Archive | Noryn Aziz RSS feed for this section

Kosmetik Halal Di Pasaran

23 Mar

Oleh Sariha Mohd Ali
sariha@bharian.com.my

Farmasi Colour Cosmetics pilihan wanita Muslim

BAGAIKAN memahami keperluan wanita Muslim di Malaysia yang mementingkan kebersihan dan status halal produk kecantikan untuk ditatarias di wajah, syarikat Naturelife Sdn Bhd tampil menyelesaikan masalah itu apabila membawa masuk jenama Farmasi Colour Cosmetics (FCC) ke pasaran negara ini.

Memiliki lebih 500 variasi produk kecantikan yang ditawarkan untuk pilihan pelanggan dengan harga sangat berpatutan antara RM6.90 hingga RM69.90, Pengarah Eksekutif Naturelife, Ili Zalwani Ismail, yakin produk baru keluaran Turki dan sudah terkenal di beberapa negara Eropah ini, mampu memikat hati golongan wanita di negara ini.

Katanya, kemasukan FCC tepat pada masanya untuk memberi peluang wanita di negara ini menampilkan wajah yang disolek cantik menggunakan produk kosmetik bertaraf antarabangsa tetapi dengan harga yang sangat kompetitif.

“Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan dan setiap masa, mereka ingin tampil menarik dengan solekan yang bersesuaian.

“Menyedari keperluan itu, kita berusaha membawa masuk FCC pada tahun lalu, bagi memenuhi permintaan pasaran khususnya kepada wanita Muslim kerana semua produk yang dikeluarkan ini halal dan boleh digunakan ketika solat.

“Walaupun syarikat mensasarkan wanita berusia antara 18 hingga 28 tahun untuk menggunakan produk ini, tetapi variasi kosmetik yang ditampilkan yang kebanyakannya jenis berkilat, turut memberi peluang pengguna seawal usia 3 tahun menggunakan kosmetik ini hinggalah kepada wanita dewasa yang boleh memilih koleksi warna hangat dan lembut yang disediakan,” katanya selepas majlis pelancaran produk berkenaan di hotel Sunway Resort and Spa di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Majlis yang diadakan secara gilang gemilang itu disempurnakan To’ Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail, isteri kepada Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Seri Panglima Raja Tengku Baderul Zaman Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sambil disaksikan wakil FCC dari Turki, Melisa Ozge.

Kemeriahan pelancaran itu turut diserikan dengan kehadiran ramai selebriti terkenal termasuk pelakon Dynaz, Ekin, Zahnita, Noryn Aziz dan Emelda Rosmila yang turut beraksi di pentas menggayakan solekan terkini menggunakan FCC.

Ili Zalwani berkata, walaupun produk berkenaan disahkan halal di Turki dengan pembuatannya langsung tidak menggunakan bahan terlarang seperti lemak haiwan, gelatin atau bahan kimia, pihaknya juga akan mendapatkan pengesahan sijil halal daripada pihak berkuasa di negara ini.

“Berdasarkan perkembangan sekarang, saya bangga apabila FCC mula diterima di kalangan wanita selepas usaha dijalankan untuk memperkenalkannya di kaunter jualan pusat beli belah termasuk Parkson dan Jaya Jusco.

“Kita akan mempergiatkan usaha mempromosi produk ini menerusi iklan secara besar-besaran di media cetak dan elektronik, selain berusaha menembusi pasaran di seluruh negara supaya sasaran jualan RM6 juta berjaya dicapai tahun ini,” katanya.

Ili Zalwani berkata, bagi membuktikan kejujurannya untuk memberi khidmat terbaik kepada wanita dengan membekalkan rangkaian alat solek berkualiti, enam mekap artis terkenal dijemput untuk menggunakan produk berkenaan dan memberi maklum balas mengenainya.

“Saya bersikap terbuka dengan menjemput mekap artis terkenal untuk mencuba jenama ini dan memberi komen jika ada yang tidak disukai mereka supaya produk berkenaan dapat dipertingkatkan pembuatannya agar bersesuaian dengan keadaan di sini.

“Contohnya, mungkin ada yang tidak puas hati terhadap sesetengah alat solek yang mungkin berminyak untuk cuaca di sini dan maklum balas itu penting untuk kita maklumkan kepada pengeluar di Turki supaya memperbaiki kandungannya bersesuaian dengan cuaca di Malaysia.

“ Bagaimanapun, setakat ini, saya bersyukur kerana FCC memenuhi citarasa mereka dan paling disukai mekap artis berkenaan ialah bedak asas kami yang mampu menampilkan kulit wajah yang tegang dan kelihatan lebih muda,” katanya.

