Archive | Marsha Milan Londoh RSS feed for this section

'Saya Bukan Punca Aril Tersingkir'

30 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

RAMAI meramalkan Aril bakal ke konsert akhir, malangnya dia tersingkir pada minggu ke-7.

Marsha tolak dakwaan jadi boneka ciptaan Astro apabila terima undangan sebagai pembantu residen AF

KECOH seketika apabila peserta Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Aril tersingkir pada konsert minggu lalu. Ramai tidak menyangka adik kepada Izwan Pilus itu harus melangkah pergi meninggalkan akademi biarpun memberikan persembahan hebat menerusi lagu Nakal nyanyian kumpulan Dewa.

Pelbagai spekulasi timbul punca penyingkiran jejaka bernama Khairil Azam Pilus ini termasuk dikatakan bersikap ‘poyo’ (perasaan bagus). Tetapi paling kecoh apabila nama bekas peserta AF, Marsha Milan Londoh dikatakan sebagai punca penyingkiran itu.

Siapa sangka bintang jelita yang turut melakar nama daripada pertandingan realiti yang sama itu menjadi panas gara-gara memenuhi undangan produksi pihak Astro menggalas tugas sebagai pembantu residen kepada pelajar perempuan AF7.

Bagaimanapun bekas teman rapat Kefli itu yang dihubungi Hip baru-baru ini untuk mendapatkan kenyataan mengenai isu ini tidak mudah melatah.

Gadis jelita itu tidak menganggap kehadirannya selama seminggu di akademi itu sebagai boneka yang dicipta Astro, malahan undangan yang diterima itu dilakukan atas dasar profesionalisme.


Marsha Milan Londoh

Katanya lagi, dirinya tidak patut dijadikan sebab mengapa Aril tersingkir biarpun jejaka itu disebut antara calon kegemaran yang bakal ke peringkat akhir.

“Saya bukan punca Aril tersingkir. Saya sendiri terkedu dan menangis seketika saat nama Aril disebut sebagai pelajar yang tersingkir. Berdasarkan sepanjang minggu berada di akademi, saya sendiri berasa dia tidak patut tersingkir lebih awal kerana prestasi yang ditunjukkannya cukup baik.

“Bagaimanapun saya tidak boleh berkata apa-apa kalau orang terus menuduh saya sebagai punca dia tersingkir. Kenapa sepanjang minggu berada di dalam akademi dan disiarkan menerusi diari, peratusan Aril naik mencanak? Apa yang saya dapat rumuskan mungkin pengundi dan peminatnya menganggap dia sudah selamat dan berada di zon selesa hingga terlupa untuk mengundinya. Dia hanya mangsa keadaan.

“Saya tidak beranggapan kehadiran saya ke akademi seperti diperalatkan kerana tujuan ke sana sekadar membantu dan berkongsi pengalaman yang ada dengan pelajar AF7. Mengenai babak yang menunjukkan hanya saya dan Aril di dalam diari itu mungkin ada yang tahu ia adalah di luar bidang kuasa saya kerana pihak produksi yang melakukan suntingan untuk menyiarkan apa klip sekalipun sebagai gimik,” katanya sambil menjelaskan hakikat dan situasi sebenar yang berlaku di akademi mungkin tidak diketahui sepenuhnya peminat program realiti itu.

Apa juga hentaman dan cercaan yang singgah ke hatinya selepas muncul di akademi, peluang berada di situ ibarat kenangan terindah yang kembali segar dalam ingatannya. Ironinya, Marsha juga pernah berada di dalam situasi yang sama ketika menyertai AF musim ketiga.

Ditanya mengenai Aril yang dikatakan bersikap ‘poyo’, gadis Tamparuli Sabah ini pada mulanya turut menyangkakan hal yang sama. Namun selepas seminggu berada di dalam akademi, ternyata tanggapannya terhadap Aril mula terhakis.

“Saya gembira dan bertuah kerana diundang ke akademi biarpun saya tahu ada yang mempersoalkan layakkah saya dipanggil sebagai pembantu residen. Saya percaya setiap inci perkara mesti ada baik dan buruknya. Terpulanglah kepada orang yang nak menilai kerana saya tidak boleh memuaskan hati semua orang.

“Biarpun seminggu berada di sana, hubungan saya dengan pelajar ibarat sebagai sebuah keluarga yang rapat. Mereka pun bagus dan saya tahu bagaimana perasaan berada terasing daripada keluarga kerana saya sudah melalui perkara yang sama. Mungkin juga kehadiran saya sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan mereka terhadap keluarga,” katanya.

Berita Harian

Advertisements

Drama AF7 'Bunuh' Aril

28 Apr

Oleh MOHD. YUSMAN AWANG
yusman.awang@yahoo.com


ARIL (kanan) dikatakan tersingkir kerana pengundi teruja untuk membantu Aishah (dua dari kanan) daripada tersingkir.

BAYANGKAN American Idol disuntik elemen drama membabitkan isu remeh-temeh dan gosip tentang para pesertanya. Bayangkan pula Akademi Fantasia tanpa elemen tersebut.

