Archive | Reshmonu RSS feed for this section

MUH Terus Dapat Sorakan

24 Apr


PERSEMBAHAN Meet Uncle Hussain sentiasa dinantikan peminat mereka.

Jelajah promosi AIM16 diteruskan ke lokasi terakhir di Pulau Pinang

ROMBONGAN kempen jelajah promosi sempena Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-16 (AIM16) mendapat sambutan menggalakkan ketika mereka berkunjung ke Village Mall, Sungai Petani, minggu lalu.

Deruan enjin daripada 15 motosikal berkuasa tinggi dari kelab Northern Bikers yang mengiringi perjalanan rombongan artis dari Hotel Seri Malaysia, Sungai Petani ke pusat membeli belah itu ternyata menarik perhatian orang ramai.

Antara barisan penyanyi yang turut serta dalam rombongan jelajah promosi AIM16 adalah kumpulan Hujan, Meet Uncle Hussain, Nrocinu, Wildan, All One dan Dina. Semuanya adalah antara finalis AIM16.

Turut memeriahkan acara di Village Mall ialah penampilan penyampai HotFM, Anne dan Nadia dari FlyFM. Kedua-duanya bertindak selaku pengacara sepanjang acara ini berlangsung.

Sikap mesra peminat menjadikan suasana dalam kompleks membeli belah ini kelihatan meriah, lebih-lebih lagi apabila mereka dapat bertemu sendiri dengan penyanyi atau kumpulan pujaan masing-masing seperti Hujan dan Meet Uncle Hussain.

Selain daripada sesi bertemu peminat muzik, penyanyi atau kumpulan terbabit dalam jelajah ini turut menghiburkan pengunjung dengan gaya tersendiri.

Ternyata aksi mereka mendapat sambutan sangat memberangsangkan daripada peminat. Kemunculan Meet Uncle Hussain menyanyikan lagu popular mereka iaitu Lagu Untukmu dan La La La Kerjalah menerima sorakan yang cukup meriah daripada peminat. Ini tidak menghairankan kerana kumpulan itu baru dipilih peminat sebagai Kumpulan/Artis Duo Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008).

Sebagai penyeri acara siri Jelajah Promosi AIM16 juga, peminat setempat turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah di atas kesudian mereka untuk turut serta dalam pelbagai acara yang diatur oleh penganjur.

Semua hadiah adalah sumbangan daripada ntv7 sebagai stesen penyiar rasmi selain HotFM dan FlyFM, kedua-duanya menjadi radio rasmi bagi AIM16.

Program jelajah promosi AIM16 turut mendapat tajaan pengangkutan daripada Sinarmas Travel & Tours, manakala Hotel Seri Malaysia pula menjadi penginapan rasmi bagi anggota rombongan ini.

Bagi peminat yang terlepas peluang untuk bersama finalis AIM16 di Sungai Petani, jangan ketinggalan untuk menyaksikan penutup siri jelajah ini di pusat membeli belah QueensBay Mall, Pulau Pinang, esok (25 April) jam 2.30 petang.

Barisan penyanyi dan kumpulan muzik yang bakal muncul di QueensBay Mall nanti ialah Shila (OIAM), Ayu Damit, Alyah, Pak Long, Dina, Nrocinu, Karen Nunis Blackstone, Shal Shagan, Reshmonu, Deja Vodoo Spells, Nice dan Bob.

Malam kemuncak AIM16 akan berlangsung pada 2 Mei 2009 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan disiarkan secara langsung di ntv7 selain boleh diikuti menerusi HotFM dan FlyFM.

Bagi mereka yang berminat untuk menyaksikan AIM16 secara ’live’, tiket boleh didapati dengan harga RM50 setiap satu dan untuk keterangan lanjut boleh menghubungi 0340445388.

Berita Harian

Advertisements

Kebanggan Estranged

6 Apr

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
MENDAHULUI dengan lapan pencalonan, kumpulan Estranged berasakan satu penghormatan apabila album terbaru dihasilkan Remain Unknown mendapat pengiktirafan juri yang mengadili Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16).

Apatah lagi pencalonan turut diterima dalam kategori utama termasuk dua lagu Melayu iaitu Aurora dan Yang Pernah.

Remain Unknown dicalonkan untuk kategori Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Lagu Rock Terbaik (menerusi lagu Aurora dan Yang Pernah), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (untuk lagu Dances of The Spirit dan In No Time), Album Inggeris Tempatan Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (menerusi lagu Aurora).

Ditemui pada majlis sidang akhbar mengumumkan lima peserta terbaik AIM16 di Hotel Concorde, baru-baru ini, Andy mewakili anggota Estranged bangga apabila album dihasilkan itu memperoleh pencalonan pada majlis anugerah paling prestij di tanah air.

“Apa yang saya katakan ini mungkin dianggap ‘klise’ tetapi dicalonkan dalam lapan kategori sudah dianggap satu kemenangan besar bagi Remain Unknown.

“Begitupun kami tidak menaruh harapan tinggi untuk menang kerana kebanyakan saingan hebat, terutama album hip hop dihasilkan Joe Flizzow.

“Kami turut bangga apabila dua lagu Melayu dimuatkan dalam album Remain Unknown, Aurora dan Yang Pernah turut disenaraikan dalam Lagu Rock Terbaik. Tetapi untuk menang susah kerana dua lagu popular dendangan Hujan, Dugaannya dan Bila Aku Sudah Tiada turut berada dalam kategori sama,” katanya.

Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan Ishak berada sebaris dengan Datuk Siti Nurhaliza apabila album solo pertama dihasilkan, President memperoleh tujuh pencalonan.

