Archive | Noorkumalasari RSS feed for this section

Ketabahan Pesakit Barah Otak

26 May

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

KETABAHAN pesakit kanser otak, Muha Aziz yang bertarung dengan penyakit berbahaya itu sejak empat tahun lalu antara paparan menarik dalam musim kedua, Ar-Rayyan yang menemui penonton Astro Oasis, jam 9 malam ini.

Lebih menyentuh hati, Muha, 28, yang tidak dapat melihat dan berkerusi roda nampak tenang ketika ditemubual hos program ini, Datuk Dr Fatma El-Zahraa.

Selain Muha (episod kedua), program sebanyak 13 episod ini turut mengundang beberapa selebriti tanah air seperti penyanyi Aishah yang ibu tunggal, pasangan bahagia yang mempunyai dua anak, Vanidah Imran dan suami pelakon dan pengarah Rashidi Ishak serta penerbit drama dan pelakon popular, Rosyam Nor.

Tidak ketinggalan, Ar-Rayyan juga mengundang beberapa ikon dalam masyarakat seperti Presiden Pengasih, Yunus Pathi yang mengupas topik akal dengan begitu menarik sekali.

Penerbit program ini, Nor Norzulydia Azizan berkata, tetamu jemputan yang ditampilkan pada setiap episod turut sama berdiskusi secara terbuka bersama Dr Fatma.

“Pengisian program musim kedua ini lebih padat dan menarik kerana tetamu undangan juga berkongsi pengalaman dengan penonton dari sudut agama.

“Ia juga mengupas isu lebih kritikal dengan grafik terkini serta tetamu jemputan dengan latar belakang berbeza. “Tetamu undangan akan berbual dan berinteraksi dengan Dr Fatma sambil berkongsi luahan pendapat menurut sudut pandangan dan pengalaman hidup masing-masing.

“Pendekatan wawancara secara santai dan spontan lebih tepat demi memenuhi cita rasa penonton daripada pelbagai peringkat usia,” katanya.

Nor Norzulydia ditemui ketika pelancaran dan sidang media Ar-Rayyan musim kedua disempurnakan Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar di Hotel Le Meredien, KL Sentral, di sini, baru-baru ini

Hadir sama, Yang Dipertua, Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Mejar Tengku Baderol Zaman Ibni Sultan Mahmud Al Muktaffi Billah Shah dan Toh Puan Sri Wan Hidayah Wan Ismail.

Tambah Nor Norzulydia lagi, setakat ini sebanyak enam episod sudah dirakamkan.

“Rakaman untuk tujuh lagi episod Ar-Rayyan dijangka bermula pada 30 Mei ini.

“Pada episod pertama yang disiarkan pada 19 Mei lalu, penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza yang baru pulang dari mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Makkah dan kini tampil bertudung adalah artis undangan Ar-Rayyan.

“Manakala, episod istimewa Ar-Rayyan selama sejam yang mengundang dua selebriti, Noorkumalasari dan Waheeda sebagai artis undangan,selamat bersiaran sempena sambutan Maulidur rasul pada Mac lalu,” katanya.

Sementara itu, Dr Fatma, ikon Astro Oasis yang giat berdakwah di beberapa organisasi korporat dan kerajaan berkata dia juga mengupas topik yang lebih kritikal dan khusus untuk kaum wanita dan keluarga pada musim baru Ar-Rayyan.

“Musim baru Ar-Rayyan juga lebih memfoluskan pada generasi muda kerana misi kita untuk menarik golongan remaja mendekati agama.

“Buat permulaan, pihak kami kenal pasti topik yang ingin dipaparkan dalam program ini. Maklumlah, sebagai insan yang lemah kita tidak dapat terlepas dari ujian Allah. “Topik keluarga bahagia pula memaparkan artis undangan yang juga pasangan suami isteri yang sama-sama berkecimpung sebagai anak seni dan mempunyai dua anak, pasangan Vanidah Imran dan Rashidi Ishak yang berkongsi cerita dengan penonton.

“Selain itu, pihak kami mengundang Rosyam, bapa tujuh anak yang aktif berlakon dan menerbitkan drama tetapi pada masa sama mampu mengekalkan kebahagiaan dalam rumah tangganya untuk bercakap topik masa yang juga sangat berharga dalam hidup kita,” katanya.

Saluran Astro Oasis yang dilancarkan pada 13 Oktober dan baru beroperasi selama tujuh bulan menerusi saluran 106 dengan slogan ‘Inspirasi Sanubari’ sekali lagi membuktikan iltizam menghidangkan santapan minda dan rohani masyarakat dengan pelancaran Ar-Rayyan musim kedua ini.

Program bual bicara terbitan Green Melon Communications Sdn Bhd ini mula bersiaran di Astro Ria pada 2006 sebelum bersiaran di Astro Oasis pada 2008.

