Archive | Nur Fasha Sandha Hassan RSS feed for this section

'Sabar Saya Ada Batas'

21 Feb

Oleh Muhd Izawan Baharin

KUALA LUMPUR: “Saya tak pernah kata nak kahwin dengan bekas suaminya (Rizal Ashram Ramli). Kami hanya berkawan.

“Bagaimanapun, Nora keluarkan kenyataan kononnya saya tertekan kerana keluarga Rizal tidak menerima saya sebagai menantu. Kenapa dia perlu beri kenyataan begitu?” kata pelakon popular, Fasha Sandha mengulas kenyataan pelakon siri Puteri, Nora Danish yang disiarkan sisipan Bintang Popular, Berita Minggu, Ahad lalu.

Fasha berkata, dia sedikit pun tidak sedih dan kecewa dengan dakwaan itu kerana bukan sesuatu yang pelik masyarakat tidak menerima artis sebagai menantu.

“Namun, apa yang saya pertikaikan, kenapa Nora yang memberi kenyataan bagi pihak keluarga Rizal? Saya tak pernah merancang untuk berkahwin dengan bekas suaminya,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH) di Palace Of The Golden Horses Seri Kembangan, kelmarin.

Fasha mendakwa Rizal juga menghubunginya pada jam 9.45 malam Ahad lalu memberitahu ibunya tidak pernah memberi kenyataan itu.

“Rizal memohon maaf kepada saya dan keluarga jika artikel itu menyinggung perasaan saya. Sekarang saya keliru. Yang mana satu perlu percaya…kenyataan Rizal atau Nora?”

“Apapun, saya mengharapkan isu ini dihentikan di sini. Saya hendak letak titik noktah mengenai kontroversi saya, Nora atau Rizal,” katanya.

Bintang Popular Ahad lalu melaporkan Nora Danish atau nama sebenar Nora Mohd Danish Hanif, 26, menyangkal dakwaan Fasha dia tertekan kerana dia dan Rizal sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi.

Nora dilaporkan turut mempersoalkan kenapa selepas bercerai dan masing-masing membawa haluan sendiri, baru Fasha bercakap mengenai gosip itu.

Nora mendakwa keluarga Rizal pernah memberitahunya mereka tidak akan terima Fasha sebagai menantu.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 24, berkata apa yang dimintanya sebelum ini ialah masyarakat memberi ruang kepadanya dan menghormati perasaan Nora kerana khuatir gosip itu akan memberi tekanan kepadanya.

“Kenapa dia perlu memalukan dan menuduh saya mengaitkan namanya serta saya mencari publisiti murahan. Saya juga menyimpan semua SMS Nora termasuk ugutan yang diterima pada 17 November 2007.

“Semua bukti saya masih simpan dan tidak akan menunjukkan kepada sesiapa kerana setakat ini saya masih boleh bersabar kerana menghormati perasaan wanita yang baru melahirkan anak, tapi dia perlu tahu kesabaran saya ada batasnya,” katanya.

Menurutnya, apa yang dimintanya ialah spekulasi hubungannya dengan Rizal dihentikan, malah mendoakan Nora, bekas suami dan bayi mereka sihat sejahtera.

Sementara itu, Fasha turut menafikan khabar angin dia akan berkahwin dalam masa terdekat kerana belum ada calon suami.

“Saya tidak nafikan ada menyatakan sudah bersedia bergelar isteri, tapi bukan bererti saya membuat persiapan. Saya berjanji apabila tiba masa sesuai, saya akan berkongsi dengan semua, jadi saya berharap spekulasi ini dihentikan,” katanya.

Fasha turut bersyukur kerana terpilih dalam Top 5 bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular ABPBH 2008.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana tidak sangka dipilih lagi dan terima kasih kepada peminat yang menyokong dan berada di sisi saya dalam keadaan susah dan senang,” katanya.

Mengenai perkembangan lakonannya, Fasha berkata, dia kini bersiap untuk penggambaran drama Suram Seri Pengantin untuk slot Cerekarama TV3 arahan Fairuz Loy.

“Bulan depan, saya akan memulakan penggambaran drama bersiri Cuci The Series sebanyak 13 episod terbitan Tall Order Production arahan Harun Salim Bachik,” katanya.

Harian Metro

Advertisements

'Nora Usah Cuba Bohong Diri Sendiri'

12 Feb

KUALA LUMPUR: “Kalau dia terasa lebih gembira dan tidak tertekan dengan gosip itu, saya bersyukur,” kata pelakon popular, Fasha Sandha membalas kenyataan Nora Danish, semalam.

Nora Danish dilaporkan berkata dia tidak terasa apa-apa berhubung gosip Fasha menjalinkan hubungan dengan bekas suami pelakon sitkom Puteri itu.

Menurut Fasha, kenyataannya menerusi Harian Metro, Selasa lalu, menggambarkan harapannya supaya spekulasi mengaitkan dirinya dengan bekas suami Nora, Rizal Ashram Ramli dihentikan hingga dia bersedia berkongsi siapa jejaka di hatinya.

“Tujuan saya meminta gosip itu dihentikan kerana khuatir dia tertekan, tapi saya kecewa apabila Nora menyangkal dan bengang dengan kenyataan saya dengan menyatakan dia tidak tertekan.

“Dia tidak perlu berbohong mengenai perasaannya kerana saya ada beberapa bukti termasuk SMS yang dihantar kepada saya menunjukkan sebaliknya,” katanya.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 24, mendakwa SMS itu menunjukkan perasaan Nora terhadapnya.

“Saya tidak akan mendedahkan kandungan SMS itu dan berharap isu tertekan terbabit dihentikan segera. Jika dia hendak memanjangkannya, saya akan melampirkan kandungan SMS berkenaan sebagai bukti,” katanya.

Menurutnya, apa yang dimintanya sekarang adalah supaya isu itu tidak berpanjangan.

“Saya juga berdoa supaya Nora dan bayinya sihat,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Nora atau nama sebenar Nora Mohd Danish Hanif, 26, berkata Fasha tidak sepatut mengaitkan dia dengan gosip itu.

Menurutnya, dia langsung tidak tertekan, malah lebih gembira daripada dulu.

Harian Metro

Sangkal Dakwaan Fasha

11 Feb

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya sikit pun tidak rasa tertekan, malah hidup saya lebih gembira daripada dulu,” kata Nora Danish berhubung kenyataan pelakon Fasha Sandha mengenai gosip dia menjalinkan hubungan dengan bekas suami pelakon sitkom Puteri itu menyebabkan Nora tertekan.

Nora atau nama sebenar Nora Mohd Danish Hanif, 26, berkata Fasha tidak sepatut mengaitkan dia dalam masalah itu.

“Saya terkejut apabila Fasha memberi kenyataan saya tertekan dalam gosip yang mengaitkan dia dengan bekas suami.

“Saya sudah tidak ada kena mengena lagi dan mengapa saya harus tertekan. Hidup saya kini lebih gembira,” katanya yang dihubungi semalam.

Harian Metro semalam melaporkan Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 24, berharap semua pihak menghentikan spekulasi mengenai hubungannya dengan bekas suami Nora, Rizal Ashram Ramli.

Antara gosip itu Fasha dikatakan bercuti ke Pattaya, Thailand bersama Rizal baru-baru ini.

Menurut Fasha, gosip itu bukan saja memberi tekanan kepadanya, malah Nora yang baru melahirkan anak.

Nora berkata, dia tidak mahu namanya dikaitkan lagi berhubung gosip itu.

“Saya tidak mahu komen mengenai gosip itu kerana tidak ada sebarang kaitan. Mungkin satu hari nanti kebenaran akan ditunjukkan,” katanya.

Menurutnya, dia akan meneruskan kerjaya lakonannya selepas habis berpantang nanti.

“Biarlah anak saya besar sikit baru saya akan meneruskan lakonan,” katanya yang selamat melahirkan cahaya mata, Putera Raiqal Ramli pada 7 Januari lalu di sebuah hospital swasta di sini.

Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan mengesahkan lafaz cerai diucapkan Rizal Ashram pada Februari dan Jun lalu sebagai sah dan memutuskan pasangan itu bercerai dengan talak dua.

