Archive | Rita Rudaini RSS feed for this section

Kemenangan Pengubat Duka

15 Apr

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Berita kejayaan sebagai Pelakon TV Wanita Popular kali kedua berturut-turut mengurangkan perasaan sedih

APABILA Zizie Ezzete dan Nora Danish tersenyum lebar mengumumkan Dynas sebagai Pelakon TV Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008), semua mata tertumpu kepada tempat duduk finalis anugerah ini.

Selang beberapa saat, selepas pasti pelakon ini tidak berada dalam Arena of Stars Genting, Zizie akhirnya mengambil trofi itu bagi pihak Dynas. Walaupun acara diteruskan, pastinya ada segelintir penonton tertanya-tanya kenapa Dynas tidak muncul dalam anugerah yang penuh berprestij ini.

Sekurang-kurangnya apabila Norkhiriah tidak muncul untuk menerima trofi Pelakon Komedi Wanita Popular, dia sempat meninggalkan pesanan kepada Sharifah Shahirah untuk memaklumkan dirinya menghadapi alahan atau morning sickness kerana baru disahkan hamil sehari sebelum acara kemuncak ABPBH 2008 berlangsung.

Apa yang pasti ketiadaan Dynas pada ABPBH 2008 memang menjadi tanda tanya kerana beberapa hari sebelum itu, suaminya Mohd Hafizy Hafiz sudah pun mengesahkan isterinya akan hadir untuk memberi sokongan.

Malahan untuk tujuan itu, Dynas sudah bersetuju menggunakan khidmat pereka fesyen, Nik Erwan Roseli. Hip juga pernah mengadakan sesi fotografi membabitkan perbincangan pelakon dan pereka fesyen itu pada 1 April lalu di butik miliknya bersama Awal Ashaari iaitu DnA Celebrity Style di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.


GAMBAR kenangan Dynas sebelum keguguran kandungan yang sudah berusia tujuh bulan.

Ketika itu, dia begitu teruja untuk hadir memberikan sokongan biarpun sarat mengandung tujuh bulan dan memuji hasil kreativiti pereka muda itu.

Tapi, siapa sangka di saat dia sedang menanti khabar gembira untuk bergelar ibu, ada berita duka yang ingin dikongsi pelakon yang menjawab kepada persoalan mengenai ketiadaannya pada malam Ahad lalu.

Ketika Hip untuk mengucapkan tahniah di atas kemenangannya sebagai Pelakon TV Wanita Popular bagi dua tahun berturut-turut, Dynas pula menyambutnya dengan berita sedih iaitu dia mengalami keguguran.

Jawapan itu sudah cukup untuk menjelaskan mengapa dia tidak dapat hadir pada malam kemuncak ABPBH 2008. Ini adalah kali kedua Dynas keguguran. Kali pertama pada tahun lepas.

“Saya keguguran pada Jumaat minggu lalu,” katanya dalam suara sayu.

“Saya menganggap semua ini sebagai ujian daripada Tuhan. Bayi sudah berusia tujuh bulan itu dikeluarkan secara normal dan dikebumikan selepas solat Jumaat. Baju Nik Erwan pun sudah siap, cuma saya tidak sempat memakainya,” sambungnya lagi dengan nada perlahan.

Berita kemenangannya di ABPBH 2008 sedikit sebanyak dapat mengubati kedukaan yang sedang ditanggungnya. Dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular kali ini, Dynas disaingi oleh Abby Abadi, Diana Danielle, Fasha Sandha dan Rita Rudaini.

Dynas berterima kasih kepada peminatnya seperti di laman sembang, Facebook yang begitu erat menyokong rentak kerjayanya.

Keguguran kali kedua

“Saya tidak sangka akan menang lagi pada tahun ini. Alhamdulillah biarpun berdepan dengan calon yang hebat, masih ada peminat serta pelanggan dan penggemar butik DnA.

“Ini menjadi langkah seterusnya untuk saya daki ke peringkat yang lebih baik, untuk saya terus kuat hati dan perasaan biarpun baru saja mengalami peristiwa duka,” katanya lagi.

Kata Dynas, dia percaya setiap perkara yang berlaku ada hikmah yang terselindung. “Saya sendiri tidak sangka akan keguguran lagi kali ini. Mujurlah suami begitu memahami keadaan yang dialami.

“Ingat lagi sewaktu saya disahkan hamil, dialah insan yang paling gembira. Kami akur menerima ketentuan ini dengan hati terbuka biarpun sedih juga untuk dikenang.

“Kami reda dan menganggap bukan rezeki kami lagi untuk menimang cahaya mata,” katanya yang sedang menjalankan proses berpantang selama 44 hari seperti ibu yang lain.

Mengenai kejayaan dan laluannya untuk terus mengungguli kategori itu, Dynas dalam kenyataannya sebelum diberitahu sudah keguguran sebenarnya harus melalui saingan sengit nama-nama calon ‘panas’ yang lain.

“Menang atau kalah, semuanya adalah rezeki masing-masing. Setiap dugaan yang diterima pasti ada hikmah terselindung. Saingan Top 5 ini memang sengit belaka dan semuanya terpulang kepada peminat untuk memilih siapa yang mereka rasa layak untuk menang.

“Mungkin kejayaan saya tercalon itu kerana rezeki anak dalam perut. Begitu juga dengan Rita Rudaini pesaing kategori sama yang turut berbadan dua. Saya tak sangka tercalon lagi tahun ini dan satu bonus kalau saya dapat pertahan kejuaraan kategori ini. Sekarang ini pun drama Julia Juli lakonan saya sedang disiarkan di TV3 & TV9,” katanya.

Sebelum itu, kesempatan berada di butik DnA kira-kira dua minggu lalu memberi peluang kepada Hip untuk merakamkan pelbagai pilihan barangan dan aksesori yang dijual.

Sesekali kalau ada kelapangan, Dynas tak betah duduk diam dan dia akan meluangkan masa menguruskan butik yang sudah lapan bulan beroperasi di kawasan elit itu. Belum pun sampai setahun, butik yang diusahakan bersama Awal itu sudah mula menarik perhatian ramai pengunjung terutamanya peminat mereka yang menggemari corak fesyen terkini.

Kata Dynas, minatnya mula bercambah untuk bergelar usahawan sewaktu dia mendapat tajaan baju untuk sesi fotografi daripada Awal yang lebih dulu menceburi jualan pakaian secara online, Mannequeen. Lagi pun Dynas memang suka berniaga mengikut resam keluarganya.

“Memang keluarga Dynas berorientasikan bisnes. Bayangkan sejak kecil, saya memang suka menjual. Sebagai contoh, kalau pergi ke pusat beli-belah, saya sanggup meminta mama membelikan pensil di dalam kuantiti yang banyak supaya boleh dijual kepada kawan di sekolah,” katanya.

PROFIL: Dynas

Nama Penuh: Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar

Tarikh Lahir: 8 Mac 1983

Asal: Petaling Jaya, Selangor

Pendidikan: Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Pencapaian: Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007.

Suami: Mohd Hafizy Hafiz, 37, (Berkahwin pada pada 15 Mac 2008).

Drama: Di Bawah Ketiak Isteri, Ezora, Ai Di Beijing.

Filem: Impak Maksima, Haru Biru, Kayangan, Apa Kata Hati.

Laman web D&A Celebrity Style: http://www.dna.com.my (boleh dibeli secara online).

Berita Harian

Soseh Soseh: Diana Jual Mahal?

14 Apr

Rap
ANTARA mereka pernah wujud perasaan cinta. Maka tidak hairanlah walau pernah bersengketa sehingga membawa kepada perpisahan, rasa sayang tetap ada apabila kembali bertemu kekasih lama. Begitulah SS ibaratkan pasangan remaja yang pernah menjalinkan cinta, Syamsul Yusof dan Diana Danielle.

SS difahamkan, Diana yang kini mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Princess Haliza, Sepang, Selangor, turut hadir memeriahkan majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Ahad lalu.

Pelepasannya selama tiga hari bermula 11 April itu ehsan PLKN kerana menyedari Diana adalah calon akhir bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular yang turut menyaksikan empat lagi peserta, Abby Abadi, Fasha Sandha, Rita Rudaini dan Dynas yang muncul sebagai pemenang.

Hendak dijadikan cerita, ketika Diana berbual-bual dengan wartawan di belakang pentas Arena Of Stars, SS difahamkan Syamsul hanya memperhatikan dari jauh.

Namun, akhirnya Syamsul datang menyapa Diana. Mungkin rindu agaknya. Maklumlah, sejak perselisihan faham yang membawa pergaduhan besar hujung tahun lalu sehingga Diana mendakwa dicederakan lalu membuat laporan polis, sejak itu Syamsul tidak lagi menemuinya.

Justeru, di ABPBH2008 barangkali saat terbaik buat Syamsul melepaskan rindu atau kembali menjernihkan hubungan mereka yang sudah terlalu keruh.

SS difahamkan beberapa teman yang memerhati, Diana kurang selesa dengan tindakan bekas teman lelakinya itu menghampiri dan cuba mengajak berbual.

Dia sebenarnya bukanlah tidak sudi berbual dengan Syamsul, tetapi enggan orang salah faham dan isu kembali diperkatakan. SS dimaklumkan lagi, Diana tidak kisah menerima Syamsul sebagai kawan, tetapi untuk kembali seperti dulu mungkin tidak.

 

 

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Nabil Mampu Gugat Mawi, Siti?

11 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
SIAPAKAH yang bakal mengungguli trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 bagi edisi ke-22 malam esok? Semua persoalan itu bakal terjawab pada malam kemuncak majlis gilang-gemilang ABPBH08 yang akan disiarkan secara langsung dari Arena of Stars, Genting Highlands di TV3, jam 9 malam.

Senarai penuh pencalonan akhir ABPBH08 juga menyaksikan bintang realiti TV dan band indie tempatan antara 28 muka baru yang mendominasi beberapa kategori tertentu daripada seramai 80 penyanyi, pelakon dan personaliti disenaraikan sekali gus bersaing dengan nama popular.

Kategori paling mencuri tumpuan sudah pasti gelaran Bintang Paling Popular yang bakal membawa pulang pelbagai hadiah lumayan termasuk kereta Nissan Sylphy 2.0L berharga RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.

Ramai menjangkakan malam kemuncak acara berprestij ini bakal menyaksikan kejutan kerana ada nama baru yang akan menang beberapa kategori utama dari 16 kategori dipertandingkan.

Calon kegemaran yang disebut-sebut memberi saingan sengit kepada Raja SMS, Asmawi Ani atau Mawi dan Datuk Siti Nurhaliza untuk membawa pulang trofi Bintang Paling Popular ialah bintang yang digilap daripada program realiti Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad, 26 atau nama komersialnya, Nabil Raja Lawak.

Nama dan populariti Nabil meningkat dengan mendadak dalam tempoh setahun berkecimpung sebagai anak seni. Setakat ini tujuh filem dilakonkan iaitu Sifu dan Tongga, Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Kecoh Betul, Notti, Pisau Cukur, Momok The Movie dan Eee…hantu.

Selain berlakon filem, Nabil yang hangat bercinta dengan pelakon Irma Hasmie ini juga melebarkan sayapnya sebagai pengacara dan terbaru gandingannya dengan Raja Azura dalam Ewah-Ewah.

