Archive | Rosmayati Sidek RSS feed for this section

Debaran Dua Wanita

21 Apr

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my

SAMA cantik, kedua-dua mereka sedang berdebar menanti detik kebahagiaan.

TIKA dan saat ini, pemilik nama Rosmayati Sidek, 23, atau Rosma dan Nora’asikin Rahmat, 29, (Ekin), barangkali sedang berdebar-debar menanti saat yang paling membahagiakan dalam hidup masing-masing.

Bakal melayari bahtera perkahwinan bersama insan yang dicintai, kedua-dua mereka mempunyai persamaan tersendiri iaitu mencintai insan yang sama-sama berkecimpung dalam dunia seni.

Rosma, bintang yang lahir menerusi Akademi Fantasia musim pertama (AF1) akan menamatkan zaman bujangnya bersama Khai atau Khairul Nizam Mohamad, 29.

Bibit-bibit cinta mereka mula terbit ketika bersama-sama berentap dalam program realiti televisyen itu.

Bagi Ekin pula, selepas sekian lama menyembunyikan cintanya dengan penyanyi popular, Asmawi Ani (Mawi), 27, mereka akhirnya membuat pengakuan yang kedua-duanya saling berkasih.

Rosma dan Khai sudah pun mengumumkan akan bersatu dalam ikatan perkahwinan tidak lama lagi namun Ekin serta Mawi masih belum menentukan tarikh mereka disatukan pula.

Dalam pertemuan Hits bersama Rosma dan Ekin di Minggu Setiausaha anjuran Rafflesia di Hotel Istana, Kuala Lumpur, kedua-dua mereka berkongsi rasa mengenai debaran masing-masing.

Pada majlis berkenaan juga, Rosma dan Ekin kedua-duanya mengenakan pakaian rekaan Michael Shu.

Selain mereka berdua, Minggu Setiausaha Rafflesia turut dihadiri barisan bintang seperti Ziana Zain, Noryn Aziz, Fauziah Latiff dan Erra Fazira.

Rosma & Khai sudah bersedia

Dalam pendedahan dengan Pancaindera baru-bari, Rosma dan Khai akhirnya mengaku mereka akan berkahwin tidak lama lagi.

Acara penting dalam kehidupan mereka itu akan berlangsung pada 26 April ini dengan dimulakan majlis akad nikah di Masjid Putrajaya manakala persandingan pula diadakan keesokan harinya di sebuah dewan di Kuala Lumpur.

Memilih konsep moden kontemporari, Rosma memberitahu, persiapan untuk perkahwinan mereka berdua kini berjalan

dengan lancar.

“Sewaktu bersanding, kami telah pun memilih adunan warna turquoise blue dan krim. Kami suka warna tersebut,”‘ katanya.

Jelas Rosma, buat masa ini, perkahwinan mereka sudah pun mendapat beberapa tajaan termasuk Aura Seri yang sudi menaja mandi lulur.

Ditanya mengenai apakah keistimewaan Khai sehingga dirinya sanggup menunggu selama lima tahun sebelum disunting menjadi suri, Rosma memberitahu, Khai merupakan seorang lelaki yang penyayang.

“Dia amat mengambil berat dan seorang yang humor. Apa yang penting juga, Khai telah banyak mengubah sikap saya iaitu panas baran,” ujar Rosma sambil memberitahu dia banyak mengamalkan jogging pada setiap hari untuk mendapatkan bentuk badan ideal.

Berbulan madu

Kata Rosma, dia dan Khai juga merancang untuk menikmati saat-saat manis berbulan madu sebaik dinikahkan namun pasangan itu masih belum memilih lokasi percutian mereka.

”Sebaik habis bulan madu, kami akan memulakan perancangan untuk menghasilkan album duet pula. Konsepnya masih belum ditetapkan tetapi ia bakal dilaksanakan akhir tahun ini,” tambah Rosma lagi.

Ekin fobia bertunang

Pengesahan cintanya bersama Mawi dilakukan di puncak Genting Highlands sempena Anugerah Bintang Popular, baru-baru ini.

Mawi yang membuka bicara mengenai hubungan tersebut secara jelas menguatkan lagi gosip cinta antara mereka sebelum ini adalah benar.

Meski belum membuat pengakuan mengenai tarikh untuk melangsungkan perkahwinan, Ekin yang tampil bertudung ketika ini mengakui dirinya fobia.

Fobia Ekin berkait rapat dengan cadangan beberapa pihak agar dia dan Mawi melangsungkan majlis pertunangan terlebih dahulu sebelum bernikah.

”Ekin takut bertunang. Kalau boleh, Ekin tidak mahu bertunang dan terus sahaja bernikah dan bersanding. Ramai kawan Ekin yang bertunang namun bukannya berakhir dengan tali perkahwinan sebaliknya perpisahan.

“Itu yang membuatkan Ekin cukup fobia. Hal ini akan Ekin bincangkan bersama Mawi nanti apakah dia bersetuju untuk diadakan majlis pertunangan atau teruskan pernikahan sahaja,” jelas Ekin.

Menurutnya, sebelum ini pun, kakaknya juga berkahwin tanpa melalui proses pertunangan.

Materialistik

Ekin bagaimanapun tidak menjelaskan bilakah dia dan Mawi akan menetapkan tarikh pernikahan sama ada tahun ini atau tahun depan.

Ketika diajukan soalan mengenai tanggapan orang ramai yang melabelkan Ekin sebagai seorang materialistik apabila memilih Mawi sebagai teman hidup lantaran penyanyi popular itu memiliki banyak aset, Ekin menafikan sekeras-kerasnya.

“Ekin tidak memilih itu semua. Ekin ikhlas berkawan dengan Mawi kerana hati budinya. Andai ada yang beranggapan Ekin materialistik, itu silap. Cinta bukan boleh dipermainkan,” Ekin menegaskan pendiriannya.

Ikrar Ekin, dia mahu menjadi seorang isteri yang baik selepas mendengar pengakuan ikhlas Mawi yang mahu menyuntingnya sebagai suri di hatinya.

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements