Archive | Nabila Huda RSS feed for this section

Mesti Tonton: Moral Di Sebalik Filem Bohsia

25 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Babak liar, berunsur seks papar realiti kehidupan mat rempit

Filem: Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam Arahan: Syamsul Yusof Genre: Aksi/Drama Klasifikasi: 18PL Mula Tayangan: 23 April 2009 Pelakon: Nabila Huda, Syamsul Yusof, Salina Saibi, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Diana Danielle, Lando Zawawi, Yazid Lim, Nasir Bilal Khan dan Adam Corrie.

KALAU kita boleh menerima filem Fast & Furious: 4 yang sarat dengan aksi ganas, liar, kasar dan elemen lucah, mengapa pula kita menjadi terlalu kritikal dengan filem Bohsia sedangkan kedua-duanya mengangkat tema hampir sama – masalah sosial di kalangan remaja atau belia.

Apakah yang dipaparkan dalam Fast & Furious: 4 tidak akan mempengaruhi generasi muda kita kerana filem itu bercerita pasal aktiviti dadah, lumba haram, merompak dan pergaduhan di antara kumpulan samseng? Malahan filem itu wujud aktiviti bohsia.

Oleh itu, paparan negatif seperti aksi ranjang yang memualkan, gaya hidup bebas, mabuk, gaduh, penggunaan bahasa yang kasar adalah kehidupan realiti yang ingin dipaparkan pengarah muda Syamsul Yusof dalam filem Bohsia; Jangan Pilih Jalan Hitam.

Filem ini terlalu buruk sebab Bohsia ialah filem Melayu, menggunakan latar budaya dan bahasa Melayu. Tapi kalau dilihat daripada aspek negatif ia memang sangat hodoh.

Namun, dalam realiti kehidupan bohsia dan mat rempit adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Mereka memang tidak kenal istilah budi bahasa. Mereka ada bahasanya sendiri untuk berkomunikasi. Perangai atau tingkah laku serta gaya hidup mereka memang tersendiri. Kalau mereka menggunakan bahasa yang baik dengan tingkah laku bersopan santun, tentulah ia bukan cerita bohsia dan mat rempit.

Apabila menonton filem ini, kita harus berfikir bagaimana hendak mendekati mereka. Bagaimana hendak memahami dan mengatasi masalah bohsia dan mat rempit. Adakah wajar kita menyisihkan golongan ini? Patutkah mereka terus dikutuk? Kita dari kalangan ‘orang baik-baik’ sering tidak mempedulikannya menyebabkan golongan itu memilih jalan sendiri untuk mengatasi masalah masing-masing.

Selagi kita mengutuk dan menyumpah seranah, selagi itulah gejala sosial ini tidak akan selesai. Inilah yang hendak diketengahkan Syamsul.

Walaupun filem kedua arahannya dianggap keterlaluan, namun klasifikasi 18PL yang diberikan Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak menghalang filem itu ditonton kecuali kanak-kanak di bawah 18 tahun ke bawah.

Apa yang cuba disampaikan oleh Syamsul mengenai kehidupan sebenar remaja hari ini. Isunya adalah jika tidak dibendung awal ia boleh merebak seperti barah yang boleh memakan diri.

Turut diakui filem ini memaparkan punca yang biasanya terjadi kepada remaja bermula dari rumah di mana pendidikan agama yang kurang dan persekitaran sekeliling tidak sempurna menarik ramai golongan muda terbabit dengan aktiviti kurang sihat.

Syamsul bijak menarik penonton dengan memaparkan pelbagai aksi dan babak dengan yang cepat tanpa menurunkan mood penonton. Setiap babak mempunyai kesinambungan bagi babak seterusnya.

Beberapa pelakon seperti Nabila, Salina, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Nasir Bilal Khan dan Shamsul sendiri berjaya menambat hati penonton dengan lakonan bersahaja dan meninggalkan kesan kepada penonton.

Kisah Bohsia bermula oleh dua remaja Amy dan Tasya yang menjadi mangsa kerakusan kekejaman manusia berhati binatang. Tanpa pendidikan dan latar belakang keluarga sempurna, Amy dan Tasya terjebak dalam dunia rempit.

Berita Harian

Jual Bohsia!

23 Apr

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Filem kedua sentuhan Syamsul Yusof dan lakonan Nabila Huda jengah pawagam mulai hari ini, nasihat remaja jangan pilih jalan hitam

LAIN benar karakter anak bujang Datuk Yusof Haslam, Syamsul ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini. Dia lebih ceria, suka mengusik dan banyak berceloteh. Jauh beza dari karakternya dulu, berwajah angkuh dan tidak begitu peramah.

Bukan seorang dua yang perasan perubahan sutradara muda berusia 25 tahun ini. Mereka yang pernah bertemu dengannya sebelum ini rata-rata mengakui perubahan sikap Syamsul selepas putus cinta dengan pelakon cantik Diana Danielle sejak penghujung tahun lalu.

Kami ramai-ramai mengusik jejaka ini, jika cinta mengubahnya menjadi seorang yang serius dan sukar didekati, lebih baik dia hidup sendirian supaya fikirannya tidak kusut gara-gara memikirkan soal cinta.

Teman wanita Syamsul dalam filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam terbitan Skop Productions dan Grand Brilliance Sdn Bhd, Nabila Huda juga mengakui perubahan sikap Syamsul.

