Archive | Old RSS feed for this section

Forbes: Canselor Jerman wanita paling berkuasa di dunia

29 Aug

NEW YORK 28 Ogos – Canselor Jerman, Angela Merkel semalam tersenarai sebagai wanita paling berkuasa di dunia oleh majalah Forbes, buat kali ketiga berturut-turut.

Merkel kekal menduduki tangga teratas, manakala saingannya Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Condoleezza Rice pula jatuh dari tangga keempat ke tangga ketujuh.

Bekas Wanita Pertama AS, Hillary Clinton yang sebelum ini merebut pencalonan Parti Demokrat untuk bertanding jawatan Presiden AS pula menduduki tangga ke-28, jatuh tiga anak tangga berbanding tahun lalu.

Tempat kedua adalah seorang yang kurang dikenali iaitu Sheila Bair yang merupakan Ketua Pengarah Federal Deposit Insurance Corporation (FDIC), agensi insurance AS yang bertanggungjawab “mengekalkan kestabilan dan keyakinan awam terhadap sistem kewangan dengan menginsuran deposit, memantau institusi kewangan dan menguruskan kuasa penerima”.

Tempat ketiga juga diduduki oleh orang yang kurang dikenali iaitu Ketua Eksekutif PepsiCo, syarikat minuman ringan AS, Indra Nooyi, salah seorang daripada 54 tokoh perniagaan yang disenaraikan oleh majalah itu.

Presiden Argentina, Christina Kirchner yang juga salah seorang daripada 23 ahli politik yang turut disenarai pula, menduduki tangga ke-13.

Antara wanita terkenal yang turut disenarai ialah Menteri Ekonomi, Kewangan dan Pekerjaan Perancis, Christina Lagarde yang menduduki tempat ke-14; manakala Sonia Gandhi di tempat ke-21, sementara Permaisuri Jordan, Ratu Rania pula di tempat ke-96.

Enam daripada 10 wanita yang berada di tangga teratas senarai itu datang dari AS, sementara bakinya adalah tokoh-tokoh dari Jerman, Australia, Singapura dan Perancis.