Archive | Ning Baizura RSS feed for this section

Pakej Berbaloi

29 Mar

Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my

Rap
SEHINGGA artikel ini siap ditulis Rabu lalu, secara puratanya suhu persembahan Minggu Setiausaha yang diadakan saban April tidak memperlihatkan kerancakan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

Penganjurannya bagaikan lebih berhati-hati, kesan simbahan kemerosotan ekonomi global yang semakin dirasai mereka yang terbabit di dalam industri seni Malaysia. Malah, melihatkan senarai tahun ini hanya penghibur gred A yang dipilih.

Datuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Faizal Tahir, Krisdayanti dan Ning Baizura setakat ini yang mengesahkan tarikh dan lokasi persembahan mereka bulan depan.

Pun begitu, dalam situasi ekonomi yang disifatkan gerhana ini, harga ‘satu kepala’ untuk menghadiri Minggu Setiausaha barangkali masih boleh dikategorikan tinggi sehingga mencecah RM580++.

Namun bagi peminat setia artis pilihan, mereka tentu ‘alah membeli, menang memakai’ kerana kepuasan harus diutamakan. Seperti untuk persembahan Krisdayanti dan Siti di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade masing-masing pada 21 dan 22 April ini, harga bermula dengan RM280 sehingga RM580++.

Menurut Pengurus Siti, Rozie Razak, harga ditetapkan oleh pihak penganjur tetapi secara keseluruhan ia membabitkan pembabitan pengalaman artis dan nama mereka untuk menarik peminat menghadiri majlis makan tengah hari itu.

“Dalam Minggu Setiausaha, nama artis memainkan peranan penting bagi penganjur menarik minat penonton untuk berhibur dengan majlis anjuran mereka.

“Sebenarnya harga ditawarkan itu berdasarkan harga pasaran semasa. Mungkin nampak mahal, tetapi ia berbaloi dengan majlis istimewa yang diadakan setahun sekali ini.

“Ia bukan soal nyanyian semata-mata, tetapi peminat dapat menyaksikan artis mereka dengan lebih dekat lagi, malah makanan dan hadiah turut disediakan. Semuanya dalam satu pakej!” kata Rozie yang juga kakak ipar Siti.

Rozie mengakui kesan ekonomi dunia turut tempias kepada Minggu Setiausaha. Bagaimanapun, Siti ‘berani’ untuk muncul di pentas Minggu Setiausaha ini kerana sudah dua tahun beliau ‘bercuti’.

 

 

“Selama dua tahun itu ramai peminat menghubungi kami bertanyakan persembahan Minggu Setiausaha. Sebab itu kami yakin untuk kembali,” katanya mengenai acara anjuran Hotel Quality itu.

Manakala Anita Sarawak yang bakal memanaskan pentas Pusat Konvensyen Sime Darby pada 7 April ini bersependapat dengan Rozie kerana persembahan Minggu Setiausaha bukan sekadar hiburan nyanyian, malah lebih daripada itu.

“Inilah peluang peminat untuk bertemu lebih dekat dengan artis pujaan mereka. Bagaimanapun, persembahan ini perlu kita lihat secara keseluruhan dalam satu pakej – nyanyian, muzik, interaktif, hadiah dan hiburan secara amnya.

“Jadi Kak Nita rasa tidak mahal dengan harga yang ditetapkan penganjur kerana mereka menawarkan lebih daripada yang peminat jangkakan,” katanya yang memilih tema warna hitam dan perak.

Kak Nita tidak bersendirian di pentas berkenaan kerana ditemani Faizal Tahir, jadi peminat penyanyi lelaki ‘Superman’ itu turut berkongsi hiburan sebumbung. Pada harga RM280 dan RM480 itu, peminat dijangka puas dengan persembahan mereka.

Menariknya, selain hadiah ‘meriah’ daripada penaja, termasuk set bilik tidur bernilai RM18,000 sumbangan Empire Classic Furniture, tujuh set mutiara Rafflesia bernilai RM10,000 setiap satu dan Silvana Ultimate, penghibur lincah itu turut menyumbang barangan peribadinya bernilai RM30,000.