“Ketika kami sama-sama menjalani penggambaran Bohsia tahun lalu, Syamsul tidak banyak cakap seperti sekarang. Dulu dia memerlukan sedikit masa untuk rapat dengan orang tetapi kini sikapnya memang berbeza,” kata Nabila yang turut hadir menjayakan sesi fotografi bagi mempromosikan filem Bohsia yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 23 April ini.


Syamsul Yusof (kiri) dan Nabila Huda.

Syamsul pula bagaikan kurang setuju dengan kenyataan kami, berkali-kali dia memberitahu kami sikapnya dulu mahupun sekarang sama saja. Tidak ada perbezaan ketika bercinta mahupun sesudah putus.

Kami membuat andaian, barangkali ketika bercinta, banyak perkara yang difikirkan dan digaduhkan sehingga mengganggu emosinya termasuklah hal berkaitan kerja. Tetapi apabila sendirian, mungkin tidak ada apa perlu dikusutkan jejaka ini yang mungkin menjadi salah satu faktor kenapa dia lebih ceria sekarang.

“Bila bercinta saya mengaku memang seorang yang setia. Cinta saya letakkan di tangga pertama dalam hati kemudian diikuti dengan kerja. Apabila menyayangi seseorang, saya akan menyayanginya sepenuh hati saya. Jika sudah berkeluarga kelak, keluarga akan menjadi keutamaan saya,” kata pelakon dan juga pengarah filem Bohsia itu.

Bohsia adalah karya kedua Syamsul selepas Evolusi KL Drift yang mendapat sambutan hangat penonton. Masih lagi berkaitan dengan permotoran, Syamsul berkata ia tidak ada kena mengena dengan minatnya sebaliknya idea itu lahir kerana melihat isu bohsia yang tidak pernah selesai sehingga kini.

Lagipun katanya, belum pernah mana-mana penerbit filem mengupas isu mengenai gejala yang merosakkan akhlak anak muda itu dengan mendalam. Bagi memastikan pengisiannya jitu, Syamsul serius membuat kajian dengan berkunjung ke lokasi yang sering dikunjungi mat rempit dan bohsia seperti di Dataran Merdeka dengan bergaul bersama mereka.

Ramai yang sudah pun menonton filem arahan Syamsul itu memuji hasil kerjanya, pengisiannya teliti dan menarik sehingga satu saat pun penonton tidak akan berasa bosan, kecuali penggunaan bahasa yang pada sesetengah penonton kedengaran agak kasar.

“Saya mengaku bahasa yang digunakan agak kasar, tetapi itu hanyalah 70 peratus daripada kehidupan sebenar mat rempit dan bohsia. Bahasa mereka sebenarnya lebih kasar daripada apa yang ditonjolkan dalam filem. Saya tidak berani nak tonjolkan semua kerana bahasa mereka terlalu kotor.

“Walaupun isu bohsia ini sebenarnya isu lama, namun saya rasa bertanggungjawab untuk diketengahkan supaya dapat dijadikan pengajaran kepada penonton. Saya juga berterima kasih kepada pelakon kerana mereka turut menyumbang kepada filem ini dengan melakukan kajian mendalam terhadap watak masing-masing,” katanya.

Biarpun pertama kali bekerja dan bergandingan dengan Syamsul, Nabila Huda Suhaimi, anak dara kepada penyanyi Amy Search ini tidak mempunyai sebarang masalah bekerja di bawah pengarah muda itu.

Katanya, dia juga tidak menghadapi masalah menghayati watak bohsia bernama Tasya walaupun karakter yang dibawakan tercetus hasil imaginasi semata-mata. Bagaimanapun kata Nabila, dia kini mahu selektif soal watak, tidak mahu dilabel sebagai pelakon stereotaip.

“Watak yang saya mahukan sekarang lebih kepada watak yang positif. Jika asyik membawakan watak yang sama, nanti bimbang pula dilabel sebagai pelakon stereotaip. Jiwa saya sekarang lebih cenderung kepada drama berat, saya merasa lebih puas membawakan watak sedemikian,” katanya yang bersyukur kerana dikurniakan suami yang memahami kerjayanya sebagai pelakon.

Ujar Nabila, suaminya tidak pernah campur tangan dalam kerjayanya. Biarpun sudah berumah tangga, Nabila tidak merasa terkongkong untuk mengembangkan lagi kerjayanya.

“Saya seorang pelakon, sekalipun sudah memegang status isteri saya amat mementingkan kerjaya. Bagi saya apabila membataskan watak, saya bukanlah seorang pelakon yang mencabar. Nasib baik suami memahami dan tidak pernah campur tangan dalam soal memilih watak,” katanya yang berharap penonton tidak akan membesarkan adegan berkemban di dalam filem Bohsia kerana ia hanyalah teknik kamera dan lakonan semata-mata.

Bohsia mengisahkan Amy dan Tasya dua remaja yang menjadi mangsa kerakusan dan kekejaman. Tanpa pendidikan dan latar belakang keluarga yang sempurna, mereka memilih jalan hitam untuk menjalani hidup masing-masing.

Syamsul pindah rumah, Nabila tinggalkan suami

SEJAK beberapa bulan yang lalu, Syamsul meninggalkan banglo mewah milik keluarga kerana ingin hidup berdikari. Katanya dia melakukan demikian setelah mendapat kebenaran keluarga, bukannya suka-suka meninggalkan rumah tanpa keizinan.

“Saya tahu keluarga berat untuk membenarkan saya tinggal sendiri. Tetapi saya sudah terlebih dulu minta maaf pada papa. Saya cuma mahu rasa hidup berdikari.

“Apabila tidak ada sebarang kerja, saya suka tulis skrip. Di rumah saya berasa terkurung, jadi saya perlu banyak berjalan untuk mendapatkan idea. Disebabkan itu saya perlu tinggal sendiri supaya ada sedikit kebebasan.

“Walaupun sudah tidak lagi tinggal dengan keluarga, saya tetap pulang ke rumah menjenguk keluarga. Bukanlah saya ambil kesempatan dan tidak meninjau mereka langsung,” katanya.

Rezeki yang mencurah sejak berumah tangga menyebabkan waktu Nabila untuk bersama dengan suami terbatas. Sesibuk mana sekalipun, seboleh mungkin Nabila cuba meluangkan masa bersama suami tercinta. Katanya, walau pulang selewat mana sekalipun, dia tetap mempunyai waktu untuk bergelak tawa dengan suami.

“Jika penggambaran tamat awal, saya akan segera pulang ke rumah untuk bersama suami. Jadual saya memang padat tetapi setiap hari saya berpeluang habiskan masa dengan suami.

“Sementara rezeki tengah murah, saya kenalah terima tawaran yang datang. Lagipun tawaran tidak selalu datang seperti ini,” katanya.

Berita Harian

TV9 Di Hatiku

23 Apr

Pertukaran slogan untuk perkukuh kedudukan sebagai stesen TV nombor dua penonton Melayu

BERSESUAIAN dengan matlamat untuk memastikan terus diminati penonton, TV9 menukar slogannya daripada Dekat Di Hati kepada Di Hatiku sempena ulang tahun ketiga penubuhan stesen TV ini.

Keputusan menukar slogan itu adalah sebagai usaha untuk mengukuhkan lagi kedudukan TV9 sebagai stesen nombor dua penonton Melayu.

Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda berkata, sempena dengan ulang tahun ketiga penubuhannya, stesen TV pimpinannya juga berazam untuk terus menawan lebih ramai penonton dengan menampilkan wajah yang lebih segar.

Katanya, rancangan TV9 kali ini akan lebih bersahaja, santai, berteraskan komedi dan lebih rancak.

Menurutnya, pada tahun ini, TV9 mensasarkan tiga kategori utama penonton iaitu kanak-kanak berusia di antara 4 tahun hingga 14 tahun, remaja dan belia bekerja dalam lingkungan 15 tahun hingga 24 tahun dan pasangan keluarga muda berusia lingkungan 25 tahun hingga 34 tahun.

“Dengan ini, TV9 lebih fokus dalam penghasilan rancangan baru untuk disiarkan kepada penonton. Bagi golongan muda, mereka bergelak ketawa dengan program Studio Nabil dan Apa Ke Halnya?

“Untuk pengetahuan, kami sajikan Kes Syariah yang membawakan pelbagai kisah di sebalik kamar Mahkamah Syariah yang dihoskan Azizah Ariffin dan Azura Abu Samah,” katanya.

Program lain pula ialah bual bicara Semanis Kurma menampilkan dua pakar motivasi terkenal Datuk Norbaayah Mahmood dan Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid bagi membincangkan permasalahan rumah tangga serta jalan penyelesaiannya.

Chopp, Hit TV dan Galaksi menyiarkan apa yang terbaru dalam industri hiburan dan seterusnya penonton akan dibawa untuk melihat proses bedah siasat mangsa kes pembunuhan dan kemalangan dalam 24/7 Forensik yang akan bermula Mei.

Bagi kanak-kanak pula, TV9 membariskan rancangan popular Upin Ipin setiap cuti sekolah selama 90 minit, Upin Ipin Marathon yang akan disiarkan pada 25 April 2009 ini.

TV9 juga turut menyediakan rancangan khas kanak-kanak pra sekolah seperti Barney & Friends setiap Isnin hingga Khamis jam 8.30 pagi bermula Mei. Manakala, kanak-kanak yang gemarkan rancangan cabaran dan pengembaraan, Hartamania menampilkan Adruce dan Nabil sebagai hosnya bermula Jun, setiap hari Isnin hingga Rabu jam 7 malam.

Manakala, bagi anda yang ingin bergelak ketawa dengan aksi kanak-kanak, saksikan rancangan Pondok-Pondok yang dihoskan oleh Nabil setiap hari Ahad jam 8.30 malam.

Hadirin sekalian

“Kami di TV9 sentiasa berusaha gigih untuk menyajikan hidangan program terbaik, menarik, terkini dan segar, khas untuk tatapan penonton sebagai satu cara untuk menghargai kesetiaan mereka.

“Saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak memberi sokongan dan membantu TV9 untuk menjadi stesen pilihan ramai dalam menyampaikan mesej penting kepada penonton menerusi barisan rancangan kami,” katanya.

Sambutan ulang tahun meriah

SEMPENA dengan ulang tahun TV9, majlis sambutan yang meriah diadakan di Sunway Lagoon Ahad lalu. Kemeriahan sambutan itu bukan saja di kalangan warga kerja TV9 dan anggota keluarga mereka, tetapi turut dikongsi bersama-sama rakan media dan artis jemputan.

Pelbagai aktiviti menarik dan santai yang disusun berjaya dimeriahkan beramai-ramai. Antara aktiviti segar yang bermula seawal jam 9 pagi adalah ‘mengecat muka dan badan’, tarik tali, bola sepak pantai dan bola tampar pantai.

Kesemua acara yang diatur adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim semua pihak yang sentiasa memberi sokongan kepada TV9.

Turut memeriahkan acara adalah siaran langsung rancangan bual bicara Nasi Lemak Kopi O yang juga dijalankan di sini dengan menampilkan Azean, Syarifah Nur dan Farrah Adeeba sebagai pengacaranya.

Bagi memeriahkan suasana, rancangan ini turut menjemput pelakon dan penyanyi Nabila Huda, Mustapha Kamal, Susan Manen serta keluarga mereka.

TV9 juga turut membuat siaran langsung rancangan Apa Ke Halnya yang menampilkan Mr Os, Shamsul Ghau Ghau dan Din Beramboi untuk berbicara secara santai dalam suasana yang penuh ceria. Majlis sambutan ulang tahun TV9 yang ketiga ini juga turut disambut oleh barisan artis jemputan seperti kumpulan Hujan, Sharifah Shahirah, Irma Hasmie, Nabil, Fimie, Wada dan ramai lagi.

Bagi meraikan ulang tahun ketiga TV9, sebuah konsert istimewa iaitu Konsert TV9 Di Hatiku yang akan bersiaran secara langsung dari Lumut Perak, Sabtu ini dengan menampilkan barisan penyanyi seperti Hujan, Haqiem, Wada (Pemenang Idola Kecil) dan Fabulous Cat.

INFO: Program menarik di TV9 Studio Nabil disiarkan setiap Sabtu jam 8.30 malam.

Chopp rancangan yang disiarkan selama lima minit setiap hari jam 8.30 malam dan 10.30 malam.

Kes Syariah disiarkan setiap Rabu jam 9.35 dihoskan oleh Azizah Ariffin dan Azura Abu Samah.

Galaksi disiarkan secara langsung setiap Jumaat jam 8.35, bersama pengacara Nadia Shahrul Anuar.

Semanis Kurma menampilkan dua pakar motivasi, Datuk Norbaayah Mahmood dan Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid, setiap Jumaat jam 9.35 malam.

Ole-Ole Chef Zam dan Fimie setiap Sabtu jam 12.30 tengah hari.

Busana bersama Syarifah Nur disiarkan setiap Ahad jam 11.30 pagi.

Hip TV setiap Ahad jam 10.35 malam.

24/7 Forensik setiap Rabu jam 10.30 malam.

Siapa Pintar dihoskan oleh Aliff (OIAM) disiarkan setiap Isnin hingga Rabu jam 7 malam.

Pondok-Pondok setiap Ahad jam 8.30 malam, dihoskan oleh Nabil.

Upin Ipin Marathon disiarkan pada 25 April selama 90 minit iaitu dari jam 5.30 petang hingga 7 malam.

Berita Harian

Watak Mat Rempit Menjadi

20 Apr

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
MEMENTINGKAN kesempurnaan, Saheizy Sam Abdul Samad, 26, berasakan aksinya dalam filem sulung lakonannya, Bohsia (Jangan Pilih Jalan Hitam), masih banyak yang boleh diperbaiki.

Lakonan cemerlangnya sebagai Mat Rempit bernama Acai, mendapat pujian sebaik sesi pratonton filem itu di GSC, Midvalley, baru-baru ini. Berperwatakan lemah lembut apabila dia berkata-kata, namun di layar perak, Shaheizy menunjukkan aksi sebaliknya dalam Bohsia, kasar dan sikapnya menyakitkan hati.

Dalam filem itu, Syamsul Yusuf selaku pengarah menggandingkannya dengan Salina Saibi (Amy).

Syamsul (Mus) yang turut berlakon dalam filem itu berpasangan dengan Nabila Huda (Tasya).

“Untuk menghidupkan watak Acai, saya ada kawan di kalangan Mat Rempit. Saya amati perwatakan, gaya dan cara mereka berkomunikasi serta bahasa yang biasa dipakai sesama mereka. Bagaimanapun, saya adunkan watak Acai mengikut cara saya sendiri.

“Meskipun ada yang puji lakonan saya bagus tetapi selepas menonton Bohsia, saya rasa boleh buat lebih bagus dan banyak lagi aksi yang boleh dilakukan.

“Saya sangat mementingkan kesempurnaan. Jadi saya mahu lihat semua hasil kerja saya bagus dan sempurna. Baik berlakon drama atau filem, saya ingin buat yang terbaik untuk penonton. Apatah lagi Bohsia filem sulung lakonan saya dan saya mahu watak Acai itu nampak semula jadi,” katanya.

Tambah Shaheizy, walaupun dia melakonkan watak hitam tetapi dia percaya pasti ada sisi baik pada seseorang itu kerana tiada manusia yang sempurna di sisi Allah.

“Sejahat manapun manusia, tentu ada kebaikan dalam dirinya. Begitu juga apabila orang itu kita nampak baik, siapa tahu dia mempunyai hati yang busuk.

“Pengarah biasa bagi saya watak hitam, namun saya juga suka melakonkan watak baik supaya lakonan saya tidak kelihatan stereotaip. Saya anggap watak baik sebagai satu eksperimen di mana dalam kebaikan watak yang ditonjolkan, ada unsur nakal,” katanya.

 

 

Mengulas lakonannya yang ada sedikit persamaan dengan Zulhuzaimy Marzuki dalam filem Rempit, jelas Shaheizy yang juga adik Zizie Ezzette, selalunya orang jahat digambarkan serius dan jalan mesti ‘berkepak’.

Justeru, dia dan Zulhuzaimy cuba lari daripada perwatakan yang klise seperti itu sehingga penonton menganggap ada persamaan antara mereka berdua.

“Apapun anggapan penonton terhadap persamaan yang mungkin ada di antara saya dan Zulhuzaimy, namun apa yang saya lakukan supaya setiap perlakuan saya dalam Bohsia akan diingati penonton.

Adakala aksi dan tindakan kita lebih memberi kesan daripada dialog yang diucapkan. Saya berharap penonton dapat menerima kemunculan saya dalam filem ini,” katanya.

Melihatkan lakonannya yang cemerlang, ada menyangka dia pernah mendalami ilmu lakonan teater. Bagaimanapun, katanya, dia tidak pernah muncul dalam mana-mana persembahan teater tanah air.

Anak bujang dramatis Khaty Fauziah itu memulakan kerjaya lakonan dalam filem Sama Tapi Tak Serupa pada 1994.

“Ia berlaku secara tidak sengaja apabila saya mengikut Zizie ke lokasi penggambaran filem itu. Dapatlah saya muncul dalam dua babak. Masa itu saya baru berusia 12 tahun.

“Dari situ, bakat lakonan saya semakin berkembang dengan berlakon drama. Saya pelakon yang malu hendak pergi uji bakat, kalau ada tawaran saya pergi.

“Antara watak yang saya diidamkan ialah penghidap autisme, pesakit mental, psiko dan watak perempuan. Sebenarnya, saya teringin hendak mencuba nasib berlakon filem Raja Azmi, Anu Dalam Botol tetapi masalahnya saya malu pergi uji bakat. Pada saya, memainkan watak perempuan sangat menarik kerana berlainan daripada watak lain. Perempuan ini jiwanya lembut,” katanya yang mengakui dia lelaki sejati.

Antara drama yang pernah dilakonkannya, Kasanova XXL, KL Menjerit The Series, Impak Maksima The Series dan Ali Din.

Bohsia adalah filem ketiga arahan Syamsul, terbitan bersama Skop Productions Sdn Bhd dan Grand Brilliance Sdn Bhd.

Hadir sama pada pratonton filem itu, Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd, Ahmad Puad Onah, penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam dan pelakon Bohsia, Nabila Huda, Salina Saibi, Aaron Aziz, Lando Nawawi, Yazid Lim dan Adam Corrie.

Filem itu akan memasuki 60 pawagam di seluruh negara pada 23 April ini dan mendapat kelulusan 18PL. Bohsia memaparkan keadaan sosial remaja kini, namun filem itu dibuat bukanlah untuk mengajar penonton tetapi memberi pengajaran jangan terjerumus ke jalan hitam.

Menurut Yusof, tajuk Bohsia itu kedengaran agak kasar, jadi mereka bersetuju menambah sebaris kata ‘Jangan Pilih Jalan Hitam’. Jadi maksudnya tidak keras sangat.

“Tajuk filem itu sendiri menyelitkan pengajaran dan Allah beri kita akal untuk memilih jalan hitam atau putih. Kepada penonton, jangan pandang filem itu dari sudut negatif saja,” katanya.

Syamsul pula berkata, sebagai pembikin filem, sukar untuk berpuas hati dengan setiap hasil kerja kerana dia rasa boleh buat baik lagi. Membuat filem aksi ini juga mengundang cabaran tersendiri apabila berlaku kemalangan di lokasi di Ulu Yam tetapi mujur tidak teruk.

“Yang terbabit dalam kemalangan itu pelakon lagak ngeri. Saya buat yang terbaik untuk filem ini bergantung kepada bajet RM1.5 juta. Harap penonton seronok menonton filem ini dan balik modal. Bolehlah saya buat filem lagi.

“Saya puas hati dengan pelakon yang memainkan watak utama kerana mereka memberi lebih daripada apa yang saya mahu. Bahasa yang digunakan adalah bahasa Mat Rempit yang jarang dituturkan orang biasa. Tetapi setiap watak dalam filem ini dapat melafazkannya dengan baik kerana usaha mereka sendiri yang banyak melakukan pemerhatian terhadap Mat Rempit dan bohsia. Bahasa yang mereka gunakan memang kasar.

“Barangkali ada yang bertanya-tanya penamat ceritanya agak tergantung tetapi itulah cara saya. Lagipun saya yakin penonton dapat rumuskan sendiri, jika dia melakukan sesuatu kejahatan, itulah jadinya,” katanya.

Salina Saibi yang sedang berpantang selepas kelahiran anak sulungnya berlakon dengan sepenuh hati apabila dia mahu Nasir Bilal Khan yang menjadi bapanya dalam filem itu, memukulnya betul-betul.

“Adegan pukul itu untuk babak akhir Bohsia yang mana selepas dipukul, saya dirogol bapa sendiri. Habis satu badan lebam kerana saya mahu penonton merasakan apa yang saya rasa. Rakaman babak itu dilakukan selama sehari tetapi saya masih tak puas hati, jadi rakaman adegan itu diulang lagi,” katanya.

Nabila pula berkata, paling susah ketika kekasihnya, Syamsul buat ‘wheeling’.

“Saya yang membonceng motosikal itu sangat takut. Sewaktu saya mengangkat tangan ketika motosikal masih bergerak, rasa hendak jatuh tetapi memang seronok berlakon dalam Bohsia kerana Syamsul pengarah muda yang banyak bertolak ansur dan selalu terima pendapat pelakon. Agaknya kerana sama-sama muda, buah fikiran dan kehendak kami untuk memberikan yang terbaik kepada keseluruhan filem itu dapat diterima,” katanya.