Hakim Syarie, Ahmad Irwan Ismail membuat keputusan itu selepas mengesahkan dua lafaz talak oleh suami Nora, Rizal Ashram Ramli, 32, berbunyi ‘I ceraikan you’ pada Februari dan ‘Saya ceraikan awak’ pada Jun lalu sebagai sah.

Perceraian itu berlaku sewaktu Nora disahkan mengandung tiga bulan dan kerana itu talak hanya jatuh apabila bayi dalam kandungan dilahirkan.

Harian Metro

Fasha Akui Tertekan

10 Feb

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Sebenarnya saya dah lali dengan tohmahan orang,” kata pelakon popular, Fasha Sandha berhubung tuduhan liar pihak tertentu kononnya dia perampas suami orang dan punca keretakan rumah tangga pelakon Nora Danish dengan Rizal Ashram Ramli.

Dia berharap penyebaran dakwaan palsu itu dihentikan kerana bukan saja memberi tekanan kepadanya, malah pelakon berkenaan.

“Jangan kaitkan saya dengan bekas suami pelakon itu kerana ia memberi tekanan kepada saya dan Nora,” katanya yang dihubungi semalam.

Sebelum ini, pelbagai gosip diperkatakan sebilangan peminat termasuk mengaitkan pelakon jelita itu sebagai orang ketiga menjadi punca keretakan rumah tangga pelakon Nora dengan Rizal.

Terbaru, Fasha didakwa pergi bercuti ke Pattaya, Thailand bersama Rizal, baru-baru ini.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 24, mengakui bercuti di Pattaya tetapi hanya bersama pengurusnya, Nik Yasmin Nik Abdul Rahman.

“Apa yang saya minta tolong hormati hak peribadi saya. Saya pergi bersama pengurus saya 29 Januari lalu dan pulang ke Kuala Lumpur pada 2 Februari.

“Saya tidak mahu komen panjang, tolong beri ruang dan sedikit masa kepada saya. Bila sudah bersedia saya akan berkongsi kepada semua siapa jejaka di hati saya,” katanya.

Dia menegaskan hubungannya dengan Rizal hanya sekadar kawan dan gosip yang tersebar itu memberi tekanan kepadanya.

“Bukan itu saja, gosip berkenaan turut memberi tekanan kepada Nora yang baru melahirkan anak. Jadi saya amat berharap spekulasi ini dihentikan,” katanya.

Fasha bagaimanapun bersyukur kerana masih banyak menerima tawaran berlakon daripada pengarah dan penerbit drama serta filem di sebalik pelbagai gosip yang melanda.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang banyak memberi semangat dan sokongan selama ini,” katanya.

Mengenai perkembangan lakonannya, Fasha berkata, dia baru selesai menamatkan penggambaran drama Air Mata Azizah arahan Haris Kadir yang diterbitkan SRS Production untuk RTM.

“Pada Januari lalu, saya juga terbabit dengan penggambaran drama Anak Belaan dan Santau dalam siri Keliwon terbitan Rashbir Media Sdn Bhd yang diarahkan Rashid Sibir untuk siaran TV3.

“Saya juga ditawarkan berlakon dalam sebuah filem April ini dan buat masa ini, skrip filem itu masih dalam proses untuk disiapkan,” katanya.

Harian Metro

Datuk S Bukan Kekasih Saya – Fasha

2 Jun

Oleh YUSMAN AWANG yusman.awang@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – “Memang saya sedang mengenali seseorang tetapi bukan Datuk S.

“Bila tiba masa yang sesuai, saya akan umumkan siapakah dia,” tegas pelakon Fasha Sandha (gambar) yang tampil membuat penjelasan mengenai lelaki istimewa di hatinya yang sebelum ini dikatakan seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Datuk S.

Biarpun enggan berbicara lanjut mengenai jejaka pilihannya, pemilik nama Nur Fasha Sandha Hassan, 24, itu mengakui lelaki tersebut bagaimanapun tidak marah dengan gosip dirinya bersama Datuk S.

“Dia faham saya suka berkawan dengan semua orang dan niat saya ikhlas,” ujarnya.

Aktres jelita yang muncul menerusi telefilem Jangan Main Belakang itu sebelum ini digosipkan mempunyai hubungan dengan Datuk S selepas dia baru-baru ini menghadiri satu majlis di kediaman beliau.

