Archive | Rossa RSS feed for this section

Detik Manis Faizal Tahir

5 May

Oleh Zul Husni Abdul Hamid


Faizal Tahir

Wira baru dalam industri hiburan genggam empat trofi pada Anugerah Industri Muzik Ke-15

DALAM kekalutan untuk membangunkan semula karier seninya yang pernah terhenti seketika, namun kembali diuji apabila terus dihukum lantaran kesilapan silam ternyata masih ada sinar yang menanti dalam perjalanan seni Faizal Tahir.

Anugerah Industri Muzik (AIM) 15 yang berlabuh di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam kelmarin menyaksikan sebutir lagi bintang seni berbakat besar lahir dengan segenap kelebihan untuk muncul sebagai wira baru industri hiburan.

Barangkali kepadanya bukan pengiktirafan yang dikejar, jauh sekali mengharap pujian melambung tinggi namun apa yang lebih utama adalah membawa karyanya ke tahap membanggakan.

Tidak hanya memburu kepuasan sendiri, Faizal membawa aspirasi besar untuk menyumbang sesuatu kepada industri muzik selepas sekian lama dibelenggu pelbagai masalah yang menyempitkan peluang kepada karya tempatan untuk berkembang.

Lupakan saja episod silam yang seboleh mungkin ingin dihapuskan daripada kotak ingatannya kerana AIM15 mengubat segala kedukaan itu.

Pengiktirafan tertinggi hasil kerja kerasnya menghasilkan nuansa baru dalam industri berakhir dengan sesuatu yang cukup manis, hanya bersandar kepada penerbitan sulung, Aku.Muzik.Kamu.

Dilancarkan enam bulan lalu, Aku.Muzik.Kamu meluncur laju untuk menjulang Faizal dengan pengiktirafan tertinggi yang menjadi idaman semua pengkarya muzik.

Meraih Album Terbaik, mengenepikan empat saingannya iaitu Melodi Ahlaan daripada Waheeda, Maulana (Rabbani) Eclecticism (Melissa Indot) dan Hadiah Daripada Hati (Datuk Siti Nurhaliza), Faizal melakar sejarah peribadi yang cukup bermakna terutama untuk dirinya yang masih hijau dalam industri hiburan.

“Kebelakangan ini banyak isu yang timbul apabila dikaitkan dengan Faizal Tahir namun pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk saya terus berkarya dan memberi sumbangan kepada industri muzik,” katanya.

Akui Faizal, anugerah Album Terbaik adalah pengiktirafan yang terlalu bernilai malah katanya, dia bagaikan tidak berdaya untuk menaiki pentas kerana tidak percaya kemenangan akan berpihak kepadanya.

Apatah lagi apabila menghadapi saingan daripada nama besar seperti Siti membuatkan bapa kepada dua cahaya mata itu langsung tidak meletak harapan besar.

“Jujurnya saya masih hijau dalam industri, masih banyak yang perlu saya pelajari untuk lebih memahami keperluan serta kehendak peminat.

“Pengiktirafan ini cukup besar dan penting untuk saya membina kerjaya, malah ia sebagai bonus terhadap segala usaha yang saya curahkan untuk memberi yang terbaik kepada album sulung ini,” katanya.

Turut membawa pulang tiga trofi lain, Faizal menghampakan kumpulan berpengalaman seperti Spider , MPire, Niskala dan Jinbara untuk meraih trofi Album Rock Terbaik.

Faizal sekali lagi bangkit dan membuktikan bintang yang dicipta menerusi pertandingan realiti juga mampu berdiri sama tinggi dengan penyanyi lain apabila menjulang trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki).

Untuk kategori itu, Faizal menewaskan Sohaimi Meor Hassan, Hazami serta dua penyanyi muda, Kaer Azami dan Aliff Aziz.

Kemenangan yang sekali gus membuang persepsi umum terhadap bintang realiti yang dilihat lebih mengutamakan populariti berbanding bakat yang menjamin tiket untuk terus bertahan dan dihormati.

“Tiada beza antara artis yang lahir daripada program realiti atau sebaliknya kerana apa yang penting adalah kemahuan. Ini yang saya mahukan dan lebih utama kemenangan ini adalah pengiktirafan atas hasil kerja saya.