Lebih menarik apabila dia yang terlebih dulu mencipta nama sebagai penyanyi hip hop berkumpulan Too Phat turut dicalonkan dalam kategori Artis Baru Terbaik.

Teman kumpulannya Malique, yang turut muncul dengan album solo pertama, Mentera Beradu juga dicalonkan dalam kategori sama.

 

 

Antara pencalonan lain diterima Joe termasuk Kulit Album Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik (untuk tiga lagu, Bergerak, Isabella dan Mengapa Harus Bercinta), Album Inggeris Tempatan Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.

Walaupun ada yang cuba mempertikaikan pencalonannya dalam kategori Artis Baru Terbaik, namun Joe menerima dengan positif.

“Prinsip saya dalam hal ini, rezeki jangan ditolak dan musuh jangan dicari. Susah sebenarnya untuk kita mempertikaikan kerana sebelum ini kalau kita perhatikan Faizal Tahir turut memenangi kategori sama tahun lalu menerusi album Aku.Muzik.Kamu.

“Sedangkan semua orang tahu dia pernah menganggotai kumpulan nasyid dan pernah menghasilkan album. Malah ada beberapa kemenangan artis dalam kategori itu turut dipertikaikan kerana ada antaranya pernah menghasilkan album solo sewaktu muda,” katanya.

Joe turut meluahkan kegembiraannya apabila pihak penganjur AIM16 mewujudkan kategori hip hop tahun ini sekali gus mengiktiraf dan membuka ruang kepada penggiat muzik itu.

Menyentuh mengenai persaingan dengan rakan kumpulannya sendiri Malique dalam kategori Lagu Hip Hop Terbaik jelas Joe perkara itu turut membuatkan dirinya teruja.

“Bayangkan sebelum ini kami dicalonkan sebagai satu kumpulan tetapi sekarang bersaing sesama sendiri. Pada saya tidak kira sama ada saya mahupun Malique menang pada malam itu nanti kami tetap saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu Reshmonu yang kali pertama menghasilkan album Melayu sepenuhnya, Harapan, gembira apabila ia menerima lima pencalonan termasuk beberapa kategori utama.

“Saya tahu ramai tidak tahu mengenai kewujudan album ini, kerana ia belum dipromosikan sepenuhnya. Saya hanya sempat mengedarkannya akhir tahun lalu.

“Pencalonan album ini dalam beberapa kategori utama di AIM16 diharapkan dapat membuka ruang buat saya mempromosikannya. Kini saya dan pasukan promosi ditubuhkan akan bekerja keras untuk mempromosikan kepada umum,” katanya.

Reshmonu menerima dua pencalonan dalam Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Lelaki) menerusi dua lagu iaitu Doa Untuk Dia dan Sayu, Rakaman Album Terbaik, Video Muzik Terbaik dan Album Pop Terbaik.

AIM16 dijadualkan berlangsung pada 2 Mei ini di Dewan Merdeka , Pusat Dagangan Dunia Putra, jam 8.30 malam. Ia turut disiarkan secara langsung menerusi ntv7 selaku penyiar rasmi dan FlyFM serta HotFM sebagai radio rasmi.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Industri Muzik Boleh Mati

2 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

BARISAN artis yang akan memeriahkan AIM16.

Pendapatan tahunan pada 2008 hanya RM70 juta berbanding RM200 juta 15 tahun lalu

SEPANJANG 16 tahun penganjuran, Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-16 mencatat penurunan jumlah penyertaan yang ketara apabila hanya menerima 54 album, merosot 40 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Biarpun jumlah pencalonan keseluruhan meningkat kepada 707 namun ia belum cukup untuk meredakan keresahan.

Angka penurunan itu juga turut membingungkan Pengerusi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Datuk Aziz Bakar yang menyuarakan keresahan industri hiburan tempatan akan mati jika tiada langkah terbaik segera diambil.

Katanya, seandainya syarikat rakaman dan label bebas tidak meneruskan pelaburan dalam industri muzik, pencinta seni tempatan tidak mungkin dapat menikmati karya baru sebagai penerus legasi insan kreatif terdahulu.

Aziz yang ditemui pada sidang media AIM16 berkata, industri muzik tempatan sedang berdepan dengan kemelut yang serius apabila kebanyakan label enggan membuat pelaburan kerana berisiko tinggi.

“Apabila pulangan tidak terjamin, kebanyakan syarikat rakaman tidak berani melabur dan akibatnya, stesen radio tempatan kehilangan sumber lagu baru untuk diperkenalkan kepada pendengar,” katanya.

Menurutnya, pakej rangsangan yang diperlukan sekitar RM10 juta itu antara usaha paling cepat dan berkesan untuk menjana semula pertumbuhan industri muzik.

“Perlu ada sebuah pertubuhan khas seperti Majlis Muzik Malaysia yang menaungi pelbagai persatuan hiburan di negara ini untuk menyelia peruntukan yang diberikan supaya dapat dimanfaatkan dengan berkesan,” katanya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM16, Rosmin Hashim berkata, 15 tahun lalu pendapatan industri muzik menjangkau sehingga RM200 juta malangnya jumlah itu semakin menguncup dan tahun lalu, ia hanya mampu mengumpul RM70 juta.

“Masalah ini sangat serius. Kita bimbang negara akan kehilangan sumber untuk meneruskan perkembangan muzik tempatan,” katanya.

AIM16 mempertandingkan 29 kategori untuk muzik Melayu, Inggeris, Cina dan India tempatan selain satu kategori muzik luar negara.

Buat julung kali, AIM16 memperkenalkan 12 kategori khusus untuk mengiktiraf single yang diterbitkan iaitu Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) dan Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki). Turut diperkenalkan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Album Hip Hop Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Pop Etnik Terbaik dan Lagu Rock Terbaik.

Selain itu, AIM16 juga menyenaraikan Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Cina Terbaik dan Lagu India Terbaik.

“PAIMM juga menggabungkan kategori Susunan Lagu Terbaik yang sebelum ini dipecahkan mengikut kategori bahasa Melayu dan asing.

“Selain itu, kriteria album juga dikecilkan daripada lapan kepada lima lagu untuk diiktiraf sebagai album penuh,” kata Rosmin.

AIM16 akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 2 Mei ini, jam 8.30 malam. Ia turut disiarkan menerusi ntv7.

Dibelenggu kontroversi

SEPERTI tahun terdahulu, senarai Top 5 AIM16 juga tidak lepas daripada pertikaian dan paling ketara apabila penyanyi yang sama disenaraikan untuk dua pencalonan bagi kategori dipertandingkan.

Antara yang dibangkitkan apabila Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Lelaki dan Wanita menyaksikan Reshmonu dan Datuk Siti Nurhaliza masing-masing meraih dua pencalonan menerusi album mereka, Harapan dan Lentera Timur.

Dua pencalonan diterima dilihat menyekat peluang calon lain yang turut berpotensi untuk tersenarai dalam Top5 kerana persembahan vokal kedua-dua penyanyi itu bagi lagu lain dapat dinikmati dalam album yang sama.

Mengulas perkara itu, Pengurus Besar PAIMM, Jennifer Thompson berkata, AIM16 masih dalam proses penyesuaian dengan perubahan yang dilakukan lantas memberi beberapa kelonggaran tanpa menyedari akan timbul isu berbangkit apabila proses penjurian dilakukan.

“Kami akan meneliti semula perkara ini dan memperbaikinya pada AIM akan datang. Kami ada memberi nasihat kepada syarikat rakaman supaya memilih hanya karya terbaik untuk mengelak perkara sebegini berlaku,” katanya.

Turut dipertikaikan apabila lagu Marabahaya nyanyian Pop Shuvit membolosi Top 5 Lagu Inggeris Tempatan Terbaik sedangkan lagu itu adalah terjemahan versi Melayu yang menggunakan judul sama.

Agak mengejutkan apabila kemantapan vokal Misha Omar menerusi album yang mengangkat namanya sebagai judul gagal memikat hati juri untuk membawanya ke dalam Top 5 Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita).

Sebaliknya cabaran itu digalas Siti Nurhaliza yang bertanding untuk Di Kayangan Kita dan Di Taman Teman menerusi Lentera Timur yang bersaing dengan tiga peserta program realiti, Ayu, Shila dan Dina. Di mana silapnya? Apakah juri terlepas pandang akan keupayaan penyanyi itu yang memberikan persembahan vokal jauh lebih baik menerusi album ketiganya itu?

Senarai Top 5 AIM16:

Artis Baru Terbaik:

Hujan

Joe Flizzow

Malique

Meet Uncle Hussain

Suki

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki):

Aizat – Lagu Kita

Bob – Cinta Terhalang

Reshmonu – Doa Untuk Dia

Reshmonu – Sayu

Rithan (Deja Voodoo Spells) – Rock N Roll

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita):

Ayu – Hanya Di Mercu

Dina – Sejauh Ini

Shila – Memori Tercipta

Siti Nurhaliza – Di Kayangan Kita

Siti Nurhaliza – Di Taman Teman

Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album:

Ajai & Marsha – Sayang

All One – Bilal Bin Rabah

Pop Shuvit – Marabahaya (International Version)

Rabbani – Bila Nur Menjelma

Raihan – Assubhu Bada

Album Pop Etnik Terbaik:

Khazanah Pujangga – Syura

Siti Nurhaliza – Lentera Timur

Selagi Ada Rindu – Pak Long

Zapin Suri – Haziq

Lagu Pop Etnik Terbaik

Di Kayangan Kita – Johari Teh/Keon/Siti Nurhaliza

Di Taman Teman – Fauzi Marzuki/Hairul Anuar Harun/Siti Nurhaliza

Dirgahayu – Radin Sri/Hairul Anuar Harun/Ramlah Ram

Nafas Cahaya – M Nasir/Loloq/Misha Omar

Zapin Suri – Pak Ngah/Siso Kopratasa/Haziq

Album Nasyid Terbaik:

Allah Habeebi – Mawi

Istimewa Tiada Dua – Nice

Nasyid Nostalgia Memori The Zikir – Nazrey Johani

Nostalgia Nadamurni – Rabbani

Setia – Wildan

Lagu Nasyid Terbaik:

Allah Habeebi – Farihin/Yasin/Mawi

Bila Nur Melimpah Di Hati – Asri Ibrahim/Ito Lara/Rabbani

Kemulian Al-Quran – Amin Inteam/Inteam

Serulah Namanya – M Nasir/Ad Samad/Mawi

Teman Hakiki – Ku Sham/Dr Mohd Asri/Mawi

Album Rock Terbaik:

Bongkar – Kristal

Hujan – Hujan

Keamanan – Nrocinu

Kembali – Butterfingers

Modern Minimals Glamour – The Times

Lagu Rock Terbaik:

1000 Tahun (Mahu Hidup) – Loque/Butterfingers

Aurora – Estranged

Bila Aku Sudah Tiada – Noh/Hujan

Dugaannya – Noh/Hujan

Yang Pernah – Estranged

Album Pop Terbaik

Alyah – Alyah

Arus Qudus – Yasin

Harapan – Reshmonu

Misha Omar – Misha Omar

Percubaan Pertama – Aizat

Lagu Pop Terbaik

Cinta Adam Dan Hawa – Azmeer/Loloq/Misha Omar

Dingin – Azlan Abu Hassan/Azalea/Ziana Zain

Ketentuan – Azlan Abu Hassan/Ad Samad/Ramlah Ram

Lagu Kita – Aizat/Aizat

Sampai Di Sini – Ajai/Slen/Misha Omar

Lagu Hip Hop Terbaik

Bergerak – Joe Flizzow

Isabella – Joe Flizzow menampilkan Hady Mirza

Mengapa Harus Bercinta – Joe Flizzow

Mentera Beradu – Malique

OK – Malique menampilkan Cat Fabuloso

Berita Harian

Penyertaan Album AIM16 Makin Merosot

30 Mar

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hemtro.com.my

Rap
JUMLAH album yang dipertandingkan untuk Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-16 (AIM16) semakin merosot apabila tahun ini hanya 50 penyertaan diterima.

Walaupun sebelum itu penyertaan dikatakan menggalakkan namun perkara itu hanya berlaku selepas beberapa kategori baru diwujudkan. AIM 16 dijadualkan berlangsung pada 2 Mei, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jam 8.30 malam.

Penganjur pertandingan Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi) menerima hampir 700 penyertaan membabitkan kategori baru iaitu Lagu Terbaik dalam setiap genre.

Perkembangan itu benar-benar membimbangkan beberapa pertubuhan yang menjaga kepentingan industri muzik tempatan antaranya Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) mahupun Akademi sendiri.

Sewaktu sidang akhbar mengumumkan calon lima terbaik AIM16, berlangsung di Concord Hotel baru-baru ini, Pengerusi PAIMM, Datuk Aziz Bakar menjelaskan, walaupun banyak penyertaan diterima tetapi mutu kebanyakan lagu dihantar berada di tahap rendah. Tambahan pula piawaian ditetapkan Akademi sudah semakin meningkat kerana ia sudah 15 kali diadakan.

“Perkembangan ini amat menakutkan, dan beberapa pertubuhan dan persatuan bimbang sekiranya perkara ini berlanjutan kita sudah tidak akan ada lagi industri dalam bidang muzik.

“Waktu sama kami faham sebagai penggiat kebanyakan syarikat rakaman, pencipta lagu, penulis lirik, pemuzik, jurutera muzik mahupun penyanyi sendiri tidak berani hendak melabur dalam jumlah besar apabila menghasilkan album.

“Sekarang ini proses untuk menghasilkan sebuah album termasuk promosi dan pemasaran memerlukan modal mencecah RM150,000, tetapi pulangan yang diterima hanyalah sekitar RM40,000 hingga RM60,000.

“Penggiat bertuah kerana sekarang mereka masih boleh bergantung kepada pasaran dalam bentuk digital iaitu muat turun muzik ke telefon bimbit memandangkan jualan dalam bentuk fizikal iaitu cakera padat dan album sangat perlahan dan tidak membantu.

“Bagi memastikan kerugian ditanggung tidak besar, kebanyakan penggiat menggunakan kos sangat rendah untuk menghasilkan lagu dan ia secara tidak langsung mempengaruhi mutu album dihasilkan. Sekiranya perkara ini berterusan akhirnya industri muzik tempatan akan mati,” katanya.

 

 

Bagi menangani perkara itu, Aziz secara peribadi berasakan sudah tiba masanya pihak kerajaan membantu industri dengan menyediakan dana khas bagi membantu para penggiat dalam berkarya.

“Seperti juga dalam bidang lain iaitu perdagangan, keusahawanan dan pertanian industri muzik juga perlu modal rangsangan untuk menggerakkannya, oleh itu saya amat mengharapkan apa yang saya ketengahkan ini akan mendapat perhatian.

“Permohonan membabitkan dana ini akan dilaksanakan bersama semua persatuan yang bernaung dibawah industri muzik. Mekanisma belum ditetapkan tetapi andai ia diberikan, dana ini boleh disalurkan kepada Majlis Muzik Malaysia (MMM) sebagai badan induk.

“Dana ini boleh digunakan para penggiat yang mahu menghasilkan album dan kita mungkin tidak memberikan sepenuhnya sebaliknya ia bergantung kepada keperluan penggiat itu sendiri.

“Modal untuk menghasilkan album mungkin harus dikeluarkan sendiri oleh penyanyi ataupun penerbit dan dana pula digunakan untuk memasarkan atau mempromosikan karya dihasilkan,” katanya.

Di majlis pengumuman calon lima terbaik AIM16, kumpulan Estranged yang sebelum ini mengungguli Anugerah Juara Lagu tahun lalu menerusi single mereka Itu Kamu mendominasi pencalonan dalam lapan kategori.

Kumpulan ini menerima pencalonan daripada album Inggeris dihasilkan Remain Unknown. Membanggakan apabila dua lagu Melayu dimuatkan dalam album itu turut dicalonkan dalam Lagu Rock Terbaik.

Datuk Siti Nurhaliza pula yang mempertandingkan album berkonsepkan etnik kreatif dan tradisional Lentera Timur menerima tujuh pencalonan, dan lagu pop dendangannya menjadi runut bunyi drama Spa-Q 2 Pada Cintanya turut dicalonkan dalam kategori Susunan Muzik terbaik.

Timbul kekeliruan dalam kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik apabila lagu dendangan kumpulan Pop Shuvit, Marabahaya dipertandingkan sekali lagi atas alasan dialih bahasa. Begitu juga dengan Vokal Terbaik Lelaki/Wanita apabila ada yang dicalonkan lebih daripada satu lagu.

Menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul Ketua Jawatankuasa Penganjuran AIM16, Jennifer Thomson berkata Marabahaya selain dialih bahasa, rakamannya juga baru terutama membabitkan susunan muziknya.

