Archive | Noryn Aziz RSS feed for this section

Tiada Pilih Kasih

27 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Artis jarang dapat tempat di radio dan TV berpeluang buat persembahan pada AIM16

TIDAK ada pilih kasih diamalkan oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), ketika menentukan siapakah yang paling layak untuk membuat persembahan pada malam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 (AIM16) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 2 Mei nanti.

Pengurus Besar PAIMM, Jennifer Thompson berkata, dalam memilih barisan artis yang akan membuat persembahan, kriteria utama yang diperlukan adalah mereka mestilah berbakat tetapi sering terlepas pandang untuk membuat persembahan dalam acara seperti itu.

“Kita sebenarnya ada ramai penyanyi atau kumpulan muzik berbakat besar serta melahirkan produk berkualiti tetapi kurang diberi perhatian oleh stesen radio, televisyen dan peminat.

“Jadi pentas AIM16 menjadi tempat untuk mereka menyerlahkan bakat sekali gus menyinar dalam industri hiburan,” katanya kepada Hip.

Katanya, ramai yang membuat tanggapan salah kepada AIM kerana sering melihat acara itu sebagai tempat untuk mempromosikan produk penyanyi dan kumpulan muzik yang baru dalam dunia muzik tanah air.

“Memang benar kami turut memainkan peranan dalam mempromosikan produk artis tetapi dalam hal membuat persembahan, kami sebenarnya lebih selektif dan beberapa kriteria lain juga diambil kira.

“Sebagai contoh walaupun artis itu popular dan diakui mampu membuat persembahan yang hebat di konsert misalnya, namun itu bukanlah jaminan untuk mereka kelihatan hebat di kaca televisyen.

“Malahan, saya sendiri pernah memuji persembahan sebuah kumpulan yang sewaktu menyaksikan konsertnya secara live namun selepas melihat kembali di kaca televisyen, barulah saya dapat lihat kelemahan mereka di sana sini,” jelasnya.

Ketengahkan single terbaik bukan popular

Jennifer berkata apa yang dikatakannya nanti bukanlah berniat untuk menuding jari pada mana-mana pihak cuma sekadar menyatakan rasa kesal kerana sikap skeptikal sesetengah pihak terhadap dunia hiburan yang sebenarnya memberikan kesan tidak sihat terhadap perkembangan industri itu sendiri.

“Kita sering melihat ada sesetengah tempat yang melarang artis membuat persembahan. Ini berbeza dengan artis atau band dari Indonesia yang sering menjelajah dari satu lokasi ke lokasi untuk buat persembahan.

“Ini secara tidak langsung mereka sebenarnya membuat latihan memperbaiki kelemahan. Disebabkan itulah kita sering mendengar atau melihat persembahan yang sempurna daripada mereka kerana mereka berlatih hari-hari iaitu dengan cara membuat persembahan di konsert.

“Dari segi lagu, saya cuba mengelak untuk penyanyi terbabit menyampaikan lagu popular mereka. Mungkin saya melihat single lain yang berpotensi untuk ketengahkan, seperti yang pernah kami lakukan untuk kumpulan Estranged apabila kami meminta mereka menyanyikan lagu Velocity berbanding lagu Itu Kamu,” jelas Jennifer.

Pada malam itu nanti barisan penyanyi atau kumpulan yang akan membuat persembahan terdiri daripada M Nasir, Datuk Sheila Majid, Chakrasonic, Faizal Tahir, Goldkartz, Hujan, Joe Flizzow, Man Jiang Hong, Meet Uncle Hussain, Misha Omar dan Rossa.

Penyampai anugerah pula terdiri daripada Aizat, Atilia,Camelia, Dafi, Hunny Madu, Jaclyn Victor, Leya, Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz. Manakala Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Adibah Noor.

Jennifer menjelaskan bahawa ketelitian dalam memilih artis untuk membuat persembahan bukan atas dasar terlalu menjaga prestij acara itu.

“Alasan sebenar adalah saya tidak mahu artis itu nanti yang terpaksa menerima kecaman dan merosakkan karier mereka sekiranya persembahan mereka gagal malam itu,” jelas sekali gus memperbetulkan tanggapan silap pelbagai pihak.

Persembahan barisan artis malam itu nanti akan diiringi kumpulan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman iaitu Ramli MS.

Berita Harian

Kekangan Bajet Tak Sekat Kreativiti

21 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

PAIMM lebih selektif dalam pemilihan senarai artis untuk serikan majlis pada 2 Mei

SEMUA pihak bebas memberikan pandangan dan kritikan namun apa yang termampu mereka lakukan adalah merencanakan konsep persembahan terbaik biarpun menghadapi kekangan bajet yang ketat.

Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson, berkata Anugerah Industri Muzik (AIM) 16 cuma menyediakan lapan slot persembahan sekali gus mendesak mereka supaya lebih selektif dalam pemilihan senarai artis untuk menyerikan acara itu.

Katanya, menyusun senarai persembahan untuk acara besar seperti AIM16 bukan sesuatu yang mudah kerana sulit untuk meramalkan apa yang akan berlaku nanti.

“Ia sama seperti membikin sebuah album yang mengerah kerja keras dan titik peluh serta kreativiti anak seni tetapi apabila menjadi sebaliknya, mereka dihentam dan segala penat lelah yang dicurahkan tidak dihargai.

“Sama seperti AIM16, kami cuba memberikan yang terbaik untuk acara ini atas kapasiti yang ada kerana kami sendiri sukar meramalkan bagaimana hasilnya nanti,” kata Jennifer yang ditemui pada sidang media pengumuman artis yang membuat persembahan dan penyampai trofi untuk malam kemuncak AIM16, baru-baru ini.

Jennifer berkata, industri hiburan negara ketika ini dilambakkan dengan penganjuran pelbagai acara anugerah dan tanpa disengajakan mencetuskan persaingan antara satu sama lain untuk muncul terbaik di penilaian mata khalayak.

Akuinya, dia menyanjung kekuatan produksi Anugerah Juara Lagu Ke-23 yang berjaya menghasilkan sebuah penerbitan terbaik.

“Semua memberikan pandangan dan membuat penilaian, namun kami hanya mampu mencuba sedaya upaya atas segala kemampuan yang ada,” katanya.

Jumlah slot yang kecil tetapi memancing keinginan ramai penggiat muzik untuk turut serta membuatkan Jennifer dan tenaga produksi AIM16 menetapkan kriteria tertentu dalam menentukan barisan artis yang terpilih untuk membuat persembahan.

AIM16 kata Jennifer, mengutamakan artis yang mempunyai produk sebagai kelangsungan untuk mereka meneruskan usaha dalam membina karier dan berdiri matang dalam industri muzik.

“Kita mempunyai ramai artis yang berbakat besar dan melahirkan produk yang baik tetapi kurang diberi perhatian oleh stesen radio dan peminat.

“Justeru, AIM16 memberi peluang ini kepada mereka untuk memperkenalkan bakat seperti mana kesempatan diberikan kepada Dayang Nurfaizah dan Misha Omar yang menyerlah selepas memberikan persembahan terbaik pada malam kemuncak AIM dulu.

“Bagi mereka yang tidak terpilih, AIM tetap menyokong malah apabila tiba masanya mereka juga akan meraih peluang yang sama,” katanya.

Dalam ketelitian itu, Jennifer berkata, pengulangan barisan artis yang menyerikan slot persembahan AIM16 tidak dapat dielakkan kerana mereka impak yang besar kepada dunia hiburan sepanjang tahun lalu.

Faizal Tahir, Meet Uncle Hussain dan Hujan katanya ialah antara barisan artis yang memberi impak besar kepada industri muzik sepanjang tahun lalu.

Tambah Jennifer, meskipun industri hiburan ketika ini dibanjiri ramai kumpulan muzik baru yang mempunyai potensi besar di mata peminat namun mereka terpaksa berhati-hati apabila membabitkan persembahan di kaca televisyen.

Katanya, persembahan secara langsung di depan peminat dan beraksi di kaca televisyen adalah dua perkara berbeza serta menuntut ketelitian yang mendalam.

“Di kaca televisyen, setiap kesilapan dapat dikesan dengan jelas dan kami tidak mahu kerana kegagalan pertama, mereka terus dihukum dan dihentam selama-lamanya.

“Kami pernah melalui situasi ini apabila mengundang kumpulan indie berpengaruh untuk beraksi di AIM tetapi apabila gagal menyerlah di kaca televisyen, mereka teruk dikritik,” katanya.

Jennifer turut memuji artis tempatan berbangsa Cina dan India yang menunggu penuh sabar untuk meraih ruang beraksi pada acara kemuncak tahunan itu.

“Penghargaan mereka terhadap acara ini berbeza. Kesungguhan serta kesabaran mereka cukup kami hargai dan kerana itu, sejak beberapa tahun lalu kami mengundang mereka untuk turut sama,” katanya.

AIM16 yang akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei ini kembali menyatukan Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Adibah Noor sebagai pengacara.

