Archive | Nur Fazura RSS feed for this section

Penyeri Karpet Biru

27 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

KARAKTER tiga pengacara popular, Sazzy Falak (Sazzy), Nazrudin Habibur Rahman (Naz) dan Awal Ashaari (Awal) mempunyai tiga persamaan – ceria, suka berceloteh dan mempunyai perwatakan gila-gila.

Justeru, gandingan mereka bertiga sebagai hos memang tepat untuk menyemarakkan lagi acara permaidani biru (Live From The Blue Carpet), Anugerah Industri Muzik yang ke-16 (AIM16) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei ini.

Acara permaidani biru ini akan disiarkan secara langsung menerusi Saluran Ceria Anda, ntv7 selama setengah jam bermula jam 8.30 malam.

Dalam sesi fotografi bersama Rap yang diatur ntv7 di Sri Pentas, Jumaat lalu, keserasian tiga pengacara berbakat besar ini, Sazzy, Naz dan Awal begitu terserlah.

Malah, sesi fotografi eksklusif yang bermula sejak jam 11 pagi dan berakhir kira-kira jam 2 petang juga tidak membosankan dengan telatah Sazzy, Naz dan Awal yang masing-masing begitu mencuit hati dan menceriakan suasana.

Lebih menarik, mereka bertiga sempat bergaya dan bergambar bersama kereta mewah Bufori yang berharga setengah juta ringgit dan bakal menjadi kenderaan yang membawa mereka bertiga berarak ke acara permaidani biru itu nanti.

Menjadi bunga yang diapit dua kumbang, sudah pasti penampilan Sazzy paling mencuri tumpuan pada acara permaidani biru itu nanti.

“Saya memang menanti peluang untuk terbabit dalam acara berprestij seperti AIM16. Maklumlah, saya sudah lama tidak buat acara permaidani merah. Kali terakhir, saya menjadi hos permaidani merah sempena Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) pada 2007,” katanya.

Selain KLIFF, Sazzy pernah menjadi hos permaidani merah sempena seperti Anugerah Era (2004/06) dan Festival Filem Malaysia (2005/06).

Sekalipun berpengalaman sebagai hos acara permaidani merah, Sazzy masih bimbang untuk menjadi hos permaidani merah sempena AIM16.

 

 

“Siapa yang tidak bimbang kerana ini kali pertama saya menjadi hos permaidani merah untuk AIM16. Justeru, saya meminta tip daripada suami, Nazril Idrus yang pernah menjadi hos permaidani merah pada AIM 2007. “Saya juga banyak membuat kajian mengenai perkembangan terkini artis yang dicalonkan termasuk perkembangan industri seni tanah air sekarang.

“Saya juga mendapat tip daripada program Live From The Red Carpet menampilkan gandingan hos Ryan Seacrest dan Juliana yang disiarkan menerusi saluran hiburan E! Entertainment Televisyen (Astro 712),” katanya.

Apapun, kata Sazzy, dia lega apabila digandingkan dengan dua pengacara berpengalaman seperti Naz dan Awal.

“Awal berpengalaman luas sebagai hos permaidani merah dalam acara hiburan berprestij termasuk AIM dan Naz pula cukup berpengalaman sebagai pengacara dalam program yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

“Saya berasa lebih mudah bekerja dengan pengacara yang bagus kerana masing-masing sudah tahu apa yang perlu dilakukan di pentas nanti. Pada masa sama, kami akan bersaing antara satu sama lain untuk memberikan yang terbaik pada acara itu nanti.

“Saya juga pernah bekerja dengan hos yang tidak berpengalaman dan terpaksa menutup banyak kelemahannya bagi memastikan acara itu tidak membosankan penonton,” katanya.

Bagi Naz, peluang julung kalinya menjadi hos permaidani biru sempena AIM16 begitu bermakna buat dirinya.

“Ini kali pertama saya diberi tugas sebagai hos acara hiburan berprestij seperti AIM16.

Sebelum ini, saya pernah hadir ke AIM untuk memberi semangat kepada kawan rapat sejak di bangku sekolah, Damian (VE) yang menang anugerah dalam AIM untuk lagu Anak Ayam.

