Archive | Rita Rudaini RSS feed for this section

Pelakon 'Pulaukan' Majlis Rosyam

25 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


ROSYAM marah, kecewa dan geram dengan telatah ‘bintang’ dramanya.

BUKAN senang untuk melihat pelakon senior seperti Rosyam Nor, 42, meluahkan perasaan yang terbuku di hatinya.

Dalam sikapnya yang sentiasa nampak tenang dan gemar bergurau dengan orang di sekelilingnya, baru-baru ini Rosyam melampias rasa amarahnya di depan media pada sidang akhbar drama Rahsia Hati.

Rosyam meluahkan amarah bukan kepada pekerjanya, bukan juga kepada pihak media atau pereka cerita gosip tidak berasas tentang dirinya. Sebaliknya amarah itu terhambur kepada pelakon-pelakon yang membintangi drama terbaru terbitannya, Rahsia Hati.

Keluh-kesah itu dilontarkan setelah dia berpendapat, pelakon terlibat tidak memberi sokongan pada acara pelancaran drama yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang.

Tatkala majlis berlangsung, skrin TV yang disediakan jelas memaparkan wajah-wajah artis hebat yang membintangi drama 40 episod itu. Antaranya ialah Rita Rudaini, Watie Sadali, penyanyi Nurul Wahab dan Ifa Raziah.

Majlis yang sepatutnya dimulakan awal terpaksa ditunda semata-mata menunggu kehadiran pelakon-pelakon berkenaan.

Malangnya, sampai ke sudah, keempat-empat ‘bintang’ itu tidak juga muncul dan majlis Rosyam seolah-olah ‘dipulaukan’ pelakon sendiri.

Sebaliknya pelakon yang hadir hanya Aaron Aziz dan Arash Mohamad, selain pelakon pembantu seperti Rosnah Johari dan Mohd. Azlan Kamiran.

“Saya memang kecewa. Sudahlah tidak datang, mereka langsung tidak beri sebarang alasan kenapa tidak hadir.

“Perkara ini benar-benar membuatkan saya berasa kecewa kerana mereka tidak dapat hadir bagi membantu saya mempromosikan drama Rahsia Hati,” luah Rosyam.

Kepada Rosyam, sidang akhbar cukup penting kerana ia bukan sahaja untuk kebaikan produksi, malah menjadi satu ruang untuk pihak media mendapatkan sumber bagi mempromosikan drama berkenaan secara lebih teratur apabila ia ditayangkan di stesen TV, Astro Prima.

“Sebab itu saya kata majlis ini juga penting untuk para pelakon sendiri untuk promosikan diri mereka kepada pihak media,” katanya.

Kosmo! difahamkan pelakon jelita, Rita Rudaini memang tidak dapat dihubungi oleh pihak produksi, termasuk Rosyam sendiri.

Bagaimanapun kalangan peminat tentunya faham akan keadaan Rita yang kini sedang sarat mengandung dan sudah mengehadkan aktiviti seninya semenjak beberapa bulan lalu. Untuk Rita, dia boleh dimaafkan.

Tetapi bagaimanapun pula dengan artis-artis lain?


MASIH ada penyeri, tiga pelakon lelaki dari kiri, Azlan, Arash dan Aaron ‘menyelamatkan’ sidang akhbar Suhan Movies.

Bukan sahaja memberi teguran kepada pelakon Rahsia Hati, sebaliknya lelaki yang sudah 25 tahun mengabdikan dirinya dalam dunia seni juga menganggap nasihat itu ditujukan kepada keseluruhan anak seni lain.

“Pelakon tidak hanya perlu ada bakat dan paras rupa menawan semata-mata. Sebaliknya mereka juga hendaklah ada etika perhubungan awam yang baik.

“Artis kenalah berdisiplin. Mereka kena datang ke sidang media yang diadakan penerbit untuk pihak media.

“Walaupun ada komitmen lain dan hanya dapat datang lewat ke majlis ini, sekurang-kurangnya tunjukkan muka sudah memadai,” nasihat Rosyam tegas.

Rahsia Hati mengisahkan tentang perbalahan adik-beradik tiri iaitu Syamir lakonan Aaron, Fazlan (Mohd. Azlan Kamiran) dan Nadia (Watie). Salah seorang daripada mereka ada niat buruk untuk mengaut harta keluarga mereka setelah didesak oleh ibunya, Maria (Ifa).

