Archive | M. Nasir RSS feed for this section

Atrtis Ternama, Indie Satu Hati Luah Simpati

10 Feb

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

MENITIS air mata Hattan tatkala menghayati bait lagu Palestine Jangan Kau Menangis pada Konsert Unplugged Prihatin Palestin di Wisma TV, Angkasapuri, Sabtu lalu. Tersedu sedan Hattan untuk menyambung semula nyanyiannya mengenang tragedi yang menimpa masyarakat Islam negara itu.

Tiada apa yang tinggal lagi di sana melainkan cucuran air mata meratap kematian setiap hari, rumah yang hanya tinggal tapak dan sisa kenangan bersama insan tersayang.

Pelbagai cara simpati ditunjukkan rakyat negara ini terhadap keganasan rejim Zionis terhadap rakyat Palestie di Tebing Gaza, bermula Disember lalu dan tidak berhenti sehingga kini.

Pada setiap kesempatan yang ada, begitu banyak acara diadakan termasuk mengumpul seberapa banyak dana daripada hasil jualan amal dan lelongan. Memang apa yang dilakukan itu tidak sehebat mereka yang mengangkat senjata di medan perang namun usaha dan simpati yang tidak berhenti itu satu daripada cara untuk meringankan beban penderitaan mangsa peperangan itu.

Apa yang penting niat ikhlas kita untuk membantu. Justeru, konsert yang diilhamkan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek itu diharapkan dapat membangkitkan kesedaran masyarakat negara ini betapa dalam kita meniti hidup penuh kebahagiaan bersama keluarga tercinta, rakyat Palestine meratap hiba penuh azab.

Konsert malam itu menggabungkan artis lama dan baru dengan berkongsi satu rasa serta mengharapkan bumi Gaza kembali aman. Masing-masing meluahkan simpati dan juga doa menerusi lagu. Selain Hattan yang menyanyikan dia lagu malam itu, Palestin Jangan Menangis, Suara Biasa, tampil sama menyemarakkan semangat penonton malam itu, M Nasir dengan lagu Masirah dan Di Balik Cermin Mimpi, Kopratasa (Tragedi Di Utara, Mesti Berani), Izzy Mohd (Never Fade Away), Tony Leo Selvaraj (Liberty), Mili’z (It’s In You) dan Azmyl Yunor (Senja).

Mereka yang lain, Rendra Zawawi (No Mask), Pete Teo (Shine), Najwa Mahiaddin (Innocent Soul), The Snow Symphony (Free), Khadijah Ibrahim (Rintihan Dari Palestin), Dr Wan Zawawi (Anak Dunia, Mencari Amerika) dan gabungan artis menyanyikan lagu Knocking On The Heaven’s Door.

Terasa sinis mendengar lirik lagu Mencari Amerika yang antaranya menggambarkan ‘Amerika’ ada di mana saja di dunia ini. Apa yang dimaksudkan adalah produk mereka yang menguasai sebahagian besar pasaran dunia termasuk makanan dan minuman.

Wang daripada hasil eksport itu yang digunakan untuk membiayai rejim Zionis menghancurkan Islam. Oleh itu menjadi tanggungjawab kita jangan terlalu taksub dengan produk dari negara itu.

Dr Wan Zawawi adalah profesor dan antropologis di Fakulti Sastera dan Sains, Universiti Malaya, antara pejuang lagu puisi yang banyak menceritakan perjalanan hidup manusia dan alam.

Kepada peminatnya, kini beliau kembali membuat persembahan sebagai ‘indie’ bersama kumpulan pemuziknya di Groove Junction dan No Black Tie, Kuala Lumpur.

Artis generasi muda juga menyuarakan harapan untuk melihat Gaza aman semula menerusi lagu yang dinyanyikan dengan nada mendayu dan pilu. Apa yang mereka lakukan malam itu semata-mata untuk membela nasib rakyat Palestin. Atas rasa keperimanusiaan, simpati itu datang daripada segenap lapisan masyarakat. Tiada lagi batas agama dan budaya kerana yang paling utama selamatkan mereka yang menjadi mangsa penganiayaan.

Di samping persembahan artis, konsert itu sarat dengan pengisian visual dan klip video yang diselangselikan dengan persembahan artis. Bermula dengan segmen 1 (Peluru Setan Dunia) memaparkan klip video serangan Amerika Syarikat di Iraq, klip serangan Israel di Lebanon dan klip serangan Israel di Palestin. Ia kemudiannya diteruskan dengan segmen 2 (Neraka Ciptaan Zionis) yang mengetengahkan klip mangsa peperangan di Iraq, Lebanon dan Palestin.

Diikuti segmen 3 memaparkan klip video tunjuk perasaan di Eropah, Asia Tengah dan dunia Arab. Seterusnya penonton dapat menyaksikan paparan segmen 4 (Sebuah Renungan Pahit) iaitu klip wajah anak kecil yang luka parah, tiada arah dan cacat anggota sebelum diakhiri dengan segmen 5 (Biarkan Merpati Terbang) yang pastinya dapat memberikan gambaran sebenar kepada penonton mengenai kekejaman rejim Zionis terhadap mereka yang tidak berdosa.

Memetik kata Shabery, dalam siaran akhbar kerana beliau tidak dapat hadir pada malam itu, “konsert itu adalah luahan rasa kasih sayang terhadap kedamaian dunia dan kemanusiaan di mana Radio Televisyen Malaysia (RTM) menggabungkan keprihatinan yang lahir dalam diri setiap anak seni veteran dan anak muda indies pelbagai kaum di negara ini.

“Ada antara artis indies itu tidak pernah dikenali di pentas arus perdana tetapi mereka hadir bersama menjayakan konsert ini demi simpati terhadap sesama manusia. Semoga dengan pembabitan itu artis tanah air tidak hanya dianggap sebagai penghibur semata-mata tetapi juga sentiasa peka dengan isu yang menyentuh nilai kemanusiaan pada zaman global ini. “RTM berharap dengan penerbitan konsert ini, dapat melahirkan keinsafan rakyat negara ini terhadap keganasan yang melanda Palestin menuntut keadilan dan rasa simpati dapat dikongsi menerusi lagu persembahan artis.

“Secara tidak langsung rakyat patut meluahkan syukur betapa bertuahnya hidup berbilang bangsa dan agama di negara ini. Rancangan ini berkonsep hiburan bermaklumat secara santai.

“Kami sengaja memilih konsert pada malam ini dibuat secara unplugged untuk menjadikan iramanya lebih sayu dan ringan dalam penyampaian semua lagu. Bagi menghayati lagi konsert itu, RTM menggunakan kesan lampu yang tidak keterlaluan dan mood lampu bersesuaian mood persembahan lagu,” katanya.

Konsert selama satu setengah jam itu dapat dihayati sepenuhnya tanpa pengacara.

Ketiadaan Shabery pada konsert itu diwakili isterinya, Datin Seri Sharifah Ismail. Sebaik tamat acara, Golden Heritage Sdn Bhd menyerahkan replika cek RM10,000 kepada Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Aboughosh.

