Archive | Man Kidal RSS feed for this section

Konsert Tanpa Nash

24 Apr

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

MUNGKIN ia secara kebetulan atau dianggap sebagai ‘musim’ apabila kebanyakan kumpulan rock popular 70-an dan 80-an, dilamar penganjur untuk mengadakan konsert penyatuan semula sepanjang Mei ini.

Ia bermula dengan Search yang dijadual mengadakan konsert jelajah negara pada 2 Mei dengan lokasi pertama di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Kemudian kumpulan Black Dog Bone akan menggegarkan Istana Budaya bermula 8 hingga 10 Mei ini.

Terbaru, kumpulan yang cukup popular dengan lagu Tiada Lagi Kidungmu dan Ku Di Halaman Rindu, Lefthanded akan mengadakan konsert mega pada 30 Mei ini di Stadium Negara.

Kumpulan yang dahulunya dianggotai Amran Marsiman, 45, (Yan-base), Abdul Rahman Othman, 47, (Man Dayak-dram); Rahman Mahmood, 45, (Man Kidal-gitar) dan Allahyarham Abdul Samad Mian (Samad) akan tampil tanpa penyanyi asalnya, Jamaludin Elias, 49, (Nash-vokal).

Bagi menggantikan tempat penyanyi yang kini bergerak solo, kumpulan Lefthanded bakal bergabung tenaga dengan beberapa penyanyi dan anggota kumpulan rock lain.

Memastikan ia tidak tersasar daripada tema, konsert itu turut ditukar judulnya daripada Lefthanded Reunion kepada Lefthanded and Friends.

Pastinya, perkembangan itu sedikit mengecewakan peminat setia kumpulan itu apabila persembahan penyatuan semula Lefthanded tidak lengkap dengan anggota asal.

Menjelaskan mengenai perkara ini pada majlis sidang akhbar pengumuman konsert itu, baru-baru ini, Man Kidal mengakui berasa terkilan apabila Nash tidak dapat bersama mereka pada hari persembahan.

“Konsert ini sudah dirancang pada November lalu dan tarikhnya sudah ditetapkan waktu itu. Bagaimanapun, apabila ditanya kepada Nash, dia menjelaskan sudah mempunyai komitmen lain dan dia sudah memberikan persetujuan awal.

“Bagi menggantikan tempat Nash, kami cuba menghubungi beberapa penyanyi yang pernah menjayakan projek khas bersama Lefthanded sebelum ini seperti Ramli Sarip dan Arab yang tampil bersama kami dalam Nafas dan Fanatisme.

 

 

“Sudah tertulis bukan rezeki kami untuk bersama kembali apabila mereka turut menjelaskan mempunyai komitmen lain.

“Memikirkan alternatif lain, akhirnya saya bersama penganjur konsert, Win Archer (M) Sdn Bhd bercadang menjemput beberapa penyanyi yang pernah bekerjasama dengan kami sepanjang 25 tahun Lefthanded ditubuhkan,” katanya.

Selain itu, jelas Man Kidal, konsert yang diadakan ini sebenarnya sudah dirancang lebih lima tahun lalu dan waktu itu, arwah Samad masih ada bersama mereka. Bagaimanapun, kerana masalah untuk mendapatkan penajaan dan penaung menyebabkan perancangan itu tertangguh sehinggalah sekarang.

“Sayangnya, apabila konsert ini mahu diadakan, arwah sudah tiada lagi untuk bersama-sama Lefthanded dan sudah pasti apabila konsert ini dilakukan nanti, kami semua akan terasa kehilangannya. Konsert yang kami adakan ini turut kami abadikan untuk arwah Samad,” katanya.

Antara penyanyi bakal tampil menjayakan konsert dirancang ini termasuk penyanyi utama kumpulan Search, Amy; penyanyi utama kumpulan Wings, Awie; bekas penyanyi utama kumpulan May, Mus, Hattan dan Shima.

Pemain gitar utama kumpulan Wings iaitu Joe juga akan muncul selaku penampilan khas bagi menggantikan tempat arwah Samad.

Bagi penyanyi yang akan bersama-sama menjayakan konsert ini akan menghiburkan peminat Lefthanded dengan lagu popular mereka daripada album Keadilan (1986) sehinggalah album Reunion 1- Koleksi Unggul (2003).

Penyertaan Amy dalam konsert Lefthanded ini bagaimanapun dikhuatiri akan menimbulkan konflik kepada peminat, memandangkan waktu sama, Search masih dalam rangka persembahan jelajah seluruh negara.

“Saya akui mengenai perkara ini tetapi kemunculan Amy agak istimewa kerana pada malam konsert itu nanti, dia akan mendendangkan lagu popular Lefthanded.

“Pastinya peminat setia mahu mendengar bagaimana agaknya gaya Amy apabila mendendangkan lagu popular Lefthanded. Seperkara lagi, Amy sudi menjayakan konsert ini atas dasar bagi membantu mengumpul dana untuk Mercy Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Hattan yang turut hadir pada sidang akhbar berkata, dia tidak menghadapi masalah untuk menjayakan konsert itu kerana sejak dulu sudah biasa menggantikan tempat Nash apabila dia muncul dengan album solo.

“Biasanya saya menyertai mereka untuk persembahan biasa. Ingin saya jelaskan di sini, pembabitan saya dalam konsert dilakukan Lefthanded bukan kerana duit, sebaliknya ia lebih kepada tanda sokongan,” katanya.

Mus pula berkata, dia sudah menganggap anggota kumpulan Lefthanded sebagai abangnya dan apabila dipelawa untuk menjayakan konsert itu, dia amat berbesar hati.

“Sebelum ini, saya pernah menjayakan persembahan bersama Lefthanded di Planet Hollywood mahupun di RTM bersama Hattan. Ini kali pertama saya akan menyertai mereka bagi menjayakan konsert besar. Pastinya saya berasa teruja dan tidak sabar hendak menggegarkan pentas konsert di Stadium Negara pada 30 Mei nanti,” katanya.

Menarik apabila Joe yang turut bermain gitar menggunakan tangan kiri dikatakan mampu mengimbau nostalgia peminat terhadap arwah Samad yang turut bersama-sama Man Kidal bermain gitar menggunakan tangan kiri.

Kata Joe, dia terpanggil untuk bersama-sama menjayakan konsert ini kerana berasakan ia akan memberikan impak luar biasa kepada peminat kerana menampilkan penggiat muzik rock yang dianggap ‘otai’.

Selain Lefthanded, konsert yang akan dimulakan seawal jam 3 petang ini turut menampilkan kumpulan ‘indie’ seperti Jump-D, The Pilgrims, Couple, The Times, Roots & Boots, Pop Shuvit dan Bunk. Kumpulan terbabit akan memanaskan pentas terlebih dulu sebelum Lefthanded muncul pada sebelah malamnya.

Selain mengutip derma untuk mengisi tabung Mercy Malaysia, konsert Lefthanded and Friends ini turut dirakamkan. Mereka yang berminat boleh mendapatkan tiket dengan harga RM68 dan RM88.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;

Harian Metro

Konsert Tanpa Vokalis

21 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

BAKAL beraksi tanpa kemunculan keenam-enam bekas vokalisnya, langkah dan tari kumpulan rock berpengaruh tanah air, Lefthanded pasti kelihatan sumbang.

Itu hakikat yang harus diterima oleh ahli kumpulan tersebut yang bakal mengadakan Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan.

Menjadikan Stadium Negara, Kuala Lumpur sebagai saksi keunggulan kumpulan mereka, Lefthanded bagaimanapun nekad untuk meneruskan persembahan yang berlangsung pada 30 Mei depan.

Man Kidal, yang merupakan gitaris Lefthanded melahirkan perasaan terkilan apabila keenam-enam vokalis yang pernah berkhidmat untuk kumpulannya itu yang termasuklah Nash, Arab, Ramli Sarip dan Rahim Maarof dan Roy (Rauzan Alwi) tidak dapat melibatkan diri dalam konsert itu.

Man Kidal menegaskan, Nash dan Ramli Sarip sejak awal-awal lagi sudah menyatakan alasan tersendiri, tidak dapat terbabit dalam konsert yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy).

“Mereka mengatakan ada komitmen lain yang tidak dapat dielakkan. Nash sudah menerima undangan nyanyian lain, manakala Ramli pula membuat persembahan di Singapura.

“Pada awalnya, sudah pasti saya bersedih kerana mereka tidak dapat membuat kemunculan untuk persembahan Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan.


HATTAN (dua dari kiri) dan Joe Wings (dua dari kanan) tampil memberikan sokongan moral buat Lefthanded.

“Rasa ralat pula persembahan di pentas, tetapi tidak disertai oleh vokalis-vokalis ini yang banyak berjasa kepada kumpulan kami.

“Memanglah saya mahu semua berkumpul apatah lagi konsert ini diumpamakan memberi penghargaan kepada Lefthanded. Nampaknya angan-angan untuk kami bersatu belum lagi terlaksana.

“Dengan salah seorang anggota kami, Samad meninggal dunia pada Oktober tahun lalu, ia membuatkan saya terkilan,” luahnya sugul ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Borneo Baruk Club di ibu negara Rabu lalu.

Turut hadir ialah anggota kumpulan Lefthanded lain iaitu Yan, 45, atau nama sebenarnya Amran Marsiman dan Man Dayak, 47, (Abdul Rahman Othman).

Andai sebelum ini dia tidak perlu berbicara untuk meluahkan ekspresi kerana cukuplah hanya gitar yang bersuara mewakili isi hatinya, namun kali ini Man Kidal melontarkan kesedihannya dengan kata-kata.

Kecewa, itu yang dirasai kutai rock yang cukup dikenali dengan gaya rambut panjangnya.

Sambung Man Kidal, peluang untuk melakukan konsert secara besar-besaran itu tidak hanya datang sekali, lantaran itu dia teringin untuk melihat semua vokalis Lefthanded berkumpul.


KONSERT Rock Lefthanded & Kawan-Kawan bakal mengembalikan nostalgia era kegemilangan Lefthanded.

“Peluang mengadakan konsert dilihat ada signifikan tersendiri dalam menunjukkan perjalanan seni kami selama tiga dekad bergelumang dalam dunia seni,” jawabnya yang mengalu-alukan kemunculan Nash jika dia mengubah fikiran di saat-saat akhir dan ingin terlibat sama dalam konsert itu.

Kekecewaan Man Kidal dan ahli kumpulan Lefthanded bagaimanapun terubat apabila konsert itu turut diserikan dengan kemunculan rakan lain seperti Amy (Search), Awie dan Joe (Wings), Mus (May), Hattan, Shima dan Aisunam.

“Lihat sahajalah senarai nama-nama yang terlibat. Masing-masing mempunyai kredibiliti dan reputasi yang hebat dalam bidang nyanyian.

“Mereka yang terbabit akan mendendangkan lagu-lagu popular Lefthanded. Saya percaya, konsert ini juga akan menjadi menarik dengan kehadiran mereka.

“Walaupun tanpa kemunculan vokalis-vokalis Lefthanded, namun saya yakin ia tidak sesekali menjejaskan kehadiran peminat kelak,” jelasnya yang menerima ‘lamaran’ untuk mengadakan konsert itu pada November 2008.

Kali terakhir Lefthanded membuat konsert berskala besar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada September 2007 bersama Rusty Blade.

Tema Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan diketengahkan bersesuaian dengan konsep kumpulan itu yang tidak mempunyai penyanyi tetap sejak dari awal penglibatan dalam dunia seni hingga sekarang.


TETAP beraksi biarpun tanpa kemunculan vokalis, tiga anggota Lefthanded, (dari kiri), Yan, Man Kidal dan Man Dayak.

Nadi Lefthanded bagaimanapun tetap terserlah menerusi kekuatan lagu, muzik dan liriknya hingga ia mampu bertahan untuk jangka masa yang panjang.

Penghargaan kepada Samad

Bercerita lebih lanjut tentang konsert itu, Man Kidal atau nama sebenarnya Rahman Mahmood, 45, memberitahu, konsert diadakan dalam dua sesi bermula petang hingga larut malam.

“Kumpulan indie seperti Bunkface, Pop Shuvit, Kid & Xera, The Times, The Pilgrims, Couple dan banyak lagi akan mengadakan persembahan pada waktu petang untuk menarik golongan remaja.

“Manakala pada waktu malam pula, barulah Lefthanded dan kawan-kawan akan mengambil alih pentas dan membuat persembahan untuk menghiburkan peminat.

“Walaupun konsert yang berlangsung selama dua jam itu nanti bukanlah acara pertama kumpulan kami, namun saya lihat konsert ini bakal melakar sejarahnya sendiri.

“Konsert yang berlangsung atas dasar kebajikan dan bertujuan memperlihatkan apresiasi kepada Samad amat besar ertinya kepada Lefthanded.

“Walaupun Samad sudah meninggal dunia, namun semangat muzik Samad terus hidup bersama-sama Lefthanded.

“Selain itu, konsert ini juga menjadi saluran terbaik untuk kami menyumbang ke arah kebaikan melalui anugerah dalam bermuzik yang dikurniakan Tuhan,” ujarnya yang berjanji.

Penonton pada malam itu bakal dihiburkan dengan alunan lagu-lagu Lefthanded antaranya adalah Seruan, keadilan, Alam Dan Pencipta, Qabul dan Hidup Adalah Perjuangan.

Bagai abang dan adik

Dalam pada itu, Hattan tidak mampu menyembunyikan perasaan keterujaan apabila ditawarkan peluang mengadakan konsert untuk meluahkan apresiasi kepada Lefthanded.

“Tarikan utama untuk saya sertai Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan kerana hendak memeriahkan pentas pada malam itu.

“Lagipun saya dan Lefthanded adalah kawan rapat terutama dengan Man Kidal dan Yan.

“Ini bukan pengalaman pertama saya beraksi bersama-sama mereka, sebaliknya sudah banyak kali.

“Kalau sebelum ini Nash tidak dapat memberi komitmen dengan Lefthanded, saya yang akan menggantikan sementara tempatnya sebagai vokalis.

“Saya tidak pernah memikirkan soal duit apabila melibatkan diri dalam konsert ini, sebaliknya saya anggap ia tidak ubah seperti penyatuan semula dengan rakan-rakan lama.

“Saya tidak sabar untuk menjayakan konsert ini. Ia pasti akan menjadi hebat dan meriah,” ucapnya yang akan menyanyikan sebanyak empat buah lagu.

Bagi Joe pula, Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan bakal menjadi sebuah konsert yang tidak dapat dilupakan dalam ingatan peminat.

“Saya tidak akan buat persembahan dengan Awie, sebaliknya kami akan muncul secara individual.

“Soal untuk mencipta keserasian bukan perkara yang sukar kerana Lefthanded dan kami sudah macam adik dan abang.

“Hubungan kami cukup akrab sejak berbelas tahun lalu. Peluang ini memang cukup saya nantikan. Harap-harap ia sukses,” akhirinya sambil tersenyum.

Sesiapa yang berminat boleh membeli tiket Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan yang berharga RM48, RM68 dan RM88 secara online di http://www.axcess.com atau hubungi 03-77115000.

Kosmo

Search Tebus Kecewa

24 Mar

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
KONSERT sempena ulang tahun Search ke-25 yang sepatutnya berlangsung dua tahun lalu sememangnya sesuatu yang cukup bermakna buat setiap anggota Search.

Namun, mereka terpaksa menarik diri demi mempertahankan harga diri serta menjaga hak peminat mereka.

Kini S2 Celebration Concert Search 25th Anniversary yang diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 5 Januari 2007 tanpa kehadiran Search, bukan lagi satu peristiwa yang mahu dikenang.

Tentunya bagi sebuah kumpulan bertaraf legenda, Search menginginkan sebuah konsert ulang tahun yang hebat. Namun, gara-gara kegagalan penganjur memenuhi beberapa spesifikasi yang diinginkan, Search lebih rela berputih mata.

Namun, untuk mengaku tewas pada keadaan bukan prinsip Search kerana impian untuk menghimpunkan peminat dalam sebuah konsert sentiasa mekar dan tidak pernah bernoktah.

Dua tahun beredar dengan pantas, akhirnya perjuangan dan suara hati Search itu didengari apabila syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia menyatakan kesudian mereka menaja konsert Search secara besar-besaran.

Difahamkan, konsert bakal dilancarkan April ini membabitkan 10 lokasi serata Malaysia antaranya Pahang, Pulau Pinang, Teluk Intan, Perak; Terengganu, Kelantan, Selangor, Sabah dan Sarawak sebelum pengembaraan berakhir di Kuala Lumpur.

Konsert seumpama ini pernah Search jayakan pada 1989 menerusi Konsert Isabella, Search & M Nasir dan Konsert Karisma (1991).

Suhaimi A Rahman atau Amy, 51, selaku vokalis Search berkata, konsert berkenaan adalah sesuatu yang mereka impikan sekian lama.

“Hasil perbincangan penganjuran konsert ini nampaknya hampir mencapai matlamat cuma saya tidak mahu pukul canang selagi tiada sebarang kenyataan rasmi daripada syarikat telekomunikasi yang bertindak sebagai penaja konsert kami.

 

 

“Apa yang boleh saya katakan, jika ia menjadi kenyataan, Search menjanjikan sebuah konsert yang akan diingati. Ia adalah konsert impian kami selepas sekian lama menunggu peluang ini,” katanya.

Amy turut menyatakan rasa terharunya kerana akhirnya syarikat telekomunikasi di Malaysia yang sebelum ini terarah menganjurkan konsert artis Barat dan Indonesia, sudi menganjurkan konsert mereka.

“Sebelum ini mungkin mereka terikat dengan pelbagai perancangan membabitkan konsert artis antarabangsa yang sudah pun dipersetujui lebih awal.

“Apapun, saya mahupun Search tidak mahu campur tangan dengan urusan perniagaan mereka. Apa yang penting syarikat telekomunikasi yang lain harus mencontohi syarikat ini kerana usaha mereka ini bukan saja dapat mengembalikan kegemilangan industri seni suara, tetapi juga memartabatkan nilai artis tempatan itu sendiri,” katanya.

Enggan mendedahkan perancangan konsert secara terperinci, namun daripada sumber yang boleh dipercayai konsert yang bakal dinamakan Farewell Tour Search ini akan menampilkan barisan pemuzik sekarang iaitu Amy, Hillary, Din, Nasir dan Yazid.

Selain itu, Search bakal mengundang Man Kidal, Yan dan Kid yang pernah bersama Search untuk membuat penampilan khas.

Persoalannya, apakah Search akan dibubarkan dan semua anggota akan membawa haluan masing-masing selepas konsert ini?

Ini memandangkan judul yang diberikan untuk konsert berkenaan bagai memberi gambaran bahawa ia akan menjadi konsert terakhir kumpulan yang ditubuhkan pada 1982 itu.

Selain konsert, mereka khabarnya juga akan mengeluarkan dua single terbaru sebagai penghormatan terakhir kepada peminat.

“Saya tidak akan menjawab soalan itu, kita tunggu dan lihat. Ia mungkin benar, mungkin juga tidak. Apa yang kami harapkan Search akan terus bertahan sampai bila-bila.

“Berhubung konsert ini, kami sudah sedia beraksi dan kalau ikutkan persediaan mental dan fizikal sudah kami perlengkapkan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154″;
innity_width = “250″;
innity_height = “220″;

Harian Metro

RTM Aktifkan Muzik Tempatan

18 Mar

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

PROGRAM berkonsep muzikal sering kali menarik perhatian ramai sama ada ia siaran di televisyen mahupun radio.

Kini, program muzikal tidak hanya terhad pada persembahan artis menerusi konsert semata-mata, sebaliknya tertumpu pada klip video dan persembahan acara khusus di studio.

Dalam usaha memberi hiburan terbaik kepada penonton, stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil inisiatif memperkenalkan saluran baru yang memberi alternatif pada punca hiburan sedia ada.

Saluran baru yang dikenali Muzik Aktif dilancarkan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Membawa tagline Segalanya Muzik, saluran ini memberi tarikan berbeza menerusi pengisian kandungan apabila hanya memaparkan persembahan artis tempatan seratus peratus menerusi klip video atau konsert.

Menariknya, penonton berpeluang menyaksikan saluran ini selama 24 jam tanpa henti dan ia hanya disiarkan menerusi rangkaian baru di Astro – saluran 180.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Penyiaran, Abu Bakar Ab Rahim berkata, RTM berkeyakinan melancarkan saluran berkenaan selepas ia mendapat respons positif daripada penonton ketika ia mula menjalani proses percubaan untuk projek Pendigitalan Penyiaran RTM pada 1 September 2006.

Ketika itu, percubaan dilakukan selama lima jam sehari untuk tempoh enam bulan membabitkan 1,000 responden menerusi dekoder digital baru RTM.

Katanya, saluran Muzik Aktif antara agenda baru RTM yang mendapat sambutan baik daripada penonton yang mahu ia diteruskan.

Justeru, sejak Mac 2007 hingga kini saluran berkenaan masih menjalani proses eksperimen iaitu ujian dalaman untuk aspek pembangunan aplikasi interaktif.

 

 

“Saluran ini suatu berbeza yang pernah ditonton di RTM apabila ia mengetengahkan konsep muzik Malaysia. Maksudnya, saluran ini hanya menyiarkan persembahan muzikal daripada karya tempatan.

“Walaupun ada lagu yang dinyanyikan penyanyi luar negara, tetapi jika ciptaannya adalah komposer tempatan, ia masih layak untuk disiarkan menerusi saluran baru ini.

“RTM berharap Muzik Aktif ini dapat dijadikan platform terbaik untuk komposer mahupun penyanyi mempromosikan lagu mereka. Saluran ini juga sebenarnya adalah satu daripada tujuh saluran digital baru selain saluran Kanak-Kanak & Remaja, Wilayah, Sukan, Berita, Drama dan Filem.

“RTM turut merancang untuk memasukkan program lain seperti Fenomena Seni dan Santai@1 ke dalam saluran Muzik Aktif pada masa akan datang.

“Usaha memperkenalkan saluran dan program baru ini dianggap penting sebagai langkah untuk penonton mendapatkan siaran digital RTM sepenuhnya pada 2012 nanti,” katanya.

Untuk saluran Muzik Aktif, sebanyak 10 program disediakan iaitu Aktif@Pagi bermula jam 7 pagi hingga 9 pagi diikuti Hits Aktif (9 pagi hingga 12 tengah hari), Muzikal Aktif (12 tengah hari hingga 3 petang), Ritma (3 petang hingga 7 malam), Gema Nurani (7 malam hingga 8 malam), Prima Aktif (8 malam hingga 11 malam), Ritma (11 malam hingga 2 pagi), Irama Santai (2 pagi hingga 5 pagi) dan Gema Mentari (5 pagi hingga 7 pagi) manakala Hidayah pula disiarkan selama sejam pada setiap Jumaat, jam 1 tengah hari.

Pada majlis pelancaran saluran itu yang diadakan baru-baru ini, ia turut dimeriahkan dengan acara permaidani merah dan persembahan ramai artis popular seperti Datuk Dr Ahmad Nawab, Datuk DJ Dave, Datuk David Arumugam, Jeffrydin, Man Kidal, Ning Baizura, Mas Idayu, Waheeda, Akhil Hayy, Bienda, Ali Mpire, Azharina Azhar, Dia Fadila, Aizat dan kumpulan Meet Uncle Hussain.

Persembahan lebih dua jam berkenaan dihoskan penyanyi Izwan Pilus bersama Sazzy Falak.

Harian Metro

Kelincahan Jemari Steve Thornton

12 Mar

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

Artis-artis tersohor negara seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Kumpulan Nasyid Raihan antara yang pernah mendapatkan khidmat anak kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) itu.

APABILA menyebut tentang perkusi, nama Steve Thornton pasti akan disebut sebagai salah seorang pemain terhebat bertaraf antarabangsa.

