Archive | Maya Karin RSS feed for this section

Protes Cara Maya

22 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Maya Karin

Pemenang Pelakon Wanita Popular ABPBH 2008 gembira projek impian jadi kenyataan

TIGA tahun lalu iaitu sebelum diberi kepercayaan untuk menyandang gelaran Duta Alam Sekitar, pelakon, penyanyi dan model jelita, Maya Karin pernah memasang angan-angan untuk menganjurkan sebuah program iaitu kempen Anti Beg Plastik sebagai tanda protes terhadap aktiviti yang mampu menjejaskan kualiti alam sekitar.

Namun disebabkan kesibukannya, hasrat murni itu terpaksa ditangguhkan seketika bagi memberi laluan kepada Maya untuk terus fokus kepada bidang seni yang amat dicintainya itu. Pun begitu, jauh di sudut hati, Maya percaya bahawa suatu hari nanti apa yang dihajati bakal menjadi kenyataan.

Doa serta harapan Maya itu akhirnya dijawab Tuhan apabila kempen Anti Beg Plastik yang diusahakannya sejak beberapa bulan lalu membuahkan hasil dengan berlangsungnya sebuah acara yang cukup meriah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pagi Sabtu lalu.

Biar sang suria tegak di atas kepala, biar peluh membasahi wajah jelitanya namun bagi ‘pontianak jelita’ ini tidak ada perkara yang lebih menggembirakan selain melihat program yang dihasilkan atas inisiatif dirinya bersama pengurusnya, Azlin Abas berlangsung dengan jayanya.

“Sudah lama saya impikan untuk menganjurkan kempen ini iaitu sejak tiga tahun lalu namun baru hari ini segala yang saya cita-citakan itu dimakbulkan Tuhan. Bayangkan dalam masa yang singkat, kami terpaksa menguruskan pelbagai perkara yang berkaitan untuk menjayakan acara ini.


MAYA sempat beramah mesra bersama pelajar yang terbabit kempen Antibeg Plastik.

“Selain kekurangan tenaga kerja, pelbagai dugaan terpaksa kami berdua tempuhi. Sebagai contoh pada awalnya, kami bercadang untuk mengundang sekolah rendah di Kuala Lumpur, namun disebabkan tidak mendapat sokongan maka kami menukarnya kepada sekolah rendah di kawasan Selangor.

‘Mujurlah tiga sekolah ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Selangor (Subang Jaya), SK Tun Hussien Onn 2 (Cheras) dan SK Taming Jaya (Seri kembangan) bersetuju untuk terbabit dalam acara ini. Sokongan yang ditunjukkan oleh keseluruhan 4,000 murid ini amat saya hargai,” ujar Maya ketika ditemui pada sidang media.

Penat membuat persediaan untuk acara yang julung kali diadakan itu bagaikan tidak terasa buat Maya sebaik saja melihat sambutan yang ditunjukkan murid serta kakitangan tiga sekolah berkenaan.

“Sebagai tugasan untuk menjayakan kempen ini, pelajar perlulah mengumpulkan beg plastik dan setiap mereka membentuk plastik berkenaan menjadi sebiji bola besar. Sepanjang tiga minggu membuat persediaan, saya perlu berulang alik ke sekolah dan saya bangga melihat betapa seriusnya pelajar berkenaan mengumpulkan plastik semata-mata untuk menjayakan kempen ini.

“Secara tidak langsung, usaha itu diharap dapat memberi kesedaran kepada mereka, keluarga dan masyarakat umum bahawa betapa bahan plastik sebenarnya membawa mudarat kepada alam sekitar sekali gus mengancam hidupan lain yang ada di dunia ini,” tegas Maya yang bakal muncul dengan filem terbaru berjudul Pisau Cukur ini.

Mungkin ada yang skeptikal dengan usaha pelakon yang baru saja memenangi anugerah Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 ini dan menganggapnya ia sebagai gimik semata-mata. Bagaimanapun pendapat nakal itu segera disangkal Maya sambil menekankan bahawa gaya hidup yang cintakan bumi sudah lama dipraktikkan sejak belum bergelar artis lagi.

“Jika saya keluar membeli belah, saya akan membawa beg sendiri. Malah, di rumah saya sendiri penggunaan beg plastik agak kurang. Dan kalau saya memandu, saya lebih senang memandu dengan perlahan bagi mengurangkan penggunaan minyak yang banyak.

“Bukan saya saja yang mengamalkan cara hidup sebegitu tetapi suami saya juga. Cuma kalau hendak dibandingkan, orang Jerman lebih dulu mempraktikkan gaya hidup seperti ini berbanding orang Inggeris seperti dia.

“Cuma kadang-kadang ada juga yang dia tak ikut membuatkan saya terpaksa berleter,” seloroh Maya sambil menekankan bahawa betapa pentingnya rakyat Malaysia didedahkan dengan amalan mengasingkan sampah mengikut kategori, plastik, kaca dan kertas.

Program yang berlangsung sejak jam 8 pagi itu berjaya mengumpulkan plastik seberat 100 kilogram yang panjangnya menyamai hampir 7.5 kilometer sebelum dibawa ke pusat pelupusan sampah.

Kembali rakam album

SEBELUM ini dia pernah menghasilkan dua buah album iaitu Erti Cinta dan Bukan Qalamaya. Dan selepas itu, Maya bagaikan merajuk apabila dia lebih banyak menumpukan perhatian terhadap bidang lakonan.

Pun begitu, menurut Maya kehilangannya dalam dunia nyanyian bukanlah disebabkan merajuk tetapi disebabkan tawaran yang mencurah-curah yang diterimanya dalam dunia lakonan ditambah ditawarkan watak yang amat diidamkan membuatkan dia tidak dapat menolak untuk terus aktif di layar perak dan layar kaca.

Hanya selepas bernaung di bawah syarikat Satu Entertainment Sdn Bhd barulah Maya rasakan sudah tiba masanya untuk dia kembali mengasah suara dan menjenguk kembali ruang lingkup seni yang ditinggalkannya suatu waktu dulu.

“Selepas program kempen ini tamat, saya akan pergi bercuti. Dan selepas itu barulah saya kembali masuk studio untuk merakamkan suara. Tak sabar untuk merakamkan lagu bersama Audi Mok yang juga penerbit untuk album ini,” ujar Maya dalam nada teruja.

Bakal kembali kepada konsep pop, Maya mengharapkan peminat setianya akan sabar menunggu kehadiran album ketiganya ini. Mengenai tawaran berlakon, duta Nescafe ini berkata dia masih menerimanya.

“Bagaimanapun kebanyakan produksi terbabit terpaksa menangguhkan penggambaran atas alasan kegawatan dan sebagainya. Jadi saya terpaksa menunggu,” ungkap Maya sambil mengukir segaris senyuman manis.

Berita Harian

Advertisements

Maya Karin Sertai Kempen Antiplastik

19 Apr


MAYA (tengah) dikelilingi pelajar-pelajar sekolah yang berjaya membentuk bola plastik pada Kempen Antiplastik di Kuala Lumpur semalam.

BOLA PLASTIK. Prihatin terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar, pelakon Maya Karin menyertai 1,100 pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Selangor, Subang, Sekolah Rendah Tun Hussein Onn 2, Cheras dan Sekolah Rendah Kebangsaan Taming Jaya, Seri Kembangan pada Kempen Antiplastik di Kuala Lumpur semalam.

Acara di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu adalah sebahagian daripada program sempena Hari Bumi pada 22 April ini.

Pada acara itu, Maya Karin dan pelajar-pelajar berkenaan berjaya mengumpulkan plastik seberat 100 kilogram dalam masa tiga minggu dan mengikatnya menjadi tiga bola besar.

Bola-bola itu kemudian diangkut ke sebuah pusat di Rawang untuk dikitar semula.

Kosmo

Maya Anjur Kempen Anti Beg Plastik

19 Apr


MAYA Karin bersama-sama pelajar dari Sekolah Rendah Taming Jaya, Sekolah Rendah Seri Selangor dan Sekolah Rendah Tun Hussein Onn 2 mengumpul beg plastik sempena Kempen Anti Beg Plastik di Stadium Bukit Jalil, semalam.