Pengekalan tiga nama berkenaan sebagai teraju utama AIM16 kata Jennifer adalah kerana keserasian mereka dengan gaya dan perjalanan acara anugerah muzik itu.

“Tidak dinafikan pengacara menjalankan tanggungjawab yang berat kerana imej dan cara pembawaan AIM16 berada di tangan mereka. Ketiga-tiga pengacara ini sudah faham dengan perjalanan AIM yang tidak terlalu serius namun mempunyai imej dan prestijnya yang tersendiri,” katanya.

AIM16 diserikan dengan persembahan daripada Chakrasonic, Faizal Tahir, Goldkartz, Hujan, Joe Flizzow, Man Jiang Hong, Meet Uncle Hussain, Misha Omar, M Nasir, Datuk Sheila Majid serta penyanyi Indonesia, Rossa.

Sementara itu, penyampai anugerah pula terdiri daripada Aizat, Atilia, Camelia, Dafi, Hunny Madu, Jaclyn Victor, Leya, Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz.

“Persembahan barisan artis akan diiringi kumpulan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik, Ramli MS. Komitmen yang sentiasa diberikan artis bakal menyajikan sebuah lagi persembahan menarik untuk dinikmati semua,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM16, Rosmin Hashim berkata, kemuncak AIM16 menyajikan beberapa kejutan menerusi gandingan persembahan yang mengujakan penonton.

“Apa yang dapat saya katakan, barisan artis yang terpilih itu mencerminkan perjalanan industri muzik sepanjang 2008 apabila kehadiran mereka memberi impak dan warna kepada dunia hiburan negara,” katanya.

AIM16 mempertandingkan 29 kategori, namun hanya 17 kategori disampaikan pada malam kemuncak manakala selebihnya diserahkan kepada pemenang sebelum acara bermula.

Berita Harian

Acara Hebat AIM16

20 Apr

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
KEHANGATAN Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) kian terasa apabila penganjurnya, Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi) mengumumkan pengacara yang akan mengendalikan majlis bakal berlangsung 2 Mei ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jam 8.30 malam.

Turut diumumkan, penyampai anugerah dan penyanyi yang akan mengisi lapan slot persembahan disediakan pada malam itu.

Tahun ini, AIM16 sekali lagi akan dikendalikan Afdlin Shauki dan Adibah Nor. Mewujudkan kelainan, Bob Lokman yang pernah mengendalikan acara sama pada tahun sebelumnya, turut ditampilkan.

Ketua Jawatankuasa Penganjuran AIM16, Jennifer Thomson menjelaskan, pada dasarnya pihaknya lebih selesa menampilkan seorang pengacara.

“Bagaimanapun, sebagai penganjur, kami cuba melakukan pembaharuan. Tambahan pula, tiga nama yang kami ketengahkan ini sudah biasa dengan pentas AIM.

“Saya cuba memastikan perjalanan AIM16 tidak terlalu serius. Afdlin, Adibah dan Bob mampu mengacarakan majlis dengan jenaka bersahaja. Begitupun, kita cuba memastikan mereka tidak terlalu menonjol sehingga menenggelamkan perjalanan majlis,” katanya.

Waktu sama, penganjur sudah mengatur corak perjalanan majlis agar pengacara tidak celaru apabila mengendalikan AIM16.

“Mereka tidak akan keluar sekali gus, sebaliknya pembahagian segmen akan diatur buat tiga pengacara ini bagi membolehkan perjalanan majlis berjalan lancar,” katanya.

Bercakap mengenai tema, kata Jennifer, seperti tahun sebelumnya, penganjur akan menampilkan mereka yang mewarnai industri muzik sepanjang 2008.

Katanya, daripada senarai penyanyi yang mengadakan persembahan iaitu Faizal Tahir, kumpulan Meet Uncle Hussain, Hujan, Misha Omar, ia jelas menunjukkan persembahan kali ini ibarat cermin kepada mereka yang mewarnai industri muzik tahun lalu.

 

 

“Bagaimanapun, ada lagi beberapa nama yang akan turut sama mengadakan persembahan tetapi kita tidak mahu umumkan hari ini. Ia kejutan daripada penganjur.

“Namun dalam waktu sama, kita turut menjemput M Nasir dan Datuk Sheila Majid untuk sama-sama memeriahkan pentas AIM16. Istimewa apabila kami turut menampilkan artis popular seberang, Rossa.

