Archive | Nirina Zubir RSS feed for this section

Nirina Tekad

16 Apr

Susunan Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap

SAMA-SAMA menceburi dunia seni yang penuh dengan dugaan dan gosip, namun pelakon dan pengacara Nirina Zubir, 29, yakin dia dan suami, gitaris kumpulan Cokelat, Ernest Cokelat, 30, mampu melayari kehidupan bahagia bersama rumah tangga yang baru dibina.

Pasangan yang bertunang pada 9 November tahun lalu, selamat dinikahkan pada 5 April lalu di rumah yang menjadi kediaman rasmi mereka di Perum Mediterania Cluster Diamond, Jakarta Barat dengan tema Rumah Masa Depan.

Pelakon sinetron Assalamualaikum Cinta dan filem Heart ini berkata, apabila dia dan Ernest bertemu bapanya, H Zubir Amin untuk memaklumkan rancangan mereka untuk hidup bersama, sekali gus meminta restu, bapanya yang juga mantan diplomat, meminta mereka memikirkan semula perkara itu sedalam-dalamnya.

Kata bapanya, mereka perlu berhati-hati sebelum membuat keputusan mengenai kehidupan masa depan mereka, apatah lagi kedua-duanya hidup dalam dunia infotainment yang penuh dengan gosip.

Nirina dan Ernest diminta memikirkan semula keputusan itu dengan matang dan sebaiknya. Apabila sudah pasti, barulah bertemu semula dengannya.

“Beberapa hari selepas itu, kami datang semula dan menyampaikan keyakinan saya untuk berkahwin dengan Ernest. Saya mengaku sudah sedia memikul tanggungjawab sebagai isteri,” katanya.

Bapa Nirina juga berpesan, kalau menghadapi masalah rumah tangga, jangan bercerita dengan orang luar kerana ia boleh mengundang bahaya. Sebaliknya, mereka berdua selesaikan dengan cara berbincang dan jangan menggunakan emosi serta belajar daripada-teman artis lain.

Nirina atau nama sebenarnya, Nirina Raudatul Jannah Zubir dinikahkan dengan Ernest atau Ernest Fardiyan Sjarif oleh penghulu dari Kantor Departemen Agama, H Musholi pada 5 April lalu, jam 10 pagi waktu Indonesia Barat, dihadiri keluarga kedua-dua pengantin dan juga sahabat-handai.

Dua perkara menarik mengenai pernikahan mereka, ia diadakan di rumah yang bakal mereka diami bersama dan bukannya di rumah keluarga seperti kebiasaan pasangan lain serta mas kahwin yang diminta Nirina daripada suami berupa komputer riba (laptop).

Nirina berkata, mereka memilih melangsungkan pernikahan di rumah sendiri kerana rumah itu bakal menjadi tempat kediaman mereka selepas ini dan setiap hari boleh mengingati detik bersejarah sumpah pernikahan mereka berdua.

 

 

“Kami menikah di rumah juga kerana rezeki dan akan selalu mengingati detik penting itu. Setiap bangun pagi, pasti kami ingat pernikahan kami berlangsung di tempat ini.

“Selain itu, selesai pernikahan, ada doa dan rumah ini dapat banyak doa. Jadi rumah ini jadi berkat,” katanya.

Mengenai mas kahwin pula, Ernest berkata, ia permintaan Nirina kerana selepas ini mahu memulakan perniagaan sendiri dan komputer riba sangat berguna untuk membantu kelancaran perniagaannya.

“Memang itu yang dipesan Nirina ketika saya bertanya kepadanya mengenai mas kahwin sebagai pemberian saya. Sebabnya, saya mahu biar apa yang diberi itu benar-benar berguna kepadanya.

“Memandangkan Nirina mahu memulakan bisnes sendiri, jadi dia minta dibelikan barang yang sangat diperlukannya,” katanya.

Selain komputer riba sebagai mas kahwin, Nirina juga menerima kelengkapan solat dan wang Rp549,000. Apabila ditanya makna di sebalik nilai Rp549,000, Nirina hanya menjawab, “Kalau Rp50 juta boleh beli mobil tetapi yang penting makna pemberian itu.”

Pada majlis itu, Nirina anggun dengan kebaya renda putih rekaan Anna Avantie lengkap dengan hiasan kepala mengikut adat Minang. Pada malam harinya, berlangsung majlis resepsi di tempat sama dihadiri ramai rakan artis seperti Bella Saphira, Luna Maya dan Titi Kamal.

Dua hari sebelum pernikahan, diadakan majlis membaca al-Quran di rumah keluarga Nirina di Perumahan Qariyah Thayyibah, Kebun Jeruk, Jakarta Barat diikuti majlis berinai Bainai mengikut adat Minang atau Midodareti (Jawa). Untuk majlis ini, Nirina mengenakan busana serba putih lengkap bertudung biru dan pada kaki dan tangannya diinai dengan corak hiasan Arab.

Untuk majlis ini, Nirina tidak dibenarkan bertemu Ernest tetapi masih berpeluang menyaksikan buah hatinya diinaikan kedua-dua orang tuanya dan juga keluarga tertua daripada keluarga kedua-dua pihak sebagai tanda restu, melalui TV LCD.

Kata Nirina, untuk majlis nikah, dia memilih busana tradisional dan budaya rekaan Avanti manakala majlis resepsi memilih busana mengikut adat Minang Pariaman sebelah bapanya. Nirina juga berganti busana daripada adat Minang Bukittinggi.

Nirina yang dilahirkan di Madagaskar pada 12 Mac 1980 memulakan kerjaya sebagai VJ MTV Indonesia selama beberapa tahun kemudian menceburi dunia lakonan menerusi filem pertama, 30 Hari Mencari Cinta pada 2005 diikuti filem Mirror.

Kerjayanya disifatkan berada di puncak pada 2006 apabila berlakon filem psyco-thriller Belahan Jiwa diikuti filem Heart. Walaupun dalam filem itu, Acha Septriasa memegang watak utama, lakonan berkesan Nirina menambat hati juri untuk anugerah Pemeran Utama Wanita Terbaik di Festival Filem Indonesia 2006.

Melalui filem terbitan PT Kharisma Starvision Plus ini, Nirina bukan saja berlakon di samping kekasih, Ferry Ardiansyah, malah berpeluang menyanyikan lagu Hari Ini, Esok dan Seterusnya untuk soundtracknya bersama Acha dan Irwansyah.

Filem Kamulah Segala-galanya arahan Hanung Bramantyo pada 2007 diikuti Get Married 2008 mengukuhkan lagi nama Nirina apabila menang Pemeran Utama Wanita Terfavorit di Anugerah Filem Indonesian 2008.

Akhir-akhir ini, Nirina mencuba berlakon sinetron menerusi Diva diikuti Assalamualaikum Cinta yang pernah disiarkan TV9 dan baru saja selesai menjalani penggambaran sinetron Dewi.

Ernest pula mula menyertai Cokelat secara rasmi sebagai pemain gitar pada 31 Mei 2003 selepas menimba pengalaman menjadi pengganti Roberto Pieter. Pemuzik kelahiran Bandung pada 9 Januari 1979 ini adalah adik Edwin yang lebih awal menyertai Cokelat.

Percintaa mereka mula diketahui media pada Ramadan lalu dan mengakui mula rapat sejak bertemu di Barbados Caf
, Kemang, Jakarta Selatan pada 29 September 2006. Sebelum itu, Nirina pernah bercinta dengan Ferry Ardiansyah dan juga Gading Martin.

Selepas pernikahan ini, Ernest hanya diberi cuti sehari kerana 7 April lalu sudah mula bekerja untuk menjayakan program TV One menjelang pilihan raya pada 9 April lalu dan Cokelat juga dijadual mengadakan konsert di Malaysia.