BUKIT JALIL: Duta Alam Sekitar, Maya Karin, buat pertama kalinya berjaya menganjurkan kempen ‘Anti Beg Plastik’ bersempena sambutan Hari Bumi yang jatuh pada 22 April ini, di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Kempen itu membabitkan 4,000 pelajar dari tiga sekolah rendah di sekitar Lembah Klang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Selangor (Subang Jaya), SK Tun Hussien Onn 2 (Cheras) dan SK Taming Jaya (Seri Kembangan).

Katanya, kempen itu adalah inisiatif yang datang dari dirinya sendiri dan juga pengurus peribadinya, Azlin Abas.

“Saya sudah lama menyimpan impian untuk melakukan aktiviti sebegini, iaitu sejak tiga tahun lalu namun disebabkan kesibukan kerja, niat itu terpaksa ditangguhkan.

“Bagaimanapun, apabila saya sedar sambutan Hari Bumi semakin hampir lantas merancang bersama Azlin untuk melaksanakan kempen ini,” katanya pada sidang media kempen itu.

Katanya, sambutan yang diterima dari pelajar, guru dan ibu bapa amat luar biasa dan mereka memberikan kerjasama serta bertungkus-lumus menjayakan kempen itu.

“Beberapa minggu lalu, pelajar tiga sekolah berkenaan mengumpul beg plastik dan setiap dari mereka membentuk plastik berkenaan menjadi sebiji bola besar.

“Berat bagi keseluruhan bola itu ialah 100 kilogram dan jika dibuka bulatan itu, panjangnya menyamai hampir 7.5 kilometer, ini sesuatu yang menakjubkan.

“Saya harap kempen ini berjaya dan akan memberi sedikit kesan kepada mereka yang terbabit serta masyarakat umumnya,” katanya.

Katanya, kempen bertemakan ‘satu keluarga terbabit, satu keluarga belajar’ akan diteruskan pada masa akan datang.

Berita Harian

Kumpul Plastik

18 Apr

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Tiga bola gergasi seberat 100 kilogram berjaya dihasilkan daripada gulungan plastik oleh murid di tiga sekolah rendah di sekitar Lembah Klang selepas dikumpulkan dalam tempoh tiga minggu.

Hasil unik daripada bahan itu ditunjukkan dalam acara kemuncak Kempen Anti Beg Plastik anjuran pencinta alam sekitar yang juga artis jelita, Maya Karin, di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, semalam.

Usaha menghasilkan bola gergasi berkenaan dilakukan kira-kira 4,000 murid dari Sekolah Kebangsaan Tanming Jaya di Seri Kembangan, Sekolah Kebangsaan Selangor, Subang Jaya dan Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2, Cheras.

Mereka membantu artis berkenaan mengutip beg plastik yang diambil dari rumah atau tempat lain untuk dibawa dan disimpan di stor sekolah.

 

 

Selepas beg plastik berkenaan disambung, direntang di padang dan digulung menjadi bola, ia diangkut oleh lori ke pusat kitar semula.

“Sehingga hari ini, saya tidak percaya boleh melakukannya (menganjurkan program). Saya kini berkempen mengenai kesan penggunaan beg plastik terhadap muka bumi selepas beberapa tahun berjuang mengenai isu ini dan kini saya berjaya memenuhi impian itu.

“Saya suka menyokong mana-mana isu alam sekitar, tetapi ada isu yang saya sendiri hendak ketengahkan. Setiap tahun saya berazam mengadakan kempen seumpama ini, tetapi cuma disedari sebulan sebelum Hari Bumi. Jadi, sejak Januari lalu saya memulakan perancangan dengan menghubungi sekolah untuk memberitahu hasrat saya dan ia mendapat persetujuan guru.

“Ini pengalaman menarik dan sangat memenatkan. Hari ini saya tak sangka semuanya berjalan lancar,” katanya yang muncul di stadium berkenaan sejak jam 7.30 pagi bagi menjayakan acara itu.

Menurut Maya, dia serius dalam mengenengahkan isu pentingnya memelihara alam sekitar dan kesedaran itu tersemai sejak kecil, malah menjadi amalan hidupnya.

“Saya pernah ditegur kerana menolak menggunakan beg plastik, tetapi saya lebih senang membawa beg bagi mengisi barang yang dibeli jika ingin membeli-belah. Di rumah saya juga tidak banyak beg plastik,” katanya.

