Archive | Noraniza Idris RSS feed for this section

Dengarnya… Ameng Muncul Dengan Album Solo

27 Apr

Oleh Normah Becok

Ameng

LAMA juga Cik Normah tidak mendengar berita mengenai bekas vokalis kumpulan Spring, Ameng. Yalah, Cik Normah ini menikmati usia remaja pada ketika kumpulan itu meletup-letup di arena muzik tanah air. Kiranya, Cik Normah hafal hampir semua lagu popular mereka seperti Sampai Hati, Sejujur Mana Kata-Kata, Sejiwa, Bourgeinvilla dan banyak lagi.

Kumpulan itu sendiri pun sudah berusia dua dekad. Mereka sudah menjadi sebahagian daripada khazanah berharga dalam industri muzik negara. Jika tidak silap Cik Normah, kira-kira tujuh atau lapan album studio sempat dihasilkan kumpulan berkenaan.

Baru-baru ini, seorang teman Cik Normah yang semakin cantik khabarnya bertemu secara tidak sengaja dengan Ameng. Teman Cik Normah yang boleh tahan ‘gediknya’ itu pun mulalah buat PR apabila bersua muka dengan lelaki ini. Maklumlah, dia pun peminat setia Ameng.

Katanya, Ameng kini sedang menghasilkan album solo bersama syarikat rakaman FMC. Wah gitu! jadi, buat peminat penyanyi ini, mereka kenalah sabar sikit menunggu hasil terbaru daripada vokalis bersuara romantis ini. Khabarnya, album itu akan berada di pasaran sebelum penghujung tahun ini.

Nampaknya, FMC giat benar memperjuangkan nasib penyanyi ‘veteran’ yang mencipta nama sekitar 80-an. Selepas bekerjasama dengan Ramlah Ram, yang akan tampil dengan album solo terbaru pada Mei ini, kini mereka menghasilkan pula album Ameng.

Jay Jay juga sudah muncul dengan album solo, keluaran syarikat sama. Khabarnya, Noraniza Idris pun turut bekerjasama dengan FMC untuk penghasilan terbarunya. Kira-kiranya, meriah jugalah industri muzik kita hari ini dengan penampilan semula orang-orang lama yang bukan sebarangan bakatnya.

Berita Harian

Pakaian Sesuai Ke Pejabat

26 Apr

Rekaan ‘tailored sut’ dengan pesak, lengan potongan jadikan wanita tubuh biasa tampak menarik

SoalanSaya berusia 27 tahun, mempunyai ketinggian 163 sentimeter dengan berat sekitar 70-80 kilogram dan telah berkahwin. Untuk pengetahuan saudara, saya seorang wanita bekerjaya yang mengenakan tudung dan sering memakai baju kurung ketika ke pejabat.

Bagaimanapun, disebabkan diri yang tidak pandai berfesyen menyebabkan saya sering disindir. Saya suka mengenakan blaus tapi tidak tahu memilih gaya sesuai.

Azah, melalui emel.

Jawapan:
Memilih pakaian yang sesuai dengan bentuk tubuh sememangnya bukan tugas mudah. Adakalanya pilihan pakaian yang kita rasakan cantik boleh membuatkan kekurangan tubuh kelihatan lebih ketara.

Justeru, kebijaksanaan memilih gaya sepadan bentuk badan, usia dan tempat yang dituju paling utama.


Kazsman

Saudari, perkara pertama yang perlu dikenal pasti adalah ciri tubuh saudari. Berdasarkan ciri diberitahu, saya dapati saudari seorang wanita yang mempunyai ketinggian normal tapi bertubuh agak besar dan lebar.

Jadi, gaya ke pejabat yang disarankan untuk wanita yang memiliki tubuh normal dan lebar adalah rekaan ‘tailored sut’.

Perhatikan lakaran yang dihasilkan, teliti setiap perincian jahitan yang dibuat pada sut dan kain. Ia bukan sekadar hiasan tapi mampu memanipulasi kekurangan tubuh saudari supaya kelihatan tidak terlalu gempal.

Jangan lupa, peranan ‘princess cut’ atau pesak pada sisi baju bertujuan untuk menampakkan potongan baju yang kemas dan terletak pada badan.

Untuk kelainan, saya sarankan anda mencuba rekaan sut dengan penggunaan lengan potongan ‘ledge of mutton’ bersama butang pada ‘cuff’ yang dibuat agak lebar (5 hingga 7 inci).

Selain menampakkan ciri feminin, penggunaan cuff memudahkan pergerakan anda semasa sedang bekerja.

Padankan sut berkenaan bersama kain yang dipotong enam. Pastikan kain berkenaan menampakkan susuk tubuh anda tapi elakkan potongan baju dan kain yang terlalu ketat atau terlalu longgar.

Selain ‘tailored sut’, gaya lain yang boleh anda gayakan ketika ke pejabat adalah potongan baju yang berpinggang misalnya baju kurung moden, kurung pesak gantung. Elakkan memilih baju kurung biasa kerana ia boleh membuatkan gaya anda kelihatan selekeh dan gempal.

Tip: Memilih jaket sesuai wanita bertubuh gempal

Pilih potongan jaket yang agak longgar (semi fitted), labuhnya di atas pinggul supaya kesan montok di bahagian pinggul dapat dilindungi.

Pilih jaket rekaan sederet kancing di bahagian depan baju.

Pilih kancing yang depannya berada tepat di bawah garis dada.

Princess cut atau empire waist pada sisi pinggang mampu menciptakan efek tubuh yang lebih ramping.

Pilih material yang bertekstur rata dan jatuhnya tidak kaku. Misalnya sutera shantung.

Profil: KazsmanUsia: 40 tahunAsal: Ipoh, Perak.Pencapaian : Pemenang tempat kedua Piala Jarum Berlian 1999, tempat ketiga Pesona Pengantin 2000 dan peserta akhir Piala Seri Endon 2004.Antara selebriti yang pernah menggayakan rekaan Kazsman adalah Noraniza Idris, Siti Nurdiana dan Syura.Hubungi 03-90187697 atau kunjungi premis perniagaannya di Lot 177, Tingkat 1, Kompleks DBKL (Pasar Sungai Besi), Pekan Sungai Besi Kuala Lumpur untuk sebarang pertanyaan.

Berita Harian

Hebatnya Beca Pok Loh

13 Apr

Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
haradianshah.hamdan@kosmo.com.my

Apakah yang membuatkan beca seberat lebih 100 kilogram dan sarat dengan pelbagai hiasan itu cukup istimewa?


PENUMPANG yang menaiki beca Pok Loh, mengisi masanya dengan berkaraoke sambil bersiar-siar di bandar Kuala Terengganu, Terengganu.

DENGAN tambahan aksesori dan pelbagai peralatan seberat lebih 100 kilogram pada beca miliknya, Abdullah Muhamad, 53, pernah dianggap tidak waras.

Beca yang dibeli sekitar tahun 70-an itu sudah tidak kelihatan seperti beca-beca lain yang beroperasi di bandar Kuala Terengganu.

Kombinasi warna kuning dan merah menjadikan beca itu kelihatan garang. Malah, ia satu-satunya beca yang seolah-olah seperti sedang menyertai perarakan kenderaan berhias kerana sarat dengan bunga plastik.

Beca itu umpama sebuah rumah kecil bergerak. Kenderaan penumpang tiga roda itu juga dilengkapi pemain video cakera padat, set karaoke, sistem pembesar suara, televisyen kecil dan kipas angin.

Kesemua peralatan tersebut dipasang untuk kemudahan penumpang dan berfungsi dengan kuasa daripada dua biji bateri.

