Archive | One In A Million RSS feed for this section

Gerai Metro Di Lumut Esok

25 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

SELEPAS kejayaan Karnival Jomheboh di Ayer Keroh, Melaka dan Kuantan, Pahang, kemeriahan penganjuran Jomheboh diteruskan lagi minggu ini dengan memilih lokasi yang lebih menarik iaitu di pangkalan TLDM di Lumut, Perak.

Seperti penganjuran sebelumnya, pelbagai aktiviti menarik disediakan di gerai akhbar harian bahasa Melayu nombor satu tanah air, Harian Metro/Metro Ahad (HM/MA).

Antara aktiviti disediakan di Gerai HM/MA ialah kuiz 18 tahun Harian Metro, pertandingan untuk kanak-kanak, Mini Personaliti Harian Metro, jualan akhbar, cenderahati, kuiz, uji bakat Metro Idol dan Metro Idol final yang bakal menawarkan hadiah wang tunai kepada peserta.

Barisan artis undangan yang bakal menyemarakkan acara ialah bintang yang digilap daripada program realiti TV Akademi Fantasia (AF) iaitu Aizat AF5, Zila AF4, Amylea (AF3), Wana (My Star LG) dan penyanyi dan pemuzik era 90an, Awang dari kumpulan BPR.

Mereka akan menghiburkan pengunjung serta pembaca setia HM dengan rangkaian lagu popular masing-masing khusus buat warga Lumut yang pastinya tidak sabar menyaksikan artis pujaan dari dekat.

Aizat yang pertama kali membuat persembahan di gerai HM/MA akan menyampaikan lagu daripada bingkisan albumnya sendiri iaitu Fikirlah, Hanya Kau Yang Mampu dan Lagu Kita.

Bintang AF3 yang baru tersingkir dari minggu kesembilan pentas One In A Million (OIAM), Amylea Azizan pula menghiburkan pengunjung dengan lagu seperti I’m Yours (Jason Mraz), Dia (Sheila Majid) dan Akan Tiba (Alif OIAM). Seorang lagi rakan seperjuangan mereka dalam AF, Zila atau Zila Saeron pula menyampaikan tiga lagu dan antaranya lagu duet dengan tunangnya, Along daripada kumpulan Cham (Raja Lawak 2), Jika Kau Kekasih yang pernah dipopularkan Bienda. Dua lagi lagu dirahsiakan untuk memberikan kejutan buat pengunjung nanti.

Wana yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music pula menyampaikan lagu, Semuanya ada di sini, Ku Telah Jatuh Cinta dan Nakal.

Manakala Awang BPR yang sudah tiga kali muncul di gerai HM menghiburkan pengunjung dengan rangkaian lagu seperti Gaza Merintih, Putar Roda Hidup, Walaupun Nyawa Hilang, Kau Dijiwaku dan lagu popular BPR, Dari Sinar Mata.

Eksekutif Penjenamaan HM, Zurani Abdullah atau Bond, berkata, gerai HM/MA dibuka dua hari seawal jam 10 pagi hingga 9 malam.

 

 

“Selain mengadakan pelbagai aktiviti menarik bersama persembahan nyanyian daripada artis undangan, kami juga menyediakan barangan jenama HM untuk dijual pada hari itu. Antaranya, kemeja-T berkolar, beg sandang, topi, yang semuanya dijual pada harga berpatutan.

“Lebih menarik apabila kami turut menyediakan perkhidmatan membuat mock-up muka depan Harian Metro kepada pengunjung dengan bayaran RM5 sahaja.

“Pembaca setia akhbar ini diminta tidak melepaskan peluang mengabadikan wajah mereka dalam mock-up muka depan HM,” katanya.

Bond berkata, pengunjung juga diberi peluang menunjukkan bakat berdansa di gerai HM/MA.

“Peserta yang berjaya juga dapat membawa pulang hadiah cenderahati eksklusif dari HM/MA.

Tidak ketinggalan, penampilan maskot HM/MA, Nabilo bersama naib juara Metro Idol di Bukit Jalil, Disember 2007 Lena,” katanya.

Kata Bond lagi, sejak gerai HM dibuka di Karnival Jomheboh, sambutan yang diterima daripada pengunjung serta pembaca setia HM cukup memberangsangkan.

“Ia dapat dilihat menerusi penyertaan orang ramai yang memberi sokongan padu dalam setiap aktiviti diadakan. Begitu juga dengan pertandingan karaoke Metro Idol serta pencarian mini Gadis Metro. Pihak kami mengharapkan pertandingan ini juga bakal menggilap bakat baru dalam kalangan warga Lumut nanti.

“Pertandingan itu juga menawarkan sejumlah hadiah wang tunai lumayan sebagai ganjaran. Bagi pertandingan karaoke Metro Idol, hadiah wang tunai disediakan sebanyak RM1,000, manakala, Pencarian Gadis Metro pula menawarkan RM300.

“Pada penganjuran kali ini juga, kami mensasarkan lebih 20,000 pengunjung akan membanjiri gerai HM/MA nanti dan jumlah itu akan bertambah pada penganjuran akan datang,” katanya.

“Apa yang penting, pengunjung serta pembaca setia akhbar ini berasa gembira dan dialu-alukan setiap kali mereka berkunjung ke gerai HM. Malah, pada masa sama, acara ini dapat dijadikan platform untuk pengunjung menjalinkan hubungan lebih akrab dengan akhbar yang menjadi pilihan dan kegemaran ramai masa kini,” katanya.

