana persiapan raya lebih diutamakan kepada anak. Sejak Jun saya sudah membuat sedikit demi sedikit persiapan. Senang siap awal supaya tidak terkocoh-kocoh pada saat akhir,” katanya.

Nabila pula berusaha membuktikan kebolehannya menganyam ketupat sebaik mungkin biarpun hasilnya tidak sekemas sentuhan Suki.

Dalam kehangatan menyambut lebaran, gadis berkarakter ini diselubungi debaran untuk melangkah ke fasa baru kehidupan. Tanggal 2 Disember ini, Nabila bakal bergelar isteri kepada Zaidy Zailani atau Edy.

“Persiapan kahwin kebanyakannya diuruskan ibu tiri, Norish, manakala saya lebih menumpukan perhatian kepada majlis pertunangan dan pernikahan,” kata Nabila yang mengacarakan Hits 1 Raya pada Syawal keempat ini.

Anak kepada rocker tersohor, Amy Search ini bakal menyambut hari raya bersama keluarganya di tiga lokasi berbeza iaitu Klang, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Meskipun tidak menganut Islam, kemeriahan sambutan 1 Syawal tetap dirasai penyanyi yang sedang meledak dengan lagu Kau Ada Di Mana, Winnie K.

Sebagai rakyat Malaysia, Winnie bangga dapat meraikan hari bermakna itu bersama teman beragama Islam. Lebih menyeronokkan Winnie, jumlah teman beragama Islamnya semakin bertambah sejak merakamkan album Melayu.

“Saya paling menggemari kuih tradisional yang manis seperti kuih bahulu. Entah kenapa selera saya lebih tertarik kepada kuih tradisional berbanding biskut moden.

“Saya juga seronok berkunjung ke rumah teman dan suasana itu menyemarakkan lagi kehangatan hari raya yang penuh dengan suasana ceria,” kata Winnie yang turut melebarkan empayar seninya di negara jiran, Indonesia.

Pelakon baru yang sedang mencipta nama, Ainul Aishah pula memilih untuk mengunjungi saudara mara di Pulau Pinang dan Kedah sebagai destinasi berhari raya. Peluang itu jarang diperoleh pelakon yang pernah menghiasi filem seperti Nana Tanjung dan drama, Anak Mami sejak mempunyai karier sendiri.

Kata Ainul, raya inilah peluang terbaik untuk terus mengeratkan silaturahim sesama keluarga dan sanak saudara.

“Paling seronok dapat bertemu semula anak buah yang sebelum ini jarang ditemui kerana terikat dengan kerja. Walaupun tidak banyak, saya tetap memperuntukkan sedikit bajet duit raya untuk dihulurkan kepada kanak-kanak,” katanya.

Menggemari lontong dan ayam masak merah, Ainul kini menaungi DZMS Modeling Agency untuk menguruskan aktiviti seninya selepas dibebaskan Line Clear.

Bagi tiga jejaka, Que, Mahesh dan Mark, ketibaan Syawal lebih berupa detik untuk mereka mengeratkan silaturahim sesama insan. Que yang pulang beraya di Kulai, Johor, menganggap minggu pertama Syawal saat terbaik untuk merapatkan semula ikatan kekeluargaan, selepas setahun tidak bersua muka bersama sebahagian daripada saudara-mara.

Manakala Mahesh yang pertama kali beraya sebagai pelakon, biarpun tidak menyambut Aidilfitri, namun dia tidak asing dengan perayaan ini. Apatah lagi, sebahagian rakannya terdiri daripada orang Melayu. Cuma, pergaulannya dengan artis Melayu kian meluas sebaik saja dia menjayakan filem Talentime arahan Yasmin Ahmad.

Pada sesi fotografi ini sendiri, Mahesh tidak kekok melayan artis lebih senior, termasuk Ainul yang kelihatan cukup mesra di sampingnya.

Aidilfitri tahun ini pula membawa erti besar buat seorang lagi peserta OIAM, Mark, kerana kali ini dia menyambutnya sebagai seorang Muslim. Lebih-lebih lagi, setelah dia berjaya berpuasa selama sebulan seperti rakan Islam yang lain.

Tajaan lokasi: Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay (www.serimelayu.com)

Penghargaan: Penolong Pengurus – Pemasaran, Pengiklanan & Promosi Restoran Seri Melayu, Noorulazwaliza Noh

Solekan: Chomel (012-2259616) untuk Misha Omar dan Bosco (016-6091614) – Nabila Huda

Pakaian: Bill Keith (Suki) dan Syaiful Baharim (Misha Omar)

Berita Harian

Suki Klon Miley Cyrus?

