Archive | Ruth Sahanaya RSS feed for this section

Dengarnya…: Dayang Ke Peringkat Antarabangsa

24 Apr

SUDAH lama Cik Normah merindui gemersik nyanyian penyanyi dari Kuching, Sarawak, Dayang Nurfaizah. Ada beberapa lagu terbaru nyanyiannya seperti Luka yang berkumandang di corong radio, namun entah kenapa, sengat lagu itu tidak sekuat ketika Dayang mempopularkan Seandainya Masih Ada Cinta, Hembusan Asmara dan beberapa lagu lain.

Cik Normah rindu Dayang menyanyikan semula lagu balada seperti itu. Sesekali tiada salahnya Dayang kembali menoleh ke belakang. Cik Normah percaya peminat masih menyokong Dayang kerana keunikan suara dan penyampaiannya yang tersendiri.

Cuma satu yang Cik Normah ingin memuji ialah kesungguhan Dayang untuk membawa karier nyanyiannya ke peringkat lebih tinggi.

Terbaru Dayang merakamkan single Lately, di mana projek ini menggabungkannya bersama 35 penyanyi berbakat daripada lima benua dan dipasarkan serentak dalam bahasa berbeza.

Cetusan idea daripada Global One Music ini akan dipasarkan di seluruh dunia, malah gabungan suara Dayang dan penyanyi terkenal lain dapat didengar menerusi single itu yang turut dirakamkan dalam versi ‘multimix’.

Lately versi Dayang memperlihatkan gadis bersuara serak dan lantang itu bekerjasama dengan Daly dari kumpulan hip hop popular, Ahli Fiqir. Daripada apa yang Cik Normah dengar single itu akan mula dimainkan Mei ini.

Artis antarabangsa yang turut serta dalam projek yang membawa slogan “Tiada pasport, tiada visa, tiada politik – hanya muzik” ini termasuk Ruth Sahanaya (Indonesia) dan Sonu Nigam (India).

Berita Harian

Tak Niat Tampil Seksi

6 Feb

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap

JIKA sebut saja nama Dayang Nurfaizah Awang Dowty, pasti penampilannya mencuri perhatian ramai. Ini kerana ada beranggapan gadis hitam manis dari Sarawak itu berimej seksi dan tidak kurang yang menganggapnya ikon fesyen masa kini.

Namun, apa saja yang dikatakan mengenai dirinya walaupun perkara negatif, Dayang tidak pernah melenting atau cepat melatah. Baginya, itu hak masing-masing dan pada Dayang kebanyakan pakaian ‘seksi’ digayakan kerana keselesaan.

Penyanyi yang mula popular dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta berkata, dia tidak kisah apa tanggapan orang mengenai fesyen pilihannya. Baginya, asalkan sesuai dan selesa sudah. Seksi atau tidak, itu penilaian masing-masing.

“Setakat ini, saya tidak pernah berasakan pakaian dipakai seksi. Pada saya, apa yang digayakan biasanya mengikut tema majlis dihadiri. Jadi, apa saja orang hendak cakap mengenai saya seksi, terpulang. Apa yang pasti, ia tidak begitu.

“Saya tidak berniat untuk tampil seksi. Bahkan, bagi saya istilah seksi bukan pada ‘pakaian’ tetapi bagaimana pembawaan imej diri seseorang itu. Dalam soal ini, keluarga saya tidak pernah menegur saya seksi kerana mereka tahu kebenarannya.

“Malah, saya juga bila ada peminat yang menegur diri seksi, lebih senang membiarkan. Saya tidak suka memberi penjelasan kerana jika bersuara itu bermakna ada tindak balas. Maksudnya, saya melayan apa yang mereka kata dan ini tidak bagus,” katanya.

Apapun, Dayang berkata, dia pelik kerana kebanyakan yang memberi komen dirinya seksi datangnya daripada golongan muda sebaliknya peminat yang berusia di kalangan ‘makcik-makcik’ pula memuji penampilannya sangat menarik.

Katanya, atas sebab itu biarlah apa orang hendak mengklasifikasikan fesyen pilihannya. Menurut Dayang, dia malas hendak melayan kerana lebih senang memberi fokus pada karier. Paling penting, bidang nyanyian diceburi masih meraih sokongan.

Ditanya mengenai ke mana dia ‘menghilang’ selama ini, gadis berusia 28 tahun itu berkata seperti biasa, tetap aktif menyanyi. Katanya, jadual nyanyian sangat padat dengan memenuhi persembahan majlis makan malam cuma, sesi fotografi saja tiada.

“Bukan saya ‘melarikan’ diri daripada media tetapi saya lebih suka menghadiri sesi fotografi bersama akhbar atau majalah apabila ada cerita baru. Jadi, sekarang ini saya muncul kerana ada perkembangan pada karier untuk dikongsi bersama peminat.

“Bagi 2009 ini, jadual kerja saya dari Februari hingga April sudah penuh. Jika tiada aral, ‘live’ album yang dirakam ketika sambutan ulang tahun kelahiran di Planet Hollywood, Kuala Lumpur, tahun lalu akan berada di pasaran pertengahan Februari ini.