Ar Rayyan yang menampilkan Dr Fatma sebagai hos juga antara program terbaik saluran Astro Oasis, sekali gus semakin mendapat tempat di hati penonton.

Powered by Harian Metro

Superstar Bertukar Islamik

11 May

“PLANET saya dulu, nauzubillah. Disko, perempuan dan ya, semua jenis maksiat seperti itu berlarutan selama enam tahun. Rocklah katakan. Semoga Tuhan mengampunkan dosa saya,” akui Ustaz Akhil Hayy yang dulu hidup berpaksikan gelombang rock seperti kumpulan Poison dan Loudness tanpa selindung sambil memohon ampun beberapa kali.

Namun, segala kemungkaran itu sudah tidak lagi melingkarinya selepas lelah menanti hasil menjadi anak seni yang tidak ke mana selain kerap bermimpi soal kematian. Dan harapan bekas vokalis kumpulan rock terkenal tahun 80-an, D’Riyadh ini, semoga Tuhan tidak mencabut imannya sehingga akhir hayat.

Pada usia 39 tahun, dia yang sudah dua kali menunaikan haji berasa masih baru menjalani transformasi kehidupannya. Baru masuk usia 14 tahun, katanya yang mula mendekatkan diri kepada Tuhan selepas membawa diri ke Indonesia. Itu semua berkat pujukan arwah ayah, Haji Abdul Hai, sekitar tahun 1994 yang banyak membimbing dirinya daripada terus hanyut bersama syaitan.

Akil yang pernah digelar jalang jantan kerana dunia maksiatnya dahulu, tidak sukar untuk kembali ke sisi Tuhan yang telah melimpahkan sinar baru dalam kehidupannya. Apatah lagi dipermudahkan keluarga yang tidak putus memberi sokongan.

Akhil mendalami ilmu agama di Madrasah Al Mustaufiwiyyah di Sumatera Barat pada usia mencecah 26 tahun. Di situ, dia ‘mencuci diri’, kembali mengaji dan akhirnya selepas kerap berulang alik dari Malaysia ke madrasah ini untuk tujuan tersebut, akui Akhil, akhirnya dia berjaya menimba ilmu akhirat.

“Alhamdulillah, hari ini, saya dapat berkongsi ilmu saya bersama orang ramai melalui dakwah saya. Dan biar sudah menukar paksi kehidupan, saya masih mendengar muzik rock dan melepak dengan remaja yang menjadikan rock sebagai paksi hidup mereka.

“Saya nak tahu apa yang mereka cari dalam kehidupan,” ujarnya yang berkata penghijrahan bukan satu transformasi yang boleh dibuat-buat.

Katanya yang bakal muncul dengan album Nasyid Legenda 11 sambil memanjatkan syukur: “Tiada jalan pintas untuk berhijrah. Sebaliknya inilah senjata Allah kepada sesiapa sahaja yang mahu Dia berikan. Senjata itu adalah taufik dan hidayah. Dan gunalah ia sebaik mungkin kerana ia tidak akan berlaku dua kali.”

Siapa: Akhil Hayy @ Ustaz Akhil, 39. Transisi: Bekas vokalis D’ Riyadh ini mula ‘beralih arah’ pada tahun 1994. Kini: Pendakwah, penyanyi dan pengemudi program sendiri di Astro Oasis, Kafe Akhil.

SELAIN nama-nama seperti Azmil Mustapha, Gito Rollies atau Sahara Yaacob, rockers tersohor Amy Search sempat dikatakan sudah menukar ‘kiblat’ kehidupan lamanya yang kini lebih Islamik sekembalinya daripada umrah.

Namun lebih daripada isu tersebut, wartawan MALIAH SURIP yang menemu bual beberapa bintang terkenal tanah air dan Indonesia yang sudah ‘cuci tangan’ dan keluar dari zaman jahiliah mereka menyimpulkan bahawa hidayah yang Tuhan pancarkan kepada mereka menjadi ‘pintu’ buat mereka melangkah ke alam kehidupan yang lebih tenang.

Siapa: Noorkumalasari Mohammad Taib, 52. Transisi: Bekas pelakon dan penyanyi popular ini mula menjalani transformasi penuh pada tahun 1997. Kini: Suri rumah sepenuh masa kepada suami, Wan Mohd Yusuf, 57, dan tiga puteranya, Wan Amin Nurrasyid (16), Wan Amni (14) Wan Irfan Nurul Atiq (12).

SAKTI selepas dua tahun melepaskan segala kemewahan lebih senang tampil dengan jambang, kerana mengikut sunah nabi. Ketika ditemu bual, Sakti menjaga tertib matanya dengan tidak memandang penulis.