Gadis berjiwa kental ini juga berhasrat menembusi pasaran Indonesia selepas ini dan kemudian menjadi pengedar tunggal FCC di rantau Asia Tenggara.

Berita Harian

Aura Glamor

18 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Mila kagum apabila dirinya dilimpahi kilauan koleksi barangan mutiara Rafflesia

GADIS genit dengan liuk lintuk tubuh badan Mila Jirin comel serta diimbangi bakat, seakan-akan sebiji mutiara yang bersinar melimpahi aura glamor kehidupan penyanyi dan usahawan muda ini.

Lagu single pertama, Persis Mutiara yang didendangkan gadis kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang berusia 21 tahun ini menjadi lambang kepada dirinya dilimpahi kilauan batu mutiara tajaan Rafflesia The Pearl Centre petang hening minggu lalu.

Seolah-olah kagum apabila buat kali pertama disalut mutiara yang menaja Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Mila menyifatkan kualiti yang ada pada koleksi barangan Rafflesia begitu mewah dan bersesuaian dengan harga yang ditawarkan.

Selain hadir ke premis Rafflesia untuk mencuba koleksi mutiara hitam, Mila atau Noorsyarmila ini bakal menggayakan rekaan Nik Erwan Roseli yang turut menyertai pertandingan Anugerah Pereka Popular ABPBH 2008.

Kata Mila, sebelum ini dia pernah bekerjasama dengan pereka fesyen itu beberapa kali termasuk ketika berlangsungnya Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (Mifa) serta menerima tajaannya untuk pembikinan klip video tahun lalu.


FINALIS kategori Penyanyi Wanita Popular menggayakan koleksi mutiara Rafflesia.

“Tahun lalu, Nik ada menghubungi pengurus Mila dan dia pernah menyatakan hasrat menaja pakaian untuk ABPBH. Tetapi ketika itu, Mila sendiri tidak tahu akan layak sebagai Top 5 dalam kategori Penyanyi Wanita Popular.

“Demi menghargai keinginannya selepas diumumkan antara lima calon bagi kategori Penyanyi Wanita Popular, ingatan Mila terus kepadanya. Alhamdulillah akhirnya kami dapat bekerjasama.

“Selepas berpeluang memperaga busana rekaannya di Mifa, Mila dapati rekaannya cukup melekat di tubuh Mila yang genit ini. Dengan saiz badan Mila yang kecil, memang kesukaran mendapatkan pakaian yang sesuai tidak dapat disangkal lagi. Langkah terbaik untuk menyembunyikan kerendahan Mila ialah memakai gaun potongan pendek paras kaki berbanding potongan labuh,” katanya.

Menurutnya, dia ada melihat contoh rekaannya berkonsepkan rock tapi selepas membuat pertimbangan dengan pihak pengurusan, Maestro Talent & Management, gaun pendek ‘comel’ menjadi pilihan.


KOLABORASI Mila dan pereka fesyen, Nik Erwan Roseli dilihat serasi kerana sudah beberapa kali bekerjasama.

Katanya, bukan bermaksud tidak mahu mencuba gaya rock, cuma pihak Maestro bimbang dia tidak mampu membawa konsep itu.

“Paling penting, rekaan Nik tak akan terus membuatkan Mila jadi pendek lagi,” katanya manja.

Tahun lalu, Mila berjaya dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Popular ABPBH 2007, namun untuk kali ini, dia secara sejujurnya untuk tidak meletakkan harapan yang tinggi apatah lagi bersaing dengan nama hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza, Stacy, Jaclyn Victor dan Elyana.

Katanya biarpun berbunyi agak klise, sudah memadai apabila berada di peringkat top 5.

“Kalau ada rezeki untuk menang, Mila memanjat kesyukuran. Secara peribadi, Mila belum layak untuk berada di dalam kategori itu, malah banyak lagi pengalaman yang perlu Mila timba demi memantapkan kerjaya ini,” katanya merendah diri.

Cinta Mila kepada bidang perniagaan

DUA tahun merentas onak duri dunia seni, namanya acap kali menerima tempias kontroversi. Satu persatu kisah kurang enak hinggap ke sisinya seperti kisah cinta tidak kesampaian rakan seperjuangannya, Ebi, gosip dibela ‘sugar daddy’, menjadi perempuan simpanan dan masalah membabitkan seorang pereka fesyen.

Lumrah menjadi anak seni, anak sulung tiga beradik ini mengakui pernah menangis dan tersentak apabila gosip membabitkan dirinya mula tumbuh melata.

Seiring dengan kematangan yang diperoleh hari demi hari, Mila kini mengambil pendekatan memekakkan telinga kerana percaya gosip itu hanya mainan dunia seni.