Ia juga memaparkan cinta tiga segi di antara Syamir, Ammar (Arash) dan Kamalia (Rita). Akhirnya Kamalia memilih Syamir sebagai calon suaminya. Mereka terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang dirancangkan oleh Maria.

Selepas kemalangan, Syamir mengalami masalah kesihatan dan merahsiakan perkara sebenar daripada Kamalia. Dia bertindak menjauhkan diri daripada Kamalia hingga mendorong Kamalia berkahwin dengan Ammar.

Drama bersiri itu menjadi projek kedua terbesar produksi Rosyam selepas Dinasti Bilut dengan 80 peratus lokasinya dijalankan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, selebihnya di Terengganu.

Ia membabitkan kos berjumlah RM1.6 juta dan memakan masa selama empat bulan setengah untuk diselesaikan.

Rahsia Hati mula ditayangkan pada 23 April lalu, setiap hari Khamis pada pukul 10 malam di saluran Astro Prima.

Kosmo

Advertisements

Rosyam Yakin Tarikan Rahsia Hati

24 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Rosyam Nor

ROSYAM NOR mempunyai impiannya sendiri tatkala bersedia menerbitkan drama bersiri Rahsia Hati, yang mula disiarkan Astro Prima semalam. Siri yang ditayangkan selama sejam setiap episod itu diharapkannya untuk mencatat rating yang tinggi, seterusnya mengatasi pencapaian siri lain siaran stesen berbayar berkenaan.

Ketika ini, Mertua Vs Menantu terbitan Metrowealth muncul program dengan rating paling tinggi dalam kategori terbabit.

Rosyam tanpa berselindung berkata, dia berkeyakinan siri yang dibintangi Aaron Aziz, Rita Rudaini, Arash Mohamad, Ifa Raziah, Watie Sadali, Hafizzuddin Fadzil, Azlan Kamiran, Rosnah Johari dan Nurul Abdul Wahab itu mampu meraih perhatian penonton, bukan hanya kerana jalan ceritanya, malah dek kehebatan barisan bintangnya.

“Apabila menerbitkan sesebuah drama, kita tentunya akan lebih berasa gembira apabila ia ditonton orang ramai. Sebagai pelakon juga, kita lebih puas apabila usaha kita ditonton peminat yang ramai,”ῠkata Rosyam pada majlis pelancaran drama berkenaan di Finas, baru-baru ini.

Bukan hanya mementingkan jalan cerita, bahkan Rosyam turut mengaku agak cerewet apabila tiba ke bab pemilihan pelakon. Dia tidak mahu projek terbitannya dihiasi pelakon yang menarik semata-mata, tetapi tidak mampu memberikan lakonan yang memberangsangkan.

“Saya juga sentiasa mencari pelakon yang berbakat dan berdisiplin. Pelakon yang tidak berdisiplin akan hanya menyusahkan pihak produksi. Biarlah berbakat macam mana sekali pun, jika pelakon itu tidak mempunyai disiplin yang baik, saya tidak akan menerimanya beraksi dalam projek terbitan Suhan Movies,” katanya.

Begitu juga dia berhati-hati dalam pemilihan skrip, bagi memastikan drama keluarannya sentiasa menerima sambutan baik. Antara penulis yang tidak asing di sisi projek terbitan Suhan Movies ialah Sharifah Abu Salem. Rahsia Hati ialah satu lagu naskhah tulis penulis wanita terbabit, yang juga novelis terkenal tanah air.

Penulis itu juga bakal menghasilkan skrip filem Kekasih, yang akan menggunakan bakat baru daripada program realiti Pilih Kasih terbitan Rosyam sendiri sebagai pelakonnya.

“Cerita-cerita tulisan Sharifah tidak pernah mengecewakan saya. Selalunya, apabila saya menggunakan khidmat penulis ini bagi sesebuah penerbitan saya, ia mendapat perhatian ramai penonton,” ujar Rosyam yang membelanjakan kira-kira RM1.6 juta bagi menghasilkan drama bersiri ini.

