Archive | Norayu Damit RSS feed for this section

'Jadilah Diri Sendiri'

11 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

BAKAT seni yang dimiliki Faizal turut menyemarakkan industri hiburan tempatan.

Pesanan Faizal Tahir, Suki, Ayu dan Shila kepada peserta One In A Million

BARANGKALI ramai pernah meragui kemampuan sebenar bintang yang dicungkil menerusi program realiti terutama apabila melihat populariti pantas yang dicipta namun akhirnya tenggelam lantaran tidak mampu membawa gelombang baru dalam industri hiburan.

Bagaimanapun, pandangan sempit itu kian terhakis apabila satu demi satu bintang yang dicungkil menerusi pertandingan itu bangun membuktikan kemampuan mereka.

Kemaraan mereka juga menyemarakkan industri muzik yang lesu apabila menebarkan pelbagai idea segar, sekali gus menyuntik harapan dengan membina platform baru yang mengesankan.

Antara contoh paling jelas ialah kebangkitan Faizal Tahir. Mengakhiri perjuangan dalam One In A Million (OIAM) musim pertama dengan meraih tempat kedua, namun hari ini namanya mara ke puncak dengan pelbagai pengiktirafan.

Merentas pelbagai cabaran, malah saat namanya mula mendaki populariti dia diuji dengan dugaan hebat namun semua pengalaman itu dibayar dengan pengiktirafan yang membanggakan.


Suki

Berkongsi pengalaman dengan tiga lagi bintang yang juga dicungkil menerusi OIAM iaitu Ayu, Suki dan Shila, sesi fotografi yang diatur khas oleh 8TV mengajak khalayak mendekati semula laluan awal mereka.

Kata Faizal, perkara asas yang akan membuat khalayak tertarik adalah keupayaan seseorang peserta menjadi penghibur apabila beraksi di pentas, bukan hanya penyanyi semata-mata.

Baginya ramai penyanyi di luar, namun untuk mencari mereka yang mempunyai karisma atau aura yang boleh memancing perhatian peminat adalah sesuatu yang sukar terutama dalam bidang seni suara.

“Peminat sentiasa dahagakan sesuatu yang berbeza dan itu yang perlu kita berikan. Di luar lebih ramai penyanyi yang mempunyai mutu suara jauh lebih baik berbanding saya, namun apa yang ingin peminat saksikan ialah keberanian.


SHILA (kiri) dan Ayu.

“Itu yang saya cuba berikan dan hari ini, saya melihat semangat itu turut dibawa oleh kumpulan seperti Hujan, Meet Uncle Hussain dan Bunkface selain Aizat. Keberanian membawa mereka melangkah jauh dalam industri.

“Pesan saya, peserta cuma perlu menjadi diri sendiri dan usaha mencuba terlalu keras untuk menarik perhatian khalayak. Itu penting untuk mendapat tempat di hati peminat,” katanya menitip pesanan kepada peserta OIAM yang bakal berentap bermula pertengahan Februari ini.

Dua tahun dalam industri, Faizal dilihat meniti laluan yang cukup selesa namun baginya, situasi itu tidak sesekali membuatkan dia pantas berasa sudah mencapai segala yang diimpikan.

Ruang selesa yang dinikmati tidak sesekali melekakannya bahkan kata Faizal, kejayaan dikecapi mendorong dirinya untuk terus berusaha melakukan pembaharuan dan tampil dengan idea mantap.

“Penghargaan diterima adalah dorongan dan bukan meletakkan diri seseorang itu pada kedudukan stabil atau selesa. Saya sebenarnya membawa tanggungjawab lebih besar dalam industri, membuatkan saya ingin mencuba dan terus mencuba kerana pada dasarnya saya belum berjaya sepenuhnya.

“Dalam nyanyian mungkin khalayak sudah mengenali siapa Faizal Tahir namun saya harus berani untuk lebih meneroka.

“Atas sebab itu, saya mahu terus mendalami aspek penciptaan lagu kerana dalam produksi album kedua nanti saya mahu lebih terbabit dan fokus,” katanya.

PROFIL: Faizal Tahir
Nama Penuh: Ahmad Faizal Mohammad Tahir
Tarikh Lahir: 26 Oktober 1978
Profesion: Penyanyi, penulis lagu dan pengacara
Album: Aku.Muzik.Kamu
Pencapaian: Anugerah Planet Muzik 2008: Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular; Anugerah Industri Muzik 15: Persembahan Vokal Terbaik dalam Album (Lelaki), Artis Baru Terbaik, Album Rock Terbaik dan Album Terbaik dan Anugerah Juara Lagu 23: Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik dan Juara Kategori Balada untuk lagu Sampai Syurga.

Suki kejar masa

MASIH di bangku sekolah ketika menyertai OIAM, meletakkan Suki dalam kekalutan dan itu memberikan cabaran yang sangat besar kepadanya.

Setiap hari, masa seakan mengejar membuatkan gadis kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini perlu bijak mengatur jadual.