Harian Metro

Epilog: Undi Mawi Merosot Teruk, Empat Artis Menang Tipis

16 Apr

Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

SEJURUS selepas pengacara mengumumkan nama Nabil sebagai pemenang gelaran Bintang Paling Popular 2008, sorakan yang diberikan penonton dalam Arena Of Stars, Genting Highlands, pada malam Ahad lalu, begitu bergempita kerana ramai yang memang mahukan pelawak muda dari Seremban itu menang.

Dan memang pun ramai yang sudah mengagak Nabil mampu merampas gelaran itu daripada Mawi. Biarpun kemunculan Nabil dalam industri hiburan baru saja genap setahun sebulan, tetapi namanya cukup laris dan menjadi rebutan produser dan stesen untuk menjual aksi komedi serta jenakanya sama ada dalam program TV berupa game show, sitkom mahupun untuk muncul dalam filem cereka, selain dalam pertunjukan pentas dan persembahan makan malam agensi kerajaan mahupun korporat.

Dalam keadaan yang ramai menjangkakan Nabil mampu menang itu, ia cukup dirasai apabila Nabil yang sebelumnya pada majlis itu menang kategori Artis Baru Lelaki Popular, sorakan terhadap kemenangannya begitu kuat dalam arena berkenaan, kemudian apabila Nabil selagi lagi menang menerusi Artis Komedi Lelaki Popular, sorakan bertambah riuh. Malah, ketika senarai nama calon finalis diumumkan, sampai saja pada nama dan visual Nabil, penonton memberikan sorakan lebih kuat berbanding calon lain.

Nabil menang anugerah tertinggi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 itu bukan kerana memiliki aura macam Mawi yang pernah menang tiga kali termasuk pada ABPBH musim lalu, juga bukan kerana Nabil mempunyai vokal sedap dan lagu hebat macam Datuk Siti Nurhaliza yang pernah menang lima kali gelaran itu. Kemenangan Nabil kerana bakat lawak jenakanya yang cukup menyerlah dan dia boleh diibaratkan jelmaan Saiful Apek yang pernah muncul sebagai pelawak pertama menang Bintang Paling Popular, iaitu pada ABPBH 2003.

Agak menarik untuk dibincangkan mengenai keputusan pemenang gelaran tertinggi itu kerana maklum balas mendapati ramai suka Nabil menang kerana akhirnya beliau dapat merobohkan tembok kukuh yang selama ini dimonopoli Mawi dan ramai memang mahu melihat siapa artis yang boleh menewaskan Mawi. Akhirnya muncul Nabil, juara Raja Lawak Astro musim kedua. Bakatnya itu menyerlah kerana hasil daripada program realiti TV seperti mana Mawi yang menang Bintang Paling Popular kali pertama pada ABPBH 2005 selepas auranya mencetuskan fenomena dalam Akademi Fantasia musim ketiga (AF3).

Dalam sisi lain sebelum keputusan diumumkan, sebenarnya ramai juga yang was-was sama ada antara Nabil, Mawi dan Siti Nurhaliza masing-masing ada peluang untuk menang Bintang Paling Popular 2008. Sebenarnya juga ramai yang masih berasakan Mawi mampu lagi merangkul gelaran itu musim ini berikutan kisah mengenai peribadinya cukup panas sepanjang tahun lalu apatah lagi menjelang hujung tahun lalu dia mendirikan rumah tangga dan acara pernikahan, persandingan dan resepsi dirayakan secara besar-besaran hingga dibuat siaran langsung menerusi Astro.

Malah, Mawi masih ada aura dan dia juga masih laris dalam persembahan. Namun, Mawi tidak lagi selaris dulu dan auranya memang jelas merosot. Namun, keupayaan Mawi mengekalkan gelaran Penyanyi Lelaki Popular untuk kali keempat berturut-turut adalah satu pencapaian yang cukup baik kerana belum ada dalam rekod ABPBH, ada penyanyi mampu bertahan dengan rekod itu.

Kemerosotan Mawi dari segi populariti mungkin kerana aura pada dirinya kurang lagi menyerlah, Betul kata orang, aura selalunya tak akan bertahan lama. Aura itu ibarat seri sebab seri seseorang itu akan cepat luntur jika tidak dipelihara dan diperbaikid dari semasa ke semasa. Malah ada yang berseloroh, dulu Mawi menang juga disebabkan aura sebagai lelaki bujang tetapi sekarang aura dah tak ada kerana statusnya kini sebagai suami orang!