“Satu segmen menarik apabila AIM16 turut memberikan peluang kepada kumpulan Goldkartz yang menghasilkan album berkonsepkan Bangra ala Malaysia dan Chakrasonic untuk mengadakan segmen khas. Artis Cina tempatan, Man Jiang Hong juga turut mengadakan persembahan. Mereka ini turut dicalonkan dalam AIM16 tahun ini,” katanya

Ada yang berkata, kenapa segmen persembahan ini tidak digunakan penganjur untuk menampilkan penggiat muzik indie seperti kumpulan Bunkface, Yuna, Pesawat dan beberapa lagi yang kini sedang hangat namanya dan turut mewarnai industri dengan muzik yang bagus.

“Bagaimanapun kemunculan mereka ini hanya awal tahun ini, sedangkan senarai artis yang kita bariskan untuk mengadakan persembahan mempunyai album tahun lalu.

“Sebagai penganjur, saya lebih suka memberikan slot kepada mereka kerana dalam waktu sama, ia boleh membantu penyanyi ini untuk mempromosikan karya mereka,” katanya

Jennifer turut mengakui turut berhadapan masalah untuk memuaskan hati ramai penyanyi yang meminta slot untuk mengadakan persembahan pada malam itu nanti.

Menyentuh mengenai penyanyi sama yang mewarnai pentas AIM16 seperti Faizal Tahir, Hujan dan Meet Uncle Hussein, kata Jennifer, perkara itu tidak boleh dielakkan.

“Seperti yang saya katakan awal tadi, mereka ini penggiat muzik yang aktif sepanjang tahun lalu dan tampil dengan muzik yang bagus.

“Karya mereka juga sudah diiktiraf sebelum ini apabila memenangi beberapa anugerah besar. Bayangkan kalau mereka tidak ada pada malam AIM16, pastinya ia kelihatan kekok kerana penyanyi yang aktif sepanjang tahun lalu tidak ada pada malam yang sepatutnya meraikan mereka.

“Bagaimanapun, selaku penganjur, saya berjanji penampilan mereka kali ini berbeza dan tidak akan menampilkan corak persembahan sama,” katanya.

Antara penyanyi yang dijemput untuk menyampaikan anugerah pada AIM16, Aizat, Atilia, Camelia, Dafi, Hanny Madu, Jaclyn Victor, Leya, Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

AIM Pilih Bulu?

20 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


DARI ATAS: AIZAT, Atilia dan ibunya Salamiah Hassan, serta Camelia.


JENNIFER THOMPSON

WALAUPUN kuantiti lapan slot yang diperuntukkan untuk para artis melakukan persembahan dalam Anugerah Industri Muzik 16 (AIM 16), namun ia bukanlah satu tanggungjawab yang mudah untuk mengelola majlis berprestij itu.

Dilema itu diakui sendiri oleh Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson yang harus membuat keputusan bijak tentang pemilihan artis yang akan mewarnai pentas AIM kali ini.

Hanya artis yang benar-benar berkualiti dan cukup bersesuaian untuk ditampilkan melakukan persembahan di pentas AIM akan terpilih.

“Setiap tahun saya dihujani dengan banyak panggilan telefon daripada artis yang cukup teruja hendak membuat persembahan.

“Saya hanya mampu memberi jawapan agar mereka dapat menunggu giliran untuk tahun-tahun berikutnya ditambah dengan pihak kami yang sekadar meletakkan slot dalam bilangan kecil.

“Tidak boleh dengan sewenang-wenangnya melibatkan ramai artis membuat persembahan kerana ditakuti penonton jemu dengan hiburan yang dihidangkan sekali gus membuatkan AIM mengambil masa yang panjang untuk disiarkan.

“Saya sendiri akui bahawa AIM menjadi platform anak-anak seni tanah air untuk mengenengahkan bakat yang dimiliki serta survival mereka sebagai penggiat muzik.

“Namun saya juga perlu ikut prosedur dalam menonjolkan artis. Hanya yang diyakini cukup layak untuk berada di pentas AIM bagi membuat persembahan,” katanya ketika ditemui pada sidang media AIM 16 di Hotel Concorde Khamis lalu.

AIM 16 yang akan berlangsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, 2 Mei nanti menyaksikan artis-artis seperti M. Nasir, Misha Omar, Faizal Tahir, Datuk Sheila Majid, Meet Uncle Hussain, Joe Flizzow, Hujan, Chakrasonic, Man Jiang Hong dan Goldkartz, membuat persembahan.

Tidak terkecuali, penyanyi dari negara seberang, Rossa akan muncul dalam AIM 16 sekali gus membuat persembahan yang pastinya bakal memberi kejutan kepada penonton.

Persembahan artis pada malam itu pula akan diiringi oleh kumpulan pemuzik profesional yang dikepalai pengarah muzik terkenal, Ramli MS.

Bukan bermaksud pilih bulu atau menganak-tirikan mana-mana artis, sebaliknya pemilihan artis-artis ini bersandarkan kepada kredibiliti mereka membuat persembahan dan diri mereka yang mencerminkan industri muzik pada tahun lalu.

“Pemilihan mereka selaras dengan hasrat AIM 16 untuk memberi peluang mereka menonjolkan kebolehan masing-masing.

“Jika bercakap tentang kemampuan mereka menarik perhatian penonton, itu bergantung kepada persembahan mereka.

“Kami membuka jalan dan turut yakin barisan artis ini mampu memperlihatkan warna persembahan yang terbaik pada malam itu,” beritahu Jennifer yang menyatakan tiada sebarang konsep atau tema diwajibkan bagi setiap persembahan.

Dalam pada itu, AIM juga tidak melupakan kehadiran kumpulan indie yang menjadi trend dalam industri muzik di Malaysia.

“Bahkan mereka cukup berbakat dalam menghasilkan produk sendiri sehingga mendapat sambutan di luar dugaan daripada peminat.

“Lantaran itu, saya harus memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada mereka yang berbakat besar ini untuk terlibat dalam AIM.

“Cuma saya harus berhati-hati dalam soal pemilihan kumpulan yang bakal membuat persembahan kerana AIM punya perbezaan ketara berbanding konsert-konsert biasa apatah lagi majlis penganugerahan ini dipancarkan secara langsung menerusi kaca TV,” katanya.

Jennifer sebelum ini pernah memberi peluang kepada sebuah kumpulan indie untuk menyanyi di pentas AIM, namun mereka tidak membuat persembahan seperti yang dijangkakan. Lain yang diharap, lain pula jadinya.

“Secara tidak langsung, ia memburukkan reputasi penganjuran majlis ini,” jelas Jennifer yang menjawat jawatan sebagai Penerbit AIM bermula tahun pertama penganjuran acara itu pada tahun 1993 sehinggalah ke hari ini.

Dalam majlis sama, Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM 16, Rosmin Hashim turut mengumumkan senarai artis yang bakal menjadi penyampai anugerah serta pengacara.

Masih mempercayai kredibiliti Afdlin Shauki dan Bob Lokman, AIM 16 turut tidak ketinggalan mengundang Adibah Noor, yang menjadi ‘bunga’ untuk mengemudikan acara itu.

Pihak AIM 16 bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang segmen khas. Sebaliknya Rosmin memberitahu: “Kami mahu memberi kejutan kerana tidak menarik jika diberitahu awal-awal.

“Ada kolaborasi yang tidak disangkakan, malah ada nama artis yang kami sedang difikirkan lagi untuk terlibat dalam persembahan AIM 16.”

Selain itu, beberapa nama terkenal dalam industri seni tempatan turut diundang untuk menyampaikan trofi pada malam bersejarah itu.

Antara mereka yang dimaksudkan ialah Aizat, Atilia, Camelia, Dafi, Jaclyn Victor, Leya (Hot FM), Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, AIM 16 mewajibkan semua hadirin untuk berpakaian formal atau Black Tie.

Kepada peminat yang ingin menghadiri AIM 16, mereka boleh mendapatkan tiket yang berharga RM50 dengan menghubungi talian 03-40445388.

Kosmo

TV2 Siarkan Program Realiti Worldstars – Road To Hollywood

18 Apr


MOHD Shafie (enam dari kiri) berbual sesuatu dengan Jehan Miskin, pengacara Worldstars – Road to Hollywood bersama Vanessa Chong.

PROGRAM realiti TV sememangnya menjadi pilihan penonton terutama di kalangan remaja apatah lagi bagi mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan industri seni tanah air.

Saban hari khalayak penonton kita dihidangkan dengan bermacam-macam program realiti TV terutama membabitkan bidang nyanyian yang berminat mencungkil bakat sebagai penyanyi.

Begitu pun kini penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) berpeluang menyaksikan satu-satunya program realiti TV terbaru yang menampilkan konsep berbeza berbanding program sama yang sedia ada iaitu Worldstars – Road To Hollywood.

Realitinya Worldstars – Road To Hollywood adalah program yang cuba mencungkil bakat tempatan yang terpendam membabitkan lima kategori sekali gus dalam bidang seni persembahan merangkumi vokal, tarian, lakonan, peragaan dan permainan alat muzik.

