Archive | Mawi RSS feed for this section

Pencarian Pereka Fesyen Popular ABPBH 2008 Bermula

29 Apr

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my

ANTARA pereka yang merebut gelaran Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH 2008

REKAAN pereka muda Sya Syaharani dan Hatta Dolmat, pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2008) lalu, diangkat sebagai busana paling glamor. Adakah ini bererti Anugerah Pereka Fesyen Popular turut dibolot dua nama yang semakin meningkat naik ini?

Kemenangan sentuhan pereka itu dipilih Pengarang Life & Times, the New straits Times Press, Suraya Al-Attas; Pengarang Wanita Berita Harian, Fadzlena Jafar; Pengarang XY (sisipan Berita Harian), Shamsul Azree Samsir dan Pengarang Cosmopolitan, Izza Safinaz Ibrahim pada malam anugerah berlangsung 12 April lalu.

Juri melihat selebriti yang menggayakan busana itu iaitu Zizie Ezette yang menggayakan busana rekaan Sya Syaharani sebagai busana paling glam untuk kategori wanita dan penyanyi baru Iz OIAM yang memperagakan rekaan Hatta Dolmat untuk kategori lelaki, sebagai kreatif, berbeza dan menepati tema, sentuhan tenun.

Setuju atau sebaliknya, pembaca berhak menentukan populariti pereka melalui undi sistem pesanan ringkas (SMS) yang diterima daripada pembaca akhbar Berita Harian/Berita Minggu yang berdaftar sebagai R@kanBH. Seramai 24 pereka bertanding dan rekaan itu diperagakan 58 selebriti popular tanah air yang hadir pada malam anugerah itu.

Bagi membantu pembaca membuat pilihan, mereka boleh melayari lama web http://www.bharian.com.my yang memaparkan gambar selebriti yang memperagakan rekaan pereka bertanding.

Pertandingan bermula dari 24 April 2009 hingga 31 Mei 2009 dan pemenang akan diumumkan pada satu majlis yang akan diberitahu kelak.

Pereka yang menang bakal membawa pulang barang kemas Rafflesia bernilai RM10,000 tajaan Rafflesia The Pearl Centre dan sebuah trofi setiap seorang sumbangan Berita Harian.

Sementara selebriti lelaki dan wanita yang memperagakan rekaan yang menang menerima barang kemas Rafflesia bernilai RM10,000 setiap seorang. Seramai 20 pembaca bertuah yang membuat undian paling tinggi pula menerima barang kemas Rafflesia bernilai RM1,000 setiap seorang.

Tahun lalu, Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH2007 kategori selebriti lelaki dimenangi oleh Kenny Loh dan Micheal Shu untuk pakaian yang diperagakan oleh Mawi, pemenang Bintang Paling Popular ABPBH2007. Untuk kategori selebriti wanita, pemenang adalah Julia Ziegler yang memperagakan rekaan Hatta Dolmat.

Berita Harian

Peluang Pilih Rekaan Popular ABPBH 2008

28 Apr

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serimah@bharian.com.my

CALVIN tHOO diapit Ayu Raudah dan Rozita Che Wan.

Kenali barisan 24 pereka dengan melayari http://www.bharian.com.my/klikkhas/PerekaABP/MukaUtama

WALAUPUN Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, sudah berakhir 12 April lalu, namun kegemilangan anugerah berprestij itu masih terus dirasakan.

Merancakkan penganjuran ABPBH 2008, Berita Harian sekali lagi menganjurkan Anugerah Pereka Popular edisi kedua bagi mengiktiraf sentuhan pereka tempatan iaitu mereka yang bertanggungjawab membuat seramai 58 finalis serta artis kelihatan menawan ketika menghadiri acara yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands itu.

Kerjasama daripada 24 pereka yang tidak jemu memberikan sokongan kepada ABPBH sememangnya wajar diiktiraf kerana tanpa mereka acara gilang gemilang ini pastinya tidak akan berwarna-warni. Apatah lagi acara permaidani merah kini antara salah satu daya penarik utama selain majlis anugerah itu sendiri.