“Syukur alhamdulillah dan ketika ini, fokus saya untuk membina imej yang baik dari segi karier untuk terus menghasilkan karya yang matang,” katanya.

Faizal yang mencipta nama selepas memenangi tempat kedua program realiti, One In A Million terbitan 8TV turut diiktiraf Artis Baru Terbaik menghampakan Atilia, Estranged, Kaer Azami dan Karen Kong.

Menyorot keputusan AIM15, tidak banyak kejutan yang hadir malah kebanyakan calon mengulangi semula kejayaan yang pernah mereka cipta sebelum ini.

Selepas kecewa kepada Jaclyn Victor pada malam AIM14, Siti merampas semula trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) menerusi album, Hadiah Daripada Hati.

Ia adalah kemenangan ke sembilan penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu yang sebelum ini mempertahankan trofi itu selama lapan tahun berturut-turut sejak memenanginya pada AIM 1999.

Siti turut mempertahankan trofi Album Pop Terbaik yang dimenanginya tahun lalu menerusi album Transkripsi selain lagu nyanyiannya, Cintamu yang digubah muziknya oleh Nai Kong memenangi Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Bahasa Malaysia).

Membawa pulang tiga kemenangan daripada lapan pencalonan yang diterima Hadiah Daripada Hati membuktikan Siti terus unggul di persadanya yang tersendiri.

Selepas empat kali trofi Album Nasyid Terbaik berpindah tangan, tiga kali menjadi milik Raihan manakala AIM14 ia berada dalam genggaman Ahmadi Hassan, Rabbani kembali mengunggulinya menerusi album Maulana.

Penyertaan yang terhad dengan hanya tiga pencalonan, AIM15 juga tandus penyertaan bagi kategori Album Pop Etnik Terbaik dengan dua pencalonan yang dimenangi Waheeda menerusi Melodi Ahlaan menewaskan Azfar yang mempertaruhkan album Jatuh Cinta Pandang Pertama.

AIM15 juga mencatat detik manis kepada kumpulan rock hip hop, Pop Shuvit apabila menerima anugerah khas, Anugerah Kembara.

Selama tujuh tahun membina nama, kumpulan ini hanya dikenali segelintir peminat tempatan namun itu semua tidak mematahkan semangat mereka untuk membawa bakat ke peringkat antarabangsa.

Penerimaan daripada peminat di Jepun membuktikan anak tempatan mampu bersaing dan pengiktirafan yang diberikan AIM15 menjadi pencetus semangat untuk meneroka peluang lebih besar pada masa akan datang.

AIM15 turut mengiktiraf komposer dan pemuzik terkenal, Fauzi Marzuki sebagai penerima Anugerah Wirama atas sumbangannya kepada dunia seni.

Membawa tema perpaduan, AIM15 turut menyajikan persembahan yang variasi menyatukan sebahagian besar artis yang dicalonkan dalam pelbagai siri selingan nyanyian yang menghiburkan dan bertenaga.

Senarai pemenang AIM 15:

  • Album Terbaik: Aku.Muzik.Kamu (Faizal Tahir)
  • Lagu Terbaik: Izinku Pergi (Azlan Abu Hassan/Sulu Sarawak/Kaer Azami)
  • Album Pop Terbaik: Hadiah Daripada Hati (Datuk Siti Nurhaliza)
  • Album Rock Terbaik: Aku.Muzik.Kamu (Faizal Tahir)
  • Album Nasyid Terbaik: Maulana (Rabbani)
  • Album Pop Etnik Terbaik: Melodi Ahlaan (Waheeda)
  • Album Inggeris Tempatan Terbaik: Eclecticism (Melissa Indot)
  • Artis Baru Terbaik: Faizal Tahir
  • Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki): Faizal Tahir
  • Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita): Datuk Siti Nurhaliza
  • Artis Harapan: Suki
  • Album Cina Tempatan Terbaik: Here I Come (Andrew Tan)
  • Album India Tempatan Terbaik: Martin Zamigano Kanmani (Martin Zamigano)
  • Video Muzik Terbaik: Sangkar (Sean Chan/Atilia)
  • Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Artis Luar Negara: Terlalu Cinta (Rossa)
  • Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Bahasa Malaysia): Cintamu (Nai Kong/Datuk Siti Nurhaliza)
  • Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Bukan Bahasa Malaysia): Last Breath (Hafiz Hamidun)
  • Kulit Album Terbaik: After 8 (Jenny Sun)
  • Rakaman Album Terbaik: After 8 (Nick Lee/JD Wong dan Illegal)

Powered by Berita Harian

Advertisements

Kemerduan Ayat Ayat Cinta

27 Apr


Rap

AYAT Ayat Cinta bukan saja hadir dalam bentuk filem yang menyentuh kalbu, tetapi dilengkapi dengan album runut bunyi yang diisi koleksi lagu merdu Rossa, Ungu dan Sherina.