“Perkara ini sudah saya jelaskan kepada juri sewaktu penilaian dilakukan. Keputusan sama ada ia layak atau tidak mereka sendiri yang harus memutuskannya.

“Walaupun ada yang menolak Marabahaya dipertandingkan tetapi waktu sama masih ada juri memberikan markah kepada lagu itu. Secara tidak langsung apabila diaudit ia memiliki markah tinggi dan dicalonkan.

“Mengenai ada artis mendominasi kategori vokal apabila ia mempertandingkan single, kami akui perkara ini. Ini kali pertama ia dilakukan dan perlaksanaannya sudah tentu akan ada kelemahan. Kami akan memperbaikinya pada tahun akan datang.

“Pihak Akademi sendiri sudah nampak perkara seperti ini akan berlaku apabila single dipertandingkan dalam vokal. Kami sudah nyatakan kepada wakil syarikat rakaman sendiri agar menghantar satu lagu untuk kategori itu tetapi ada antaranya berkeras mahu menghantar sepuluh lagu terdapat dalam album dihasilkan artis mereka,” katanya.

Berikut adalah senarai penuh pencalonan AIM16.

Artis Baru Terbaik
1) Hujan
2) Joe Flizzow
3) Malique
4) Meet Uncle Hussain
5) Suki

Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Lelaki)
1) Aizat – Lagu Kita
2) Bob AF2 – Cinta Terhalang
3) Reshmonu – Doa Untuk Dia
4) Reshmonu – Sayu
5) Ritan (Deja Voodoo Spells) – Rock ‘N’ Roll

Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Perempuan)
1) Ayu – Hanya Di Mercu2) Dina – Sejauh Ini
3) Shila – Memori Tercipta
4) Siti Nurhaliza – Di Kayangan Kita
5) Siti Nurhaliza – Di Taman Teman

Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album
1) AJAI dan Marsha – Sayang
2) ALL One – Bilal bin Rabah
3) Pop Shuvit – Marabahaya
4) Rabbani – Bila Nur Melimpah Di Hati
5) Raihan – Assubhu Bada

Kulit Album Terbaik
1) Hawa – Nikki
2) President – Joe Flizzow
3) Transit – Altered Frequency
4) Satu – Ferhad
5) Remain Unknown – Estranged

Rakaman Album Terbaik
1) Remain Unknown – Estranged
2) Finally/Akhirnya – Suki
3) Satu – Ferhad
4) Adam 3 – Adam
5) Harapan – Reshmonu

VIDEO MUZIK TERBAIK
1) Hanya Di Mercu – Ayu
2) Sampai Syurga – Faizal Tahir
3) Mati Hidup Kembali – Butterfingers
4) 1000 Tahun (Mahu Hidup) – Butterfingers
5) Oh Anok Anok – Reshmonu

Album Pop Etnik Terbaik
1) Khazanah Pujangga – Syura
2) Lentera Timur – Siti Nurhaliza
3) Selagi Ada Rindu – Shafie Ahmad
4) Zapin Suri – Haziq

Lagu Pop Etnik Terbaik
1) Di Kayangan Kita – Siti Nurhaliza
2) Di Taman Teman – Siti Nurhaliza
3) Dirgahayu – Ramlah Ram
4) Nafas Cahaya – Misha Omar
5) Zapin Suri – Haziq

Album Nasyid Terbaik
1) Allah Habeebi – Mawi
2) Istimewa Tiada Dua – Nice
3) Nasyid Nostalgia Memori The Zikir – Nazrey Johani
4) Nostalgia Nadamurni – Rabbani
5) Setia – Wildan

Lagu Nasyid Terbaik
1) Allah Habeebi – Mawi
2) Bila Nur Melimpah Di Hati – Rabbani
3) Kemuliaan Al-Quran – In Team
4) Serulah Namanya – Mawi
5) Teman Hakiki – Mawi

Album Rock Terbaik
1) Bongkar – Kristal
2) Hujan – Hujan
3) Keamanan – Nrocinu
4) Kembali – Butterfingers
5) Modern Minimals Glamour – The Times

Lagu Rock Terbaik
1) 1000 Tahun (Mahu Hidup) – Butterfingers
2) Aurora – Estranged
3) Bila Aku Sudah Tiada – Hujan
4) Dugaannya – Hujan
5) Yang Pernah – Estranged

Album Pop Terbaik
1) Alyah – Alyah
2) Arus Qudus – Yassin
3) Harapan – Reshmonu
4) Misha Omar – Misha Omar
5) Percubaan Pertama – Aizat

Lagu Pop Terbaik
1) Cinta Adam dan Hawa – Misha Omar
2) Dingin – Ziana Zain
3) Ketentuan – Ramlah Ram
4) Lagu Kita – Aizat
5) Sampai Di Sini – Misha Omar

Lagu Hip Hop Terbaik
1) Bergerak – Joe Flizzow
2) Isabella – Joe Flizzow
3) Mengapa Harus Bercinta – Jow Flizzow
4) Mentera Beradu – Malique feat. M.Nasir
5) Ok – Malique feat. Cat Farish

Album Inggeris Terbaik
1) Dark Sun Big Rain – Karen Nunis Blackstone
2) President – Joe Flizzow
3) Remain Unknown – Estranged
4) Take Five With Juwita Suwito at Avanti – Juwita Suwito
5) Tapestry Of Life – Shal Sagan

Lagu Inggeris Tempatan Terbaik
1) All Around My World – Joe Flizzow
2) Dances Of The Spirit – Estranged
3) In No Time – Estranged
4) KL Streets – Malique Feat. Lah
5) Marabahaya – Pop Shuvit

SUSUNAN MUZIK DALAM LAGU
1) Pada Cintanya – Siti Nurhaliza
2) Tiada Maaf – Daniel Lee
3) Aurora – Estranged
4) Di Taman Teman – Siti Nurhaliza
5) Bukan Mimpi – Farhan.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Zon Abie: Tunjukkan Cintamu Pada Bumi

28 Mar

Oleh Abie Abdullah
abie@hmetro.com.my

Rap
ASSALAMUALAIKUM! Hari ini Perhimpunan Agung Umno ke-59 menutup tirai dengan penggulungan apa yang berbangkit sepanjang lima hari bersidang. Hari ini juga kemuncak kempen 60 Earth Hour 2009 di seluruh dunia termasuk negara kita yang penuh harmoni, Malaysia.