Kelincahan beliau memainkan pelbagai jenis alat muzik membuatkan setiap penonton yang menyaksikan persembahannya terpegun dengan irama yang terhasil daripada sentuhan jejari lelaki berbakat itu.

Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Kumpulan Nasyid Raihan merupakan antara nama-nama besar yang pernah mendapatkan khidmat dan sentuhan daripada anak kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) itu.

Itu di Malaysia. Untuk peringkat antarabangsa, Steve juga pernah dijemput mengiringi siri persembahan atau jelajah artis terkemuka seperti Kris Dayanti, Harry Belafonte, Jackie Cheung, Mongo Santamaria, Sadao Watanabe dan ramai lagi.

Apa yang pasti, kebolehan Steve bermain apa sahaja alat perkusi menjadikan dirinya dikenali dan mempunyai ‘jenama’ tersendiri.

Ibarat irama dan lagu tidak boleh dipisahkan. Begitu jugalah Steve atau nama sebenarnya Hanson Lee Steve Thornton dengan alat perkusi. Pantang memegang atau menyentuh sebarang alat, tangannya pasti ligat memainkan aneka bunyi-bunyian yang menceriakan suasana.

Alat muzik perkusi bermaksud sesuatu alat yang boleh menghasilkan bunyi atau suara apabila dipukul, ditepuk, ditabuh, digoyang, digosok atau apa saja tindakan lain yang boleh membuatkan objek bergetar.

Ia boleh dilakukan sama ada dengan suatu alat, tongkat mahupun sekadar tangan kosong.

Perkusi berasal daripada istilah Latin iaitu percussio yang bermaksud memukul dan percussus (pukulan). Antara alat muzik yang termasuk dalam kategori perkusi ialah gamelan, drum marimba, tamborin dan lain-lain.

“Saya memang begini. Pantang memegang sebarang peralatan tanpa memainkannya. Ia seolah-olah sudah sebati dengan jiwa saya,” kata Steve kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


KELUARGA bahagia yang menjadikan muzik untuk menyatukan mereka.

Steve atau nama Islamnya, Hassan Ali menceritakan bahawa dia mula meminati alatan dram ketika berusia tujuh tahun. Waktu itu, dia amat teruja mendengar paluan kongga Mongo Santamaria menerusi lagu Watermelon Man nyanyian Herbie Hancock yang sering dipasang abangnya.

Pada tahun 1968, Steve menubuhkan grup pertamanya, The Young Explosives, sebuah kumpulan berkonsepkan Latin-Jazz yang terdiri daripada empat orang. Mereka mengadakan persembahan di stesen televisyen tempatan di Channel 5 Inside Bedford-Stuvyesant dan di Apollo Theatre.

Setahun kemudian, Steve bertemu Mongo Santamaria di Kelab Beacon, 111 Street dan Lennox Avenue. Apabila dia memberitahu Mongo betapa dirinya begitu meminati pemuzik tersebut, Mongo kemudian meminta Steve bermain kongga bersama kumpulannya.

“Mendengarkan paluan tiga kongga yang saya mainkan, Mongo amat seronok lantas duduk bermain di sebelah saya. Kami bermain untuk beberapa ketika sebelum akhirnya Mongo memuji kehebatan saya bermain.

“Itulah pengalaman paling manis yang saya lalui sepanjang hidup ini. Ia boleh diibaratkan seperti mimpi yang menjadi kenyataan,” kata Steve yang kemudian sering mengadakan persembahan bersama kumpulannya dan merakamkan irama salsa dengan kumpulan tempatan lain.

Ketika bermain di kelab, Steve akan memanggil gurunya datang menonton persembahannya.

“Tujuannya supaya mereka tahu saya ponteng kelas kerana bermain muzik. Namun, apa yang menggembirakan saya ialah guru-guru banyak memberi dorongan agar saya meneruskan minat dalam bidang ini,” jelas Steve yang menjadikan Mongo Santamaria sebagai idolanya meskipun pemuzik unggul itu sudah meninggal dunia pada tahun 2003.


AKSI Steve bersama Datuk Ahmad Nawab (kanan) dan Man Kidal.

Steve, anak ke-13 daripada 14 beradik itu kemudiannya mula bermain secara profesional pada tahun 1972 sewaktu mengiringi persembahan Jon Lucien dalam jelajah di negaranya, AS.

Sejak itu dia sering diundang mengiringi penyanyi-penyanyi terkemuka termasuk Harry Belafonte. Malah Steve juga menjadi pemuzik undangan untuk album rakaman Dizzy Gillespie, Grover Washington Jr., Herbie Hancock dan Sadao Watanabe.

Pada tahun 1989, buat kali pertamanya Steve berkunjung ke Malaysia kerana mengiringi persembahan Sadao Watanabe, pemuzik Jazz terkemuka dari Jepun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Di situlah, dia mula mengenali Faridah Sanusi yang kemudian disunting menjadi suri hatinya. Hasil perkongsian hidup mereka, pasangan suami isteri itu dikurniakan empat orang cahaya mata, tiga perempuan seorang lelaki.

Anak-anak mereka iaitu Suraya; 15, Hakeem; 13, Sabrina; 9 dan Sadia; 7 masing-masing mewarisi bakat yang dimiliki Steve dalam bermain alat muzik.


ANTARA koleksi hadiah yang diberi oleh anak-anak Steve.

Menurut Faridah, kesemua anaknya menunjukkan minat dalam bidang muzik. Malah, mereka juga pandai bermain beberapa jenis alat muzik seperti piano, gitar selain puluhan alat perkusi milik bapanya.

“Sebagai ibu bapa, kami tidak pernah menghalang mereka menceburi bidang yang digemari sebaliknya terus memberi sokongan kepada mereka. Tetapi, kami juga tidak pernah memaksa mereka mengikut jejak langkah ayahnya. Itu semua datang daripada minat mereka sendiri.

“Sabrina contohnya, mempunyai suara yang sedap dan boleh menyanyi dengan baik. Malah, dia bercita-cita untuk menjadi seorang superstar satu hari nanti,” ujar Faridah sambil mengakui dirinya meminati muzik tetapi tidak pandai bermain peralatan perkusi.

Bagi Suraya, dia bangga dilahirkan sebagai anak kepada Steve Thornton. Pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah antarabangsa itu mengagumi bakat ayahnya.

“Ayah seorang pemuzik yang hebat. Sukar untuk dinafikan kehebatannya bermain alat perkusi. Dia juga banyak mendorong kami adik-beradik untuk sentiasa yakin dalam setiap bidang yang mahu diceburi.

“Kalau boleh, saya juga mahu menjadi seorang yang hebat seperti ayah tetapi mungkin sukar. Namun, saya tidak akan berputus asa. Jika ada kemahuan, pasti ada jalan untuk kita memperoleh impian yang telah dibina,” ungkap Suraya.


SABRINA (kanan) dan Sadia juga pandai bermain piano.

Steve peluk Islam kerana azan

PADA tahun 1992, Steve Thornton sering berulang-alik dari AS ke Malaysia sebagai pemuzik undangan untuk persembahan artis-artis tempatan.

Satu hari, sewaktu menjalani rakaman sebuah klip video, laungan azan pada waktu tersebut turut terakam.

Apabila mendengar semula rakaman tersebut, hatinya menjadi sayu kerana pada pendengarannya azan tersebut begitu merdu.

“Pada saya laungan azan adalah satu irama yang merdu berbanding irama lain. Sewaktu sering berulang alik ke Malaysia, saya selalu menyewa bilik di Hotel Micasa, Jalan Ampang.

“Setiap pagi apabila bangun tidur, saya buka tingkap. Saya dapat dengar empat laungan azan yang berbeza dari masjid berhampiran. Laungan itulah yang telah membuka hati saya untuk memeluk Islam,” katanya yang memilih nama Hassan Ali kerana ia seolah-olah hampir dengan nama asalnya Hanson Lee.


STEVE sentiasa memberi kebebasan pada anak-anaknya dalam bidang yang diminati.

Sementara itu, Steve memberitahu, sepanjang lebih empat dekad terlibat dalam bidang ini, dia telah memainkan ratusan atau mungkin ribuan peralatan perkusi.