Worldstars – Road To Hollywood sudah disiarkan setiap Selasa, sejak 17 Mac lalu, jam 10 malam menerusi TV2 sebanyak 13 episod.

Siarannya menampilkan kemunculan gandingan pengacara pelakon terkenal Jehan Miskin dan Vanessa Chong.

Program Worldstars – Road To Hollywood bermula dengan mengikuti perkembangan dan persiapan pasukan Team Malaysia 2008 dalam pertandingan antarabangsa di Hollywood pada tahun lepas di pertandingan World Championship Of Performing Arts 2008 (WCOPA)

Terdapat empat segmen iaitu segmen pertama mengenai kategori Vokal dan diwakili Noryn Aziz dan Iqwal. Manakala menerusi segmen kedua iaitu peragaan yang diserikan dengan kemunculan dua model terkenal iaitu Tengku Azura dan Zeia.

Kemudiannya program yang disiarkan sepanjang satu jam ini diisi dengan segmen ketiga membabitkan permainan alat muzik yang diwakili oleh pemuzik dari Istana Budaya sebelum menyusul segmen terakhir membabitkan kategori tarian dan diwakili oleh penari hebat dari Istana Budaya.

Program Worldstar-Road to Hollywood dilancarkan secara rasmi pada 10 Februari lalu oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada waktu itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Untuk mengetahui siapakah peserta yang berjaya melayakkan diri ke peringkat yang seterusnya hingga menuju ke peringkat akhir yang bakal disiarkan pada 12 Mei 2009 kelak, jangan ketinggalan menyaksikan pencarian bakat baru bidang seni ini dengan menonton Worldstars – Road To Hollywood.

Berita Harian

Bath Tarikan Baru England

4 Apr

Oleh MANAN SAMAD
manansamad@hmetro.com.my

KATA orang tua-tua, ‘tak kenal, maka tak cinta’. Itu yang dialami penulis ketika berpeluang mengikuti rombongan AirAsia bersama media sempena majlis menyambut ketibaan pesawat sulung AirAsia X dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Stansted, London, baru-baru ini.

Diketuai Pembantu Peribadi kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Eksekutif AirAsia, Edd Radzie, kami berkesempatan ke beberapa tempat menarik di sekitar London, Bath, Oxford dan Bristol selama beberapa hari selepas majlis bersejarah pada 11 Mac lalu.

Jauh perjalanan banyak pengalaman, justeru sedikit sebanyak penulis dapat menyelami kepelbagaian tarikan kota London dan beberapa bandar berhampirannya.

Kunjungan kali ini juga mengimbau kenangan penulis ketika masih bertugas sebagai wartawan sukan dan diberi tugasan membuat liputan Kejohanan Badminton Seluruh England di Birmingham pada 2003.

 

 

Cuma manisnya berbeza. Dulu penulis dan rasanya seluruh rakyat Malaysia tumpang gembira dengan kejayaan Hafiz Hashim muncul juara perseorangan lelaki menewaskan jaguh China, Chen Hong, sekali gus menamatkan penantian 37 tahun selepas Tan Aik Huang kali terakhir melakukannya pada 1966.

Dek kesuntukan masa selepas menamatkan tugasan, penulis ketika itu tidak berkesempatan meninjau lokasi pelancongan menarik, sebaliknya memberi tumpuan untuk melawat beberapa stadium kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menjadi kemestian buat ‘kaki bola’.

Antaranya Stadium St Andrew (Birmingham City), Villa Park (Aston Villa), Goodison Park (Everton), Anfield (Liverpool), dan sebelum menaiki pesawat di Lapangan Terbang Heathrow, penulis sempat ke Highbury (stadium lama Arsenal) dan White Hart Lane (Tottenham Hotspur).

Dalam kata lain, sebagai ‘kaki bola’ penulis mendapat kepuasan kerana ia satu kemestian, tetapi sebagai pelancong penulis sebenarnya masih ‘buta’ mengenai London.

Justeru, peluang kedua ini ibarat ‘pucuk dicita, ulam mendatang’. Selepas penerbangan meletihkan selama 13 jam, hari pertama dihabiskan dengan program menyambut ketibaan pesawat sulung AirAsia X ke London, termasuk persembahan dua artis negara, Noryn Aziz dan Joe Flizzow, pada sebelah malamnya.

Selepas bermalam di Hotel Corus, hari kedua baru program pelancongan bermula, kebanyakannya membabitkan lokasi popular yang dicadangkan dalam laman web rasmi AirAsia.