Bagaikan satu kemestian, penganjuran Minggu Setiausaha menyediakan buah tangan. ‘Door gift’ dan hadiah cabutan bertuah bergantung kepada ‘kepandaian’ penganjur mencari penaja, termasuk pakej percutian dan tiket penerbangan ke destinasi luar negara.

Begitu juga dengan minggu persembahan Anuar Zain yang akan diadakan dua hari selepas Kak Nita di tempat sama (9 April) di mana penganjur membekalkan sekurang-kurangnya 10 cabutan bertuah yang merangkumi hadiah pakej percutian ke Bali, Bangkok dan Singapura serta beberapa barangan penajaan lain.

Tidak dinafikan, setiap kali Anuar menaiki pentas Minggu Setiausaha, dewan dipenuhi peminat. Sanggup meninggalkan meja dan makanan demi mendekati Lelaki Ini yang nyata memiliki aura tersendiri.

Jadi mereka tidak kisah untuk mengeluarkan RM398, RM448 atau RM498 dari poket masing-masing untuk menyaksikan jejaka bujang berusia 38 tahun ini mempersembahkan (antaranya) Lelaki Ini, Kau Bungaku, Cintaku dan Keabadian Cinta.

Ning Baizura juga dikenali sebagai penghibur yang disegani. Isteri kepada Omar Shariff Christopher Layton Dalton ini cuba menarik peminatnya ke Pullman Putrajaya Lakeside, Putrajaya bagi memeriahkan Minggu Setiausahanya pada 23 April nanti.

Pastinya pada harga RM180 dan RM200 untuk seorang, ‘kuasa’ Ning mampu menjemput dan memeriahkan acara berkenaan. Bersama penaja termasuk Jamu Mak Dara serta sumbangan tiket penerbangan, melengkapkan lagi pakej Minggu Setiausaha Ning.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Fiesta Fesyen KL: Fabrik Mewah Cabar Minda

25 Mar

Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my

RIZMAN (kanan) dan Wan Ruzaini mendapatkan pandangan Pengarah Eksekutif Euro Moda, Jasleen Kaur, bagi memilih kain yang sesuai untuk digabungkan dengan fabrik songket.

Rizman Ruzaini curah kreativiti hasilkan rekaan berasaskan perincian songket

PELUANG mengadun ilham dengan fabrik tenun seperti songket ternyata menyeronokkan bagi dua pereka, Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil yang membangunkan jenama Rizman Ruzaini sebagai rumah fesyen yang bersedia memenuhi cita rasa pelanggan dalam menata gaya serta penampilan.

Meskipun sudah lama membabitkan diri dalam industri yang dianggap glamor itu, kedua-duanya tidak pernah memandang remeh mengenai tanggungjawab berkaitan rekaan busana kerana mereka sebetulnya ingin memberikan yang terbaik kepada pelanggan melalui kepelbagaian fabrik yang ada di pasaran tempatan.

Menyentuh mengenai fabrik, keterujaan kedua-duanya jelas kerana mereka adalah antara 10 pereka fesyen yang terbabit dengan Fiesta Fesyen Kuala Lumpur (FFKL) anjuran Berita Harian (BH) pada 6 dan 7 April di pusat beli-belah One Utama, bandar Utama dan Hotel One World, Petaling Jaya.

FFKL yang mengangkat martabat fabrik tenun dan songket sebagai teras rekaan ternyata menjadi gelanggang hebat bagi kedua-duanya memerah ilham untuk menghasilkan busana indah selaras dengan kehebatan fabrik tenun yang diangkat dalam acara dimaksudkan.

“Kami gembira kerana berpeluang memeriahkan dunia fesyen melalui FFKL anjuran BHSB. Walaupun, sudah ada pengalaman menghasilkan busana, rekaan kami kali ini amat bermakna kerana adanya elemen songket yang diketahui umum berharga dan tinggi nilainya.


Rizman (kiri) dan Ruzaini.

“Justeru, kami cuba menghasilkan rekaan yang bertepatan dengan motif BHSB memartabatkan songket ke persada dunia sekali gus memperluaskan penguasaan songket di kalangan penggiat industri fesyen luar negara,” katanya ketika ditemui di gedung Euro Moda yang juga penaja fabrik untuk FFKL, baru-baru ini.