Harian Metro

Respirasi Muzik: Dia Dendangkan Lagu Ciptaan Komposer Thailand

10 Feb

Rap
Album: Terbaik Dariku
Artis: Dia Fadila

LAMA menghilang kerana tumpuan pada pelajaran dan tugas baru selaku pensyarah vokal di Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA), penyanyi Dia Fadila kembali dengan album kompilasi Terbaik Dariku.

Penyanyi berasal dari Shah Alam, Selangor ini antara penyanyi muda berbakat besar. Malah kemampuannya terbukti apabila memenangi Anugerah Planet Muzik (2005), kategori Artis Baru Terbaik Wanita dan juara kategori Pop Asian Golden Melodies Festival yang berlangsung di Vietnam tahun lalu.

Bagaimanapun menyentuh mengenai pembabitannya sebagai artis rakaman ternyata tuah tidak pernah berpihak kepadanya.

Menilai pembabitannya dalam industri muzik, Dia Fadila banyak mendendangkan lagu yang baik tetapi belum cukup untuk menyerlahkan vokalnya.

Selaku syarikat rakaman tempat Dia bernaung, Warner Music Malaysia turut mencuba pelbagai jalur lagu dimuatkan dalam dua album dihasilkan sebelum ini bagi mencari kesesuaian.

Bagi meneruskan kelangsungan Dia dalam industri muzik, Warner menghimpunkan beberapa lagu dianggap baik untuk dimuatkan dalam Terbaik Dariku dengan dua lagu baru.

Bagaimanapun menerusi album ini Dia mendendangkan lagu ciptaan komposer luar dari Thailand Chetta Yoroteak, Jat Da Da Da yang melodinya lebih bersahaja dan satu lagu balada, Satu Ruang, yang turut dijadikan runut bunyi untuk filem Selamat Pagi Cinta.

Menilai nyanyiannya dalam dua lagu ini mungkin di situlah kekuatan penyanyi yang bakatnya dicungkil daripada program bakat baru di RTM ini, bahawa Dia tidak perlu terlalu mencuba sebaliknya nyanyian bersahaja lebih memberi kelebihan kepadanya untuk menonjolkan.

Antara lagu lain yang turut dimuatkan di dalam album ini termasuklah single dari album pertamanya yang berjaya memperkenalkan nama Dia dalam persada muzik tempatan, Aku Masih Setia.

Lagu duet bersama penyanyi rock Hattan, Tangisan Marhaenis ciptaan M.Nasir memberikan cita rasa berbeza. Tidak ketinggalan turut ditampilkan lagu duetnya dengan penyanyi utama kumpulan Flop Poppy, Andy iaitu Tentang Cinta Ini.

Harian Metro

Anugerah Himpun 12 Lagu Artis Baru, Lama

9 Feb

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

ARTIS Album Kompilasi Anugerah (dari kiri) rizal, Ayati, Anis Aneesa, Aidil, Kairel, Salwa dan Salima.

Album kompilasi tangani kelesuan industri muzik tanah air

SETIAP manusia sudah tertulis rezeki masing-masing, cepat atau lambat setiap rezeki yang dikurniakan oleh Yang Maha Esa ia masih lagi diagih secara adil kepada semua umatnya.

Apa yang penting adalah usaha yang keras tanpa mengira putus asa, mengingati Maha Pencipta dan bertawakal, nescaya akan dinikmati rezeki itu.

Kegawatan ekonomi dunia bukan saja dirasai ahli perniagaan, tokoh politik, syarikat besar dan seluruh manusia namun golongan yang masih lagi minoriti iaitu anak-anak seni kita turut terpalit dengan keadaan ini.

Apakah yang mampu mereka lakukan bagi mengisi periuk nasi apabila kebanyakan syarikat rakaman terpaksa menamatkan operasi mereka atau bergabung bersama syarikat rakaman yang lain.

Yang menjadi mangsa adalah artis yang masih lagi mahu meneruskan kerjaya mereka sebagai artis rakaman namun tersekat dek masalah yang dihadapi kebanyakan orang.

Selaku pencetus idea, Penerbit Eksekutif album Anugerah, Kairel Khamis yang juga penyanyi yang pernah mengecapi populariti tahun 80-an berkata, dalam kelesuan industri muzik tanah air kini, merakamkan album bagi kebanyakan penyanyi mungkin hanya tinggal impian dan harapan saja.

Menurutnya, kerjaya seni seperti rakaman album harus diteruskan dengan apa cara sekalipun agar tidak terus menyepi tanpa disedari masyarakat.

“Langkah yang terbaik selepas melihat sendiri masalah yang dihadapi semua anak seni ini adalah bergabung dalam menghasilkan suatu album kompilasi berbekalkan modal sendiri.

“Idea ini timbul apabila melihat bukan saja artis baru tetapi artis yang sudah lama dalam industri ini masih tidak tahu ke manakah arah mereka harus berjuang untuk memasarkan sebuah lagu single yang rata-ratanya sudah memeram agak lama.

“Ada juga antara lagu itu sudah dimainkan di radio, tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Setiap lagu baru perlu dipromosi namun tiada pihak yang tampil untuk mempromosikannya apatah lagi jika ia lagu adalah single,” katanya yang hadir di Balai Berita baru-baru ini.

Album terbitan Gemilang Mirza Sdn Bhd (GM) LFI Event & Entertainment itu menampilkan 12 lagu nyanyian artis baru dan lama.

Mereka adalah Salwa Abdul Rahman dengan lagu Kerana Kamu, Ayati Tasrip (Teman), Zainal Cugat (Besame Macho), Syajiry (Sampai Nanti), Ani Mayuni (Mencapai Impian), Anis Aneesa (Abadi Selamanya), Fairuuz FM (Tiada Penghujungnya) dan Kairel sendiri (Cahaya Permata).

Tidak ketinggalan lagu dari bintang Akademi Fantasia seperti Rizal AF5 (Suatu Ketika Dulu), Salima AF4 (Kisah Kasih), Aidil AF3 (Give Me A Chance), Akma AF3 (Tetap Menanti) serta lagu duet Kairel dengan Fairuuz, Anugerah.

Penyanyi era 80-an, Salwa adalah antara artis yang terbabit dalam projek album kompilasi itu bersyukur kerana usaha Kairel, GM dan LFI, mempromosikan lagu barunya mendapat sambutan dari artis lain.

Benarlah katanya, lagu Kerana Kamu yang diselitkan ke dalam album ini sudah lama siap, namun menghadapi masalah untuk pengedarannya.

“Atas tawaran Kairel saya dapat merasai ada harapan kembali berbunga di dalam hati saya. Walaupun ia bukanlah album solo tetapi impian saya untuk muncul dengan album baru tercapai juga.

“Bukan itu saja, saya juga seronok apabila dapat bekerjasama dengan 11 artis lain dalam menghasilkan album kompilasi ini termasuklah Ayati Tasrip dan yang lain-lain.

“Lebih lagi GM dan LFI turut menyediakan pegawai perhubungan awam menyebabkan kerja mempromosikan album ini menjadi lebih mudah,” katanya.