“Rakaman dibuat dalam video cakera padat (VCD) itu sangat istimewa kerana ia menampilkan lagu popular saya daripada album pertama hingga keenam. Selain itu, saya juga akan menyanyikan lagu untuk novel baru, Luka tulisan Tris Zainal Abidin,” katanya.

Sudah 10 tahun menjadi anak seni, Dayang berkata apa yang menarik minatnya menyanyi lagu Luka dan Losing Me ciptaan khas Tris itu ialah Luka satu-satunya novel pertama di Malaysia mempunyai album runut bunyi. Katanya, ia sungguh hebat.

“Watak utama novel itu mengenai diri saya. Tris menjadikan saya sumber inspirasinya dan ia sesuatu yang membuat diri saya amat terharu. Selain itu, Tris juga ada menyumbangkan lagu baru, Pulang untuk album VCD baru saya nanti.

“Saya dengan Tris sudah selalu bekerjasama. Oleh itu, ini adalah penghargaannya pada saya. Bukan itu saja, secara tidak langsung saya membantu mengembalikan minat membaca di kalangan muda yang dilihat kini semakin berkurangan terutama di kalangan anak muda Melayu.

“Jadi, dengan adanya album runut bunyi dihasilkan secara tidak langsung sambil membaca mereka (peminat novel) boleh mendengar lagu. Baru lebih seronok kerana hiburan dan manusia sangat sinonim,” katanya.

Kata Dayang lagi, mengikut perancangan, novel luka itu akan dilancarkan 12 Mac ini. Namun, sebelum itu dia lebih dulu perlu merakamkan dua video klip lagu di Rainforest Resort, Pulau Banding, Hutan Belum, Perak.

Akui Dayang, lokasinya cukup menarik kerana sudah pergi meninjau lokasi itu baru-baru ini.

“Tidak pernah saya sangka, negara ini memiliki hutan yang indah walaupun berasal dari Sarawak. Sepanjang berada di Hutan Belum itu, saya sangat dekat dengan alam semula jadi.

“Pemandangannya cukup indah dan antara yang menarik perhatian di hutan itu sebenarnya mempunyai 10 spesis burung enggang yang sering dikaitkan dengan Sarawak. Saya juga berpeluang melihat bunga Rafflesia kembang dan melawat perkampungan orang asli.

“Namun, hendak memasuki Hutan Belum bukannya mudah. Saya terpaksa melalui beberapa beberapa post tentera untuk pemeriksaan. Selain itu, apa yang lebih memeranjatkan bila mana ada rumah orang asli mempunyai Astro dan kumpulan muzik sendiri.

Katanya dengan pengalaman itu diharapkan dapat memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia bahawa negara kita memiliki alam semula jadi yang indah. Katanya, baru dia sedar kenapa orang luar negara suka datang membuat kajian di sini.

Selain itu, dalam diam Dayang juga dipilih salah seorang daripada 20 artis seluruh dunia terbabit menghasilkan album untuk syarikat antarabangsa, Global One Music yang akan dilancarkan April depan. Pemilihan Dayang atas cadangan penghibur terkenal Indonesia, Ruth Sahanaya.

“Pada mulanya saya ditawarkan menyanyi dua lagu untuk album ini tetapi disebabkan pihak terbabit suka dengan vokal ditampilkan, mereka memberi tiga lagu lagi. Kesemua lagu diberi dinyanyikan dalam bahasa Melayu mengikut negara diwakili.

“Dalam soal ini, saya bersyukur dengan rezeki yang Tuhan beri. Bahkan, sudah menjadi cara saya suka membuat perancangan perlahan tetapi mampu bertahan. Saya tidak mahu tergesa-gesa membuat pengumuman sebelum ada pengesahan,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Dayang lagi, bagi peminatnya yang mahu mengetahui secara lanjut mengenai projek album bersama Global One Music berkenaan, boleh melayari laman web, http://www.globalonemusic.com. Katanya dia gembira dengan apa diperoleh.

PROFIL:

NAMA: Dayang Nurfaizah Awang Dowty

PANGGILAN KOMERSIAL: Dayang Nurfaizah

TARIKH LAHIR: 20 Julai 1981

USIA: 28 tahun

ASAL: Kuching, Sarawak

KARIER: Penyanyi

GENRE LAGU: Pop, R&B

ALBUM: Dayang Nurfaizah (1999), Seandainya Masih Ada Cinta (2001), Di Sini Bermula (2002), Hembusan Asmara (2002), The Best Of Dayang Nurfaizah (2003), Dayang Sayang Kamu (2004), Kasih (2006) & Dayang 2007 (2007)

ANTARA LAGU POPULAR: Seandainya Masih Ada Cinta, Dayang Sayang Kamu, Di Sini Bermula, Erti Hidup, Hakikat Cinta, Ikatan Kita, Jangan Datang Lagi, Kembalilah Sayang & Pintaku Yang Terakhir

ANTARA PENCAPAIAN: Juara Bintang Remaja Asli 1996, Juara Golden Teen Search 1997, Juara Bintang Remaja 1997, Pemenang Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2001 (Seandainya Masih Ada Cinta) & Juara Bintang Penghibur Hiburan Minggu Ini (HMI) 2001.

