Archive | Michelle Yeoh RSS feed for this section

Todt Pilih Malaysia Jadi Rumah Kedua

23 Apr

KUALA LUMPUR: Penyertaan bekas pengurus pasukan Formula 1 Ferrari, Datuk Seri Jean Todt pada program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) akan membuka mata lebih ramai warga asing memilih Malaysia sebagai tempat tinggal.

Pemilihan Todt yang juga tunang kepada pelakon antarabangsa kelahiran Ipoh, Datuk Michelle Yeoh untuk menjadikan Malaysia sebagai kediaman keduanya juga bakal mengangkat imej Malaysia berikutan reputasi dan rangkaian dimiliki Todt, di samping ketokohannya dalam sukan permotoran dunia.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata ia adalah penghormatan dan kelebihan kepada negara serta diharap mendorong dan melonjak penyertaan lebih ramai warga asing dalam program yang kini disertai 12,566 orang sehingga Disember lalu.

“Todt mempunyai rangkaian luas dan dikenali pada peringkat antarabangsa sebagai tokoh yang cemerlang. Sudah pasti beliau sentiasa membuat pilihan dan keputusan terbaik dalam pelbagai aspek. Pemilihan Malaysia ini pasti amat disenangi dan istimewa kepada warga Eropah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan penyertaan Todt pada program berkenaan, selain menyampaikan surat penerimaan dan kelulusan permohonan kepada Todt. Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Ong Hong Peng, Todt dan Yeoh.

Sementara itu, Todt berkata, beliau memohon menyertai program itu kerana berasakan Malaysia sudah menjadi sebahagian penting dalam dirinya, selain berminat meluaskan rangkaian kerjasamanya dengan negara ini dalam pelbagai bidang termasuk industri permotoran serta penyelidikan perubatan.

“Malaysia bukan rumah kedua saya tapi lebih kepada rumah pertama. Ia semakin penting kerana pelbagai keistimewaan yang saya temui sepanjang berada di sini. Saya suka negara ini… saya suka rakyatnya… saya suka pendekatan negara ini… saya suka budayanya, sikap penduduknya dan yang penting saya selesa berada di sini.

“Saranan saya supaya kementerian mempromosi Malaysia dengan menerangkan lebih kerap mengenai keindahannya, di samping penduduknya yang merendah diri dan peramah,” katanya.

Berita Harian

Filem Bond Di TV2 Sepanjang April

30 Mar

SEPANJANG April 2009 ini, Peminat James Bond berpeluang menyaksikan ejen perisikan yang memiliki perwatakan menarik dan mampu mencairkan hati wanita ini beraksi menerusi lima filem hebat yang dipertontonkan RTM sepanjang April.

Lima filem James Bond yang dijanjikan setiap Isnin bermula dengan episod Golden Eye pada 4 April 2009, diikuti Tomorrow Never Dies (11 April 2009), The World Is Not Enough (18 April 2009), The World Is Not Enough (25 April 2009) dan akan menutup tirainya menerusi Casino Royale pada 2 Mei 2009.

Semuanya disiarkan menerusi slot Saturday Night Special @ 2 ini disiarkan jam 10 malam di TV2.

Membuka tirai rancangan istimewa James Bond mempersembahkan filem Golden Eye yang menampilkan aktor Hollywood terkenal, Pierce Brosnan selaku pemegang watak utama James Bond. Filem yang padat dengan aksi mencabar ini pasti membuatkan penonton teruja dengan jalan cerita yang di arahkan oleh pengarah berbakat besar, Martin Campbell.

Filem yang menampilkan watak James Bond ini turut dikenali sebagai Ejen 007 adalah pengintip yang ditugaskan untuk menghalang penjahat menggunakan satelit dikenali sebagai Golden Eye untuk memusnahkan London dan melumpuhkan sistem kewangan di kota tersebut.

Misi James Bond kali ini adalah untuk memulihkan sistem ‘Golden Eye’ yang digodam oleh penjenayah. Seorang pengendali komputer dari Rusia iaitu Natalya Siminova lakonan Izabella Scorupco adalah pasangan James Bond dalam filem ini yang bekerjasama untuk mencari ruang kepada sistem tersebut..

Episod Tomorrow Never Dies sekali lagi menampilkan Brosnan dalam misi melumpuhkan konspirasi seorang hartawan, Elliot Carver yang dilakonkan Jonathan Pryce. Carver cuba mempergunakan sistem penyiaran dunia dengan menyebarkan maklumat palsu melalui sistem satelit yang dapat menembusi setiap penjuru planet.

Pertemuan Bond dengan seorang wartawan yang sebenarnya ejen perisikan dari China, Wai Lin lakonan Michelle Yeoh memantapkan lagi misi Bond dalam menumpaskan rancangan Carver. Carver menyalahkan China kerana menyebabkan kapal pengangkut tentera laut British tenggelam di dalam pertempuran yang berlaku secara senyap lantas bercadang untuk melancarkan perang ke atas China.

Filem ke-18 dalam siri himpunan filem James Bond ini turut menampilkan pelakon jelita Teri Hatcher yang memegang watak Paris, isteri kepada Carver.

Menyusul selepas itu, filem James Bond- The World Is Not Enough yang masih lagi mengekalkan Brosnan sebagai tunjang utama. Kali ini, plot filem berkisar mengenai pembunuhan Sir Robert King, yang terbunuh dalam tragedi pengeboman di kuarters M16. Bond ditugaskan melindungi anak perempuan Sir Robert King, Elektra yang secara tidak langsung menjadikan Bond sebagai pengawal peribadi Elektra.

Renard seorang penjahat yang ditembak di kepala tetapi meninggalkan kesan yang luar biasa di mana dia tidak dapat merasai kesakitan fizikal akibat peluru yang menembusi kepalanya. Renard menjadikan Elektra sebagai mangsa seterusnya dan memasang strategi untuk membunuh Elektra.

Selain penampilan istimewa Dennis Richards sebagai Dr. Christmas Jones, seorang pakar dalam senjata nuklear, filem ini turut di bintangi barisan pelakon handalan seperti Robbie Coltrane, Judi Dench, Samantha Bond dan David Calder.

Menerusi filem Die Another Day, Brosnan memegang watak James Bond untuk kali kedua puluh iaitu yang terakhir. Kali ini, misi James Bond tertumpu di Korea Utara. Bond memujuk kolonel tersebut untuk berhenti menggunakan satelit bagi melancarkan perang ke atas diantara Utara dan Selatan Korea.

Filem arahan Lee Tamahori ini turut dijayakan oleh pelakon wanita hebat, Halle Berry, Toby Stephens, Rick Yune dan Rosamund Pike.

Menutup tirai himpunan menarik filem James Bond di TV2 mempersembahkan Casino Royale lakonan muka baru Bond, Daniel Craig sebagai ejen M16, James Bond. Filem Casino Royale telah diadaptasikan daripada novel karya Ian Fleming. Casino Royale turut dijayakan oleh Eva Green, Mads Mikkelsen, Judi Dench, Jeffrey Wright dan Caterina Murino.

Berita Harian

Jejak Warisan Pulau Mutiara

12 Mar

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

Menjejak sejarah Pulau Pinang yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia tidak lengkap jika tidak singgah di Fort Cornwallis, kota pertahanan dan pusat pentadbiran yang binaan asalnya dikatakan menggunakan batang nibung

KEPINGAN papan yang menjadi pelantar pejalan kaki sudah agak lusuh, tetapi untuk penghuni perkampungan air berdekatan pusat bandar Georgetown, Pulau Pinang, ia menyimpan sejarah panjang menjangkau hampir 150 tahun.

Rumah pertama dibina pada 1860-an oleh pemuda dari wilayah Fujian, China yang merantau untuk berkerja sebagai kuli di Pulau Pinang yang ketika itu berkembang maju sebagai pelabuhan selepas dibuka Kapten Francis Light pada 1786.

Sejak itu, ia berkembang kepada beberapa perkampungan air menempatkan sebilangan puak hidup harmoni dalam koloni masing-masing iaitu jeti Chew (paling besar), jeti Lee, Tan dan Yeoh.

 

 

Kini, penempatan di kawasan dikenali sebagai Weld Quay menjadi antara tarikan sejajar dengan pengiktirafan Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Sedunia (Unesco), pada 7 Julai tahun lalu.

Jejak warisan di Pulau Mutiara ini bagaimanapun, tidak akan lengkap jika tidak singgah di Fort Cornwallis, kota pertahanan dan pusat pentadbiran yang binaan asalnya dikatakan menggunakan batang nibung pada 1786.

Tiga tahun kemudian, ia dibina semula bagi memenuhi keperluan sebagai pusat pentadbiran dan pangkalan tentera sejajar dengan perkembangan kuasa empayar British di rantau ini.

Sejarahnya, seperti yang dapat dihayati di galeri pameran, berkait rapat dengan usaha pemodenan pulau ini. Selain menempatkan gereja kecil, ia juga menempatkan rumah api – uniknya, di tengah pusat bandar dan masih berkhidmat sebagai panduan arah kepada kapal dagang.

Catatan penting yang tidak boleh dipinggirkan mengenai kota di Jalan Tun Syed Sheh Barakabah ini adalah kisah menarik mengenai meriam bernama Seri Rambai, yang dikatakan bermula sejak 1603.

Asalnya, Belanda menghadiahkan meriam ini kepada Sultan Johor, tetapi ia dibawa ke Acheh, Indonesia dan kemudian diletakkan di Kuala Selangor. Pada 1871, ia dirampas oleh British dan diletakkan di lokasi sedia ada iaitu satu sudut kota itu.

Menghala ke pusat bandar, pengunjung dibawa menghayati keindahan bangunan warisan kolonial dengan seni bina Anglo-India dengan pengaruh reka bentuk Cina. Perluasan kuasa Inggeris dan perkembangan pulau ini juga menarik kedatangan pedagang dari serata dunia.

Pelbagai nama jalan utama membuktikan penempatan awal masyarakat pelbagai bangsa. Orang Eropah ditempatkan di Lebuh Light, keturunan Serani (Lebuh Bishop), pedagang Cina (Lebuh China), pedagang India (Lebuh Chulia) dan pedagang Aceh (Lebuh Aceh).

Pendatang dari wilayah India Selatan dikatakan membina deretan rumah kedai sepanjang Jalan Chulia (dulu dikenali sebagai Malabar Street), King Street and Queen Street, kawasan yang kini tersohor dengan jolokan Little India.

Pulau ini juga menjadi transit untuk pedagang yang ingin belayar ke India dan Timur Tengah. Masjid Kapitan Keling umpamanya, menjadi tempat berhimpun jemaah haji dari Tanah Melayu, Thailand dan Sumatera sebelum berangkat ke Mekah dengan kapal laut.

Lebuh Armenian dan Lebuh Acheh pula menyimpan sejarah dan gaya hidup glamor golongan atasan suatu ketika dulu. Hartawan terkemuka, Syed Alatas yang menemui kekayaan dengan perdagangan antara Pulau Pinang dan Acheh pernah mendiami banglo dua tingkat di Lebuh Acheh.

Jalan sama turut menempatkan Masjid Melayu Lebuh Acheh, manakala Lebuh Armenian pula mendapat namanya daripada warga Armenia berketurunan Yahudi, Sarkies, yang bertanggungjawab membuka hotel The Eastern & Oriental yang amat popular sekitar 1920-an.

Pertembungan Timur dan Barat dapat disaksikan dengan jelas jika anda singgah ke Muzium Peranakan Pulau Pinang di Jalan Gereja. Menariknya, pemilik rumah agam ini adalah Kapitan Chung Keng Kwee, ketua puak Hai San, yang terbabit dalam Perang Larut antara 1860-an dan 1884.

Walaupun bukan berasal daripada keturunan Baba hartawan yang meraih kekayaan hasil perlombongan bijih timah di Perak ini membina rumah yang sarat dengan jiwa Peranakan ini pada abad ke-19.

Pengunjung dapat menyaksikan pakaian, perabot dan pinggan mangkuk yang digunakan bagi menggambarkan kedudukan ahli keluarga masyarakat atasan ketika itu. Malah, rumah itu turut menempatkan koleksi kebaya dan kuil untuk acara keagamaan keluarga besar ini.

Kongsi Khoo berusia lebih 100 tahun di Lebuh Cannon pula membawa pengunjung mengembara ke Dinasti Ching dengan reka bentuk bangunannya seperti perkampungan Cina pada abad ke-19. Kuil dalam kongsi ini pernah diabadikan dalam satu babak filem Hollywood, lakonan Jodie Foster pada 1999.

Menariknya, kompleks kediaman yang dilengkapi pentas opera, rumah kedai, pejabat pentadbiran ini juga mempunyai pertalian dengan tokoh perniagaan terkemuka negara termasuk Tan Sri Francis Yeoh dan aktres antarabangsa, Datuk Michelle Yeoh.

INFO

>Tapak Warisan Dunia meliputi bangunan bersejarah di Lebuh Acheh, Masjid Melayu Lebuh Acheh,

Masjid Jalan Mesjid Kapitan Keling, Goddess of Mercy Temple, Kuil Mariamman Temple, Kongsi Khoo, Gereja St George dan Assumption Church.

>Selain itu, St Xavier’s Institution, Convent Light Street, Little India, muzium dan mahkamah, bangunan komersil sepanjang Beach Street, Fort Cornwallis, Esplanade, City Hall dan perkampungan air di Weld Quay.

>Jejak warisan Pulau Pinang mengambil masa antara dua dan tiga jam. Selain menghayati bangunan warisan, pengunjung boleh mencuri masa untuk mengunjungi kedai di sepanjang Jalan Masjid Kapitan Keling sehingga ke Lebuh Pasar.

>Selain hidangan nasi kandar, pastikan anda singgah untuk menikmati rojak pasembor dan laksa di medan selera berhampiran dengan Esplanade atau gerai penjaja di Gurney Drive.

* Kunjungan wartawan dari ibu kota ke Pulau Pinang diaturkan oleh Tourism Malaysia sempena dengan Zoom Travel Fair 2009.

RUJUKAN PERCUTIAN
Tourism Malaysia
Tel : 03-2615 8188
Faks: 03-2693 5884 / 2693 0207
Talian Pelancongan: 1-300-88-5050
Emel: enquiries@tourism.gov.my
http://www.tourism.gov.my

Harian Metro

Samuel Jaga Makan Jadi Penari

7 Mar

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
WAJAH kacak pelakon Indonesia, Samuel Rizal Arifin, 28, pernah menjadi pujaan peminat filem tempatan apabila filem lakonannya, Eiffel I’m in Love ditayangkan di negara ini pada 2004.

Selepas dua tahun tidak berlakon filem di negaranya, tahun ini jejaka bertubuh sasa itu kembali menghiasi layar perak menerusi penampilannya dalam filem Sayang You Can Dance.

Cerewet memilih watak, pengarah filem itu Bjarne Wong, bertuah di atas kesudian Samuel untuk tampil dalam filem itu sebagai teraju utama. Filem remaja itu mengetengahkan tema persahabatan yang akrab dan mereka menubuhkan kumpulan tarian.

Akui Samuel, tiada masalah walaupun kali pertama bekerja dengan produksi Malaysia kerana semuanya bekerja dengan profesional dan berdisiplin. Katanya, situasi bekerja sama saja dengan di Indonesia.

“Saya tertarik berlakon filem ini kerana wataknya belum pernah dibawa dan ia juga hasil perbincangan antara penerbitan Sayang You Can Dance, Hock Star Entertainment Industry Sdn Bhd dengan pengurusan saya, Oxygen Entertainment.

“Watak sebagai Remie mencabar kerana kali pertama saya memainkan peranan sebagai penari. Demi menghayati watak itu, saya menjaga makan dengan mengurangkan pengambilan makanan berkabohidrat digantikan dengan hidangan tinggi protein. Saya perlu tonjolkan susuk tubuh sebagai penari.

“Selesai saja penggambaran, saya makan semua makanan kegemaran termasuk ayam goreng KFC. Saya juga makan dua mangkuk mi tradisional Sarawak. Saya tidak boleh samakan diri saya dengan Alam yang menjuarai pertandingan program realiti So You Think You Can Dance. Dia adalah penari profesional, jadi dia tidak perlu terlalu bekerja keras macam saya kerana tubuhnya sudah cantik.

“Seronok bekerja dengan semua pelakon filem ini dan kami seperti sebuah keluarga terutama Amani (Sharifah Amani). Dia berdisiplin dan kami serasi berlakon berdua.

“Saya menjalani latihan menari selama dua minggu bersama jurutari dari Hong Kong, Danny Wong. Proses latihan itu agak sukar daripada yang dijangka kerana jangka masa pendek.

“Bagaimanapun, Danny sabar memberikan tunjuk ajar. Walaupun dengan kesukaran berkomunikasi, kami berjaya menamatkan latihan insentif itu,” katanya yang ditemui pada pelancaran filem itu di GSC Midvalley, kelmarin.

Samuel yang memulakan kerjaya lakonan lapan tahun lalu, baru berlakon tiga filem kerana cerewet memilih watak. Filem terakhirnya, Apa Ertinya Cinta. Bagaimanapun, sebagai wajah eksklusif Soraya Intercine Films, Samuel banyak berlakon sinetron terbitan syarikat itu.

“Tawaran berlakon filem ada tetapi wataknya tidak sesuai. Di samping berlakon, saya dalam perkiraan untuk membuka perniagaan tetapi tak tahu lagi hendak berniaga apa,” katanya.

Sharifah Amani pula menyifatkan wataknya sebagai Mia sukar dibawa kerana ia bertentangan dengan perwatakan sebenarnya yang kelihatan seperti tomboi.

“Mia digambarkan gadis ayu menjadi idaman lelaki, mempunyai perwatakan menarik dari raut wajah, pergerakan sehingga keperibadiannya. Ini memberi cabaran kepada saya untuk menghidupkan watak itu. Cara duduk pun mesti bersopan santun.

“Karakter sebenar saya seperti Zoela dalam drama Sinderella. Apabila menjadi Mia, saya terpaksa menukar 100 peratus watak saya yang agak gila-gila. Memang saya idamkan watak macam itu tetapi tak pernah dapat sehinggalah Bjarne memberi peluang itu kepada saya.

“Berlakon filem ini memberi pengalaman baru kerana kru produksi daripada Hong Kong dan mereka sangat teliti termasuk solekan dan kostum daripada hujung rambut hingga hujung kaki.

“Filem ini menemukan pelbagai bangsa, budaya dan bahasa. Kami berkomunikasi seperti ayam dengan itik tetapi kerana dua bulan bersama, merangkumi latihan dan penggambaran filem di lokasi, kami boleh saling memahami.

“Walaupun ada hari yang saya tidak terbabit dalam penggambaran, Dafi telefon suruh datang kerana sehari tidak bertemu rindu rasanya.

“Samuel pula suka mengusik membuatkan kami cepat mesra dan serasi bersama. Sepanjang latihan dan pembikinan filem ini, mama (Fatimah Abu Bakar) ada sama sebagai penasihat produksi.

“Susahnya hendak melakonkan adegan intim dengan Samuel kerana mama selalu melihat monitor. Ini kali kedua sama bekerja dengan mama. Kali pertama 1957: Hati Malaya. Pun begitu, mama sumber ilham saya dan saya mewarisi bakat lakonan daripadanya,” katanya.

Kata Amani, setiap hari mereka berlatih menari kerana pelakon filem itu berbeza latar diri. Ada penari yang baru belajar berlakon, ada penyanyi yang baru belajar menari dan berlakon serta pelakon hendak cuba menari. Jadi setiap hari, kami berlatih tanpa henti.

“Saya kagum dengan pelakon lelaki filem ini kerana mereka bersaing satu sama lain. Kalau Alam boleh buat, Samuel, Dafi, Dominiqiu Chiu, Smyth Wong dan Ebi pun akan mencuba sampai boleh. Mereka cukup bersemangat bekerja,” katanya.

Bjarne pula menimba pengalaman pembikinan filem selama 18 tahun di Hong Kong. Pernah bekerja dengan Stanley Tong serta menjadi pembantu peribadi Datuk Michelle Yeoh selama dua tahun.

Kini dia berdikari mengarahkan filem sendiri iaitu The Legend Of The Red Curse dan Possessed. Sayang You Can Dance adalah filem ketiga arahannya.

Pembikinan Sayang You Can Dance dibuat di Sarawak dan mula ditayangkan di seluruh negara pada 12 Mac ini serta akan diedarkan di Indonesia oleh Soraya Intercine.

Harian Metro

Michelle Yeoh Pertahan Slumdog Millionaire

24 Feb

HONG KONG: Salah seorang aktres terkemuka Asia semalam mempertahankan pemenang Oscar bagi Filem Terbaik, Slumdog Millionaire, daripada sasaran kritikan yang menyatakan ia menyembunyikan realiti kehidupan sebenar kawasan setinggan di Mumbai.

Pelakon kelahiran Malaysia, Datuk Michelle Yeoh, yang pernah bekerja dengan pengarah filem berkenaan, Danny Boyle, pada 2007 dalam filem Sunshine, berkata ia cuma sekadar cerita dongeng dan penonton tidak perlu keliru dengan kehidupan sebenar penduduk miskin India.

“Saya pernah ke Mumbai. Realitinya ialah ada beberapa tempat tertentu di kawasan itu benar-benar teruk,” kata bekas Gadis Bond itu.

Yeoh berkata, Boyle perlu menjadikan Slumdog Millionaire lebih ceria kerana cerita sebenar kehidupan setinggan tidak akan menggembirakan penonton.

“Saya tidak berasa ada penonton yang akan terlekat di kerusi menonton filem seumpama itu sehingga tamat, ia cuma menyentak hati sepanjang masa,” katanya.

Slumdog Millionaire yang meraih lapan Oscar Ahad lalu, termasuk Pengarah Terbaik, mengisahkan perjalanan Jamal, yang menyaksikan kematian ibunya, mengharungi seksaan polis dan dikhianati saudaranya, tetapi pada masa sama masih berharap untuk bersatu dengan kekasihnya sejak kecil.

Kisah Jamal diceritakan menerusi imbas semula ketika mengingati bagaimana dia mengetahui jawapan yang menjadikan dia pemenang versi India rancangan kuiz Who Wants to Be a Millionaire.

“Ia cerita dongeng. Bolehkah sesuatu seumpama itu berlaku? Tentu tidak. Tetapi itulah keajaiban penghasilan filem. Saya amat bangga dengan Danny,” kata Yeoh.

Yeoh turut mengangkat Slumdog Millionaire sebagai contoh bagaimana pengarah filem Asia boleh bekerja dengan rakan seangkatan di Barat. – AP

Berita Harian

Zhao Wei Ialah Mulan

19 Feb


ZHAO WEI

WATAK Mulan sudah dipotretkan di layar perak oleh Disney tetapi hanya menerusi karya animasi, Mulan pada 1998. Sekarang pengarah Hong Kong, Jingle Ma yang bakal mengarah filem berkenaan Mulan dilaporkan telah memilih aktres Zhao Wei bagi melakonkan watak tersebut.

“Zhao Wei memiliki kualiti yang diperlukan bagi watak Mulan,” ujar Ma kepada Beijing Times pada majlis sidang media pelancaran filem, Mulan baru-baru ini.

Sebelum ini media melaporkan antara yang disenaraikan untuk watak Mulan atau nama penuhnya Hua Mulan itu termasuklah Zhang Ziyi, Datuk Michelle Yeoh dan Liu Yifei.

Zhao Wei telah menunjukkan kredibiliti lakonan yang hebat sebelum ini menerusi filem-filem seperti Red Cliff dan Painted Skin.

Kosmo

Dari Lasak Jadi Penggoda

2 Jan

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Kalau diberi kesempatan mahu berguru dengan pelakon idolanya, Datuk Michelle Yeoh

KETIKA masih kanak-kanak, impiannya adalah untuk bergelar pegawai polis. Begitupun, sejak sembilan tahun lalu, bukan karier kepolisian yang digenggam anak gadis tukang masak terkenal Chef Wan, iaitu Serina.

Sebaliknya dia sibuk di lokasi penggambaran, sama ada menyiapkan drama bersiri, telefilem, filem mahupun mengacarakan rancangan televisyen.

Mungkin cita-cita untuk menjadi anggota pasukan keselamatan tidak berjaya digapai wanita berusia 25 tahun ini. Namun, dalam karier lakonan, acap kali dia menyarung pakaian seragam pasukan keselamatan dan penguat kuasa undang-undang, dalam menjayakan watak diberikan.

“Paling tidak, tercapai juga impian saya sejak di bangku sekolah, untuk merasai pengalaman berada dalam pasukan keselamatan,” katanya yang membintangi beberapa drama aksi seperti Skuad Elit, CID, Akademi Polis dan Roda-Roda KL.

Ketika artikel ini ditulis, Serina sedang menjalani penggambaran filem Cyber X yang sekali lagi menyaksikan dirinya berlakon sebagai pegawai polis, selepas berbuat demikian dalam drama bersiri Akademi Polis.

Dalam filem arahan Amith Abidin (pengarah Misteri Dendam Balan Balan The Movie) terbitan Pentas Opera, Serina beraksi di samping Razali Hussin, Lisa Surihani, Fezrol Khan, Datuk Jalaludin Hassan, Kartina Aziz dan Yang Kassim.

“Saya diberikan peranan Inspektor Zalian yang menyamar sebagai pelajar untuk menyiasat kes pencerobohan komputer membabitkan golongan pelajar dan pakar teknologi IT,” cerita Serina mengenai filem yang menyaksikan dirinya melakukan adegan lasak tanpa bantuan pelakon lagak ngeri.

Bagi membuktikan kata-katanya, Serina menunjukkan beberapa kesan lebam di kaki.

Katanya kesan lebam itu diperoleh tatkala dia terjauh daripada motosikal sewaktu melaksanakan adegan lasak filem berkenaan.

“Saya seronok beraksi dalam filem ini kerana genrenya berbeza daripada filem kepolisian yang lain. Cyber X termasuk dalam kategori thriller dan mengetengahkan perihal jenayah membabitkan dunia siber. Namun jangan salah anggap filem ini menggalakkan anak muda melakukan jenayah berkaitan komputer pula,” katanya bersulam ketawa.

Menurut wanita yang peramah ini, dia mendapat kepuasan sepenuhnya apabila diberikan peluang melakukan lagak ngeri sendiri.

“Memanglah anggota badan kita akan sakit-sakit dan lebam di sana sini apabila melakukan stunt sendiri. Tetapi, peluang berbuat demikian bukannya datang setiap hari. Apatah lagi saya sendiri memang sukakan aktiviti lasak seperti ini. Pada masa sama, saya juga belum hilang akal untuk melakukan stunt yang membahayakan nyawa.

“Apabila melakukan adegan lasak sendiri, kita akan berasa lebih puas apabila menontonnya di layar lebar. Sudah tentulah ia buka kerja yang mudah, tetapi sekiranya disertai dengan minat dan keinginan yang tinggi, insya-Allah kita mampu melakukannya dengan jaya,” kata Serina.

Sambung gadis manis ini, dia mempunyai impiannya sendiri apabila bercerita mengenai pembabitan dalam dunia lakonan lasak seperti ini.

“Saya teringin menjadi pelakon aksi serba boleh seperti Datuk Michelle Yeoh yang sudah pun melakar nama bukan saja di Hong Kong, bahkan di Hollywood. Jika diberi peluang, saya ingin sekali berguru dengan aktres popular itu. Walaupun dia sudah agak berumur (46 tahun), ketangkasannya sukar ditandingi.

“Sebagai anak kelahiran Malaysia, pencapaiannya tentu membanggakan kita semua. Saya juga mahu mengejar kejayaan serupa. Sekiranya kita tidak mencuba, sampai bila-bila pun kita takkan tahu natijahnya,” ujar pelakon ini yang turut mengidamkan watak wanita gila atau cacat ini.

Begitupun kata Serina, bukan bermakna hanya watak lasak saja mampu dilakukannya. Dia sendiri pernah menimbulkan rasa gelisah di kalangan saudara terdekat termasuk bapanya. Mereka jadi risau melihat gelagat Serina yang ‘jahat’ dalam Astana Idaman.

“Sebenarnya, watak jahat pun saya suka dan seronok memainkan watak itu. Seperti dalam Astana Idaman dulu, saya diberikan peranan wanita seksi yang menggoda. Dia melakukan apa saja termasuk merampas suami orang.

“Pada mulanya, saya agak cuak untuk menerima watak sebegitu. Maklumlah, saya sendiri seorang gadis yang kasar dan lasak. Tetapi, demi menyahut cabaran diberikan, saya melakukannya juga, hinggakan bapa saya sendiri naik risau jadinya melihat lakonan saya. Dia dan rakannya berkata, kejahatan saya nampak macam ‘real’,” katanya.

Kisah cinta Serina

BERCERITA mengenai lakonan membabitkan babak merampas suami orang, Serina berkata, di luar lokasi, dia sekali-kali tidak akan berbuat begitu pada sesiapa. Jelas sekali, dia amat menghormati perasaan wanita lain dan jika diizinkan Tuhan, dia tidak mahu mempunyai apa-apa hubungan dengan lelaki yang bergelar suami orang lain.

Katanya, golongan wanita tidak harus berasakan, hanya lelaki suami orang itu saja yang bersedia menjadi suami mereka. Malah dia percaya, sekiranya seseorang wanita cuba menjauhi suami orang yang cuba merapati, dia pasti akan bertemu dengan jejaka lain suatu masa nanti.

“Saya sendiri sering berdoa minta dijauhkan perkara sebegini. Mungkin saya menyenangi lelaki yang lebih berusia, tetapi tidak sekali-kali saya akan mendekati lelaki yang sudah pun menjadi milik wanita lain. Kita tidak harus bersikap terdesak sebegitu. Pasti ada lagi lelaki lain yang mungkin ditakdirkan menjadi pasangan kita, selain lelaki tadi,” katanya.

Jika ada yang mendekati sekalipun, tegas si cantik ini, dia pasti akan menjauhkan diri. Dengan hanya berbuat demikian, dia berasakan sesuatu perhubungan terlarang dapat dielakkan.

Katanya, walaupun hidup sendirian tanpa kekasih ketika ini, dirinya masih berfikiran waras dan tidak mungkin melukakan hati insan lain.

Akui Serina, sejak cintanya bersama seorang jurutera yang seusia dengannya berakhir beberapa bulan yang lalu, dia masih sendirian. Bekas kekasihnya pula kini dikatakan sudah pun mempunyai pengganti.

Tidak mahu mengulas lanjut kisah cintanya yang lalu, kata Serina, pasti ada hikmah di sebalik perpisahan mereka. Yang pasti, dia kini kencang mencari rezeki dalam bidang yang digemari. Lakonan dan pengacaraan ialah aktiviti yang setia membuatkan dirinya sibuk sepanjang hari, sehinggakan dia tidak mempunyai waktu untuk melayan lara hati.

INFO: Serina Redzuan

PENGACARAAN ialah satu lagi kerjaya yang cukup diminati Serina. Ketika ini, dia sedang menyiapkan sebuah program usaha sama Malaysia – Singapura berjudul Aksi Gerek. Menerusi program itu, dia berpasangan dengan pengacara Suzairi Sumari.

INSPIRASI KOKO yang diacarakan Serina turut disambung ke musim ketiga. Rancangan berkenaan disiarkan RTM2, setiap Ahad jam 11 pagi.

SEBUAH lagi program televisyen yang dikendalikan olehnya ialah Sajian Kontemporari. Kali ini dia mengacara bersama abangnya, Nazri. Rancangan itu, katanya, menggalakkan anak muda untuk masuk ke dapur. Katanya juga, sebagai anak chef terkenal, nampaknya dunia masakan tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan mereka.

KETIKA ini, aksi Serina dapat disaksikan menerusi Akademi Polis di TV9, Roda-Roda KL di RTM2, Cinta Kartika di Astro, Periuk Nasi Belanga di RTM dan Inspirasi Koko juga di RTM2.

Filem lakonan Serina:

2008: Cyber X2006: Bujang Senang2005: Potret Mistik 2004: Tangkai Jering2004: Tujuh Perhentian2004: Hingga Hujung Nyawa2002: Mr. Cinderella.

Solekan: Cindy Antaim (017-3651210)
Pakaian: Roszlie Zakaria (017-2438042)

Berita Harian