Tempat duduk penumpang juga mengalami pengubahsuaian apabila dilapik dengan kain songket, manakala payung pengantin dan puluhan lampu kecil berwarna-warni turut dipasang pada beca.

Becanya juga unik kerana mampu mengeluarkan lima jenis bunyi haiwan melalui hon seperti ayam, kambing, lembu, anjing dan kuda.

Keistimewaannya tidak hanya pada aksesori berharga lebih RM2,000, tetapi juga mereka yang pernah menggunakan khidmat becanya.


HIASAN yang bercorak kenegerian pada beca Pok Loh.

Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Pok Loh memberitahu, becanya pernah dinaiki oleh beberapa pembesar dan selebriti tanah air.

Antaranya termasuklah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo.

Di kalangan selebriti popular pula termasuklah Noraniza Idris, Mustafa Kamal, A.R Badul, Azean Irdawaty dan Azwan Ali.

Sebagai tanda pengesahan bahawa tokoh kenamaan terbabit pernah menaiki beca tersebut, nama mereka dicetak di bahagian depan beca.

Walaupun ada kesilapan ejaan pada beberapa orang nama pemimpin, namun Pok Loh tidak kisah asalkan orang tahu penumpang yang dimaksudkannya.

“Semua hiasan ini saya buat sendiri sejak lebih setahun lalu. Saya buat sikit-sikit bila dapat idea. Adakalanya saya menghias beca sampai pukul 3 pagi,” kata bapa kepada empat anak itu hasil perkahwinannya dengan Sharifah Pakwe, 37.

Mencari rezeki dengan mengayuh beca di sekitar pusat bandar Kuala Terengganu, Pok Loh mengakui ada di kalangan rakan-rakannya menganggap dirinya ‘gila’.

Menurut Pok Loh, hiasan luar biasa tersebut membawa ‘rezeki tambahan’ kerana ramai penumpang terutama pelancong asing lebih berminat menaiki becanya.


KOTAN klasik yang terdapat pada beca ini digunakan oleh Pok Loh untuk menyimpan barangan peribadinya.

“Kadang-kadang pelancong hanya bergambar di depan beca dan kemudiannya hulur duit tanda penghargaan kepada saya,” kata anak kelahiran Kampung Tanjung Kapor, Kuala Terengganu itu.

Menceritakan sejarah becanya Pok Loh memberitahu, dia membeli kenderaan itu selepas kecewa dengan sikap beberapa pengayuh beca yang memilih penumpang, enggan membawa sayur dan ikan yang dibelinya.

Beca tersebut dibeli pada harga RM230 dengan berat asalnya adalah 100 kilogram. Bagaimanapun, beratnya meningkat sekali ganda selepas ditambah aksesori.

Menurut Pok Loh, becanya dipasang alat power booster ciptaan pereka tempatan, Zulkifli Harun. Dengan alat tersebut, becanya mempunyai keupayaan kuasa tujahan semasa mendaki kawasan berbukit dan ketika mahu memulakan perjalanan.

Walaupun dikenali sebagai beca VIP, ia bukan tiket untuk Pok Loh mengenakan tambang mahal kepada penumpangnya.

“Biasanya saya tak pernah tetapkan bayaran tambang sebaliknya saya serahkan kepada budi bicara penumpang,” jelasnya yang keluar mencari rezeki dari pukul 10 pagi hingga 7 malam setiap hari.

Bagaimanapun, untuk perjalanan di sekitar pusat bandar Kuala Terengganu, tambang yang dikenakan antara RM5 hingga RM20.

“Cuma untuk perkhidmatan bersiar-siar selama sejam, saya kenakan bayaran sebanyak RM30,” katanya yang mendapat antara 10 hingga 20 penumpang setiap hari.

Kosmo

Hari Peringatan Antidadah Negeri Sembilan Meriah

23 Mar


ORANG RAMAI mendengar taklimat aktivis Agensi Antidadah Kebangsaan, Maizan Mahmud di Rembau, Negeri Sembilan semalam.

MERIAH. Lebih 200 orang mengunjungi program Hari Peringatan Antidadah Kebangsaan peringkat Negeri Sembilan 2009 di Dewan Hadhari, Juaseh, Kuala Pilah semalam.

Program bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang itu, bertujuan mempromosikan masyarakat bebas dadah, memerangi dan mendidik mengenai kesan buruk bahaya dadah.

Pelbagai aktiviti menarik diatur menarik minat masyarakat termasuk gerai pameran, sesi Bicara Motivasi oleh Timbalan Mufti, Zaidi Ramli serta persembahan artis seperti Hattan, Ebby Yus dan Noraniza Idris.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail yang merasmikan program tersebut berkata, kerajaan negeri memandang serius terhadap segala permasalahan berkaitan dadah.

“Tanggungjawab memerangi dadah bukan hanya terletak di bahu Agensi Antidadah Kebangsaan serta pemimpin masyarakat sahaja sebaliknya, setiap anggota masyarakat perlu memberi sokongan,” katanya.

Kosmo

Sejarah 'Mimpi Ngeri'

1 Mar

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Roslin Hashim, 34, yang mencetuskan kontroversi apabila bergelar suami hanya 12 hari, sebenarnya tidak ‘bersendirian’ kerana beberapa individu terkenal sepertinya turut pernah mencetuskan kontroversi sama.

Sejarah lampau menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh artis tanah air pernah berdepan ‘mimpi ngeri’ melayari bahtera rumah tangga dalam tempoh singkat, biarpun tidak sesingkat Roslin.

Kisah tujuh artis itu pernah dilaporkan sehingga menjadi bualan hangat. Ia membabitkan pengarah dan pelakon, Aziz M Osman, 47, dengan pasangannya Nor Radhiah Ramli, 23; pelakon, A Aida, 35, dan Mat Azuria Mat Ya, 25, penyanyi, Noraniza Idris, 41; dengan pasangannya yang tidak didedahkan sehingga hari ini serta model dan pelakon, Natasha Liana Hudson, 25, dengan Mohd Faiz Datuk Mohd Raih, 27.

Artis lain ialah penyanyi, Farah Asyikin Zulkifli, 30, dan Dr Fariz Yahya, 30; pelakon, Mohd Aszerul Nizam Abdullah (Beego), 28, dengan Intan Shahira Mohd Shahru dan pelakon, Shahriza Mahmud dengan Ahmad Afandi Abu Bakar.

Usia perkahwinan Aziz dengan Nor Radhiah hanya bertahan enam bulan apabila pada 8 Februari lalu Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu memutuskan pernikahan mereka pada 16 Ogos tahun lalu tidak sah dan mengarahkan pasangan itu berfaraq (berpisah) mulai semalam.

Ketua Hakim Syarie, Datuk Ismail Yahya, berkata mahkamah juga memutuskan persetubuhan sepanjang akad nikah antara pemohon (Nor Radhiah) yang memfail permohonan pengesahan perkahwinan dengan Aziz (responden) adalah persetubuhan syubhah yang mewajibkan Nor Radhiah beredah tiga kali suci dan tidak boleh berkahwin dengan sesiapa dalam tempoh itu.

Katanya, perkahwinan itu diputuskan tidak sah kerana ketika berkahwin dengan responden pada 16 Ogos 2008, Nor Radhiah belum tamat edah bagi perkahwinan pertamanya dengan Engku Ahmad Hisham Engku Abdullah.

