Archive | Ruffedge RSS feed for this section

Respirasi Muzik: Tonjol Vokal Tersendiri

31 Mar

Rap
MULA mencipta nama menerusi lagu berentak etnik kreatif, bintang muda, Syazliana kembali dengan album pop sepenuhnya yang dihasilkan produksi sendiri, Seinna Entertainment Sdn Bhd.

Album: Syaz
Artis: Syazliana

Menggunakan singkatan namanya Syaz sebagai judul, Syazliana turut bertindak sebagai penerbit eksekutif dengan dibantu komposer terkenal, Iman Wan.

Keputusan Syazliana menghasilkan album pop sepenuhnya ini dirasakan tepat apabila ia berjaya menonjolkan kualiti vokalnya tersendiri dan tiada lagi klon Datuk Siti Nurhaliza.

Album memuatkan enam lagu baru ini menampilkan karya pencipta lagu dan penulis lirik berpengalaman seperti Adnan Abu Hassan, anggota kumpulan Pretty Ugly, Nerves dan Azan Ruffedge. Iman Wan sendiri mencipta dua lagu.

Album ini bermula dengan baik menerusi lagu Atas Nama Cinta dan Suara Hati. Terserlah kemampuan vokal Syazliana yang berada dalam kategori bukan cemerlang, tetapi agak baik terutama dalam menghayati lenggok irama pop itu sendiri.

Begitupun, penyampaian Syazliana agak kurang konsisten terutama membabitkan nota suara rendah menerusi lagu Kau Indah ciptaan Azan Addin sepenuhnya. Ada ketika vokalnya tenggelam dalam alunan instrumen sedangkan muzik ditampilkan sangat menarik dan begitu ringan pada pendengaran telinga.

Turut dimuatkan dalam album yang diedarkan Sony Music ini, Melupakanmu, Tungguku Tinggalkanku dan Dalam Alam Bercinta.

 

 

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Bade Arah Drama Kejar

7 Mar

Oleh Adam Salleh
adam@hmetro.com.my

Rap
DI SEBALIK kontroversi Spa Q, semangat Zaiton Mohd Jiwa tidak luntur untuk terus aktif menerbitkan drama. Sejak Februari, ketika peminat siri telenovela itu hangat dengan isu ‘gambar panas’ Zaefrul Nadzarine Nordin dan Azizah Mahzan, Zaiton meredakan gelisahnya dengan produk terbaru, Kejar.

Jika Spa Q membara di TV3, Zaiton selaku Pengarah Urusan Global Station Sdn. Bhd., mengharapkan Kejar yang dihasilkan sebanyak 26 episod dapat menambat penonton RTM pertengahan tahun ini.

Ketika ditemui, Zaiton berkata Kejar begitu istimewa bukan saja kerana dibarisi pelakon hebat seperti Nasir Bilal Khan, Mustafa Kamal, Betty Banafe, Zain Ruffedge, Farahdhiya dan Umie Aida, tetapi inilah kali pertama dia menggunakan khidmat Badaruddin (Bade) Azmi selaku pengarah.

Sebelum ini, syarikatnya sudah menggunakan khidmat pengarah seperti Raja Ahmad Alauddin, Along Kamaruddin, Zulkiflee R Shad, Hitler Zami, Feroz Khan, Hanafiah Syarif dan Redza Fahmi Suib.

Menurut Zaiton, bukan mudah untuk Bade mengarah drama kerana komitmennya lebih kepada filem. Namun Zaiton beruntung atas kerjasama Erma Fatima, akhirnya Bade lembut hati mengarahkan Kejar.

“Lebih sepuluh tahun Global Station beroperasi, inilah kali pertama Bade mengarahkan drama terbitan syarikat saya. Bukan saya tidak berminat mengambilnya dulu, tetapi setiap kali terlintas untuk mendapat khidmatnya, hati saya pula berdetik apakah Bade sudi mengarahkan drama kami.

“Kita sendiri maklum, Bade satu nama besar dalam arena perfileman tanah air. Apabila Bade bersetuju mengarahkan Kejar, saya berterima kasih kepada isterinya (Erma Fatima),” katanya.

Bagai dijangka kata Zaiton, sekalipun sudah memberi lampu hijau, tetapi pada waktu sama Bade mahu meneliti skrip yang dihasilkan Eenaz Mokhtar. Sesudah puas hati, baru penggambaran bermula.

“Bade ternyata sensitif pada skrip. Saya memberi kepercayaan penuh untuk dia memilih pelakon mengikut kesesuaian watak pada skrip. Rata-rata pelakon ini sudah biasa dengan Bade.

“Setakat ini 70 peratus penggambaran drama ini sudah selesai. Pihak produksi memaklumkan pada saya, Kejar akan dapat disiapkan pada 26 Mac ini. Lokasi sekitar Lembah Klang tetapi banyak di Seri Kembangan dan saya berpuas hati kerana produksi belum berhadapan dengan masalah besar,” katanya.

Menurut Zaiton, berbanding Bade pihaknya kerap bekerjasama dengan Erma terutama siri Dilema Wanita untuk siaran RTM.

Pihaknya juga dalam proses untuk Erma mengarahkan drama istimewa mengenai cinta lara dua insan seni, sebaik berakhir teater muzikal Islamik, Sirah Junjungan Tahajud Cinta.

Sementara itu Bade ketika ditemui wartawan RAP di lokasi berkata, Kejar umpama medan untuk ‘memanas badan’ sebelum dia kembali mengarahkan filem yang ada kaitan dengan tuntutan harta pusaka.

“Dalam Kejar, ada konflik keluarga mengenai pembahagian harta pusaka. Saya pula dalam proses mengarahkan filem bercorak begitu yang diberi judul Wasiat.

“Komitmen pertama kali bersama Global Station diharap dapat menajamkan lagi kreativiti saya sebelum menggarap Wasiat,” katanya.

Harian Metro

Menyanyi, Menari Dan Cipta Lagu

16 Feb

Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF
izyanliyana.mdarif@kosmo.com.my

Bagaimanakah minatnya dalam bidang seni berputik?


MOHD. SYAZWAN sudah menghasilkan lebih daripada 20 buah lagu.

KEMUNCULANNYA di persada seni tempatan bermula sekitar tahun 2005, selepas menyertai kumpulan FO3 dalam pertandingan program realiti Mentor musim pertama. Biarpun program tersebut sudah empat tahun berlalu, tetapi Mohd Syazwan Roslan, 25, masih kukuh berdiri dan mengorak langkah dalam bidang seni.

Anak sulung daripada dua orang adik-beradik itu bukan sahaja memiliki bakat besar dalam bidang nyanyian, malah mahir menari dan mencipta lagu.

Lagu pertama ciptaannya yang bertajuk, Buat Kamu telah dinyanyikan oleh kumpulan Ruffedge. Lagu yang mengisahkan percintaan itu diselitkan dengan elemen muzik Melayu, Jawa, R&B dan hip-hop.

“Minat dalam bidang muzik timbul selepas menyertai koir sekolah ketika berada di tingkatan tiga. Sebenarnya, saya menyertai koir semata-mata untuk menambah koleksi sijil. Maklumlah penglibatan aktif dalam aktiviti sekolah penting sebagai tiket untuk dapat masuk ke pusat pengajian tinggi.

“Setiap kali menjalani latihan koir, guru akan mengajar subjek berkaitan muzik. Dari situ, saya jatuh cinta dan bertekad untuk bergiat serius dalam bidang ini. Sehinggalah saya dan rakan (Deq Wan, Fikri dan Affan) menubuhkan kumpulan Frequent,” jelas Syazwan yang lebih mesra disapa E’One. Dia kini melangkah ke bidang pengacaraan seperti program Remaja (TV3) dan Hits 1 (RTM).

Bicara lanjut mengenai pengalamannya sebagai pengacara Remaja, penggemar siri televisyen Crime Scene Investigation (CSI) dan Grey Anatomy itu menyatakan, remaja seusianya bertuah kerana hidup dalam zaman siber dan moden.

Hanya dengan menggunakan hujung jari sahaja, kita dapat melayari Internet untuk mengetahui dan menjelajah dunia dengan pantas.

“Namun begitu, kecanggihan teknologi juga mampu menyebabkan remaja kita terpengaruh dengan gejala negatif dari Barat.

“Contohnya, budaya hormat-menghormati yang kurang diamalkan oleh masyarakat luar negara berbanding penduduk Malaysia yang penuh dengan budi bahasa dan tolak-ansur,” tambah E’One yang begitu menitikberatkan soal hormat-menghormati.

Kosmo

Respirasi Muzik: Penantian Nikki Berbaloi

10 Feb

Rap
Album: Hawa
Artis: Nikki

KESERASIAN antara Nicollette Louisa Palikat, 23 atau Nikki dan Audi Mok, mampu menghasilkan sesuatu yang membanggakan. Buktinya peminat boleh menilai sendiri menerusi album terbaru Nikki, Hawa.

Menerusi Hawa album ini, Nikki sekali lagi bergabung tenaga Audi yang pernah memenangi Anugerah Album Terbaik, di Anugerah Industri Muzik (AIM) menerusi Aku.Muzik.Kamu (Faizal Tahir) dan juara kategori balada di Anugerah Juara Lagu (Sampai Syurga-Faizal Tahir).

Begitupun banyak perubahan dilakukan pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga Jun ini, selaras dengan perubahan industri muzik tempatan. Penekanan sudah tentu kepada kemampuan vokal penyanyi berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini.

Pendengar boleh menilai kemampuan suara Nikki yang agak matang menerusi lagu Betara Sukma dan Cinta.

Vokal ‘bersiul’ digunakan Nikki sebaik mungkin agar tidak kedengaran keterlaluan. Ternyata Hawa jauh lebih baik berbanding album sulungnya Maharani dari sudut corak persembahan mahupun produksi.

Penantian Nikki yang pernah memenangi anugerah Artis Baru Wanita Terbaik di Anugerah Planet Muzik (APM) sepanjang dua tahun untuk menghasilkan Hawa ternyata berbaloi apabila kualiti lagu ditampilkan bagus.