Usaha Berita Harian memartabatkan dan memberi peluang kepada pereka muda, nampaknya turut menjadi ikutan beberapa acara anugerah lain yang mengikut jejak langkah Berita Harian apabila mereka mengambil inisiatif menganjurkan acara untuk mengangkat nama baru dalam industri seni reka fesyen tempatan.

Tahun ini, anugerah berkonsepkan Sentuhan Tenun itu menyaksikan pembabitan 24 pereka tempatan. Jika tahun lalu, trofi Anugerah Pereka Popular menjadi milik Lord’s Tailor dan Michael Shu untuk kategori lelaki bagi sut yang digayakan Mawi, sementara Hatta Dolmat pula menerima anugerah bagi kategori wanita untuk gaun bermotifkan batik yang digayakan pelakon tinggi lampai, Julia Ziegler, adakah nasib akan kembali berpihak kepada tiga pereka ini?


MAMPUKAH Sya Shaharani (dua dari kiri) dan Hatta Dolmat (kanan) mengulangi kejayaan pada pasca parti ABPBH 2008?

Selain disertai pereka lama, beberapa nama baru nampaknya turut berminat mencuba nasib tahun ini. Mereka yang bakal bertarung untuk merebut gelaran Anugerah Pereka Popular sekali gus membawa pulang set barang kemas Rafflesia bernilai RM 10,000 tajaan Rafflesia The Pearl Center serta sebuah trofi sumbangan Berita Harian ialah Anizam Yusof, Shamsu Yusof, Bill Keith, Jovian Mandagie, Albert King, Calvin Thoo, Azura Mazarudin, Rizman Ruzaini, Faizell Azraff, Kent Khalil, Nik Erwan Roseli, Erwan Asbor, Michael Shu, Hazwani Osman, Nazreen Idris, Zery Zamry, Elyana, Khairi Sufi, Hatta Dolmat dan Kenny Loh (Lord’s Tailor).

Sementara muka baru yang pertama kali menyertai ABPBH 2008 ialah Puteri Azalea dan Puteri Yasmin, Zack Ismail, Razman Din, Nurita Harith dan Sya Shaharani.

Ketika pasca parti yang berlangsung selepas berakhirnya ABPBH 2008, sentuhan pereka baru Sya Syaharani yang digayakan pelakon Zizie Ezette dan rekaan Hatta Dolmat untuk kategori lelaki yang diperagakan penyanyi baru Iz OIAM mencuri tumpuan juri terdiri daripada Pengarang Life & Times, New Straits Times (NST), Suraya Al-Attas; Pengarang Sisipan Ratu, Fadzlena Jaffar; Pengarang Sisipan XY, Shamsul Azree Samsir dan Pengarang Majalah Cosmopolitan, Izza Safinaz Ibrahim.

Apakah mereka akan mengulangi kejayaan sama dan berjaya pula memikat hati pembaca? Untuk mengenali lebih dekat pereka fesyen dan artis yang menggayakan rekaan mereka serta butiran lanjut mengenai Anugerah Pereka Popular ini bolehlah melayari laman web http://www.bharian.com.my/klikkhas/PerekaABP/MukaUtama.


NANA kelihatan menawan dengan rekaan Faizell Azraff.

Bagi mereka yang ingin membuat undian untuk memilih Pereka Popular dan gaya selebriti mana yang paling menyerlah pada ABPBH 2008, tempoh hari boleh melayari laman web Berita Harian. Bagaimanapun sebelum itu, pengundi hendaklah berdaftar sebagai R@kan BH. Untuk membuat pilihan, pengundi boleh melihat gambar selebriti yang memperagakan rekaan pereka yang bertanding menerusi laman web berkenaan.

Selain pereka yang bakal membawa pulang hadiah, 20 pembaca bertuah yang membuat undian paling tinggi juga bakal menerima barang kemas Rafflesia bernilai RM 1,000 setiap seorang. Manakala selebriti lelaki dan wanita yang menjadi pilihan pengundi juga bakal memenangi barang kemas juga tajaan Rafflesia bernilai RM 10,0000. Pertandingan bermula dari 24 April 2009 hingga 31 Mei 2009 dan pemenang akan diumumkan pada satu majlis yang akan diberitahu kelak.