Pelajar yang mengikuti program realiti Akademi Fantasia musim kedua, Aidil menyifatkan ia adalah langkah bernas dan berani menerbitkan album hasil gabungan 12 artis.

“Menerusi album ini, saya mempertaruhkan lagu Inggeris yang mengharapkan tuah kepada lagu itu. Saya sengaja memuatkan lagu Inggeris dalam album ini untuk mencari kelainan dan harap lagu ini akan popular.

“Sebenarnya lagu ini sudah diputarkan di radio sejak tahun lalu, tetapi kerana tiada promosi, peminat muzik tidak begitu menyedari kehadiran lagu itu,” katanya yang kini sedang sibuk menjadi salah seorang komposer baru di syarikat milik M Nasir, Luncai Emas.

Selain Salwa dan Aidil, Rizal turut berkongsi rasa selepas agak lama menyepi dari arena seni dan kini tampil dengan album kompilasi Anugerah.

“Sebaik keluar dari program realiti, saya agak sedih melihat kerjaya seni saya semakin suram jika hendak dibandingkan dengan rakan lain yang sudah berjaya.

“Atas rasa tidak mahu berputus asa saya menceburi dalam bidang lakonan sementara mengumpul duit untuk menerbitkan album sendiri.

“Sepanjang itu beberapa drama saya berlakon antaranya Bulan Bertemu Matahari, selain terbabit dalam program Gempak Desa dan Gempak Selebriti Astro. Daripada hasil itu dapatlah saya menghasilkan lagu single dan memuatkan ke dalam album Anugerah dengan hanya bermodalkan RM5,000,” katanya.

Berita Harian

KUPP Platform Luahan Hati

7 Feb

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
SEKIAN lama diberi jolokan stesen untuk golongan veteran, kini dengan pimpinan Datuk Ahmad Shabery Cheek sebagai Menteri Penerangan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) lebih bersikap terbuka.

Malah sedia mengalami perubahan demi memartabatkan stesen televisyen dan radio yang berpusat di bawah RTM sebagai saluran yang relevan untuk golongan muda. Pelbagai rancangan dikategorikan ‘urban’ diterbitkan dalam usaha meluahkan rasa kasih sayang terhadap kedamaian dunia dan kemanusiaan.

RTM bergabung dengan artis pelbagai kaum di Malaysia terdiri dari artis ternama dan indie untuk menjayakan Konsert Unplugged Prihatin Palestin (KUPP). Antaranya M Nasir, Hattan, Kopratasa, Khatijah Ibrahim serta penyanyi solo indie, Rendra Zawawi, Milli’z, Azmyl Yunor, Najwa Mahiaddin, Tony Leo, Pete Teo dan Izzy Mohamed.

Konsert berdurasi 90 minit ini diadakan di Auditorium Perdana, Wisma Radio, Angkasapuri dan dipancarkan secara langsung menerusi RTM 2, jam 9 malam ini (Sabtu).

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Kamaruddin Siaraf berkata, gabungan artis terkenal dan indie adalah salah satu usaha RTM untuk memberi ruang kepada penggiat seni bebas berkarya sekali gus mengajak generasi muda sama-sama menghayatinya.

“Seperti yang kita tahu, muzik indie sedang mengambil alih persada seni suara dan melihat kehadiran mereka mampu mengajak golongan muda sama-sama menghayati pengisian konsert ini.

“RTM menyediakan ‘platform’ bukan saja untuk mereka membuktikan kemampuan tetapi berkongsi pandangan serta luahan hati terhadap keganasan yang berlaku di Palestin.

“Pada malam itu juga, RTM turut melancarkan dana yang boleh dibuat melalui SMS termasuk tabung yang disediakan. Keseluruhan kutipan akan diserahkan kepada Tabung Kemanusiaan Kementerian Luar.

“Diharapkan, melalui penganjuran konsert ini dapat menimbulkan kesedaran dan keinsafan dikalangan rakyat negara ini. Sekali gus menjadikan kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin sebagai iktibar.

“Warga Malaysia seharusnya bersyukur dan menghargai keamanan yang kecapi serta kemampuan kita hidup bersatupadu dengan penduduk berbilang kaum,” katanya.

Walaupun perancangan projek itu agak terhad kurang dari dua minggu, pihaknya berbangga kerana semua artis terbabit memberikan komitmen tinggi.

“Bahkan kerana jalinan kerjasama yang mantap, program yang sepatutnya dirakamkan ini akhirnya ditukar kepada format siaran langsung. Individu bertanggungjawab mencetuskan idea ini adalah Dr Wan Zawawi sebelum Menteri Penerangan mengambil inisiatif merealisasikannya.

“Dr Wan Zawawi yang dikenali sebagai komposer dan penulis lirik lagu-lagu puisi serta kemanusiaan, turut mengambil bahagian melakukan persembahan dengan menyampaikan dua lagu, Anak Dunia dan Mencari Amerika yang ditulisnya sejak sekian lama,” katanya.

Sementara itu, Penerbit KUPP, Ani Sabrina On berkata, konsert dibawakan secara ekslusif oleh RTM ini berkonsepkan hiburan bermaklumat secara santai.

“Lazimnya konsert keamanan sering dikaitkan dengan persembahan deklamasi puisi dan sajak. Bagaimanapun, konsert yang dibawakan secara ekslusif oleh RTM ini menampilkan persembahan nyanyian secara berterusan kerana kami dapati muzik dan nyanyian lebih mudah menawan hati anak muda.

“Selain persembahan artis, KUPP akan diselang-selikan dengan visual serta klip video kekejaman yang berlaku di Tebing Gaza untuk memberi gambaran sebenar kekejaman Zionis sekali gus membangkitkan kesedaran,” katanya.

Harian Metro

Tekak Mimie Keluar Darah

5 Feb

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
SAINGAN minggu kesepuluh program realiti My Starz LG musim kedua semakin sengit apabila peserta terpaksa berhadapan dengan penyingkiran dilakukan pada setiap minggu.

Jika dua minggu lalu tujuh peserta terdiri daripada Norshamimi Ahmad Haris (Mimie), Cassandra Daniel Manja (Cassie), Wan Nashrinie Zafri (Nashrin), Mohd Hairi Kenneith (Hairi), Mohd Azri Abdullah (Azri), Mohd Farouk Jayfiena Ermand (Feroq) dan Noriezuana Syed Shafudin (Wana) terselamat kerana tiada penyingkiran.

Namun senarionya berbeza pada malam Ahad lalu apabila Mimie diumumkan sebagai peserta yang tersingkir. Persembahannya menerusi lagu Seksis yang pernah dipopularkan Anita Sarawak kurang meyakinkan.

Ternyata Mimie punya alasan kerana masalah kesihatan. Katanya, masalah itu turut mengganggu fokusnya pada persembahan terakhir itu.

“Ketika persembahan, memang kesihatan saya terganggu. Sejak dua minggu saya mengalami sakit tekak hingga keluar darah. Malah, sehari sebelum malam penyingkiran, batuk saya tidak berhenti hingga saya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Doktor menasihatkan saya berehat menyanyi tetapi saya tetap meneruskan cabaran dalam program ini. Bagaimanapun, saya menganggap penyingkiran saya ini tiada rezeki untuk saya melangkah ke peringkat akhir,” katanya.

Mimie akui kecewa kerana gagal beri persembahan terbaik pada minggu itu tetapi katanya, tiada apa yang boleh dilakukannya.

“Pada masa itu, semua juri iaitu Hattan, Liza Hanim dan Hazami sepakat berpendapat persembahan saya kurang bertenaga. Kata Hattan, ada ‘benda’ yang tidak cukup pada diri saya hingga saya kurang menguasai nada rendah dan salah pilih lagu.

“Hazami pula, berkata persembahan saya masih dinamik dan pitching tidak mempunyai masalah kurang bertenaga. Saya sepatutnya menyanyi lagu Memori Tercipta jika saya tidak tersingkir pada malam itu.

“Namun, pada saya, persembahan rakan lain tetap hebat. Masing-masing menunjukkan peningkatan dan persembahan yang dinamik. Sepanjang berada dalam program ini, banyak pengalaman saya timba dan kenangan manis dilalui bersama rakan lain.

“Paling manis apabila saya diberi peluang menggantikan Jaclyn Victor pada latihan untuk Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) yang lalu. Ketika itu, saya berkongsi pentas dengan penyanyi berpengalaman iaitu M Nasir dan Jamal Abdillah. Walaupun ia hanya latihan untuk AJL23 tetapi saya bangga dan berasa bertuah dengan peluang keemasan itu,” katanya.

Kata Mimie, 18, sepanjang sembilan minggu berada dalam program berkenaan, dia juga berpeluang mengikuti kelas vokal dan tarian. Bimbingan daripada tenaga pengajar seperti penyanyi Lah Ahmad sebagai penasihat vokal, koreografer tarian, Raimee Salleh dan Syaiful Baharim bertindak selaku perunding imej, banyak memberi pendedahan baru padanya.

“Mereka banyak beri tunjuk ajar dan sokongan pada saya untuk terus menyanyi dengan lebih baik. Perancangan selepas ini, saya akan sambung belajar mengikuti kursus Diploma Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

“Sepatutnya saya sambung belajar pada bulan Disember lalu tetapi saya tangguh satu semester kerana terbabit dengan program ini. Sejak kecil ketika berusia tujuh tahun saya minat menyanyi dan bercita-cita mahu menjadi pensyarah muzik.

“Saya gembira kerana minat dan cita-cita saya mendapat sokongan keluarga. Dulu, saya kerap membuat persembahan pentas dan mahu mengikuti jejak langkah bapa saya yang juga pernah menyanyi sebelum ini,” katanya.

Pada minggu lalu, persembahan Nashrin paling berjaya memikat hati juri iaitu Liza, Azmeer dan Zainal Abidin. Nashrin yang menyampaikan lagu Firasat nyanyian asal Marcell mendapat pujian tiga juri berkenaan yang dikatakan mempunyai vokalmantap dan penghayatan yang baik. Kejayaan awal itu melayakkan menang hadiah mingguan berupa penghawa dingin LG, Neo Plasma Plus.

Wana pula yang menyampaikan lagu popular Ziana Zain, Madah Berhelah dikritik kerana nyanyiannya mempunyai persamaan seperti penyanyi asal. Kritikan pedas juri juga terkena pada Azri yang membawakan Laguku Untukmu nyanyian asal Hasnol, apabila Zainal mengatakan persembahannya tidak terkawal termasuk penguasaan vokal tidak mencapai tahap diinginkan.

Begitu juga dengan Feroq, walaupun terselamat daripada penyingkiran tetapi dia yang menyanyikan lagu Juwita Citra Terindah dikritik teruk kerana lontaran vokal tidak mempunyai seni dan baju yang digayakan pada malam itu seperti pelayan bar. Hairi pula yang mempersembahkan lagu Search, Mentari Merah Di Ufuk Timur dikatakan hambar hingga nyanyiannya lari dari tempo asal.

Namun, Hairi mampu tersenyum bila menerima komen dia berjaya mengimbangi vokal dengan baik. Kedudukan selesa turut menyebelahi Cassie yang menyanyikan lagu Destinasi Cinta dengan baik. Meskipun mendapat komen positif juri tetapi pergerakannya terbatas kerana pemilihan kasut yang tidak sesuai.

Harian Metro

Ikhwal Cekal Kejar Impian

3 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Iqwal bakal muncul dengan album perdana bulan ini.

Sokongan KPKKW, keluarga hampir melaksanakan cita-cita perluas bakat ke Amerika Syarikat

TIADA kesal meskipun usia remajanya dihabiskan untuk mengejar cita-cita dalam bidang seni. Semuanya dilakukan atas dasar minat dan kerana itu, Ikhwal Hafiz Ismail atau Iqwal tidak merungut dengan segala perancangan yang disusun ibunya, Normin Shah Khairuddin.

Pada usia 16 tahun, Iqwal membanggakan negara apabila merangkul empat pingat emas dan satu perak pada pertandingan World Championship Of Performing Arts (WCOPA) Ke-12 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Ogos tahun lalu.

Kesungguhannya juga melayakkan Iqwal menerima Anugerah Industri pada pertandingan lanjutan di Kodak Theatre, Hollywood sekali gus membuka ruang untuk mengetengahkan bakatnya ke pasaran AS.

Untuk merealisasikan impian itu, Iqwal memerlukan sekitar RM500,000 dan kos itu katanya, hanya diperuntukkan untuk produksi album yang memenuhi standard antarabangsa.

Iqwal juga diminta berada di sana selama empat bulan bagi memenuhi tuntutan promosi, namun segala perbelanjaan adalah atas tanggungan sendiri.

Bagaimanapun, Iqwal berterima kasih kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) yang berusaha untuk merealisasikan impian besarnya itu.

Namun, itu tidak bermakna dia hanya menyerah tanpa melakukan apa-apa. Persediaan katanya, memainkan peranan penting supaya kehadirannya nanti tidak hanya bersandar kepada tuah semata-mata.

Justeru, Iqwal kini mengikuti pelbagai kelas termasuk seni persembahan, piano, gitar klasik selain nyanyian lagu asli untuk memastikan dia benar-benar bersedia melangkah ke persada antarabangsa.

“Saya agak bertuah kerana KPKKW berusaha keras untuk merealisasikan impian itu. Jujurnya saya memang sudah bersedia untuk mencuba di pentas yang mencabar, namun sesekali saya juga tidak terlepas daripada perasaan takut.

“Saya membawa harapan negara dan tanggungjawab itu terlalu besar. Apatah lagi pengalaman saya dalam bidang seni juga belum cukup meluas, membuatkan saya sukar untuk meramalkan apa yang bakal dilalui nanti,” katanya ketika ditemui untuk satu sesi fotografi bersama Hip, baru-baru ini.

Iqwal berkata, selepas meraih Anugerah Industri, pihak berkaitan menawarkan peluang untuk dia membina karier nyanyian di Hollywood.

Bagaimanapun, Iqwal tidak mahu cepat berasa selesa lalu menyerahkan kepada KPKKW untuk menguruskan semua urusan ke sana kerana ia bukan satu perkara kecil.

“Kemenangan itu melayakkan saya untuk diketengahkan di sana tanpa melalui proses yang sulit. Disebabkan itu, saya bersama KPKKW sedang berusaha mendapatkan penajaan supaya impian itu dapat segera direalisasikan. Memang sudah ada yang menunjukkan minat, namun saya lebih senang jika KPKKW yang berunding kerana mereka tahu apa yang terbaik untuk saya nanti,” katanya.

Menyifatkan peluang itu bukan sesuatu yang mudah untuk digapai membuatkan Iqwal enggan mempersiakan tawaran keemasan yang menanti di depan matanya.

Memikirkan jaminan yang diberikan oleh pihak di sana mengenai peluang yang menantinya di AS, Iqwal dan KPKKW enggan membiarkan ia berlalu begitu saja.

“Semuanya sudah tersedia termasuk pasukan produksi yang akan menjalankan pelbagai kerja termasuk pemilihan lagu dan promosi.

“Apa yang perlu disediakan adalah peruntukkan kerana segala proses awal pembikinan album hanya akan mula berjalan sebaik saja jumlah yang diperlukan itu diperoleh.

“Saya difahamkan mereka juga sedang menyusun jadual promosi yang berkesan untuk memastikan pelaburan yang dilakukan itu memberikan pulang berbaloi.

“Disebabkan itu, saya berharap sangat apa yang diimpikan ini menjadi kenyataan. Ini bukan usaha kosong kerana setiap apa yang dilakukan mempunyai sebab,” katanya.

Atas alasan itu juga, Iqwal sendiri sedia turun padang ketika proses perundingan dibuat kerana itu dia serius memastikan segala perancangan berjalan di atas landasan yang betul.

“Keikhlasan itu penting dan kerana itu, saya sedia merentasi pelbagai cabaran serta halangan untuk memastikan usaha kami ini berhasil. Tidak adil jika saya menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mencari penaja kepada KPKKW kerana mereka juga mempunyai banyak komitmen lain.

“Terpulang apa tafsiran umum, namun yang utama saya berhasrat mahu membanggakan nama negara dengan bakat dan kelebihan yang dimiliki,” katanya berharap dapat ke sana Ogos ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Bagaimanapun, Iqwal terlebih dulu akan kembali ke AS sekitar bulan ini untuk menjayakan persembahan di New York selama 10 hari.

Album sulung menyusul

Iqwal kini mengikuti pengajian di The Singing Shop dan School Of Music di Subang untuk memantapkan kemunculannya sebagai penghibur sedang menanti masa untuk melancarkan album perdananya.

Tujuh lagu sudah sedia dirakamkan, tinggal tiga lagi untuk dilangsaikan sebelum ia dilancarkan sekitar Februari ini.

Diterbitkan di bawah Empire All Star Event milik keluarganya, album yang mengetengahkan konsep versatile itu mendapat sentuhan nama terkenal dalam industri hiburan.

Antara mereka yang menyumbang khidmat untuk album itu ialah M Nasir, Pak Ngah, Audi Mok, Nas Affandi dan Jebat dengan tanggungjawab keseluruhan diserahkan kepada Hadi Hassan.

“Konsep yang dipilih memberi refleksi kepada kejayaan yang saya lakar ketika menyertai WCOPA itu. Ia dibuat hasil perbincangan bersama dan alhamdulillah, saya berpuas hati dengan apa yang diberikan.

“Andai ditanya kecenderungan saya lebih selesa membawakan irama rock. Namun sebagai permulaan tiada salahnya saya mencuba pelbagai genre kerana ia secara tidak langsung menyerlahkan kepelbagaian bakat yang ada dalam diri ini,” katanya.

Info

Nama Penuh: Ikhwal Hafiz Ismail

Nama Komersial: Iqwal

Tarikh Lahir: 16 April 1992

Asal: Teluk Intan, Perak

Kebolehan: Menyanyi, berlakon, bermain gitar, dram dan piano

Pencapaian: Empat emas, satu perak di World Championship Of Performing Artis (WCOPA) 12 di Los Angeles

Anugerah Industri Hollywood

Anugerah Bakat Baru Terbaik di Kodak Theatre, Hollywood

Berita Harian

Muzik Kita Perlu Perubahan

3 Feb

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

M NASIR mahu peminat berseronok pada konsertnya yang akan bermula 27 Februari.

Penyanyi dan pemuzik berkumpulan tempatan mesti sentiasa buat lagu baru, segar untuk kekal bersaing

PEMBABITANNYA dalam bidang seni sudah pun berusia 30 tahun. Namun, bagi M Nasir, perjalanan itu tidak akan terhenti hanya selepas tiga dekad. Semangatnya terus membara untuk tampil bersama karya maha indah.

Pembabitan bintang ini dalam seni juga amat pelbagai. Dia bergelar penyanyi, pencipta, penulis lirik, pelakon, pengarah dan pelukis. Jika ada insan seni yang harus dihormati kerana kepelbagaian bakat dimiliki, mungkin inilah orangnya. Maka tidak hairan apabila karyanya sentiasa ditunggu, bahkan golongan penyanyi sendiri sanggup lama menanti demi mendapatkan lagu ciptaan M Nasir.

Begitupun, sifu muzik ini tidak pernah memandang rendah keupayaan artis lain. Acap kali dia memuji keupayaan bakat baru atau kumpulan muzik hari ini yang kian digilai. Pada ketika dia mengalu-alukan kehadiran mereka dalam persada seni, M Nasir tidak lupa menghulurkan sedikit nasihat untuk mereka kekal lebih lama dalam industri penuh glamour ini.

Kata pemilik sebelas album solo itu, kumpulan Meet Uncle Hussain yang baru saja dinobatkan pemenang Juara Lagu menerusi karya mereka, Lagu Untukmu, umpamanya diterima ramai kerana kelainan yang mereka tonjolkan dalam muzik.

“Jelas sekali, muzik sebegitu yang dikehendaki peminat ketika ini. Mereka pula menampilkan muzik yang sedikit berbeza. Saya mengalu-alukan kemenangan mereka pada Anugerah Juara Lagu Ke-23,” kata M Nasir yang bakal muncul bersama sebuah konsert di Istana Budaya, selama tiga malam berturut-turut, bermula 27 Februari ini.

Bintang berusia 52 tahun itu turut menyebut beberapa kumpulan baru lain seperti Bunkface dan Pesawat yang mula mendapat perhatian peminat. Katanya, kumpulan terbabit menunjukkan bakat yang besar untuk terus maju dalam dunia muzik tanah air.

Apatah lagi peluang yang dimiliki oleh artis baru ketika ini cukup besar berbanding pada ketika dia dan rakan seangkatan mula-mula hendak bertapak. Pelbagai program di televisyen, puluhan rangkaian radio, kewujudan begitu banyak media massa serta peluang muncul dalam berbagai-bagai acara memberikan ruang yang baik untuk artis hari ini menonjolkan diri.

