Archive | Nur Shahila RSS feed for this section

Pengalaman Mahal

10 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Shila dan Iz tidak sabar gayakan rekaan Hatta pada malam ABPBH 2008

MEMIKUL tugas menyiapkan rekaan untuk empat selebriti, Nurul Abdul Wahab, Sarah Raissuddin, Shila dan Iz memberi 1001 pengalaman berharga buat pemenang Pereka Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 kategori wanita, Hatta Dolmat.

Tidak hairan ada dikalangan selebriti yang turut memasang angan sekian lama untuk menyarung pakaian rekaan Hatta. Perkara ini diakui sendiri dua penyanyi muda, Shila dan Iz.

Kata Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, kali pertama dia berpeluang melaram rekaan Hatta ialah sewaktu Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23 Januari lalu.

“Shila pasti setiap artis ingin cuba tampil dengan sesuatu yang berbeza sewaktu menghadiri sebarang anugerah atau majlis. Terutamanya sewaktu berjalan di permaidani merah kerana ketika itu lensa kamera pasti berkelip.

“Untuk ABPBH 2008, Shila mengenakan gaun pendek yang pastinya mempunyai perincian songket,” katanya penyanyi berusia 19 tahun ini.

Biarpun masih agak baru, tetapi Shila hebat memenuhi undangan menyanyi termasuklah konsert jelajah daripada syarikat pengeluar ais krim dan minuman ringan terkenal. Kerjayanya juga dilihat semakin laju sejak di bawah label Monkey Bone dan pengurusan 8 Unit. Shila juga bergandingan bersama kumpulan trio remaja dari Indonesia, Ran berduet menyanyikan berjudul Tunjukkanlah Cintamu yang semakin mendapat perhatian dalam carta stesen radio di Indonesia.

Rezeki Shila juga semakin murah kerana lagu Rentak Optimis nyanyiannya bersama Dafi turut mendapat sambutan. Cuma yang menjadi persoalan di sini, bilakah album terbarunya akan berada di pasaran.

“Sepatutnya album baru Shila dipasarkan Februari lalu. Tapi ‘orang kuat’ Monkey Bone, Ahmad Izham Omar mahu ditangguhkan dulu kerana ingin menambah beberapa lagu lagi. Mujurlah ada lagu Memori Tercipta dan Bebaskanlah menjadi sandaran untuk lagu Shila.

“Shila difahamkan kira-kira 14 hingga ke 15 lagu sebelum dikurangkan menjadi 8 hingga 10 lagu. Mungkin album itu di pasaran hujung bulan. Shila terbabit dengan projek khas merakamkan dua buah lagu berbahasa Inggeris dan Melayu untuk kempen Hannah Montana,” kata Shila yang pernah memenangi Anugerah Emas dalam nyanyian Penang Shanghai World Star Quest (PSWSQ) April tahun lalu.

Sementara itu, Iz atau nama sebenarnya Izwan Sulaini Haron menyifatkan rezeki menggayakan rekaan Hatta ibarat impian jadi kenyataan.

“Teruja juga rasanya dapat memakai rekaannya malah saya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk menyiapkan pakaian untuk saya. Melihat lakaran yang ditunjukkannya sudah membuatkan saya berkobar-kobar menanti waktu siapnya pakaian itu,” katanya yang sedang merakamkan album berkonsepkan Pop R&B terbitan Izworkz Sdn Bhd memuatkan 10 buah lagu.

Enam daripadanya berbahasa Melayu dan selebihnya, Inggeris.

Rekaan fesyen lelaki amat terhad

MELALUI tema Sentuhan Tenun yang menjadi tema fesyen pada ABPBH 2008, Ahad ini, pereka fesyen kelahiran Melaka itu cuba meletakkan warisan kebanggaan budaya Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya dia cukup sensitif tidak mahu meletakkan elemen songket di bahagian bawah busana kerana fabrik itu cukup dipandang tinggi martabatnya .

Seboleh-bolehnya Hatta akan menggunakan songket di bahagian tertentu dan memadai digunakan tidak secara keseluruhan, asalkan memenuhi tema yang ditetapkan. Untuk Shila, dia mereka gaun koktel tetapi bersesuaian dengan usianya yang muda, sopan dan menggunakan warna kombinasi kelabu dan perak.

Untuk Iz, dia yang jarang membuat pakaian khusus kepada lelaki akan cuba mengekalkan gaya yang acap kali diperagakan lelaki bergaya. Cuba mengelak klise yakni melalui pemakaian tuksedo, dia akan mereka gaya Eropah seperti kot trench dan seluar potongan kecil di kaki.

“Saya lebih suka mereka pakaian wanita berbanding lelaki. Rekaan lelaki terlalu terhad biarpun daripada segi teknikalnya sama saja dan tak banyak perubahan dengan koleksi wanita,” kata Hatta.

Mengenai tema Tenun, dia memuji keberanian Berita Harian untuk mengetengahkan fabrik tempatan yang terbukti kehebatannya. Ia sebagai alasan untuk memastikan budaya tempatan tidak terus luput dek kebangkitan fabrik terkini.

INFO: Nama Penuh: Muhammad Hatta Dolmat Nama Komersial: Hatta Dolmat Tarikh Lahir: 19 Disember 1982 Pendidikan: Diploma Rekaan Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seri Iskandar dan Sarjana Muda Kepujian dalam Rekaan Fesyen dari UiTM Shah Alam Pencapaian: Pereka Popular ABPBH 2008 Pemenang Anugerah Pereka Muda 2003 oleh Jusco dan One Utama, pemenang trofi Pesona Pengantin 2005, Pemenang Jarum Berlian 2005, Rekaan Terbaik ABPBH 2006, pemenang Ethnic Chic Design Awards 2007 di Singapura selain menjadi Top 3 dalam Project Runway Malaysia

Berita Harian

Advertisements

Shila Jelmaan Baru Hannah Montana

19 Mar

Teks oleh Ellyna Ali

KUALA LUMPUR, 19 MAC 2009:  Menjadi jelmaan Hannah Montana pastinya merupakan impian setiap kebanyakan remaja perempuan di luar sana. Namun, tuah itu nampaknya lebih berpihak kepada Nur Shahila Amir Hamzah atau Shila.

Lebih menarik lagi apabila pemenang tempat kedua program realiti One In A Million (OIAM) musim ke-2 ini dapat menyanyikan lagu tema Hannah Montana iaitu, Best of Worlds yang dipopularkan Miley Cyrus dalam versinya sendiri. Video muzik tersebut turut menampilkan Shila sewaktu sedang membuat persediaan untuk konsert dan diakhiri dengan kejutan istimewa.

Bukan setakat itu saja, pemenang Shanghai World Star Quest Pulau Pinang 2008 ini turut dipilih bergandingan dengan Hj Aznil Hj Nawawi bagi mengacarakan 2 siri khas Hannah Montana menerusi Disney (Astro Saluran 615 ), jam 5 petang iaitu pada 15 dan 22 Mac ini.

Apabila ditanyakan Shila pembabitannya bersama Disney Channel dalam menjayakan projek Hannah Montana, anak perempuan kepada penyanyi dan pengacara ND Lala ini mengakui bahawa dia sama sekali sangat teruja dengan pemilihannya sebagai jelmaan Hannah Montana.

“Seperti watak dalam Hannah Montana, saya juga sedang mengejar impian untuk menjadi artis yang bertaraf dunia. Tapi, kalau mahu menyamakan saya dengan Hannah Montana dari sudut pencapaian, rasanya banyak lagi kekurangan yang ada pada saya,” katanya dengan suara yang penuh keanak-anakan.
 
Apapun Shila mengakui bahawa dirinya berasa sangat bertuah sekali apabila mendapat peluang yang tidak disangka-sangka itu.

“Kalau ditanyakan pada mana-mana artis sekalipun, pasti mereka tidak akan melepas peluang serta tawaran ini dan saya pula yang menjadi pilihan mereka. Saya tidak pasti mengapa saya yang dipilih tapi setidak-tidaknya, saya  berpeluang membawa diri saya ke satu tahap yang lebih tinggi lagi.

“Kebetulan pula saya memang meminati siri Hannah Montana dan secara kebetulan pula ada beberapa persamaan di antara kami berdua iaitu kami adalah pelajar kolej tetapi kami juga mempunyai kerjaya sebagai  penyanyi rakaman.

“Satu lagi persamaan adalah ayah Hannah Montana adalah seorang penyanyi dan komposer bagi lagu country, manakala ayah saya pula adalah seorang penyanyi serta komposer bagi lagu-lagu yang berentak folk,” katanya lagi.

Menceritakaan bagaimana saat dia mengenali Hannah Montana, Shila berkata, dia seharusnya memberikan kredit tersebut kepada adiknya, Shadah.

“Dia sebenarnya yang menyuruh saya tengok Hannah Montana. Katanya, rugi kalau saya tak tengok. Bila saya berpeluang menonton episod ketiga Hannah Montana bagi musim yang pertama, saya terus jatuh cinta dengan siri tersebut.

“Seronok rasanya apabila dapat menjalani kehidupan seperti remaja biasa tapi pada masa yang sama tidak ada seorang pun yang tahu bahawa remaja tersebut adalah bintang pop yang terkenal. Apa yang menarik siri ini juga sesuai ditonton sekeluarga,” katanya.

Shila ada penyakit mudah lupa?

Tentang gandingannya bersama Pak Nik atau Aznil pula, Shila mengakui bahawa ia adalah sesuatu yang sama sekali di luar jangkaannya.

“Sepanjang kerjaya saya menjadi penyanyi, saya tidak pernah lagi menjayakan sebarang aktiviti yang berbentuk pengacaraan. Baik secara solo mahu pun bersama pasangan, ia sesuatu yang terlalu asing buat saya. Apatah lagi untuk digandingkan bersama Aznil. 

“Walaupun ayah saya sendiri pernah menjadi pengacara tetapi dia tidak pernah turunkan ilmunya itu kepada saya. Jadi apa yang saya dapat semuanya bulat-bulat daripada Aznil sendiri. Bila saya mahu minta tunjuk ajar daripada ayah, dia cakap tidak perlu kerana saya sudah mendapat seorang guru yang hebat iaitu Aznil,” katanya.

Namun begitu, Shila mengakui di saat awal dia menjayakan rakaman 2 siri khas Hannah Montana bersama Aznil, dia sentiasa diselubungi rasa gementar.

“Ia disebabkan ketidak yakinan saya untuk memberikan yang terbaik di dalam program tersebut. Lebih-lebih lagi bila saya ini sentiasa mempunyai penyakit lupa. Tanyalah pada ibu dan ayah saya. Mereka memang tahu sangat perangai lupa saya ini.

“Tapi, apa yang mengejutkan,  saya tidak lupa pula ketika diminta menghafal dialog bagi kedua-dua siri khas program Hannah Montana ini. Padahal dialog yang di sediakan bagi kedua-dua siri khas ini cukup panjang sekali.

“Mungkin semua ini hasil dan berkat dari tunjuk ajar Uncle Aznil sepanjang saya rakaman itu dibuat. Dialah yang memudahkan tugas saya. Dia juga bijak membuatkan saya berada selesa dengan tugas pengacaraan saya itu,” katanya.
Siri khas pertama yang dinamakan Kenali Hannah Montana Bersama Aznil & Shila sudah pun disiarkan pada 15 Mac yang lalu. Ia membawa penonton mengimbas semula kisah Hannah Montana, iaitu gadis remaja yang menjalani kehidupan sebagai remaja biasa serta bintang pop terkenal dunia menerusi 2 musim terdahulu.

Manakala dalam siri khas kedua iaitu Tayangan Perdana Hannah Montana Bersama Aznil & Shila bakal disiarkan pada 22 Mac ini, Shila dan Aznil akan membawakan penonton menyoroti kisah-kisah menarik tentang Hannah Montana pada musim baru nanti.

Tayangan perdana serantau muzik video Shila pula sudah ke udara selepas episod Hannah Montana yang menampilkan pelakon undangan Dwayne Johnson (The Rock) pada 8 Mac lalu.
 

Murai

Aznil, Shila Jadi Wajah Disney

13 Mar

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

AZNIL dan Shila muncul di saluran Disney pada Ahad ini dan 22 Mac sempena tayangan drama bersiri, Hannah Montana.

Berkolaborasi dalam rancangan Hannah Montana mulai Ahad ini

JIKA diukur dari segi pengalaman yang dimiliki kedua-duanya, bezanya bagai langit dengan bumi. Mana tidaknya, seorang masih lagi bertatih dalam dunia hiburan manakala seorang lagi, sudah pun mengecapi erti populariti yang sebenar. Malah, dari segi usia sendiri sudah cukup menjarakkan mereka berdua.

Namun, semua itu bukanlah satu halangan untuk pengacara tersohor Aznil Nawawi dan bekas naib juara program realiti, One In A million Nur Shahila Amir berkolaborasi bersama. Bukan di pentas nyanyian tetapi kedua-dua selebriti ini akan berganding bahu mengacarakan sebuah program istimewa.

Lebih menarik lagi, wajah kedua-duanya ini akan dapat dilihat di saluran Disney mulai Ahad ini dalam rancangan berjudul kenali Hannah Montana Bersama Aznil & Shila.

Bukan calang-calang orang mampu menembusi saluran kanak-kanak popular itu namun melihatkan kepada latar belakang dua selebriti ini, tidak dapat dinafikan pengaruh mereka yang besar serta bakat semula jadi yang dimiliki membuatkan mereka mendapat kepercayaan untuk mengendalikan program itu.

Pada Ahad 15 Mac, jam 5 petang, Shila dan Aznil akan mengacarakan Kenali Hannah Montana Bersama Aznil & Shila, apabila mereka akan memperkenalkan dua musim pertama Hannah Montana untuk memberi peluang kepada penonton memahami permulaan cerita gadis biasa yang bertukar menjadi bintang pop ini.

Manakala pada hari Ahad minggu berikutnya, mereka mengacarakan rancangan khas Tayangan Perdana Hannah Montana Bersama Aznil & Shila selama sejam. Menerusi program ini, mereka akan membawa pelbagai kisah menarik yang akan dapat disaksikan pada musim baru program itu. Antara topik yang menarik termasuklah fesyen, tetamu undangan serta alunan muzik hebat yang akan disampaikan dengan gaya tersendiri oleh kedua pengacara ini.

Bertemu Shila pada sesi memperkenalkan mereka sebagai pengacara program itu baru-baru ini, anak kepada penyanyi ND Lala ini mengaku teruja dengan tawaran yang diberikan kepadanya itu. Bukan saja membuka ruang untuknya bergelar pengacara tetapi juga perasaan gembira itu menjadi dua kali ganda kerana berpeluang muncul di saluran popular serta ditawarkan membawa watak sebagai Hannah Montana.

“Apabila pihak Disney melamar Shila untuk mengacarakan program ini, masa tu rasa gementar sangat. Maklumlah, Shila ni tak ada pengalaman pengacaraan. Apatah lagi pasangan Shila adalah pengacara nombor satu negara, Uncle Aznil. Pun begitu, selepas bertemu, rasa lega sikit sebab dia banyak membantu.

“Lebih membuatkan Shila seronok menerima tawaran ini adalah saya berpeluang melakonkan watak Hannah Montana menerusi video klip di mana saya akan membawakan lagu Hannah berjudul Best of Both Worlds. Shila juga akan menyanyikan lagu yang mengambil inspirasi penyanyi popular itu yang berjudul Kejar,” cerita Shila.

Sambil mengakui seronok membawakan watak itu, Shila berkata di sebalik tuah yang menggolek itu rupa-rupanya ada insan yang cemburu. Tidak mahu membiarkan perkara itu menjadi tanda tanya, Shila mendedahkan orang itu adalah adiknya sendiri iaitu Shada.

“Sebenarnya dia yang suka sangat dengan watak Hannah Montana ni. Apabila dia mendapat tahu yang Shila ditawarkan menjadi Hannah Montana, bukan main marah lagi dia. Sampai merajuklah juga sebab dia yang minat sangat dengan watak itu, alih-alih Shila berpeluang jadi klon Hannah.

“Pun begitu, selepas dihadiahkan dengan barangan Hannah yang saya dapat dari Disney, barulah dia gembira dan hilanglah merajuk itu,” imbas Shila mengenai gelagat adiknya itu.

Mengulas kolaborasinya dengan pengacara dan penyampai radio Era itu, Shila berkata, pengalaman bergandingan dengan Aznil cukup menyeronokkan.

“Dia banyak membantu Shila sewaktu rakaman. Maklumlah Shila ini pelupa orangnya, jadi ada ketika dia yang membantu Shila mengingat dialog. Yang pasti, kami memang seronok sakan sewaktu merakamkan program ini,” puji Shila.

Penuh nilai kekeluargaan

SELEPAS berjaya mencipta populariti di kalangan kanak-kanak menerusi program Tom Tom Bak, langkah Aznil nampaknya semakin panjang apabila diberi peluang mengacarakan program khas ini. Bagi si empunya diri, peluang untuk muncul di saluran Disney, bererti itu satu kesempatan untuk dia mengembangkan sayapnya kepada penonton cilik dari ruang lingkup yang lain.

“Selama ini, saya hanya dikenali kanak-kanak yang menonton Astro Ceria saja. Jadi dengan kemunculan saya dalam program ini, saya dapat menambah jumlah penonton kanak-kanak dari saluran Disney. Manalah tahu mungkin selepas ini Disney ini akan mengambil saya menjadi pengacara tetap programnya,” jelas Aznil yang turut teruja dengan tawaran yang diberikan itu.

Walaupun program Hannah Montana adalah sebuah program remaja, namun Aznil berkata ia bukanlah sesuatu yang asing buatnya memandangkan kedua orang anaknya adalah penggemar siri itu.

“Apabila mereka menonton rancangan itu, saya pun ikut menonton sekali dan saya dapati program itu ada nilai kekeluargaan. Mungkin sebelum ini ada yang menyangkakan program ini lebih kepada mengajar kanak-kanak untuk menjadi dewasa tetapi sebenarnya tidak. Sewaktu mengendalikan rancangan ini, saya akan memberitahu kepada penonton bahawa rancangan Hannah Montana ini sesuai ditonton kanak-kanak kerana ia banyak menyalurkan mesej berguna,” kata Aznil lagi.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan saluran televisyen antarabangsa, Aznil berkata pengalaman yang diperolehnya itu cukup berharga.

“Mereka cukup serius bila bekerja dan saya kagum kerana mereka cukup profesional. Pengalaman yang saya kutip itu nanti, kalau ada peluang, ingin saya gunakan apabila saya menerbitkan program kanak-kanak pada masa akan datang,” ujarnya.

Berita Harian

'Jadilah Diri Sendiri'

11 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

BAKAT seni yang dimiliki Faizal turut menyemarakkan industri hiburan tempatan.

Pesanan Faizal Tahir, Suki, Ayu dan Shila kepada peserta One In A Million

BARANGKALI ramai pernah meragui kemampuan sebenar bintang yang dicungkil menerusi program realiti terutama apabila melihat populariti pantas yang dicipta namun akhirnya tenggelam lantaran tidak mampu membawa gelombang baru dalam industri hiburan.

Bagaimanapun, pandangan sempit itu kian terhakis apabila satu demi satu bintang yang dicungkil menerusi pertandingan itu bangun membuktikan kemampuan mereka.

Kemaraan mereka juga menyemarakkan industri muzik yang lesu apabila menebarkan pelbagai idea segar, sekali gus menyuntik harapan dengan membina platform baru yang mengesankan.

Antara contoh paling jelas ialah kebangkitan Faizal Tahir. Mengakhiri perjuangan dalam One In A Million (OIAM) musim pertama dengan meraih tempat kedua, namun hari ini namanya mara ke puncak dengan pelbagai pengiktirafan.

Merentas pelbagai cabaran, malah saat namanya mula mendaki populariti dia diuji dengan dugaan hebat namun semua pengalaman itu dibayar dengan pengiktirafan yang membanggakan.


Suki

Berkongsi pengalaman dengan tiga lagi bintang yang juga dicungkil menerusi OIAM iaitu Ayu, Suki dan Shila, sesi fotografi yang diatur khas oleh 8TV mengajak khalayak mendekati semula laluan awal mereka.

Kata Faizal, perkara asas yang akan membuat khalayak tertarik adalah keupayaan seseorang peserta menjadi penghibur apabila beraksi di pentas, bukan hanya penyanyi semata-mata.

Baginya ramai penyanyi di luar, namun untuk mencari mereka yang mempunyai karisma atau aura yang boleh memancing perhatian peminat adalah sesuatu yang sukar terutama dalam bidang seni suara.

“Peminat sentiasa dahagakan sesuatu yang berbeza dan itu yang perlu kita berikan. Di luar lebih ramai penyanyi yang mempunyai mutu suara jauh lebih baik berbanding saya, namun apa yang ingin peminat saksikan ialah keberanian.


SHILA (kiri) dan Ayu.

“Itu yang saya cuba berikan dan hari ini, saya melihat semangat itu turut dibawa oleh kumpulan seperti Hujan, Meet Uncle Hussain dan Bunkface selain Aizat. Keberanian membawa mereka melangkah jauh dalam industri.

“Pesan saya, peserta cuma perlu menjadi diri sendiri dan usaha mencuba terlalu keras untuk menarik perhatian khalayak. Itu penting untuk mendapat tempat di hati peminat,” katanya menitip pesanan kepada peserta OIAM yang bakal berentap bermula pertengahan Februari ini.

Dua tahun dalam industri, Faizal dilihat meniti laluan yang cukup selesa namun baginya, situasi itu tidak sesekali membuatkan dia pantas berasa sudah mencapai segala yang diimpikan.

Ruang selesa yang dinikmati tidak sesekali melekakannya bahkan kata Faizal, kejayaan dikecapi mendorong dirinya untuk terus berusaha melakukan pembaharuan dan tampil dengan idea mantap.

“Penghargaan diterima adalah dorongan dan bukan meletakkan diri seseorang itu pada kedudukan stabil atau selesa. Saya sebenarnya membawa tanggungjawab lebih besar dalam industri, membuatkan saya ingin mencuba dan terus mencuba kerana pada dasarnya saya belum berjaya sepenuhnya.

“Dalam nyanyian mungkin khalayak sudah mengenali siapa Faizal Tahir namun saya harus berani untuk lebih meneroka.

“Atas sebab itu, saya mahu terus mendalami aspek penciptaan lagu kerana dalam produksi album kedua nanti saya mahu lebih terbabit dan fokus,” katanya.

PROFIL: Faizal Tahir
Nama Penuh: Ahmad Faizal Mohammad Tahir
Tarikh Lahir: 26 Oktober 1978
Profesion: Penyanyi, penulis lagu dan pengacara
Album: Aku.Muzik.Kamu
Pencapaian: Anugerah Planet Muzik 2008: Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular; Anugerah Industri Muzik 15: Persembahan Vokal Terbaik dalam Album (Lelaki), Artis Baru Terbaik, Album Rock Terbaik dan Album Terbaik dan Anugerah Juara Lagu 23: Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik dan Juara Kategori Balada untuk lagu Sampai Syurga.

Suki kejar masa

MASIH di bangku sekolah ketika menyertai OIAM, meletakkan Suki dalam kekalutan dan itu memberikan cabaran yang sangat besar kepadanya.

Setiap hari, masa seakan mengejar membuatkan gadis kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini perlu bijak mengatur jadual.

“Tekanannya cukup hebat namun semua itu akan dapat diatasi jika kita fokus dan mempunyai disiplin yang tinggi. Sehingga sekarang saya terus diburu masa, terutama selepas kembali belajar secara online di Kolej Muzik Berklee,” kata Suki yang tidak berhenti mengejar cita-citanya selepas muncul juara pertama OIAM.

Paling penting kata Suki atau nama sebenarnya, Low Sook Yee, adalah jangan membiarkan diri terganggu dengan apa yang berlaku di persekitaran.

“Saban minggu melihat rakan kita tersingkir membuatkan kita berada dalam tekanan. Namun, peserta perlu kuatkan semangat dan bertanya diri, untuk apa berdiri di pentas OIAM?

“Saya dulu pernah terbawa dengan apa yang saya baca di internet membuatkan saya tidak dapat memberikan persembahan terbaik. Ketika itu saya cukup tertekan namun apabila difikirkan semula, saya sebenarnya tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.

“Daripada situ, saya berusaha mengatasi kelemahan dan belajar menerima segala kritikan,” katanya.

PROFIL: Suki
Nama Penuh: Low Sook Yee
Nama Komersial: Suki
Tarikh Lahir: 11 Disember 1989
Asal: Seremban, Negeri Sembilan
Album: Finally/Akhirnya
Pencapaian: Juara musim pertama OIAM dan Artis Harapan, Anugerah Industri Muzik Ke-15.

OIAM bina keyakinan diri Ayu

PANDANGAN yang sama juga diluahkan Norayu Damit atau Ayu yang melihat perjalanan sepanjang OIAM membina keyakinan dirinya, malah mematangkan dirinya menempuh kehidupan.

Gadis berusia 19 tahun dari Putatan, Sabah ini mengakui, ketika pertandingan dia tidak meletak harapan tinggi untuk menang sebaliknya cuma berusaha memberikan yang terbaik untuk dinilai penonton.

“OIAM banyak mengubah pemikiran Ayu yang dulu langsung tidak mempunyai keyakinan akan mampu menempuh hidup sebagai anak seni.

“Memang pada awal Ayu terasa hati dengan teguran dan kritikan namun Ayu cekalkan diri kerana kejayaan tidak akan datang bergolek. Alhamdulillah, keberanian Ayu menerjah segala halangan itu memberikan ruang yang semakin selesa dalam bidang nyanyian,” katanya.

Nasihat Ayu, apa juga kritikan diberikan perlu diterima dengan terbuka dan paling penting, sentiasa berusaha mengatasi kelemahan dan tidak mengulangi kesilapan.

“Kritikan diberi kerana mereka mahu kita menjadi lebih baik, jadi untuk apa perlu berkecil hati? Andai dalam pertandingan jiwa tidak kuat, bagaimana mahu menempuh gelombang di luar yang lebih besar dan kejam?

“Prinsip itu yang sentiasa Ayu sematkan dalam diri dan ia membuat Ayu semakin kuat,” katanya.

Lebih penting kata penyanyi yang sinonim dengan lagu Hanya Di Mercu, adalah disiplin kerana ia memainkan peranan besar dalam menentukan kejayaan seseorang.

Transformasi Shila

MEMULAKAN langkah sebagai penyanyi pada usia sembilan tahun membuatkan Nur Shahila Amir Hamzah atau Shila agak pasif dan kurang berkeyakinan untuk bergaul kerana semuanya ditentukan mereka yang lebih berpengalaman.

Namun segala keistimewaan itu seakan dibawa pergi apabila Shila menyertai OIAM, membuatkan dia terpaksa berdikari mengatur laluan yang ingin dituju.

“Untuk menggali ilmu, kita perlu berani membuatkan Shila tidak gentar untuk melakukan kesilapan kerana dari situ, Shila memperbaiki kelemahan dan berusaha mengatasinya.

“Apa saja kritikan yang dilemparkan, Shila letakkan di tepi kerana jika terlalu memikirkan ia hanya akan merosakkan langkah. Shila cuba fokus sepanjang pertandingan, membuang segala perasaan negatif dan alhamdulillah, kepuasan akan terserlah apabila kita mampu memberikan sesuatu yang di luar jangkauan,” katanya.

OIAM kata Shila, sebenarnya membuka ruang kepadanya untuk meluahkan ekpresi diri dengan cara tersendiri tanpa perlu takut kritikan.

Keberanian itu juga kata gadis berusia 18 tahun, membuatkan otaknya sentiasa ligat berfikir kerana tidak mahu terus berada pada liga selesa.

“Mungkin dulu Shila lebih teragak-agak untuk melakukan sesuatu, sentiasa berfikir apakah apa yang dibuat akan diterima tetapi sekarang Shila semakin berani mengambil risiko.

“Satu yang Shila pegang, buang sifat cemburu kerana rezeki setiap kita sudah tertulis. Apa yang penting adalah berusaha dan jangan hanya berserah kepada takdir kerana itu tidak akan membawa kita ke mana-mana,” katanya.

PROFIL ShilaNama Penuh: Nur Shahila Amir Hamzah
Tarikh Lahir: 13 Ogos 1990
Asal: Kuala Lumpur
Album: Sha-hila dan runut bunyi 5 Jingga
Anugerah: Tempat kedua Anugerah Bintang Kecil

Tempat Kedua, tempat kedua One In A Million Musim ke- 2 dan Anugerah Emas dan Lagu Terbaik pada Penang Shanghai World Star Quest 2008.

PROFIL: Ayu
Nama Penuh: Norayu Damit
Nama Komersial: Ayu
Tarikh Lahir: 12 Julai 1989
Asal: Putatan, Sabah
Pencapaian: Juara musim kedua OIAM
Lagu: Hanya Di Mercu.

Berita Harian

Lelaki Malaysia Pun Banyak

1 Feb


BIAR sewaktu berusia sembilan tahun lagi, Nur Shahila Amir Hamzah atau Shila sudah mula menyanyi. Bakatnya dilihat lebih meluas selepas menyertai One In A Million musim kedua (OAIM), tahun lalu.

Sudah melewati gementar bertanding dan mengutip pengalaman baru, naib juara program realiti terbitan 8TV ini sempat menitipkan pesanan buat para peserta yang baru masuk gelanggang untuk musim terbaru.

Kata anak ND Lala ini: “Setiap peserta harus menampilkan potensi diri dan mencari imej sendiri. Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru kerana hanya dalam gelanggang ini kita mampu mencungkil dan mencari hala tuju.”

Kini sedang teruja menanti kelahiran album terbarunya, Bebaskanlah yang dijangka berada di pasaran Mac depan, gadis ini giat mempromosikan lagu tema Cornetto, Tunjukkan Cintamu.

“Saya diikat sebagai duta Cornetto Malaysia-Indonesia selama setahun. Dalam masa sama, saya juga menjadi model baru untuk projek Clean & Clear dan mempunyai sebuah klip video, Hanya Kita untuk produk ini juga,” katanya mengenai diari tahun baru yang padat.

Kosmo

Arab-Malaysian Extravaganza

28 Aug

Reshmonu will be performing some of his biggest hits.
Reshmonu will be performing some of his biggest hits.

CELEBRATE the Merdeka month at the Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur, with a joint Arab-Malaysian musical extravaganza from 6pm to midnight today.

Shila is all out to entertain her fans in Samrah Festival 2008.
Shila is all out to entertain her fans in Samrah Festival 2008.

It is the Samrah Festival 2008: Magical Arabia Concert, featuring some of the hottest new stars from Malaysia and Lebanon.

Representing Malaysia are Nur Shahila Amir Amzah (Shila), the runner-up of One In A Million (season two), and dreadlocked R&B and soul star Reshmonu.

Shila, 18, of Ipoh, is the daughter of veteran singer and television host N.D. Lala who is best known as the host of TV3 musical chart show Muzik Muzik in its early years.

She recently did the country proud by winning the Penang Shanghai World Star Quest, the annual East Asian singing contest held for the first time in George Town, Penang.
Reshmonu, or Hiresh Haridas, 32, hails from Malacca and is an accomplished singer-songwriter.

At home in both English and Bahasa Malaysia songs, he is known for a string of hits including Walk Away, Cintaku Pergi, It’s You That Matters, Hey Waley and Superfine.

Reshmonu released his debut album, Monumental, in 2003 and it earned him seven Anugerah Industri Muzik (AIM) nominations in 2004, of which he won three, namely, Best Male Vocals, Best English-Language Artiste and Best Engineering For An Album.

It’s You That Matters was remade in Mandarin by Evonne Hsu, and re-titled I Wanna Croon A Song For You.

In 2005, he re-released his debut album with new material, titled Monumental: The Journey Continues and it included Kiranya Tiada Lagi (the Bahasa Malaysia version of Walk Away).

His 2006 album Superfine spawned the hit singles Superfine and The Way It Makes You Move.

Lebanon is represented by three popular artistes who are marking their first concert in Malaysia.

Topping the list is world-class belly dancer Amani (Angel Ayoub Ayoub) who is one of her country’s national arts ambassadors.

She is joined by crooner and composer Bassem Yehya who began his career in 2001 and is famous for the hit songs Bein Adhani and Fi Leila.

Last but not least, there is Michaella Stephan who is famous for the hit song Best Game Ever, Lebanon’s World Cup 2006 theme.

She also composed her own English song Obey Me and paid tribute to the late Father of Lebanese Reconciliation Rafik Hariri in the song Bteb’a Ma’na.

The concert is organised by MyEvents International and will also feature traditional dance performances.

Venue: The Pavilion in Jalan Bukit Bintang, KL. Call 03-7725-5337.

New Straits Times

Shila Rasa Bersalah

22 Aug

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

JIKA bukan Ayu yang bergelar juara One In A Million musim kedua (OIAM 2), gelaran tersebut sudah pasti menjadi miliknya. Naib juara OIAM 2, pemilik nama Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah ini dilihat begitu gagah mengharungi perjalanan seni dengan tenang.

Kalah kepada Ayu atau nama penuhnya, Norayu Damit dalam program berkenaan bukannya satu penghalang untuknya terus mara. Namun anehnya, sebaik sahaja program tersebut tamat, kelibatnya semakin dirasai khalayak peminat berbanding Ayu.

Justeru, apabila ada banyak pihak yang mengatakan populariti Shila telah mengatasi sang juara yang juga merupakan sahabat baiknya itu, ia telah menimbulkan sedikit kegusaran di hati anak dara N.D Lala ini.

“Secara jujur, kedang-kala terbit juga rasa serba salah dalam diri sebab saya bukannya juara tetapi orang masih mahu mengambil saya untuk menjadi penyanyi.

“Macam mana pun, saya anggap itu rezeki masing-masing, Ayu dapat rezeki awal dengan jadi juara OIAM dan rezeki saya selepas keluar OIAM. Kalau saya asyik menyalahkan diri, sampai bila saya hendak maju dalam industri seni ini.” jelasnya.

Sungguhpun Shila bukan bergelar seorang pelakon, dia sering muncul sebagai penyanyi lagu tema dalam drama-drama terbitan 8TV, malah dia kini dilihat umpama duta stesen berkenaan pula bukannya Ayu.

“Saya memang berkawan baik dengan Ayu sejak dalam OIAM lagi, sebab masa OIAM bila ada cuti dan dia tidak dapat balik ke Sabah, dia akan tinggal bersama keluarga saya sebab itu keluarga saya pun rapat dengannya.

“Dan tentang saya umpama duta 8TV itu, saya rasa mereka memilih saya untuk menyanyi lagu tema drama-drama kerana saya menepati kriteria yang mereka cari,” ujarnya.

Tambah Shila lagi, menurut Ketua Operasi 8TV, Ahmad Izham Omar, mereka menilai saya daripada segi kesesuaian bukannya kerana pilih kasih atau pun apa.

“Jika ada lagu yang berentak perlahan pasti akan diberi kepada Ayu bukannya saya, oleh itu tidak timbul siapa lebih bagus atau popular. Pilihan dibuat kerana kesesuaian,” ujarnya.

Apabila timbul isu siapa lebih popular dan menyerlah, pastinya hal ini sedikit sebanyak turut menganggu hubungan persahabatan dua gadis ini.


SAHABAT baik. Ayu turut memeriahkan hari jadi Shila.

Namun, Shila menegaskan, hal itu hanya isu remeh-temeh yang tidak akan menganggu hubungan baik antara mereka berdua.

“Kami langsung tidak pernah ada apa-apa masalah dan kami sebenarnya menyanyikan lagu dari genre yang berbeza sebab itu saya kata perjalanan kami berbeza dan tidak mungkin kami akan bermusuhan.

“Kami berdua sedang cari tapak untuk berdiri, cuma mungkin cara kami sedikit berbeza. Memang kami bersahabat tetapi dalam masa yang sama Ayu juga merupakan saingan terdekat saya. Saya cuma ingin tampilkan yang terbaik, begitu juga dengan Ayu,” tuturnya jujur.

Katanya lagi, mungkin kelebihannya berbanding Ayu adalah dia sudah mula menyanyi sejak berumur 8 tahun lagi dan dengan pengalaman yang dimilikinya itu memudahkan lagi gerak langkahnya sebagai penyanyi.

Meskipun begitu, ia langsung bukan alasan untuknya meninggi diri kerana dia merasakan terlalu banyak perkara yang dia masih perlu pelajari.

“Saya menghormati Ayu sebagai sahabat, dan juga melihat dia sebagai seorang penyanyi yang bagus. Malah, kini kami berdua sedang dalam proses merakam album masing-masing secara serentak.

“Apa pun, album Ayu tetap akan muncul di pasaran terlebih dulu daripada saya kerana dia juara dan saya hanya berada di tempat kedua. Mana boleh saya melangkaui Ayu dalam hal ini,” katanya lagi.


MERAIKAN hari jadi ke-18 bersama keluarga tersayang.

Rancang label pakaian

Sementara itu, dia yang ditemui ketika majlis sambutan hari lahirnya yang ke-18 baru-baru ini dilihat sungguh fokus dengan apa yang dijalani kini.

Selain membina kerjaya dalam bidang nyanyian, dia juga bergelar seorang pelajar di sebuah kolej swasta dalam jurusan pengurusan perniagaan.

“Saya daftar masuk ke kolej pada 7 Julai lalu, dan syukur kerana yuran saya ditaja oleh kolej serta 8TV. Jadi ia telah memudahkan saya daripada segi kewangan.

“Oleh kerana itu saya berazam untuk memberi yang terbaik sepanjang belajar di kolej ini. Dan berharap agar saya dapat membahagikan masa sebaik mungkin,” terangnya.

Cerita Shila lagi, pengalamannya bergelar seorang pelajar kolej sungguh mengujakan kerana suasananya sungguh berbeza daripada alam persekolahannya.

“Perbezaan sejak saya masuk kolej, suasananya memang berbeza dan saya seronok sebab ia dunia yang baru buat saya. jurusan yang saya ambil sungguh bertepatan dengan kehendak saya sebab saya bercita-cita mahu membuka syarikat sendiri.

“Mana tahu rezeki, sebab saya merancang untuk buka satu label yang menjual pakaian mengikut fesyen saya sendiri dengan harga yang berpatutan kepada peminat,” tuturnya penuh yakin.

Luahnya lagi, walaupun sudah belajar di kolej tetapi dia tetap tinggal dengan keluarga, malah ibunya yang sering menghantarnya ke kolej jika ada kuliah.

“Saya bukannya manja tetapi saya lebih selesa tinggal dengan mereka, lagipun ia lebih memudahkan saya yang membuat dua pekerjaan sekali gus ini,” jelasnya.


SHILA tidak menafikan Ayu merupakan saingan terdekatnya dalam dunia seni.

Enggan cinta sesama artis

Beralih kepada soal cinta, gadis yang lahir pada tanggal 13 Ogos 1990 ini mulanya tersipu malu, tetapi menegaskan kini bukanlah masa yang sesuai untuk dirinya bercinta.

Sementelah, dia juga terlalu sibuk dengan pelajaran dan kerjaya, b agi Shila biarlah perhatian di fokuskan pada perkara yang lebih penting dahulu.

“Buat masa sekarang ini saya masih terlalu muda dan mentah untuk memikirkan soal cinta. Kalau saya mahu bercinta sekarang, ibu bapa saya akan perli, sudah mahu kahwin ke? (ketawa).

“Mungkin hati saya akan terbuka dan benar-benar serius dalam percintaan apabila umur saya sudah mencapai angka 21 dan ke atas,” ujarnya.

Bicara Shila lagi, jika dia sudah bersedia untuk bercinta, seeloknya dia tidak mahu bercinta sesama artis. Tidak tahu apa alasannya. Malah, dia juga mengatakan mahu seorang lelaki yang lebih tinggi daripadanya dan mempunyai kulit yang cerah. “Itu hanya idaman saja, andai jodoh, terima saja (ketawa),” ucapnya.

Hadiah hari lahir

Bercakap mengenai hari jadi, pastinya tidak lengkap jika tidak menyentuh tentang hadiah yang diterima.

Bagaimanapun menurut Shila, dia bukanlah jenis yang suka memaksa ibu bapanya untuk memberi hadiah setiap kali tiba hari lahirnya.

“Saya terima saja apa yang mereka mahu beri, pada saya perhatian dan kasih sayang yang mereka berikan sebenarnya hadiah yang tidak ternilai pernah saya dapat.

“Apa pun saya berterima kasih kerana mereka sudah bersusah payah untuk saya selama ini. Saya mahu membalas jasa mereka satu hari nanti kerana menjadi ibu bapa yang paling baik untuk saya,” kata Shila mengakhiri bicara.

Kosmo