Archive | Norman Hakim RSS feed for this section

Fizz Fairuz Tak Takut Kontroversi

28 Apr

>>Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

LAPAN tahun dalam dunia lakonan, baru sekarang bakat dimiliki pelakon Mohd Fairuz Zainal Abidin atau Fizz Fairuz, 29, dipandang peminat.

Segalanya bermula apabila dia dengan berani memainkan beberapa watak yang dianggap panas sehingga menimbulkan kontroversi, baru-baru ini.

Pertama, apabila adegan dengan Roslan Shah dalam drama Mabuk Estrogen terbitan JS Pictures Sdn Bhd (JSPSB) mengundang kontroversi kononnya mereka melakukan babak cium.

Sedangkan apa yang berlaku, pelakon yang kini menetap di Keramat, Kuala Lumpur ini cuba menyelamatkan Roslan yang lemas dengan memberikan bantuan pernafasan (CPR). Babak itu turut dilakukan menggunakan teknik kamera dan tidak berlaku sentuhan bibir.

Kedua, apabila drama Donut yang juga terbitan JSPSB menampilkan Fizz melakonkan watak disyaki menjalin hubungan dengan lelaki lembut. Turut membintangi drama itu, Norman Hakim, Sheila Rusly, Amyza Aznan dan Nadia Nisa.

Kata Fizz, sebagai anak seni dia sudah menjangkakan suatu hari nanti tempias kontroversi akan dihadapi sama ada membabitkan kerjaya mahupun peribadi.

“Sebaik melangkahkan kaki ke dunia lakonan, saya sudah bersedia berhadapan dengan perkara seperti ini. Saya tahu ia tidak mudah, tetapi inilah antara harga yang harus saya bayar.

“Saya tidak kisah kerana apa yang dilakukan ini atas dasar minat dalam dunia lakonan. Susah bagaimanapun saya akan harung. Lagipun ia bukan membabitkan perkara yang boleh menjatuhkan maruah.

“Ia timbul kerana tanggapan orang sedangkan kalau mereka menonton sendiri cerita yang dihasilkan Azman Yahya (Jinggo) ini, sebenarnya tiada apa yang boleh ‘dikontroversikan’. Sekeping gambar belum cukup untuk menerangkan keseluruhan paparan drama dihasilkan,” katanya.

Jelas Fizz lagi, sebagai pelakon dia perlu mengambil langkah berani untuk melakonkan pelbagai watak. Atas alasan itu apabila Sheila Rusly selaku penerbit menawarkannya membintangi Mabuk Estrogen dan Donut, dia tidak berfikir panjang dan menerimanya.

 

 

“Sebagai penggiat seni, bukan selalu kami diberikan watak mencabar seperti ini. Ia jarang diperoleh kerana itu apabila ada tawaran, kebanyakan daripada kami tidak berfikir panjang.

“Saya sendiri sebagai pelakon, sudah puas berlakon pelbagai watak sama ada jahat, baik, bercinta dan menjadi budak nakal sudah saya mainkan.

“Jadi sekarang apa lagi yang perlu saya lakukan sebagai pelakon kalau tidak mencari watak berbeza berbanding apa yang pernah saya lakonkan. Mabuk Estrogen dan Donut memberikan pilihan dicari selama ini.

“Saya tidak mahu menjadi pelakon stereotaip dan hanya mampu membawa satu-satu watak saja. Saya juga tidak gusar dengan kontroversi yang ditimbulkan kerana pada saya apa yang penting adalah membawakan watak dengan baik,” katanya.

Sebagai pelakon yang pernah berhadapan zaman kesusahan dan pernah dipandang sepi kebanyakan penerbit dan pengarah, kata Fizz dia lebih rela penonton berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan berbanding popular kerana kontroversi dan publisiti murahan.

“Bukan mudah untuk saya memberikan keyakinan kepada produksi besar membabitkan bakat dimiliki. Syukur apabila selepas lapan tahun, kebanyakan stesen televisyen dan produksi besar mula percaya dengan apa yang saya ada.

“Pada waktu sama, saya tidak nafikan apabila seseorang pelakon itu sudah mempunyai nama, mereka turut berhadapan masalah apabila ada produksi yang mula mengatakan saya sombong dan tidak mahu berkerja dengan mereka lagi.

“Ingin saya tegaskan di sini, bukan saya sombong apatah lagi mula letak harga. Bayaran saya tidaklah besar dan kebanyakan produksi tahu berapa harga untuk saya berlakon drama bersiri atau telefilem. Cuma kadang-kadang apabila tawaran datang, ia bertindih dengan drama yang sedang saya lakukan.

“Saya pula jenis pelakon yang lebih senang menumpukan perhatian pada satu-satu projek. Saya jarang mengambil dua atau tiga tawaran dalam satu masa kerana bimbang nanti penghayatan terhadap watak akan terganggu sekali gus boleh memberi kesan buruk pada hasil kerja,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

'Norman Lelaki Paling Rapat'

22 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Memey

Memey akui terlalu awal fikirkan soal kahwin

BOSAN dan jelak disuakan persoalan yang serupa namun apa saja yang mampu dilakukan oleh gadis ini untuk menutup mulut mereka yang tidak pernah jemu mendapatkan kepastian daripadanya.

Mahu atau tidak dia terpaksa berdepan dengan pertanyaan demi pertanyaan mengenai pengakhiran hubungannya dengan aktor sensasi, Norman Hakim.

Jauh di sudut hati mahu saja dia melontar jauh segala peristiwa hitam lalu tanpa perlu ada yang terus mengungkit dan membangkit persoalan yang dia sendiri tidak mempunyai jawapannya.

Bagi Suhaiza Suhaimi atau nama komersialnya, Memey Suhaiza, 21, berdiam diri adalah jawapan terbaik daripada terus mengulas mengenai hubungan dengan duda tiga anak itu.

Sebagai gadis, Memey akur tidak manis untuk dia berbicara soal hati apatah lagi bercerita panjang mengenai perancangan masa depan terutama menyentuh soal perkahwinan.

“Lebih baik hal itu ditanyakan kepada Norman. Mungkin dia mempunyai jawapannya. Tidak manis saya sebagai seorang wanita bercerita mengenai soal hati dan perkahwinan selagi belum ada kata putus daripadanya.

“Tetapi saya tidak menafikan dia lelaki yang paling rapat dalam hidup saya,” kata Memey seakan sudah menduga pertanyaan itu pasti kembali diajukan kepadanya ketika pertemuan sempena pelancaran drama online terbaru siaran Gua TV, Mingguan Lelaki, baru-baru ini.

Menyelak tabir hatinya, gadis kelahiran Kota Tinggi, Johor ini jujur meluahkan, fokus utamanya ketika ini adalah memperkukuhkan dulu nama serta memantapkan karier lakonan yang baru setahun dua diceburi.

Apatah lagi pada usia baru mencecah 21 tahun, Memey merasakan masih terlalu awal untuk dia memikirkan soal perkahwinan.

“Saya masih muda untuk ke arah itu. Biarlah saya bekerja dulu untuk mencari kepuasan dalam dunia lakonan. Tambahan pula keluarga di kampung juga masih bergantung kepada saya.

“Memikirkan semua itu, setiap kali sebelum keluar rumah saya mengumpul kekuatan untuk berdepan dengan masyarakat dan media kerana saya perlu bekerja untuk survival.

“Ada ketika saya berasa begitu penat kerana cerita mengenai kami tidak pernah berkesudahan. Pernah saya tertanya sendiri, bila semua ini akan berakhir kerana saya juga mahu hidup aman seperti dulu,” katanya.

Akui Memey, sejak peristiwa hitam itu hidupnya sudah tidak setenang dulu. Kebebasan yang dulu menjadi miliknya sudah mula terhakis dan suasana itu membuatnya tidak selesa.

“Setiap kali kami berdua di khalayak, pasti ada yang menghebahkannya kepada media. Masyarakat seolah-olah cuba mencari kesalahan saya sedangkan saya juga berhak untuk menikmati kehidupan seperti orang lain.

“Semua itu membuat saya lebih berhati-hati. Saya tidak mahu tersalah langkah lagi kerana orang di luar sentiasa mencari sebab untuk menunjukkan saya yang bersalah atas apa yang berlaku,” katanya dalam senyum hambar.

Terpulang apa juga tafsiran dan penerimaan khalayak kerana bagi Memey, dia perlu meneruskan hidup seperti biasa.