Dari segi lain, berdasarkan kualiti kerjaya seni, inilah kesan yang berlaku terhadap Mawi kerana aura dimilikinya sejak AF3 tidak mampu bertahan lama dan tidak nampak dia berusaha untuk menjadi penyanyi yang lebih baik, tiada ada lagi lagu baru yang sedap dan menarik perhatian ramai pendengar, mahupun dia mampu membuat transformasi pada persembahan, karisma dan kredibiliti sebagai seorang penghibur. Kemerosotan Mawi sudah dirasakan kerana biarpun memang Bintang Paling Popular pada ABPBH 2006 dan 2007 tetapi undinya semakin merosot.

Diteliti pada jumlah undi yang diterima Mawi pada ABPBH 2008, Mawi kalah kepada Nabil dengan majoriti yang besar. Bayangkan Nabil meraih sebanyak 127,524 undi, manakala Mawi cuma memperoleh 55,080 undi, diikuti tempat ketiga terbanyak ialah Datuk Siti Nurhaliza yang mendapat 29,676 undi. Tempat keempat ialah Aznil Nawawi dengan 18,864 undi dan kelima, kumpulan Meet Uncle Hussain menerusi 11,784 undi. Tempat keenam dan ketujuh masing-masing berpihak pada Rosyam Nor dan Saiful Apek.

Meneliti jumlah undian itu, ia bererti Mawi hilang banyak undi kali ini berbanding pada ABPBH musim lalu, dia meraih lebih 119,000 undi. Namun, bagi kemenangan Penyanyi Lelaki Popular, undi yang diperoleh Mawi begitu selesa biarpun mendapat saingan sengit daripada Aizat.

Jika dianalisis jumlah undian yang diterima bagi semua 16 kategori lain ABPBH 2008, didapati pemenang musim ini seimbang antara muka lama dan muka baru. Namun, berdasarkan pola undian, ada empat kategori yang pemenangnya meraih kejayaan menerusi majoriti tipis iaitu bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular yang disandang Que Haidar setelah mengetepikan Rosyam, begitu juga Pelakon Filem Wanita Popular, Maya Karin, yang bernasib baik kerana undinya meningkat pada minggu terakhir kiraan sekali gus dapat meninggalkan Liyana Jasmay.

Dua lagi artis yang turut menang tipis ialah Norkhiriah menerusi Artis Komedi Wanita Popular selepas berjaya memintas undian Kenchana Dewi, manakala Dynas juga bernasib baik kerana berjaya mendapat lebih undi untuk menang Pelakon TV Wanita Popular dengan mengetepikan saingan terdekatnya, Rita Rudaini. Pemenang kategori lain jelas mendapat undi cukup selesa sejak pengiraan undian di peringkat mula lagi. Syabas buat semua pemenang!

Kata orang, di mana periuk pecah, di situlah tembikar tinggal…

Berita Harian

ABPBH Catat 4.22 Juta Penonton

14 Apr

KUALA LUMPUR: Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang berlangsung kelmarin di Arena Of Stars, Genting Highlands terus mengekalkan status program hiburan popular apabila berjaya mencatat 4.22 juta penonton untuk program yang bersiaran selama dua jam setengah itu.

Angka yang dikeluarkan AGB Nielsen Media Research itu mewakili 66.2 peratus daripada keseluruhan penonton siaran televisyen yang ke udara ketika itu.

Kejayaan itu sekali gus menjadikan ABPBH yang kini memasuki edisi ke-22 penganjurannya menjadi antara program hiburan yang mencatatkan kadar penonton tertinggi untuk setengah tahun pertama 2009.

Mengulas pencapaian itu, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun, berkata kejayaan itu hasil kreativiti dan kredibiliti dimiliki program dari segi penganjuran dan pengisiannya.

“Saban tahun kami menyajikan kelainan dalam acara ini dan penonton sudah maklum perkara itu. Justeru, tidak hairanlah jika mereka terus setia menyaksikan program ini. Kejayaan ini juga adalah satu cabaran buat kami supaya terus menampilkan yang terbaik untuk acara akan datang.

