Archive | Ramli Sarip RSS feed for this section

Berhujan Demi KMA 2009

26 Apr

Rap
HARAPAN lebih 5,000 pengunjung pada konsert Kembara Metro Ahad (KMA) 2009 di Dataran Kejora, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor, Sabtu lalu, untuk melihat aksi ‘superman’ hampa kerana naib juara One In A Million musim pertama, Faizal Tahir, terpaksa menarik diri atas sebab kesihatan.

Bagaimanapun, kekecewaan penonton ditebus oleh telatah dan gelagat ‘tiga superman’ yang ternyata lebih banyak memainkan peranan dalam menghangatkan semula suasana ceria mini konsert itu. Peranan dimainkan Raja Lawak musim ketiga, Sepah selaku pengacara berjaya membuatkan penonton melupakan kekecewaan untuk melihat Faizal beraksi di pentas.

Gelagat lawak spontan Shuib, Jep dan Mamat membuatkan penonton yang merangkumi pelbagai peringkat umur itu tidak kering gusi, sekali gus membuktikan mereka sememangnya layak digelar Raja Lawak.

Kekuatan dan daya tarikan dimiliki tiga anak muda berasal dari Johor Bahru ini nampak jelas apabila pada satu ketika mereka berjaya membuatkan penonton yang hadir tidak berganjak dari tempat duduk walaupun rintik hujan mula turun.

Tiga serangkai yang difahamkan pertama kali menjadi pengacara di pentas itu dilihat mempraktikkan segala ilmu yang mereka peroleh sepanjang mengikuti program realiti yang dikendalikan Astro itu.

Mereka pandai berinteraksi dengan penonton kerana tahu malapetaka paling hebat ketika beraksi di depan ribuan penonton ialah apabila persembahan mereka tidak sampai sehingga membuatkan penonton bosan dan mengalihkan tumpuan dari pentas.

Jadi tidak hairan Sepah tidak menghadapi kesukaran menjemput penonton naik ke pentas bagi menjawab beberapa soalan kuiz yang mudah kerana penonton sememangnya cepat serasi dengan semua usikan dan lawak spontan mereka.

Bukan hanya mengacara dan berlawak, Sepah datang dengan nyanyian. Pakej tiga dalam satu!

Kemuncak penampilan Sepah sepanjang mengendalikan pentas di mini konsert KMA 2009 ialah apabila mereka membawa lagu Kamelia daripada kumpulan Sweet Charity bagi menggantikan tempat Faizal.

Dengan suara serak basah milik Jep yang mirip Ramli Sarip itu, penonton nampak teruja apabila memberi tepukan gemuruh serta sorakan, tidak kurang juga yang bingkas bangun sebagai tanda penghargaan kepada kebolehannya.

 

 

Mini konsert KMA 2009 turut meriah bukan saja dengan pembabitan 400 pembaca setia akhbar mingguan popular ini, malah penampilan nama terkenal dalam industri muzik seperti Mila, Riz dan Alyah.

Konsert yang berlangsung selama dua jam bermula jam 9 malam itu dimulakan dengan persembahan zapin kanak-kanak dari pertubuhan kebudayaan Kejora.

Mila yang baru membuka produk kecantikan LuvMila, tampil mendendangkan tiga lagu iaitu Mila Bila Cinta, Persis Mutiara dan Aku Lebih Tahu.

Terdahulu, Riz muncul mempersembahkan lagu Hanya Sandiwara dan Harusku Yang Pergi serta sebuah lagi duet bersama Alyah, Ku Pinjam Satu Bintang.

Suasana malam di Dataran Kejora turut dihangatkan dengan vokal tinggi Alyah melalui Berdua Lebih Baik dan Tak Mungkin Kerna Sayang yang menjadi pembukaan mini konsert.

Penampilan kumpulan rock Butterfly yang dianggotai lima wanita iaitu Ada (vokalis), Syella (keyboard), Biss (bass), Helda (gitar) dan Adha (dram) turut berjaya mencuri tumpuan penonton, terutama yang menantikan irama rancak.

Butterfly mempersembahkan tiga lagu iaitu Kucing Garung, Oh Kawan dan Goyang Inul yang menyaksikan beberapa penonton dijemput naik ke pentas untuk turut menggoyangkan pinggul mengiringi lagu dangdut yang diberi nafas rock itu.

Tidak lengkap kiranya kunjungan peserta KMA 2009 ke Johor tidak disajikan dengan tarian zapin. Kumpulan tarian dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Adila, Kota Tinggi, dijemput membuat persembahan zapin sebagai pembuka tirai minit konsert yang turut menggamit orang ramai dari beberapa penempatan Felda berdekatan.

Pada hari itu juga, sebenarnya Dataran Kejora ‘dibuka’ seawal jam 9 pagi dengan mini karnival, di mana pelbagai gerai jualan barangan disediakan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan karaoke dan sukaneka yang terbuka untuk peserta KMA 2009.

KMA 2009 turut dijayakan rakan penaja seperti Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Jakel, Kumpulan Al-Jabbar, Desaru Golden Beach Hotel, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar Malaysia (Irda), Iskandar Investment Berhad (IIB), Jamu Mak Dara, Shell, Proton, ntv7 serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Surat, Datuk Harun Abdullah.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Konsert Tanpa Nash

24 Apr

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

MUNGKIN ia secara kebetulan atau dianggap sebagai ‘musim’ apabila kebanyakan kumpulan rock popular 70-an dan 80-an, dilamar penganjur untuk mengadakan konsert penyatuan semula sepanjang Mei ini.

Ia bermula dengan Search yang dijadual mengadakan konsert jelajah negara pada 2 Mei dengan lokasi pertama di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Kemudian kumpulan Black Dog Bone akan menggegarkan Istana Budaya bermula 8 hingga 10 Mei ini.

Terbaru, kumpulan yang cukup popular dengan lagu Tiada Lagi Kidungmu dan Ku Di Halaman Rindu, Lefthanded akan mengadakan konsert mega pada 30 Mei ini di Stadium Negara.