Sementara itu, Lando yang juga bekas Mat Rempit berkata, Syamsul banyak bertanya kepadanya mengenai kisah Mat Rempit.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Bohsia Sarat Aksi

20 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

SYAMSUL paparkan pelbagai isu remaja dalam filem terbaru yang akan ditayangkan mulai 23 April.

Filem kedua anak Datuk Yusof Haslam diadun mengikut cita rasa remaja zaman sekarang

WALAUPUN isu yang dipaparkan dalam filem ke-24 terbitan Skop Productions Sdn Bhd berjudul Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam adalah isu lapuk namun ia masih relevan untuk dibahaskan memandangkan masalah sosial itu masih menjadi duri dalam daging.

Filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam adalah buah tangan kedua Syamsul Yusof selepas Evolusi KL Drift yang berjaya mengutip RM4.5 juta. Filem genre drama/aksi ini sarat dengan aksi yang sentiasa membuatkan penonton ingin mengetahui apakah yang akan berlaku seterusnya.

Melalui pemikiran Syamsul sendiri sebagai pengarah, pelbagai isu semasa yang dibangkit dalam filem ini hanya berlaku kepada remaja di bawah lingkungan 20 tahun ke bawah.

Dalam usia sebegini, ratanya remaja yang sedang dalam delima mencari identiti diri sering dibelenggu dua pilihan hitam atau putih. Lalu penyelesaiannya adalah hukum karma yang pastinya tidak akan terlepas.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam berkata, filem kedua arahan Syamsul adalah filem yang menepati cita rasanya sebagai remaja.


YUSOF bangga dengan hasil kerja Syamsul.

“Bagi saya ini adalah filem dia yang ingin menunjukkan ekspresi anak muda sendiri dalam membuat filem mewakili generasinya.

“Saya sebenarnya cukup berbangga dengan hasil kerjanya selama ini kerana berani untuk membuat filem yang sememangnya dekat dengan dirinya sendiri. Saya sendiri mengakui dan menghargai karya anak muda ini agar tidak dipandang sepi.

“Kadang kala kita terlupa masa sudah berubah, ada kalanya pemikiran anak muda ini tidak boleh diramal. Ini adalah zaman mereka dan idea yang dikeluarkan menepati cita rasa masa kini.

“Saya juga memuji pengarah muda hari ini seperti Syamsul sendiri, Pierre Andre, Norliana, Farid Kamil yang cukup kreatif dalam berkarya,” katanya mengenai filem itu yang akan menemui penonton di 60 pawagam seluruh tanah air pada 23 April ini.


NABILA sebagai pelakon wanita utama dalam filem Bohsia.

Turut hadir menyaksikan pratonton filem itu ialah Tan Sri Jins Shamsuddin, Ahmad Puad Onah, Mawi, Ekin dan semua pelakon Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.

Syamsul yang mengambil masa selama 40 hari sebagai tempoh pembikinan filem ini bagaimanapun tidak banyak menghadapi masalah sepanjang penggambaran.

“Alhamdulillah semasa tempoh penggambaran semuanya berjalan dengan lancar. Dengan bantuan Polis Diraja Malaysia saya dapat melakukan kerja dengan sempurna.

“Selain itu, juga saya cukup berbangga dengan pelakon filem ini kerana dapat memberi komitmen yang tinggi sepanjang penggambaran terutama Nabila, Salina, Shaheizy, Aaron dan semua yang memberi lebih daripada apa yang saya inginkan.

“Mengenai sasaran hala tuju filem ini, pertamanya saya hanya mensasarkan penonton dapat menyelami dan mengambil iktibar dari apa yang ingin saya sampaikan dan kedua adalah dari segi kutipan agar dapat menampung kos pembikinan kerana jika tidak tentu saya akan dimarahi ayah,” katanya.

Bagi Nabila yang memegang watak utama sebagai Tasya dia juga menganggap Bohsia memiliki cabarannya yang tersendiri.

“Saya cukup seronok sepanjang menjalani penggambaran filem ini kerana kebebasan yang diberikan pengarah dalam membentuk watak tidak dihalang. Semuanya selepas bergaul dan mengenali geng mat rempit dan gadis bohsia untuk mendapatkan karakter sebagai Tasya.

“Memang ada pengalaman yang sukar untuk saya lupakan apabila diminta untuk membonceng di belakang mat rempit dan motor itu dibiarkan berjalan dengan menggunakan tayar belakang saja.

“Waktu itu Tuhan saja yang tahu perasaan saya, apa yang saya fikirkan adakah saya akan jatuh selepas ini,” katanya.

INFO

Filem: Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam

Terbitan: Skop Productions Sdn Bhd & Grand Brilliance Sdn Bhd

Penerbit: Datuk Yusof Haslam dan Ahmad Puad Onah

Arahan: Syamsul Yusof

Genre: Aksi/Drama

Mula Tayangan: 23 April 2009

Pelakon: Nabila Huda, Syamsul Yusof, Salina Saibi, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Diana Danielle, Lando Zawawi, Yazid Lim, Nasir Bilal Khan dan Adam Corrie.

Berita Harian

Belum Sempat Makan Malam Bersama

17 Mar

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
PADA 28 Disember lalu, Felda Taib Andak, Kulai, Johor, mencuri tumpuan ramai apabila penyanyi popular Asmawi Ani (Mawi) melangsungkan perkahwinan dengan Nora’asikin Rahmat (Ekin) dihadiri lebih 20,000 tetamu dan digelar Wedding Of The Year.

Sejarah perkahwinan gemilang itu sekali lagi berulang Sabtu lalu dan kali ini membabitkan persandingan pasangan pelakon Que Haidar, 29, dan koreografer jelita, Linda Jasmine Hashim, 36.

Pasangan beza usia tujuh tahun ini disatukan sebagai suami isteri pada Hari Kekasih bersamaan 14 Februari di Bora Ombak, Ampang diikuti persandingan di lokasi sama pada sebelah malam.

Genap sebulan satu hari disatukan, kini pasangan sepadan itu diraikan pula keluarga Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar dalam majlis sambut menantu di Dewan Serbaguna, Felda Taib Andak (lokasi sama persandingan Mawi-Ekin).

Berbanding majlis Mawi dan Ekin yang berlangsung dalam suasana sesak serta penuh kejutan apabila pengantin dibawa menaiki helikopter, hari bersejarah Que-Linda pula cukup tenang dan serba ringkas tanpa meminggirkan adat istiadat Melayu.

Jika kebanyakan pengantin memilih berarak dengan kereta mewah, Que dan Linda sepakat mengabadikan memori perkahwinan mereka dengan menaiki beca berhias setibanya di pekarangan dewan kira-kira jam 2 petang.

Que berkata, idea menaiki beca itu kerana dia mahukan sebuah majlis perkahwinan ‘ala kampung’ sekali gus mengembalikan suasana adat perkahwinan penuh tradisi.

“Perkahwinan ala kampung adalah perkahwinan impian saya kerana suasananya cukup meriah. Setiap kali berlangsungnya majlis perkahwinan, penduduk setempat akan bergotong-royong mengadakan majlis rewang.

“Justeru, pada mesyuarat yang sempat dihadiri dua kali, saya memaklumkan kepada ahli jawatan kuasa yang terbabit mengenai majlis perkahwinan impian saya dan memberi idea berarak ke dewan menaiki beca.

“Saya rasa ia satu detik yang sangat menarik juga sekali gus memberi pengalaman baru buat isteri tapi saya serahkan segalanya kepada keluarga dan orang kampung menyusun atur acaranya,” katanya.

 

 

Pelakon drama bersiri, Cinta Untuk Ain bersama Nabila Huda ini melahirkan kelegaan apabila majlis perkahwinan mereka selesai dengan sempurna tanpa sebarang masalah.

“Alhamdulillah, saya berasa sangat lega sekarang kerana kedua-dua majlis sudah selesai dan atur cara pada hari ini berjalan dengan lancar seperti diharapkan.

“Walaupun sebelah petang hujan, ia tidak sedikit pun merencatkan majlis. Saya akui sedikit penat tetapi ia amat berbaloi.

“Kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk Felda Taib Andak yang bertungkus-lumus mengaturkan majlis bersejarah untuk saya, isteri dan keluarga. Khususnya kepada Juz Zarith yang bertindak sebagai perancang majlis.

“Tidak dilupakan AZ Studio & Bridal yang menaja pelamin dan meja santapan pengantin serta tetamu, Zuwein Bridal kerana sudi menghias kamar pengantin serta pelamin untuk memotong kek serta semua terbabit yang tidak dapat saya sebutkan di sini. Hanya Yang Maha Esa saja dapat membalas jasa baik mereka,” katanya.

Manakala, Linda yang kelihatan jelita dengan persalinan mewah serta solekan rapi Tiar Zainal gembira dan terharu dapat bertemu peminat, penduduk termasuk kakak kesayangannya, Susanne Mazlin Hashim, yang datang jauh dari Amerika Syarikat.

“Ketika majlis pernikahan dan persandingan saya di Kuala Lumpur pada 14 Februari lalu, kakak tidak dapat hadir. Justeru, kehadirannya di majlis persandingan ini cukup bermakna dan saya berasa amat terharu kerana kesudiannya datang bersama anak walaupun terpaksa menempuh penerbangan lebih satu hari dari Amerika Syarikat.

“Malah, keluarga juga gembira dapat meraikan majlis ini dan secara peribadi saya amat terharu dengan kerjasama diberikan orang kampung dalam memastikan ia berjalan lancar seperti dirancang,” katanya.

Merancang berbulan madu di Los Angeles, Amerika Mei ini, Que yang sedang mempertimbangkan beberapa tawaran menarik drama dan filem akan bersama isteri serta anak tirinya, Qalif Khan, 8, (anak hasil perkahwinan terdahulu Linda) menikmati percutian indah di negara itu. Kesempatan di sana digunakan untuk bertemu kakak Linda.

Mengenai perubahan hidup mereka selepas berkahwin, Que mengakui setiap harinya lebih terisi dan sungguh bermakna. Katanya, perasaannya kini sangat gembira dan bahagia kerana segalanya lebih terurus dan hati senang.

“Sebulan mendirikan rumah tangga, Linda yang saya kenali masih sama cuma sekarang saya dapat rasakan cinta dan kasih sayangnya semakin menebal dan ia terserlah dari caranya melayani saya dan sikap ambil beratnya,” katanya.

Sama seperti Que, Linda juga merasai perasaan yang sama cuma akuinya sejak mereka diijabkabulkan, belum sempat memasak untuk suami tercinta kerana Que sibuk di lokasi penggambaran.

“Kami belum sempat makan malam bersama kerana seharian dia sibuk di lokasi penggambaran. Pun begitu, perkahwinan ini membuatkan kasih sayang antara kami bertambah erat dan sepakat dalam segala hal,” katanya.