Menggunakan lokasi sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Terengganu, siri berkenaan memakan masa hampir lima bulan untuk disiapkan, apabila memulakan rakamannya pada Jun tahun lalu.

Antara lain, Rahsia Hati mengisahkan bagaimana Datuk Azmi berdepan masalah syarikat yang membabitkan anaknya, Syamir serta tirinya, Fazlan. Fazlan ialah anak kepada Maria, yang mahu mengaut harta suaminya.

Pada masa yang sama, Syamir berkenalan dengan Kamilia, rakan sekerja kawannya, Ammar. Masing-masing saling menyukai, tetapi tidak meluahkan rasa yang terbuku di hati. Kamilia hanya mencurahkan perasaan sebenar apabila Syamir hampir ‘berkahwin’ dengan ibunya, Normah, seorang ibu tunggal.

Begitupun, percintaan kedua-duanya penuh liku apabila Maria muncul sebagai penghalang. Kebahagiaan yang mula dirasa hancur dek kehitaman hati wanita terbabit. Bagi mengikuti kesudahan cerita arahan Amie Maziah yang menyayat hati ini, jangan ketinggalan menonton Rahsia Hati yang disiarkan setiap Khamis, menerusi Astro Prima.

Berita Harian

Zafuan Janji Bawa Rita Jumpa Ibu

24 Apr

NIKAH SAH...Aidil Zafuan bersama Rita di Mahkamah <br>Rendah Syariah Kuala Lumpur, kelmarin.
NIKAH SAH…Aidil Zafuan bersama Rita di Mahkamah
Rendah Syariah Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR: “Memang isteri saya (Rita Rudaini) tidak pernah ke rumah ibu bapa saya atau menelefon mereka atas nasihat saya,” kata pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak.

Menurutnya, dia terpaksa mengarahkan Rita berbuat demikian bagi meredakan konflik dengan keluarganya berikutan perkahwinan mereka di Selatan Thailand 25 Februari tahun lalu yang dirahsiakan.

Katanya, selepas pernikahan mereka disahkan Mahkamah Rendah Syariah di sini kelmarin, dia berjanji akan membawa isterinya bertemu keluarga, namun bukan dalam tempoh terdekat kerana memerlukan sedikit masa dan terikat jadual latihan yang ketat.

“Walaupun saya tidak membenarkan Rita menjenguk ibu bapa saya, saya sebagai anak ada pulang ke rumah ibu bapa saya bagi menjenguk mereka.

 

 

“Ini bukan bagi menjelaskan mengenai perkahwinan saya dengan Rita. Kami sekeluarga lebih banyak bercerita mengenai perkara lain dan bertanya khabar,” katanya.

Dia juga ada menghubungi ibu bapa serta adik-beradiknya bagi memaklumkan perkembangan terkini perbicaraan kes itu.

“Alhamdulillah, mereka tidak menunjukkan sebarang reaksi negatif selepas saya memaklumkan keputusan itu,” katanya.

Bagaimanapun, Aidil menjelaskan perbicaraan kelmarin turut menentukan sama ada dia perlu membuat pendaftaran perkahwinan atau tidak.

“Status perkahwinan kami sah dan kelmarin baru mahkamah memutuskan saya perlu membuat pendaftaran perkahwinan semula di pejabat agama,” katanya.

Sementara itu, kembar Aidil, Mohd Zaquan Adha, memaklumkan kepada Harian Metro ibu bapanya, Azizah Arshad, 56, dan Abd Radzak Saleh, 59, enggan mengulas mengenai keputusan mahkamah itu.

Mohd Zaquan berkata, ibu bapanya memaklumkan Aidil Zafuan ada pulang ke rumah tanpa disertai Rita Rudaini.

“Mengapa dia (Aidil) tidak membawa isterinya itu saya tidak tahu. Ibu bapa saya ada memberitahu setiap dia kali pulang, mereka tidak pernah berbincang mengenai perkahwinannya dengan Rita.

“Aidil juga mengambil sikap lebih berdiam diri mengenai hal terbabit,” katanya.

Harian Metro

Rita-Aidil Gembira Pernikahan Sah

23 Apr

Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my


RITA dan suaminya Aidil hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur bagi mendengar pengesahan pendaftaran nikah mereka semalam.


KERATAN Kosmo! 18 Disember 2008 lalu.

KUALA LUMPUR – Pelakon Rita Rudaini yang hamil enam bulan bersama suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak gembira apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam memutuskan pernikahan mereka di Songkhla, Thailad pada 25 Februari 2008 sah di sisi hukum syarak.

Bagaimanapun, Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin mengarahkan pasangan tersebut untuk mendaftarkan pernikahan mereka secepat mungkin di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAIWP).

Beliau mengesahkan pernikahan itu mengikut Seksyen 12 (2) Akta Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 setelah berpuas hati dengan segala dokumen yang dilampirkan sebagai bukti pernikahan.

Antara dokumen tersebut ialah surat nikah dari wilayah Songkhla, surat pengesahan Konsulat Jeneral Malaysia di daerah itu serta pengesahan pasport mereka bertarikh 25 Februari 2008.

Rita, 33, atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohamed @ Mokhtar dan suaminya, Aidil, 22, yang juga pemain bola sepak Negeri Sembilan memasuki kamar hakim bersama peguam syarie, Boestamam Ahmad untuk mendengar sebutan permohonan pengesahan pernikahan itu.

Setengah jam kemudian, Rita dan Aidil keluar sambil menyatakan rasa syukur dan lega kerana semuanya telah selesai dan hanya menunggu arahan mahkamah untuk mendaftarkan pernikahan tersebut.

Kosmo

Lega Status Nikah Sah

23 Apr

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my

MESRA...Rita dan Zafuan di Mahkamah Rendah Syariah <br>Kuala Lumpur, semalam.
MESRA…Rita dan Zafuan di Mahkamah Rendah Syariah
Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: “Alhamdulilah, semua sudah selesai,” kata pelakon Rita Rudaini yang hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam bagi mengesahkan pernikahannya dengan pemain bola sepak Negeri Sembilan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak.

Pasangan itu hadir bersama dengan Mohamad Aidil, 22, tidak lepas menggenggam erat tangan isterinya, Rita Rudaini Mokhtar, 33, yang kelihatan tenang dan hamil enam bulan.

Mereka yang diwakili peguam syarie, Boestamam Ahmad membuat permohonan bagi mengesahkan pernikahan yang berlangsung di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008.

Prosiding berlangsung dalam kamar Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin.

 

 

Ketika ditemui masing-masing kelihatan lega apabila mahkamah mengesahkan pernikahan mereka dan diminta mendaftarkannya di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Menjawab soalan wartawan, Rita berkata, mereka bukan mahu melambatkan pengesahan itu, tetapi masing-masing terikat dengan komitmen kerja.

“Dia dengan kerja dia (main bola), saya pula sibuk dengan penggambaran. Kami meminta peguam yang uruskan semua. Kami akan menunggu arahan daripada peguam untuk tarikh bagi mendaftar perkahwinan kami.

“Sejak mengandung saya lebihkan rehat kerana tidak mahu mengalami masalah kesihatan. Jantina anak masih belum tahu lagi. Bagaimanapun sebaik sahaja habis pantang, sudah ada tawaran penggambaran menunggu,” kata pelakon drama bersiri Rozana ini.

Tambahnya lagi, selepas bersalin dia mahu meluangkan lebih banyak masa di rumah dan kurangkan berada di set penggambaran serta berharap pihak produksi memahami keadaan barunya itu nanti.

Pasangan yang berbeza usia 10 tahun itu sebelum ini menggemparkan negara apabila berkahwin di Thailand berikutan tidak mendapat restu keluarga.

Harian Metro

Nikah Rita, Aidil Di Songkla Sah

23 Apr


RITA bersama Mohd Aidil selepas mendengar kes pernikahan mereka

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah memutuskan pernikahan antara pelakon, Rita Rudaini Mokhtar dengan pemain bola sepak Negeri Sembilan, Mohd Aidil Zafwan di Songkla, Thailand, pada 22 Mei 2008, adalah sah di sisi syarak.

Hakim Syarie Mohd Yunus Mohd Zin yang membuat keputusan dalam kamar bagaimanapun memerintahkan pasangan itu melaporkan perkahwinan mereka kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAIWP) seperti diperuntukkan Seksyen 12 (2) Akta Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Peguam syarie, Boestaman Ahmad yang mewakili pasangan itu ketika ditemui di luar pekarangan mahkamah, memberitahu keputusan dicapai selepas mahkamah berpuas hati dengan dokumen yang dikemukakan.

“Pihak kami berjaya mengemukakan surat nikah pasangan itu, surat pengesahan Konsulat General Malaysia di Thailand serta bukti dokumen perjalanan pada tarikh pernikahan mereka iaitu 22 Mei 2008,” katanya.

Sementara itu, Rita, 33, yang hadir bersama Mohd Aidil, 22, ketika ditanya mengenai arahan mendaftarkan pernikahan mereka hanya memberikan jawapan ringkas iaitu menyerahkan semua perkara kepada peguam.

“Alhamdulillah semuanya sudah selesai.

“Kami lambat mendaftar kerana masing-masing sibuk dengan tugas,” katanya.

Pelakon utama drama bersiri Rozzana itu juga memberitahu beliau yang kini mengandung enam bulan merancang untuk mengurangkan kegiatan lakonan kerana mahu menghabiskan masa bersama anak yang bakal dilahirkan nanti.

Berita Harian

Epilog: Undi Mawi Merosot Teruk, Empat Artis Menang Tipis

16 Apr

Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

SEJURUS selepas pengacara mengumumkan nama Nabil sebagai pemenang gelaran Bintang Paling Popular 2008, sorakan yang diberikan penonton dalam Arena Of Stars, Genting Highlands, pada malam Ahad lalu, begitu bergempita kerana ramai yang memang mahukan pelawak muda dari Seremban itu menang.

Dan memang pun ramai yang sudah mengagak Nabil mampu merampas gelaran itu daripada Mawi. Biarpun kemunculan Nabil dalam industri hiburan baru saja genap setahun sebulan, tetapi namanya cukup laris dan menjadi rebutan produser dan stesen untuk menjual aksi komedi serta jenakanya sama ada dalam program TV berupa game show, sitkom mahupun untuk muncul dalam filem cereka, selain dalam pertunjukan pentas dan persembahan makan malam agensi kerajaan mahupun korporat.

Dalam keadaan yang ramai menjangkakan Nabil mampu menang itu, ia cukup dirasai apabila Nabil yang sebelumnya pada majlis itu menang kategori Artis Baru Lelaki Popular, sorakan terhadap kemenangannya begitu kuat dalam arena berkenaan, kemudian apabila Nabil selagi lagi menang menerusi Artis Komedi Lelaki Popular, sorakan bertambah riuh. Malah, ketika senarai nama calon finalis diumumkan, sampai saja pada nama dan visual Nabil, penonton memberikan sorakan lebih kuat berbanding calon lain.

Nabil menang anugerah tertinggi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 itu bukan kerana memiliki aura macam Mawi yang pernah menang tiga kali termasuk pada ABPBH musim lalu, juga bukan kerana Nabil mempunyai vokal sedap dan lagu hebat macam Datuk Siti Nurhaliza yang pernah menang lima kali gelaran itu. Kemenangan Nabil kerana bakat lawak jenakanya yang cukup menyerlah dan dia boleh diibaratkan jelmaan Saiful Apek yang pernah muncul sebagai pelawak pertama menang Bintang Paling Popular, iaitu pada ABPBH 2003.

Agak menarik untuk dibincangkan mengenai keputusan pemenang gelaran tertinggi itu kerana maklum balas mendapati ramai suka Nabil menang kerana akhirnya beliau dapat merobohkan tembok kukuh yang selama ini dimonopoli Mawi dan ramai memang mahu melihat siapa artis yang boleh menewaskan Mawi. Akhirnya muncul Nabil, juara Raja Lawak Astro musim kedua. Bakatnya itu menyerlah kerana hasil daripada program realiti TV seperti mana Mawi yang menang Bintang Paling Popular kali pertama pada ABPBH 2005 selepas auranya mencetuskan fenomena dalam Akademi Fantasia musim ketiga (AF3).

Dalam sisi lain sebelum keputusan diumumkan, sebenarnya ramai juga yang was-was sama ada antara Nabil, Mawi dan Siti Nurhaliza masing-masing ada peluang untuk menang Bintang Paling Popular 2008. Sebenarnya juga ramai yang masih berasakan Mawi mampu lagi merangkul gelaran itu musim ini berikutan kisah mengenai peribadinya cukup panas sepanjang tahun lalu apatah lagi menjelang hujung tahun lalu dia mendirikan rumah tangga dan acara pernikahan, persandingan dan resepsi dirayakan secara besar-besaran hingga dibuat siaran langsung menerusi Astro.

Malah, Mawi masih ada aura dan dia juga masih laris dalam persembahan. Namun, Mawi tidak lagi selaris dulu dan auranya memang jelas merosot. Namun, keupayaan Mawi mengekalkan gelaran Penyanyi Lelaki Popular untuk kali keempat berturut-turut adalah satu pencapaian yang cukup baik kerana belum ada dalam rekod ABPBH, ada penyanyi mampu bertahan dengan rekod itu.

Kemerosotan Mawi dari segi populariti mungkin kerana aura pada dirinya kurang lagi menyerlah, Betul kata orang, aura selalunya tak akan bertahan lama. Aura itu ibarat seri sebab seri seseorang itu akan cepat luntur jika tidak dipelihara dan diperbaikid dari semasa ke semasa. Malah ada yang berseloroh, dulu Mawi menang juga disebabkan aura sebagai lelaki bujang tetapi sekarang aura dah tak ada kerana statusnya kini sebagai suami orang!

Dari segi lain, berdasarkan kualiti kerjaya seni, inilah kesan yang berlaku terhadap Mawi kerana aura dimilikinya sejak AF3 tidak mampu bertahan lama dan tidak nampak dia berusaha untuk menjadi penyanyi yang lebih baik, tiada ada lagi lagu baru yang sedap dan menarik perhatian ramai pendengar, mahupun dia mampu membuat transformasi pada persembahan, karisma dan kredibiliti sebagai seorang penghibur. Kemerosotan Mawi sudah dirasakan kerana biarpun memang Bintang Paling Popular pada ABPBH 2006 dan 2007 tetapi undinya semakin merosot.

Diteliti pada jumlah undi yang diterima Mawi pada ABPBH 2008, Mawi kalah kepada Nabil dengan majoriti yang besar. Bayangkan Nabil meraih sebanyak 127,524 undi, manakala Mawi cuma memperoleh 55,080 undi, diikuti tempat ketiga terbanyak ialah Datuk Siti Nurhaliza yang mendapat 29,676 undi. Tempat keempat ialah Aznil Nawawi dengan 18,864 undi dan kelima, kumpulan Meet Uncle Hussain menerusi 11,784 undi. Tempat keenam dan ketujuh masing-masing berpihak pada Rosyam Nor dan Saiful Apek.

Meneliti jumlah undian itu, ia bererti Mawi hilang banyak undi kali ini berbanding pada ABPBH musim lalu, dia meraih lebih 119,000 undi. Namun, bagi kemenangan Penyanyi Lelaki Popular, undi yang diperoleh Mawi begitu selesa biarpun mendapat saingan sengit daripada Aizat.

Jika dianalisis jumlah undian yang diterima bagi semua 16 kategori lain ABPBH 2008, didapati pemenang musim ini seimbang antara muka lama dan muka baru. Namun, berdasarkan pola undian, ada empat kategori yang pemenangnya meraih kejayaan menerusi majoriti tipis iaitu bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular yang disandang Que Haidar setelah mengetepikan Rosyam, begitu juga Pelakon Filem Wanita Popular, Maya Karin, yang bernasib baik kerana undinya meningkat pada minggu terakhir kiraan sekali gus dapat meninggalkan Liyana Jasmay.

Dua lagi artis yang turut menang tipis ialah Norkhiriah menerusi Artis Komedi Wanita Popular selepas berjaya memintas undian Kenchana Dewi, manakala Dynas juga bernasib baik kerana berjaya mendapat lebih undi untuk menang Pelakon TV Wanita Popular dengan mengetepikan saingan terdekatnya, Rita Rudaini. Pemenang kategori lain jelas mendapat undi cukup selesa sejak pengiraan undian di peringkat mula lagi. Syabas buat semua pemenang!

Kata orang, di mana periuk pecah, di situlah tembikar tinggal…

Berita Harian