Hadir sama menceriakan acara itu nanti, Pengarang Hiburan HM, Adam Salleh.

Apapun, semua warga Lumut diminta datang beramai-ramai ke gerai HM hari ini dan esok untuk sama-sama berkongsi kemeriahannya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

'Macam Artis Ditipu Penganjur'

23 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Amylea sangat terkilan tidak berpeluang teruskan persembahan bertemakan ‘In Concert’

AMYLEA AZIZAN mengaku dia berasa cukup terkilan apabila dirinya diumumkan peserta yang tersingkir daripada persaingan pertandingan One In A Million Jumaat lalu. Bukan kecewa kerana gagal merebut RM1 juta yang ditawarkan, sebaliknya dia terkilan setelah tidak berpeluang mengadakan persembahan pada minggu yang bertemakan In Concert.

Katanya, dia amat menunggu detik muncul di pentas pada minggu terbabit, berikutan segala keringat sudah dicurahkan untuk menonjolkan kelainan. Pada minggu itu, semua peserta diminta mempersembahkan nyanyian yang kononnya dipetik daripada sebuah konsert bakal mereka pentaskan pada masa depan.

Menurut Amylea, dia berasakan seperti ‘artis yang ditipu penganjur persembahan’ apabila tidak berpeluang menunjukkan segala apa yang dirancang pada minggu berkenaan selepas muncul peserta kelapan disingkirkan daripada program terbabit.

“Pada malam ini (Jumaat lalu), saya memang ingin menonjolkan sesuatu yang rasanya belum pernah dipersembahkan artis Malaysia kepada peminat dalam konsert mereka. Hanya Tuhan yang tahu, betapa banyak tenaga saya curahkan untuk menjayakannya. Sebab itu, saya amat terkilan apabila diumumkan terkeluar daripada saingan,” katanya ketika ditemui selepas siaran langsung program itu di Sri Pentas 2, Shah Alam.

Ditanya apakah dia tidak terfikir langsung akan tersingkir pada minggu itu, Amylea memberitahu, pada setiap minggu sebenarnya dia berasakan sedemikian.

“Namun, saya tidak menjangkakan impaknya begitu hebat seperti yang rasakan ketika ini,” katanya yang merancang persembahan berjudul Growing Into My Music, dengan medley lagu Yesterday Once More daripada Carpenters, Fallin’ (Alicia Keys) dan Love Song (Sarah Bareilles).

Pada satu pertanyaan lain peserta berusia 22 tahun itu berkata, jauh di sudut hati tentunya dia turut menyimpan impian bergelar juara, seterusnya menggunakan wang kemenangan untuk menampung pengajian ke institusi pengajian muzik terkemuka seperti Kolej Muzik Berklee.

“Wang terbabit juga boleh saya kongsi bersama insan seni yang berbakat besar dalam penghasilan album, serta sama-sama berjuang memartabatkan muzik tempatan untuk bersaing dengan produk negara luar seperti Indonesia. Saya teringin sekali berkongsi kejayaan itu bersama pemuzik muda lain yang mempunyai keupayaan tinggi. Kejayaan pada OIAM bukanlah untuk mengejar glamor mahupun populariti,” ujar wanita muda ini.

Justeru, dia agak sedih apabila wawasannya itu tidak tercapai setelah gagal meneruskan saingan dengan hanya dua minggu saja lagi pertandingan berbaki.

Meskipun begitu, Amylea tidak pulang dengan tangan kosong. Setelah banyak berkorban – berjauhan dengan keluarga dan rakan – dia banyak menimpa pengetahuan dan pengalaman baru sepanjang kira-kira lima bulan pembabitannya dalam pertandingan berkenaan.

“Apabila berada dalam pertandingan ini, baru saya dapat rasakan betapa besarnya keghairahan saya terhadap muzik. Pentas itu bagaikan milik kita. Ia satu pengalaman yang sukar sekali hendak digambarkan dengan kata-kata,” katanya yang sempat menciptakan lagu Aku & Mimpi, lagu tema siri Merah dan Puteh sebelum bersaing dalam OIAM3.

Ketika ditanya peserta ramalannya untuk bergelar juara, Amylea tanpa berselindung memilih Tomok untuk mengungguli pertandingan itu, walaupun cabaran hebat diberikan Esther, Aweera dan Nine, tiga lagi peserta yang turut memboloskan diri ke peringkat separuh akhir.

Katanya, dia sudah lama mengenali Tomok dan cukup menyedari betapa peserta berkenaan sentiasa bekerja keras untuk menampilkan persembahan berbeza setiap kali muncul di pentas.

Tomok tak pernah rasa selesa

WALAUPUN sering mendapat pujian juri serta peminat sendiri memberikan sokongan padu kepadanya sepanjang penyertaan dalam OIAM3, Shah Indrawan Ismail atau Tomok, 24, tidak pernah berasakan dirinya berada dalam keadaan selesa berbanding peserta lain yang turut bertanding.

Sememangnya Tomok tidak pernah berada dalam kelompok tiga peserta paling bawah, namun dia enggan berpuas hati dengan keadaan itu semata-mata. Baginya, apa saja boleh berlaku pada minggu berikutnya.

“Hakikatnya, saya sendiri tidak pernah berasa akan kekal selama ini dalam persaingan OIAM3. Apa-apa pun, yang penting saya perlu memberikan persembahan terbaik untuk memastikan kedudukan saya dalam pertandingan ini selamat. Hakikatnya juga, saya memang berasa takut pada setiap minggu kami perlu berdepan dengan keputusan penyingkiran,” katanya.