Ini kerana, menurut Steve peralatan perkusi tidak terhad pada sesuatu barang sahaja. Sebaliknya, apa sahaja benda yang boleh mendatangkan bunyi adalah alat perkusi.

Antara peralatan perkusi yang ada dalam simpanannya ialah bonggo, kongga, cowbell, rattler, pandero, wood blocks, guiro, tamborine, shaker dan banyak lagi.

Kosmo

Respirasi Muzik: Kemampuan Yasin Terserlah

20 Jan

Bersama Rudi Imran Shamsudin

Rap
LEBIH segar dan berbeza dengan apa yang pernah dihasilkan sebelum ini.
Begitulah gambaran Arus Qudus, album terbaru dihasilkan komposer dan penyanyi, Yasin Sulaiman.

Album: Arus Qudus
Artis: Yasin

LEBIH segar dan berbeza dengan apa yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Begitulah gambaran Arus Qudus, album terbaru dihasilkan komposer dan penyanyi, Yasin Sulaiman.

Hampir enam tahun menyepi, Arus Qudus diyakini mampu mengembalikan nama Yasin dalam industri kerana apa yang ditampilkan dalam album terbaru ini sangat berbeza.

Siapa sangka pencipta lagu Mimpi Laila yang sinonim dengan irama padang pasir dan nasyid boleh menghasilkan lagu berentak disko pop dan rock.

Mendengar lagu Arus Qudus sudah cukup mengujakan apabila petikan gitar Man Kidal dalam lagu ini berjaya menambahkan elemen rock yang buat kali pertama ditampilkan Yasin.

Percubaan berani daripada bapa dua anak ini terserlah apabila turut bereksperimen dengan syntesizer untuk mendapatkan bunyi berbeza dan bekerjasama dengan komposer luar, Sal untuk menghasilkan Kuala Lumpur, Mimpi Kedamaian dan Salam.

Mahu meneruskan kegemilangan lagu hip hop, Alhamdulilah yang pernah didendangkan bersama kumpulan Thoo Phat, Yasin cuba menggunakan ‘resipi’ sama untuk menghasilkan Salam menampilkan Joe Flizzow.

Lagu menjadi santapan minda dan hati itu yang dipegang Yasin.

Walau apapun perubahan cuba ditampilkan, tetapi lirik didendangkan harus mampu mendidik jiwa. Kerana itu kebanyakannya lagu terdapat dalam Arus Qudus ini banyak menyentuh mengenai cinta pada yang satu keamanan sejagat.

Harian Metro

Yasin Bebas Krisis Identiti

12 Jan

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

TIDAK siapa pun tahu, penyanyi dan komposer terkenal Yasin Sulaiman pernah bergelut dengan krisis identiti selama lima tahun, satu ketika dulu. Kata Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yassin Sulaiman, 33, otaknya bukan saja berkecamuk dulu, malah dia bagaikan hilang arah dalam hidupnya.

“Ia berlaku ketika saya baru keluar dari kumpulan nasyid Brothers sebelum menyertai aliran muzik arus perdana sejak 2001 hingga 2005 iaitu sejak album Mimpi Laila lagi.

“Dalam istilah perubatan, penyakit yang saya alami itu dikenali sebagai ‘early adopthood’ apabila 80 peratus penduduk dunia mengalaminya. Ramai juga artis tempatan yang mengalami krisis ini tapi mereka malu mengakuinya.

“Selain krisis identiti dan keliru, saya juga mengalami serangan panik, resah dan kemurungan. Sebenarnya, penyakit ini wujud sejak zaman Nabi Adam lagi cuma masyarakat kita baru sedar kewujudannya,” katanya.

Yasin berkata, peritnya ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu.

“Saya berusaha menyembunyikan penderitaan saya itu daripada pengetahuan orang lain.

“Saya berusaha mendekatkan diri dengan Tuhan. Malah, saya juga meraung di hadapan Kaabah untuk meminta pertolongan daripada-Nya ketika menunaikan fardu haji di Tanah Suci Makkah pada 2005,” katanya.

Yasin berkata, dia berusaha mengatasi ‘penyakit’ itu dengan meningkatkan ilmu pengetahuan.

“Saya cuma memahami apakah sebenarnya ‘penyakit’ yang dialami itu kerana jika kita memendamnya ia boleh makan diri.

“Saya juga berjumpa pakar psikologi untuk membantu saya berhadapan dengan semua ini. Saya juga berkongsi cerita ini kerana ingin orang melihat penyakit itu normal dan ramai orang mengalaminya.

“Saya juga mendapat banyak inspirasi selepas membaca buku yang dicadangkan Oprah Winfrey, The Power Of Now. Kita perlu disiplinkan otak untuk mengelakkannya dari pada merapu kerana otak adalah instrumen yang sangat berkuasa,” katanya.

Sepanjang berhadapan saat getir itu, Yasin berkata, isteri tercinta, Sharifah Eena Houzyama Syed Mokhsain (Eena) dan anak mereka,Sameer, 5, dan Malaika, 6 bulan, banyak memberi kekuatan kepadanya.

“Saya juga tetap mencipta lagu seperti biasa kerana saya cari makan dalam bidang muzik. Apatah lagi, mencipta lagu adalah saat paling tenang buat saya.

“Selain itu, mempunyai anak boleh mengelakkan fokus kepada diri sendiri dan bersama keluarga adalah terapi terbaik.

Kini, saya sudah tiga tahun pulih daripada ‘penyakit’ itu. Saya juga sentiasa mengingatkan diri supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang dianugerahkan Tuhan kepada kita. Berbanding dulu, kami kini mempunyai studio rakaman sendiri dan hidup juga semakin selesa.

Pada masa sama, kami mempunyai simpanan yang cukup menampung kehidupan untuk tempoh tiga tahun lagi,” katanya.

Dalam pertemuan Rap dengan Yasin ketika menjayakan sesi fotografi di Balai Berita, baru-baru ini, komposer yang sinonim dengan irama world music ini ditemani isteri dan anak keduanya, Malaika. Dia juga hadir bersama bingkisan album barunya berjudul Arus Qudus yang menjengah pasaran penghujung Disember lalu.

Lebih bermakna, album yang bermaksud meniti jalan Tuhan itu menceritakan detik bagaimana Yasin bangkit daripada krisis itu dan apa yang berlaku di sekelilingnya. Proses pembikinan album ini membabitkan tempoh setahun dan dimulakan sejak 1 Januari 2007.

“Saya buat album ini ikhlas dan ia adalah Yasin yang mengalami evolusi dalam hidup ini.

“Saya juga mengambil masa enam tahun untuk buat album baru kerana keadaan saya ketika itu yang tidak mengizinkan. Saya bukan saja tiada perasaan malah tiada idea dan tiada semangat untuk buat album baru ketika itu,” katanya. Yasin berkata, penerbitan album itu amat memuaskan kerana kebanyakan lagu terkandung di dalamnya adalah hasil ilhamnya sendiri mengikut cita rasa dan inspirasi peribadinya.

“Arus Qudus adalah untuk kepuasan dan santapan jiwa. Saya tampil dengan album seperti ini yang pada pandangan saya artis memainkan peranan yang lebih besar iaitu dari segi perjuangan budaya.

“Saya juga akan buat satu lagi album penuh untuk pasaran komersial nanti.

“Peminat boleh mendengar lagu daripada album Arus Qudus dengan melayari laman web http://www.imeem.com/yasinsulaiman.

Mereka boleh melayari laman ini untuk mendengar dan menyaksikan klip video serta cara membeli album ini.

Saya harap orang akan dengar lagu ini untuk makanan dan inspirasi jiwa serta menemui makna yang tersirat,” katanya.

Yasin berkata, Arus Qudus adalah album solo ke tiganya dan tampil dengan konsep world global music yang meliputi beberapa genre muzik lain seperti rock, balada, urban dan etnik.

“Tema utama yang diserap melalui lagu baru ini adalah berunsur inspirasi melalui lirik yang kebanyakannya nukilan sendiri

Single Arus Qudus dan Bismillah mengetengahkan gitaris Man Kidal yang dibawa dalam genre rock.