9 Jul

Oleh FERIDE HIKMET ATAK


SAYA tak tiru Hannah Tan tau.

SEKALI pandang wajahnya persis Hannah Tan. Dengan rambut panjang mengurai berwarna perang, imejnya jauh berbeza berbanding di awal kemunculan menjadi juara One In A Million (OIAM).

Low Sook Yee atau Suki kini tampak lebih matang dan yakin. Seolah-olah dia menunjukkan dirinya tahu dengan apa yang diinginkan dalam karier seninya.

Bimbang disalah tafsir mengenai imej barunya itu, seperti tahu dengan apa yang ingin ditanya, pantas sahaja Suki berkata: “Saya tak tiru Hannah Tan tau. Ini semua secara kebetulan.

“Monkey Bone (syarikat rakaman) menyediakan seorang perunding imej yang bertauliah untuk memberikan tunjuk ajar dan latihan penjagaan serta gaya bagi imej terbaru saya.

“Lagipun saya mahu tonjolkan diri saya yang sebenar. Inilah saya, gadis berambut perang yang ‘sporty’. Saya rasa saya telah mencapai satu peringkat lain sebagai seorang artis. “

Personalitinya ternyata berbeza. Bukan ke arah keburukan, tetapi lihatlah, penyanyi ini petah berbicara ketika ditemubual selepas pelancaran album, pertamanya, Finally/Akhirnya dan langsung tidak menunjukkan seperti ‘budak lepas sekolah’.


BERDUET dengan orang kuat Monkey Bone, Ahmad Izham.

Namun selepas mendengar beberapa lagu-lagu barunya seperti Don’t, Ku Teruskan, Rock With Me dan Tak Pernah Berubah, sekali lagi Suki disamakan pula dengan penyanyi popular Miley Cyrus.

Rentak melodinya persis penyanyi remaja popular itu. Mungkin kerana genre yang dibawakan Suki, lagu mereka kelihatan lebih kurang sama.

Ditanya mengenai lagu-lagunya yang banyak persamaan antaranya dan Miley, gadis kelahiran Negeri Sembilan ini tidak melatah. Malah dia bangga disamakan dengan selebriti popular itu.

“Album saya bergenre pop rock dan sama juga dengan Miley. Mungkin sebab kami membawa muzik yang sama dan lebih kepada muzik dance, menyebabkan saya disamakan dengannya.

“Apa pun, saya suka kalau disamakan dengan Miley. Bukan senang untuk disamakan dengan artis-artis hebat Hollywood,” tuturnya berterus terang.

Cipta lagu sendiri

Penantian selama 18 bulan untuk menyiapkan album bukanlah satu jangka masa yang pendek. Dan kerana itu, albumnya diberi nama Finally/Akhirnya.


SUKI mahu berjaya dalam seni dan pelajaran.

Jangka masa itu digunakan sebaik yang mungkin. Bukan sekadar rakaman studio semata-mata, Suki juga diaturkan untuk menghadiri pelbagai kelas seperti vokal, komunikasi dan tarian.

“Memang jangka masa untuk menyiapkan album ini sangat panjang. Bukannya apa, cuma saya mahu ‘produk’ ini yang terbaik dan berkualiti tinggi. Biarlah lambat, asalkan hasilnya puas.

“Selain itu juga, pelbagai kelas intensif yang harus saya ikuti. Lebih-lebih lagi, lagu-lagu saya banyak memerlukan tarian dan sebab itulah saya perlu membuat latihan dan juga latihan kecerdasan di gim agar tidak penat ketika menyanyi,” ujarnya.

Uniknya dalam album ini, Suki menggunakan khidmat penerbit yang masing-masing mempunyai sentuhan tersendiri seperti Anton Morgan, Audi Mok, Greg Henderson, Kieren Kuek, Luke Mason, Nine Ruffedge, Paul Moss dan Zaf VE.

Menarik lagi, Suki tidak melepaskan pembikinan album 100 peratus kepada penerbitnya sahaja. Malah dia diberi peluang untuk mencipta lagunya sendiri iaitu Hidup Ini.

“Pada mulanya saya mahu jadikan ia sebuah lagu Inggeris tetapi Ahmad Izham (Pengarah Urusan Monkey Bone) mencadangkan agar ia dikekalkan sebagai lagu Bahasa Melayu.

“Selain itu saya juga merupakan penulis lirik bersama untuk lagu Tak Sama dan Ku Teruskan.

“Semua ini kerana Ahmad Izham, yang memberi kebenaran kepada saya untuk melibatkan diri dalam pembikinan keseluruhan album pertama saya,” tuturnya.

Tetap akan sambung belajar

Biarpun giat menyusun masa depannya dalam bidang seni, gadis ini tidak pernah pun lupa tentang perancangan membina kehidupan peribadinya dengan sempurna.


TURUT berbakat sebagai penulis lirik.

Setelah tamat sekolah menengah, Suki terpaksa menumpukan perhatian untuk kerjaya seninya yang masih lagi mentah. Namun, perkataan pelajaran, tidak pernah dilupakan langsung.

“Saya memang mempunyai keinginan ini, tetapi sentiasa sibuk dengan karier seni saya.

“Lagipun, takkan saya nak biarkan peluang terlepas dengan begitu sahaja. Ditambah pula pihak Monkey Bone telah mengaturkan segala perjalanan seni saya. Sudah tentu saya tidak akan mengecilkan hati mereka.

“Saya suka belajar dan juga sayangkan kerjaya saya. Jadi buat masa ini biarlah saya fokus pada kerjaya saya dulu dan akan meneruskan pengajian bila berpeluang berbuat demikian.” kata Suki bersungguh-sungguh.

Teringin ke dunia lakonan

Selepas menempa kejayaan dalam sesuatu bidang, biasanya seseorang artis pasti akan terjun ke bidang lain pula untuk mengembangkan sayap bakatnya.

Sama juga dengan Suki. Dia sebenarnya mempunyai impian untuk bergelar pelakon suatu hari ini.

“Saya bukannya tamak. Cuma gemar mencuba benda yang baru. Tetapi buat sementara ini, saya mahu menumpukan sepenuh perhatian dalam nyanyian dahulu.

“Kemudian, saya harap akan mendapat peluang untuk cuba ke bidang lakonan pula. Dan juga diberi peluang oleh Monkey Bone untuk saya menghadiri kelas-kelas lakonan tidak lama lagi,” jelasnya.

Kosmo

Anugerah 'Pemanas' Kembali Aktif

8 May

Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

Rap

KEMENANGAN sulung juara One In A Million (OIAM) musim pertama, Suki merangkul kategori Artis Harapan Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) Sabtu lalu disifatkan sebagai ‘pemanas’ untuknya kembali aktif mewarnai industri seni suara tanah air.

Kata pemilik nama sebenar Low Sook Yee ini, walaupun lebih setahun menyepi dan OIAM musim kedua baru saja berakhir, ramai yang bertanya bila album sulungnya akan menjengah pasaran.

Tambahan pula naib juara, Faizal Tahir sudah melangkah jauh berbanding Suki dan mendapat pelbagai pengiktirafan termasuk menang empat kategori di AIM15 menerusi album Aku.Muzik.Kamu.

Namun, kata gadis manis ini, dia tidak pernah ralat dan kecewa dengan situasi itu, sebaliknya tumpang gembira dengan pencapaian teman baiknya yang bernaung di bawah label sama, Monkey Bone.

Jika sebelum ini ramai yang teragak-agak untuk mengiktiraf produk realiti televisyen, kini kemenangan mereka dalam anugerah berprestij AIM15, membuka mata ramai pihak kerana ia dinilai juri profesional.

“Ia anugerah pertama saya dalam industri seni suara tanah air selepas menjuarai OIAM tahun lalu. Kemenangan ini menjadi pendorong untuk saya berkerja lebih keras me nempatkan nama dalam industri.

“Perjuangan saya tidak akan berhenti setakat ini saja, sebaliknya berharap dapat meraih anugerah lain yang lebih berprestij selepas ini. Saya masih baru dan banyak cabaran perlu ditempuhi.

“Pastinya gelaran Artis Harapan memberikan harapan besar dan semangat baru untuk terus mencipta nama dan membuat yang terbaik selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas berlangsungnya AIM15 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Melihat senarai pencalonan kategori Artis Harapan, saingan Suki kali ini bukannya calang-calang orang. Sebaliknya terdiri daripada empat bintang realiti televisyen yang mempunyai kekuatan dan peminat tersendiri iaitu Candy, Mila, Dafi dan Fiq.

Namun mungkin sudah tersurat rezeki Suki yang popular dengan single pertama, Berdiri meraih kategori ini sekali gus menaikkan semula namanya yang agak sepi di persada seni suara ketika ini.