PROFIL

Nama sebenar: Nirina Raudatul Jannah Zubir

Tarikh lahir: 12 Mac 1980

Tempat lahir: Madagaskar

Tinggi: 158 sentimeter

Agama: Islam

Bapa: H Zubir Amin

Ibu: Cut Indria Martini

Suami: Ernest Fardiyan Sjarif

Kerjaya: Pengacara, pelakon

Filem: 30 Hari Mencari Cinta, Mirror, Belahan Jiwa, Heart, Kamulah Satu-Satunya, Get Married

Sinetron: Diva, Assalamualaikum Cinta, Dewi

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Advertisements

Rumah Masa Depan Nirina

22 Mar

TIDAK pernah bersembunyi tentang hubungan peribadinya, pelakon cantik Nirina Zubir kini bahagia menghitung hari melangkah ke alam pernikahan dengan kekasihnya, gitaris kumpulan Cokelat, Ernest.

Nirina dan Ernest yang memilih 5 April depan sebagai tarikh keramat pernikahan mereka juga sudah memilih tema penyatuan mereka berdua – Rumah Masa Depan.

“Rumah Masa Depan adalah perwujudan tema nikah kami. Memiliki sebuah rumah sangat menenangkan hati dan kami berharap rumah ini mampu menjadi sumber pahala,” ungkap Ernest.

Acara pernikahan mereka dijadualkan dilangsungkan di rumah baru mereka yang terletak di Pos Pengumben, Jakarta Barat.

“Rumah masa depan kami masih dalam pembinaan. Tapi tak mengapa kerana itu ialah rumah impian kami yang akan menjadi teduhan kami buat selamanya.”

Majlis pernikahan tersebut dirancang mengikut adat Minang dengan Nirina dan Ernest akan mengenakan busana ciptaan Ana Avante dan Amin Brutus.

Sebanyak 2,000 kad undangan berbentuk dompet akan diedarkan, sementara anak-anak yatim piatu turut dijemput.

“Kami ingin seimbang. Harus ada kebahagiaan untuk mereka. Jumlah undangan itu bukannya berlebihan, tapi pihak keluarga dan teman-teman famili kami juga banyak. Pokoknya kita juga ingin beramal,” jelas Nirina.

Kosmo

Artis Beramal Bulan Ramadan

31 Aug

MENJELANG bulan Ramadan yang mulia ini, ramai artis Indonesia membuat kerja amal kebajikan kepada mereka yang tidak bernasib baik.

Antara mereka ialah pelakon remaja Cinta Laura yang memberikan sumbangan dengan membangunkan sebuah sekolah untuk anak-anak yang tidak mampu.

Sumbangan itu sebagai balasan terhadap peminat yang memberikan sokongan dan untuk membuktikan dirinya mencintai negara ini, kata Cinta, gadis kacukan Jerman dan Indonesia.

Pelakon lain termasuk Baim Wong dan Vernie Ismail juga tidak ketinggalan untuk menabur bakti kepada golongan anak-anak yang tidak mampu.

Sementara beberapa artis lain sibuk menerbitkan album berbentuk dakwah termasuk Samsons dan Nidji sementara pelakon Nirina Zubir akan muncul dalam drama dakwah pertamanya, berjudul Assamualaikum Cinta.

Utusan Malaysia

Teman Eratkan Belinda & Melissa

17 Apr

OIeh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my

KEJELITAAN dua selebriti ini turut membawa tuah buat mereka apabila dilantik sebagai duta Olay White Radiance selama setahun bermula Disember lalu. Turut kelihatan Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Lam Swee Kim (kanan) dan Pengurus Perhubungan Awam Procter & Gamble Malaysia, Zadil Hanief Mohamed Zaidi.

MEMANG benarlah kata orang, hidup kita tanpa sahabat tidak akan bermakna dan ia boleh disifatkan bagai siang tanpa cahaya.

Sahabat mahupun teman merupakan tempat untuk kita meluahkan kedukaan dan berkongsi kegembiraan tatkala kita berjauhan daripada keluarga.

Itulah yang cuba dirungkaikan oleh Belinda Chee terhadap rakannya, Melissa Maureen Rizal yang kini setia menemaninya menerusi rancangan terbitan 8TV, Teman yang memasuki musim kedua bermula semalam.

