Archive | One In A Million RSS feed for this section

Kongsi Pentas Rai Setiausaha

28 Apr

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
MINGGU Setiausaha yang disambut sepanjang bulan ini bukan saja dijayakan penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti yang mengadakan persembahan di Pusat Konvensyen Dan Pameran Matrade, Jalan Duta, 21 April lalu.

Malah minggu lalu juga dibanjiri beberapa lagi artis dari seberang menjayakannya di Hotel Istana, Kuala Lumpur, 22 April.

Bukan sekadar empat penyanyi muda, Rio Febrian, Delon, Ello dan Irwansyah menjadi pilihan penganjur malah tiga pelakon, Samuel Rizal, Putra Ariffin serta Didi Riyadi.

Mereka digandingkan dengan penyanyi dan pelakon tanah air ketika acara permaidani merah menggayakan sut rekaan Lord’s Tailor bersama Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Aqasha, Awal Ashaari, Fizow Omar, Iqram Dinzly, Ashraf Muslim, Adi Putra dan Nazril Idrus.

Mereka juga berkongsi pentas secara duet bersama Jaclyn Victor, Siti Sarah dan Shila serta menjayakan sketsa bersama setiausaha. Betapa eratnya hubungan artis dua negara dalam satu majlis yang begitu meriah dapat disaksikan.

Walaupun setiap tetamu membayar RM290 dan RM350 setiap seorang untuk hidangan masakan Padang dan santapan mata bersama artis kacak serta terkenal, difahamkan, artis yang membuat persembahan pada hari itu tidak menerima bayaran.

Tujuh artis Indonesia yang datang dibayar dengan publisiti dan promosi sepanjang empat hari mereka berada di Kuala Lumpur. Banyaklah sesi fotografi dan pertemuan bersama media diatur penganjur dengan kerjasama syarikat rakaman Sony BMG Music dan Warner Music.

Untuk jejaka kacak yang melayan peminat di Grand Ballroom pula dibayar dengan sut Lord’s Tailor berharga RM3,500 hingga RM5,000 manakala penyanyi dibayar dengan peluang berkongsi pentas artis Malaysia dengan Indonesia.

Delon yang dicungkil bakatnya daripada program realiti Indonesian Idol 2004, berduet dengan bintang Malaysian Idol, Jaclyn Victor menerusi lagu popular Celine Dion dan Andrea Docelli, The Prayer; Siti Sarah duet dengan Ello (I Feel Good) manakala Irwansyah dengan Shila (One In A Million) melalui lagu duet Irwansyah dengan Acha Septriasa, My Heart. Delon juga muncul solo melalui lagu Adinda, Ello (Masih Ada) dan Irwansyah (Camelia).

Azharina Azhar pula berpeluang memperkenalkan dua single terbarunya, Rasa dan Rawan manakala Delon, Rio, Ello dan Irwansyah berpeluang bertemu wartawan Malaysia untuk promosi album terbaru mereka edaran Sony BMG Music dan Warner Music.

 

 

Untuk tiga pelakon Indonesia pula, mereka dibayar dengan publisiti dan peluang bertemu produser tanah air untuk mengintai peluang berlakon di negara ini. Bagi Samuel, nama dan wajahnya sudah dikenali peminat di sini menerusi lakonannya dalam Eifel…I’m In Love dan filem tempatan, Sayang You Can Dance, tetapi Putra Ariffin dan Didi agak asing di sini.

Jaclyn yang anggun dengan gaun merah koleksi peribadi rekaan Bill Keith juga berpeluang menyanyi dengan Rio Febrian. Petang itu juga menyaksikan pertemuan kali pertama Jaclyn dengan Rio di pentas besar seperti Minggu Setiausaha untuk lagu duet mereka, Ceritera Cinta yang dirakamkan pada 2006.

Jac berkata, sebelum ini mereka bertemu untuk rakaman klip video lagu itu manakala menyanyi bersama hanyalah untuk acara kecil anjuran majalah hiburan sebelum ini.

Katanya, masa rakaman lagu itu juga diadakan berasingan kemudian apabila lagu itu berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik kategori balada. Rio tidak dapat memberi kerjasama lalu tempatnya digantikan Lah VE.

“Tapi kami pernah bertemu menjayakan video klip lagu itu. Dia seorang yang peramah dan baik dan saya gembira dapat berkongsi pentas dengannya hari ini,” kata Jac.

Bagi Delon, kesempatan menjayakan Minggu Setiausaha dianggap peluang keemasan untuk berkenalan dengan masyarakat di sini sekali gus memperkenalkan album barunya, Perasaanku yang diedarkan di Malaysia penghujung bulan ini.

Selain duet dengan Jac, Delon atau nama sebenarnya, Alexander Liaw Dalon Thamrim, 31, menyampaikan lagu daripada album Perasaan, Adinda.

Katanya, Adinda istimewa kerana ia lagu lama Titiek Puspa yang dirakamkan semula dengan muzik baru yang lebih segar.

“Saya bangga dapat merakamkan semula lagu Titiek Puspa yang dianggap legenda di Indonesia. Gubahan muziknya dilakukan Tohpati supaya menjadi lebih enak didengar.

“Sebenarnya bukan mudah untuk saya mendapat izin merakamkan semula lagu itu, tetapi atas bantuan orang kuat Sony Music Indonesia, segalanya menjadi mudah. Saya juga bangga apabila Titiek Puspa memuji hasilnya.

“Untuk salam perkenalan di sini, saya pilih lagu ini kerana muziknya ada sentuhan Melayu. Saya juga sedar kurang dikenali di sini dan berharap kunjungan ini memberi pendedahan kepada semua.

“Sepanjang berada di sini, jadual harian saya padat dengan sesi bertemu wartawan. Malah saya berpeluang menghadiri majlis ulang tahun TV9 di Sunway Lagoon,” katanya.

Sementara itu Ello atau nama sebenarnya, Marcello Tahitoe baru saja melancarkan album keduanya, Realistis/Idealis di Indonesia Februari lalu dan untuk pasaran Malaysia sejak 24 Mac lalu. Rio Febrian mempertaruhkan album Aku Bertahan manakala Irwansyah album Soliter.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Dengarnya… Suramnya Bintang RTM

28 Apr

Oleh Normah Becok

CIK Normah bukanlah berniat hendak menafikan kesungguhan RTM menganjurkan program berbentuk talentime seperti Bakat RTM (BRTM) yang sedang berlangsung sekarang.

Matlamat program itu memang bagus iaitu melahirkan bakat muda dalam bidang nyanyian. Malahan ia tidak berbeza dengan Akademi Fantasia (AF) di Astro Ria dan One In A Million (OIAM) di 8TV. Apa yang membezakan ialah cara persembahannya saja.

Pada Ahad lalu, atas cadangan kawan-kawan, Cik Normah menonton BRTM. Sebelum ini, memang Cik Normah sentiasa cuba meluangkan masa untuk menontonnya tetapi tidak berkesempatan.

Maklumlah hujung minggu selalunya Cik Normah ada macam-macam perkara yang hendak dibuat. Kalau ada masa memang Cik Normah nak juga tengok sendiri walaupun terpaksa memanjat bukit Angkasapuri yang boleh menjadikan tercungap-cungap dan berpeluh juga.

Cik Normah tidak boleh bias atau berat sebelah sebab sebelum ini diberitahu BRTM membosankan selagi belum menontonnya sendiri program itu.

Tapi sememangnya Cik Normah tak nafikan BRTM tidak jadi sebutan. Tidak mendapat perhatian macam program sepertinya di stesen TV lain. Bila Cik Normah tengok menerusi TV baru-baru, program itu nampak muram saja. Tiada daripada kebanyakan program hiburan lain terbitan RTM. Pencahayaan dan hiasan pentasnya juga nampak tak meriah.

Bagi Cik Normah, hiasan pentas dan pencahayaan penting sebab dari sinilah baru dapat membangkitkan suasana atau mood program ini.

Mungkin suasana itu berlainan kalau berada di Auditorium Angkasapuri, tapi BRTM disiarkan untuk ditonton menerusi TV.

Cik Normah rasa untuk menarik perhatian, bukan sekadar promosi dan publisiti saja, tetapi kemeriahan program itu sendiri juga penting. Bayangkan kalau kakitangan RTM sendiri pun macam kurang berminat untuk menonton BRTM, sebaliknya lebih mengikuti AF atau OIAM, apatah lagi dengan orang luar.

Buat masa ini, Cik Normah memang tidak kenal penerbit atau pengurus hiburan seperti mana mengenali orang yang sama di stesen TV lain untuk bertukar pendapat dan pandangan. Itulah yang menyebabkan program hiburan terbitan RTM kurang sikit berada dekat di hati.

Macam mana pun, Cik Normah haraplah supaya BRTM menjadi lebih baik bila masuk ke peringkat separuh akhir dan akhir nanti. RTM tidak boleh anggap Bintang RTM sekarang macam tahun 70-an hingga 90-an. Waktu itu memanglah BRTM jadi perhatian sebab tidak ada lagi atau tidak banyak program bercorak talentime diterbitkan.

Sekarang saluran TV sudah banyak dan mereka pun menerbitkan program seperti itu juga, malahan lebih baik dan menarik daripada RTM sendiri. Kalau BRTM asyik di takuk lama, kurang kreatif, susahlah!

Berita Harian

Penyeri Karpet Biru

27 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

KARAKTER tiga pengacara popular, Sazzy Falak (Sazzy), Nazrudin Habibur Rahman (Naz) dan Awal Ashaari (Awal) mempunyai tiga persamaan – ceria, suka berceloteh dan mempunyai perwatakan gila-gila.

Justeru, gandingan mereka bertiga sebagai hos memang tepat untuk menyemarakkan lagi acara permaidani biru (Live From The Blue Carpet), Anugerah Industri Muzik yang ke-16 (AIM16) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei ini.

Acara permaidani biru ini akan disiarkan secara langsung menerusi Saluran Ceria Anda, ntv7 selama setengah jam bermula jam 8.30 malam.

Dalam sesi fotografi bersama Rap yang diatur ntv7 di Sri Pentas, Jumaat lalu, keserasian tiga pengacara berbakat besar ini, Sazzy, Naz dan Awal begitu terserlah.

Malah, sesi fotografi eksklusif yang bermula sejak jam 11 pagi dan berakhir kira-kira jam 2 petang juga tidak membosankan dengan telatah Sazzy, Naz dan Awal yang masing-masing begitu mencuit hati dan menceriakan suasana.

Lebih menarik, mereka bertiga sempat bergaya dan bergambar bersama kereta mewah Bufori yang berharga setengah juta ringgit dan bakal menjadi kenderaan yang membawa mereka bertiga berarak ke acara permaidani biru itu nanti.

Menjadi bunga yang diapit dua kumbang, sudah pasti penampilan Sazzy paling mencuri tumpuan pada acara permaidani biru itu nanti.

“Saya memang menanti peluang untuk terbabit dalam acara berprestij seperti AIM16. Maklumlah, saya sudah lama tidak buat acara permaidani merah. Kali terakhir, saya menjadi hos permaidani merah sempena Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) pada 2007,” katanya.

Selain KLIFF, Sazzy pernah menjadi hos permaidani merah sempena seperti Anugerah Era (2004/06) dan Festival Filem Malaysia (2005/06).

Sekalipun berpengalaman sebagai hos acara permaidani merah, Sazzy masih bimbang untuk menjadi hos permaidani merah sempena AIM16.

 

 

“Siapa yang tidak bimbang kerana ini kali pertama saya menjadi hos permaidani merah untuk AIM16. Justeru, saya meminta tip daripada suami, Nazril Idrus yang pernah menjadi hos permaidani merah pada AIM 2007. “Saya juga banyak membuat kajian mengenai perkembangan terkini artis yang dicalonkan termasuk perkembangan industri seni tanah air sekarang.

“Saya juga mendapat tip daripada program Live From The Red Carpet menampilkan gandingan hos Ryan Seacrest dan Juliana yang disiarkan menerusi saluran hiburan E! Entertainment Televisyen (Astro 712),” katanya.

Apapun, kata Sazzy, dia lega apabila digandingkan dengan dua pengacara berpengalaman seperti Naz dan Awal.

“Awal berpengalaman luas sebagai hos permaidani merah dalam acara hiburan berprestij termasuk AIM dan Naz pula cukup berpengalaman sebagai pengacara dalam program yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

“Saya berasa lebih mudah bekerja dengan pengacara yang bagus kerana masing-masing sudah tahu apa yang perlu dilakukan di pentas nanti. Pada masa sama, kami akan bersaing antara satu sama lain untuk memberikan yang terbaik pada acara itu nanti.

“Saya juga pernah bekerja dengan hos yang tidak berpengalaman dan terpaksa menutup banyak kelemahannya bagi memastikan acara itu tidak membosankan penonton,” katanya.

Bagi Naz, peluang julung kalinya menjadi hos permaidani biru sempena AIM16 begitu bermakna buat dirinya.

“Ini kali pertama saya diberi tugas sebagai hos acara hiburan berprestij seperti AIM16.

Sebelum ini, saya pernah hadir ke AIM untuk memberi semangat kepada kawan rapat sejak di bangku sekolah, Damian (VE) yang menang anugerah dalam AIM untuk lagu Anak Ayam.

“Justeru, apabila diberi peluang menjadi hos pula, saya sangat teruja untuk memberikan yang terbaik pada acara ini nanti,” katanya.

Naz yang dikenali menerusi program The Breakfast Show (ntv7) pernah bergandingan dengan pelakon Nur Fazura sebagai hos Anugerah Skrin TV3 berkata, ini kali pertama dia bergandingan dengan Sazzy dan Awal dalam acara hiburan berprestij seperti AIM16.

“Sazzy dan Awal memang tidak asing dalam acara permaidani merah. Justeru, saya akan meminta tunjuk ajar daripada mereka berdua nanti.

“Kami juga diberikan tugas sama rata saja dan tidak timbul isu, Sazzy dan Awal membayangi saya atau sebaliknya,” katanya.

Naz berkata, mereka juga tidak mempunyai skrip yang khusus kerana semuanya akan dilakukan secara spontan saja.

“Apapun persediaan tetap dibuat membabitkan senarai pencalonan artis dan komposer yang bertanding kali ini. Kami juga diberi peluang menemu bual VIP yang diundang, calon yang bertanding, calon komposer dan ramalan siapa yang menang kali ini serta pereka fesyen terbabit.

“Bagi memastikan acara ini berjalan lancar, kami bertiga akan duduk berbincang untuk bertukar fikiran sebelum majlis anugerah berlangsung nanti,” katanya.

Berbanding Naz dan Sazzy, ini kali kedua Awal diberi peluang menjadi hos untuk AIM. Tahun lalu, Awal bergandingan dengan penyampai Hot FM, Tini sebagai hos permaidani merah AIM15.

“Saya pernah bergandingan dengan Sazzy ketika acara permaidani merah, Anugerah Era sebelum ini dan Naz pula baru kali pertama.

“Sekalipun baru kali pertama bergandingan, saya tidak bimbang kerana Naz sangat profesional ketika bekerja. Naz juga pengacara berpengalaman dan dia juga sudah lama berkecimpung dalam bidang pengacaraan,” katanya.

.Awal berkata, dia memang menanti peluang untuk terbabit dalam AIM16.

“Saya sudah 10 kali menjadi hos permaidani merah dalam acara hiburan berprestij dalam industri hiburan tanah air.

“Justeru, apabila diberikan kepercayaan untuk menjadi hos buat kali kedua, saya pastikan prestasi saya lebih baik berbanding dulu,” katanya.

Mengenai kombinasi mereka bertiga, Awal berkata, ia menampilkan kelainan dan variasi dalam acara AIM16.

“Anugerah Era juga menampilkan gabungan empat artis sebagai hos acara permaidani merah sebelum ini.

“Acara ini tidak terlalu rasmi dan kami juga menemu bual artis mengikut situasi majlis ketika itu. Apa yang boleh kami janjikan pada peminat, ia adalah malam menyeronokkan buat semua orang. Ia bukan saja meriah tapi penuh dengan informasi buat penonton,” katanya.

>Profil

NAMA: Sazzy Falak

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 10 Mac 1980

STATUS: Berkahwin

SUAMI: Nazril Idrus

KERJAYA: Pengacara, pelakon dan ahli perniagaan syarikat Sinclair Falak Sdn Bhd.

PROGRAM: Beat TV, Ria Sentral

ANTARA DRAMA: Doa Kamalia, Goda, Kami, Gol & Gincu, Kerana Karina (drama

online)

ANTARA FILEM: Gol & Gincu, Jin Notti

>Profil

NAMA: Nazrudin Habibur Rahman

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 9 November 1978

STATUS: Berkahwin

ISTERI: Sheahnee Iman Lee

KERJAYA: Pengacara dan pelakon

PROGRAM: The Breakfast Show (ntv7), My Aussie Adventure dan Celebrity Karaoke

ANTARA DRAMA: Ghost musim pertama dan kedua.

Profil

NAMA PENUH: Ahmad Awaluddin Ashaari

ASAL: Kuala Lumpur

TARIKH LAHIR: 6 Ogos 1981

KERJAYA: Pelakon, pengacara, model dan ahli perniagaan (pemilik Butik fesyen online DNA celebrityStyle bersama Dynas Mokhtar)

PROGRAM: Beat TV, Teh Tarik & Cabaran Tariking F&N 2006, Sensasi, One In A Million, Sehati Berdansa dan Generasi Y (TV1)

FILEM: Diva, Diva Popular, Impak Maksima, Malaikat Maut, Apa Kata

Hati, I’m Not Single dan Syurga Cinta.

DRAMA: Drama: Cinta Medik, Impak Maksima The Series & A Time For Us (usaha sama Malaysia – Filipina)

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Tomok Belum Selamat

27 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

TIGA wajah yang memburu ganjaran lumayan OIAM iaitu Tomok, Esther dan Aweera.

TIGA nama mengesahkan tempat ke acara kemuncak One In A Million (OIAM) di Stadium Malawati, Shah Alam, Jumaat ini iaitu Tomok, Esther dan Aweera.

Bagaimanapun, pengesahan itu belum melegakan mereka apabila produksi OIAM masih berteka-teki mengenai peluang siapa yang layak merangkul hadiah lumayan ditawarkan iaitu RM1 juta. Berdasarkan format musim kedua, hanya dua peserta layak ke final.

Penerbit Eksekutif OIAM, Sunil Kumar, berkata undian menentukan jumlah finalis beraksi pada final OIAM boleh dilakukan menerusi laman web rasmi pertandingan itu: http://www.8tv.com.my/oiam.

“Kalau undian peminat cenderung memilih tiga peserta bertanding di final, pengiraan undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dikira sejak Jumaat lalu akan menentukan siapa sebenarnya dua peserta muncul pada malam kemuncak nanti.

“Jadi, penonton diingatkan meneruskan sokongan kepada peserta kegemaran dengan menghantar undian SMS,” jelas Sunil.

Malam penentuan OIAM di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Jumaat lalu memperlihatkan ketiga-tiga finalis berusaha keras mencuri perhatian peminat menerusi persembahan bertemakan Minggu Pilihan Juri dan Peminat.

Sekali pun sentiasa memberi persembahan mengujakan dan konsisten setiap minggu, peluang Tomok atau nama penuhnya, Shah Indrawan Ismail, 24, untuk bergelar juara sukar diramalkan.

Berdasarkan rekod lalu, peluang peserta yang berpengalaman sebagai artis rakaman untuk mara dan menjulang kejuaraan sering dinafikan.

Musim pertama menyaksikan Dayang Nurfaizah tersingkir selangkah menjelang acara kemuncak OIAM. Jejak Dayang dituruti Sarah Raissuddin yang terpaksa akur undian peminat tidak berpihak kepadanya, sebaliknya dua nama baru iaitu Ayu dan Shila diberi kepercayaan penonton untuk meneruskan cabaran mereka.

Bagaimana pula dengan nasib Tomok? Hanya masa menentukan kerana ketika persaingan penentuan Jumaat lalu, undian penonton lebih berpihak kepada Esther atau Elizabeth Applunius Chin dan Aweera atau Nasharul Aweera Noriyissham.

Esther selesa dengan 32.4 peratus undian, manakala Aweera mengekori dekat dengan 31.6 peratus sedangkan Tomok hanya 24.2 peratus. Seandainya tuah tidak berpihak kepadanya, Tomok tidak perlu kecewa kerana dia keluar bermaruah.

Seperti kata pengkritik tetap OIAM, Syafinaz Selamat yang ditemui pada sidang media selesai persembahan, siapa yang bakal dinobatkan sebagai juara OIAM nanti sememangnya layak menerima gelaran itu.

Perjalanan panjang Nine

BUKAN perkhabaran mengejutkan, malah penyingkiran pemuda berusia 27 tahun yang memiliki nama penuh, Zulqarnain Jaafar atau Nine sememangnya sudah dijangka.

Lama berada pada kedudukan goyah dan Jumaat lalu, penantian Nine terjawab apabila dia menjadi peserta kesembilan meninggalkan OIAM.

“Saya tidak pernah menjangka akan sampai ke Top 4,” kata vokalis kumpulan Coco yang cenderung kepada genre rock ini.

