Archive | Rita Rudaini RSS feed for this section

Adik Kembar Aidil Enggan Komen

28 Dec

KUALA LUMPUR: “Saya tak nak komen apa-apa. (Pernikahan) itu keluarga mereka (Rita Rudaini) yang terbabit. Di pihak kami tiada apa-apa yang hendak diperkatakan lagi,” kata adik kembar Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, Mohd Zaquan Adha, 21.

Mohd Zaquan berkata demikian sebagai mengulas pengakuan Rita yang mendedahkan keluarganya turut menguruskan perkahwinannya atas permintaan Mohd Aidil.

Menurut Mohd Zaquan, keluarganya tidak mahu lagi memperkatakan mengenai isu perkahwinan abangnya.

“Ayah saya kini sakit dan kami tidak mahu lagi mengeluarkan kenyataan. Cukuplah sekali,” katanya.

Ditanya adakah keluarganya akan menganjurkan sebarang majlis untuk perkahwinan Mohd Aidil selepas Rita tampil memberi kenyataan, Mohd Zaquan berkata, keluarganya tiada perancangan untuk berbuat demikian.

Katanya, semua itu terpulang kepada keluarga Rita.

Pada 17 Disember lalu, keluarga Aidil mengadakan sidang media di rumah kakak sulungnya, Ruziana Abd Radzak, 37, di Taman Coral Height, Sikamat, Seremban.

Keluarganya ketika itu terkilan kerana Aidil merahsiakan pernikahannya.

Harian Metro

Tumpuan Aidil Tidak Terjejas

27 Dec

Oleh Mohd Amin Jalil
bhsukanb@bharian.com.my

AIDIL (kiri) beraksi pada tahap terbaik di posisi pertahanan, bergandingan dengan Mohd Afandy dalam skuad Negeri Sembilan bimbingan Wan Jamak.

Kontroversi kahwin dengan Rita Rudaini bukan gangguan: Wan Jamak

SEKALIPUN berdepan kontroversi mengenai pernikahannya dengan pelakon Rita Rudaini Mokhtar, pertahanan kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak bersikap profesional apabila tumpuannya terhadap pasukan Negeri Sembilan tidak terjejas ketika mengharungi persiapan terakhir perlawanan persahabatan di Johor Bahru, kelmarin.

Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, berkata sepanjang tiga perlawanan persahabatan dengan Johor Pasir Gudang, Johor FC dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu, Mohd Aidil menunjukkan komitmen tinggi terhadap pasukan.

Katanya, kontroversi mengenai pernikahannya dengan Rita Rudaini nyata tidak mengganggu persembahannya, malah dia beraksi pada tahap terbaik di posisi pertahanan, bergandingan dengan Mohd Afandy Adimel.

“Sepanjang tiga perlawanan di Johor Bahru, Mohd Aidil memberikan persembahan terbaik dan memuaskan hati saya, sekali gus menunjukkan sikapnya yang profesional walaupun cerita mengenai pernikahannya dengan pelakon itu (Rita Rudaini) heboh selepas disiarkan di akhbar baru-baru ini.

“Sehingga kini, dia (Mohd Aidil) tidak memberikan masalah kepada pasukan dan saya yakin, walaupun sudah berumah tangga, dia mampu mengekalkan prestasi cemerlang dan memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan dalam saingan liga yang bermula minggu depan,” katanya di Seremban, semalam.


Wan Jamak Wan Hassan

Mohd Aidil, 21, yang juga tonggak utama Negeri Sembilan, melangsungkan pernikahan dengan Rita Rudaini, 32, di Selatan Thailand pada 25 Februari lalu tetapi hanya diketahui pihak keluarganya pada 14 Disember tahun ini.

Mengenai prestasi keseluruhan anak buahnya selama berada seminggu di Johor Bahru, bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan walaupun masih ada beberapa kelemahan.

Katanya, Negeri Sembilan mencatat kemenangan 1-0 ke atas MBJB dan seri 1-1 dengan Johor Pasir Gudang dan 0-0 dengan Johor FC.

“Tumpuan kini diberikan kepada usaha memperkemaskan lagi barisan depan, membabitkan gandingan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dengan Idris Karim yang belum begitu mantap tetapi saya berpuas hati dengan jentera tengah gandingan Rezal Zambery Yahya dan Mohd Shukor Adan,” katanya.

Sepanjang tempoh persiapan, Negeri Sembilan mencatat lima kemenangan, tiga seri dan sekali tewas dalam sembilan perlawanan persahabatan sejak awal Oktober lalu.

Berita Harian

Aidil Mahu Zaquan Terus Hasrat

24 Dec

Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

ANDAI ada peluang beraksi di peringkat antarabangsa, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak mahu kembarnya Mohd Zaquan Adha meneruskan hasrat itu tanpanya.

Aidil dan Zaquan sebelum ini pernah digembar-gemburkan bakal beraksi dengan kelab bola sepak Slovakia, September lalu.

Tiga kelab Liga Super Slovakia dikatakan tertarik dengan persembahan mereka sewaktu menganggotai skuad kebangsaan menjalani latihan di sana ketika itu, namun dia dan Zaquan memilih untuk kekal bersama Negeri Sembilan.

Begitupun, Aidil menyokong penuh tindakan Zaquan andai adiknya itu ditawarkan tempat ke sana.

“Sememangnya itu cita-cita kami untuk melangkah lebih jauh terutama ke Eropah. Tapi jika dia menerima tawaran itu, saya menyokong sepenuhnya.

“Seperti Zaquan, saya juga rela berpisah dengannya. Saya tidak bercadang meninggalkan tanah air kerana saya kini sudah mempunyai keluarga sendiri,” katanya yang berkahwin dengan pelakon, Rita Rudaini, Februari lalu.

Aidil berkata, dia tidak mahu Zaquan terlepas peluang mengembangkan kariernya.

“Sebagai abang, saya tidak menghalang niatnya, malah saya sangat mengalu-alukan apa jua keputusan Zaquan,” kata Aidil selepas perlawanan persahabatan membabitkan Negeri Sembilan menentang skuad Liga Perdana, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB FC) di Padang Seri Gelam, di Johor Bahru, semalam.

Harian Metro

'Usah Perbesar Lagi'

24 Dec

Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Semuanya sudah selesai, tolong jangan perbesarkannya lagi,” pinta pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, 21, mengenai isu pernikahannya dengan pelakon popular, Rita Rudaini, 33, di selatan Thailand, hampir 10 bulan lalu.

Aidil menjelaskan tiada lagi masalah antara pihaknya dengan keluarga di Seremban, Negeri Sembilan.

Dia mengakui sudah pulang ke pangkuan bapa, Abd Radzak Saleh, 59, serta ibu, Azizah Arshad, 56, bagi menjelaskan keadaan sebenar.

“Saya sudah pulang ke rumah dan bertemu keluarga. Semuanya sudah dijelaskan kepada mereka. Saya dan Rita bernikah bukan kerana ditangkap basah atau sebagainya. Kami melakukannya dengan cara betul.

“Jadi saya berharap isu ini tidak lagi diperbesarkan,” katanya yang ditemui selepas perlawanan persahabatan membabitkan Negeri Sembilan menentang skuad Liga Perdana, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB FC) di Padang Seri Gelam di sini, semalam.

Pada 17 Disember lalu, keluarga Aidil mengadakan sidang media di rumah kakak sulungnya, Ruziana Abd Radzak, 37, di Taman Coral Height, Sikamat, Seremban.

Keluarganya ketika itu terkilan kerana Aidil merahsiakan pernikahannya dengan Rita pada 25 Februari lalu.

Aidil turut menjelaskan perbezaan usia tidak menghalang niatnya menjadikan Rita sebagai isteri.

“Saya sudah mengenali Rita hampir tiga tahun. Saya tahu hati budinya dan kami saling memahami,” katanya.

Katanya, dia dan Rita merancang mengadakan sidang media sebelum Liga Malaysia bermula pada 3 Januari depan.

“Mungkin juga selepas saya pulang ke Seremban hujung minggu ini. Sekarang, saya masih bersama skuad Negeri Sembilan untuk perlawanan persahabatan di Johor Bahru.

“Bagaimanapun, masa dan lokasi sidang media itu belum ditentukan,” katanya yang akan memaklumkan kepada media apabila tiba masanya.

Sementara itu, kakak kedua Aidil, Suziela Abd Radzak, 35, turut menyaksikan adiknya itu beraksi di Johor Bahru.

Suziela tidak ketinggalan meminta media tidak lagi memperbesarkan kisah pernikahan adiknya.

“Rita belum berjumpa ibu dan bapa kami di Seremban. Mereka mahu meredakan dulu keadaan. Namun, ibu dan bapa kami menerima pernikahan Aidil dengan Rita seadanya. Tiada lagi masalah antara kami.

“Biarkan mereka jalani hidup sebagai suami isteri seperti pasangan lain,” kata Suziela.

Harian Metro

'Usah Kecoh Lagi'

23 Dec

Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Semuanya sudah selesai, tolong jangan perbesarkannya lagi,” pinta pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, 21, mengenai isu pernikahannya dengan pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar, 33, di Selatan Thailand, hampir 10 bulan lalu.

Aidil menjelaskan tiada lagi masalah antara pihaknya dengan keluarga di Seremban, Negeri Sembilan.

Dia mengakui sudah pulang ke pangkuan bapa, Abd Radzak Saleh, 59, serta ibu, Azizah Arshad, 56, bagi menjelaskan keadaan sebenar.

“Saya sudah pulang ke rumah dan bertemu keluarga. Semuanya sudah dijelaskan kepada mereka. Saya dan Rita bernikah bukan kerana ditangkap basah atau sebagainya. Kami melakukannya dengan cara betul.

“Jadi saya berharap isu ini tidak lagi diperbesarkan,” katanya yang ditemui selepas perlawanan persahabatan membabitkan Negeri Sembilan menentang skuad Liga Perdana, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB FC) di Padang Seri Gelam di sini, semalam.

Pada 17 Disember lalu, keluarga Aidil mengadakan sidang media di rumah kakak sulungnya, Ruziana, 37, di Taman Coral Height, Sikamat, Seremban.

Harian Metro

Bukan Kejutan Rita-Zafuan

21 Dec

APABILA Rita Rudaini, 32, dilaporkan telah bernikah dengan jejaka berusia 21 tahun, sebenarnya tidak ramai yang terkejut. Ini kerana, bukan pertama kali desas-desus pelakon cantik kelahiran Perlis ini bernikah dengan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak diperkatakan.

Bukan sekali dua gosip mereka berdua berada di awangan. Hanya Rita yang terkenal dengan sifat low profile berjaya mengelakkan diri daripada media dengan jawapan selamat – ‘kami hanya berteman’.

Sewaktu gambar mereka berdua bercuti ke Genting Highlands, Pahang, tidak lama dahulu tersebar di internet dan kemudian didedahkan media, Rita sempat tampil meminta pengertian agar isu tersebut tidak diperbesarkan.

Dengan alasan yang antaranya berbunyi: “Kami bukan pergi bercuti berdua sahaja, sebaliknya bersama saudara lain. Tolong hormati keluarga kami.”

Kemudian, pada awal tahun ini, gosip bertebaran dan mereka terus didakwa sudah berkahwin di luar negara. Bagaimanapun, Rita yang melonjak naik selepas terbabit sebagai finalis Dewi Remaja 97/98 ini menafikan dakwaan tersebut.

Katanya waktu itu: “Kami masih belum berkahwin, dan kami hanya berkawan.”

Malah sebolehnya Rita enggan bercakap banyak tentang isu hubungan mesranya dengan Zafuan. Katanya soal kerjaya tidak mahu dicampuradukkan dengan hal peribadi.

Namun akhirnya perkahwinan yang cuba disembunyikan terbuka juga apabila bapa Zafuan, Abd. Radzak mendedahkan kembar kepada Mohd. Zaquan Adha itu telah bernikah dengan Rita di Songkla, Thailand pada 25 Februari lalu.

Mereka sekeluarga nyata terkilan kerana Zafuan sanggup membelakangkan keluarga demi menikahi pelakon dan juga model itu.

Dakwa Abd. Radzak, berita perkahwinan mereka disampaikan kepadanya oleh kakak dan Zaquan. Katanya lagi, biar terkilan, mereka tetap mendoakan agar perkahwinan mereka kekal bahagia.

Kosmo! yang berkali-kali cuba menghubungi Rita gagal berbuat demikian. Sebaliknya menerusi sumber terdekat Rita, pelakon yang pernah terbabit kontroversi bergaduh dengan pelakon Lisdawati pada tahun 2006 ini berjanji akan membuat satu sidang media khas apabila tiba waktu yang sesuai.

Sidang media itu dikatakan akan turut disertai suaminya dalam usaha menjelaskan kemelut yang sedang hangat diperbualkan. Cuma pada masa ini, Rita dan Zafuan meminta sedikit ruang untuk mereka menyelesaikan masalah tanpa membabitkan media.

Sekadar menyingkap pendirian Rita, dalam satu temu bual tidak lama dahulu, Rita yang telah menjanda tujuh tahun selepas bercerai dengan pengacara TV3, Akhbar Sahari tidak menafikan memerlukan seorang lelaki bergelar suami.

Biar tanpa pernyataan sahih, namun daripada getar suaranya, ia seperti mengiyakan bahawa Zafuan ialah lelaki yang paling dekat dengan dirinya.

Hanya pada waktu itu, pelakon yang terkenal dengan filem-filem seperti Mami Jarum Junior, Mistik juga Cinta ini masih bimbang untuk mentafsir masa depan.

Mengenali sifat Rita yang memang tidak mempunyai ramai teman dan kurang bergaul dengan lelaki, perkahwinannya dengan Zafuan bukanlah satu kejutan. Hanya yang mengejutkan mereka berjaya merahsiakan perkahwinan mereka selama lebih lapan bulan daripada pengetahuan keluarga sendiri. – MALIAH SURIP

Kosmo

Kediaman Keluarga Pelakon Berkunci

19 Dec

BERTUTUP...wartawan menunggu di luar rumah keluarga Rita<br> di Utan Aji yang berkunci.
BERTUTUP…wartawan menunggu di luar rumah keluarga Rita
di Utan Aji yang berkunci.

KANGAR: Keluarga Rita Rudaini di Kampung Sentua, Utan Aji, dekat sini, dikatakan cuba menyembunyikan diri selepas pendedahan kes pernikahan pelakon popular itu dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, semalam.

Harian Metro yang cuba mendapat ulasan keluarga pelakon itu di Perlis mengenai penikahan Rita dan Mohd Aidil Zafuan di Songkhla gagal selepas mendapati rumah pelakon berkenaan ditutup rapat dan berkunci.

Bagaimanapun, kehadiran dua kereta jenis Toyota Vios dan Proton Wira dilihat di hadapan rumah itu menimbul tanda tanya, manakala ucapan salam tidak dijawab seolah-olah rumah berkenaan tidak berpenghuni.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, dia melihat seorang lelaki dipercayai bapa tiri Rita Rudaini keluar dari rumah terbabit untuk membeli sarapan pagi di kedai berhampiran.

“Saya pun tidak tahu ke mana keluarga terbabit pergi tetapi (pagi semalam) saya lihat bapa tiri Rita keluar dari rumah untuk ke kedai berhampiran,” katanya.

Harian Metro

Rita Rudaini, Aidil Zafuan Pelakon Terbaik!

18 Dec

KL, 18 DIS 2008:  Hai, kalau ada anugerah pasangan suami isteri terbaik tahun ini, Murai Batu akan serahkan trofi itu kepada Rita Rudaini Mokhtar dan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak kerana mereka benar-benar hebat! 

Hebatnya kerana mutu persembahan mereka benar-benar telah mengalah semua pasangan suami isteri yang bertanding dalam Sehati Berdansa 2. Bukan dahsyat dari segi tarian, tetapi dari segi lakonan cover line yang sungguh mempesonakan!  

Bayangkan, sejak berbulan-bulan lamanya atau lebih tepat lagi seperti yang dilaporkan, pada 25 Februari 2008, mereka sudah pun menjadi pasangan suami isteri kerana telah bernikah di Selatan Thailand (Songkla ke?) secara senyap-senyap. Hai, patutlah bumi Thailand bergegar sakan tahun ni…

Kepada kita semua, itulah kejutan terbaru dalam dunia hiburan dan gelanggang sukan begara menjelang makin hampir tiba ke penghujung 2008.

Apa nak dikato, ayam den dah lapeh… hakikatnya, ayah dan ibu Aidil Zafuan telah membuat sidang media di Sikamat, dekat Seremban petang semalam dengan mendedahkan bahawa Aidil Zafuan dan Rita sudah berkahwin secara sorok-sorok dan selama ini hanya berlakon di depan mata keluarga sendiri yang masing-masing kononnya masih bujang.

Dulu memang pernah kecoh sekejap Rita, si janda cantik, pernah bercinta dengan Aidil Zafuan yang usianya macam adik. Murai Batu ingat gosip itu habis begitu sahaja, rupa-rupanya dalam diam-diam mereka sudah menjadi pasangan suami isteri! Baguslah tu, untuk elakkan fitnah orang.

Yalah, hati ayah dan ibu mana yang tidak terkilan apabila impian untuk melihat anak sendiri berkahwin macam orang lain adanya merisik, bertunang, berinai, akad nikah bersaksikan sanak saudara dan juga bersanding – maklumlah si pengantin lelaki baru berusia 21 tahun, kiranya masih remaja trang tang tang.

Tapi disebabkan kuat sangat penangan kasih Rita dan hembusan asmara Aidil Zafuan, mereka berdua atas alasan tertentu, sanggup membelakangkan keluarga. Difahamkan, baru-baru ini Rita sendiri ada bertemu dengan keluarga Aidil Zafuan pada 13 Disember lalu untuk mendapat pandangan tentang hubungan mereka padahal ketika itu dan pun jadi laki bini. Hai, mujurlah lepas itu kakak si Aidil Zafuan dapat hidu dan terbarailah rahsia.

Namun Murai Batu lega kerana selepas 10 bulan, Aidil akhirnya sedia memberitahu sendiri keluarganya bahawa mereka sudah lama berkahwin dan selama ini hanya hidup dalam lakonan. 

Begitulah cerita kahwin artis kita tahun ini. Ada yang kahwin sorok-sorok, ada yang nak kahwin gah-gah dan ada yang dah kahwin meriah-meriah dulu tapi akhirnya minta cerai. Dunia… dunia….. 

MURAI BATU:  Nak tunggu sidang media Rita dan Aidil Zafuan sendiri. Tahniahlah juga apapun..

Murai

Rahsia Terbongkar

18 Dec

Oleh RAIS YEOP JOHARI
rais.johari@kosmo.com.my

SEPULUH bulan lamanya rahsia mereka tersimpan rapi. Namun, sudah adat menjadi orang terkenal, apatah lagi bergelar aktres, pemilik nama Rita Rudaini Mokhtar atau nama glamornya, Rita Rudaini tidak dapat melarikan diri daripada kenyataan bahawa berita perkahwinannya bersama bintang bola sepak muda yang sedang melakar nama di arena bola sepak negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Jika Rita dikenali ramai, apa kurangnya Zafuan yang merupakan pemain kebangsaan dan pemain Negeri Sembilan untuk musim akan datang.

Biarpun tidak keluar daripada mulutnya sendiri, kerana Rita memilih untuk berdiam diri dengan tidak menjawab panggilan dan SMS yang dilayangkan oleh Kosmo!, namun setidak-tidaknya sidang media yang dibuat oleh keluarga mentuanya menjadi bukti yang sah, aktres jelita ini sudah bergelar seorang isteri sejak 25 Februari tahun ini.


GARA-GARA merahsiakan perkahwinan mereka di mata umum, keluarga Aidil Zafuan akhirnya tampil membuat pengakuan sebenar kepada media.

Jarak perbezaan umur sebanyak 11 tahun tidak menghalang jalinan cinta yang utuh antara Rita, 32, dan Aidil Zafuan, 21, untuk diikat oleh tali perkahwinan.

Cuma, pernikahan rahsia mereka ini berlangsung secara rahsia di Songkhla, Thailand.

Ironinya, desas-desus mengenai hubungan kedua-dua mereka bukan lagi rahsia kerana sekitar tahun lepas, foto-foto mesra pasangan yang sama cantik sama padan ini tersebar ke pengetahuan pihak media.


AIDIL ZAFUAN

Namun ketika itu Rita yang sudah tujuh tahun hidup solo selepas perkahwinan pertamanya dengan penyampai berita TV3, Akbar Shaari berakhir tanpa dikurniakan cahayamata, hanya membuat pengakuan kepada media bahawa hubungannya dengan Aidil Zafuan itu lebih kepada ‘teman tapi mesra’.

Bimbang dengan spekulasi tidak baik mengenai hubungan antara Rita dan Aidil Zafuan, semalam, keluarga mentua Rita akhirnya terpaksa tampil menjelaskan perkara yang sebenar berlaku kepada media menerusi suatu sidang media yang dilakukan di kediaman mereka di Coral Heights, Seremban, Negeri Sembilan.


KECEWA tapi terima. Wajah emosi keluarga Aidil Zafuan, dari kiri kembarnya Aidil Zaquan, bapanya Abdul Radzak dan ibunya Azizah pada sidang media pengesahan pernikahan Aidil Zafuan dan Rita.

Pada sidang media tersebut, hampir semua ahli keluarga Aidil Zafuan hadir. Selain kembar Aidil Zafuan iaitu Aidil Zaquan, 21, yang juga pemain bola sepak skuad kebangsaan dan Negeri Sembilan musim akan datang, turut hadir ialah kedua-dua ibu bapa Zafuan, Abdul Radzak Salleh, 59, dan Azizah Arshat, 56.

Tiga adik-beradik Zafuan iaitu kakak sulungnya, Ruziehana, 37, dan abangnya Mohd. Zafuan, 34 dan Sabanor, 30, tidak ketinggalan hadir memberikan sokongan moral.


KAKAK sulung Aidil Zafuan, Ruziehana (kanan).

Apa yang jelas, Abdul Radzak cukup tenang apabila membutirkan bicara untuk meleraikan segala persoalan berhubung status hubungan anaknya itu bersama Rita.

“Pakcik terima dengan reda cuma ada sikit kecewa dengan perlakuan anak pakcik (Aidil Zafuan). Apa yang sudah berlaku, sudah berlaku, jadi kami sekeluarga berdoa semoga dia bahagia .

“Biarpun kecewa dengan Aidil Zafuan yang membelakangkan keluarga tetapi kami semua tetap berdoa semoga Aidil dan Rita berbahagia dan tidak mahu karier bola sepak Aidil Zafuan jatuh.”

Beritahu Abdul Radzak lagi, berita pernikahan anaknya dengan Rita dimaklumkan oleh anak perempuan sulungnya, Ruziehana pada 14 Disember.

Menurutnya, biar sebelum ini Aidil Zafuan tidak menceritakan apa-apa mengenai perkara itu, sebelum anaknya bertemu dengan Ruziehana pada 13 Disember dan menunjukkan sijil nikahnya di Thailand .

“Dia (Aidil Zafuan) meminta kak longnya (Ruziehana) memberitahu perkara itu kepada saya dan isteri, tetapi kak longnya tidak sanggup,” ujarnya.

Tambahnya, semua sudah berlaku adalah dengan ketentuan Tuhan, jadi dia sekeluarga menerima segala takdir itu.

Biarpun akur bermenantukan seorang pelakon popular, Abdul Radzak ketika ditanya sama ada dia menerima menantunya, luahnya: “Tuhan yang menentukannya. Pakcik menerima anak pakcik, dia tetap anak pakcik.

“Mereka (Aidil Zafuan dan Rita) yang lakukan perkara ini dan mereka berdua yang faham. persoalan itu (terima menantu) pakcik enggan komen.”

Sementara ibu Aidil Zafuan, Azizah pula dalam nada sedih memberitahu, nyata sekali tiada tanda yang menunjukkan anaknya sudah berkahwin dan dia tidak menduga sama sekali perkara itu berlaku.

Azizah melihat apa yang terjadi dan tindakan anaknya benar-benar membuatkan dirinya rasa terkilan dan rasa kehilangan.

Dia mengakui tidak kata suka (pernikahan), kerana memang orang akan kata dia berbohong. Tetapi itulah pilihan anaknya suka atau tidak dia tetap menerimanya.

“Kasih sayang bukan boleh dilakonkan atau dipermainkan. Ia datang sendiri. Mungkin Tuhan hendak tunjukkan sesuatu kepada makcik.

“Mungkin makcik boleh memberikan kasih sayang kepada Aidil, isterinya, Rita dan juga anak-anaknya,” luahnya.

Bagi abang Aidil Zafuan, Mohd. Zafuan pula, apa yang dilakukan adiknya merupakan salah dari segi undang-undang dan ahli keliara memang tidak tahu bagaimana mereka berdua ke Thailand untuk berkahwin, siapa yang menguruskannya.

Kata Mohd. Zafuan: “Kalau kita panggil dia (Aidil Zafuan) balik tetapi terlalu banyak alasan yang diberikan.”

Adik kembarnya, Zaquan Adha yang turut ada di sisi keluarga pula menjelaskan, pihak keluarga langsung tidak mengetahui pernikahan mereka di Thailand dan mahu menjelaskan bahawa seluruh keluarga melahirkan rasa terkejut dengan perkembangan itu,

“Saya sendiri tidak dimaklumkan perkahwinan itu. Apa pun saya bersyukur kerana bapa dan ibua boleh menerima keputusan itu dengan tabah serta telah ditenteramkan oleh kakak dan abang,” katanya.

Kosmo

Nurul Dan Farah Asyikin Tetap Ceria

8 Oct

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my

Farah Asyikin dan Nurul.

Bukan masanya untuk terus bersedih kerana bagi mereka hidup ini perlu diteruskan

TIADA tangan insan bernama suami untuk dicium di pagi raya bukanlah satu masalah besar kepada dua wanita ini. Mereka tidak pernah menyalahkan takdir sebaliknya apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka sudah pun dilupakan.

Bagi dua penyanyi ini Farah Asyikin, 29, dan Noorul Huda Abdul Wahab, 32, episod duka itu sudah lama berlalu. Maklumlah, untuk apa lagi mereka terus meratapi perpisahan itu. Bagi mereka apa saja yang terjadi, hidup tetap perlu diteruskan.

Begitulah kecekalan mereka, terutama dalam mengharungi sambutan Aidilfitri sepanjang minggu lalu. Farah dan Nurul masing-masing tidak mahu memikirkan soal kesedihan, sebaliknya seperti orang lain, hari lebaran patut diraikan dengan kesyukuran dan kegembiraan bersama keluarga, sanak saudara serta rakan taulan.

Aidilfitri ini sepatutnya kali kedua bintang program realiti One In A Million (OIAM) ini meraikan bersama suami. Namun diharap panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perkahwinan yang diikat pada 12 Mei 2007 putus di tengah jalan, iaitu tidak sampai setahun Farah dan pasangannya Dr Fariz Yahya diijabkabulkan.

Walaupun Syawal ini dia kembali sendirian, Farah berkata dia beruntung kerana keluarga sentiasa di sisi memberi sokongan kepadanya.

“Masa untuk bersedih sudah lama berlalu. Saya bersyukur mempunyai keluarga yang sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan moral kepada saya. Bagi saya hari raya tetap sama. Saya seorang yang sangat kuat. Sebenarnya mempunyai suami hanyalah pelengkap saja, saya bukanlah riak tapi saya seorang yang sangat berdikari.

“Lagipun hari raya saya sentiasa meriah dengan kehadiran adik beradik sendiri dan juga adik beradik tiri. Adik beradik tiri daripada perkahwinan bapa yang lalu juga sering berkumpul di rumah kami di hari raya, jadi rumah kami memang riuh.

“Mama juga pandai masak terutamanya rendang dan kuah kacang, boleh dikatakan semua orang datang sebab nak merasa rendang mama yang sedap,” kata Farah yang sukakan saat bersalaman dengan ibu bapa memohon maaf.

Katanya, selalunya itulah yang saat paling dinanti-nantikan setiap kali hari raya. Jika tidak ada acara bersalam-salaman, dirasakan sambutan hari raya seperti tidak lengkap dalam hidupnya.

Bagaimanapun, apa yang dilalui oleh Farah Asyikin berbeza pula dengan penyanyi berkulit hitam manis, Nurul.

Penyanyi itu kehilangan kedua ibu bapa menyebabkan dia hilang tali untuk bergantung. Justeru, dia tidak dapat mengelakkan daripada melalui pengalaman berhari raya dengan kesedihan dan kesepian yang terpaksa diharungi sendirian.

Simpati mendengar luahan hati penyanyi berasal dari Pulau Mutiara itu setelah kembali sendirian tiga tahun lalu. Walaupun kedua orang tuanya sudah kembali ke rahmatullah, Nurul tidak pernah lupa pulang ke kampung di Tasek Gelugor untuk menziarah pusara orang tuanya.

Sementara anak tunggalnya hasil perkahwinan dengan Ajai, Ayu Nazirah yang kini berusia 11 tahun pula selalunya pulang ke Johor untuk beraya dengan keluarga bekas suaminya.

“Ayu adalah kesayangan datuk dan neneknya, sejak dulu lagi Ayu balik Johor. Apabila bercerai salah seorang perlu berkorban, lagipun kalau beraya dengan Nurul bukannya ada apa-apa sebab Nurul pun seorang. Jadi lebih baik dia balik ke Johor.

“Nurul malas nak fikir lagi kisah sedih. Kalau asyik sedih nanti tak jadi kerja dibuatnya, lagipun dulu Nurul ambil masa dua tahun untuk merawat hati yang luka. Nurul tak mahu sedih lagi, sekarang ini Nurul seronok dengan kerja. Tipu jika Nurul langsung tidak sedih dan kecewa, kehilangan kedua orang tua adalah perkara yang membuatkan Nurul sangat sedih kerana tidak ada tempat untuk Nurul mengadu nasib.

“Sekarang ini hanya kerja saja yang tak menyakitkan hati Nurul. Apa yang berlaku Nurul anggap perkara itu sebagai pengalaman dalam hidup,” katanya yang kembali berlakon dalam drama bersiri Rahsia Hati terbitan Suhan Movies.

Selain Nurul, drama episod itu turut dibintangi Rita Rudaini dan Aaron Aziz. Nurul turut menanti kehadiran album barunya yang dijangka menemui peminat selepas raya nanti.

Berita Harian