Mengulas mengenai laporan hubungannya dengan Datuk S, tegas Fasha, “Saya tidak suka dengan gosip ini (Datuk S), ia tidak benar dan tidak masuk akal. Selepas ini, saya berharap tidak ada pihak yang mengaitkan saya dengan Datuk S lagi!”

Tambahnya: “Saya tidak pernah ada perasaan pada Datuk S kerana saya suka berkawan dengan semua orang tidak kira pangkat dan darjat.

“Saya kesal dan sangat kecewa kerana ada pihak ambil kesempatan di atas keikhlasan saya menghadiri majlis tersebut.”

Menurutnya lagi, dia sungguh terkejut dengan kehadiran beberapa wartawan hiburan pada majlis tersebut kerana Datuk S bukan artis.

“Kemudiannya apabila wartawan hiburan mendakwa mereka dijemput ke majlis itu, saya rasa agak kecewa tetapi saya menghormati Datuk S kerana itu majlis beliau,” katanya.

Powered by Kosmo

Fasha Berlakon Kerana Wang

6 May

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my

BUAT pertama kalinya Awie menunjukkan skil menari dalam filem lakonannya.

PEMILIK nama Nur Fasha Sandha Hassan ini pastinya boleh tersenyum bangga dengan kejayaannya kini.

Malah, pelakon yang seangkatannya juga tidak mungkin memiliki profil seni sehebatnya.

Sejak membabitkan diri dalam dunia perfileman tanah air menerusi filem pertamanya, Black Maria pada tahun 2003, si jelita ini sudah membintangi 16 buah filem.

Satu rekod yang sungguh menakjubkan bagi seorang pelakon sepertinya.

Namun, di sebalik kejayaan itu, ramai pula yang mengulas lakonan Fasha pada pengamatan mereka sungguh stereotaip.

Kata mereka, tiada satu pun lakonannya boleh dibanggakan dan semua watak yang dibawakannya adalah sama.

Bukan itu sahaja, terdengar juga desas-desus mengatakan setiap filem yang dilakonkannya adalah kerana wang dan bukannya kepuasan sebagai seorang pelakon.

Pada satu pertemuan selepas tayangan filem Cinta U-Turn baru-baru ini, Fasha penuh terbuka membuat pengakuan sememangnya dia berlakon kerana bayaran yang diterimanya cukup tinggi terutama menerusi filem Cinta U-Turn.

“Memang benar. Saya berlakon dalam filem ini pun kerana bayaran. Malah, watak Juliana yang saya bawakan dalam filem ini juga adalah watak ringan dan tidak memberikan cabaran buat saya.

“Di sebalik itu, saya menerima tawaran untuk berlakon kerana saya sudah berasa selesa dan seronok di bawah arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen.

“Sudah empat kali berlakon di bawahnya, rasanya dia sudah memahami karakter dan bagaimana mahu membentuk watak yang diberikan kepada saya.

“Saya hanya membawa watak saya seperti mana yang dikehendaki oleh pengarah. Apa sahaja katanya, saya akan ikut,” jelas aktres berusia 24 tahun ini penuh jujur.

Bercerita tentang filem Cinta U-Turn yang menelan kos RM1.6 juta ini, anak kelahiran Johor Bahru ini menjelaskan, dia tertarik dengan skripnya yang mempunyai elemen Hindustan dan kebetulan dia sememangnya peminat setia filem-filem Bollywood.

Namun, apa yang cukup menggembirakannya adalah buat pertama kalinya dia bergandingan dengan hero pujaannya, Awie.

“Bagaikan tidak percaya apabila saya diberi peluang berlakon dengan Awie. Dulu, saya hanya menonton lakonannya dalam filem Sembilu dan Sembilu II sebanyak empat kali sewaktu saya berada di dalam darjah empat.

“Dia banyak membantu saya di lokasi. Dari segi luaran, dia nampak sahaja garang tetapi sebenarnya dia adalah seorang yang cukup kelakar. Saya cukup senang berlakon di sampingnya,” kata Fasha yang juga kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri, Jangan Main Belakang.

