Archive | Ruth Sahanaya RSS feed for this section

Kolaborasi Baru Kris Dayanti

24 Apr

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my

RAKAN akrab 3 diva (dari kiri), Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ.

APA sahaja kisah tentang diva tersohor dari seberang ini, pastinya akan meraih perhatian yang cukup meluas. Bukan sahaja mempunyai wajah yang cantik dan jelita, kewibawaannya sebagai seorang penghibur yang cukup lincah dalam memberikan persembahan bertenaga tidak perlu disangkal lagi dan ditambah pula dengan keramahannya menjadikan Kris Dayanti begitu disenangi ramai.

Hujung minggu lalu, penerima Artis Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik 2008 (APM 08), itu berada di ibu negara.

Selain menghadiri acara gemilang itu, Kris juga berada di Malaysia kerana memenuhi undangan majlis Minggu Setiausaha anjuran Hotel Quality di Martrade, Kuala Lumpur, petang kelmarin.

Seperti kebiasaannya, Kris tidak pernah lupa bertemu media tempatan untuk bertanya khabar selain berkongsi cerita.

Salah satunya ialah dia cukup rancak berbicara mengenai projek album duetnya bersama seniman tersohor Indonesia, Iwan Fals yang kini sudah pun selesai menjalani rakaman dua buah lagu.

“Saya sebenarnya cukup gembira dan tiada kata yang mampu saya lafazkan apabila penyanyi hebat sepertinya menyatakan persetujuannya untuk meneruskan projek album duet ini,” kata Kris memulakan cerita.

Kesediaan Iwan bekerjasama dengannya dianggap Kris seperti bulan jatuh ke riba lantaran penyanyi jelita itu sedia maklum Iwan bukan seperti seniman popular lain.

Personaliti dan karakter Iwan yang serius dan begitu cerewet serta mementingkan nilai-nilai estetika yang tinggi dalam setiap kerja seninya menyebabkan Kris gentar pelawaannya terhadap ikon seni yang dihormatinya itu tidak diterima.

“Iwan seperti M. Nasir yang cukup cerewet dan keberatan untuk berkerja dengan penyanyi wanita di Indonesia.

“Rancangan ini berlaku secara kebetulan apabila kami terlibat dalam satu persembahan di Indonesia.

“Tiba-tiba saya menyuarakan hasrat ingin berkolaborasi dengannya dalam sebuah album dan terus sahaja dia menyatakan persetujuannya. Terkejut juga saya dibuatnya tetapi sudah pasti saya gembira kerana sudah lama saya kepingin untuk terlibat dalam projek seperti ini bersamanya,” ujar Kris begitu gembira.

Kris memberitahu, sebelum masuk ke studio rakaman, dia serta suaminya Anang, Abdee dari kumpulan Slank dan isteri merangkap pengurus Iwan Fals sendiri iaitu Rosanna terlebih dahulu berbincang mengenai konsep lagu yang sesuai untuk gandingan mereka berdua.

“Berdasarkan rancangan kami, album ini nanti akan memuatkan enam hingga lapan buah lagu tetapi memikirkan karakter Iwan yang sukar diramal dan sentiasa berbuat sesuka hatinya, saya tidak berani meramalkan berapa jumlah lagu dalam album ini.

“Takut tiba-tiba saya kata lain, nanti produk akhirnya lain, saya juga yang susah nanti. Untuk itu, saya sudah bersiap-sedia dengan kekuatan mental dan fizikal dalam berdepan dengan situasi tersebut (ketawa),” Kris menyambung perbualan.

Bagaimanapun, penerbitan album kolaborasi ini ujar Kris, menampilkan konsep muzik yang berbeza dengan apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.

“Kerjasama ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk karier saya dan Iwan. Ia juga mampu mengembangkan lagi karier seni saya khususnya untuk mencuba sesuatu yang baru,” jelas wanita kelahiran Malang, Jawa Timur ini lagi.

Dalam pada itu, Kris yang kali terakhir muncul dengan album solonya, Krisdayanti tahun lalu yang memuatkan lagu popular, I’m Sorry Goodbye menjelaskan, buat masa ini dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk melahirkan album solonya.

“Anang mahu saya memberikan sepenuh perhatian terhadap projek album duet ini. Saya juga enggan terburu-buru dan mahu melakukan sesuatu perkara itu dengan cermat dan perlahan-lahan,” ujar Kris yang mencipta populariti luar biasa di Malaysia menerusi lagu Menghitung Hari pada tahun 1999.

Di sebalik kegembiraan tersebut, kesedihan Kris terhadap kontroversi serta musibah yang melanda 3 Diva baru-baru ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap dirinya serta dua sahabatnya, Ruth Sahanaya dan Titi DJ.

‘Perkahwinan’ yang dibina pada tahun 2006 oleh 3 Diva bersama maestro muzik tersohor Indonesia, Erwin Gutawa menemui jalan penyudahnya apabila Erwin mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat dalam apa jua persembahan bersama 3 Diva.

Ia berikutan Erwin dikatakan tidak berpuas hati dengan beberapa insiden dan berita yang kurang tepat berkenaan dirinya sepanjang terlibat dengan 3 Diva.

“Memang kami sedih dengan apa yang telah berlaku tetapi perjuangan perlu diteruskan juga. Erwin telah banyak membantu 3 Diva. Saya akan pastikan hubungan persahabatan di antara kami tetap terjalin,” kata Kris dalam nada sedih.

Pada masa yang sama, Kris menjelaskan, 3 Diva kami baru sahaja melahirkan album mini yang diberi judul DI3VA yang memuatkan tiga lagu baru iaitu A Lotta Love, Adilkah Ini Untukku dan Mencinta.

“Sehubungan itu, kami akan mengadakan pertemuan dengan peminat kami di sekitar Pulau Jawa dan mengadakan persembahan di sana untuk mereka,” kata ibu kepada Titania Aurelie Nurhermansyah dan Azriel Akbar Hermansyah ini lagi.

Berlakon filem

Kris yang juga mencipta nama sebagai seorang pelakon filem dan sinetron turut memberitahu, dia dalam perancangan untuk membintangi sekuel filem Gadis Marathon yang pernah menjadi sebuah filem box-office pada tahun 1981 di Indonesia lakonan Yenny Rachman.

“Ketika ini Indonesia dibanjiri dengan filem-filem yang berteraskan cinta dan filem yang memperjuangkan kisah atlet Indonesia jarang dipaparkan.

“Mereka tidak seharusnya lupa kepada atlet-atlet Indonesia yang banyak berkorban dan berjasa kepada tanah air. Disebabkan itu juga, saya menyokong penuh dengan penghasilan filem sekuel ini agar atlet Indonesia diangkat ke tempat yang sepatutnya,” jelasnya yang kali pertama berlakon filem Jatuh Cinta Lagi pada tahun 2006.

Jangan salah anggap

Ramai yang memperkatakan tentang ucapan Kris apabila dia menyebut tentang keikhlasan penyanyi nombor satu negara yang juga sahabat karibnya, Datuk Siti Nurhaliza terhadap dirinya sewaktu memberikan ucapan menerima anugerah Artis Wanita Terbaik APM 08 Ahad lalu.

Tidak mahu peminat kedua-duanya salah faham, dengan pantas Kris memberitahu apa yang dimaksudkan adalah keikhlasan Siti merestui kemenangannya memandangkan Siti tewas di negara sendiri.

“Selama lapan tahun APM dianjurkan, dua kali saya memenanginya dan pernah sekali kami berkongsi trofi berkenaan.

“Mungkin sudah menjadi rezeki saya memenanginya pada malam itu memandangkan Anugerah Muzik Indonesia baru-baru ini, saya gagal membawa pulang sebarang anugerah,” luah Kris dengan jujur.

Saat ditanya dengan soalan tidakkah dirinya mempunyai sebarang perancangan untuk menerbitkan sebuah album duet bersama Siti Nurhaliza, Kris menjelaskan impian dan perancangan tersebut sudah ada dan cuma menunggu masa yang sesuai sahaja.

“Kini saya sudah bernaung di bawah syarikat saya sendiri dan begitu juga dengan Siti. Jadi, hendak berkolaborasi itu tidak ada masalah kerana masing-masing tidak terikat dengan syarikat rakaman. Tunggu sahajalah perkembangan terbarunya kelak,” jelasnya menyimpul senyuman yang penuh bermakna.

Persembahan mantap

Persembahan Kris pada Minggu Setiausaha begitu mantap dan energetik sekali. Selama satu jam menghiburkan hampir 650 penonton yang membanjiri dewan tersebut, kehadiran diva ini sememangnya amat ditunggu.

Memulakan persembahan dengan lagu Mencintaimu, momentum pada petang itu terus meningkat tanpa meninggalkan sebarang rasa resah mahupun bosan melihat persembahannya.

Lagu-lagu seperti Menghitung Hari, Pilihlah Aku, Mahadaya Cinta, Joget dan Cinta sudah cukup membuktikan juara Asia Bagus pertama pada tahun 1992 ini berada dalam kelas tersendiri.

Bijak dan manja dengan penonton terutama sang jejaka yang turut mengambil peluang untuk mendekatkan diri dengan penghibur jelita saat diajak ke pentas untuk menari bersamanya sehingga menimbulkan histeria di dalam dewan.

Powered by Utusan Malaysia

Shah Tumpang Tuah Artis Popular?

22 Dec

OLEH NOR FADZILAH BAHARUDIN

Shah (kiri) bersama Man Kidal (kanan) yang bertindak selaku penerbit album Putih.

KEHADIRAN muka-muka baru dalam industri seni muzik tempatan, sememang harus dipuji. Tambahan pula, jika tidak ada yang baru pastinya lama-kelamaan industri seni kita akan ketandusan pelapisnya.

Menyedari itu, anak muda yang menggelarkan dirinya sebagai Shah, tampil dengan album baru yang juga merupakan album sulungnya berjudul Putih.

Diterbitkan oleh Dase Records Inc., album tersebut akan berada di pasaran pada hujung Januari tahun hadapan.

Menariknya album anak muda berusia 24 tahun ini, membariskan nama-nama besar seperti Man Kidal, Ella dan Ruth Sahanaya. Man Kidal tampil sebagai pemain gitar bagi setiap lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Shah serta bertindak selaku penerbit album. Manakala Ella dan Ruth Sahanaya pula dijemput sebagai rakan duet Shah.

Tidak cukup dengan itu, Shah juga turut mengundang seorang penyanyi baru, Gina untuk terlibat dalam album itu.

Persoalannya adakah Shah sendiri tidak yakin untuk muncul secara solo menerusi album sulungnya. Atau pun strategi Shah untuk menumpang nama-nama besar tersebut dijangka boleh berjaya?

Penerbit Eksekutifnya, Datuk Syed Elias Syed Ahmad (Dase) mengakui akan perkara tersebut.

“Memang kami terpaksa menumpang populariti mereka untuk membantu album ini. Memandangkan album ini merupakan album sulung pastinya formula tersebut sekurang-kurangnya dapat membantu album Putih diterima khalayak,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar album Putih yang diadakan di Planet Hollywood, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Album berkonsepkan pop itu menghimpunkan 10 buah lagu yang kesemuanya dicipta oleh Dase dan Shah.

Ditanya mengapa tidak menggunakan khidmat komposer lain dan jelas kelihatan album Putih itu seolah-olah album syok sendiri, kata Das; “Tak timbul isu syok sendiri apabila album tersebut hanya menggunakan lagu ciptaan saya dan Shah. Ini kerana kami sendiri boleh mencipta lagu dan kami sendiri yakin dengan hasil ciptaan kami. Malah dalam simpanan kami ada lebih 100 buah lagu yang masih disimpan. Apa yang kami lakukan ini adalah untuk membantu industri seni kita juga.”

Sementara itu, Shah pula tidak merasakan namanya akan tenggelam akibat penampilan khas nama-nama besar tersebut.

“Saya tak rasa menerusi penampilan artis-artis undangan tersebut akan menenggelamkan nama saya. Kerana khalayak dapat menilai bakat saya menerusi album ini,” katanya.

Dalam pada itu, ratu rock, Ella pula berkata penglibatannya dalam album tersebut adalah untuk membantu bakat-bakat baru dalam industri tempatan.

“Saya rasa tak salah saya membantu Shah dengan berduet dengannya. Disebabkan Shah masih baru kita kenalah bantu dia,” katanya.

Powered by Utusan Malaysia

Terima Kasih, 3 Diva!

29 Mar

Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

MALAYSIA Boleh… Terima kasih Dayang, Nurul dan Noryn yang turut menampilkan persembahan membanggakan penonton.

JARANG benar penonton mengucapkan terima kasih apabila selesai menonton sebuah konsert. Paling tidak, sekadar memberi tepukan sambil berdiri sahaja.

Namun, jika kita berasa puas hati dan terhutang budi dengan Konsert 3 Diva yang berlangsung di Stadium Putra, Kuala Lumpur hujung minggu lalu, ucapkanlah terima kasih dengan penuh jujur.

Ini kerana semua aspek berkaitan konsert anjuran Pineapple Concert Sdn. Bhd., itu ‘memang menjadi’ dan segalanya bersatu hingga menghasilkan kepuasan tahap maksimum.

Paling ketara, persembahan muziknya yang begitu menakjubkan. Ditambah pula dengan vokal konsisten tiga diva iaitu Kris Dayanti , Ruth Sahanaya dan Titi DJ, penonton dihidangkan dengan persembahan yang penuh tenaga dan mempesona.

Selama dua jam setengah, lebih 5,000 penonton yang terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat terpukau dalam sebuah persembahan yang terlalu sukar untuk dijelaskan dengan perkataan.

Ternyata, tiga jelitawan yang sudah bergelar ibu itu mengotakan janji yang mereka sememangnya layak menggalas gelaran diva.

Pada mata kasar, sebenarnya konsert itu tiada apa yang luar biasa selain kontroversi definasi diva dan peranan artis tempatan yang dianggap sebagai tempelan.

Malah suasana stadium pada awalnya, tidaklah terlalu hangat dan ghairah dengan sorakan penonton. Setengah jam sebelum bermula, stadium masih lagi lengang dan terlihat ruang tempat duduk yang masih kosong.

Namun sebaik tirai putih dilabuhkan, set pentas seolah memberi isyarat malam gemilang akan bermula. Lebih dramatik, Orkestra Pesona Malaysia seramai 65 pemuzik pimpinan konduktor muzik tersohor Indonesia Erwin Gutawa beraksi di tengah pentas.

Sebaik tiga diva itu muncul di pentas bagaikan gaya Dreamgirls, ibarat satu keajaiban, suasana malam berubah menjadi begitu luar biasa.

Tampil dengan pakaian yang melambangkan status diva, tanpa berlengah, Kris, Ruth dan Titi DJ pantas menghidupkan klimaks konsert.

Lagu-lagu medley seperti Rembulan, Ekspresi, Maha Daya Cinta dan Astaga menjadi pilihan dengan diiringi alunan muzik susunan Erwin yang fantastik.

Sejurus, tanda kasih persaudaraan antara artis tempatan, tiga diva ini menghadiahkan sesuatu yang istimewa melalui lagu-lagu medley penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza dan Sheila Majid.

Dalam bunyi muzik yang hebat, Siti dan Sheila yang hadir turut menyanyi bersama tiga diva itu. Apa yang menarik perhatian, ialah muzik lagu yang disusunkan penuh kreatif untuk menzahirkan irama yang segar dan baru di halwa telinga penonton.

Bagi peminat Siti dan Sheila, lagu-lagu yang didendangkan antaranya Legenda, Bukan Cinta Biasa, Warna, Cindai, Percayalah, Antara Anyir Dan Jakarta dan Aku Cinta Padamu amat memegunkan walaupun dengan gaya persembahan bersahaja.

Apabila Kris kembali ke belakang pentas, vokal lantang Ruth dan Titi DJ membuai perasaan dengan penyampaian lagu Cinta yang begitu menyentuh jiwa.

Malam gemilang yang tidak pernah sepi dengan instrumen muzik itu turut menampilkan segmen duet bersama artis tempatan. Paling berani, penyanyi sensasi Nurul yang bergoyang sakan dengan Kris melalui lagu Panasaran. Dengan gelekan seksi yang sangat energi, Nurul berjaya membuat nafas penonton lelaki menjadi sesak dek kerana ekspresi wajahnya yang menggoda.

Muncul pula Dayang Nurfaizah berpadu suara dengan Titi DJ melalui lagu Kau Selalu Ada dengan penampilan ‘Beyonce’nya. Ratu jazz dalam pembikinan, Noryn Aziz turut tidak mengaku kalah apabila lontaran vokal besarnya berjaya menyaingi vokal Ruth apabila mereka berduet melalui lagu Bawa Daku Pergi.

Bijak mengawal mood penonton, Kris dan Ruth menghangatkan malam dengan lagu-lagu popular mereka di Malaysia seperti Menghitung Hari, Cobalah Untuk Setia dan Kaulah Segalanya.

Titi DJ pula wajar diberi pujian apabila menyampaikan lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Engkau Laksana Bulan yang bakal dimuatkan dalam album kompilasi terbarunya kelak.

Seterusnya lagu tema tiga diva ini, Semua Jadi Satu mengucap selamat tinggal buat penonton untuk dikenang sebagai memori paling indah malam itu.

Keseluruhannya, menyaksikan konsert Kris, Ruth dan Titi DJ yang sememangnya popular di negara kelahiran mereka, vokal mantap mereka tidak perlu dipertikaikan lagi.

Dengan sokongan sistem bunyi bertaraf lima bintang dan pencahayaan yang baik, Konsert 3 Diva menjadi paling sempurna untuk tahun ini.

Powered by Utusan Malaysia