DIKENALI sebagai pemain gitar kedua grup terkenal Indonesia, Sheila On 7 (SO7), Sakti yang duduk di hadapan kami, berkata, hari ini cukup berbeza dengan apa yang pernah dilihat sepanjang pembabitannya dalam industri lebih enam tahun lalu.

Dalam pertemuan eksklusif yang diatur teman di kediaman Eross di Yogyakarta, Indonesia itu, kelihatan mukanya dijalari janggut, menyarung baju dan seluar khakis polos. Bicaranya teratur. Sakti membuka lembaran sejarah hidupnya – dari zaman jahiliah kepada seorang yang cukup patuh terhadap Islam.

“Saya takut mati dan api neraka itu maha dahsyat,” luah Sakti serius. Perasaan takut mati itu terdetik selepas dia terpandang sebuah buku dengan judul Menjemput Sakaratul Maut Bersama Rasulullah di dalam sebuah kedai buku di Lapangan Terbang Yogyakarta sewaktu mahu ke Malaysia menghadiri majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) dua tahun lalu.

“Saya masuk ke sebuah kedai buku, ternampak buku ini dan fikiran saya berputar tentang senario kapal terbang yang kerap terhempas.

“Saya bayangkan kalau kapal terbang saya terhempas dan saya mati, apa bekalan yang saya ada? Saya tiada apa-apa. Tapi saya percaya mati tetap akan datang kepada saya pada bila-bila masa,” ceritanya yang kemudian membeli dan habis membaca buku tersebut sepanjang kembara ke Malaysia.

Kembali ke Indonesia, dia terus dibelenggu perasaan takut mati selepas menjaga ibunya yang sakit di hospital selain membaca sebuah tabloid yang menyiar isu kematian. Insiden yang berturut ini, kata Sakti, sebagai satu petunjuk agar dirinya berubah.

Dilepaskannya status pemain gitar SO7 saat grup ini sedang berada di kemuncak.

“Saya tekad membuat keputusan dan tidak berasa rugi melepaskan status artis pada zaman kegemilangan kami kerana saya sendiri sudah tidak boleh memberi fokus pada hiburan.

“Adakah saya menyesal melepaskan kemewahan dunia? Tidak sama sekali kerana saya lebih rela menyesal dan melepaskan semua di dunia sebelum saya dijemput ‘pulang’.

“Saya tidak mahu menyesal di akhirat kelak dan tidak terbayang panas api di sana,” kata Sakti yang turut mengaku kerap menangis mengenang dosa silam.

Usai rasmi keluar dari SO7, anak kedua daripada tiga beradik ini berangkat ke Pakistan (menuntut di sebuah masjid di Rewin) dalam usahanya mendasari semula asas seorang Islam sejati selama dua bulan sebelum kembali ke Indonesia dan menimba ilmu daripada para ulama di negara sendiri.

“Di Pakistan saya diajar menyayangi agama Islam sebagai sebuah agama yang indah.”

Lantas sewaktu disuakan hal tentang zaman jahiliahnya dahulu, Sakti tersenyum dan berkata: “Dulu saya pemabuk,” katanya tanpa selindung dan menambah: “Saya mula minum alkohol sejak zaman sekolah, bukan semasa jadi artis. Saya hanya berhenti minum pada usia 26 tahun sewaktu mahu beralih menjadi umat Islam yang sebenar.”

Tambah Sakti, solat lima waktu juga selalu rompong, jauh sekali solat Jumaat yang akuinya paling jarang dilakukan. Sebaik mendapat hidayah dan memahami disiplin kehidupan yang telah ditentukan Tuhan, dia cukup takut untuk meninggalkan solat.

Apa lagi saat mengenangkan kalau tiba-tiba dirinya dijemput ‘pergi’ tanpa sempat ‘bermanja’ dengan Tuhan.

Tanpa kemewahan, kata suami kepada Miftahul Jannah, 23, dia menjalani kehidupan kini serba sederhana sambil mengusahakan sebuah kedai dobi dan kedai mini sejak tiga bulan lalu di kampung halamannya.

Ditanya tidakkah rindu untuk memeluk keenakan hiburan, pantas dia menggeleng. Namun dia masih menyentuh gitar.

“Tapi bukan untuk dipertontonkan seperti dulu. Saya juga masih mendengar muzik, tapi lebih senang kepada nasyid atau memuji Islam seperti karya-karya Yusuf Islam. Muzik rock sudah jarang,” ujarnya yang tidak pernah menganggap hiburan sebagai perosak jiwa, tetapi ia menjadi rosak dengan penerimaan yang salah.

Sedang menghitung waktu untuk menggarap album berbentuk Islamik bersama seorang teman, Sakti saat diminta menyimpulkan kehidupannya kini memberitahu: “Nikmat punya agama seindah Islam memberi efek luar biasa dalam hati saya.

