Archive | Mas Idayu RSS feed for this section

Depan Mata: Jac Layak Jadi Mentor?

27 Apr

Rap
PERANG program realiti sudah bermula. Jika One In A Million musim ketiga (OIAM3) menutup tirainya Jumaat ini untuk memilih juara ketiga selepas Suki dan Ayu, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pula menyusul pertengahan Mei.

Mei juga bakal menyaksikan pertarungan peserta Bintang RTM dan Mentor musim ketiga. Matlamatnya sama, mencungkil bakat baru dalam bidang nyanyian seterusnya melahirkan sebutir bintang di empat stesen televisyen, OIAM di 8TV, AF (Astro), Bintang RTM (RTM) dan Mentor (TV3).

Tidak cukup saingan mencungkil bakat penyanyi, diperkenalkan pula program mencari pelakon.

Bukan satu, tetapi ada dua program yang punya konsep sama, Anak Wayang untuk siaran Astro dan Pilih Kasih (RTM). Sebelum ini ada Audition di ntv7, tetapi hanya sempat bersiaran dua musim terus hilang.

TV3 pula tampil dengan Mentor musim ketiga memperkenalkan enam mentor, Adibah Noor, Lah VE, Awie, Ajai, Mas Idayu dan Jaclyn Victor. Mereka bakal membimbing protege yang berjaya dipilih hasil uji bakat.

Konsep Mentor agak unik dan berbeza kerana mentor akan menurunkan segala ilmu dimiliki kepada seorang protege. Apabila enam mentor itu diperkenalkan, tertanya -tanya juga mengapa Jac?

Bukan menidakkan kemampuan penyanyi Gemilang itu, tetapi rasanya baru saja kita lihat pahit getir dan perjuangan Jac dalam program realiti Malaysian Idol. Kini sudah menjadi mentor untuk membimbing protege?

Sudah tiada lagikah artis kita yang berpengalaman dan berpengetahuan luas untuk menjayakan program itu? Sudah tentu ramai yang lebih layak, lagipun program itu hanya memerlukan enam mentor.

Sekadar memberi beberapa contoh, Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sharifah Aini, Aishah, Datuk DJ Dave, Anuar Zain, Ziana Zain, Ramlah Ram, Rahim Maarof, Amy Mastura, Deja Moss, Camelia, Francissca Peter, M Nasir, Jamal Abdillah, Ella dan Fauziah Latiff.

Cuma mungkin masalah komitmen atau pun mereka tidak menjadi pilihan kerana faktor populariti. Maklumlah, untuk menarik penonton, perlukan artis popular.

 

 

Dalam pengejar populariti, sememangnya stesen televisyen meletakkan percaturan kepada nama-nama popular. Kehadiran artis yang sudah ada nama sebagai peserta menjadi tarikan OIAM dan konsep ini turut digunapakai AF7 apabila membuka penyertaan kepada artis yang pernah merakamkan album.

Kalau pesertanya tidak popular, pengacaranya perlu artis dikenali. Mungkin atas dasar itu, Anak Wayang memilih dua pelakon popular, Fazura dan Rusdi Ramli sebagai pengacara.

Mungkin RTM perlu menggunakan pendekatan ini untuk Bintang RTM kerana saban tahun program itu kurang diperkatakan walaupun menampilkan peserta yang punya vokal mantap.

Apabila dinamakan perang, tentulah masing-masing mengatur strategi untuk memastikan program mereka menarik perhatian penonton. Kalau tidak ramai yang menonton, bermakna program dianjurkan tidak popular.

Antara AF, OIAM, Mentor dan Bintang RTM, mana satu lebih popular dan menjadi sebutan? Rasanya AF lebih berjaya bukan sekadar mencipta fenomena malah satu ketika sampai deman dengan pelbagai kejutan saban minggu hingga ramai ternanti-nanti apa lagi bentuk kejutan diperkenalkan.

Kalau diikutkan jumlah penonton yang melanggan Astro, banyak manalah berbanding mereka yang boleh menonton saluran percuma.

OIAM dan Mentor bertuah kerana 8TV dan TV3 berada di bawah payung Media Prima Berhad yang ada stesen radio Hot FM, Fly FM dan One FM. Tidak cukup dengan itu, bantuan rakan media dari akhbar kumpulan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP).

Bintang RTM juga mempunyai ruang sama kerana stesen kerajaan itu ada RTM1 dan RTM2 dan juga stesen radio tapi kalau diukur dari segi populariti, Bintang RTM paling bawah.

Mungkin RTM memerlukan rakan media untuk menyokong program mereka. Begitu juga Anak Wayang dan Pilih Kasih yang mempunyai konsep sama, perlu mengatur strategi sendiri. Bagaimana caranya? Tentulah melalui publisiti dan promosi yang dilakukan sama ada percuma atau berbayar.