Dihimpit pelbagai kontroversi dan cerita panas, namun itu bukan penyebab Nine tersingkir. Sebaliknya dia akur, kejanggalan beraksi solo membuatkan persembahannya terumbang-ambing sepanjang pertandingan.

“Mungkin itu juga antara faktor penyumbang namun saya sudah cuba memberikan yang terbaik. Sukar untuk saya bertahan sampai ke tahap ini kerana kesemua 12 peserta hebat dan berbakat besar,” katanya.

Mengulas penyingkiran Nine, Syafinaz berkata, pemuda itu kehilangan magis yang dibawanya ketika mula menyertai uji bakat OIAM.

Nine katanya, seorang yang kelakar, spontan serta menghiburkan malangnya semua elemen itu hilang apabila dia berdiri di pentas OIAM.

Berita Harian

Tomok Tersenarai Tiga Finalis OIAM

25 Apr

SHAH ALAM: Vokalis kumpulan remaja popular, New Boyz, Tomok atau Shah Indrawan Ismail mengesahkan kedudukannya ke acara kemuncak program realiti One In A Million (OIAM) pada 1 Mei nanti.

Pengesahan Tomok sebagai antara barisan finalis OIAM diumumkan pengacara, Awal Ashaari dan Marion Caunter pada konsert mingguan ke-9 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, di sini malam tadi.

Tomok, 24, yang pernah melahirkan lima album bersama New Boyz ialah antara peserta yang konsisten dan sentiasa memberikan kejutan dalam persembahannya sepanjang OIAM berlangsung.

Bagaimanapun, ia bukan jaminan kepada Tomok untuk meraih kejuaraan kerana dia disaingi hebat dua finalis lain, termasuk Elizabeth Applunius Chin atau Esther.

Kekuatan bakat peserta berusia 21 tahun dari Kota Kinabalu, Sabah itu diakui pengkritik profesional, Syafinaz Selamat dan Paul Moss yang memuji persembahannya setiap kali konsert mingguan.

Turut mara Nasharul Aweera Noryissham atau Aweera. Namun, debaran mereka belum berakhir kerana akan melalui satu lagi proses penyingkiran awal acara kemuncak OIAM nanti.

Hanya dua peserta yang meraih undian SMS tertinggi daripada penonton diberi peluang beraksi peringkat final. Konsert malam tadi juga menyaksikan persembahan terakhir Zulqarnain Jaafar atau Nine apabila peserta kesembilan tersingkir.

Berita Harian

Nine Akur Tersingkir

25 Apr

Oleh Elrafaei Sapi


SHAH ALAM: Hasrat peserta Zulqarnain Jaafar atau Nine untuk ke peringkat akhir program realiti, One In A Million musim ketiga (OIAM3) berakhir apabila tersingkir pada saingan minggu ke-10 yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, malam tadi.

Keputusan penyingkiran Nine, 27, diumumkan pengacara Awal Shaari bersama Marion Caunter yang turut disiarkan secara langsung menerusi 8TV.

Nine mendapat markah terendah SMS penonton sebanyak 11.8 peratus manakala peserta Elizabeth Applunius Chin atau Esther menduduki tempat teratas dengan undian sebanyak 32.4 peratus diikuti Nasharul Aweera Noriyissham atau Aweera, 31.6 peratus dan Shah Indrawan Ismail atau Tomok (24.2 peratus).

Kata Nine, dia akur dengan keputusan peminat apabila gagal mara ke peringkat akhir kerana mendapat undian SMS terendah. Dia yang sepatutnya mempertaruhkan lagu Aku Dan Kamu, pilihan juri dan lagu Karma, pilihan penonton gagal memikat penonton pada persembahan minggu lalu kerana dikatakan mempunyai perasaan gemuruh.

 

 

“Saya percaya perasaan gemuruh kelihatan ketika membuat persembahan. Ramai yang bertanya kenapa saya nampak gemuruh ketika membuat persembahan?

“Bagaimanapun saya tidak mempunyai masalah untuk menyanyikan apa jua jenis lagu sekali pun,” katanya.

Persembahan setiap peserta turut diadili dua juri profesional iaitu Syafinaz Selamat dan Paul Moss.

Pada saingan malam tadi, setiap peserta menyampaikan dua lagu. Tomok menyampaikan lagu Crazy In Love dan Cuba; Esther dengan lagu Better In Time dan Won’t Go Home Without You manakala Aweera menerusi lagu Gemilang dan Aku Dah Bosan.

Ini bermakna, tiga peserta yang tergolong Top 3 iaitu Tomok, 24; Esther, 21; dan Aweera, 18, akan bertanding di peringkat akhir di Stadium Malawati pada 1 Mei ini jam 8.30 malam.

Harian Metro

Nabil, Irma Azam Lonjak TV9

25 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
BINTANG Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008), Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil dan pasangannya, pelakon Irma Hasmie paling mencuri perhatian ramai sempena sambutan ulang tahun ketiga stesen TV9 di Sunway Lagoon, Sunway baru-baru ini.

Selain bermesra dengan peminat dari pelbagai lapisan masyarakat, Nabil,26, dan Irma, 27, juga meluangkan masa bergambar kenangan dengan monyet dan spesies ular Albino dari Sunway Wildlife.

Sekalipun kurang sihat kerana terbabit dengan kemalangan jalan raya sebelum ini, Nabil tetap tidak ingin melepaskan peluang menyemarakkan sambutan ulang tahun TV9 itu.

“Sebenarnya, kaki saya masih sakit dan belum pulih sepenuhnya, tetapi tetap ingin berkongsi kemeriahan sambutan ulang tahun TV9 ini bersama warga kerja TV9 dan pihak media yang hadir.

“Acara seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan artis dan peminat mereka dengan lebih dekat. Inilah masanya, peminat dapat bermesra dengan artis kesayangan mereka yang selama ini hanya dapat ditonton di televisyen.

“Saya pula tidak ada masalah untuk turun padang dan melayan peminat dalam acara seperti ini kerana tanpa peminat siapalah saya. Pada masa sama, saya turut mempromosikan program yang dijayakan bersama TV9 iaitu Studio Nabil, Pondok-Pondok dan Hartamania kepada peminat yang hadir pada acara ini,” katanya.

Nabil berkata, dia juga berharap program yang dijayakannya di TV9 mengukuhkan lagi nama stesen itu untuk bersaing dengan stesen TV lain.

“Seperti TV9, saya juga masih baru dalam bidang seni. Justeru, saya berharap jika program saya di TV9 diminati ramai sekali gus menaikkan lagi nama stesen yang popular di kalangan orang Melayu ini.

“Saya juga tidak ada masalah jika ditawarkan untuk buat program baru lain bersama TV9 pada masa depan,” katanya.

Seperti Nabil, Irma yang juga pengacara program Chopp di TV9 juga hadir untuk memeriahkan majlis sekali gus memberi sokongan kepada stesen TV9.

 

 

“Sebenarnya saya terbabit dengan rakaman untuk program Chopp yang membuat liputan pelbagai aktiviti menarik yang diadakan sempena sambutan ulang tahun TV9.

“Saya juga menggunakan peluang dalam acara itu untuk beramah mesra dengan peminat yang menyokong kerjaya seni selama ini,” katanya.

Irma berkata, selain Chopp, program lima minit yang disiarkan setiap hari, dia juga banyak terbabit dengan stesen drama yang disiarkan di TV9 sebelum ini.

“Antara drama lakonan saya yang disiarkan di TV9 ketika ini ialah siri 26 episod, Uda dan Dara. Apapun, saya melihat TV9 mempunyai peningkatan dari segi kandungan programnya sekarang.

Sebelum ini, TV9 mungkin banyak cerita kartun untuk kanak-kanak, tapi sekarang programnya lebih menarik dan memang sesuai untuk tontonan seisi keluarga,” katanya.

Artis lain yang turut memeriahkan sambutan ulang tahun TV9 ialah pelakon dan pengacara Sharifah Shahirah dan suami Ijoy Azzahari sekeluarga serta Alif One In A Million (OIAM).

Acara sambutan dimeriahkan dengan siaran langsung rancangan bual bicara TV9, Nasi Lemak Kopi O yang menampilkan gandingan pengacara Farah Adeeba dan Syed Mohd Khair.

Selain itu, siaran langsung rancangan Apa Ke Halnya yang menampilkan Mr Os, Shamsul Ghau-Ghau dan Din Beramboi untuk berbicara secara santai dalam suasana yang penuh ceria di Sunway Lagoon.

Ia disusuli dengan konsert istimewa yang bakal bersiaran secara langsung dari Lumut Perak pada 25 April ini (esok) dengan penampilan artis undangan seperti Hujan, Haqiem, Pemenang Idola Kecil, Wada dan Fabulous Cat.

Ketika ditemui, Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda berkata, TV9 sudah mencecah usia tiga tahun tanggal 22 April ini.

“Sekalipun baru berusia tiga tahun, stesen ini sudah dikenali sebagai stesen kedua negara dalam kalangan penonton Melayu. Pada usia muda, stesen ini baru nak bermula dan pengenalan tagline baru, TV9 Di Hatiku itu memang tepat pada masanya supaya orang ramai lebih mengenali stesen ini.

“Proses untuk melahirkan produk TV9 juga berterusan dari semasa ke semasa dengan mencungkil bakat baru dalam bidang seni. Contohnya, pelakon kanak-kanak Fimie yang diketengahkan dalam rancangan Ole-Ole Chef Zam dan Fimie.

“Selain itu, kita juga berjaya cungkil bakat remaja menerusi program realiti Gadis Melayu. Juara Gadis Melayu musim pertama, Khairul Noormaidah Zali atau Aida kini menjadi hos rancangan Apa Ke Halnya di TV9,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media dan acara memotong kek membabitkan stesen TV9; akhbar nombor satu tanah air, Harian Metro; majalah Mangga dan Media Hiburan yang berlangsung dengan meriah di Sunway Lagoon.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan, Ketua Pengarang Berita Harian Metro, Shariffudin Mohamed, Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh dan Pengarang Bintang Popular, Akmal Abdullah.

Sempena sambutan ulang tahun ketiganya itu, Bukhari berkata, stesen TV9 tampil dengan wajah berbeza berbanding sebelumnya.

“Stesen ini berusaha memuaskan hati penonton setia menerusi pelbagai rancangan terbitan sendiri, rancangan tempatan dan luar negara. Kami juga mensasarkan tiga kategori utama iaitu kanak-kanak antara empat hingga 14 tahun, remaja dan belia bekerja dalam lingkungan usia 15 hingga 24 tahun serta pasangan keluarga muda lingkungan usia 25 hingga 34 tahun,” katanya.

Bukhari berkata, stesen TV9 juga lebih fokus pada penerbitan rancangan baru terbitannya sendiri.

“Antaranya rancangan kanak-kanak, Siapa Pintar yang menguji tahap kecerdasan minda peserta yang dihoskan Alif OIAM setiap Isnin hingga Rabu jam 7 malam.

“Peminat siri Upin dan Ipin pula jangan lepaskan peluang untuk mengikuti Upin Ipin Marathon yang disiarkan dari jam 5.30 petang hingga 7 malam pada 25 April ini (esok).

“Rancangan pengembaraan mencari harta, Hartamania yang menampilkan gandingan Adruce dan Nabil menemui penonton setiap Isnin hingga Rabu jam 7 malam bermula Jun ini.

“Rancangan baru lain, drama komedi romantik Zati & The Beast yang menampilkan Diana Danielle setiap Isnin hingga khamis jam 8.30 malam, rancangan realiti terbaru, Jaguh yang mencungkil bakat pemain badminton baru menemui penonton bermula Jun ini.

“Selain itu, rancangan realiti Gadis Melayu yang mendapat sambutan ramai pada musim lalu akan memasuki musim kedua Ogos nanti dan musim kedua rancangan Idola kecil pada November nanti,” katanya.

Kata Bukhari lagi, TV9 juga menampilkan pelbagai rancangan menarik sepanjang tahun dengan pengisian yang lebih mantap.

“Antaranya, Studio Nabil yang disiarkan setiap Sabtu jam 8.30 malam menampilkan Nabil sebagai pemilik jamming studio dibantu Sharifah Shahirah sebagai setiausahanya dan Pondok-Pondok yang dihoskan Nabil setiap ahad, jam 8.30 malam.Selain itu, kes syariah, galaksi, Semanis Kurma, Ole-Ole Chef Zam dan Fimie, Busana, Hip TV serta 24/7 Forensik,” katanya.

Sementara itu, lebih 1,000 warga kerja TV9 yang membabitkan kakitangan, anggota keluarga dan pelanggan setia stesen serta rakan media berkumpul di Sunway Lagoon sejak jam 9 pagi lagi semata-mata untuk meraikan sambutan ulang tahun yang cukup bermakna ini.

Pelbagai aktiviti menarik juga disediakan kepada orang ramai seperti melukis wajah dan tubuh, water tug war, perlawanan bola dan bola tampar pantai.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro