Archive | Saleem RSS feed for this section

Konsert Pancaindera Jengah Ke Johor

2 Mar

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

MELANGKAH ke tahun 2008, akhbar Mingguan Malaysia meneruskan kesinambungan mengadakan beberapa siri penjelajahan melaksanakan konsert bagi memperkukuhkan lagi akhbar itu.

Kejayaan dalam siri konsert yang lalu, membuktikan betapa komitmen berterusan Mingguan Malaysia untuk mendekatkan hubungan dengan para pembaca.

Ini terbukti apabila dalam setiap konsert promosi yang diadakan sebelum ini, penonton tentunya mendapat persembahan hiburan secara percuma seperti yang mereka inginkan.

Konsert Pancaindera membuka tirai sempena sambutan tahun baru 2007 di Port Dickson, Negeri Sembilan yang mendapat sambutan luar jangkaan.

Sangkaan awalnya mungkin tiada sesiapa yang datang menyaksikan konsert itu kerana ia merupakan usaha pertama Pancaindera mendekatkan diri dengan pembaca. Tetapi sangkaan itu meleset sama sekali kerana lain yang dijangka tetapi lain yang menjadi.

Ketika itu lebih 20,000 penonton membanjiri Dataran Teluk Kemang untuk menyaksikan artis-artis membuat persembahan. Tidak cukup dengan itu, konsert seterusnya dianjurkan di Bukit Merah Lake Town Resort, Taiping, Perak.

Sambutannya cukup luar biasa kerana penonton yang berkunjung sanggup datang dari negeri berhampiran seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Dengan memikirkan pembaca adalah aset utama kami, konsert serupa diteruskan di Bera, Pahang dengan jumlah penontonnya melebihi 20,000 orang. Tidak kiralah Orang Asli, masyarakat Felda dan juga penduduk setempat, mereka memberikan komitmen yang padu terhadap konsert itu.

“Tak sangka konsert ini cukup meriah dengan penonton membawa tikar bantal untuk menyaksikan artis,” kata Saleem ketika itu.

Komitmen serupa diteruskan apabila siri konsert berikutnya dilakukan di taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur dan Uptown Shah Alam, Selangor.

Ia bagaimanapun tidak terhenti setakat itu sebaliknya diteruskan lagi dengan memilih selatan tanah air sebagai destinasi keenam penganjuran konsert berkenaan.

Dan seperti yang dijangka, penduduk Johor Bahru tentunya terhibur apabila barisan artis ternama dibawa membuat persembahan untuk mereka secara percuma.

Bertempat di Danga Bay, Johor Bahru pada 24 Februari lalu, persembahan yang berjaya menarik hampir 10,000 penonton itu dilaksanakan dengan meriah. Barisan para artis memulakan acara kira-kira pukul 9 malam dengan menampilkan Roslan Shah dan Haiza sebagai pengacara.

Haiza yang tentunya tidak asing lagi dengan Pancaindera mempersembahkan lagu Ketahuan yang dipopularkan oleh Kumpulan Matta. Ia dinyanyikan dalam versi dangdut dan bahasa Jawa.

Menyedari Johor tentunya ramai orang Jawa, lagu itu mendapat sambutan yang luar biasa. Kehebatan dan kehangatan konsert digamatkan lagi apabila Roslan Shah yang dianggap sebagai pengacara nombor dua popular selepas Aznil Nawawi itu muncul dengan lagu Horey Horey.

Dengan aksi bersahaja, Roslan turut menjemput peminatnya untuk sama-sama menari. Gelagat itu dianggap paling melucukan kerana peminat yang diundang mampu membuat penonton ketawa melihat aksinya.

Kali kedua bersama Pancaindera selepas di Shah Alam, Fazli Zainal tentunya tidak melepaskan peluang menyampaikan lagu Mentera sakti dan Harapan.

Begitu juga Farhan yang muncul dengan lagu Still Got The Blues dan Kelmarin menghilangkan kerinduan terhadap bekas pelajar Akademi Fantasia Keempat (AF4) itu.

Lama tidak bersama Pancaindera, kali ini Nabil muncul mendendangkan lagunya Hati Ini dan Bukan Untukku. Kemunculan Nabil tentunya dapat mengubat rindu peminat remaja untuk menyaksikan persembahannya yang dinanti-nantikan selama ini.

Orang lama yang tetap muda, siapa lagi kalau bukan Nassier Wahab menunjukkan kelunakan suaranya dengan lagu Gadis Bermata Biru dan Memori Cinta Luka.

Walaupun jarang sekali muncul, kehadiran Nassier juga mendapat reaksi positif penonton yang seusia dengannya.

Hazama yang mungkin tidak sepopular bintang lain tetapi ramai yang terkejut melihat aksinya mempersembahkan lagu Zakiah yang pernah didendangkan semasa konsert prelude AF4 lalu.

Merasakan ia satu peluang untuk membuat promosi, Hazama turut mempersembahkan single terbarunya Sampai Bila.

Tidak adil sekiranya penyanyi rock tidak dibawa memanaskan suasana, Ali (M’pire) turut diberi ruang untuk mempersembahkan Bunga Angkasa.

Menutup acara, konsert diteruskan apabila Haiza dan Roslan Shah muncul bersama barisan para artis hebat mendendangkan lagu Memori Daun Pisang beramai-ramai.

“Kami yakin acara seperti ini bukan sahaja dapat menambahkan lagi bilangan pembaca Mingguan Malaysia sebaliknya memberi ruang kepada artis untuk mempromosikan lagu masing-masing,” kata Haiza mewakili rakan-rakan artisnya.

Tanpa kerjasama tentunya konsert sempena penutup Sukan Antarabangsa Danga Bay ini tidak akan berjaya.

Tentulah sekalung tahniah kepada penaja utama iaitu That’s Life Sdn. Bhd., Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Johor, Abdul Aziz Karpawi dan restoran terkenal di Johor Bahru iaitu Singgah Selalu yang menaja makan malam.

Tidak ketinggalan syarikat jualan langsung CNI yang menyediakan pengangkutan bas untuk membawa rombongan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Ramai yang tertanya-tanya selepas Johor ke mana destinasi kami berikutnya? Tentulah beberapa kawasan lain akan kami jelajah. Itupun dengan syarat anda mesti melanggan Mingguan Malaysia setiap minggu.

Powered by Utusan Malaysia

Aspirasi Trio MJAzz

21 Feb

MEMIMPIN sebuah kumpulan orkestra yang berusia lebih 40 tahun memahat nama Datuk Mokhzani Ismail sebagai antara karyawan muzik yang disegani ramai.

Meneruskan tradisi kegemilangan Orkestra RTM daripada seniman-seniman besar seperti pengasasnya, Datuk Ahmad Merican, mendiang Alfonso Soliano, Datuk Ahmad Nawab dan Datuk Johari Salleh mempunyai aspirasi yang sangat besar untuk memasyhurkan kumpulan muzik itu.

Biarpun sibuk dengan tugasnya sebagai Pengarah Muzik RTM, Mokhzani masih sempat menghasilkan album jazz trio pertama di Malaysia yang berteraskan orkestra.

Album MJAzz Trio – The Touch of Jazz dalam versi bahasa Inggeris ini masih lagi dalam proses pembikinan dan diterbitkan oleh komposer terkenal Johari Teh.

Kalau ada yang tertanya-tanya apakah maksud MJA, ia merupakan singkatan kepada nama beliau Mokhzani selaku pemain piano dan dua rakan karibnya, Jimmy (pemain bass) dan Acun (pemain drum).

Mokhzani, Jimmy dan Acun merupakan rakan karib dan berpengalaman mengadakan persembahan selama enam tahun di sebuah kelab jazz di ibu negara.

Menurut Mokhzani, penghasilan album ini dibuat selepas menyedari usaha mendidik dan meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap muzik yang diklasifikasikan sebagai ilmiah perlu ditingkatkan.

“Kita sedia maklum pengaruh muzik sebegini agak kurang kalau dibandingkan dengan lagu-lagu pop yang lebih mendapat tempat biarpun hakikatnya muzik jazz tidak lagi terbatas kepada golongan masyarakat elit.

“Bahkan, melalui konsert-konsert jazz yang diadakan dari masa ke semasa di Malaysia, ada peminat-peminat yang sanggup membayar tiket yang tinggi untuk menonton persembahan jazz,” jelas Mokhzani mengenai rasional penerbitan album MJAzz Trio – The Touch of Jazz.

Meskipun tokoh muzik ini mendapatkan pendidikan khusus dalam jurusan klasik dan jazz dari Berklee College of Music di Boston, Amerika Syarikat, namun kasih dan cinta Mokhzani terhadap semua genre muzik sangat mendalam.

Kemahirannya bukan hanya terserlah ketika memimpin Orkestra RTM yang mula disertainya pada tahun 1990, sebaliknya, anak seni kelahiran Perlis ini juga pernah menghasilkan beberapa lagu komersial seperti Sepi Sekali nyanyian Saleem, Tsunami Kasih (Azharina) dan Selingkuh Kasih (Adibah Noor).

Tidak ketinggalan, Mokhzani merupakan orang penting di sebalik album Orkestra RTM Bersama Bintang yang merupakan koleksi eksklusif dengan juara-juara Bintang RTM, overture klasik seperti Overture Tuah Jebat, Simfoni Putrajaya dan Simfoni Gemilang.

Album MJAzz Trio merupakan sebuah album yang memiliki pelbagai keistimewaan termasuk menyingkap kebolehan pemuzik-pemuzik terbaik Malaysia yang diundang seperti Razak Rahman (Tenor Sax) dan Yap Yen (violin)dan serta MJA Orkestra.

Antara lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini ialah All The Things You Are, But Not For Me, Czardas,In As Sentimental Mood dan lain-lain yang bakal menyuntik satu dimensi baru di dalam dunia muzik tempatan.

Powered by Utusan Malaysia

Salah Laku Artis Hukum Atau Tidak?

20 Jan

OLEH WANDA IDRIS

DI BARAT, perlakuan melampau artisnya sudah menjadi sebahagian budaya mereka. Tidak sahaja di pentas terbuka, kehidupan peribadi mereka juga semakin kalut atas nama ketamadunan dan keterbukaan minda.

Ketika ini, Britney Spears menjadi artis Barat paling popular yang mempunyai sikap tidak keruan yang bukan sahaja mengundang kontroversi malah dikecam hebat oleh peminat dan media.

Kisah provokasinya memang menaikkan semula nama Spears yang semakin malap hari ke hari namun ia nyata tidak memberi impak memberangsangkan kepada kerjayanya.

Di Malaysia pula, cetusan kontroversi dan salah laku sering kali memberikan laluan mudah kepada artisnya untuk menempa nama. Ia umpama satu publisiti percuma kepada mereka.

Mencetuskan sesuatu yang negatif dan kemudiannya secara terbuka meminta maaf juga menjadi sebahagian budaya kepada industri hiburan di negara ini.

Mudah sekali memaafkan dan kemudiannya melakukan lagi kontroversi, tidakkah artis itu sendiri mempunyai rasa bersalah kepada khalayak yang telah memberi kemaafan serta ruang untuknya menilai semula perlakuan diri?

Mungkinkah juga ketiadaan garis panduan untuk menghukum mereka menyebabkan para artis mengambil mudah soal menjaga sifat dan sikap sendiri?

Tetapi siapa yang perlu dipertanggungjawab untuk menguatkuasakan garis panduan itu? Kita tiada badan atau satu jawatankuasa khusus untuk melaksanakan.

Apa yang berlaku, semua hukuman yang dikenakan adalah secara ad-hoc dan sendiri-sendiri sahaja. Misalnya, RTM, TV3, Astro dan sebagainya akan mengambil tindakannya sendiri mengikut keperluan.

Jika ada badan yang diiktiraf maka semua perkara tidak sahaja dirujuk malah akan berpandukan kepada badan atau jawatankuasa terbabit.

Keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang tidak membenarkan Faizal mengadakan persembahan secara langsung di stesen-stesen TV bermula tarikh 15 Januari lalu dilihat satu keputusan yang tepat.

Bukan mahu menjatuhkan hukuman sewenang-wenang namun sekurang-kurangnya dengan hukuman begitu membolehkan mereka, para artis kita, untuk berfikir dua kali sebelum melakukan sesuatu tindakan.

Memang hukuman gam menjadi antara hukuman paling ditakuti oleh masyarakat seni di negara ini kerana ia sekali gus menjejaskan periuk nasi.

Berlembut

Tetapi jika berlembut, artis pula mengambil mudah soal menjaga keperibadian diri. Bukan mahu menghukum anak seni yang sememangnya kreatif dalam segala segi.

Memang mereka juga insan biasa yang melakukan kesilapan tetapi sebagai seorang yang menjadi tumpuan khalayak, mahu atau tidak, mereka perlu dan mesti menjaga peradaban apalagi jika di tempat terbuka.

Faizal Tahir mencipta polemiknya yang tersendiri apabila dengan berani membuka baju dan tali pinggangnya atas nama sebuah persembahan hiburan. Tujuannya semata-mata untuk berseronok.

Bukan Faizal Tahir sahaja yang pernah melakukan perkara sedemikian, buka baju dan tayang dada. Ada artis lain juga pernah melakukannya. Tapi kes artis yang seorang ini agak istimewa diperkatakan kerana selain bertindak di luar dugaan, persembahan itu turut disiarkan secara langsung di kaca TV dan ia juga membabitkan namanya sebagai seorang bekas penyanyi nasyid.

Dan atas kesalahan itu, dia menerima hukuman melakukan kerja-kerja amal selama enam bulan yang dikenakan oleh 8TV.

Stesen 8TV turut menerima padah apabila SKMM turut menarik serta-merta kelulusan rancangan-rancangan siaran langsung dan tertunda berbentuk hiburan stesen itu selama tiga bulan mulai 15 Januari lalu.

Malah penyanyi itu sendiri terpaksa menerima hakikat pahit bahawa dia tidak boleh muncul pada pertandingan berprestij Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) minggu depan kerana turut ‘dihukum’ oleh SKMM. Tidakkah itu sesuatu yang amat merugikan?

Bukan itu sahaja Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) juga berhasrat menggugurkan nama Faizal daripada menjadi antara artis yang mengadakan persembahan pada Majlis Anugerah Tinda Gafim yang dianjurkan oleh persatuan tersebut pada 15 Mac depan.

Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Rancangan) RTM, Datuk Adilah Shek Omar memberitahu pihaknya mempunyai pendirian yang tegas terhadap isu berkaitan moral dan salah laku kalangan karyawan tempatan.

Namun begitu, kata Adilah, pihaknya melihat sejauh mana seriusnya sesuatu kesalahan yang dilakukan sebelum ’menjatuhkan’ hukuman kepada para artis.

“Kita hanya mahu memberi pengajaran agar mereka dan artis lain tidak membuat kesilapan dan kesalahan yang sama,” tegasnya.

Antara mereka yang pernah dihukum RTM termasuklah M. Nasir gara-gara mulut lepasnya serta Ning Baizura ekoran fantasi seks yang satu ketika dahulu pernah menggemparkan industri.

Tidak ketinggalan Saleem dan Jamal Abdillah kerana kes dadah serta yang terbaru, kes Rosnah Mat Aris yang dikatakan menghina Nabi Muhammad s.a.w.