Sejajar pengedaran filem yang mengangkat Islam sebagai tema itu, album runut bunyi edaran Suria Records Sdn Bhd boleh dijadikan koleksi istimewa peminat.

Bagi Rossa, Ayat Ayat Cinta yang diinpirasikan daripada novel garapan penulis terkenal, Hanung Bramantyo satu karya agung dan tulus. Jiwanya seakan-akan lebur saat membaca kandungan naskhah ini, justeru tiada alasan untuknya menolak tatkala diminta menyanyikan lagu tema filem ini.

“Saya berasa dihargai apabila diberi kepercayaan menyanyikan lagu Ayat Ayat Cinta. Tambah terharu apabila mengetahui penciptanya, Melly Goeslow meletakkan hanya saya yang boleh membawa lagu ini.

“Filem ini membicarakan cinta dalam bahasa luas, bukan hanya cinta daripada kaca mata Islam. Awal rakaman saya mengalami kesulitan, tetapi selepas menonton filem ini, timbul semangat luar biasa untuk memberi yang terbaik kala mengalunkan lagu ini,” katanya yang turut mendendangkan lagu Takdir Cinta.

Album runut bunyi ini turut menyaksikan Rossa berduet dengan Ungu buat pertama kali menerusi lagu Tercipta Untukku yang diserikan lagi dengan lagu Jalan Cinta, dendangan Sherina, Andai Ku Tahu (Ungu), skor muzik dan tiga lagu dalam format minus one.

Ayat Ayat Cinta boleh didapati di pasaran dengan RM29 bagi CD dan kaset RM16.80.

Powered by Harian Metro

Ribut Perkahwinan

27 Apr

Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK sofiatul.chik@kosmo.com.my

MENDIRIKAN sebuah rumah tangga memerlukan keberanian dan ketulusan hati. Sayangnya, apabila cinta atau tulus hati itu sudah pudar atau hilang serinya, perceraian sering menjadi pilihan.

Dunia selebriti juga menempuh laluan yang sama. Cuma bezanya perkahwinan mereka digahkan dan begitu juga apabila ia mengalami keruntuhan. Fenomena atau tidak tahan dugaan hidup?

Natasha Hudson, 24, dan Mohd. Faiz Mohd. Raih, 26.

Tempoh: Empat bulan

BULAN Ramadan mungkin melakar satu sejarah dalam kisah silam Natasha apabila dia rasmi bukan lagi isteri kepada Mohd. Faiz yang dikahwini empat bulan sebelum itu. Mereka mendirikan rumah tangga pada September 2006.

Natasha enggan mengulas punca sebenar kasih suka sama suka mereka terlerai dan sekali gus menafikan kata-kata liar yang menyatakan dia ditangkap khalwat oleh ibu mentuanya sendiri.

Dalam masa yang sama dia tidak mahu menyalahkan sesiapa sebagai penyebab. Yang jelas kini Natasha bahagia dengan peluang kedua yang hadir dalam hidupnya dan selamat bergelar isteri kepada Datuk Shahrin Zahari.

Beego, 28, dan Intan Shahira, 27.

Tempoh: Tiga bulan

SEAKAN baru semalam melihat mereka memakai persalinan ala Bali di pentas pelamin. Namun tiga bulan berlalu, Malaysia dikejutkan dengan berita perceraian Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah dengan si isteri, Intan Shahira Mohamad Sharu yang pernah sembilan tahun dicintai.

Bingung dengan banyak khabar angin yang mengada-adakan sebab musabab mereka bercerai, Beego lantas menerangkan bahawa ini adalah dugaan paling hebat dilaluinya.

Manakan tidak, masuk angka tiga bulan halal bersama, Intan telah memfailkan tuntutan fasakh dan Beego hadir di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, 17 April lalu untuk memfailkan tuntutan nusyuz.

Beego yang termangu dengan musibah yang melanda ternyata masih menyayangi si isteri namun akur dengan alasan Intan Shahira yang dikatakan mahu mencari ketenangan diri.

Haflin Saiful, 26 dan Don Nazar, 27.

Tempoh: Satu tahun

HAFLIN yang suatu masa dahulu terkenal sebagai pengacara Salam Bollywood pernah mengikat tali perkahwinan bersama Don Nazar yang kini dikatakan kekasih kepada seorang pengacara TV.

Usia muda ketika menjalin cinta hanya mampu menjanjikan rumah tangga yang tidak sampai setahun utuhnya. Tidak seorang pun antara mereka yang menerangkan kisah sebenar di sebalik perceraian ini.

Ijab kabul pada 29 Julai di Surau An-Nur, Country Heights, Kajang akhirnya terlerai dengan masing-masing membawa haluan sendiri.

Haflin kini selesa menguruskan perusahaan milik keluarganya dan Don sekali sekala muncul di acara hiburan menemani kekasih hati.

Anis Suraya, 28, dan Wan Kasmizi Wan Kamaluddin, 28.

Tempoh: 1 tahun 7 bulan

PERKENALAN dari sekolah menengah bukanlah jaminan untuk mereka kenal antara satu sama lain dengan sebegitu dalam.

Tengku Anis Suraya Tengku Sulaiman yang menjalin cinta bersama teman persekolahan setelah bertemu kembali pada tahun 2005 hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu pada tanggal 22 April untuk memfailkan permohonan cerai taklik.

Perkahwinan yang dibina pada 11 September 2006 terpaksa ditinggalkan kerana Anis dikatakan tidak tahan dengan perangai suaminya.

Niat asalnya mahu menuntut fasakh namun akibat tiada bukti yang menunjukkan Wan Kasmizi terlibat dengan dadah, dia memohon cerai taklik pula.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Cintaku Tersimpul Rapi ini bertindak menyimpan kemas masalah rumah tangganya.

Menimbang rasa

Farah Asyikin, 29, dan Dr. Farid, 30.

MEREKA memilih jalan untuk bersendiri bagi menyelesaikan masalah rumah tangga yang dihadapi. Ternyata kejauhan membuatkan mereka lebih waras berfikir.

Farah menyatakan bahawa suami yang dinikahinya pada April 2007 berasa gembira dengan perpisahan sementara ini dan menganggap ini jalan terbaik untuk mereka berdua.

Dalam masa yang sama, mereka masih lagi keluar bersama-sama namun tidak tinggal sebumbung. Farah menolak kemungkinan ada orang ketiga dalam rumah tangga mereka, sebaliknya mengakui sesuatu telah mengganggu kedamaian yang mereka bina.

Rossa, 30, dan Yoyo, 33.

PUDAR seketika rasa cinta Rossa saat visual suaminya bersama wanita lain disebarkan ke seluruh Indonesia melalui kaca TV. Dan menerusi cara yang sama dia mendapat tahu bahawa suaminya sudah berselingkuh dan menduakan cintanya.

Keharmonian rumah tangga mereka yang dibina tanggal 18 Mac 2003 dan dikurnia Rizky Langit Ramadhan ini menjadi goncang walau belum berada di hujung tanduk.

Untuk sementara waktu ini tak banyak yang dilakukan oleh pemilik nama Sri Rossa Roslaina Handiyani selain berfikir dan bersikap tenang.

Januari lalu Yoyo pulang ke kampung Rossa dan memohon maaf akan apa yang terjadi. Yoyo berharap rumah tangganya bersama Rossa kembali normal.

Kahwin kilat antarabangsa

1. Selma Blair

SEORANG lagi gadis manis yang berkahwin dengan selebriti. Selma, pelakon yang terkenal dengan filem Cruel Intentions dan Scream memilih anak pemuzik legenda, Frank Zappa iaitu Ahmet Zappa.

Namun perkahwinan yang dilalui dari tahun 2001 hingga 2002 tidak seperti saat-saat bercinta. Sempat mengulit mimpi sebagai suami isteri selama dua tahun, mereka merasakan ada perbezaan yang ketara hingga mereka mahu berpisah dan tak mampu berdamai.