Tapi dalam dunia berkiblat kebendaan dan wang ringgit, tiada yang percuma. Kalau ada duit, semua boleh jadi. Bukan maknanya sogok rasuah untuk membodek tapi melalui pembelian iklan di media cetak. Itu cara paling mudah dan berkesan.

Saya sarankan beli iklan di akhbar nombor satu Harian Metro yang mempunyai lebih dua juta pembaca. Astro sanggup melabur wang yang banyak bagi memastikan publisiti dan promosi program terbitannya di akhbar kumpulan NSTP terutama AF dan Anak Wayang.

Pilih Kasih juga perlu peruntukkan bajet besar untuk publisiti. Rasanya bajet bukan masalah kerana Suhan Movies & Trading Sdn Bhd mendapat tajaan RM4.3 juta daripada syarikat telekomunikasi.

Lebih-lebih lagi untuk merealisasikan azam Rosyam Nor mahu mencipta sejarah melalui Pilih Kasih sekaligus menaikkan rating RTM.

Sesuai dengan bajet besar dan azam besar, publisiti juga perlulah besar, jangan nanti orang bercakap mengenai Anak Wayang tetapi Pilih Kasih kurang menjadi pilihan.

Kalau masih ada berpegang cara lama dengan meminta simpati daripada rakan media atau bermodalkan air liur dan muka manis, sekali dua mungkin boleh tapi untuk memastikan publisiti besar-besaran dan berterusan, kuasa duit sangat penting.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Advertisements

Awie Cari Pengganti Ella

8 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

SEBAHAGIAN peserta uji bakat yang sabar menunggu giliran.

Vokalis kumpulan Wings itu memulakan usaha awal menerusi program realiti Mentor

MATLAMATNYA Awie untuk melihat sendiri ke sesi uji bakat rancangan Mentor musim ketiga-tiga baru ini, hanya satu saja iaitu mencari peserta yang mampu menggantikan ratu rock tanah air, Ella.

Ini dilakukan ketika Ella sendiri sejak akhir-akhir seperti mula memperlahankan rentaknya dalam dunia seni.

Paling tidak, kata Awie, protegenya itu boleh duduk seiringan, jika tidak mampu menyaingi penyanyi rock wanita yang masih mengekalkan popularitinya sehingga ke hari ini.

“Begitupun, bukan kerja yang mudah untuk mencari enam peserta yang diharap mampu memenuhi kriteria saya kehendaki. Sebahagian peserta uji bakat mempunyai karisma dan personaliti, tetapi bakat pula yang tidak seberapa,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di ibu negara yang menjadi lokasi uji bakat program realiti terbitan TV3 itu.

Pada hari itu kira-kira 80 bakat baru hadir mencuba nasib. Awie mencari seorang protege wanita yang mampu digilap sebagai penyanyi rock yang baik. Justeru, beberapa peserta lelaki yang datang terpaksa pulang dengan hampa, setelah Awie sendiri memaklumkan tujuan sesi uji bakat itu diadakan.


AWIE ingin mencari protege wanita yang mampu menguasai dunia muzik rock.

Menurut Awie, bukannya dia mencari penyanyi yang sama dengan Ella, sebaliknya mempunyai karakter dan suara yang boleh menyaingi atau setara dengan artis berkenaan.

“Tetapi, saya amat kecewa pada hari ini kerana saya gagal menemui calon yang mampu memberikan persembahan terbaik. Ada peserta yang mempunyai bakat besar, tetapi pakej pula tidak mencukupi. Saya ingin mencari protege dengan penampilan menarik kerana pada akhirnya, peserta itu sendiri yang akan berada di atas pentas, cuba menarik perhatian penonton,” ῠkatanya.

Menurutnya, dia pernah terbang ke Sabah untuk mencari sendiri bakat yang dikira mampu digilap menerusi program itu. Sayangnya, calon yang ditemui adalah bukannya rakyat tempatan, sebaliknya dari Filipina.

“Jadi, saya tidak mampu memutuskan sama ada saya sudah menemui protege saya pada hari ini atau sebaliknya. Jika boleh, saya ingin meminta pihak penerbit untuk mengadakan pencarian protege ini di tempat lain pula,” katanya.

Selain Awie, lima mentor lain – Mas Idayu, Jaclyn Victor, Lah Ahmad, Adibah Noor dan Ajai – dikatakan sudah pun menemui protege masing-masing menerusi sesi uji bakat yang diadakan di Sri Pentas.

Berbeza dengan Mentor dua musim terdahulu, kali ini, mentor sendiri turun padang mencari bakat baru yang mereka rasakan mampu diketengah sebagai penyanyi, menerusi program yang memberikan kuasa kepada penonton menentukan pemenang.