Berita Harian

Rezeki Mawi Selepas Kahwin

28 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

SEKELUMIT pun tiada perasaan cemburu atau dendam apabila terpaksa merelakan gelaran Bintang Paling Popular yang disandangnya selama tiga tahun berturut-turut beralih tangan kepada pendatang baru, Ahmad Nabil Ahmad.

Bahkan, kekalahannya itu diterima dengan hati terbuka serta penuh sedia oleh pemenang anugerah Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH), Asmawi Ani (Mawi), 28, 12 April lalu.

Biarpun, masih ada suara nakal cuba menduga perasaannya lantas memecahkan tembok egois Mawi sebagai lelaki, nyata tidak seperti mula-mula dulu, Mawi sekarang lebih matang dan tenang dalam menghadapi setiap keadaan.

Malah Mawi akui ada mengatakan popularitinya jatuh selepas berkahwin dan kegagalannya mempertahankan gelaran itu dijadikan bukti.

Siapa kata bintang juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu sudah pudar meskipun bukan lagi artis paling popular? Buktinya, Mawi masih menjadi pilihan untuk menjadi duta produk mereka.

Baru-baru ini berlangsung majlis pelantikannya selaku duta makanan segera Marybrown selepas dilamar penghujung tahun lalu.

Kata Mawi, tawaran itu dianggap rezeki kahwin. Akui Mawi, rezekinya makin bertambah sejak berkahwin dan mungkin inilah dikatakan rezeki berkahwin.

“Biarpun ada pihak mendakwa populariti akan jatuh selepas mendirikan rumah tangga, saya reda dan terima dengan hati terbuka.

“Pelantikan sebagai duta Marrybrown ini barangkali menjawab segala persoalan yang pernah diajukan sebelum ini. Seperkara yang jelas, saya cukup berpuas hati dengan anugerah yang pernah dimenangi tiga tahun berturut-turut itu.

“Saya tidak terkilan tak dapat mempertahankan kedudukan bahkan berasakan biarlah orang baru pula merasai kejayaan itu kerana saya sudah rasa semua itu,” katanya.

 

 

Jenama makanan segera itu bukanlah asing kepada Mawi bahkan ketika zaman remajanya, Marrybrown di Kulai, Johor sering menjadi lokasi dia dan teman beriadah.

“Saya masih ingat masa budak-budak dulu. Kalau hendak melepak dengan kawan-kawan, mesti ajak pergi MB (singkatan Marrybrown) di Kulai (Johor).

“Maklumkan, pekan kecil belum begitu membangun ketika itu, dapat lepak di MB sudah kira gempak dan ‘standard’. Menu pilihan saya set ayam dua ketul (ketawa).

“Tapi waktu itu mati-mati saya ingat MB produk luar negara. Jujur saya katakan, sebenarnya saya sendiri baru tahu Marrybrown ini produk tempatan yang diusahakan orang Johor. Difahamkan, di China ia mempunyai 250 rangkaian restoran.

“Terkejut berbaur bangga kerana siapa sangka produk Malaysia mampu jadi pengusaha makanan segera di peringkat antarabangsa. Saya kira ini satu pencapaian yang hebat,” katanya.

Bukan sekadar menjadi duta, Mawi juga mempunyai perancangan untuk membuka francais Marrybrown sebagai persediaan masa depan.

“Hasrat dan keinginan ini timbul ketika menjayakan penggambaran iklan Marrybrown bulan lalu. Saya terfikir untuk buka francais produk ini sebagai persediaan masa depan.

“Lagipun sampai bila hendak duduk selesa di tahap ini saja, esok lusa kalau sudah tidak laku lagi waktu itu tiada siapa mahu ambil peduli dan mengaku kawan.

“Dengan adanya kedai sendiri pelbagai aktiviti serta majlis dapat dianjurkan seperti pelancaran album selain, menjadikannya sebagai lokasi orang luar menganjurkan majlis.

“Mereka akan tunjukkan kepada saya kertas cadangan mengenai kos, pembahagian persen dan pelbagai lagi syarat. Kalau semuanya berjalan lancar, insya-Allah lokasinya akan dibuka sekitar Kuala Lumpur.

“Bukan tidak mahu mengusahakannya di Johor, tetapi di sana sendiri sudah ada banyak rangkaian Marrybrown,” katanya.

Ditanya kenapa tidak memilih francais makanan segera yang lebih popular seperti KFC atau MCDonals, Mawi berkata, sebagai rakyat Malaysia dia berbangga dengan produk tempatan dan sama-sama mahu membantu Marrybrown menembusi pasaran yang lebih besar sekali gus menjadikannya sepopular makanan segera yang lain.

Diikat selama dua tahun, difahamkan Mawi dan Marrybrown mempunyai perancangan memperkenalkan set makanan yang digubah mengikut cita rasanya.

Pada majlis sama, Marrybrown turut melancarkan kempen produk terbarunya, Sedapnya Sate yang menelan pelaburan RM500,000 yang meliputi kos pemasaran dan pengiklanan.

Selain Marrybrown, beberapa lagi produk yang memilih Mawi sebagai duta produk adalah DCL, Silky dan Aeras serta beberapa lagi produk yang masih dalam peringkat perbincangan. Antara yang menunjukkan kerjasama positif ialah EON.

Bulan depan, penyanyi yang popular dengan lagu Sujud hasil kerjasama dengana KRU akan terbang ke Melbourne, Australia, diikuti Jun ke Itali dan Hong Kong (Julai) untuk meninjau dan menjayakan lokasi musim terbaru Langkah Mawi.

Apa yang menarik, berbanding musim sebelumnya, Langkah Mawi yang diterbitkan Astro sebelum ini diuruskan sepenuhnya syarikat MW Entertainment Sdn Bhd.

“Sudah sampai masanya saya buat sendiri. Sekurang-kurangnya dapat belajar selok-belok penerbitan apatah lagi saya mempunyai perancangan untuk serius dalam kerja produksi.

“Soal wang bukan masalah besar. Apa yang paling penting, saya dapat meraih seberapa banyak pengalaman. Setakat buka syarikat kemudian tidak tahu apa-apa, lebih baik jangan membazir,” katanya.

Keseriusan Mawi itu jelas terbukti apabila dia mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan skrip dan kini dalam proses menyiapkan skrip telefilem pertama.

“Ia langkah baru saya selain menyanyi. Bagaimanapun, saya cuba elak daripada berlakon begitu juga Ekin kerana saya tidak mahu dilabel syok sendiri.

“Insya-Allah, banyak lagi perancangan sedang diusaha dan diaturkan syarikat saya, MW Entertainment Sdn Bhd,” katanya.

Dalam pada popularitinya dikatakan merudum sebagaimana kemerosotan penjualan album, Mawi tetap gembira

apabila album terbarunya, Allah Habeebi berjaya membolosi pencalonan lima terbaik Anugerah Industri Muzik ke-16 dengan menerima empat pencalonan bagi dua kategori.

Ia merangkumi tiga pencalonan untuk Lagu Nasyid Terbaik bagi lagu Allah Habeebi, Serulah Namanya dan Teman Hakiki selain kategori Album Nasyid Terbaik.

“Syukur penat lelah menyiapkan pembikinan album ini semuanya berbalas. Saya sendiri berasakan pembikinan album ini adalah yang terbaik daripada susunan muziknya dan pilihan lagu,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Mawi Tidak Gusar

28 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

MAWI menandatangani poster Marrybrown sambil disaksikan Nancy dan Zainir.

Tetap yakin ada peminat terus beri sokongan walaupun terlepas gelaran Bintang Paling Popular

SELEPAS tiga tahun menggenggam erat gelaran Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) akhirnya pada 12 April lalu menyaksikan anugerah itu berpindah tangan menjadi milik bekas juara program realiti Raja lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil.

Walaupun tewas, namun bagi Mawi perkara itu sedikit pun tidak menjejaskan sokongan peminat terhadapnya.

“Setakat ini reaksi peminat terhadap saya masih macam biasa. Tak adalah terjejas apa-apa pun,” kata Mawi yang muncul dengan imej rambut sedikit panjang berbanding dulu.

Sebagai orang yang berpengalaman, sempat juga Mawi menabur nasihat kepada Nabil supaya lebih berhati-hati apatah lagi dengan adanya anugerah itu di dalam genggaman.

“Anugerah itu datang dengan satu tanggungjawab yang besar termasuk juga dugaan. Saya harap dia akan lebih tabah dalam mengharungi hidup sebagai insan seni,” katanya yang sememangnya bersetuju dengan kemenangan anak muda itu yang disifatkannya sebagai popular serta rajin berusaha.


SELEPAS bergelar duta, Mawi kini mahu bergelar ahli perniagaan kepada produk francais makanan segera ini.

Mawi yang baru saja muncul dengan album terbarunya berjudul Allah Habibee, akan memulakan projek terbarunya iaitu menerbitkan program Langkah Mawi di bawah produksi miliknya sendiri iaitu MW Entertainment.

“Untuk program ini tiga lokasi sudah dirancang di mana saya akan ke Melbourne, Australia bulan depan, dan menyusul pula ke Itali pada Jun serta diikuti Hong Kong pada bulan berikutnya,” kata Mawi yang bakal muncul dengan filem Notti dan Magika, kedua-duanya terbitan KRU Filem Sdn Bhd.

Cadang sertai franchais Marrybrown

SIAPA sangka, restoran makanan segera, Marrybrown (MB) yang sering dikunjungi Mawi ketika zaman persekolahan akhirnya menjadikan penyanyi popular itu sebagai duta selebriti restoran ini.

Mengimbas kembali nostalgia lalu, Mawi berkata Marrybrown adalah satu-satunya restoran makanan segera yang terdapat di Bandar Kulai, tempat di mana dia dilahirkan.

“Masa zaman sekolah dulu, saya selalu mengunjungi restoran itu untuk menikmati ayam dua ketul yang memang saya gemari. Selalu jugalah lepak di sini bersama kawan-kawan,” cerita Mawi ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian perlantikannya sebagai duta Marrybrown (MB) itu di Berjaya Times Square, di ibu negara, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Marrybrown (MB) Nancy Liew, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah dan isterinya, Ekin.

Bukan saja teruja merana mendapat tawaran itu malah Mawi berperasaan sebegitu kerana tidak menyangka antara dia dan makanan segera itu sebenarnya berkongsi sesuatu yang istimewa.

“Saya sendiri tidak tahu yang usia rangkaian makanan segera itu sebenarnya sebaya dengan saya dan berasal dari Johor, sama seperti saya,” cerita jejaka berusia 28 tahun ini.

Mawi yang mendapat tahu mengenai perlantikannya itu sebulan lalu berkata, alang-alang menjadi jurucakap untuk produk makanan segera itu, dia juga bercadang untuk membabitkan diri dalam rangkaian perniagaan itu.

“Insya-Allah saya bercadang untuk membuka francais perniagaan ini dan saya ingin membukanya di kawasan rumah kedai, mungkin di sekitar Kuala Lumpur. Sekarang ini pun saya mahu melihat kertas kerja dulu.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk saya lebih serius dalam perniagaan kerana sebagai artis, kita sendiri tidak tahu bagaimana masa depan kita. Sekurang-kurangnya adalah juga jaminan. Lagipun memang sejak dari dulu lagi saya ingin buka perniagaan berasaskan makanan,” kata penyanyi ini.

Ditanya apakah dia juga berpeluang untuk berkongsi menu kegemarannya untuk dijual di restoran berkenaan, Mawi berkata perkara itu memang termaktub dalam perjanjian.