“Single Kuala Lumpur pula membawa genre muzik urban yang diterbitkan bersama produser dari Dubai. Lagu ini diselitkan hawa Nusantara dengan tiupan seruling Mohar (Mohram).

“Saya juga mengetengahkan lagu balada seperti Kau Yang Mengetahui (penampilan Man Kidal), Hampir Padamu (penampilan Arnieza Amir) dan Hidup Memang Payah. Penampilan penyanyi Arnieza dalam album ini kerana menggantikan Awie yang menghidap sakik tekak selama setahun,” katanya.

Lagu lain dalam album ini adalah Nari Narien (penampilan Arnieza), Kuala Lumpur (penampilan Mohram dan Sal), Mimpi Kedamaian (Yasin bergabung dengan Sal) dan Salam (penampilan Joe Flizzow dan Sal).

Album ini menampilkan pemuzik ternama tanah air seperti Zahid Ahmad (dram), Ramli Rebana (perkusi), Nan (gitar), Kelly (bass), Rudi (keyboards) Rosdi (perkusi), Charmaine (violin), Salleh (Brothers), Arnieza, Aliah (Phlowtron), Sham (penyanyi dari Dubai), Akbar dan Joe Flizzow.

>Profil

NAMA PENUH : Muhammad Yasin Sulaiman

ASAL: Kajang, Selangor

TARIKH LAHIR: 30 Oktober 1975

KERJAYA: Penyanyi, pelakon dan komposer

STATUS: Berkahwin

ISTERI: Sharifah Eena Houzyama Syed Mokhsain

ANAK: Sameer, 5, dan Malaika, 6 bulan

ALBUM: Teman Sejati, Satu Perjuangan (Brothers), Mimpi Laila, Salsabila dan Arus Qudus.

FILEM: Syukur 21, No Problem, Mendam Berahi

Harian Metro

Saya Bukan Gengster

13 Dec

KUALA LUMPUR: Di sebalik gemerlapan dunia hiburan, penyanyi dan pelakon, Awie, yang kini berpangkat Ayahanda dalam Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), terpalit dengan kontroversi apabila dicop kepala samseng ala kongsi gelap yang dinamakan Kumpulan Naga.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 40, dikatakan menuntut layanan istimewa ala kepala gengster, selain mengutip wang keahlian RM3,600 bagi setiap ahli baru.

Penyanyi rock yang mencapai kegemilangan bersama kumpulan Wings pada lewat 1980-an itu dikaitkan dengan kegiatan samseng, memakai baju lambang naga bersama ahli kumpulannya serta berlagak seperti ketua kongsi gelap apabila duduk di kerusi besar ketika bermesyuarat manakala ahli lain perlu berdiri.

Malah, kedudukan beliau sebagai Ayahanda dalam Pekida juga dipertikaikan oleh sesetengah pihak.

Bagi mendapatkan kepastian terhadap dakwaan itu, Metro Ahad menemui pelakon watak antagonis filem Antoo Fighter yang kini ditayangkan di pawagam, sekali gus buat pertama kalinya Awie mendedahkan pada umum mengenai pembabitannya dalam Pekida.

Ikuti penjelasan Awie kepada wartawan Metro Ahad, ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAMRAN SARAHAN.

“JANGAN fitnah saya begini, saya bukan orang tepi jalan. Saya dah okey. Saya memilih menyertai Pekida untuk mengajar saya menjadi penyabar.

“Di bawah majlis saya, saya dilantik sebagai ayahanda pengerusi di Ukay Perdana.

“Apa yang kita lakukan, kita menjaga kebajikan jemaah, daripada segi silaturahim, ekonomi dan kebajikan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

“Orang kata saya samseng, saya tak akan cakap apa. Perbuatan lebih logik daripada bercakap. Orang boleh cakap apa saja.

“Saya akan buktikan dengan cara saya, bukan dengan cakap saja. Biar semua orang di bawah (ahli Pekida) dapat informasi sebenar.

“Saya terkejut dapat berita ini. Saya sudah tunjukkan dan buktikan saya tidak terbabit dengan pelbagai dakwaan yang dilemparkan.

“Saya tidak tahu bagaimana boleh timbul dakwaan saya ketua kumpulan Dragon (Naga),” katanya.

Awie turut mengandaikan namanya dikaitkan sebagai kepala Kumpulan Naga kerana dulu beliau pernah menyertai kelab motosikal, Dragon Malaya.

“Apabila terpaut dengan nama ini (Naga), saya ambil kesempatan pakai nama itu buat kumpulan bersama Man Kidal, Yan dan Jojet. Selepas itu keluar pula (album Wings) Naga Keramat.

“Apa salah orang nak pakai naga. Di merata tempat ni orang pakai lambang naga untuk pelbagai tujuan.

“Saya orang paling taat (Pekida). Saya ikut apa saja yang saya belajar. Saya tak pernah lari daripada kebenaran,” katanya.

Awie menjelaskan, dia menyertai Pekida di atas hasrat untuk bersatu padu dalam satu pertubuhan Melayu yang memperjuangkan hak dan kebajikan di atas nama Islam.

“Saya duduk dalam Pekida nak bersatu dengan orang Melayu, bukan nak menghancurkan.

“Macam mana dia (pihak berkenaan) boleh cakap saya duduk macam raja (duduk di kerusi khas dan orang lain perlu berdiri).

“Ini semua tidak betul. Tidak pernah saya buat macam tu. Gila ke?

“Apa yang dikatakan saya duduk di kerusi besar, kepala gengster? Saya pakai topeng pun orang kenal, itu Awielah. Gila saya nak buat!” katanya.

Menceritakan sejarah pembabitannya dengan Pekida, Awie berkata, dia mula menyertai Pekida pada 2001 dan bermula dari bawah hingga dilantik sebagai Abang Long dan Ayahanda.

“Saya dinaikkan oleh Majlis Tertinggi pada 2004 sebagai Ayahanda.

“Saya tolak pada mulanya, tapi kerana hormat pada Ayahanda Haji Malik Ranting dan Ayah Pa, saya terima.

“Saya ada watikah (pelantikan sebagai Ayahanda) dan saya boleh buktikan. Saya tak pernah minta dengan sesiapa,” katanya.

Awie berkata, sebagai artis, lingkungan kehidupannya adalah di kelab malam dan pentas, namun apabila menghadiri majlis tertentu anjuran Pekida, beliau amat berdisiplin.

“Saya boleh buktikan dengan gambar, aktiviti yang pernah saya lakukan. Saya terbabit dengan aktiviti kebajikan anak yatim, membantu sekolah agama di Johor.

“Adakah pihak berkenaan (yang menuduh) ambil peduli atau membantu semua ini?

“(Dakwaan) itu memfitnah dan menganiaya saya. Bagaimana orang boleh berkata mengenai saya, sedangkan saya tak pernah jumpa mereka seumur hidup.

“Mereka tak tahu apa gerakan dan aktiviti yang saya lakukan selama bersama Pekida,” katanya.

Menurut Awie, beliau teraniaya dengan pelbagai fitnah hingga pernah ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan pelakuan jenayah.

“Hidup saya memang teraniaya dengan benda-benda macam ini.

“Pernah satu ketika saya diambil pada jam 1 pagi oleh polis kerana 10 orang yang ditahan di lokap ‘petik’ (kaitkan) nama saya.

“Saya tak kenal pun siapa mereka. Apabila saya jelaskan keadaan sebenar, baru saya dilepaskan dan polis pun faham.

“Ia menjadi tanda tanya kenapa mereka ‘petik’ nama saya.

“Kalau betul tuduhan yang dilemparkan kepada saya, saya sanggup koyak kad keahlian. Selama ini saya dikenali pun bukan kerana Pekida.

“Saya selesa dengan hidup saya. Saya sayangkan Pekida. Kalau pentadbir (Pekida) tidak okey, saya masih dengan Pekida. Namun dengan cara dan permainan saya.

“Kalau orang kata Pekida jahat, saya kata tidak.

“Inilah pertubuhan yang menyatukan anak Melayu. Kalau nak mempolitikkan NGO, inilah jadinya,” katanya.