Harian Metro

Terus Unggul

7 Jan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Dayang Nurfaizah

Berpegang kepada prinsip biar perlahan, asal bertahan, Dayang Nurfaizah terus mengukuhkan cap dagang namanya di persada seni

BERPEGANG kepada prinsip biar perlahan, asal bertahan dan berani untuk kelihatan berbeza (dare to be different), penyanyi yang pernah diberi gelaran Beyonce Knowles Malaysia iaitu Dayang Nurfaizah, 27, terus unggul di dalam liganya yang tersendiri.

Berbekalkan dua prinsip itu, kerjaya artis yang bakatnya dicungkil menerusi program RTM ini dilihat semakin kukuh dan kehadirannya masih dirasai walaupun artis baru datang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Seiring dengan usia pembabitannya dalam seni yang mencecah hampir sedekad, perubahan imejnya juga menunjukkan Dayang semakin peka dan mengikuti peredaran zaman. Dayang tidak lagi ‘segonjeng’ sewaktu mula memperkenalkan dirinya di persada seni. Malah gadis kelahiran Kuching Sarawak ini tanpa disedari terus mengukuhkan cap dagang namanya.

Satu perkara yang boleh dibanggakan, Dayang juga terpilih mewakili Malaysia mencipta sejarah dalam industri muzik seantero negara melalui projek Global One (layari http://www.globalonemusic.com untuk sebarang maklumat lanjut) yang menghimpunkan 20 artis dari seluruh dunia.

Selain Dayang, Ruth Sahanaya, Sonu Niigam, Daniela Mercury dan ramai lagi mewakili negara masing-masing. Projek yang diterbitkan penerbit antarabangsa, Rob Hoffman ini masih ligat berjalan dan album ini dijangka berada di pasaran pada Mac tahun depan.

“Saya selesa mendaki pentas industri perlahan demi perlahan dan tidak tergesa-gesa. Mungkin juga benar cakap-cakap orang yang mengandaikan secara drastik naik, maka akan drastik turunnya. Semuanya bergantung kepada soal rezeki dan nasib. Biarlah saya naik secara lambat kerana peringkat yang paling sukar dalam setiap fasa kehidupan sekalipun adalah untuk mengekalkan kewujudan kita.

“Begitu juga dengan setiap persembahan yang saya bakal pamerkan kepada penonton menuntut saya untuk sentiasa melakukan perubahan. Sama juga halnya dengan imej diri saya sendiri. Sebagai penghibur, saya kena pastikan khalayak penonton sentiasa terhibur. Jika saya diundang membuat persembahan korporat atau tertutup, saya kena mengkaji apa juga yang dapat dihubung kait dengan syarikat terbabit.

“Tak sangka juga dapat terbabit dengan projek besar ini yang membabitkan nama-nama gah di setiap negara. Ia ibarat satu penghormatan dan bermula hanya apabila pihak saya menerima e-mel daripada pihak Rob. Untuk projek ini, Dayang merakamkan lima buah lagu, termasuklah lagu Lately yang turut dirakamkan dalam bahasa Malaysia menjadi Tanpamu,” kata Dayang yang tidak pernah berasa puas dalam apa jua yang sudah dilakukan dalam dunia seni.

Filem sulung lakonannya berjudul Luka belum masih teruji, apatah lagi filem usaha sama Malaysia-Indonesia itu belum memulakan penggambaran dan ditangguh buat sementara waktu. Dayang sendiri memberitahu yang dia belum tahu lagi bilakah penggambaran ini akan dimulakan kembali, namun jelasnya, dia sudah bersedia.

Menariknya untuk prapromosi filem ini, Dayang merakamkan dua buah lagu terbitan komposer Jenny Chin berjudul Luka dan Loosing Me. Dua buah lagu itu bakal dimuatkan sekali sebagai pakej jualan di dalam novel Luka tulisan Tris Zainol Abidin. Projek novel Luka dan dua buah lagu nyanyian Dayang ini menjadi corak pendekatan pemasaran yang pertama di Malaysia sekali gus memberi hebahan awal mengenai filem itu.

“Jujur cakap nyanyian masih menjadi keutamaan saya dan filem Luka ini ibarat menguji pasaran. Baik menyanyi, mahupun berlakon dua kerjaya ini bukan perkara main-main. Buat masa ini, saya menanti bila-bila masa untuk ke lokasi penggambaran itu tapi semuanya bergantung sama ada saya sibuk atau tidak. Hakikatnya, filem ini sudah lama terbantut penggambarannya.

“Novel Luka yang dihasilkan ini sebagai isyarat untuk kita terus memupuk budaya membaca di kalangan masyarakat di Malaysia. Setahu saya, novel ini dalam peringkat penyuntingan dan akan berada di pasaran tidak lama lagi. Insya-Allah dua buah lagu yang disebut tadi juga akan dimainkan di radio sekitar Disember ini,” ungkap Dayang.

Kebelakangan ini, Dayang dan pengurusnya, Sheliza Abdul Kadir semakin aktif membabitkan diri dalam Biro Karyawan Muda.

Menurut Dayang yang dilantik menjadi ketua biro, apa yang dilakukan atas kesedaran dan keprihatinan untuk terus memperjuangkan nasib artis di Malaysia.

“Apa yang saya lakukan selama ini kerana ikhlas untuk membantu menaikkan industri seni kita yang kian lama kian suram sebenarnya. Tapi yang sedih dan ralat, apabila kita sudah ada saluran untuk bersuara, ada juga sesetengah pihak yang tidak menghargai dan memberi sokongan.

“Tapi apa yang kita boleh lakukan. Persatuan sudah ada untuk kita bergerak, tapi kalau ada yang tidak mahu dibantu atau tampil ke depan, kita tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya dalam nada kecewa.

Dalam perkembangan lain, Dayang juga diundang untuk mengalih suara watak Dorinda di dalam drama Cheetah Girls 3 One World bagi siaran Disney. Selain Dayang, Hunny Madu turut terbabit.

Sepintas Dayang Nurfaizah:

Kak Liza: Pengurus dan juga individu yang selalu percayakan bakat Dayang Nurfaizah terus melangkah jauh di persada seni. Wanita ini juga rujukan terbaik yang tidak pernah mengenal erti putus asa dan selalu berada dengan Dayang tidak kiralah saat susah atau senang.

Impian: Banyak yang ingin dikecapi dan diimpikannya. Selain merealisasikan percubaan pertamanya sebagai pelakon menerusi filem Luka, Dayang juga berhasrat untuk membikin konsert solo yang besar dan memberi impak untuk dirinya sendiri dan paling penting peminat setianya.

Konsert solo: Akui Dayang pihaknya sedang berusaha ke arah itu namun membikin konsert bukan semudah memetik jari. Kata Dayang lagi, dia tidak boleh terus-terusan berharap kepada pihak penaja, mungkin dengan membikin konsert hasil simpanan duit sendiri mempunyai kepuasan yang berbeza.

Jenama: Tidak terlalu mementingkan jenama, baginya apa yang sesuai dipakai dan boleh disuai padankan dengan cara yang terbaik, mungkin satu tips untuk terus bergaya.

Tas tangan: Jarang menjinjingnya, hanya memakai apabila perlu.

Emosi: Tidak selalu menunjukkan tangisannya ataupun marah di hadapan orang dan menurut pengurusnya, Kak Liza, Dayang memang seorang yang berhati batu dan sepanjang mengenalinya, Dayang hanya menangis tiga kali di depannya. Kali pertama pada 2003, sewaktu Dayang membuat persembahan di Planet Hollywood buat pertama kalinya selepas terpalit dengan kontroversi dengan syarikat rakaman dulu. Kedua, pada 2005, sewaktu membuat persembahan di tempat yang sama ketika Dayang menyanyikan lagu Epilog Cinta Dari Bromley dan lucunya Dayang sendiri tidak pasti kenapa dia menitiskan air mata ketika itu. Kali ketiga pada 2006, ketika tersingkir daripada One In A Million musim pertama. Menurut Dayang, dia menangis ketika itu kerana tinggal lagi seminggu sebelum ke peringkat akhir.

PROFIL: Dayang Nurfaizah Awang Dowty Panggilan: Dayang Tarikh Lahir: 20 Julai 1981 Tempat Lahir: Kuching, Sarawak Status: Bujang Solekan: Khir Khalid Emel: dygnurfaizah@yahoo.com Laman web: http://www.dayangnurfaizah.com (masih dalam persiapan dan boleh dilayari pada Januari 2009) Facebook: Taip saja Dayang Nurfaizah di kotak carian.

Berita Harian

Dengarnya…: Erwin Gutawa Cari 3 Diva Baru

24 Nov

Oleh Normah Becok

SEKALI sekala Cik Normah hendak juga berubah angin menyampaikan gosip dari seberang. Kebetulan Cik Normah baru saja bertemu dengan bekas kekasih Cik Normah zaman anak dara dulu. Dia ini memang pemuja setia Cik Normah walaupun kini Cik Normah sudah bersuami.

Maaf ya! Kalau nak kongsi gosip boleh tapi kalau nak ajak berkongsi Cik Normah, memang tak sesuai. Berbalik pada cerita teman Cik Normah ini, dia berkata sejak berkerat rotan berpatah arang dengan tiga diva terdahulu iaitu Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ, pengasasnya, Erwin Gutawa sedang mencari muka baru untuk dijadikan 3 Diva Junior. Khabarnya, bekas pengarah muzik teater P Ramlee The Musical ini sudah pun bertemu dengan dua calon sesuai. Mereka adalah penyanyi yang cukup popular di Malaysia, Rossa dan juga Agnes Monica. Dan Erwin juga sedang mengintai-intai siapakah calon ketiga yang paling layak untuk menerima anugerah yang paling glamor itu.

Wah! Ternganga Cik Normah apabila mendapat tahu cerita ini kerana bukan calang-calang penyanyi yang mampu menganggotai kumpulan itu. Kalau suara tak meletup, persembahan tak ‘vazz’ dan wajah tak cantik, jangan harap nak dapat gelaran tu.

Siapalah agaknya yang bertuah untuk jadi calon ketiga itu ya? Buat Pak Erwin, kalau benarlah dia sedang mencari calon ketiga, Cik Normah nak juga mencadangkan diri ini. Iyalah, apa kurangnya Cik Normah dengan yang dua orang itu. Cik Normah boleh nyanyi, showmanship pun hebat dan bukan saja cantik, tapi potongan badan masih bergetah, pendek kata tak banyak beza dengan si Rossa tu.

Lagipun apalah gunanya gelaran Diva yang Cik Normah dapat dari internet dan forum kalau tak mahu menggunakannya? Jadi nampaknya memang lengkaplah pakej untuk Cik Normah menyertai kumpulan itu.

Berita Harian

Salahkah Minta Tolong Suami? – Ifa Raziah

11 May

Ifa Raziah bersama suaminya Ahmad Yani.

Apa sebenarnya kes “spedo” suami Ifa? Macam mana isu ini boleh timbul?

Ifa sendiri pun pelik juga, tiba-tiba muncul cerita ini pula. Orang tak tahu cerita sebenarnya. Dia orang boleh cakap apa saja. Tetapi hal dalam rumah tangga kami, hanya kami yang tahu. Orang luar tak tahu, tetapi kalau orang hendak tahu sangat terpaksalah Ifa ceritakan juga. Sebenarnya selain menjadi pengurus, suami Ifa adalah rakan kongsi dalam syarikat Ifa, iaitu Ifa Raziah Entertainment. Dia yang menguruskan segala hal ehwal karier Ifa, dia buat pengurusan acara dan macam-macam lagilah.

Sebenarnya apa kerja suami Ifa sebelum ini?

Dulu dia pernah ada syarikat seni reka grafik. Suami Ifa graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Dia memang banyak berkorban untuk Ifa sebenarnya tapi orang tak tahu. Masa kami tengah bercinta, Ifa sudah ada anak. Dia kasihan tengok Ifa ke hulu ke hilir seorang diri. Anak ke mana, show ke mana. Bila dapat show pula bukan di Kuala Lumpur saja tapi kena pergi seluruh negara. Pergi seorang diri tak ada teman pula tu. Jadi, lebih senang kalau dia sendiri uruskan Ifa. Urusan jadi lebih mudah selepas kami kahwin. Ifa tak payah cari pengurus lain. Senang kerja. Lagipun kami cari rezeki untuk anak-anak, rumah tangga sendiri. Jadi Ifa rasa tak salah kalau suami Ifa jadi pengurus.

Masalahnya orang hanya nampak suami Ifa mengekori Ifa saja, sebenarnya apa lagi yang dia buat?

Banyak. Malah Ifa boleh katakan cara dia bekerja lebih hebat daripada Ifa. Kerja dia lagi banyak berbanding dengan Ifa yang hanya naik pentas dan buat persembahan. Dia uruskan segala-galanya. Suami Ifa juga jadi rakan kongsi produk kecantikan Ifa sendiri iaitu Serifa yang akan berada di pasaran hujung bulan ni. Dia yang usahakan dari A sampai Z uruskan buka syarikat dan urusan dengan pengilang dan pengedar- pengedar kami di seluruh negara. Modal pun suami Ifa yang beri peruntukan. Dia yang keluarkan duit dari akaun simpanan dia untuk beri peluang kepada Ifa buka bisnes produk itu. Iyalah, Ifa bukan hanya menyanyi dan berlakon. Ada bisnes lain juga. Ifa masih jadi jurucakap untuk Natasha Sliming dan akan mengarah drama pula. Semua tu kena ada kontraknya, dia yang uruskan. Pendek kata Ifa senang dengan bantuan suami. Sejak bersama suami, kerjaya Ifa nampak peningkatan. Alhamdulillah.

Adakah orang kita tidak boleh menerima suami menjadi pengurus kepada isterinya yang menjadi artis?

Itulah masalahnya. Tetapi kalau Ifa, Ifa selesa diuruskan suami. Orang tak boleh cakap macam itu. Itu hal Ifa. Tetapi orang kena ingat, salahkah kalau Ifa minta tolong suami sendiri jadi pengurus? Dia orang kena tahu, dalam dunia ini bukan Ifa seorang sahaja artis yang diuruskan oleh suami. Ramai lagi artis yang memilih suami untuk menjadi pengurus. Antaranya Celine Dion bersama suaminya Rene Angelil, Ruth Sahanaya juga memilih suami sebagai pengurus. Dan yang paling popular di Malaysia, Anita Sarawak dan suaminya Mahathir. Jadi apa masalahnya? Ada juga artis lain yang diuruskan pula oleh isteri atau ahli keluarga sendiri macam Ameng Spring, Shamsul Ghau Ghau dan Misha Omar yang diuruskan oleh kakaknya. Datuk Siti Nurhaliza pun diuruskan oleh keluarga sendiri, jadi penyanyi No. 1 negara lagi. Jadi apa masalahnya?

Agak-agak Ifa, kenapa baru sekarang isu ini timbul?

Ifa sendiri pelik. Sebenarnya Yani sudah menguruskan kerjaya Ifa Raziah selama lima tahun. Dan dalam jangka masa lima tahun ini juga tidak pernah timbul atau diungkit soal seperti ini. Ramai juga wartawan yang kenal dengan suami Ifa, dia orang tak buat cerita pun. Tetapi sejak kontroversi yang berlaku bersama ‘seseorang’ baru-baru ini, bermacam-macam cerita yang kurang enak sampai ke telinga Ifa. Tapi kita tak hendaklah main tuduh-tuduh. Di samping cerita tentang suami Ifa, ada juga cerita yang mengejutkan keluar. Macam-macam hal yang timbul. Ifa sendiri pun tak sangka sampai jadi macam tu.

Apa cerita pula ni? Kongsilah dengan Pancaindera?

Ada beberapa cerita tak manis telah dengan sengaja dicetuskan. Direka-reka. Termasuklah kononnya ada orang sebar cerita kata Ifa telah diberhentikan dari program Wanita Hari Ini. Tak tahulah siapa buat mulut. Kalau sudah mulut busuk tu, busuk jugalah, Ifa tak boleh hendak halang. Tetapi Ifa berterima kasih kepada penerbit Siti Hatija Yusof dan Hartina Ayu Harun, kerana masih mempercayai kemampuan Ifa Raziah. Sebab itu orang masih boleh tengok muka Ifa setiap hari Khamis di TV3. Sempat promosi ni (ketawa).

Jadi Ifa anggap ini serangan peribadi pihak tertentu?

Kepada Ifa, ini adalah serangan peribadi yang dilakukan secara berterusan, untuk menjatuh dan memburukkan nama Ifa di persada seni. Pelbagai kata nista dilemparkan kepada Ifa sepanjang kempen “memualkan” ini. Tetapi nampaknya segala yang dikatakan tidak menjadi dan telah memakan diri sendiri. Dan apabila semua bedilan dan serangan tidak mengena, pihak tersebut cuba mengalihkan pandangan dan menghentam suami Ifa dan kerjaya Ifa pula. Memang tepatlah dengan kata-kata yang dikeluarkannya, “Kalau nak bermusuh, kita musuh betul-betul”. Ifa juga telah diberitahu oleh seorang rakan, (yang juga telah menjadi salah seorang mangsa), mulut itu juga pernah berkata pada rakan Ifa “Aku kalau dah tak suka orang tu, aku akan putar belit cerita. Aku akan tokok tambah”. Sekarang Ifa percaya sebab Ifa sudah terkena. Jadi renung-renungkan.

Hal-hal macam ini sebenarnya dimulakan oleh orang lain, tetapi akhirnya Ifa juga yang dianggap artis kontroversi, macam mana Ifa menerimanya?

InsyaAllah, kontroversi tak menjadi kudis pada Ifa. Selagi Ifa dan suami yakin dengan apa yang kami buat itu betul kami akan pertahankan. Segala kontroversi yang datang bukan Ifa minta. Ifa memang tak mahu dikenali sebagai artis kontroversi, tak manis. Tetapi kontroversi datang bukan kita yang cari. Orang yang buat dan kita terkena tempiasnya. Jadilah macam ini. Tak apalah Niezam, Ifa terimalah. Ifa percaya Tuhan Maha kaya, adil dan saksama. Rezeki itu Dia yang bagi, bukan orang biasa macam kita. Kalau boleh dalam kehidupan ini, Ifa tak hendak cari musuh dengan orang. Ifa ingat pesan orang tua-tua, biar orang buat kita, jangan kita buat orang. Kita ini kalau mudahkan jalan untuk orang, tak berdengki khianat, InsyaAllah, Tuhan akan permudahkan jalan kita pula. Itu Ifa pegang sangat.

Powered by Utusan Malaysia

Bayaran Bukan Keutamaan – Marcell

2 May

METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my

PENYANYI kacak dari Indonesia ini ingin bergandingan dengan artis Malaysia.

PEMILIK diri bernama Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan atau Marcell merupakan antara bintang Indonesia yang pantas mendapat tempat di hati peminatnya di negara ini.

Pernah menghasilkan dua buah album, Marcell (2003) dan Denganmu (2004), Marcell kini semakin popular dan persembahannya di mana-mana pentas nyata tidak membosankan penonton.

Ditambah dengan aksinya yang lincah dan bertenaga, membuatkan dia sering menjadi keutamaan untuk menjayakan beberapa persembahan.

Ekoran populariti yang diraih itu, ada sahaja cakap-cakap yang mengaitkan dirinya sebagai artis yang begitu cerewet terutamanya mengenai soal bayaran.

Mana tidaknya, dengan apa yang dimiliki Marcell ketika ini, sudah pasti ramai yang akan berfikiran sedemikian. Namun begitu, tidak ramai yang tahu bahawa anak jati Bandung, Indonesia ini merupakan seorang anak seni yang tidak terlalu memikirkan imbuhan.

“Bagi saya, apa yang penting adalah bagaimana saya boleh menyenangkan orang lain melalui persembahan. Jika orang senang, itu lebih memberikan kepuasan kepada saya.

“Justeru saya tidak kisah akan soal bayaran,” katanya ketika ditemui selepas menjayakan Minggu Setiausaha anjuran Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Marcell, turut mengadakan persembahan di majlis yang dihadiri lebih 300 setiausaha itu ialah Dayang Nurfaizah dan Imran Ajmain serta bekas finalis Indonesian Idol musim pertama, Karen Pooroe.

Dalam persembahan itu, Marcell yang pertama kali menjayakan Minggu Setiausaha di negara ini mendendangkan beberapa lagu antaranya Selama Bumi Berputar, Jangan Pernah Berubah, Jelita, Berhenti Berharap dan Candu Asmara.

Marcell turut bergandingan bersama Dayang menerusi lagu Separate Live dan mendendangkan lagu duetnya dengan Karen, Bukan Lagu Cinta.

Menariknya, ketika Imran menyanyikan lagu Pelukan, Marcell membuat kejutan apabila bertindak menjadi pemain drum.

Mengulas mengenai isu bayaran, Marcell kemudiannya menegaskan, dia juga tidak meletakkan soal bayaran sebagai perkara utama jika dikehendaki mengadakan persembahan di majlis-majlis amal.

“Kalau majlis amal, kadang-kadang tidak perlu dibayar tetapi saya kena juga memikirkan orang lain yang membantu saya di pentas seperti penyanyi latar dan pemuzik,” ujarnya.

Tolak dadah, alkohol dan rokok

Sementara itu, peluang bertemu dengan Marcell, penyanyi kacak ini turut berkongsi ‘petua’ mengekalkan kesihatan untuk tampil bertenaga ketika beraksi di pentas.

Kata Marcell, untuk tujuan itu, tiga perkara harus dihindarkan iaitu mengambil dadah, meminum minuman beralkohol dan merokok.

“Tiga benda ini akan membuatkan kita menjadi tidak sihat. Isteri saya, Dewi Lestari juga menolak ketiga-tiga benda itu,” menurutnya.

Marcell tidak ‘berhenti berharap’

Umum tahu, impiannya untuk berduet dengan penyanyi Ning Baizura menerusi lagu Bukan Lagu Cinta, tidak menjadi kenyataan.

Istimewa lagu tersebut, ia dihasilkan sendiri oleh isterinya yang turut percaya kepada kekuatan vokal Ning.

Bukan ditolak atau tidak mendapat kebenaran mana-mana pihak, impian berkenaan terhalang lantaran keadaan Ning yang ketika itu sedang sibuk dengan perkahwinannya. Ekoran itu, Marcell digandingkan bersama Karen.

Sungguhpun begitu, Marcell yang turut popular menerusi lagu Berhenti Berharap tidak pernah berhenti daripada mengharapkan impiannya itu menjadi kenyataan.

“Agak terkilan juga tidak dapat menyanyi bersama Ning. Namun, Karen juga tidak kurang hebatnya kerana suaranya sangat unik dan mempunyai persamaan dengan nada suara saya,” katanya.

Dalam pada itu, Marcell yang mengakui Malaysia begitu dekat di hatinya berkata, selain Ning, dia turut menyimpan impian untuk bekerjasama dengan Faizal Tahir, Estranged, Dayang Nurfaizah dan Syafinaz.

Karen bangga digandingkan dengan Marcell

Masih baru dalam dunia seni dan lahir menerusi Indonesian Idol, Karen melahirkan rasa bangganya apabila dipilih untuk bergandingan bersama Marcell.

“Saya rasa sangat beruntung dan tentu sekali bangga apabila Marcell memilih saya untuk menyanyi bersamanya dalam lagu Bukan Lagu Cinta.

“Lagipun, saya kini sedang dalam pembikinan album pertama yang berkonsepkan pop,” katanya yang cukup menyanjungi penyanyi Ruth Sahanaya, Kris Dayanti serta Titi DJ.

Karen yang boleh bermain piano serta gitar turut melahirkan harapan untuk terus mencipta nama dalam bidang nyanyian.

Powered by Utusan Malaysia

Hati Mulia Yuni Dan Rakan

1 May

Oleh FERIDE HIKMET ATAK


MAHU memberi inspirasi kepada wanita-wanita lain.

JIKA Krisdayanti menubuhkan kumpulan 3 Diva bersama Titi DJ dan Ruth Sahanaya, Yuni Shara juga tidak mahu melepaskan peluang untuk berpadu suara bersama lima orang rakan seperjuangannya.

Menamakannya sebagai kumpulan 5 Wanita, Yuni berganding dengan Rieke Roeslan, Iga Mawarni, Nina Tamam dan Andien.

Berbeza dengan 3 Diva, 5 Wanita mempunyai misi yang tersendiri. Melihatkan kebanyakan kaum wanita di Indonesia kurang berkeyakinan dengan kerjaya sendiri, 5 Wanita mahu menaikkan semangat dan memberi dorongan kepada mereka.

“Kebanyakan golongan wanita malu dengan kerjaya masing-masing terutamanya bagi yang menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.

“Dengan meyakinkan kaum wanita diluar sana, lihatlah peranan kami sebagai ibu dan suri rumah walaupun membuat persembahan di pelbagai tempat.

“Bukan itu saja, kami juga membantu menyelamatkan wanita-wanita Indonesia yang ditindas,” ujar Yuni bersemangat ketika ditemui di ibu kota baru-baru ini.

Melihatkan cara Yuni berbicara, ternyata penyanyi ini seorang yang begitu protektif mengenai isu-isu wanita yang berbangkit.

Malah, pelbagai perancangan yang akan dilakukannya bersama rakan-rakannya seperti memberi motivasi kepada kaum-kaum hawa yang lemah serta menyelamatkan wanita-wanita tertindas dan teraniaya.

Selain itu, 5 Wanita ini turut menyertai misi-misi memberi bantuan kepada golongan hawa yang susah seperti memberikan ceramah penjagaan kesihatan dan kecantikan serta pemberian perubatan.

Menjadikan muzik sebagai medium untuk menyampaikan mesej, mereka telah pun mencipta sebuah lagu berjudul Wanita yang buat pertama kalinya telah pun disampaikan di Festival Java Jazz baru-baru ini.

“Saya rasa medium muzik adalah yang terbaik bagi menyampaikan mesej kerana kebanyakan masyarakat gemarkan muzik.

“Ini membuatkan lebih mudah untuk 5 Wanita dikenali sebagai penyelamat wanita dan bukan penyanyi berkumpulan,” tegas Yuni.

Mahu tandingi Krisdayanti?

Sedang asyik berborak bercerita mengenai misi menyelamat kaum wanita di Indonesia, penulis terus memotong dan bertanya, adakah ini salah satu cara untuk menandingi adiknya?

“Tidak sama sekali. Kami berbeza-beza. 3 Diva lebih pada nyanyian sahaja.” katanya memberikan penjelasan.

Tetapi Yuni tidak marah-marah atau menjawab dengan nada kurang selesa. Dia akur sebagai seorang kakak yang berkongsi dunia sama dengan adiknya, pasti akan ada perbandingan antara mereka.

“Orang selalu menganggap saya mencemburui Krisdayanti kerana popularitinya lebih daripada saya. Tetapi saya sudah melalui populariti itu sebelum adik saya lagi. Sekarang giliran dia pula dan saya anggap itu sesuatu yang biasa,” tutur Yuni sambil jari jemarinya bermain-main membetulkan rambutnya.

Menginjak usia 23 tahun di dalam industri muzik, Yuni tidak kisah jika namanya kurang dikenali di industri tempatan berbanding adiknya.

Pengaruh penyanyi kecil molek ini sungguh kuat di negara kelahirannya dan Yuni pernah menempa populariti yang luar biasa menerusi lagu Mengapa Tiada Maaf. Tempias populariti lagu itu juga tersebar sehingga ke Malaysia dan menjadikan penyanyi yang berusia 36 tahun ini masih menjadi penghibur yang dihormati.

Cuma Yuni sendiri agak kebingungan mengenai kelewatan dirinya untuk menawan peminat muzik tempatan.

“Saya perasan tentang kelewatan ini tetapi saya masih berpuas hati kerana setiap kali membuat persembahan, kebanyakan mereka mengenali saya.

“Walaupun album saya dijual tidak sehebat Kris, saya tidak kisah. Yang penting, sedikit demi sedikit orang Malaysia dapat menerima muzik saya,” ujarnya tanpa rasa sebarang kekesalan di hati.


YUNI tidak pernah mencemburui adiknya, Krisdayanti yang jauh lebih popular di Malaysia.

Tidak suka jurusolek

Suatu benda yang jarang-jarang berlaku pada kebanyakan artis apabila mereka menyolek sendiri wajah mereka.

Melihatkan Yuni asyik dengan menambahkan solekannya, tertanya-tanya seketika mana perginya juru solek peribadinya?

Seperti memahami persoalan itu apabila melihatkan mimik muka wartawan yang penuh dengan persoalan, terus saja Yuni berkata:” Saya tidak ada jurusolek. Solek sendiri saja,” katanya. Rupanya wanita ini langsung tidak menyukai jika mukanya disentuh oleh jurusolek profesional.

Bagi Yuni, solekan jurusolek profesional sama saja dengan kebolehan yang ada dalam dirinya.

“Kalau orang menyolekkan saya, pasti berjam-jam untuk saya menadah muka. Padahal hasilnya lebih kurang sama saja dengan solekan sendiri.

“Penat rasanya menunggu muka ini di rias. Kadang-kala tengkuk saya bertambah lenguh menanti masa untuk disiapkan. Saya tak boleh bayangkan bagaimana kebanyakan artis sanggup menahan muka berjam-jam untuk disolek,” seloroh penyanyi bersuara lantang ini.

Walaupun penyanyi ini tidak memerlukan jurusolek, Yuni tetap mempunyai sedikit masalah mengenai pengurusan rambutnya.

“Itu saya tak boleh nafikan, memang saya perlukan pendandan kerana saya tidak pandai mendandan rambut sendiri walaupun berambut pendek,” katanya.

Rumahtangga porak peranda

“Siapa kata rumahtangga saya hancur?”

Soalnya kembali apabila wartawan ingin mendapatkan kepastian mengenai ura-ura yang mengatakan Yuni sedang berhadapan dengan pergolakan rumah tangga.

Senyuman dan lirikan manja Yuni terus berubah menjadi seriusapabila berbicara mengenai keluarganya. Dia mengakui, memang kadang-kala dia mempunyai sedikit salah faham dengan suaminya, Henry Siahaan.

Namun ini tidak bermakna, hubungan Yuni dengan suaminya sudah sampai ke penghujung. Malah, kata Yuni, mereka semakin akrab lebih-lebih lagi kini Yuni lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga.

“Saya masih bahagia. Rasanya, banyak sangat khabar angin di sebarkan yang bukan dari mulut saya.

“Tetapi, itulah yang perlu dihadapi jika mahu menjadi seorang artis bukan? Sebab itu saya tidak hairan dengan gosip-gosip yang disebarkan. Malah keluarga saya sudah lali dengan khabar angin ini,” akhirnya.

Powered by Kosmo