Bagi Awie, berlakon di samping primadona filem Melayu alaf baru itu tidak mendatangkan masalah buatnya kerana Fasha disifatkannya sebagai cukup sporting sewaktu menjalani latihan terutama sekali untuk babak menari.

“Saya menerima tawaran ini pun kerana mahu mencuba satu kelainan dalam kerjaya seni saya sebagai seorang pelakon. Sisi komedi dalam filem Cinta U-Turn juga berbeza dengan apa yang telah bawakan sebelum ini menerusi filem-filem komedi yang lain.

“Malah, sewaktu penggambaran pun saya tidak berasa tertekan dan begitu gembira serta berasa senang sekali. Tambahan pula dengan adanya, Mazlan (Lan Pet Pet), ia menambahkan seri sewaktu di lokasi,” kata Awie yang membawa watak Faiz dalam filem berkenaan sambil ketawa.

Malah, Awie turut menyumbang suaranya menerusi lagu Aduhai Alahai yang menampilkan sisi baru pelakon berbadan sasa itu dalam filem ke-21 lakonannya.

Bagi A.Razak Mohaideen pula, dia sudah bersedia dengan segala kritikan yang bakal diterimanya menerusi karya terbarunya ini. Malah dia sendiri tidak gusar dan takut untuk berdepan dengan kritikan.

“Tetapi itu bukan bermakna saya adalah seorang yang sensitif dan tidak boleh menerima kritikan. Kalau saya bersikap demikian, saya tidak akan mengarahkan filem lagi.

“Saya bosan dengan mereka yang mengkritik saya tetapi tidak pula mereka memberikan jalan penyelesaian buat saya untuk saya gunakan dan atasi kelemahan itu dalam filem-filem saya seterusnya.

“Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, saya membuat filem adalah untuk khalayak kerana mereka yang mahukan filem sebegini. Mana ada produser yang mahu rugi setiap kali menerbitkan filem.

“Saya teringin sangat mahu mengarahkan filem artistik tetapi saya rasa saya tidak bertuah kerana tiada produser filem yang berani memberikan saya bajet yang besar untuk membikin filem sedemikian,” katanya dalam nada yang cukup serius.

Tambahnya, Cinta U-Turn merupakan sebuah filem yang diadaptasi daripada sebuah filem Tamil yang berjudul Berikan Hatimu dan dia telah membuat beberapa perubahan mengikut selera penonton hari ini

“Filem asal pun sudah berusia 10 tahun dan pastinya, saya memberikan sesuatu yang baru untuk disesuaikan dengan masyarakat tempatan. Lagipun, saya tidak menonton filem asal kerana tidak mahu terikut-ikut,” jelas sarjana filem mengenai naskhah ke-24 arahannya itu.

Cinta U-Turn ditayangkan di India

Sementara itu, Shukor Mohaideen yang juga Penerbit Penyelaras Lineclear Motion Pictures Sdn. Bhd., pula memberitahu, dia cukup berbangga kerana diberi kepercayaan oleh sebuah syarikat perfileman gergasi, Pyramid Saimira Theatre Chain (M) Sdn. Bhd. yang berpusat di India untuk menerbitkan filem tersebut.

“Saya rasa ini juga satu peluang buat filem Melayu menembusi pasaran antarabangsa terutama negara India yang kita tahu pasarannya cukup besar.

“Filem Cinta U-Turn akan ditayangkan di India beberapa bulan selepas tayangannya di sini,” katanya.

Selain Awie dan Fasha Sandha, filem Cinta U-Turn yang sudah pun memulakan tayangannya pada 1 Mei lalu, turut dibintangi Abu Bakar Omar, Lan Pet Pet, Azlee Senario, Fiza Elite, Datuk Jalaluddin Hassan dan Cico Harahap.

Powered by Utusan Malaysia

Rumah Terbuka Erat Silaturahim

16 Oct

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BERSAMA keluarga. Dari kiri Mohd. Mikail Andre, Fasha, Nazarul Andre, Khatijah Tan, Hatijah Teh Man (ibu Fasha) dan Pierre Andre pada majlis rumah terbuka di Restoran Lemon, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SUDAH menjadi tradisi rakyat Malaysia mengadakan rumah terbuka setiap kali menyambut Aidilfitri, Tahun Baru Cina atau Deepavali. Konsep rumah terbuka yang menggalakkan jiran tetangga, saudara mara dan sahabat handai saling kunjung mengunjungi itu secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan sesama insan.