Berhubung dakwaan bahawa beliau meminta diberi penghormatan layanan berstatus Ayahanda sebagai syarat menghadiri Perhimpunan Agung Pekida Ke-15, Awie berkata:

“Memang saya Ayahanda, apa mereka cerita? Mereka gila ke apa?

“Saya masuk Pekida kerana jalan ini yang saya suka. Mereka memburukkan saya untuk mencari nama dalam Pekida, mereka ini dayus.

“Kenapa tak berdepan dengan saya? Kenapa mesti memfitnah?

“Saya tak pernah buat permintaan itu. Lan Gajah (Pengerusi Pekida Daerah Bukit Bintang, Roslan Dahaman) yang telefon saya, tetapi saya tak dapat nak pergi.

“Dia (Lan Gajah) tawarkan untuk bawa wakil sebagai ahli keselamatan.

“Ketika itu saya tak dapat hadir kerana ada di luar kawasan.”

Awie berkata, beliau berpegang pada amalan berbaik dengan semua orang dan menjauhi penganiayaan terhadap hidup orang serta jangan menyusahkan hidup orang.

“Kalau baik dengan orang, orang akan bantu kita dan dari situ datangnya ekonomi. Kalau kita hidup susah, adik beradik lain akan membantu.

“Kalau seorang bagi seringgit, 10 orang sudah 10 ringgit, kalau 100 sudah 100 ringgit.

“Jadi, ekonomi kita dapat dibantu kalau dalam keadaan terdesak.

“Apa yang diminta Allah di akhirat nanti adalah kebajikan kita.

“Kita ada sekolah agama yang dibantu, ahli majlis bersatu. Anak yatim yang patut diraikan, kita raikan,” katanya.

Harian Metro

Shah Kecewa, Tarik Diri

12 Dec

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

PERSAINGAN belum bermula, namun Muzik-Muzik peringkat Separuh Akhir bagi kategori Pop Rock bakal berlangsung jam 9 malam ini di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, sudah panas dengan kontroversi membabitkan pengunduran mengejut lagu Ku Merindu pada saat akhir.

Lagu Ku Merindu ciptaan sepenuhnya Pengerusi Eksekutif DASE Records Incorporation, Datuk Syed Elias Syed terpaksa menarik diri gara-gara penyanyinya, Ella tidak dapat memberikan komitmen pada hari pertandingan.

Ella tampil sebagai penyanyi jemputan menerusi lagu Ku Merindu bergandingan dengan pendatang baru, Syed Fadhley Shah (Shah), yang turut dimuatkan dalam album Putih terbitan Man Kidal.

Menjelaskan mengenai penarikan lagu itu, Syed Elias berkata, dia sangat kecewa apabila ratu rock itu lewat memberitahu mengenai kegagalannya untuk berentap pada Separuh Akhir Muzik-Muzik.

“Untuk mencari pengganti dalam masa sehari dua tentu tidak sempat kerana selaku penciptanya, saya mahu penyanyi bakal mempersembahkan lagu itu nanti dapat menyanyikannya dengan sempurna.

“Pada saya, alang-alang sudah berhadapan masalah, lebih baik kami terus menarik diri. Bimbang kelak kerana ketiadaan Ella, ia akan menimbulkan masalah kepada banyak pihak,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Syed Elias, dia kecewa kerana Ella langsung tidak memikirkan mengenai dirinya sebagai pencipta dan penerbit lagu itu yang sudah banyak melabur untuk memanggilnya mendendangkan lagu Ku Merindu.

“Ini bukan kali pertama kami menghadapi masalah dengan Ella. Kakitangan saya sudahpun memberitahu mengenai pembabitan lagu ini dalam kategori Separuh Akhir Pop Rock lebih awal. Malah, sewaktu sidang akhbar, hanya Shah saja yang hadir.

“Menerusi sikapnya itu, saya sudah nampak Ella tidak berminat untuk menyanyikan lagu itu. Apabila dihubungi, pelbagai alasan diberi pihak pengurusannya. Setahu saya, Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin ada memujuk Ella tetapi dia tetap dengan pendiriannya.

“Mungkin Ella berasakan lagu Ku Merindu bukan lagu daripada albumnya, jadi ia tidak penting. Tetapi bagaimana orang lain? Tidak mengapa, saya menganggap tahun ini bukan rezeki saya,” katanya.

Bagi melengkapkan kuota 12 lagu dipertandingkan di peringkat Separuh Akhir Pop Rock, Pengurus Produksi Hiburan Primeworks Studios Sdn Bhd, Fadzliniza Zakaria mengambil keputusan untuk mengambil lagu ke-13 layak dari sudut penilaian markah dan undian daripada penonton, iaitu Bukan Di Sini nyanyian Sofaz dan dicipta anggotanya sendiri Zimie, Arimy dan lirik oleh Wan.

“Secara umumnya, kami sudah mengetahui masalah yang timbul minggu lalu. Bagaimanapun, keputusan rasmi dibuat selepas syarikat rakaman yang mengedarkan album Putih, Warner Music menghantar surat rasmi mengenai penarikan diri lagu Ku Merindu.

“Menerusi surat diberikan, mereka memberi alasan pasangan duet lagu itu, Ella mempunyai komitmen lain yang dipersetujui lebih awal pada hari sama. Kebetulan apabila diberitahu Bukan Di Sini layak dipertandingkan, kumpulan Sofaz tidak menghadapi masalah dan sedia memberikan komitmen,” katanya.

Bagi pemerhati industri muzik tempatan, pastinya menantikan kemunculan dua kumpulan iaitu Estrange dengan lagu Yang Pernah ciptaan sepenuhnya anggota kumpulan itu dan Meet Uncle Hussein (Lagu Untuk Mu) ciptaan Taja dan Tass.

Dinilai dari segi lagu dihasilkan dua kumpulan ini, tidak dinafikan ia mempunyai kekuatan untuk dipilih ke Juara Lagu tahun ini memandangkan mereka menjadi ‘cermin’ kepada perkembangan industri muzik tempatan.

Bermula sebagai kumpulan yang bergerak sendirian (underground), lagu Yang Pernah dan Lagu Untukmu berjaya meletakkan mereka dalam arus perdana dan popular.

Paling penting pada malam ini, ramai peminat mahu melihat mampukah kumpulan Estrange melayakkan diri ke peringkat akhir, sekali gus mempertahankan kemenangan besar musim lalu yang diraih menerusi lagu Itu Kamu.

Lagu Mabuk ciptaan penyanyi utama kumpulan Spider, Tam dan lirik nukilan Allahyarham Loloq tidak boleh dipinggirkan dalam saingan di peringkat separuh akhir kategori Pop Rock ini.

Spider layak dengan lagu Bila Nak Saksi bagi kategori Balada sebelum ini dan tidak mustahil mereka turut layak untuk Pop Rock kerana dari sudut komposisi lagu dan lirik, ternyata Mabuk lebih kuat

Kalis Rindu ciptaan Aidit Alfian dan lirik ditulis Ad Samad, didendangkan Elyana dirasakan bakal memberikan saingan kepada artis berkumpulan ini. Kalis Rindu menampilkan konsep retro tampil dengan susunan muzik lebih segar dan liriknya yang bijak.

Antara lagu lain yang bakal bertanding pada malam ini termasuk Separuh Masa, ciptaan sepenuhnya Edry Abd Halim dan didendangkan kumpulan dari seberang, The Lima, Aku Stacy (Norul Azlin/ Layla Ismail/Stacy).

Turut layak bertanding, lagu Mila, Bila Cinta ciptaan Audi Mok, lirik nukilan Ad Samad dan didendangkan Mila, Cinta Si Rama-Rama, (Edrie Hashim/Hattan), Aku Lebih Tahu (Ajai/Loloq/Mila), Bukti (Tony Iskandar/Loloq/Fiq) dan Rimas (Cat Farish/Roxy Tail/Faboulous Cat).

Harian Metro

Titian Perjalanan Amy

30 Jul

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


BAHAGIA… Amy bersama keluarga tercinta yang menjadi pendorong kejayaannya.