Serba sedikit rentetan perjalanan majlis, Que yang tampak segak manakala Linda menawan persis bidadari dengan persalinan rona emas sentuhan Datin Sharifah Kirana melangkah ke dewan tepat jam 2.15 petang sambil beriringan tangan menuju ke pelamin yang dihias indah bunga hidup.

Dimulakan dengan bacaan doa acara digamatkan lagi dengan persembahan zapin selamat datang yang dipersembahankan Kirana Dancers Studio.

Kemudian acara dimulakan dengan adat istiadat menepung tawar yang disempurnakan keluarga kedua-dua pihak. Antaranya, ibu Linda, Datin Kay Hashim. Diikuti upacara makan beradab seterusnya memotong pulut kuning dan sesi beramah mesra dengan peminat serta penduduk kampung.

Ketika upacara memotong pulut kuning dilaksanakan, mempelai mengenakan persalinan ala Inggeris warna putih gading rekaan Calvin Thoo sebelum menukar pakaian rona hijau disediakan AZ Studio Bridal House Sdn Bhd untuk sesi bertemu peminat.

Majlis yang dimulakan sejak 11 pagi itu berakhir kira-kira jam 5 petang menyaksikan kehadiran hampir 5,000 tetamu termasuk 26 ahli keluarga kerabat diraja Kedah (keluarga Que) serta 20 rombongan pihak perempuan.

Beberapa artis tempatan turut kelihatan antaranya Amy Search yang hadir bersama isterinya, Norhasniza Hassan (Norish), Adlin Aman Ramlie dan tunangnya, Emelda Rosmila serta sepupu Linda, Jeslina Hashim.

Harian Metro

Malam Kemuncak Hits 1 Di RTM1, 28 Mac

11 Mar


BARISAN finalis Hits 1 yang bakal beraksi pada 28 Mac di Auditorium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

JIKA rangkaian stesen televisyen lain dapat berbangga dengan penganjuran pertandingan yang mengiktiraf lagu terbaik yang memeriahkan industri hiburan tanah air, Radio Televisyen Malaysia (RTM) enggan ketinggalan apabila tampil dengan program carta Hits 1 yang tahun ini masuk tahun ke enam penganjurannya.

Acara kemuncak program ini pastinya membariskan nama artis dan komposer hebat yang bakal merebut peluang melayakkan mereka diiktiraf mengungguli anugerah dipertandingkan.

Satu sidang media pertandingan kemuncak Hits 1 Musim 6 mengumumkan sembilan artis yang menempa tempat ke peringkat akhir di samping komposer dan penulis lirik yang terbabit diadakan pada petang 4 Mac lalu bertempat di Auditorium P Ramlee, Wisma Radio, Angkasapuri.

Lagu hebat yang bakal dipertandingkan menerusi Pertandingan Akhir Hits 1 kali ini ialah Cinta Si Rama-Rama (Edrie Hashim menampilkan Hattan), Marabahaya (Pop Shuvit), Bila Aku Sudah Tiada (Hujan), Panas (Ifa Raziah), Nyata dan Maya ( Search) yang akan digantikan oleh kumpulan Projek Pistol, Tiada Maaf (Daniel Lee), Puteri Cinta Hati ( Kristal), Tanpa (Kumpulan 6ixth Sense) dan Lagu Untukmu (Kumpulan Meet Uncle Hussain).

Pertandingan Akhir Hits 1 musim keenam ini berlangsung pada 28 Mac 2009 dan dipancarkan di Auditorium Darul Makmur, Kuantan Pahang. Norkhuzaimah Abd Aziz daripada Unit Hiburan TV, RTM memikul tugas sebagai penerbit kali ini.

Hits 1, rancangan pertandingan carta lagu Melayu popular masa kini diadaptasikan dari Carta Radio Muzik fm pada setiap minggu. Lagu yang dicalonkan, diputarkan dan menjadi pilihan ramai di radio Muzik fm akan dicalonkan untuk bertanding di dalam rancangan Hits 1 dengan menggunakan klip video.

Rancangan mingguan ini dikendalikan oleh E’one dan Nabila Huda selaku pengacara tetap dan pihak penerbitan menjemput artis undangan yang bertanding ke studio untuk ditemubual secara eksklusif semasa siaran langsung.

Bermula 1 Januari lalu, Hits 1 ditukar siarannya ke TV 2 (Dunia Ria) dan bersiaran langsung pada jam 3 hingga 4 petang namun masih mengekalkan hos yang sama. Hits 1 musim ini memperlihatkan sokongan padu dari penonton yang tak henti-henti mengundi agar lagu kegemaran mereka layak ke peringkat akhir. Hasil undian dari penonton, Hits 1 berjaya membariskan 10 lagu paling popular yang mendapat undian tertinggi pada setiap pusingan (satu daripadanya menarik diri).

Persaingan yang hebat bakal disajikan pada semua peminat seni tanah air. Semua yang bertanding memberi persaingan sengit antara satu sama kerana semuanya adalah yang terbaik dan menjadi pilihan masa kini. Ia juga berdasarkan jurang perbezaan yang amat kecil untuk kategori lagu paling popular. Untuk pertandingan Hits 1 akhir, keputusan adalah ditentukan oleh juri profesional yang akan menobatkan Lagu Terbaik, Lagu Kedua Terbaik, persembahan terbaik dan hanya satu kategori yang akan ditentukan oleh penonton iaitu kategori Lagu Paling Popular melalui undian SMS.

Berita Harian