Berasakan Audi lebih tahu akan kemampuan Nikki dan cita rasa pendengar masa kini, Penerbit Eksekutif Hawa Vernon Kedit dan Michael Ang memilih tujuh lagu pencipta prolifik itu daripada 11 karya dimuatkan dalam album ini.

Antara lagu dihasilkan Audi termasuklah single pertama Relakan yang mana liriknya ditulis penyanyi dan pencipta lagu, Nurfatima, Semalam dan Sebelumnya (Ad Samad), Oh My (Ad Samad), Tak Perlu (Rafidah Abdullah), Betara Sukma (Ad Samad) dan Cinta, lirik ditulis Azalea.

Membanggakan juga apabila Nikki cuba mengembangkan bakatnya dalam bidang penulisan lirik apabila menghasilkan senikata untuk Pretty Like Me dan Baby Baby yang melodinya dihasilkan Nurfatima.

Hawa cuba mengetengahkan beberapa lagu dari komposer muda tetapi mempunyai pengalaman luas dalam dunia penghasilan lagu dan penerbitan album. Antaranya Kieran Kuek yang mencipta Belas-Mu dan Hawa yang menjadi judul album. Kedua-dua lirik lagu ini dihasilkan bekas anggota kumpulan Ruffedge, Mode.

Sementara itu single kedua, Selamat Tinggal ciptaan Pam Yuen yang biasa bekerja dengan Julfekar sebelum ini dan lirik dihasilkan Imran.Bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Amylea Azizan turut bekerjasama dengan Nikki dan Audi dengan menghasilkan lirik Cantik.

Harian Metro

Sudah Cakap Pasal Kahwin

30 Oct

Oleh AQMAR ALLADAD
aqmar.alladad@kosmo.com.my

TIDAK malu-malu, tanpa segan, jauh sekali menyorokkan kisah indah percintaan mereka.

Malah dek kemesraan yang semakin meranum, pasangan Zahid dan kekasihnya, penyanyi tinggi lampai Nita mempunyai hajat besar dimasa depan.

Mereka tidak mahu mensia-siakan hubungan istimewa yang terjalin semenjak setahun lalu.

Sudah menjadi kemestian meminta restu ibu bapa bagi setiap pasangan untuk memilih hidup bersama selamanya.

Begitu juga yang terjadi kepada pasangan ini yang tanpa malu-malu memberitahu hubungan mereka pada ketika ini tidak dihalang oleh mana-mana pihak termasuklah anggota keluarga masing-masing.

“Saya sudah jumpa keluarga Nita dan Nita sendiri sudah berjumpa dengan keluarga saya. Cuma kedua-dua orang tua kami belum kenal lagi antara mereka.

“Buat masa sekarang tiada masalah soal restu atau izin keluarga. Emak saya memang akan ambil tahu dengan siapa saya berkawan dan nampaknya masa saya memperkenalkan Nita kepadanya, tiada sebarang bantahan dan dia okey saja,” cerita Zahid.

Pun begitu kata Zahid, menjadi kebiasaan bagi orang tua untuk menasihati anaknya agar tidak tersasar dalam tingkah dan laku, meskipun sudah besar panjang.

Tambahan pula ibubapanya menyedari risiko yang bakal dilalui oleh anak yang merupakan orang yang dikenali ramai.

Zahid memberitahu, ibunya acap memberi nasihat supaya menjaga segala tingkah laku agar tidak menyakitkan hati pihak lain. Antara nasihat yang sentiasa diingati Zahid ialah ibunya juga tidak mahu segala perbuatan anaknya menjadi bualan umum.

“Emak tak kisah dengan hubungan kami. Cuma dia selalu pesan kena jaga banyak benda. Jangan suka buat perangai sebab dia tak mahu orang cakap macam-macam, nanti keluarga juga yang malu,” katanya.

Justeru Zahid secara peribadi lebih suka seandainya kisah cintanya tidak terlalu digembar-gemburkan kerana dia tidak mahu menanggung malu dikemudian hari seandainya apa yang dikatakannya tidak menjadi. Pun sebagai artis dia sedar, segala kisah terbaru mengenai dirinya akan menjadi bahan cerita banyak pihak.

“Hubungan saya dengan Nita berjalan lancar dan kami semakin rapat. Malah, kami juga saling nasihat-menasihati antara satu sama lain. Jujurnya, saya begitu selesa berada dengannya, tetapi tidak boleh cakap banyak sebab segalanya terserah kepada jodoh,” terang Zahid sambil memandang manja ke arah Nita.

Tidak terlepas daripada ditanyakan dengan soalan percintaan, celoteh bersama Zahid dan Nita diteruskan lagi dengan apakah mungkin kesudahan hubungan mereka berakhir ke jinjang pelamin?

Sekiranya benar, mungkin jua mereka sudah membincangkan hal terbabit tetapi belum diketahui bila agaknya saat indah yang dinantikan oleh Nita untuk menerima lamaran daripada Zahid.