“Perbezaannya cuma pada kehendak seseorang penyanyi atau sesebuah kumpulan itu sendiri. Pada waktu dulu, sekurang-kurangnya inilah pandangan saya, kami mahukan perubahan berlaku dalam masyarakat apabila sesebuah karya dihasilkan. Kami mengkritik sesuatu keadaan pada ketika itu. Lagu yang dikeluarkan lebih bersifat topikal atau mempunyai isu yang hendak disampaikan.

“Kini, saya tidak melihat perkara yang sama wujud dalam karya artis baru. Namun, mungkin itulah kemahuan peminat atau penggiat seni hari ini. Tetapi, saya masih cuba mengekalkan elemen topikal itu dalam setiap karya yang saya hasilkan,”ῠkata M Nasir yang turut menerima lirik cinta dalam sesebuah lagu.

Gemar muzik genre Indie

NYATANYA, M Nasir menggemari muzik yang dipelopori kumpulan bebas atau indie ini. Bahkan dia amat berbangga apabila muzik di Malaysia nyata berbeza dengan muzik seberang.

“Cuba kamu lihat, bunyi muzik dan suara penyanyi kita nyata berbeza dengan apa yang datang dari sana. Kita mempunyai bunyi yang berbagai-bagai. Bunyi muzik mereka lebih kurang sama saja, walaupun sedap didengar,” ujar penyanyi ini yang turut melihat Faizal Tahir sebagai artis berbakat besar yang mempunyai masa depan cukup cerah.

Cuma, katanya, sebagai seorang penyanyi, pelbagai pengalaman suka duka perlu ditempuh Faizal dalam memantapkan lagi karier seni.

Kembali bercerita mengenai kumpulan muzik, M Nasir berharap setiap kumpulan baru yang muncul serta mendapat sokongan peminat perlu menampilkan album yang sentiasa mantap bagi mengukuhkan kesinambungan kejayaan dalam karier mereka.

“Saya perhatikan, kumpulan muzik sering berdepan cabaran untuk muncul bersama album yang bagus. Katakan, mereka berjaya tampil dengan album sulung yang baik, tetapi album seterusnya pula kurang memberangsangkan.

“Perkara ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi turut dihadapi kumpulan muzik Indonesia. Sebab itu, kita lihat ada saja kumpulan baru Indonesia yang hadir apabila kumpulan sedia ada gagal memberikan sesuatu yang lebih baik untuk peminat.

“Kumpulan baru pula sentiasa cuba menembusi pasaran dengan menghasilkan muzik yang berbeza. Atas alasan itu Meet Uncle Hussain dan Hujan mampu memikat hati pendengar.

“Tidak lama dulu, Spider sendiri dianggap kumpulan yang cukup berbakat dan selalu muncul dengan lagu yang hebat. Kini, mereka juga perlu mengetengahkan muzik yang baru. Mereka harus mencari formula berbeza untuk menyambung kejayaan yang pernah dicipta,” katanya.

Info M Nasir:

SEJAK tiga minggu lalu, penyanyi ini dan 10 pemuzik serta empat penyanyi latar sibuk mengadakan latihan bagi menjayakan Konsert Alam Muzik M Nasir yang akan berlangsung selama tiga malam di Istana Budaya, mulai 27 Februari.

PENYANYI ini ingin sekali menampilkan sebuah persembahan yang membolehkan peminatnya bergembira bersama kira-kira 30 lagu yang bakal dia nyanyikan. Dia juga akan menyampaikan lagu baru untuk kepuasan peminat yang datang.

M NASIR melihat persembahannya nanti lebih berupa konsert dengan elemen irama sejagat atau world beat. Konsert itu dijangka berlarutan sehingga dua jam lamanya.

MENYENTUH perancangannya pada tahun ini, selain konsert di Istana Budaya, M Nasir berkata dia menjangkakan 2009 muncul tahun yang sibuk bagi dirinya. Bukan saja sibuk memerah minda mencari karya terbaru untuk album seterusnya, dia juga berazam untuk mengadakan konsert dan bakal beraksi dalam filem Magika.

Berita Harian

Dengarnya…: Rakam Suara Album Runut Bunyi Magika

30 Jan


Diana Danielle

SEWAKTU Cik Normah sedang leka menonton wayang dengan suami hujung minggu lalu di Pavilion, Cik Normah menerima SMS memberitahu filem Magika akan menampilkan ramai pelakon hebat seperti Maya Karin, Ziana Zain, Aznil Nawawi, Sharifah Aleya dan Sharifah Amani.

Cik Normah dapat tahu Amani dan Aleya akan berlakon sebagai cameo memegang watak Bawang Putih dan Bawang Merah.

Filem yang bakal memulakan penggambaran 8 Februari ini akan menggandingkan Mawi dan Diana Danielle sebagai hero dan heroin. Filem ini bercorakkan dunia fantasi dan muzikal.

Sebut mengenai Diana, selain berlakon, dia turut menyanyikan lagu runut bunyi untuk filem ini. Ada lagu duet dan penampilan istimewa membabitkan M Nasir, Fauziah Ahmad Daud, Mawi dan ramai lagi. Album ini, Cik Normah difahamkan sudah dirakamkan sejak Disember tahun lalu. Nampaknya ini permulaan awal bagi Diana untuk bergelar penyanyi.

Dalam masa terdekat juga, Cik Normah dapat tahu Diana akan merakamkan lagu di Malaysia untuk album sulungnya. Makin murah rezeki Diana dan Cik Normah harap dia akan terus fokus. Ambillah peluang sewaktu menyertai Program Latihan Khidmat Negara ini untuk merehatkan diri serta bermuhasabah. Dalam pada itu, bolehlah Diana melupakan seketika dunia seni dan memberi tumpuan menjadi remaja biasa.

Oh ya, esok jangan lupa untuk mengunjungi acara jualan dan lelongan amal ABPBH 2008 Untuk Gaza di Amcorp Mall, Petaling Jaya. Insya-Allah, Cik Normah akan datang juga memberi sokongan kepada karnival amal ini. Haa… kalau jumpa Cik Normah, jangan lupa tegur. Cik Normah tak ‘kekwat’ dan pasti melayan anda semua okey. Kalau nak ambil gambar dengan Cik Normah pun boleh. Ingat, esok kita bukan sekadar berhibur, sebaliknya melakukan perkara paling murni bagi mengurangkan beban penderitaan rakyat Palestin. Cik Normah tahu rakyat Malaysia memang prihatin bab ini.

Berita Harian

Epilog: Filem Pahlawan Mat Kilau Wajar Cetus Kejutan

29 Jan

Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

PADA pertengahan bulan depan, projek filem epik sejarah patriotik berjudul Pahlawan Mat Kilau dijadualkan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Hebahan awal mengenai perancangan filem ini tidak dibuat lagi kerana produsernya masih bersikap ‘merendah diri’ kerana sibuk menjalankan proses praproduksi.

Seperti dimaklumkan kepada akhbar ini, syarikat Lagenda Studios Sdn Bhd menerusi Pengurus Perhubungan Awamnya, Julia Mohamad,

pihaknya masih dalam peringkat awal praproduksi dan berasakan mungkin terlalu awal bagi mereka untuk menggembar-gemburkan rancangan itu, tambahan pula, pengarah dan penerbit masih sibuk membuat tinjauan lokasi di luar negara.

Dalam kenyataannya, dimaklumkan juga selain filem itu bakal ditangani pengarah Rodzee A Razak, filem berkenaan dijangka membabitkan kos sebanyak RM10 Juta.

“Tujuan Lagenda Studios mahu menghasilkan penerbitan filem itu adalah sebagai menyahut seruan kerajaan supaya menjadikan medium filem sebagai satu alat untuk meniupkan semangat patriotisme di kalangan rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara. Ia juga boleh dijadikan teladan kepada generasi masa kini, bagaimana gigihnya perjuangan nenek moyang kita menentang penjajahan.

“Untuk pengetahuan, Lagenda Studios akan mengadakan acara pelancaran dan sidang media mengenainya pada pertengahan Februari sebelum memulakan penggambaran filem pada penghujung Mac 2009,” kata Julia dalam satu kenyataan sambil memohon maaf kerana lambat menghebahkan projek Pahlawan Mat Kilau kepada media massa.

Projek filem ini menjadi sesuatu yang menarik kerana banyak sebab. Pertamanya tentulah kerana berkaitan dengan seorang tokoh perwira Melayu yang berasal dari Mukim Pulau Tawar, Pahang bangkit untuk menentang penjajahan British pada era penghujung abad ke-19 hingga dia menjadi buruan dan menghilangkan diri hinggalah akhirnya muncul semula memperkenalkan dirinya pada awal 1970-an ketika berusia 123 tahun. Keberaniannya dulu yang turut mengkritik golongan bangsawan kerana berbaik dengan penjajah menyebabkan Mat Kilau menjadi sasaran untuk ditangkap dan dihukum tetapi berjaya melarikan diri.

Keberanian Mat Kilau menjadi sebutan ramai dari dulu dan terus dikenang hingga kini. Keberaniannya itu terserlah dengan pelbagai peristiwa termasuklah ketika pada 14 Jun – Pada 1894, tokoh itu bersama pahlawan Melayu Pahang yang lain termasuk Tok Gajah, Bahaman, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi dan Mat Lela berjaya menawan kubu Inggeris di Jeram Ampai.

Lebih menarik bagi Mat Kilau ialah sepanjang kehilangannya selepas menjadi buruan, apa yang dilakukannya. Ini menarik untuk dibongkar dan diceritakan menerusi filem berkenaan. Penyelidikan terhadap susur galur perjuangan, pengembaraan dan persembunyian Mat Kilau harus dipaparkan supaya masyarakat akan lebih jelas untuk mengenai aspirasi dan patriotisme Mat Kilau sebenarnya selain sudah tentu sebagai sebuah filem cereka patriotik, akan ada elemen tokoh tambah yang disesuaikan mengikut mood sebuah filem epik.

Kita berharap menerusi filem Pahlawan Mat Kilau, akan dipaparkan juga bagaimana strategi perang dan ciri keberanian yang menjelma dalam diri tokoh itu. Sudah tentu pihak produksi dari Lagenda Studios sudah membuat kajian terperinci mengenai peribadi dan fizikal Mat Kilau, selain melihat bagaimana gayanya bercakap, cara berjalan, aksinya berpencak silat dan beberapa ciri kehebatannya yang luar biasa. Kajian juga tentunya sudah dibuat untuk melihat bagaimana bentuk khazanah Mat Kilau yang lain seperti pedang, keris, pakaian, kitab, barang persilatan, rumah dan sebagainya yang relevan dengan diri Mat Kilau. Ini semua harus diambil kira dalam menghasilkan epik Pahlawan Mat Kilau.

Sebab kedua yang mengejutkan industri ialah kerana projek filem ini bakal membabitkan bajet RM10 juta, iaitu filem cereka tempatan kedua termahal setakat ini selepas filem cereka Puteri Gunung Ledang terbitan Enfiniti Productions yang membabitkan kos produksi lebih RM16 juta.

Kita berharap Lagenda Studios juga teliti dalam casting atau pemilihan pelakon untuk filem itu kerana kesilapan casting selalunya akan menyebabkan persembahan filem menjadi hambar kerana lakonan tidak meyakinkan serta tidak disertai mutu persembahan yang boleh menggerakkan naratif serta feel filem itu sebagai sebuah cereka yang bermain dengan manusia zaman silam.

Kita berharap pelakon yang membawa watak Kilau akan benar-benar dapat membawa watak tokoh perwira itu dengan berkesan, sesuai dengan lagak fizikal, cara bermain air muka dan mampu menjelmakan ketokohan. Kita bimbang jika tersilap pilih pelakon, ia akan memberi kesan seperti berlaku dalam beberapa filem sejarah seperti Puteri Gunung Ledang apabila M Nasir tidak menyerlah membawa imej hebat Hang Tuah, begitu juga filem Leftenan Adnan yang memperlihatkan Hairie Othman tidak menyerlah sebagai perajurit hebat itu.

Dalam filem Raja Melewar dulu, watak Raja Melewar yang dilakonkan Eizlan Yusof juga tidak memenuhi ciri berkesan dan boleh dianggap sebagai casting yang gagal. Ini menyebabkan ketokohan perwira kita dulu tidak menyerlah dalam filem dan lebih menyedihkan apabila cerita dalam filem itu sendiri tidak begitu berkesan, gagal memberi feel dan semangat kepada penonton dan tidak menggambarkan dengan berkesan milieu zaman yang dibawa dalam skrin.

Filem Pahlawan Mat Kilau wajar mencetuskan kejutan yang bukan saja membanggakan industri filem dan menarik perhatian ramai untuk menonton cereka ini, sebaliknya harus boleh memberi kebanggaan kepada anak Pahang sendiri khususnya serta bangsa kita umumnya. Filem ini kelak harus bertanggungjawab untuk mengangkat imej sebenar Mat Kilau sebagai sebuah naskhah yang bukan sekadar ‘janji ada’ tetapi harus memenuhi agenda sebuah filem cereka patriotik seperti kata pihak produksi Lagenda Studios – ‘menjadikan medium filem sebagai satu alat untuk meniupkan semangat patriotisme di kalangan rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara’. Jika benar ia untuk meniupkan rasa patriotisme, wajarlah ia ditangani dengan baik supaya ia mampu memberi kekaguman dan kebanggaan apabila ia ditayangkan kelak. Pahlawan Mat Kilau akan menjadi perhatian untuk warga filem dan pengkritik yang kini sedang menanti dengan suspen untuk menilai sejauh mana hasil kerja Rodzee. Kita tunggu dan lihat saja nanti.

Kata orang, mati ikan kerana umpan, mati manusia kerana budi…

Berita Harian

Semangat Buat Palestin

26 Jan

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my


PERSEMBAHAN pantomin Bingkas Kebayan penuh emosi sebagai gambaran kekejaman Zionis.

TATKALA klip video pembunuhan rakyat Palestin ditayangkan dan mendengar pula bait-bait puisi yang dideklamasikan oleh Pengarang Hiburan Kosmo!, Tengku Khalidah Tengku Bidin, banyak orang yang terasa sayu di hati seolah-olah dapat merasakan betapa sengsaranya mereka yang sedang bertarung nyawa dengan rejim Zionis.