“Lebih membanggakan, selain mengekalkan jumlah penonton yang tinggi ABPBH juga mendahului acara anugerah lain yang pernah disiarkan secara langsung sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin berkata kejayaan itu takkan dicapai andai tiada kerjasama kedua-dua belah pihak iaitu produksi TV3 serta akhbar Berita Harian.

“Saya teruja dan bangga dengan hasil kerja produksi TV3 dan Berita Harian. Saya difahamkan perancangan untuk penganjuran ABPBH 2008 ini mengambil masa selama lapan bulan. Ternyata, penat lelah mereka yang terbabit membuahkan hasil, tahniah kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

ABPBH 2008 menyaksikan sebanyak 16 kategori dipertandingkan. Kejutan turut berlaku apabila juara program realiti Raja Lawak, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil berjaya merampas gelaran Bintang Paling Popular dari tangan penyandang untuk tiga tahun berturut-turut iaitu Mawi.

Berikutan kemenangan itu, Nabil membawa pulang hadiah utama kereta Nissan Sylphy 2.0L berharga RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, barang kemas Rafflesia bernilai RM150,000 tajaan Rafflesia The Pearl Centre serta pakej penginapan bernilai RM8,000 tajaan Palace of the Golden Horses, perabot tajaan Empire Classic Furniture selain trofi.

Selain anugerah utama, Nabil turut dipilih memenangi kategori Artis Baru Popular dan Pelakon Komedi Lelaki Popular. Turut berjaya membawa pulang trofi pada malam itu ialah Datuk Siti Nurhaliza bagi kategori Penyanyi Wanita Popular, Rosyam Nor (Pelakon TV Lelaki Popular).

Dynas sekali lagi mempertahankan anugerah kategori Pelakon TV Wanita Popular. Faizal Ismail dan Fara Fauzana daripada radio Hot FM pula mengungguli gelaran Penyampai Radio Lelaki dan Wanita Popular.

Maya Karin pula merampas gelaran Pelakon Filem Wanita Popular daripada Fasha Sandha. Que Haidar pula menang buat pertama kali kategori Pelakon Filem Lelaki Popular. Aznil Nawawi juga terus mengekalkan gelaran Pengacara TV Lelaki Popular, Rabbani (Penyanyi Nasyid Popular) dan Meet Uncle Hussain untuk Artis Berkumpulan/ Duo Popular.

Berita Harian

Populariti Siti Belum Dicabar

14 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff, Zul Husni Abdul Hamid, Farihad Shalla Mahmud & Zaidi Mohamad
bhnews@bharian.com.my

PENYANYI Wanita Popular kekal milik Siti 12 kali berturut-turut.

Kemenangan muka baru dalam ABPBH 2008 menunjukkan perubahan sikap peminat

TIRAI Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 sudah pun dilabuhkan jam 11.30 malam, Ahad lalu, apabila keputusan terakhir Bintang Paling Popular diumumkan pengacara Adlin Aman Ramlie dan Sharifah Shahira. Begitupun, pastinya peminat masih hangat membicarakan mengenai anugerah edisi ke-22 itu selepas satu nama baru, Ahmad Nabil Ahmad, dinobat pemenang tiga trofi, termasuk kategori utama berkenaan.

Ia umpama mengulangi pencapaian bekas Bintang Paling Popular sebanyak tiga kali (ABPBH 2005 – 2007), Mawi, yang sebaik saja beberapa bulan keluar daripada Akademi Fantasi musim ketiga, dia terus menggenggam tiga trofi (Artis Baru Lelaki Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Bintang Paling Popular) pada ABPBH 2005.

Akhirnya, benteng yang dibina kukuh oleh Raja SMS itu runtuh dengan kelucuan yang dihadirkan peserta Raja Lawak musim kedua ini. Peminat memilih untuk memahkotakan seorang artis komedi, pada kali ini, berbanding penyanyi, penyampai radio, pengacara televisyen mahupun pelakon.

Selepas Mawi melakukannya selama tiga tahun, kini giliran Nabil pula menghuni tempat cukup istimewa itu. Lebih bermakna, dengan gelaran yang baru diterima, Nabil memandu pulang kereta Nissan Sylphy 2.0L bernilai RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, menerima set barang kemas Rafflesia bernilai RM150,000 dan set perabot tajaan Empire Classic Furniture bernilai RM30,000.