“Menjadi kebiasaan apabila gosip itu mula tersebar, orang yang tidak tahu-menahu perkara sebenar akan mula mempercayai biarpun kebenaran hanya Tuhan yang tahu. Dulu apabila Mila dihentam, Mila akui tidak mampu mengawal emosi dan mudah tersentuh.

“Sekarang Mila sudah mula membiasakan diri dengan rencah dunia hiburan dan tidak terlalu mengambil peduli terhadap gosip liar. Mila tak boleh cepat melatah kerana orang yang suka kita jatuh pasti seronok kalau kita cepat mengalah. Apa yang datang kini ibaratnya seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri,” katanya positif.

Mila sambil berseloroh cinta hatinya kini hanyalah kepada perniagaan keluarganya, LuvMILA Corporation Sdn Bhd (LuvMILA) yang beroperasi sejak 0gos tahun lalu. Sebelum ini, Mila pernah mempunyai perkongsian saham dengan syarikat MC Voices & Stars Sdn Bhd, bagaimanapun Mila sudah menarik diri.

“Biarpun sudah tidak lagi bersama MC Voices & Stars, syarikat itu masih lagi bekerjasama dengan Maestro untuk beberapa projek yang dilaburkan.

“Mengenai perniagaan, alhamdulillah sambutan produk kosmetik dan makanan yang diterima amat menggalakkan. Mujurlah ibu bapa Mila banyak membantu menjalankan urusan di pejabat kami di Kota Damansara,” katanya yang sedang merancang pembikinan album kedua dan besar kemungkinan mengikuti keadaan pasaran dengan memasarkan single.

Dua lagu yang turut dinyanyikan Mila turut mendapat sentuhan nukilan lirik daripada Allahyarham Loloq iaitu Cintamu Sayap dan Sanubariku.

Penyanyi yang tak cerewet

SEMENTARA itu, pereka fesyen berkelulusan Diploma Grafik dan Ijazah Senireka Fesyen di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Shah Alam menyatakan rasa senang dapat bergandingan menaja busana kepada Mila. Malah, Nik Erwan Roseli turut menaja ibu mengandung, Dynas.

Pereka berusia 25 tahun ini berpendapat saiz genit yang dimiliki Mila membuatkan penyanyi itu cocok sekali menggayakan rekaan yang menampakkan dirinya comel.

“Mulanya saya mahu menggunakan kombinasi warna hitam dan coklat dengan sedikit sentuhan rock. Atas permintaan Maestro dan persetujuan semua pihak, akhirnya untuk menampakkan Mila comel, saya cetuskan idea dan ilham gabungan dua warna terang.

“Saya tiada masalah bekerjasama dengan sesiapa pun. Pada pandangan saya, Mila sangat sporting, berfikiran terbuka, tak cerewet dan boleh memberi pendapat. Apa yang penting gaya busana ini akan diperkuatkan dengan solekan dan dandanan rambut,” kata Nik Erwan Roseli.

Profil Mila

NAMA SEBENAR: Noorsyarmilla Jirin

TARIKH LAHIR: 23 Disember 1987

ASAL: Teluk Kumbar, Pulau Pinang

PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Teknik Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Air Hitam, Pulau Pinang

PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia musim ke-5 (AF5) dan Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007

ALBUM: Persis Mutiara

FILEM: Apa Kata Hati dan Lu Pikirlah Sendiri The Movie, manakala suaranya turut digunakan dalam filem muzikal Walt Disney, High School Musical yang dialih ke bahasa Melayu. Mila melakonkan watak Gabriella

PERNIAGAAN: Mengusahakan produk kecantikan, Luv Mila yang diselenggara Luv Mila Corporation Sdn Bhd (www.luvmila.com.my)

Info Nik Erwan Roseli

Rekaannya pernah digayakan pelakon dan penyanyi terkenal seperti Siti Sarah, Sharifah Aleya, Farawaheeda, Noryn Aziz, kumpulan Mendua, Milla AF5, Lisa Suriani, Irma Hasmie, The Fabulous Cats.

Untuk mendapatkan khidmat pereka muda ini, hubungi 016-2500935/017-2431482 atau emel nikerwanroseli@yahoo.com.my atau kunjungi laman blog http://www.nikerwanroseli.blogspot.com.

Berita Harian

Noryn Aziz Dilamun Cinta Lagi?

18 Mar

 

KL, 18 MAC 2009: Tidak ada angin, tidak ada ribut, alih-alih Murai Batu dengar penghibur terkenal, Noryn Aziz yang semakin cantik dan anggun jelita itu sudah pun bercadang untuk berkahwin dengan jejaka pilihannya.

Hai, dengan siapa pula Noryn bercinta? Tak pernah pula Murai Batu dengar kisah percintaannya dengan mana-mana lelaki sebelum ini kecuali Mr F.