“Memang ada, namun apakah menu itu masih belum diperbincangkan lagi,” katanya yang turut mempromosikan sajian terbaru Sedapnya Sate iaitu Burger Sate dan Nasi Sate yang boleh didapati sehingga 14 Jun depan.

Diajukan pertanyaan apakah ‘habuan’ yang diterimanya sebagai duta MB cukup lumayan, Mawi hanya menjawab pertanyaan itu dengan tawa yang panjang.

“Bolehlah… tapi yang seronoknya saya dapat makan percuma. Malah baru-baru ini sewaktu Anugerah Bintang Popular Berita harian di Genting Highlands, pihak MB ada menelefon saya dan mempelawa saya untuk makan di sana,” kata Mawi mengenai keistimewaan yang diperolehnya itu.

Sementara itu, mengulas pemilihan Mawi sebagai duta MB, nancy berkata populariti yang dimiliki anak muda itu serta faktor sebaya dengan usia MB membuatkan pihaknya bersetuju untuk menjadikan Mawi sebagai jurucakap mereka.

Berita Harian

Eraman Sasar RM400j

25 Apr

Oleh Hayati Ibrahim

MALAYSIA Airports (Niaga) Sdn Bhd (Eraman), syarikat milik penuh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mensasarkan memperoleh jualan runcit RM400 juta tahun ini berbanding RM306 juta tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Umar Bustaman berkata sasaran itu diperoleh hasil jualan produk makanan dan minuman (F&B), cenderamata serta kosmetik di 40 cawangan runcitnya di semua lapangan terbang kendalian syarikat itu seluruh negara kecuali Lapangan Terbang Sultan Ismail (LTSI), Senai, Johor.

“Sebanyak 80 peratus daripada sasaran berkenaan disumbang daripada cawangan runcit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

“Bagaimanapun, jika ekonomi kurang stabil dan masih dalam keadaan lembab, sasaran itu mungkin tidak dapat dicapai, tetapi kami yakin mampu memperoleh jualan runcit sekurang-kurangnya RM360 juta,” katanya pada sidang media selepas pelancaran cawangan restoran makanan segera tempatan Marrybrown di LCCT, Sepang, semalam.

 

 

Majlis disempurnakan Pengerusi MAHB, Tan Sri Dr Aris Othman dan Pengurus Besar Kumpulan Marrybrown Fried Chicken Sdn Bhd, Nancy Liew.

Hadir sama, Duta Marrybrown, Asmawi Ani atau Mawi.

Beliau berkata, pembukaan Marrybrown di LCCT membabitkan kos RM1.6 juta hasil program francais antara Eraman dan Marrybrown dan dijangka memberi tambah nilai kepada kepada pengguna di LCCT terutama penggemar makanan segera.

Menurutnya, pelaburan di LCCT membabitkan kos tinggi kerana ia kawasan bangunan dan peralatan baru.

Sementara itu, Nancy berkata ketika ini, Marrybrown mempunyai tiga cawangan di lapangan terbang termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, LTSI dan terbaru LCCT.

“Kami sedang menimbangkan membuka beberapa cawangan Marrybrown di beberapa lapangan terbang lain memandangkan ia lokasi strategik kerana mempunyai aliran trafik yang tinggi.

“Kami sedang mengadakan perbincangan dengan pihak yang berminat menjalankan kerjasama,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Giliran Pembaca Buat Pilihan

24 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
KAGUM dengan kemampuan pereka fesyen tempatan melakukan transformasi dengan menjadikan pemakaian tradisi songket dan tenun kepada satu rekaan moden pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Berita Harian Sdn Bhd sekali lagi menganjurkan Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH2008.

Masih bertemakan tema songket dan tenun, anugerah yang julung kalinya diperkenalkan pada ABPBH2007 dan mendapat kerjasama publisis popular, Bill Bora bertujuan memberi pengiktirafan kepada pereka fesyen muda tempatan terutama yang hendak mencipta nama dalam bidang fesyen tanah air.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH2008, Hanizam Abdullah, berkata, Anugerah Pereka Fesyen Popular yang memberi peluang dan ruang kepada pereka tempatan untuk mengangkat idea kreatif mereka dalam bidang fesyen.