Jika pada musim pertama dahulu, Belinda keseorangan mengendalikan rancangan tersebut, namun kini, dia mempunyai banyak sebab untuk berasa teruja dan gembira dengan kehadiran Melissa dalam rancangan tersebut.

“Dengan adanya Melissa, ia membuatkan rancangan Teman ini lebih meriah dan menarik kerana kami mempunyai banyak persamaan yang boleh dikongsi bersama.

“Malah, ia banyak membuka mata kami terhadap keunikan dan keistimewaan yang ada di negara kelahiran kami ini yang tidak pernah kami ketahui dan kunjungi sebelum ini.

“Sebagai contoh, walaupun saya anak kelahiran Sarawak, namun, saya belum lagi menjejakkan kaki di Taman Negara Gunung Mulu. Tetapi, menerusi Teman, ia telah menemukan saya dengan warisan dunia itu,” kata Belinda mengenai rancangan kendaliannya bersama Melissa itu sewaktu majlis pelancarannya di Sri Pentas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Belinda yang juga hos 8TV Quickie memberitahu, musim kedua Teman terlalu banyak bezanya berbanding musim pertama dahulu kerana di awal pembabitannya untuk rancangan tersebut, ia lebih mencabar dirinya memandangkan ketika itu, Teman merupakan sebuah rancangan separa realiti dan separa drama.

“Tetapi kali ini, saya lihat ia lebih senang dan mudah untuk beraksi di hadapan kamera kerana apa yang berlaku semuanya adalah secara berterusan dan kami hanya perlu melaporkan apa yang berlaku di tempat yang kami kunjungi itu,” jelas Belinda yang baru berusia 24 tahun itu lagi.

Episod pertama Teman musim kedua itu dimulakan pengambarannya di Pulau Pangkor dan setakat ini lima episod sudah disiapkan.

Teman kali ini juga menyaksikan Belinda dan Melissa diberi peluang menyuarakan pendapat mengenai tempat yang boleh mereka lawati berdasarkan penyelidikan yang telah dilakukan.

“Penonton yang menyaksikan kami dalam Teman akan dapat melihat karakter kami yang sebenar dan bukannya dibuat-buat. Malah, Teman juga membuktikan bahawa kami bukan sekadar pengacara yang hanya mahu kelihatan cantik setiap waktu sewaktu mengacarakan rancangan ini,” kata Belinda dalam nada tegas.

Bagi Melissa yang sebelum ini cukup terkenal menerusi watak Mia dalam filem dan drama bersiri, Gol & Gincu, pembabitannya dalam Teman mampu meluaskan lagi karier seninya sebagai seorang pengacara dan tambahan pula, dia sememangnya seorang yang suka mengembara.

“Saya begitu mengagumi Megan McCormick yang terkenal menerusi rancangan Globe Trekker yang berpeluang mengembara ke seluruh dunia.

“Meskipun, Teman setakat ini hanya membawa saya dan Belinda sekitar negara Asia Tenggara, namun ia merupakan satu pengalaman yang cukup indah dan bermakna sekali. Impian saya akhirnya menjadi kenyataan,” kata Melissa yang mula mencuri perhatian menerusi drama bersiri Akademi dan Table For Two beberapa tahun lalu itu sambil tersenyum manja.

Menceritakan tentang pengalamannya berkunjung ke negara luar seperti Singapura, Bali, Pulau Sipadan dan Bangkok, baik Belinda dan Melissa memberitahu, ia banyak membuka mata mereka tentang budaya dan kehidupan masyarakat di sana yang belum pernah mereka ketahui sebelum ini.

“Bukan itu sahaja, memandangkan kami juga dilantik menjadi duta Olay White Radiance, kami turut berpeluang bertemu dengan wanita Asia lain yang terpilih dalam senarai Asia’s Perfect 10 seperti kami iaitu pelakon Indonesia, Nirina Zubir dan model kelahiran Malaysia yang kini semakin mendapat tempat di Singapura iaitu Andrea Fonseka,” kata Melissa sambil dipersetujui oleh Belinda.

