Archive | Maria Menado RSS feed for this section

Artis Muda Tidak Hirau Hari Seniman

3 Jun

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

LEBIH 2,000 penggiat seni tanah air menyaksikan detik bersejarah pelancaran Hari Seniman Kebangsaan 2008 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ah mad Badawi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, 29 Mei lalu.

Apa yang membanggakan, sambutan dari artis veteran termasuk dari Singapura cukup memberansangkan seperti Tan Sri Jins Shamsudin, Datuk Aziz Sattar, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Maria Menado, Raja Hamidah Raja Saat, Aspalela Abdullah, Wahid Satay, Mariani, S Shamsudin, Hashimah Yon, Datuk Aziz Singah, Datuk Yusof Haslam, Datuk Ahmad Jais dan ramai lagi.

Namun, dari ribuan tetamu yang hadir hanya boleh dikira artis muda yang datang untuk sama-sama menyemarakkan hari yang cukup bermakna dan khusus meraikan insan bergelar anak seni itu?.Antaranya, Farid Kamil, Serina Red zuawan, Jaclyn Victor, Ahmad Idham, Zuhairi Ibrahim, Noraniza Idris, Norman KRU dan bintang Akademi Fantasia 4, Haziq.

Di manakah penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza, Raja SMS Mawi mahupun primadona Filem Melayu, Erra Fazira?

Ketika ditemui Zuhairi yang juga pelakon drama dan aktivis teater yang dikenali menerusi pementasan Lantai T Pinkie berkata, dia juga kecewa kerana sambutan Hari Seniman itu tidak mendapat sambutan dari artis muda tanah air.

“Saya menghadiri majlis ini kerana mendapat undangan daripada Persatuan Seniman.

“Saya tidak faham kenapa ramai artis muda tidak dapat meluangkan masa mereka untuk sama-sama meraikan Hari Seniman yang juga pengiktirafan untuk mereka sendiri? Sudah bertahun-tahun persatuan memperjuangkannya dan sepatutnya hari yang cukup bermakna ini, semua artis muda tampil memberikan sokongan.

“Hampir 90 peratus yang hadir adalah artis veteran. In gatlah, tanpa artis lama siapalah artis muda kerana merekalah yang beri ruang dan peluang untuk kita menjadi pelapis meneruskan perjuangan mereka?

“Pada masa sama, kita perlu menghargai jasa artis lama hingga industri seni berkembang seperti hari ini,”katanya.

Zuhairi berkata, dia juga berharap, lebih ramai artis muda yang sedar dengan kepentingan Hari Seniman ini sekali gus menyemarakkan sambutan Hari Seniman pada masa akan datang.

“Semua penerbit filem di luar sana juga perlu memberi kerjasama dengan memberi cuti sehari pada artis muda dan kru yang terbabit dalam industri hiburan supaya mereka dapat sama-sama meraikan hari cukup bermakna ini setiap tahun,” katanya.

Farid Kamil juga mengakui dia terkejut kerana pelancaran Hari Seniman itu tidak dihadiri artis muda sebaya de ngannya.

“Saya datang ke majlis ini atas undangan pihak Finas. Pada pandangan saya, saya akan bertemu dengan ramai artis muda di majlis ini tapi rupa-rupanya ia sebaliknya pula.

“Jika nak diikutkan, saya juga tidak ada masa untuk datang ke majlis ini kerana banyak terbabit dengan penggambaran drama dan filem.

“Tapi atas kesedaran diri sendiri, saya memang tidak ingin melepaskan peluang untuk sama-sama menyaksikan pe lancaran Hari Seniman ini.Justeru, saya pastikan tidak ter babit dengan mana-mana penggambaran drama atau filem pada tarikh 29 Mei itu.,” katanya.

Farid berharap, pada tarikh keramat itu tahun depan, publisiti mengenai Hari Seniman ditingkatkan lagi seperti mana festival filem dan majlis anugerah lain bagi memberi peluang kepada semua orang dalam industri seni hadir.

“Saya percaya ramai artis muda yang tidak dapat datang kerana mereka tidak tahu pelancaran Hari Seniman ini jatuh pada 29 Mei lalu,” katanya.