Kumpulan yang dahulunya dianggotai Amran Marsiman, 45, (Yan-base), Abdul Rahman Othman, 47, (Man Dayak-dram); Rahman Mahmood, 45, (Man Kidal-gitar) dan Allahyarham Abdul Samad Mian (Samad) akan tampil tanpa penyanyi asalnya, Jamaludin Elias, 49, (Nash-vokal).

Bagi menggantikan tempat penyanyi yang kini bergerak solo, kumpulan Lefthanded bakal bergabung tenaga dengan beberapa penyanyi dan anggota kumpulan rock lain.

Memastikan ia tidak tersasar daripada tema, konsert itu turut ditukar judulnya daripada Lefthanded Reunion kepada Lefthanded and Friends.

Pastinya, perkembangan itu sedikit mengecewakan peminat setia kumpulan itu apabila persembahan penyatuan semula Lefthanded tidak lengkap dengan anggota asal.

Menjelaskan mengenai perkara ini pada majlis sidang akhbar pengumuman konsert itu, baru-baru ini, Man Kidal mengakui berasa terkilan apabila Nash tidak dapat bersama mereka pada hari persembahan.

“Konsert ini sudah dirancang pada November lalu dan tarikhnya sudah ditetapkan waktu itu. Bagaimanapun, apabila ditanya kepada Nash, dia menjelaskan sudah mempunyai komitmen lain dan dia sudah memberikan persetujuan awal.

“Bagi menggantikan tempat Nash, kami cuba menghubungi beberapa penyanyi yang pernah menjayakan projek khas bersama Lefthanded sebelum ini seperti Ramli Sarip dan Arab yang tampil bersama kami dalam Nafas dan Fanatisme.

 

 

“Sudah tertulis bukan rezeki kami untuk bersama kembali apabila mereka turut menjelaskan mempunyai komitmen lain.

“Memikirkan alternatif lain, akhirnya saya bersama penganjur konsert, Win Archer (M) Sdn Bhd bercadang menjemput beberapa penyanyi yang pernah bekerjasama dengan kami sepanjang 25 tahun Lefthanded ditubuhkan,” katanya.

Selain itu, jelas Man Kidal, konsert yang diadakan ini sebenarnya sudah dirancang lebih lima tahun lalu dan waktu itu, arwah Samad masih ada bersama mereka. Bagaimanapun, kerana masalah untuk mendapatkan penajaan dan penaung menyebabkan perancangan itu tertangguh sehinggalah sekarang.

“Sayangnya, apabila konsert ini mahu diadakan, arwah sudah tiada lagi untuk bersama-sama Lefthanded dan sudah pasti apabila konsert ini dilakukan nanti, kami semua akan terasa kehilangannya. Konsert yang kami adakan ini turut kami abadikan untuk arwah Samad,” katanya.

Antara penyanyi bakal tampil menjayakan konsert dirancang ini termasuk penyanyi utama kumpulan Search, Amy; penyanyi utama kumpulan Wings, Awie; bekas penyanyi utama kumpulan May, Mus, Hattan dan Shima.

Pemain gitar utama kumpulan Wings iaitu Joe juga akan muncul selaku penampilan khas bagi menggantikan tempat arwah Samad.

Bagi penyanyi yang akan bersama-sama menjayakan konsert ini akan menghiburkan peminat Lefthanded dengan lagu popular mereka daripada album Keadilan (1986) sehinggalah album Reunion 1- Koleksi Unggul (2003).

Penyertaan Amy dalam konsert Lefthanded ini bagaimanapun dikhuatiri akan menimbulkan konflik kepada peminat, memandangkan waktu sama, Search masih dalam rangka persembahan jelajah seluruh negara.

“Saya akui mengenai perkara ini tetapi kemunculan Amy agak istimewa kerana pada malam konsert itu nanti, dia akan mendendangkan lagu popular Lefthanded.

“Pastinya peminat setia mahu mendengar bagaimana agaknya gaya Amy apabila mendendangkan lagu popular Lefthanded. Seperkara lagi, Amy sudi menjayakan konsert ini atas dasar bagi membantu mengumpul dana untuk Mercy Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Hattan yang turut hadir pada sidang akhbar berkata, dia tidak menghadapi masalah untuk menjayakan konsert itu kerana sejak dulu sudah biasa menggantikan tempat Nash apabila dia muncul dengan album solo.

“Biasanya saya menyertai mereka untuk persembahan biasa. Ingin saya jelaskan di sini, pembabitan saya dalam konsert dilakukan Lefthanded bukan kerana duit, sebaliknya ia lebih kepada tanda sokongan,” katanya.

Mus pula berkata, dia sudah menganggap anggota kumpulan Lefthanded sebagai abangnya dan apabila dipelawa untuk menjayakan konsert itu, dia amat berbesar hati.

“Sebelum ini, saya pernah menjayakan persembahan bersama Lefthanded di Planet Hollywood mahupun di RTM bersama Hattan. Ini kali pertama saya akan menyertai mereka bagi menjayakan konsert besar. Pastinya saya berasa teruja dan tidak sabar hendak menggegarkan pentas konsert di Stadium Negara pada 30 Mei nanti,” katanya.

Menarik apabila Joe yang turut bermain gitar menggunakan tangan kiri dikatakan mampu mengimbau nostalgia peminat terhadap arwah Samad yang turut bersama-sama Man Kidal bermain gitar menggunakan tangan kiri.

Kata Joe, dia terpanggil untuk bersama-sama menjayakan konsert ini kerana berasakan ia akan memberikan impak luar biasa kepada peminat kerana menampilkan penggiat muzik rock yang dianggap ‘otai’.

Selain Lefthanded, konsert yang akan dimulakan seawal jam 3 petang ini turut menampilkan kumpulan ‘indie’ seperti Jump-D, The Pilgrims, Couple, The Times, Roots & Boots, Pop Shuvit dan Bunk. Kumpulan terbabit akan memanaskan pentas terlebih dulu sebelum Lefthanded muncul pada sebelah malamnya.