Korek punya korek, selidik punya selidik, akhirnya Murai Batu dapat tahu juga siapa orang itu. Wah, nampaknya bukan calang-calang  bakal suami pilihan Noryn itu kerana beliau seorang kenamaan daripada keluarga diraja yang cukup berkarisma dan bijak.

Pernah Murai Batu terserempak dengan bakal suami Noryn itu di pusat beli-belah di Pavilion, KL. Auranya memang luar biasa kerana mampu membuat orang terpaku apabila melihatnya. Walaupun sedar dia sering menjadi perhatian ramai orang, tetapi dia bijak membawa diri, pergerakan serta tutur kata.

Kalau boleh, Murai Batu teringin nak dpatkan pengakuan itu daripada mulut Noryn sendiri. Tapi, lepas dapat tahu yang Noryn kini sedang berada di London atas urusan nyanyian bersama AirAsia X, jadi terpaksalah Murai Batu pendamkan hasrat itu buat sementara waktu. 

Murai Batu: Dengar khabar orang kuat AirAsia, Tony Fernandes, bukan main minat dengan vokal Noryn.

Murai

Tidak Lepas Peluang

17 Mar

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

CALON uji bakat Worldstars – Road to Hollywood kategori vokal bersiap sedia di belakang pentas sebelum nama mereka dipanggil.

Ramai teruja mewakili Malaysia ke WCOPA

SEJAK 2005, pasukan Malaysia tidak pernah pulang dengan tangan kosong apabila ada saja wakil negara ini yang memenangi pingat pada Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) yang berlangsung di Hollywood, California, Amerika Syarikat. Nama seperti Dina, Deja Moss dan Noryn Aziz ialah antara penyanyi popular tempatan yang menempa nama pada pertandingan antarabangsa berkenaan.

Ketika ini, siri uji bakat bagi mencari wakil Malaysia ke pertandingan berkenaan giat dijalankan. Pada 14 dan 15 Februari lalu, uji bakat dilangsungkan di Johor Bahru, diikuti lokasi Pulau Pinang (21 dan 22 Februari), Kuala Lumpur (28 Februari dan 1 Mac), Kuching dan Kuantan (7 dan 8 Mac) serta Kota Kinabalu (14 dan 15 Mac).

Ketika sesi uji bakat yang dikenali sebagai Worldstars – Road to Hollywood itu diadakan di Berjaya Times Square di ibu kota, turut kelihatan beradu nasib pada acara berkenaan ialah beberapa bekas peserta rancangan realiti termasuk Bob, Sahri, Nabil dan Cicik. Penyanyi Siti Sarah dan Anis Aneesa turut tidak ketinggalan menghadiri uji bakat terbabit demi mengintai peluang berbakti kepada negara menerusi seni nyanyian.

Bob menganggap jemputan menghadiri uji bakat bagi pertandingan sebesar WCOPA tidak harus dilepaskan begitu saja.

Tidak kiralah sama ada artis yang sudah dikenali ataupun bakat baru, katanya, pertandingan sebegitu bakal memberikan pulangan yang bukan sedikit dari segi pengalaman dan pendedahan.


BOB bersama Sahri dan Nabil tidak ketinggalan menyertai uji bakat.

“Menghadiri uji bakat bagi pertandingan seperti ini harus direbut oleh semua penggiat seni. Apatah lagi apabila ia menjanjikan pendedahan bakat ke peringkat antarabangsa. Kita sendiri tidak mahu bakat yang dimiliki dipersiakan begitu saja. Lantas, jika rezeki menyebelahi, paling tidak bakat itu dapat dipertontonkan ke peringkat lebih tinggi.

“Dengan menyertai pertandingan begini juga kita berupaya mengukur kemampuan diri, serta melihat sejauh mana keupayaan kita dalam industri seni. Ia mencabar diri kita melakukan sesuatu yang mungkin pernah dilihat sebagai mustahil – iaitu bertanding pada peringkat antarabangsa!

“Sekiranya terpilih ke peringkat, tentulah ia menjadi habuan paling bermakna,” kata Bob yang ditemui sebelum menaiki pentas menyanyikan lagu My Baby You pada uji bakat berkenaan.

Bob mengaku, kejayaan penyanyi seperti Noryn dan Deja banyak memberikan dorongan untuknya turut mencuba nasib pada pertandingan itu. Keupayaan mereka merangkul kemenangan di WCOPA membuatkannya lebih bersemangat untuk mencatat kejayaan serupa.


BEKAS peserta Akademi Nasyid, Cicik, turut mencuba nasib.