Berminggu juga saya melihat kempen menyelamatkan bumi ini terutama di akhbar dan TV, sehingga terpanggil untuk saya mendaftar di http://www.earthhour.com sebagai seorang penyokong.

Saya bukanlah pandai sangat tetapi melalui pengamatan dan pembacaan maklumat berkaitan, sedikit sebanyak membantu saya untuk turut serta berkempen di sini.

Secara ringkasnya yang saya faham, idea Earth Hour terbit daripada inisiatif Tabung Alam Sedunia (WWF – sebelum 1987 ia dikenali sebagai Dana Hidupan Liar Sedunia) berkaitan penjagaan bumi yang kini berdepan dengan klimaks serta pemanasan global.

Baik orang perseorangan, kerajaan atau komuniti dunia perlu diberi kesedaran akan perkembangan yang semakin membunuh planet tempat kita huni ini.

Earth Hour mengajak kita memadam lampu selama satu jam bermula pukul 8.30 malam ini sebagai tanda sokongan kepada usaha murni itu. Tidak susah pun!

Tarikh hari ini dipilih kerana penghujung Mac biasanya berlaku pertukaran ekuinoks (matahari melintasi khatulistiwa lalu menjadikan siang dan malam sama panjang di serata dunia), sekali gus ia memastikan impak visual yang untuk kempen ini.

Acara ini dimulakan pada 2007 di Sydney, Australia membabitkan 2 juta orang yang memadamkan lampu mereka. Setahun kemudian, lebih 50 juta penghuni glob ini mengambil bahagian dan tahun ini, Earth Hour cuba mencapai 1 bilion orang dari 100 bandar raya dunia termasuk di negara kita.

Inilah masanya untuk kita tunjukkan sokongan dan kesatuan Malaysia terhadap usaha dunia. Pembabitan selebriti antaranya Maya Karin, Yasmin Ahmad, Zainalabidin, Sarimah Ibrahim, Reshmonu dan Aishah Sinclair suatu usaha yang dipuji.

Biar ada pihak yang kurang bersetuju dengan usaha ini, sehingga menuduh selebriti itu cuba meraih publisiti daripada program yang dianggap sia-sia ini, pekakkan telinga dan fikir yang lebih positif.

 

 

Bukan soal penjimatan yang nyata malam ini saja, tetapi saya melihat acara ini dari perspektif penyatuan rakyat Malaysia. Selama ini kita melaungkan yang Malaysia Boleh! dengan setiap apa yang cuba kita lakukan, jadi projek Earth Hour ini juga harus kita pentingkan.

“Tidak dinafikan ia sebahagian usaha untuk meraih publisiti, tetapi untuk kebaikan semua manusia di dunia. Kami cuba mewujudkan kesedaran betapa kehidupan di bumi sekarang bergelut dengan pelbagai masalah berpunca daripada pemanasan global.

“Pada waktu sama, kita boleh menjimatkan banyak tenaga. Memang kalau kita seorang tidak akan memberi kesan, tetapi cuba bayangkan jika ia dilakukan semua penduduk tempatan, pasti kapasiti penjimatan dapat diperoleh dalam skala lebih besar,” kata Maya kepada Harian Metro semalam.

Lebih penting, Earth Hour ingin mengajak orang ramai melihat masalah yang dialami penduduk dunia secara serius kerana kesannya bukan saja membabitkan alam sekitar atau hidupan liar saja sebaliknya manusia itu sendiri apabila terpaksa berhadapan dengan kemarau dan cuaca tidak menentu.

Setakat ini, China dan India mendahului tindakan sokongan terhadap Earth Hour 2009. Mungkin juga kerana populasinya besar, tetapi tidak bermakna penduduk yang ramai kalau tidak bersatu menyokong. Percaya atau tidak, orang kita ramai yang suka bercakap daripada bertindak.

Sedar atau tidak, ramai antara kita yang tidak ambil pusing pun hal ini sebab mereka tidak merasai kesannya walaupun kita dikhabarkan dengan banyak berita mengenai kerosakan alam termasuk tanah runtuh berlaku di tanah air kita sendiri.

Tidak perlu saya menghuraikan soal ketamakan pemaju binaan yang sanggup meratakan bukit-bukau dan menebas hutan semata-mata atas tiket pembangunan dan kemajuan, kerana mereka itu golongan yang tidak pernah kisah pun dengan ancaman kepunahan bumi.

Bagaimanapun alang-alang berada di dalam gelanggang hiburan ini, elok juga saya menyentuh mengenai kesatuan artis kita. Bukan persatuan artis! Tetapi kerjasama sesama artis tempatan dan tunjukkan cinta kita terhadap bumi yang semakin tua ini.

Ketika beberapa selebriti seperti yang saya namakan di atas memberi sokongan kepada Earth Hour, yang lain seharusnya tidak memandang negatif sehingga menuduh sengaja mencari publisiti.

Percaya atau tidak, pengaruh selebriti itu penting untuk menjayakan sesuatu kempen. Kalau tidak menyokong, diam saja!

Bercakap mengenai hari khas ini juga mengingatkan saya kepada Hari Nyepi, satu perayaan yang disambut penganut Hindu di Pulau Bali. Melalui kenalan di Bali ketika berkunjung ke sana tidak lama dulu, saya diberitahu mengenai perayaan ini.

Mengikut kepercayaan Hindu Bali, Hari Nyepi menuntut mereka tidak menggunakan atau menghidupkan api, tidak bekerja, tidak berpergian dan tidak mendengarkan hiburan.

Teringin juga merasai ‘ketenangan’ yang pernah diberitahu kenalan itu ketika Hari Nyepi, tetapi sehingga saat ini, saya belum berkesempatan. Namun insya-Allah saya menikmati ‘nyepi’ Earth Hour malam ini di Cameron Highlands bersama rakan-rakan.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Publisiti Demi Kebaikan

27 Mar

>>Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

KEMPEN 60 Earth Hour (Waktu Bumi) akan berlangsung esok, apabila semua penduduk di Malaysia digesa memadamkan lampu atau tidak menggunakan sebarang kuasa elektrik selama sejam bermula jam 8.30 malam.

Kempen dilakukan Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) dengan kerjasama badan korporat dan media tempatan ini turut disertai penduduk di seluruh dunia, sebagai tanda sokongan untuk mengurangkan pemanasan global, sekali gus melawan perubahan iklim yang disebabkan perbuatan manusia.

Turut terbabit bagi mempromosikan kempen ini beberapa artis ternama dan personaliti televisyen antaranya Maya Karin, Sarimah Ibrahim, Reshmonu, Zainal Abidin, Aishah Sinclair dan pengarah, Yasmin Ahmad.

Begitupun usaha murni cuba dipromosikan rakan artis ini dipandang sinis pelbagai pihak, malah tidak kurang ada yang merungut dengan berkata mengapa mereka harus melakukan perkara dianggap tidak mendatangkan faedah.

Menjelaskan mengenai usaha dilakukan WWF, Maya Karin yang memang sangat dikenali dengan pendiriannya dalam membabitkan isu penjagaan alam sekitar berkata, kenyataan itu diberikan mereka kerana keliru dan tidak faham dengan kempen 60 Waktu Bumi.

“Saya sedar ada orang berkata, usaha yang kami cuba lakukan ini sekadar meraih publisiti dan menyatakan memadam lampu selama satu jam adalah perkara tidak berfaedah serta tidak memberikan sebarang kesan.

“Tidak dinafikan ia sebahagian usaha untuk meraih publisiti, tetapi untuk kebaikan semua manusia di dunia. Kami cuba mewujudkan kesedaran betapa kehidupan di bumi sekarang bergelut dengan pelbagai masalah berpunca daripada pemanasan global.

“Pada waktu sama, kita boleh menjimatkan banyak tenaga. Memang kalau kita seorang tidak akan memberi kesan, tetapi cuba bayangkan jika ia dilakukan semua penduduk tempatan, pasti kapasiti penjimatan dapat diperoleh dalam skala lebih besar,” katanya.

Lebih penting, kata Maya, 60 Waktu Bumi mahu mengajak orang ramai melihat masalah yang dialami penduduk dunia secara serius kerana kesannya bukan saja membabitkan alam sekitar atau hidupan liar saja sebaliknya manusia itu sendiri apabila terpaksa berhadapan dengan kemarau dan cuaca tidak menentu.

“Mereka yang bersama-sama kami memadamkan lampu pada Sabtu ini (esok) bermakna benar-benar faham mengenai isu yang cuba diketengahkan. Kami cuma mahu mengajak orang ramai supaya menjadi lebih prihatin,” katanya

 

 

Jelas Maya lagi, antara kesan besar dalam kempen ini apabila beberapa bangunan besar yang ada di Kuala Lumpur juga turut serta kerana ia mampu menjimatkan tenaga dalam jumlah lebih banyak terutama apabila lampu dan penyaman udara dipadamkan.

“Saya sendiri secara peribadi tertarik dengan iklan disiarkan WWF iaitu segalanya bermula dengan satu suara. Memang benar kalau kita seorang saja melakukan perkara ini ia tidak memberi kesan, tetapi bayangkan di kawasan perumahan atau satu blok apartmen tidak menggunakan elektrik dalam tempoh itu ia pasti membantu,” katanya.

Bagaimanapun, ada juga beberapa pihak menyatakan sokongan mereka, tetapi sayangnya ia tidak melakukan seperti apa yang diperkatakan. Contohnya pengacara rancangan Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) sebelum ini, Sarimah Ibrahim menjelaskan pihak produksi rancangan realiti tv itu menyokong kempen 60 Waktu Bumi, tetapi rancangan itu tetap ke udara seperti biasa.

Kata Maya, pada pendapatnya kalau kita sudah menyatakan sokongan kita perlu melaksanakan prinsip itu sepenuhnya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Kempen Bergelap Sejam

23 Mar

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Yasmin (kanan) bersama Shebby dan Karamjit Singh ketika pembikinan pengiklanan komersial
60 Earth Hour arahan beliau.

Selebriti tanah air tampil menyokong kempen anti pemanasan global 60 Earth Hour

TANGGAL 28 Mac iaitu pada jam 8.30 malam, lebih 300 bandaraya di seluruh dunia akan bergelap selama sejam iaitu bagi menyampaikan mesej mereka menyokong kempen anti pemanasan global – satu topik universal yang cukup hangat diperbincangkan ketika ini.

Dan selepas dua tahun acara yang dimulakan di Sydney, Australia itu berlangsung dan kemudian diikuti negara lain, tahun 2009 buat pertama kalinya menyaksikan Malaysia turut mengambil bahagian dalam kempen 60 Earth Hour ini.

Satu keputusan yang tepat buat Malaysia untuk bersama-sama menjayakan kempen ini kerana sebagai sebuah negara yang membangun, kita tidak dapat lari daripada tempias akibat daripada fenomena sejagat ini.

Bagi menunjukkan sokongan terhadap kempen itu dan tidak mahu dilihat sebagai melepaskan batuk di tangga, iklan mengenai kempen itu turut diterbitkan.

Dibuat dalam dua versi iaitu media cetak dan elektronik, orang yang bertanggungjawab untuk menghasilkan iklan itu adalah pengarah filem berkaliber iaitu Yasmin Ahmad. Baru-baru ini bertempat di Studio DL, Desa Pandan, berlangsung proses menghasilkan iklan dilakukan membabitkan ramai selebriti terkenal tanah air.


dari kiri; Daphne Iking, Sazzy, Yasmin dan Aishah Sinclair.

Antara wajah glamor dan popular dalam iklan itu termasuklah angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Sharifah Amani, Dafi, Sazzy Falak, Hans Isaac, Shebby Singh, Karamjit Singh, Reshmonu dan Susan Lancaster.

Sebagai duta kepada kempen itu, Yasmin akui teruja dengan penghormatan yang diberikan kepadanya itu. Jelas pengarah yang bakal muncul dengan buah tangan terbarunya berjudul Talentime ini, kempen 60 Earth Hour bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat semua betapa pemanasan global memberi kesan yang tidak baik kepada bumi.

“Kempen ini sebenarnya sudah lama diamalkan oleh sebilangan besar masyarakat dunia iaitu lebih kurang 300 bandaraya di seluruh negara mengambil bahagian dalam kempen itu tahun ini. Walaupun ini adalah kali pertama kita menjayakannya namun saya yakin, usaha ini pasti mendapat sokongan banyak pihak.

“Jika kempen ini tidak diadakan sekarang, apa akan jadi kepada masyarakat bumi pada masa depan. Justeru, dengan kudrat yang ada, saya akan cuba menerapkan amalan ini dalam jiwa setiap rakyat di negara ini,” ujar Yasmin sebagai mengulas tanggungjawabnya sebagai duta kempen ini.

Jelas Yasmin, cara untuk menunjukkan sokongan kepada kempen ini cukup mudah iaitu pada tarikh dan waktu yang ditetapkan, semua lampu haruslah dipadamkan dan bergelaplah selama sejam.

Sebagai pengarah yang pernah memenangi pelbagai anugerah berprestij di luar negara, Yasmin menggunakan kreativitinya serta pengalaman sebagai pengarah iklan untuk membuat iklan sebagai salah satu medium mempromosikan kempen berkenaan.

“Selebriti atau personaliti terkenal biasanya mempunyai pengaruh yang cukup besar dan ada pengikut mereka yang tersendiri. Jadi apalah salahnya jika kita gunakan apa yang mereka ada itu untuk bersama-sama menarik minat orang ramai supaya memahami kesan pemanasan global kepada bumi dan juga manusia.

“Hari ini kami membuatkan tiga iklan serentak iaitu iklan untuk media cetak, iklan untuk radio dan juga televisyen. Setiap personaliti akan digandingkan dengan selebriti lain mengikut kesesuaian jalan cerita dan keserasian mereka.

“Mereka ini dipilih berdasarkan kesesuaian, mereka yang pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini serta ada juga yang datang menawarkan diri secara rela untuk terbabit dalam iklan ini. Setakat ini saya gembira dengan komitmen mereka dan harap usaha kami ini mendapat maklum balas positif dari orang ramai,” tutur Yasmin yang turut gembira apabila usahanya itu turut mendapat reaksi positif daripada stesen televisyen tempatan.

Mualaf tetap ditayangkan di Malaysia

KONTROVERSI yang timbul sebelum dan selepas filem Mualaf dihasilkan membuatkan Yasmin agak ragu-ragu untuk menayangkan filem lakonan Sharifah Amani di negara ini. Memilih jalan selamat, Yasmin lebih rela menayangkan filem itu di Singapura terlebih dulu.

Mungkin keputusan itu sedikit sebanyak mengecewakan banyak pihak yang begitu teringin melihat filem yang turut menampilkan Datuk Rahim Razali, penyanyi Ning Baizura sebagai pelakon itu. Iyalah, selepas pelbagai publisiti diberikan tiba-tiba filem yang dibuat terkemudian daripada Mualaf pula yang akan ditayangkan terlebih dulu iaitu Talentime.

Enggan membiarkan penonton resah, Yasmin akhirnya memaklumkan bahawa Mualaf akan ditayangkan juga di negara ini.

“Insya-Allah, Mualaf akan ditayangkan pada bulan Julai depan. Kita tayangkan dulu Talentime yang dijadualkan akan muncul di pawagam, Mac depan,” ujar Yasmin yang kini sedang dalam peringkat praproduksi untuk filem terbarunya berjudul Wasurenagusa yang bermaksud sejenis bunga.

Mengulas lanjut projek terbarunya itu, Yasmin berkata filem ini akan dihasilkan secara usaha sama dengan kerajaan Jepun.

“Filem ini akan menampilkan lakonan Sharifah Amani dan juga seorang aktor dari sana. Buat masa ini, Amani sedang giat menjalani latihan dan antara latihannya adalah menunggang kuda. Filem ini akan mula menjalani penggambaran September depan dan ia berkonsepkan komedi romantik,” katanya.

Berita Harian