“Hukuman walaupun digam selalunya dalam tempoh masa tertentu. Selalunya hukumannya berperikemanusiaan dan tidak kejam. Ia berpadanan dengan kesalahan yang dilakukan semata-mata sebagai pengajaran,” kata Adilah.

Kalau diikutkan isu buka baju yang dilakukan Faizal kalau dilihat dalam ruang lingkup keruntuhan moral artis sebenarnya hanyalah sebahagian isu salah laku.

Banyak lagi kes yang mengundang isu moral kalangan artis tempatan. Kes khalwat, dadah, cakap lepas juga melibatkan salah laku.

Musibah Faizal buka baju, tidak dinafikan kes-kes lain yang jauh lebih berat patut menerima hukuman yang setimpal kesalahan.

Melakukan kerja amal sebagai hukuman satu tindakan yang baik. Malangnya stesen itu sendiri berhasrat untuk mengkomersialkannya. Jadi di mana pengajaran yang ingin ditunjukkan?

Sepatutnya tidak perlulah kita pula nak bermegah-megah menunjukkan artis melakukan ‘hukumannya’ walau atas dasar apa sekalipun. Kerana dia perlu melakukannya kerana kesalahan yang dilakukan.

Namun isu buka baju juga memberikan impak dan kesedaran untuk kita melihat keruntuhan isu moral kalangan artis dalam skop yang lebih luas.

Powered by Utusan Malaysia

Bukan Mudah Menjaga Saleem" – Julia

2 Dec

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

DALAM rancangan Melodi siaran 18 November lalu, penyanyi Saleem kelihatan agak marah apabila dia dan Jamal Abdillah sering dilemparkan dengan tuduhan buruk berkaitan penyalahgunaan dadah.

Dengan nada kecewa, Saleem berharap masyarakat tidak hanya tahu menuduh sebaliknya turun membantu mereka yang dilanda masalah ketagihan dadah.

Hakikatnya Saleem atau nama sebenarnya AM Saleem Abdul Majid, 45, pada dasarnya kesal dengan pengalaman silam yang dilaluinya selama ini.

Tidak ada siapa di dunia ini yang tidak mahukan berubah. Begitu juga Saleem. Dia sudah beberapa kali keluar masuk penjara. Malah beberapa kali juga masuk ke pusat pemulihan.

Tetapi bukannya mudah untuk meninggalkan tabiat buruk itu.

Kadang-kala bagaikan ada suara yang memanggil dan berbisik untuk mengajak dia kembali terjerumus ke lembah hina itu.

‘‘Tiada sesiapa yang hendak menjadi penagih najis dadah tetapi selepas terjebak, memang sukar untuk meninggalkannya.

‘‘Golongan macam saya memerlukan kekuatan dari segi semangat dan sokongan moral daripada orang ramai.

‘‘Ini tidak, penagih dadah sering diibaratkan sampah tanpa ada usaha untuk membantu dan menolong mereka,’’ jelas Saleem.

Julia Bachok,41, isteri tersayang Saleem tidak menafikan sukar menjaga suaminya itu.

Orang yang pernah menagih dadah kata Julia sentiasa akan terbayang peristiwa hitam lamanya. Malah jika tiada sokongan yang diberikan, tentu saja seseorang itu akan kembali kepada perbuatan asalnya itu.

Sudah dinamakan isteri, Julia mengambil peranan itu dengan bersungguh-sungguh untuk melihat suaminya itu pulih sepenuhnya.

Sejak mendirikan rumah tangga kira-kira enam tahun lalu, Julia mengambil langkah tidak membiarkan Saleem seorang diri.

Semuanya kerana dia percaya jika suaminya itu dibiarkan sendirian di rumah, tidak mustahil dia akan keluar untuk terlibat semula dengan penyalahgunaan dadah.

‘‘Penagih dadah tidak pernah berkata tidak terhadap dadah. Walaupun mereka kata sudah tidak mahu menagih lagi tetapi kalau ada dadah itu di depan mata, mereka tidak akan menolak,’’ kata Julia.

Akui wanita ini dia kadang kala menitiskan air mata menjaga Saleem, Julia mempunyai cara sendiri untuk memastikan suaminya itu dapat mengawal diri.

Terang Julia dia tidak akan sesekali meninggalkan Saleem seorang diri walaupun hendak membeli barang di kedai depan rumah.

‘‘Saya percaya kalau saya biarkan, dia akan keluar senyap-senyap dan menghilangkan diri. Adalah lebih baik hendak ke mana saja pun kita bawa dia bersama,’’ katanya.

Bagaimanapun sekiranya terdesak dan perlu keluar tanpa suaminya itu, Julia mengambil pendekatan meninggalkan anak mereka Mohd. Amirul Mukminin, 3, kepada Saleem.

‘‘Selalunya saya akan suruh dia menjaga anak. Kalau ada anak, dia tak akan keluar kerana ada sesuatu yang lebih mustahak dia perlu lakukan terhadap anak daripada keluar rumah,’’ terang Julia.

Bagaimanapun selama beberapa tahun Julia melakukan perkara itu, ternyata Saleem bukan sudah menunjukkan perubahan apabila dia sendiri berkata takut untuk keluar seorang diri.

Malah suaminya itu juga bimbang ditangkap dan menerima nasib malang seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

‘‘Walaupun dia kata dia dah serik tetapi kita tak boleh biarkan juga. Bukan tidak percaya tetapi kita kenalah bersedia. Bukan mudah menjaga bekas penagih kalau tak ada kekuatan,’’ ujarnya.

Sudah lali dengan kritikan orang, Julia hanya meletakkan kesabaran di dalam hati. Hendak menangis sudah tidak berupaya, hendak ketawa kadang kala tiada bermaya.

Tetapi dia gembira kerana selama berkahwin dengan penyanyi itu, Saleem sudah banyak berubah hasil kerja keras dan usahanya untuk membawa perubahan kepada seorang bekas penagih dadah.

Cuma satu yang Julia minta, bagilah peluang untuk Saleem melalui kehidupan seperti orang biasa dan janganlah terus menghina mengenai kehidupan silamnya.

Powered by Utusan Malaysia

Keey Loi Juara Asyik

29 Oct

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KEEY-Loi muncul sebagai johan pertandingan Juara Asyik.

HANYA Radio Televisyen Malaysia (RTM) sahaja yang membuka ruang untuk golongan Orang Asli mengembangkan bakat mereka dalam bidang seni. Tidak dinafikan golongan minoriti ini juga berkemampuan seperti kaum lain namun mereka tidak diberi peluang.

Kini dengan adanya penganjuran pertandingan Juara Asyik oleh radio ASYIKfm, golongan Orang Asli yang terdiri daripada pelbagai suku kaum itu mampu berkarya seperti orang lain.

Malah pemilihan kumpulan Keey Loi dari suku kaum Semai dan Semelai sebagai johan pertandingan Juara Asyik itu mampu membakar semangat rakan-rakan mereka yang lain.

Pertandingan akhir Juara Asyik telah disiarkan secara langsung menerusi RTM1 pada pukul 8.30 malam kelmarin dari Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Keey Loi yang dianggotai oleh Mohidin Katak (bass), Johan Bah Kap (vokalis), Sharizal Udin (gitar utama) dan Mohd. Amri Udin (drammer) itu bagaikan tidak percaya mereka mampu muncul sebagai juara.

Johan yang mendendangkan lagu Resah, ciptaan Sharizal dan Hakikat Perjuangan (Search) dengan gaya tersendiri berjaya memikat hati lima juri profesional yang diketuai oleh Muhamad Asnawi Mutaal dari RTM.

Lain-lain juri yang mengadili pertandingan tersebut dari segi vokal, kepakaran bermain muzik, persembahan dan penampilan ialah komposer Fauzi Marzuki, Johari Teh, Khoo Fook Sin dan Azhar Mohd. Sharif.

Menurut Johan, kelapan-lapan kumpulan yang layak ke peringkat akhir mempunyai kelebihan tersendiri.

Terkejut

“Memang terkejut kerana kami tidak sangka akan muncul sebagai juara. Ini bukanlah pertandingan pertama kami. Sebelum ini kami pernah menyertai pertandingan Rentak Juara tapi tidak ada rezeki,” katanya mewakili rakan-rakan.

Johan yang meminati gaya persembahan Amy Search itu berharap lebih banyak pertandingan yang membabitkan kaum Orang Asli diadakan di masa akan datang.

Meskipun meminati irama rock, namun Johan berkata kumpulan mereka tidak akan melupakan adat budaya.

“Untuk pertandingan ini kami mengambil pendekatan yang mudah dan memandangkan irama rock mudah diterima jadi lagu yang dicipta pun ke arah itu,” jelasnya.

Dengan kejayaan itu, Keey Loi yang berasal dari Kampung Sungai Sampo, Jempol, Negeri Sembilan itu berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000.

Sementara Sharizal yang memenangi wang tunai RM2,000 menerusi kategori Pencipta Lagu Terbaik berkata, dia mengambil masa selama tiga minggu untuk mencipta lagu Resah.

Bagi kumpulan X-Gerimis yang dianggotai oleh Sharman Sulak (gitar utama), Sujak Suak (gitar kedua), Diza Sukri Idris (bass), Muhamad Shahrul Amri Mohd. Fathi Awal (drammer) dan Mirzamardzan Saney Sambut (vokalis) menduduki tempat kedua juga merupakan satu kejayaan.

Tidak kecewa

Menurut Sharman, mereka tidak kecewa kerana masih banyak lagi yang perlu diperbaiki daripada segi persembahan.

“Kejayaan kami mungkin disebabkan tahap persembahan kami setakat itu sahaja. Kami akan memperbaiki lagi persembahan di masa akan datang,” katanya yang turut mencipta lagu Kau Dan Aku.

Jelasnya, lagu tersebut dicipta dalam masa tiga hari dan itulah lagu pertama yang diciptanya.

Kumpulan dari suku kaum Temuan yang berasal dari Kampung Senibai, Johol, Negeri Sembilan itu sering mengadakan persembahan di rumah orang kahwin.

“Seperti kumpulan muzik lain, kami juga menyimpan impian untuk menghasilkan album. Kami harap ada pihak yang sudi untuk memberi ruang kepada kumpulan muzik Orang Asli untuk terus maju kerana di kalangan kami pun ada yang berbakat,” katanya.

Kumpulan X-Gerimis yang menjadi naib johan menerima wang tunai RM8,000, trofi dan sijil penyertaan.

Sementara kumpulan D’Yal yang mempertaruhkan lagu Bunga dan Tak Mungkin tampil menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM5,000.

Kumpulan yang berasal dari Pos Iskandar, Bera, Pahang itu dianggotai oleh Arman Ali (vokalis), Harun Samat (bass), Zanira Ali (gitar utama) dan Norsahrol Ali (drammer).

Menurut Arman, inilah pertama kali mereka menyertai pertandingan. Biarpun tanpa alat muzik, namun mereka masih mampu menarik perhatian juri.

“Kesemua anggota D’Yal tidak ada alat muzik. Kami tidak mampu memilik alat muzik kerana kami semua bekerja kampung. Kalau berlatih pun kami hanya menyewa sahaja. Apa pun kami gembira kerana usaha kami selama ini berbaloi,” katanya.

D’Yal yang terdiri daripada suku kaum Semelai itu menerima wang tunai RM5,000.

Lain-lain kumpulan yang turut bertanding pada peringkat akhir Juara Asyik ialah D’Men, A’Boyz, Pearl, Bencaq dan Destinasi BT.

Selain persembahan peserta, penonton turut dihiburkan dengan dendangan daripada kumpulan Itosii, Saleem, Aremeer (Sofaz) dan Zamani.

Powered by Utusan Malaysia

Konsert Pancaindera Pecah Rekod Di Bera

1 Jul

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

ISMAIL Sabri (di belakang tiga dari kanan) bersama barisan artis yang menjayakan Konsert Pancaindera di Bera.

SEBELUM ini banyak yang tanya kenapa Konsert Pancaindera tidak dibuat di Kuala Lumpur? Orang kata di Kuala Lumpur penonton banyak dan sambutan tentu lebih hebat.

Bagaimanapun difahamkan Konsert Pancaindera bukan tidak akan diadakan di Kuala Lumpur tetapi Pancaindera juga mahu memberi peluang kepada peminat di luar bandar atau pekan kecil bersua muka dengan artis-artis popular.

Ini membuktikan Pancaindera tidak melupakan pembaca yang sekali gus menjadi peminat artis popular yang berada di luar Kuala Lumpur. Pancaindera membawa hiburan secara langsung kepada mereka sekalipun jauh dari Kuala Lumpur.

Konsert Pancaindera di Bera, Pahang Sabtu lalu adalah destinasi ketiga siri konsert yang bermula di Port Dickson dan Bukit Merah Lake Town Mei lalu. Persinggahan Konsert Pancaindera di Bera, sebenarnya meninggalkan catatan paling manis apabila kehadiran penonton mengatasi dua konsert sebelum ini.

Dengan barisan artis popular, Konsert Pancaindera di Bera mendapat sambutan hebat daripada penonton yang terdiri daripada warga Felda dan masyarakat kampung di sekitar bandar Bera.

Dianggarkan lebih 25,000 penonton membanjiri Dataran Kerayong, Bera untuk menyaksikan Konsert Pancaindera. Konsert di Port Dickson mencatat 20,000 penonton sementara di Bukit Merah Lake Town dihadiri lebih 10,000 penonton.

Meskipun Bera sering dikunjungi banyak artis popular sebelum ini, kehadiran Konsert Pancaindera nampaknya paling mendapat sambutan.

“Tahniah kepada Pancaindera dan penduduk Bera kerana lebih 25,000 ribu penonton berada di sini, menyaksikan Konsert Pancaindera,” kata Ahli Parlimen Bera, Datuk Ismail Sabri Yaacob.

Ismail yang menyaksikan konsert itu bersama-sama dengan beberapa pemimpin di Bera. Beliau turut mencadangkan agar konsert ini dijadikan acara tahunan di Bera.

Ismail berterima kasih kepada rombongan artis popular yang sudi melapangkan masa untuk menjayakan konsert ini di sebuah daerah yang jauh dari Kuala Lumpur.

Artis-artis terdiri daripada Ramlah Ram, Elyana, Alif, Siti Nordiana, Acik Spin, Saleem, Haiza, Roslan Shah. Mereka kelihatan cukup gembira kerana berpeluang bertemu dengan peminat-peminat di Bera yang menunggu sejak awal lagi.

Malah ada artis yang kelihatan berat untuk melangkah pulang kerana terlalu sekejap di sebuah daerah yang tenang dan peminat-peminat yang sangat menghargai mereka.

Konsert Pancaindera ini juga diadakan sempena acara Kejohanan Lumba Basikal Piala Tengku Mahkota Pahang yang berlangsung di daerah berkenaan.

Konsert ini ditaja oleh Persatuan Lumba Basikal Pahang dan produk kecantikan Aura Seri. Aura Seri menaja produk kecantikan bernilai lebih RM10,000 yang dihadiahkan kepada penonton bertuah konsert itu.

Gerimis bawa rahmat

Artis yang bersama-sama menghadirkan diri ke konsert ini pastinya tahu bagaimana perjalanan konsert ini bermula.

Ia bermula dengan gerimis tetapi kemudian rintiknya agak kasar. Masing-masing mendongak ke langit yang sebenarnya tidak kelihatan apa-apa pun.

Tetapi penonton yang duduk bersila beralas tikar plastik dan tikar mengkuang buat tak kisah dengan gerimis itu. Mereka terus menyaksikan persembahan artis di pentas.

“Hujan rahmat,” demikian kata Ismail Sabri apabila melihat rintik yang semakin besar. Bagaimanapun kemudiannya hujan pun hilang, dengungan muzik memecah kesunyian Bera, di pinggir Sungai Pahang yang airnya mengalir lesu.

Pengacara Roslan Shah dan Haiza yang bijak memainkan peranan di pentas mengajak penonton sama-sama berdoa agar hujan berhenti.

Gelagat artis menceriakan

Hujan berhenti dan konsert diteruskan dengan artis-artis yang sudah bersedia di belakang pentas. Kebanjiran penonton dibantu dengan sistem bunyi yang baik menjadikan persembahan malam itu cemerlang.

Roslan dan Haiza memulakan persembahan dengan beberapa lagu popular termasuk lagu dangdut popular Goyang Inul.

Penyanyi Achik dan Siti Nordiana memulakan persembahan dengan lagu-lagu solo dan duet mereka. Achik memilih Janji Kita sebagai membuka tirai diikuti duet medley lagu-lagu popularnya bersama Siti Nordiana.

Pasangan ini mengimbau semula musim cinta ‘olok-olok’ mereka di pentas konsert di Bera melalui lagu Gurauan Berkasih, Menari Berkasih, Resipi Berkasih dan Adat Berkasih sebelum Siti Nordiana menyanyikan Aku Pun Rela yang dipetik dari album terbarunya.

Bakat yang diketengahkan melalui pertandingan realiti One In A Million, Alif nampaknya mempunyai kehebatan tersendiri. Alif rancak dengan tarinya menguasai pentas, sekali gus mengajak peminat berjoget bersama ketika mendendangkan lagu Adikku Pandai Menari.

Alif mempunyai tarikan tersendiri di pentas membuatkan banyak yang tidak puas menatap kemunculannya yang hanya sekitar 15 minit sahaja.

Penyanyi yang semakin ‘comel’ Elyana dengan dua lagunya Diriku Tapak Sulaiman dan Tak Tercapai Akalmu tentunya antara yang ditunggu-tunggu kehadirannya. Gaya manja Elyana di pentas mengundang teruja penonton yang sekali gus menempikkan namanya berkali-kali.

Saleem promosi Terengganu

Sebenarnya kami di Pancaindera sendiri pada awalnya bagaikan tidak percaya penyanyi Saleem sudi untuk ikut serta dalam konsert kali ini.

Tetapi akhirnya, Saleem naik ke pentas dan menghembuskan desah Blues Terengganu Kita. Saleem di depan mata dan dia hadir ke Konsert Pancaindera demi untuk peminat di Bera.

Penyanyi Terengganu ini sempat pula mempromosikan negerinya dengan memilih Blues Terengganu Kita sebagai salam pembukanya.

Mungkin dia tahu sebahagian pemastautin di Bera terdiri daripada orang Terengganu, jadi bukan susah untuk faham loghat Terengganu.

“Mitok maah adik kakok, malan ni batuk sikit. Tapi kena bereh keja jugok,” kata Saleem dalam loghat Terengganu yang pekat. Saleem meminta maaf sebab malam konsert itu kesihatannya kurang baik, tetapi katanya kerana kerja, dia kena selesaikan dengan sebaik mungkin.

Hasilnya, walaupun pada awalnya dia hanya perlu menyanyi dua lagu, Saleem tiba-tiba menyambung kepada lagu ketiga. Itulah gara-gara bila Saleem dapat semangat baru.

Suci Dalam Debu memang lagu berhantu dan tidak boleh ketinggalan dalam mana-mana persembahan penyanyi ini. Meskipun lagu ciptaan Wan Zul itu sudah berlalu popularitinya semenjak 15 tahun lalu, hairan juga apabila kanak-kanak berusia tujuh tahun kelihatan rancak menyanyi bersama Saleem. Itu penangan lagu berhantu.

Ramlah Ram – inilah diva

Seorang lagi penyanyi yang membuatkan orang di Bera tidak senang duduk ialah Ramlah Ram. Ratu dunia seni suara seawal tahun 80-an ini memilih untuk ke sini, kerana merasakan sesekali dia perlu ‘turun padang’ bertemu dengan peminat di daerah pedalaman.

Penyanyi genit ini percaya popularitinya terus bertahan jika tidak lokek masa untuk menjengah peminat yang berada di luar bandar seperti ini.

Ramlah memilih lagu berhantu ciptaan Datuk Ahmad Nawab yang menjadi titik tolak penting dalam kerjayanya, Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu. Lagu berhantu ini melekat dalam ingatan peminat yang turut menyanyi dan menari bersama.

Lagu Maharaja ciptaan Eddie Hamid juga yang sedang popular di radio ketika ini tidak ketinggalan. Gemersik suaranya, lincah gayanya, itulah Ramlah Ram di Bera.

Powered by Utusan Malaysia

Hits 1 Akhir Keputusan Yang Dijangka

1 May

SEPERTI yang diramal, pertandingan akhir Hits 1 yang bersiaran langsung di RTM1 pada malam Jumaat lalu menjadi milik Adibah Noor, Misha Omar dan Mawi.

Malah ia menjadi malam istimewa bagi Adibah yang mempertaruhkan lagu Terlalu Istimewa untuk diangkat sebagai bukan sahaja Lagu Terbaik tetapi turut merangkul kategori Persembahan Terbaik yang membolehkannya membawa pulang sejumlah RM30,000 iaitu masing-masing RM25,000 (Lagu Terbaik) dan RM5,000 (Persembahan Terbaik).

Kemenangan lagu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Adibah itu sendiri mencipta kejayaan berganda bagi mereka apabila awal tahun ini muncul juara Anugerah Juara Lagu Ke-21 (AJL-21).

Namun dalam nada merendah diri, Adibah tetap memberitahu bahawa dia tidak menaruh harapan tinggi untuk memenangi pertandingan yang diasaskan melalui carta lagu Radio Muzik itu.

Malah dia merasakan lagu-lagu Nafas Cahaya, dendangan Misha Omar dan ciptaan sifu M. Nasir serta lirik oleh Loloq dan lagu Bisakah (Aubrey Suwito/Tessh RS) mampu dipilih Lagu Terbaik oleh lima juri profesional iaitu Datuk Wah Idris, penyanyi Nurul, komposer S. Atan, Helen Yap dan diketuai Asnawi Mutaal.

“Lagu-lagu itu adalah lagu-lagu yang bagus,“ kata Adibah ketika ditemui selepas pertandingan itu yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Biarpun mempunyai saingan terdekat namun kata Adibah lagi, platform Hits 1 akhir bukanlah satu persaingan sengit.

“Debarannya tidak seperti di AJL lalu. Malah kami di belakang pentas relaks dan memberi sokongan antara satu sama lain,“ kata Adibah yang muncul solo di pentas persembahan dan menyampaikan surah An-Am dalam bahasa Inggeris sebelum berdendang.

Sementara itu Misha Omar yang gagal ke final AJL-21 boleh berbangga apabila lagu Nafas Cahaya itu berjaya menduduki tempat kedua Lagu Terbaik sekaligus membawa pulang RM20,000.

“Saya telah memberikan yang terbaik dan bersyukur lagu itu berjaya diterima,“ katanya.

Dan Raja SMS, Mawi pula sudah menjangka membawa pulang gelaran Lagu Paling Popular – satu-satunya kategori yang dipilih berdasarkan undian SMS (khidmat pesanan ringkas).

Kala ditanya sampai bila dia mahu bertahan dengan status itu, jelas Mawi, “selagi orang menyebutnya, saya akan menerima dengan hati terbuka.”

Tidak ketinggalan mendapat sorakan sokongan penonton tentunya bekas tunangan Mawi, Diana Naim atau Ina yang berkongsi pentas mempertaruhkan lagu Duhai Hati yang muncul dengan persalinan putih dan diiringi enam anggota koir.

Antara lagu lain yang bertanding pada pertandingan yang diacarakan oleh Beego dan Annahita Bakavoli itu ialah Tanpamu, dendangan Farawahida, Indah Lelapku (Izwan Pilus) dan Jatuh (Adam AF2).

Artis yang mengadakan persembahan pula antaranya A. Halim, Nora, Saleem, Siti Nordiana, Fiq dan Kamal, Hattan, Aris Ariwatan, Dayang Nurfaizah, Ruffedge, Fabulous Cat, Yazer, Hazama dan Jaclyn Victor.

Sekitar Hits 1 Akhir

*Berlaku sedikit masalah teknikal pada speaker sisi pentas yang sedikit sebanyak mengganggu kelancaran pertandingan itu.

*Ketika Misha Omar muncul untuk mengadakan persembahan medley lagu-lagu yang pernah menjuarai Hits 1, kainnya tersangkut pada paku di tangga pentas membuatkan dia tidak boleh bergerak. Tetapi Misha ‘menutupnya’ dengan duduk di tangga sambil membetulkan semula kainnya menyebabkan peminat bersorak.

*Jika Ina tampil putih, Mawi pula memilih hitam dengan konsep persembahan hampir sama iaitu menggunakan koir. Cuma Ina menampilkan fragmen lelaki yang memberinya cinta tetapi kemudian dirampas oleh wanita lain.

*Ina dan Mawi bukan sahaja julung kalinya berkongsi pentas pertandingan malah mereka muncul silih berganti sebagai peserta akhir hits 1 akhir.

*Datuk Siti Nurhaliza tidak hadir pada pertandingan itu dan tempatnya diganti oleh Juwita Suwito, adik kepada pencipta lagunya, Aubrey yang juga seorang penyanyi.

*Jatuh merupakan lagu Adam AF2 yang berjaya ke final Hits 1 buat kali ketiga selepas Terhangat Di Pasaran dan Tak Tahu.

*Adibah Noor, Adam AF2, Mawi dan Ina mendapat tepukan paling gemuruh sepanjang pertandingan berlangsung.

Powered by Utusan Malaysia