Memang tidak adil untuk membuat perbandingan antara American Idol dan Akademi Fantasia tetapi apa yang jelas, kedua-dua program realiti TV popular itu memiliki matlamat yang sama iaitu untuk melahirkan penyanyi berbakat dan popular hasil pilihan ramai.

Namun apabila disuntik elemen drama dan gosip cinta, matlamat itu sudah menjadi kacau. Membandingkan produk kelahiran American Idol dan Akademi Fantasia, jenis penyanyi yang bagaimanakah kita harapkan untuk menjana industri muzik?

Lihat bagaimana produk American Idol seperti Kelly Clarkson dan Carrie Underwood yang lebih membanggakan dari segi pencapaian karier muzik mereka berbanding heboh dengan gosip murahan.


ARIL mempunyai jawapan tersendiri kenapa dia memeluk kesemua tenaga pengajar AF7, termasuk Tiara.

Bandingkan mereka dengan produk-produk kelahiran AF. Bukan untuk menuduh produk kelahiran AF tiada yang membuat pencapaian gemilang dalam karier muzik, tetapi majoritinya lebih condong ke arah isu remeh-temeh membabitkan isu peribadi terutama sekali gosip cinta, melebihi pencapaian mereka dalam bidang seni.

Justeru, apabila menyaksikan persembahan memberangsangkan daripada Khairil Azam Pilus atau Aril, pada konsert ketujuh Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) menerusi lagu popular Gigi, Nakal, peserta berusia 24 tahun itu dilihat sebagai produk penting AF.


TANPA ARIL. Pelajar AF7 yang berpeluang ke final, dari kiri, Hafiz, Claudia, Isma, Aishah, Akim dan Yazid.

Namun gara-gara mahu menyemarakkan AF7 dengan elemen drama, peserta yang berpotensi untuk menjadi suatu produk AF yang berlainan berbanding produk-produk AF sebelum ini ternyata telah ‘dibunuh’ peluangnya!

Itu nasib malang yang menimpa Aril, apabila diumumkan sebagai peserta kelapan yang tersingkir pada konsert yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam Sabtu lepas.

Cuba menyelami reaksi Adlin Aman Ramlie terhadap penyingkiran Aril, juri tetap AF7 itu mengakui dia berasa cukup terganggu. Sebelum ini, dalam kritikannya terhadap persembahan Aril, dia melabelkan Aril sebagai produk yang belum pernah ada dalam AF.

Adlin ternyata tidak senang apabila bekas pelajar AF3, Marsha Milan Londoh ‘dimasukkan’ ke kampus AF7 yang kemudian digambarkan dan boleh dilihat oleh penonton menerusi Diari AF7 pada minggu lepas, seolah-olah dia sedang cuba menjalinkan cinta dengan Aril. Malah lebih hebat, ditonjolkan klip Marsha mengurut tengkuk Aril!


PRODUK berbeza. Aril memberikan persembahan hebat yang lain daripada pelajar AF sebelum ini.

HAFIZ menduduki tempat tertinggi di AF7 saat ini.


SEPERTI ada sesuatu yang membelenggu Isma pada persembahannya kali ini.

“Penyingkiran Aril itu menunjukkan faktor populariti dipengaruhi elemen personaliti,” ujarnya kepada Kosmo!.

“Apabila Marsha dimasukkan ke dalam kampus AF7 pada minggu lepas dan ditonjolkan seolah-olah sedang bercinta dengan Aril, saya fikir ia telah mempengaruhi pengundi-pengundi AF7 di luar sana.

“Kemasukan Marsha itu menyebabkan ada faktor luaran yang kurang menyenangkan. Apakah tujuan Marsha dimasukkan ke situ. Akhirnya, gimik yang dilakukan telah memakan diri,” tegasnya lagi.

Tambah Adlin: “Elemen drama yang disuntik membabitkan Marsha itu bukan suatu penjenamaan yang bagus untuk AF. Kesimpulan hasil perbincangan saya dengan beberapa pihak mendapati elemen drama yang cuba diterapkan itu lebih banyak mendatangkan negatif kepada personaliti peserta.

“Pengundi mengundi peserta bukan sekadar berdasarkan persembahan pada malam konsert tetapi juga dari sudut personaliti peserta yang boleh diperhatikan setiap hari menerusi Diari AF. Juri hanya mampu memberikan pengaruh dari segi pandangan terhadap skil dan mutu persembahan peserta.”

Dalam pada itu, Adlin tidak menyalahkan penonton. “Saya tidak salahkan pengundi dalam hal ini kerana mereka ada dua pilihan sama ada menyukai peserta kerana personaliti atau kerana persembahan. Tapi apabila diganggu dengan elemen drama seperti yang dicetuskan dengan penglibatan Marsha itu, bagi saya itu suatu gangguan terhadap personaliti peserta.

“Kalau saya jadi abang, bapa atau pengurus Aril saya saya tidak mainkan elemen itu untuk mengangkat personaliti Aril kerana ia lebih condong ke arah negatif.

“Senario berbeza dilihat terhadap seorang lagi peserta AF7, Hafiz yang dilihat memiliki personaliti yang bersih dan naif, tidak diganggu dengan elemen drama yang boleh meletakkan dirinya dalam suasana seperti yang dialami Aril dan ditambah dengan persembahannya yang bagus, justeru sebab itu dia muncul menjadi pilihan nombor satu pengundi,” tegasnya.

Namun, lain pula pandangan seorang lagi juri AF7, Adibah Noor yang tidak melihat Marsha sebagai punca Aril tersingkir kali ini. Sememangnya Adibah antara yang sangat kecewa sehingga dia meluahkan kepada Kosmo!: “Dengan tersingkirnya Aril, harapan untuk melahirkan bintang yang berkaliber telah hancur musnah!”

Menurut Adibah, Aril sudah sedia maklum apabila Marsha dimasukkan ke kampus AF7 dengan matlamat untuk mengenakannya. “Jadi, Aril hanya menjadi dirinya tetapi dia tahu ketika mana yang perlu dikawal keadaan. Lagipun, Marsha bukan sahaja mengusik Aril, tetapi juga pelajar lain seperti Aishah,” ujarnya.

Dia mengakui tidak memahami apa kehendak pengundi AF7 terhadap peserta. “Aril hanya menjadi dirinya, setidak-tidaknya dia tidak hipokrit. Kalau sikap itu tidak disukai pengundi, saya fikir adakah peserta kena menjadi hipokrit untuk meraih undian penonton?” soal Adibah.

Menyentuh mengenai adakah penyingkiran Aril itu sebagai gimik supaya Aril boleh diundi masuk semula seperti prosedur AF sebelum ini, beritahu Adibah: “Saya rasa itu sesuatu yang perlu dilakukan bagi memberikan peluang semula kepada Aril tidak kiralah penyingkirannya itu suatu gimik ataupun secara kebetulan. Kalau tidakpun ada cadangan supaya pemilihan kemasukan semula dibuat oleh juri.”

Sementara menyentuh mengenai konsert mingguan yang sebelum ini sering meraih kritikan negatif, Adibah menyifatkan berlaku banyak peningkatan di kalangan pelajar pada konsert minggu ketujuh itu.

“Kesemua pelajar lelaki menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan terutama Akim dan Yazid yang akhirnya berjaya keluar dari kepompong mereka. Tapi saya tidak berpuas hati dengan ketiga-tiga pelajar perempuan – Isma, Claudia dan Aishah kerana mereka kelihatan seperti kembali ketika seperti mula-mula menyertai AF7. Saya tidak faham kenapa persembahan mereka seperti ada sesuatu yang membelenggu mereka,” katanya.

Dengan penyingkiran Aril, kini tinggal enam peserta yang masih berpeluang ke final AF7 iaitu tiga pelajar perempuan Ismaliza Ismail atau Isma, 30, Aishah atau nama sebenarnya Siti Aishah Bujang, 18, Claudia Fay Geres arau Claudia, 24, serta tiga pelajar lelaki iaitu Yazid atau nama penuhnya, Mohd. Yazid Ibrahim, 22, Mohd. Hafiz Mohd. Mohd. Suip, 19, dan Afiq Hakim Ahmad atau Akim, 18.

Kosmo

Tengok Wayang: Marsha Sanggup Ke Jakarta

4 Feb

Teks oleh Ellyna Ali

KUALA LUMPUR,  4 FEB 2009:  Kalau hendak menonton wayang, di Malaysia pun boleh, tetapi kenapa pelakon cantik dan seksi Marsha Milan Londoh sanggup terbang sampai ke Jakarta? Apakah filem yang ingin sangat ditontonnya di ibu negara Indonesia itu?

Sebenarnya, sejak filem Saus Kacang mula ditayangkan di pawagam Indonesia pada penghujung Disember tahun lalu, bintang Akademi Fantasia 3 itu akui dia masih belum sempat menyaksikan lakonannya sendiri dalam filem arahan Indrayanto Kurniawan itu.

Ini kerana dia tidak berpeluang menghadiri majlis pra-tonton filem yang diterajui pasangan suami isteri Ashraf Sinclair serta Bunga Citra Lestari Sinclair itu sewaktu ia berlangsung pada 11 Disember lalu.

“Ada masalah teknikal. Pada saat-saat akhir, saya tidak dapat pergi.  Frust juga rasanya sebab saya ingin tahu sangat sejauh mana maklum balas orang di sana terhadap lakonan saya,” kata Marsha kepada murai.com.my.

Sungguhpun begitu, Marsha berkata, bagi mengubati kekecewaannya, dia akan terbang ke Jakarta pada minggu hadapan untuk menyaksikan tayangan Saus Kacang.

“Nak tunggu tayangan di Malaysia lambat sangat. Kalau tidak silap saya pada Mac nanti. Jadi, lebih baiklah saya pergi tengok sekarang di sana. Saya akan ke sana bersama kawan baik saya, Shada.

“Sambil-sambil itu, saya akan ambil peluang untuk berjalan-jalan serta shopping apa yang patut. Kalau boleh saya hendak cari beberapa barangan yang boleh saya berikan untuk peminat saya.

“Dengan kata mudah, ia macam barangan merchandise. Di Jakarta harganya lebih murah. Kalau borong banyak, lagi untung. Semuanya saya lakukan untuk peminat yang dari dulu hingga sekarang tidak henti-henti menyokong kerjaya dan pembabitan saya dalam bidang seni ini,” katanya.

Tentang albumnya yang sekian lama terperap, Marsha berkata, buat masa ini ia masih lagi dalam pembikinan.

“Ada beberapa perubahan yang terpaksa dilakukan dalam album saya nanti. Ia menyebabkan ia mengambil masa untuk dikeluarkan. Saya harap peminat akan bersabar,” katanya.

Tentang buah hatinya, Kefli pula, Marsha berkata, sejak kebelakangan ini, Kefli sentiasa sibuk dengan shooting.

“Saya sendiri pun tak ada banyak masa untuk berjumpa dengan Kefli. Tapi dia OK dan kami berdua masih berkawan,” katanya lagi.

 

Murai

Marsha Keluar Maestro?

4 Aug

Oleh FAIZAL SAHARUNI mfaizal@kosmo.com.my

TEMPOH tiga tahun mengecapi kemasyhuran bersama pihak pengurusan artis, Maestro Talent & Management Sdn. Bhd., kontrak Marsha kini sudah pun berakhir beberapa bulan lalu.

Sama ada kontrak yang dimeterai sebelum ini diteruskan ataupun Marsha dilepas bebas berterbangan, semua masih menjadi persoalan yang bersarang di hati penyanyi popular menerusi lagu Untuk Kali Terakhir.

“Kalau boleh saya nak keluar,” luah Marsha perlahan tatkala ditanya pendirian sama ada mahu terus berpayung di bawah Maestro yang memiliki kredibiliti mengurus perjalanan seni artis kelahiran Akademi Fantasia (AF).

Marsha mengakui kontrak bersama Maestro sudah berakhir, tetapi semuanya masih dalam peringkat perbincangan antara kedua belah pihak. “Saya tidak boleh ulas panjang lebar sebab saya sendiri pun tidak tahu situasi sebenar diri,” jawabnya dalam nada lembut.

Membutir pendapat peribadi, Marsha menganggap jika diberi peluang, dia mahu mengundur diri daripada Maestro setelah melayari bahtera bersama sepanjang tiga tahun.

Menyambung hujah, Marsha melihat senario kehadiran AF6 dan barangkali AF7 yang bakal muncul tidak lama lagi bakal memberi tekanan buat pihak pengurusan dan dirinya sendiri.

Justeru, Marsha menganggap lebih baik dia ‘mengangkat’ kaki daripada Maestro supaya dia tidak merasai perasaan dipinggir atau disisihkan.

“Saya masih belum buat keputusan muktamad. Bergantung pada keadaan selepas habis bincang dengan Maestro kelak.

“Paling penting, saya cukup bertuah kerana masih diberikan perhatian pihak pengurusan, cuma kalau boleh saya inginkan individu tertentu yang menjaga saya seorang atau dua, tiga penyanyi lain.

“Bukan nak kata pihak pengurusan sekarang tak bagus, tetapi saya lihat Maestro kini makin banyak artis,” jelas Marsha lagi.

Hati manusia sukar sekali hendak ditafsir, begitu juga dengan perasaan Marsha yang payah ditebak. Barangkali dia mahu keluar daripada cengkaman Maestro gara-gara masih belum ada album sendiri walau tiga tahun berlalu pergi.

“Saya agak kecewa juga sebab masih tiada album sendiri sedangkan artis baru yang muncul, terus punya album masing-masing.

“Enggan melatah dan berputus harap, saya selalu berfikiran positif dalam soal ini. Saya sentiasa percaya dan menekankan prinsip – nasib orang tidak pernah sama, malah rezeki kita pun lain-lain.


DILANTIK sebagai duta minuman air mineral berperisa buah-buahan bersama Rynn Lim.

“Saya tetap gembira sebab karier masih berjalan lancar, ada peluang jadi jurucakap, berlakon dan menyanyi. Saya tak boleh mengeluh, apatah lagi masa depan bidang seni tak selalunya cerah dan sukar diramal.

“Banyak benda saya nampak pada diri setelah menjadi anak seni. Sudah semestinya apa yang diperolehi dalam tempoh singkat ini masih belum memberi kepuasan buat saya. Banyak lagi yang perlu saya capai dalam dunia ini.

“Berbalik soal pembikinan album, inisiatif ingin muncul dengan album sulung memang ada, cuma bukan dalam masa terdekat ini. Saya tak kisah tunggu walau berapa lama sekalipun.

“Kalau kita hasilkan dengan kelam-kabut dan tiada kualiti pun, maka tiada gunanya bukan? soal Marsha pantas tersenyum penuh makna.

Cinta baru Marsha Niat di hati ingin menampilkan bakat sebagai penyanyi dan melantunkan vokal lunaknya buat tatapan khalayak, namun takdir tidak terhingga menentukan segala-gala buat Marsha.

Tiada siapa menyangka, selepas melangkahkan kaki keluar (AF3) tiga tahun lalu, wajah si jelita ini dilihat mekar menghiasi layar kaca sebagai pelakon, bukannya sebagai penyanyi.

Bukan mengejutkan kerana Marsha punya pakej yang diibarat syarat wajib ada untuk melibatkan diri dalam industri seni – cantik dan berbakat.

Lalu, tidak hairanlah apabila Marsha senang menembusi apa jua halangan serta tembok kukuh yang berada di depannya tanpa mengalami kesulitan.

Selain menerima undangan nyanyian, Marsha mengaku kerap ditawar peluang berlakon setelah mengakhiri ‘tahanan’ berkurung dalam akademi hampir tiga bulan.

“Habis saja AF3, saya menerima banyak undangan nyanyian, namun saya juga diberikan peluang untuk berlakon dengan sebuah produksi terkenal untuk tayangan sebuah stesen TV.

“Semua berjalan dengan baik hinggalah drama itu terpaksa dihentikan di pertengahan jalan kerana mengalami masalah tertentu antara produksi dengan stesen TV berkenaan.

“Agak kecewa juga dengan situasi yang berlaku, tetapi saya malas nak fikirkan sangat perkara itu, lalu meneruskan saja bidang nyanyian yang diminati.

TIDAK berhenti berharap kemunculan album sulungnya.

“Tidak lama kemudian, kekecewaan itu terubat apabila saya ditawar watak Karina dalam Kerana Karina yang merupakan drama bersiri pertama di internet Malaysia.

“Dari situlah saya betul-betul minat berlakon,” akui Marsha ketika ditemui pada acara yang memperkenal dirinya sebagai jurucakap Spritzer Tinge di Petaling Jaya baru-baru ini.

Selain Marsha, seorang penyanyi, pelakon dan pencipta lagu popular di Asia, Rynn Lim turut digandingkan dengan Marsha sebagai duta air mineral semulajadi berperisa buah-buahan yang tidak mengandungi pewarna dan karbonat itu.

Sambung Marsha, saat berlakon drama berkenaan dalam musim pertama, dia masih berasa gementar apatah lagi diganding dengan deretan nama besar dan hebat di persada lakonan termasuk Sazzy Falak dan Zizan Nin.

“Lama-kelamaan perasaan itu hilang setelah drama ini memasuki musim kedua. Saya dapat biasakan diri dengan bidang lakonan lebih-lebih lagi saya menerima tunjuk ajar daripada pengarah dan pelakon lain.

“Saya cukup teruja kerana selepas melibatkan diri dengan produksi Kerana Karina, semangat hendak berlakon terus membara dan melekat dalam diri.

“Rasa gembira sangat sebab saya dapat tambah pengetahuan dalam dunia lakonan. Lantas saya berpendapat untuk meneruskan sahaja karier lakonan tanpa sesekali menyisihkan cabang nyanyian.

Rancang sertai kelas lakonan Ramai yang terpesona dengan gadis bernama Marsha Milan Londoh. Dikurnia wajah yang cantik, ditambah pula dengan sepasang bibir menawan, membuatkan dia sentiasa menjadi igauan lelaki.

Itu semuanya sudah diketahui umum, justeru Marsha enggan cerita-cerita nakal terus menghantui diri. Dengan rasa penuh keterujaan, gadis berusia 23 tahun ini berkongsi perancangan ingin memasuki kelas lakonan demi meningkatkan diri pada tahap lebih atas.

“Sebelum ini pihak Maestro pernah mengadakan kelas lakonan yang dibuka kepada bekas pelajar AF selama dua kali seminggu.

“Cuma sukar buat saya dan rakan AF lain nak sertai kelas ini dek masing-masing punya komitmen serta jadual harian yang padat hampir setiap hari.

“Sedih juga sebab saya tidak dapat sertai kelas berkenaan, tetapi sekarang saya tengah memikirkan hendak ambil kelas lakonan di luar bagi memantapkan diri sebagai pelakon yang baik.

“Saya harus aturkan jadual seni dengan baik terlebih dulu kerana susah hendak berkejar ke sana ke mari. Niat untuk belajar dalam kelas lakonan memang ada, cuma ia bukanlah dalam waktu terdekat ini.

“Lagipun saya menghadapi masalah pengangkutan kerana saya sendiri tidak memandu dan tiada lesen kereta. Jadi pergerakan saya agak terhad dan terbatas.

“Kalau tiada sebarang masalah, saya akan mengambil lesen memandu sebelum penghujung tahun ini bagi menyelesaikan segala masalah saya ini,” azam Marsha bersungguh-sungguh untuk bergelar pemandu jelita di jalanan.

Kosmo

Marsha Cari Pengurusan Baru?

4 Aug

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my


KOLABORASI… Duta Tinge, Spritzer, Marsha dan Rynn Lim.

NAMA Marsha Milan Londoh bukan lagi asing di kalangan peminat seni hiburan tanah air. Mula dikenali sejak menyertai program realiti yang cukup fenomena iaitu Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), pesona gadis manis berketurunan Kadazan – Dusun itu sehingga kini masih lagi utuh.

Tiga tahun menggenggam gelaran sebagai artis yang dipayungi pengurusan Maestro Talent, Marsha kini lebih memahami tentang asam garam hidup sebagai individu yang sering menjadi perhatian umum.

Berdepan dengan pelbagai kerenah peminat serta pernah menjadi buah mulut orang terutama berkaitan kisah cinta ‘tidak menjadi’ dengan jejaka satu akademi dengannya iaitu Kefli, Marsha tidak mudah melatah.

Malah, dijadikan iktibar untuk lebih berani melangkah sebagai artis yang punya matlamat.

Perjalanan seni gadis berusia 23 tahun itu kini bukan sahaja statik sebagai seorang penyanyi tatapi juga turut melebarkan sayapnya kelapangan lakonan serta jurucakap produk.

Diam tak diam, perjalanan seni Marsha sudah menginjak ke tahun yang ketiga diuruskan oleh Maestro Talent & Management (Maestro) yang dinaungi sejak keluar dari AF3.

Kini, menurut Marsha dia baru sahaja tamat tempoh kontrak tiga tahun bersama syarikat itu.

“Kalau diikutkan sekarang ini kontrak saya dengan Maestro sudah habis. Tidak tahulah sama ada Maestro mahu sambung kontrak saya atau tidak. Semuanya masih lagi dalam perbincangan dan saya tidak boleh komen lebih.

“Dari hati saya sendiri, kalau boleh saya mahu keluar dari Maestro,” luah Marsha jujur dari hatinya.

Menurut Marsha pihak pengurusannya itu semakin banyak komitmen kerana setiap tahun bebanan mereka bertambah kerana perlu menguruskan bintang-bintang AF yang baru.

“Setakat ini pengurusan Maestro terhadap saya memang bagus, cuma fokus mereka terlalu ramai, sebab itu saya rasa perlu cari pengurusan baru,” kata Marsha tanpa berselindung.

Menurut Marsha dia menyedari banyak perubahan yang dilaluinya sepanjang menjalani kehidupan sebagai seorang artis.

“Perkembangan kerjaya saya setakat ini semuanya baik dan saya memang nampak perubahannya. Dari seorang penyanyi mula berkembang sebagai seorang jurucakap dan juga pelakon.

“Banyak yang saya dah nampak, sebab itu saya tidak boleh mengeluh. Apa yang pasti, saya masih belum puas hati lagi kerana mahu cuba mencapai lebih banyak perkara,” tutur Marsha penuh harapan.

Kepingin miliki album

Setiap artis yang bergelar penyanyi pasti bercita-cita memiliki album solonya sendiri. Begitu juga dengan Marsha, keinginan punyai album semakin membuak-buak dan perkara ini bukanlah baru diluahkannya.

“Sudah tiga tahun saya sebagai penyanyi tetapi masih belum ada album lagi. Kalau kita tengok, artis-artis realiti baru ramai yang sudah ada album.

“Sekarang ini, sejak jadi artis bawah syarikat Ajai, sekurang-kurangnya saya nampak seperti bakal memiliki album,” kata Marsha lagi.

Tambah Marsha kini dia sedang sibuk mempromosikan album runut bunyi, filem Sayang You Can Dance terbitan Wake The Baby.

Dalam album tersebut, Marsha mempertaruhkan single Bila Aku Cinta serta duet terbaru bersama Ajai menerusi lagu Sayang.

Menurut Marsha, dia sudah bersedia untuk memiliki album dan untuk memantapkan kerjaya nyanyiannya, kini dia sedang mencari kelas nyanyian untuk disertainya.

Semakin ligat berlakon

Sejak memulakan cabang baru dalam lapangan lakonan, gadis bermata cantik ini mengakui mula meminati dunia lakonan.

“Semenjak berlakon drama bersiri online, Kerana Karina saya sudah semakin minat berlakon. Dari drama tersebut, saya memperoleh banyak pengalaman dan ilmu tentang lakonan.

“Jadi, rasanya kenapa tidak saya sambung minat tersebut dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan kerjaya nyanyian saya,” katanya.

Menurut Marsha, dia bakal ke set pengambaran siri Kerana Karina musim ketiga sekitar bulan depan.

Keseronokan berlakon siri Kerana Karina membuatkan dia tidak berasa ragu-ragu untuk menerima tawaran berlakon dengan produksi lain.

Terbaru, Marsha baru sahaja habis pengambaran drama 26 episod, Mega Sekeping Hati yang bakal di tayangkan di RTM tidak lama lagi.

Marsha memegang peranan utama sebagai Suzana dalam siri yang turut dijayakan oleh pelakon jelita, Maria Farida itu.

Cerita Marsha, siri tersebut menceritakan tentang dua era yang berbeza. Karakter Suzana merupakan seorang pelajar kolej yang sering menjadi rebutan para pelajar lelaki di kolej yang sama.

“Cabaran yang saya lalui ketika berlakon dalam Mega Sekeping Hati ialah terpaksa berdepan dengan krew yang berlainan dengan set Kerana Karina.

“Apabila keluar dari kelompok orang-orang yang kita dah biasa kerjasama memang rasa susah sangat nak sesuaikan diri pada mulanya. Bagaimanapun, lama kelamaan saya sudah boleh sesuaikan keadaan dengan orang-orang baru,” katanya.

Jurucakap produk

Rezeki gadis yang berasal dari Tamparuli, Sabah ini rupa-rupanya tidak hanya tertumpu dalam bidang nyanyian dan lakonan semata-mata. Baru-baru ini, Marsha terpilih sebagai jurucakap produk Tinge, Spritzer bersama artis berbangsa Cina, Rynn Lim.

Ini merupakan kali ketiga Marsha menjadi jurucakap produk selepas Power Root tiga tahun lalu dan produk Nivea pada tahun lalu.

Menurut Marsha, rasional utama dia menjadi duta Tinge, Spritzer adalah kerana air mineral berperisa itu merupakan minuman kesihatan yang memberi banyak khasiat kepada orang ramai.

“Spritzer memang kita semua tahu antara jenama yang besar dalam pengeluaran air mineral. Kini sudah memberi nafas baru kepada Tinge dalam dua perisa iaitu lemon dan buah-buahan.

“Ia merupakan salah satu minuman yang berkhasiat dan baik untuk kesihatan kerana rendah kalori. Jadi, saya rasa teruja untuk menjadi duta kepada produk-produk yang membawa kebaikan seperti ini,” kata Marsha mengakhiri perbualan.

Utusan Malaysia

Marsha Dibuang Keluarga?

12 May

Oleh FAIZAL SAHARUNI

TEMPIAS khabar angin bekas pelajar Akademi Fantasia 3 (AF3) Marsha, 23, dibuang keluarga kerana memilih ‘kekasih’ yang bukan ‘sealiran’ benar-benar terkena dan menyentak dirinya.

Tiada pepohon yang bergoyang, malah tiada pula ribut taufan melanda, namun fitnah yang tidak diketahui asal-usulnya itu terus berlagu riang mengganggu jiwa gadis jelita ini.

“Saya dan keluarga memang tiada sebarang masalah. Kami tetap bersama dan masih seperti biasa.

“Cerita saya dibuang keluarga itu tidak betul. Orang tua saya di kampung juga terkejut tatkala mendengar cerita ini.

“Saya tidak mahu ia terus diperbesarkan. Tak tahulah macam mana gosip ini boleh timbul sedangkan kami baik-baik belaka.

“Enggan ia menjadi lebih buruk dan beri kesan, saya beritahu keluarga, kita tak boleh hendak berbuat apa-apa dengan tohmahan ini.

MENGAKUI hubungan intimnya dengan Kefli sudah sedikit renggang.

“Apa jua yang kita cakap, orang lain tetap akan perkatakan,” kata Marsha optimis ketika ditemui pada sidang media drama online Kerana Karina 2 di ibu negara baru-baru ini.

Menolak ke tepi soal dibuang keluarga, Marsha memperlihatkan keterujaan untuk pulang ke kampung halamannya di Tamparuli, Sabah.

“Sebenarnya saya terima undangan nyanyian sempena Pesta Menuai bersama Felix AF3.

“Alang-alang dah balik ke Sabah, lalu saya ambil keputusan untuk menghabiskan masa dengan keluarga beberapa hari,” beritahu Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh.

Kontroversi Marsha dibuang keluarga mula beraja disebabkan Marsha dan Kefli yang juga bekas pelajar AF3 dikatakan dilamun cinta, namun mereka terang-terangan memberi jawapan klise – “Kami hanya kawan.”

Bukan setakat itu sahaja, ramai yang terserempak dengan dua pasangan secocok ini. Mereka sering bersama walau ke mana jua berada.

MARSHA bijak mengawal diri dalam keadaan kecemasan.

Mana mungkin hati tidak mengiakan. Gaya dan lenggok tubuh badan Marsha dan Kefli jelas mengisyaratkan mereka sedang mabuk dilanda asmara.

Mahu kembangkan karierAndai cerita Marsha dimusuhi dan dijauhi keluarga menjadi rekaan semata-mata, barangkali Marsha tiada sebarang masalah bercinta dengan pemuda bukan seagama apatah lagi lampu hijau sudah diperoleh daripada famili.

“Bab jodoh saya tak boleh nak ulas lanjut. Saya dan Kefli memang kawan rapat macam biasa.

“Belum terfikir soal cari pasangan hidup. Kalau boleh saya nak kembangkan karier. Andai terlampau sibuk bercinta, ditakuti kerjaya saya entah ke mana,” ungkapnya yang dilahirkan pada 6 Disember 1985.

Dalam keriuhan mulut masyarakat berbicara tentang kisah kurang enak itu, Marsha mengakui hubungan yang terjalin dengan Kefli menjadi sedikit renggang.

“Mungkin juga,” jawab Marsha ringkas tatkala diaju persoalan sama ada khabar angin itu menjejaskan ‘persahabatan’ yang mereka bina selama ini.

BUKAN wanita materialistik yang boleh dibeli dengan wang ringgit.

Marsha menyambung, dia dan Kefli masing-masing ada komitmen sendiri dan sibuk bekerja terutama dalam melebarkan sayap sebagai pelakon.

“Kami sibuk sangat sekali gus membuatkan saya dan Kefli jarang ada kesempatan bertemu.

“Begitu pun, kami masih berhubung menerusi SMS bertanya khabar antara satu sama lain,” ujar Marsha berterus-terang.

Menggigil terima panggilan misteriSukar dinafikan, sikap mesra dan manja yang selalu ditonjolkan Marsha sering disalah tafsir. Pandangan umum biasanya mengaitkan wanita jenis ini mudah didekati dan mudah diperkotak-katikkan.

Bukannya berlakon atau sengaja berkelakuan sedemikian di khalayak, Marsha mengakui sudah menjadi tabiatnya cepat ramah dengan sesiapa sahaja yang menghampiri terutama peminat.

“Rasa terkilan sangat sebab perangai saya sering disalah anggap. Baru-baru ini ada seseorang menghubungi saya. Tak tahu macam mana dia dapat nombor telefon bimbit saya.

“Orang itu beritahu bos dia nak bayar RM6,100 untuk berjumpa saja dengan saya untuk satu malam.

TIDAK berhenti berharap untuk muncul dengan album sulungnya.

“Ketika terima panggilan itu, jantung saya berdebar-debar dan tangan pula menggigil. Takut sangat dengan apa yang dikatakan individu itu.

“Nasib baik dalam keadaan kecemasan itu saya terus dapat idea. Saya beritahu orang itu saya bukan Marsha, sebaliknya teman Marsha,” jelasnya mengimbas saat dia mahu ‘dibeli’ dengan harga RM6,100.

Tegas Marsha, dia bukannya wanita yang mudah dibeli dengan wang ringgit atau materialistik. Duit memang jadi keutamaan di zaman ini, cuma cara haram memang bukan permainan Marsha.

“Saya sanggup kerja kuat selama 24 jam. Tak mungkin saya nak terima pelawaan yang barangkali ada niat jahat itu.

“Kalau ada yang anggap saya jenis perempuan yang boleh dibeli dengan wang dan kemewahan, ternyata dakwaan itu salah,” tutur Marsha mempertahan prinsip dan kehormatannya sebagai wanita bermaruah.

Album dalam persiapanDi waktu bekas pelajar AF lain sudah membuat album dan terus mengutip bintang-bintang bertaburan di laman seni, Marsha pula masih mencari haluan dalam bidang nyanyian.

“Saya masih menyanyi, malah saya terus terima undangan nyanyian korporat dan pertunjukan lain, cuma tiadalah sebarang publisiti.

“Jangan tak tahu, jadual nyanyian saya masih kencang,” kata Marsha mengingatkan ramai kemunculannya dalam industri ini bertitik awal daripada rancangan realiti nyanyian terkenal, AF3.

Marsha kini meneruskan perjuangannya dalam seni suara dengan dipayungi syarikat milik penyanyi dan komposer terkenal, Ajai iaitu Wake The Baby Sdn. Bhd. sejak tahun lalu.

“Saya rakamkan lagu dengan Ajai sejak tahun 2007. Boleh dikatakan sebanyak 60 peratus bahan telah disiapkan untuk album pertama saya yang bakal menemui peminat tahun ini kalau ikut perancangan.

SERASI bergandingan dengan Zizan Nin menerusi dua siri Kerana Kirana.

“Ajai tak habiskan keseluruhan album ini pada satu waktu kerana dia ada komitmen sendiri. Jika Ajai punyai waktu terluang, dia akan teruskan pembikinan album saya.

“Kalau dia sibuk dan jadualnya padat, proses penghasilan album saya akan dihentikan buat seketika.

“Tak kisah kena tunggu lama asalkan saya ada album sendiri,” beritahu Marsha yang kini berjinak-jinak sebagai pengacara dalam program Gaya Ratu untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Marsha yang terkenal menerusi watak Karina dalam drama laman web pertama di Malaysia Kerana Karina yang kini berhasil memasuki musim kedua turut memberitahu, dia melibatkan diri dalam dunia lakonan bagi mencabar diri sendiri.

“Saja nak tengok sejauh mana kemampuan saya. Kalau boleh nak jadi artis versatil dan tak hanya bergantung pada satu cabang semata-mata.

“Selain itu, peminat dapat lihat Marsha masih wujud dalam industri hiburan. Sambil tunggu nak habiskan album, lebih baik saya ambil tawaran berlakon,” jelas Marsha bijak merencana masa depannya.

Kosmo