Archive | Mulan Kwok RSS feed for this section

Mulan Teringin Jadi Wonder Woman

28 Feb

JAKARTA, 28 FEB 2008: Mula-mula dulu, dia hendak sangat jadi wanita paling seksi dan pernah menyatakan hasrat itu dalam lagunya, Akulah Wanita Seksi. Sekarang Mulan Jameela atau yang dulunya lebih dikenali sebagai Mulan Kwok (Ratu), kepingin pula jadi seorang Wonder Woman!

Lagaknya itu semacam hendak menunjuk-nunjuk sangat kepada Maia yang kini masih lagi belum menemui apa-apa jalan penyelesaiaan bersama suaminya, Ahmad Dhani selepas vokalis Dewa 19 itu bertegas tidak mahu menceraikanya (Maia).

Sebagaimana Akulah Wanita Seksi yang ketika ini cukup hit, Wonder Woman juga adalah salah satu lagu yang berada di dalam senarai himpunan album solo Mulan itu.

Sungguhpun begitu, bukanlah Wonder Woman dari kalangan watak superhero perempuan ciptaan dunia Hollywood yang diimpikan Mulan, sebaliknya, dia mahu jadi Wonder Woman sebagaimana ibunya sendiri.

“Bila disebut Wonder Woman, aku hanya membayangkan ibuku. Gelaran itu sangat tepat untuknya kerana selepas ketiadaan ayah, ibuku yang bekerja keras membanting tulang untuk membesarkan aku.

“Sungguhpun begitu, dia tidak pernah mengetepikan hak seorang suami, malah menghargai posisi itu dan mengerti dengan posisinya sebagai seorang isteri.

“Aku ingin jadi seperti ibu dan aku sangat bangga memiliki seorang ibu yang sentiasa bersama dengan aku dalam waktu yang susah senang,” kata Mulan sewaktu ditemui di lokasi penggambaran klip video Wonder Woman di Studio Loop Cipete, Jaksel, di sini.

Tapi kalau dikatakan lagu Wonder Woman adalah cermin baginya, Mulan yang ketika itu lengkap mengenakan kostum superhero wanita Amerika sama sekali menafikannya.

“Tidak, kerana lagu ini bukan ciptaan aku sendiri. Tapi, aku memang ingin sangat jadi seperti itu,” katanya yang turut memasang keinginan untuk menghasilkan semua klip video untuk semua lagu dalam albumnya itu.


Murai

Advertisements

Malaysian Tour 2007 Uji Populariti Dewa 19?

7 Dec

Kumpulan rock seberang, Dewa 19 masih belum yakin dengan pengaruh mereka di sini biarpun sudah beberapa kali mengadakan konsert di negara ini.

Justeru bagi meyakinkan kumpulan itu bahawa populariti mereka di negara ini masih utuh, Republik Cinta Artist Management telah berusaha menganjurkan konsert Dewa 19-Malaysian Tour 2007.

Menurut wakil penganjurnya, W.P.Tang: “Dewa ingat mereka tidak mempunyai peminat yang ramai di sini. Tapi saya yakinkan mereka, sebenarnya mereka ada ramai peminat di Malaysia. Mereka tak percaya, jadi saya cakap apa kata kita adakan konsert bergerak dan tengok sendiri sambutan peminat ke atas mereka.”

Tang ditemui pada sidang akhbar Dewa 19 – Malaysian Tour 2007 di ibu kota, baru-baru ini.

Menurutnya, lima buah negeri telah dipilih bagi menjayakan konsert itu iaitu Kota Kinabalu, Kuching, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Jika sambutannya hebat, mungkin selepas itu kita akan buat di bandar-bandar lain pula,” katanya.

Konsert itu akan bermula 15 Disember ini di Kota Kinabalu, Kuching (16 Disember), Pulau Pinang (17 Disember) dan Johor Bahru (18 Disember).

“Penutup konsert dibuat di Stadium Negara pada 22 Disember ini,” kata Tang.

Dewa 19 akan menyanyikan 27 lagu-lagu popular mereka antaranya Pupus, Roman Picisan, Arjuna dan Laskar Cinta.

Turut memeriahkan konsert ialah artis-artis tempatan seperti Ella, Jinbara, Dewa Dewi, Sheila Majid, Rabbani dan Mulan Kwok.

Jelas Tang: “Ada kelainan tentang penampilan penyanyi-penyanyi jemputan itu. Jika pada konsert-konsert sebelum ini, setiap artis jemputan tampil selaku pembuka konsert tapi kali ini kita akan tampilkan mereka berduet dengan Dewa 19. Jadi kiranya mereka akan berkolaborasi di atas pentas bersama-sama Dewa 19.”