Terus tergambar kanak-kanak yang wajah mereka sudah pun hancur akibat dibom, menjadi mangsa kekejaman tentera Israel yang tidak berhati perut.

Melihat kepada angka kematian rakyat Palastin yang sudah pun mencecah lebih 1,300 orang, ramai yang memberontak mahu membalas dendam atas kekejaman Zionis yang laknat itu.

Perasaan itu dikongsi bersama semua tetamu yang hadir pada Malam Puisi Utusan Demimu Palestin yang diadakan di Laman Santai, Istana Budaya, Kuala Lumpur Jumaat lalu.


FOUZIAH memercikkan aura anti Zionis.

Dengan kerjasama Kementerian Luar dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Kekkwa), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Istana Budaya, Kumpulan Utusan menganjurkan program itu dengan matlamat mencetuskan semangat dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membela nasib rakyat Palestin serta memulihkan semula semangat mangsa perang untuk terus berjuang dalam hidup.

Hadir memberikan sokongan ialah Menteri Kekkwa, Datuk Seri Shafie Apdal dan Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Abu Ghoush serta isteri. Anak Abdelaziz turut mendeklamasikan puisi khas buat rakyat Palestin yang tertindas.


LEFTENAN KOLONEL RADZI ABDUL HAMID tampil dengan gaya tersendiri.

Pada malam itu, ramai tokoh negara, sasterawan dan selebriti terkenal mengambil bahagian menyokong usaha kemanusiaan itu. Antara yang mendeklamasikan puisi termasuklah Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, penerbit filem Datuk Yusof Haslam, pengarah filem, David Teo, Presiden Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez serta tokoh sasterawan, Lim Swee Tin, Zaen Kasturi dan Shukri Abdullah.


FREDDIE membacakan puisi yang sarat dengan mesej kemanusiaan.

Tidak ketinggalan karyawan seni yang disegani, Tan Sri Jins Shamsuddin, Ketua Pegawai Operasi Suria FM Engku Emran Engku Zainal dan pelakon jelita, Fouziah Ghous.

Freddie yang juga seorang aktivis industri hiburan berkata, dengan mengadakan majlis tersebut, ia dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai untuk peka dengan masalah yang dihadapi oleh mangsa-mangsa perang di Palestin.

“Saya rasa ini adalah cara terbaik untuk kita berkongsi penderitaan yang sedang dialami oleh rakyat Palestin.

“Bukan itu saja, ia sekali gus dapat mengumpul dana daripada orang ramai untuk disumbangkan kepada negara itu.


MENYENTUH jiwa. Kopratasa membawa penonton menghayati perjuangan menentang Israel yang laknat melalui lagu puisi dendangan mereka.

“Apa yang saya lihat dalam majlis ini, sambutannya sangat menggalakkan,” kata Freddie yang turut mendeklamasikan sebuah puisi berjudul Nada dan Irama Palestin.

Tambahnya, beliau dan komuniti artis begitu komited jika dapat terlibat dalam acara kemanusiaan yang mungkin dapat mengurangkan sedikit penderitaan masyarakat yang sedang krisis di negaranya sendiri terutama Palestin.

“Saya tahu, mungkin saya tidak mampu untuk ke Palestin menyumbangkan tenaga membantu mereka yang tidak bernasib baik. Jadi, bila Kumpulan Utusan mengundang saya untuk mendeklamasikan sajak, saya tidak teragak-agak untuk menerimanya. Ia sebagai tanda sokongan saya kepada usaha murni yang dibuat,” ujarnya.

Freddie bekerjasama dengan rakannya yang merupakan penulis terkenal, Raihan Palestin untuk menghasilkan puisi yang sarat dengan mesej kemanusiaan.


BERJUANG menentang kezaliman. Yusuf dan anaknya, Syamsul bergabung tenaga meluahkan kemarahan mereka terhadap Israel menerusi bacaan puisi mereka.

Acara Malam Puisi Demimu Palestin menampilkan Aznil Nawawi sebagai pengacara jemputan. Pengacara popular tersebut, bagaimanapun, tampil sedikit berbeza berbanding dirinya sebelum ini.

Tiada suara gelak tawa atau lawak yang sering dilakukan dalam kebanyakan acara, pengacara nombor satu negara itu serius membawa penonton menjiwai kesengsaraan yang dialami rakyat Palestin.

Selain itu, turut mendeklamasikan puisi ialah Rahimidin Zahari, Datuk Ruhanie Ahmad, ASP Rosebaini Kassim dan Sohaimi Meor Hassan.

Semangat mereka dalam mendeklamasikan puisi memberikan penuh keinsafan kepada orang ramai yang menanamkan rasa syukur betapa bertuahnya negara kita yang masih lagi tidak diganggu oleh mana-mana pihak.

Sehinggakan ada segelintir penonton mengalirkan air mata tatkala menghayati puisi mereka.


SAMBUTAN hebat. Sokongan daripada banyak pihak berjaya menjadikan Malam Puisi Demimu Palestin anjuran Kumpulan Utusan satu acara yang amat berjaya.

Dalam pada itu, menurut David Teo pula, program atas dasar kemanusiaan itu membuktikan semua agama dan bangsa di seluruh dunia mampu bersatu bagi membantah kekejaman Israel di Palestin.

“Cara ini sahaja yang mampu negara- negara lain lakukan, termasuklah negara kita, dalam mengecam tindakan jahat Israel selain daripada menyumbangkan wang.

“Saya harap mangsa-mangsa perang di Palestin cekal dengan apa yang berlaku,” ujarnya.


KESILAPAN teknikal gagal menghalang M. Nasir daripada misinya melaungkan semangat yang meluap-luap mengutuk kekejaman Israel di bumi Palestin.

Pada Malam Puisi Demimu Palestin, penonton kemudian diberi penghayatan yang lebih menyayat apabila kumpulan Harmoni, Kopratasa, M. Nasir dan Meet Uncle Hussain (MUH) menyanyikan lagu-lagu puisi mereka.

Mengalunkan Lagu Untukmu yang bemenjulang MUH sebagai juara keseluruhan Anugerah Juara Lagu baru-baru ini, kumpulan itu menampilkannya dengan cara yang sedikit berbeza. Muziknya lebih perlahan dan penghayatannya mampu dirasai penonton.

Namun, ketika M Nasir mula membawakan lagu Masirah dan Saudagar Mimpi, sedikit gangguan teknikal berlaku apabila muziknya tersangkut. Ia membuatkan M. Nasir terpaksa menyanyikan semula lagu tersebut.

Bagaimanapun, gangguan itu sekali lagi berlaku dan pada masa yang sama M. Nasir pula terlupa liriknya. Apa pun, penyanyi berpengalaman itu tetap profesional membawakan lagunya dengan penuh penghayatan.

Sementara itu, satu berita baik diumumkan pada malam itu iaitu Tabung Dana Kemanusiaan Palestin (DAKAP) anjuran Kumpulan Utusan dan Islamic Relief Malaysia (IRM) telah berjaya mengumpul RM600,000.

Kosmo