“Apa yang saya bimbangkan kini jika Tuhan menterbalikkan hati saya seperti dahulu. Nauzubillah, kerana saya mahu terus berada dalam hidayahnya sehingga saya mati.”

Siapa: Sakti Ari Seno@ Sakti, 28. Transisi: Bekas pemain gitar Sheila On 7 (SO7) ini mula mengubah ‘kiblat’nya sejak dua tahun lalu. Kini: Pendakwah bebas serta pemilik kedai dobi dan kedai mini bernama Smart.

PADA zaman kegemilangannya, pelakon kelahiran Jakarta ini pernah dilabelkan sebagai simbol seks kerana keberaniannya beraksi ‘panas’ selain sempat berbogel dalam beberapa filem dan sinetron lakonannya seperti Ranjang Yang Ternoda atau Gadis Metropolis juga Wanita Dan Ghairah.

Memiliki sosok tubuh yang menggiurkan selain kerap berimej seksi, isteri kepada Fahmi Darmawansyah ini bagaimanapun mengejutkan banyak pihak selepas drastik merubah kiblat kehidupannya dengan bertudung.

“Semua orang miliki kisah lalu dan saya kira tidak adil jika kita mengungkitnya untuk dijadikan ukuran,” katanya pada satu temu bual mengenai zaman jahiliahnya.

Dia kemudian memberitahu kehidupannya kini lebih tenang. Bertudung dan berubah menjadi manusia yang cuba sedaya upaya menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam yang baik sekembali dari umrah lebih 10 tahun lalu telah membuka hatinya bahawa Tuhan begitu menyayanginya.

Selain kerap didatangi mimpi tentang kematian dan takut kepada azab Tuhan, hatinya terus layu untuk menutup aurat.

“Kini saya banyak berpuasa dan solat untuk mengganti semula semua kewajipan yang saya tinggalkan satu ketika dahulu. Syukur kepada Tuhan kerana memberi kesempatan buat saya berubah,” katanya yang cukup terkenal menerusi sinetron berunsur dakwah, Mutiara Hati sambil menyifatkan pembabitannya dalam dunia hiburan kini lebih kepada menyebarkan dakwah.

Siapa: Inneke Koesherawati @ Inneke, 33. Transisi: Mula bertudung pada tahun 2001. Kini: Pelakon & Duta Astro Oasis Indonesia

Powered by Kosmo

Mahu Lupa Showbiz!

30 Apr

Oleh Zaidi Mohamad


Waheeda

Waheeda nafi gosip cinta, perkahwinan dengan Akhil Haya punca pengunduran

BINTANG jelita bertudung, penyanyi dan pelakon Waheeda akhirnya mendedahkan bahawa dia sudah bersedia meninggalkan dunia hiburan yang pernah mengangkat namanya sebagai seorang artis popular. Bagaimanapun, Waheeda menafikan hasratnya itu ada kaitan dengan gosip cinta dan perkahwinannya dengan Akhil Hayy, seorang penyanyi dan pendakwah yang lebih senang bergelar ustaz.

Mengakui sedikit tertekan dengan apa yang diperkatakan, Waheeda reda menghadapi kontroversi yang dianggapnya sebagai satu ujian Yang Maha Esa. Malah, cabaran dan dugaan yang terpaksa dihadapinya sepanjang bergelar artis lebih membuatkan dirinya dekat dengan Tuhan.

“Keputusan ini dibuat tanpa sebarang paksaan dan tiada mengena langsung dengan apa yang saya hadapi. Saya akan berhenti terus daripada segala-gala yang berkaitan dunia seni. Saya rasa sudah tiba masanya saya mengundur diri seiring dengan usia yang semakin meningkat. Hal ini sudah lama saya fikir dan rancang, namun sebelum ini ada saja kekangan yang menghalang. Sekarang saya nekad untuk ‘berhenti’ dalam masa yang terdekat, paling lewat pada tahun ini juga.

“Saya tidak menyesal dengan keputusan ini. Semuanya dilakukan kerana Allah Taala. Apa-apapun saya masih ada tanggungjawab yang perlu dibereskan seperti menyudahkan baki penggambaran sitkom Anak Mami dan pembikinan album terbaru yang bersifat eksperimental, hanya memuatkan lima hingga enam lagu saja. Mungkin juga selepas ini saya akan lebih terarah untuk mendidik, barangkali menjadi cikgu tadika.

“Saya memang tak nafikan ada mendengar gosip yang mengaitkan saya dengan Ustaz Akhil Hayy termasuklah dikatakan sudah berkahwin dan tinggal bersamanya. Semuanya karut dan saya menafikannya. Saya masih berkawan baik dengannya dan dia juga baik dengan kawan-kawan saya. Ada kesempatan kami ada juga berjumpa,” tegasnya ketika ditemui selepas sidang media sitkom Anak Mami di Sri Pentas, baru-baru ini.