MENGINJAK usia ke 50 sebenarnya memberi seribu erti yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata oleh ikon rock, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy.

Mungkin bagi sesetengah lelaki lain, angka 50 bagaikan memberi gambaran hidup mereka sudah hampir ke penghujung jalan tanpa disedari sebenarnya, mereka masih mempunyai kekuatan untuk mengisi kehidupan.

Tarikh 26 Julai 2008 memberi tanda bahawa perjalanan hidup vokalis kumpulan rock terunggul negara, Search ini tidak akan terhenti. Malah, pelbagai agenda yang telah tercatat dalam diari hidupnya untuk terus meladeni hidup yang semakin mencabar ini seiring dengan usianya yang kini sudah mencecah separuh abad.

Jauh di sudut hatinya, pemilik vokal lagu keramat, Fantasia Bulan Madu ini mungkin tidak meminta dirinya untuk diraikan bagi menyambut fasa baru dalam hidupnya. Padanya, sudah memadai untuk berkumpul bersama isteri dan anak-anak tercinta bagi sama-sama meraikan hari bersejarah itu.

Malah, beliau juga membuka cerita bahawa dia sendiri tidak pernah meraikan sambutan hari jadi sepanjang menjadi anak seni ekoran terlalu sibuk dengan persembahan serta jadual seni yang padat.

Namun, malam Ahad lalu, bertempat di Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur, ternyata memberi satu kejutan buat Amy apabila dia sendiri tergamam dan hilang kata-kata apabila sambutan hari lahirnya diadakan dalam suasana yang cukup meriah meskipun ia merupakan sebuah majlis kejutan untuk dirinya.

Apatah lagi dekorasi dewan tersebut mendapat sentuhan magis oleh pereka dan perunding majlis terkenal, Pak Abu lantas menjadikan malam tersebut terasa begitu intim dan mengasyikkan sekali.

Segala pujian untuk majlis berkenaan sebenarnya harus diberikan kepada isterinya yang tercinta, Nor Hasniza Hassan atau lebih dikenali sebagai Norish, 27, yang bijak merahsiakan segala-galanya daripada pengetahuan suaminya.

“Sepanjang hidup saya sebagai artis, tidak pernah diadakan majlis yang sebegini indah dan sempurna. Apa yang menggembirakan saya pada malam ini adalah untuk melihat wajah-wajah yang memainkan peranan yang cukup penting dalam hidup dan karier seni saya.

“Bukan itu sahaja, saya juga mahu terus hidup gembira bersama mereka yang saya sayangi untuk 20 tahun lagi,” tuturnya ikhlas dalam nada yang cukup lembut.

Memang benar. Dalam dewan yang dipenuhi lebih daripada 200 jemputan ternyata membawa signifikan yang tersendiri dalam hidup anak jati Johor Bahru ini. Wajah-wajah yang pernah susah dan senang bersamanya menjadikan majlis sambutan hari jadinya itu menyimpul seribu makna yang cukup mendalam.

Berbicara tentang detik manis yang pernah ditempuhinya selama mendamba diri dalam industri muzik, tanpa berfikir panjang, Amy memberitahu menembusi pasaran Indonesia adalah kejayaan terbesar baginya dan Search.

Semuanya bermula dari detik kelahiran album keempat mereka pada tahun 1989, Fenomena yang memuatkan lagu hit sepanjang zaman, Isabella yang berjaya membuka mata peminat mereka di luar Malaysia tentang kehebatan Search.

“Kami dijulang dan dipuja serta dilayan seperti superstar. Tiada yang lebih manis untuk saya dan Search apabila karya dan lagu-lagu kami diterima baik.

“Malah, kami tidak pernah membayangkan Isabella akan memberikan impak yang cukup besar dalam karier seni kami,” terangnya sambil memangku anak lelakinya, Alexander Zulkarnain yang setia disisinya sepanjang temu ramah berlangsung.

Meniti usia 50 tahun bukanlah petanda Amy akan terus berhenti daripada apa yang telah dilaluinya hampir 27 tahun sebagai artis rakaman. Malah, beberapa kali Amy menegaskan, dia tidak akan tinggalkan dunia seni kerana jalan ini yang dipilih dan rezeki serta nikmat yang dikecapinya hari ini juga adalah daripada anugerah Tuhan kepadanya.

“Peminat Search tidak mahu saya berhenti dan meninggalkan dunia seni. Barisan peminat muda dan baru kami juga pernah memberitahu kepada saya masih terlalu awal untuk saya berundur.

“Jadi, istilah undur diri tidak ada dalam kamus hidup saya dan saya akan meneruskan perjalanan seni saya sebaik mungkin selepas ini,” jelas pemenang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak dua kali ini penuh makna.

Satu yang pasti dan sesekali tidak akan luput dalam rencana seninya adalah tekadnya untuk mengadakan sebuah konsert besar-besaran bagi meraikan ulang tahun pembabitan Search dalam dunia seni yang sepatutnya berlangsung dua tahun lalu.

“Saya tidak kisah selama mana pun kami harus menunggu, apa yang pasti saya akan tetap mahukan impian ini direalisasikan demi peminat dan penyokong setia Search yang tidak pernah jemu dan berhenti bersama kami,” ujarnya penuh pengharapan.

Meskipun hatinya bersulam ceria, namun, Amy tidak mampu menyembunyikan rasa sedihnya apabila tidak dapat berkongsi kegembiraan bersama dua sahabatnya, Allahyarham Loloq dan Allahyarham Jalil Ngah yang meninggal dunia awal tahun ini.

“Alangkah manisnya malam ini seandainya mereka berdua turut sama dalam majlis ini kerana penglibatan mereka dalam kerjaya seni saya dan Search telah memberikan satu impak yang cukup besar,” jelasnya yang cukup segak mengenakan suit berona perak rekaan Albert King.

Apa yang lebih manis buat pejuang muzik rock sejati ini adalah untuk berkongsi kegembiraannya bersama hadirin apabila dia mengumumkan tarikh pertunangan dan pernikahan puteri sulungnya, Nabila Huda bersama bakal suaminya, Zaidy Zailani atau Edy yang akan berlangsung pada bulan Disember ini.

“Saya tidak pernah memaksanya mahupun mendesaknya (Nabila) untuk berkahwin. Siapa sahaja pilihannya saya terima dan restu. Apa yang saya mahu adalah untuk melihatnya bahagia dengan apa sahaja yang dia lakukan,” kata Amy sambil memberitahu 15 Jun lalu merupakan kali pertama Nabila membawa Edy bertemu dengannya.

Dalam pada itu juga, Amy yang sentiasa kelihatan muda itu turut memberitahu dia juga mahu melihat yayasannya yang diberi nama Yayasan Isabella dizahirkan sebelum akhir tahun.

“Sudah sampai masa untuk saya menyumbang sesuatu untuk orang yang benar-benar memerlukan pertolongan kerana sepanjang 25 tahun menjadi anak seni, saya masih belum lagi menyumbang dalam erti kata sebenar. Inilah sumbangan saya untuk anak bangsa saya sendiri,” jelas Amy lagi.

Amy yang turut diberi jolokan Mick Jagger Malaysia ini juga memberitahu, proses pembinaan madrasahnya iaitu Madrasah Hajah Fatimah Abdul Rahman seluas empat ekar yang terletak di Pekan Nanas, Johor kini sedang berjalan lancar.

Antara rakan artis yang hadir memeriahkan majlis berkenaan dan membuat persembahan antaranya adalah Datuk Aziz Bakar dan isteri, Datin Norma Norell, Ramli M.S, Fatimah Abu Bakar, Joey BPR, Hattan, Man Kidal, Nash, Fazli Zainal, Joe, Eddie dan Black dari kumpulan Wings, Rahim Maarof, M. Nasir dan isterinya, Marlia Musa.

Apa yang lebih mengujakan dan menarik perhatian ramai pada malam itu adalah apabila Norish dan Nabila serta adik ipar Amy, Kat menyampaikan lagu Fantasia Bulan Madu yang telah mengundang tepukan gemuruh daripada hadirin.

Utusan Malaysia

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.