Rizman dan Wan Ruzaini yang ternyata tidak sabar menyiapkan rekaan berkata, konsep ‘less is more’ yang sering diperkatakan dalam istilah rekaan fesyen turut menjadi panduan untuk mereka memanfaatkan peluang keemasan mencipta busana untuk artis yang akan tampil membuat peragaan di FFKL.

“Untuk rekaan tempatan, mungkin tidak menjadi masalah kalau diselitkan dengan elemen sarat perhiasan, tetapi memandangkan matlamat penganjuran antara lain memartabatkan fabrik songket ke persada dunia melalui acara peragaan, kami berpendapat lebih baik memfokuskan rekaan ke arah cita rasa antarabangsa,” katanya.

Rizman dan Wan Ruzaini yang mengambil inisiatif menyediakan busana untuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, Fasha Sandha, Sariyanti dan Siti Saerah berazam menampilkan persalinan yang boleh menyerlahkan keistimewaan pemakainya selain pada masa sama mengetengahkan keunikan fabrik tenun yang terus diperakui mutu dan nilainya.

“Songket sangat ekslusif seperti kehadirannya yang bermula di Terengganu dan oleh itu,

kami turut memanfaatkan ilham kreativiti ikatan samping yang lazim dipakai orang Melayu dalam penataan busana yang kami hasilkan,” katanya.

Bagi dua pereka itu, dunia fesyen tiada had dan sempadan, lebih-lebih lagi unsur kesenian budaya Melayu sangat jelas dalam kebanyakan perincian membabitkan pemakaian tengkolok, samping, sarung dan persalinan yang masing-masing mempunyai cara tertentu menggayakannya.

“Kami tidak perlu memandang jauh untuk mendapatkan ilham bagi mereka busana untuk FFKL kerana dunia Melayu sendiri kaya dengan falsafah penciptaan yang sangat indah dan penuh misteri.

“Melalui penampilan ini, diharap usaha kami untuk sama-sama membawa songket ke arena yang lebih luas sedikit sebanyak mencetus inspirasi positif kepada penggiat industri fesyen,” katanya.

Sementara itu, antara penenun yang terbabit dalam FFKL ialah Manang Songket, Bibah Songket, Wan Hasnah Songket, Zaidah Songket, Atikah Songket TTDI dan Nur Atikah Songket.

Bagi memeriahkan FFKL, beberapa jenama terkenal tampil menaja acara berprestij itu antaranya Euro Moda yang menaja fabrik, Secret untuk solekan dan dandanan artis serta peragawati, manakala R&R Craft dan Fruitale, penaja cenderamata.

INFO: Rizaman Ruzani

Dipelopori dua pereka, Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil.

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Butik Rizman Ruzaini Creations beroperasi pada awal tahun ini.

Terbabit dengan perekaan fesyen sejak dua tahun lalu.

Artis yang pernah menggayakan busana Rizman Ruzaini antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira, Ning Baizura.

Pencapaian: Terpilih sebagai lapan pereka terbaik untuk Pereka Busana Pengantin Malaysia Great Eastern Mall, peserta akhir pertandingan Jarum Berlian 2003, penerima anugerah busana terbaik Rafflesia 2008 melalui busana diperagakan artis Fazura dan terbabit dengan perekaan busana untuk artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Berita Harian

Kempen Bergelap Sejam

23 Mar

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Yasmin (kanan) bersama Shebby dan Karamjit Singh ketika pembikinan pengiklanan komersial
60 Earth Hour arahan beliau.

Selebriti tanah air tampil menyokong kempen anti pemanasan global 60 Earth Hour

TANGGAL 28 Mac iaitu pada jam 8.30 malam, lebih 300 bandaraya di seluruh dunia akan bergelap selama sejam iaitu bagi menyampaikan mesej mereka menyokong kempen anti pemanasan global – satu topik universal yang cukup hangat diperbincangkan ketika ini.

Dan selepas dua tahun acara yang dimulakan di Sydney, Australia itu berlangsung dan kemudian diikuti negara lain, tahun 2009 buat pertama kalinya menyaksikan Malaysia turut mengambil bahagian dalam kempen 60 Earth Hour ini.

Satu keputusan yang tepat buat Malaysia untuk bersama-sama menjayakan kempen ini kerana sebagai sebuah negara yang membangun, kita tidak dapat lari daripada tempias akibat daripada fenomena sejagat ini.

Bagi menunjukkan sokongan terhadap kempen itu dan tidak mahu dilihat sebagai melepaskan batuk di tangga, iklan mengenai kempen itu turut diterbitkan.

Dibuat dalam dua versi iaitu media cetak dan elektronik, orang yang bertanggungjawab untuk menghasilkan iklan itu adalah pengarah filem berkaliber iaitu Yasmin Ahmad. Baru-baru ini bertempat di Studio DL, Desa Pandan, berlangsung proses menghasilkan iklan dilakukan membabitkan ramai selebriti terkenal tanah air.


dari kiri; Daphne Iking, Sazzy, Yasmin dan Aishah Sinclair.

Antara wajah glamor dan popular dalam iklan itu termasuklah angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Sharifah Amani, Dafi, Sazzy Falak, Hans Isaac, Shebby Singh, Karamjit Singh, Reshmonu dan Susan Lancaster.

Sebagai duta kepada kempen itu, Yasmin akui teruja dengan penghormatan yang diberikan kepadanya itu. Jelas pengarah yang bakal muncul dengan buah tangan terbarunya berjudul Talentime ini, kempen 60 Earth Hour bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat semua betapa pemanasan global memberi kesan yang tidak baik kepada bumi.

“Kempen ini sebenarnya sudah lama diamalkan oleh sebilangan besar masyarakat dunia iaitu lebih kurang 300 bandaraya di seluruh negara mengambil bahagian dalam kempen itu tahun ini. Walaupun ini adalah kali pertama kita menjayakannya namun saya yakin, usaha ini pasti mendapat sokongan banyak pihak.

“Jika kempen ini tidak diadakan sekarang, apa akan jadi kepada masyarakat bumi pada masa depan. Justeru, dengan kudrat yang ada, saya akan cuba menerapkan amalan ini dalam jiwa setiap rakyat di negara ini,” ujar Yasmin sebagai mengulas tanggungjawabnya sebagai duta kempen ini.

Jelas Yasmin, cara untuk menunjukkan sokongan kepada kempen ini cukup mudah iaitu pada tarikh dan waktu yang ditetapkan, semua lampu haruslah dipadamkan dan bergelaplah selama sejam.

Sebagai pengarah yang pernah memenangi pelbagai anugerah berprestij di luar negara, Yasmin menggunakan kreativitinya serta pengalaman sebagai pengarah iklan untuk membuat iklan sebagai salah satu medium mempromosikan kempen berkenaan.

“Selebriti atau personaliti terkenal biasanya mempunyai pengaruh yang cukup besar dan ada pengikut mereka yang tersendiri. Jadi apalah salahnya jika kita gunakan apa yang mereka ada itu untuk bersama-sama menarik minat orang ramai supaya memahami kesan pemanasan global kepada bumi dan juga manusia.

“Hari ini kami membuatkan tiga iklan serentak iaitu iklan untuk media cetak, iklan untuk radio dan juga televisyen. Setiap personaliti akan digandingkan dengan selebriti lain mengikut kesesuaian jalan cerita dan keserasian mereka.

“Mereka ini dipilih berdasarkan kesesuaian, mereka yang pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini serta ada juga yang datang menawarkan diri secara rela untuk terbabit dalam iklan ini. Setakat ini saya gembira dengan komitmen mereka dan harap usaha kami ini mendapat maklum balas positif dari orang ramai,” tutur Yasmin yang turut gembira apabila usahanya itu turut mendapat reaksi positif daripada stesen televisyen tempatan.

Mualaf tetap ditayangkan di Malaysia

KONTROVERSI yang timbul sebelum dan selepas filem Mualaf dihasilkan membuatkan Yasmin agak ragu-ragu untuk menayangkan filem lakonan Sharifah Amani di negara ini. Memilih jalan selamat, Yasmin lebih rela menayangkan filem itu di Singapura terlebih dulu.

Mungkin keputusan itu sedikit sebanyak mengecewakan banyak pihak yang begitu teringin melihat filem yang turut menampilkan Datuk Rahim Razali, penyanyi Ning Baizura sebagai pelakon itu. Iyalah, selepas pelbagai publisiti diberikan tiba-tiba filem yang dibuat terkemudian daripada Mualaf pula yang akan ditayangkan terlebih dulu iaitu Talentime.