Selain mengutip derma untuk mengisi tabung Mercy Malaysia, konsert Lefthanded and Friends ini turut dirakamkan. Mereka yang berminat boleh mendapatkan tiket dengan harga RM68 dan RM88.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Persembahan Lima Bintang

24 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

USTAZ Harun (lima dari kiri) turut menyanyi bersama artis yang menjayakan konsert Rock Rohani.

Sambutan dingin khalayak terhadap Konsert Malam Seribu Karya: Rock Rohani bukan satu kegagalan

SEKALIPUN mempertaruhkan nama besar dalam industri hiburan tanah air seperti Amy Search, Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Mawi, Yantzen, Rahmat (Mega) dan ramai lagi, usaha penganjur Karya Hadani dalam mengangkat lagu kerohanian melalui Konsert Malam Seribu Karya: Rock Rohani tidak dianggap gagal walaupun kurang mendapat sambutan penonton.

Memang sayang apabila persembahan yang membariskan penyanyi terbaik tanah air tidak mendapat sambutan penonton. Ini terbukti apabila jumlah penonton yang hadir bagaikan boleh dikira dengan jari. Ia mungkin juga gara-gara promosi atau publisiti yang kurang meluas bagi menguar-uarkan konsert itu.

Biarpun kurang mendapat sambutan, namun konsert yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, malam Sabtu lalu mempertaruhkan 32 lagu rock ketuhanan boleh dianggap sebagai persembahan lima bintang yang mempunyai kelasnya tersendiri.

Persembahan yang sepatutnya dimulakan jam 9 malam terpaksa ditangguhkan seketika bagi menunggu ruang bawah stadium dipenuhi penonton apabila nama besar yang membuat persembahan gagal menarik penonton hadir.

Konsert yang dimulakan dengan doa bersama iringan muzik, pencahayaan dan visual di kedua-dua belah pentas cukup meremangkan bulu roma penonton. Sebelum memulakan persembahan, beduk yang muncul dari bawah pentas dipalu Presiden Karya Hadani, Raja Iskandar Raja Ibrahim sebagai gimik pelancaran konsert. Ia juga bagaikan memukul beduk sebelum memulakan solat di zaman dulu kala.


AMY Search muncul di tengah-tengah penonton dengan gaya menarik.

Permainan laser yang memenuhi ruang dewan yang mampu memuatkan 7,000 penonton tetapi hanya dihadiri kurang daripada 1,000 penonton dimulakan dengan lagu Zat Ilahi yang dinyanyikan oleh Yantzen dan Azam (Akar). Permulaan lagu yang bersemangat dimainkan oleh 16 pemuzik termasuk tiga penyanyi latar menaikkan semangat penonton untuk lebih mencintai Islam sedalam-dalamnya.

Konsert yang diacarakan oleh Aidil Abd Ghafar dan Isma Halil Hamzah sentiasa mengingati penonton untuk menghayati setiap bait indah karya ketuhanan yang disampaikan bukan muzik rock yang dialunkan.

Persembahan diteruskan oleh Nazrey dengan lagu Wahai Kaum Muslimin, Razak Ahmad (Renung), Ramli Sarip (Pernyataan), Rahmat (Laksamana) dan Azam (Semangat).

Sesi kedua persembahan dimulakan dengan Mawi menerusi lagu Kian yang mengejutkan peminat menerusi penampilan rambut barunya. Mawi turut membawakan lagu terbarunya Allah Habeebi. Karya Hadani juga tidak ketinggalan mengundang kumpulan di bawah naungannya, Manik membuat persembahan menerusi tiga lagu.


JAMAL muncul menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah dan Berkorban Apa Saja.

Sekali lagi dewan menerima tepukan gemuruh apabila Jamal Abdillah muncul dengan lagu Ghazal Untuk Rabiah yang cukup menyentuh perasaan. Penonton turut dikejutkan dengan kemunculan Amy Search di tengah-tengah penonton menerusi lagu Tiada Lagi.

Saat kemunculan Amy, penonton mula tidak senang duduk apabila saat itulah peluang bagi mereka untuk merakam gambar kenangan bersama Amy.

Malam itu penonton yang hadir disajikan dengan santapan rohani apabila kebanyakan lagu yang dinyanyikan mengajak kita mendekati agama melalui hiburan yang disampaikan.

Rata-rata lagu yang dinyanyikan malam itu adalah hasil karya pengasas Karya Hadani iaitu Harun Mat Saat atau lebih dikenali sebagai Ustaz Harun.

Tema warna putih yang menggambarkan kesucian, setiap penyanyi dan pemuzik lebih menyerlahkan bahang semangat kepada penonton untuk terus berada di kerusi sehingga konsert Rock Rohani menutup tirai kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Inisiatif Karya Hadani yang mengajak penonton berjihad menerusi medium hiburan tetap akan diteruskan biarpun gagal menarik jumlah penonton yang ramai untuk kali pertama dianjurkan.

Terlebih awal lagi mereka sudah merancang untuk meneruskan usaha ini untuk menganjurkan konsert Pop Rohani dengan menampilkan Jamal Abdillah sebagai penyanyi utama dalam masa terdekat ini.

Berita Harian

Pengalaman Luar Biasa Konsert Rohani

22 Apr

wanasr@hmerto.com.my

Rap
PENONTON yang hadir menyaksikan Konsert Malam Seribu Karya bukan saja dihiburkan menerusi beberapa lagu popular, malah melodi indah berunsur rohani yang memberi kesedaran.

Dari permulaan sehingga penghujung konsert bertemakan Rock Rohani diterapkan dengan penuh penghayatan dan mesej tersendiri berunsur dakwah, kemasyarakatan dan cinta.

Biarpun tanpa penonton yang ramai, konsert yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada Sabtu lalu tetap mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding ribuan penonton yang menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan pertembungan Selangor menentang Perlis bagi saingan Piala FA di stadium bersebelahan.

Ia juga berbeza daripada konsert sebelum ini yang lebih tertumpu kepada artis yang menjayakan persembahan mahupun mensasarkan keuntungan. Penampilan barisan artis terkenal tanah air seperti Ramli Sarip, Amy Search selain Raja Pop, Jamal Abdillah dan Mawi cukup dinantikan peminat.