Mujur segala kekalutan itu tidak menghentikan rezekinya dalam bidang lakonan. Rezekinya bagaikan tidak putus kerana tawaran sentiasa mendatangi membuatkan Memey bersyukur kerana Tuhan masih menyayanginya.

Namun, tidak semua tawaran yang datang dikautnya kerana gadis ini mempunyai prinsip kerjanya sendiri.

“Saya lebih memikirkan kualiti berbanding kuantiti. Selesai satu penggambaran, baru saya terfikir untuk menerima tawaran lain.

“Saya tidak mahu terlalu ghairah menerima tawaran itu dan ini tetapi sudahnya saya tidak mampu memberikan hasil kerja yang baik.

“Saya seorang yang menjaga kualiti kerja dan kerana itu saya merencana perjalanan kerjaya supaya mempunyai cukup masa untuk membuat persediaan sebelum ke sesuatu lokasi baru,” katanya.

Ketika ini, Memey terikat dengan penggambaran drama bersiri 62 episod, Roda Roda Kuala Lumpur selain baru menyempurnakan penggambaran drama, Khatan siaran RTM serta filem Dimensi Cinta arahan Eddie Pak.

Takut namun teruja

MENGENAI pembabitannya dalam drama Mingguan Lelaki, Memey yang membawakan watak wanita penggoda bernama Farah berkata, pada mulanya dia berdebar-debar untuk menerima tawaran itu.

Apatah lagi, drama online bersiri yang ditulis Pengurus Besar Kandungan, Jenama dan Pemasaran Alt Media Sdn Bhd, M Zulkifli Abdul Jalil menemukannya dengan pengarah hebat, Aziz M Osman.

“Saya takut dan berdebar-debar kerana ramai memberitahu dia garang ketika di lokasi. Itu yang membuat saya berdebar.

“Namun memikirkan kredibilitinya sebagai pengarah hebat, saya teruja untuk menimba pengalaman bekerja di bawah arahannya.

“Saya bertuah kerana dia sentiasa memberi tunjuk ajar. Dalam kebebasan yang diberi, dia banyak membantu serta menegur untuk mencorakkan lakonan saya membuatkan saya selesa di lokasi.

“Alhamdulillah, tidak banyak masalah dihadapi meskipun ini kali pertama saya diserahkan watak yang agak berbeza daripada kebiasaan watak yang diberikan kepada saya,” katanya.

Merendah diri biarpun dipuji Aziz akan potensi dan bakat besar yang dimilikinya, Memey berkata, jika tanpa tunjuk ajar serta teguran pengarah itu tidak mungkin dia mampu memberikan persembahan yang dimahukan.

“Durasi untuk penggambaran drama ini agak singkat membuatkan saya tidak mempunyai banyak masa melakukan kajian.

“Lagipun watak Farah agak berat kerana saya perlu menghidupkan watak sebagai wanita penggoda membuatkan beberapa kali penggambaran terpaksa diulangi terutama pada episod ketujuh di mana saya perlu menggoda Fazren Rafi,” katanya.

INFO:

Nama Penuh: Suhaiza Suhaimi Nama Komersial: Memey Suhaiza Tarikh Lahir: 25 Mac 1988 Asal: Kota Tinggi, Johor Keluarga: Anak ketiga daripada enam beradik Pendidikan: Sekolah Menengah Tenggaroh A, Kota Tinggi, Johor Drama: Graduan, Elit, Pasrah, Dunia Baru 3, Roda-Roda Kuala Lumpur, Tragedi Oktober, Lara Rindu Mahsuri dan Farah Syakira. Program TV: Pengacara Diari Anak Seni (RTM)

Berita Harian

Abby Kongsi Derita Di Bengkel Mak Dara

20 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

ABBY akan tampil berkongsi pengalaman mengharungi hidup dalam Bengkel Bersama Mak Dara pada 25 dan 26 April.

SIAPA yang tidak hancur hatinya apabila rumah tangga yang dibina akhirnya hancur berkecai bak kaca. Begitu jugalah yang dihadapi Abby Abadi apabila terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan sejak kisah rumah tangganya menjadi bualan khalayak.