Tiket-tiket untuk menyaksikan konsert tajaan Celcom itu kini dijual menerusi talian hotline 6013-3030262 dan 013-3111919. Harganya RM30 untuk konsert di luar Kuala Lumpur, manakala RM30, RM50, dan RM80 di Kuala Lumpur.

Powered by Utusan Malaysia

Ratu Suka Malaysia Kerana Romantik

31 Jan

Oleh WANDA IDRIS

Mulan Kwak & Maia Ahmad.

SEMINGGU berada di Malaysia, duo genit negara seberang, Ratu, yang dianggotai oleh Maia Ahmad dan Mulan Kwok nyata gembira dengan penerimaan para peminat di sini.

Melihat respons yang diterima itu, kata Ratu, mustahil mereka tidak kembali lagi ke negara ini, lebih-lebih lagi album terbaru mereka (yang pertama bersama Mulan) akan dipasarkan Mac ini di Indonesia.

“Tentu kami mahu berkongsi rasa bersama peminat di Malaysia. Justeru, kami berharap kami bisa datang lagi. Apalagi album ini album bersama kami yang pertama,” kata Maia yang hadir di negara ini dalam rangka promosi album kompilasi Ratu & Friends yang memuatkan dua buah lagu baru, Teman Tapi Mesra dan Di Dadaku Ada Kamu. Menerusi album itu Maia memperkenalkan Mulan sebagai anggota baru duo tersebut.

Sebelum ini Ratu dianggotai oleh Maia dan Pinkan Mambo dan mereka berdua telah menghasilkan sebuah album berjudul Bersama pada 2003.

Bertemu duo itu di stesen radio Red fm sewaktu menjadi tetamu Carta Baik Banget baru-baru ini, Maia berkata:

“Kami gembira dengan penerimaan peminat di sini. Mungkin kerana lagu-lagu kami berbeza, justeru ia senang diterima.

“Sememangnya mendengar lagu-lagu yang diputarkan di radio Malaysia, kami dapati irama kebanyakan lagu hampir sama.

“Tidak banyak lagu yang menampilkan kelainan kecuali lagu-lagu R&B, rap oleh penyanyi seperti Too Phat, Sheila Majid, Ning Baizura dan Syafinaz.

“Lalu, kami fikir mungkin dengan kehadiran lagu-lagu kami, mudah-mudahan kami dapat memberikan variasi kepada pendengar muzik di sini.”

Teruja

Maia dan Mulan juga berharap syarikat rakaman SonyBmg Music Entertainment dapat memasarkan album mereka di negara ini.

Biarpun album tersebut yang diterbitkan oleh Maia hanya akan dipasarkan Mac depan dan masih belum bertajuk, duo itu kini sudah memulakan perancangan promosinya.

Dengan single pertama berjudul Lelaki Buaya Darat, kata mereka, rangka promosi album itu bakal bermula akhir Januari ini sehingga Mei nanti.

“Sekembalinya kami ke Jakarta, kami sibuk pula dengan tour sembilan kota di Indonesia. Nyatanya kami teruja dengan album ini kerana variasi lagunya lebih banyak dan pelbagai,” kata mereka.

Bercerita tentang kehadiran mereka di negara ini, Mulan yang pertama kali berkunjung ke negara ini mengakui menyenangi Malaysia kerana suasananya yang dianggap romantik.

“Malaysia juga bersih dan kesesakan lalu lintasnya tidak seteruk Jakarta. Senang sekali berada di sini.

“Paling seronok tentunya dapat bershopping. Sayang sekali saya tidak punya kesempatan berkunjung ke Ikea. Hanya sempat ke KLCC, MidValley dan One Utama,” kata Mulan sambil ketawa.

Mulan berbeza dengan Maia yang sudah kerap hadir ke negara ini khususnya menemani suaminya, Ahmad Dhani dan kumpulan Dewa mengadakan promosi dan konsert. Maia merupakan salah seorang penyanyi latar kepada kumpulan Dewa.

Maia mengetahui mengenai Carta Baik Banget yang dikendalikan oleh deejay KC Ismail sejak 2002 melalui Dewa.

“Kami rasa sungguh bertuah kerana lagu Teman Tapi Mesra mendapat sambutan daripada penggemar dan kini sudah berada dalam carta selama 16 minggu,” kata Maia.

Sementara itu, deejay Red fm, KC Ismail memberitahu, irama lagu Teman Tapi Mesra yang rancak membuatkan lagu itu senang diterima di negara ini.

Lagu tersebut pernah menduduki tangga teratas carta selama beberapa minggu pada akhir tahun lalu.

Powered by Utusan Malaysia