Selain mempertaruhkan nama besar itu, konsert dianjurkan Karya Hadani Sdn Bhd (KHSB) itu turut menampilkan Nazrey Johany dan artis KHSB antaranya Yantzen, Rahmat Mega, Sham Barongan, Razak Ahmad, Ezam Akar dan Kumpulan Manik.

Tidak terkecuali menjayakan persembahan konsert yang berlangsung selama lebih tiga jam itu ialah penampilan istimewa pengasas KHSB, Harun Mat Saat atau lebih dikenali Ustaz Harun.

Razak menyifatkan penganjuran konsert berkenaan ternyata berbeza daripada konsert sedia ada kerana menerapkan unsur dakwah dalam hiburan.

“Saya berpuas hati dengan persembahan ini selepas melakukan persiapan sejak beberapa bulan lalu. Saya gugup apabila ketika latihan menyampaikan lagu Renung, pasti ada lirik akhir yang kurang lancar.

“Begitupun, ia berjaya dilaksanakan dengan baik ketika kemuncak konsert. Mungkin juga bantuan daripada sistem bunyi yang memudahkan intonasi ketika menyanyi.

“Saya percaya dengan penganjuran konsert ini, lebih ramai yang akan mengetahui mengenai konsep Rock Rohani. Tidak mustahil jika satu hari nanti konsep ini dapat diterima semua golongan masyarakat,” kata Razak yang menyampaikan lagu Renung, Pesanan Untuk Ibu dan Kiamat.

 

 

Rahmat yang pernah popular bersama kumpulan Mega menerusi lagu Bayangan Gurauan mengakui seronok dapat menjayakan konsert berkenaan. Sebagai artis KHSB dia terharu dan gembira kerana diberi peluang menjayakan konsert berkenaan. Rahmat yang cukup popular dengan lagu berentak rock menyampaikan Laksamana dan Warkah Untuk Isteri.

Kemunculan rocker terkenal, Amy Search dari sudut tempat duduk penonton menerusi lagu Tiada Lagi ternyata mencuri perhatian. Amy turut menyampaikan lagu Isi dan Kulit. Penampilan Jamal dengan aksi santai menyanyikan lagu popularnya, Ghazal Untuk Rabiah.

Kemunculan Mawi menyampaikan lagu Kian turut mendapat sorakan gemuruh daripada penonton. Gelagat pengacara, Isma Halil Hamzah dan Aidiel Abdul Ghafar menerusi ulasan berkonsep rohani turut membawa maksud tersendiri.

Tidak ketinggalan, persembahan bertenaga Ramli menerusi lagu Pernyataan. Sementara Nazrey menghiburkan dengan lagu Wahai Kaum Muslimin dan Antara Dua Cinta.

Turut menjayakan persembahan, kumpulan Kulit dianggotai Mahdi (vokalis), Beb (dram), Fiqri (bass) dan Sham (gitar). Paling istimewa penampilan khas Ustaz Harun di samping beberapa artis jemputan yang menyampaikan lagu Kaulah Pujaan, Insaf serta Sedih Dalam Kebahagiaan sebagai penutup persembahan.

Persembahan di bawah pimpinan pengarah muzik, Shaharil Shamsuddin turut diiringi Stone sebagai pemain gitar utama di samping khidmat dua pemain dram, Zul dan Ujang, Habib (perkusi), Mohar (seruling) serta Uda (accordian).

Pengarah Urusan KHSB merangkap penerbit konsert, Raja Iskandar Raja Ibrahim memaklumkan merasai pengalaman yang luar biasa daripada persembahan konsert sebelumnya.

“Sebelum ini kami pernah mengadakan konsert yang berskala kecil atau sebahagian daripada agenda promosi bagi album Rock Rohani I dan II di Kota Bharu, Kelantan dan Keningau, Sabah tahun lalu. Konsert ini ternyata lebih besar dan membabitkan banyak pihak termasuk kru dan artis.

“Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan sambutan diberikan. Malah kami mendapat maklum balas baik daripada peminat sehingga dimaklumkan ada yang menyentuh perasaan ketika mengikutinya.

“Menerusi konsert ini juga ia sebagai strategi kami mempromosi dan memperkenalkan KHSB sebagai platform untuk orang ramai khususnya generasi muda mempelajari ataupun mengetahui mengenai agama dan kesenian,” katanya.

Raja Iskandar atau lebih dikenali dengan gelaran Is Wow turut memaklumkan konsert sama bakal di langsung di beberapa daerah seperti Utara atau Selatan jika segalanya berjalan lancar.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Konsert Tanpa Vokalis

21 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

BAKAL beraksi tanpa kemunculan keenam-enam bekas vokalisnya, langkah dan tari kumpulan rock berpengaruh tanah air, Lefthanded pasti kelihatan sumbang.

Itu hakikat yang harus diterima oleh ahli kumpulan tersebut yang bakal mengadakan Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan.

Menjadikan Stadium Negara, Kuala Lumpur sebagai saksi keunggulan kumpulan mereka, Lefthanded bagaimanapun nekad untuk meneruskan persembahan yang berlangsung pada 30 Mei depan.

Man Kidal, yang merupakan gitaris Lefthanded melahirkan perasaan terkilan apabila keenam-enam vokalis yang pernah berkhidmat untuk kumpulannya itu yang termasuklah Nash, Arab, Ramli Sarip dan Rahim Maarof dan Roy (Rauzan Alwi) tidak dapat melibatkan diri dalam konsert itu.

Man Kidal menegaskan, Nash dan Ramli Sarip sejak awal-awal lagi sudah menyatakan alasan tersendiri, tidak dapat terbabit dalam konsert yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy).

“Mereka mengatakan ada komitmen lain yang tidak dapat dielakkan. Nash sudah menerima undangan nyanyian lain, manakala Ramli pula membuat persembahan di Singapura.

“Pada awalnya, sudah pasti saya bersedih kerana mereka tidak dapat membuat kemunculan untuk persembahan Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan.


HATTAN (dua dari kiri) dan Joe Wings (dua dari kanan) tampil memberikan sokongan moral buat Lefthanded.

“Rasa ralat pula persembahan di pentas, tetapi tidak disertai oleh vokalis-vokalis ini yang banyak berjasa kepada kumpulan kami.

“Memanglah saya mahu semua berkumpul apatah lagi konsert ini diumpamakan memberi penghargaan kepada Lefthanded. Nampaknya angan-angan untuk kami bersatu belum lagi terlaksana.

“Dengan salah seorang anggota kami, Samad meninggal dunia pada Oktober tahun lalu, ia membuatkan saya terkilan,” luahnya sugul ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Borneo Baruk Club di ibu negara Rabu lalu.

Turut hadir ialah anggota kumpulan Lefthanded lain iaitu Yan, 45, atau nama sebenarnya Amran Marsiman dan Man Dayak, 47, (Abdul Rahman Othman).

Andai sebelum ini dia tidak perlu berbicara untuk meluahkan ekspresi kerana cukuplah hanya gitar yang bersuara mewakili isi hatinya, namun kali ini Man Kidal melontarkan kesedihannya dengan kata-kata.

Kecewa, itu yang dirasai kutai rock yang cukup dikenali dengan gaya rambut panjangnya.

Sambung Man Kidal, peluang untuk melakukan konsert secara besar-besaran itu tidak hanya datang sekali, lantaran itu dia teringin untuk melihat semua vokalis Lefthanded berkumpul.


KONSERT Rock Lefthanded & Kawan-Kawan bakal mengembalikan nostalgia era kegemilangan Lefthanded.

“Peluang mengadakan konsert dilihat ada signifikan tersendiri dalam menunjukkan perjalanan seni kami selama tiga dekad bergelumang dalam dunia seni,” jawabnya yang mengalu-alukan kemunculan Nash jika dia mengubah fikiran di saat-saat akhir dan ingin terlibat sama dalam konsert itu.

Kekecewaan Man Kidal dan ahli kumpulan Lefthanded bagaimanapun terubat apabila konsert itu turut diserikan dengan kemunculan rakan lain seperti Amy (Search), Awie dan Joe (Wings), Mus (May), Hattan, Shima dan Aisunam.

“Lihat sahajalah senarai nama-nama yang terlibat. Masing-masing mempunyai kredibiliti dan reputasi yang hebat dalam bidang nyanyian.

“Mereka yang terbabit akan mendendangkan lagu-lagu popular Lefthanded. Saya percaya, konsert ini juga akan menjadi menarik dengan kehadiran mereka.

“Walaupun tanpa kemunculan vokalis-vokalis Lefthanded, namun saya yakin ia tidak sesekali menjejaskan kehadiran peminat kelak,” jelasnya yang menerima ‘lamaran’ untuk mengadakan konsert itu pada November 2008.

Kali terakhir Lefthanded membuat konsert berskala besar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada September 2007 bersama Rusty Blade.

Tema Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan diketengahkan bersesuaian dengan konsep kumpulan itu yang tidak mempunyai penyanyi tetap sejak dari awal penglibatan dalam dunia seni hingga sekarang.


TETAP beraksi biarpun tanpa kemunculan vokalis, tiga anggota Lefthanded, (dari kiri), Yan, Man Kidal dan Man Dayak.

Nadi Lefthanded bagaimanapun tetap terserlah menerusi kekuatan lagu, muzik dan liriknya hingga ia mampu bertahan untuk jangka masa yang panjang.

Penghargaan kepada Samad

Bercerita lebih lanjut tentang konsert itu, Man Kidal atau nama sebenarnya Rahman Mahmood, 45, memberitahu, konsert diadakan dalam dua sesi bermula petang hingga larut malam.

“Kumpulan indie seperti Bunkface, Pop Shuvit, Kid & Xera, The Times, The Pilgrims, Couple dan banyak lagi akan mengadakan persembahan pada waktu petang untuk menarik golongan remaja.

“Manakala pada waktu malam pula, barulah Lefthanded dan kawan-kawan akan mengambil alih pentas dan membuat persembahan untuk menghiburkan peminat.

“Walaupun konsert yang berlangsung selama dua jam itu nanti bukanlah acara pertama kumpulan kami, namun saya lihat konsert ini bakal melakar sejarahnya sendiri.

“Konsert yang berlangsung atas dasar kebajikan dan bertujuan memperlihatkan apresiasi kepada Samad amat besar ertinya kepada Lefthanded.

“Walaupun Samad sudah meninggal dunia, namun semangat muzik Samad terus hidup bersama-sama Lefthanded.

“Selain itu, konsert ini juga menjadi saluran terbaik untuk kami menyumbang ke arah kebaikan melalui anugerah dalam bermuzik yang dikurniakan Tuhan,” ujarnya yang berjanji.

Penonton pada malam itu bakal dihiburkan dengan alunan lagu-lagu Lefthanded antaranya adalah Seruan, keadilan, Alam Dan Pencipta, Qabul dan Hidup Adalah Perjuangan.

Bagai abang dan adik

Dalam pada itu, Hattan tidak mampu menyembunyikan perasaan keterujaan apabila ditawarkan peluang mengadakan konsert untuk meluahkan apresiasi kepada Lefthanded.

“Tarikan utama untuk saya sertai Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan kerana hendak memeriahkan pentas pada malam itu.

“Lagipun saya dan Lefthanded adalah kawan rapat terutama dengan Man Kidal dan Yan.

“Ini bukan pengalaman pertama saya beraksi bersama-sama mereka, sebaliknya sudah banyak kali.

“Kalau sebelum ini Nash tidak dapat memberi komitmen dengan Lefthanded, saya yang akan menggantikan sementara tempatnya sebagai vokalis.

“Saya tidak pernah memikirkan soal duit apabila melibatkan diri dalam konsert ini, sebaliknya saya anggap ia tidak ubah seperti penyatuan semula dengan rakan-rakan lama.

“Saya tidak sabar untuk menjayakan konsert ini. Ia pasti akan menjadi hebat dan meriah,” ucapnya yang akan menyanyikan sebanyak empat buah lagu.

Bagi Joe pula, Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan bakal menjadi sebuah konsert yang tidak dapat dilupakan dalam ingatan peminat.

“Saya tidak akan buat persembahan dengan Awie, sebaliknya kami akan muncul secara individual.

“Soal untuk mencipta keserasian bukan perkara yang sukar kerana Lefthanded dan kami sudah macam adik dan abang.

“Hubungan kami cukup akrab sejak berbelas tahun lalu. Peluang ini memang cukup saya nantikan. Harap-harap ia sukses,” akhirinya sambil tersenyum.

Sesiapa yang berminat boleh membeli tiket Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan yang berharga RM48, RM68 dan RM88 secara online di http://www.axcess.com atau hubungi 03-77115000.

Kosmo

Konsert Rock Kerohanian 18 April

16 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

DARI kiri; Jamal, Yantzen, Mawi, Amy Search dan Ramli Sarip bakal menjayakan konsert Malam Seribu Karya di Stadium Melawati, Shah Alam.

KEKUATAN pada Konsert Malam Seribu Karya yang bertemakan Rock Rohani bukanlah sekadar mempertaruhkan nama besar yang dianggap ‘otai’ rock, tetapi karya rohani yang bakal dinyanyikan oleh mereka itu sendiri.

Sebelum ini kita sering disajikan dengan lagu-lagu komersial oleh orang lama dalam muzik rock seperti Ramli Sarip, Amy Search, Jamal Abdillah, Yantzen dan pendatang baru Mawi menerusi muzik yang keras tetapi mempunyai mesej pengajaran.

Menerusi Konsert Malam Seribu Karya yang akan berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam pada 18 April ini dilihat bukanlah satu permulaan konsert lagu-lagu berunsur kerohanian ini diperdengarkan kepada masyarakat tetapi bermulanya satu penghijrahan.

Lima nama besar dalam industri muzik tanah air ini akan menjadi penyanyi undangan pada konsert anjuran Karya Hadani Sdn Bhd yang diasaskan sendiri oleh pengasasnya Harun Mat Saat.

Menurutnya, pemilihan rock dalam menyampaikan lagu-lagu berunsur rohani ini bukanlah kerana muziknya tetapi semangat yang diperjuangkan penyanyinya.

“Penganjuran konsert ini bertujuan untuk memberikan mesej positif kepada peminat, selain mahu orang ramai menjadikannya sebagai sumber hiburan berlandaskan kerohanian,’ kata Harun.

Pembabitan lima nama besar dalam konsert ini bukanlah dilihat satu paksaan tetapi jelas keikhlasan sama-sama memperjuangkan bidang muzik dalam konteks positif, melalui perspektif lebih meluas termasuk peranannya dalam pembentukan sahsiah diri serta masyarakat.

Bagi Ramli Sarip, dia menganggap konsert ini bukan satu permulaan buat industri tetapi jalan yang baik untuk melakukan kebaikan.

“Konsert ini mempertaruhkan tema yang baik dan saya menerimanya kerana konsep karya yang akan dipersembahkan bukan saja menyentuh aspek kerohanian tetapi mengenai kehidupan jatuh dan bangunnya seseorang,” katanya.

Amy Search pula melihat tujuan murni menjayakan konsert itu tidak akan dipandang sepi oleh penyanyi lama seperti mereka kerana sudah sampai masanya industri kita mengalami satu pembaharuan oleh orang-orang lama.

“Saya menerimanya konsert rohani ini kerana melihat satu penghijrahan menuju ke jalan kebaikan melalui konsert ini. Semua nama-nama besar yang akan menjayakan konsert ini mempunyai kekuatan dan pengikut masing-masing dan saya percaya konsert ini akan menjadi satu konsert yang besar daripada apa yang saya sangkakan nanti.

Raja Pop, Jamal Abdillah mensyukuri nikmat yang dikurniakan kepadanya akan digunakan ke jalan kebaikan dengan menerima tawaran menjayakan konsert ini.

“Bukan semua manusia dikurniakan anugerah suara yang baik, dan jika seseorang itu dikurniakan suara yang baik alangkah ruginya sekiranya tidak digunakan untuk kebaikan untuk dikongsi bersama,” katanya.

Konsert Malam Seribu Karya pasti menjanjikan kelainan kepada penonton yang hadir datang malam itu, terutama dari segi suasana, pemilihan lagu dan konsep persembahannya.

Semua 14 pemuzik berpengalaman yang mengiringi persembahan pada malam itu sedang sibuk berlatih di bawah pimpinan pengarah muzik, Shaharil Shamsuddin.

Info

Acara: Konsert Malam 1,000 Karya

Tema/Konsep: Rock Rohani

Lokasi: Stadium Malawati, Shah Alam

Masa: 8.30 malam

Penyanyi: Amy Search, Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Mawi, Sham Barongan, Razak Ahmad, Ezam Akar, Ustaz Harun Mat Saat, Nazrey Johany, Yantzen, Rahmat Mega dan Kumpulan Manik.

Tiket: RM60, RM120, RM150 dan RM200

Kaunter Tiket: Karya Hadani Sdn Bhd (No.5, Ground Floor, Jln UP 1/6, Taman Ukay Perdana, Ampang, Selangor) Sungei Wang Plaza, Kompleks Pertama dan Kompleks PKNS Shah Alam

Tempahan/Pertanyaan: 03-41475771/019-3771344/019-2006788

Berita Harian

Konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani

16 Apr


AMY SEARCH

HIBURAN atau irama rock sering dikaitkan dengan sisi hitam. Skeptikal itu masih menebal dalam kalangan segelintir pihak. Namun itu bukanlah satu alasan untuk karyawan rock tidak mahu meneruskan perjuangan mereka.

Berkonsepkan dakwah, konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam. Ia berkisar mengenai perjalanan kehidupan dan visi manusia yang disampaikan menerusi lagu. Idea itu datang daripada penaung Karya Hadani, Harun Mat Saad dan bakal dijayakan oleh artis-artis di bawah naungannya seperti Yantzen, Razak Ahmad, Ezam Akar, Sham Barongan, Rahmad Mega dan kumpulan Manik.

Bagi memantapkan lagi konsert itu, pihak penganjur memilih Mawi, Ramli Sarip, Nazrey Johani, Amy Search dan Jamal Abdillah sebagai artis undangan.

Tempat: Stadium Malawati, Shah Alam.
Tarikh: 18 April 2009
Masa: 9 malam
Tiket: RM60, RM150 dan RM200.
Untuk pertanyaan, hubungi Kit di talian 019-200 6788 atau 03-377 1344

Kosmo

TV9 Kedua Terbaik

15 Apr

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
BIARPUN baru tiga tahun beroperasi, TV9 mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila memberi saingan hebat kepada stesen televisyen di bawah Media Prima Berhad (MPB), 8TV dan ntv7 untuk meraih kedudukan kedua bagi program Melayu di belakang TV3.

Penerbitan program realiti agak unik dan berbeza daripada stesen lain seperti Akademi Al-Quran, Akademi Nasyid, Gadis Melayu dan Idola Kecil, menjadikan TV9 mempunyai kelainan dan lebih dekat di hati penonton Melayu.

Selain itu, siri drama dan program kanak-kanak sama ada dari dalam dan luar negara turut mendapat perhatian terutama siri Upin & Ipin yang berjaya menarik perhatian kanak-kanak.

Ketua Penjenamaan, Pembangunan Perniagaan & Komunikasi Korporat TV9, Noor Amy Ismail, berkata sejak memulakan operasi pada 22 April 2006, stesen berkenaan menunjukkan pencapaian positif.

“Dengan persaingan hebat daripada stesen televisyen sedia ada bukan saja dari MPB malah stesen lain, kami sentiasa berusaha menyiarkan program terbaik menerusi pelbagai rancangan tempatan dan luar negara untuk menarik perhatian mereka.

“Sasaran penonton kini tertumpu kepada tiga kategori utama iaitu kanak-kanak berusia empat hingga 14 tahun, remaja dan belia bekerja berusia 15 hingga 24 tahun dan pasangan keluarga muda lingkungan 25 hingga 34 tahun.

“Dengan cara ini, TV9 memberi lebih tumpuan kepada penghasilan rancangan baru, sekali gus dapat menepati selera penonton,” katanya ketika mengetuai rombongan lawatan TV9 ke Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.

Menerusi kunjungan itu, pihaknya berharap hubungan silaturahim dan kerjasama dengan akhbar kumpulan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP) akan menjadi lebih akrab.

Hadir sama, Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh; Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro, Hartati Hassan Basri; Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar dan Pengarang Hiburan New Straits Times, Melanie Procter.

Menurut Amy, sebagai meraikan sambutan ulang tahun ketiga stesen berkenaan pada 22 April ini, pihaknya turut mengadakan beberapa aktiviti khusus seperti menyiarkan beberapa program baru selain Konsert TV9 Di Hatiku yang julung kali diadakan di Lumut, Perak pada 25 April ini.

 

 

“Selain mempelbagai promosi dan kempen berterusan menerusi televisyen, kami juga merancang mengadakan konsert khas yang disiarkan secara langsung menerusi TV9 menampilkan persembahan artis popular tanah air antaranya Ramli Sarip, Fabulous Cat, Elyana, Aizat dan kumpulan Hujan,” katanya.

Seiring dengan usia tiga tahun, TV9 giat mempromosikan tagline, Tiga Tahun Di Hatiku khas buat penonton setia mereka. Kini TV9 tidak lagi menggunakan tagline Dekat Di Hati, sebaliknya Di Hati kerana dalam tempoh tiga tahun, stesen itu sudah berada di hati penonton.

Beberapa program menarik turut disiarkan seperti Studio Nabil setiap Sabtu, jam 8.30 malam, paparan mengenai perkembangan dunia hiburan tempatan menerusi Galaksi menampilkan pengacara Nadia Shahrul Anuar setiap Jumaat, jam 8.30 malam.

Drama bersiri komedi seram, Caplos disiarkan setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam sejak 4 April, siri Lagenda: Merah Puteh jam 8.30 malam bermula 7 April.

Begitu juga program majalah masakan Ole-Ole Chef Zam dan Fimie yang turut membabitkan kanak-kanak dalam menyediakan pelbagai resipi masakan ringkas dan mudah.

Turut disiarkan program kartun animasi, Perman jam 5.30 petang bermula 5 April serta siri pengembaraan, Monster Kids jam 6 petang. Turut disiarkan secara ekslusif menerusi TV9, siri Upin & Ipin Maraton jam 5.30 petang hingga 7 malam pada 25 April.

Stesen berkenaan turut dikenali menerusi drama menarik seperti Akademi Polis musim ketiga, siri drama terbaru romantik komedi, Zafi & The Beast (Mei). Selain program realiti terbaru seperti Oo La La, gameshow kanak-kanak Hartamania (Jun), Gadis Melayu (Ogos) dan Idola Kecil musim kedua (November).

Selain itu, pada pada Ahad ini, jam 8 pagi hingga 6 petang, satu majlis dinamakan Splish Splash TV9 diadakan di Surf Beach @ Water Park, Sunway Lagoon khusus untuk meraikan media sempena ulang tahun TV9 ke-3.

Pelbagai aktiviti menarik dan menyeronokkan diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan kerjasama di antara TV9 dan rakan media bersama ahli keluarga untuk memeriahkan sambutan ulang tahun TV9.

Program popular TV9, Nasi Lemak Kopi O yang dikendalikan Aziz Desa, Norazean Farrah Adeeba dan Sharifah Nur diadakan secara langsung dari Sunway Lagoon, jam 8 pagi diikuti Apa Ke Halnya bersama Mr Os, Shamsul Ghau Ghau dan Din Beramboi, jam 9.30 pagi. Acara kemuncak ialah majlis memotong kek bersama personaliti TV9.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Tv9: Segar, Anggun, Kontemporari

12 Apr

Rap
APRIL 2009, genap tiga tahun usia TV9. Walaupun masih baru dalam penyiaran, TV9 berjaya meraih 12 peratus penonton Melayu. Ini satu kejayaan walaupun stesen televisyen terlalu baru di kalangan Media Prima Berhad.

