Archive | Ramli Sarip RSS feed for this section

TV9 Kedua Terbaik

15 Apr

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
BIARPUN baru tiga tahun beroperasi, TV9 mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila memberi saingan hebat kepada stesen televisyen di bawah Media Prima Berhad (MPB), 8TV dan ntv7 untuk meraih kedudukan kedua bagi program Melayu di belakang TV3.

Penerbitan program realiti agak unik dan berbeza daripada stesen lain seperti Akademi Al-Quran, Akademi Nasyid, Gadis Melayu dan Idola Kecil, menjadikan TV9 mempunyai kelainan dan lebih dekat di hati penonton Melayu.

Selain itu, siri drama dan program kanak-kanak sama ada dari dalam dan luar negara turut mendapat perhatian terutama siri Upin & Ipin yang berjaya menarik perhatian kanak-kanak.

Ketua Penjenamaan, Pembangunan Perniagaan & Komunikasi Korporat TV9, Noor Amy Ismail, berkata sejak memulakan operasi pada 22 April 2006, stesen berkenaan menunjukkan pencapaian positif.

“Dengan persaingan hebat daripada stesen televisyen sedia ada bukan saja dari MPB malah stesen lain, kami sentiasa berusaha menyiarkan program terbaik menerusi pelbagai rancangan tempatan dan luar negara untuk menarik perhatian mereka.

“Sasaran penonton kini tertumpu kepada tiga kategori utama iaitu kanak-kanak berusia empat hingga 14 tahun, remaja dan belia bekerja berusia 15 hingga 24 tahun dan pasangan keluarga muda lingkungan 25 hingga 34 tahun.

“Dengan cara ini, TV9 memberi lebih tumpuan kepada penghasilan rancangan baru, sekali gus dapat menepati selera penonton,” katanya ketika mengetuai rombongan lawatan TV9 ke Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.

Menerusi kunjungan itu, pihaknya berharap hubungan silaturahim dan kerjasama dengan akhbar kumpulan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP) akan menjadi lebih akrab.

Hadir sama, Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh; Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro, Hartati Hassan Basri; Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar dan Pengarang Hiburan New Straits Times, Melanie Procter.

Menurut Amy, sebagai meraikan sambutan ulang tahun ketiga stesen berkenaan pada 22 April ini, pihaknya turut mengadakan beberapa aktiviti khusus seperti menyiarkan beberapa program baru selain Konsert TV9 Di Hatiku yang julung kali diadakan di Lumut, Perak pada 25 April ini.

 

 

“Selain mempelbagai promosi dan kempen berterusan menerusi televisyen, kami juga merancang mengadakan konsert khas yang disiarkan secara langsung menerusi TV9 menampilkan persembahan artis popular tanah air antaranya Ramli Sarip, Fabulous Cat, Elyana, Aizat dan kumpulan Hujan,” katanya.

Seiring dengan usia tiga tahun, TV9 giat mempromosikan tagline, Tiga Tahun Di Hatiku khas buat penonton setia mereka. Kini TV9 tidak lagi menggunakan tagline Dekat Di Hati, sebaliknya Di Hati kerana dalam tempoh tiga tahun, stesen itu sudah berada di hati penonton.

Beberapa program menarik turut disiarkan seperti Studio Nabil setiap Sabtu, jam 8.30 malam, paparan mengenai perkembangan dunia hiburan tempatan menerusi Galaksi menampilkan pengacara Nadia Shahrul Anuar setiap Jumaat, jam 8.30 malam.

Drama bersiri komedi seram, Caplos disiarkan setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam sejak 4 April, siri Lagenda: Merah Puteh jam 8.30 malam bermula 7 April.

Begitu juga program majalah masakan Ole-Ole Chef Zam dan Fimie yang turut membabitkan kanak-kanak dalam menyediakan pelbagai resipi masakan ringkas dan mudah.

Turut disiarkan program kartun animasi, Perman jam 5.30 petang bermula 5 April serta siri pengembaraan, Monster Kids jam 6 petang. Turut disiarkan secara ekslusif menerusi TV9, siri Upin & Ipin Maraton jam 5.30 petang hingga 7 malam pada 25 April.

Stesen berkenaan turut dikenali menerusi drama menarik seperti Akademi Polis musim ketiga, siri drama terbaru romantik komedi, Zafi & The Beast (Mei). Selain program realiti terbaru seperti Oo La La, gameshow kanak-kanak Hartamania (Jun), Gadis Melayu (Ogos) dan Idola Kecil musim kedua (November).

Selain itu, pada pada Ahad ini, jam 8 pagi hingga 6 petang, satu majlis dinamakan Splish Splash TV9 diadakan di Surf Beach @ Water Park, Sunway Lagoon khusus untuk meraikan media sempena ulang tahun TV9 ke-3.

Pelbagai aktiviti menarik dan menyeronokkan diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan kerjasama di antara TV9 dan rakan media bersama ahli keluarga untuk memeriahkan sambutan ulang tahun TV9.

Program popular TV9, Nasi Lemak Kopi O yang dikendalikan Aziz Desa, Norazean Farrah Adeeba dan Sharifah Nur diadakan secara langsung dari Sunway Lagoon, jam 8 pagi diikuti Apa Ke Halnya bersama Mr Os, Shamsul Ghau Ghau dan Din Beramboi, jam 9.30 pagi. Acara kemuncak ialah majlis memotong kek bersama personaliti TV9.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Tv9: Segar, Anggun, Kontemporari

12 Apr

Rap
APRIL 2009, genap tiga tahun usia TV9. Walaupun masih baru dalam penyiaran, TV9 berjaya meraih 12 peratus penonton Melayu. Ini satu kejayaan walaupun stesen televisyen terlalu baru di kalangan Media Prima Berhad.

Program siaran kami juga selaras dengan tagline terdahulu, ‘Dekat Di Hati’. Setelah tiga tahun bersiaran, kehadiran kami kini mendapat sambutan baik. Penonton menjadi aset kami yang tak ternilai dan mereka sentiasa di hati kami.

Sejurus itu, sebagai penghargaan kepada penonton setia TV9, kami kini ingin dikenali sebagai stesen TV9 Di Hatiku.

Kini, TV9 tampil dengan wajah lebih segar, anggun dan kontemporari menerusi produksi terbitan sendiri, tempatan dan juga antarabangsa. Hampir 60 peratus program hiburan dan majalah diterbitkan mengikut cita rasa penonton seperti Apa Ke Halnya, Galaksi, Chopp, Hip TV, Studio Nabil, Pondok-Pondok, Hartamania, Siapa Pintar, Kes Syariah, Semanis Kurma, Nasi Lemak Kopi O dan Halaqah.

Kami kini lebih fokus dalam usaha memenuhi selera penonton dan pelanggan. Kandungan program kini disasarkan mengikut tiga kelompok penonton utama iaitu kanak-kanak, remaja dan belia bekerja serta pasangan keluarga muda. Paling utama, penekanan kualiti adalah penting bagi kami berbanding kuantiti.

Sebagai hadiah ulang tahun ketiga ini juga, pelbagai program istimewa disediakan sepanjang April ini seperti Studio Nabil setiap Sabtu jam 8.30 malam dan Galaksi secara langsung setiap Jumaat jam 8.30 malam bersama pengacara, Nadia Shahrul Anuar.

Bagi adik-adik pula, kartun animasi Perman setiap Ahad jam 5.30 petang, menyusul pada jam 6 petang Monster Kids. Upin & Ipin yang mendapat sambutan menggalakkan akan disiarkan selama 90 minit iaitu dari jam 5.30 petang menerusi Upin & Ipin Maraton.

Ceplos, sebuah drama komedi seram, bakal menemui penonton tidak lama lagi dengan barisan pelakon handalan, termasuk Kazaruddin bin Saisi (Ipin), Muhammad Shazrin Sazwan (Ceplos) dan Sharifah Sahirah (Ijah).

Lagenda: Merah Puteh mula disiarkan pada 7 April hingga 11 Mei, jam 8.30 malam. Mengisahkan mengenai dua beradik tiri Izwan Shah yang mesra dipanggil Merah (lakonan Zahiril Adzim) dan Nazlee Shah atau Puteh (Wan Elyas) yang berlainan ibu.

Drama penuh emosi tetapi sarat dengan pengajaran ini pasti memikat hati penonton untuk terus duduk di depan TV sehingga episod terakhir.

 

 

Penonton juga berpeluang mempelajari resipi menarik, ringkas dan berkhasiat menerusi Ole-Ole Chef Zam dan Fimie. Kedua-dua hos dibantu oleh rakan cilik Fimie lingkungan enam hingga 12 tahun dengan resipi spagetti bebola daging, kek coklat, cup cake dan popia keju.

Lebih menarik, sempena ulang tahun ketiga TV9, turut diadakan konsert yang diberi nama Konsert TV9 Di Hatiku berlangsung di Lumut, Perak pada 25 April ini. Artis terkenal yang terbabit adalah Ramli Sarip, Wada, Hakim (Idola Kecil), Fabulous Cat, Elyana, Aizat, Joe Fizzow, kumpulan Hujan, Ikhwan dan ramai lagi bersama hos Nabil, Ikhwan dan Nadia.

Satu lagi hadiah istimewa buat penonton iaitu Peraduan Tonton & Menang Skrin. Peraduan ini diadakan pada setiap penghujung telefilem (Skrin Selasa/ Jumaat/ Sabtu/ Ahad) dan pelbagai hadiah menarik disediakan kepada peserta yang menang.

Untuk mengetahui hadiah menarik, pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan rancangan menarik yang disusun sepanjang April ini.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Tiara Jacquelina Pengetua AF7

10 Mar

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penggiat teater, Datin Seri Tiara Jacquelina (gambar) mencipta sejarah baru dalam Akademi Fantasia (AF) apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai pengetua.

Teka-teki pengetua AF musim ketujuh yang menjadi tanda tanya sejak sebulan yang lalu terjawab menerusi episod pertama Diari Akademi Fantasia yang disiarkan di Astro Ria jam 9 malam tadi.

Pelantikan penerbit berusia 41 tahun itu melenyapkan pelbagai spekulasi yang timbul sebelum ini antaranya pemilihan Datuk Sheila Majid serta beberapa nama lain yang turut disebut-sebut, iaitu Anita Sarawak dan Norman KRU.

Tiara yang ditemui di restoran The Courtyard Garden, Bukit Damansara berkata, tidak ada perbezaan antara pengetua lelaki mahupun wanita.

Katanya, wanita juga boleh melakukan apa yang dilakukan golongan lelaki.

“Tiada ada yang mustahil dan aneh apabila saya dilantik sebagai pengetua wanita yang pertama. Saya cuma berharap dapat meninggalkan legasi selepas AF7 berlalu.

“Saya tidak akan melakukan perkara lain, selain daripada AF dan akan memberikan 100 peratus komitmen kepada program ini.

“Saya sedar tanggungjawab ini sangat berat, tetapi banyak yang ingin saya lakukan dalam AF supaya satu sejarah bakal dicipta untuk musim ketujuh,” katanya yang menerima tawaran daripada Astro sejak lima bulan lalu.

Sebelum ini, mereka yang pernah bergelar pengetua ialah Freddie Fernandez untuk musim pertama, Ramli MS (AF2 dan AF6), M Nasir (AF3), Ramli Sarip (AF4) dan Roslan Aziz (AF5).

Konsert mingguan yang akan bermula Sabtu ini di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil bakal menyaksikan 14 peserta bersaing bagi merebut gelaran juara akademi itu yang menyediakan hadiah lumayan, termasuk wang tunai.

Berita Harian

Rosli Mohalim Buat Single

27 Feb


ALBUM yang memuatkan
empat single ciptaan Rosli
kini sudah berada di pasaran.

Gitaris Sweet Charity terbitkan album sulung lagu ciptaannya

SELEPAS bertahun membina nama sebagai anggota kumpulan Sweet Charity sebagai pemain gitar bass, Rosli Mohalim kini tampil sebagai pemuzik bebas dengan menjadi penerbit dan komposer untuk beberapa penyanyi tempatan.

Ini bukan bermakna dia meninggalkan kumpulan rock ternama di Malaysia dan Singapura itu, sebaliknya mahu menyalurkan pengalaman yang ada kepada generasi seterusnya.

Dia kini berjaya menerbitkan album sulung mengandungi empat lagu yang dinyanyikan oleh vokalis Spring, Ameng; penyanyi Slam, Zamani; Yabang dari kumpulan Jinbara selain bakat baru, Nura.

Ameng menyanyikan lagu Dimanakah Salahku, Zamani dengan lagu Aku Ingin Berkata, manakala Satu Alam untuk Yabang, manakala Nura pula membawakan lagu Teraasa.

Semua lagu itu adalah hasil karya Rosli sendiri manakala lirik untuk lagu Dimanakah Salahku, Aku Ingin Berkata dan Terasa ditulis bersama Rosalina. Keempat-empat single itu dimuatkan dalam album berjudul RS – Rosli Mohalim. Ia juga turut memuatkan empat minus one yang dipetik daripada lagu berkenaan.

“Ketika bersama Sweet Charity atau menjadi pemuzik bebas, saya memang sudah ada mencipta banyak lagu. Tetapi tidak sempat untuk dirakamkan. Biarpun tidak sibuk dengan Sweet Charity, tetapi saya kerap menjadi sessionist atau pemuzik undangan untuk membuat persembahan di sekitar Singapura.

“Hanya selepas lima atau enam tahun kemudian, saya berehat daripada menjadi sessionist untuk memberi tumpuan penerbitan album iaitu merakamkan lagu-lagu ciptaan saya,” katanya sambil menjelaskan album itu sudah berada di pasaran.

Rosli Mohalim atau nama sebenarnya Rosli Dollah dilahirkan di Singapura pada tahun 1954. Mendapat pendidikan seni dari Akademi Seni Nanyang, Singapura yang pernah melahirkan insan seni seperti M Nasir dan S Amin Shahab.

Mula meminati muzik seawal usia 12 tahun, Rosli mendapat tunjuk ajar tidak formal dari Mohd Fadglon. Dari hanya bermain dengan gitar ‘tong’, Rosli beralih kepada gitar elektrik dan bersama-sama rakannya berlatih di studio jamming di Singapura. Ketika itu dia banyak terpengaruh dengan muzik The Beatles, The Bee Gees selain biasa mendengar muzik Deep Purple.

Bahkan dia juga meminati bank rock lain seperti Grand Funk, Black Sabbath, Led Zeppelin, Santana dan Bad Company. Ketika Rosli dan rakan-rakannya bermain di sebuah kelab, tanpa disedari Sweet Charity juga membuat persembahan di tempat sama.

Melihat kepada kemahiran dan bakatnya, Ramli Sarip dan Rahman Sabrani mempelawa Rosli menyertai Sweet Charity. Rosli Mohalim mengalami kejutan bukan saja dengan pelawaan itu tetapi juga diminta bermain gitar bass untuk Sweet Charity.

Tidak lama selepas itu, Rosli bersama Sweet Charity membuat persembahan di The National Theatre. Apabila A Ali yang menggalas selama ini tugas gitaris meninggalkan Sweet Charity, tempatnya segera diisi oleh Rosli.

Sepanjang bersama Sweet Charity, Rosli turut terbabit menghasilkan lima album iaitu Pelarian, Penunggu, Batu dan Berita Gempa.

“Hubungan kami dalam anggota Sweet Charity tidak pernah putus. Kalau ada permintaan untuk membuat sesuatu persembahan, semua anggota Sweet Charity akan bergabung semula.

“Tapi jika tiada apa-apa, anggota kumpulan ini membuat aktiviti masing-masing. Sebab itulah saya sekarang cuba menghasilkan album berdasarkan lagu-lagu ciptaan saya sendiri,” kata Rosli yang kini berhijrah ke Kuala Lumpur.

Dia bersama isterinya, Maznah Yunus menetap di Setapak bersama-sama anak tunggal mereka, Muhammad Afiq yang kini menjadi pelajar jurusan muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Rosli yang kini memiliki Double Neck Studio hasil perkongsian dengan rakannya, Yeop Fadhil berkata, semua lagu itu pada keseluruhannya mempunyai sentuhan muzik rock atau pop rock bersesuaian dengan latar belakang dirinya selain vokal penyanyi.

“Sudah tentu sentuhan rock tidak boleh dipisahkan. Apatah lagi saya sendiri datang daripada sebuah kumpulan muzik rock.

“Saya percaya muzik rock masih ada pengikutnya lagi. Terima kasih kepada Ameng, Slam dan Yabang untuk menyanyikan single yang saya buat. Berbulan-bulan juga untuk menyiapkan album ini dan saya harap peminat muzik boleh menerimanya,” katanya.

Dalam pada itu, Rosli Mohalim boleh ditemui oleh peminat Sweet Charity dalam Jelajah Promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABOBH) 2008 di Village Mall dan Kelab Cinta Sayang, kedua-duanya Sungai Petani, esok dan lusa.

Rosli juga turut menjadi juri untuk program Bintang Idola Berita Harian (BIBH) yang dibuka kepada 100 peserta sepanjang promosi ABPBH 2008 di sana nanti.

Berita Harian

Keluhan Hati Erma Fatima

5 Feb

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


ERMA sanggup pergi ke Palestin untuk menghulurkan bantuan walaupun perang sedang meletus.

PADA wajahnya jelas ada riak kekecewaan. Selepas diselidiki, rupa-rupanya pengiat seni tanah air yang dikenali dengan nama Erma Fatima sedikit terkilan dengan sikap karyawan seni tanah air.

Dia sebenarnya kecewa dengan sambutan golongan artis terhadap upacara solat hajat yang diadakan sempena Doa Buatmu Palestin baru-baru ini.

Upacara tersebut sepatutnya disertai ramai penggiat seni di Malaysia yang bukan sedikit jumlahnya, namun yang hadir hanya kira-kira 100 orang termasuk tetamu kenamaan, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafei Apdal.

“Saya amat gembira dengan perjalanan malam Doa Buatmu Palestin selama dua hari berturut-turut, cuma saya kurang berpuas hati dengan upacara solat hajat yang dibuat di lobi Istana Budaya.

“Sepatutnya solat hajat itu disertai oleh lebih ramai karyawan seni. Perkara ini amat menyedihkan saya. Yang saya lihat turut serta dalam solat hajat itu ialah Linda Onn dan Rabbani.

“Entahlah, saya tidak tahu ke mana perginya artis-artis lain termasuk generasi muda,” luah Erma hampa.


RABBANI juga tidak ketinggalan memberi sokongan seratus peratus untuk majlis amal ini.

Melupakan seketika kedukaan yang dialami, Erma menjelaskan, dia berterima kasih kepada golongan selebriti yang turut meluangkan waktu menghadiri acara Doa Buatmu Palestin.

“Bayangkan, artis-artis yang hadir membuat persembahan tidak diberikan sebarang bayaran apatah lagi wang sagu hati, tetapi mereka tetap datang untuk membabitkan diri dalam majlis amal.

“Tiada sebarang keluhan kerana mereka beranggapan soal bayaran tidak menjadi keutamaan,” tambah Erma yang bertindak selaku Pengerusi Doa Buatmu Palestin.

Diadakan selama dua hari, bermula pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam, setiap waktu terisi dengan pelbagai aktiviti seperti solat hajat, karnival jualan, mengaji, berzikir, selawat, bacaan puisi, konsert Palestin serta pameran.

Sebanyak 100 buah gerai dibuka di pekarangan Laman Santai yang juga disertai oleh artis-artis seperti Awal Ashaari, Rebecca Nur Islam, Maya Karin, Umie Aida, Linda Onn, Julia Ziegler, Enot, Rubiah Suparman, Ayati Tasrip dan lain-lain.

Artis yang terbabit dalam lelongan amal pula terdiri daripada Aleeza Kassim, Amy Mastura, Erra Fazira, Fazli Zainal, Fahrin Ahmad, Nur Fazura, KRU, Liyana Jasmay, Melissa Saila, Umie Aida, Zahida Rafik, Rosyam Nor dan Vanidah Imran.

Majlis turut diserikan dengan persembahan artis seperti Rabbani, Fazli Zainal, Betty Banafe, Aqasha, Salwa Abdul Rahman, Sarah Raisuddin, Ezlynn, Siti Fairuz, Noryn Aziz, Raihan, Jamal Abdillah dan Ramli Sarip.


TIGA pendeklamator puisi kebangsaan, (dari kiri), Tengku Khalidah Tengku Bidin, Leftenan Kolonel Radzi Abdul Hamid dan ASP Rosebaini Kassim mendeklamasikan sajak mereka sambil diiringi petikan gitar, Asman Hashimie Abdullah.

Pereka-pereka fesyen tempatan seperti Albert King, Jovian Mandagie, Micheal Ong, Calvin Thoo, Radzuan Radziwill dan lain-lain turut hadir membuat jualan di gerai masing-masing.

“Semua hasil keuntungan barang yang dijual di gerai artis-artis dan sumbangan pengunjung dimasukkan terus ke dalam dana Tabung Kutipan Palestin.

“Pada hari pertama acara ini diadakan, saya telah mengutip derma sebanyak RM50,000. Dicampurkan dengan malam seterusnya, sumbangan keseluruhan yang diperoleh dianggarkan hampir mencecah RM100,000.

“Tiada yang lebih membahagiakan saya dengan jumlah wang yang diperoleh untuk tempoh dua hari.

“Saya bersyukur sangat sebab rancangan bagi menjayakan Doa Buatmu Palestin bersama-sama artis lain, berjaya menampakkan hasil yang membanggakan,” tutur Erma teruja.

Buktikan artis turut prihatin

Sebenarnya Erma terpanggil untuk turut menjadi sukarelawan membantu rakyat Palestin yang dizalimi Zionis ekoran gurauan seorang teman.

Teman yang dimaksudkannya ialah Datuk Shazally Ramli yang menegaskan kepada Erma bahawa golongan artis tidak memiliki kekuatan untuk menjadi sukarelawan membantu penduduk Palestin.

Tidak menganggap gurauan itu sekadar satu usikan nakal, sebaliknya ia jadi pembakar semangat buat Erma untuk direalisasikan kepada khalayak bahawa selebriti juga mampu mempamerkan sumbangan jika diperlukan.


JAMAL mendendangkan lagu Seroja dengan penuh emosi.

Menurut Erma, pada awalnya dia terkejut dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom itu kononnya golongan artis sekadar melihat begitu sahaja konflik di Gaza tanpa dapat memberikan apa-apa sumbangan termasuk menjadi sukarelawan Malaysia ke Semenanjung Gaza.

“Saya sedar bukan senang untuk jadi seorang sukarelawan. Apabila sampai sahaja di negara itu, sudah pasti kita sendiri akan berasa terkejut melihat situasi sebenar.

“Berhadapan dengan realiti melihat insan termasuk kanak-kanak yang terbunuh dan cedera parah, kita tidak mampu untuk berdepan dengan situasi genting itu.

“Saya percaya tidak semua selebriti mementingkan diri, sebaliknya saya memiliki beberapa sahabat yang teruja untuk mengambil bahagian sebagai sukarelawan ke Semenanjung Gaza.

“Saya tidak terguris dengan kata-kata Shazally, sebaliknya saya anggap ia sebagai cabaran terbesar untuk saya membuktikan artis juga boleh menjadi sukarelawan,” kata Erma semasa ditemui pada majlis itu.

Bukan calang-calang sumbangan, sebaliknya ia memerlukan sepenuh kekuatan mental dan fizikal apatah lagi mendalami perkara baru yang melibatkan soal korban nyawa dan insan mengalami cedera parah.

Mengimbas detik dia diusik oleh Shazally, Erma berkata, tokoh korporat itu sengaja mahu menyakat dirinya setelah dia menguar-uarkan tentang karnival kebajikan yang ingin dilaksanakan.

Barangkali naluri Erma yang penuh sifat kemanusiaan dan kesejagatan, terus tersentuh dengan usikan daripada rakan.

Lantaran itu, Erma mengambil keputusan untuk menubuhkan ‘tentera’ khas yang merupakan sukarelawan artis.

“Untuk permulaan, saya akan melatih jawatankuasa Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan.

“Mereka yang bakal dilatih ini tidak hanya terhad membantu mangsa serangan Israel di Gaza, sebaliknya berperanan untuk memberi pertolongan jika ada bencana alam di negara sendiri.

“Saya akan cuba mendapatkan khidmat doktor pakar untuk melatih pasukan sukarelawan saya tentang langkah-langkah yang betul bagi memberi pertolongan cemas dan bantuan kepada mangsa yang terlibat dalam kekejaman di Gaza.

“Mudahlah sedikit kalau sudah ada sukarelawan sendiri yang dapat hulurkan bantuan pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan keadaan,” tegas Erma.

Ditanya masa yang sesuai untuk pasukan sukarelawan artis ditubuhkan, lekas sahaja jawab Erma: “Saya bakal melaksanakan perkara ini dalam tempoh terdekat.

“Saya mahu buang persepsi masyarakat tentang artis yang dikatakan hanya tahu jadi ‘penyeri’ jika menghadiri upacara berkaitan kebajikan ataupun sukarelawan.”

Bukan gila publisiti

Bukan hanya mencari sukarelawan untuk dilatih, sebaliknya Erma sendiri menjadi orang pertama yang menawarkan diri bergelar sukarelawan.

“Saya sanggup pergi ke sana menghulur bantuan walaupun waktu itu wilayah itu sedang berperang,” jelas Erma.

Mungkin ada yang berpendapat Erma hanya tahu mencanang dan beranggapan kata-katanya tidak lebih sebagai omongan kosong.


LAGAK Erra sewaktu mahu melelong koleksi baju miliknya.

Erma bagaimanapun pasrah dan akur dengan penilaian negatif manusia lain yang suka merendah-rendahkan dirinya.

“Jika masih ada sesetengah pihak yang mendakwa saya suka bercakap lebih, saya tidak tahu apa lagi hendak dikatakan kepada mereka.

“Cuba bagi bukti yang kukuh. Apa yang pernah saya cakap sebelum ini yang tidak direalisasikan?

“Saya berupaya menubuhkan Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia yang punya fungsi tersendiri dalam industri seni.

“Banyak perkara sudah saya lakukan dalam hidup ini. Lantas, tiada istilah saya hanya pandai cakap tanpa mengaplikasikan setiap pertuturan saya.

“Saya tidak gila publisiti murahan atau ingin dikenali sebagai individu yang suka cakap lebih, sebaliknya ini adalah tanggungjawab saya untuk mencari orang yang boleh menjadi sukarelawan.

“Kalau saya hendak publisiti, saya boleh laksanakan dalam pengarahan saya. Jadi tidak timbul langsung saya hendak publisiti,” luah Erma dalam lontaran suara yang cukup tenang.

Erma mengakui, kalau dalam tahun 2009 masih belum terbentuknya kumpulan sukarelawan, maka wartawan berhak melabelkan dia sebagai individu yang suka cakap berlebihan.

Kosmo

Israel Terus Dibidas

5 Feb

Oleh Nazmi Yaakub

GIMIK teater kanak-kanak Bingkas Kebayan pada Malam Puisi Di Bawah Langit Gaza.

Kemarahan umat Islam tidak reda meskipun selepas gencatan senjata

SERANGAN ganas tentera Israel ke Gaza meskipun reda, tetapi kemarahan umat dunia termasuk Malaysia terhadap kekejaman rejim Zionis itu tidak mungkin surut seperti tergambar pada Malam Baca Puisi Palestin: Di Bawah Langit Gaza.

Sentimen ini dikongsi penyair dan pengarang untuk dikongsi dengan tetamu serta khalayak majlis anjuran persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Yayasan Salam dan TV9 di Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Protes rakyat di negara ini terhadap keganasan dan kebiadapan negara samseng nombor satu dunia tidak hanya mengalir di jalan raya, bahkan turut meletup di pentas puisi dalam bentuk deklamasi serta alunan lagu puisi.

Tidak ada gambaran puitis yang lengkap menceritakan penderitaan umat Islam di Gaza kecuali puisi yang dihasilkan rakyat jiran Palestin, Lubnan yang diterjemah dan dibacakan oleh pengacara TV9, Farah Adeeba Mohd Ashraff .

Episod kecil tetapi bermakna mengenai rumah yang lampunya pecah, perkelahan tanpa tawa, air mata yang tidak sempat jatuh ke bumi, susu kibash yang tidak diminum dan roti yang tidak disuap ke 10 mulut kecil sudah cukup menggambarkan kesengsaraan mereka.

Aku ingin bercerita mengenai kunci yang tidak mampu membuka pintu

sebuah bilik darjah yang tiada muridnya

sebuah taman yang kaku dan sepi

buku-buku yang tidak dibaca

sebuah ladang ditinggal sunyi dan buahnya terbiar reput.

Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan 1996, Ahmad Shukri Abdullah, membacakan puisinya, Ah… Mereka, membidas Amerika Syarikat (AS) yang bersekongkol dengan Israel untuk mengatur politik dunia demi mengelabui pandangan dunia terhadap kekejaman negara Yahudi itu.

Langit Gaza menjadi saksi

betapa Zionis Yahudi yang mereka rai

menjadi penjenayah perang sekali gus pemusnah zuriat

dari muncung senjata meledak sengketa

dari cabang lidah menjulur nista

dari ubun kepala tanpa minda menyala bara neraka.

Kemarahan Ahmad Shukri dikongsi penyair Pahang, Teo Win Sin yang meneriakkan puisi Tanggalkan Topeng Kau Itu dengan mengutuk dan menyumpah kekejaman regim Israel sehingga luahannya itu tidak berlapik lagi, seolah-olah ia kalimah terbaik bagi menggambarkan kejahatan.

Kita dahagakan aman kembali

kita sedia melihat Israel

dilaknat suatu hari nanti

tanggalkan topeng kau itu

ajal kau akan sampai tak lama lagi.

Pensyarah Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia, Raja Rajeswari Seetha Raman, membacakan puisinya, Bicara Sukma Palestina Kepada Warga Buana, dalam memecahkan tembok ras umat Palestin, bagi membuktikan simpatinya pada negara itu.

Meskipun pakaian kezaliman semakin basah

meskipun luka sukma semakin bernanah

aku masih setia memburu

sejalur pelangi muda di simpang pulang!

Presiden Dunia Melayu Dunia Islam yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam tidak ketinggalan membacakan puisinya, Tangisan Gaza, yang memberi gambaran luka pada wajah Gaza.

Langit Gaza adalah debu

dari bom dan mortar

sedang bumi jadi padang

peluru dan kereta kebal

di rumah tua yang runtuh

seorang anak kecil menangis

meminta susu dari ibu.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Othman Mohamad; Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda; Pegawai Operasi Yayasan Salam, Md Ghani Ibrahim dan Timbalan Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad.

Malam baca puisi itu turut dimeriahkan dengan bacaan puisi oleh Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, Datuk Norbahyah Mahmud, Sutung Umar RS, Khalid Salleh, Puzi Hadi, Aziz Desa, Khairun Nasriah Abdul Salam, Nora, Siti Saerah Tarudin, Siti Saida Tarudin, Azri Zahier dan Fimie, selain persembahan teater Bingkas Kebayan serta nyanyian lagu puisi oleh Ramli Sarip, Kopratasa, Jai dan Sofaz.

Berita Harian

Erma Cadang Tubuh Sukarelawan

4 Feb

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
SEKADAR meluahkan simpati dan melihat dari jauh penderitaan warga Palestin yang menjadi mangsa kekejaman tentera Israel di Semenanjung Gaza, tidak akan mengubah nasib mereka yang malang itu.

Justeru, atas dasar kemanusiaan sejagat, Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia (YSKPM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Istana Budaya (IB) dan lebih 150 penggiat seni tanah air bergabung merealisasikan misi amal yang dinamakan Doa Buatmu Palestin.

Ia berlangsung selama dua hari di Laman Baiduri, bermula Sabtu lalu khusus mengumpul dana bagi mengisi Tabung Palestin.

Ternyata, hujan renyai-renyai, diikuti hujan lebat sejak jam 6 petang kelmarin tidak sedikit pun mematahkan semangat artis tempatan dan AJK YSKPM untuk meneruskan misi yang cukup mulia itu berjalan lancar seperti direncanakan.

Malah, kempen itu juga berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung membanjiri Laman Baiduri IB sepanjang dua hari kempen itu berlangsung. Antara yang menjadi tumpuan ialah persembahan artis dan acara lelong barangan selebriti.

Presiden YSKPM, Erma Fatima Rahmad, berkata, kutipan sepanjang dua hari kempen itu hampir mencecah RM100,000 dan ia akan disalurkan ke Tabung Palestin di Wisma Putra.

“Kejayaan kempen ini kerana kerjasama barisan artis tempatan yang bersusah- payah menjayakan acara ini tanpa sebarang bayaran. Pada hari pertama, kutipan yang terkumpul dari jualan tapak gerai ialah RM30,000 dan sumbangan orang persendirian RM18,000. Kutipan terus meningkat pada hari kedua.

“Saya cuma tidak puas hati dengan majlis solat hajat yang dianjurkan pada malam penutup ini yang tidak mendapat sambutan golongan artis dan penggiat seni berbanding persembahan hiburan,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Erma berkata, pihaknya bercadang menubuhkan jawatankuasa tentera yang juga pasukan sukarela khusus yang membabitkan golongan artis pada tahun ini.

“Idea itu timbul ketika saya menghantar kertas cadangan kempen ini kepada Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly sebelum ini.

“Saya berasa tercabar apabila beliau memberitahu Gaza bukanlah tempat untuk mengambil gambar apabila kami turut menawarkan diri ke Gaza membantu penduduk Palestin di sana.

“Justeru, saya bercadang menubuhkan jawatankuasa ini secepat mungkin sebagai pasukan sukarela yang bersedia untuk berhadapan dengan sebarang bencana.

“Saya juga tidak mahu artis yang terbabit hanya jadi penyeri sebaliknya mereka dilengkapi dengan latihan dan kemahiran yang lengkap terlebih dulu. Ini kerana saya tidak mahu pihak luar meragui kemampuan golongan artis.

“Saya sendiri menawarkan diri untuk ke sana dan kami juga memerlukan penyertaan profesional seperti doktor untuk membantu misi ini nanti,” katanya.

Malam penutup kempen disemarakkan dengan kehadiran Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.

Antara artis popular yang mengambil bahagian dalam kempen itu ialah penyanyi Noryn Aziz. Kesibukan merencana agenda seni termasuk memenuhi undangan persembahan di dalam dan luar negara tidak menghalang penyanyi jelita ini untuk mengambil bahagian.

Pada malam penutup, Noryn menyampaikan satu lagu Inggeris, Greatest Love Of All yang dipopularkan Whitney Houston.

“Sebagai penyanyi, saya menggunakan bakat yang dianugerahkan Tuhan ini untuk menghiburkan pengunjung sekali gus menyemarakkan kempen ini.

“Saya juga mengikuti perkembangan menyedihkan di Gaza sejak awal lagi. Mungkin saya hanya berpeluang menyampaikan satu lagu kerana masa tidak mengizinkan tetapi saya berharap ia sebagai tanda sokongan padu kepada kerja amal ini,” katanya.

Penyampai radio Sinar FM dan pengacara, Linda Onn pula tidak ketinggalan turun padang menjayakan kempen amal itu sejak hari pertama karnival berlangsung.

“Semuanya bermula apabila saya menonton berita kekejaman di Palestin pada jam 3 pagi menerusi saluran CNN selepes 15 hari pencerobohan itu berlaku. Saya berasa cukup sedih melihat kanak-kanak kecil yang sebaya dengan anak saudara saya dibunuh dengan kejam sekali.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus tampil ke depan untuk bersama artis lain menjayakan misi kemanusiaan ini.

Selepas menjayakan karnival dan lelongan amal anjuran Anugerah Bintang Popular, Berita Harian 2008 untuk mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza, Sabtu lalu, saya terus berkampung di IB pula untuk menjayakan misi YSKPM,” katanya.

Linda berkata, dia juga membuka gerai nasi ayamnya, My Mom’s Chicken Rice di Laman Baiduri IB sempena kempen itu.

“Sebahagian hasil jualan kutipan ini diserahkan kepada Tabung Palestin. Saya sekeluarga juga jayakan solat Maghrib, Hajat dan bacaan Yasin pada malam penutup untuk kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya

“Terdahulu, pada hari pertama, saya tampil ke pentas untuk membantu meleong baju Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang menjual bajunya untuk kempen berkenaan,” katanya. Acara lain yang menjadi tumpuan pada malam penutup itu ialah melelong baju penyanyi Erra Fazira dan Jamal Abdillah. Dalam keadaan sarat mengandung lapan bulan, Erra tetap hadir ditemani suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Pada malam itu, Erra berjaya melelong dua bajunya iaitu rekaan Tom Abang Saufi dengan bidaan RM130 dan satu lagi gaun berwarna merah yang dibida paling tinggi oleh pelakon Zarina Zainuddin dengan harga RM200.

Manakala Jamal yang turut menyampaikan lagu Seroja pada malam itu berjaya melelong jaket miliknya dengan harga bidaan RM350 dan but dengan harga RM250.

Artis lain yang turut melelong barangan milik mereka, Zahida Rafik, Umie Aida, Aleeza Kassim, Tengku Azura, Julia Ziegler, Betty Banafe, Fazli Zainal, Que Haidar, Awal Ashaari, Vanidah Imran, Ika Fancy dan kumpulan jurusolek terkemuka, Izatt Artistic Team (IAT).

Tidak lengkap penganjuran kempen amal tanpa persembahan hiburan daripada artis popular antaranya Fazley, Ramli Sarip, Salamiah Hassan, Rabbani, Ning Baizura, Siti Sarah, Ezlynn, Dafi, Fazli Zainal dan Amy Search.

Tarikan lain ialah 102 gerai artis yang disertai peminat dan menjual pelbagai jualan seperti makanan dan keperluan harian. Artis lain yang hadir memberikan sokongan ialah Dynas Mokhtar, Maya Karin, Baharuddin Omar serta gandingan Fara Fauzana dan Sazzy Falak selaku pengacara majlis.

Harian Metro