Archive | S.Roomai Noor RSS feed for this section

Pendidikan, Bakat Seni Perlu Berjalan Seiring

29 May

Oleh Abdul Razak Idris

Sempena pelancaran Hari Seniman Kebangsaan 2008, hari ini

PERANAN seniman cukup besar dalam masyarakat dan sesetengah mereka dijadikan model, ikutan dan idola di kalangan peminat. Pendidikan dan bakat seni yang ada pada seniman berjalan seiring agar mereka boleh menjadi ikon yang bukan hanya hebat dalam nyanyian dan lakonan, malah dalam bidang akademik.

Seniman yang baik lazimnya faham apa yang dilakonkan dan dendangkan. Seniman itu sendiri bergerak dengan bakat, manakala ilmu adalah nilai tambah yang akan menajamkan lagi bakatnya. Selain ilmu akademik akan dapat juga dijadikan bekalan jika populariti sebagai seniman merudum kelak. Apa yang pasti, jika ditanya kepada anak kecil siapa yang mereka suka sudah pasti nama artis popular disebut. Ini menunjukkan pengaruh artis sebagai seniman seni pentas dan filem amat kuat dalam minda anak kita. Faktor ini membuatkan rancangan realiti TV seperti Akademi Fantasia dan Gang Starz meriah dengan penyertaan anak muda.

Malah Berita Harian juga meraikan dan mengiktiraf jasa dan bakat dan pengaruh seniman melalui Anugerah Bintang Popular (ABP) setiap tahun. Cuma bagaimana seniman dapat terus menjadi ikon masyarakat terletak kepada bahu persatuan yang menaungi mereka contohnya persatuan Seniman dan Karyawan. Artis, terutama penyanyi dan pelakon berkelakuan negatif pada mata masyarakat sebagai selebriti atau e-lebriti (selebriti internet) perlu disingkirkan kerana nila setitik akan merosakkan susu sebelanga yang akan memburukkan nama seniman itu sendiri.

Sempena 29 Mei 2008, julung-julung kali Hari Seniman Kebangsaan akan disambut dan dirasmikan Perdana Menteri yang kelak pasti akan mencetuskan fenomena kerana inilah tanda perjuangan seniman di negara ini dihargai sebaik-baiknya oleh kerajaan di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, pimpinan Datuk Mohd Shafie Apdal.

Sesungguhnya, inilah masanya semua seniman daripada seluruh Malaysia berkumpul bagi menunjukkan sokongan kepada kerjaya mereka yang dipandang hormat oleh masyarakat sebagai penghibur masyarakat dan pengisi ruang kehidupan yang semakin perit dan sarat dengan isu sosial dan ekonomi.

Ruang diberi dan pengiktirafan seniman sebagai ikon kepada sebuah kerjaya diwar-warkan. Tanda industri hiburan turut berjasa menyuntik ekonomi negara secara langsung dan tidak langsung. Apa yang pasti perjuangan seniman dalam negara kita tidak hanya sekadar menjadi penyelit atau penyeri acara dan bagi seni tampak dan lukisan tidak hanya sekadar penyedap mata memandang.

Sebuah makna diberi kerajaan dan golongan seniman perlu sama-sama menjayakan Hari Seniman pertama hari ini sambil melupakan sejenak skrip, mikrofon, kanvas dan pahat dan penukul untuk mengingati hari mereka yang secara kebetulan sama dengan tarikh pemergian buat selama-lamanya, Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee pada 29 Mei 1973.

Kita harus mengimbau bahawa berjasa P Ramlee dalam dunia seni tanah air. Jika diperhatikan filem arahan dan lakonan Allahyarham cukup kaya dan sarat dengan elemen Islam dan moral sebagai contoh filem Semerah Padi, Sumpah Orang Minyak, Ali Baba Bujang Lapok, Madu Tiga dan filem lain beliau yang diselitkan unsur ajaran Islam secara tersurat dan tersirat.

Di era keagungan filem Melayu pada 1950-an hingga awal 70-an pada zaman hitam putih hingga ke filem berwarna, selain P Ramlee ada juga penerbit menghasilkan filem bercorak keagamaan seperti filem Iman, Ibulah Syurga, Isi Neraka dan Terbabas arahan S Kadarisman yang mengundang kontroversi pada era itu.

Selain itu, penonton zaman 1970-an hingga 1980-an dilambakkan filem keagamaan dari Indonesia seperti filem Di Bawah Lindungan Kaabah yang juga karya agung Hamka dan filem membabitkan kehebatan perjuangan Wali Songo. Era 1950-an hingga awal 1970-an seniman dari Malaysia dan Indonesia dipandang tinggi oleh peminat sebagai pelakon yang benar-benar tergambar sebagai ikon masyarakat.

Perkembangan mutakhir seniman yang dikenali ramai di negara kita masa kini masih tidak dapat menandingi tahap Seniman Agung yang serba boleh dalam bidangnya dan mampu menjadi ikon masyarakat. Sebagai ikon setiap kata-kata beliau sama ada di luar atau dalam filem akan menjadi ikutan dan pedoman peminatnya.

Hingga pada zaman kemasyhuran beliau, ramai peminat lelaki cuba meniru wajah beliau dengan mengerintingkan rambut serta berbangga mempunyai jerawat di muka sama seperti idola mereka. Setiap kali P Ramlee mengadakan persembahan sambutan luar biasa diterima. Lawak jenaka beliau sentiasa menjadi. Hingga semua gelaran daripada penyanyi, pelakon, pelawak, pengarah, penggubah lagu dan penerbit majalah menjadi milik beliau juga. Sesungguhnya kita ketandusan seniman sedemikian tinggi bakatnya dan auranya.

Seniman selain daripada bidang nyanyian dan lakonan boleh juga dimasukkan seniman dalam bidang seni tampak seperti seni ukiran logam, arca, lukisan, tarian, wayang kulit dan lain-lain yang berkaitan. Walaupun seni yang disebutkan di sisi masyarakat adalah budaya, namun seni bercorak hiburan lebih dominan sifatnya.

Jika disebut Etong tok dalang wayang kulit atau Khatijah Awang dan Ramli Ibrahim masing-masing dalam bidang tarian mak yong dan klasik sudah pasti hanya sekelompok peminat mengenali mereka. Namun, nama seperti Nordin Ahmad, Datuk Ahmad Mahmud, Datuk S Roomai Noor, Saadiah, Aziz Jaafar, Datuk Aziz Sattar, Normadiah dan lain-lain nama pentas lain sudah pasti terbayang aksi mereka di layar perak dan layar televisyen.

Mutu lakonan mereka membuatkan ingatan terhadap mereka amat kuat dan ini menjadikan setiap dialog dan aksi lakonan yang menjurus kepada kebaikan diingati peminat seterusnya dipraktikkan dalam kehidupan kita seharian. Kita masih ingat garang dan bengis Normadiah dalam Lela Manja sebagai ibu tiri, tampannya Tan Sri Jins Samsuddin dengan peranan sebagai polis, sebagai ayah menghidap barah dan menderita sebagai Jiman dalam episod filem Tiada Esok Bagimu, Menanti Hari Esok, Esok Masih Ada dan Esok Untuk Siapa.

Jins berada dalam liga tersendiri, memiliki pendidikan tinggi dari Pusat Pengajian Tinggi di England dan peranan beliau sebagai ikon masyarakat sebagai bintang filem berwawasan meletakkan beliau sebagai senator di Dewan Negara yang mewakili kelompok anak seni, terutama daripada golongan seniman seni pentas meliputi filem, nyanyian dan penggiat budaya.

Powered by Berita Harian

Advertisements