“Tekanannya cukup hebat namun semua itu akan dapat diatasi jika kita fokus dan mempunyai disiplin yang tinggi. Sehingga sekarang saya terus diburu masa, terutama selepas kembali belajar secara online di Kolej Muzik Berklee,” kata Suki yang tidak berhenti mengejar cita-citanya selepas muncul juara pertama OIAM.

Paling penting kata Suki atau nama sebenarnya, Low Sook Yee, adalah jangan membiarkan diri terganggu dengan apa yang berlaku di persekitaran.

“Saban minggu melihat rakan kita tersingkir membuatkan kita berada dalam tekanan. Namun, peserta perlu kuatkan semangat dan bertanya diri, untuk apa berdiri di pentas OIAM?

“Saya dulu pernah terbawa dengan apa yang saya baca di internet membuatkan saya tidak dapat memberikan persembahan terbaik. Ketika itu saya cukup tertekan namun apabila difikirkan semula, saya sebenarnya tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.

“Daripada situ, saya berusaha mengatasi kelemahan dan belajar menerima segala kritikan,” katanya.

PROFIL: Suki
Nama Penuh: Low Sook Yee
Nama Komersial: Suki
Tarikh Lahir: 11 Disember 1989
Asal: Seremban, Negeri Sembilan
Album: Finally/Akhirnya
Pencapaian: Juara musim pertama OIAM dan Artis Harapan, Anugerah Industri Muzik Ke-15.

OIAM bina keyakinan diri Ayu

PANDANGAN yang sama juga diluahkan Norayu Damit atau Ayu yang melihat perjalanan sepanjang OIAM membina keyakinan dirinya, malah mematangkan dirinya menempuh kehidupan.

Gadis berusia 19 tahun dari Putatan, Sabah ini mengakui, ketika pertandingan dia tidak meletak harapan tinggi untuk menang sebaliknya cuma berusaha memberikan yang terbaik untuk dinilai penonton.

“OIAM banyak mengubah pemikiran Ayu yang dulu langsung tidak mempunyai keyakinan akan mampu menempuh hidup sebagai anak seni.

“Memang pada awal Ayu terasa hati dengan teguran dan kritikan namun Ayu cekalkan diri kerana kejayaan tidak akan datang bergolek. Alhamdulillah, keberanian Ayu menerjah segala halangan itu memberikan ruang yang semakin selesa dalam bidang nyanyian,” katanya.

Nasihat Ayu, apa juga kritikan diberikan perlu diterima dengan terbuka dan paling penting, sentiasa berusaha mengatasi kelemahan dan tidak mengulangi kesilapan.

“Kritikan diberi kerana mereka mahu kita menjadi lebih baik, jadi untuk apa perlu berkecil hati? Andai dalam pertandingan jiwa tidak kuat, bagaimana mahu menempuh gelombang di luar yang lebih besar dan kejam?

“Prinsip itu yang sentiasa Ayu sematkan dalam diri dan ia membuat Ayu semakin kuat,” katanya.

Lebih penting kata penyanyi yang sinonim dengan lagu Hanya Di Mercu, adalah disiplin kerana ia memainkan peranan besar dalam menentukan kejayaan seseorang.

Transformasi Shila

MEMULAKAN langkah sebagai penyanyi pada usia sembilan tahun membuatkan Nur Shahila Amir Hamzah atau Shila agak pasif dan kurang berkeyakinan untuk bergaul kerana semuanya ditentukan mereka yang lebih berpengalaman.

Namun segala keistimewaan itu seakan dibawa pergi apabila Shila menyertai OIAM, membuatkan dia terpaksa berdikari mengatur laluan yang ingin dituju.

“Untuk menggali ilmu, kita perlu berani membuatkan Shila tidak gentar untuk melakukan kesilapan kerana dari situ, Shila memperbaiki kelemahan dan berusaha mengatasinya.

“Apa saja kritikan yang dilemparkan, Shila letakkan di tepi kerana jika terlalu memikirkan ia hanya akan merosakkan langkah. Shila cuba fokus sepanjang pertandingan, membuang segala perasaan negatif dan alhamdulillah, kepuasan akan terserlah apabila kita mampu memberikan sesuatu yang di luar jangkauan,” katanya.

OIAM kata Shila, sebenarnya membuka ruang kepadanya untuk meluahkan ekpresi diri dengan cara tersendiri tanpa perlu takut kritikan.

Keberanian itu juga kata gadis berusia 18 tahun, membuatkan otaknya sentiasa ligat berfikir kerana tidak mahu terus berada pada liga selesa.

“Mungkin dulu Shila lebih teragak-agak untuk melakukan sesuatu, sentiasa berfikir apakah apa yang dibuat akan diterima tetapi sekarang Shila semakin berani mengambil risiko.

“Satu yang Shila pegang, buang sifat cemburu kerana rezeki setiap kita sudah tertulis. Apa yang penting adalah berusaha dan jangan hanya berserah kepada takdir kerana itu tidak akan membawa kita ke mana-mana,” katanya.

PROFIL ShilaNama Penuh: Nur Shahila Amir Hamzah
Tarikh Lahir: 13 Ogos 1990
Asal: Kuala Lumpur
Album: Sha-hila dan runut bunyi 5 Jingga
Anugerah: Tempat kedua Anugerah Bintang Kecil

Tempat Kedua, tempat kedua One In A Million Musim ke- 2 dan Anugerah Emas dan Lagu Terbaik pada Penang Shanghai World Star Quest 2008.

PROFIL: Ayu
Nama Penuh: Norayu Damit
Nama Komersial: Ayu
Tarikh Lahir: 12 Julai 1989
Asal: Putatan, Sabah
Pencapaian: Juara musim kedua OIAM
Lagu: Hanya Di Mercu.

Berita Harian

Advertisements

Ayu's The One

15 Oct

Norayu credits her parents for her success.

Norayu Damit may be a Bajau girl made good but, as DENNIS CHUA finds out, the One In A Million Season 2 winner has not allowed success to go to her head.

REALITY talent show star Norayu (Ayu) Damit may have won RM1 million (before the age of 20 at that!), but the lass is not about to be carried away.

The 19-year-old reigning champion of One In A Million Season 2 (OIAM2) from Putatan in Penampang, Sabah, sees her monetary gain as an investment for the future.

“Some RM200,000 went to me and my family, while the rest was used to produce my albums and for other professional activities. Since winning the competition, I’ve had to work hard but I’m enjoying every bit of it,” she said.

Besides working on her debut album that is likely to be launched at the year’s end, Ayu has been involved in roadshows and carnivals organised by TV3 and 8TV, most notably TV3’s Konsert Jom Heboh.
“My album will be ballad-oriented. There’s also R&B and pop-rock in it. Among the composers and lyricists involved are Ajai, Audi Mok and Aubrey Suwito,” she said.

Ayu’s hit single, Hanya Di Mercu, composed by Aubrey and written by Habsah Hassan, is currently riding high in the local charts.

While the petite Bajau girl is celebrated as a pop icon in her home state, she credits her seniors from reality talent shows and TV talent searches as the “real icons” and trail-blazers.

They include Peter Dicky Lee and Azharina Azhar of Bintang RTM, Nikki Palikat of Malaysian Idol, Adam Mat Saman, Ekin Rahman and Stacy Anam of Akademi Fantasia, and Pija Yasin and Fiq Halim of Mentor.

“Peter has been a wonderful vocal coach and he is still guiding me. Nikki, Adam and Fiq are very caring and always advise me to keep healthy and ‘be myself’,” she said, adding that her favourite singers are Amy Search, Kris Dayanti, Azharina, Jaclyn Victor and Ning Baizura.

The eldest of five siblings, Ayu has been singing since she was 14.

Born and bred in Kampung Ketiau, she studied in Sekolah Menengah Putatan and participated in district-level singing contests before “graduating” to hotels in neighbouring Kota Kinabalu.

Her aunt, Saodah Mutih, is a veteran singer, who performs with the Sabah Customs Department’s musicians.

“I was in Form Two when I first sang on stage. The earliest songs I remember singing were Tiada Lagi and Mayang Sari,” she said.

Ayu performed with various groups in hotel lounges after completing her SPM exams in 2006.

In the same year, she competed in One In A Million Season 1 (OIAM1), but did not make it past the Top 40.

Nevertheless, judges Paul Moss and Syafinaz Selamat were impressed by her vocal prowess and invited her to sing at the show’s finals.

A year later, Ayu took part in the ntv7 talent search show MyStarz LG and made it to the Top 25. This was followed by OIAM2.

Ayu credits her parents Damit Osiri and Jaminah Mutih as her biggest fans and critics.

“They have always been there for me and never failed to give me feedback on my weekly performances,” she said.

Her parents, she said, keep reminding her that she comes from a family of “fighters”.

So it’s not surprising that Ayu’s strong fighting spirit propelled her from an OIAM1 reject to an OIAM2 champion.

Ayu’s victory led to some of her rakan kampung from Kota Kinabalu winning popular reality talent shows this year.

Stacy, who also participated in OIAM2, won Akademi Fantasia 6 while One Nation Emcees won Gang Starz 2.

“It’s been an amazing year for Kota Kinabalu talents, and I’m so happy for Stacy and the One Nation boys. I’d love to collaborate with them soon,” she said.

Ayu aspires to one day write her own songs, host entertainment shows and appear in television series.

“If I were to further my studies, it’ll be in music and the performing arts,” she said, adding that she would also love to master the piano.

Ayu sees reality shows as a healthy development in the music industry.

“Reality talent shows introduce East Malaysian talents to the rest of the country, thus promoting national unity. That’s why I’m all for them,” she said.

Ayu is gradually mastering both Bahasa and the English language.

“I still have a long way to go, but with 8TV’s guidance, I’m slowly picking up these languages,” she said.

New Straits Times

Laluan Ayu OIAM Semakin Cerah

1 Oct

Teks & foto oleh Thani Hasbullah

Laluan bagi Juara One In A Million 2008 (OIAM 2008), Norayu Damit atau Ayu, 19, sebagai artis rakaman mula menampakkan sinar yang cerah. Selepas mendengar beberapa cerita kurang enak tentang Ayu, akhirnya penyanyi itu sudah masuk ke studio rakaman bagi menyiapkan lagu-lagu untuk dimuatkan dalam album solo pertama.

Walaupun rezeki Ayu selepas menjuari OIAM 2008 tidak sekencang pemenang yang menduduki tempat kedua, Nurshahila Amir Amzah atau Shila, penyanyi dari Borneo itu tetap redha dan berhati-hati mengatur langkah. 

Kata Ayu, sekalipun hanya memperoleh kira-kira RM200,000 daripada jumlah keseluruhan RM1 juta yang diraih menerusi  OIAM, ia sudah cukup untuk melunaskan impiannya untuk membeli rumah selain membantu keluarga tercinta.


“Undangan persembahan untuk saya masih kurang, mungkin sebab belum ada lagu sendiri tapi saya tidak kisah kerana perjuangan saya baru hendak bermula. Apa yang lebih penting, rakaman album saya sedang dilakukan dan saya sungguh teruja dengan lagu-lagunya yang merdu.

“Album saya memuatkan 10 lagu hasil ciptaan beberapa komposer seperti Ajai, Audi Mok dan Ika. Sebagai hadiah menjuarai OIAM 2008, saya dapat merakamkan sekurang-kurangnya 3 album yang kos keseluruhan mencecah RM800,000,” jelas Ayu.

Ditanya tentang Hari Raya Aildilfitri, Ayu berkata dia kini pulang menyambutnya bersama keluarga tercinta di Sabah. Remaja genit kelahiran Kampung Ketiau, Putatan, Sabah ini menjelaskan, ahli keluarganya akan pulang berkumpul setiap kali raya dan mereka menyambutnya secara sederhana.

 

 

Murai

Cerita Raya Tiga Juara

30 Sep

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my

PELUANG berkumpul bersama kaum keluarga serta sanak saudara menyucikan diri sambil bermaaf-maafan antara satu sama lain merupakan detik yang paling dinantikan oleh sekalian umat Islam di seluruh negara.

Kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya dengan mengunjungi sahabat handai dan jiran tetangga bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim malah, dapat menambah bilangan saudara sesama Islam.

Tambah menarik, perayaan kebesaran umat Islam itu bukan sahaja diraikan oleh masyarakat Islam tetapi turut dimeriahkan lagi oleh masyarakat majmuk pelbagai kaum di negara ini.

Seperti insan lain, dua artis remaja, Norsyarmila Jirin atau Mila serta Norayu Damit yang mesra dipanggil Ayu turut merasakan hal yang serupa.

Begitu juga dengan Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam. Biarpun tidak meraikan hari raya, namun dia ingin berkongsi kemeriahan Syawal bersama rakan-rakannya yang lain.

Rezeki tahun ini lebih murah – Mila

Setahun menggenggam gelaran juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5), bukanlah satu tempoh yang lama untuk gadis bertubuh kecil ini dilambakkan dengan pelbagai sejarah manis berhari raya sebagai artis rakaman.

Berbanding tahun lalu, menurut Mila, tahun ini rezekinya lebih murah malah, profil penglibatannya dalam menjayakan rancangan khas raya turut dipelbagaikan.

“Alhamdulillah, tahun ini rezeki Mila lebih murah. Banyak juga rancangan televisyen khas raya yang Mila jayakan berbanding tahun lalu.

“Apabila stesen TV banyak panggil Mila untuk jayakan rancangan mereka memang Mila rasa sangat berbesar hati,” kata Mila penuh ceria.

Antara rancangan raya yang dijayakan oleh Mila ialah Sampaikan Raya 2008 yang bakal disiarkan di TV3 pada malam raya, Ewah-Ewah Raya, Apa Aku Nak Jadi dan Remaja Raya.

Tidak ketinggalan ialah rancangan Dia… Mila yang disiarkan pada hari raya pertama pukul 9 malam di RTM1.

Mila yang merayakan Aidilfitri bersama keluarga di Pulau Pinang pulang ke kampung halamannya pada malam ini, selepas tamat program sampaikan raya 2008.

“Adik-adik Mila paling teruja bila diberitahu akan berhari raya di kampung sebab sejak setahun lalu keluarga Mila tinggal bersama Mila di Kota Damansara. Apabila sesekali dapat pulang ke kampung memang rasa seronok sangat,” katanya.

Menurut Mila, tahun ini dia turut merancang untuk mengadakan rumah terbuka bagi meraikan Aidilfitri bersama para peminatnya di Kuala Lumpur.

“Tahun lepas Mila buat rumah terbuka di Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang, bagaimanapun tahun ini Mila merancang untuk buat di Kuala Lumpur sahaja.

“Mila memang tak sangka lebih 3,000 peminat datang meraikan rumah terbuka Mila pada tahun lalu. Tipulah kalau Mila kata tak penat tetapi apabila melihat ramai peminat yang sanggup datang dari jauh memang Mila rasa sangat dihargai.

“Pada masa yang sama, Mila dapat tambah lebih ramai lagi saudara sesama Islam,” kata Mila sambil menguntum senyum.

Ayu pertama kali raya

sebagai artis

Seperti Mila, Ayu juga tidak mahu ketinggalan berhari raya di kampung halaman.

Malah, sudah pasti lebaran kali ini disambut lebih bermakna oleh juara rancangan realiti One In A Million musim kedua (OIAM2) itu kerana inilah kali pertama dia berhari raya sebagai artis.

Memohon cuti selama lebih seminggu, Ayu yang pulang ke kampung halamannya di Putatan, Sabah, semalam (29 September), menyediakan enam pasang baju untuk digunakan sepanjang Syawal.

“Selain menyediakan pakaian untuk diri sendiri, Ayu juga sudah menyediakan baju raya untuk ahli keluarga Ayu termasuk mak dan ayah.

“Kali ini rasanya lebih seronok berhari raya sebab mak Ayu cakap ada peminat yang dah beritahu padanya akan datang berhari raya ke rumah Ayu.

“Ayu rasa ini pasti akan jadi pengalaman yang manis dalam hidup Ayu tambahan pula, inilah kali pertama Ayu bakal menghulurkan sampul duit raya kepada sanak saudara.

“Sebelum ini Ayu asyik terima sahaja duit raya tetapi kali ini Ayu pula yang keluarkan duit,” kata Ayu lagi.

Bercerita tentang perancangan raya, kata Ayu dia merancang untuk meraikan Aidilfitri bersama rakan-rakan OIAM.

“Mungkin selepas kembali dari bercuti, Ayu akan berhari raya ke rumah kawan-kawan OIAM. Dalam OIAM, Ayu memang rapat dengan Shila dan berkemungkinan besar rumah rakan OIAM yang pertama Ayu pergi ialah rumah Shila,” katanya sambil ketawa kecil.

Sempat bertanya tentang album solonya, kata Ayu, kini dia masih dalam proses rakaman album pertama yang berkonsepkan pop balada.

“Sekarang Ayu baru siap rakam empat lagu. Insya-Allah, kalau tidak ada halangan album tersebut akan mula dikeluarkan selewat-lewatnya November ini.

“Setakat merakamkan empat lagu pertama, Ayu memang rasa puas hati tetapi tidak tahulah bagaimana penilaian dari peminat. Apa yang penting bagi Ayu ialah album tersebut mampu memuaskan hati orang ramai terutamanya para peminat Ayu,” katanya.

Stacy tunggu pelawaan rakan

Biarpun tidak menyambut Aidilfitri, namun Stacy adalah salah seorang artis kaum lain yang turut sama-sama memeriahkan kedatangan Syawal.

Seperti Mila, gadis kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini turut diberi ruang memeriahkan lagi hari yang membawa sejuta erti bagi umat Islam seluruh negara itu.

“Diberi peluang untuk turut sama dengan rakan-rakan yang lain meraikan hari raya memang sangat menyeronokkan. Apatah lagi, Stacy turut diberi ruang untuk menyanyi lagu raya pada program televisyen khas raya pada tahun ini.

“Sebelum jadi artis, Stacy selalu juga ikut menyanyi apabila terdengar lagu raya di radio. Tetapi tak sangka pula kali ini Stacy berpeluang menyanyi lagu raya untuk program televisyen,” kata Stacy yang menggemari kuih makmur dan batang buruk itu.

Stacy terlibat menjayakan program Sampaikan Raya 2008 yang disiarkan pada malam raya di TV3 dengan menyanyikan lagu Indahnya Beraya Di Desa yang pernah dipopularkan oleh Azlina Aziz.

Ditanya sama ada dia akan mengunjungi rakan-rakan pada hari raya nanti, kata Stacy dia sememangnya sudah membuat perancangan untuk meraikan hari raya bersama rakan-rakan AF yang lain bagaimanapun, kata Stacy dia masih lagi menanti pelawaan rakan-rakannya untuk berkunjung ke rumah mereka.

“Saya memang akan pergi tetapi kenalah tunggu pelawaan dari rakan-rakan terlebih dahulu. Tetapi tarikh bila saya akan pergi masih belum pasti,” kata Stacy lagi.

Utusan Malaysia

Paparan Eksklusif Aidilfitri

30 Sep

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Nona terbitan TV3 mengimbau nostalgia Ziela Jalil terhadap arwah suaminya, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob

BINGKISAN istimewa daripada Nona sempena sambutan Aidilfitri akan menyorot pelbagai episod suka, duka, gembira dan iltizam menjadi sajian yang tidak harus dilupakan penonton setia program terkenal siaran TV3 itu.

Mendekati nama terkenal dalam industri hiburan, Nona merakamkan pelbagai paparan eksklusif untuk dikongsi bersama penonton sempena Syawal nanti di samping mengimbau nostalgia yang mengusik perasaan pada hari mulia itu.

Bakal bersiaran pada 5 Syawal, jam 2 petang, Nona istimewa Aidilfitri antara lain mengungkap kehidupan terkini Ziela Jalil bersama dua cahaya matanya selepas suami tercinta, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob menyahut panggilan Ilahi.

Penerbit Nona, Syarida Sharif mengakui, penerbitan sempena hari raya memberikan sedikit cabaran apatah lagi terpaksa bersaing dengan program istimewa Syawal yang lain.

Bagaimanapun, katanya, membezakan Nona dan program hiburan paparan yang dipersembahkan dalam bentuk majalah digarap bersama skrip melodramatik untuk memberikan kesan kepada penonton.

“Menemui penonton selepas lima hari raya, kami berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan rating yang baik. Harus diakui ketika itu, jumlah tonton agak mendatar kerana penonton masih sibuk dengan aktiviti menziarah dan riadah lain.

“Jadi dengan menerapkan kisah menarik selebriti, secara tidak langsung membantu memberi elemen tarikan kepada Nona,” katanya ketika ditemui pada sesi rakaman Rumah Terbuka Nona dan Wanita Hari Ini di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tidak mahu penonton diheret dengan kesyahduan pada hari kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa, Nona turut menjejak perjalanan hidup Norayu Damit atau Ayu selepas menjuarai program realiti, One In A Million musim kedua.

Selepas memenangi wang RM1 juta yang ditawarkan pertandingan itu, Ayu merasai kelainan menyambut 1 Syawal dengan limpahan rezeki yang dinikmati sebagai anak seni.

“Nona mengupas perubahan yang dialami Ayu malah turut membawa penonton untuk berkongsi bagaimana gadis itu memanfaatkan wang yang dimenanginya.

“Kejayaan yang dilakar Ayu mampu menjadi contoh betapa dengan usaha serta kesungguhan segala halangan mampu diruntuhkan dan hari ini, Ayu semakin dikenali kerana bakat besar yang dimilikinya,” kata Syarida.

Akui Syarida, selepas 25 tahun bersiaran Nona juga melalui evolusi dan pendekatan terbaru program utama TV3 itu kini lebih realistik di samping mengupas pelbagai isu berkaitan wanita.

Topik yang pernah dibincangkan diberi nafas baru dengan kupasan yang kontemporari dan bersesuaian cita rasa penonton semasa, malah krew Nona juga sentiasa kreatif memberikan idea untuk menambahkan warna berbeza kepada program popular itu.

“Tidak dinafikan suatu ketika dulu populariti Nona bergantung kepada pengacaranya terutama ketika dikendalikan Puan Sri Normala Samsudin.

“Bagaimanapun, perlahan-lahan kecenderungan penonton sudah berubah dan apa yang dapat saya katakan, mereka kini lebih menilai kepada pengisian topik serta isu yang digarap.

“Menampilkan Fizza sebagai perantara turut memberikan ruang kepada Nona untuk berkembang dan terus diminati. Ini terbukti dengan peningkatan rating Nona malah kami yakin Fiza mampu menjadi pelapis yang bakal menyerikan dunia pengacaraan,” katanya.

Mempunyai jumlah penonton sekitar 1.3 juta setiap kali bersiaran, Syarida berkata, dia kagum dengan keupayaan Fizza yang berbakat besar dan sentiasa memberikan kerjasama yang terbaik ketika penggambaran.

“Mudah bekerjasama dengan Fizza kerana dia cepat belajar dan pantas memahami apa yang dikehendaki,” katanya.

Juga dipaparkan pada episod istimewa itu kesibukan legenda rock negara, Amy Search yang menyambut Aidilfitri di restoran yang diusahakannya di samping menyempurnakan persiapan pernikahan anak gadisnya, Nabila Huda.

Istimewa Nona apabila membawa penonton mengimbas nostalgia silam bersama bintang veteran ketika menyambut Aidilfitri di Jalan Ampas, Singapura.

Segmen yang dijayakan seniwati 50-an seperti Zaiton, Mariani, Neng Yatimah dan Hashimah Yon disatukan di Pulau Pinang untuk berkongsi imbauan sambutan raya ketika era kegemilangan dunia perfileman Melayu.

Rakaman Rumah Terbuka Nona dan Wanita Hari Ini turut menyaksikan persembahan daripada Aizat, Suki, Erry Putra, Shahila dan Dafi diserikan dengan kehadiran Mila, Adam, Fizz Fairuz, Adi Putra serta artis veteran antaranya Datin Aspalela Abdullah dan Datin Orkid Abdullah.

Rumah Terbuka Nona dan Wanita Hari Ini dikendalikan Ruhil Syafinaz, Azzura, Azizah Ariffin, Ifa Raziah, Nadia Shahrul dan Fizza turut menyerahkan duit raya daripada Tabung Bersamamu serta hamper kepada Rumah Amal Limpahan Kasih, Kampung Aman, Puchong, Selangor.

Turut diraikan keluarga pelakon drama, Allahyarham Yazid Sobrani serta pelakon lagak aksi Jangan Pandang Belakang, Allahyarham Nazari Omar.

Berita Harian

Shila Rasa Bersalah

22 Aug

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

JIKA bukan Ayu yang bergelar juara One In A Million musim kedua (OIAM 2), gelaran tersebut sudah pasti menjadi miliknya. Naib juara OIAM 2, pemilik nama Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah ini dilihat begitu gagah mengharungi perjalanan seni dengan tenang.

Kalah kepada Ayu atau nama penuhnya, Norayu Damit dalam program berkenaan bukannya satu penghalang untuknya terus mara. Namun anehnya, sebaik sahaja program tersebut tamat, kelibatnya semakin dirasai khalayak peminat berbanding Ayu.

Justeru, apabila ada banyak pihak yang mengatakan populariti Shila telah mengatasi sang juara yang juga merupakan sahabat baiknya itu, ia telah menimbulkan sedikit kegusaran di hati anak dara N.D Lala ini.

“Secara jujur, kedang-kala terbit juga rasa serba salah dalam diri sebab saya bukannya juara tetapi orang masih mahu mengambil saya untuk menjadi penyanyi.

“Macam mana pun, saya anggap itu rezeki masing-masing, Ayu dapat rezeki awal dengan jadi juara OIAM dan rezeki saya selepas keluar OIAM. Kalau saya asyik menyalahkan diri, sampai bila saya hendak maju dalam industri seni ini.” jelasnya.

Sungguhpun Shila bukan bergelar seorang pelakon, dia sering muncul sebagai penyanyi lagu tema dalam drama-drama terbitan 8TV, malah dia kini dilihat umpama duta stesen berkenaan pula bukannya Ayu.

“Saya memang berkawan baik dengan Ayu sejak dalam OIAM lagi, sebab masa OIAM bila ada cuti dan dia tidak dapat balik ke Sabah, dia akan tinggal bersama keluarga saya sebab itu keluarga saya pun rapat dengannya.

“Dan tentang saya umpama duta 8TV itu, saya rasa mereka memilih saya untuk menyanyi lagu tema drama-drama kerana saya menepati kriteria yang mereka cari,” ujarnya.

Tambah Shila lagi, menurut Ketua Operasi 8TV, Ahmad Izham Omar, mereka menilai saya daripada segi kesesuaian bukannya kerana pilih kasih atau pun apa.

“Jika ada lagu yang berentak perlahan pasti akan diberi kepada Ayu bukannya saya, oleh itu tidak timbul siapa lebih bagus atau popular. Pilihan dibuat kerana kesesuaian,” ujarnya.

Apabila timbul isu siapa lebih popular dan menyerlah, pastinya hal ini sedikit sebanyak turut menganggu hubungan persahabatan dua gadis ini.


SAHABAT baik. Ayu turut memeriahkan hari jadi Shila.

Namun, Shila menegaskan, hal itu hanya isu remeh-temeh yang tidak akan menganggu hubungan baik antara mereka berdua.

“Kami langsung tidak pernah ada apa-apa masalah dan kami sebenarnya menyanyikan lagu dari genre yang berbeza sebab itu saya kata perjalanan kami berbeza dan tidak mungkin kami akan bermusuhan.

“Kami berdua sedang cari tapak untuk berdiri, cuma mungkin cara kami sedikit berbeza. Memang kami bersahabat tetapi dalam masa yang sama Ayu juga merupakan saingan terdekat saya. Saya cuma ingin tampilkan yang terbaik, begitu juga dengan Ayu,” tuturnya jujur.

Katanya lagi, mungkin kelebihannya berbanding Ayu adalah dia sudah mula menyanyi sejak berumur 8 tahun lagi dan dengan pengalaman yang dimilikinya itu memudahkan lagi gerak langkahnya sebagai penyanyi.

Meskipun begitu, ia langsung bukan alasan untuknya meninggi diri kerana dia merasakan terlalu banyak perkara yang dia masih perlu pelajari.

“Saya menghormati Ayu sebagai sahabat, dan juga melihat dia sebagai seorang penyanyi yang bagus. Malah, kini kami berdua sedang dalam proses merakam album masing-masing secara serentak.

“Apa pun, album Ayu tetap akan muncul di pasaran terlebih dulu daripada saya kerana dia juara dan saya hanya berada di tempat kedua. Mana boleh saya melangkaui Ayu dalam hal ini,” katanya lagi.


MERAIKAN hari jadi ke-18 bersama keluarga tersayang.

Rancang label pakaian

Sementara itu, dia yang ditemui ketika majlis sambutan hari lahirnya yang ke-18 baru-baru ini dilihat sungguh fokus dengan apa yang dijalani kini.

Selain membina kerjaya dalam bidang nyanyian, dia juga bergelar seorang pelajar di sebuah kolej swasta dalam jurusan pengurusan perniagaan.

“Saya daftar masuk ke kolej pada 7 Julai lalu, dan syukur kerana yuran saya ditaja oleh kolej serta 8TV. Jadi ia telah memudahkan saya daripada segi kewangan.

“Oleh kerana itu saya berazam untuk memberi yang terbaik sepanjang belajar di kolej ini. Dan berharap agar saya dapat membahagikan masa sebaik mungkin,” terangnya.

Cerita Shila lagi, pengalamannya bergelar seorang pelajar kolej sungguh mengujakan kerana suasananya sungguh berbeza daripada alam persekolahannya.

“Perbezaan sejak saya masuk kolej, suasananya memang berbeza dan saya seronok sebab ia dunia yang baru buat saya. jurusan yang saya ambil sungguh bertepatan dengan kehendak saya sebab saya bercita-cita mahu membuka syarikat sendiri.

“Mana tahu rezeki, sebab saya merancang untuk buka satu label yang menjual pakaian mengikut fesyen saya sendiri dengan harga yang berpatutan kepada peminat,” tuturnya penuh yakin.

Luahnya lagi, walaupun sudah belajar di kolej tetapi dia tetap tinggal dengan keluarga, malah ibunya yang sering menghantarnya ke kolej jika ada kuliah.

“Saya bukannya manja tetapi saya lebih selesa tinggal dengan mereka, lagipun ia lebih memudahkan saya yang membuat dua pekerjaan sekali gus ini,” jelasnya.


SHILA tidak menafikan Ayu merupakan saingan terdekatnya dalam dunia seni.

Enggan cinta sesama artis

Beralih kepada soal cinta, gadis yang lahir pada tanggal 13 Ogos 1990 ini mulanya tersipu malu, tetapi menegaskan kini bukanlah masa yang sesuai untuk dirinya bercinta.

Sementelah, dia juga terlalu sibuk dengan pelajaran dan kerjaya, b agi Shila biarlah perhatian di fokuskan pada perkara yang lebih penting dahulu.

“Buat masa sekarang ini saya masih terlalu muda dan mentah untuk memikirkan soal cinta. Kalau saya mahu bercinta sekarang, ibu bapa saya akan perli, sudah mahu kahwin ke? (ketawa).

“Mungkin hati saya akan terbuka dan benar-benar serius dalam percintaan apabila umur saya sudah mencapai angka 21 dan ke atas,” ujarnya.

Bicara Shila lagi, jika dia sudah bersedia untuk bercinta, seeloknya dia tidak mahu bercinta sesama artis. Tidak tahu apa alasannya. Malah, dia juga mengatakan mahu seorang lelaki yang lebih tinggi daripadanya dan mempunyai kulit yang cerah. “Itu hanya idaman saja, andai jodoh, terima saja (ketawa),” ucapnya.

Hadiah hari lahir

Bercakap mengenai hari jadi, pastinya tidak lengkap jika tidak menyentuh tentang hadiah yang diterima.

Bagaimanapun menurut Shila, dia bukanlah jenis yang suka memaksa ibu bapanya untuk memberi hadiah setiap kali tiba hari lahirnya.

“Saya terima saja apa yang mereka mahu beri, pada saya perhatian dan kasih sayang yang mereka berikan sebenarnya hadiah yang tidak ternilai pernah saya dapat.

“Apa pun saya berterima kasih kerana mereka sudah bersusah payah untuk saya selama ini. Saya mahu membalas jasa mereka satu hari nanti kerana menjadi ibu bapa yang paling baik untuk saya,” kata Shila mengakhiri bicara.

Kosmo

Permaisuri Rania Terima Ijazah Kehormat UM

16 May

KUALA LUMPUR: Permaisuri Rania Al Abdullah dari Jordan hari ini menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM).

Anugerah berkenaan disampaikan Canselor UM, Sultan Azlan Shah dalam satu majlis konvokesyen khas di Dewan Tunku Canselor di universiti tertua negara, di sini.

Permaisuri Rania adalah penerima kedua ijazah kehormat tersebut selepas bekas Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tan Sri Razali Ismail menerimanya pada 2006.

Naib Canselor UM, Datuk Rafiah Salim berkata, ijazah kehormat itu sebagai mengiktiraf sumbangan dan komitmen Permaisuri Rania yang telah memainkan peranan penting memupuk nilai toleransi serta penerimaan dalam masyarakat global dengan menggalakkan dialog silang budaya.

“Menjadi hasrat kami untuk menggabungkan anugerah akademik dengan satu penghormatan peribadi bagi menegaskan komitmen kami untuk membantu menggalakkan nilai yang menjadi pegangan Tuanku dan universiti ini,” katanya.

Permaisuri Rania mengucapkan jutaan terima kasih kepada UM dan Malaysia kerana memberi penghormatan itu kepada baginda.

“Saya mungkin tidak boleh menyanyi sebaik Ayu (Norayu Damit, pemenang program realiti televisyen One in A Million), tetapi anda semua menjadikan saya merasa seolah-olah ’Satu Dalam Sejuta’,” titah baginda sambil tersenyum.

Selepas itu, Permaisuri Rania berkenan mengadakan perjumpaan singkat dengan pelajar tempatan dan antarabangsa UM serta menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara UM dan Universiti Jordan.

Bagi memperingati lawatan baginda ke UM, Permaisuri Rania juga berkenan melakukan upacara menanam pokok keruing pipit.

Baginda dan suaminya, Raja Abdullah II Al Hussein tiba di negara ini semalam untuk lawatan kerja dua hari. — Bernama

Powered by Berita Harian