Berdasarkan kenyataan Nor Radhiah, dia hanya sempat bersama Aziz selama tiga bulan. Ini kerana selepas menyambut 1 Syawal (1 Oktober 2008) bersama Aziz di Kuala Lumpur sebelum pulang ke kampung pada hari raya kedua, dia tidak lagi bertemu suaminya.

Bagi A Aida yang pernah berkahwin dengan penyanyi kumpulan Spring, Ameng, perkahwinan kali keduanya dengan jejaka berusia 10 tahun lebih muda hanya bertahan kira-kira tujuh bulan selepas bernikah pada November 2005.

Bagaimanapun, Aida kini bahagia dengan suami barunya dan kini menjadi penerbit drama televisyen.

Noraniza pula hanya memaklumkan, perkahwinan keduanya yang membabitkan kehidupan bermadu dengan ahli perniagaan bergelar Datuk bertahan tidak sampai setahun.

Natasha yang kini bergelar Datin selepas berkahwin dengan usahawan dan ahli politik, Datuk Shahrin Zahari, 27, berpisah dengan bekas suaminya, Mohd Faiz selepas lima bulan bersama. Natasha kini bahagia bersama Shahrin dan seorang anak, Nessa Helena, lima bulan.

Bagi Farah yang berkahwin dengan Dr Fariz pada 12 Mei 2007, rumah tangga mereka hanya berkekalan kira-kira setahun dua minggu sebelum berpisah.

Beego pula pernah membuat kenyataan di mahkamah hanya mampu bergelar suami selama 10 hari. Kisah Beego dan Intan Shahira hangat diperkatakan dan kini menanti 16 Mac ini untuk keputusan sama ada Intan Shahira bersetuju dengan tawaran Beego yang mahu menyelesaikan kes mereka di luar mahkamah.

Sementara itu, Shahriza yang berkahwin dengan Ahmad Afandi yang juga pelakon pada 18 Ogos 1996 hanya sempat bersama sebagai suami isteri selama dua bulan kerana selepas tempoh berkenaan, suaminya menghilangkan diri.

Bagaimanapun, menurut Shahriza, dia umpama bergelar isteri selama sehari kerana selepas dinikahkan, masing-masing tidak dapat bersama kerana menjalani penggambaran di tempat berasingan.

Hanya sebulan selepas itu, mereka bersama untuk bersanding dan selepas itu dia mendakwa digantung tidak bertali sehingga tempoh empat tahun empat bulan.

Harian Metro

1,436 Sertai Uji Bakat

20 Feb

Rap
WALAUPUN sekarang ini diperkenalkan berbagai pertandingan pencarian bakat nyanyian seperti Akademi Fantasia, One In A Million (OIAM) dan My Starz LG, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tetap berbangga dengan Bintang RTM yang masih bertahan lebih 30 tahun.

Kejayaan penganjuran berterusan untuk tempoh begitu lama membuktikan Bintang RTM menjadi medan terbaik mencungkil bakat baru dalam bidang seni suara tanah air.

Apatah lagi dengan kejayaannya melahirkan nama-nama besar dalam industri seni hiburan. Antaranya Allahyarham Sudirman, Yunizar Hussein, Jamal Abdillah, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Ramlah Ram dan Noraniza Idris.

Bagi generasi baru pula, nama Azharina, Misha Omar, Sarah Raissudin, Farawahida, Sharifah Zarina, Ameer Sofaz dan Izwan Pilus juga dicungkil melalui pertandingan ini selain bakat baru yang kini mencari tapak dalam dunia seni, Rina Azhar, Felis, Rey, Aeyaja Shada, Najib Hamzah, Muhaizam Ahmad, Shahir, Han dan Amin.

Pengawal Hiburan TV, RTM, Jack Nadarajah berkata, nama Bintang RTM mula digunakan pada 1973 menerusi Peringkat Akhir Bintang RTM yang pertama disiarkan pada 26 Februari 1974 sebelum dijadikan acara tahunan RTM sehingga tahun 1986.

Katanya, tahun ini Bintang RTM kembali dengan menampilkan lebih ramai bakat baru. Sesi uji bakat pertandingan nyanyian solo menarik jumlah penyertaan yang cukup baik apabila 1,436 orang tampil mencuba nasib. Daripada jumlah itu, hanya 565 penyertaan layak dinilai ke peringkat seterusnya.

“Antara lokasi sesi uji bakat ialah di Kuching dan Miri di Sarawak, Kota Kinabalu dan Sandakan di Sabah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Terengganu.

“Pastinya sambutan baik dan paling meriah ialah di Angkasapuri, Kuala Lumpur menerusi uji bakat selama dua hari pada 7 dan 8 Februari. Daripada 565 orang yang hadir, 261 penyertaan menunjukkan bakat vokal tersendiri yang mampu digilap melayakkan diri ke peringkat seterusnya,” katanya.

Tambah Jack, pemilihan peserta berdasarkan kualiti bakat sememangnya menjadi faktor utama dipertimbangkan kerana ia mampu bertahan lama berbanding faktor lain seseorang penyanyi.

“Dari sudut lain, sesi pemilihan peserta pertandingan ini mengetengahkan juri terdiri daripada komposer terkenal yang dipilih Pengarah Muzik Rentak 50 RTM mengikut lokasi dipilih.

“Paling dititikberatkan ialah penjurian Bintang RTM yang mengutamakan bakat peserta yang dipilih tanpa menimbulkan pemilihan berdasarkan bangsa, jantina dan sebagainya.

“Proses pemilihan bermula dengan uji bakat sebelum diteruskan dengan pemilihan menerusi tontonan semula rakaman oleh juri yang terpilih menerusi penjurian kedua. Pada peringkat ini, 565 penyertaan yang layak dinilai pada peringkat uji bakat akan melalui sesi penjurian oleh juri profesional empat hari berturut-turut untuk memilih 30 peserta yang benar-benar layak untuk memasuki program siaran langsungnya di TV.

“Sesi penjurian kedua diadakan di Theatrette, Wisma TV, Angkasapuri pada 16 hingga 19 Februari. Antara kelainan yang cuba ditonjolkan dan dijanjikan Bintang RTM yang akan memulakan siarannya pada 5 April ini ialah sesi orientasi membabitkan kelas vokal dan tarian bermula 20 hingga 22 Mac sebelum majlis sidang media memperkenalkan mereka pada 23 Mac.

“Pertandingan Akhir Bintang RTM pula akan dilangsungkan pada 21 Jun nanti,” katanya.

Harian Metro

Penghargaan Negara

17 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Sumbangan karyawan filem, teater, muzik dan seni tari diberi pengiktirafan oleh kerajaan dalam Anugerah Seniman Negara ke-8, esok

KETOKOHAN Tan Sri Jins Shamsudin dalam membangunkan industri perfileman negara diiktiraf apabila namanya diumumkan sebagai penerima Anugerah Seniman Negara ke-8 yang akan berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, 18 Februari ini.

Diperkenalkan sejak 13 Januari 1993, seramai tujuh tokoh dinobatkan sebagai Seniman Negara iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan kerajaan kepada penggiat, karyawan dan seniman yang mempamerkan ketokohan dan sumbangan cemerlang dalam membantu perkembangan seni tanah air.

Anugerah Seniman Negara juga menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) untuk menggalakkan usaha cemerlang karyawan seni dan majlis gemilang itu bakal disempurnakan Yang di-Pertuan Agong.

Gelaran tertinggi yang diterima pengarah dan pelakon yang membintangi lebih 40 filem sejak mula menceburkan diri dalam bidang seni pada 1956 itu melayakkannya menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 dan trofi.

Selain itu, pemilik nama sebenar Mohamed Zain Shamsuddin yang turut mengarah empat filem termasuk Menanti Hari Esok dan Esok Masih Ada itu turut menerima sepasang persalinan lengkap baju Melayu, kemudahan perubatan kelas satu di hospital kerajaan selain menjadi pengkarya, pencipta tamu kehormat serta wakil KPKKW di seminar atau forum peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Penganugerahan untuk enam seni budaya

Penganugerahan untuk Anugerah Seniman Negara dibahagikan kepada enam bidang seni budaya iaitu muzik, tari, teater, visual dan filem itu turut mengiktiraf 36 penerima lain dalam setiap cabang yang diceburi.

Ia merangkumi 16 penerima untuk Anugerah Karyawan Seni iaitu empat penerima untuk Kategori Pencipta, Penggubah, Pengarah dan Pemuzik, manakala dua anugerah lagi diberikan kepada Karyawan Seni Tari iaitu koroegrafer dan penari.

Anugerah Seniman Negara juga mengiktiraf penggiat seni teater dengan menyediakan lima anugerah kepada Penulis Skrip, Pengarah, Pelakon, Pereka Set dan Penata Cahaya.

Dua lagi anugerah dikhususkan kepada karyawan seni visual selain tiga anugerah untuk karyawan seni filem membabitkan pengarah, penulis cerita asal dan pelakon.

Sumbangan bakat muda dalam membangunkan industri hiburan tidak dipinggirkan apabila Anugerah Seniman Negara Ke-8 turut mengangkat nama yang berpotensi sebagai pewaris kecemerlangan penggiat seni tempatan.

Menerusi Anugerah Bakat Muda yang menyediakan 15 trofi, empat daripadanya bakal diserahkan kepada penggiat seni muzik manakala lima trofi lagi diberikan kepada penggiat seni teater.

Kategori Seni Tari, Seni Visual dan Seni Filem masing-masing diperuntukkan dengan dua trofi tambahan manakala lima trofi lain dikhususkan kepada pendukung seni merangkumi sektor media/wartawan, badan bukan kerajaan, sektor awam/badan berkanun, swasta dan individu.

Pengiktirafan tokoh muzik tradisional Sarawak

Anugerah Seni Muzik diberikan kepada penggiat yang aktif serta terus memberikan sumbangan dalam mencipta, menggubah serta memimpin kumpulan muzik selain menunjukkan kewibawaan dalam bidang itu.

Anugerah Seniman Negara ke-8 mengiktiraf tokoh muzik tradisional Sarawak, Narawi Rashidi atau Narawi CD sebagai penerima trofi Pencipta Muzik. Memulakan langkah dalam bidang muzik secara aktif pada 1979, Narawi mengembangkan bakat dan kebolehannya dengan mengembara ke Brunei, Singapura, Indonesia, Jepun, Jerman, Thailand dan Australia.

Sumbangan besarnya dalam bidang muzik juga menganugerahkan pencipta lagu Tandang Bermadah nyanyian Noraniza Idris ini sebagai Tokoh Belia Sarawak pada 1996.

Trofi Penggubah Muzik pula menjadi milik pengasas Inner Space Performing Arts, Kumaresan Karthigesu manakala Omar Taib dianugerahkan trofi Pengarah Muzik.

Anak kelahiran Johor Bahru itu memulakan kerjaya seninya pada usia 13 tahun dan kini meneruskan khidmatnya bersama Yayasan Warisan Johor.

Pernah mencipta lebih 100 lagu antaranya dinyanyikan Jay Jay, Datuk D J Dave, Sudirman Haji Arshad, Adam Hamid, Aman Shah dan Azlina Aziz, Omar juga bertanggungjawab menggubah dan menyusun lagu untuk pementasan seperti muzikal Datuk Onn, Balada Sang Adi Putra, Salam Patriot dan Balada Bahtera Merdeka.

Ibrahim Senik atau Pak Him yang sinonim dengan permainan muzik tradisional terutama serunai menerima trofi bagi kategori pemuzik.

Shuhaimi Baba penerima Anugerah Karyawan Seni Filem

Kategori Filem menobatkan Datin Paduka Shuhaimi Baba sebagai penerima Anugerah Karyawan Seni Filem (Pengarah Filem) atas kecemerlangan serta sumbangannya dalam membangunkan industri perfileman negara.

Turut meraih pengiktirafan ialah Aziz M Osman yang memenangi kategori Penulis Cerita Asal manakala pelakon popular, Rosyam Nor pula menerima trofi untuk kategori Pelakon.

Pengalaman panjang lebih dua dekad dalam industri perfileman memberanikan anak kelahiran Kuala Lumpur berusia 41 tahun itu untuk menubuhkan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd sejak 12 tahun lalu.

Mereka dipilih kerana terus memberikan sumbangan malah sentiasa menunjukkan persembahan cemerlang selain membuktikan kewibawaan dalam bidang perfileman.

Sumbangan Fauziah Nawi dihargai

Kategori teater pula mengangkat anak seni serba boleh, Fauziah Nawi sebagai penerima trofi Pengarah, manakala Datuk Jalaludin Hassan pula diumumkan sebagai pemenang untuk kategori Pelakon.

Tiga anugerah lain yang dikhususkan kepada penggiat teater diberikan kepada Zakaria Ariffin untuk anugerah penulis skrip, Benjamin Tan (Pereka Set) dan Azizul Zahid Jamil (Penata Cahaya). Setiap pemenang masing-masing menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan dan trofi.

Anugerah Seniman Negara turut memberi pengiktirafan kepada bakat muda apabila mengangkat nama berpotensi yang membangunkan industri hiburan menerusi hasil kerja mereka.

Penerimanya ialah Osman Ali bagi Pengarah Filem manakala Farid Kamil Zahari pula menerima bagi kategori Pelakon.

Penerima bagi Anugerah Bakat Muda masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi, sijil penghargaan dan program latihan jangka pendek di bawah Skim Latihan Penggiat Seni.

Senarai Penerima Anugerah Seni Negara Ke-8:

Seniman Negara: Tan Sri Jins Shamsudin

Anugerah Karyawan Seni:

Muzik:

Pencipta: Narawi Rashidi

Penggubah: Kumar Kathigesu

Pengarah: Omar Taib

Pemuzik: Ibrahim Senik

Tari:

Koreografer: Datin Sharifah Mahani Syed Kassim

Penari: Norsiah Mohd Yatim

Teater:

Penulis Skrip: Zakaria Ariffin

Pengarah: Fauziah Nawi

Pelakon: Datuk Jalaluddin Hassan

Pereka Set: Benjamin Tan

Penata Cahaya: Azizul Zahid Jamal

Seni Visual:

Dua Dimensi: Muhammad Juhari Muhammad Said

Multi Dimensi: Hasnul Jamal Saidon

Filem:

Pengarah: Datin Paduka Shuhaimi Baba

Penulis Cerita Asal: Aziz M Osman

Pelakon: Rosyam Nor

Anugerah Bakat Muda:

Muzik:

Pencipta: Lim Fang Yee

Penggubah: Kam Shi Ling

Pengarah: Mohd Kamrulbahri Hussin

Pemuzik: John Ashley Thomas

Tari:

Koreografer: A Aris A Kadir

Penari: Dr Dhanya Thurairajah

Teater:

Penulis Skrip: Siti Jasmina Ibrahim

Pengarah: Ling Lee Ian Christopher

Pelakon: Gan Hui Yee

Pereka Set: Chong Chung Yong

Penata Cahaya: Muhammad Hafiz Hussin

Seni Visual:

Kurator Muda: Susyilawati Sulaiman

Penulis Muda: Rachel Jenagaratnam

Filem:

Pengarah: Osman Ali

Pelakon: Farid Kamil

Berita Harian

Tiga Anak Warisi Bakat

3 Feb

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
PEPATAH bapa borek, anak rintik sesuai menggambarkan perjalanan seni keluarga pelakon Mohd Hashim Abd Rahman bersama Hazimah Haroon.

Bagi Mohd Hashim, karier sebagai pelakon bermula pada pertengahan 1980-an apabila terbabit dengan produksi Solid Gold Publishers Sdn Bhd. Menariknya, dia terlebih dahulu diberi tawaran berlakon filem sebelum aktif membintangi drama selepas itu.

Filem Sayang Ibu arahan Omar Rojik bersama NT Wong lakonan utama Noraniza Idris dan Tamam Idris yang ditayangkan pada 1989 menjadi titik-tolak pada perkembangan karier lakonannya.

Menerusi filem yang sama, anak keduanya, Syaireen turut berlakon sebagai Tiara (Noraniza) ketika kanak-kanak. Pada usia 60 tahun kini, dia masih berminat berlakon dan mendapat pelbagai tawaran drama.

Katanya, dia sudah terbabit dalam lebih 100 drama dan terbaru membintangi drama bersiri popular, Gerak Khas. Meskipun aktif berlakon pada usia emas, dia masih meluangkan masa bersama keluarga.

Mungkin tidak ramai yang mengetahui, dia juga bekas pemain bola sepak pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1979 dan kemudian aktif menjadi Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia selama sembilan tahun sejak 1991.

Mengimbas kenangan lalu, bakat lakon tiga anaknya termasuk Syaiful Annuar dan Syaifuddin (Buzen) sebenarnya bermula sejak zaman kanak-kanak.

Kata Mohd Hashim, selepas Syaireen mula berlakon filem, giliran Buzen pula muncul dengan drama pertama, Pekak Sekampung arahan Raja Ismail Raja Saat pada 1986. Ketika itu usia Buzen baru mencecah lima tahun.

“Berbanding Syaireen dan Buzen, abang mereka Syaiful lewat menceburi bidang lakonan. Syaiful mulanya terbabit dengan iklan TV pada usia lapan tahun.

“Namun, selepas itu dia banyak tertumpu pada pelajaran hingga melanjutkan pengajian dalam Diploma Pengurusan Hartanah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Johor.

“Selepas tamat belajar, dia bekerja sebagai pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) dan menerima tawaran berlakon drama Bunga Raya bersama Astro pada 1995. Untuk drama itu, Syaiful turut bergandingan bersama Buzen dan A Aida.

“Dalam menimba pengalaman lakon, akhirnya tiga beradik ini dipertemukan menerusi drama bersiri, Bas Mini 52. Drama ini melonjak populariti dalam kalangan penonton kerana ketika itu pengangkutan bas mini adalah pengangkutan awam popular di ibu kota.

“Sebagai bapa, saya memberi mereka galakan apabila menunjukkan minat berlakon. Saya tidak paksa berlakon tetapi sejak kecil mereka sendiri mempunyai keinginan berlakon.

“Cuma beberapa kali saya temankan mereka di lokasi penggambaran dan kemudian mereka boleh berdikari.

“Namun, antara mereka tiga beradik, Buzen paling menyerlah sebagai pelakon berbanding Syaiful yang lebih menumpukan perhatian pada pelajaran. Zaman dulu, tidak ramai pelakon kanak-kanak dan peluang mereka untuk berlakon sebenarnya banyak,” katanya.

Syaiful, 35, mengakui kehidupan kini banyak berubah selepas mendirikan rumah tangga bersama Norhazrin Hashim pada 2002 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaizreen Erina, 6, dan Syaizreen Eluna, 3 bulan. Mengenai lakonan, dia hanya menerima tawaran apabila mempunyai masa terluang.

Selepas menimba pengalaman kerja sebagai pramugara selama enam bulan dia kini sibuk menguruskan perniagaan perunding perkahwinan di bawah syarikat sendiri, Erin N Erinas Sequins yang ditubuhkan sejak enam tahun lalu.

Katanya, dia sudah lama tidak muncul dengan lakonan baru selepas drama Nur 2 yang ditayangkan di Astro, dua tahun lalu. Buat masa ini, dia lebih gemar menguruskan perniagaan sendiri tetapi tidak menolak untuk berlakon jika mempunyai tawaran sesuai.

“Saya masih berminat berlakon jika ada masa terluang. Selalunya jika ada rakan yang minta saya untuk berlakon, saya tidak mempunyai masalah. Namun, fokus saya ketika ini tertumpu pada perniagaan sendiri.

“Selain menguruskan tempahan majlis perkahwinan, saya juga menyediakan khidmat sewa van. Sejak enam tahun menguruskan perniagaan ini yang sama usia dengan anak sulung, Erina, saya selesa dengan kerja sekarang,” katanya.

Syaireen, 31, pula yang pernah membawa watak mencabar menerusi filem Sayang Ibu kerana memerlukannya menyanyi, berhasrat melupakan lakonan buat sementara waktu.

Katanya, dia lebih berminat bekerja di belakang tabir dan bercita-cita menjadi produser berjaya.

Meskipun mula berlakon pada usia muda, dia tetap gembira dengan pengalaman yang ditimba. Menariknya, atas kemunculan menerusi filem pertamanya itu, dia turut dicalonkan antara Top 5 untuk kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pada Festival Filem Malaysia pada 1990.

“Ketika Syaiful berlakon drama Nur, saya juga terbabit sama tetapi hanya untuk musim pertama drama berkenaan. Berbanding lakonan, saya sebenarnya lebih berminat pada kerja belakang tabir dan mahu menubuhkan produksi sendiri.

“Memandangkan keluarga saya sendiri berkecimpung dalam lakonan sebelum ini, saya berharap dengan adanya produksi ini dapat membantu jana pendapatan untuk keluarga. Apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak, saya fikir susah untuk berlakon.

“Buat masa ini, saya mahu memberi lebih perhatian kepada keluarga khusus anak. Mungkin apabila mempunyai produksi sendiri nanti, saya boleh bawa anak ke tempat kerja sekali dan ia memudahkan bekerja sambil menjenguk anak,” katanya.

Selepas mendirikan rumah tangga bersama Azrin Shaari pada 2003, dia banyak menumpukan perhatian pada tanggungjawab sebagai isteri. Di samping itu, dia turut menemani suami yang masih belajar di Universiti Industri Selangor (Unisel), Batang Berjuntai Selangor dalam bidang Perakaunan dan Perniagaan

Mengukuhkan hubungan kekeluargaan, Syaireen bersama suami dan dua anak mereka, Danish Haikal, 5, Daniea Hamani, empat bulan, kerap berulang-alik ke Kuala Lumpur bertemu ibu bapanya.

Baru-baru ini, dia bersama Syaiful berkesempatan mengadakan majlis cukur jambul untuk Daniea dan Syaizreen Eluna. Majlis yang bertemakan warna merah jambu dan putih itu dimeriahkan dengan acara marhaban dari kumpulan Kawan yang turut dianggotai Hazimah.

Memberi keberkatan, acara doa selamat diadakan selepas solat Zohor dan disambung dengan marhaban daripada kumpulan Al-Jannah. Majlis yang bermula jam 11 pagi hingga lewat petang dihadiri 800 tetamu.

Kata Hashim, dia bersyukur kerana majlis berjalan lancar walaupun ramai tetamu hadir. Menariknya, sajian istimewa seperti laksa, rojak, cucur udang dan kuih muih disediakan katering milik mereka sendiri, Erin N Erinas Sequins.

“Majlis sebegini dianggap penting dalam merapatkan hubungan kekeluargaan antara ibu bapa, anak, menantu dan cucu. Hampir 50 anggota keluarga kami bertemu dalam majlis ini. Malah, kami juga mengajak rakan dan kenalan lain hadir memeriahkan majlis.

“Berbanding majlis orang lain, kami mempunyai kemudahan kerana mempunyai katering sendiri. Kami berharap ikatan keluarga terus kukuh dan tradisi cucur jambul diteruskan masyarakat Melayu pada masa akan datang,” katanya.

>Profil

NAMA: Hashim Abdul Rahman

TARIKH LAHIR: 20 Mei 1948

ASAL: Kampung Baru, Kuala Lumpur

PENGALAMAN: Bekas Pemain bola sepak Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur (1979), Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (1991-2000).

FILEM: Lebih 10 filem seperti Sayang Ibu, Ragam Pemandu, Simfoni Kasih dan Sembilu.

DRAMA: Lebih 100 drama televisyen seperti Bicara Awan Dan Tebing, Anak, Sembilu Kasih dan Gerak Khas.

ISTERI: Hazimah Haroon (Kak Jem)

TARIKH LAHIR: 18.5.1954

ASAL: Kampung Baru, Kuala Lumpur

ANAK: Syaiful Annuar, 35, Syaifuddin (Buzen), 28, dan Syaireen, 30.

CUCU: Syaizreen Erina, 6, Syaizreen Eluna, 3, Danish Haikal, 5, dan Daniea Hamani, 2 bulan.

Harian Metro

Sedia Turun Padang

23 Jan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Bukan mengajak ke zon peperangan, cuma singgah di Tingkat 3, Amcorp Mall, bantu kumpul dana untuk disalurkan kepada Tabung NSTP Untuk Gaza

ATAS nama kemanusiaan di bawah paksi kehidupan yang fana, terbit rasa kesedaran dan keprihatinan dek pergolakan kemelut kemanusiaan yang berlaku di Semenanjung Gaza, Palestin di kalangan manusia di seluruh dunia yang menyelar kekejaman rejim Zionis.

Kesengsaraan mereka di sana menimbulkan marak api kemarahan seluruh rakyat di dunia yang menentang sekeras-kerasnya peperangan, sebaliknya mendambakan sebuah keamanan yang nyata.

Hampir setiap hari laporan di dada akhbar dan laman maya menyentak perasaan kita. Tersentuh dan pilu rasa di hati menyaksikan pertumpahan darah terhadap manusia yang tidak bersalah. Mungkin saja kalau kita mempunyai kuasa dan magis hebat menghentikan darah daripada terus mengalir dan membekukan niat jahat, itu saja jalan terakhir untuk menghalang pakatan Amerika Syarikat dan Israel daripada terus berleluasa mengorbankan nyawa.

Lalu, usaha dan bantuan rakyat Malaysia menerusi medium kerajaan, pertubuhan tertentu mahupun orang perseorangan disambut baik segenap peringkat masyarakat di sini. Umum sudah tahu kepekaan negara kita yang begitu sinonim dengan sikap bermurah hati dan usaha kumpulan The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP) mewujudkan Tabung NSTP Untuk Gaza terus meraih sokongan dan perhatian ramai pihak apabila berjaya membuat kutipan memberangsangkan.

Biarpun tidak sebesar mana bantuan atau derma yang diberi, paling tidak pun ia mampu mengurangkan keperitan yang dialami rakyat di sana. Kesinambungan kepada usaha yang dibangkitkan ini, satu jualan dan lelongan amal membabitkan selebriti di Malaysia diberi nama ABPBH 2008 Untuk Gaza akan diadakan pada 31 Januari ini di Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya bermula jam 10 pagi hingga 6 petang. Hasil jualan ini akan disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza.

Bagi bakat baru yang berpotensi seperti Liyana Jasmay, Juliana Evans, Ainul Aishah, Wan Sharmila, Fizo Omar dan Kamal Adli, dalam tangis mengenang derita penduduk Gaza, mereka bersyukur kerana dilahirkan di bumi tercinta, Malaysia.

Enam bintang muda ini berjanji akan cuba meluangkan masa untuk sama-sama beramal biarpun terikat dengan komitmen kerja sebagai anak seni. Jika mahu melihat selebriti kesayangan anda dengan lebih dekat sambil membeli barangan yang bakal dilelong, pastikan temu janji anda untuk menyerbu Amcorp Mall pada hari itu.

Sentiasa berdoa agar kemelut berakhir

PELAKON genit yang bakal muncul dengan album EP Februari ini antara yang gemar melakukan amal dan melihat usaha NSTP sebagai satu tanggung jawab sosial untuk membantu mereka yang memerlukan. Semestinya sebagai manusia, dia sendiri berasa sedih dan geram dengan apa yang sedang melanda rakyat Palestin.

“Saya sendiri menentang dan membenci peperangan. Kenapa perlu kejahatan sedangkan kita boleh menyelesaikan sesuatu isu dengan cara baik. Peperangan bukan jalan terbaik dan terakhir yang boleh diambil jika tidak timbul perasaan tidak puas hati.

“Apalah sangat dengan sumbangan material yang kita dapat salurkan ke negara itu tapi atas kesedaran, usaha murni yang dibuat oleh Berita Harian melalui ABPBH2008 dan NSTP ini sebagai kebajikan tanpa mengambil kira kepentingan rakyat di negara kita saja, sebaliknya melangkaui negara lain. Selain itu, saya sendiri hanya mampu berdoa memohon supaya kemelut ini akan berakhir.

“Saya sendiri mahu mengikut jejak NSTP melakukan kempen mengatakan tidak kepada peperangan, namun soal masa yang menjadi kekangan. Kalau boleh, saya mahu mengajak rakan artis terbabit sama tanpa rasa berat hati,” katanya Liyana yang akan muncul dengan lagu pertamanya berjudul Tak Percaya Cinta.

“Cubit paha kiri, paha kanan terasa”

BAGI pelakon dan pengacara, Juliana Evans dia menyanjung tinggi inisiatif pihak yang sanggup berusaha untuk membantu mengurangkan beban dan kesusahan. Gadis kacukan ini tidak teragak-agak untuk memberi sokongan tidak kira melalui apa cara sekalipun, lalu acara yang bakal diadakan nanti disambut baik Juliana. Katanya, kita patut bersyukur dengan keamanan dan keharmonian yang dikecapi negara kita.

“Di Malaysia majoriti rakyatnya adalah penduduk beragama Islam dan ibarat mencubit paha kanan, paha kiri juga terasa, apa yang dialami rakyat Palestin turut dirasai kita di Malaysia. Mereka juga saudara Islam kita dan tidak salah kita membantu. Ia tanggungjawab kita bersama,” katanya yang akan muncul dengan drama Kasut Tumit Tinggi di Astro Ria mulai 22 Januari ini.

Tersentuh penderitaan rakyat Gaza

“SAYA sedih dan cukup tersentuh melihat kekejaman yang dilakukan tentera Israel kepada kanak-kanak yang tidak berdosa di Semenanjung Gaza. Saya memang tidak sanggup nak tengok kekejaman yang dilakukan,” kata pelakon dan model, Ainul Aishah mengenai peperangan di Palestin.

Malah setiap hari, Ainul atau mesra dengan panggilan Ain, membaca berita terkini di surat khabar dan melayari internet untuk mengetahui perkembangan pergolakan ini. Menurut pelakon yang mula digilap bakatnya oleh Prof A Razak Mohaideen ini dia memuji usaha NSTP yang melakukan promosi besar-besaran untuk mengumpul bantuan kepada rakyat Palestin.

“Ain sendiri bergenang air mata kerana tidak sanggup melihat penderitaan dan azab yang rakyat Palestin lalui. Isu ini juga sering dibincang Ain bersama keluarga dan teman, sambil mempersoalkan bila ia akan berakhir.

“Sebagai rakyat Malaysia, Ain menyambut baik niat murni NSTP mengelolakan tabung ini. Ia sesuatu yang harus dihargai dan disokong seluruh pelosok masyarakat di negara kita,” ungkap Ainul yang akan ke set penggambaran filem keenamnya berjudul Sari Pulang. Februari ini juga dia akan terbabit dengan penggambaran drama Merah Putih arahan Isma Yusof untuk slot Lagenda TV3. Drama ini mengikut perancangan akan disiarkan April nanti.

Selebriti luang masa untuk aktiviti amal

SEMENTARA itu, Wan Sharmila juga beriya-iya untuk menyertai aktiviti amal yang buat julung kali disertainya. Bagaimanapun, kata Sharmila dia akan cuba untuk memboloskan diri ke sana, andai terikat dengan jadual seni. Seperti rakyat lain, isteri kepada penerbit, Fazli Baharom ini turut menderma.

“Ini antara ikhtiar yang mampu kita lakukan demi keamanan sejagat. Dermalah seikhlas yang mungkin dan tidak kiralah berapa nilai derma yang diberi kerana ia cukup bermakna kepada rakyat Palestin. Kita harus bersyukur berada di Malaysia dan saya sendiri mengharapkan keamanan yang dikecapi kita selama ini akan terus berkekalan. Insya-Allah,” kata Wan Sharmila yang kini drama lakonannya Rona Roni Makaroni sedang ligat disiarkan di Astro Ria.

Turut sama melahirkan pandangan yang sama ialah dua pelakon yang bergandingan di dalam drama terbitan KRU Studios berjudul Bionik, Kamal dan Fizo. Penggambaran drama itu akan berakhir pertengahan Februari ini.

Kata Fizo yang juga adik tiri kepada pelakon Noniswara ini, kesusahan yang dialami negara kita jauh sekali peritnya yang sedang di alami penduduk Gaza. Begitu juga dengan Kamal yang begitu bersemangat dan sanggup untuk ke negara itu dengan harapan dapat membantu rakyatnya. Mereka sendiri ada menderma melalui SMS dan secara berdepan ke tabung yang disediakan.

Info ABPBH2008 Untuk Gaza:

Tarikh: 31 Januari 2009

Tempat: Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya

Masa: 10 pagi sehingga 6 petang

Antara aktiviti: Jualan barangan peribadi milik artis dan selebriti, lelongan barangan artis dan selebriti, jualan kek yang ditaja hotel di Lembah Klang oleh artis, sesi bergambar artis bersama peminat, nyanyian oleh artis popular.

Antara artis, personaliti dan selebriti yang sudah mengesahkan kedatangan dan pembabitan:

Datin Seri Tiara Jacquelina, Anita Sarawak, Rosyam Nor, Ramli MS, Faizal Tahir, Erra Fazira, Anuar Zain, Mawi, Meet Uncle Hussain, Aizat, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Diana Danielle, Stacy, Chef Wan, Serina Redzuwan, Farah Annuar, Diddy, Nikki, Nubhan, Marsha, Zahid, Nita, Nabil Raja Lawak, Adi Putra, Farawahida, Sofaz, Foziah Gous, Ifa Radziah, Ally Iskandar, Maria Tunku Sabri, Shamsul Ghau Ghau, Eira Shazira, Dafi dan ramai lagi.

Info Tabung NSTP Untuk Gaza

Kepada mereka yang prihatin hulurkan sumbangan ikhlas anda ke

Bahagian Kewangan NSTP, 31 Jalan Riong, Kuala Lumpur atau menerusi akaun Maybank 514105-320501, atas nama Tabung NSTP Untuk Gaza.

Sumbangan juga boleh diserahkan ke cawangan NSTP di seluruh negara termasuk syarikat bersekutu NSTP iaitu TV3, 8TV, NTV7 dan TV9 serta rangkaian radio miliknya sehingga 7 Februari ini.

Maybank juga menawarkan khidmat berkenaan menerusi cawangannya di seluruh negara, melalui http://www.maybank2u.com, perbankan telefon KawanKu, mesin deposit cek/tunai atau di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Fizo Omar

Nama asal: Wan Hafizol Wan Omar

Umur: 23 tahun

Tarikh lahir: 19 Julai 1985

Tempat lahir: Kota Bharu, Kelantan.

Emel: who_pjo@yahoo.com

Kejayaan: Tempat kedua Hero Remaja.

Ainul Aishah

Nama penuh: Ainul Aishah Azizun

Tarikh lahir: 16 April 1985

Asal: Kuala Lumpur

Filem: Nana Tanjung 1 dan 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria

Drama: KL Menjerit The Series, Enigma dan Anak Mami

Myspace: http://www.myspace.com/ainulaishah

Juliana Evans

Nama penuh: Juliana Sophie Johari Evans

Tarikh lahir: 5 Julai 1989

Asal: Petaling Jaya, Selangor

Darah campuran: British (bapa) dan Melayu (ibu)

Keluarga: Anak bongsu daripada tiga beradik

Drama: Kami The Series (8TV) dan Kasut Tumit Tinggi (Astro)

Filem: Kami The Movies dan Hooperz

Liyana Jasmay

Nama penuh: Liyana Jasmay

Asal: Kuantan, Pahang

Tarikh lahir: 28 Mac 1988

Kerjaya: Pelakon, pelajar

Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-19

E-mel/facebook: liyana_loves@yahoo.com

Kamal Adli

NAMA: Ahmad Kamal Ahmad Adli

PANGGILAN: Kamal

LAHIR: 16 April 1986 di Pekan Pahang

DRAMA: Impian Sunsilk, Renjis 2 dan Bionik

PROGRAM: Pandanganku Ceritaku (Astro) dan Rentak Juara

Wan Sharmila

Nama penuhnya Wan Sharmila Wan Mohamed. Walaupun tubuhnya kecil tetapi usianya sudah 27 tahun.

Berasal dari Johor Bahru, Johor dan dilahirkan pada 12 Oktober 1981.

Profesionnya ketika ini sebagai pelakon dan pengacara.

Wan Sharmila pernah terbabit dalam Yayasan Warisan Johor dan dia juga adalah bekas penari kepada ratu irama tradisional, Noraniza Idris.

Wan Sharmila juga adalah anak saudara kepada pelakon filem dan drama tidak asing lagi, Wan Maimunah. Malahan Wan Maimunah pernah membantu untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang muzik tetapi pada waktu itu, usianya masih terlalu muda.

Banyak berlakon drama bersiri seperti Kisah Kaisara 1 & 2, Sindarella, Emil Emilda, Bujang Antik, Sutun, Kembali Lagi, Rona Roni Makaroni dan Rebab Tak Bertali.

Penghargaan
Pakaian lelaki: Lord’s Tailor
Pakaian wanita: Hatta Dolmat

Berita Harian

Siti Suka, Datuk K Pun Suka

19 Jan

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my



Mengujakan. Bagi peminat yang sudah pun mendapatkan naskhah terbaru kontemporari tradisional Lentera Timur kepunyaan penyanyi kesayangan negara, Datuk Siti Nurhaliza, pasti mereka tertarik dengan kulit albumnya yang mempesonakan.

Jika hendak tahu, ada cerita di sebaliknya. Pemilihan gambar-gambar yang dimuatkan dalam album itu sebenarnya merupakan pilihan hati suami tersayang, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau terkenal dengan gelaran Datuk K.

Enggan berselindung, Siti sendiri ‘membocorkan’ rahsia itu sewaktu ditemui pada majlis pelancaran albumnya yang diadakan di Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur Khamis lalu.

Tampil anggun dalam busana rona hitam dan hijau tua rekaan Amir Luqman, Siti mengakui gambar yang dipotretkan oleh Ikram Ismail itu amat disukai oleh Datuk K.

“Suami saya sempat melihat himpunan gambar yang dirakam, malah dia amat berpuas hati dengan penghasilan gambar itu.

“Secara kebetulan, saya sendiri suka hingga mempengaruhi fikiran saya untuk memuatkan gambar-gambar yang diambil dalam album terbaru saya.

“Saya suka, Datuk K pun suka. Macam sehati sejiwa pula. Rangkaian gambar yang ada, memang menjadi kesukaan kami,” jelas Siti terang-terangan memperlihatkan keharmonian yang dikecapi dalam berkongsi hidup bersama Datuk K.

Gagal berkolaborasi dengan Aidit Alfian

Sesuatu yang istimewa ialah lagu-lagu yang dimuatkan album itu dihasilkan daripada Bengkel Cipta Ekspres Berirama Malaysia Bersama Datuk Siti Nurhaliza menerusi kerjasama Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) yang diadakan setahun lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan.


SEHATI SEJIWA. Impak kasih sayang yang bergabung menjadi satu, Datuk K turut sudi mengabadikan daya kreativitinya terhadap karya terbaru seni isteri tersayang.

Sebanyak 12 buah lagu idea komposer-komposer terkenal tanah air telah dihasilkan, tetapi hanya 10 dipilih Siti untuk album itu.

Siti tanpa berselindung mengaku menggemari semua lagu yang dihasilkan.

Membuat pilihan yang terbaik di antara yang terbaik memang menyukarkan Siti. Lantaran itu, ada beberapa lagu tidak dapat ‘menembusi’ tembok kukuh sekali gus tidak tersenarai dalam Lentera Timur.

Siti sepatutnya menyanyikan sebuah lagu gubahan komposer popular, Aidit Alfian. Namun harapan Siti bertukar menjadi kecewa kerana lagu yang diimpikan sudah tertulis untuk dilagukan penyanyi lain.

“Saya pernah bertanya kepada Aidit mengapa lagu miliknya tidak dapat dimasukkan ke dalam album Lentera Timur.

“Awal-awal lagi Aidit memohon maaf sambil menjelaskan bahawa dia telah memberikan lagu itu kepada orang lain.

“Saya pun tidak boleh hendak berbuat apa-apa. Saya anggap tiada rezeki untuk bekerjasama dengan Aidit,” beritahu Siti pasrah.

Diberi suntikan baru

Tidak dinafikan, ritma dan alunan karya yang berkumandang dalam Lentera Timur pantas sahaja menarik perhatian telinga.

Bukan ibarat karya tradisional klise lain yang menampilkan sepenuh konsep tradisional asli, sebaliknya Lentera Timur dibikin dalam bentuk bervariasi agar peminat tidak mudah bosan tatkala mendengarnya.

Album terbaru Siti yang dipasarkan penghujung Disember lalu merupakan album studionya yang ke-13, manakala ia merupakan album kelima untuk diskografi tradisionalnya selepas penghasilan Cindai (1997), Seri Balas (bersama Noraniza Idris) (1999), Sahmura (2000) dan Sanggar Mustika (2002).

Setelah puas menanti penuh sabar selama enam tahun, maka tiada yang lebih menggembirakan Siti apabila album idaman berhasil muncul menemui khalayak seluruh negara. Pada awal Mac nanti, album itu bakal memasuki pasaran Indonesia.

Ada riak gembira yang sukar terbendung pada wajah Siti. Perkara itu memang tidak mampu disembunyikan lagi saat dirinya diwawancara pihak media.

Menyingkap sejarah sebelum kelahiran Lentera Timur, Siti berdepan dengan situasi yang cukup menyulitkan apabila dia sukar untuk mencari lagu-lagu berentak etnik tatkala industri seni kini menunjukkan situasi suram.

“Memang susah saya hendak mencari lagu-lagu yang ingin dimasukkan ke dalam album Lentera Timur.

“Saya harap album ini dapat memberi sinaran cerah untuk bidang muzik terutama lagu-lagu yang berjiwa tradisional.

“Ia menampilkan banyak kelainan berbanding album tradisional lain. Ia mempersembahkan pelbagai rentak bersesuaian dengan peredaran zaman hingga album ini mampu memikat hati semua pendengar tanpa mengira usia.

“Memang saya gembira tidak terhingga dapat melahirkan album Lentera Timur,” jawab Siti penuh keyakinan.

Demi kepuasan untuk peminat tersayang yang tidak pernah berhenti menyokong Siti selama 13 tahun mengabdikan diri dalam lapangan seni, Siti turut menampilkan elemen strings menerusi semua lagu dalam album yang dipimpin oleh Eddie Marzuki itu.

“Suntikan baru yang diperkenalkan menerusi album ini bakal memberi nafas baru yang lebih segar dalam seni tradisional.

“Lagipun, sudah menjadi impian saya bagi memperdengarkan alunan strings dalam album sebelum ini, cuma saya belum lagi berpeluang.

“Album Lentera Timur akhirnya menunaikan cita-cita saya untuk muncul dengan sebuah album yang dihasilkan dengan bunyi-bunyian strings,” kata Siti yang ingin muncul dengan muzik orkestra pula selepas ini jika berpeluang.

Komposer yang telah mewarnai album Lentera Timur dengan ilham kreatif mereka ialah Johari Teh untuk lagu Di Kayangan Kita, Johan Nawawi (Bintang Malam), Khairil Johari Johar (Bulan Yang Mesra dan Rasa Antara Kita).

Selain itu, Lentera Timur tidak terkecuali memuatkan lagu berjudul Ada Masa Mata yang merupakan ciptaan M. Nasir,

Senyum Minang Manis (Zul Mahat), Joget Menanti Kasih (S. Atan), Seloka Budi (Adnan Abu Hassan) dan Di Taman Teman (Fauzi Marzuki).

Lentera Timur juga menyaksikan kembalinya komposer yang cukup sinonim dengan pembabitan Siti melalui lagu-lagu etnik iaitu Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau terkenal dengan gelaran Pak Ngah yang menyumbangkan lagu Jelmakanlah Ayumu.

Siti juga menyelitkan sebuah lagu ciptaan komposer seberang, Katon Bagaskara berjudul Cinta Ini yang memberi nafas baru apabila muzik tradisional dan moden digabungkan oleh Aubrey Suwito yang bertindak sebagai penerbit untuk lagu tersebut.

Album bermutu yang diterbitkan Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. (SNP) dan diedarkan oleh Suria Records Sdn. Bhd. (SRC) itu sudah pun berada di pasaran sejak 29 Disember lalu dengan harga RM29.90.

Khusus buat individu yang ‘berkiblatkan’ Siti, jangan lupa untuk mendapatkan album Lentera Timur kerana anda pasti akan mendapat kepuasan melalui keindahan seni warisan tradisi Malaysia yang semakin jauh ditinggalkan hari demi hari.

Kosmo