“Jika tahun sudah, Berita Harian mengangkat batik sebagai tema tahun ini penganjur memilih untuk mengangkat seni tenun seperti songket, pua kumbu dan tenun Pahang.

“Besarlah harapan Berita Harian, agar peraduan ini dapat menyuntik semangat kepada pereka tanah air agar melahirkan sesuatu yang kreatif,” katanya.

Sempena ABPBH2008, 24 pereka fesyen tempatan layak bertanding bagi merebut gelaran Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH2008 bagi dua kategori yang disediakan, lelaki dan wanita.

Rekaan mereka diperagakan 58 selebriti popular tanah air yang hadir pada malam anugerah berkenaan.

Bagaimanapun, empat juri terdiri daripada Pengarang Life & Times, New Straits Times (NST), Suraya Al-Attas, Pengarang Wanita Berita Harian, Fadzlena Jaffar, Pengarang XY (sisipan Berita Harian), Shamsul Azree Samsir dan Pengarang Cosmopolitan, Izza Safinaz Ibrahim sebulat suara memilih Zizie Ezette yang menggayakan busana rekaan Sya Syaharani sebagai busana paling glam untuk kategori wanita

Manakala, penyanyi baru Iz OIAM yang tampil unik dengan rekaan Hatta Dolmat memenangi kategori lelaki.

Justeru, apakah Sya Syaharani dan Halta Dolmat akan mengulangi kejayaan mereka dalam peraduan ini?

 

 

Yang pasti, kali ini pemilihan pemenang ditentukan melalui undi SMS yang diterima daripada pembaca akhbar Berita Harian/Berita Minggu yang berdaftar sebagai R@kanBH.

Bagi membantu pembaca membuat pilihan, mereka boleh melayari laman web http://www.bharian.com.my yang memaparkan gambar selebriti yang memperagakan rekaan pereka yang bertanding. Pertandingan bermula dari 24 April 2009 hingga 31 Mei 2009 dan pemenang akan diumumkan pada satu majlis yang akan diberitahu kelak.

Hadiah menarik yang bakal diterima dua pereka yang diundi sebagai pemenang untuk Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH2008 kategori selebriti lelaki dan wanita adalah barang kemas Rafflesia bernilai RM10,000 tajaan Rafflesia The Pearl Centre dan sebuah trofi setiap seorang sumbangan Berita Harian.

Manakala selebriti lelaki dan wanita yang memperagakan rekaan yang menang menerima barang kemas Rafflesia bernilai RM10,000 setiap seorang.

Seramai 20 pembaca bertuah yang membuat undian paling tinggi pula menerima barang kemas Rafflesia bernilai RM1,000 setiap seorang.

Tahun lalu, Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH2007 kategori selebriti lelaki dimenangi oleh Kenny Loh dan Micheal Shu untuk pakaian yang diperagakan Mawi, pemenang Bintang Paling Popular ABPBH2007.

Untuk kategori selebriti wanita, pemenang adalah Julia Ziegler yang memperagakan rekaan Hatta Dolmat.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Persembahan Lima Bintang

24 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

USTAZ Harun (lima dari kiri) turut menyanyi bersama artis yang menjayakan konsert Rock Rohani.

Sambutan dingin khalayak terhadap Konsert Malam Seribu Karya: Rock Rohani bukan satu kegagalan

SEKALIPUN mempertaruhkan nama besar dalam industri hiburan tanah air seperti Amy Search, Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Mawi, Yantzen, Rahmat (Mega) dan ramai lagi, usaha penganjur Karya Hadani dalam mengangkat lagu kerohanian melalui Konsert Malam Seribu Karya: Rock Rohani tidak dianggap gagal walaupun kurang mendapat sambutan penonton.

Memang sayang apabila persembahan yang membariskan penyanyi terbaik tanah air tidak mendapat sambutan penonton. Ini terbukti apabila jumlah penonton yang hadir bagaikan boleh dikira dengan jari. Ia mungkin juga gara-gara promosi atau publisiti yang kurang meluas bagi menguar-uarkan konsert itu.

