Archive | Norlia Ghani RSS feed for this section

Info TV: Empat Drama Menarik Di Slot Widuri

2 May

Oleh Zaidi Mohamad

KEPADA penggemar drama Melayu khususnya jangan lupa temu janji anda untuk mengikuti slot menarik sepanjang Mei ini. TV3 tidak akan menghampakan peminat setianya dengan menyediakan rancangan yang akan disiarkan melalui slot istimewa iaitu Widuri. Nikmati kegembiraan tanpa batasan, tontonilah TV3. Slot Widuri disiarkan setiap Isnin dan Selasa mulai jam 11.02 pagi.

Isteri Seorang Lelaki (5 & 6 Mei 2008)
Salmi mahasiswi lulusan perakaunan di sebuah institusi pengajian tinggi dan anak perempuan tunggal Mak Besah dan Pak Dollah. Salmi berkenalan dengan Saiful, pemuda di kampungnya lalu mereka jatuh cinta. Selepas berkahwin dan dikurniakan seorang anak perempuan, Fatin, perniagaan Saiful semakin merosot. Sejak itu, Saiful sering pulang lewat dalam keadaan mabuk dan sering memukul Salmi hingga lebam dan calar di seluruh muka dan badan Salmi. Saiful berjumpa dengan Pak Dollah dan Mak Besah untuk meminjam wang namun Pak Dollah enggan membantunya kerana hutang lama masih belum dijelaskan.

Pelakon: Azizah Mahzan, Hilmi Husaini, Aziz Singah, Norlia Ghani, Sheila Mambo, Sulaiman Sahid

Najiha (12 & 13 Mei 2008)
Najiha berkahwin dengan Kamal di negara jiran tanpa restu ibunya, Mak Biah. Najiha rela berkahwin dengan Kamal walaupun mengetahui Kamal sudah mempunyai isteri. Oleh kerana sentiasa sibuk bekerja, dia hanya sekali-sekala menziarahi ibunya di kampung. Nasib baik ada Mak Hendon yang selalu menjenguk ibunya yang kurang sihat. Najiha juga aktif dalam kebajikan dan politik. Kamal selalu bertengkar dengan isteri pertamanya Faridah kerana menuduh dia lebih mementingkan isteri keduanya, Najiha. Kamal mempunyai dua anak dengan Faridah tetapi masih tidak mempunyai anak bersama Najiha. Mereka mengambil anak angkat bernama Suriaty.

Pelakon : Azean Irdawaty, Shaharuddin Thamby, Rosnani Jamil, Aznah Hamid

Cikgu Nadia (19 & 20 Mei 2008)
Cikgu Nadia seorang guru lepasan universiti tempatan diarahkan bertugas di sebuah sekolah menengah. Cikgu Nadia amat terkejut dengan murid di sekolah itu yang mempunyai masalah disiplin yang teruk. Dalam menangani masalah disiplin itu, dia terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran. Badrul adalah anak kepada Pengerusi PIBG sekolah, juga ketua kumpulan murid nakal. Badrul banyak menimbulkan masalah kepada sekolah. Pihak sekolah cuba menyembunyikan kesalahan yang dilakukan Badrul kerana ayahnya banyak berbakti kepada pihak sekolah.

Pelakon: Vanidah Imran, Benji, S Sahlan , Lokman Ghani, Baharuddin Hj Omar, Rahim Jailani

Orang Gaji Sementara (26 & 27 Mei 2008)
Zurina yang berkelulusan ijazah ekonomi membuat keputusan untuk ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai orang gaji. Dia diterima bekerja untuk menjaga seorang Datin yang lumpuh akibat kemalangan. Sikap Datin itu berubah selepas ditinggalkan suaminya dan Zarina terpaksa melayan kerenah Datin itu dengan sabar. Zurina bertekad mahu memulihkan kehidupan Datin itu dan ternyata usahanya berjaya apabila hubungannya dengan Datin menjadi semakin rapat. Pada masa yang sama, anak Datin, Zarin telah mengikat tali pertunangan bersama anak orang berada, Azila. Pada suatu hari semasa Datin membawa Zurina bercuti, Zarin telah membuka surat tawaran Zurina untuk menyambung pengajian. Pada masa inilah Zarin mendapat tahu bahawa selama ini Zurina merahsiakan bahawa dia berkelulusan ijazah.