Akhil Hayy

Ditebak mungkinkah keputusan menoktahkan kerjaya seninya sebagai alasan dan persediaan untuk menamatkan zaman solo, Waheeda menafikannya. Sebaliknya apa yang ingin dilakukan terbit dari dalam hatinya yang tulus. Dugaan yang melanda dirinya membuatkan penyanyi yang dikenali dengan lagu Wassini ini lebih tegar menghadapi liku-liku kehidupan.

“Soal bila mahu kahwin memang sering diajukan kepada saya. Saya pun tiada jawapan yang pasti. Jujur saya akui apabila saya lebih dekat dengan Allah, soal kahwin langsung tidak terlintas di fikiran. Janji tanggungjawab saya sebagai anak, wanita dan hamba-Nya tidak diketepikan.

“Saya mengambil keputusan menoktahkan kerjaya seni ini bukan kerana mahu berkahwin, sebaliknya saya lakukannya untuk diri sendiri. Saya ingin berhenti bukan kerana orang lain. Apa yang telah berlaku membuatkan saya lebih dekat kepada-Nya, semuanya telah ditentukan-Nya. Ia mengajar saya untuk lebih bersabar dan menjadi lebih tabah, saya lebih tahu siapa diri saya yang sebenarnya,” ungkap Waheeda yang mengagumi dan menjadikan wali Allah, Rabiatul Adawiyah dan Noorkumalasari sebagai idolanya.

Waheeda

Nama: Norwahidah Abdul Wahab

Tarikh Lahir: 23 September 1978

Tempat Lahir: Johor Bahru

Kerjaya: Penyanyi, pelakon, pengacara dan model komersial

Album: Wassini, Binafsha, dan Melodi Ahlan

Filem: Jutawan Fakir, Tujuh Perhentian, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung dan I Know What You Did Last Raya.

Anugerah: Pemenang ke-3 Voice of Asia 2004; Anugerah Planet Music bagi Lagu Popular, Artis Baru Popular & Artis Wanita Popular 2004; Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi Artis Baru; Anugerah Juara Lagu 2003 bagi kategori Etnik Kreatif.

Powered by Berita Harian

Ekspresi Wajah Pelakon Congkak Hidup

18 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud


MENYERAMKAN: Pujian sewajarnya diberikan kepada jurusolek filem ini atas mutu kerja yang cukup berkualiti.

INFO: Congkak

Pengarah: Ahmad Idham

Pelakon: Nanu Baharuddin, Riezman Khuzaimi, Erin Malek,Erynne Erynna, Ruminah Sidek dan M Rajoli

Genre: Seram

Tayangan: 17 April 2008

LAMA rasanya tidak menyaksikan sebuah filem seram membabitkan banglo besar dan hubungan kekeluargaan. Kali terakhir filem seperti itu ditayangkan di pawagam adalah filem Rahsia, arahan Othman Hafsham yang diterbitkan sekitar 1987.

Filem yang menampilkan Shukery Hashim dan Noorkumalasari sebagai tunjang utama ini pernah mencetuskan fenomena dalam dunia perfileman tanah air sehingga dinobatkan sebagai Filem Terbaik sewaktu Festival Filem Malaysia ke-7.

Selepas Rahsia, tidak ada lagi filem seram yang ada persamaan dengannya kerana selepas itu filem seram tidak banyak dihasilkan kerana filem bergenre cinta dan komedi mula menguasai pasaran. Justeru, apabila Congkak mula menjengah pawagam mulai semalam, ingatan terhadap filem Rahsia mula menerpa di dalam fikiran.

Ops! Jangan silap faham. Ulasan ini bukanlah untuk cuba membandingkan kedua-dua filem terbabit kerana apa yang sebenarnya ingin ditekankan di sini adalah, elemen dua perkara iaitu banglo dan hubungan kekeluargaan, kebetulan ada dalam Rahsia dan juga Congkak.

Rasa beruntung kerana sebelum Congkak ditayangkan, penulis berpeluang melihat sendiri proses di sebalik tabir pembikinan filem ini sewaktu mereka mengadakan penggambaran di sebuah banglo suram di negeri Perlis Indera Kayangan.

Pemilihan sebuah banglo kayu yang sudah sekian lama tidak berpenghuni nyata adalah satu keputusan yang bijak kerana secara tidak langsung ia turut membangkitkan perasaan seram bukan saja di kalangan penonton malah pelakon yang terbabit dalam filem itu.

Dan tidak hairanlah andai keempat-empat tunjang utama filem terbabit dapat menghasilkan mutu lakonan yang mantap kerana ketakutan yang mereka alami itu turut dikongsi bersama penonton di pawagam. Paling berkesan adalah watak adik Erryne Erynna yang memegang watak sebagai Lisa serta Nanu yang melakonkan watak Sufiah.