Biarpun kurang mendapat sambutan, namun konsert yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, malam Sabtu lalu mempertaruhkan 32 lagu rock ketuhanan boleh dianggap sebagai persembahan lima bintang yang mempunyai kelasnya tersendiri.

Persembahan yang sepatutnya dimulakan jam 9 malam terpaksa ditangguhkan seketika bagi menunggu ruang bawah stadium dipenuhi penonton apabila nama besar yang membuat persembahan gagal menarik penonton hadir.

Konsert yang dimulakan dengan doa bersama iringan muzik, pencahayaan dan visual di kedua-dua belah pentas cukup meremangkan bulu roma penonton. Sebelum memulakan persembahan, beduk yang muncul dari bawah pentas dipalu Presiden Karya Hadani, Raja Iskandar Raja Ibrahim sebagai gimik pelancaran konsert. Ia juga bagaikan memukul beduk sebelum memulakan solat di zaman dulu kala.


AMY Search muncul di tengah-tengah penonton dengan gaya menarik.

Permainan laser yang memenuhi ruang dewan yang mampu memuatkan 7,000 penonton tetapi hanya dihadiri kurang daripada 1,000 penonton dimulakan dengan lagu Zat Ilahi yang dinyanyikan oleh Yantzen dan Azam (Akar). Permulaan lagu yang bersemangat dimainkan oleh 16 pemuzik termasuk tiga penyanyi latar menaikkan semangat penonton untuk lebih mencintai Islam sedalam-dalamnya.

Konsert yang diacarakan oleh Aidil Abd Ghafar dan Isma Halil Hamzah sentiasa mengingati penonton untuk menghayati setiap bait indah karya ketuhanan yang disampaikan bukan muzik rock yang dialunkan.

Persembahan diteruskan oleh Nazrey dengan lagu Wahai Kaum Muslimin, Razak Ahmad (Renung), Ramli Sarip (Pernyataan), Rahmat (Laksamana) dan Azam (Semangat).

Sesi kedua persembahan dimulakan dengan Mawi menerusi lagu Kian yang mengejutkan peminat menerusi penampilan rambut barunya. Mawi turut membawakan lagu terbarunya Allah Habeebi. Karya Hadani juga tidak ketinggalan mengundang kumpulan di bawah naungannya, Manik membuat persembahan menerusi tiga lagu.


JAMAL muncul menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah dan Berkorban Apa Saja.

Sekali lagi dewan menerima tepukan gemuruh apabila Jamal Abdillah muncul dengan lagu Ghazal Untuk Rabiah yang cukup menyentuh perasaan. Penonton turut dikejutkan dengan kemunculan Amy Search di tengah-tengah penonton menerusi lagu Tiada Lagi.

Saat kemunculan Amy, penonton mula tidak senang duduk apabila saat itulah peluang bagi mereka untuk merakam gambar kenangan bersama Amy.

Malam itu penonton yang hadir disajikan dengan santapan rohani apabila kebanyakan lagu yang dinyanyikan mengajak kita mendekati agama melalui hiburan yang disampaikan.

Rata-rata lagu yang dinyanyikan malam itu adalah hasil karya pengasas Karya Hadani iaitu Harun Mat Saat atau lebih dikenali sebagai Ustaz Harun.

Tema warna putih yang menggambarkan kesucian, setiap penyanyi dan pemuzik lebih menyerlahkan bahang semangat kepada penonton untuk terus berada di kerusi sehingga konsert Rock Rohani menutup tirai kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Inisiatif Karya Hadani yang mengajak penonton berjihad menerusi medium hiburan tetap akan diteruskan biarpun gagal menarik jumlah penonton yang ramai untuk kali pertama dianjurkan.

Terlebih awal lagi mereka sudah merancang untuk meneruskan usaha ini untuk menganjurkan konsert Pop Rohani dengan menampilkan Jamal Abdillah sebagai penyanyi utama dalam masa terdekat ini.

Berita Harian