2. Drew Barrymore

WANITA yang terkenal dengan filem E.T ini mempunyai profil yang tercalar tentang kisah cinta setianya. Manakan tidak, suami pertama hanya bertahan beberapa bulan.

Begitu juga suami keduanya, pelakon komedi Tom Green yang hanya layak bergelar suami tanggal 7 Julai 2001 hinggalah 15 Oktober 2002. Khabarnya Tom meluat dengan perangai Drew yang liar itu.

3. Nick Lachey

MENGAHWINI seorang selebriti cantik merupakan kepuasan buat jejaka yang terkenal melalui grup 98 Degrees. Namun tidak seperti yang digembar-gemburkan, kebahagiaan ciptaan mereka tidak mampu bertahan.

Mereka bercinta selama empat tahun dan usia perkahwinan mereka singkat daripada itu. Nick dan Jessida Simpson berkahwin tanggal Oktober 2002 dan berpisah pada November 2005.

Powered by Kosmo

Danial Azrell Jadi Rebutan

17 Apr

Danial berkemeja-T di dalam dan memakai kemeja corak kekotak di luar.

KEMUNCULAN Danial Azrell Hafizuddin Mohd. Aluwi, 2, di salun rambut milik ibunya di Sooka Central, Kuala Lumpur, menceriakan suasana. Kanak-kanak comel ini menjadi rebutan untuk didukung kerana sifatnya yang mudah mesra dengan sesiapa pun.

Sesekali dia meragam kerana mungkin mengantuk, namun setelah diberikan botol susu dia diam dalam pelukan ibunya, Noraini Wahib.

Permata hati Noraini ini telah didedahkan dengan keadaan sekeliling luar dari rumahnya sejak berumur enam bulan lagi setelah didaftarkan di Sekolah Gymboree, Bangsar Village.

Di sekolah itu, Danial dibiasakan bergaul dengan orang lain, bermain bersama-sama, belajar muzik, melukis dan menari. Dia akan berada di sekolah selama satu jam, iaitu daripada pukul 10.20 pagi hingga 11.20 pagi.

Kata ibunya, Danial pandai menyanyi lagu Twinkle Twinkle, Row You Boat, Spider dan lagu Rossa, Cinta Sampai Mati antara lagu kegemarannya.

Meskipun masih terlalu kecil, Danial sudah pandai bergaya dan sukakan minyak wangi. Jika hendak keluar berjalan, dia pasti akan ke tempat menyimpan minyak wangi dan akan merengek selagi tidak disembur minyak wangi.

”Dulu dia pakai minyak wangi bapanya, tapi sekarang Danial dah ada minyak wangi sendiri jenama Marc Jacobs yang berbau buah-buahan,” kata Noraini.

Powered by Utusan Malaysia

APM 2007 Didominasi Artis Malaysia

11 Jun

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MESKIPUN pada tahun ini Malaysia hanya menghantar 66 pencalonan untuk Anugerah Planet Muzik 2007 (APM 2007) berbanding 274 penyertaan daripada Indonesia, namun angka yang sedikit itu tidak mengecewakan.

Sebaliknya, negara yang sebelum ini sering “kemarau” trofi kerana dibolot oleh artis dari Indonesia, pada APM 2007 yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura, Jumaat lalu membuktikan bahawa artis Malaysia masih berkualiti.

Sebelum ini artis tempatan yang sering digelar jaguh kampung kerap kali tewas kepada artis dari negara seberang terutamanya dalam kategori yang menyentuh soal kualiti berbanding populariti.

Bagaimanapun APM 2007, negara memperoleh lapan anugerah termasuk empat kategori terbaik dan empat lagi bagi kategori popular daripada 12 kategori yang dicalonkan.

Sementara artis Indonesia hanya memperolehi tiga anugerah daripada kategori terbaik iaitu menerusi Letto untuk Duo/Kumpulan Baru Terbaik), Dewa 19 (Duo/Kumpulan Terbaik) dan Samsons (Album Terbaik) daripada album Naluri Lelaki.

Kejayaan

Manakala pihak tuan rumah pula memperoleh satu anugerah menerusi kejayaan tunggal Imran Ajmain bagi kategori Artis Lelaki Baru Terbaik.

Boleh dikatakan APM 2007 adalah milik Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 28, kerana dia berjaya memperoleh tiga anugerah berbanding rakan artis lain.

Siti yang ditemani suami, Datuk Khalid Muhd. Jiwa pada majlis APM berjaya meraih kemenangan menerusi kategori Artis Wanita Terbaik, Lagu Terbaik (Biarlah Rahsia) dan Artis Wanita Paling Popular yang dipegangnya sejak tujuh tahun berturut-turut.

Kemenangan Siti untuk Artis Wanita Paling Popular yang dipilih berdasarkan pilihan peminat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia itu membuktikan bahawa status isteri bukan penghalang untuknya terus diminati.

Untuk kategori ini, Siti berjaya mengatasi Ella, Jaclyn Victor, Ning Baizura, Rossa, Kris Dayanti dan Acha Septriasa.

“Kejayaan ini (Artis Wanita Paling Popular) kerana peminat-peminat tidak pernah berhenti menyokong Siti. Begitu juga dengan kejayaan lagu Biarlah Rahsia yang dicipta oleh Melly Goeslaw.

“Kejayaan ini terus memberi semangat pada Siti untuk menghasilkan produk yang lebih baik di bawah produksi Siti Nurhaliza Production (SNP). Semoga kita akan terus bekerjasama dengan negara luar untuk memperkayakan seni tanah air,” katanya yang turut mengadakan persembahan bersama Gita Gunawan dan Taufik Batisah.

Sementara Mawi yang baru kali kedua menyertai APM turut membawa pulang trofi untuk kategori Artis Lelaki Paling Popular dan Lagu Paling Popular (Kian).

Mawi yang menganggap kemenangannya itu ibarat mimpi akan terus berusaha memberikan yang terbaik kepada peminat-peminat yang banyak menyokongnya selama ini.

“Lagu Kian amat bermakna kepada saya dan kerana pilihan peminat maka lagu itu berjaya. Demi peminat-peminat yang tidak jemu-jemu menyokong saya akan berusaha menjadi lebih baik lagi,” katanya terus terang.

Bagi komposer dan penyanyi M.Nasir yang meraih kejayaan menerusi kategori Artis Lelaki Terbaik berkata, dia tidak pernah menganggap dirinya yang terbaik. Lagipun pembabitannya dalam bidang seni adalah untuk berkarya.

Begitu juga dengan Noryn Aziz yang memenangi kategori Artis Wanita Baru Terbaik menerusi album Alam Maya.

Noryn yang turut mengadakan persembahan menerusi lagu Lara menganggap kemenangannya itu sebagai pendorong untuknya terus berkarya dalam bidang seni suara.

Sementara kumpulan Sofaz yang tidak hadir pada acara yang bertujuan memberi penghargaan kepada penggiat seni Malaysia, Indonesia dan Singapura itu turut dipilih memenangi anugerah kategori Duo/Kumpulan Paling Popular.

Pada majlis itu juga buat julung kalinya, APM memperkenalkan Anugerah Cinta Planet Muzik yang diberikan kepada Zainal Abidin kerana sumbangannya kepada masyarakat menerusi seni dan Anugerah Khas Planet Muzik untuk Kris Dayanti.

Bagaimanapun, APM yang dikendalikan oleh Aznil Nawawi (Malaysia), Fiqa (Indonesia), Suhaimi dan Fiza O (Singapura) ternyata belum mampu membuat penonton terpaku di kaca TV untuk menonton acara yang disiarkan secara langsung itu hingga tamat.

Meskipun kali ini pengacara kurang berceloteh berbanding tahun-tahun sebelum ini namun gabungan artis yang mengadakan persembahan kurang menarik.

Memang bagus penganjur menyatukan penyanyi ternama dengan baru tapi biarlah kena dengan konsepnya.

Pemenang-pemenang Anugerah Planet Muzik 2007

– Album Terbaik – Naluri Lelaki (Samsons)

– Lagu Terbaik – Biarlah Rahsia (Siti Nurhaliza)

– Artis Lelaki Terbaik – M.Nasir

– Artis Wanita Terbaik – Siti Nurhaliza

– Duo/Kumpulan Terbaik – Dewa 19

– Duo/Kumpulan Baru Terbaik – Letto

– Artis Baru Lelaki Terbaik – Imran Ajmain

– Artis Baru Wanita Terbaik – Noryn Aziz

– Artis Lelaki Paling Popular – Mawi

– Artis Wanita Paling Popular – Siti Nurhaliza

– Duo/Kumpulan Paling Popular – Sofaz

– Lagu Paling Popular – Kian (Mawi)

– Anugerah Cinta Planet Muzik – Zainal Abidin

– Anugerah Khas Planet Muzik – Kris Dayanti

Kategori Artis Singapura

– Lagu Singapura Paling Popular – Dambaan (Didicazli), Usah Lepaskan (Taufik Batisah) dan Merpati – (Hady Mirza)

– Artis Singapura Paling Popular – Taufik Batisah, Hady Mirza dan Kumpulan

Sleeq

– Lagu Terbaik Singapura – Usah Lepaskan (Taufik Batisah)

– Artis Terbaik Singapura – Imran Ajmain

– Album Terbaik Singapura – Konspirasi Dunia (Bhumiband)

Powered by Utusan Malaysia

Ezlynn Jadi Rebutan Di Felda Lembah Klau

16 May

Oleh: FARIZA SAIDIN

Mega Wajasinar Sdn. Bhd. sudah pun memulakan promosi filem pertama terbitannya, Bilut, walaupun filem itu hanya akan memulakan tayangannya pada 27 Julai ini sempena meraikan sambutan ulang tahun Felda ke-50.

Penerbitnya, pelakon Khatijah Abu Hassan baru-baru ini telah membawa beberapa artis termasuk para pelakon filem itu ke Felda Lembah Klau, Raub, Pahang untuk menjadi anak angkat keluarga di sana.

“Ini sebahagian daripada cara kami mempromosikan filem ini,” kata Khatijah ketika ditemui di Felda Lembah Klau baru-baru ini.

Program yang dinamakan Gegar Felda Bersama Bilut itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Belia Felda Pahang.

Program awal itu membabitkan 19 artis antaranya Ezlynn, Abot, Norsheila Amin, Alliza Abdullah (Enot), Didie Alias, Shahizan Samad (EJ), Sufi Jikan, Prono, Fario, Ani Mayuni, Rossa, Shamrin Fotograf, Acappan, Nadia Mustafar, Ayie X Factor, Intan Sarafina, Roy Azman selain personaliti TV Marina Wellington dan Elly (pemenang Mencari Cinta).

Mereka ‘berkampung’ di sana sehari semalam.

Ketibaan para artis disambut mesra oleh Presiden Majlis Belia Felda Pahang, Datuk Abdullah Abu Bakar beserta Pengurus Felda Lembah Klau, Awang Sulong dan Ketua Kampung, Abu Bakar Mahmood.

Sebanyak sebelas buah rumah keluarga angkat disediakan.

Perasaan teruja jelas terbayang pada wajah setiap keluarga angkat yang berpeluang bermalam bersama artis kesayangan masing-masing.

Namun untuk berlaku adil, undian dilakukan bagi menentukan keluarga dan anak angkat masing-masing. Apatah lagi tentunya masing-masing mahu merebut Ezlynn, satu-satunya penyanyi wanita yang membintangi Bilut.

Namun kasihan keluarga angkat yang berjaya mendapatkan Ezlynn. Penyanyi yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye ini sekadar mampu berehat beberapa jam di rumah keluarga angkatnya. Ezlynn terpaksa pulang malam itu selepas mengadakan persembahan untuk penduduk kampung itu.

Bagi Norsheila Amin, artis yang terkenal dengan lagu Da Di Du, pengalaman pertama tinggal sebumbung dengan keluarga angkat cukup bermakna.

“Seumur hidup Sheila, ini pertama kali Sheila tidur di rumah keluarga angkat,” kata Norsheila yang turut membawa anak sulungnya, Amy.

Seperti Norsheila, Didie Alias juga membawa anak-anaknya seramai lima orang.

Ketika mengucapkan kata-kata perkenalan kepada keluarga angkatnya, Didie berkata, “Saya harap dapatlah diterima saya dengan lima cucu angkat sekali.”

Artis-artis yang mengambil bahagian tidak sekadar menjadi anak angkat. Mereka juga membuat persembahan dan bersukan untuk menghiburkan penduduk kampung itu.

Penduduk Felda Lembah Klau boleh berbangga kerana menjadi orang pertama mendengar lagu tema filem Bilut apabila Ezlynn menyanyikan lagu Semalam Hari Ini pada persembahan khas di kampung itu.

Selain Ezlynn, Abot dan Norsheila Amin juga menyanyi.

Abot, penyanyi lagu-lagu alternatif rock, berjaya menceriakan penduduk kampung itu apabila dia mengajak penonton bertwist dengan menyampaikan lagu Bunyi Gitar. Norshiela Amin pula menutup tirai persembahan dengan sebuah lagu joget.

Sebelum berangkat pulang, para artis masih sempat menjalin kemesraan dengan penduduk Felda Lembah Klau melalui perlawanan bola sepak dan bola jaring.

Dalam acara bola sepak, pasukan Bilut membelasah pasukan Majlis Belia Felda Lembah Klau dengan empat gol berbalas tiga manakala perlawanan pasukan bola jaring artis dengan Beliawanis Felda Lembah Klau menyaksikan kemenangan 13-10.

Jadual Gegar Felda Bersama Bilut-2006

*20, 21 Mei – Promosi ke Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak

* 26, 27, 28 Mei – Perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Bilut, Radio Era dan pasukan KRU di Stadium Likas, Sabah

*3, 4 Jun – Promosi ke Felda Perasu, Gua Musang

*10 Jun – Perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Bilut dengan pasukan Bernama di Stadium Selayang, Kuala Lumpur.

*17 Jun – Perlawanan persahabatan bola tampar pantai antara pasukan Bilut dengan pasukan Radio Era di Port Dickson

*1 Julai – Perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Bilut dengan TV3, ntv7 dan HotFm di Stadium MPPJ

Powered by Utusan Malaysia

Penyanyi Bersaing Di Anugerah Planet Muzik

25 Jan

Oleh ROSLI MANAH
Penyanyi Malaysia, Singapura dan Indonesia sekali lagi berentap merebut trofi pada Anugerah Planet Muzik 2002 yang akan berlangsung di Singapura Sabtu ini (26 Januari).

Antara penyanyi Malaysia yang turut disenarai peringkat akhir ialah Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah dan Ziana Zain dalam kategori Artis Terbaik Wanita. Turut dicalonkan Titi DJ dan Rossa dari Indonesia.

Dalam kategori lelaki pula tidak ada penyanyi dari Malaysia dicalonkan. Kategori itu menampilkan penyanyi kelahiran Singapura M.Nasir, Ferhad serta tiga penyanyi Indonesia, Ari Lasso, Andre Hehanussa dan Harvey Malaiholo.

Kumpulan nasyid kontemporari Raihan dan Rabbani pula dicalonkan dalam kategori Kumpulan Terbaik bersama kumpulan Kaleoidoscopicuriosity (Singapura), Padi dan penyanyi duet Anang dan Kris Dayanti dari Indonesia.

Dalam kategori Kumpulan Baru Terbaik pula pasangan Ajai, Nurul dan Bozz dari Malaysia turut dicalonkan. Mereka bersaing bersama kumpulan-kumpulan dari Indonesia.

Kategori wanita pula menampilkan Elyana, Samirah, Mala serta penyanyi Singapura Asiyah Sinnan dan Shanty.

Dalam kategori album pula album Safa (Siti Nurhaliza), Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah), Phoenix Bangkit (M.Nasir), Aku Cinta Padamu (Ziana) turut layak bersaing bersama Sesuatu Yang Tertunda (Padi) dan Makin Aku Cinta (Anang dan Kris Dayanti).

Lagu Menadah Gerimis (Ziana), Raikan Cinta (M.Nasir), Masirah (M.Nasir), Percayalah (Siti Nurhaliza), Makin Aku Cinta (Anang & Kris Dayanti) dan Kasih Tak Sampai (Padi) bersaing merebut anugerah Lagu Terbaik.

Anugerah Planet Muzik 2002 juga turut mempertandingkan beberapa kategori melibatkan penyanyi tempatan Singapura sahaja.

Selain menyampaikan anugerah, ia juga akan menampilkan persembahan hiburan oleh Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Ziana, Nurul dan Ajai, Ferhad, Fazley, Yassin, Hetty Sarlene, Rem, Man Bai, Harvey Malaiholo, Kris Dayanti, Padi, Anterro Boys dan beberapa lagi

Powered by Utusan Malaysia