700 peserta mencuba nasib

PENERBIT program Mentor, Muhamad Suffian Isa berkata, berdasarkan musim terdahulu, sebuah panel dibentuk sebagai penilai bagi mencari peserta yang akan disenarai pendek menyertai program terbabit.

“Apabila senarai pendeknya sudah dibuat, barulah mentor diberikan peluang memilih anak didik masing-masing. Sering kali berlaku, mereka akan tertarik kepada beberapa peserta yang sejak awal lagi dilihat paling menyerlah. Jadi, mungkin beberapa mentor berebutkan protege yang sama.

“Jadi, kali ini kami memberikan peluang kepada mentor itu sendiri turun padang mencari bakat yang mereka rasakan paling layak untuk diberikan bimbingan,” katanya yang berkeyakinan, mentor akan lebih berpuas hati dengan cara begini.

Sehingga tamatnya sesi uji bakat keenam, kira-kira 700 peserta dikatakan menghadirinya.

Suffian berkata, daripada jumlah itu, lebih separuh daripada calon uji bakat datang dengan membuat persediaan, manakala sebahagiannya sekadar mencuba.

Mengenai lokasi uji bakat yang kini hanya berpusat di Kuala Lumpur, Suffian berkata, selain kekangan kewangan akibat kegawatan ekonomi, mereka turut berasakan, dengan cara itu mereka dapat menguji komitmen calon yang ingin menyertai pertandingan berkenaan.

“Jika selama ini kami mengembara ke tempat mereka, jadi apa salahnya peserta pula yang berkorban, dengan menghadirinya ke lokasi ditetapkan.

“Mereka kena faham, untuk memenangi sesebuah pertandingan, bukanlah semudah yang disangkakan. Jadi, inilah antara cabaran harus ditempuhi mereka. Bagi yang benar-benar mempunyai keazaman, mereka pasti tidak menjadikannya sebagai halangan,” ujar Suffian.

Berita Harian

RTM Aktifkan Muzik Tempatan

18 Mar

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

PROGRAM berkonsep muzikal sering kali menarik perhatian ramai sama ada ia siaran di televisyen mahupun radio.

Kini, program muzikal tidak hanya terhad pada persembahan artis menerusi konsert semata-mata, sebaliknya tertumpu pada klip video dan persembahan acara khusus di studio.

Dalam usaha memberi hiburan terbaik kepada penonton, stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil inisiatif memperkenalkan saluran baru yang memberi alternatif pada punca hiburan sedia ada.

Saluran baru yang dikenali Muzik Aktif dilancarkan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Membawa tagline Segalanya Muzik, saluran ini memberi tarikan berbeza menerusi pengisian kandungan apabila hanya memaparkan persembahan artis tempatan seratus peratus menerusi klip video atau konsert.

Menariknya, penonton berpeluang menyaksikan saluran ini selama 24 jam tanpa henti dan ia hanya disiarkan menerusi rangkaian baru di Astro – saluran 180.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Penyiaran, Abu Bakar Ab Rahim berkata, RTM berkeyakinan melancarkan saluran berkenaan selepas ia mendapat respons positif daripada penonton ketika ia mula menjalani proses percubaan untuk projek Pendigitalan Penyiaran RTM pada 1 September 2006.

Ketika itu, percubaan dilakukan selama lima jam sehari untuk tempoh enam bulan membabitkan 1,000 responden menerusi dekoder digital baru RTM.

Katanya, saluran Muzik Aktif antara agenda baru RTM yang mendapat sambutan baik daripada penonton yang mahu ia diteruskan.

Justeru, sejak Mac 2007 hingga kini saluran berkenaan masih menjalani proses eksperimen iaitu ujian dalaman untuk aspek pembangunan aplikasi interaktif.

 

 

“Saluran ini suatu berbeza yang pernah ditonton di RTM apabila ia mengetengahkan konsep muzik Malaysia. Maksudnya, saluran ini hanya menyiarkan persembahan muzikal daripada karya tempatan.

“Walaupun ada lagu yang dinyanyikan penyanyi luar negara, tetapi jika ciptaannya adalah komposer tempatan, ia masih layak untuk disiarkan menerusi saluran baru ini.

“RTM berharap Muzik Aktif ini dapat dijadikan platform terbaik untuk komposer mahupun penyanyi mempromosikan lagu mereka. Saluran ini juga sebenarnya adalah satu daripada tujuh saluran digital baru selain saluran Kanak-Kanak & Remaja, Wilayah, Sukan, Berita, Drama dan Filem.

“RTM turut merancang untuk memasukkan program lain seperti Fenomena Seni dan Santai@1 ke dalam saluran Muzik Aktif pada masa akan datang.

“Usaha memperkenalkan saluran dan program baru ini dianggap penting sebagai langkah untuk penonton mendapatkan siaran digital RTM sepenuhnya pada 2012 nanti,” katanya.