Selain bertegur sapa, sewaktu rumah terbuka tetamu berpeluang menikmati pelbagai hidangan makanan yang disajikan oleh tuan rumah.

Para artis kita juga tidak ketinggalan menganjurkan rumah terbuka. Di Restoran Lemon, Kajang, milik penerbit Metrowealth, David Teo, beberapa artis berkongsi cerita tentang rumah terbuka.

Fasha kongsi anjur rumah terbuka

Bagi pelakon Nur Fasha Sandha Hassan, 23, perkara yang perlu dilakukan setiap kali menyambut raya ialah menganjurkan rumah terbuka di rumah bapa saudaranya di Bintong, Perlis.

Fasha selalunya berkongsi anjur rumah terbuka dengan bapa saudaranya iaitu Pak Ngah Ismail Zakaria.

Jelas pelakon itu, selalunya Pak Ngah yang menjadi perancang dalam menguruskan acara rumah terbuka itu.

Katanya, walaupun mereka menggunakan katerer namun ada beberapa masakan seperti rendang dan laksa akan dimasak sendiri oleh anggota keluarga itu.

“Makanan lain seperti nasi tomato, lemang, ketupat dan roti jala semuanya dari pihak katerer. Buat rumah terbuka ini meletihkan tapi seronok. Pada hari itu, saya kena bancuh air, basuh pinggan dan buat kerja-kerja lain juga. Kalau di kampung saya bukan artis. Seperti orang lain saya akan menyenteng lengan baju buat kerja di dapur,” cerita Fasha.

Kata Fasha, seronoknya rumah terbuka, bukan sahaja peminat datang bersama keluarga, malah sanak saudara di sekitar Perlis pun akan bertandang.

Selain menjamu tetamu, Fasha yang bakal muncul dalam filem Nana Tanjung 2 juga tidak lupa untuk menghulur duit raya kepada tetamu kecil.

“Setiap tahun memang saya ada bajet untuk duit raya, itupun ikut kemampuan. Saya bagi duit raya ikut usia, tapi kalau untuk adik beradik itu lainlah sikit,” katanya yang lebih dikenali sebagai cucu Tok Timah Pulau Ketam di kampungnya di Kuala Perlis, Perlis.

Dia yang dapat dilihat lakonannya dalam filem 9 September pada 1 November ini juga akan menggunakan cuti raya untuk menemui rakan-rakan lama.

Fasha sayang Pierre

Kata Fasha, selama berlakon dengan beberapa pelakon lelaki belum pernah dia mengungkapkan kata-kata sayang.

Bagaimanapun kali ini Fasha secara terbuka mengakui, dia menyayangi Pierre Andre, heronya dalam filem 9 September itu. Malah sewaktu sesi foto ini, Fasha kelihatan begitu manja dengan Pierre.

Kata Fasha: “Sebelum ini saya tidak pernah mengaku sayang pada pasangan saya dalam filem. Tapi dengan Andre memang saya sayang. Bukan Andre seorang, malah ahli keluarganya juga.

“Saya memang rapat dengan mami (Khatijah Tan) dan kadang-kadang abah (Nazarul Andre – bapa Pierre) pun datang rumah. Kami sekeluarga memang mesra,” akuinya yang seronok bekerja dengan pasukan 9 September.

Fasha yang memegang watak Nia dalam 9 September itu juga menafikan dakwaan yang mengatakan dia sengaja mencari publisiti murahan dengan gosipnya itu demi melariskan filem lakonannya itu.

Tegas Fasha, sayangnya pada Pierre bukan gimik atau untuk publisiti tapi dari hati yang ikhlas.

Pierre Andre sibuk

Bagi Pierre Andre, dia dapat menerima gosip antaranya dengan Fasha dengan hati terbuka. Katanya, kalau itu kehendak orang ramai yang inginkan dia bercinta dengan Fasha, dia tidak membantah.

Bagaimanapun Pierre lebih senang orang melihat dirinya menerusi bakat dan bukan gosip.