Enggan membiarkan penonton resah, Yasmin akhirnya memaklumkan bahawa Mualaf akan ditayangkan juga di negara ini.

“Insya-Allah, Mualaf akan ditayangkan pada bulan Julai depan. Kita tayangkan dulu Talentime yang dijadualkan akan muncul di pawagam, Mac depan,” ujar Yasmin yang kini sedang dalam peringkat praproduksi untuk filem terbarunya berjudul Wasurenagusa yang bermaksud sejenis bunga.

Mengulas lanjut projek terbarunya itu, Yasmin berkata filem ini akan dihasilkan secara usaha sama dengan kerajaan Jepun.

“Filem ini akan menampilkan lakonan Sharifah Amani dan juga seorang aktor dari sana. Buat masa ini, Amani sedang giat menjalani latihan dan antara latihannya adalah menunggang kuda. Filem ini akan mula menjalani penggambaran September depan dan ia berkonsepkan komedi romantik,” katanya.

Berita Harian

RTM Aktifkan Muzik Tempatan

18 Mar

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

PROGRAM berkonsep muzikal sering kali menarik perhatian ramai sama ada ia siaran di televisyen mahupun radio.

Kini, program muzikal tidak hanya terhad pada persembahan artis menerusi konsert semata-mata, sebaliknya tertumpu pada klip video dan persembahan acara khusus di studio.

Dalam usaha memberi hiburan terbaik kepada penonton, stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil inisiatif memperkenalkan saluran baru yang memberi alternatif pada punca hiburan sedia ada.

Saluran baru yang dikenali Muzik Aktif dilancarkan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Membawa tagline Segalanya Muzik, saluran ini memberi tarikan berbeza menerusi pengisian kandungan apabila hanya memaparkan persembahan artis tempatan seratus peratus menerusi klip video atau konsert.

Menariknya, penonton berpeluang menyaksikan saluran ini selama 24 jam tanpa henti dan ia hanya disiarkan menerusi rangkaian baru di Astro – saluran 180.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Penyiaran, Abu Bakar Ab Rahim berkata, RTM berkeyakinan melancarkan saluran berkenaan selepas ia mendapat respons positif daripada penonton ketika ia mula menjalani proses percubaan untuk projek Pendigitalan Penyiaran RTM pada 1 September 2006.

Ketika itu, percubaan dilakukan selama lima jam sehari untuk tempoh enam bulan membabitkan 1,000 responden menerusi dekoder digital baru RTM.

Katanya, saluran Muzik Aktif antara agenda baru RTM yang mendapat sambutan baik daripada penonton yang mahu ia diteruskan.

Justeru, sejak Mac 2007 hingga kini saluran berkenaan masih menjalani proses eksperimen iaitu ujian dalaman untuk aspek pembangunan aplikasi interaktif.

 

 

“Saluran ini suatu berbeza yang pernah ditonton di RTM apabila ia mengetengahkan konsep muzik Malaysia. Maksudnya, saluran ini hanya menyiarkan persembahan muzikal daripada karya tempatan.

“Walaupun ada lagu yang dinyanyikan penyanyi luar negara, tetapi jika ciptaannya adalah komposer tempatan, ia masih layak untuk disiarkan menerusi saluran baru ini.

“RTM berharap Muzik Aktif ini dapat dijadikan platform terbaik untuk komposer mahupun penyanyi mempromosikan lagu mereka. Saluran ini juga sebenarnya adalah satu daripada tujuh saluran digital baru selain saluran Kanak-Kanak & Remaja, Wilayah, Sukan, Berita, Drama dan Filem.

“RTM turut merancang untuk memasukkan program lain seperti Fenomena Seni dan Santai@1 ke dalam saluran Muzik Aktif pada masa akan datang.

“Usaha memperkenalkan saluran dan program baru ini dianggap penting sebagai langkah untuk penonton mendapatkan siaran digital RTM sepenuhnya pada 2012 nanti,” katanya.