Jelas Tomok lagi, dia turut berasa goyah apabila habuan berbentuk imuniti atau kekebalan yang diberikan juri kepada peserta dengan persembahan terbaik ditarik balik sejak beberapa minggu lalu.

“Dengan ketiadaan imuniti, setiap peserta harus bekerja lebih keras untuk menghiburkan juri dan semua penonton, di studio mahupun di rumah. Hanya dengan cara itu mereka mungkin selamat,” kata peserta berasal dari Kuala Lumpur ini.

Berita Harian

Cukup Berbaloi

22 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

JULFEKAR begitu tekun memberi arahan kepada penyanyi BIBH sambil dibantu jurutera rakaman, Jay Wow.

Finalis Bintang Idola Berita Harian yang dicungkil ketika jelajah promosi ABPBH bakal keluarkan single tidak lama lagi

DULU mereka hanya insan biasa yang tak pernah mengenal erti jemu mengasah bakat seni yang ada, yang tak gentar bersaing mempertaruhkan alunan vokal kurniaan Ilahi dalam usaha merebut tempat dan gelaran di dalam sesebuah pertandingan nyanyian.

Hakikatnya, finalis Bintang Idola Berita Harian (BIBH) ini pernah mencuba nasib menyertai pelbagai program nyanyian termasuklah program realiti popular seperti Akademi Fantasia, Gang Starz, Bintang RTM dan One In A Million.

Jauh sekali berputus asa dan pantang berundur sebelum mencipta kejayaan, dunia nyanyian kini semakin sebati dalam hidup mereka. Kini, impian mereka bukan lagi dongeng atau hanya omong kosong semata-mata kerana penat lelah selama ini memberi hasil yang cukup berbaloi .

Bagai sebuah rahmat dan rezeki terpijak, platform BIBH menjadi sandaran bermakna hingga mampu memberi keajaiban sekelip mata. Sedar atau tidak, lapan finalis BIBH termasuk juaranya, Nazatul Farahin Mohd Hussin kini dalam misi merentas onak duri bergelar artis.

Berkat menyertai BIBH, sokongan Berita Harian dan kesungguhan Millenium Art Sdn Bhd (MASB) milik komposer Julfekar, mereka sudah diberi single setiap seorang. Begitulah kalau sudah rezeki tak akan ke mana.

Kata Julfekar, lagu yang diberikan kepada mereka baru saja dihasilkan dalam tempoh dua minggu lalu dibantu beberapa penulis lirik.

Baginya artis BIBH berbakat besar, malah tidak keterlaluan ada yang lebih hebat berbanding bintang program realiti lain. Mereka kini adalah artis naungan MASB terdiri daripada bakat semuda 15 tahun hinggalah ke usia 27 tahun dan angka itu dilihat masih sesuai untuk menyahut cabaran bergelar penyanyi arus perdana.

“Album kompilasi ini dijangka memuatkan lapan buah lagu dan buat peringkat awal (praproduksi), syarikat saya laburkan wang untuk mereka membiasakan dengan lagu yang diberi seperti apa yang dilakukan hari ini (ketika fotografi ini dijalankan).

“Insya-Allah selepas ABPBH ini proses rakaman menyeluruh akan diadakan dan album ini besar kemungkinan berada di pasaran sekitar Mei depan. Setiap lagu yang diberi lapan finalis berdasarkan kesesuaian karakter, perwatakan dan bentuk vokal masing-masing,” kata Julfekar ketika ditemui di Studio One Zero One, Petaling Jaya awal minggu ini.


Gambar (atas); IRWAN menerima sokongan isteri dan anak-anak. (bawah); Nurlida Ab Rahman.

Ketika fotografi dan rakaman single, cuma Syaifaana Mohamed Subri saja yang tidak hadir kerana masalah peribadi. Lalu, kesempatan yang diberikan kepada Nazatul, Nurlida Ab Raman, Muhamad Zaki Zainal, Muhammad Irwan Othman dan Mohamad Syahrul dimanfaat sebaik mungkin.

Tak ketinggalan hadir ialah naib juara BIBH, Nurul Syazwanie Mohd Basri dan Faralyna Mohamad, pemenang ketiga. Turut sama memberi sokongan ialah ahli keluarga mereka yang begitu teruja melihat si anak buat julung kali merakamkan lagu di studio dibantu jurutera rakaman, Jay Wow. Artis baru Julfekar, Heela pun turut hadir memberi sokongan.

Bagi Muhammad Irwan Othman, kehadiran keluarga mentua, isteri tercinta, Nor Ain Johari dan dua anak tersayang, Muhammad Danish Irfan, 3 dan Muhammad Danish Iqram, 3 bulan memberi semangat berganda kepadanya. Memilih untuk berkahwin di usia 20 tahun, bapa muda berusia 24 tahun ini tidak melihat status dirinya sebagai penghalang.

“Saya yakin peminat dan masyarakat sekarang lebih terbuka dan tidak menjadikan status perkahwinan sebagai alasan untuk tidak meminati golongan selebriti. Idola saya, Faizal Tahir membuktikan apa yang saya katakan tadi dan boleh berjaya mencipta fenomena.

“Tak mustahil, saya boleh mencapai tahap seperti diiringi usaha, nasib dan rezeki. Saya harus berterima kasih kepada Berita Harian dan Julfekar kerana membantu saya merealisasikan impian selama ini,” kata Irwan yang menerima lagu berjudul Hanya Sahabat berentak pop rock sebagai single pertamanya.

Rasa bagaikan bermimpi

BINTANG Idola Berita Harian, Nazatul masih seperti berada di alam mimpi apabila menerima ganjaran cukup lumayan kerana selain merakamkan single genre pop berjudul Suara Rindu, gadis berusia 20 tahun dan berasal dari Sungai Petani itu berpeluang untuk membuat persembahan di malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 pada 12 April lalu.

“Memang saya tak pernah mimpi semua ini. Bukan saja dapat membuat persembahan pada malam kemuncak anugerah berprestij Berita Harian tetapi berpeluang menggayakan rekaan pereka tersohor Calvin Thoo. Saya juga bergandingan dengan dua penyampai radio Hot FM, Kieran dan AG sebagai penyampai trofi,” katanya yang beruntung mendapat tunjuk ajar Julfekar.

Mengenai hala tujunya selepas ini, kata Nazatul perlu berdepan dengan pelbagai pancaroba dunia seni. Selain mahu mengembangkan bakat yang ada, Nazatul berharap kehadirannya dapat memeriahkan liga seni.

“Banyak persaingan di luar sana dan tersilap langkah saya tahu ia akan menjerat diri. Banyak benda yang perlu saya pelajari dan pelihara termasuklah soal penampilan dan imej. Begitu juga cara perhubungan awam dan berdepan dengan pihak media serta orang ramai. Mungkin juga saya perlu mempertimbangkan cadangan untuk memakai pendakap gigi,” katanya yang sering dipanggil Fara di kampung halamannya.

Manakala juara BIBH Zon Utara, Nurlida Ab Raman, 27, tidak akan menjadi alasan bertudung untuk menoktahkan perjuangannya sebagai penyanyi. Baru saja menjawat jawatan tetap sebagai Pembantu Tadbir Rendah Majlis Perbandaran Seberang Perai, Pulau Pinang, anak kelahiran Taman Tun Sardon ini diserahkan lagu berjudul Jauh Di Mata berentak rancak bersesuaian dengan tona vokal serak-serak basahnya.

“Saya mula bertudung sejak tahun lalu dan apa yang dilakukan atas tuntutan agama. Bertudung bukan satu masalah kerana ia bertitik tolak kepada niat saya sebenarnya untuk terus pergi jauh sebagai penyanyi. Begitu juga dengan usia, ia hanyalah nombor dan lihat saja Jaclyn Victor membikin album pun di usia saya.

“Rozita Che Wan dikenali pun di usia yang agak lanjut, namun rezeki yang tertulis atas kehendak-Nya. Mungkin juga rezeki saya datang ketika ini dan saya tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Peluang ini mungkin datang sekali dalam seumur hidup. Saya harap dapat melangkah penuh bergaya memberi variasi kepada industri seni negara kita,” katanya yang pernah mendapat tempat ketiga Bintang RTM 2005 dan Naib Juara Bintang Klasik RTM 2006.

Nurul Syazwanie menerima single berjudul Tak Terkata, Faralyna (Mama Marah), Syahrul (Peri Bintang), Zaki (Tak Perlu Dijelaskan) dan Syaifaana (Selamat Jalan). Pastinya kehadiran single masing-masing itu membuatkan mereka tersenyum sepanjang masa dan membayangkan pacuan kerjaya yang harapnya akan memberi sinar.

Moga langkah yang disusun indah itu akan memberi impak kepada persada seni yang begitu dahagakan fenomena baru. Tidak mahu hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam, harapnya kehadiran bakat baru ini akan terus menjadi realiti dan tidak sekadar angan kosong.

Berita Harian

"Linda Nak Terus Nikah"

21 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Tidak mahu bazir wang, masa untuk bertunang, akui hadiri kursus untuk dapatkan sijil kahwin

MEMANG benar andai ditafsir wanita tinggi lampai bernama Rozlindah Onn ini begitu serius untuk memikirkan soal masa depan terutamanya dalam berumah tangga. Malahan, semangat penyampai radio Sinar FM, bernama komersial Linda Onn ini untuk berkahwin sudah ada sejak tahun lalu.

Namun apakan daya, yang dirancang tak semestinya menjadi kerana pada akhirnya ia adalah ketentuan Tuhan apabila hubungan dengan seorang pelakon berakhir tanpa diduga. Umum tahu, pelakon itu adalah bekas teman tapi mesranya, Fahrin Ahmad.

Andaian yang kembali tepat mengatakan dia sedang melalui rona bahagia dalam kehidupan ialah sejak Januari lalu ketika menghadiri majlis resepsi Mawi dan Ekin di Hotel Palace of Golden Horses bersama jejaka mat saleh dikenali sebagai James Gibbs.

Tidak menafikan hubungan antaranya dengan Gibbs di peringkat yang boleh dilabelkan agak serius sejak beberapa bulan lalu. Kalau mahu disingkap, persahabatan mereka sudah berlanjutan sejak 10 tahun lalu. Dalam kenyataannya sebelum ini, usahawan berjaya ini juga pernah memuji dan senang dengan peribadi Gibbs.