Manakala, Serina berkata, sebagai artis, dia memang tidak ingin melepaskan peluang untuk sama-sama menyaksikan pelancaran Hari Seniman itu sejak awal lagi.

“Saya datang ke majlis ini atas undangan Finas.Justeru, saya juga sudah pastikan pada tarikh 29 Mei saya tidak terbabit dengan sebarang penggambaran drama.

“Selepas majlis berakhir, saya terpaksa berkejar ke lokasi penggambaran drama Polis Trafik. Kalau artis sendiri tidak beri sokongan pada acara ini siapa lagi?.Takkanlah bila sudah sakit dan dalam kesusahan baru kita ingin mencari per satuan?,” katanya.

Serina berkata, Hari Seniman itu sungguh bermakna kerana ia menghargai insan yang bergelar anak seni.

“Berlakon juga bukanlah untuk mencari glamor sema ta-mata kerana ia tidak kekal lama.Maklumlah, hidup sebagai artis tidak ada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai jaminan masa depan,” katanya.

Serina berkata, dia juga tidak menjangka, acara itu tidak mendapat sambutan di kalangan artis muda tanah air.

“Saya juga tidak mengajak rakan artis lain untuk datang ke majlis itu kerana pada pandangan saya masing-masing me nerima undangan daripada Finas.

“Pada majlis ini, saya duduk berhampiran dengan Datuk Aziz Sattar.Sebagai artis muda, saya bangga kerana dapat sama-sama meraikan hari ini bersama artis veteran lain.

“InsyaAllah, saya akan tetap meluangkan masa untuk menghadiri majlis sambutan Hari Seniman pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Datuk Mustapha Maarof pula meng anggap ramai artis muda tidak dapat datang kerana mereka sibuk dengan komitmen masing-masing.

“Saya sentiasa prihatin dengan keadaan mereka (artis mu da). Saya tidak kecewa mereka tidak dapat datang pada majlis pelancaran Hari Seniman ini kerana masing-masing (artis) sepatutnya tahu tanggungjawab mereka pada seni.

“Mungkin tahun ini mereka tidak dapat dapat datang, tapi saya berharap mereka dapat menyemarakkan acara sambutan Hari Seniman pada masa akan datang,” katanya.

Powered by Harian Metro

Erti Sebenar Hari Seniman

3 Jun

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA liza.zakaria@utusan.com.my

Tarian Selamat Datang pelbagai kaum sebagai pembukaan majlis sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2008.

SENIMAN merupakan orang yang mampunyai bakat seni, mencipta hasil seni dan memperagakan karya-karyanya. Lebih jauh, ia merupakan insan-insan yang berjaya membawa perubahan serta memberi sumbangan besar terhadap perkembangan seni dan budaya negara. Tidak kira seni budaya mahupun seni hiburan, hakikatnya merekalah pencetus kepada pelbagai ideologi dan perubahan baru terhadap perkembangan budaya dan kesenian sesebuah bangsa.

Nama-nama besar seperti Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Allahyarhamah Puan Sri Saloma, Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Musthapha Maarof, Datin Rosnani Jamil dan Datuk Aziz Sattar merupakan antara mereka yang berjaya dan layak digelar seniman dan seniwati industri perfileman Malaysia.

Ibarat lilin yang membakar diri, mereka umpama penyuluh kepada corak persembahan dan idea pembikinan filem serta rujukan kepada para pelapis serta penggiat seni perfileman tempatan dewasa ini.

Tidak kurang juga mereka yang memberi sumbangan terhadap seni teater negara, pastinya tidak kita lupa pada nama-nama seperti Allahyarham Mustapha Nor, Datuk Syed Alwi, Datuk Rahim Razali, Datuk Faridah Merican dan Ahmad Yatim yang berjaya meningkatkan taraf seni teater negara.

Bagi seni lukis, seni kraf dan arca pula, kita sering mengagumi buah tangan daripada Allahyarham Tengku Ibrahim Tengku Wok, Zainab Mamat, Datuk Syed Ahmad Jamal, Datuk Hossein Enas dan juga Latiff Mohidin.