Untuk saluran Muzik Aktif, sebanyak 10 program disediakan iaitu Aktif@Pagi bermula jam 7 pagi hingga 9 pagi diikuti Hits Aktif (9 pagi hingga 12 tengah hari), Muzikal Aktif (12 tengah hari hingga 3 petang), Ritma (3 petang hingga 7 malam), Gema Nurani (7 malam hingga 8 malam), Prima Aktif (8 malam hingga 11 malam), Ritma (11 malam hingga 2 pagi), Irama Santai (2 pagi hingga 5 pagi) dan Gema Mentari (5 pagi hingga 7 pagi) manakala Hidayah pula disiarkan selama sejam pada setiap Jumaat, jam 1 tengah hari.

Pada majlis pelancaran saluran itu yang diadakan baru-baru ini, ia turut dimeriahkan dengan acara permaidani merah dan persembahan ramai artis popular seperti Datuk Dr Ahmad Nawab, Datuk DJ Dave, Datuk David Arumugam, Jeffrydin, Man Kidal, Ning Baizura, Mas Idayu, Waheeda, Akhil Hayy, Bienda, Ali Mpire, Azharina Azhar, Dia Fadila, Aizat dan kumpulan Meet Uncle Hussain.

Persembahan lebih dua jam berkenaan dihoskan penyanyi Izwan Pilus bersama Sazzy Falak.

Harian Metro

Han Peserta Kedua OIAM Tersingkir

7 Mar

SHAH ALAM: Rehana Mohd Yunus atau Han menjadi peserta kedua tersingkir daripada program realiti One In A Million (OIAM) musim ketiga terbitan stesen televisyen 8TV, yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, malam tadi.

Peserta berasal dari Sabah berusia 22 tahun itu terpaksa melupakan hasrat memiliki wang tunai RM1 juta, apabila mendapat undian paling rendah.

Seramai 11 peserta bertanding pada program realiti ini. Kejayaan Esther dan Amylea menerima imuniti minggu lalu, tuah menyebelahi Nasharul Aweera Noriyissham atau Aweera, minggu ini. Peserta yang mendapat imuniti tidak boleh disingkirkan minggu depan walaupun mendapat undian paling rendah.

Penyingkiran Han dalam acara malam tadi yang dihoskan Awal Ashaari dan Marion Caunter, sekali gus memberi peluang kepada 10 lagi peserta yang tinggal untuk misi bergelar juara OIAM 3. Mereka adalah Pija, Tomok, Rizu, Nine, Amylea, Simon, Aweera, Anith dan Fify.

Program OIAM 3 masih mengekalkan pengkritik tetap yang sama seperti dua musim lalu iaitu Paul Moss dan Syafinaz Selamat, manakala Jaclyn Victor hadir sebagai pengkritik jemputan.

Peserta turut mendapat bimbingan Ning Baizura sebagai mentor vokal, Pat Ibrahim (mentor Persembahan Pentas), Juita Abdul Jalil (Mentor Keseluruhan Persembahan) dan Yuaz (Pelatih Vokal).

Berita Harian

Bikin Filem Guna Handycam

5 Mar

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
BEGITU banyak dugaan dilalui Farizie Morinding sebelum berjaya menang kategori utama – Filem Pendek Terbaik pada majlis Anugerah Filem Pendek Kirana 08/09 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penat lelah Farizie itu dibayar dengan ‘harga mahal’ apabila karyanya, Odui Odu (Oh Grandma) menerima geran pengarahan filem RM100,000, wang tunai RM5,000 dan trofi.

Menceritakan pengalaman menerbitkan filem pendek itu, jelas Farizie ia dibuat tanpa peralatan lengkap tapi hanya menggunakan handycam yang dibelinya pada 2003 ketika menuntut dalam jurusan Seni Persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan harga RM1,500.

Pada handycam itulah dia meletakkan seluruh harapan dan impiannya untuk memulakan langkah dalam industri perfileman.

“Komputer pun tiada di rumah dan saya terpaksa pinjam komputer kawan. Kali pertama dia kata boleh tolong suntingkan filem itu tetapi kemudian dia lari. Saya terpaksa minta tolong kawan lain tetapi komputernya tak hidup.

“Dengan segala macam rintangan dan halangan, saya hampir berputus asa.

“Suatu ketika saya duduk di satu tempat untuk mencari kekuatan dalam diri di samping melihat kelemahan yang ada. Apabila hati kembali tenang, saya terfikir kemiskinan bukan alasan untuk mengalah.

“Saya perlu kuat dan tabah. Akhirnya suntingan Odoi Odu dapat dilakukan menggunakan komputer riba yang hanya dilengkapi perisian asas pembikinan filem. Selepas selesai membuat salinan, saya berjalan 10 kilometer untuk ke perhentian bas sebelum ke pejabat pos menghantar penyertaan menggunakan pos laju.

“Kejayaan ini amat berharga kerana ia dapat dilakukan dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.

Kemenangan malam itu paling manis buat pemuda dari Ranau, Sabah kerana Odoi Odu juga membawa pulang tiga trofi lain iaitu Lakonan Terbaik, Cerita Terbaik dan Pengarahan Terbaik.

Odoi Odu yang menggunakan bahasa Dusun mengisahkan cerita sedih seorang nenek yang dapat melihat roh suaminya.

Biarpun kerap ditohmah malah ada yang beranggapan dia gila, nenek itu sabar menempuh semua dugaan. Nenek itu hidup bertemankan kucing yang ditemuinya dalam kelaparan.

Tempat kedua dimenangi Christopher Low menerusi Mirror manakala tempat kedua, Shuhaimi Zulkefli (Aku) masing-masing menerima RM3,000 bersama trofi dan RM2,000 bersama trofi.

Christopher mengakui terkejut dengan kemenangan itu kerana Mirror adalah filem pendek pertama dihasilkan.

Katanya, banyak dugaan membuat Mirror yang menjalani penggambaran di Terengganu dan siap dalam masa sehari. Ia berkisar kepada seorang gadis yang cuba membunuh diri.

Shuhaimi pula tersepit dengan harapan orang lain terhadap dirinya apabila seorang ustazah memintanya memilih dunia atau akhirat.

“Saya bekas pelajar Sekolah Agama Arab Tinggi di Kedah. Puas saya kena ‘basuh’ dengan ustazah tetapi jiwa saya meronta untuk menceburi dunia perfileman.

“Saya juga melepaskan tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir sebaliknya memilih ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Setahun saya menjana idea membuat filem ini kerana perlu melakukan pelbagai kajian. Aku dihasilkan dengan bajet paling kecil iaitu RM4 di Langkawi.

“Saya minta bantuan orang kampung dan semua peralatan untuk membuat filem pendek ini dipinjam dari ibu saudara. Kayu digunakan sebagai tripod.

“Tidak banyak yang saya tahu mengenai pembikinan filem. Saya belajar di Aswara pun baru enam bulan dan tidak banyak yang dipelajari.

“Saya buat juga kerana minat berkobar dan untuk menjadikannya satu kenyataan, saya banyak melakukan kajian,” katanya.

Pemilihan mereka ditentukan lima juri, Pengurus Besar dan Penerbit Eksekutif Kanan, Tayangan Unggul Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai, pengarah James Lee, pelakon dan pengarah Afdlin Shauki, pengarah muda, Osman Ali dan Pengarang Kanan di sebuah universiti swasta, Wong Tuck Cheong.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah pada majlis anugerah itu berkata, geran diberi kepada pemenang pertama supaya idea asas dapat dikembangkan dan Astro akan sentiasa memberi sokongan kepada semua bakat baru itu.

Bagaimanapun jelas Zainir, perjalanan mereka masih jauh namun Astro menyediakan platform untuk mereka mengasah bakat yang ada. Untuk berjaya mereka perlu bekerja kuat.

“Bakat baru sekarang bertuah kerana mereka ada banyak ‘sistem sokongan’ tetapi sejauh mana mereka boleh pergi, bergantung kepada diri masing-masing. Mereka perlu mengambil kejayaan pengarah yang berjaya hari ini yang terlebih dulu mengharungi rintangan. Karya mereka yang menang akan disiarkan di Astro Kirana,” katanya.

Tambah Zainir, penganjuran acara itu membuktikan komitmen Astro dalam menyokong industri perfileman tempatan serta pembangunan penghasilan pengisian dengan menyediakan landasan untuk penggiat muda dan profesional menonjolkan kreativiti mereka.

“Acara tahun kedua itu menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 120 penyertaan menyaksikan peningkatan sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu.

“Astro sudah menyediakan platform ini, diharap ia dapat membawa setiap pengkarya melangkah ke dalam industri dengan lebih yakin.

“Mereka sewajarnya menggunakan ruang yang ada itu untuk mencetuskan idea lebih besar kerana industri sentiasa membantu mereka yang

bersemangat,” katanya.

Majlis anugerah itu dihoskan AC Mizal dan Sazzy Falak dan turut dimeriahkan dengan persembahan Misha Omar, Aizat, Nikki, Stacy, Meet Uncle Hussein, Bunkface, Saiful Apek dan Adam.

Ia juga meriah dengan kehadiran artis terkenal sebagai penyampai anugerah seperti Rosyam Nor, Fazura, Hans Isaac, Nasha Aziz, Rozita Che Wan, Zizan Nin dan Ning Baizura. Turut hadir, Pengarah Eksekutif Tayangan Unggul, Tengku Datuk Anuar Mussaddad.

Harian Metro

Bantu Artis, Ahli Sukan

4 Mar

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
MISI penganjuran Pertandingan Golf Amal Selebriti – Tropicana 2009 untuk membantu mengurangkan beban golongan artis dan ahli sukan tanah air yang memerlukan bantuan ketika dalam kesusahan.

Program itu anjuran Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) dengan kerjasama Kelab Golf Selebriti Malaysia akan berlangsung pada 14 Mac ini di Tropicana Golf & Country Resort.

Kira-kira 200 personaliti terkenal tanah air dijangka mengambil bahagian membabitkan pelakon, penyanyi dan ahli sukan.

Antara artis popular yang mengambil bahagian ialah M Nasir, Hattan, Datuk Rahim Razali, Hans Isaac, Nancie Foo dan Ning Baizura Manakala ahli sukan ialah Azlisham Ibrahim, Khalid Ali dan Azlan Johar.

Pengarang Kumpulan BHSB, Datuk Manja Ismail berkata, pertandingan itu untuk merancakkan lagi penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang pada 12 April nanti.

“ABPBH bukan acara hiburan semata-mata tetapi penganjuran acara berprestij ini turut menjadi platform amal. Terdahulu, ABPBH menganjurkan ABPBH 2008 Untuk Gaza dianjurkan dengan jayanya penghujung Januari lalu.

“Ramai berpendapat ABPBH hanyalah acara glamor untuk mengiktiraf sumbangan penggiat seni tetapi tahun ini, kita menggunakan nama ABPBH untuk tujuan amal.

“Kutipan yang dikumpul akan disalurkan kepada artis dan ahli sukan yang memerlukan bantuan,” katanya ketika sidang media pertandingan golf amal ini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun, Pengurus Besar Tropicana Golf & Country Resort, Herman Tan, Presiden Jomstar.Com, Datuk Shafik Rizaal Saaban dan Pengerusi Pertandingan Golf Amal Selebriti – Tropicana 2009, Tengku Datuk Anuar Mussaddad.

Sementara itu Tengku Anuar berkata, pertandingan amal ini mensasarkan kutipan RM100,000 bagi membantu artis dan ahli sukan yang memerlukan.

“Idea ini dicetuskan artis dan ahli sukan sejak sebulan lalu dan dijadikan pemangkin untuk menyerlahkan nama Kelab Golf Selebriti.

“Inisiatif mengadakan pertandingan ini daripada artis, selebriti sukan dan ahli korporat yang mencadangkan supaya diadakan aktiviti berkaitan golf bagi mengumpul dana untuk mereka yang memerlukan bantuan kewangan.

“Dana yang akan dikumpul menerusi pertandingan golf itu nanti akan disalurkan kepada artis serta ahli sukan yang memerlukan sama ada untuk bantuan perubatan atau pendidikan,” katanya.

Tambahnya lagi, pertandingan ini buat julung kalinya juga menyaksikan artis dan ahli sukan beraksi di gelanggang yang sama.

“Justeru, pihak kami menyeru golongan korporat supaya dapat sama-sama menyertai pertandingan ini sambil beramal,” katanya.

Pada pertandingan itu nanti, setiap kumpulan akan disertai wakil syarikat korporat, artis, ahli sukan dan personaliti media. Nilai tajaan ialah RM10,000, RM5,000 dan RM3,000 bagi setiap kumpulan (flight). Bagi sektor korporat yang berminat, boleh menghubungi pejabat sekretariat menerusi talian 03-22872075.

Harian Metro