“Saya tidak ada masalah berkawan dengan Fasha kerana dia seorang profesional. Terpulang pada orang lain untuk membuat persepsi tentang hubungan kami ini,” kata Pierre yang diberi tanggungjawab buat pertama kali sebagai pengarah melalui filem 9 September oleh MIG Production.

Melalui filem itu juga, Pierre turut berlakon sebagai Kogi.

9 September merupakan filem ke-22 terbitan MIG Production dan ia merupakan skrip kedua karya Pierre selepas Jangan Pandang Belakang.

Selepas 9 September, Pierre diberi satu lagi peluang iaitu mengarah filem I’m Not Single, juga skrip hasil tulisannya.

“Mungkin untuk I’m Not Single saya akan minta kawan-kawan buat muzik untuk lagu runut. Saya ada kawan-kawan yang berbakat. Cuma mereka tidak ada ruang untuk salurkan bakat itu. Jadi dengan cara ini sahaja saya harap dapat membantu mereka,” kata Pierre yang berhasrat untuk turut menyerlahkan bakat rakan-rakannya.

Malah kata Pierre, dia bersedia membantu pelajar-pelajar tahun akhir di institusi pengajian tinggi dengan menjayakan filem pendek mereka.

“Saya tahu mereka ni kesempitan bajet untuk menyiapkan projek. Sebab itu saya bersedia berlakon dalam filem pendek mereka. Mami pun selalu berlakon dalam filem projek pelajar,” ceritanya yang popular dengan drama Gol & Gincu dan Dunia Baru.

Khatijah Tan tidak bantah

Ibu Pierre, Khatijah Tan yang ditemani suami dan anak, Mohd. Mikail Andre, berkata, dia tidak kisah siapa pilihan calon isteri anak bujangnya itu.

Padanya, jika gosip antara Fasha dengan Pierre membawa kebaikan, tidak salah diteruskan.

Bagaimanapun kata Khatijah, kalau gosip sekali pun biarlah berbatas.

“Saya tidak memilih dan memberi syarat pada Pierre. Asalkan wanita itu berjaya memikat hatinya, saya restu kerana saya lebih mengutamakan kebahagiaan anak,” katanya terus terang.

Khatijah yang sibuk menjalani penggambaran drama Dunia Baru menerusi watak Mariah berkata, kalau ada kesempatan dia juga ingin berlakon bersama Fasha.

Dia yang beraya di Kampung Rapat Jaya Tambahan, Ipoh itu berkata, setakat ini belum merancang untuk mengadakan rumah terbuka.

“Rumah saya kecil, macam mana nak buat rumah terbuka macam orang lain. Tapi rumah saya memang sentiasa terbuka. Setiap hari ada sahaja rakan-rakan yang bertandang,” katanya yang menetap di Ukay Perdana itu.

Cat bakal timang cahaya mata

Farish Ramli atau Cat Farish dari kumpulan Fabulous Cat yang turut berlakon dalam filem 9 September sebagai penghantar piza berkata, dia belum bersedia untuk mengadakan majlis rumah terbuka.

Ini kerana Cat, menetap bersama mertuanya di Bangi.

“Sebenarnya selalu juga ibu mertua saya suruh saya jemput rakan-rakan wartawan atau artis ke rumah. Tapi saya tak hendak menyusahkan dia.

“Tunggulah bila saya duduk rumah sendiri bolehlah buat rumah terbuka atau ajak pihak media dan rakan artis datang ke rumah,” kata suami kepada Hartini Ramly ini.

Cat yang dijangka menimang cahaya mata pertama pada Mei 2008 berkata, sekarang ini dia sibuk membuat persiapan untuk tampil dengan album kedua.

Tapi sebelum itu, kata Cat, album pertama Fabulous Cat yang dianggotai oleh Cat, Sumo, Adeep dan Farhana akan diber wajah baru untuk pasaran awal bulan depan.

“Album kedua yang merupakan kerjasama antara Cat Presents Production Sdn. Bhd., dengan The Firmzz Entertainment, edaran EMI dah siap. Cuma tunggu masa yang sesuai sahaja untuk pasaran. Sebelum itu akan ada satu lagi single iaitu Cemas untuk siaran radio,” jelasnya.

Powered by Utusan Malaysia