Bukan hanya Nabil yang berjaya merubah keputusan anugerah itu, pada acara yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Arena of Stars Genting Highlands, bahkan beberapa nama lain turut mencipta kejayaan tersendiri apabila berdaya menguis turun pemenang sebelum ini.


QUE berkongsi kegembiraan dengan isteri tersayang.

Pelakon Noorkhiriah, umpamanya, menongkah arus untuk muncul pemenang kategori Artis Komedi Wanita Popular, selepas pemenang edisi sebelumnya, Sheila Rusly, gagal disenarai ke peringkat akhir. Begitu juga aktres Maya Karin, yang berbekalkan filem Duyung, merampas semula trofi Pelakon Filem Wanita Popular yang pernah dijulang pada ABPBH 2005 daripada tangan Fasha Sandha.

Que Haidar pula, setelah bertahun mencuba, akhirnya pulang dengan trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, mengetepikan pemenang edisi sebelumnya, Rusdi Ramli. Dalam kategori yang dianggap cukup kuat, Que yang baru saja bergelar suami kepada pereka tari Linda Jasmine, membuktikan usaha kerasnya sekian lama memberikan habuan yang bukan kepalang.

Populariti Lagu Untukmu yang menjuarai beberapa acara pertandingan, benar-benar meletakkan kumpulan Meet Uncle Hussain pada kedudukan teratas dalam kategori Artis Berkumpulan / Duo Popular. Calon terkemuka lain seperti Hujan, Estranged dan M Nasir & Malique juga tidak mampu menahan kemaraan mereka.

Stacy yang menjadi artis pembuka tirai ABPBH 2008 bersama Anita Sarawak, terus menyusun langkah kemas untuk bergelar penghibur terkenal selepas membuka mata peminat pada Anugerah Juara Lagu Ke-23. Dia meneruskan tradisi peserta AF mengungguli kategori Artis Baru Wanita Popular selepas Farah melakukannya pada ABPBH 2005 dan Mila pada ABPBH 2007.


JAMAL Abdillah berbual dengan Datuk A Rahman Hassan.

Kategori lain masih menyaksikan calon yang sama masih diangkat peminat sebagai pemenangnya. Fara Fauzana terus unggul dalam kategori Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular, manakala Faizal Ismail dan Aznil Nawawi menguasai kategori lelakinya.

Dynas dan Rosyam turut mengelakkan trofi yang dimenangi mereka dalam kategori Pelakon TV Wanita / Lelaki Popular, manakala kumpulan Rabbani menjulang trofi Artis Nasyid Popular sebanyak lapan kali berturut-turut, sejak ABPBH 2001.

Namun begitu, siapa yang dapat menafikan kehebatan Datuk Siti Nurhaliza apabila penyanyi itu menaiki pentas menerima trofi Penyanyi Wanita Popular sebanyak 12 kali berturut-turut. Sejak memenanginya kali pertama pada ABPBH 1996, si penyanyi Di Taman Teman ini tidak pernah melepaskan piala berkenaan ke tangan penyanyi lain.

Dengan keputusan yang menampakkan gelombang perubahan pada ABPBH 2008, peminat nyata semakin berani membuat perubahan pada kedudukan senarai populariti artis kesukaan mereka kali ini. Mereka tidak lagi terikut-ikut dengan corak undian sebelum ini, sebaliknya dengan gah pendirian yang jelas untuk menyatakan pilihan masing-masing.

Keputusan itu sendiri juga turut memberikan harapan kepada nama baru untuk sama-sama meraih populariti, apabila benteng kebal yang dibina beberapa calon sudah dibuktikan kemungkinannya untuk tumbang. Sudah semestinya, jika mereka disokong produk yang baik lagi popular, tidak kiralah filem, lagu, rancangan TV ataupun radio, sampul surat yang mengandungi nama pemenang itu satu hari nanti mungkin mencatatkan nama mereka di dalamnya.

Mungkin mesej yang harus juga direnung artis muda daripada ABPBH kali ini, usah jerat diri anda dalam kontroversi yang memualkan kerana cerita yang tidak sedap didengar juga mampu mempengaruhi pengundi.

Berita Harian