Ekspresi muka serta penghayatan kedua-dua pelakon ini nampak hidup. Malah, ada kala terbayang emosi ketakutan Nanu sama seperti pelakon Jodie Foster dalam filem Panic Room dan Flight Plan. Ekspresi ketakutan seorang ibu apabila anaknya diganggu makhluk halus cukup terserlah.

Menyaksikan filem Congkak, kita sebenarnya tidak dapat lari dari mengaitkannya dengan filem Jangan Pandang Belakang (JPB). Sementelah ia adalah hasil buah tangan pengarah yang sama iaitu Ahmad Idham, mahu atau tidak tentu ada yang cuba membandingkan kedua-dua filem ini.

Namun, apa yang boleh dikatakan, walaupun kedua-duanya filem seram tetapi dari segi perjalanan cerita, memang berbeza. Seram JPB berlainan dengan apa yang ditonjolkan Congkak.

Jika JPB kaya dengan imejan hantu yang menyeramkan, Congkak pula mempertaruhkan kesan bunyi hebat sehingga mampu membuatkan jantung penonton luruh sepanjang tayangan. Semua ini gara-gara penggunaan sistem Dolby Digital Surround EX yang hampir setaraf filem Hollywood.

Nyata, kos sebanyak RM200 ribu yang dikeluarkan MIG Production Sdn Bhd semata-mata untuk menggunakan sistem itu berbaloi kerana ia amat efektif untuk membuat penonton terkejut dalam beberapa babak yang ditayangkan.

Teknik solekan turut menyumbang kejayaan filem ini. Paling berkesan adalah solekan wajah Mak Mah yang diakui memang menyeramkan. Tahniah kepada juru solek untuk filem ini iaitu Jamal kerana menunjukkan mutu kerja yang kreatif dan inovatif.

Apa yang menarik mengenai Congkak adalah ia bukan saja saja mempertaruhkan elemen seram semata-mata tetapi ia juga menyelitkan nilai kekeluargaan serta perasaan kasih sayang antara satu sama lain. Congkak ada jalan ceritanya serta mempunyai unsur pengajaran kepada mereka yang dapat menangkap apa yang tersirat.

Powered by Berita Harian

Noor Kini Lebih Tenteram

2 Apr

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

HIDUPNYA tiada lagi kilauan bintang. Tumpuannya sekarang kepada keluarga dan beribadah kepada Allah. Dia juga keberatan untuk muncul dalam program televisyen kecuali yang boleh memberi kebaikan kepadanya dan juga penonton.

Sejak 12 tahun lalu, dia juga melalui perubahan fasa kehidupan yang amat ketara. Lebih selesa berjubah dan bertudung jauh daripada perhatian masyarakat. Jika dulu hidup dan pakaiannya penuh warna-warni tetapi sekarang hanya jubah hitam membalut diri.

Sungguhpun tidak lagi berada dalam arus perdana dunia seni, Noor Kumalasari, 52, masih semesra dulu.

Noor Kumalasari adalah refleksi ibu dan kakaknya, Datin Umi Kalsom serta Anita Sawarak. Dia mewarisi perwatakan mereka berdua. Suara dan keramahannya berkongsi kisah hidupnya saling tidak tumpah seperti Anita Sarawak. Apabila mula berbual tiada titik henti.

“Saya sekarang menjadi pengurus rumah tangga, menjaga anak dan suami serta beribadah kepada Allah. Tambahan kini suami (Wan Mohd Yusof, 57) sudah bersara. Selepas hantar anak ke sekolah, kami berenang dan menghadiri kuliah di surau atau di masjid berhampiran rumah.

“Berbanding dulu, kehidupan saya sekarang sangat relaks dan bahagia. Ketika glamor dulu hati tidak tenteram memikirkan banyak perkara. Persembahan berjaya dan peminat gembira tetapi saya masih terasa ada kekurangan dan pantas berfikir apa yang perlu dibuat dan ditambah pada persembahan berikutnya. Sehingga jam 4, 5 pagi saya tidak boleh tidur.

“Sekarang saya berasa lebih tenang. Tetapi saya tidak pernah menyesal dengan apa yang dilalui pada zaman muda kerana Allah Maha Mengetahui. Meskipun dulu saya jarang solat tetapi saya selalu berdoa kepada Allah mengurniakan kebaikan kepada saya.

“Saya bersyukur teramat sangat kerana Allah panjangkan usia saya dan sempat bertaubat,” katanya ketika ditemui pada pelancaran program baru Astro, baru-baru ini.

Sudah lama tidak melihat Noor Kumalasari muncul di kaca televisyen. Bagaimanapun kerinduan itu pasti terubat apabila dia sudi muncul dalam program Cerita Artis Malaysia (CAM) terbitan FM Production untuk siaran Astro.