“Kadangkala, wujud keadaan yang mana seseorang penyanyi kurang diterima di negara sendiri. Bagaimanapun dek bakat yang dimiliki, mereka diiktiraf juga pada peringkat antarabangsa,” katanya penuh bermakna.

Pada petang 1 Mac lalu, Bob memperdengarkan suaranya di hadapan lima juri iaitu Deja, Hans Isaac, Tengku Azura, Dayang Mariana dan Hussein Ali. Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu nyanyian, lakonan, peragaan, tarian dan permainan alat muzik intrumental.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan seninya, Bob memberitahu, sehingga kini dia sudah pun merakamkan enam lagu yang kebanyakannya dicipta komposer Sharon Paul dan Azmeer. Lagu terbabit pula dikeluarkan secara single demi single, sebelum himpunannya nanti diterbitkan pula dalam bentuk album.

Antara lagu yang sudah pun dirakam dan disiarkan radio tempatan ialah sebuah karya berjudul Armada. Kata Bob, lagu ciptaan Sharon itu dianggapnya berbaur ketuhanan.

“Sayangnya, putaran lagu itu di radio tidaklah serancak lagu Cinta Terhalang. Bagaimanapun, ia sebuah lagu yang cukup indah dan saya amat menyukai melodinya. Kali pertama saya mendengar iramanya, saya terus terpesona,” cerita Bob yang masih mencari material terbaik untuk album terbabit.

Info:

WCOPA boleh dianggap sebagai Olimpik bagi penggiat seni apabila pertandingan bertaraf antarabangsa itu mempertandingkan kategori nyanyian, main muzik instrumental, tarian, lakonan, peragaan dan bakat pelbagai.

SELEPAS 11 tahun berkembang, ia muncul satu-satunya pertandingan bakat dan peragaan antarabangsa yang diadakan di Hollywood, ibu kota hiburan dunia.

KEJOHANAN Seni Persembahan Malaysia bermula pada 2005 apabila pasukan pertama negara dipilih menyertai kejohanan dunia di sana.

PERINGKAT suku akhir peringkat Malaysia akan diadakan pada 20 – 22 Mac, separuh akhir 3 – 5 April dan peringkat akhir pada 3 Mei.

Berita Harian

Tarikan Celebrity Karaoke

24 Feb

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
ANDA tidak perlu menjadi penyanyi yang bagus untuk menyertai program hiburan ini. Cukup sekadar mengetahui lirik lagu dinyanyikan, anda sudah layak menyertai pertandingan Celebrity Karaoke yang juga program terbaru 13 episod terbitan ntv7 y ang julung kali diperkenalkan di negara ini.

Penerbit Celebrity Karaoke, Azwan Sahamir berkata, program berformat game show karaoke itu diilhamkan daripada rancangan popular antarabangsa, Karaoke Showdown.

“Pihak kami yakin Celebrity Karaoke mempunyai tarikan tersendiri dan bakal mendapat sambutan penonton sama seperti program asalnya, Karaoke Showdown yang cukup popular di 30 negara seperti Jerman, Russia, Denmark, Bulgaria, Finland dan Norway.

“Malaysia negara Asia ketiga memperkenalkan program ini selepas Vietnam dan Indonesia.

“Program ini mempunyai persamaan lebih 80 peratus daripada program asal. Selain judulnya ditukar, format rancangan ini turut mengalami sedikit perubahan untuk disesuaikan dengan budaya tempatan.

“Kami percaya program ini akan memberikan impak kepada penonton tempatan kerana formatnya menarik. Apatah lagi, pemenang berpeluang merebut hadiah wang tunai dan pakej percutian ditawarkan setiap episod,” katanya.

Bagaimanapun, kata Azwan, sebagai sebuah program baru, dia juga berhadapan cabaran untuk merealisasikan program berkenaan.

“Antaranya, pihak kami sukar untuk mendapatkan komitmen daripada artis popular tempatan kerana mereka terikat dengan pelbagai agenda seni.

“Namun, kami tetap berpuas hati kerana mendapat beberapa nama besar untuk menjayakan program ini.

Antaranya, Ning Baizura, Zahid, Nita (Malaysian Idol), Jefrydin, Betty Banafe, Cheryl Samad, Datuk Jalaluddin Hassan, Atilia, Farah AF2, Farah Asyikin, Dina, Latif Ibrahim, Shamsul Ghau Ghau dan ramai lagi,” katanya.

Azwan berkata, pihaknya menjelajah pusat karaoke di beberapa negeri antaranya Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru dan Kuantan untuk membuat uji bakat mencari peserta untuk menyanyikan lagu yang perlu diteka dalam program ini pada September lalu.

“Mereka yang datang uji bakat program ini diberitahu lebih awal, nyanyian mereka akan disiarkan di televisyen. Bagi kami, ini satu cara memberi peluang kepada mereka yang berminat dalam nyanyian untuk menonjolkan bakat,” katanya.

Azwan berkata, pihaknya menyiapkan rakaman musim pertama dan kedua program itu yang jumlahnya 26 episod.

“Sebanyak 300 lagu diperlukan dalam rancangan ini kerana setiap episod 17 lagu perlu diteka peserta terdiri daripada selebriti dan pasangan mereka yang terdiri daripada peminat artis itu.

“Setiap episod, empat peserta terdiri daripada dua selebriti akan bergandingan dengan dua peminat yang kemudian dibahagikan kepada dua kumpulan.

“Di setiap pusingan, pasukan akan mengambil giliran untuk memilih sebuah lagu daripada lima kategori. Mereka dikehendaki meneka lagu berkumandang di alat pendengaran tanpa muzik dan hanya dinyanyikan orang biasa,” katanya.

Azwan berkata, pasukan yang mempunyai jawapan harus memberikan judul dan dikehendaki mendendangkan kembali lagu yang dimaksudkan dengan diiringi live band.

“Di peringkat akhir, setiap pasukan diberi peluang menyanyikan sebuah lagu dengan gaya tersendiri tetapi 10 perkataan dalam lirik lagu itu akan diubah dan cabaran mereka adalah menyanyikannya dengan betul. Setiap lirik yang dinyanyikan dengan tepat diberikan markah.

“Lebih menarik, program ini juga mengetengahkan tema berbeza seperti Hari Kekasih, Terbaik 1960-an – Pop Yeh Yeh, Terbaik 1970-an, Terbaik 1980-an, Klasik, Rock n Roll dan istimewa sempena Hari Ibu,” katanya.

Azwan ditemui di majlis pelancaran Celebrity Karaoke di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul.

Antara selebriti hadir petang itu sekaligus terbabit dalam program itu ialah Datuk A Rahman Hassan, Kartina Ayob, Riezman Khuzaimi, Noryn Aziz, Faizal Ismail dan Mama Rina.

Sementara itu, Noryn berkata, program hiburan itu cukup menghiburkan dan mampu menjadi tarikan penonton.

“Penyanyi memang mempunyai kelebihan berbanding orang biasa dalam program game show ini. Tapi orang biasa juga berpeluang menang asalkan mereka tahu lirik lagu yang dinyanyikan.

“Apapun, program ini sangat menarik kerana sama ada anda penyanyi, pelakon atau orang biasa persaingan memang sengit untuk menjadi pemenang dalam game show ini,” katanya.

Bagi Riezman pula, pelakon juga mempunyai peluang cerah untuk menang dalam program hiburan ini.

“Saya dan isteri Kartina berjaya mengalahkan pasangan Nita (Malaysian Idol) dan Zahid (Akademi Fantasia) dalam rakaman episod sebelum ini. Sedangkan kami rakam program ini sebelum ini. Program ini bukan hendak menunjukkan betapa bagus anda menyanyi, sebaliknya betapa tepat anda menyanyi,” katanya.

Celebrity Karaoke dihoskan Nazruddin Habibur Rahman (Naz) disiarkan setiap jumaat, jam 8.30 malam bermula 20 Februari lalu.

Harian Metro

Karaoke Bersama Selebriti

18 Feb

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my

NORYN AZIZ, Mama Rina, Faizal Ismail, Kartina dan Riezman serta A Rahman Hassan antara barisan selebriti yang akan memeriahkan Celebrity Karaoke.

BAGI menerbitkan program Celebrity Karaoke yang diilhamkan daripada rancangan popular antarabangsa, Karaoke Showdown, sebanyak 300 lagu dihimpunkan untuk rancangan terbaru terbitan ntv7 yang bakal menemui penonton Jumaat ini, jam 8.30 malam.

Sejumlah besar lagu itu diperlukan kerana setiap episod, sebanyak 17 lagu perlu diteka oleh peserta terdiri daripada selebriti dan pasangan mereka yang terdiri daripada peminat artis itu sendiri.

Selain judulnya yang ditukar, format rancangan itu turut mengalami perubahan kecil bagi disesuaikan dengan budaya masyarakat tempatan. Rancangan sebanyak 13 episod itu bakal dikendalikan oleh Nazrudin Rahman.

ntv7 yakin, Celebrity Karaoke bakal mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton berikutan program asalnya Karaoke Showdown cukup popular di 30 negara seperti Jerman, Russia, Denmark, Bulgaria, Finland dan Norway. Sementara itu, Malaysia adalah negara Asia ketiga yang memperkenalkan program berkenaan setelah Vietnam dan Indonesia.