Untuk saluran Muzik Aktif, sebanyak 10 program disediakan iaitu Aktif@Pagi bermula jam 7 pagi hingga 9 pagi diikuti Hits Aktif (9 pagi hingga 12 tengah hari), Muzikal Aktif (12 tengah hari hingga 3 petang), Ritma (3 petang hingga 7 malam), Gema Nurani (7 malam hingga 8 malam), Prima Aktif (8 malam hingga 11 malam), Ritma (11 malam hingga 2 pagi), Irama Santai (2 pagi hingga 5 pagi) dan Gema Mentari (5 pagi hingga 7 pagi) manakala Hidayah pula disiarkan selama sejam pada setiap Jumaat, jam 1 tengah hari.

Pada majlis pelancaran saluran itu yang diadakan baru-baru ini, ia turut dimeriahkan dengan acara permaidani merah dan persembahan ramai artis popular seperti Datuk Dr Ahmad Nawab, Datuk DJ Dave, Datuk David Arumugam, Jeffrydin, Man Kidal, Ning Baizura, Mas Idayu, Waheeda, Akhil Hayy, Bienda, Ali Mpire, Azharina Azhar, Dia Fadila, Aizat dan kumpulan Meet Uncle Hussain.

Persembahan lebih dua jam berkenaan dihoskan penyanyi Izwan Pilus bersama Sazzy Falak.

Harian Metro

Mentor Pilih Sendiri Anak Didik

16 Mar

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

Rap

JIKA dua musim sebelum ini, artis yang memikul tanggungjawab sebagai tenaga pengajar program realiti Mentor di TV3 perlu mendidik peserta selepas dipilih juri, kini kelainan ditampilkan apabila ‘sifu’ pula turun padang memilih sendiri anak murid paling layak mendapat tunjuk ajar mereka.

Barisan mentor yang menggalas tanggungjawab sebagai tenaga pengajar untuk musim ketiga ini terdiri daripada Jaclyn Victor, Mas Idayu, Lah Ahmad, Adibah Noor, Ajai dan Awie yang diberi kuasa seratus peratus untuk menentukan sendiri anak didik berdasarkan kelayakan dan kualiti ditetapkan mereka tanpa sebarang pengaruh pihak luar.

Uji bakat yang akan diadakan di Theatrette, Sri Pentas dari jam 10 pagi hingga 5 petang pada 14 Mac hingga 4 April dijadikan sebagai pengukur sejauh mana komitmen serta kesungguhan peserta untuk belajar.

Penerbit Mentor 3, Muhamad Suffian Isa, berkata program Mentor musim terbaru ini menampilkan pelbagai kelainan dengan yang paling ketara uji bakat peserta akan dinilai oleh mentor mengikut ciri ditetapkan mereka.

“Perubahan ini dibuat berdasarkan pengalaman musim pertama dan kedua apabila ketika kita mencari peserta, mentor tidak bersama menyebabkan mereka yang terpilih ada yang tidak menepati ciri-ciri dikehendaki tenaga pengajar.

“Hendak membawa semua mentor ini ke lokasi berbeza uji bakat pula sesuatu yang mustahil kerana mereka terikat dengan kesibukan kerjaya masing-masing menyebabkan kita menetapkan Sri Pentas sebagai tempat uji bakat diadakan sekali gus menguji komitmen peserta,” katanya dalam sidang media untuk memperkenalkan enam mentor baru bagi musim ketiga di Sri Pentas, kelmarin.

Beliau berkata, walaupun setiap mentor mempunyai latar belakang muzik berlainan namun pemilihan peserta tidak semestinya mengikut aliran muzik itu kerana program itu bukan untuk melahirkan klon setiap mentor sebalik seorang penyanyi yang mempunyai kerektor tersendiri di bawah asuhan tenaga pengajar.

“Kita juga memberi kelonggaran dengan mentor boleh memilih protege sama ada solo atau berkumpulan.

“Dari sudut penilaian pula, 50 peratus adalah daripada juri profesional, 30 peratus menerusi undian sistem khidmat ringkas (SMS) dan baki 20 peratus daripada juri awam di studio.

“Mereka yang terpilih untuk menjadi juri awam adalah daripada golongan semi profesional dan ia mungkin terdiri daripada kumpulan pelajar muzik atau wartawan,” katanya.

 

 

Menurutnya, apa yang diharapkan menerusi Mentor 3 adalah TV3 mampu melahirkan protege yang mampu memberi impak kepada industri muzik di bawah asuhan dan didikan mentor masing-masing.

“Jadi kita harap peserta perlu cukup bersedia, berkebolehan dan memberi komitmen seratus peratus walaupun di peringkat uji bakat, malah kami juga boleh menerima peserta yang sebelum ini pernah menyertai program realiti lain jika dia memenuhi senarai kelayakan ditetapkan mentor,” katanya.

Protege yang layak menyertai Mentor 3 perlu memenuhi beberapa syarat seperti berusia antara 17 dan 25 tahun, memiliki bakat, vokal mantap dan pakej, mampu menambat hati mentor pilihan mereka, tidak terikat dengan sebarang kontrak dan memberi sepenuh perhatian terhadap program Mentor.

Peserta yang menghadiri uji bakat perlu membawa kad pengenalan, gambar berukuran pasport dan 4R serta minus one lagu yang bakal dipersembahkan kepada mentor.

Uji bakat yang dikendalikan Jaclyn Victor akan diadakan pada 14 Mac, diikuti Mas Idayu (15 Mac), Lah Ahmad (21 Mac), Adibah Noor (22 Mac), Ajai (28 Mac) dan Awie (4 April).

Sementara itu, beberapa mentor yang ditemui menyatakan harapan masing-masing untuk melahirkan protege yang terbaik untuk industri musik tanah air.

Jaclyn berkata, antara kelayakan ditetapkannya adalah seseorang yang sentiasa mahu belajar, berpenampilan dan mempunyai vokal baik.

“Saya sendiri masih baru dalam bidang ini, tetapi saya akan berusaha memberi tunjuk ajar terbaik kepada protege yang saya akan pilih nanti,” katanya.

Adibah Noor pula menetapkan beberapa syarat tambahan antaranya sekurang-kurangnya tamat belajar sekolah menengah, fasih berbahasa Melayu dan Inggeris serta serba boleh dalam semua genre lagu.

“Saya mahu seseorang yang betul-betul berbakat dan tidak berangan atau berpura-pura. Saya mahu mencari seorang protege yang boleh dibentuk dan dicorak serta berketrampilan,” katanya.

Menurutnya, dia menerima tanggungjawab sebagai tenaga pengajar untuk program Mentor kerana ia adalah platform terbaik baginya untuk mencari seorang anak didik.

Awie pula menetapkan untuk memilih protege di kalangan wanita saja dengan matlamat untuk melahirkan pelapis ratu rock, Ella.

“Tetapi saya bukan mencari seorang yang hanya boleh menyanyi Rock, malah dia juga boleh menyanyikan lagu asli. Apa yang penting saya dapat membentuk keyakinan dalam dirinya.

“Selepas Ella, kita tengok memang tiada penyanyi wanita yang mampu mencapai tahapnya, jadi saya berharap dapat mencari seseorang mampu mencari pelapis ratu rock,” katanya.

Program Mentor 3 akan ditayangkan bermula 19 April ini setiap Ahad jam 9 hingga 10.30 malam manakala konsert mingguan Mentor bermula 3 Mei ini, Jurnal Protege pula disiarkan setiap Ahad jam 5.30 hingga 6 petang yang menyorot aktiviti protege bersama mentor serta Jurnal Mentor pula setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.28 malam.

Harian Metro

Jom Pi Penang!

18 Dec

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

MAHU bertemu angkasawan negara, Datuk Sheikh Muszaphar Shukor atau jaguh skuasy nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David atau pemenang pingat emas badminton di Olimpik, Datuk Lee Chong Wei?

Jika tidak pun, anda boleh bertemu kartunis popular, Datuk Lat melakar lukisan di depan mata.

Semua ini hanya menjadi realiti jika anda berkunjung ke Pesta Pulau Pinang 2008.

Tahun ini, pesta dengan tema, ‘Jom Pi Penang!’ meneruskan penganjuran acara wajib seperti pertandingan sukan terbuka kepada penyertaan awam termasuk badminton, sepak takraw, karom, gusti lengan, kick boxing dan senaman aerobik.

Jangan lupa mengunjungi ‘Euro Fun Park’, taman permainan dengan tarikan ala kota keriangan Genting Highland. Mereka yang datang bersama keluarga juga boleh menyaksikan persembahan dari Menara Kuala Lumpur dan karnival Mini Malaysia.

Malah, jangan ketinggalan melihat pameran haiwan eksotik termasuk ular sawa dan memeriahkan cabaran ‘paintball’, secara berkumpulan bersama rakan dan keluarga.

Acara tahunan sejak 1970-an ini bakal menarik kunjungan sehingga setengah juta orang. Penganjur juga sudah menurunkan bayaran untuk masuk ke tapak pesta selepas mengambil kira situasi ekonomi semasa.

Selain berhibur, pengunjung boleh mengunjungi bazar terbuka menempatkan 160 gerai menjual pelbagai barangan daripada produk kesihatan, pakaian, barangan hiasan rumah, kraftangan dan tekstil.

Seperti pesta lain, acara ini bagaikan tidak lengkap tanpa persembahan bertenaga artis tempatan. Artis yang bakal membuat persembahan termasuk Mas Idayu, Faizal Tahir, Izwan Pilus, Jinbara, May, Data, Hujan, Def Gab C, Kristal, Wings dan XPDC.

Turut menghangatkan tapak pesta termasuk Ifa Raziah, Haiza dan Ani Mayuni yang bergabung di bawah nama Semarak Dangdut, Senario dan artis kelahiran program realiti TV3, Mentor, Fiq, Pija dan Ayu.

Penganjur juga turut membawa kumpulan dari Medan di utara Sumatera dan Aceh untuk mempersembahkan kebudayaan masyarakat di negara jiran itu.

ACARA SAMPINGAN

Sempena Pesta Pulau Pinang, penganjur juga turut mengadakan pelbagai acara pelancongan sampingan termasuk Festival Pesta Flora, Miss Pesta Beauty Pageant, Pesta International Dragon Boat Race dan Pesta International Scrabble Competition.

Pesta Beach Volleyball Competition, Pesta Fishing Tournament, Pesta Lion Dance Competition, Pesta Chingay, Go Kart competition, Mr Beach Pesta, Pesta Tenpin Bowling, Aslirama (persembahan muzik klasikal) dan Pertandingan Catur Pesta Pulau Pinang.

>Info

>Pesta Pulau Pinang berlangsung sehingga 31 Disember di Tapak Pesta, Sungai Nibong di Pulau Pinang. Ia dibuka setiap hari dari 6 petang dan 11.30 malam. Bayaran masuk RM3 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak (usia antara 7 dan 12 tahun).

>Keterangan lanjut, hubungi penganjur di talian 04-2623505/04-6593895.

Harian Metro

Jom Pi Penang!

6 Dec

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
bhnews@bharian.com.my

Pesta Pulau Pinang 2008 janji keseronokan, erat hubungan keluarga

Kalau naik feri kena masuk ikut jeti
Kalau ramai kawan kena masuk ikut jambatan
Jumpa hidung mancung bukan semua pelancong
Combi anak Tanjong
Anak mami dok Jelutong
Mailah sini
Pulau Pinang menantiBatu Feringgi, Padang KotaNaik beca pusing KomtarPakat mai siniPulau Pinang satu destinasiTengok ular Tanjung Tokong,Pesta Penang Sungai Nibong.

ITULAH lagu tema Pesta Pulau Pinang yang berkumandang pada musim cuti persekolahan akhir tahun bagi menandakan kedatangan pesta itu yang sering dinanti-nantikan, bukan saja oleh warga Pulau Mutiara, malah dari seluruh negara.

Pesta yang berlangsung di Tapak Pesta Sungai Nibong sejak 30 tahun lalu, tidak pernah gagal menarik pengunjung termasuk pelancong asing sehingga hotel penuh ditempah sepanjang sebulan pesta berlangsung.

Dengan tagline ‘Jom Pi Penang’, pesta selama sebulan yang bermula Sabtu lalu, mensasarkan lebih 500,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri untuk memeriahkan suasana.

Pesta kali ini menampilkan konsep yang agak berbeza dari tahun sebelumnya apabila semua gerai yang dibuka tidak lagi seperti suasana pasar malam, sebaliknya seakan-akan kedai biasa.

Program yang disusun juga lebih banyak menjurus kepada semangat kekeluargaan dan dijangka akan lebih menarik dan mendapat sambutan menjelang pertengahan bulan ini.

Tidak banyak program menarik ditampilkan di peringkat awal pesta kerana bagi memberi ruang kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tamat peperiksaan kerana mereka adalah sasaran utama pengunjung pesta.

Bagi ibu bapa yang gemar membeli belah, mereka tidak boleh melepaskan peluang mengunjungi sebanyak 185 gerai termasuk dewan pameran dan kiosk yang menjual bermacam-macam barangan.

Pada hari-hari terakhir pesta pula peniaga akan mengambil peluang melelong barang jualan masing-masing.

Menyusuri tapak pesta yang disinari kerlipan lampu memberi peluang kepada pengunjung mencuba melukis batik di Galeri Seni Lukis milik Persatuan Pelukis Melayu Pulau Pinang dan membeli pelbagai buku di Pameran dan Jualan Buku oleh Perbadanan Perpustaakaan Awam Pulau Pinang.

Mereka yang ingin bergambar bersama ular sawa yang berusia tujuh tahun dan 10 tahun, pula boleh mengunjungi Taman Mini yang dikendalikan oleh Taman Negara Pulau Pinang dan Jabatan Perhilitan.

Jika kepenatan dan ingin berehat seketika, pengunjung boleh duduk seketika di kerusi yang disediakan atau menikmati spa ikan, yang juga dikatakan baik untuk kesihatan.

Atau boleh juga berehat di sudut milik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang menampilkan landskap menarik sesuai untuk merehatkan seketika kaki dan fikiran selepas menempuhi lautan manusia.

Pengunjung juga pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan pertunjukan silap mata atau tarian aerobik oleh kumpulan yang didatangkan khas dari China iaitu Chinese Asia Art Group.

Tidak ketinggalan pelbagai pameran dari negara jiran, Indonesia yang menampilkan produk warisan Minangkabau dan Aceh.

Bagi mereka yang sedang berkira-kira untuk membeli kereta tetapi tidak berkesempatan mengunjungi pusat jualan pada siang hari, boleh meninjaunya di tapak pesta.

Jika terasa lapar dan ingin menjamu selera, berpuluh-puluh kedai makan dan gerai yang menghidangkan pelbagai masakan terkenal Pulau Pinang sedia menanti di tapak pesta.

Orang ramai tidak perlu risau dengan cakap-cakap yang mengatakan makanan di tapak pesta agak mahal dari tempat lain kerana pihak urusetia menjalankan pemantuan harga makanan.

Soal keselamatan sepanjang berada di tapak pesta tidak perlu dikhuatiri kerana polis dengan bantauan Ikatan Relawan Rakyat sentiasa meronda di kawasan itu.

Bagi kanak-kanak dan remaja, acara yang semestinya menjadi agenda utama mereka ke pesta adalah taman hiburan. Ada 14 permainan hiburan iaitu pertambahan tiga lagi pada tahun ini dan 12 permainan mencuba nasib.

Permainan hiburan yang menjadi pilihan dan menguji ketahanan mental dan fizikal adalah Challenger, Top Gun, Sky Rider, Vortex, Water Coaster, Euro Wheel, Bumper Car, Merry Go Round, Trister dan Roller Coaster.

Tidak ketinggalan X Coaster, Mine Coaster dan Drop Zone.

Permainan mencuba nasib yang menyaksikan orang ramai sering kali membawa pulang anak patung daripada yang bersaiz kecil hingga paling besar adalah memasukkan gelang di atas muncung botol, memecahkan belon menggunakan dart, menembak dan memasukkan bola ke dalam lubang bernombor.

Persembahan pentas juga diadakan setiap malam termasuk dengan menampilkan Raja Lawak, Nabil, artis Mentor seperti Fiq, Pija dan Ayu; Hilmi Gimik, Def Geb C, Mas Idayu, Wings, Senario, Ifa Raziah dan Haiza.

Tidak ketinggalan ialah Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor juga akan hadir menerusi program Menggapai Bintang Bersama Datuk Dr Sheikh Muszaphar.

Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol Ann David dan pemain badminton, Datuk Lee Chong Wei juga akan hadir menerusi program masing-masing, Bacaan Kegemaran Saya dan Bercerita Mengenai Sukan Badminton serta kartunis negara, Datuk Lat.

Jadi tunggu apa lagi, jom pi Penang!.

INFO: Pesta Pulau Pinang 2008

Bayaran masuk dewasa: RM3
Kanak-kanak: RM1
Sasaran pengunjung: 500,000 orang
Tempoh: 29 November hingga 31 Disember 2008Masa: 6 petang hingga 11.30 malam
Lokasi: Tapak Pesta Sungai Nibong

INFO: Program bersempena Pesta Pulau Pinang 2008

Pesta Flora bertempat di Taman Botani, dari 29 November hingga 7 Disember

Pesta Perahu Naga di Empangan Teluk Bahang, 7 Disember

Pertandingan Mewarna di Queensbay Mall, 7 Disember

Pertandingan Scrabble Antarbangsa di Hotel Bayview, 9 Disember

Pertandingan Bola Tampar Jemputan 2 Sebelah di Pusat Kegiatan Sukan Air, Tanjung Bungah, 13 Disember.

Pesta Tenpin Bowling di Megalanes, Seberang Prai, 13 hingga 20 Disember

Pesta Me Beach di Hotel Tanjung Bungah, 14 Disember

Pertandingan Memancing di pesisir Pantai Queensbay, 14 Disember

Aslirama di Tapak Pesta Sungai Nibong, 15 Disember.

Pertandingan Tinju di Tapak Pesta Sungai Nibong, 17 hingga 21 Disember.

Pertandingan Tarian Singa di Dewan Millenium, Kepala Batas, 20 dan 21 Disember

Perarakan Chingay di Padang Brown, 21 Disember.

Berita Harian

'Senaraikan Kesalahan Saya'

21 Nov

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
MELIHAT foto dikirimkan menjelaskan betapa mesra hubungan kedua-duanya. Namun, keintiman yang dipamerkan usah disalahertikan kerana bicara mereka tidak lebih daripada adik dan kakak.

Dek kerana keakraban itu jugalah yang menghimpit dua artis popular ini, Mas Idayu dan Izwan Pilus apabila mereka dikatakan digam sebuah stesen radio Muzik FM.

Kontroversi tercetus, ketika mereka terbabit dengan Konsert Rumah Terbuka Gemilang Mirza bersama stesen radio itu di Papar, Sabah, sebulan lalu.

Sebagaimana disiarkan dalam satu ruangan gosip tidak lama dulu, Mas Idayu, dikatakan bersikap Diva apabila meminta tiket penerbangan MAS, tiga bilik, kenderaan untuk kegunaan peribadi, tidak menyertai rombongan, datang berasingan, tidak menepati masa dan gagal menghadiri latihan.

Atas alasan itu, pihak dikatakan mahu mengambil tindakan gam terhadapnya. Sementara Izwan, turut terpalit gara-gara hubungan akrabnya dengan ratu dangdut 45 darjah itu.

Justeru, bagi mendapatkan kepastian berhubung permasalahan yang timbul Mas Idayu dan Izwan Pilus ditemui bagi meleraikan segala kekusutan.

Mas Idayu berkata, selagi perkara itu tidak dibuktikan secara hitam putih dia tidak mahu terburu-buru untuk mengambil sebarang tindakan.

Malah, sehingga kini dia masih menanti penjelasan dari pihak yang terbabit untuk mengesahkan sejauh mana kebenaran berita berkenaan.

“Saya berurusan terus dengan pihak penganjur dan mengikuti segala perancangan mereka seperti dipersetujui dalam kontrak. Sama ada membabitkan jadual persembahan, kemudahan yang diberikan termasuk atur cara saya sepanjang beberapa hari konsert itu dijalankan.

“Saya dan tidak tahu pula kalau ada pihak kedua yang menandatangani kontrak dengan pihak pengurusan saya.

“Kalau betul ia berlaku sila kemukakan bukti yang kami melakukan perjanjian dengan mereka selain penganjur yang boleh mensabitkan saya dengan hukuman gam sebagaimana dilaporkan.

“Kalau ada tolong senaraikan apa kesalahan saya sehingga menyebabkan tindakan seperti ini dikenakan terhadap saya. Jika benar cerita ini sahih, lagu saya sudah tidak diputarkan lagi dan mereka memberi alasan barulah saya akan mengambil tindakan susulan.

“Seperkara lagi, mengenai tiket penerbangan MAS itu memang sudah dipersetujui pengurus saya dengan pihak penganjur dan tiket ‘business class’ saya sendiri yang mengeluarkan wang tambahan untuk menukarnya. Bagi saya, tiada isu yang boleh dibangkitkan di sini,” katanya.

Hampir 20 artis menjayakan acara berkenaan, namun Mas Idayu satu-satunya yang berurusan dan menandatangani kontrak secara terus dengan penganjur.

Berhubung, situasi Izwan Pilus yang dikatakan turut digam atas alasan keakraban mereka Mas Idayu melihat ia sebagai satu tindakan yang tidak profesional.

“Bagi pihak Izwan Pilus, cerita dia turut di gam bukan desas-desus yang dibuat-buat. Cerita ini diketahui mereka yang berada di tempat kejadian.

“Jika benar dia menerima hukuman yang sama hanya kerana baik dengan saya, saya menganggap ia satu lagi tindakan salah guna kuasa.

“Apapun saya tidak mahu bercerita banyak mengenainya kerana pengurus saya sedang melakukan sesuatu untuk mengakhiri kemelut ini,” katanya.

Sementara itu, Izwan ketika diminta menjelaskan hal ini mengakui berlaku kekecohan sepanjang mengikuti acara berkenaan malah ada mendengar desas-desus dari pihak penganjur yang mengatakan dia juga akan di gam.

“Apabila cerita tu tersebar, saya mengambil inisiatif mengikuti stesen berkenaan dari masa ke semasa dan saya dapati lagu-lagu saya masih dimainkan di radio berkenaan.

“Ada kawan-kawan juga memaklumkan sedemikian. Namun, berhubung lagu Kak Ayu, saya tidak pasti mungkin juga terlepas pandang kerana saya akui tidak setiap masa berpeluang mendengar radio,” katanya.

Akui Izwan yang diberi peluang menjayakan persembahan bersama Jim Brickman dan Jeff Timmons baru-baru ini, dia sudah mengenali Mas Idayu sejak sekian lama dan sepanjang menjayakan persembahan belum pernah ada sebarang masalah ditimbulkan penyanyi yang baru muncul dengan album Mas Idayu Kekal 1001.

“Saya sudah lama mengenali kak Ayu. Semasa kejadian saya lihat ramai yang mula menjauhkan diri darinya dan sebagai seorang yang kenal rapat dengannya, apakah anda sanggup membiarkan kawan anda diperlakukan seperti itu.

“Apatah lagi, saya tahu cerita sebenar. Malah, ini bukan persembahan pertama yang saya jayakan bersama kak Ayu dan setahu saya dia tidak pernah menimbulkan masalah,” katanya.

Harian Metro