“Memang ada tawaran tetapi saya pilih program yang saya suka dan berkaitan remaja hari ini. Saya bukan ustazah untuk memberi ceramah tetapi saya mahu menyeru ke arah kebaikan dengan cara lebih santai.

“Untuk CAM, saya izinkan gambar saya masa aktif di bidang modeling, berlakon dan menyanyi disiarkan untuk memberi kesedaran kepada penonton remaja. Saya mahu mereka segera insaf kerana saya sendiri agak lambat menginsafi diri.

“Allah itu sentiasa mendengar. Untuk berbuat kebaikan pun mesti minta dengan Allah. Sekarang apabila pergi ke pusat beli-belah dengan suami, tiba waktu solat saya lihat surau di sana dipenuhi remaja. Ada berseluat sendat tetapi kepala bertudung dan tidak meninggalkan solat.

“Sebab itu saya tidak suka menilai orang daripada cara dia berpakaian. Saya sekarang tidak minat langsung berlakon. Drama pun saya tidak tengok. Saya sudah puas. Walaupun tidak pernah menang anugerah tetapi selama 20 tahun dalam industri, saya merasai segalanya,” katanya.

Menyentuh perubahan diri, kata Noorkumalasari, ramai beranggapan termasuk keluarganya sendiri dia berubah kerana kemahuan suami.

“Saya yang ingin berubah. Selepas berpisah dengan suami pertama, Roslan Onn (meninggal dunia empat tahun lalu), saya berdoa minta dipertemukan lelaki beriman yang boleh menunjukkan saya ke jalan Allah. Saya ingin menjadi isteri solehah dan ibu penyayang terhadap anak-anak.

“Allamdulillah, Allah makbulkan doa saya. Selepas berkahwin saya dan suami menunaikan umrah dan mengerjakan haji. Tetapi sekembalinya daripada Tanah Suci, saya belum bertudung. Selepas lapan bulan bergelar hajah barulah saya bertudung.

“Sebelum itu suami tanya juga bila hendak bertudung tetapi biarlah saya melakukannya dengan rela kerana Allah dan bukan atas desakan sesiapa.

“Sekarang ada juga yang minta saya berceramah di masjid tetapi saya tidak mahu kerana takut takbur,” katanya yang sedang mendalami al-Quran.

Menerusi dua perkahwinan, Noor Kumalasari dikurniakan empat cahaya mata, Abdul Qayyum, 25, Wan Amir, 16, Wan Amni, 16 dan Wan Irfan.

Selain Noor Kumalasari, program 13 episod itu juga memaparkan kisah hidup Awie, Amy Search, Aznil Nawawi, Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dan Datuk Siti Nurhaliza.

CAM akan mula bersiaran di Astro Ria, 7 April ini, jam 6.30 petang. Ia mengisahkan kisah benar di sebalik dunia glamor industri hiburan tempatan. CAM juga menerokai kisah hitam putih dan jatuh bangun seseorang artis dipilih supaya peminat dapat mengenali mereka dalam ruang lingkup yang lebih luas.

Majlis itu turut melancarkan Mistik 2 yang dihoskan Khalid Salleh. Program itu mendedahkan kepada penonton mengenai jenis dan kaedah perubatan Islam dan alternatif pada era moden ini. Ia juga memberikan panduan mencari orang hilang dan memulihkan mereka yang terkena histeria.

Program 52 episod itu disiarkan pada 6 April, jam 7.30 malam di Astro Prima.

FM Production juga tidak mengabaikan kisah kemasyarakatan yang bakal dipaparkan dalam Citra Manusia. Program itu dihoskan Jalil Hamid.

Ia akan disiarkan di Astro Prima, bermula 24 April ini, jam 9 malam.

Antara yang hadir pada majlis pelancaran itu, Ogy, Jalil Hamid, Khalid, Pengurus Saluran Astro Prima, Khairul Anwar Salleh, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul dan Ketua Kandungan FM Production, Shahril A Kadir.

Powered by Harian Metro

Cerita Hidup Noorkumalasari

1 Apr

Ikrar wanita bertudung hitam ini, dia sudah bersara dari dunia seni, lakonan mahupun nyanyian. Hari berganti hari, tahun berganti tahun, diam tidak diam, rupa-rupanya sudah 12 tahun wanita yang pernah berselimut kemilau popular ini meninggalkan dunia glamor.

Seluruh hidupnya, hanyalah untuk keluarga dan mendambakan diri mencari dan mengutip keredhaan Ilahi.

Itulah kehidupan yang sedang dilalui oleh nama yang pernah mekar harum di laman hiburan tanah air, Noorkumalasari, satu nama yang pernah menjadi sebutan, dalam bidang peragaan, nyanyian mahupun lakonan.

Dia yang juga anak seniman dan seniwati ternama, Allahyarham Datuk S. Roomai Noor dan Datin Umi Kalthom ini juga mengakui, bukan setakat tidak lagi bergiat dalam bidang seni, menonton drama-drama dan program TV berbentuk keagamaan juga sudah lama tidak menjadi agendanya.

“Hidup saya semakin tenang. Entahlah, minat saya terhadap seni sudah lama mati. Dulu, ada juga terlintas di hati saya untuk berlakon filem atau drama bercorak keagamaan, tetapi memikirkan jadual penggambaran dan masa yang terlalu lama di lokasi, saya tidak sanggup,” jelas Noorkumalari membahasakan dirinya Kak Noor dengan ramah ketika ditemui pada majlis pelancaran tiga program terbaru Astro di ibu negara, Selasa lalu.

Noorkumalasari turut terlibat dalam program berjudul Cerita Artis Malaysia (CAM) yang akan disiarkan di Astro Ria, 7 April depan. Selain Noor, anak seni lain yang turut menjadi pengisi program ini adalah Fauziah Ahmad Daud, Aznil Nawawi, Awie, Amy Search dan Datuk Siti Nurhaliza.

Memeranjatkan, Noorkumalasari yang sering menolak untuk muncul dalam program-program hiburan seperti ini, buat pertama kalinya akan mendedahkan kisah keluarganya di layar kaca.

“Saya bersetuju untuk terlibat dengan CAM kerana pada tafsiran saya program ini boleh memberikan satu tauladan kepada semua. Peminat boleh mengenali siapa Noorkumalasari dengan lebih dekat,” kata wanita berusia 52 tahun ini penuh ramah.

Realistik dan sedar siapa dirinya sebelum ini, Noor memberitahu semua supaya jangan terkejut sekiranya menerusi program itu nanti, penonton akan disajikan dengan gambar-gambar seksi yang pernah dirakam ketika dia di ambang popular dahulu.

“Saya sendiri mengizinkan pihak penerbit menyelitkan gambar-gambar lama saya. Alasannya, saya mahu penonton khususnya remaja sekarang mengenali saya, siapa saya dahulu dan siapa saya ketika ini.

“Saya anggap itu sebagai dakwah. Saya tidak pernah menyesal dengan dunia dahulu bahkan bersyukur kerana Tuhan tidak mencabut nyawa saya dan memberikan peluang untuk saya meneruskan hidup dengan cara begini hari ini,” jelas Noor optimis.

Bahagia dengan corak hidupnya, kata Noor, dia dan suaminya, Wan Muhammad Yusuf, 57, kini semakin menikmati kemanisan hidup sebagai pasangan suami isteri.

“Suami saya sudah bersara, anak-anak pula sudah besar. Jadi, selepas menghantar mereka ke sekolah, masa yang terluang adalah untuk kami. Kami boleh beriadah, pergi berenang, beribadah dan banyak menghabiskan masa bersama,” luah Noorkumalasari dalam nada ceria. – TENGKU SUZANA RAJA HAMAT

Powered by Kosmo

Gaya Muslimah Selebriti Wanita

5 Mar

Tidak ramai selebriti tempatan yang sanggup bergaya dengan selendang atau tudung kekal. Hanya segelintir saja yang sudah bersedia untuk memilih imej berselendang atau tudung sepenuhnya seperti Waheeda, Wardina, Noorkumalasari, Rahimah Rahim, Sheila Rusly, Sheila Lama, Bienda dan Heliza AF5.

Walau bagaimanapun, peminat dunia hiburan masih lagi berpeluang melihat artis wanita popular masa kini bertudung atau berselendang tatakala hadir di majlis yang berunsurkan keagamaan seperti majlis kesyukuran, berbuka puasa atau menziarahi kematian.

Paling menjadi isu apabila Datuk Siti Nurhaliza pulang dari Tanah Suci Makkah dan dilihat mengenakan fesyen bertudung yang ‘tidak sepertinya’. Ia sudah menjadi topik perbualan yang agak sensitif tetapi Siti pastinya tidak dapat menutup mulut masyarakat daripada mengkritik dirinya atau memberi komen termasuklah di portal murai.com.my sendiri.

Bagi rakan artis lain, kamera jurufoto tentunya tidak terlepas merakamkan kelainan imej mereka untuk tatapan peminat. Yang pasti, artis wanita kita akan nampak lebih sopan dan manis apabila bertudung, berselendang ataupun mengenakan skaf.

Tidak ketinggalan ada yang masih kekok bergaya walaupun sebenarnya berpengalaman memakai tudung ketika zaman persekolahan dulu.

Ikutilah antara wajah-wajah artis popular yang bergaya dalam fesyen sopan berselendang dan bertudung.


Murai