Difahamkan, undian awal ABPBH08 membuktikan, Nabil menerima jumlah undian melebihi jumlah undi diterima Mawi bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular. Jika jangkaan itu tepat, gelaran yang dipertahankan Mawi sejak tiga tahun lalu akan beralih kepada Nabil, sekali gus melakar sejarah baru dalam anugerah berpestij ini.

Kejayaan ini sekali gus menjadikan Nabil artis komedi kedua berjaya selepas Saiful Apek bergelar Bintang Paling Popular.

Anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan ini juga berhadapan laluan mudah untuk mengetepikan artis kelahiran AF seperti Nubhan dan Riz. Begitu juga dua lagi calon, Aiman dan Fizo dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular.

 

 

Kemungkinan besar, Nabil juga bakal mengetepikan nama besar seperti AC Mizal, Afdlin Shauki, Saiful Apek dan Zizan Raja Lawak untuk Artis Komedi Popular.

Betapa hebat pun pengaruh besar Nabil dalam industri seni tanah air, dia lebih suka merendah diri dalam segala hal menyedari baru setahun jagung bergelar anak seni. Malah kata Nabil, dia juga tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang.

“Saya tidak terfikir pun untuk menjadi finalis pada acara berprestij itu. Sebenarnya, saya cuma jangka untuk tampil menjadi penyampai anugerah, tetapi sebaliknya nama saya dicalonkan dalam dua kategori sekali gus.

“Tapi jika menang nanti, saya tetap bersyukur dan menganggap ia bonus sekali gus menyuntik semangat untuk bekerja lebih keras lagi,” katanya.

Antara artis muda yang menyerlah dan memberi saingan sengit bagi kategori Artis Baru Wanita Popular

ialah bintang yang digilap dari AF, Stacy. Dia juga bersaing dengan empat lagi calon iaitu Ayu (OIAM), Lisa Surihani, Sari Yanti dan Scha.

Namun, dia berhadapan cabaran sengit kategori Penyanyi Wanita Popular kerana berhadapan dengan Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Mila dan Elyana. Bagi Stacy, sekadar dicalonkan dalam senarai Top 5 dalam ABPBH 2008, sudah cukup bermakna buatnya.

“Saya tidak mengharap kemenangan untuk Penyanyi Wanita Popular kerana semua sedia maklum, Siti sukar digugat artis lain.

“Saya juga bersaing dengan ramai bakat baru yang tidak kurang hebatnya untuk Artis Baru Wanita Popular. Kalau menang, ia rezeki tapi kalau kalah, saya akan bekerja lebih keras lagi untuk pencalonan tahun depan,” katanya.

Seorang lagi calon yang tidak boleh dipandang ringan untuk Artis Baru Wanita Popular ialah pelakon yang popular menerusi drama Kaisara, Sari Yanti.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang kerana saingan kategori ini hebat belaka,” katanya.

Kategori penyanyi Duo/Berkumpulan Popular menyaksikan penguasaan band indie tempatan seperti Estranged, Hujan dan Meet Uncle Hussain. Ketiga-tiga band ini mempunyai kekuatan dan pengikut tersendiri.

Kemunculan pelakon kacak kelahiran Singapura, Aaron Aziz untuk Pelakon TV Lelaki Popular juga tidak boleh diperlekehkan. Aaron berhadapan calon berpengalaman Rosyam Nor dan pelakon popular lain, Que Haidar, Aqasha, Ashraf Muslim dan Fahrin Ahmad.

Ashraf yang popular dalam Puaka Ning Rapik dan drama bersiri Yusuff juga tidak boleh dipandang ringan dan mampu menggugat Rosyam yang menggungguli kategori ini sejak 2004. Manakala untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Rosyam mengungguli kategori itu selama tujuh kali sejak 1997.

Sementara itu Siti yang kini mempertaruhkan bingkisan album terbarunya Lantera Timur, dijangka terus mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular yang sudah sedekad dalam gengamannya.

Apapun kontroversi yang pernah dikaitkan dengan Siti ternyata tidak menggugat populariti isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini sekali gus mengetepikan dengan mudah semua calon lain.

Kategori Pelakon Filem Wanita Popular pula menyaksikan persaingan tiga nama besar dalam industri lakonan, Erra Fazira, Vanidah Imran dan Maya Karin berbanding dua calon baru, Liyana Jasmay dan Sharifah Amani.

Laluan artis kontroversi, Fasha Sandha untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular nampaknya tidak mudah kerana kemunculan artis yang lebih segar dan laris ketika ini seperti Diana Danielle.

Manakala kehadiran Saiful Apek sekali lagi dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dikatakan boleh menggugat peluang Rosyam Nor untuk mengungguli kategori berkenaan ini.

Untuk Artis Komedi Wanita Popular, kehadiran muka baru, Amyza Aznan, Norkhiriah, Ruminah Sidek dan Sheila Mambo sukar menggugat penguasaan Sheila Rusly yang mengunggulinya sejak 2003. Hanya Kenchana Dewi dicalonkan kali kedua.

Rasanya sukar bagi peminat mengundi pemenang baru kerana memikirkan hadiah lumayan menanti mereka sebaliknya lebih selamat memilih pemenang tahun lalu. Saban tahun ABPBH menyaksikan keputusan sama mungkin kerana sikap berhati-hati pembaca.

Aznil Nawawi juga mengungguli kategori Pengacara TV Lelaki Popular sebanyak lima kali. Tahun ini Aznil bersaing dengan senarai tradisi, AC Mizal, Faizal Ismail dan Ally Iskandar. Aznil juga dicalonkan untuk Penyampai Radio Lelaki Popular.

Fara Fauzana pula dijangka berhadapan laluan mudah untuk mengungguli Pengacara TV Wanita Popular dan bakal mengulangi kejayaan tahun lalu untuk Penyampai Radio Wanita Popular yang dirampasnya dari Linda Onn yang mengungguli kategori itu enam tahun berturut-turut sejak 2001.

Kategori Penyanyi/Artis Nasyid Popular pula menyaksikan nama besar dalam industri nasyid, Rabbani, Hijjaz dan Raihan berhadapan saingan muka baru, Akhil Hayy dan Aiman.

SENARAI FINALIS ABPBH08

1. Pengacara TV Lelaki Popular
* AC Mizal
* Ally Iskandar
* Aznil Hj Nawawi
* Faizal Ismail
* Faizal Tahir

2. Pengacara TV Wanita Popular
* Abby Fana
* Cheryl Samad
* Fara Fauzana
* Juliana Evans
* Nurul Alis

3. Pengacara Radio Lelaki Popular
* AG
* Aznil Hj Nawawi
* Faizal Ismail
* Khairil Rashid
* Kieran

4. Penyampai Radio Wanita Popular
* Abby Fana
* Fara Fauzana
* Leya
* Linda Onn
* Nana

5. Artis Komedi Lelaki Popular
* AC Mizal
* Afdlin Shauki
* Nabil
* Zizan
* Saiful Apek

6. Artis Komedi Wanita Popular
* Amyza Aznan
* Kenchana Dewi
* Noorkhiriah
* Ruminah Sidek
* Sheila Mambo

7. Artis Baru Lelaki Popular
* Aiman
* Fizo
* Nabil
* Nubhan
* Riz Artis

8. Baru Wanita Popular
* Ayu OIAM
* Lisa Surihani
* Sari Yanti
* Scha
* Stacy

9. Penyanyi/Artis Nasyid Popular
* Akhil Hayy
* Aiman
* Hijjaz
* Raihan
* Rabbani

10. Penyanyi Berkumpulan/ Duo Popular
* Estranged
* Fabulous Cats
* Hujan
* Meet Uncle Hussain
* M Nasir & Malique

11. Penyanyi Lelaki Popular
* Adam
* Aizat
* Amy Search
* Mawi
* Nubhan

12. Penyanyi Wanita Popular
* Elyana
* Jaclyn Victor
* Mila
* Siti Nurhaliza
* Stacy

13. Pelakon Filem Lelaki Popular
* Farid Kamil
* Que Haidar
* Rosyam Nor
* Rusdi Ramli
* Saiful Apek

14. Pelakon Filem Wanita Popular
* Erra Fazira
* Liyana Jasmay
* Maya Karin
* Sharifah Amani
* Vanidah Imran

15. Pelakon TV Lelaki Popular
* Aaron Aziz
* Aqasha
* Ashraf Muslim
* Fahrin Ahmad
* Rosyam Nor

16. Pelakon TV Wanita Popular
* Abby Abadi
* Diana Danielle
* Dynas
* Fasha Sandha
* Rita Rudaini

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Rosyam Terbitkan Pilih Kasih

7 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

ROSYAM bersama pengacara Pilih Kasih iaitu Reza Mohamed, Raja Azura serta hos Jurnal Harian, Pasha.

Program realiti TV cungkil bakat baru dalam bidang lakonan

PENGALAMAN lebih dua dekad, selain merangkul pelbagai pengiktirafan terbaik dan popular, profil seni aktor berwibawa, Rosyam Nor diperkasakan bersama misi baru menerusi program realiti, Pilih Kasih.

Idea menerbitkan program Pilih Kasih itu lahir ekoran kesedaran untuk memberi ruang dan peluang selain menjadi batu loncatan kepada pencinta dunia lakonan untuk mengasah dalam seni lakon.

Awalnya, aktor yang dijulang sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang ini merancang untuk menerbitkan filem romantik komedi, Kekasih.

Bagaimanapun, selepas membuat penelitian bersama pengarah, Bade Azmi terhadap pasaran serta sambutan penonton yang semakin suram, lahir idea untuk menerbitkan program realiti itu.

“Program ini untuk industri. Selama ini, peminat sering merungut setiap kali menekan punat televisyen atau ke pawagam, mereka akan menonton wajah yang sama. Malangnya kita tidak mempunyai ramai pelakon yang mempunyai keserasian seperti yang dimiliki gandingan Erra Fazira dan Awie. Begitu juga gandingan saya dan Rita Rudaini yang jelas disenangi penonton.


TENAGA kerja berpengalaman menjadi nadi yang memperkasakan Pilih Kasih.

“Seseorang pelakon perlu ada bakat untuk digilap menjadi hebat. Menerusi program Pilih Kasih, kami menyediakan peluang kepada mereka yang berbakat tetapi tidak mempunyai ruang mengetengahkannya supaya tampil dan mencuba kemampuan,” katanya.

Menerusi program realiti yang ditangani nama berpengalaman seperti Rohani Yousoff dan Erma Fatima sebagai tenaga pengajar, kesemua bakat terpilih akan dilatih untuk menjadi anak seni yang serba boleh dan memenuhi kriteria untuk diketengahkan ke layar perak.

Program realiti Pilih Kasih, kata Rosyam, turut mendedahkan kepada orang luar profesion sebagai pelakon adalah satu bidang pekerjaan yang baik dan memberi impak sekiranya dilakukan di atas landasan betul dan ikhlas.

“Program ini dibarisi tenaga penerbitan berpengalaman luas dalam segala aspek merangkumi filem, drama, dokumentari dan video untuk memenuhi spesifikasi dan piawaian rancangan realiti berkualiti,” katanya.

Pengisian program Pilih Kasih memperlihatkan peserta didedahkan mengenai realiti sebenar menjadi anak seni dengan menyempurnakan tugasan di bawah pengawasan pengarah berpengalaman seperti Along Kamaruddin dan Amy Maziah.

Peserta juga didedahkan dengan kelas lakonan drama muzikal yang dipimpin Erma Fatima sebagai tugasan kedua mingguan dan akan diadili setiap minggu ketika Malam Perdana.

“Kami turut mencari individu yang berkebolehan menyanyi dan menari selain mempertaruhkan bakat lakonan sebagai asas utama program ini,” katanya.

Pelakon dan pengacara berusia 42 tahun ini berkata, Pilih Kasih menyediakan kemudahan pusat seni lakon bagi melahirkan bakat terlatih dan berwibawa.

Meskipun tempoh latihannya singkat, Rosyam yakin program itu akan menjadi perintis ke arah mengangkat martabat seni lakon di negara ini.

“Saya mengalu-alukan mereka yang berminat, selain ahli kelab teater, seni lakon dan badan kesenian seluruh negara supaya bangun menyahut cabaran ini.

“Pelakon tambahan juga disyorkan menghadiri uji bakat untuk mengembangkan kemampuan yang selama ini terhad disebabkan kekangan watak,” katanya.

Cara penyingkiran berbeza

BIARPUN mengikut asas program realiti lain yang menyandarkan nasib peserta kepada undian penonton, cara penyingkiran peserta yang kurang bernasib baik dalam Pilih Kasih mengetengahkan corak yang berbeza.

Keputusan mutlak penyingkiran berada di tangan penerbitnya iaitu Rosyam sendiri kerana ia bertujuan mendidik penonton supaya tidak mensia-siakan bakat yang berpotensi untuk menyinar di persada lakonan.

“Kami tetap menghormati undian penonton, cuma dua peserta yang mendapat peratusan undian terendah akan berdepan dengan saya untuk dipertimbangkan sebelum penyingkiran seorang peserta yang lemah dibuat.

“Bagaimanapun, elemen kejutan sebagai gimik program tetap diterapkan kerana ia menjadi antara perencah yang memberi tarikan kepada Pilih Kasih,” katanya.

Suatu janji Rosyam, nasib finalis Pilih Kasih tidak akan terabai selepas tamat pengajian kelak kerana dia merangka pelbagai peluang untuk mereka.

Mereka bakal menjadi wajah baru untuk mengisi pelbagai slot penerbitan drama dan filem yang semakin berkembang.

“RTM sendiri bakal melancarkan 13 lagi saluran, sekali gus memperlihatkan keperluan penerbitan lebih banyak drama serta program televisyen. Industri tidak selamanya harus bersandar kepada wajah sedia ada, jadi kehadiran bakat baru ini mengisi ruang itu. Saya percaya peluang untuk mereka bertapak adalah cerah berdasarkan kepada potensi besar dalam industri lakonan,” katanya.

Mengekalkan format seperti program realiti lain, Pilih Kasih akan memaparkan aktiviti harian pelajar menerusi Jurnal Harian yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat selama setengah jam.

Tayangan Perdana pula memaparkan pertarungan peserta untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam pertandingan itu setiap hujung minggu.

Menerusi slot selama 90 minit itu, penonton disajikan dengan tiga segmen iaitu Filem Pendek yang memaparkan hasil lakonan setiap peserta menerusi tayangan drama bersiri selama 10 minit

Peserta juga diberi skrip untuk menjayakan segmen teater dan mempersembahkannya secara langsung, selain menunjukkan bakat menerusi lakonan monolog sekali gus menilai tahap kemahiran lakonan mereka.

Persembahan peserta akan menerima kritikan daripada Rosyam dan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah.

Program Pilih Kasih yang memulakan siarannya pada 25 Mei ini menyatukan Raja Azura dan Reza Mohamed sebagai pengacara, manakala Jurnal Harian pula dikendalikan bakat baru, Pasha Abdul Rahim.

INFO: Uji bakat

DIADAKAN di lima zon berbeza selama lima minggu dan terbuka kepada bakat berusia 18 hingga 35 tahun. Sesi uji bakat bermula dari jam 10 pagi hingga 8 malam. AEON Bukit Indah, Johor Bahru – 11 April Kompleks Terminal One, Seremban – 12 April KB Mall, Kota Bharu – 18 April Berjaya Megamall, Kuantan – 19 April One Borneo, Kota Kinabalu – 26 dan 26 April Queensbay Mall, Pulau Pinang – 2 Mei Plaza Alam Sentral, Shah Alam – 3 Mei The Spring, Kuching – 9 dan 10 Mei

Berita Harian

Dengarnya… Tahniah Tersenarai Top 5 ABPBH 2008

23 Feb

Oleh Normah Becok

MINGGU lalu, Cik Normah menghadiri majlis pengumuman senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008. Ada yang Cik Normah tak sangka-sangka akan dapat, tapi dapat. Mungkin itu sudah rezekinya selain dapat sokongan peminat, maka bersyukurlah. Cik Normah juga tumpang gembira dan kadang-kadang rasa geli hati Nurul Alis atau Kiki, personaliti RTM yang berjaya membolosi diri untuk kategori Pengacara TV Popular.

Berkali-kali kawan Cik Normah meyakinkan Kiki bahawa namanya tersenarai dalam Top 5. Kata kawan Cik Normah lagi, dia memang terkejut yang bukan dibuat-buat. Malah, sewaktu kawan Cik Normah itu hendak menghubunginya menerusi telefon untuk mendapatkan reaksinya, Kiki boleh cakap panggilan yang dibuat ala ‘panggilan hangit’ yang hendak mengenakan dirinya. Macam program Wakenabeb pun adalah. Yelah, siapa yang tak sangka, calon bukan kegemaran tiba-tiba naik nama ke peringkat akhir. Apa-apapun, Cik Normah ucapkan syabas kepada Nurul Alis.

Selain itu, ada juga nama seperti Elly Mazlein, Farahdhiya, Dafi, Remy Ishak, Fouziah Gous, Iqram Dinzly (sekadar menyebut beberapa nama) yang popular tetapi tidak tersenarai dalam Top 5 ABPBH 2008. Cik Normah pun pening, kenapa jadi begitu. Apakah peminat mereka kurang atau prestasi mereka semua pada tahap biasa-biasa saja. Apa pun itu semua adalah keputusan peminat dan pembaca Berita Harian/Berita Minggu.

Ada juga yang tidak lekang dengan kontroversi seperti Datuk Siti Nurhaliza, Abby Abadi, Diana Danielle, Rita Rudaini, Akhil Hayy, Elyana, Faizal Tahir, Fahrin Ahmad dan Linda Onn tapi berjaya mencuri perhatian peminat untuk terus diundi mereka. Cuma Memey Suhaiza dan Norman Hakim sebagai antara contoh yang panas tahun lalu, tapi gagal menyerlah ke senarai akhir. Tak dilupakan pasangan suami isteri, Lisdawati dan Fauzi Nawawi pun begitu.

Scha antara ramalan Cik Normah yang tepat apabila dia turut tersenarai dalam Top 5 kategori Artis Baru Wanita Terbaik. Tapi Cik Normah risau, takut gosip cintanya dengan Fahrin akan membuatkan peminat mula jelak. Abby Fana pula antara penyampai radio yang jarang kedengaran kisah kontroversi tapi membuktikan sokongan peminat terutamanya mak cik dan pak cik yang suka mendengar celotehnya tidak pernah berbelah bahagi. Tak semestinya jarang mendapat pendedahan media tak boleh ke Top 5. Abby Fana dan Nurul Alis di RTM sebagai bukti terdekat.

Kata teman setugas Cik Normah, ABPBH 2008 kali ini nampak sengit dan meriah kerana senarai Top 5 memperlihatkan banyak wajah baru, segar dan muda seperti Stacy, Meet Uncle Hussain, Aizat, Aiman dan Estranged.

Cik Normah ucapkan syabas kepada semua senarai. Kepada peminat, buatlah undian mengikut pilihan sendiri secara jujur bukan sebab nak menang hadiah semata-mata. Hadiah ditentukan pada slogan yang baik dan kreatif bukan undian tepat. Jadi pilihlah artis yang digemari jika mereka berhak menerima pengiktirafan itu.

Berita Harian

Dengarnya…: Rashid Sibir Bikin Filem 'Adik-Adik'

19 Feb


Rashid akan menghasilkan filem terbaru, Bidadari.

SATU persatu cerita daripada drama episod dipindahkan ke layar perak. Sebelum ini Kabir Bhatia nak jadikan drama Kekasihku Seru menjadi filem selepas dapat sambutan baik daripada penonton ketika disiarkan di TV. Cik Normah juga ada dengar orang kuat di Metrowealth Movie Production (MMP), David Teoh sedang merancangkan untuk mengambil beberapa siri drama terbitannya sebagai filem.

Tahun lalu, pengarah Rashid Sibir berhasrat menjadikan telefilem Wali lakonan Rita Rudaini, Liza Othman dan Ahmad Tarmimi Siregar ke filem. Tapi yang terbaru, Cik Normah dapat tahu rancangannya tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, pengarah itu masih lagi menerbitkan dan mengarahkan cerita mengenai lelaki lembut atau ‘adik-adik’ bagi filem terbarunya.

Judul filem itu, Cik Normah dapat tahu ialah Bidadari. Khabarnya akan dimulakan penggambaran pada Jun ini dan masih mengekalkan pelakon utama telefilem Wali iaitu Ahmad Tarmimi Siregar di samping Zaibo dan Mimi Zarina. Nasha Aziz dan Saiful Apek yang pernah berlakon filem Cinta Luar Biasa di bawah arahan Rashid pun dijangka berlakon dalam filem ini.

Nasha mungkin akan jadi ‘paperdoll’ manakala Saiful Apek disolek cantik menjadi ‘wanita jadian.’ Fouziah Gous juga antara nama yang disebut pengarah yang sering mendapat jolokan pengarah air mata ini.

Dalam hal Fouziah ini, Cik Normah diberitahu selepas berlakon telefilem Debab yang sudah disiarkan di Astro Ria, Rashid bercadang hendak menggandingkannya dengan Farid Kamil dalam drama cinta berjudul Deru Ombak. Kalau jadi, drama itu akan memulakan penggambaran Mac depan. Kawan Cik Normah pernah memberitahu yang Rashid melihat potensi Fouziah untuk diketengahkan jika diberi tunjuk ajar yang betul. Haa…! Buat peminat telefilem Debab, cerita Debab versi raya akan diarahkan Rashid bersempena sambutan Aidilfitri nanti.

Berita Harian

Nikmat Suami Muda

15 Feb

Oleh NAZARALI SAERIL, ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan MOHD NASIF BADARUDDIN
metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Selepas hangat dengan kes perceraian, kini muncul satu lagi ‘warna-warni’ dalam dunia hiburan tanah air apabila secara kebetulan dan tanpa dirancang ramai artis wanita memilih lelaki muda sebagai suami.

Berdasarkan pemantauan, lima artis dan seorang personaliti televisyen wanita memilih suami yang jarak usia jauh lebih muda berbanding mereka.

Menduduki senarai teratas trend berkahwin dengan ‘pucuk muda’ ialah pelakon, Rosnah Mat Aris, 54, yang memilih lelaki bujang, Tajul Efendie Isa, 28. Perbezaan umur di antara mereka ialah 26 tahun.

Ini diikuti Khalidah Adibah Ahmad, 52, atau nama komersialnya, Aida Radzwil yang berkahwin dengan Joe Radzwill, 39, pada 2002 (beza 13 tahun).

Mereka disusuli pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar, 33, dan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 22, (beza 11 tahun) melalui perkahwinan mereka yang mencetus kontroversi hujung tahun lalu.

Seterusnya, penyanyi dangdut, Rashidah Hamid atau lebih dikenali sebagai Sheeda, 40-an dan guru, Shukri Hashim 30-an (beza 10 tahun) serta personaliti TV3, Azizah Ariffin, 40, dan Eksekutif Pemasaran di Jabatan Pemasaran TV3, Mohd Khafairil Mohd Khalil 30, (beza 10 tahun).

Pasangan terbaru yang memasuki senarai ialah pelakon Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar, 30, dan koreografer popular, Linda Jasmine Hashim, 37 (beza tujuh tahun), yang selamat mendirikan rumah tangga semalam.

Rosnah ketika dihubungi berkata, tiada bezanya berkahwin dengan lelaki lebih muda kerana tanggungjawabnya tetap sama.

Kata Rosnah, dia berkahwin kerana jodoh dan bukan ada sebab lain yang mendorongnya memilih lelaki muda.

“Jika kahwin dengan lelaki sama usia atau lebih tua dari kita, ia tetap sama. Saya tiada masalah kahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda dari saya.

“Blue (Tajul Efendie) sangat matang walaupun usianya jauh lebih muda dari saya. Justeru, kami mempunyai persefahaman antara satu sama lain,” katanya.

Menurut Rosnah, dia bukan memilih lelaki lebih muda untuk ‘berseronok’.

“Kalau fikir nak seronok, baik saya tak payah kahwin. Perkahwinan memerlukan kita menjaga suami dan melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri,” katanya yang sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila pada awalnya menafikan berkahwin, sebelum akhirnya mengakuinya.

Rosnah berkata, kehidupan suami isteri yang dilaluinya sama dengan pasangan lain dan dia turut mengecapi bahagia.

“Walaupun masing-masing sibuk, dia (Blue) balik malam dan saya juga balik malam, tetapi kami memanfaatkan masa terluang bersama.

“Paling menyeronokkan, kami kerap meluangkan masa masuk ke dalam hutan untuk memburu. Ini pengalaman baru yang belum pernah saya lalui sebelum berkahwin dengannya,” katanya.

Sejak berkahwin dengan Blue, rezeki Rosnah nampaknya semakin bertambah apabila kini dia dan suami memulakan perniagaan produk kosmetik dan kolam ikan. Bagaimanapun, permintaan Metro Ahad untuk mengambil gambarnya bersama suami tidak dapat dipenuhi.

“Suami saya tak mahu glamor,” kata Rosnah.

Bagi Sheeda pula, tidak timbul perasaan bangga dalam dirinya apabila jodoh kali ketiganya ditakdirkan dengan seorang guru yang 10 tahun lebih muda darinya.

“Saya berkahwin dengan suami lebih muda bukan untuk berbangga, tetapi ia jodoh yang ditetapkan. Jika ada yang beranggapan saya mengamalkan petua tertentu untuk memikat lelaki muda, ia tidak benar kerana saya tidak berbuat demikian,” katanya.

Menurut Sheeda, perkahwinannya juga diibaratkan seperti ungkapan ‘cinta tak mengenal usia’ sambil memberitahu, bukan mudah untuk dia dan suami ke jinjang pelamin kerana mereka bukan saja mendapat tentangan keluarga, tetapi masyarakat.

“Lima enam bulan sebelum berkahwin, kami menderita juga. Saya perlu meyakinkan keluarga suami dan suami perlu meyakinkan keluarga saya.

“Saya juga perlu meyakinkan penduduk kampung suami yang pada mulanya memandang serong hubungan kami. Akhirnya berkat kesabaran, bukan saja keluarga suami, tetapi penduduk kampung suami merestui perkahwinan kami. Begitu juga keluarga saya,” katanya.

Sheeda berkata, kejujuran adalah faktor paling penting dalam menjamin kerukunan rumah tangga, apatah lagi apabila berkahwin dengan suami yang lebih muda.

“Kalau tak jujur, apa dilakukan memang tidak akan menjadi. Suami pula meyakinkan saya dengan memberitahu terimalah dia seadanya,” katanya.

Menurut Sheeda, perkahwinan dengan suami ketiganya bagaikan membuka lembaran baru dalam hidupnya.

“Sebelum ini saya bukan orang berniaga, tetapi dia bijak mengajar saya. Kini saya mampu mempunyai produk sendiri, iaitu Kopi Dangdut Kacip Fatimah dan album yang diedarkan sendiri tanpa perantaraan syarikat rakaman,” katanya.

Azizah pula menyifatkan umur hanya angka dan bukan faktor utama yang membolehkan perkahwinan itu berkekalan atau sebaliknya.

Menurutnya, ada isteri mendapat suami agak berumur tetapi tetap berpisah, dan kerana itu dia beranggapan faktor usia tidak boleh dijadikan ukuran keharmonian rumah tangga.

“Saya dan suami tidak pernah ada masalah berkaitan umur ketika mahu melangsungkan perkahwinan hinggalah kami disatukan sebagai suami isteri.

“Saya bersyukur suami seorang yang memahami dan tidak pernah menjadikan faktor umur sebagai tembok pemisah untuk kami hidup bahagia seperti pasangan lain,” katanya.

Menurut Azizah, dia dan suami percaya persefahaman, kesabaran dan perbincangan perlu ada dalam hubungan suami isteri bagi memastikan tiada pihak membuat keputusan yang boleh mengguris hati pihak lain demi keharmonian rumah tangga.

Pada masa sama, Azizah turut memaklumkan, mungkin lelaki muda menerima jodoh bersama wanita lebih berusia kerana sifat tertentu wanita berkenaan yang menambat hati mereka.

“Dalam hal suami saya, saya tahu dia pernah mempunyai teman wanita yang juga lebih berusia darinya.

“Mungkin dia mahukan wanita berusia kerana matang dalam pelbagai perkara. Saya pernah melayari bahtera rumah tangga dan ada sedikit pengalaman boleh digunakan untuk kebahagiaan kami bersama,” katanya.

Berkaitan pandangan masyarakat, Azizah berkata, jika diikutkan apa yang dikatakan oleh orang di sekeliling, pasti semuanya salah dan dia serta suami tidak mungkin bersatu.

Katanya, masyarakat ada sebab sendiri untuk memandang serong atau menyokong sesuatu perkahwinan membabitkan isteri lebih berusia dari suami.

“Ada rakan sekerja saya bercakap bukan-bukan di belakang saya ketika hari perkahwinan sudah hampir, tetapi saya buat tidak tahu kerana yang mahu berkahwin adalah saya, bukan mereka.

“Pada saya, yang penting dalam perkahwinan kami ialah kasih sayang suami isteri serta anak, restu keluarga, saling memahami selain yakin pada jodoh ditentukan Allah SWT kerana kita akan menjadi lebih baik dari semalam jika semua itu ada,” katanya.

Bagi Rita pula, dia pernah memaklumkan sebelum ini bahawa hati kecilnya sedikit pun tidak berdetik rasa kesal kerana baginya menjadi isteri kepada lelaki yang sangat dicintai ibarat mimpi menjadi kenyataan.

“Doa kami berdua akhirnya dimakbulkan Tuhan walaupun banyak rintangan perlu dihadapi membabitkan pelbagai perkara sepanjang tiga tahun bercinta,” katanya.

Suaminya, Aidil juga mengeluarkan kenyataan sebelum ini bahawa dia tidak pernah memikirkan soal umur atau statusnya dalam memilih pasangan hidup, asalkan dalam diri wanita itu ada ciri-ciri yang dia mahukan.

“Saya bukan lelaki cerewet walaupun pada zahirnya ada yang membuat andaian begitu. Ada juga yang kata saya memilihnya kerana Rita artis popular.

“Bagaimanapun kalau hendak diikutkan, beristerikan orang popular lagi susah kerana tekanan dari luar lebih banyak. Cuma sepanjang tiga tahun mengenali hati budinya, Rita wanita yang berbeza berbanding gambaran mengenai selebriti yang sering kita dengar,” katanya.

Menurut Aidil, mereka ada beberapa persamaan seperti bersikap sederhana, tidak suka keluar rumah jika tiada urusan kerja dan pelbagai lagi.

Aidil juga yakin mahu memperisterikan Rita kerana dia wanita matang, memahami kerjaya dan dirinya.

“Tanggapan orang bahawa perkahwinan dengan artis tidak menjanjikan kebahagiaan berpanjangan, rasanya tidak benar kerana saya percaya keikhlasan dalam setiap hubungan akan menjadikan kita kuat untuk berdepan apa saja masalah,” katanya.

Bagi aktres, Aida Radzwill pula, hidup dengan berlandaskan hukum agama menjadi pegangannya dalam melayari kehidupan berumah tangga.

“Kahwin lelaki muda, sama usia atau lebih tua, cabarannya tetap sama. Kita perlu jujur dengan diri sendiri dan berpegang kepada ajaran Islam,” katanya yang meniti kehidupan bahagia bersama Joe kira-kira tujuh tahun.

Menurut Aida, dia bersyukur Joe memahaminya dan bersedia untuk mendengar kata-katanya.

“Walaupun dia lebih muda, sikapnya matang. Dia boleh mendengar kata-kata saya dan kami sentiasa berbincang. Segala keputusan dalam sesuatu per
kara, kami lakukan bersama,” katanya yang kini bertudung.

Sementara itu, jika ‘rekod silam’ dijadikan perbandingan jarak usia paling jauh di antara suami dan isteri, ternyata Rosnah ‘tewas’ dengan pelakon drama Aripah Damanhuri yang kini berusia 60 tahun.

Ini kerana Aripah pernah berkahwin dengan lelaki bujang yang jarak usia 32 tahun lebih muda darinya.

Aripah berkahwin dengan Norhariman Muhamad pada 21 Mei 1999 ketika dia berusia 50 tahun dan suaminya berusia 18 tahun.

Bagaimanapun, jodoh mereka tidak berpanjangan apabila pada 24 Oktober 2008, mahkamah mengesahkan permohonan lafaz cerai yang difailkan bekas suaminya.

Info

> Azizah Ariffin dan Mohd Khafairil Mohd Khalil atau lebih dikenali sebagai Fairil dinikahkan pada 18 Ogos 2007 di kediaman Azizah di Bandar Utama.

> Rita Rudaini Mokhtar dan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak berkahwin di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008.

> Rashidah Hamid atau lebih dikenali sebagai Sheeda dan Shukri Hashim bernikah pada 7 Oktober 2008 di kampung Sheeda di Kampung Pasir Pekan, Kelantan.

> Rosnah Mat Aris dan Tajul Efendie Isa dinikahkan pada 13 November 2008 di Masjid Al-Khairiah, Taman Sri Gombak, Selangor.

> Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar dan Linda Jasmine Hashim dinikahkan pada 14 Februari di Restoran Bora Ombak, Jalan Ampang.

Harian Metro