Bagaimana mahu dipertahankan kalau sudah tertulis jodohnya dengan pelakon Norman Hakim setakat itu saja walaupun ketika kejadian dia sedang sarat mengandung anak ketiga dan dua anak lagi anak kecilnya Mohamed Danish Hakim dan Marissa Dania Hakim memerlukan belaian manja, kasih sayang dan perhatiannya.

Tidak mahu terus larut dengan kedukaan yang cukup menyesakkan jiwa dan naluri wanitanya, Abby masih tegar meneruskan cabaran mendatang bergelar ibu tunggal selepas berpisah dengan Norman Hakim beberapa bulan lalu.

Pelakon drama Gerak Khas dan Hikayat Putera Shazlan itu kembali membina harapan baru dan kerjaya lakonannya juga semakin berkembang. Belum surut kisah perpisahannya dengan bekas suami, timbul pula gosip mengenai hubungan Abby dengan seorang pelakon baru, Zoulle.

Katanya, setakat ini dia tidak pernah berbincang mengenai langkah seterusnya dalam perhubungan mereka kerana fokusnya kini adalah untuk meningkatkan kariernya demi anak-anak serta pendidikan mereka.

“Kami tidak pernah bersoal jawab fasal kahwin. Apa yang berlaku kepada saya sebenarnya semakin menguatkan saya. Saya mahu mencari peluang supaya matlamat yang belum tercapai sebelum ini berjaya dicapai. Tumpuan saya sekarang adalah kepada kerjaya dan anak-anak. Syukur bapa mereka semakin menunjukkan sikap tanggungjawabnya sejak akhir-akhir ini. Saya juga lebih suka jika orang bercakap mengenai kerjaya daripada kisah peribadi,” katanya.

Melihat kepada kekuatan Abby mengatur langkah sendirian tanpa lelaki bernama suami pasti ramai terutama wanita yang senasib dengannya dapat berkongsi rasa dengan pelakon itu. Bukan bertindak selaku pakar motivasi tetapi sekadar ingin berkongsi pengalaman dan pendapat, Abby akan tampil dalam Bengkel Bersama Mak Dara iaitu pengasas produk Jamu Mak Dara.

Menurut Abby, dia bersedia berkongsi pengalaman pahit getirnya dengan peserta bengkel itu.

“Selepas apa yang berlaku, saya mendapat semangat luar biasa untuk teruskan hidup. Apa yang berlaku memberi impak besar pada kehidupan dan saya tak akan biarkan diri saya diperkotak-katikkan lagi serta tak mahu lagi menjadi bahan cerita yang tidak sepatutnya.

“Tumpuan kini mencari rezeki untuk anak dan mengembangkan kerjaya ke peringkat lebih tinggi. Saya terharu peminat di Singapura menggelar saya Ratu Drama Malaysia. Dengan apa yang berlaku, saya tidak akan berpaling lagi. Biarlah ia menjadi sejarah dalam hidup ini.

“Kepada wanita di luar sana, jangan mudah putus asa. Anggap saja apa yang terjadi sebagai pemangkin kejayaan untuk masa depan,” kata penuh semangat.

Menseimbangkan apa dialami Abby, Mak Dara atau nama sebenarnya Halimah Shuib, 66, pula akan menitipkan petua rumah tangga bahagia. Ini kerana kebanyakan institusi rumah tangga hari ini tidak sekental ikatan perkahwinan orang lama yang mampu mengekalkan kebahagiaan dalam tempoh yang panjang dan selamanya.

Beliau yang mesra dipanggil ‘ibu’ juga akan berkongsi petua penjagaan kesihatan dalaman dan luaran. Tidak hairan dalam sekelip mata Jamu Mak Dara semakin popular di kalangan wanita hari ini.

Bengkel itu akan diadakan di Shah Alam dan Port Dickson pada 25 dan 26 April ini mulai jam 8 pagi hingga 5 petang. Mereka yang ingin menyertai bengkel itu boleh hubungi Kelly Azman di talian 012-2707191 atau 03-41055088. Pendaftaran berdasarkan siapa cepat kerana tempat dihadkan kepada 100 peserta.

Berita Harian

Depan Mata: Pahit, Manis Dan Kelat Di ABPBH2008

20 Apr

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
INSIDEN Nabil peluk buah hati, Irma Hasmie sebaik diumumkan menang Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) Ahad lalu, antara yang diperkatakan orang sepanjang minggu lalu.

Begitu juga aksi penyanyi Farah Asyikin ketika menyampaikan lagu Hello hingga penonton di Arena Of Stars, Genting Highlands kurang selesa melihat Farah dijulang penari.

Mungkin ia perkara yang tidak disengajakan tapi itulah harga yang harus dibayar apabila mereka terjun ke dunia glamor. Nabil juga sudah memohon maaf secara terbuka atas ketidaksengajaannya itu tapi bak kata pepatah, nasi sudah jadi bubur atau pepatah Inggeris, the damage is done.

Farah juga sudah memberi penjelasan dalam Harian Metro Khamis lalu mengatakan tiada niat tampil seksi atau membuatkan penonton kurang selesa.

Memang tiada salahnya pakaian Farah tapi apabila dirinya diangkat penari sedemikian rupa, membuatkan apa yang tidak sepatutnya nampak sudah disaksikan banyak mata, apatah lagi disiarkan secara langsung di TV3.

Mungkin boleh memberi pengajaran kepada penyanyi lain supaya memilih pakaian lebih sesuai apabila perlu dijulang penari, seperti berseluar panjang. Hakikatnya, Farah memakai stokin gelap dan bukannya mendedahkan paha gebunya di balik gaun paras atas lutut itu.

Sebelum ini, pakaian Farah dikatakan tidak sesuai ketika menjayakan satu program hari raya walaupun hakikatnya menyampaikan lagu moden tetapi sepatutnya memilih pakaian lebih sesuai dengan majlis bukannya gaya ketika menyanyi di kelab malam.

Tidak kurang menariknya, ramai melaram sakan ketika acara permaidani merah sama ada yang ditaja atau koleksi sendiri sesuai tema ‘tenunan songket’. Lebih menarik, ramai juga melaram buah hati.

Jika Norish Karman bersama jejaka kacukan Melayu-Inggeris, Luqman Amin yang juga abang Farahdhiya, pengacara Nurul Alis (Kiki) pula membawa jejaka mat salih. Begitu juga Abby Abadi bersama Zulkifli Ariffin dan Noraliah Lee (Vee) dengan kerabat Selangor, Tengku Yusof.

Menariknya, empat wanita ini memegang status janda tetapi nampaknya ABPBH2008 menjadi medan untuk mereka pamerkan orang istimewa dalam hidup mereka. Kalau sebelum ini hanya mendengar gosip apabila ada mata-mata gelap tidak bergaji bercerita melihat mereka keluar bersama.

 

 

Tapi malam itu, mereka tidak main sembunyi-sembunyi, sebaliknya berkongsi dengan umum siapa gerangan insan istimewa dalam hidup mereka ketika ini. Apabila bersikap terbuka, siapa tahu dengan doa peminat dipercepatkan jodoh mereka.

Pengakuan Norish juga disiarkan dalam Harian Metro, Sabtu lalu. Ternyata Norish tidak berselindung apabila saya katakan dia kini lebih terbuka. Sebelum ini, Norish hadir bersama Luqman ketika tayangan filem Talentime, kemudian konsert mini Anggun.

Sebelum ini, Abby dianggap berani dan sangat terbuka apabila sering bersama Zul tidak lama selepas bercerai dengan Norman Hakim, malah kantoi di lapangan terbang ketika baru pulang dari China.

Hubungan Vee dengan Tengku Yusof pula dikatakan sekejap on sekejap off tapi saya melihat apabila Vee terbuka memperkenalkannya kepada umum, secara tidak langsung menjadi satu jaminan buat si wanita bahawa si lelaki sudah menjadi miliknya.

Kita tunggu pula giliran Norman dan pasangannya, Suhaiza Suhaimi atau Memey mengakui hubungan mereka secara terbuka walaupun hakikatnya ramai sudah tahu, tapi empunya diri mengatakan antara mereka tiada hubungan istimewa walaupun sudah kantoi ditangkap khalwat. Terbaru, gambar mesra mereka meraikan ulang tahun berdua kini disebarkan di Internet.

Begitu juga Fasha Sandha, sejak sekian lama dikatakan ada hubungan istimewa dengan bekas suami Nora Danish tetapi empunya diri juga tidak mengaku. Cuma gambar mereka berdua belum lagi disebarkan di Internet sebagai bukti tetapi gambar beramai-ramai adalah.

Turut mendapat perhatian saya ketiadaan dua pemenang malam itu, Norkhiriah untuk Pelakon Komedi Wanita Popular dan Dynas (Pelakon TV Wanita Popular). Sebagaimana diumumkan pengacara majlis, Sharifah Shahira bahawa Norkhiriah kurang sihat kerana mengandung.

Dynas pula ramai yang tahu mengandung tujuh bulan tetapi tidak ramai tahu dua hari sebelum ABPBH2008, Dynas menerima berita duka anak yang dikandung meninggal dunia. Teringat pengalaman sama yang saya alami pada 2003 apabila bayi yang dikandung selama 24 minggu, tidak sempat dilahirkan ke dunia kerana pergi lebih dulu.

Tentunya ini saat cukup sukar bagi Dynas, apatah lagi kali kedua hamil dan belum berpeluang menatap bayi yang dinantikan bersama suami.

Untuk mengubat hati yang luka, orang selalu kata ada hikmah di sebaliknya. Paling penting, bayi itu menanti ibunya di syurga. Dynas juga menerima berita gembira apabila sekali lagi menang kategori yang pernah dimenanginya tahun lalu.

Bagi Norkhiriah, sebelum ini pernah mengalami keguguran sudah tentu kali ini berhati-hati menjaga kandungan. Tambah-tambah pula pada awal kehamilan dan majlis pula berlangsung di tempat tinggi dan dingin menusuk tulang.

Tahun lalu, Erra Fazira mengalami keguguran ketika menghadiri ABPBH2007 tetapi cepat diberikan pengganti apabila Mac lalu, selamat melahirkan bayi perempuan diberi nama Engku Aleesya Engku Emran.

Mereka juga manusia biasa yang mengalami dugaan dalam hidup serta melalui suka duka sebagai wanita bergelar isteri.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Kembar Tapi Tak Sama

15 Apr

Rap
MEREKA yang dilahirkan kembar selalunya mempunyai rupa paras dan sikap yang sama malah saling berkait antara satu sama lain. Apabila seorang menangis, seorang lagi juga bersedih dan apabila seorang sakit, saudara kembarnya turut merasainya. Begitulah dekatnya hubungan mereka.

MEREKA yang dilahirkan kembar selalunya mempunyai rupa paras dan sikap yang sama malah saling berkait antara satu sama lain. Apabila seorang menangis, seorang lagi juga bersedih dan apabila seorang sakit, saudara kembarnya turut merasainya. Begitulah dekatnya hubungan mereka.

Namun, berbeza dengan Embun dan Mutiara yang dilahirkan pada tahun sama dan dikenali sebagai kembar tidak seiras. Sikap mereka berdua berbeza kerana Embun mempunyai personaliti suka mengarah, mengejar glamor dan bercita-cita menjadi model terkenal. Mutiara pula bersikap mesra, rendah diri, bijak dan sederhana.

Inilah yang cuba dipaparkan dalam drama bersiri Embun Mutiara terbitan MIG Productions Sdn Bhd dan skrip Nor Shuhaidatul Ain Zakaria serta panel skrip MIG. Drama 13 episod arahan Heykal Hanafiah ini disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 9 malam sejak 10 April.

Ia dibarisi pelakon baru dan lama, Eira Syazira sebagai Embun, Mas Muhaini (Mutiara), Awal Shaari (Roni), Norman Hakim (Hadi), Anne Abdullah (Athirah), Aida Aris (Sara), Noniswara (Laila), Kuza (Yana), Sharifah Shahora (Nadia) dan Noorzam Zam (Jebat).

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar berkata, Embun Mutiara yang bersiaran selama sejam ketika waktu perdana, dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.

Katanya, trend ketika ini menunjukkan penonton gemar menonton drama Melayu yang bukan sahaja menghiburkan malah menyelitkan unsur pengajaran.”

“Embun Mutiara membawa mesej mengenai kepentingan mempunyai keluarga prihatin dan kasih sayang yang dipupuk dari awal untuk melahirkan generasi bertanggungjawab. Ia juga paparkan percintaan yang sering diuji dan kemurnian cinta dari hati yang ikhlas,” katanya.

Embun Mutiara mengisahkan dua beradik, Embun dan Mutiara dilahirkan pada tahun yang sama dikenali sebagai kembar tidak seiras. Sikap mereka berdua sangat berbeza kerana Embun mempunyai personaliti yang suka mengarah, mengejar glamor dan bercita-cita menjadi model terkenal manakala Mutiara bersikap mesra, rendah diri, bijak dan sederhana.

Mereka tinggal di banglo mewah bersama ibu mereka, Athiera, bapa saudara, Hadi dan pembantu rumah yang sudah lama berkhidmat, Mek Nab.

 

 

Athiera ibu tunggal yang masih cantik, pandai mendidik anak dan sentiasa memantau setiap pergerakan mereka supaya tidak terjerumus dalam bidang hiburan. Namun, Athiera mempunyai rahsia besar yang masih tersimpan kemas daripada pengetahuan sesiapa.

Ketika menghadiri uji bakat, Embun berkenalan dengan Roni, jurugambar bebas. Roni terpesona dengan kejelitaan Embun. Pada awalnya, Embun mahu mempergunakan Roni, tetapi akhirnya Embun mula jatuh cinta dan mereka merancang untuk berkahwin.

Bagaimanapun Embun mungkir janji apabila dua kali lari pada hari pertunangan dan perkahwinan demi menghadiri uji bakat menjadi model. Mutiara menggantikan Embun sebagai pengantin sehingga Roni terpikat dengan keluhuran Mutiara dan mengahwininya. Mutiara mula tersepit.

Untuk mengetahui kesudahan kisah cinta tiga segi dan rahsia yang disimpan Athiera sekian lama, jangan lupa menonton Embun Mutiara setiap Jumaat hingga Sabtu, jam 9 malam.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Pembetulan

9 Apr

KEPUTUSAN penolakan representasi Norman Hakim dan Memey dalam kes khalwat dihadapi mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, kelmarin, dibuat Ketua Pendakwa Syarie Negeri Selangor, Abd Shukor Abd Hamid, bukan diputuskan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess), Datuk Zohdi Toha, seperti dilaporkan semalam.

 

 

Harian Metro

Gagal Ketepi Pertuduhan

8 Apr

Oleh Murni Wan Omar

KUALA LUMPUR: Pelakon Norman Hakim dan Memey terpaksa berdepan proses perbicaraan atas tuduhan berkhalwat, Mei depan selepas gagal mengenepikan pertuduhan yang dihadapi mereka, semalam.

Ia berikutan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, menolak representasi yang dikemukakan bagi meminta pertuduhan terhadap mereka diteliti dan dikaji semula.

Keputusan itu dibuat selepas pegawai pendakwa syarie, Muhamad Nazri Basrawi memaklumkan bahawa Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess), Datuk Zohdi Toha menolak permohonan itu.

Bagaimanapun, ia tidak akan dibicarakan di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad seperti sebutan kes sebelum ini berikutan hakim berkenaan mendapat nasihat daripada Ketua Hakim Syarie supaya menarik diri daripada mendengar prosiding itu.

 

 

Wan Mahyuddin berkata, beliau dinasihatkan menarik diri berikutan wujud spekulasi dan kenyataan secara terbuka berhubung kes itu terutama di televisyen dan media cetak.

“Saya bukan tidak berupaya mengendalikan kes ini tetapi dinasihatkan menarik diri demi memastikan tidak wujud subjudis. Mahkamah mengingatkan supaya pihak terbabit tidak membuat kenyataan berhubung kes kerana ia boleh menghina mahkamah.

“Diharap semua pihak dapat menghormati arahan ini dan meneliti kod etika kerja masing-masing demi keadilan. Ia membolehkan kes berlangsung tanpa gangguan. Oleh itu kes ini akan didengar di hadapan hakim yang baru,” katanya.

Terdahulu, Muhamad Nazri memberitahu mahkamah pihaknya sudah menyediakan saksi bagi kes itu dan boleh diteruskan dengan perbicaraan pada bila-bila masa.

Peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hasan yang mewakili Norman Hakim atau Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21, juga memaklumkan pihaknya juga bersedia untuk perbicaraan.

Mahkamah menetapkan 15 Mei untuk sebutan semula.

Harian Metro