Pelakon: Melissa Saila, Sofia Ibrahim , Rosli Idris, Zainab Othman.

Powered by Berita Harian

Info TV: Lima Lagi Drama Hebat Di Slot Cerekapilihan Buat Penonton TV3

1 May

SLOT Cerekapilihan menyiarkan lima drama yang menjanjikan kepuasan kepada penonton setia TV3 iaitu Good Morning Cikgu, Good Afternoon Cikgu, Selimut Putih, Maafkan Aku Mama dan Kalam Cinta Rabiah. Slot itu disiarkan pada hari Jumaat jam 1 tengah hari.

Sinopsis

Good Morning Cikgu (2 Mei 2008)

Akibat kegawatan ekonomi yang berlaku sewaktu Alice pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian luar negara, sukar untuk Alice mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusannya. Akhirnya, Alice memohon untuk menjadi seorang guru dan permohonannya mendapat maklum balas positif. Alice mengalami kejutan budaya setelah dihantar bertugas ke kawasan pedalaman di kawasan utara. Namun Alice terpaksa juga menghadapi kerenah anak-anak muridnya yang tidak tahu menggunakan bahasa Inggeris. Sikap orang kampung juga kadang kala memeningkan kepala Alice. Dia mula menyukai pengembala lembu di kampung itu bernama Budin yang kerap berada di samping lembunya yang digelar Rahul.

Pelakon : Zizie Ezzette, Sheila Rusly, Radhi Khalid, Hamidah Wahab, Zaidi Omar

Good Afternoon Cikgu (9 Mei 2008)

Cikgu Alice selamat melahirkan anak perempuan. Semasa di dalam pantang, Cikgu Alice tinggal bersama keluarganya di bandar. Cikgu Tipah masih belum berkahwin dan apabila melihatkan keadaannya, Mami merasa kasihan. Dia mengajak Cikgu Tipah bertemu bomoh supaya cepat mendapatkan jodoh. Semasa sedang mandi bunga, bomoh memberikan satu syarat, dia harus menerima lamaran orang pertama yang masuk meminangnya dan Cikgu Tipah setuju dengan syaratnya itu. Suatu hari, Shah Rukh (lembu Muis) berkeliaran di sekitar rumah Cikgu Tipah. Muis terus jatuh cinta apabila melihat kelibat Cikgu Tipah.

Pelakon : Sheila Rusly, Kartina Aziz , Radhi Khalid, Jalil Hamid, Zaidi Omar, Hamidah Wahab

Selimut Putih (16 Mei 2008)

Drama ini mengisahkan penderitaan seorang ibu yang diabaikan anaknya kerana hasutan menantu. Mak Teh tinggal di belakang rumah anaknya, Najib dan hubungannya bersama menantunya, Mona tidak baik. Najib dan Mona berjanji hendak membawa Mak Teh tinggal sebumbung dengannya sebelum mendapat tanah arwah bapanya, tetapi mereka telah memungkiri janji itu. Manakala Mak Nona juga mengalami nasib yang sama dengan Mak Teh yang dihalau dari rumah anak perempuannya, Minah.

Pelakon : Norlia Ghani, Rusdi Ramli, Rita Rudaini, Noor Khiriah, Roslan Salleh, Zaidi Mohd Nor

Maafkan Aku Mama (23 Mei 2008)

Mengisahkan penyesalan seorang anak yang tidak dapat meminta maaf buat kali terakhir terhadap perbuatannya sebelum ibunya meninggal dunia. Aiman kehilangan bapanya semasa dia masih lagi kecil. Sue, ibu kepada Aiman berkahwin dengan Zarul setelah kematian suaminya, Malik. Perkahwinan itu bukanlah atas kehendak Sue tetapi di atas kehendak bapa mentuanya yang tidak mahu Aiman kehilangan rasa kasih sayang seorang ayah. Tetapi perkahwinan itu tidak direstui Aiman. Sejak kejadian itu, Aiman merajuk dengan perbuatan ibunya dan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang anak.

Pelakon : Hairie Othman, Azizah Mahzan, Jalil Hamid, Sabrina Ali

Kalam Cinta Rabiah (30 Mei 2008)

Datuk Johari masih mengharapkan supaya Rabiah berhenti sebagai jururawat dan menerima tawarannya bekerja di Nilam Holding sebagai Pengarah Projek. Namun, Rabiah tidak berganjak dari keputusannya. Rabiah berjaya memujuk Julia yang mempunyai anak luar nikah untuk terus belajar demi masa depannya. Datuk Johari yang kecewa dengan Rabiah sanggup menggugurkan nama Rabiah sebagai penerima harta warisannya. Di tempat kerjanya, Rabiah berkawan rapat dengan Zakuan. Zakuan mencadangkan Rabiah terima saja permintaan ayahnya.

Pelakon: Wardina Saffiyah, Zamarul Hisham, Benji, Faizal Hussein, Dian P Ramlee, Hafizzuddi , Fiza.

Powered by Berita Harian

Azian 'Hot' Di Seberang

22 Mar

Oleh Kamali Hudi

NAMANYA kurang menjadi sebutan, tetapi setiap kali wajah Azian Pasiran muncul di kaca televisyen, seperti sudah memberi jaminan apa yang ditonton pasti menghiburkan atau meninggalkan kesan.

Bahkan kerana keberkesanan lakonannya, orang lebih mengenali Azian dengan nama-nama watak dalam drama, termasuk Cik Tona Tahi Lalat (dalam siri drama Enot 3) dan Esah Dangdut dalam siri drama tempatan, Erlin Montel.

Pelakon Singapura yang kini lebih aktif menjayakan drama di Malaysia itu mengakui tidak kisah dirinya tidak diglamorkan seperti pelakon lain, bahkan lebih selesa jika orang tidak mengenalinya apabila berada di luar.

Azian sebenarnya berlakon sejak zaman stesen televisyen tempatan dikenali dengan nama Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) dulu. Drama pertamanya berjudul Kesumat, arahan Allahyarham Bani Buang, ketika beliau berusia 18 tahun.

Beliau mendapat perhatian pihak unit drama SBC ketika itu setelah mengirimkan gambarnya yang memenangi Ratu Kebaya anjuran sebuah balai rakyat.

Ternyata Azian tidak main-main apabila melangkahkan kaki dalam bidang seni ini. Pada usia 21 tahun, beliau mencabar dirinya membawa dirinya ke Malaysia untuk mencari peluang berlakon yang lebih luas di sana.

‘Yan terpaksa membohongi emak dengan memberi alasan ke Malaysia sekadar pergi melancong sahaja. Tapi sebaliknya Yan mencari peluang bertemu pihak syarikat penerbitan yang disarankan kawan Yan,’ ceritanya.

Syarikat Home Video Distributors (HVD), yang banyak menghasilkan penerbitan drama-drama Malaysia, membuka peluang yang dicari Azian selama ini.

Dengan bantuan pengarah Amir Khan (juga asal Singapura dan abang penggubah Azmeer), Azian mendapat kepercayaan bukan saja berlakon, bahkan menulis naskhah drama.

‘Encik Amir adalah orang yang banyak memberi bimbingan kepada Yan, bukan sahaja dalam lakonan tetapi menulis skrip, arahan dan penyuntingan kerana Yan begitu minat dengan kerja yang berkaitan penerbitan drama,’ katanya lagi.

Beliau juga pernah dibantu oleh pelakon dan pengarah Yus Emali yang pernah bergiat dalam drama pentas dan televisyen di sini satu ketika dulu dan kini bermastautin di Kuala Lumpur.

Selain drama TV, Azian juga aktif menjayakan telemovie VCD, antaranya termasuklah drama televisyen Gosok 1 dan Gosok 2 yang mendapat sambutan hebat di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Bahkan Azian merupakan penulis skrip bagi kedua-dua VCD tersebut yang mengisahkan kehidupan anggota band Spider di kampung sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menjadi penyanyi.

Dalam lakonan drama swasta berjudul Enot 3 arahan Jinggo (suami Sheila Rusly) Azian berpeluang berlakon dengan pelakon seperti Yusni Jaffar, Norlia Ghani, Hamid Gurkha, Jalil Hamid dan Sheila sendiri.

Walapun pernah dibohongi, ibu Azian, Hajah Khamsaton Haji Amin, 64 tahun, tetap memberi restu dan dorongan terhadap Azian dalam kerjaya seninya.

‘Keinginan seseorang tidak boleh disekat asalkan ia dalam landasan yang betul dan tidak menjadi cemuhan masyarakat,’ kata Hajah Khamsaton yang menemani Azian ketika menemui penulis.

Azian telah berumah tangga dengan seorang jurukamera drama, Azryanizham, 35 tahun, yang merupakan warga Malaysia. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Elmyra Azryanizham, tiga tahun.

Kepada bakat tempatan yang ingin mengembangkan bakat di negara jiran, pesan Azian, langkah mereka harus disertakan dengan kesungguhan dan kerja keras.

‘Berpegang pepatah lama, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung membantu kita dalam segala cita-cita atau bakat yang ingin kita memperolehi pencapaian di masa depan,’ katanya.

Powered by Cyberita

Tayang Semula Selimut Putih

20 May

Minggu lepas ramai pembaca dan juga penonton menghubungi Niezam untuk memberi ucapan tahniah kepada pengarah drama Rashid Sibir kerana berjaya menghasilkan sebuah drama yang benar-benar menyentuh hati mereka.

Kebanyakan penonton mahu drama Selimut Putih yang disiarkan menerusi slot cerekarama (TV3) malam Sabtu minggu lalu itu ditayang semula.

Kata mereka, drama itu memberi banyak kesedaran kepada golongan remaja pada masa ini yang sering meminggirkan ibu bapa mereka.

‘‘Saya benar-benar tersentuh melihat drama itu. Saya menangis mengenangkan ibu saya yang telah pergi.

‘‘Walaupun ia sebuah drama tetapi saya tahu kisah seperti itu masih berlaku dalam masyarakat kita masa kini,’’ cerita seorang pemanggil dari Gua Musang.

Selimut Putih mengisahkan seorang ibu yang hidup terabai kerana tidak dipedulikan oleh si anak yang terlalu mengikut cakap isteri. Ketika orang kampung mengusung jenazah ibu melalui rumah si anak, dia tidak menyedari jenazah itu adalah ibunya sendiri.

Drama itu lakonan Rusdi Ramli, Rita Rudaini, Norlia Ghani dan Noorkhairiah.

Niezam tak nafikan drama-drama arahan Rashid Sibir sememangnya bagus dan mampu menyentuh emosi penonton.

Kebetulan pula semasa drama itu disiarkan, ia bertembung dengan program Akademi Fantasia di Astro. Ramai penonton yang tidak dapat memberi tumpuan kepada drama itu. Apa-apa pun dalam hal ini hanya orang kuat TV3, Datuk Farid Ridzuan yang boleh membuat keputusan.

Rasa-rasanya kalau sesebuah drama itu berkualiti, tak salah untuk TV3 menyiarkannya semula,. Tak gitu Datuk?

NIEZAM: Orang Selama, Taiping, Bagan Serai, Penang dan Kedah jangan lupa mai tengok konsert Pancaindera di Bukti Merah Sabtu ni. Ramai artis ada di sana!

Powered by Utusan Malaysia