Sementara dalam bidang sastera serta penulisan pula, kita tidak ketinggalan membaca karya-karya hasil nukilan oleh Allahyarham Datuk Dr. Othman Awang, Datuk Nordin Hassan dan Datuk A. Samad Said.

Justeru, atas dasar menghargai segala pengorbanan dan sumbangan golongan seniman dan seniwati negara yang banyak berjasa, maka tanggal 29 Mei pada setiap tahun dipilih sebagai tarikh keramat bagi memperingati jasa golongan tersebut.

Buat pertama kalinya, Hari Seniman Kebangsaan disambut pada 29 Mei lalu.

Dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pastinya ia membawa makna tersendiri kepada golongan yang telah banyak menabur bakti bagi memperjuangkan hasil seni dan karya mereka.

Lantas, slogan Seniman Obor Budaya dilihat bertepatan dengan maksud yang mencerminkan bertapa kesungguhan para seniman dan seniwati terdahulu jelas dipantulkan kepada perkembangan seni budaya tanah air dewasa ini.

Pelbagai falsafah, nilai-nilai murni, cara hidup, semangat perpaduan bangsa yang diterap pada karya-karya agung terdahulu termasuk seni tari, seni tampak dan seni halus serta ukiran yang menjadi lambang budaya negara dari zaman kesultanan Melayu sehingga ke hari ini.

Tidak ketinggalan, penceritaan dalam sesebuah penulisan dan sastera, karya filem seperti Semerah Padi, Ibu Mertuaku dan Bukit Kepong ternyata mampu menyuntik semangat patriotik, perpaduan dan moral tersendiri di kalangan masyarakat tempatan.

Wayang Kulit adalah antara produk seni tempatan yang tidak kurang hebatnya. Sama seperti cabang kesenian tradisional lainnya seperti Mak Yong dan Menora.

Lalu, wayang kulit menjadi pilihan tahun ini sebagai logo rasmi sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2008.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Datuk Musthapha Maarof ketika ditemui pada majlis perasmian sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2008, menyatakan bahawa hari tersebut merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap insan seni.

“Ini bermakna kerajaan sudah memberi pengiktirafan yang besar terhadap insan seni tidak kira seni budaya ataupun seni hiburan, sehingga ada satu hari yang dikhaskan untuk memperingati para seniman negara.

“Sekarang sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai orang-orang seni untuk sama-sama menyahut seruan kerajaan,” kata beliau sejurus selesai majlis tersebut.

Pelbagai aktiviti menarik telah diatur sepanjang Jun ini bagi menjayakan bulan seniman negara itu.

Antara aktiviti yang menarik untuk dikongsi ialah Malam Anugerah Tinta yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pukul 8 malam pada 13 Jun ini.

Antara lain ialah Apresiasi Seni Penulisan dan Sastera pada 14 Jun ini pukul 10 pagi di Perpustakaan Negara dan Seminar Industri Filem dan Muzik – 5 Tahun Kehadapan pada 21 Jun ini pukul 9 pagi di Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Selain itu, Malam Penghargaan Industri Filem 2008 bakal berlangsung pada 27 Jun pukul 8 malam sementara Seniman Malaysia Di Persada Dunia pula bakal berlangsung di Muzium Negara pada 28 Jun pukul 9 pagi.

Artis muda dan popular kurang kesedaran?Pada majlis yang dihadiri oleh lebih 1,200 hadirin itu, menyaksikan para pelakon senior, para penggiat seni serta para karyawan hadir memeriahkan majlis tersebut.

Antara artis senior yang hadir termasuklah Mariani, Hasyimah Yon, Aspalela Abdullah, Wahid Satay, Datuk Aziz Satar, Tan Sri Jins Shamsuddin, S. Samsuddin, Datuk Yusni Hamid, Datuk Maria Menado, Datuk Jalaluddin Hassan, Datin Seri Tiara Jacquelina dan Fauziah Nawi.

Bagaimanapun, kelibat artis muda dan baru agak kurang kelihatan. Antara artis muda yang hadir termasuklah Noraniza Idris, Imuda, Farid Kamil, Noniswara, Ahmad Idham, Norman KRU dan Iqwal.

Persoalannya, mengapakah sambutan yang dilihat sebagai mengiktiraf golongan seni seperti itu agak suram dan seakan-akan dipinggirkan oleh barisan artis muda dan popular?

Mungkinkah perkataan ‘seniman’ itu sendiri bagi mereka lebih sinonim atau merujuk kepada barisan para artis senior semata-mata? Tepuk dada tanyalah selera.

Ketika diminta mengulas tentang ketidakhadiran para artis muda dan popular, kata Datuk Musthapha Maarof: “Pada saya mereka yang tidak dapat datang itu anggap sahaja mungkin sebab mereka sibuk dengan kerja. Kalau mereka ada rasa sedikit tanggungjawab, pasti mereka akan hadir sebab Perdana Menteri pun boleh datang.

“Kita tidak rasa kecewa, ini adalah sambutan untuk semua insan seni bukan tertumpu kepada mana-mana individu. Apa yang berlaku hari ini cukup memberi kesedaran kepada kita,” kata beliau mengakhiri perbualan.

Powered by Utusan Malaysia

Karya Imuda Serikan Galeri Perfileman Finas

16 Jan

Oleh ABD. AZIZ ITAR

JINS Shamsudin (bersongkok) bersama Imuda (kanan) dan para pelakon veteran ketika merasmikan Program Tiada Gambar Seindah Lukisan bersama Imuda di Galeri Perfileman Finas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SELAMA ini, Galeri Perfileman Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang terletak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur agak sunyi sepi tanpa pengunjung terutamanya para pencinta dunia filem Melayu.

Ini kerana, lokasi galeri yang menempatkan pelbagai khazanah perfileman tanah air itu bukan sahaja tersorok, malah tidak banyak aktiviti yang dianjurkan bagi menarik perhatian para pengunjung sejak ia dibuka pada tahun lalu.

Menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, mulai bulan ini perbadanan itu telah merancang pelbagai aktiviti di galeri perfileman tersebut supaya apresiasi di kalangan peminat filem Melayu dapat dipertingkatkan.

“Kami menyasarkan tiga kelompok pengunjung iaitu artis-artis baru, pelajar dan orang ramai agar kerap berkunjung ke galeri ini dengan terbabit sama dalam aktiviti-aktiviti yang akan kami adakan sepanjang tahun ini.

“Antara aktiviti yang akan diadakan termasuklah peraduan melukis potret artis-artis veteran dan pertandingan menyanyi karaoke lagu-lagu lama,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Program Tiada Gambar Seindah Lukisan Bersama Imuda di Galeri Perfileman Finas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program yang dirasmikan oleh Pengerusi Finas, Tan Sri Dr. Jins Shamsudin itu menerima sumbangan potret wajah-wajah artis veteran yang dilukis oleh Imuda untuk dipamerkan di galeri itu yang dibuka secara percuma kepada orang ramai.

Sebagai permulaan lima potret pelakon veteran iaitu Datuk Maria Menado, Datuk Sarimah Ahmad, Datin Rosnani Jamil, Datin Umi Kalthum dan Latifah Omar akan mengisi ruang pameran galeri itu mulai 12 Januari lalu.

Jelas Mohd. Mahyidin, bagi menarik orang ramai berkunjung ke Galeri Perfileman Finas, pihaknya akan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuklah bas percuma.

“Kami akan menyediakan sekurang-kurangnya tiga buah bas bagi membawa para peminat filem Melayu dari sesebuah kawasan terutamanya dari luar bandar bagi berkunjung ke sini.

“Kami juga akan mengenal pasti sekolah-sekolah tertentu dan membawa para pelajar mereka ke galeri ini bagi mendapatkan pendedahan tentang dunia perfileman Melayu.

“Pelbagai aktiviti akan diadakan di Galeri Perfileman Finas yang mana setiap aktiviti berbeza pada setiap minggu,” ujarnya.

Tambah Mohd. Mahyidin lagi, selain Finas, aktiviti-aktiviti di galeri itu juga akan dibantu oleh Portal Cinema Malaysia yang kini mempunyai lebih 2,000 ahli dan sembilan Kelab Pencinta Filem yang terletak di bawah kendalian perbadanan tersebut.

Sementara itu, pelukis dan pelakon Imuda berasa bangga kerana diberi kepercayaan oleh Finas untuk melukis potret pelakon-pelakon veteran dan dipamerkan di galeri itu.

“Saya memang gembira apabila idea saya untuk mengabadikan potret artis-artis veteran di galeri ini yang saya usulkan dua tahun lalu diterima oleh Finas.

“Selain itu, saya mahu artis-artis veteran bukan sahaja dihargai tetapi potret-potret mereka juga dapat ditatapi oleh para peminat filem Melayu pada hari ini hinggalah generasi akan datang.

“Selepas ini, saya akan melukis beberapa potret artis-artis veteran lagi di mana senarai nama artis-artis veteran itu akan diberikan oleh pihak Finas,” katanya.

Tambah Imuda atau nama sebenarnya A. Rahim Muda, 47, beliau mengambil masa lima hari untuk menyiapkan sebuah potret yang menggunakan cat minyak.

Selain pelancaran program itu, turut dianjurkan ialah pertandingan melukis potret yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu profesional dan amatur serta acara berkaraoke lagu-lagu yang dipetik daripada filem-filem Melayu lama.

Hadir sama pada majlis itu ialah pelakon veteran Sarimah Ahmad, Maria Menado, Umi Kalthum, Rosnani Jamil dan Timbalan Ketua Pengarah Finas, Mohd. Zulkifli Ab. Wahab.

Powered by Utusan Malaysia

Mawi Kalahkan Siti, Bolot 5 Anugerah Era

10 Sep

Oleh WANDA IDRIS dan NOR FADZILAH BAHARUDIN

HEBAT… Mawi bergambar bersama anugerah yang dimenanginya pada Anugerah Era 2006 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar ABDUL RAZAK LATIFF.

KUALA LUMPUR 9 Sept. – Raja SMS, Mawi yang mempertaruhkan tujuh pencalonan mengungguli Anugerah Era 2006 (AE06) yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini malam ini.

Juara Akademi Fantasia 3 (AF3) yang terkenal dengan trademark ‘world’nya itu berjaya menggondol lima kategori antaranya Artis Harapan Pilihan dan Irama Global Pilihan untuk lagu Aduh Saliha.

Malah anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu berjaya mengalahkan bekas pengetua AF3, sifu M. Nasir bagi merebut kategori Vokal Lelaki Pilihan.

Dia juga berjaya mengalahkan penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Taruddin apabila lagunya, Kian mendapat sokongan hebat peminat untuk mengalahkan lagu Biarlah Rahsia bagi kategori Lagu Pop Pilihan.

Mawi juga berkongsi kemenangan bersama M. Nasir bagi kategori Video Muzik Pilihan untuk lagu Lagu Jiwa, Lagu Cinta.

Bagaimanapun bagi kategori Vokal Duo/ Berkumpulan Pilihan, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 25, yang berkolaborasi dengan M. Nasir kalah di tangan Nikki dan Zahid.

Selain pencalonan tersebut, Mawi turut menerima dua anugerah khas iaitu Anugerah Carta Era berikutan kejayaan lagu Aduh Saliha yang bertahan dalam carta Era.

Mawi yang mendapat sorakan gemuruh setiap kali namanya diumumkan, turut menerima Anugerah Artis Pilihan SMS DiGi yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000, piala, telefon bimbit berteknologi EDGE bersama talian pascabayar DiGi.

Mempertandingkan 12 kategori, pemenang malam kemuncak anugerah kali keenam anjuran Radio Era itu dipilih secara mutlak oleh peminat menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan borang undian.

Sementara itu, pengantin baru, Siti Nurhaliza pula terus mengungguli gelaran Vokal Wanita Pilihan buat kali ke-empat mengalahkan Adibah Noor; Dayang Nurfaizah; Farah dan Jaclyn Victor.

AE06 turut memperlihatkan dominasi artis seberang untuk kategori Band Pilihan yang dimenangi oleh kumpulan Dewa, manakala Lagu Rock Pilihan diungguli kumpulan Pretty Ugly dengan lagu Diari Seorang Lelaki.

Kumpulan Rabbani yang mempertaruhkan lagu Nawaitu pula berjaya memenangi kategori Lagu Nasyid Pilihan.

Kategori Artis Inggeris Tempatan Pilihan pula dimenangi kumpulan Estrange yang dianggotai oleh pelajar Akademi Fantasia 4 (AF4), Rich.

Sementara filem Baik Punya Cilok yang dilakonkan oleh Afdlin Shauki, Hans Isaac, AC Mizal dan Awie meraih Anugerah Kaki Wayang Era.

Diacarakan oleh penyampai Radio Era, Linda Onn dan pelawak, Saiful Apek, AE06 juga memberikan Anugerah Seni ERA kepada Datuk Maria Menado dan Seniwati Zaiton Abdul Hamid.

Berkonsepkan ‘fesyen dalam muzik’ dengan tema ‘denim dan kulit’, AE06 turut menampilkan persembahan artis antaranya M. Nasir; Mawi; kumpulan Search; Pretty Ugly dan Ning Baizura.

Sementara artis yang menjadi penyampai anugerah pada malam itu termasuklah Fauziah Latiff, Erra Fazira dan Dr. Fazley.

Majlis anugerah itu turut disiarkan secara langsung di Astro Ria dan Radio Era.

Powered by Utusan Malaysia

Ziela Jalil Hargai Pelakon Legenda Tanah Air

18 Feb

Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

ANTARA barisan pelakon yang menjayakan drama Teratak Kasih Mahanis selepas majlis pelancarannya baru-baru ini.

Impian penerbit dan pelakon Ziela Jalil menghimpunkan seniman dan seniwati legenda tanah air dalam drama terbitannya, Teratak Kasih Mahanis, terlaksana jua.

Dirasakan sukar pada mulanya, Ziela akhirnya berjaya mencapai impiannya itu berkat kesabaran dan usaha yang tidak kenal jemu.

Walaupun pelakon Datuk Jins Shamsuddin dan Zaiton Ahmad terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir kerana masalah kesihatan, namun kata Ziela, dia tetap bersyukur kerana hasratnya untuk menghargai pelakon legenda akhirnya tercapai.

Teratak Kasih Mahanis terbitan syarikat milik Ziela, Pena Creative Pictures Sdn. Bhd, dihasilkan dalam 13 episod.

Apa yang menarik, Ziela juga merupakan tunjang utama drama itu bersama pelakon hebat Eman Manan.

Menceritakan pengalaman di lokasi bersama bintang-bintang legenda, kata Ziela, “Ketika menjalani pengambaran di Janda Baik, Pahang, saya berasa seronok kerana dapat berkumpul dan bermesra bersama para pelakon legenda.

“Banyak yang dipelajari terutamanya nasihat yang diberikan oleh mereka tentang keikhlasan membuat sesuatu kerja.

“Bagi saya, mereka penuh dengan sifat keibuan dan kasih sayang. Jiwa saya begitu tersentuh,” kata Ziela yang terasa dekat dengan zaman P. Ramlee apabila mendengar cerita pengalaman lampau pelakon legenda itu ketika mereka meluangkan masa bersama.

Jelas Ziela, komitmen yang diberikan oleh para pelakon legenda sangat tinggi dan berbeza dengan pelakon baru hari ini.

“Sebab itu bila penggambaran tamat di Janda Baik, saya terasa amat rindu dengan mereka.

“Dan dalam menunggu majlis pada hari ini, saya rasa tidak sabar dan ternanti-nanti kehadiran mereka,” kata ibu kepada Putri Julia Nabilah, 13, dan Megat Jufri Nasrullah, 11, ini.

Bercakap mengenai watak utama yang dipegangnya, Ziela memberitahu, sudah lima belas tahun dia tidak berlakon memegang watak utama yang berat.

“Mula-mula memang takut. Pengalaman berlakon watak berat memang tiada sepanjang karier lakonan saya.

“Tetapi dengan bantuan Amie (pengarah), saya dapat juga melakonkan watak saya. Apa lagi ketika mahu melakonkan adegan sedih, memang susah rasanya. Tapi bila mendengar lagu tema drama ini, Pelangi Petang, nyanyian Allahyarham Sudirman dan Si Dia nyanyian Allahyarham Rafeah Buang, mood sedih datang dengan tiba-tiba,” kata Ziela yang membayangkan pelakon Ida Nerina sebagai pelakon utama drama itu sebelum itu.

Ziela berharap drama Teratak Kasih Mahanis menjadi khazanah bernilai tinggi syarikatnya kerana penglibatan ramai pelakon legenda tanah air.

Majlis pada petang Selasa 14 Februari itu turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila Datuk Zainuddin Maidin yang ketika itu menjadi Timbalan Menteri Penerangan hadir merasmikan pelancaran drama itu. Para tetamu dikejutkan dengan berita pelantikannya sebagai Menteri Penerangan yang baru.

Turut hadir ialah suami Ziela, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob.

Antara pelakon legenda yang hadir pada majlis itu ialah Datuk Maria Menado, Zaitun Ahmad, Datin Umi Kalsom, Salmah Ahmad dan Dayang Sulu.

Sipnosis Teratak Kasih Mahanis

Teratak Kasih Mahanis mengisahkan kehidupan Mahanis (lakonan Ziela Jalil), anak tunggal Datuk Arshad. Selepas Datuk Arshad meninggal dunia, Mahanis mewarisi AF1, sebuah empayar perniagaan mewah peninggalan bapanya.

Mahanis juga diwasiatkan menjaga rumah orang-orang tua, Teratak Kasih Mahanis, yang ditubuhkan oleh bapanya.

Bagaimanapun, Mahanis separuh hati memenuhi wasiat terhadap teratak itu tanpa menyedari kesemua warga emas yang menginap di teratak itu adalah sahabat-sahabat sejati arwah bapanya.

Powered by Utusan Malaysia

Konsert Amal Mawi Dan Busana Muslimah

23 Oct

Penyanyi Mawi akan melancarkan album solonya pada satu majlis gilang-gemilang sempena Malam Fabricganza Islamic Fashon Wear 2005 pada 16 November ini, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pukul 8 malam.

Majlis makan malam bersama pencinta seni dan orang-orang kenamaan anjuran D’Reka Batik Sdn. Bhd. Ia diadakan bertujuan untuk mengetengahkan fesyen berunsur Islam bagi diserapkan kepada orang ramai khususnya di kalangan selebriti popular yang menjadi idola generasi muda.

Dengan penampilan khas Mawi yang akan mendendangkan lagu-lagu terbaru daripada album solonya, diharap akan menarik minat ramai menghadiri majlis tersebut.

Selain Mawi, majlis tersebut turut diwarnai dengan pertunjukan busana Muslimah yang direka istimewa oleh D’Reka Batik. Turut memperagakan ialah Datuk Sarimah dan Noor Kumalasari.

Persatuan Karyawan Malaysia turut menyumbang tenaga untuk majlis amal ini dengan menampilkan persembahan Nostalgia Rindu. Beberapa orang artis veteran turut menjayakannya.

Mereka terdiri daripada Datuk Maria Menado, Aziz Satar, Ahmad Fauzee dan artis terkenal akan berganding bahu untuk mengadakan persembahan khas ini.

Menurut Pengarah Urusan D’Reka Batik, Noor Fatimah yang juga pengerusi dan pengelola majlis amal ini, ia dijayakan dengan kerjasama Maestro dan Kelab Sahabat Mawi.

Mereka yang berminat untuk berhibur sambil menderma menjayakan usaha murni ini bolehlah membuat tempahan meja RM5,000 dan RM3,000 untuk 10 orang atau individu RM300 seorang dan kerusi galeri RM50 seorang.

Keterangan lanjut sila hubungi Noor Fatimah, D’Reka Batik Sdn. Bhd. atau Anieda untuk tempahan di talian 03-42514560/03-42514561.

Powered by Utusan Malaysia