Tambah anak jati Seremban, Negeri Sembilan yang di lahirkan pada 11 Disember 1989 ini lagi, kemenangan ini dianggap permulaan terbaik untuknya kembali mencipta nama dan muncul dengan album baru, bulan depan.

“Album sulung saya ini akan menampilkan tujuh lagu bahasa Melayu dan empat bahasa Inggeris termasuk sebuah lagu dendangan Stefanie Sun, Against The Light yang akan saya nyanyikan semula dalam bahasa Melayu berjudul Ku Teruskan.

“Album berkonsepkan pop rock ini menampilkan ramai komposer ternama yang menyumbangkan lagu mereka, antaranya Audi Mok, KRU dan saya sendiri.

“Ia dalam persiapan terakhir sebelum menjengah pasaran bulan depan dan ada beberapa lagu belum lagi diputuskan judulnya serta masih di peringkat ‘working title’.

“Namun single berbahasa Inggeris berjudul Don’t sudah boleh dilayari di Internet,” kata Suki yang yakin dan menaruh harapan tinggi terhadap album sulungnya.

Powered by Harian Metro

Redup Suram Dan Tawa Ria 2006

31 Dec

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

Tahun 2006 menoktahkan lebarannya hari ini dan esok kita semua akan menyambut tahun baru 2007 dengan keazaman baru. 2006 yang berlalu meninggalkan seribu satu macam kenangan indah, pahit dan manis. Dunia hiburan tentunya tidak pernah sunyi dengan segala macam kisah sensasi yang terjadi.

Tahun ini dunia artis dibuka dan ditutup dengan penuh meriah dan warna-warni. Daripada soal perkahwinan sehinggalah kisah-kisah sedih melibatkan perceraian dan kematian.

Kita imbas kembali peristiwa-peristiwa utama yang menarik sepanjang tahun 2006.

Perkahwinan

* 29 Mac

* Syura

Penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 20, mendirikan rumah tangga dengan sepupunya, Mohd. Fadhly Md. Yassin pada 29 Mac di Johor Bahru, Johor. Syura bagaimanapun mengalami keguguran selepas beberapa bulan perkahwinan itu.

* 28 April

* Siti Nordiana dan Mohd. Faizal Yusop

Penyanyi Siti Nordiana Alias, 22, dan pelakon Mohd. Faizal Yusop, 28, berkahwin pada 28 April di Felda Sendayan, Negeri Sembilan. Mereka kemudian mendirikan persandingan untuk penduduk kampung dan peminat di Dewan Felda Sendayan pada 29 April berkonsepkan persandingan dalam taman.

* 29 April

* Nurfarahin Jamsari

Personaliti TV3 – Nurfarahin Jamsari selamat mendirikan rumah tangga keduanya dengan Noor Eddie Putera Noordin, 36, di Keramat, Kuala Lumpur.

Sebelum itu pada 16 Januari, Nurfarahin berpisah dengan suaminya Sheikh Omar Sheikh Anuar dengan talak satu. Hasil perkahwinan pertamanya, Nurfarahin dikurniakan empat orang anak.

* 26 Mei

* Anne Ngasri

Anak kepada pelakon Ngasri Sain – Anne Ngasri, 22, berkahwin dengan Abdul Wafi Hassan di Taman Permai Batu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

* 24 Jun

* Fendi (X-Factor)

Bekas penyanyi kumpulan X-Factor, Fendi mendirikan rumah tangga dengan Wan Intan Nadia Noraman di Keramat, Kuala Lumpur. Sebelum itu Fendi pernah bertunang dengan seorang peguam tetapi hubungan mereka tidak kekal lama.

* 20 Jun

* Nora Danish

Pelakon siri Puteri, Nora Danish, 24, berkahwin dengan Rizal Ashram iaitu anak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Majlis pernikahan mereka diadakan secara eksklusif.

* 15 Julai

* Aleeza Kasim

Pelakon dan model Aleeza Kassim, 35, mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan terkenal Mohd. Fauzi Che Ros, 42. Pernikahan mereka dilakukan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

* 1 Julai

* Ezany

Mohd. Ezany Nizariff, 33, yang popular menerusi drama bersiri Natasha berkahwin dengan gadis dari tawau Sabah – Lidza Nuryanti Abidin, 23. Majlis persandingan mereka diadakan serba sederhana.

* 21 Ogos

* Siti Nurhaliza

Akhirnya desas-desus perkahwinan Siti Nurhaliza Taruddin, 27, terjawab apabila gadis itu berkahwin dengan Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Perkahwinan itu merupakan satu sejarah di dalam dunia hiburan tanah air kerana ia disiarkan secara langsung oleh TV3.

Wang Hantaran yang diterima Siti ialah RM30,000 dan mas kahwin pula RM22,222.22. Persandingan mereka diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 Ogos dan seminggu selepas itu di Dataran Lipis, Pahang. Pada bulan Oktober lalu Siti dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang membawa gelaran Datuk.

* 8 September

* Fiza

Bekas anggota kumpulan Elite yang juga seorang pelakon – Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza, 25, berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin, 26, di Masjid Al-Syarif, Gombak, Selangor. Mereka berkawan selama lima tahun sebelum memilih untuk menjadi suami isteri.

* 4 November

* Ieda (Moin)

Penyanyi Ieda Moin, atau Siti Haidah Abdul Moin, 27, memilih Pengurus Produksi, Mohd. Naquib Idris, 27, sebagai suaminya. Mereka berkahwin di Masjid Al-Rahimah, Kampung Pandan pada 4 November dengan hantaran RM10,000.

* 12 November

* Noorkhairiah

Pelakon Noorkhairiah Ahmad Shapie, 30, mendirikan mahligai bahagia dengan seorang jurutera Azfaizul Ahtan, 29. Mereka selamat bernikah di taman Muhibah, Raub Pahang. Selepas berumahtangga, Noorkhairiah tetap mahu aktif berlakon.

* 18 November

*Bob Azrai

Pelakon Bob Azrai, 38, bernikah dengan Siti Khalifah Alihan, 18, di Masjid Bukit Indah, Ampang. Perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan kedua Bob selepas keruntuhan rumah tangganya dengan pelakon Aida Aris.

* 2 Disember

* Linda Rafar dan Syed Aiman

Pasangan duda dan janda Linda Rafar, 28, dan Syed Aiman, 31, selamat diijabkabulkan di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. Kedua-dua pelakon itu turut mengadakan majlis resepsi di rumah keluarga Linda di Shah Alam dan di hotel Concorde seminggu kemudian.

* 16 Disember

* Aziz Sattar

Pelakon veteran, Aziz Sattar mendirikan rumah tangga ketika berusia 81 tahun dengan peminatnya, Hashimah Delan, 48. Pernikahan mereka dilakukan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

* 19 Disember

* Erema dan Seri Bayu

Tahun 2006 ditutup dengan perkahwinan penulis lirik Seri Bayu dengan penyanyi Erema Awang Mohdad, 23, di Masjid danau Desa, Taman Desa Kuala Lumpur. Biarpun Seri bayu menghidap penyakit saraf namun Erema sanggup menerimanya sebagai suami.

Pertunangan

* 11 Mac

* Haiza

Penyanyi dangdut – Haiza melangsungkan pertunangan dengan pemain hoki sebuah bank – Hanafi Omar di rumah kakak penyanyi itu di Kuala Lumpur.

Kedua mereka berusia 26 tahun dan masih memikirkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan majlis pernikahan. Mereka cuba menyembunyikan pertunangan itu atas atasan ia tidak perlu diheboh-hebohkan. “Takut apa-apa jadi nanti malu…’’ kata Haiza.

* 4 Jun

* Nasha Aziz

Pelakon popular Nasha Aziz atau Noraishah Abdul Aziz, mengikat tali pertunangan dengan pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof di Keramat, Kuala Lumpur. Nasha juga mahu merahsiakan pertunangannya tetapi dapat dihidu juga oleh wartawan.

Pada majlis itu Nasha menerima sebentuk cincin Chopard yang disarungkan oleh bakal ibu mentuanya, Hasnah Hassan.

* 28 Oktober

* Lisdawati dan Fauzi Nawawi

Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2005, Lisdawati mengikat tali pertunangan dengan pelakon Fauzi Nawawi di rumah keluarga Lisdawati di Kualam Lumpur. Mereka merancang mengadakan majlis perkahwinan pada tahun hadapan. Hantaran perkahwinan ditetapkan sebanyak RM21,111.11 dan mas kahwin RM999. Fauzi merupakan seorang duda

Perpisahan

* 7 April

* Noraniza Idris dan Fareez

Pasangan penyanyi dan pelakon ini berpisah selepas 20 tahun berkahwin. Lafaz cerai dilakukan oleh Fareez atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Tajuddin terhadap Noraniza di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur pada 7 April.

* 26 April

* Erra Fazira dan Yusri

Erra Fazira dan Yusry Abd. Halim yang cuba mengelak memperkatakan mengenai rumah tangga mereka akhirnya mengambil keputusan berpisah selepas tiga tahun berkahwin.

Lafaz cerai dilakukan pada 26 April di kediaman Erra di Damansara dan pengesahan cerai tersebut dilakukan pada 16 Jun di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya, Selangor.

* 5 Mei

* Norman Hakim dan Abby

Sesuatu yang mengejutkan apabila pasangan pelakon Norman hakim, 30, dan Abby Abadi, 28, berpisah. Norman melafazkan cerai terhadap Abby pada 5 Mei dan mereka rujuk semula beberapa hari selepas itu. Penyanyi Farahdiaya dikatakan menjadi punca penceraian itu. Abby dan Norman mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan mereka.

* 16 Oktober

* Awie dan Arni Nazira

Penyanyi kumpulan Wings, Awie atau Ahmad Azhar Othman, 38, melafazkan cerai talak satu terhadap penyanyi Arni Nazira, 28, di Mahkamah Rendah Syariah, Kuantan, Pahang. Penceraian itu dikatakan berpunca daripada penyebaran gambar perkahwinan Awie dengan Rozana Misbun di Internet.

Akibat penceraian itu, Awie mendapat hak penjagaan terhadap dua anaknya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 6, dan Puteri Aleefa Antasha, 4.

* 20 Oktober

* Ajai dan Nurul

Pasangan yang popular dengan lagu Serasi Bersama rupa-rupanya tidak serasi apabila Nurul atau namanya Noorul Huda Abdul Wahab, 29, memfailkan permohonan pengesahan cerai dengan Mohd. Faizal Maas, 31, atau Ajai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor.

Nurul mendakwa Ajai melafazkan cerai terhadapnya sebanyak tiga kali pada 2001 dan dua kali pada 2006.

Kembali ke rahmatullah

* 20 Jan

* Rosiah Chik

Penyanyi veteran, Rosiah Chik meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada usia 74 tahun akibat serangan penyakit jantung.

Allahyarham menjadi penyanyi ketika berusia 16 tahun dan merakamkan lebih 200 buah lagu ketika hayatnya. Hasrat beliau untuk mendengar lagu duetnya iaitu Hantaran Hati bersama Bob (Akademi Fantasia 2) tidak kesampaian.

* 7 Februari

* S. Jibeng

Penyanyi popular tahun 60-an S. Jibeng meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kerana sakit jantung dan kencing manis.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas zuhur di Tanah Perkuburan Islam, Kebun Teh.

* 25 Julai

* Hani Mohsin

Pelakon filem dan drama terkenal Hani Mohsin Hanafi, 41, meninggal dunia akibat serangan jantung. Allahyarham pengsan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, ketika sedang menunggu penerbangan ke Alor Star bersama anaknya Hani Karmila, 9.

Beliau juga adalah bekas suami Datin Seri Tiara Jacquelina. Pelakon itu merancang untuk bercuti ke Langkawi semasa kejadian.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Al-Ridzuan, Hulu Klang selepas solat isya sebelum dikebumikan di sebelah pusara ibunya, Hasni Bakar di Tanah Perkuburan Islam Al-Ridzuan, Hulu Klang.

* 10 Oktober

* Seha

Bekas penyanyi kumpulan Freedom, Norsehah Abu Bakar atau Seha (44 tahun) meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur kerana penyakit barah paru-paru.

Beliau meninggal dunia kira-kria pukul 8 pagi di sisi suaminya Azmi Thambi Chik. Hajatnya untuk menemui anak sulungnya Misha Kyrie Lind, 15, yang tinggal bersama bekas suaminya di London tidak kesampaian. Sebaliknya mereka sempat berhubung menerusi e-mel selepas penderitaan Seha disiarkan di akhbar. Seha juga mempunyai seorang anak perempuan berusia 11 tahun iaitu Karissa Iris Lund.

Kejayaan

* 5 Ogos

* Mohd. Faizal Ramly

Jejaka dari Marang, Terengganu – Mohd. Faizal Ramly, 22, menjadi Juara Akademi Fantasia Keempat (AF4) dan sekali gus membolehkan beliau membawa pulang hadiah bernilai RM370,000 termasuk sebuah kereta Toyota Vios serta wang tunai RM20,000.

* 22 September

* Suki

Low Sook Yee atau lebih dikenali dengan nama Suki menjadi juara pertandingan One In A Million anjuran 8TV dan sekali gus melayakkan gadis berusia 17 tahun itu menerima wang tunai RM1 juta.

* 19 November

* Datuk Ahmad Nawab

Komposer terkenal Datuk Ahmad Nawab menerima Anugerah Seniman Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalulail. Beliau turut mendapat hadiah wang tunai RM60,000.

* 3 Disember

* Fiq

Pertandingan Mentor anjuran TV3 memperlihatkan jejaka dari Sabah, Fiq atau nama sebenarnya Mohd. Firdauz Abdul Halim, 24, menjadi juara pertandingan itu dan menggondol hadiah wang tunai sebanyak RM50,000, tawaran menjadi artis rakaman EMI Music Sdn. Bhd., dan trofi. Fiq juga berjaya mengalahkan Ima dari Indonesia dalam pertandingan Juara Antara Juara pada 24 Disember lalu. Dalam pertandingan itu Fiq berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM18,500.

Sensasi

* 1 Julai

* Mawi

Penyanyi Asmawi Ani atau Mawi memutuskan pertunangannya dengan Nordiana Md. Naim. Mawi mendakwa hubungan itu terputus akibat masalah peribadi yang berlaku. Akibat kejadian itu, Nordiana mengambil kesempatan meluahkan rasa hatinya dengan menghasilkan sebuah buku Catatan Duka Diana Naim yang menceritakan kisahnya bersama Mawi sebelum penyanyi itu menyertai Akademi Fantasia.

Mawi turut mencipta kontroversi apabila membuat kenyataan tidak mahu berpegangan tangan sekiranya ditawarkan berlakon sehingga mencetuskan kemarahan beberapa orang pelakon termasuk Rosyam Nor.

* 13 Ogos

* Sharifah Amani

Pelakon Sharifah Amani yang dinobatkan sebagai

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 (FFM19), mencetus kontroversi apabila berucap di dalam bahasa Inggeris dengan berkata, ‘‘I sound like stupid if I speak in Malay.’’ (Saya rasa seperti orang bodoh kalau saya bercakap dalam bahasa Melayu).

Ucapannya itu menimbulkan rasa tidak senang sebilangan besar penonton termasuk tetamu kehormat majlis itu iaitu Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Pelakon itu bagaimanapun tidak bermaksud untuk menghina bahasa Melayu sebaliknya menganggap ucapannya telah disalah tafsir.

* 15 Ogos

* Rita Rudaini dan Lisdawati

Pelakon Rita Rudaini dan Lisdawati dikatakan bercakaran di dalam sebuah kolam renang ketika penggambaran drama Kau Yang Ku Sayang di Pulau Pinang.

Lisdawati mendakwa Rita cuba mencederakannya di dalam penggambaran itu sehingga memaksa Lisda membuat laporan polis. Bagaimanapun pihak polis telah menutup kes tersebut dan menganggap ia selesai.

Powered by Utusan Malaysia

Suki Satu Dalam Sejuta

24 Sep

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

Kuasa yang diberikan kepada penonton untuk memilih siapakah pemenang yang layak membawa pulang wang tunai RM1 juta terjawab apabila Low Sook Yee atau Suki terpilih sebagai juara pertandingan One In A Million yang disiarkan di 8TV malam Jumaat lalu.

Kejayaan gadis dari seremban itu seterusnya melayakkan dia bergelar jutawan segera selepas penonton memilih untuk ‘menyerahkan’ wang tersebut kepadanya menerusi undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Kemenangannya juga memang dijangka kerana Suki sering mendapat undian SMS tertinggi setiap kali pertandingan itu berlangsung.

Suki yang berusia 17 tahun berjaya menewaskan dua peserta lain dalam satu pertandingan sengit yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mereka terdiri daripada bekas anggota kumpulan nasyid Mirwana, Ahmad Faizal Mohd. Tahir, 28, dan Muhammad Aliff Mohd. Satar, 16. Kedua-duanya berasal dari Selangor.

Dalam pertandingan itu masing-masing mempersembahkan dua buah lagu termasuk sebuah lagu baru ciptaan Audi Mok.

Suki tampil dengan lagu Berdiri dan Everything (M2M), Ahmad Faizal mendendangkan Maha Karya Cinta dan medley – I Don’t Wanna Be (Gavin DeGraw) dan We Will Rock You (Queen).

Sementara pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Hartamas, Muhammad Aliff pula menyampaikan lagu Khayal dan Give Just One Night (Una Noche) dari kumpulan 98 degrees.

Undian SMS pula memperlihatkan Suki memperoleh 39 peratus diikuti dengan Ahmad Faizal (34 peratus) dan Muhammad Aliff (27 peratus).

Jumlah keseluruhan undian SMS yang diperoleh dalam tempoh seminggu sehingga pertandingan akhir itu diadakan ialah 120,000.

Persembahan pada malam itu menunjukkan Ahmad Faizal lebih menyerlah dan ‘hidup’ tetapi undian SMS menyebabkan nasib bagi merebut wang sejumlah itu tidak memihak kepadanya.

Bagaimanapun kemampuan ketiga-tiga peserta itu untuk ‘bertarung’ dalam persembahan berkenaan membuktikan mereka mempunyai nilai komersial di mata peminat kerana kelayakan ke final itu adalah atas kehendak penonton.

Malah ia juga sekali gus memperlihatkan tidak semestinya peserta yang mempunyai pengalaman sebagai penyanyi berkemampuan untuk mendapatkan gelaran ‘suara sejuta’ itu.

Ini terbukti apabila penyanyi Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 25, tersingkir sebelum dapat melangkah ke peringkat final.

Dayang agak kecewa dengan penyingkiran itu memandangkan dia telah membuat persediaan lebih awal kerana menyangka dapat mara ke peringkat akhir.

Bagaimanapun masyarakat harus akur terhadap hakikat sebuah program realiti yang memberi pilihan kepada penonton untuk memilih pemenang berdasarkan populariti bukan kualiti.

One In A Million mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan orang ramai malah golongan artis turut menyertainya seperti Nine (Phyne Ballerz), Farah (Finalis Malaysian Idol 2), Siti Saerah (adik Siti Nurhaliza), Alia (Juara Bintang HMI 2000) dan Anny Johana.

Semuanya kerana program realiti tersebut yang buat pertama kalinya dalam sejarah hiburan negara memperuntukan wang tunai paling banyak sebagai hadiah kepada pemenang.

Biarpun hadiah yang dimenangi tersebut melayakkan pemenangnya bergelar jutawan namun ia tidak bererti penjualan album yang bakal dihasilkan nanti mampu mencapai tahap jualan tertinggi.

Ini kerana kebanjiran album-album luar serta kemunculan terlalu ramai artis yang dicungkil dari program-program hiburan menyebabkan pasaran album berjalan dengan lembap.

Bagaimanapun kemenangan Suki itu membuka lembaran baru terhadapnya sementara wang yang dimenangi itu dapat digunakan bagi menghasilkan sebuah album yang paling baik.

Wang berkenaan akan diuruskan oleh 8TV untuk mengembangkan kerjaya Suki dalam bidang seni.

Program yang dikendalikan oleh pengacara Awal dan Marion itu di siarkan setiap hari Jumaat sejak 21 Julai lalu yang membariskan 12 peserta bagi mencari seorang terbaik. Dua pengkritik tetap program itu ialah Syafinaz dan Paul Moss.

Sementara itu Suki melahirkan rasa gembira memenangi program berkenaan walaupun mengakui persembahan Ahmad Faizal adalah lebih hebat.

Katanya, kemenangan itu adalah sokongan peminat terhadapnya.

“Saya hanya mampu berterima kasih kepada peminat yang memberi peluang kepada saya untuk memenangi pertandingan berkenaan.

“Bagaimanapun saya belum tahu apa yang hendak dilakukan dengan kemenangan itu sebaliknya ingin berbincang dengan keluarga terlebih dahulu,’’ katanya.

Ahmad Faizal pula berkata dia menerima kekalahan itu dengan hati terbuka sebaliknya menolak statusnya sebagai suami orang adalah faktor undinya merosot.

“Peminat sekarang sudah bijak dan mereka tidak memandang soal status. Kalau faktor itu menjadi punca kekalahan saya, sudah tentu dari awal lagi saya sudah tersingkir,’’ jelasnya.

Bagi Muhammad Aliff pula dia sememangnya mengharap untuk meraih kemenangan dalam pertandingan berkenaan tetapi terpaksa menerima hakikat Suki lebih layak untuk menggondol hadiah itu.

Dia juga menolak faktor usianya yang terlalu muda menyebabkannya menerima kekalahan.

“Mungkin sudah tiada rezeki walaupun saya mengharap untuk kemenangan itu. Bagaimanapun saya merasakan keyakinan saya yang agak kurang sepanjang menyertai program tersebut menyebabkan saya kecundang,’’ katanya.

Powered by Utusan Malaysia