Mana tidaknya, jelas sekali pasangan ini bukan sahaja secocok tetapi keserasian yang terjalin membayangkan hubungan mereka kini sedang berbunga mekar. Saat menanyakan soalan bagaikan soalan cepu emas bagi pasangan ini, Zahid memberitahu dia mempunyai sasaran tersendiri bila bercakap tentang masa depan.


EH! Perempuan mana di sebelah Nita tu? Zahid memang suka melawak membuatkan Nita sentiasa ketawa.

“Soal perkahwinan, saya menetapkan sasaran umur 30 tahun. Tetapi hakikatnya, kalau jodoh itu tiba awal, tak ada masalah.

“Sebenarnya kalau diikutkan kami perlu tengok banyak perkara juga. Terutamanya soal kewangan peribadi terlebih dahulu dan apakah kami sudah benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar. Itu yang penting,” kata Zahid penuh makna.

Namun berbeza pula dengan Nita yang tidak pernah mempunyai sasaran umur untuk mendirikan rumah tangga. Sebaliknya sebagai perempuan, dia hanya berserah sahaja jodoh kepada Ilahi.

“Memang saya tak ada sasaran mahupun dulu atau sekarang. Bila dah sampai seru dan jodoh, saya tidak akan menolaknya,” kata si tinggi lampai ini.

Meskipun keserasian begitu terserlah antara mereka, baik Zahid mahu pun Nita tidak memilih untuk terlalu tergesa-gesa.

Sebaliknya mereka mahu menjaga perjalanan cinta itu dengan sebaik mungkin sebelum benar-benar bersedia untuk memulakan langkah baru dalam kehidupan.

Rancak berborak, sempat juga bertanyakan desas desus yang sebelum ini yang memperkatakan Zahid dilihat sudah membeli barangan perkahwinan di Bandung, Indonesia.


ZAHID dan Nita menyerahkan takdir perkahwinan mereka kepada Ilahi.

Mendengar saja persoalan itu, Zahid terus tergelak besar, langsung tidak menampakkan mimik muka terkejut atau sebaliknya.

Kekecohan yang tersebar itu sebenarnya berpunca apabila dia terbang ke Bandung untuk menemani salah seorang anggota kumpulan Ruffedge, Zain untuk membeli persiapan perkahwinannya.

“Saya ada ke Bandung tetapi bukan untuk membeli persiapan saya, saya hanya teman Zain sahaja untuk persiapan kahwin dia,” jelas jujur Zahid.

Tolak bertunang lama

Gelak tawa pasangan ini sungguh ceria bagaikan tidak sabar menanti bilakah saat dapat melihat mereka melangkah ke alam perkahwinan.

Zahid menjelaskan, tidak dinafikan memang dirinya dan Nita ada juga membincangkan perihal itu tetapi tidak secara serius. Ia cuma cakap biasa sahaja, tanpa serius.

Pasangan ini sendiri mengakui sekiranya percintaan mereka membawa ke alam lebih bahagia, pastinya tidak akan ada tempoh pertunangan yang terlalu lama.

Bukan apa, bimbang mungkin terjadi perkara yang tidak diingini atau kurang elok, justerus mereka kurang bersetuju untuk mengikat tali pertunangan. Maklum sahaja memegang status tunangan orang merupakan satu cabaran dalam setiap hubungan.

“Kalau bertunang sekalipun kami mahu sekejap sahaja. Barangkali juga, bertunang dan pada masa yang sama terus nikah,” katanya.

Bagi majlisnya pula memang belum terfikir konsep yang diimpikan tetapi sudah pasti akan dilaksanakan supaya menyenangkan hati kedua-dua belah pihak. Majlis sebelah Nita bakal diadakan di Selayang iaitu rumah keluarga Nita, manakala majlis Zahid pula di Teluk Intan, Perak. Itu perancangan mereka anda seru berkahwin sudah sampai.

Cemburu Nita

Setiap pasangan bercinta tidak boleh lari dari pergaduhan kecil. Begitu juga yang berlaku kepada pasangan bahagia ini. Mereka juga tidak boleh terlepas dalam hal bergaduh, berbaik dan kemudian bergaduh lagi.

Nita mengakui, pergaduhan biasa memang ada tetapi selisih faham yang berlaku antara mereka sebenarnya dapat merapatkan lagi hubungan yang terjalin.

“Gaduh sudah tentu pernah ada, tetapi saya bertuah sebab Zahid lebih banyak berdiam diri sahaja bila ada masalah. Jadi gaduh kami tak panjang, tak merebak menjadi lebih besar,” beritahu Nita sambil bersyukur kerana ditemukan dengan lelaki seperti Zahid.

Zahid yang tidak habis mengusik Nita pula menjelaskan, Nita lebih bersikap cemburu tetapi dia boleh menerimanya kerana memikirkan cemburu itu tandanya sayang. Kami gaduh pun manja-manja sahaja,” usik Zahid sambil tersenyum manis ke arah Nita.

Kosmo

Menanti Nasib Artis EMI

17 Sep

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

NAMPAKNYA nasib artis-artis tempatan yang bernaung di bawah payung syarikat rakaman EMI Music Malaysia akan berhadapan dengan cabaran baru dalam meneruskan karier mereka khususnya selepas tarikh 1 September lalu.

Ini kerana, mulai tarikh berkenaan, segala urusan pemasaran dan pengedaran album hampir 11 artis tempatan EMI telah diberikan hak pelesenannya kepada syarikat rakaman kumpulan Warner Music (WMG).

Dalam erti kata lain, mengikut perjanjian yang telah dipersetujui itu, WMG kini bebas untuk memilih mana-mana artis EMI yang mereka rasakan berpotensi untuk terus diketengahkan ataupun sebaliknya.

Bagaimanapun, menurut Ketua Bahagian Domestik EMI Music Malaysia, Mohd. Arzmy, artis-artis terbabit masih merupakan artis-artis syarikat rakaman itu BERDASARKAN KEPADA KONTRAK YANG SEDIA ADA TETAPI HAK RAKAMAN, PEMASARAN DAN pengedarannya telah ‘DILESENKAN’ kepada WMG.

“Setakat ini EMI Malaysia mengikat kontrak dengan 11 artis tempatan, antaranya Bandi Amuk, Ella, Ziana Zain, Fiq, Republic Of Brickfields, Sheila Abdull, Camelia, Awie, VE, Ruffedge dan Mael XPDC.

“Kami akan berbincang terlebih dahulu dengan artis-artis terbabit sama ada akan mengekalkan, menyambung ataupun menamatkan kontrak mereka dalam waktu terdekat ini.

“Bagaimanapun, EMI berkemungkinan besar akan menamatkan kontrak atau ‘membebaskan’ mana-mana artis yang tidak diperlukan oleh pihak WMG,” katanya kepada Hits pada satu pertemuan di pejabatnya di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Jelas Mohd. Arzmy, perjanjian hak pelesenan pemasaran dan pengedaran selama beberapa tahun itu turut meliputi produk-produk terbitan EMI cawangan Hong Kong, Indonesia, Filipina, Korea, Singapura dan Thailand berkuatkuasa 1 September lalu.

Ketika ini, perjanjian yang sama telah pun dilaksanakan tetapi EMI yang memegang hak pelesenannya pemasaran dan pengedaran produk-produk WMG di Afrika Utara, Timur Tengah dan India.

Katanya, ekoran perubahan dalam pengurusan anak-anak syarikat EMI yang beribu pejabat di London, United Kingdom itu, ia juga melibatkan para kakitangan EMI Malaysia, di mana ada di kalangan mereka yang mungkin akan diserapkan menerusi WMG.

“Saya difahamkan kakitangan EMI Malaysia yang tidak terpilih akan diberi pelepasan dengan mendapat pampasan mengikut tempoh perkhidmatan mereka. Malah, pejabat EMI ini akan dikosongkan pada hujung bulan ini.

“Hanya jabatan akaun yang mungkin akan dikekalkan tetapi ia juga akan dipindahkan di suatu tempat yang telah ditetapkan kelak,” ujarnya yang memulakan kariernya sebagai Pengurus Artis di EMI Malaysia pada tahun 1977.

Perubahan struktur perniagaan terutamanya pengedaran dan pemasaran hak cipta produk-produk EMI Malaysia ini merupakan yang paling drastik pernah berlaku selepas hampir 42 tahun ia beroperasi di negara ini.

Difahamkan, EMI yang merupakan antara syarikat rakaman tertua di dunia dengan usia 106 tahun melakukan penstrukturan semula itu selepas ia dibeli oleh syarikat Terra Firma sebuah syarikat gergasi di Eropah di Bursa Saham London dengan nilai lebih 3.2 bilion pound sterling (RM19.8 billion).

Ditanya mengenai nasib lagu-lagu dan album-album artis tempatan yang masih berada dalam simpanan EMI Music Malaysia, Mohd. Arzmy berkata, ia tetap akan menjadi hak milik syarikat rakaman tersebut.

“Hak pengedaran dan pemasaran ke atas produk-produk terbitan EMI Music Malaysia termasuklah artis-artis luar kepada WMG hanya diberi tempoh beberapa tahun sahaja.

“Selepas itu, terpulanglah kepada mereka untuk memperbaharui atau tidak hak-hak tersebut. Ini kerana, EMI mempunyai ratusan ribu lagu-lagu dan album-album yang masih berada di bawah syarikat rakaman ini,” kata Arzmy yang bakal memulakan kariernya di sebuah syarikat lain sebelum hujung tahun ini.

Utusan Malaysia

CAC Projek Amal Amer

2 Sep

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

MERIAH: Amer dan artis bergambar kenangan bersama anak yatim dan guru Sekolah Kebangsaan Kuala Pegang, Baling, Kedah.

Sambut merdeka dengan anak yatim di ERL

PADA 31 Ogos lalu bersamaan Hari Merdeka maka genaplah setahun usaha dan pembabitan bekas anggota kumpulan Ruffedge, Amer Munawer Yusoff berkecimpung dalam projek amalnya, Click A Child (CAC). Insya-Allah, penghujung tahun ini satu pelancaran secara rasmi mengenai projek ini bakal diadakan.

CAC ialah satu medium berteraskan kebajikan dan terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk berkongsi apa saja cara untuk mengurangkan beban dan kepayahan insan yang kurang bernasib baik.

Amer yang menjadi tulang belakang di sebalik CAC berkata usaha ini adalah satu usaha untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum di Malaysia.

Dengan menggunakan segala kemudahan yang ada seperti Facebook dan Myspace, ia mampu membina jaringan yang pantas menghebahkan segala aktiviti terdekat di samping mengumpul ahli CAC. Projek ini juga disokong Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

“Di Malaysia belum ada aktiviti seumpama ini kerana siapa pun anda, apa jenis jawatan dan kedudukan anda, semua boleh sama-sama terbabit berkongsi kegembiraan dan keseronokan. Wartawan seperti anda juga dialu-alukan untuk menyertai program ini. Sehingga kini, rasminya sudah ada 4,000 ahli yang menyertai CAC. Kumpulan Hujan antara golongan artis pertama yang memberi sokongan terhadap projek sebegini.

“Kepada yang berminat mereka hanya perlu menaip Click A Child di kotak carian di internet untuk mengetahui serba ringkas mengenai projek ini. Kami juga mempunyai portal yang masih dalam proses pembinaan iaitu http://www.clickita.com,” kata Amer yang merangka satu album khusus membabitkan beberapa artis demi CAC.

Hip dijemput membuat liputan projek keempat anjuran CAC pada 29 Ogos lalu di KL Sentral membabitkan kerjasama Express Rail Link (ERL) meraikan 33 anak yatim daripada Sekolah Kebangsaan Kuala Pegang, Baling, Kedah menaiki ERL (dari KL Sentral) ke Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ini juga bersempena dengan sambutan merdeka yang diraikan pada bulan Ogos lalu.

Bagi pihak ERL, ini juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kepada insan malang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Dr Aminuddin Adnan, ini juga sebahagian pelan menyahut seruan kerajaan bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

“Kami berbangga dapat sama-sama bekerjasama dengan CAC untuk meraikan adik-adik daripada Baling Kedah yang bakal menjadi penumpang ERL, pemimpin generasi masa depan dan pekerja profesional. Sebagai rakyat Malaysia kita patut berbangga dengan ERL yang menjadi projek bertaraf antarabangsa kebanggaan ramai,” katanya ringkas.

Turut sama meraikan ialah kumpulan Luscious dan Infinatez yang mana bakat mereka mula digilap dari Gang Starz musim pertama termasuk kumpulan baru, RadioStar. Sepanjang perjalanan mereka menghiburkan anak yatim dari Baling, Kedah itu dengan beberapa seleksi lagu secara langsung. Mereka juga dibawa melawat perjalanan dan proses yang berlaku di KLIA.

INFO: Click A Child (CAC)

Child juga mempunyai akronim tersendiri iaitu Confident (C), Hope (H), Integrity (I), Leadership (L) dan Direction (D).

Menjadi perantara atau orang tengah memberi ruang dan peluang kepada anak-anak yatim untuk menyerlahkan bakat mereka.

Setiap sekolah atau rumah anak yatim yang dikunjungi akan dibikin saluran blog oleh CAC sebagai saluran untuk menyiarkan apa juga aktiviti dan perkembangan terkini mereka. Daripada blog itu juga CAC boleh mengemaskini dan memantau setiap perkembangan pelajar dan sekolah terbabit.

Berita Harian

It's No Prank, Zain's Hosting

19 Aug

Zain is all fired up and ready to roll.
Zain is all fired up and ready to roll.

From practical joker to television show host. RADIN SRI GHAZALI finds out if Ruffedge member Zain is up to it.

TWO years ago, Ruffedge’s Mohd Kamaruzaman Zain (or popularly known as Zain) pulled a prank on his fellow band member, Hussein, in a TV show Wakenabeb.

Well, this time, Zain’s hosting the show.

“I remember you,” he said during our interview recently.

“Yeah, you were there when we were ganging up on Hussein,” he added.
The practical joke, which I was a part of, involved a “fanatic fan” stalking the former member of the group near a restaurant in Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

“He fell for it. It was all good fun though,” said Zain.

Zain said that becoming the host for Wakenabeb was “purely coincidental”.

“I attended the audition with some friends and decided to try my luck at hosting. Throughout the audition, I was just being me, goofing around and cracking a few jokes,” he said.

But all that must have worked because he received a phone call from the producer soon after.

New to the world of hosting, Zain’s zany side in the show will squash people’s first impression of him as a serious person.

“A lot of people who don’t know me think that I am arrogant. Little do they know that I am the clumsiest member of Ruffedge and that I am always the one with the one-liners,” he said.

Continuing the “legacy” left by the show’s previous presenters (Adlin Aman Ramlie and Radhi OAG), Zain hopes the show will be without hiccups and that it will be well received by the fans.

“Adlin and Radhi are tough acts to follow. They are unique. I’m just going to do my best,” he said.

As for the pranks in the third season, Zain had the opportunity to watch the pranks pulled on celebrities and the public.

“The prank we pulled on singer Ani Mayuni ended in drama. We planned it with her husband. On the day of the prank, her husband pretended to go outstation to work. But Ani was told that her husband was having an affair. In the end, she was in tears,” he said.

Zain also had fun pulling a practical joke on My Team’s football player and his good friend, Faizal Rashid.

“He is so in love with his car. No one dares to touch it. We ganged up with his brother and managed to get the car’s spare keys,” said Zain.

He took off with Faizal’s car and hid it near Bukit Jalil in Kuala Lumpur.

“He searched for his car frantically. If it was someone else who drove his car, he would have beaten the person up,” he said.

According to Zain, the show has received mixed response from celebrities and the public.

“Some take it in the spirit of fun while others crack under pressure. But we are lucky enough that there have been no serious mishaps,” he added.

“There are also some who request that we do not air the prank. We have to respect that. We also have our limits,” he explained.

As for singing, his first love, Zain is recording new material with Ruffedge.

“We have recorded two songs – Rintihan Pengemis and Jangan Berhenti. Both showcase a more mature side of the band. Hopefully, we will appeal to the older crowd,” he said.

Apart from Zain, the only other original member of Ruffedge is Azan. The group has two new members who replaced Cat Farish, Amir and Hussein who left a year ago.

“Nine and Iwan joined this year. They are an asset to the band. Both are experienced singers and have great vocal harmonisation,” he said.

“I think this line-up is the best we have ever had. Each of us has our vocal strengths and we blend well musically. Finding the right members was tough,” he added.

New Straits Times

Ruffedge Belum Berkubur

8 Aug

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my


ZAIN (kanan) bersama anggota Ruffedge iaitu (dari kiri) Cat, Sein, Azan dan Amer ketika pada zaman kegemilangan mereka. Bagaimanapun, ketika ini, hanya Zain dan Azan saja anggota asal yang tinggal selain anggota baru Nine dan Iwan.

KETIKA kemunculannya sekitar tahun 1998, kumpulan Ruffedge yang pada awalnya dianggotai empat anak muda sememangnya cukup dikenali.

Pernah popular menerusi lagu Tipah Tertipu dan Marilah Bergoyang, banyak perkara telah dilalui mereka sepanjang 10 tahun penglibatan dalam industri muzik tempatan.

Beberapa kali bertukar ahli, entah bagaimana, Ruffedge kini dianggap bagaikan sudah berkubur lantaran menyepi daripada album baru serta tawaran mengadakan persembahan yang tidak sekencang dulu.

Bagaimanapun, Ruffedge sebenarnya masih bernyawa dan ia dianggotai Zain dan Azan selaku pengasas kumpulan itu di samping dua ahli baru iaitu Nine serta Iwan.

”Kami masih ada lagi. Apa yang membuatkan Ruffedge semakin tenggelam adalah kerana ketiadaan lagu baru manakala persembahan juga agak kurang.

”Namun, kami akan bangkit semula dan kini baru sahaja merakamkan dua buah lagu baru iaitu Jangan Berhenti dan Rintihan Pengemis,” ujar Zain atau nama sebenarnya Mohd. Kamaruzaman Zain, 30, kepada Hits pada sesi fotografi di studio Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, Ruffedge pernah berada di kemuncak populariti dan usaha untuk mengembalikan kegemilangan kumpulan itu sedang berjalan.

Kata Zain, melalui dua buah lagu terbabit, ia akan dipasarkan tidak lama lagi menerusi single terbaru Ruffedge.

”Saya percaya apabila single terbaru kami berada di pasaran nanti, Ruffedge dapat bergerak aktif seperti dulu,” jelasnya.

Ruffedge ditubuhkan pada 1998 dengan anggota asalnya iaitu Zan, Azan, Cat dan Azim.

Apabila Azim keluar daripada Ruffedge pada 2000, tempatnya digantikan dengan Mode.

Bagi memantapkan vokal setiap ahli, Ruffedge kemudiannya menambah seorang lagi anggota iaitu Amer.

Mode tidak lama dengan Ruffedge apabila bertindak meninggalkan kumpulan itu pada 2005.

Sein pula kemudiannya dibawa masuk ke dalam Ruffedge.

Sungguhpun begitu, Cat mengambil keputusan untuk membawa haluan sendiri pada penghujung 2005 dan diikuti oleh Sein serta Amer, Jun tahun lalu.

Mengendalikan Wakenabeb!

Sementara itu, Zain yang dilahirkan pada 19 April 1978 dipilih untuk menjadi hos bagi program popular ntv7, Wakenabeb! musim ketiga.

Merupakan kali pertama dirinya bergelar pengacara, Zain mengakui dia masih belajar untuk menjiwai watak sebagai pengacara.

”Bukan senang menjadi pengacara. Lagipun, Wakenabeb! bukanlah rancangan bercorak kanak-kanak.

”Kalau ada yang tidak suka cara saya mengendalikan rancangan itu, hendak buat macam mana kerana saya tidak mampu memuaskan hati semua pihak,” jelasnya.

Wakenabeb! merupakan rancangan realiti 30 minit yang bertujuan untuk mengusik selebriti tempatan.

Musim ketiga yang bersiaran sejak 23 Julai lalu iaitu setiap Rabu mulai 9 malam, selebriti yang ‘terkena’ dipilih melalui pencalonan peminat atau rakan kepada selebriti terbabit.

Selain selebriti, krew Wakenabeb! turut akan menyertai komplot mengenakan orang ramai berdasarkan cadangan yang diterima daripada penonton.

Pemilihan Zain sebagai pengacara musim ketiga adalah berdasarkan kepada sifatnya yang peramah, suka berjenaka dan memerhatikan kelakuan orang lain.

Ujar Zain, mengendalikan Wakenabeb!, ia merupakan satu cabaran besar buatnya.

”Saya sedia menerima kritikan kerana saya masih baru dalam dunia pengacaraan,” tambahnya.

Selain menyanyi dan mengacara, sebelum ini Zain bersama Ruffedge pernah berlakon di layar perak melalui filem Tipah Tertipu dan Castello.

Akhiri zaman bujang malam ini

Semua orang sedia maklum Zain akan menamatkan zaman bujangnya malam ini.

Pasangan yang berjaya mencuri hati Zain ialah Khazmira Anuar, 25, yang dikenalinya sejak setahun lalu.

“Sudah tentu saya sedang berdebar untuk bernikah malam ini.

“Kami kenal tidak lama dan majlis akad nikah akan diadakan di rumahnya di Kajang, Jumaat ini,” jelas Zain sambil memohon para peminat mendoakan kebahagiaan dia dan bakal isterinya itu untuk menempuh kehidupan berumah tangga.

Utusan Malaysia

Selebriti 'Didera' Dalam Wakenabeb!

2 Aug

JARANG sekali kita dapat melihat bagaimana selebriti terkenal tanah air ‘didera’ dan rakaman ‘penderaan’ itu pula ditayangkan di stesen televisyen.

Namun, keberanian stesen televisyen ntv7 mengambil pendekatan sedemikian merupakan satu strategi terbaik stesen berkenaan untuk menarik perhatian penonton.

Stesen yang terkenal dengan tagline, Saluran Ceria Anda, ntv7 meneruskan usikan mereka menerusi penerbitan musim baru program Wakenabeb!.

Usikan nakal krew terhadap golongan yang dikenali ini kembali untuk musim ketiga yang disiarkan pada setiap hari Rabu pukul 9 malam selama setengah jam bermula 23 Julai lalu.

Kali ini, program realiti ‘mendera’ dan ‘mengusik’ selebriti itu dihoskan oleh penyanyi hip hop lincah Zain (Ruffedge) yang kini mula melayarkan sayapnya ke dalam bidang pengacaraan.

Para penonton diundang untuk mengikuti kembara Zain mendekati detik cemas, mengelirukan dan penuh mencuit hati oleh artis kegemaran anda.

Program menarik ini masih mengekalkan format musim terdahulu. Selebriti yang ‘terkena’ dalam musim baru ini dipilih menerusi pencalonan daripada peminat dan sahabat rapat selebriti yang berhempas-pulas demi mencipta sebuah senario untuk mengenakan selebriti tersebut.

Setiap episod akan menghidangkan babak sebelum dan selepas drama ciptaan Wakenabeb! yang turut memperlihatkan aspek paling menghiburkan terhasil oleh pakatan berkenaan.

Selain sahabat handai mereka, krew Wakenabeb! turut akan menyertai komplot mengenakan orang ramai berdasarkan cadangan yang diterima oleh penonton.

Lebih menarik, ada penonton yang mendapatkan lampu hijau daripada krew untuk mengenakan sahabat atau ahli keluarga yang tidak tahu-menahu aksi ‘terkena’ mereka dirakamkan.

Tentunya, pelbagai ekspresi dan reaksi melucukan akan dipamerkan oleh mereka yang terkena.

“Wakenabeb! merupakan program realiti tempatan yang diterbitkan bertujuan ‘mengenakan’ individu terpilih yang kembali atas permintaan orang ramai,” kata Penerbit dan Pengarah Wakenabeb!, Zafran Aziz.

Krew penerbitan program ini juga menurut Zafran, amat teruja untuk mempersembahkan musim baru ini dengan memperkenalkan individu kegemaran ramai, Zain sebagai pengacara.

Sebelum ini, penerbit dan pengarah Wakenabeb! ini pernah terlibat dalam menerbitkan rancangan untuk ntv7 termasuklah Seekers, Kids@7, RIM Chart Show dan Wakenabeb! musim lepas!

Untuk dapatkan senario menarik selebriti yang dikenakan tanpa sebarang belas kasihan ini, jangan ketinggalan untuk menonton Wakenabeb! musim ketiga pada setiap hari Rabu pukul 9 malam.

Bagi anda yang tidak berkesempatan pula, jangan lupa saksikan siaran ulangan program itu di Catchup TV. Untuk informasi selanjutnya, layarilah http://www.ntv7.com.my.

Utusan Malaysia