Setiap episod, seramai empat peserta terdiri daripada dua selebriti akan bergandingan dengan dua peminat yang kemudian dibahagikan kepada dua kumpulan. Di setiap pusingan, pasukan akan mengambil giliran untuk memilih sebuah lagu daripada lima kategori. Mereka dikehendaki meneka lagu yang berkumandang di alat pendengaran tanpa muzik dan hanya dinyanyikan oleh orang biasa menerusi uji bakat yang diadakan ntv7 pada September yang lalu.

Pasukan yang mempunyai jawapan harus memberikan judul serta dikehendaki mendendangkan kembali lagu yang dimaksudkan dengan diiringi muzik secara langsung atau ‘live band’. Di peringkat akhir pula, setiap pasukan diberi peluang menyanyikan sebuah lagu dengan gaya tersendiri tetapi 10 perkataan dalam lirik lagu itu akan diubah dan cabaran mereka adalah menyanyikannya dengan betul.

Setiap lirik yang dinyanyikan dengan tepat pula akan diberikan markah.

Penerbitnya, Azwan Sahamir berkata, sebagai sebuah program baru adalah sukar untuk mendapatkan komitmen daripada artis dan ia adalah satu cabaran baginya.

“Kami tahu artis terikat dengan pelbagai komitmen, justeru mendapatkan persetujuan mereka untuk menyertai program ini agak sukar. Bagaimanapun, kami berpuas hati kerana berjaya juga mendapatkan nama besar untuk menyertai program ini.

“Kami percaya program ini akan memberikan impak kerana formatnya cukup menarik. Penonton dapat lmeihat reaksi artis yang menang dan juga kalah.

“Bagi lagu yang perlu diteka. Kami menjelajah ke pusat karaoke di beberapa buah negeri antaranya Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru dan Kuantan. Mereka yang datang untuk uji bakat diberitahu bahawa nyanyian mereka akan disiarkan di televisyen, bagi kami ini adalah satu cara untuk memberi peluang kepada mereka yang berminat dalam nyanyian untuk tonjolkan bakat,” kata Azwan ketika majlis pelancaran Celebrity Karaoke baru-baru ini.

Hadir sama Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul serta beberapa selebriti yang menjayakan Celebrity Karaoke iaitu Datuk A Rahman Hassan, Kartina Ayob, Riezman Khuzaimi, Noryn Aziz, Faizal Ismail dan juga Mama Rina.

Sesetengah episod mengetengahkan tema berbeza antaranya Hari Kekasih, Terbaik 1960 an – Pop Yeh Yeh, Klasik, Rock n Roll dan Hari Ibu.

Selebriti lain yang turut mewarnai program ini antaranya Zahid, Nita, Latif Ibrahim, Dina, Nadia Mustafar, Betty Benafe, Tiar Jinbara, Farah AF2, Fara Asyikin, Ifa Raziah, Shikin Dangdut, Ameng Spring, Sharifah Aleya serta ramai lagi.

Berita Harian

Noryn Impikan Pentas Kecil

17 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Ruang terhad bolehkan dia lebih dekat dengan peminat

ANDAI sepanjang 2008, tumpuan Noryn Aziz lebih terarah kepada persembahan eksklusif dan korporat, pendekatan yang diambil penyanyi pop jazz itu sedikit berbeza apabila berbicara mengenai perancangannya untuk 2009.

Penyanyi kelahiran Shah Alam, Selangor itu seakan-akan ingin mengimbas detik permulaan ketika dia memulakan langkah di bidang seni apabila kembali menjayakan persembahan di pentas kecil.

Akui Noryn, selepas melahirkan album solo kedua, Alam Maya tumpuan seninya yang lebih menjurus kepada persembahan korporat membuatkan dia terasa seperti kehilangan sesuatu dalam dirinya.

Barangkali bagi sesetengah pihak, penyanyi yang mencapai tahap profesional seperti Noryn tidak lagi memerlukan ruang kecil seperti itu untuk mengasah kemampuan, lebih-lebih lagi namanya semakin gah di pentas komersial.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 32 tahun itu mempunyai alasan tersendiri mengapa mahu kembali menyanyi di ruang sempit namun cukup bermakna buat dirinya.

“Sebelum menembusi pasaran komersial, pentas kecil ini menjadi tempat untuk mengasah bakat serta mengumpul wang bagi menjayakan impian memiliki album sendiri.

“Noryn tidak mungkin lupa semua pengalaman itu. Tambahan pula, Noryn juga merindui suasana intim bersama peminat membuatkan Noryn tidak mampu menolak apabila kembali ditawarkan menyanyi di pentas kecil,” kata penyanyi yang semakin anggun itu.

Noryn berkata, ada sesuatu yang ingin dicari apabila dia mengambil keputusan untuk kembali menyanyi di pusat hiburan.

Pemilik nama asal, Norazmahwati Abdul Aziz ini cuba mencari kepuasan yang selama ini jarang diperoleh ketika menjayakan persembahan korporat.

“Biasanya ketika persembahan korporat dan eksklusif, Noryn tertakluk kepada syarat tertentu untuk memenuhi kehendak penganjur. Justeru, kebebasan dalam pemilihan lagu agak terhad.

“Tetapi perkara itu tidak berlaku apabila Noryn mengadakan persembahan di kelab. Noryn bebas mencorakkan bentuk persembahan dan itu membuatkan Noryn puas.

“Lebih utama, apabila Noryn dapat mendekati peminat. Semua itu membuatkan Noryn mahu kembali ke pentas kecil. Noryn ingin mencari kepuasan dalam persembahan, selain bertemu peminat yang mungkin tidak berpeluang ke persembahan tertutup,” katanya.

Noryn berkata, kecil atau besar pentas persembahan tidak dijadikan ukuran sebaliknya apa yang diutamakan adalah kepuasan peminat.

Mengimpikan untuk beraksi di dewan berprestij, Dewan Filharmonik Petronas, penyanyi ini berkata, langkahnya kembali ke pentas kecil juga bertepatan dengan hasrat untuk memperkenalkan album terbarunya kepada peminat secara lebih berkesan.

Biarpun proses rakaman belum bermula, namun sesi pengenalan perlu dibuat lebih awal kerana Noryn ingin produksi terbarunya menjangkau kelompok peminat yang lebih luas.

Lagu balada dalam album ketiga

MENYENTUH pembikinan album ketiganya itu, Noryn berkata, material memuatkan 10 lagu itu agak jauh berbeza jika mahu dibandingkan dengan Alam Maya terutama menyentuh penggunaan peralatan muzik.

Lebih menekankan kepada penggunaan muzik ‘live’, Noryn juga mencipta sisi baru dalam nyanyian apabila memilih untuk mengalunkan lebih banyak lagu perlahan.

“Alam Maya memperlihatkan Noryn lebih mengutamakan lagu berentak moderate, justeru ia tidak begitu menyerlahkan kepelbagaian dalam nyanyian Noryn.

“Disebabkan itu, Noryn cuba membawa pembaharuan dengan menampilkan lebih banyak lagu balada untuk produksi terbaru ini. Kesemua bahan sudah ada cuma Noryn menanti masa untuk memulakan kerja rakaman,” katanya.

Noryn yang membiayai sendiri produksi terbarunya itu berkata, dia tidak mahu terburu-buru dalam penghasilan album berkenaan.

Apa dicari ketika ini adalah kepuasan dan mutu dalam penerbitan, membuatkan dia tidak berkompromi dalam soal pemilihan lagu.

“Memang banyak komposisi diterima namun sebahagian besarnya terpaksa ditolak kerana tidak sebati dengan jiwa dan diri Noryn. Untuk apa memaksa diri menyanyikannya kerana itu hanya membuat jiwa Noryn memberontak.

“Disebabkan itu, Noryn mengambil masa menghasilkan beberapa lagu ciptaan sendiri selain mendapatkan khidmat nama baru namun mempunyai idea luar biasa serta segar.

“Apa yang dapat Noryn katakan, 60 peratus daripada lagu yang bakal dimuatkan adalah ciptaan sendiri selebihnya Noryn mencuba daripada komposer baru,” katanya.

Sekali pun cuba memberikan sesuatu yang berbeza namun kata Noryn, dia tidak mengabaikan aspek yang selama ini membentuk dirinya sebagai Noryn Aziz.

Semua elemen itu kata Noryn, akan ditemui dalam album terbarunya itu namun menjadikannya lebih istimewa kerana ia adalah luahan peribadi Noryn khusus untuk mereka yang mengagumi kehebatan persembahan nyanyiannya.

“Noryn mahu semua peminat puas dan pada masa sama, lagu Noryn menjangkau kelompok peminat lebih besar apabila diputarkan oleh stesen radio,” katanya.

Bulan kedua dalam kalendar 2009 juga memperlihatkan jadual harian Noryn padat dengan sesi latihan apabila terpilih menjayakan Pesta Makanan & Kebudayaan Malaysia di New York, Amerika Syarikat bermula hari ini.

Menyusul pada 3 Mac ini, Noryn akan menghiburkan tetamu sempena pelancaran sebuah portal hiburan di Jakarta, Indonesia seterusnya ke London untuk pelancaran destinasi terbaru AirAsia.

Berita Harian