Tambah Melissa lagi, penggambaran Teman hanya dilakukan pada hujung minggu dan setakat ini, ia langsung tidak menjejaskan jadual seninya yang lain meskipun masanya kini agak terluang memandangkan tidak banyak tawaran berlakon yang diterimanya selepas kejayaan Gol & Gincu dan Realiti.

Umum mungkin sudah mengetahui tentang hubungan cinta Melissa dengan salah seorang anggota kumpulan Too Phat iaitu Malique dan khabarnya, hubungan itu akan berakhir di jinjang pelamin.

Ketika ditanya kepada Melissa tentang soalan itu, dia dengan pantas memberitahu : “Saya minta maaf kerana saya diminta untuk tidak mengulas tentang perkara itu. Saya ke sini hanya untuk berbicara tentang Teman dan produk Olay. Saya harap anda faham dengan situasi saya.”

Utusan Malaysia

APM 2006 Masih Didominasi Artis Indonesia

27 Mar

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SEBELUM keputusan Anugerah Planet Muzik 2006 (APM 2006) diumumkan, ramai yang dapat menjangka bahawa kemenangan pasti banyak berpihak kepada artis dari Indonesia. Ini kerana sejak dulu lagi artis republik tersebut sering membolot kemenangan dalam kategori terbaik manakala anugerah popular pula sering menjadi milik artis Malaysia.

AMP 2006 yang berlangsung di Max Pavillion, Singapore Expo, Singapura, Jumaat lalu membuktikan sejarah berulang lagi.

Enam daripada lapan anugerah untuk kategori terbaik menjadi milik artis Indonesia seperti Artis Baru Terbaik (Ello), Kumpulan Baru Terbaik (Maliq & D’Essentials), Artis Lelaki Terbaik (Marcell), Duo/Kumpulan Terbaik (Peterpan), Lagu Terbaik (Dealova dendangan Once) dan Album Terbaik (Senyawa – Chrisye).

Sementara artis Malaysia pula hanya mampu meraih kemenangan dalam kategori Artis Wanita Terbaik (Jaclyn Victor) dan Artis Baru Terbaik (Nikki). Kedua-dua mereka adalah bintang yang dicungkil daripada pertandingan realiti program Malaysian Idol.

Sebelum ini artis Malaysia yang pernah memenangi kategori berprestij itu ialah Vince dan Dia Fadilla untuk anugerah Artis Baru Lelaki dan Wanita Terbaik pada tahun lalu. Siti Nurhaliza juga pernah dinobatkan sebagai Artis Wanita Terbaik pada APM 2004.

Kalau dilihat secara rambang, artis-artis Indonesia masih menguasai kategori terbaik berbanding Malaysia yang hanya juara untuk kategori popular.

Keputusan bagi kategori popular ditentukan oleh peminat yang membuat pemilihan berdasarkan borang yang terdapat dalam majalah hiburan di negara masing-masing. Selain itu para peminat juga boleh melayari laman web untuk membuat undian.

Lagu popular Aduh Saliha dendangan Mawi, ciptaan M.Nasir dan lirik oleh Loloq berjaya dipilih sebagai Lagu Paling Popular tahun ini.

Anugerah yang diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada penggiat-penggiat seni di Malaysia, Indonesia dan Singapura itu sejak dulu hingga kini dilihat tidak menawarkan banyak perubahan.

Biarpun pemenang sudah diketahui, namun ada juga yang berpendapat penganjur Mediacorp Radio Warna 94.2 FM dan Ria 89.7 FM dengan kerjasama Beyond DBB Malaysia seolah-olah telah mempunyai pemenang sendiri kerana ada beberapa keputusan yang difikirkan tidak munasabah.

Persoalan itu timbul kerana bagi kategori Artis Lelaki Paling Popular sepatutnya pemenangnya Mawi dan bagi Lagu Paling Popular ramai yang berpendapat Mungkin Nanti atau Ada Apa Denganmu dendangan Peterpan lebih layak.

Masalahnya, kalau diberi pada Mawi, nanti negara penganjur tidak ada pemenang langsung melainkan bagi kategori Singapura sahaja.

Justeru Mawi perlu menang biarpun sekadar lagu popular. Padahal lagu Aduh Saliha hanya popular di Malaysia dan Singapura berbanding lagu dendangan Peterpan yang popular di tiga negara.

Mungkin disebabkan faktor remeh-temeh itulah maka kebanyakan syarikat rakaman Malaysia kurang bersemangat untuk menghantar penyertaan ke APM 2006.

Persembahan kurang menarik

Dari segi persembahan artis-artis yang menjayakan APM 2006, dilihat ada yang kurang menyerlah disebabkan muzik lebih kuat daripada suara penyanyi.

Namun gabungan Mawi dan Taufik Batisah yang mendendangkan lagu Gadis Melayu membuatkan penonton teruja kerana lagu tersebut sedang popular di Singapura dan Malaysia ketika ini.

Bagaimanapun, penampilan Ello yang dipilih sebagai Artis Lelaki Baru Terbaik tidak mampu menghangatkan suasana. Begitu juga dengan persembahan kumpulan Gigi yang sekadar penyeri pentas.

Sementara gabungan Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Rossa dan Marcell yang mendendangkan lagu seperti Bukan Lagi Rahsia dan Kalbu kembali membuat penonton teruja.

Lain-lain artis yang turut mengadakan persembahan pada APM 2006 ialah M.Nasir, Nurul, Ajai, Ferhad, Jaclyn Victor, Ratu, Sharifah Zarina, Syed Amir, Adam dan Vince.

Anugerah Planet Muzik dikendalikan oleh Aznil Nawawi (Malaysia), Adi Rahman dan Fiza Othman (Singapura) dan Nirina Zubir (Indonesia).

APA KATA PEMENANG?

Siti Nurhaliza

“Alhamdulillah sebab memberi peluang kepada Siti untuk berada di pentas ini lagi. Terima kasih kepada peminat-peminat yang masih menaruh kepercayaan pada bakat Siti. Kemenangan ini untuk semua yang berdiri di belakang Siti dan anugerah ini mendekatkan Siti dengan peminat-peminat.”

Jaclyn Victor

“Kemenangan ini amat mengejutkan. Saya datang ke sini hanya untuk menghiburkan anda semua dan pencalonan saya untuk tiga kategori sudah merupakan satu kejayaan. Tapi bila diumumkan sebagai pemenang untuk Artis Wanita Terbaik, saya benar-benar terkejut.”

Nikki

“Saya betul-betul terkejut dengan kemenangan ini. Kemenangan ini membuktikan bahawa peminat-peminat mengiktiraf kehadiran saya dalam bidang ini menerusi album Maharani.”

Mawi

“Saya tak sangka sebab kategori ini mempertandingkan nama-nama terkenal. Terima kasih pada M.Nasir dan Loloq kerana memberikan lagu terbaik untuk saya.”

M. Nasir

“Tak sangka mereka akan pilih lagu Aduh Saliha yang berentak Melayu Arab ini sebagai pilihan.”

Taufik Batisah

“Saya benar-benar tak sangka sebab saya ingatkan Mawi yang akan jadi pilihan. Lagipun nama-nama yang dipertandingkan dalam kategori ini memang hebat. Kehadiran saya sekadar untuk menggembirakan peminat.

Kemenangan ini menjadi platform untuk saya melangkah ke luar. Saya memang ditawarkan buat album di Malaysia tapi sedang dipertimbangkan. Setakat ini saya sudah ada album Inggeris.”

Peterpan

“Kemenangan ini bukanlah sepenuhnya. Kami harap kemenangan ini akan memberi semangat kepada Peterpan untuk memberi balasan setimpal kepada peminat.”

Loloq

“Saya harap anugerah ini mampu memberi lesen besar kepada saya untuk terus berkarya dan menghasilkan lirik yang lebih mencabar.”

Utusan Malaysia