Finalis kategori Penyampai Radio Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 ini sekali lagi mengundang kejutan apabila gambarnya ketika menghadiri kursus praperkahwinan di Setiawangsa, Kuala Lumpur sejak dua tiga minggu lalu dipaparkan di laman web premis terbabit. Langkah Linda ke situ, sekali lagi mengandaikan dia memang benar-benar sedang ke arah menamatkan zaman bujang.

“Tak Linda nafikan memang ada menghadiri kursus yang dihebahkan itu. Kursus dua hari selama 13 jam itu Linda hadiri bersama kawan. Pada mulanya, Linda sendiri agak terkejut kerana tiba-tiba pusat kursus kahwin itu menyiarkan nama dan gambar Linda di laman webnya tanpa kebenaran.

“Linda tak fikir pusat itu berniat ingin mensabotaj dan selepas mereka memohon maaf serta menarik kembali gambar Linda daripada terus tersiar di laman web, Linda lupakan saja perkara itu. Linda ke situ sebagai langkah awal Linda untuk kahwin dan setidak-tidaknya Linda sudah ada sijil,” katanya yang tidak menolak takdir andai jodoh kuat mengatakan dia akan berkahwin tahun ini.

Lalu, persoalan di sini siapa pula calon suami Linda Onn? Biarpun agak telus membicarakan soal peribadi, Linda masih belum mampu memberi jawapan pasti siapa lelaki yang bakal bertakhta di hatinya atau mungkin Gibbs yang menjadi pilihan Linda sebagai bakal suami. Semuanya masih menjadi tanda tanya, biar ada kemungkinan besar lelaki bukan Melayu dari Wales, United Kingdom itu yang mungkin sudah menawan hatinya.

“Selanjutnya Linda tak berani nak komen. Tunggu sajalah dan Linda juga seperti wanita lain yang ingin bahagia. Dengan siapa pun jodoh Linda nanti, janji dia baik dan pastinya Linda takkan berselindung perkara yang baik.

“Pada pandangan Linda, jika boleh Linda tak mahu membazir masa dan wang ringgit untuk bertunang. Kalau sudah menjadi apa yang dirancang dan jumpa yang sesuai, Linda nak terus nikah,” katanya yang melaram sakan rekaan Nazreen Idris pada malam kemuncak ABPBH 2008 12 April lalu.

Linda ditemui Hip baru-baru ini ketika meraikan rakan media di premis My Asam Pedas Shop, Dataran Pandan Prima berdekatan Tesco Ampang. Acara rutin yang sering dianjurkan membabitkan Linda dan rakan wartawan ini bukanlah perkara asing dan ia antara pengerat silaturahim dengan wartawan.

“Hubungan Linda dan rakan wartawan sangat baik. Kalau ada sekali pun artikel negatif membabitkan Linda di surat khabar dan majalah, Linda ambil daripada sudut positif. Tak dinafikan kalau ada membaca cerita kontroversi boleh berderau juga darah tapi Linda harus kembali relaks.

“Publisiti yang baik atau tidak tetap bernama publisiti. Lebih baik ada cerita daripada tiada langsung. Tak boleh dinafikan kekuatan mata pena rakan wartawan dalam membantu Linda terus membina nama, kerjaya dan perniagaan yang diceburi. Linda tak pernah ambil hati langsung dengan penulisan wartawan,” kata Linda sambil memberitahu menu menarik yang ada di restorannya itu seperti asam pedas, ikan bakar, air sirap bandung dan air asam boi,

Kata Linda, alang-alang hendak memperkenal serta merasmikan pembukaan premis yang dibuka sejak Ogos tahun lalu, Linda memberitahu dia terdetik mengadakan majlis apresiasi kepada rakan media di samping niat asalnya menghebahkan kewujudan restoran itu.

Selain menjemput rakan media menjamu selera, Linda turut mengadakan sesi karaoke membabitkan wartawan yang hadir. Linda juga sempat mengusik rakan penyampai Sinar FM, Salih Yaacob yang sudah penuh kuota empat isteri sedangkan dia belum ada suami lagi.

Pelawak dan pelakon itu turut menyumbangkan suara menyanyikan dua buah lagu sebelum mengambil tempat menjadi pengkritik persembahan bersama Linda. Mereka mengadili pertandingan karaoke ala pengkritik Akademi Fantasia dan One In A Million. Malah di akhir majlis, Linda turut mendendangkan lagu I Will Survive dengan gaya tersendiri.

Turut sama membuat penampilan khas ialah penari cilik yang diberi nama Morning of Ghostdance dan acara cabutan bertuah. Wartawan Rap Harian Metro, Norhadiani Baharom diumum sebagai juara karaoke dan memenangi pen jenana Mont Blanc, manakala wartawan portal, Murai.com, Haswari Ali di tempat kedua memenangi beg sandang, Bonia.

Sementara itu, Hip sempat mendapatkan komen bapa kesayangan tauke restoran My Mom’s Chicken Rice itu mengenai hasrat dan keinginan anaknya untuk ke fasa perkahwinan. Kata Onn Chik, 76, dia dan isterinya hanya mengharapkan kebahagiaan terus kekal menjadi milik anaknya.

“Hal ini pasti terjawab, mungkin pada suatu hari nanti. Siapapun pilihan dia, pakcik berserah. Semuanya terpulang kepadanya kerana jodoh pertemuan di tangan-Nya dan setiap yang baik datang daripada-Nya. Kami merestui siapa pun pilihannya nanti.

“Pakcik tak nak komen lebih-lebih pula kerana salah cakap siapa yang malu. Yang mana baik buatnya, Insya-Allah baiklah kepada kami sekeluarga. Pakcik berdoa dia akan ditemukan dengan jodoh yang baik,” kata Onn.

Berita Harian

2 Beradik Berentap

18 Apr

Oleh IZWAN MOHAMAD
metahad@hmetro.com.my

Rap
UMUM mengetahui dua program realiti TV, Akademi Fantasia (AF) dan One In A Million (OIAM) kini bersaing untuk melahirkan bakat baru sebagai pelapis kepada industri muzik tanah air sejak Mac lalu menerusi saluran Astro Ria dan 8TV.

Malah, ramai maklum pertembungan ini bukan saja antara dua stesen televisyen swasta itu, tetapi juga membabitkan persaingan antara dua beradik.

Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Tomok gah di One In A Million musim ketiga, manakala kakak sulungnya, Ismaliza Ismail atau Isma sering mendapat undian tertinggi di AF7.

Sesuatu yang menerujakan melihat dua beradik ini berjaya menarik perhatian peminat dengan gaya tersendiri sehingga mereka masih kekal dalam rancangan yang menggabungkan elemen bakat dan populariti itu, berdasarkan format undian SMS penonton.

Sehingga hari ini, undian masih berpihak kepada mereka sehingga ada lemparan kata-kata kurang enak seperti keluarga mereka ditaja dan sebagainya.

Ini semua kerana ramai berasa pelik dengan graf undian kedua-duanya yang sentiasa tinggi meninggalkan jauh peserta lain dalam rancangan masing-masing.

Namun pendapat itu dinafikan Tomok yang juga vokalis kumpulan New Boyz yang pernah meledak dalam industri muzik tanah air pada penghujung 1990-an.

Katanya, tidak timbul soal tajaan atau berhabis wang ringgit semata-mata mengundi untuk memastikan dia dan kakaknya kekal di program masing-masing.

“Keluarga saya bukan kaya, sederhana saja dan tidak mampu berbelanja besar demi melihat kami berdua meneruskan cabaran dalam AF7 dan OIAM.

“Malah, saya ada beritahu keluarga, usah mengundi secara keterlaluan kerana biar orang ramai dan peminat menentukan hala tuju kami,” kata Tomok.

 

 

Menurutnya, dia yakin peminat sekarang lebih bijak dalam menilai bakat dan sebagai penghibur, dia perlu melakukan persembahan terbaik minggu demi minggu untuk memastikan terus kekal, sekali gus berpeluang menjejakkan kaki ke peringkat akhir jika rezeki menyebelahinya.

“Bagi saya, kalau menang sekali pun, jika undian yang banyak itu hanya datang daripada keluarga dan rakan, sudah tentu kita sebagai penyanyi tidak akan ke mana-mana juga.

“Malah tanpa peminat sebenar, kita pasti terkapai-kapai nanti,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam industri seni.

Bercerita mengenai Isma, kakaknya yang juga isteri bekas vokalis kumpulan 2 By 2 dan Pengurus A&R Suria Records, Zulkifli Majid, memang sudah lama menceburi bidang nyanyian dan pernah ditawarkan peluang merakam album.

“Sebenarnya saya tidak menyangka kakak berjaya menyertai AF, apatah lagi statusnya yang beranak lima. Saya sungguh bangga dengan pencapaiannya kerana baru sekarang dia dapat menebus kembali keinginannya satu ketika dulu.

“Malah, saya selalu menonton persembahannya di TV. Saya harap dia berjaya,” katanya.

Menyentuh pembabitannya dalam OIAM, ramai yang mula membuat spekulasi mengatakan Tomok bakal meninggalkan New Boyz seterusnya bergerak solo memandangkan persembahannya semakin baik berbanding sebelum ini. Tiada lagi suara ‘sengau’ yang selalu dikaitkan dengan anak muda berasal dari Cheras ini.

“Memang betul, banyak yang saya pelajari sejak menjejakkan kaki ke OIAM. Kalau diikutkan, ketika uji bakat lagi saya dikritik hebat, kalau tidak betul-betul kuat, mungkin saya hilang semangat.

“Maklumlah, 10 tahun saya menyanyi dengan cara sendiri dan New Boyz, kini saya bergerak solo di sini.

“Di OIAM, saya bekerja dengan mereka yang ‘gred A’ seperti Aubrey Suwito yang banyak membantu saya melakukan susunan muzik mengikut cara saya.

“Pelajaran ini saya akan gunakan apabila tamat rancangan ini nanti, bukan saja untuk saya tetapi juga New Boyz,” katanya.

Seperti dinyatakan sebelum ini, Tomok bercadang tampil dengan dua karakter berbeza iaitu solo dan berkumpulan. Dia tidak sama sekali membuang New Boyz daripada kamus hidupnya kerana banyak suka duka bersama kumpulan itu.

“Sepuluh tahun kami bersama, hubungan kami seperti adik-beradik. Saya masih sayangkan New Boyz,” kata Tomok yang berjanji melakukan kejutan setiap minggu demi peminat.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

8TV Terbit Dokumentari PLKN

17 Apr

Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my

“SAYA harap mana-mana remaja yang tidak terpilih untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) supaya segera mengemukakan permohonan kerana satu kerugian bagi mereka jika tidak mengikutinya,” kata Alif One In A Million (OIAM) ketika ditemui di Kem PLKN Princess Haliza di Sepang, baru-baru ini.

Alif yang menjalani PLKN sehingga 8 Jun ini adalah antara selebriti yang mengikuti latihan di kem berkenaan selain pelakon dan model, Diana Danielle serta penyanyi, Suki OIAM.

Kem itu turut menjadi lokasi pilihan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) untuk rakaman dokumentari mengenai PLKN dan hak penggambaran serta penyiaran diberikan kepada stesen televisyen swasta di bawah Media Prima iaitu 8TV.

Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim, berkata keputusan untuk menerbitkan dokumentari mengenai PLKN itu dibuat kerana kurangnya maklumat mengenai program itu sejak ia diperkenalkan pada Februari 2004.

“8TV menganggap penerbitan dokumentari PLKN adalah salah satu tanggungjawab korporat sosial (CSR) kami kepada masyarakat memandangkan PLKN adalah satu program yang baik khususnya dalam melahirkan generasi muda yang berkaliber dan mempunyai jati diri yang jitu,” katanya yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara 8TV dan JLKN baru-baru ini.

JLKN diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil. Dokumentari sebanyak lapan episod itu akan disiarkan di 8TV mulai 8 Mei ini, pada setiap Jumaat mulai jam 9.30 malam hingga 10 malam.

Mengenai pemilihan Kem PLKN Princess Haliza sebagai lokasi penggambaran, Abdul Hadi berkata, semuanya bermula apabila pelakon dan model Diana Danielle terpilih menyertai latihan di kem itu.

Beliau berkata, keputusan membenarkan penggambaran itu diharap dapat membantu media mendapatkan perkembangan terkini Diana sewaktu menjalani latihan selain dua artis lain iaitu Suki dan Alif OIAM.

“PLKN bukan bertujuan menjadikan pelatih sebagai tentera tetapi untuk memberi peluang kepada pelatih mengenali diri mereka sendiri, sekali gus membentuk jati diri dan karakter mereka demi masa depan masing-masing,” katanya.

Katanya, penggambaran dokumentari terbabit sudah bermula sejak 19 Mac lalu iaitu ketika pelatih mula mendaftar di Kem PLKN Princess Haliza, Sungai Pelek, Sepang, Selangor dan ia akan membabitkan semua lapan modul latihan.

“Apa yang dipaparkan dalam dokumentari ini adalah kejadian sebenar yang berlaku sewaktu pelatih mengikuti latihan mengikut modul yang ditetapkan dan tidak ada elemen lakonan diselitkan dalam penggambaran ini.

“Kita mahu masyarakat khususnya ibu bapa dan bakal pelatih mendapatkan maklumat sebenar, sekali gus menolak tanggapan negatif mengenai program ini,” katanya.

Mengulas perkara itu, Diana berkata, usaha itu diharap mampu memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan remaja yang dipilih menyertai PLKN untuk mengetahui keadaan sebenar sepanjang program itu diadakan.

Pelakon dan model, Diana Danielle mendedahkan bahawa keadaan di dalam kem PLKN tidak seburuk yang disangkanya, justeru berharap dokumentari terbitan 8TV yang bakal menemui orang ramai mulai 8 Mei ini mampu mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap program berkenaan.

Berita Harian

Rockers Pelapis

16 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Kehadiran band indie tidak jejas aliran muzik rock

MUZIK rock tidak terkubur. Muzik ini masih digemari dan ada peminatnya tersendiri walaupun perkembangannya mungkin tidak sehebat dulu. Tapi itu bukan bermakna rock dalam dunia muzik tanah air akan lenyap.

Begitulah pandangan dua bakat muda yang memilih muzik aliran rock, Aweera dan Pija. Menariknya, mereka kini dalam ‘dua dunia’ berbeza.

Aweera masih bertahan dalam program realiti One In A Million musim ketiga (OIAM3), sedangkan Pija pula sudah tersingkir pada minggu ketiga program yang sama.

Namun begitu, bagi Pija tersingkir daripada program itu, tidak bermakna semangatnya menjadi pudar. Katanya, dia cukup menggemari jalur muzik yang sudah berdekad lamanya bertapak di negara kita.

“Pija gemarkan muzik rock dan ingin terus memastikan kesinambungannya untuk terus kekal dengan muzik ini. Rock masih ada peminatnya. Tak dinafikan kehadiran band indie menunjukkan fenomena yang agak luar biasa kebelakangan ini. Bakat indie ini memang diakui sangat hebat, malah Pija sendiri tidak sehebat mereka yang boleh bermain instrumen.


BAKAT muda ini mahu memastikan muzik rock berterusan.

“Kalau ada peluang, Pija nak belajar bermain gitar dan teringin sangat nak bekerjasama dengan anggota Meet Uncle Hussain, Taja. Kalau dapat khidmatnya sebagai komposer pun sudah kira bagus. Pija memandang tinggi kewujudan dan kemampuan band indie,” kata Pija tulus yang pernah dikenali dengan lagu Luka.

Kesempatan berada di OIAM 3 dalam tempoh yang agak singkat bagaikan rahmat bermakna buat pemilik nama sebenar Norafizah Mohd Yasin ini. Walaupun masih tersemat perasaan sedih dan kecewa, penyanyi berusia 21 tahun ini terpaksa akur dengan ketentuan yang cukup perit untuk dikenang kembali.

“Pija sudah mula menyanyikan pelbagai genre muzik ketika menyertai pertandingan nyanyian termasuk Mentor musim pertama. Ketika di pentas akhir Mentor, Pija mula terarah menyanyikan lagu berkonsepkan rock dan ada yang berpendapat, ia sesuai dengan emosi dan perwatakan Pija.

“Menerusi OIAM 3, Pija banyak belajar dan melalui pendekatannya yakni ‘Cari suara sendiri’. Pija mula mengikut kata hati bahawa muzik rock adalah pilihan betul. Terkeluar dari OIAM3 bukan jadi penamat kepada Pija dalam bidang ini,” katanya.

Pija sebenarnya pernah diangkat menjadi Juara program Mentor musim pertama tetapi selepas itu tuah masih belum menyebelahinya.

“Bukan semua orang mempunyai nasib yang sama. Pija sendiri sedar laluan seni ini bukan semudah yang disangka. Apa terjadi Pija tetap ingin meneruskan impian,” katanya.

“Mungkin kalau tak berjaya lagi, Pija terus kahwin sajalah,” sambung Pija lagi dalam nada berseloroh. .

Katanya, selepas tersingkir daripada OIAM3, haluannya kini bersama Datuk Wah Idris.

“Sebelum ini Pija dan kakak (Naufara) ada mengeluarkan single Posh. Kini single solo Pija, Terawal Terakhir pula mengikut giliran. Besar kemungkinan juga lagu itu akan ditukar susunannya. Pija dan kakak bersama syarikat Prima Event & Music milik Datuk Wah Idris untuk kontrak selama tiga tahun,” katanya.

Pilihan tidak sia-sia

Sementara itu, kelibat Aweera di pentas OIAM 3 semakin mendapat perhatian. Tidak keterlaluan dikatakan anak ketiga daripada empat beradik ini boleh menyanyi biarpun suaranya pernah dilabelkan Syafinaz sebagai menyalak (menjerit).

Impak dirinya sudah berbekas, malah katanya, keputusan untuk menyertai pertandingan itu amat berbaloi.

Pernah memenangi imuniti yang ditawarkan di dalam pertandingan siaran 8TV itu, ia memberi penanda aras membuktikan yang dia boleh menyanyi sekali gus menidakkan pendapat sesetengah pihak yang dia hanya menjerit sewaktu menyanyi. Bahkan, ini sebagai simbolik kehadiran anak muda berdarah campuran Belanda dan Melayu ini bukan sekadar tangkap muat dan bersandarkan paras rupa semata-mata.

“Saya mahu buktikan pemilihan sebagai Top 12 dalam OIAM3 ini tidak sia-sia. Saya ingin menunjukkan dan berkongsi bakat yang ada bukan sekadar tempelan semata-mata. Dengan usaha jitu, saya juga yakin boleh jadi yang terbaik,” katanya

Baru berusia 18 tahun, Aweera atau nama penuhnya Nasharul Aweera Noriyissham ini berkata, demi minatnya terhadap muzik rock membuatkan dia sanggup membuat rujukan dan penyelidikan menyelak helaian buku dan melayari laman maya semata-mata untuk mengintai sejarah muzik itu.

“Rock bukan dibuat-buat kerana ia lahir di dalam jiwa dan ia berkaitan soal ‘attitude’. Ada yang beranggapan rock itu kotor, ganas dan macam-macam lagilah. Tapi daripada aspek logik, ia hanyalah muzik selamba dan santai.

“Ada lagi tanggapan orang, kalau sebut rock kita kena menjerit. Tapi harus diingat menjerit itu bukan syarat untuk menjadi penyanyi rock kerana untuk mencapai tahap itu bukan mudah. Saya pernah berjoging sejauh 12 kilometer untuk mendapatkan stamina yang baik,” katanya yang selesa dengan Pija dan sudi berduet bersama jika diberi peluang berbuat demikian.

Meminati Awie, Aweera memberitahu dia pernah dipanggil ‘Awee’ di kalangan rakan atau kenalannya di Perlis. Selain itu, dia turut meminati Amy Search dan vokalis kumpulan Malmsteen, Mike Vescera.

“Hingga sekarang saya masih menggunakan bedak jenama Follow Me yang pernah kelihatan di dalam album VCD konsert Wings pada 1991.

“Sejak zaman kaset hinggalah ke CD, saya tak pernah gagal memiliki album Wings dan Awie. Malah, filem lakonannya juga turut menjadi pilihan saya pada waktu lapang. Selain mengagumi suaranya, saya juga sukakan gayanya yang gemar menaiki motosikal berkuasa besar. Nampak ranggi,” katanya yang sudah memiliki 38 koleksi lagu ciptaan sendiri dengan pelbagai konsep.

Profil Pija

Nama sebenar: Norafizah Mohd Yasin

Umur: 20

Tempat lahir: Kota Kinabalu, Sabah

Genre muzik: Pop rock

Kejayaan: Juara Mentor musim pertama

Pernah dikaitkan menjalinkan cinta dengan Nabil dan Affan

Emel atau Facebook: poshpija@yahoo.com

Profil Aweera

Nama sebenar: Nasharul Aweera Noriyissham

Umur: 18

Tarikh lahir: 24 Ogos 1991

Tempat lahir: Utan Aji, Perlis

Hobi: Menggubah lagu dan bermain futsal.

Pembabitan dalam dunia nyanyian: Sejak darjah enam

Penghargaan

Solekan: Riezza Amour (013-4343615)

Dandanan rambut: Zul Bastari (012-3812671) layari laman sesawang, http://debeautyandhairstudio.ning.com

Berita Harian