Program siaran kami juga selaras dengan tagline terdahulu, ‘Dekat Di Hati’. Setelah tiga tahun bersiaran, kehadiran kami kini mendapat sambutan baik. Penonton menjadi aset kami yang tak ternilai dan mereka sentiasa di hati kami.

Sejurus itu, sebagai penghargaan kepada penonton setia TV9, kami kini ingin dikenali sebagai stesen TV9 Di Hatiku.

Kini, TV9 tampil dengan wajah lebih segar, anggun dan kontemporari menerusi produksi terbitan sendiri, tempatan dan juga antarabangsa. Hampir 60 peratus program hiburan dan majalah diterbitkan mengikut cita rasa penonton seperti Apa Ke Halnya, Galaksi, Chopp, Hip TV, Studio Nabil, Pondok-Pondok, Hartamania, Siapa Pintar, Kes Syariah, Semanis Kurma, Nasi Lemak Kopi O dan Halaqah.

Kami kini lebih fokus dalam usaha memenuhi selera penonton dan pelanggan. Kandungan program kini disasarkan mengikut tiga kelompok penonton utama iaitu kanak-kanak, remaja dan belia bekerja serta pasangan keluarga muda. Paling utama, penekanan kualiti adalah penting bagi kami berbanding kuantiti.

Sebagai hadiah ulang tahun ketiga ini juga, pelbagai program istimewa disediakan sepanjang April ini seperti Studio Nabil setiap Sabtu jam 8.30 malam dan Galaksi secara langsung setiap Jumaat jam 8.30 malam bersama pengacara, Nadia Shahrul Anuar.

Bagi adik-adik pula, kartun animasi Perman setiap Ahad jam 5.30 petang, menyusul pada jam 6 petang Monster Kids. Upin & Ipin yang mendapat sambutan menggalakkan akan disiarkan selama 90 minit iaitu dari jam 5.30 petang menerusi Upin & Ipin Maraton.

Ceplos, sebuah drama komedi seram, bakal menemui penonton tidak lama lagi dengan barisan pelakon handalan, termasuk Kazaruddin bin Saisi (Ipin), Muhammad Shazrin Sazwan (Ceplos) dan Sharifah Sahirah (Ijah).

Lagenda: Merah Puteh mula disiarkan pada 7 April hingga 11 Mei, jam 8.30 malam. Mengisahkan mengenai dua beradik tiri Izwan Shah yang mesra dipanggil Merah (lakonan Zahiril Adzim) dan Nazlee Shah atau Puteh (Wan Elyas) yang berlainan ibu.

Drama penuh emosi tetapi sarat dengan pengajaran ini pasti memikat hati penonton untuk terus duduk di depan TV sehingga episod terakhir.

 

 

Penonton juga berpeluang mempelajari resipi menarik, ringkas dan berkhasiat menerusi Ole-Ole Chef Zam dan Fimie. Kedua-dua hos dibantu oleh rakan cilik Fimie lingkungan enam hingga 12 tahun dengan resipi spagetti bebola daging, kek coklat, cup cake dan popia keju.

Lebih menarik, sempena ulang tahun ketiga TV9, turut diadakan konsert yang diberi nama Konsert TV9 Di Hatiku berlangsung di Lumut, Perak pada 25 April ini. Artis terkenal yang terbabit adalah Ramli Sarip, Wada, Hakim (Idola Kecil), Fabulous Cat, Elyana, Aizat, Joe Fizzow, kumpulan Hujan, Ikhwan dan ramai lagi bersama hos Nabil, Ikhwan dan Nadia.

Satu lagi hadiah istimewa buat penonton iaitu Peraduan Tonton & Menang Skrin. Peraduan ini diadakan pada setiap penghujung telefilem (Skrin Selasa/ Jumaat/ Sabtu/ Ahad) dan pelbagai hadiah menarik disediakan kepada peserta yang menang.

Untuk mengetahui hadiah menarik, pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan rancangan menarik yang disusun sepanjang April ini.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Tiara Jacquelina Pengetua AF7

10 Mar

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penggiat teater, Datin Seri Tiara Jacquelina (gambar) mencipta sejarah baru dalam Akademi Fantasia (AF) apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai pengetua.

Teka-teki pengetua AF musim ketujuh yang menjadi tanda tanya sejak sebulan yang lalu terjawab menerusi episod pertama Diari Akademi Fantasia yang disiarkan di Astro Ria jam 9 malam tadi.

Pelantikan penerbit berusia 41 tahun itu melenyapkan pelbagai spekulasi yang timbul sebelum ini antaranya pemilihan Datuk Sheila Majid serta beberapa nama lain yang turut disebut-sebut, iaitu Anita Sarawak dan Norman KRU.

Tiara yang ditemui di restoran The Courtyard Garden, Bukit Damansara berkata, tidak ada perbezaan antara pengetua lelaki mahupun wanita.

Katanya, wanita juga boleh melakukan apa yang dilakukan golongan lelaki.

“Tiada ada yang mustahil dan aneh apabila saya dilantik sebagai pengetua wanita yang pertama. Saya cuma berharap dapat meninggalkan legasi selepas AF7 berlalu.

“Saya tidak akan melakukan perkara lain, selain daripada AF dan akan memberikan 100 peratus komitmen kepada program ini.

“Saya sedar tanggungjawab ini sangat berat, tetapi banyak yang ingin saya lakukan dalam AF supaya satu sejarah bakal dicipta untuk musim ketujuh,” katanya yang menerima tawaran daripada Astro sejak lima bulan lalu.

Sebelum ini, mereka yang pernah bergelar pengetua ialah Freddie Fernandez untuk musim pertama, Ramli MS (AF2 dan AF6), M Nasir (AF3), Ramli Sarip (AF4) dan Roslan Aziz (AF5).

Konsert mingguan yang akan bermula Sabtu ini di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil bakal menyaksikan 14 peserta bersaing bagi merebut gelaran juara akademi itu yang menyediakan hadiah lumayan, termasuk wang tunai.

Berita Harian