“Justeru, apabila diberi peluang menjadi hos pula, saya sangat teruja untuk memberikan yang terbaik pada acara ini nanti,” katanya.

Naz yang dikenali menerusi program The Breakfast Show (ntv7) pernah bergandingan dengan pelakon Nur Fazura sebagai hos Anugerah Skrin TV3 berkata, ini kali pertama dia bergandingan dengan Sazzy dan Awal dalam acara hiburan berprestij seperti AIM16.

“Sazzy dan Awal memang tidak asing dalam acara permaidani merah. Justeru, saya akan meminta tunjuk ajar daripada mereka berdua nanti.

“Kami juga diberikan tugas sama rata saja dan tidak timbul isu, Sazzy dan Awal membayangi saya atau sebaliknya,” katanya.

Naz berkata, mereka juga tidak mempunyai skrip yang khusus kerana semuanya akan dilakukan secara spontan saja.

“Apapun persediaan tetap dibuat membabitkan senarai pencalonan artis dan komposer yang bertanding kali ini. Kami juga diberi peluang menemu bual VIP yang diundang, calon yang bertanding, calon komposer dan ramalan siapa yang menang kali ini serta pereka fesyen terbabit.

“Bagi memastikan acara ini berjalan lancar, kami bertiga akan duduk berbincang untuk bertukar fikiran sebelum majlis anugerah berlangsung nanti,” katanya.

Berbanding Naz dan Sazzy, ini kali kedua Awal diberi peluang menjadi hos untuk AIM. Tahun lalu, Awal bergandingan dengan penyampai Hot FM, Tini sebagai hos permaidani merah AIM15.

“Saya pernah bergandingan dengan Sazzy ketika acara permaidani merah, Anugerah Era sebelum ini dan Naz pula baru kali pertama.

“Sekalipun baru kali pertama bergandingan, saya tidak bimbang kerana Naz sangat profesional ketika bekerja. Naz juga pengacara berpengalaman dan dia juga sudah lama berkecimpung dalam bidang pengacaraan,” katanya.

.Awal berkata, dia memang menanti peluang untuk terbabit dalam AIM16.

“Saya sudah 10 kali menjadi hos permaidani merah dalam acara hiburan berprestij dalam industri hiburan tanah air.

“Justeru, apabila diberikan kepercayaan untuk menjadi hos buat kali kedua, saya pastikan prestasi saya lebih baik berbanding dulu,” katanya.

Mengenai kombinasi mereka bertiga, Awal berkata, ia menampilkan kelainan dan variasi dalam acara AIM16.

“Anugerah Era juga menampilkan gabungan empat artis sebagai hos acara permaidani merah sebelum ini.

“Acara ini tidak terlalu rasmi dan kami juga menemu bual artis mengikut situasi majlis ketika itu. Apa yang boleh kami janjikan pada peminat, ia adalah malam menyeronokkan buat semua orang. Ia bukan saja meriah tapi penuh dengan informasi buat penonton,” katanya.

>Profil

NAMA: Sazzy Falak

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 10 Mac 1980

STATUS: Berkahwin

SUAMI: Nazril Idrus

KERJAYA: Pengacara, pelakon dan ahli perniagaan syarikat Sinclair Falak Sdn Bhd.

PROGRAM: Beat TV, Ria Sentral

ANTARA DRAMA: Doa Kamalia, Goda, Kami, Gol & Gincu, Kerana Karina (drama

online)

ANTARA FILEM: Gol & Gincu, Jin Notti

>Profil

NAMA: Nazrudin Habibur Rahman

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 9 November 1978

STATUS: Berkahwin

ISTERI: Sheahnee Iman Lee

KERJAYA: Pengacara dan pelakon

PROGRAM: The Breakfast Show (ntv7), My Aussie Adventure dan Celebrity Karaoke

ANTARA DRAMA: Ghost musim pertama dan kedua.

Profil

NAMA PENUH: Ahmad Awaluddin Ashaari

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 6 Ogos 1981

KERJAYA: Pelakon, pengacara, model dan ahli perniagaan (pemilik Butik fesyen online DNA celebrityStyle bersama Dynas Mokhtar)

PROGRAM: Beat TV, Teh Tarik & Cabaran Tariking F&N 2006, Sensasi, One In A Million, Sehati Berdansa dan Generasi Y (TV1)

FILEM: Diva, Diva Popular, Impak Maksima, Malaikat Maut, Apa Kata

Hati, I’m Not Single dan Syurga Cinta.

DRAMA: Drama: Cinta Medik, Impak Maksima The Series & A Time For Us (usaha sama Malaysia – Filipina)

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Sebutan Semula Kes Fazura 22 Mei

25 Apr

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menetapkan 22 Mei ini untuk sebutan semula permohonan mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret yang membebaskan dan melepaskan pelakon Gol dan Gincu, Fazura daripada tuduhan mencederakan suri rumah di sebuah kelab malam, lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Ab Aziz memutuskan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Norazmah Ahmad memohon tarikh baru berikutan belum menerima alasan penghakiman daripada majistret yang mendengar kes itu.

Fazura atau Nur Fazura Sharifudin, 25, dituduh mencederakan Geraldine Mariana Wong, 33, jam 1.20 pagi 19 Disember 2004.

Berita Harian

'Populariti Nombor Dua'

22 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

NAMANYA mungkin tidak sepopular Siti Sarah, Misha Omar atau Azharina Azhar, namun penyanyi Dia Fadila tetap bersyukur dengan pencapaiannya sepanjang 10 tahun bergelar anak seni.

Malah, Dia atau nama sebenarnya, Nur Nadia Fadila Abu Bakar, Artis Baru Wanita Terbaik, Anugerah Planet Muzik (APM) 2005 ini sudah mampu tersenyum kerana mempunyai hala tuju sebagai anak seni dan pada masa sama, bakat seninya juga mendapat pengiktirafan di luar negara.

“Ada orang bertanya kenapa bakat saya tidak diiktiraf di negara sendiri? Jawapan saya mudah saja, anugerah dan pengiktirafan di sini dinilai dari segi populariti dan bukannya bakat seseorang artis.

“Apapun, saya tidak kisah orang kata nama saya tidak popular seperti artis muda lain. Terus terang, saya menceburi bidang seni untuk menonjolkan bakat sedia ada dan melihat bakat saya sebagai satu bisnes untuk meningkatkan pendapatan sekali gus menyara keluarga.

“Soal populariti pula jatuh nombor dua kerana saya tidak mahu nama saja popular, tapi hakikatnya ‘poket kosong’.

“Jika ramai artis lain mengadu undangan persembahan semakin berkurangan, saya pula sebaliknya. Dalam kemelut ekonomi global, undangan persembahan tidak pernah putus diterima termasuk di luar negara. Saya juga ada kerja dan terbabit dengan pelbagai projek setiap hujung minggu.

“Selain itu, saya sudah tiga kali menjayakan persembahan untuk stesen TV di Vietnam. Terbaru, saya akan jayakan persembahan di sana sekali lagi hujung bulan ini,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Dia yang juga pemenang tempat kedua, Bintang Gala 2 1999 (Golden Teen Search) anjuran RTM berpeluang berkongsi ilmunya dengan peserta Bintang RTM 2009.

“Saya diundang menjadi penasihat vokal Pertandingan Bintang RTM 2009. Mungkin, ilmu saya ini tidak sebanyak mana, tapi berusaha memberikan yang terbaik kepada semua peserta yang juga bakat baru yang ingin mencari tapak di persada seni tanah air,” katanya. Lebih memberangsangkan, pada usia 25 tahun, Dia bergelar pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sejak September lalu.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik (Persembahan), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini juga mengajar vokal dan diction lyric (sebutan lirik) dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Jerman, Perancis dan Itali di Aswara.

 

 

“Saya memang bercita-cita menjadi pensyarah vokal sejak kecil dan impian itu akhirnya tercapai jua.

Sejak awal pembabitan dalam bidang seni saya memang sudah sediakan pelan B kerana saya sedar, industri hiburan kita kecil dan tidak seperti di Hollywood.

“Pada masa sama, bidang nyanyian juga ada pasang surutnya. Justeru, saya yakin keputusan untuk menjadi pensyarah dan menyambung pengajian dalam bidang muzik ini tepat sebagai jaminan masa depan,” katanya.

Sekalipun sudah bergelar pensyarah sepenuh masa di Aswara, cinta Dia pada kerjaya nyanyian tidak pernah surut.

“Saya masih aktif menyanyi cuma mungkin orang tidak tahu kerana tidak ada publisiti dan nama saya juga tidak dikaitkan dengan kontroversi.

“Setakat ini, kerjaya nyanyian tidak terjejas kerana saya hanya mengajar dari jam 7.30 pagi hingga jam 5.30 petang setiap hari. Pada waktu malam dan hujung minggu, saya fokus pada kerjaya nyanyian pula,” katanya.

Bagaimanapun, Dia mengakui pada mulanya dia berasa malu dan janggal berhadapan dengan pelajar yang sebaya dengan usianya dalam kelas.

“Ada juga pelajar yang tidak boleh terima kerana usia saya sebaya mereka dan pada masa sama bergelar artis pula.

“Saya juga jadi tumpuan dalam kelas dan ada peminat yang ingin bergambar dan mengambil tanda tangan termasuk memegang rambut saya.

“Namun, saya berusaha meyakinkan mereka dengan kredibiliti saya dan menjadi diri sendiri. Lama kelamaan, pelajar boleh terima dan menghormati saya sebagai pensyarah mereka,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Dia berkata, dia ingin menempa nama seperti idolanya, penyanyi, pengkritik dan pensyarah vokal, Syafinaz Selamat.

“Saya berazam untuk berjaya sepertinya dalam kerjaya yang diceburi. Bagi melengkapkan ilmu sedia ada, saya juga akan menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang muzik pada Julai nanti. Insya-Allah, selepas itu, saya bercadang menyambung pengajian peringkat ijazah kedoktoran pula nanti,” katanya.

Mengenai album pula, penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music ini mempertaruhkan bingkisan album kompilasi terbarunya, Terbaik Dariku yang sudah menjengah pasaran awal tahun ini.

Album ini menampilkan 10 lagu yang juga dua lagu baru iaitu Satu Ruang dan Jat Da Da Da.

Satu Ruang adalah lagu yang dipetik menerusi filem Selamat Pagi Cinta yang dilakonkan Sharifah Amani dan Nur Fazura. Manakala Jat Da Da Da adalah lagu baru yang dicipta komposer dari Thailand.

Lagu lain ialah rangkaian lagu lagu popularnya antaranya Aku Masih Setia, Andai, Na Na Na…. Kataku, Tangisan Marhaenis yang juga lagu duet dengan Hattan, 14 Februari, Tiada Lagi Cinta, Tentang Cinta Ini (duet bersama Andy Flop Poppy), Tunggu Lalu, Takkan Terista dan Tiga Tahun. Ditanya mengenai teman istimewa pula, Dia mengakui hatinya sudah berpunya.

“Teman lelaki saya hanya orang biasa dan kami sudah berkawan selama dua tahun. Insya-Allah, jika ada jodoh, kami akan berkahwin tahun depan.

“Kalau nak diikutkan keluarga terutama ibu ingin melihat saya berumah tangga secepat mungkin, tapi banyak perkara yang perlu kami selesaikan terlebih dulu. Teman istimewa juga banyak menyokong saya dari belakang sejak dulu lagi,” katanya.

Profil

Nama Sebenar: Nur Nadia Fadila Abu Bakar

Tarikh Lahir: 23 September 1984

Asal: Selangor

Kerjaya: Penyanyi, pengacara dan pensyarah vokal di Aswara

Status: Bujang

Album: Dia (2004), Na Na Na Kataku (2007) dan kompilasi Dia Fadila Terbaik Dariku

Pengacaraan: Bintang RTM dan Hitz 1.

Akademik: Ijazah Sarjana Muda Muzik (Persembahan), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Pencapaian: Artis Baru Wanita Terbaik di APM 2005, Juara Kategori Pop, Festival Melodi Emas Asean

2008 yang berlangsung di Ho Chin Minh, Vietnam pada 16 Oktober 2008.

Lagu Popular: Aku Masih Setia, Andai, Tangisan Marhaenis (duet bersamaHattan).

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Fazura Selesa Bersama Rusdi

13 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

PERCUBAAN yang membawa hawa baru kepada perjalanan karier seni Fazura dan Rusdi.

Kedua-duanya digandingkan untuk program realiti terbaru, Anak Wayang

SETIAP apa juga perkara baru yang ingin dicuba pasti mengundang risiko namun andai dilandaskan kejujuran, ia akan membuahkan sesuatu yang bermakna lantas menyuntik sebuah kemanisan untuk dikenang selamanya.

Itu yang cuba dicari Nur Fazura Sharifuddin yang digandingkan dengan Rusdi Ramli untuk mempelopori program realiti terbaru, Anak Wayang.

Keberanian menggalas peranan itu hadir bersama tanggungjawab untuk melihat bakat baru dunia lakonan. Awal tawaran, pemenang Bintang Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia Ke-17 ini mengaku, minatnya kembali mengacara sudah pudar.

Mengenang saat pedih untuk menelan segala kritikan dan komen diterima ketika mengacara sedikit masa lalu, gadis berusia 25 tahun ini serik mahu mengulanginya.

“Saya senang menerima jika diberi ruang yang mencukupi untuk melakukan persediaan. Saya tahu di mana kelemahan, jadi saya selesa membuat persediaan supaya tidak kelam kabut dan kekok pada saat akhir,” katanya.

Anggun dengan rekaan Nurita Harith, Fazura yang ditemui pada sidang media pelancaran Anak Wayang siaran Astro Ria, manakala drama pula disiarkan Astro Prima berkata, antara sebab lain dia menerima tawaran itu kerana Rusdi.

Biarpun mereka hanya akan bertemu pada kemuncak pertandingan nanti, namun gadis yang mula mencipta nama menerusi filem Bicara Hati percaya keserasian antara mereka pasti hadir.

“Saya pernah berlakon sebuah telefilem dengan Rusdi. Jadi saya dapat merasakan keserasian antara kami berdua. Lagipun kami sama-sama gila, jadi mengapa tidak saya mencuba,” jelasnya lagi.

Program Anak Wayang juga mengheret komitmen Fazura selama dua bulan sebagai pengacara namun sekiranya datang tawaran lakonan yang bersesuaian dia tidak akan menolak.

Katanya, semua perkara itu sudah dibincangkan dengan pihak produksi supaya tidak timbul kekalutan nanti.

Percubaan pertama Rusdi

LAKONAN di layar lebar pernah menghadiahkan Rusdi trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-20, dua tahun lalu selain trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007.

Nama pelakon berusia 39 tahun ini tidak perlu diperkenalkan lagi, malah kehebatan bakat serta lakonan kerap memberinya ruang untuk menggalas peranan utama.

Bagaimanapun, buat kali pertama anak kepada pelakon senior, Norlia Ghani ini mencabar dirinya untuk mencuba sesuatu yang berbeza.

“Saya tidak berani kerana setiap kali naik pentas saya akan ‘goyang’. Namun, saya mencabar diri untuk menerima kerana mahu melihat sejauh mana saya mampu menggalas tanggungjawab ini,” katanya.

Akui suami kepada komposer, Sharon Paul ini, dia bukan seorang yang mahir bermain dengan lensa kamera kerana ketika berlakon mereka tidak dibenarkan melihat kamera.

Semua itu katanya, memberikan pengalaman baru dan percaya dengan latihan mencukupi tanggungjawab itu dapat dibawa dengan berkesan.

Dia yang kembali dicalonkan untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, ABPBH 2008, bersedia untuk berdepan segala kemungkinan.

“Saya percaya dengan membuat latihan akan membantu saya memberi yang terbaik apabila program itu mula bersiaran nanti,” katanya.

Melihat usaha melahirkan Anak Wayang akan memperkayakan barisan pelakon pelapis, Rusdi berkata, dia positif jika nanti terpaksa bersaing dengan mereka yang mencipta nama menerusi program realiti seperti ini.

Rusdi berkata, melihat keberkesanan program Akademi Fantasia yang melahirkan ramai bakat baru dalam bidang nyanyian, Anak Wayang juga mampu memainkan peranan yang sama.

“Ketika berlakon, saya bertemu dengan ramai pelakon tambahan yang baik namun tidak ada ruang untuk diketengahkan bakat mereka.

“Jadi dengan adanya Anak Wayang, ia membantu mereka untuk hadir lebih bersedia apabila tiba masanya kelak,” katanya.

Program realiti ini akan menemui peminat menerusi Astro Ria bermula 22 Mei ini, dijana dua saluran iaitu Ria dan Prima yang menayangkan pencarian bakat lakonan dan drama bersiri serentak.

INFO: Fazura

Nama Penuh: Nur Fazura Sharifuddin
Tarikh Lahir: 27 September 1983Tempat Lahir: Pekan, PahangStatus: BujangKerjaya: Pelakon dan pengacaraIklan: Omex dan BreezeFilem: Bicara Hati, Senario XX, Qaisy dan Laila, Gol & Gincu, Kayangan, Selamat Pagi CInta, Pisau Cukur dan Kantoi.
Pencapaian: Bintang Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia Ke-17.

INFO: Rusdi

Nama Penuh: Rusdi RamliTarikh Lahir: 16 Jun 1970Tempat Lahir: Selangor
Status: Berkahwin

Kerjaya: Pelakon
Filem: Leftenan Adnan, Pontianak Harum Sundal Malam 2, Bilut, Qabil Khusry Qabil Igam, Waris Jari Hantu, 1957: Hati Malaya, Cuci dan Anak.Pencapaian: Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-20.

Berita Harian

Pencarian Anak Wayang Bermula Esok

3 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

SEBAGAI pelopor program realiti siaran Astro Ria seterusnya melahirkan pelbagai rancangan pencarian bakat lain mengetengahkan format hampir serupa, manakala Astro Prima pula kukuh bersama Raja Lawak Astro.

Namun bermula 22 Mei ini, gabungan dua rangkaian Melayu di Astro ini bakal menetaskan bakat baru menjadi pelapis industri drama dan perfileman menerusi program realiti terbaru, Anak Wayang.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah berkata, Anak Wayang selain mencungkil serta menampilkan bakat baru menyerikan industri drama tempatan juga mengukuhkan jenama Astro sebagai platform melahirkan bakat baru dunia lakonan.

“Ia membuktikan komitmen Astro yang tidak putus memberikan program hiburan terbaik kepada penonton setianya,” kata Zainir pada majlis pelancaran yang disempurnakan di KLPac, Sentul Park, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selepas berjaya melahirkan enam bintang menerusi enam siri AF serta pelawak versatil seperti Nabil, Johan, Zizan dan terbaru, Sepah dengan Raja Lawak, Astro katanya, yakin formula yang diambil mampu memberi impak kepada industri hiburan.

“Anak Wayang mampu memberi gegaran baru kepada industri hiburan menerusi idea serta bakat yang diperkenalkan kelak,” kata Zainir.

Program yang dijana dua saluran iaitu Astro Ria dan Astro Prima memperlihatkan peserta bertanding untuk meraih peluang memegang lima watak utama iaitu jururawat, mekanik, pengelola majlis, gangster dan setiausaha.

Lima watak itu akan menghiasi drama bersiri 50 episod, Kecuali Cintamu yang bakal ditayangkan menerusi Astro Prima.

“Struktur rancangan dan pertandingan ini berlangsung selama 10 minggu di mana program realiti disiarkan menerusi Astro Ria serentak dengan drama bersiri yang menemui penonton di Astro Prima.

“Permulaan rancangan, 25 peserta diterima yang dibahagikan kepada lima kumpulan. Setiap kumpulan akan bertanding merebut satu watak dari minggu ke-2 hingga minggu ke-6 pertandingan dalam drama bersiri.

“Setiap minggu lima peserta akan menerima didikan dalam dunia lakonan, bagaimanapun hanya dua peserta diberi peluang untuk mara berdasarkan prestasi yang dinilai juri. Undian SMS penonton menentukan pemegang watak utama akan diketahui pemenangnya pada Isnin menerusi drama bersiri siaran Astro Prima,” katanya.

Dari minggu ke-7 hingga ke-10, pencarian Anak Wayang beralih ke fasa baru apabila lima pemenang bagi setiap watak bertarung dalam drama bersiri itu.

“Uniknya lima calon memegang lima watak yang ditawarkan itu perlu mengekalkan mutu lakonan terbaik mereka dalam drama bersiri itu.

“Watak yang gagal meraih undian tertinggi akan dimatikan seterusnya memberi pilihan kepada penonton untuk menobatkan seorang pemenang sebagai Anak Wayang menerusi undian SMS,” katanya.

Zainir berkata, keunikan yang ditawarkan itu mampu menarik perhatian pencinta lakonan seterusnya membintangi drama bersiri 130 episod di Astro Prima.

Anak Wayang bakal dikemudikan Rusdi Ramli yang bergilir-gilir mengacarakannya bersama pelakon wanita popular, Nur Fazura Sharifuddin.

Sidang media itu turut dihadiri Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul dan Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani.

Info:

Sesi uji bakat Anak Wayang diadakan di tiga lokasi iaitu:

Grand Paragon Hotel, Johor Bahru pada 4 dan 5 April

Bayview Hotel, Pulau Pinang pada 11 dan 12 April

SACC Mall, Shah Alam pada 18 dan 19 April

Pertandingan terbuka kepada warga negara Malaysia berumur 18 hingga 35 tahun dan tidak terikat dengan mana-mana syarikat produksi drama atau pengurusan artis.

Bawa salinan kad pengenalan serta dua keping gambar berukuran 4R (profil dan paras pinggang) dan menonjolkan kebolehan berlakon secara spontan di depan juri.

Kaunter pendaftaran dibuka dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Berita Harian

Rusdi, Fazura Taruhan Anak Wayang

31 Mar

Teks oleh Thani Hasbullah
Foto oleh Mazlan Yunos

Program realiti TV terbaru terbitan Astro Ria dan Prima, Anak Wayang, bakal menyaksikan dua wajah terkenal dan popular mengemudikannya sebagai hos bersama.

Siapa tidak kenal Rusdi Ramli dan Nur Fazura kerana masing-masing telah membuktikan bakat lakonan yang cemerlang dalam drama dan filem tanah air. Rusdi cukup dikenali dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam 2 dan Waris Jari Hantu manakala Fazura pula sinonim dengan filem Gol & Gincu serta Qaisy & Laila.

Namun untuk menjadi pengacara khususnya program realiti TV, ia sesuatu yang baru bagi Rusdi apabila ditawarkan peluang itu oleh Astro.

“Selepas menerima tawaran sebagai hos rancangan ini beberapa minggu lalu, saya sudah mula mempelajari selok-belok bidang pengacaraan dengan mendalam. Memang tidak dinafikan, saya agak gementar pada mulanya tetapi saya tetap menerimanya sebagai satu cabaran besar.

“Melihat pada konsep pertandingan ini, saya berpendapat ia satu program yang sangat unik dan akan digemari dalam dunia hiburan di Malaysia.

“Kalau diperhatikan negara kita mempunyai ramai bakat dalam bidang lakonan tetapi mereka tidak mempunyai peluang untuk menonjolkan diri. Jadi  Anak Wayang bakal menjadi satu platform yang baik untuk melahirkan bintang baru dalam dunia lakonan,” kata Rusdi, 39.

Berbeza pula dengan Fazura, anak kelahiran Pekan, Pahang itu pernah menunjukkan bakatnya dalam bidang  pengacaraan sebelum melangkah ke arena lakonan. Antaranya dia pernah menjadi VJ untuk program Teens World bagi siaran RTM2.

“Walaupun saya dan Rusdi tidak begitu rapat tapi kami sudah lama kenal. Menjadi pengacara program Anak Wayang adalah satu penghormatan yang besar daripada Astro buat diri saya. Memandangkan ia satu program baru, sata sendiri cukup excited untuk melihat bagaimana impaknya.

“Saya juga agak gementar tetapi yakin akan dapat keserasian dengan Rusdi di kaca TV nanti,” kata Fazura.

Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharfuddin, 26, melibatkan diri dalam dunia lakonan sejak 2004 dan pernah berlakon 8 buah filem cereka. Dalam bidang lakonan, Fazura pernah dicalonkan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik pada FFM19 dan 21.

Kini Fazura sedang menunggu kemunculan filem terbarunya, Pisau Cukur yang dilakonkan bersama Maya Karin dan Dato’ Rahim Razali.

Murai

Estranged Muncul Di Konsert Belia Malaysia

19 Mar

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
rajamawar@bharian.com.my

ISMAIL Sabri (kanan) berbual mengenai Konsert Belia Malaysia dengan dari kiri; Aizat, Engku Emran dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Shamsul Anwar Nasarah.

Mawi, MUH, Aizat turut beraksi di Dataran Remaja, Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok

KONSERT Belia Malaysia Cintakan Kedamaian bakal melakar sejarah baru apabila membuktikan simbolik satu hati dan suara golongan belia mencintai kedamaian demi kesejahteraan kehidupan.

Ia akan berlangsung di Dataran Remaja, Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, esok (20 Mac), jam 8.30 malam.

Konsert itu dianjurkan Gerakan Belia 4B Cawangan Putra Ria, Bangsar dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Belia Malaysia dan Badan-Badan Gabungan Belia Malaysia.

Pembabitan selebriti tanah air turut menyemarakkan lagi konsert yang disertai kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH), Estranged, Bunk Face, Mawi, Nur Fazura, Dafi, Aizat dan bakal Angkasawan Negara kedua, Mejar Dr Faiz Khalieed.

Sementara itu, Suria FM pula dipilih sebagai stesen radio rasmi. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata persembahan dalam konsert itu nanti bukan sekadar hiburan, malah ia dilihat sebagai manifestasi yang cukup bersemangat dalam memupuk rasa kasih sayang golongan belia untuk cintakan negara.


TEMUI Estranged di Bukit Jalil, jam 8.30 malam esok.

Katanya, selain warisan seni, konsert itu juga menggalakkan perkembangan sahsiah anak muda ke arah menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab, mempunyai ketahanan diri, daya saing dan berwawasan melalui muzik dan seni.

“Kami percaya konsert ini mampu memperkasakan khazanah seni kepada generasi muda, selain menanam semangat cintakan bangsa melalui lagu dan puisi yang bertemakan keamanan sejagat.

Selain itu, ia dilihat mampu menyebarkan pengaruh positif, kasih sayang dan saling mencintai sesama manusia di kalangan belia. Lagu dan puisi dapat memupuk semangat jitu anak bangsa melalui persembahan kesenian yang membangkitkan citra diri,” katanya.

Ismail Sabri juga menjelaskan Konsert Belia Malaysia Cintakan Kedamaian ini membabitkan persembahan lagu yang sesuai dengan jiwa anak muda termasuk peminat muzik rock, alternatif dan pop tetapi berlandaskan keamanan dan sejagat serta menolak perang dan keganasan.

“Ia akan diselang-selikan deklamasi puisi dan lagu puisi. “Tema Remaja Malaysia Cintakan Kedamaian Menolak Keganasan dipilih sebagai slogan konsert,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, berkata golongan belia adalah kumpulan kritikal dan memerlukan bimbingan.

“Suria FM menyambut baik usaha Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Belia Malaysia dan Badan-Badan Gabungan Belia Malaysia dalam memupuk kasih sayang golongan belia untuk cintakan negara. Mereka adalah nadi kepada kemajuan negara pada masa depan. Bagaimanapun, tanpa bimbingan dan cara yang sesuai, mungkin sukar mahu melentur mereka.

“Jadi platform hiburan digunakan ke arah yang positif kerana jiwa belia yang masih rapuh perlu dididik dengan cara lembut. Mereka perlu dipupuk rasa cintakan agama, bangsa dan negara dari sekarang.

“Suria FM sedia menjadi pengantara antara pihak kerajaan dan belia kerana maruah negara terletak di tangan mereka. Sebelum konsert bermula, Suria FM sudah menemu bual artis terbabit dalam konsert dan membincangkan peranan mereka kepada negara,” katanya.

Berita Harian