Lokasi paling menarik dan pastinya dilawati pelancong adalah London Eye – roda Ferris paling tinggi di dunia terletak bersebelahan Sungai Thames yang membolehkan pelancong menyaksikan 55 lokasi paling terkenal di London dalam tempoh kira-kira 30 minit.

Dari situ, rombongan penulis ke National Gallery yang menyimpan pelbagai karya lukisan agung Eropah dari 1250 ke 1900, termasuk karya pelukis terkenal seperti Botticelli, Leonardo da Vinci, Rembrandt, Gainsborough, Turner, Cezanne dan Van Gogh.

Bagi yang meminati sejarah, Muzium British wajar dikunjungi kerana menyimpan pelbagai artifak prasejarah hingga ke zaman moden dari seluruh dunia, termasuk batu Rosetta, patung Parthenon dan pasu Portland.

Penggemar seni moden pula boleh mengunjungi Tate Modern iaitu muzium seni moden kebangsaan Britain. Terletak di tepi Sungai Thames, galeri itu mempamerkan hasil kreatif pereka tersohor seperti Matisse dan Picasso selain pameran moden dari semasa ke semasa.

Selepas mengunjungi Covent Garden Market, rombongan penulis mengakhiri hari kedua di kota London dengan bersiar-siar di sekitar Jalan Oxford – kawasan membeli-belah terkemuka dunia.

Premis beli-belah di kawasan itu ibarat ‘syurga’ bagi golongan berada dengan pelbagai barangan cenderahati, pakaian, perhiasan, kasut, beg tangan, peralatan rumah dan sebagainya.

Namun bagi golongan berpendapatan sederhana seperti penulis, satu-satunya premis di jalan itu yang menarik perhatian ialah Pusat Beli-Belah Primark, premis menjual pakaian pada harga serendah 1.99 pound (RM10.35).

Primark tidak menjual pakaian berjenama, tetapi barangannya berkualiti dan selesa dipakai jika dibandingkan pakaian pada harga sama di Malaysia. Justeru, tidak mengejutkan pusat beli-belah itu sentiasa dikunjungi pengunjung, terutama rakyat tempatan berpendapatan rendah dan sederhana.

Hari ketiga, rombongan penulis ke bandar Bath, kira-kira dua jam setengah perjalanan bas dari tengah London. Nama Bath mungkin asing bagi sebahagian besar rakyat Malaysia, tetapi kota itu mempunyai pelbagai tarikan yang diidamkan pelancong, terutama dari Eropah.

Bath sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan Melaka dan Pulau Pinang, iaitu lokasi Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Dalam bahasa lain, kota Bath masih ‘dara’ berbanding bandar lain di England. Bandar itu dipenuhi bangunan dengan seni bina lama dipengaruhi Roman dan Georgian berbanding bangunan moden dan pencakar langit di kota besar lain.

Tarikan utama Bath pastinya kolam air panas yang sukar didapati di negara bercuaca sejuk, sekali gus menjadikan kota itu tumpuan pelancongan Eropah. Antara premis yang kerap dikunjungi pengunjung ialah Thermae Bath Spa, yang menawarkan kira-kira 50 rawatan kesihatan.

Melepaskan lelah seketika di hotel penginapan Mercure Francais, rombongan kami kemudian meneruskan kembara dengan melawat sekitar bandar Bath yang tenang sambil berjalan di celah-celah bangunan lama.

Antara bangunan yang menarik perhatian penulis ialah kedai roti Sally Lunn’s, iaitu bangunan tertua di Bath dibina pada 1482, manakala premis itu mula beroperasi sejak 1680.

Selepas mendaftar keluar dari hotel untuk meneruskan perjalanan ke bandar Oxford, rombongan kami singgah sekejap di Bathaquaglass, iaitu kedai membuat barangan berasaskan kaca menggunakan kaedah lama.

Sejam kemudian, kami tiba di Oxford yang terkenal dengan Universiti Oxfordnya – tempat ramai cendekiawan dan pemimpin dunia menuntut ilmu. Uniknya, universiti itu tidak mempunyai kampus utama, sebaliknya merangkumi 38 kolej yang berselerak di sekitar bandar itu.

Berhampiran perpustakaan utama dan dewan graduasi universiti itu, penulis tertarik dengan sebuah kedai buku tiga tingkat bernama Blackwell yang dikatakan menjadi premis utama pelajar Oxford membeli bahan bacaan.

Difahamkan, premis itu mempunyai kedai buku bawah tanah terbesar di dunia, sekali gus memudahkan pemilik menyimpan pelbagai stok buku pelbagai topik untuk pelajar dari seluruh dunia.

Jika anda mahu mencari cenderahati murah seperti baju, pen dan topi, gerai bergerak di sekitar bandar itu jauh lebih murah berbanding di London.

Sebagai contoh, topi tiruan kelab bola sepak Manchester United hanya berharga 5.99 pound (RM31.15) di Oxford berbanding 9.99 pound (RM51.95) di London.

Pada hari terakhir, kami sempat singgah ke deretan kedai menjual barangan berjenama terkenal di Bristol City, ibarat Nilai di Negeri Sembilan. Berikutan kesuntukan masa, kami pada awalnya hanya diberi masa setengah jam di situ, namun disebabkan tarikan terlalu hebat dengan produk terkenal seperti Polo Ralph Lauren, Clarks, Guess, Jimmy Choo, Calvin Klien dan pelbagai lagi pada harga murah, masing-masing terlewat hampir setengah jam.

Umpamanya, kasut terkenal jenama Clarks yang berharga mencecah RM400 di Malaysia boleh dibeli pada harga serendah 30 pound (RM156) dengan stok terhad.

Dalam kata lain, kota London dan bandar sekitarnya adalah lokasi berbaloi untuk dilawati. Jika sebelum ini London hanya untuk golongan berada, tetapi kini dengan AirAsia X menawarkan tiket ke situ pada harga serendah RM490, mimpi boleh menjadi realiti bagi golongan sederhana sekalipun, jika andai bijak merancang masa perjalanan.

Bagi penulis, cinta pandang pertama pada kota London sudah menjadi cinta sejati selepas kunjungan kali kedua – perasaan yang mungkin dikongsi sebahagian besar rakyat Malaysia yang pernah berkunjung ke bandar raya milik bekas penjajah itu.

Harian Metro

Reshmonu Di AIM Lagi

29 Mar

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

Rap
KEMUNCULAN Reshmonu menerusi album sulung, Monumental, empat tahun lalu yang menampilkan muzik, vokal dan stail rambutnya yang unik meninggalkan impak besar kepada persada seni suara tanah air.

Album Inggeris pertama itu bukan sekadar salam perkenalan daripadanya, malah mendapat pengiktirafan industri apabila Monumental menerima tujuh pencalonan Anugerah Industri Muzik (AIM) 2004.

Begitupun, ia kisah empat tahun lalu. Kini selepas lama menyepi, percubaan membawa lagu cita rasa Melayu dalam album terbarunya berjudul Harapan kembali mengulang sejarah apabila tersenarai antara finalis AIM musim ini.

Buktinya, dua lagunya berjudul Doa Untuk Dia dan Sayu tercalon dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album, manakala lagu Oh Anok Anok tersenarai dalam kategori Video Muzik Terbaik.

Rezeki berganda buat penyanyi ini apabila albumnya itu turut dicalonkan dalam kategori Album Pop Terbaik.

Kata jejaka berusia 32 tahun ini, perasaan bangga berbaur gembira menguasai diri, lebih-lebih lagi album ini adalah percubaan untuknya menguji kekuatan diri dalam konsep berbeza.

“Saya bangga dengan pencapaian ini. Tercalon dalam AIM 2009 sudah satu kemenangan buat saya.

“Pada mulanya album ini sekadar mencuba sesuatu yang baru, lebih-lebih lagi apabila saya memberanikan diri membawa lagu dalam bahasa Melayu. Tidak sangka pula ia ramai menyukainya.

“Tersenarai dalam empat kategori memang membanggakan. Pada saya, ramai lagi artis berbakat dan menampilkan lagu bermutu. Begitupun, saya menganggap ia sebagai persaingan hebat yang perlu disertai demi mematangkan kerjaya seni,” katanya.

Ramai juga tertanya-tanya, bila penyanyi ini merakam album barunya. Tanpa khabar berita, tiba-tiba albumnya pula tercalon dalam pelbagai kategori.

 

 

“Sebenarnya, album ini dirakam di bawah syarikat rakaman saya sendiri iaitu R Records. Mula dirakam tahun lalu, Harapan mengandungi 12 lagu dan mengandungi campuran pelbagai pengaruh muzik seperti samba, latin dan afro-latin.

“Dalam masa sama, saya sempat berkolaborasi dengan beberapa artis popular tempatan seperti Noryn Aziz, Hunny Madu dan Adeep dari Fabulous Cats.

“Saya minta maaf jika ramai tidak tahu mengenai album ini. Lagipun, album ini masih dalam rangka promosi. Sebab itu mungkin ramai belum tahu mengenainya,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro